Cerpen : My CRUSH Until Jannah!

22 April 2013  
Kategori: Cerpen

35,815 bacaan 57 ulasan

Oleh : NOORAIHAS

CINTA. RINDU. UNTUK.SEPANJANG. HAYAT.

P/S : sila pasang lagu Suraya-INDIGO semasa membaca cerpen ini J

“Awak ni gila!”

Aku membulatkan mata. Sampai hati dia kata aku gila. Aku Cuma suka kat dia. Itu pun salah ke?

“Tak baik awak cakap macam tu. Saya tak gilalah,” balasku dengan air muka yang mendung.

“Kalau awak tak gila, habis awak apa? Meroyan?” tengkingnya lagi. Hampir menitis air mataku mendengarnya. Nasib baik kepala aku dari tadi menunduk, memandang tanah. Kalau tidak mesti kantoi!

“Sudahlah! Ini amaran terakhir saya. Jangan ekori saya. Tolonglah cermin diri tu sikit! Dah lah tak cantik! Cermin mata tebal, macam nerd! Ada hati nak jadi makwe saya. Tiang lagi cantiklah dari awak tau!” herdiknya lalu meninggalkan aku terkulat-kulat sendiri. Air mata yang tadi Cuma bertakung di tubir mata, akhirnya gugur di pipiku.

Sedihnya hati! Awak jahat! Ayat-ayat yang keluar dari mulut awak macam pisau. Tajam ! Ada ke patut samakan saya dengan tiang!Tapi nak buat macam mana, saya tetap suka awak sampai bila-bila. Sebab awak crush kita, walaupun tak ada tempat di hati awak untuk mengangkat saya menjadi cinta awak.

Tapi itu dulu, masih ada cintakah lagi dalam hatiku untuknya? Sekurang-kurangnya perasaan suka?Aku menutup kembali diari usang milikku. Diari yang aku mula buat bila bertemu dia dan yang aku tutup, tidak buka-buka lagi setelah kejadian itu. Namun, kini, aku kembali membukanya…

***

Suraya…
Seperti mana kau dan mentari…
Pengemis ini meminta…
Serangkaian cahaya…
Hatimu Suraya…
Aku menghentikan langkah. Oh, mak! Suara siapa yang merdu sangat nih? Apa mak dia makan masa mengandungkan dia sampai dapat suara sedap macam ni? Mataku melingas memerhati sekeliling, mencari gerangan suara yang menyanyi tadi. Sudahlah menyanyi lagu yang ada sebut nama aku. Wah , terharu akak tau! Macam seru-seru pulak! Kalau macam tu biar aku cari dirimu wahai pemilik suara! Tekadku.

Dalam dok sibuk mencari si empunya suara, aku secara tak sengaja tersepak tin minuman. Hei, mangkuk mana yang tak belajar sivik ni? Buang sampah merata-rata! Kau ingat ini tempat pelupusan sampah ke apa! Marahku dalam hati lalu tin minuman tadi diambil dan aku mula mencari tong sampah yang berdekatan.

“Okey! Jumpa pun awak Mr. Dustbin!” sorakku setelah tong sampah Berjaya aku jumpa. Macam jumpa harta je lagak gembiranya. Dalam kegembiraanku bercampur teruja bertemu dengan tong sampah, aku tidak semena-mena tergelincir jatuh dek kulit pisang yang dibuang di luar tong.

Bukkk!

“Adoi! Punggung aku!” rintihku kesakitan. Cara jatuh memang langsung tak cun! Adeh, kenapalah nak jatuh sekarang?

“Awak?” tegur satu suara.

Aku segera berpaling dan bangun dalam waktu yang sama. Malunya! Orang nampak! Dan…Mak, hensemnya bakal menantu mak!

Secara tidak langsung aku mengerdipkan mata beberapa kali. Mengangumi betapa eloknya ciptaan Allah di hadapanku ini. Terus terlupa pada sang pemilik suara yang aku cari tadi.

“Awak tak apa-apa?”

Lelaki itu melayang-layangkan tangannya dekat dengan wajahku. Cuba menyedarkan aku yang lagi diambang kekaguman dengan ciptaan Tuhan Ini.

“Saya…okey…je…”jawabku secara seketul-seketul perkataan yang keluar. Masih separa sedar!

“Oh, okey. Kalau macam tu saya pergi dulu,” pamitnya dan berpaling meninggalkan aku.

Bagai tersedar dari lena, aku cepat-cepat berjalan menyainginya dan berhenti betul-betul di hadapannya sebelum mendepangkan kedua-dua belah tanganku. Menghalangnya dari terus berlalu. Dia terkejut seketika.

“Err…terima kasih,” ucapku lalu tersenyum manis.

Dia senyum ringkas menampakkan lesung pipitnya yang memang dalam macam kolam! Kolam? Ahh, lantaklah kalau takde kena-mengena pun! Bukan masuk exam pun!

“Sama-sama,” jawabnya dan kembali ingin berlalu. Tapi aku masih berdiri di depannya. Masih tidak puas menatapnya.

“Nama awak apa ekk?” Selamba aku terus bertanyakan namanya. Dah terbaliklah pulak kan. Tapi bukan untuk apa-apa pun. Saje tambah kenalan. Tak salah kan?

“Err…Is…”

“Hah, mesti Iskandar kan? Saya dah agak dah! Kalau orang handsome macam awak ni mesti ada nama sedap-sedap,” potongku dengan nada sedikit teruja tanpa sempat dia menghabiskan ayatnya.

Dia terpinga-pinga sebentar. Mungkin terkejut kot melihat aku berjaya meneka namanya dengan tepat bersama reaksi yang diluar jangkaannya.

“Ismadi. Nama saya Ismadi,” tegasnya, mematikan mood teruja aku sebentar tadi.

Aku tersenyum sumbing . Alamak, salah ke?

“Errk…salah ye? Tapi takpe. Nama saya….”

“Awak, saya takde masa nak berkenalan. Kalau itu niat awak. Baik awak lupakan je,” Lelaki itu pula memotong kata-kataku dan berlalu meninggalkan aku terkulat-kulat seorang diri. Secara tidak sengaja, aku mengeluh perlahan. Kecewa.

Ismadi. Aku menyeru namanya dalam hati. Satu hari nanti kita akan bertemu lagi. Dan saya akan pastikan awak sukakan saya sepertimana saya dah ‘tersuka’ awak. Janjiku bersama senyuman keyakinan. Ahh, tak sabar nak tunggu hari tu!

***

Aku mengemas kertas-kertas yang berteraburan di atas meja di perpustakaan. Bersedia untuk pulang ke rumah sewa setelah beberapa jam menghadap kertas kira-kira. Penat betul otak aku mengulangkaji pelajaran. Ingatkan senang jurusan perniagaan ni. Rupa-rupanya tidak! Namun, demi masa depanku sendiri,aku harus gigih berusaha! Kejayaan ini untuk mak dan ayah! Wah, syahdulah pulak bila masuk bab mak ayah ni!

Telefon bimbit yang bergetar tiba-tiba di dalam poket seluar, mengeluarkan aku dari mood ‘syahdu’ dek teringatkan mak ayah di kampong. Skrin handphone jenama Nokia itu aku kerling sekilas. Mesej je. Tapi tetap papan kekunci itu aku tekan dan buka untuk melihat apa kandungan isi pesanan ringkas itu. Mana tahu ada hal kecemasan ke. Aku membaca mesej di telefon bimbitku sambil berjalan keluar dari perpustakaan. Ceh, mesej macam ni je yang asyik masuk ‘inbox’ aku! Marahku dalam hati.

Kesepian? Tiada tempat untuk meluahkan perasaan?Ingin bercinta? Taip ON CINTA dan hantar ke 32223.

