Cerpen : Keretapi Larut Malam

22 April 2013  
Kategori: Cerpen

13,240 bacaan 63 ulasan

Oleh : Virtual Writer

Valerie Tucker menyeka air mata yang tumpah di pipi untuk kesekian kalinya. Sekeping gambar yang berada di dalam genggamannya dironyok-ronyok kuat. Ada sedikit rasa pedih bercampur dendam di dalam lubuk hatinya. Peristiwa kali ini benar-benar menguji kesabarannya. Sudah beberapa kali dia diperlakukan sedemikian rupa dan sudah beberapa kali juga dia sudi memaafkan lelaki di dalam gambar itu. Namun kali ini, dia tidak lagi dapat membendung amarahnya, apatah lagi setelah dia melihat sendiri suaminya itu berjalan masuk ke sebuah hotel cinta bersama-sama seorang perempuan.

Dibuka semula gambar yang sudah berkedut dan hampir terkoyak itu. Dia sedang tersenyum disamping seorang lelaki tinggi bersut gelap berambut perang yang juga sedang tersenyum memandang kamera. Itulah tarikh ulangtahun perkahwinan mereka setahun yang lalu. Dan hari ini, genaplah dua tahun perkahwinan mereka, namun ‘hadiah’ yang diterimanya hari ini betul-betul menyentap hatinya. Bukannya dia tidak tahu Alex pernah keluar dengan wanita lain dalam tempoh perkahwinan mereka, namun dia hanya menutup sebelah mata dan cuba meyakinkan diri yang Alex ialah suami yang baik. Namun hari ini… dia sudah tidak tahan lagi.

“Keretapi terakhir ke Rosso akan berlepas dalam masa lima belas minit dari sekarang. Diminta kesemua penumpang masuk ke dalam koc masing-masing dengan segera. Sila berhati-hati dengan barang-barang anda dan terhadap penyeluk saku. Terima kasih.” Suara seorang wanita bergema di segenap sudut stesen keretapi Mawata menyeru supaya semua penumpang masuk ke dalam keretapi dengan segera.

Valerie mengesat air matanya dan berdiri tegak. Dia mengerling jam besar di hadapan pintu pejabat stesen yang menunjukkan pukul 11 malam. Perlahan-lahan dia berjalan sambil menjinjit beg tangannya dengan longlai ke hadapan sebuah keretapi yang berhenti di dalam stesen. Dia sudah bernekad ingin meninggalkan Alex pada malam itu juga walaupun dia masih belum mengambil barang-barangnya di rumah mereka. Hatinya terlalu luluh untuk pulang ke rumah perkahwinan mereka itu sedangkan Alex sedang menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

Bukan Valerie tidak pernah mencuba, namun kesibukannya sebagai seorang doktor dan Alex sebagai seorang peguam membuatkan mereka amat jarang bertemu muka. Mungkin disebabkan faktor itulah perhubungan mereka menjadi semakin hambar hinggakan Alex sanggup mencari wanita lain diluar.

Valerie menghela nafasnya berat. Dia memandang ke arah keretapi berwana kelabu gelap yang mempunyai tujuh buah gerabak di hadapannya itu. Dia membaca nama keretapi itu. ‘Midnight Sky’. Memang sesuai sekali dengan namanya, keretapi ini hanya beroperasi pada waktu malam sahaja untuk perjalanan dari ibu negara ke kawasan perkampungan di Rosso. Suasana begitu sejuk dan berkabus malam itu hinggakan bulu romanya terasa meremang dan kesejukan malam terasa hingga ke tulang. Valerie memeluk tubuhnya dan sempat menoleh ke belakang memandang ke arah stesen Mawata sekali lagi. Sedikit perasaan sayu dan sunyi berbekas di hatinya, seolah-olah dia tidak akan kembali ke Mawata lagi.

Valerie terpandang seorang wanita tua yang sedang berdiri berhampiran pintu stesen. Wanita tua itu turut merenung ke arahnya sebelum menggeleng-gelengkan kepalanya. Mulutnya berkumat-kamitkan sesuatu dan tangannya seolah-olah melambai-lambai ke arahnya namun Valerie sekadar mengukir senyuman. Mungkin wanita itu melambai pada orang lain di dalam keretapi. Dia kemudian melangkah masuk ke salah sebuah gerabak sambil memandang ke arah tiketnya. Tempat duduknya bernombor D-13 yang terletak di gerabak kedua dari hadapan, yang merupakan tempat duduk kelas biasa. Mujur juga sekarang ini bukannya musim bercuti, jadi keretapi itu tidak dipenuhi ramai penumpang. Di gerabaknya sahaja hanya ada sepuluh orang penumpang yang kebanyakannya hanya mengembara sendirian.

