Novel : Meow! Kau Curi Hatiku 21

22 March 2013  
Kategori: Novel

1,826 bacaan 3 ulasan

Oleh : Reeani Annur

BAB 21

“KITA nak pergi ke mana ni, encik?” Husna bertanya sekali lagi sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Tali pinggang keledar dipakai siap-siap.

Naim hanya membiarkan jawapan Husna tanpa ada keinginan mahu menjawab. Enjin kereta dihidupkan dan perlahan-lahan kereta bergerak meninggalkan kawasan perumah itu.

Melihat reaksi Naim yang dingin, Husna memilih untuk berdiam diri. Dia malas mahu membuka mulut lagi, bertanya itu dan ini kepada Naim. Buat rahang dia lenguh sahaja. Naim bukannya ada hati hendak melayan dia. Rasa seperti bercakap dengan tunggul balak pun ada juga.

Kereta Naim melintasi kawasan tasik yang membiru. Pemandangan yang cantik itu menarik perhatian Husna. Pokok ru yang mendominasi kawasan rekreasi itu mengindahkan lagi latar dan menjadikan ia redup serta sesuai dijadikan tempat bersantai. Terdapat juga taman permainan untuk anak-anak kecil bermain selain kemudahan tempat duduk dan trek joging.

Naim menoleh Husna sekilas pandang. Tersenyum dia apabila melihat gelagat Husna yang begitu ralit sekali melihat kawasan tasik tersebut. Itu baru tengok, belum singgah lagi. Kalau dia ajak Husna duduk melepak di situ, entah sudi balik atau tidak. Entah-entah, Husna ajak dia bermalam di situ.

“Inilah tasik yang aku beritahu kau hari tu. Aku selalu joging kat sini sebab tempat ni cantik. Tak ramai orang. Kalau kau nak ajak aku dating kat sini pun boleh jugak. Tapi itupun kalau aku sudi nak dating dengan kaulah,” beritahu Naim. Sempat juga dia cari modal mengenakan Husna.

Husna tidak memberi sebarang reaksi. Namun di dalam hatinya mencemuh Naim berbakul-bakul. Dia nak ajak Naim dating di tasik itu? Huh, tak kuasalah! Bukannya dia teringin sangat pun. Perasan betullah Naim ni.

Kereta Naim terus meluncur laju di atas jalan raya. Sepanjang perjalanan itu, masing-masing hanya mendiamkan diri. Husna melayani perasaannya dengan melepaskan pandangan ke luar tingkap. Manakala Naim pula tekun memandu. Namun sesekali, mata Naim mencuri pandang juga ke arah Husna. Sebenarnya, dia ingin sekali berbicara dengan Husna tetapi entah mengapa lidahnya seakan-akan kelu.

Lima belas minit kemudian, Naim memberhentikan keretanya di Pasar Borong Gong Pauh. Sengaja dia memarkirkan keretanya di tepi jalan besar kerana kawasan pasar itu sesak dan susah untuk mendapatkan tempat parkir.

“Aku bawa kau datang ke sini sebab nak ajak kau beli barang-barang dapur. Kan hari tu, aku dah janji dengan kau. Nanti senang sikit kau nak memasak,” ujar Naim setelah mematikan enjin kereta.

Dia bukan tidak mahu menjawab pertanyaan Husna tadi, tetapi dia sengaja mahu buat Husna tertanya-tanya. Peduli apa dia kalau Husna mencemuh sebab bawa dia pergi ke pasar borong. Ah, membeli-belah di pasar borong pun seronok juga kut. Cuma kena tahan bau sahajalah. Yang penting dia mengotakan janjinya.

Husna memerhati jalan susur masuk ke pasar tersebut. Bersusun-susun kereta dan motosikal keluar masuk. Jalan yang sudah sedia kecil menjadi kian sesak. Hujung minggu begini memang suasana di pasar padat dengan lautan manusia yang datang mencari barang-barang keperluan harian.

“Kau ni, tak nak turun ke? Nak suruh aku dukung dulu, baru kau ada hati nak keluar dari kereta ni?” tanya Naim yang ketika itu sudah pun berdiri di sebelah pintu tempat duduk Husna. Pintu itu dikuak luas dari luar.

Husna tersentak. Dia segera membuka tali pinggang keledar dan keluar dari kereta. Setelah Naim mengunci kereta, mereka sama-sama mengatur langkah masuk ke dalam kawasan pasar. Tiba-tiba terdengar bunyi hon motosikal dari belakang. Naim berpaling dan sepantas kilat dia menarik Husna ke tepi. Sebuah motosikal memecut laju tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang di kiri dan kanan jalan yang sempit itu. Sempat dia memarahi tindakan tidak berhemah penunggang tersebut.