Dalam sibuk memadamkan kandungan mesej tadi aku secara tidak sengaja terlanggar bahu seseorang. Aku angkat kepala. Spontan mataku membulat dengan besarnya! Ismadi!

“Awak!” sapaku dengan teruja. Ismadi pulak hanya menjungkitkan sebelah keningnya. Amboi, kereknya! Tapi takpe, saya suka! Hatiku dengan gediknya berbicara sendiri.

“Awak saya nak mintak…”

“Mintak maaf? Tak payah! Saya nak cepat,” potongnya sebelum sempat aku menghabiskan kata-kataku.

Aku mengerutkan dahi. Bukan itulah aku nak cakap!

“Saya bukan nak mintak maaf. Tapi nak mintak nombor phone awaklah.” Dengan selambanya aku membetulkan kata-katanya tadi.

Dia mengetapkan bibirnya. Mungkin malu. Aku pun satu, tak reti-reti nak ‘cover’ sikit kalau nak malukan orang. Bakal suami ni! Hishh! Perasan!

“Saya takde masa nak bagi nombor telefon saya kat orang yang tak dikenali. Harap maaf!” tegasnya padaku dan bergerak meninggalkanku. Jelas dia menolak!

Aku berlari-lari anak mengejarnya yang sudah masuk kedalam perpustakaan. Mata yang memerhati tidak aku peduli. Bukan aku buat bising pun!

“Awak,” panggilku dalam nada berbisik setelah Ismadi mencapai kerusi dan duduk. Raut wajahnya nyata tidak berpuas hati. Bengang agaknya sebab aku asyik mengekorinya dari luar sehingga ke dalam perpustakaan.

Buku notanya di letakkan sedikit kasar di atas meja. Kad matrik juga sudah ditanggalkannya. Dia memandang tajam wajahku. Aku menyengih sendiri. Serba salah sebab dah buat orang marah! Aku dah buat Ismadi marah!

“Awak ni kenapa ha? Asyik ikut saya je?” marahnya dalam nada perlahan.

Aku menggaru pipi yang sah-sah tak gatal. Mencari idealah kononnya.

“Eh, mana ada saya asyik ikut awak. Ini baru kali kedua saya jumpa awak tau!” dalihku tanpa rasa bersalah.

“Hish…awak ni….”

“Awak ni apa?” sambutku sedikit terpinga-pinga bila dia tidak jadi meneruskan kata-katanya.

Ismadi menggelengkan kepalanya. Dia mencapai buku notanya dan menulis. Sudah tidak mahu mempedulikan aku.

Aku membiarkannya membuat kerjanya. Sementara itu tanganku sudah mencapai kad matriknya. Aku mahu tahu jurusan apa yang sedang diambil Ismadi.

“Masscomm, broadcasting?” Tanpa disengajakan bibirku menyebut jurusannya. Serentak itu Ismadi merampas kad matriknya semula dari tanganku. Matanya merenungku tajam. Memberi amaran dalam diam!

Aku hanya menyengih. Serba salah!

“Err…awak Masscomm? Mesti awak nak kerja dengan tv kan nanti?” Soalku lalu tersenyum sendiri.

Ismadi lambat-lambat menganggukkan kepalanya secara perlahan tetapi matanya tetap pada buku notanya. Nampak sangat malas nak melayan pertanyaan aku.

“Tapi kan awak, kalau kerja dekat stesen tv ni nanti mesti busy selalu. Awak tak akan ada masa nak pilih jodoh pun apatah lagi nak kahwin. Kalau awak kahwin pun kesian isteri awak sebab kena selalu tinggal kat rumah sorang-sorang. Jadi, saya cadangkan kat awak supaya lebih baik awak jadi lecturer. Saya pun nanti nak jadi lecturer lepas habis buat master. Boleh kita sama-sama…”

“Eh…awak boleh tolong diam tak? Bising je!” jerkahnya perlahan tanpa sempat aku menyudahkan kata-kataku.

Buku nota yang dibacanya tadi pulak sudah ditutup kasar dan Ismadi sudah bersedia bangun untuk meninggalkan aku sekali lagi. Terkulat-kulat mataku melihat Ismadi beredar. Hatiku sedikit hampa. Tapi takpe, esok kan ada lagi!

HABIS sahaja kelas, aku berlari-lari menuju ke arah kafetaria. Mahu makan! Perut yang memang tak beralas apa-apa pagi tadi, sudah ‘berclubbing’ sakan minta segera di isi.

Hidangan demi hidangan aku perhatikan. Menyelerakan! Rasa macam nak makan semua sekali! Tapi malangnya, aku kena tengok bajet jugak kalau nak makan. Maklumlah, pelajar! Mana nak makan, mana nak bayar yuran, buku, assignment luar lagi.

Aku mengeluh seketika sambil memandang makanan di hadapanku ini.

“Kenapa mengeluh? Tak nak makan? Diet?” Tegur satu suara, dekat di sebelahku.

Aku segera memandangnya dan senyum. Munir!

“Aku bukan tak nak makan atau diet, tapi makanan tu yang tak nak dekat aku,” selorohku, sengaja. Menutup masalah sendiri.

Munir tertawa kecil mendengarnya sebelum berhenti dan memandangku dengan pandangan yang tidak percaya.

“Makanan tak nak dekat dengan kau? Biar lawak kau ni? Makanan kalau kau pilih lepas tu hulur duit terus ngap jelah,” ujar Munir dengan aksinya sekali. Tergeleng-geleng kepalaku melihatnya. Macam-macam!

“Apa-apalah. Aku nak makan nasi lemak jelah.” Putusku lalu mencapai bungkusan nasi lemak dan berlalu mencari tempat duduk. Malas nak melayan karenahnya lagi. Kalau layan, sampai subuh esok pun tak habis lagi.

Lima minit kemudian Munir kembali bersama dua biji pinggan dan duduk bertentangan denganku. Satu pinggan diletakkan di depannya, satu lagi di letakkan di hadapanku. Terkebil-kebil aku memandangnya. Pinggan yang berisi nasi berlauk ayam, sayur campur dan sambal sotong itu benar-benar menguji kesabaran perutku. Tapi aku tidak mahu terhutang budi dengan Munir. Dia sudah banyak menolongku. Takut nanti-nanti aku tak terbayar pulak!

“Munir, aku dah ada nasi lemaklah,”ujarku bersama rasa malu yang menebal.

“Ala makan jelah. Aku beli bukan untuk kau. Tapi untuk perut kau!” Tegasnya dan terus menyuap makanan ke mulutnya.

Aku masih diam kaku memandang pinggan yang penuh dengan lauk-pauk yang dipilih Munir.

“Nasi lemak tu kau makan petang-petang karang jelah. Kalau basi, kau claim kat aku. Sekarang makan apa yang aku dah belikan untuk kau,” katanya lagi sambil menyuakan sudu dan garfu padaku.

Aku mengangguk perlahan dan mengukirkan senyuman buat Munir sebelum menyambut huluran sudu dan garfu tadi. Tanda terima kasih. Munir membalasnya dengan senyuman yang sangat ikhlas. Itulah Munir, ikhlas dalam menolong. Terima kasih Tuhan kerana menganugerahkan aku sahabat yang sebegini.

Ketika sedang leka menikmati hidangan makan tengahari, telingaku menangkap suara yang sangat aku kenali. Siapa lagi kalau bukan Ismadi! Aku cuba mengukirkan senyuman selebarnya tatkala mata kami bertembung. Namun, malangnya Ismadi hanya memandang sepi sahaja senyumanku itu sebelum mengalihkan pandangannya pada teman-temannya yang lain.