Dia menghenyakkan punggungnya di kerusi D-13 yang terletak di tepi tingkap di sebelah kiri. Tanpa mempedulikan keadaan keretapi yang kelihatan suram itu, dia termenung sendirian menongkat dagu menunggu masa keretapi berlepas. Tidak lama kemudian, Valerie mula merasakan tempat duduknya bergoyang-goyang dan perlahan-lahan permandangan terang di stesen semakin berganti dengan kegelapan yang berkabus. Keretapi itu semakin menjauh dari stesen.

“Selamat tinggal, Mawata. Selamat tinggal, Alex.” Bisik Valerie perlahan.

Valerie tidak tahu berapa lama dia tertidur apabila bahunya digoyang-goyang perlahan. Seorang lelaki berseragam sedang berdiri di sampingnya sambil tersenyum. “Sila tunjukkan tiket, cik.”

Valerie pantas menyeluk beg tangannya dan menghulurkan tiketnya yang kemudian dikepit oleh lelaki berseragam itu. Matanya mengerling ke arah tag nama lelaki itu yang tertulis ‘Al’. Dia kemudian menghulurkan tiket itu kepada Valerie semula sebelum mengukir senyuman mesra lagi. “Nikmati perjalanan malam ini, cik.” Valerie sekadar mengangguk dan Al kemudian berpindah ke arah penumpang yang lain pula.

Mata Valerie sudah tidak mengantuk lagi. Dia memandang ke luar tingkap dan merenung ke arah langit yang gelap tanpa bintang. Segala-galanya kelihatan amat kelam, seolah-olah keretapi itu sedang bergerak di atas langit yang gelap tanpa destinasi. Tiada sebutir bintang mahupun cahaya kelihatan di luar tingkap. Valerie bosan. Dia bangkit dari kerusi, mahu berjalan ke arah kafetaria yang terletak di gerabak paling tengah yang memisahkan tiga gerabak depan dan tiga gerabak di belakang.

Dua orang lelaki tua yang sedang duduk menikmati kopi sambil berbual-bual kecil menoleh ke arah Valerie yang masuk ke gerabak kafetaria itu. Gadis itu mengukir senyuman namun tidak dibalas mereka. Sebaliknya, dirinya terus ditenung oleh kedua-dua lelaki itu hinggalah dia berjalan ke arah kaunter. Hati Valerie sedikit curiga. Tidak tahu kenapa mereka merenungnya dengan pandangan mata sedemikian rupa.

“Maafkan saya.” Valerie menegur seorang lelaki di kaunter. “Berikan saya kopi dan sandwich.”

Lelaki di kaunter tersenyum dan mengangguk. Aneh. Senyumannya amat mirip dengan senyuman Al, lelaki pemeriksa tiket tadi. Senyuman yang kelihatan mesra namun tidak ramah. Sejujurnya, senyuman yang agak menakutkan. Namun Valerie sekadar mendiamkan diri membiarkan fikiran itu berlalu di dalam dirinya. Dia hanya mahu cepat tiba di Rosso pada hari esoknya dan menemui ibunya di kampung. Seterusnya, dia akan memfailkan penceraian di mahkamah dan berharap semoga Alex akan cepat-cepat menandatangani dokumen-dokumen yang diperlukan.

Valerie berpusing memandang kedua-dua lelaki tua itu yang masih sedang memerhatikannya. Hatinya berdegup sedikit kencang.

“Jangan risau, cik. Mereka berdua tu memang selalu macam tu.” Kata lelaki di kaunter sambil menghulurkan segelas kopi dan sandwich yang dipinta.

“Selalu?” Soal Valerie bingung.

“Ya. Mereka selalu naik Midnight Sky hampir setiap minggu. Penumpang tetap keretapi kami.”

Aneh. Mengapa ada orang yang menaiki keretapi hampir setiap minggu? Adakah dua orang tua itu selalu mengembara? Dengan umur mereka itu, sepatutnya mereka duduk diam bermain catur di rumah saja.

Valerie meneguk kopinya laju. Dia mengerling jam di tangan yang menunjukkan pukul 11.30 tepat. Masih belum tengah malam rupanya. Ini bermakna keretapi itu baru bergerak selama lima belas minit sedangkan dia terasa seperti sudah lama dia tertidur tadi. Masa seperti lambat benar berjalan.