Husna terkedu. Hampir-hampir sahaja dia dilanggar tadi. Namun mujurlah Naim bertindak pantas menarik dia ke tepi. Jika tidak, sudah pasti dia mengalami kecederaan.

“Terima kasih sebab selamatkan saya,” ucap Husna. Di dalam hatinya terbit rasa terharu dengan tindakan Naim. Dalam kasar-kasar Naim, rupa-rupanya terselit juga sikap prihatinnya. Debaran hati Husna perlahan-lahan surut.

“Kau jalan di sebelah kiri aku. Selamat sikit. Jalan kat sini sempit. Kena hati-hati.” Naim memberi ruang kepada Husna untuk bertukar posisi.

Husna akur. Terasa seperti dikawal oleh pengawal sahaja apabila Naim meminta dia berbuat demikian. Namun dia berasa lebih selamat berbanding sebelumnya.

Sebaik sahaja memasuki ruang peniaga menjual sayur-sayuran, Husna mula memilih sayur-sayuran yang menjadi kegemarannya. Sementara Naim pula hanya mengekori Husna dari belakang dan memerhati Husna melakukan urusan jual beli dengan para peniaga di situ.

“Cukup ke sayur yang kau beli tu?” tanya Naim usai membayar kesemua sayur yang dibeli oleh Husna. Dia menghulurkan tangan, tanda menawarkan bantuan untuk memegang sebahagian plastik yang berada di tangan Husna. Beberapa plastik bertukar tangan.

“Cukuplah kut. Saya sorang je pun yang nak makan,” jawab Husna.

Naim hanya bergumam. Langkah mereka kemudiannya dipanjangkan pula ke bahagian jualan barangan basah. Bunyi suara para penjual bersahut-sahutan memanggil orang ramai supaya datang membeli di gerai masing-masing. Bau hanyir dan hamis pula semerbak menusuk ke hidung.

“Kau pandai masak nasi ayam?” tanya Naim setelah mereka berhenti di sebuah gerai menjual daging ayam. Dia memandang Husna menantikan jawapan.

“Err… pandai kut.”

Husna menjawab teragak-agak. Dia agak terkesima mendengar soalan yang dikemukan Naim. Kenapa pula Naim bertanya begitu?

Kening Naim menjadi tinggi sebelah.

“Kut? Macam tak pandai je kau ni.”

“Pandai. Saya boleh masak, tapi mungkin tak sedap macam nasi ayam yang orang jual kat kedai.”

“Aku teringin nak makan nasi ayam. Kau masakkan untuk aku, boleh?”

Husna meneguk air liur. Belum sempat dia membuka mulut, Naim terlebih dahulu mencapai dua ekor ayam sederhana besar dan menghulurkan kepada penjual untuk ditimbang beratnya. Selepas itu, ayam dan wang tunai saling bertukar tangan.

Setelah penat menjelajah satu pasar dan membeli semua barang, Naim mengajak Husna berhenti di sebuah gerai yang menjual air cendol.

“Aku dahaga,” beritahu Naim apabila menyedari Husna memandangnya kepelikan. Salahkah dia berhenti membeli minuman untuk menghilangkan dahaga? Tekaknya berasa sangat haus. Ditambah pula matahari semakin meninggi di atas kepala. Alangkah nikmatnya jika dapat minum minuman yang sejuk. Melihat santan yang pekat dan cendol yang segar itu lagilah membuat air liurnya kecur.

“Macam mana encik nak minum dengan tangan encik macam tu?” tegur Husna setelah air cendol tersebut dibayar. Naim ni tidak sedarkah di tangan dia penuh dengan plastik? Mana boleh pegang apa-apa lagi.

Naim tunduk melihat tangan. Kemudian dia memandang Husna semula sambil tersengih-sengih.

“Kalau macam tu, kaulah yang kena tolong aku.”

“Tolong macam mana?”

Muka Husna berkerut. Dia tidak faham maksud Naim. Naim mahu suruh dia buat apa? Tangan dia pun penuh dengan barang-barang juga.

“Kau pegang bekas minuman tu dan bagi aku minum.”

Naim menjuihkan mulutkan ke arah bekas plastik jernih yang berisi campuran cendol, santan, gula Melaka dan ais di dalamnya. Dia tidak sabar-sabar lagi mahu minum air cendol tersebut.

Husna terkedu. Takkanlah sampai macam tu sekali kut. Sudahlah ramai orang yang lalu lalang di situ. Nanti apa pula kata mereka apabila melihat gelagat dia dan Naim. Naim pun satu hal juga. Tidak bolehkah tunggu sampai di kereta terlebih dahulu untuk membasahkan tekak? Dia rasa keberatan mahu akur permintaan Naim itu. Mengarutlah!