Melihat kelompok kawan-kawan Ismadi membuatkan aku sedar yang Ismadi ini tentu popular orangnya di sekitar kampus, Cuma mungkin aku sahaja yang baru mengenalinya. Lihatlah, baru sahaja dia melintasi dari meja ke meja sudah ramai yang menegurnya. Perempuan atau lelaki sama sahaja! Malah makcik kafetaria juga menegurnya! Dasyat sungguh!

“Kalau kau minat Madi, aku nasihatkan kau lupakan sahaja minat kau tu,” kata Munir bersama renungan matanya yang tajam menikam anak mataku.

Aku mengerutkan dahi. Tidak mengerti.

“Madi budak Masscomm tu memang popular tapi penyombong! Semua budak perempuan yang tak popular tak dilayannya langsung! Dasar budak Masscomm, memang semuanya macam tu!” terang Munir dengan air muka yang tegang.

Aku tersenyum kelat mendengarnya. Sombong? Semua budak Masscomm macam tu ke? Sesetengah je yang macam tu. Aku beranggapan sendiri dan kembali menikmati makananku.

***

“Ismadi!”Aku menjerit memanggil namanya sebaik sahaja lelaki itu melintas di hadapanku untuk ke perpustakaan.

Aku berlari-lari anak mendapatkannya bersama senyuman lebar. Malangnya, senyumanku itu tidak bertahan untuk jangka masa yang lama setelah mataku terpandang seorang gadis yang sibuk memeluk lengannya. Pakaiannya? Subhanallah! Seksi yang teramat! Agaknya perempuan macam itulah yang Ismadi suka! Dalam tak sedar aku mengeluh sambil memandang diri sendiri. Sungguh aku tak layak! Tapi, apa salahnya mencuba lagi?

Aku memandang Ismadi, dia juga memandangku bersama jelingannya. Gadis yang bersamanya turut menghadiahkanku renungan tajamnya. Sehati sejiwa betul pasangan ini! jeling-menjeling pulak! Tapi itu tidak akan mematahkan semangatku untuk terus mendekati Ismadi. Lantas aku menghampiri mereka.

Aku bertekad untuk meluahkan isi hatiku hari ini, walaupun di depan gadis yang bersamanya sekarang.

“Apa yang awak nak ni?” Ismadi sudah bercekak pinggang. Keras nada suaranya menyoalku.

“Madi, perempuan ni ke yang you cakap tu?” Soal gadis di sebelahnya, memandangku dari atas sehingga ke bawah sebelum mencebikkan bibirnya.

“Saya…”

“Saya apa?” Jerkah Ismadi padaku. Terkedu aku mendengarnya.

“Saya nak…err…bagitahu yang….ss…sa…saya…su…suka awak!”Luahku dengan tergagap-gagap sebelum tersengih, malu-malu. Gadis di sebelah Ismadi ketawa besar mendengarnya. Ismadi pulak mengetap bibirnya geram.

“Awak ni gila!”

Aku membulatkan mata. Sampai hati dia kata aku gila. Aku Cuma suka kat dia. Itu pun salah ke?

“Tak baik awak cakap macam tu. Saya tak gilalah,” balasku dengan air muka yang mendung.

“Kalau awak tak gila, habis awak apa? Meroyan?” tengkingnya lagi. Hampir menitis air mataku mendengarnya. Nasib baik kepala aku dari tadi menunduk, memandang tanah. Kalau tidak mesti kantoi!

“Sudahlah! Ini amaran terakhir saya. Jangan ekori saya. Tolonglah cermin diri tu sikit! Dah lah tak cantik! Cermin mata tebal, macam nerd! Ada hati nak jadi makwe saya. Tiang lagi cantiklah dari awak tau!” herdiknya lalu meninggalkan aku terkulat-kulat sendiri. Air mata yang tadi Cuma bertakung di tubir mata, akhirnya gugur di pipiku.

Sedihnya hati! Awak jahat! Ayat-ayat yang keluar dari mulut awak macam pisau. Tajam ! Ada ke patut samakan saya dengan tiang!Tapi nak buat macam mana, saya tetap suka awak sampai bila-bila. Sebab awak crush kita, walaupun tak ada tempat di hati awak untuk mengangkat saya menjadi cinta awak.

SEJAK kejadian cintaku ditolak itu, aku tidak lagi bertemu dengannya apatah lagi ‘sengaja’ mahu berjumpa dengannya seperti yang selalu aku lakukan dulu-dulu. Hidupku kini hanyalah belajar! Tambahan, final exam kian menghampiri. Ini adalah tahun akhir aku dan aku berjanji yang ini adalah kali terakhir jugak aku bersama dalam satu tempat yang sama dengan Ismadi.

Benar apa yang dikata Munir tentang Ismadi. Sombong! Dan biar aku tambah lagi, suka menjatuhkan maruah orang! Itulah Ismadi di mata aku sekarang. Walaupun, aku masih sukakan dia, tapi untuk kembali ‘mengejar’ lelaki itu setelah segalanya ‘jelas’, itu bukan aku! Aku perempuan yang masih bermaruah! Aku akan ‘berhenti’ bilamana hati aku sendiri memintanya untuk ‘berhenti’.

Aku kembali senyum bila melihat Munir datang menghampiriku. Lelaki itu tidak tahu apa yang terjadi antara aku dan Ismadi dan aku lebih selesa begitu.

“Kau tahu tak?” Soal Munir sebaik sahaja dia melabuhkan duduknya di kerusi.

Aku mengerutkan dahi. Tahu apa?

“Apa?”

“Madi accident. Orang kata cedera parah. Sekarang kat ICU lagi. Aku dengar lagi, dua-dua buah pinggang dia tak boleh berfungsi akibat accident tu. Sekarang, tengah tunggu penderma yang sesuai,” kata Munir lagi dengan nada suara yang serius.

Aku melepaskan keluhan berat. Sangat berat sehingga ingin bernafas kembali pun terasa sukar! Oh Tuhan, jangan Kau cabut nyawa Madi!

***

Enam tahun berlalu…

Pemandangan sawah yang menghijau sedikit sebanyak menenangkan fikiranku. Wajah emak dan ayah yang begitu mengharap, terlayar di mataku. Sungguh aku tidak pernah menghampakan mereka seumur hidupku. Dari dulu sehingga kini. Aku rela berkorban untuk melihat mereka tersenyum.

Aku tahu mereka melakukan keputusan itu demi masa depanku. Aku faham kebimbangan mereka. Anak sulung dari empat beradik, perempuan pula tu tapi masih belum mendirikan rumah tangga pada usia di hujung 20-an. Malah, adikku yang kedua juga sudah mendirikan rumah tangga. Jadi keputusan mereka menerima pinangan itu memang tepat. Aku tiada masalah dengan keputusan mereka meminta aku untuk berkahwin.Tapi masalahnya adalah orang yang hendak berkahwin dengan aku itu!

“Assalamualaikum,”

Aku berpaling demi mendengar suara yang memberi salam padaku tadi serentak aku menjawab salamnya sebelum kembali memandang sawah padi yang terbentang. Lelaki itu dengan bersahaja melabuhkan duduknya di sisiku. Rapat, sehingga bahu kami saling bersentuhan.

“Jauh termenung? Ingatkan saya?” Soalnya, lembut menampan di telingaku.

Aku tidak menjawab persoalannya apatah lagi memandangnya. Gentar melihat raut wajah yang sudah enam tahun tidak aku temui. Masih kacak dan masih mampu menggentarkan hati wanitaku. Untuk seketika, kami saling mendiamkan diri.

“Kenapa Ismadi?” Aku bersuara setelah agak lama menyepi.

“Kenapa apa?” Dia menyoal kembali. Dapat aku rasakan yang dia sedang merenung wajahku. Cukup dalam.

