Novel : Suami Tak Kuhadap 6

12 April 2013  
Kategori: Novel

10,846 bacaan 15 ulasan

Oleh : Rehan Makhtar

BAB 6

KERJA di pejabat tidaklah banyak mana pun. Surat yang Puan Sarimah minta, telah aku siapkan tanpa bertangguh. Berkeping-keping namun aku lakukan sebagai amanah buatku.

Lega seketika bila Puan Sarimah tersenyum menerima hasil kerjaku menyediakan kertas kerja yang mahu dihantar seketika nanti. Namun, panggilan daripada ayah tadi membuatkan aku berfikir berkali-kali akan tawaran yang dia berikan.

“Mana ayah dapat nombor telefon Syai?” soalku.

“Abang Syai bagi,” jawab ayah dihujung talian.

“Jaga sikit bahasa ayah tu. Dia bukan abang Syai. Syai sebatang kara dalam dunia ni. Ayah dah lupa?” sindirku
geram.

“Maafkan ayah, nak.” Ayah meminta maaf lagi dariku.

Gelaran anak itu benar-benar membuatkan aku getik mendengarnya. Andai tidak difikirkan akan kakitangan lain yang
ada bersama, aku mahu menghamburkan tawa pada dia yang menggelarkan aku anak.

“Anak?” soalku kembali.

Ayah diam.

“Anak apa kalau hak seorang anak itu tak pernah ayah berikan pada Syai? Anak apa kalau sekarang baru ayah rasa nak bertanggungjawab setelah Syai mampu dan selesa dengan jalan hidup Syai sendiri? Anak apa yang ayah maksudkan? Anak kucing? Atau anak anjing kurap di tepi jalan? Macam tu ke, Encik Syakri?” cemuhku lagi.

Ayah mengucap panjang. “Mengucap, Syaima. Kamu sedar tak kamu sedang cakap dengan siapa ni?” sergah dia tiba-
tiba.

Aku letuskan tawa. “Syai tahu. Syai tahu dengan siapa Syai bercakap sekarang ni. Seorang suami yang tinggalkan isterinya yang sedang sakit tenat dan seorang ayah yang mengabaikan anak yang masih bersekolah suatu waktu dulu. Dan membiarkan anak isterinya hidup terpinggir.”

“Ayah pesan pada Syai, cari ayah kalau tak cukup belanja kan? Tapi, Syai tak pernah cari ayah, kan?”

“Dan ayah juga tak pernah bertanya khabar kami, kan?” Aku mencantas geram.
Kali ini, ayah diam lagi. Hanya helaan nafas kasarnya saja yang menyapa telingaku. Aku juga turut mendiamkan diri. Bimbang andai aku bersuara sedikit lagi, pastilah berdentum bak guruh di langit. Memuntahkan segala nista buat dia sedangkan aku masih cuba pertahankan pesanan ibu kali terakhir dulu. Kekalkan sisa hormat pada dia dan aku kekalkan hormat yang sikit berbaki itu.

“Ayah… ayah…” Suara ayah gagap.

“Dahlah tu…,” cantasku. “Apa yang ayah nak telefon Syai ni?” Aku ajukan saja soalan lain.

“Ayah kalau boleh nak Syai balik tinggal semula dekat rumah kita dekat Petaling Jaya tu. Ayah ada beberapa kali jenguk kat sana. Rindu pada Syai dan arwah. Memang ayah harap Syai tinggal di sana. Nanti dah berkeluarga…”

“Jangan sebut soal keluarga dengan Syai, ayah!” pangkasku keras.

Ayah mengeluh lagi. “Maafkan ayah. Tapi, memang ayah berharap Syai balik tinggal kat rumah tu. Itu rumah Syai. Rumah arwah ibu. Baliklah tinggal di sana. Ayah dah lama biarkan Syai hidup sendiri kat rumah sewa. Alang-alang dah jumpa ni, ayah nak tebus balik kesilapan ayah pada Syai selama ni.”

“Itu bukan rumah Syai,” tegasku.

“Tapi, tak rindu pada arwah ibu ke? Di sana bersemadi jasad ibu. Di situ ada kenangan Syai dengan arwah, kan? Baliklah tinggal di sana, Syai dan ayah janji… ayah tak akan kacau Syai lagi. Cukuplah andai ayah tahu yang Syai selamat di rumah tu,” pancing ayah padaku.

