Novel : Meow! Kau Curi Hatiku 19

4 March 2013  
Kategori: Novel

1,157 bacaan 1 ulasan

Oleh : Reeani Annur

BUNYI laungan azan subuh yang sayup bergema dari masjid berhampiran mengembalikan Husna ke alam nyata. Dia menggeliat, membetulkan segala urat di dalam badan. Dikerling jam di atas meja kecil sebelah katil dalam sorotan mata yang sepet. Pukul 5.45 pagi. Selimut diselak dan Husna turun dari katil menuju ke bilik air untuk membersihkan muka dan mengambil wuduk. Selepas itu, dia menyerahkan diri kepada Allah.

Usai solat, Husna keluar menjenguk keadaan Anchu dan Chicky di bilik mereka. Kedua-duanya masih lagi enak mengerekot. Lantas, pintu bilik itu ditutup semula dan dia mengorak ke ruang tamu pula.

Pintu gelungsur berhampiran set sofa didekati. Langsir putih nipis yang menutupinya diselak dan pintu lut sinar berwarna hitam itu diseret. Angin pagi berpuput lembut dan mesra menampar wajahnya. Beberapa helai rambutnya menerbang ke belakang. Terasa segar. Nafasnya ditarik dalam-dalam.

Di luar, hari masih gelap. Suasana juga terasa hening. Jika di rumah, pada waktu-waktu begini dia sudah duduk di dapur, bermain-main dengan kucing-kucing peliharaannya sebanyak lapan ekor yang sentiasa bangun awal pagi meminta sarapan pagi. Ah, rasa rindunya mengasak hebat. Baru sehari duduk di sini, hati sudah tidak betah.

Husna meraba-raba perutnya. Rasa mencerut hadir secara tiba-tiba. Masakan dia tidak berasa lapar, malam tadi dia tidak menjamah apa-apa makanan. Dia hanya meneguk air mineral yang dibelinya ketika sampai di bandar semalam. Dapur rumah ini pun dia belum sempat meneroka lagi sama ada terdapat makanan atau tidak.

Langkahnya diorak ke dapur. Peti sejuk dua pintu berjenama LG itu dibuka dan diintai-intai isi di dalamnya. Kosong. Yang dia jumpa hanyalah tiga biji telur dan sepeket kecil ikan bilis. Apa dia mahu masak dengan barang-barang itu? Husna termangu lama di hadapan pintu peti sejuk yang ternganga luas itu.

Peti sejuk ditutup dan dia menyelongkar pula kabinet berhampiran. Satu per satu pintu kabinet itu dibuka. Matanya menjadi cerah sebaik sahaja menemukan seplastik kecil beras yang masih belum terusik. Beras itu kemudiannya dibasuh dan ditanak sebelum dia bertukang di atas dapur, memasak nasi goreng mengikut acuannya sendiri.

Apabila siap memasak, Husna masuk ke bilik untuk membersihkan diri. Usai semuanya, barulah dia keluar semula untuk mengisi perut. Namun, di pertengahan langkah menuju ke dapur, telinganya menangkap bunyi suara siaran televisyen yang kuat. Aik, siapa pula yang buka televisyen? Hatinya bertanya sendirian.

Husna berpatah perlahan-lahan ke ruang tamu sambil memanjangkan leher. Hatinya berdebar-debar. Mustahil televisyen itu terpasang sendiri. Atau rumah ini yang berhantu? Hisy! Husna cepat-cepat menghalau pergi anggapan buruknya.

“Hoi! Kau intai apa tu?” sergah satu suara dari belakang.

Husna tersentak dan berpaling ke belakang. Dia menjerit kuat dan terus berlari masuk ke dalam bilik. Jantungnya berdegup kuat setelah melihat kelibat Naim yang tiba-tiba sahaja muncul di dalam rumah itu.