“Kenapa awak datang kembali dan mahu menikahi saya? Apa niat awak yang sebetulnya?”Aku terus ke punca soalan. Aku tidak mahu menunggu dan saling tarik tali demi sebuah pertanyaan.

Dia berdehem beberapa kali. Mungkin membetulkan kotak suaranya dan mungkin juga terkejut dengan soalanku.

“Saya tak akan memberitahu jawapan pada persoalan awak tu sehingga kita sah sebagai suami isteri,” jawabnya, mudah dan nampak seperti mengelak.

Aku mendengus perlahan. Sungguh aku tidak tahu bahawa lelaki di sebelahku ini cukup bijak ‘bermain’ tarik tali.

“Saya perlu jawapannya sekarang!” Tegasku dengan suara yang sedikit tinggi.

Ismadi tertawa kecil. Aku jadi sakit hati.

“Sabar sayang. Majlis kita tinggal lagi seminggu,” ujarnya, tenang.

Aku mengetap bibir. Geram! Geram dengan jawapannya dan geram dipanggil sayang. Entah sayang entah tidak!

“Sebab tinggal lagi seminggulah saya nak tahu. Saya tak nak hidup dalam tanda tanya selama seminggu ni!” Bentakku tanpa sedar dan berdiri menghadapnya.

Raut wajah Ismadi yang suram menyapa pandangan mataku.

“Awak dah berubah!” katanya dalam nada mendatar bercampur kesal.

“Apa yang berubahnya? Awak tak kenal saya pun, macam mana awak boleh kata saya dah berubah? Jangan beritahu saya, yang awak kenal saya sangatlah! Dulu, saya bodoh sebab pernah suka kat awak! Terkejar-kejar nak berkawan dengan awak. Tapi sekarang awak dah takde dalam hati saya. Dan itu satu-satunya yang berubah dalam diri saya. Saya dah tak suka awak!” Tekanku, bersungguh.

Ismadi sedikit tersentak. Namun, segera dia mengaburiku dengan senyumannya. Aku pula yang tergamam melihatnya. Subhanallah! Sungguh indah ciptaanMu ini Ya Allah! Tidak pernah aku melihat senyumannya selama aku tergila-gila mahu memikatnya dulu!

“Saya percaya saya mampu membuka kembali hijab cinta yang pernah awak buka untuk saya suatu ketika dulu. Dengan izin Allah, cinta awak tetap milik saya sehingga Jannah,” ujarnya tenang dan bersahaja sebelum berlalu meninggalkan aku.

Aku yang mendengarnya seolah-olah terpujuk mendengar bicaranya yang mendamaikan. Ya Allah, adakah dia takdirku?

EMAK sibuk merias bilik tidurku untuk hari bersejarahku itu. Terpancar sinar kegembiraan pada raut wajah yang semakin dimamah usia itu untuk menyambut bakal menantunya dalam masa terdekat ini.

“Suraya Nafissa,” Panggil mak, lembut.

Aku menghadiahkan senyuman pada mak. Malu mula menerpa diri bila mak mencuit daguku. Rasa diperlakukan seperti anak kecil pula! Walaupun usiaku hampir mencecah 3 series.

“Suraya ada masalah?” Tanya mak, prihatin.

Aku segera menggeleng.

“Mak tahu, mesti anak mak ni berdebar kan?” teka mak.

Aku Cuma tersenyum. Tidak mahu berkata lebih-lebih.

“Biasalah tu. Mak dulu pun berdebar-debar. Maklumlah, nak hidup bersama orang yang bakal sehidup dan semati. Untuk sepanjang hayat pulak tu,” tambah mak bersama senyuman.

“Mak,” panggilku.

“Hmmm,”

“Macam mana nak menggapai bahagia dalam sebuah perkahwinan?” Aku bertanya.

Mak senyum lagi sebelum menjawab.

“Suraya, bahagia itu ada dalam diri kita. Antara kita je pandai atau tak nak mencari dan memanfaatkannya,” jawab mak.

Aku terdiam mendengarnya. Perlukah aku mencari bahagia dalam diri aku untuk Ismadi? Sedangkan bahagia miliknya belum tentu buat aku.

***

Aku pandang wajah Ismadi yang sedang tidur. Kepenatan kerana menggosok periuk belanga petang tadi. Raut wajah yang suatu ketika dahulu aku minat separuh nyawa, kini sudah sah menjadi milik aku pagi tadi. Mimpikah aku? Jika bukan mimpi, ini tentu halusinasi!

Lantas aku mencubit pipi, cuba menyedarkan diri dari mimpi dan halusinasi ini. Sakit! Maknanya aku tidak bermimpi mahupun berhalusinasi!

“Sayang,” Aku tersedar dari lamunanku pabila suara Ismadi memecah keheningan kamar peraduan kami. Dia sudah bangun!

Lelaki itu perlahan menarik tanganku supaya melabuhkan dudukku di birai katil, di sebelahnya. Dia senyum. Aku sekali lagi terpana dengan senyumannya!

“Abang bersyukur yang sayang…”

“Madi, saya tak nak tahu hal lain. Saya Cuma nak tahu apa sebab awak beria sangat nak kahwin dengan saya. Awak dah janji nak beritahu bila kita dah sah jadi suami isteri. So, tell me now!” Potongku sebelum dia sempat menghabiskan bicaranya tadi.

Ismadi menghantar pandangannya yang dalam menerusi matanya padaku. Ada apa sebenarnya yang dia mahu sampaikan dengan bicara matanya itu?

Aku bangkit, menjauh dari tubuh itu. Aku tidak mahu terus direnung begitu. Serentak itu juga Ismadi bangun dan berdiri, mengikutku.

“Terima kasih,” ucap Ismadi sebagai pemula.

Aku mengerutkan dahi. Terima kasih?

“Untuk apa?” Soalku tidak sabar.

“Selamatkan nyawa abang. Kalau tak kerana buah pinggang yang sayang derma tu mesti abang tak akan ada pada hari ini,” terangnya.

Aku terkejut! Dia tahu? Siapa yang jadi tukang penyampainya?

“Kalau tak kerana Munir, abang tak akan tahu sampai sekarang siapa yang derma buah pinggang tu,” tambahnya lagi seakan mengerti kata hatiku.

Munir! Aku mengetap bibir. Fahamlah aku yang dia Cuma terhutang budi! Aku diam untuk seketika sebelum kembali berkata.

“Terhutang budi awak nikahi saya. Angkat taraf saya jadi seorang isteri kerana saya dah selamatkan nyawa awak. Kalau tidak, saya hanyalah perempuan yang merimaskan awak. Perempuan yang awak kata gila! Meroyan!” ujarku. Lirih. Pedih!

Ismadi diam.

“Sudahlah Ismadi. Kita teruskan hidup masing-masing seperti sebelumnya. Kalau sudah sampai masanya yang awak rasa saya patut dilepaskan, awak lepaskan saya,” luahku tanpa perasaan.

Ismadi segera merapatiku. Memegang lenganku erat.

“Tiada istilah ‘lepas’ dalam perkahwinan kita Suraya Nafissa! Tak akan pernah ada! Abang cintakan sayang sepe…”

“Jangan!” Aku sekali lagi mencantas bicaranya.

“Jangan cintakan saya Ismadi! Jangan pernah cintakan perempuan yang pernah terkinja-kinja mengejar awak seperti tiada maruah ni hanya kerana budi. Jangan!” sambungku sambil cuba melepaskan pegangan tangannya. Mataku sudah pedih menahan air mata dari mengalir.

Ismadi memandangku tajam.

“Baik!” kata Ismadi tiba-tiba.

Aku meneguk air liur. Adakah dia akan melepaskanku sekarang?

“Kalau itu yang awak rasa dulu, saya Megat Ismadi Megat Izman akan menjadi seperti lelaki yang tiada maruah, akan terus mengejar cinta dari isterinya sampai bila-bila! Bukan kerana budi tapi kerana cinta !” tambahnya seperti bertekad!