Bila disebut kenangan bersama arwah wanita yang aku cintai itu, hati ini terdetik juga. Dijentik oleh rindu. Pulangku seketika cuma sekadar hendak menziarah pusara arwah ibu dan kali ini, sudah agak lama tidak menjengah ke sana. Rasa derhaka pula.

“Ayah janji tak akan ganggu hidup Syai lagi? Janji ayah akan anggap Syai tak pernah wujud lagi?” tanyaku pinta kepastian.

“Ayah boleh janji tak kacau Syai tapi untuk anggap Syai tak wujud, ayah tak mampu. Syai anak ayah. Tapi, selagi Syai tak sudi nak jumpa ayah, ayah tak mampu memaksa. Tapi, ayah memang mohon, maafkan ayah. Maafkan Mak Usu. Maafkan Budriz,” pinta ayah separuh berbisik dan serentak itu, aku matikan talian bila terdengar esakan halusnya.
Benci hendak membiarkan telingaku menjamah suara tangisan palsunya. Tangisan yang aku harapkan membasahi pusara arwah ibu satu waktu dulu, tapi sayang. Segalanya palsu.

“Syai boleh hantar surat ni ke pejabat Perunding AZ, tak?”

Aku panggung kepala yang tunduk. Panggilan dan tawaran ayah hilang dari benakku namun jauh di sudut hati, aku mahu menerima tawaran itu. Tawaran yang hidup aku tak akan di ganggu lagi.

Bibir ini menguntum senyum pada Puan Sarimah yang berdiri tegak di depanku lantas aku angguk.

“Pejabat ni kat tingkat sembilan, kan?” tanyaku sambil merenung alamat yang tertera di dada surat.

Dia angguk dan tersenyum. “Syai pergi dulu. Diorang tengah tunggu ni. Jumpa juruukur bahan dia, ya? Terus bagi pada dia. Ni pasal tender. Saya takut lambat pulak sebab benda ni dah nak tamat tarikh.”

Puan Sarimah berlalu setelah aku mengiyakan. Bila dia menghilang di balik pintu biliknya, aku terus memasang langkah ke pintu kaca melalui tempat Najwa.

“Syai nak pergi mana?” tanya dia.

“Nak turun pejabat Perunding AZ kejap. Hantar surat ni.” Aku tunjuk surat yang ada di tangan dan Najwa mengangguk.

“Hati-hati, Syai,” pesan dia saat aku menolak pintu kaca itu.

Aku berpaling pada Najwa yang sedang tersenyum saja. “Kenapa?” soalku pelik.

“Kat sana ada pakwe handsome. Takut awak tersangkut pulak nanti,” ujarnya padaku dan aku hanya mencebirkan bibir.
Jujur aku katakan, selain Budriz, tak pernah terbias di mataku akan ketampanan lelaki lain biarpun Faez pernah hadir dekat dalam hati ini. Namun sayang, bila wajah Budriz hanya membawa dendam yang kian terpalit tebal dalam hatiku. Rasa sayang dan cinta, jauh sekali.

Sudahnya, aku menapak menuju ke lif dan terus masuk ke dalam perut lif lantas punat nombor sembilan aku tekan. Setelah seketika, aku tiba di pintu pejabat Perunding AZ. Bila loceng aku tekan, pintu akhirnya terbuka.
Langkah ini aku atur kemas menuju ke arah penyambut tetamu yang manis dan anggun.

“Cik nak jumpa siapa?” tanya dia mesra.

“Saya dari Binajaya kat atas ni…” Aku dongak sedikit memandang siling.

“Nak jumpa QS untuk hantar dokumen ni. Tak pun saya boleh tinggal pada cik saja,” jawabku perlahan.

“Oh, kalau macam tu, cik duduk dulu di sana…” Dia luruskan ibu jarinya sopan ke arah set sofa.

“Nanti saya panggilkan Encik Norman, ya?” beritahu dia dan aku terus saja berlalu ke tempat yang dia maksudkan hendak menanti lelaki yang Puan Sarimah beritahuku tadi.