Naim terlopong. Bau haruman syampu yang dipakai oleh Husna masih lagi bersisa di ruang hidungnya. Harum. Itulah kali pertama dia melihat Husna tanpa tudung. Rambutnya lurus dan panjang mengurai melepasi bahu. Oh, hatinya semakin tertambat. Dan dia tersedar setelah ditegur semula oleh Husna yang ketika itu sudah pun mengenakan tudung.

“Apa yang encik buat kat sini pagi-pagi buta macam ni?” soal Husna. Matanya liar memandang Naim yang tampak santai mengenakan jaket hitam berjenama Adidas bersama seluar sukan warna senada. Naim keluar joging? Awalnya!

“Ini rumah aku, kan? Suka hati akulah nak buat apa pun,” jawab Naim sambil terus melangkah dan duduk di atas sofa. Matanya menjeling Husna tanpa perasaan.

Husna mengetap bibir geram. Matanya sempat memandang pinggan yang sedang dipegang oleh Naim. Eh, itu nasi goreng yang dia masak tadi. Teruknya ambil makanan dia tanpa meminta izin terlebih dahulu. Dia penat-penat memasak tetapi Naim pula senang-senang sahaja ambil makan. Ah, benci!

Kerusi meja makan ditarik perlahan dan Husna menghenyakkan punggung di atasnya. Nasi goreng yang baru sahaja dikaut masuk ke dalam pinggan itu dinikmati dengan perasaan sebal bersama segelas air kosong. Ketika dia sedang makan, Naim tiba-tiba muncul dan duduk di hadapannya.

“Aku lupa nak beritahu kau yang aku ambil nasi goreng yang kau masak tadi,” kata Naim sambil meletakkan pinggan yang telah kosong di atas meja. Dia sendawa perlahan. Kenyang.

Husna terus menyuap nasi goreng tanpa membalas kata-kata Naim. Huh, sudah makan sampai habis licin baru hendak beritahu dia. Dia malas mahu melayan Naim. Biarlah Naim bercakap seorang diri.

“Sedap jugak ya kau masak. Lain kali, bolehlah kau masak untuk aku pulak.” Naim terus memancing perhatian Husna apabila melihat gadis itu hanya membisu. Apabila Husna terus berdiam diri, dia mulai berasa bengang.

“Aku tengah cakap dengan tunggul kayu ke ni?” perli Naim sambil mengetuk-ngetuk jari-jemarinya di atas meja. Sakit hati sungguh apabila Husna bersikap endah tidak endah sahaja terhadapnya.

“Boleh,” jawab Husna sepatah. Dia kira, jawapan itu tidak ikhlas.

“Ha, ada pun suara kau. Aku ingatkan kau bisu. Maaflah, dapur rumah aku ni tak banyak bahan. Orang bujang macam aku, lebih banyak makan kat luar. Apa yang kau jumpa kat dalam peti tadi tu entah yang bila punya aku pun tak tahu. Tapi tak apalah, nanti ada masa aku bawa kau pergi beli barang-barang dapur. Lain kali senang sikit kalau kau nak masak apa-apa.”

Nasi yang baru sahaja hendak disuakan ke mulut, jatuh semula ke dalam pinggan. Husna menatap wajah Naim tidak berkelip. Bagaikan sukar dia hendak percaya kata-kata Naim. Semalam Naim cakap, dia kena pandai-pandai sendiri. Sekarang, macam ambil berat pula. Namun dia tidak mempersoalkan semua itu kepada Naim. Kalau Naim ada niat begitu, baguslah. Tidaklah dia kebuluran tinggal di sini.

“Kucing berlagak tu, macam mana? Ada buat hal tak?” Naim bertanya mengenai hal kucing pula. Serta-merta dia dapat melihat wajah Husna yang berubah menjadi ceria. Chet! Cakap fasal kucing baru reti nak tunjuk muka manis. Sempat dia mencebik kelakuan Husna.

“Okey. Semuanya dengar cakap. Taklah susah sangat nak jaga dia orang.” Husna ukir senyum. Tangannya kembali menyudu nasi dan kemudian mendarat masuk ke dalam mulutnya.

“Kau memang sukalah kan layan kucing dua ekor tu. Memang sesuai sangatlah kau ni jadi penjaga kucing.”