Terkedu aku mendengarnya. Serentak itu Ismadi melepaskan tangannya dariku dan keluar dari bilik. Membiarkan aku dengan perasaan yang bercampur baur.

AKU menutup diari usang milikku dan meletakkannya kembali ke dalam laci sebaik sahaja Ismadi masuk ke dalam bilik. Lelaki itu terus menuju ke katil dan baring di situ. Demi melihat lelaki itu memejamkan matanya, aku segera merapati suis lampu dan ingin menutupnya. Namun belum sempat aku menekan suis tersebut, Ismadi menegahku dari berbuat demikian.

“kenapa?” Tanyaku sepatah.

“Err…abang ada kerja nak buat sekejap lagi. Takut kalau tutup lampu semua, terlelap terus,” terangnya sedikit teragak-agak.

Aku mengangguk dan berlalu ke almari dan mengambil gebar untuk mengalas tubuhku di lantai. Ismadi yang melihat perbuatanku, segera bangun dari pembaringannya dan merampas gebar tersebut.

“Kalaupun sayang tak bersedia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, tolong…tolong jangan tidur macam ni. Jangan jauhkan lagi jarak antara kita,” Suara Ismadi kedengaran sayu di telingaku.

Aku mengerutkan dahiku. Kalau dia tak mahu aku tidur di lantai, jadi dia mahu aku tidur di mana? Di luar rumah? Dalam kereta?

“Habis awak nak saya tidur kat mana?” Soalku dengan suara sedikit tinggi, sakit hati.

“Tidur di mana seorang isteri sepatutnya tidur! Di sini !” Sambutnya dan menarikku duduk di birai katil.

“Awak tak kisah ke?” Aku bertanya dengan sarkastiknya.

Ismadi cepat-cepat menggeleng.

“Langsung tak kisah! Seronok adalah!” jawabnya dalam nada gatal.

Aku mendengus perlahan sebelum mencuba untuk bangun. Tapi tidak Berjaya kerana dia segera memelukku dan membaringkan badan kami sama-sama di atas katil.

Aku meronta-ronta mahu melepaskan diri. Namun tidak Berjaya! Lelaki itu terus memelukku kejap.

“Madi!” marahku.

“Tidur. Esok kita gaduh lagi,” katanya lalu mengeratkan lagi pelukannya.

Aku mengetap bibir. Perasaanku saat ini semua ada! Sakit hati. Geram. Tertekan. Malu. Semuanya bercampur kerana lelaki ini!

***

Sebaik sahaja cuti semester berakhir, aku kembali bertugas sebagai pensyarah, tempat di mana aku pernah bergelar pelajar suatu ketika dahulu. Tempat yang menyaksikan jatuh bangunku sebagai pelajar dan tempat yang mengingatkan aku betapa bodohnya aku kerana mengejar cinta orang yang tidak pernah menyukai aku!

Suasana di sini masih sama seperti dahulu, Cuma statusku sahaja sudah berbeza. Dulu aku pelajar. Kini, tenaga pengajar pula! Kadang-kadang aku rasa mahu tergelak memikirkannya. Tapi itulah hidup! Rela atau tidak, kita pasti akan kembali ke tempat di mana bermulanya kita, seperti kisah aku dan Madi.

“Assalamualaikum Cik Suraya,” tegur suatu suara. Aku berpaling dan perlahan mengukirkan senyuman.

“Waalaikumussalam, Azman.” Aku menjawab salam daripada pelajarku itu.

Azman pelajar tahun akhir Jurusan Perniagaan dan salah seorang pelajar yang cemerlang. Apabila aku melihat Azman, aku seperti melihat refleksi diriku lapan tahun lepas. Selalu dan terlalu gigih menimba ilmu. Cuma mungkin Azman tidak sebodohku dalam mengejar cinta. Itu bezanya aku dan Azman. Dan aku berharap dia tidak akan pernah melalui perasaan diperbodohkan sepertiku dalam soal hati dan cinta!

“Cik Suraya apa khabar?” Soalnya bersama senyuman.

“Baik, Alhamdulillah,” jawabku, tenang.

Setelah berbual untuk beberapa minit, Azman meminta diri. Tanpa membuang masa aku berdiri dari dudukku dan berpaling ingin keluar dari ruang kafetaria yang semakin sesak dengan pelajar-pelajar.

“He likes you!” Tegur satu suara yang aku sangat kenal.

“Apa awak buat kat sini?” Aku bertanya. Malas mahu memanjangkan pernyataan yang baru sahaja Ismadi buat. Pernyataan yang berbaur cemburu! Tapi benarkah dia cemburu?

Ismadi memeluk tubuhnya. Masih memandangku tajam. Aku tahu dia mahukan penjelasanku tentang hubunganku dengan Azman.

“Dia pelajar saya Ismadi. Ada apa awak ke sini?” Sekali lagi aku bertanya sekaligus ingin mengubah topik perbualan kami.

Ismadi menarik kerusi dan melabuhkan duduknya di situ. Aku mula menebarkan pandanganku di segenap kafetaria. Sah! Beberapa pelajar perempuan mula memandang ke arah kami. Aku faham, kehadiran Ismadi pasti menarik perhatian pelajar-pelajar perempuan di sini. Siapa sahaja tidak tertarik dengan penampilan lelaki itu yang kacak dan bergaya. Seperti aku suatu ketika dahulu.

“Awak bangun. Kita bincang kat tempat lain,” Arahku lalu menarik lengannya.

Ismadi akur dengan permintaanku. Tidak mahu lebih ramai mata memandang, aku membawa Ismadi ke ruangan pejabatku.

“Awak ke sini kenapa?” Tanyaku untuk kesekian kalinya.

“Abang kerja kat sini,” jawabnya selamba tapi cukup untuk buat aku ternganga. Dia apa? Kerja kat sini?

“Apa awak kata?” Aku menginginkan kepastian. Mana tahu aku salah dengar.

“Abang pensyarah Broadcasting kat Fakulti Masscomm. Kenapa? Ada masalah ke sayang?” Terang Ismadi lebih terperinci bersama senyumannya.

Aku mengurut dahiku perlahan. Ahh, peningnya! Sudahlah aku harus jumpa lelaki itu di rumah, kini di tempat kerja jugak! Aduh!

“Sayang okey?”

“Apa motif awak ni? Awak nak kawal hidup saya ke?” Terjahku, keras.

Ismadi kembali memeluk tubuhnya. Bertenang.

“Bukan mengawal, tapi abang nak mengejar cinta dari wanita yang pernah abang siakan cintanya suatu ketika dulu. Kita mula semula di tempat semuanya bermula,” ujarnya bersahaja.

Aku terdiam mendengarnya. Mula semula?

“Lagi satu, abang tak nak sayang layan budak yang jumpa sayang tadi. I knew that he likes you more than just a lecturer. Pesan dia, kalau tak nak muka yang handsome tu pecah, jangan kacau wanita kepunyaan abang,” Ismadi menitip amaran buat Azman melalui aku. Keras sahaja suaranya.

Terkedu aku mendengarnya dan bertambah terpana pabila dia bangun dan menundukkan badannya sedikit sebelum bertindak mengucup lembut dahiku!

“Abang gerak dulu. Ada kelas. Nak balik text abang dulu,” pesannya sambil melemparkan ‘flying kiss’nya padaku dan keluar dari ruangan pejabat ini.

Aku memegang dadaku sebaik sahaja bayangan Ismadi menghilang. Dup..dap…dup…dap…Alahai hati, janganlah mudah sangat cair!

“SURAYA,” Tegur Maisarah, rakan setugasku yang merupakan seorang pensyarah bagi subjek Statistik.