Dokumen sepenting ini ada baiknya andai aku serahkan sendiri pada yang dimaksudkan. Andai tidak sampai, jenuh hendak bersoal jawab dengan bos nanti.

Dudukku membelakangi penyambut tetamu. Surat itu aku pegang kemas. Kepala ini masih teringat akan tawaran ayah. Jika benar, aku akan berpindah hari ini juga. Lagipun, barang-barangku tidaklah terlalu banyak di rumah sewa.
Masih banyak berbaki di rumah ayah itu.

Ayah juga tidak tahu, aku singgah di sana sesekali tapi tidaklah mampu hendak bermalam sendirian dalam pada bertahan dihempap rindu pada ibu.

“Cik…”

Suara dari belakangku membawa aku bangkit dari duduk dengan pantas dan aku kalih cepat-cepat bersama selembar senyum.

“Syaima,” jawabku menyambung suaranya.

Wajah itu nampak pegun. Aku hanya mampu ukirkan senyuman lagi. Surat daripada Puan Sarimah aku suakan pada dia.

“Ini ATDA (as tendered detail abstract) yang Puan Sarimah minta saya hantarkan. Puan pesan apa-apa pindaan, dia minta maklumkan dengan segera,” beritahuku sopan.

“Err… awak ni…” Dia merenungku lagi. Nampak bagaikan dia kenal akan diriku membuatkan wajahku berkerut tiba-tiba.

“Encik kenal saya ke?” soalku telus.

Dia geleng dan angguk dalam sekelip mata. “Saya tak tahu tapi tentang ni, bos saya yang uruskan ATDA ni.”

Keluhan aku lepaskan. “Kalau macam tu, minta encik bagi pada bos encik, ya? Saya balik pejabat dulu. Apa-apa hal, encik atau bos encik boleh berurusan terus dengan Puan Sarimah,” ujarku bersungguh-sungguh berharap dia menerima amanah ini.

Dia menggeleng dan belum sempat dia bersuara, ada satu suara lain menegur kami. Aku terkaku seketika.

“Abang memang tunggu Syai.”

Budriz? Buat apa dia kat sini? “Eh, kau buat apa kat sini?” soalku pelik. Wajahku berkerut.

“Abang kerja kat sini dan abang tahu, Syai kerja kat atas ni je, kan?” tanya dia tenang.

“Cik Syaima, ini bos saya. Budriz.” Norman memperkenalkan aku pada Budriz dengan nada yang sedikit sinis.
Bibir ini aku ketap hebat. Aku pandang Norman dan Budriz silih berganti dan tahulah aku, Norman adalah teman Budriz sewaktu kami bertemu di Restoran Ukhuwah beberapa minggu sudah. Bagaimana aku tidak tahu tempat kerjanya. Betapa aku cuba menjauhkan diriku, semakin dekat pula takdir menolak aku padanya.

Aku tarik sampul surat bersaiz A4 itu daripada tangan Norman dan aku sua pada Budriz secara spontan. Tidak tahu hendak berkata apa lagi. Kali terakhir, dia tegar memelukku dan bersusah payah aku cuba melepaskan diri dari pelukannya.

Masih terasa hangatnya pelukan itu. Hebatnya detak jantungnya dan resahnya nafas dia kala berbisik di telingaku. Berbisik sesuatu yang aku sendiri sukar untuk mengerti. Sukar hendak kucerna mencari sebuah jawapan yang pasti.
Apa yang hati dan akal ini bisikkan, aku semakin membenci dia. Benci akan lelaki yang sewenangnya menyentuh
kulitku. Benci pada lelaki yang bergelar abang tiriku.

“Maaf, Encik Budriz. Saya nak hantar surat ni je. Puan Sarimah minta encik sediakan bill of quantity dengan segera untuk dapatkan harga projek sebelum dia sediakan dokumen tender,” ujarku mendatar dan agak sopan.

Aku adalah pekerja Puan Sarimah dan aku haruslah professional dalam menghadapi situasi ini. Benar dia adalah Budriz yang kubenci tapi kala ini dia adalah Encik Budriz, seorang Juruukur Bahan Syarikat Perunding AZ. Syarikat usahasama dengan Binajaya, tempat aku bekerja sekarang.