“Kalau tak suka, takkanlah saya terima tawaran kerja ni pulak,” jawab Husna.

“Manalah tahu kut-kut kau terima kerja ni sebab kau sukakan aku ke?” Naim tersengih-sengih memandang Husna. Dia sengaja mahu mengusik Husna untuk melihat reaksinya. Manalah tahu sekiranya dia boleh mengorek serba sedikit perasaan Husna terhadap dia.

Terus sahaja Husna terbelahak panjang. Apa Naim merepek ni? Tidak terlintas langsung di fikiran dia menerima pekerjaan itu di atas faktor-faktor yang dinyatakan oleh Naim tadi. Agaknya Naim ni terlebih perasan kut. Mana mungkin dia akan suka dengan lelaki yang berlagak seperti Naim.

“Saya terima kerja ni sebab saya sukakan kucing. Bukannya sebab saya sukakan encik,” tegas Husna, sekaligus membetulkan semula tanggapan Naim yang tidak berasas itu. Dia tidak mahu Naim salah faham.

Naim mencebirkan bibirnya. Dia tidak tahu sama ada dia harus percaya atau tidak dengan penjelasan Husna. Matanya terus merenung Husna makan. Dia tahu, memang ada sesuatu yang tidak kena dengan hatinya setiap kali terpandangkan wajah gadis itu.

Husna melajukan suapannya apabila menyedari mata Naim tidak berkelip merenung dia. Naim ni tak pernah tengok orang makan ke? Hati Husna menggerutu. Dia berasa tidak selesa. Nasi yang ditelan bagaikan tidak jatuh ke dalam perut. Terasa seperti telan angin sahaja.

“Kau dah ada boyfriend?” Pertanyaan itu terpacul spontan dari mulut Naim.

Kali ini batuk Husna terus menggila tanpa henti. Tubir matanya sudah digenangi air jernih. Air kosong di hadapannya pantas diteguk bagi menghilangkan batuk yang berjela-jela itu.

“Yang kau asyik terbatuk-batuk ni, kenapa? Tak reti nak makan elok-elok ke?” tegur Naim. Dia mahu ketawa namun hatinya menegah keras. Dia yakin, Husna jadi begitu disebabkan terkejut mendengar pertanyaannya tadi.

Husna berdeham beberapa kali. Mukanya rasa berbahang.

“Encik tak kerja ke hari ni?” Husna mengelak daripada menjawab soalan Naim. Dia tidak mahu bercakap mengenai hal peribadi sendiri dengan orang lain. Bukannya ada kepentingan pun.

“Kerja, tapi sekarang baru pukul berapa? Aku pergi joging dekat tasik depan sana tu tadi. Kebetulan dah dekat, jadi aku singgahlah datang ke sini sekejap.”

Ah, sebenarnya lebih kepada niat mahu bertemu dengan Husna. Dia tidak tahu apa yang merasuk fikirannya supaya bangun awal-awal pagi dan keluar berjoging ketika orang lain masih enak diulit mimpi. Mama dia sendiri turut melopong sama. Apa nak buat kalau hati sudah jatuh sayang. Benarkah dia sudah mula sayangkan Husna?

“Ada tasik ke dekat kawasan perumahan ni? Saya tak perasan pun.”

“Ada. Kau memanglah tak perasan sebab semalam aku lalu ikut jalan belakang bukannya ikut jalan depan. Tasik tu dekat jalan depan sana. Kau nak pergi?”

Husna angguk laju.

“Kalau kau nak pergi, nanti aku bawakan kau pergi ke sana. Tapi bukan hari nilah. Tengoklah bila-bila aku free nanti.”

“Bawa kucing sekali, boleh?”

Naim berdengus. Terus sahaja moodnya bertukar menjadi bengang. Asyik-asyik kucing. Naik jelak dia dibuatnya.

“Kau ni, kalau hidup tanpa kucing tak boleh ke?” soalnya.

“Tak.”

“Tanpa aku?”