“Cepatlah, Husna… aku dahaga ni,” gesa Naim seperti tidak sabar-sabar lagi.

Husna terkedu lagi. Naim sebut nama dia? Dia salah dengarkah? Terasa lain benar bunyinya apabila Naim memanggilnya ‘Husna’. Sepanjang mereka kenal, Naim mana pernah panggil dia begitu. Kebiasaannya, Naim hanya panggil dia ‘hoi’ sahaja. Disebabkan itulah dia jadi terpanar sejenak.

Apabila tersedar dirinya sedang dicerlung tajam oleh Naim, barulah Husna menuruti permintaan lelaki itu. Air cendol itu dicapai lalu disuakan ke mulut Naim dengan susah payah. Sungguh! Dia berasa sangat segan apabila menyedari beberapa pasang mata menjeling-jeling ke arah dia dan Naim.

Naim menyedut air cendol itu dengan rakus. Sekejap sahaja minuman tersebut hampir mencecah ke dasar bekasnya. Dia tahu banyak mata-mata yang memandang pelik kelakuannya. Ah, dia tidak mahu ambil peduli dengan semua itu. Yang penting, tekaknya berasa lega!

*****

HAJI RIPIN memerhati gelagat seorang perempuan yang sedang memberi minuman kepada seorang lelaki dengan perasaan sebal. Dia benar-benar makan hati menyaksikan babak tersebut. Dia kenal kedua-duannya. Siapa lagi jika bukan Husna dan Naim. Ah, sakitnya hati dia! Haji Ripin mengetap gigi dan mengepal tangan erat-erat. Akhirnya, apa yang dia takuti sudah menjadi kenyataan. Husna kelihatan semakin mesra dengan Naim.

Oleh kerana tidak puas hati, Haji Ripin mengekori pergerakan pasangan tersebut yang sudah mula meninggalkan gerai minuman cendol. Hatinya bagai disiat-siat apabila melihat Husna berjalan seiringan dengan Naim. Mereka dilihat tidak ubah seperti pasangan suami isteri. Kenapa Naim selalu sahaja mencantas peluang dia untuk mendekati Husna? Kenapa tidak dia yang mendapat peluang itu?

Haji Ripin mulai sedar, situasi telah menjadi semakin rumit. Lebih-lebih lagi setelah Husna membuat keputusan bekerja dengan Naim. Tidak! Semua itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Dia harus berbuat sesuatu untuk mempertahankan haknya.

Jejak Husna dan Naim terus diekori sehingga mereka sampai di kereta. Haji Ripin sudah berkira-kira mahu menjelmakan diri di hadapan mereka. Namun baru sahaja dia hendak memulakan langkahnya, terdengar pula namanya dilaung oleh seseorang dari tempat parkir motosikal. Ah! Kacau betul. Ada sahaja gangguan yang dia dapat di saat-saat genting begini.

Haji Ripin berpaling. Kelibat Tuan Lamat, jiran sekampung mengangkat tangan sambil menyusun langkah mendekatinya. Dalam masa yang sama, dia sempat mengerling ke arah Husna dan Naim yang sudah pun masuk ke dalam kereta. Akhirnya, bayangan mereka dilepaskan dalam terpaksa. Sekali lagi dia makan hati!

*****

NAIM mengurut-urut lengan sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Lenguh. Rupa-rupanya, membeli barang di pasar jauh lebih penat berbanding membeli barang di pasaraya. Jika di pasaraya, boleh letak barang di dalam troli dan tolak sahaja. Namun di pasar, semuanya kena bimbit di tangan. Mujur tidak patah sahaja sepuluh jari tangannya yang memegang banyak barang.

“Tangan kau tak lenguh ke?”

Mata Naim mengerling sekilas ke wajah Husna.

Husna menggeleng.

Naim jongket kening dan mencebir bibir. Kebalnya tangan hantu kucing tu. Sedangkan tadi Husna bawa banyak barang juga. Atau dia sendiri yang terlebih manja? Ah, dia bukan manja. Hanya tidak biasa sebab bukannya selalu dia datang membeli di pasar.

Posisi duduknya diperbetul elok-elok sebelum menghidupkan enjin kereta. Kemudian, dia mengundurkan kereta perlahan-perlahan sebelum menyertai deretan kenderaan lain yang bertali arus di atas jalan raya.

“Nanti tengah hari kau masakkan nasi ayam untuk aku, boleh?”

Naim bertanya sekali lagi ketika kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat. Wajah Husna ditatap lama.

“Encik betul-betul serius ke ni?”

Mata Husna tidak berkelip memandang Naim. Dia berasa seperti tidak percaya. Biar betul Naim nak suruh dia memasak.

“Yalah. Kalau tak, takkan aku tanya kau tadi kau pandai masak ke tidak? Kau ingat, aku saja-saja tanya ke?” tempelak Naim.