“Kenapa Puan Sarimah cepat sangat hantar? Abang baru je nak naik atas jumpa dia. Alang-alang tu, nak jumpa
pekerja baru dia juga.” Dia tersengih nakal.

Aku telan liur menahan marah. “Tolong profesional sikit, Encik Budriz,” pesanku perlahan.
Barangkali, dialah yang Najwa katakan. Boleh jadi Najwa sudah lama mengenali Budriz dan Norman. Padanlah wajah itu pegun kala aku bertekak hebat dengan Budriz waktu itu dan aku juga tidak bertanya lanjut setelah itu.

“Abang memang professional dalam segala hal. Syai yang buat abang jadi tak professional,” bisik dia setelah dia menapak ke arahku. Dekat di telinga ini. Mengungkit kembali pelukan hangat yang aku mahu lupakan.

“Ehem.. ehem…” Aku berdehem beberapa kali.

Melihatkan Norman yang tersenyum simpul dan juga penyambut tetamu muda itu yang juga melirik ke arahku, aku jernihkan air wajah.

“Kalau tak ada apa-apa, saya balik pejabat dulu. Apa-apa perubahan nanti, encik boleh deal terus dengan Puan Sarimah. Terima kasih,” ucapku lantas aku menapak kemas ke arah pintu yang tertutup rapat.

Tidak jadi hendak menuju ke lif, aku terus berlalu ke tangga kecemasan. Pintu rintangan api itu aku tolak kasar dan aku hempasnya pula lebih kasar. Terdiam aku seketika dengan permainan takdir. Sungguh aku tidak mampu hendak mengerti akan semua ini.

Berapa lamakah lagi harus aku melaluinya? Berapa lama lagi perlu aku menghadapi wajah-wajah yang menyakitkan hati ini? Tubuh yang bersandar pada dinding, melorot jatuh perlahan-lahan lantas melutut lemah.

Ada air jernih yang meniti pada tubir mataku, membawa pandangan ini menjadi agak kabur. Kenapa begitu dekat takdir membawa dia padaku? Harus bagaimana aku lunaskan dendam ini?

Adakah aku perlu menerima tawaran ayah? Andai benar apa yang ayah janjikan, aku mahu begitu. Biar terus menjauh wajah-wajah mereka yang aku tak mampu hadap.

Telefon bimbit aku keluarkan dari poket seluar. Rambut yang jatuh ke dahi, aku tolak ke belakang. Nombor telefon ayah aku tekan dan setelah seketika, talian bersambut aku dengar suara ayah terbatuk-batuk kecil.

“Ayah, Syai setuju tapi dengan syarat…”

Syarat aku nyatakan. Ayah memaksa dirinya menerima syaratku. Aku tahu dia mahu menghalang, namun aku juga tidak kalah hendak menerima tawaran ayah bersyarat. Kembali ke rumah itu dan hidupku tak diganggu lagi.

Anggap sajalah aku tidak pernah wujud dalam hidup dan diri mereka. Anggap sajalah aku sudah mati pada mereka kerana memang hati dan perasaan aku telah lama mati. Tertimbus bersama jasad ibu. Dimamah tanah dan terus hancur luluh.

Tubuh ini aku angkat dan bersedia hendak berlalu. Baru aku tarik pintu itu, aku ternampak kelibat Budriz yang sedang melilau di sekitar kawasan menunggu. Cepat-cepat aku tutup semula pintu itu dengan agak kuat lalu aku bawa kakiku berlari memanjat anak tangga menuju ke tingkat atas. Hendak mengambil lif di tingkat sepuluh untuk naik ke
tingkat dua puluh satu.

Baru saja aku memijak beberapa anak tangga, namaku diseru kuat. Bergema seluruh kawasan tangga kecemasan ini dengan suara parau itu.

“Syai… nanti!” jerit dia lagi.

Aku melajukan langkah dan belum sempat aku paut tombol pintu kecemasan di tingkat sepuluh, langkahku terhenti bila
tapak tangan kasar itu menahan perbuatanku.

“Syai, we need to talk!” tekan dia dengan nafas yang mengah. Lelah mengejarku barangkali.

“Kau nak apa lagi Budriz? Ke mana saja aku pergi, kenapa kau mesti ada? Kenapa tak sudah-sudah kau nak kacau hidup aku setelah kau rampas segalanya. Ayah, Faez dan hari ini kehidupan aku?”