“Cik nak ke Rosso?” Lelaki di kaunter cuba beramah mesra.

“Ya. Saya nak pulang ke rumah ibu saya.”

Lelaki itu mengangguk. “Baguslah. Semua orang pasti akan balik ke tempat asal walau sejauh mana mereka pergi.”

“Ah, ya.” Valerie juga tersenyum.

“Hidup manusia macam keretapi. Setiap orang perlu pergi ke destinasi mereka sendiri dan kadang-kala akan berhenti seketika di sesebuah tempat. Di tempat itu, mereka akan bertemu dengan ramai orang yang mungkin akan melalui laluan yang sama. Kalau ditakdirkan, mereka akan pergi ke destinasi yang sama dan kalau tak, mereka akan berpisah di tempat-tempat perhentian yang lain.” Sambung lelaki itu lagi.

Valerie terdiam. Kata-kata itu dianggap terlalu mendalam untuknya dan diakui ada benarnya juga. Jadi Alex sememangnya bukan menaiki keretapi yang sama dengannya. Destinasi mereka tidak sama dan mereka berpisah di pertengahan jalan.

“Tapi… Midnight Sky ni cuma ada satu destinasi saja. Tiada lagi tempat perhentian untuk penumpang-penumpang dan mereka juga dah tak dapat berpatah balik lagi. Jadi, lebih baik cik nikmati saja perjalanan kami ini.”

“Hah?” Valerie merenung lelaki itu cuba menangkap maksud kata-katanya. Namun seketika kemudian, gadis itu tertawa kecil. “Betul juga. Keretapi ni kan keretapi ekspres ke Rosso. Mestilah ianya takkan berhenti di mana-mana stesen lain.”

Lelaki di kaunter tersenyum lagi dengan pandangan mata yang langsung tidak bercahaya. Untuk seketika, jantung Valerie seperti terhenti apabila melihat senyuman itu. Senyuman yang cukup membuatkan dia berasa tidak senang. Suasana di dalam Midnight Sky memang agak suram dan ianya mungkin juga disebabkan jumlah penumpang yang tidak ramai itu.

“Ermm.. saya balik dulu. Rasa mengantuk pulak.” Kata Valerie sambil meletakkan beberapa helai wang kertas di kaunter. Dia berjalan laju keluar dari gerabak kafetaria dan melalui gerabak ketiga dari depan. Di gerabak itu hanya ada lapan orang penumpang yang rata-ratanya berusia pertengahan usia. Hati Valerie semakin dipanah rasa hairan. Mengapakah begitu ramai orang tua di dalam keretapi malam itu.

Dia tiba di gerabaknya dan sempat menjeling jam di tangannya dan kali ini dia benar-benar runsing. Jarum panjang jamnya terletak tepat di nombor 7 manakala jarum pendeknya lebih sedikit dari nombor 11. “Peliknya. Takkanlah baru 5 minit aku pergi minum di kafe tadi?” Gumamnya sendirian.

“Cik, kenapa ni?” Seseorang menegurnya dari belakang dan dia hampir terlompat apabila terpandang Al sedang berdiri sambil tersenyum.

“Er… tak ada apa-apa.” Katanya.

“Cik janganlah risau sangat. Keretapi ni akan tiba di destinasi bila tiba masanya nanti. Buat masa sekarang, nikmatilah masa yang masih ada di dalam Midnight Sky kami.” Kata Al dengan tenang seperti memahami kegusaran hati gadis itu.

Mata Valerie membulat besar. Rasa takut mula menjengah masuk ke hatinya namun dia sekadar mengangguk dengan wajah yang pucat. Ada sesuatu yang tidak kena dengan keretapi ini. Al berjalan meninggalkannya dan dia terus memandang sekeliling ke arah penumpang-penumpang lain yang duduk dengan senyap di kerusi masing-masing. Dia terpandang seorang perempuan muda yang sedang duduk dengan senyap di tepi tingkap lalu duduk di sisi gadis itu tanpa segan silu.

“Maafkan saya. Err.. cik ni nak ke Rosso juga?” Soal Valerie.

Gadis itu menoleh memandang ke arah Valerie. Wajahnya kelihatan amat pucat dengan bibirnya berwarna biru keunguan. Valerie gugup namun digagahkan juga dia memandang wajah gadis pucat itu. Gadis itu tersenyum dengan kelopak mata yang semakin kuyu dan berat. Dia membuka mulut hendak menjawab, namun seketika kemudian air yang banyak melimpah keluar dari mulutnya. Dia terbatuk-batuk.