“Tak. Eh! Tak, tak… bukan itu maksud saya.”

Husna ketap bibir. Malu usah cakaplah. Laju sahaja dia berlalu ke singki menyembunyikan wajahnya yang merona merah.

Naim terkekek-kekek ketawa. Diperhatikan sahaja Husna dari meja makan. Dia sedar, hatinya terpaut lagi.

*****

“ABANG, sarapan dah siap. Marilah makan.” Datin Hanim memanggil Dato’ Mazlan yang sedang berdiri tegak di muka pintu rumah.

Dato’ Mazlan menoleh sebelum berjalan perlahan-lahan mendekati meja makan. Kerusi ditarik dan dia duduk. Matanya memerhati mee goreng dan karipap yang terhidang di depan mata. Cukup membuatkan perutnya memberontak. Apa sahaja yang dimasak oleh isterinya sentiasa menyelerakan bagi dia.

“Abang intai apa kat luar tadi tu? Ada tunggu orang datang ke rumah ke?” tanya Datin Hanim. Sepinggan mee goreng yang baru disenduk dari mangkuk kaca besar itu dihulurkan kepada suaminya.

“Saya cari kereta Naim. Masa balik dari masjid subuh tadi, saya tengok tak ada kat garaj. Ke mana hilangnya?” Dato’ Mazlan memandang Datin Hanim, meminta jawapan. Hatinya diselubungi tanda tanya. Takkanlah kereta Naim kena curi?

Datin Hanim mengukir senyum.

“Tak hilang ke mana pun. Lepas subuh tadi dia keluar pergi joging.”

“Pergi joging? Awalnya. Selalunya, dia jarang pergi berjoging hari bekerja macam ni. Hari ni, mimpi apa pulak keluar joging pagi-pagi buta macam tu?”

Dahi Dato’ Mazlan berkerut. Memang dia tahu Naim suka joging. Tetapi setahu dia, aktiviti itu biasanya dilakukan oleh Naim pada hujung minggu sahaja. Kadang-kadang Naim juga selalu mempelawa dia joging bersama-sama.

Datin Hanim jongket bahu.

“Entahlah anak abang tu. Agaknya cuba merawat hati yang sunyi kut sebab kena tinggal dengan buah hati,” telahnya sambil menyulam ketawa kecil. Tidak tahulah betul atau tidak. Dia hanya mengagak sahaja.

“Sampai macam tu sekali? Awak ada tanya Naim tak fasal hubungan dia dengan Bella?” Mata Dato’ Mazlan memandang Datin Hanim tidak berkelip.

“Dah berbuih dah mulut saya ni bertanya. Tapi ada saja alasan yang dia beri. Saya dah penatlah nak tanya dia banyak kali,” jawab Datin Hanim seraya menyuap mee goreng masuk ke dalam mulut.

Dato’ Mazlan bergumam sejenak sebelum menghirup kopi di dalam cawan. Fikirannya terbayangkan wajah Naim dan Bella.

“Saya tak berkenan tengok dia dengan Bella tu berkawan lama-lama. Hubungan mereka pun dah lama berlangsung. Jadi saya fikir, lebih baik mereka tamatkan saja dengan perkahwinan. Ke sana ke sini tanpa ada ikatan apa-apa bukannya elok sangat,” nyatanya sejurus meletakkan kembali cawan di atas piring. Tisu di hujung meja dicapai dan dilap ke mulut. Dia sememangnya tidak ada halangan dengan pilihan Naim namun dia kurang gemar melihat Naim dan Bella asyik berkepit sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah. Dia bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Datin Hanim meletakkan sudu dan garfu. Dia pandang wajah suaminya sambil melepaskan keluhan.

“Saya pun rasa tak senang jugak, abang. Tapi kita tak boleh nak paksa kalau mereka tak bersedia lagi. Kita tunggu sajalah bila mereka dah bersedia nanti.”

“Nak mereka bersedia sampai bila? Masing-masing pun bukannya muda lagi. Kerja pun dah stabil. Apa lagi yang nak ditunggu? Dia orang tak terasa ke tengok kawan-kawan lain dah ada isteri dan anak-anak?”