Dia merengus memerhatikan mataku. “Abang tak nak jawab soalan Syai tu. Abang nak cakap je dengan Syai,” ujarnya
lelah.

“Tak ada apa yang nak kita bualkan lagi, Budriz.” Aku menggeleng menolak permintaannya.

“Dah terlalu lama aku diamkan diri sampaikan aku sendiri tak tahu nak cakap apa lagi pada kau dan keluarga kau! Malah aku bimbang, setiap patah yang terbit dari bibir aku ni adalah caci maki saja sebab sekarang ni aku masih mampu bertahan Budriz.”

“Keluarga kita, sayang… keluarga kita,” bisik dia cuba menyentuh pipiku dengan telapak tangannya.
Aku pantas mengelak. Benci ini semakin menebal dengan sikapnya yang sewenang-wenangnya cuba menyentuhku. Sesuka hatinya saja dia menyatakan sayang biarpun hakikat, dia adalah musuh buat aku.

“Jangan kau berani nak usik kulit aku, Budriz!” tegasku memberikan amaran.

“Dan… jangan kau sesekali ungkapkan perkataan sayang tu pada aku. Jangan sampai aku potong lidah kau tu, jahanam!”

Terketar bibirku memuntahkan kata. Gemuruh dadaku meluahkan marah. Dia sudah terlalu melampau kini.
Budriz nampak terkedu. Serta merta dia menjarakkan tubuhnya dariku dan tangan itu diangkat tanda mengalah.

“Abang minta maaf sebab peluk Syai hari tu tapi abang sendiri tak tahu apa yang mendorong abang jadi macam tu,” adunya bersama keluhan.

“Apa yang mendorong kau? Boleh kau kata tak tahu, ya?” Aku menempelak geram.

“Memang abang tak tahu, Syai. Ampunkan abang. Lepas ni abang janji, takkan sentuh Syai lagi,” akui dia bersungguh-sungguh. Tapi, hendak menerima perjanjian palsu itu dengan sewenang-wenangnya, bukanlah aku.

“Kau ingat aku nak percaya pada kau? Lelaki semua sama, Budriz. Hari ni, baru aku mengerti kenapa ayah tinggalkan ibu aku masa tu. Sebab ibu dah tak mampu nak layan kehendak batin dia. Jadi dia pergi pada bonda kau dan hari ni, aku nampak gelodak rasa yang sama dalam diri kau, Budriz. Memang dasar jantan nafsu binatang!” cemuhku penuh benci.

Wajahnya berubah resah. Sayu saja. Nampak agak kusut dengan jambang dan misai yang tumbuh di sekitar wajah maskulin itu.

“Kenapa Syai tak habis-habis tuduh ayah dan hari ni Syai tuduh abang pulak?” Dahinya berkerut.

“Eh, kalau dulu aku bodoh, naïf, tak reti menilai. Tapi hari ni, aku dah tahu segalanya. Aku dah dapat tangkap maksud di sebalik setiap perbuatan dan kata-kata insan bergelar jantan hidung belang macam ayah dan kau,” herdikku
memuntahkan kata.

Dia diam terpaku lagi. Langsung kehilangan kata membuatkan aku melebarkan senyuman sinis dan kesempatan ini tak mungkin aku persiakan. Biarlah aku terus meluahkan kata. Biar dia mengerti akan sabar yang semakin menipis ini.

“Sudahlah, Budriz. Aku nak balik pejabat. Aku harap kita takkan jumpa lagi dan aku memang berdoa, moga takdir membawa kau menjauh dan terus menjauh. Kalau aku mampu, aku memang nak kau lupus dari dunia ni. Baru senang langkah kaki aku ni.”

Serentak itu aku cuba menarik tombol pintu namun sekali lagi Budriz menahan dengan tangannya. Lengan sasa yang tersinsing lengan baju itu nampak tegap dan berotot. Aku telan liur.

“Apa masalah kau ni, hah?” tengkingku. Hampir saja penumbuk ini singgah ke wajahnya. Biar tercela wajah tampan itu.

“Abang tak peluk Syai saja-saja. Abang nak Syai rasa dengan hati dan bukan dengan amarah Syai pada abang,” ujar dia terus lembut merayu.