“Apa?”

Maisarah mengambil tempat, bertentangan dengan dudukku. Wajahnya berseri-seri! Mungkin ada berita gembira.

“Kau nak tahu, Fakulti Masscomm, Bahagian Broadcast ada pensyarah lelaki baru. Hot gila!” Maisarah memulakan ceritanya.

Aku mengerutkan dahi. Ismadi ke?

“Aku terserempak dengan dia masa aku nak pergi ajar statistic dengan kelas masscomm, lepas tu sempatlah sembang-sembang sikit. Suara dia…tergoda aku!” Semangat Maisarah bercerita.

“Hmm,” balasku langsung tidak berminat. Sudah aku tahu, Ismadi pasti akan menjadi ‘kegilaan’ perempuan walau di mana pun dia berada.

“Hmm je?” tegur Maisarah. Pelik.

Aku mengangkat bahu. Malas mahu memanjangkan cerita dengan Maisarah yang mudah sangat ‘jatuh cinta’.

“Tapi kan dia bagitahu aku dia dah kahwin. Isteri dia ada mengajar kat sini jugak,” Suara Maisarah kedengaran sayu secara tiba-tiba.

Aku lihat air mukanya juga sudah bertukar mendung. Sedih kerana Ismadi sudah berkahwin. Dan aku yakin dia pasti akan lebih sedih jika tahu akulah isteri Ismadi. Wanita yang biasa-biasa sahaja mukanya ini, berbanding Maisarah yang cantik jelita!

Aku menepuk perlahan tangan Maisarah. Memujuk.

“Banyak lagi lelaki lain,”ujarku senada. Dan… Maisarah mengangguk lalu tersenyum kembali. Mudah benar ‘mood’nya berubah. Maisarah…Maisarah…

***

“SAYANG!” Ismadi menegurku sebaik sahaja kakinya menjejak lantai dapur. Lelaki itu baru sahaja pulang dari kerja. Aku berpaling memandang raut wajahnya yang jelas kepenatan. Dia melabuhkan duduknya di ‘bar chair’ yang terdapat di sudut dapur rumah sebelum mengukirkan senyumannya.

“Lagi lima hari, student abang akan buat event sempena Hari Kekasih. Abang yang handle event tu. Sayang datang ye,” ujar Ismadi. Ceria!

Aku pentas menggeleng. Tidak setuju. Masakan aku perlu menyemak di Fakulti ‘glamour’ itu semata-mata suamiku merupakan pensyarah yang mengendalikan event mereka. Aku bukan ‘biased’ sesama fakulti lain, Cuma aku seorang yang ‘low profile’, tidak gemarkan ‘gimik’ dan suasana ‘havoc’. Tambah-tambah nak sambut Hari Kekasih! Lagilah aku tak nak! Nampak benar Ismadi ini tak ‘sensitif’ dalam isu-isu yang melibatkan agama!

“Saya tak sambut Hari Kekasih. Tak elok! Lagipun, saya tak suka suasana riuh rendah.” Aku memberi alasan tanpa memandang muka Ismadi.

Ismadi mengeluh perlahan.

“Kalau kena pada cara dan tujuannya tak salahkan? Perkataan ‘kekasih’ tu bukan umumnya untuk manusia je. Bukan untuk yang ada teman lelaki atau wanita. Suami isteri pun masih dikira kekasih lagi. Malah ,‘kekasih tu boleh jadi jugak untuk Pencipta kita, tumbuh-tumbuhan dan makhluk lain.” Ismadi menegakkan pendapatnya.

Aku berfikir sejenak.

“Awak tak tengok lagi, awak dah judge yang bukan-bukan. Buruk benar pelajar Masscomm pada pandangan awak ye Suraya Nafissa. And for your information Valentine Day tu dah sebulan lebih berlalu,” tambah Ismadi sebelum bangun meninggalkan aku sendiri bersama rasa bersalah.

***

Aku terpinga-pinga melihat jambangan bunga yang terletak elok di atas meja pejabatku. Ros putih! Lambang kesucian sebuah perhubungan! Tapi siapa pulak yang bagi ni? Atau budak bunga salah hantar? Aku perlu tahu kepada siapa dan untuk siapa bunga itu ditujukan.

Lalu jambakkan bunga itu aku belek-belek, mencari kad kiriman dari pengirim. Jumpa! Kad berwarna pink itu aku buka dan baca isi kandungannya dengan rasa ingin tahu yang menebal.

Untuk wanita kesayangan abang,

Abang rela dilukakan oleh dirimu walau sejuta kali pun

Demi cinta yang pernah abang siakan keikhlasannya…

Maafkan abang…

your hubby, Ismadi

Aku melepaskan keluhan beratku. Serba salah. Aku yang tersalah kata, dia pulak yang memohon maaf dulu. Ismadi… Aku menyeru namanya dalam hati. Betulkah dalam hati kau Cuma ada aku? Layakkah aku untuk dicintai lelaki sehebat kau? Ahh, runsing aku memikirkannya!

Perlukah aku menghadiri event pelajar Ismadi itu sebagai tanda meminta maaf? Untuk meluahkannya dalam bentuk perkataan aku tidak mampu! Egoku masih tinggi melangit! Hatiku masih belum ‘kebah’ dari sakitnya dilukai dan dimalukan!

Bunyi tefon mengembalikan aku ke alam realiti. Lantas nama pemanggilnya aku baca dalam hati. Ismadi!

“Sayang! Lunch jom!” Ajak Ismadi dengan suara ceria! Baik sungguh ‘angin’nya! Kalau dulu bila aku mendekati, lelaki itu seperti ‘puting beliung’ tak diramal!

“Hmm,” jawabku. Bersetuju. Ini pun sebagai tanda ‘i’m sorry’ aku padanya. Kalau tidak, aku tidak mahu keluar makan dengannya walau sekali! Bimbang di’serang’ peminat-peminat tegarnya.

“Yes! Err..sayang dapat tak bunga yang abang bagi tu?” Tanya Ismadi sedikit teruja.

“Hmm. Terima kasih,” balasku senada. Tidak mahu lelaki itu sampai boleh membaca emosiku di sebalik pemberiannya itu.

“Sama-sama kasih sayang! Okeylah, abang letak phone dulu. Lagi sepuluh minit i’ll pick you up. Assalamualaikum sayang,” ucap Ismadi diakhir perbualan kami.

Aku menjawab salam yang diberi di dalam hati. Tanpa sedar aku mengukirkan senyuman. Sekali lagi. Senyuman yang hampir enam tahun ‘mati’ kerana lelaki itu sekali lagi…

AKU mengerutkan dahi bila Ismadi menghalang tanganku dari mengambil lauk ikan keli masak berlada itu.

“Sayang makanan ni pedas,” katanya ringkas.

“So?” Aku menyoal, hairan.

“Sayang tak boleh makan,”

“Kenapa pulak? Saya lapar ni Madi. Nanti saya makan awak baru awak tahu,” bentakku tanpa sedar.

Ismadi senyum menggoda.

“Abang lebih rela sayang makan abang dari sayang makan ikan keli pedas ni.” Ismadi berkata lembut.

Aku mengecilkan mata. Mengada betul!

“Sayang, abang bukan tak bagi sayang makan tapi sayang kalau makan benda pedas, lepas tu confirm masuk tandas sepanjang hari,” terangnya selamba membuatkan mukaku diserang bahang. Harusnya wajahku sudah merah terbakar akibat malu!

Aku tidak tahu pula dia sedar tentang ‘kelemahanku’ yang satu itu. Aku memang tidak tahan pedas. Tapi aku betul-betul suka makanan pedas!