Husna terdiam. Dia mulai resah. Susah hati betul dia mendengar permintaan Naim itu. Kadang-kadang dia berasa hairan juga kenapa Naim begitu menggesa dia supaya memasak masakan tersebut. Kalau teringin sangat mahu makan, beli sahajalah di kedai. Kenapa mahu suruh dia memasak pula? Dia bukan tidak pandai memasak. Cuma dia tidak biasa memasak untuk orang lain makan. Kalau memasak untuk santapan keluarga sendiri tu bolehlah.

Naim tersungging senyum. Sambil menukar gear kereta setelah lampu isyarat bertukar warna hijau, dia melirik ke arah Husna sekali lagi dengan selayang pandang. Terpamer riak-riak resah di wajah gadis itu.

“Kenapa muka kau macam tu? Kau takut nasi ayam kau tak sedap ke?

“Saya tak biasa masak untuk orang lain. Saya takut tak kena dengan selera orang tu,” jujur Husna berterus-terang. Di dalam hatinya berdoa agar Naim akan membatalkan semula permintaannya itu.

“Tapi hari tu, masa aku makan nasi goreng yang kau masak kena je dengan selera aku. Kau masak jelah. Aku dah lama tak makan nasi ayam. Aku tengah mengidam ni. Kau sanggup ke tengok aku kempunan?”

Naim mengatur ayat-ayat sendu untuk memancing simpati Husna. Manalah tahu sekiranya Husna berasa lembut hati mahu tunaikan permintaan dia.

Eii… Naim ni macam perempuan mengandung sahaja. Kenapa hari ni Naim bersikap pelik? Husna tertanya-tanya dengan perubahan sikap Naim yang kelihatan seperti ingin bermanja dengannya. Macam mana dia tidak berasa hairan, selama ini kalau Naim bercakap dengannya, tidak pernah sekali pun dia cakap elok-elok. Semuanya ayat-ayat yang menyakitkan hati.

“Kalau encik mengidam, kenapa tak pergi beli je kat kedai? Kan lebih senang macam tu.”

“Habis tu, kau tak nak masaklah untuk aku? Karang kalau tiba-tiba umur aku tak panjang, kau jugak rasa menyesal sebab tak tunaikan permintaan terakhir aku ni.”

“Hisy! Tak baik encik cakap macam tu,” tegur Husna. Tersentak dia mendengar kata-kata Naim itu. Dia mulai serba-salah. Naim kelihatan begitu bersungguh-sungguh mahukan dia memasak nasi ayam.

“Okeylah, tengah hari nanti saya masakkan nasi ayam tu untuk encik,” sambungnya lagi. Dia tewas dengan ayat-ayat Naim tadi. Hatinya tiba-tiba menjadi tidak enak. Masin mulut Naim, kalau betul-betul hal itu terjadi memang dia akan diselubungi kekesalan yang berpanjangan.

Naim senyum. Hatinya bersorak riang mendengar jawapan Husna. Bukannya susah sangat pun nak suruh Husna ikut cakap dia. Serta-merta perutnya berasa lapar apabila terbayangkan nasi ayam yang bakal dimasak oleh Husna nanti. Dia yakin, hasil air tangan Husna akan membuatkan dia terkenang-kenang sepertimana nasi goreng yang Husna masak tempoh hari.

Beberapa ketika kemudian, mereka pun tiba di rumah. Naim memakirkan kereta di luar pintu pagar. Dia dan Husna sama-sama keluar dari kereta dan memunggah barang-barang yang dibeli tadi.

“Eh, tak apalah, encik. Biar saya je yang pegang dan bawa masuk semua barang ni. Encik baliklah dulu.”

Husna menegah Naim dan cuba mengambil semua plastik dari tangannya. Dia berasa semakin hairan apabila Naim tidak membenarkan dia bawa barang-barang tersebut. Kenapa baik sangat ni?

“Macam mana kau nak buka pintu dengan barang yang banyak macam ni? Kalau kau tak suka aku berada kat sini, lepas aku letak semua barang ni, aku baliklah,” balas Naim sambil menutup but keretanya.

Husna akur. Ketika dia hendak membuka pintu grill, tiba-tiba terdengar bunyi kaca terhempas ke lantai dari dalam rumah. Hatinya mula dilanda debar. Dia mendongak, memandang Naim. Pandangan mereka saling bertaut dan sama-sama diselubungi tanda tanya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Meow! Kau Curi Hatiku 21”
  1. Nur Faiza says:

    best. nak baca sambungan seterusnya.

  2. mardihah says:

    oh megi…hahaha. sambunglah lagi dik. tiba-tiba saspen aje awak ni

  3. lynn says:

    ada blog x…..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"