Aku menggeleng. “Tiada apa yang dapat aku rasakan dengan hati, akal dan jiwa aku pada kau, Budriz. Melainkan kebencian yang meluap-luap dan semakin hari, aku semakin benci dengan kau. Terlalu benci,” ujarku menggumam.

Budriz ketap bibir. “Tapi, abang tak salah… kan Syai? Abang pun tak tahu apa-apa bila arwah ayah abang meninggal dan bonda kahwin dengan ayah Syai. Pertama kali abang tengok Syai dulu, abang memang sayangkan Syai. Syai adik abang, kan? Percayalah sayang,” rayu dia.

Dan serentak itu, aku bawa telapak tanganku menyentuh pipinya dengan kasar. Budriz diam terkedu. Dia memegang pipinya yang menerima tamparan dariku sebentar tadi.

“Aku bertahan agar tak naik tangan ni ke muka kau. Tapi kau dah melampau. Berapa kali aku nak katakan, aku bukan adik kau. Kita tak ada hubungan darah malah takdir pun tak akan menjodohkan aku dengan kau untuk menjadi adik beradik walau dalam mimpi.”

Gigi ini aku ketap kuat. Tangan ini masih ringan hendak menyapa pipinya lagi namun aku tahan sedaya upayaku.

“Aku benci kau panggil aku sayang. Aku benci mendengar perkataan itu. Sayang, cinta, rindu, adik, abang dan semua ni buatkan aku rasa nak bunuh kau sekeluarga, tau tak?” Aku terus melengking.

Wajah Budriz memerah. Aku tahu dia sedang marah dan aku tak mungkin berundur biarpun setapak malah semakin mendekat pula. Menyuakan tubuhku pada dia andai benar dia berani menyentuhku sekali lagi. Kala itu, akan kupastikan, dia akan menyesal seumur hidupnya.

“Tamparlah abang, Syai. Makilah abang sebab kesannya dah lama terpahat dalam dada abang sejak dari dulu lagi. Sejak pertama kali kita diangkat menjadi adik beradik dan yakinlah Syai… memang kita tak ditakdirkan untuk ada hubungan sedarah tapi percayalah…” Dia terhenti seketika. Nafasnya dihela.

Aku hanya merenung wajah itu. Kata-katanya langsung tidak berbekas di dalam kepala dan hatiku. Tidak meresap langsung, malah aku sekadar membiarkannya di angin lalu saja.

“… satu hari nanti abang akan cantumkan darah kita. Kalau tak, Syai jangan panggil abang Syed Ahmad Budriz,” sambung dia agak keras dan tegas lalu dia berlari menuruni anak tangga itu pantas.

Aku diam. Sekali lagi buntu hendak menghadam setiap kata-katanya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

15 ulasan untuk “Novel : Suami Tak Kuhadap 6”
  1. iela mia says:

    Bosan !!!

  2. bebet says:

    suke…. :-)

  3. AliahMohdSalleh says:

    Rehan ceriter anda tetap mengujer pembaca. ceriter tetap menarik dan best. Ceriter juga banyak menggarab emosi sedih dan marahdari watak-watak utama .Best.Thumb up penulis.

  4. ajizah sudiman says:

    Saya suka dan ada sedikit kelainan berbanding novel lain walaupun kisah cinta permulaan bermula dengan kebencian. Penulis berjaya membawa perasaan pembaca marah, geram, sedih dan teruja dan sesekali ada sedikit kelucuan dan kebahagiaan. saya dah habis baca keseluruhan novel ini dan malangnya novel yang saya beli tiada mukasurat 667 hingga 730. Babak yang saya jangka kemuncak cerita ini dimana pengorbanan syai untuk kebahagiaan Budriz dan semua orang, nenda bonda dan anti sarimah. Walaupun kesudahannya bahagia dan gembira menjadi keluarga yang sempurna pada pandangan pembaca seperti saya. masih tidak puashati kerana tak dapat baca mukasurat yang tidak tercetak…….

  5. ajizah sudiman says:

    kalau pihak penulisan2u dapat menyiarkan bahagian muka surat yang tidak bercetak tu alangkah baiknya…. atau email terus pada saya muka surat 667 hingga 730

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"