“Sekarang ambil sayur-sayur ni. Makan. Lebih baik kurangkan pedas. Banyakkan makan sayur-sayuran. Takdelah merana dikemudian hari.” Ismadi meletakkan sayur goreng ke dalam pingganku sambil memberi ‘syarahan’nya. Tak pasal-pasal aku menjadi ‘student’nya bagi subjek kesihatan dan pemakanan untuk hari ini.

Aku mencebikkan bibir tanda protes.

“Buat mulut macam tu, abang kiss karang. Sayang jugak yang merah sana-sini. Malu!” sakat Ismadi sambil mendekatkan mukanya ke mukaku. Segera aku menjauh dari dirinya bersama pingganku yang penuh dengan sayur!

Ismadi gelak sakan melihat aksiku itu. Hey, tak lawaklah! Jerit hatiku.

Sedang aku dan Ismadi menikmati selera, kami di sapa satu suara yang amat aku kenali dari belakang. Aku berpaling dan tanpa sedar mataku membesar dengan jayanya!

“Munir!” Aku hampir terjerit melihat Munir di hadapan mataku kini. Sahabat susah senang yang hampir enam tahun tidak aku jumpa!

“Whoa! You look so great lah Suraya Nafissa,”puji Munir bersama sengihan lebarnya.

“Kau pun! Handsome lah kau sekarang! Dulu berhingus je!” Usikku bersama ketawa.

“Berhingus kau cakap? Nak kena lah ni!” Munir berpura-pura marah.

“Hei, duduklah aku belanja kau makan?” pelawaku bersungguh hampir-hampir terlupa dengan kehadiran Ismadi sehinggalah lelaki itu berdehem.

“Wah, look what we have here, Tengku Ismadi,” sapa Munir lalu melemparkan senyuman buat Ismadi.

Ismadi pulak hendak tak hendak je membalas senyuman itu.

“Dah jadi pakwe kau ke Suraya?” Soal Munir sedikit sarkastik dipendengaranku tapi aku bertindak seperti tidak mendengar soalannya tadi. Munir…biasalah!

“Suami!” Ismadi membetulkan segala persoalan yang timbul dibenak Munir sekaligus menjawab soalan yang ditujukannya kepadaku tadi.

“Eh, duduklah. Makan sekali.”Aku sekali lagi mempelawa Munir menyertaiku menjamu selera. Aku tidak mahu mencipta suasana tegang antara Ismadi dan Munir.

Munir menggeleng seraya senyum.

“Lain kalilah. Aku ada hal. Ini nombor phone aku yang baru. Ada masa call aku tau,” pesan Munir lalu meletakkan business card miliknya atas meja sebelum pamit.

Aku kembali menikmati makanan aku seperti sebelumnya. Bezanya, aku lebih gembira setelah berjumpa kembali dengan Munir setelah sekian lama. Senyuman masih tidak putus dari bibirku.

“ I really want to see this kind of face when we both are alone. Can i have that kind of opportunity? To see you one more time, smile and talk just like you did to Munir?” Ismadi mula berbicara setelah Munir berlalu. Bicaranya kedengaran sayu!

Aku angkat muka. Ismadi tepat memandangku! Menanti jawapan daripada aku.

Perlahan aku melepaskan keluhan.

“Dulu, awak paling istimewa dalam hati saya. Lagi istimewa dari Munir.”Aku membalas tanda tanyanya di fikirannya itu.

“Sekarang?” sambutnya pantas.

Aku diam. ‘Susah’ benar soalannya kali ini. Namun, aku benar-benar tiada idea untuk menjawab soalannya itu untuk masa terdekat ini. Sungguh aku tidak tahu!

***

Jam tangan milikku pastinya tidak salah menandakan waktu dan tarikhnya. Akhirnya, hari para pelajar Ismadi mengadakan event tiba jua. Mahu tidak mahu, terpaksa jugak aku gagahkan diri menghadiri event tersebut.

Aku tidak mahu Ismadi berkecil hati denganku gara-gara permintaan kecilnya ini tidak aku penuhi. Sudahlah aku tidak pernah menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang isteri dengan sepenuhnya! Itu pun sudah cukup untuk me’rebeh’kan bahuku yang sudah sedia terpikul dengan dosa-dosa lain ini.

Suasana di sekitar Fakulti Komunikasi dan Media yang sedia meriah bertambah berseri dengan event yang dikendalikan oleh suamiku itu. Ramai sungguh pelajar yang datang! Aku tidak sangkal, pelajar Komunikasi memang semuanya saling menyokong antara satu sama lain. Buktinya event ini!Semua pelajar turun padang!

‘UntukMu Kekasih’. Aku membaca tema event malam ini. Islamik rupanya! Benar kata Ismadi, perkataan kekasih itu bukan hanya untuk pasangan kekasih sahaja, tapi boleh jadi jugak untuk pasangan suami isteri, makhluk dan tumbuhan tapi yang paling penting untuk Kekasih yang satu, pencipta sekalian alam, Allah S.W.T.

Sepanjang event itu berlangsung, pelbagai perisian yang aku perolehi. tak rugilah aku merendahkan ego, datang ke event ini.

Bunyi telefon bimbit yang menjerit-jerit itu segera aku angkat. Skrin aku pandang sekilas. Oh, suami aku!

“Sayang datang? Thank you so much! Sayang jangan balik dulu, okey. I have surprise for you!” Ismadi berkata dengan nada terujanya.

Dalam sedar, aku tersenyum sendiri. Dia gembira aku menghadiri eventnya malam ini. Tapi aku tidak mahu terus tenggelam dengan semua ini. Lalu aku berdehem beberapa kali.

“Hmm…cepat! saya nak balik,” balasku dalam nada tegas.

“Okey sayang!” Serentak itu Ismadi mematikan talian kami.

Aku menggeleng kepala. Sampai bila aku nak buat Ismadi begini? Mengejar cinta aku! Jika orang luar yang memandang kami, pasti dia akan mengatakan aku seorang wanita yang kejam! Membiarkan seorang suami, ‘lelah’ meraih cinta dari isteri sendiri.

Ya Allah, patutkah aku menghentikan permainan ini? Bermula semula seperti yang Ismadi mahukan? Aku tertanya sendiri.

“Miss,”

Aku berpaling.

“Sir Ismadi mintak sampaikan kad ni pada miss,” ujar pelajar lelaki itu. Mungkin pelajar Ismadi.

Aku senyum dan mengambil sekeping kad yang di suakan pelajar tadi. Lambat-lambat aku membuka kad itu sebaik sahaja pelajar itu berlalu.

UntukMu kekasih halalku,

My crush until Jannah,

Suraya Nafissa…

Suamimu, Tengku Ismadi…

Serentak itu, telingaku menyapa suara yang sungguh merdu mengalunkan lagu nyanyian kumpulan Indigo itu. Aku tercari-cari pemilik suara itu di sekitar pentas itu. Suara yang pernah aku dengar!

Suraya
Seperti mana kau dan mentari
Pengemis ini meminta
Serangkaian cahaya
Hatimu Suraya

Suraya
Bentangkan sinaranmu disini
Lembah hatiku gelita
Rinduku tiada terhingga
Padamu suraya

Kadangkala
Perkataan
Hanya merunsingkan sahaja
Kelu tak berbahasa
Hanya lilin hidupku menyala
Dan mengapa
Berkali ku biarkannya
Datang dan pergi semula
Semakin lama…

Suraya
Suatu masa dulu ku bahagia
Walaupun seketika
Ku masih percaya
Padamu Suraya

Demi terpandangkan wajah Ismadi yang keluar dari pentas sambil memegang mikrofon, air mataku merembes keluar. Lelaki itu terus menyanyikan lagu yang bertemakan nama milikku itu bersama matanya yang tidak lekang dari memandangku.