Valerie pantas bangkit menjauhi gadis itu. Air yang keluar dari mulut gadis itu semakin membasahi pakaian dan tempat duduknya. Valerie terkejut dan memandang sekeliling. Anehnya, penumpang-penumpang lain hanya duduk membatu di kerusi mereka seolah-olah tidak menyedari apa yang terjadi pada gadis itu.

Lantas Valerie menghampiri seorang lelaki di hadapan mereka dengan panik. “Pak cik, tolong. Perempuan kat belakang ni sakit.”

Lelaki itu menoleh memandang Valerie. “Kenapa, nak?” Dia menyoal dengan suara yang terketar-ketar.

Valerie menutup mulutnya rapat. Dia berundur setapak apabila lelaki tua itu menyeringai kepadanya. Giginya hanya tinggal sekuntum di rahang yang sudah tercabut dari pipi. Wajah lelaki itu tidak kelihatan seperti manusia biasa lagi dengan tulang rahang yang sudah lari dari kedudukannya dan darah keluar membuak-buak di wajahnya. Valerie menjerit dengan nafas yang tidak stabil.

Kini, kesemua penumpang di gerabak itu berpusing memandang ke arahnya serentak. Masing-masing bangkit berdiri dan seperti hendak berjalan menghampirinya. Jeritan Valerie semakin kuat dan dia berasa seperti hendak pitam di situ juga. Digagahkan kakinya berlari hingga ke belakang gerabak itu. Dia mesti segera keluar dari situ.

Jantung Valerie mengepam kencang. Ketakutan semakin menguasai dirinya lalu dia kalut membuka pintu hendak berlari ke gerabak belakang.

“Kafetaria. Aku mesti pergi ke situ.” Bisiknya lalu dia berlari laju melintasi gerabak ketiga. Pada masa itu juga kesemua penumpang di situ turut bangun dan memandangnya serentak dengan pandangan mata yang tajam.

“Mereka ni macam zombie.” Dia berkata lagi lalu terus berlari melintasi gerabak itu hinggalah dia tiba di kafetaria yang kosong. Kedua-dua lelaki tua yang merenungnya tadi tidak ada lagi di situ, malah lelaki di kaunter makanan juga tidak ada.

“He..helo? Ada sesiapa di sini?” Dia melaung berhati-hati. Matanya meliar memandang ke belakang, risau juga ‘zombie-zombie’ di gerabak belakang mengekorinya. Namun aneh, tiada sesiapa pun yang mengejarnya sedangkan tadi kesemua penumpang di gerabak depan seolah-olah hendak mengejarnya.

“Bertenang. Aku mesti bertenang. Ini mesti mimpi. Ya.. aku cuma mimpi.” Valerie mengurut-ngurut dadanya. Dia terduduk di salah sebuah kerusi di dalam kafetaria itu sambil mengesat peluh di dahi. Dia kemudian memandang ke arah jam di tangan. Jam yang masih menujukkan pukul 11.35 malam membuatkan dia bingkas berdiri. Satu minit pun tidak berlalu sejak dia melihat jam tangannya di gerabak tadi.

“Mustahil!” Kepala Valerie mula terasa pening semula.

“Awak tak bermimpi, cik Valerie.” Tegur seseorang dari belakangnya.

“Awak… yang jaga kaunter tadi..”

Lelaki itu tersenyum. “Nama saya Dan. Rasanya awak dah jumpa dengan abang saya tadi, Al.”

Valerie menelan air liurnya kelat. “Tadi.. di gerabak tadi… apa yang saya nampak?”

“Apa yang awak nampak?”

“Zom… zombie. Semua penumpang cuba nak serang saya.” Tangan Valerie mula berpeluh sejuk.

“Tak ada sesiapa dalam keretapi ni nak serang awak, cik Valerie.”

“Aku tak gilalah!” Bentak Valerie marah. Namun seketika kemudian, dia mula terasa darahnya tersirap di muka. “Nanti dulu… macam mana kau tahu nama aku?”

Dan tersenyum dan berjalan menghampiri Valerie perlahan-lahan. Gadis itu juga semakin berundur dengan hati yang kecut.

“Cik Valerie, nampaknya awak masih belum sedar kenapa awak naik keretapi ni.”

Wajah gadis itu berubah bingung. “Aku nak pergi ke Rosso. Sebab tu lah aku naik keretapi ni.”