“Itu cakap abang. Cakap mereka lain pulak. Kalau abang dah tak sabar nak ada menantu dan cucu, samalah jugak dengan saya. Tapi semua tu bergantung kepada keputusan Naim dan Bella sendiri. Kalau itu dah keputusan mereka, takkan kita nak desak mereka pulak.”

Datin Hanim cuba menenangkan Dato’ Mazlan yang kelihatan sedikit beremosi. Dia tahu keinginan suaminya itu tinggi melangit mahu melihat Naim dan Bella disatukan. Namun apa yang boleh mereka lakukan? Paling kurang, mereka suami isteri hanya boleh menasihatkan sahaja.

Dato’ Mazlan terdiam. Kata-kata isterinya tidak dibalas. Mee goreng yang berbaki suku pinggan dimakan sehingga licin.

“Dah dekat pukul 8.30 pagi ni. Naim ni tak mahu pergi kerja ke? Joging apa lama-lama sangat macam tu,” rungutnya sambil menjeling jam di pergelangan tangan kanan. Dia kemudiannya bangun dari kerusi dan mencapai briefcase serta baju kot yang diletakkan di atas sofa di ruang tamu berhampiran.

“Kejap lagi baliklah tu. Mungkin dia ada singgah ke mana-mana lepas joging tadi,” jawab Datin Hanim, cuba menyedapkan perasaan Dato’ Mazlan dan hatinya sendiri. Dia ikut bangun dan menuruti langkah suaminya dari belakang sehingga ke muka pintu kereta.

“Kalau macam tu, tak apalah. Abang pergi ke pejabat dulu.”

“Hati-hati memandu, abang,” pesan Datin Hanim usai bersalaman.

Sejurus kereta Dato’ Mazlan hilang dari pandangan, kereta Naim pula mengambil tempat di ruang garaj. Datin Hanim yang baru sahaja hendak berpaling tidak jadi melangkah masuk ke dalam rumah.

“Im, pergi joging ke mana sampai sekarang baru balik rumah? Tak masuk ke pejabat ke hari ni?” tegurnya setelah Naim keluar dari kereta dan mendekatinya.

“Nak pergilah ni, mama. Im nak mandi dan bersiap-siap dulu,” jawab Naim. Entah bagaimana dia boleh terlelap di atas sofa selepas berbual dengan Husna tadi. Sedar-sedar, hari sudah terang-benderang. Kalau tidak kerana bunyi mesej yang masuk ke dalam telefonnya, mungkin dia masih hanyut dibuai mimpi. Husna pun satu hal. Dibiarkan sahaja dia tidur tanpa dikejutkannya. Bengang sungguh dia.

“Pergilah bersiap-siap dulu. Nanti mama sediakan sarapan untuk Im.”

“Tak payahlah, mama. Im dah kenyang dah. Im dah makan kat rumah Im tadi.”

Wajah Datin Hanim berkerut memandang Naim.

“Makan kat rumah Im? Im balik ke sana ke tadi? Buat apa? Im cakap, ada kawan perempuan Im tinggal kat sana.”

Naim teguk air liur. Dia sedar, dia telah tersalah cakap. Apa dia nak jawab? Diukir sekuntum senyuman buat mamanya untuk menutup rasa kagetnya.

“Sebenarnya, maksud Im tadi Im bukan makan kat rumah Im. Im makan dekat kedai berhampiran rumah Im. Okeylah, mama… Im masuk ke dalam dulu ya. Im dah lambat ni.”

Naim terus menghilangkan diri untuk mengelakkan daripada ditanya lebih banyak soalan.

Datin Hanim hanya menggelengkan kepala melihat gelagat anak lelaki tunggalnya itu. Perlahan-lahan dia menapak masuk ke dalam rumah.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

Satu ulasan untuk “Novel : Meow! Kau Curi Hatiku 19”
  1. zalila zaharin says:

    besttttt….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"