Fahamlah aku, bait-bait lagu itu memang ditujukan khas untukku! Air mata terus mengalir. Terharu dan sebak bercampur baur! Hanya lelaki itu sahaja yang mampu menjatuhkan air mataku dengan sebegini teruk! Dari dulu sehingga sekarang!

Sejurus selesai menyanyi, Ismadi masih berdiri di atas pentas. Masih tetap merenung ke dalam mataku.

“I love you Suraya Nafissa!” ucapnya penuh romantik. Serentak itu tepukan gemuruh melatari ruangan pentas ini.

Aku menekup mulut dengan telapak tangan. Terharu, gembira dan malu. Semua ada! Rasa seperti dalam novel pula!

“Sayang terharu!” ujar Ismadi sebaik sahaja dia turun dari pentas.

Aku senyum seraya mengangguk.

“Cara abang pikat sayang lagi romantik dari sayang dulu kan?” usiknya bersama ketawa kecil.

Aku mengangguk lagi.

“Sayang terima tak cinta abang?” Soalanya lagi.

Aku sekali lagi mengangguk.

“Hei, mana pulak suara sayang abang ni? Terharu sangatlah tu! Dengar suara abang yang super sedap ni,” Ismadi membangga diri.

“Ya Allah perasannya!” Akhirnya aku bersuara.

Ismadi senyum sebelum meraih tanganku dan mengucupnya.

“Terima kasih. Abang janji, dengan izin Allah abang tak akan pernah siakan cinta sayang sehingga syurga sekalipun,” janji Ismadi sambil merenung tepat ke anak mataku.

Aku tersenyum. Bahagia. Cukuplah setakat ini aku menyeksa hatinya. Membiarkan dia mengejar cintaku yang memang sudah sedia ada untuknya. Menyeksa hatiku sendiri dengan menyatakan yang cintaku untuknya sudah mati. Cukuplah sehingga di sini. Aku mahu bahagia di samping lelaki ini.

***

“MACAM mana abang boleh terfikir nak nyanyikan lagu Indigo tu?” Tanyaku di suatu petang. Aku mahu tahu dari mana ideanya datang untuk memikatku dengan lagu itu. Tak kanlah hanya sekadar nama je kan?

“Terfikir? Lagu tu dari hatilah sayang! For your information, lagu tu lah yang menemukan kita,” katanya lalu menarik hidungku yang tak berapa nak mancung ini.

Aku mengerutkan dahi. Tak faham.

“Ingat tak masa sayang jatuh tu? Sebelum tu kan sayang mesti ada dengar orang menyanyi lagu Suraya tu kan?”

Aku memerah otak mengingat. Membuka kotak memori seawal perkenalan kami. Okey, aku ingat dah tragedi tu. Peristiwa di mana aku terjatuh terpijak kulit pisang gara-gara asyik sangat mendengar suara yang menyanyikan lagu kumpulan Indigo itu. Jadi, suara lelaki yang tidak dikenali itu…milik Ismadi?

“Sua..suara abang kan?” Teruja aku bertanya.

Ismadi mengangguk.

Aku senyum tak sangka begitu sekali aturan jodoh kami. Indah sungguh perancangan Allah.

“Abang, why and when you were fallen in love with me?” Soalku tiba-tiba.

“Curious? Huh?”

“Hmm,” jawabku. Ringkas.

“Sejak sayang asyik kejar abang and the way you proposed me. Berani gila! Depan Natasha pun sayang sanggup cakap macam tu,” balasnya bersama ketawa kecil.

Aku mengetap bibir.

“Ala..tapi orang tu hina-hina kita depan orang lain. Lagi berani!” perliku. Geram.

Ismadi memegang tanganku dan mengusapnya.

“Masa tu abang keliru. Tak tahu cinta ke hanya suka-suka. Its was my first time, a girl chasing me like you did. Lagipun masa tu abang ada Natasha. Tapi Allah nak tunjuk cinta mana yang sejati dan cinta mana yang palsu, abang accident. Natasha lari and Suraya isteri abang ni datang membantu seikhlas hati. Siang malam abang berdoa agar kita dipertemukan lagi dan dikuatkan jodoh dan Alhamdulillah kita bertemu walaupun ambil masa yang lama dan sayang jadi milik abang jugak.” Terangnya lalu mengucup dahiku lembut.

Aku senyum lagi. Benar-benar puas hati dengan penerangannya. Lalu tangannya aku ambil dan aku bawa rapat ke bibirku sebelum mengucupnya syahdu.

Ismadi senang hati dengan perlakuanku itu.

“Takkan cium tangan je? Abang nak jugak kat sini. Sini. Sini. Sini. Sini dan sini,” ujarnya sambil menunjukkan dahi,kedua pipinya, hidung dan berakhir di bibirnya.

Merona merah wajahku kerana kata-katanya itu.

“Sayang, merahnya muka!” Ismadi giat menyakatku.

Aku cubit lengannya. Terjerit kecil suami aku itu.

“Heish, sayang ni. Sakit abang tau! Malam tadi okey je,”kata Ismadi lagi sambil mengusap bekas cubitan aku tadi.

Aku membulatkan mata. Malu bila mengingatkan peristiwa malam tadi di mana aku secara rasminya sudah menjadi hak Ismadi luar dan dalam.

“Sayang nak kena denda ni.” Ismadi berkata sebaik sahaja melihat reaksiku tadi. Seraya tubuhku dicempungnya ke bilik.

“Abang!” jeritku sebelum terdiam sendiri kerana menerima kucupan Ismadi dibibirku.

Aku berdoa biarlah cinta dan kasih sayang yang kami ada hari ini berkekalan sehingga Jannah. Ismadi…You’re my crush until Jannah too!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

57 ulasan untuk “Cerpen : My CRUSH Until Jannah!”
  1. ibtisam balqis says:

    whooahh…….awesome!!! cantek,mantap, meletops!!!…ada kut duk rewind lagu suraya lebih kurang 10 kut mase bace.. adoy, yang harunya, mata saya ni hampir nak beranak sungai bagai bila sampai part yang sedih2, *malu sih, hehe*….. first time nih bace cerpen yang best tahap tera giga mega… sis, buat novel la pulak. rugi tak buat..tukang baca cerpen ni pun ‘berjebok’ apa dah… tengah duk buat ulasan ni pun, telinga duk berdengung dengar lagu suraya… akak memang terbaek lah, siap boleh bace dengan ada sound effect, pandai akak buat.. slalu je saya dgr lagu ni cz dorm-mate sy bgsa suka melalak, tapi tak tahu pulak tajuk amenda… bila kena bece crpn ni dgn background song n dgr, “lah, lagu ni,. hari2 kut kut aku dgr ni”. tahniah, mabrouk, congrate, *muahaha dah tak tahu nak puji apa dah,*… antara yang banyak2 saya duk bace dalam pnlsan2u ni, yang akak punya la saya puji berkajang-kajang.. yg lain just best, tahniah,, tu jelah…anyway, buat novel la pulak erk… ada blog tak???

  2. sukacerpen says:

    wah best sgt2..sebuah cerpen yang menarik & terbaik. Tahniah!! boleh jd novelis yg berjaya kelak..awk punya bakat yg besar ^_^ Thumb Up

  3. yanty says:

    terbaik!!!

  4. nor says:

    ceritanya sempoi tapi best!

  5. amilakira says:

    betul ape yg ibtisam balqis ckp.cite awk mmg terbaik….sy sendiri pn dh x th nk kt pe……mmg best….

  6. Anis says:

    Best. Saya suka baca cerpen awak. But, before that, ada sikit grammar mistake in your english conversation. Please check it before submitting. Thanks

  7. adilah azmi says:

    Bestnya ! ! ! Serious best ! ! ! Dah byk kli dah baca . . . . .

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"