“Cik Valerie, cuba awak fikir betul-betul. Betulkah awak nak pergi ke Rosso?”

“Huh?”

Kini, Valerie semakin bingung. Secara tiba-tiba, dia jadi terlupa. Benarkah dia sebenarnya hendak ke Rosso? Dia tidak ingat pula bagaimana dia datang ke stesen keretapi tadi dan dia juga tidak tahu bila masanya dia membeli tiket keretapi. Apa yang diingatinya hanyalah Alex yang sedang memeluk mesra seorang wanita seksi di hadapan matanya dan membawa wanita itu masuk ke sebuah hotel di bandar Mawata.

Selepas itu…

Selepas itu? Selepas itu apa yang terjadi?

Valerie menekup wajahnya dengan telapak tangan. Dia benar-benar bingung sekarang. Air matanya mula mengalir deras di pipinya. “Aku sebenarnya ada kat mana? Apa dah terjadi pada aku?” Dia menyoal teresak-esak.

“Cik Valerie, awak sekarang berada di atas keretapi Midnight Sky. Keretapi khas yang membawa awak dan semua penumpang ke satu destinasi yang paling jauh. Bukan semua orang boleh menaiki keretapi ni. Dalam Midnight Sky, masa awak semakin lambat kerana keretapi ni akan tiba di destinasinya tepat jam 12 tengah malam.”

Valerie memandang jam ditangannya. Jarum jam kini sudah menunjukkan pukul 11.45 malam. Benar kata Dan itu. Sejak keretapi bergerak tadi, masa hanya berganjak selama setengah jam walaupun Valerie merasakan dia sudah berada selama beberapa jam di dalam keretapi.

“Destinasinya di mana?” Soal Valerie.

Dan menghela nafasnya. “Cuba awak ingat semula apa yang terjadi pada awak, cik Valerie.”

“Apa yang terjadi pada aku?” Kening Valerie bercantum. Fikirannya ligat mengorek semula memorinya yang baru saja berlalu selama beberapa jam tadi itu.

“Aku… aku nampak Alex dengan seorang perempuan yang berjalan masuk ke sebuah hotel. Aku rasa sakit hati sangat-sangat dan kemudian…” Kata-katanya terhenti di situ.

“Dan kemudian?”

Valerie memejamkan matanya dan dia seperti ternampak satu visual yang dimainkan di dalam mindanya. “Dan kemudian aku berjalan di tengah bandar dengan hati yang luka. Kaki aku melangkah tapi aku tak tahu aku ke mana. Sedar-sedar saja aku berada di dalam sebuah lif yang naik ke tingkat atas. Pintu lif terbuka dan aku melangkah keluar. Lepas tu aku berjalan ke satu kawasan lapang di atas bumbung bangunan tu. Aku pergi ke tepi dan berdiri lama sambil pandang kereta yang lalu-lalang di bawah.”

“Lepas tu?” Dan menyoal lagi.

“Lepas tu… lepas tu…” Suara Valerie semakin sebak. Air matanya jatuh di pipinya tatkala dia membuka matanya. “Aku… aku terjun ke bawah.” Sambungnya.

“Ya.. itulah yang terjadi, kan?” Dan menyoal lembut.

“Mustahil! Takkanlah aku dah…”

“Cik Valerie, mungkin awak patut lihat keadaan awak sendiri sekarang.”

Terketar-ketar lutut Valerie mendengarkan kata-kata lelaki di hadapannya itu. Perlahan-lahan dia berpusing dan memandang ke arah cermin tingkap yang telah memantulkan imej dirinya sendiri dan jantungnya hampir tercabut apabila melihat bayangnya di cermin.

Kepalanya pecah dan berdarah teruk. Sebahagian daripada otaknya terkeluar dan meleleh hingga ke tepi telinga. Matanya juga pecah dan wajahnya seperti terseret di bahagian yang keras. Tengkoraknya pecah dan tulang lehernya tersembul keluar dari sisi.

Valerie menjerit dan terus menjerit.

****

“Cik Valerie.. Cik Valerie…” Telinga Valerie menangkap satu suara halus berbisik di tepi telinganya. Bahunya digoyang-goyangkan dan perlahan-lahan dia membuka matanya. Wajah seorang gadis muncul di tubir matanya dengan muka yang risau. Valerie bingkas bangkit dan memandang sekeliling. Dia sekarang sedang berada di bilik rehat Hospital Universiti Mawata untuk staf-staf hospital itu.

“Cik Valerie, shif awak dah habis. Awak dah boleh balik. Esok petang jam 6, awak kena datang semula ya.” Gadis yang mengejutkannya itu berkata.

“Aku… mimpi?” Valerie bergumam sendirian sambil meraup mukanya dengan telapak tangan. Dia bangkit dan berjalan ke arah loker sambil menaggalkan kot putih doktornya itu. Dia merenung wajanhnya di cermin dengan teliti. Sangat berbeza dengan apa yang dilihatnya di dalam mimpi tadi. Dia tersenyum nipis.

“Mimpi rupanya…” Valerie mengeluh lega. Jantungnya masih berdebar-debar teringatkan mimpi yang dialaminya tadi. Mimpi yang amat mendebarkan.

“Saya balik dulu, ya. Selamat malam.” Kata Valerie sambil tersenyum kepada petugas di kaunter hospital. Dia berjalan keluar dari hospital menuju ke pusat bandar sambil bernyanyi-nyanyi kecil.

Dari jauh, dia melihat Alex sedang berjalan ke satu arah yang bertentangan dengannya dengan wajah yang amat teruja. Dia mengerling jam di tangan. Sudah pukul 11.30 malam nampaknya. Dengan hati yang curiga, dia berjalan mengekori suaminya. Jantungnya terhenti seketika apabila melihat Alex sedang merangkul tubuh seorang wanita seksi sebelum mengucup bibir wanita itu. Seketika kemudian, dia menarik tangan wanita itu dan berjalan ke sebuah hotel cinta yang terletak berdekatan.

Wajah Valerie mulai pucat. “Alex… curang.”

Valerie terduduk di tanah.Dia memegang kepalanya antara mahu mengejar suaminya ataupun tidak. Namun seketika kemudian, dia mula terfikir sesuatu. “Deja vu. Sama macam mimpi aku tadi… Kebetulankah ini?”

“Kalaulah sama, maksudnya, aku mungkin akan bunuh diri nanti.” Fikir gadis itu lagi. “Tak… walaupun aku memang terkejut, tapi, aku tak rasa nak bunuh diri macam dalam mimpi aku tadi. Adakah mimpi tadi sebagai petanda untuk aku?”

Valerie menarik nafas panjang, cuba mempraktikkan yoga yang diikutinya setiap hujung minggu. Dia menenteramkan fikirannya serta badannya supaya dapat berfikir dengan lebih rasional. “Bertenang… Valerie.”

Beberapa minit kemudian, pernafasannya mulai normal semula. Dia berjalan perlahan menyertai orang ramai di jalanan dengan fikiran yang kian tenang. Walaupun Alex curang padanya, tidak ada gunanya dia mahu membunuh diri demi lelaki itu. Valerie sedar hal itu.

“Aku akan bersemuka dengan Alex nanti. Aku akan minta bercerai kalau kami masih tak dapat selesaikan masalah kami.”

Valerie berjalan melintasi jalan bersama-sama beberapa orang pejalan kaki yang lain. Matanya tajam memandang ke hadapan, namun seketika kemudian, dari kejauhan, dia terpandang seseorang yang dikenalinya sedang mengukir satu senyuman yang tidak mungkin dapat dilupakannya seumur hidup. Itulah senyuman yang sama dengan Al, seorang lelaki yang muncul di dalam mimpinya tadi.

Nafas Valerie menjadi sesak. Kakinya berhenti melangkah dan dia sekadar merenung Al dari jauh dengan rasa takut dan gementar. Dan tidak lama kemudian, telinganya terdengar satu bunyi hon yang panjang dan benda terakhir yang dilihatnya ialah sebuah trak besar yang sedang meluncur laju ke arahnya dan dia menjerit dengan nyaring.

Valerie mati di situ juga apabila kepalanya digilis tayar trak itu. Kepalanya pecah, otaknya terkeluar, lehernya patah dan dia terseret beberapa meter di atas jalan raya.

Dari jauh, Dan yang sedang memerhatikannya berkata kepada Al, “Aku dah kata kan… sekali kau naik keretapi Midnight Sky, kau dah tak boleh berpatah balik lagi sebab destinasinya cuma satu iaitu kematian. Cik Valerie.”

Jam sekarang menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam.

(tamat)




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

63 ulasan untuk “Cerpen : Keretapi Larut Malam”
  1. ana says:

    wahhh…gila arghh x prnah lg aku jmpa cerpen mcm nih.best sgt.keep it up writer

  2. lili says:

    menakutkan tp best cayook writer

  3. kecik says:

    PERGH SERAM GILA tapi best ehehehe

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"