Cerpen : Manis Dalam Pahit

9 May 2013  
Kategori: Cerpen

20,445 bacaan 28 ulasan

Oleh : Aekime

Dia membelek-belek setiap keychain dan jam tangan yang tersusun kemas di kiosk depan farmasi Watson itu. Dia memang bercadang nak cari jam tangan baru sebab dia tak berapa suka pakai jam tangan yang dia pakai sekarang ini. Dia lebih suka pakai jam tangan yang biasa – yang harga RM15 tu. Selesa, ringan, dan simple. Tapi tadi Kak Ngah dah bagi amaran awal-awal :

“Tak payah la beli. Jam kat tangan tu elok lagi.”

“Ala, Kak Ngah. Lima belas ringgit je.”

“Tak payah. Kan itu jam yang kau dapat masa bertunang dulu? Appreciate la sikit.”

Sudahnya, tak tersampai la hajat dia nak beli jam tangan baru. Tak apa. Tak apa. Nanti lain kali, pandai-pandai la dia cari peluang nak beli jam baru. Dengan syarat : Jangan bawa Kak Ngah sekali. Biar dia seorang saja yang window shopping dan cari jam baru. Kan?

Ini pun dia keluar sekali dengan Kak Ngah sebab Kak Ngah minta dia temankan beli barang-barang bayi. Tak lama lagi dia akan dapat anak buah baru! Seronoknya jangan cakap la! Kak Ngah dengan Abang Johar lagi la seronok sebab ini la pengalaman pertama suami isteri itu untuk menimang cahaya mata. Berseri-seri muka Kak Ngah sejak berbadan dua ini. Aura ibu mengandung, mungkin.

Kebetulan pula Abang Johar outstation minggu ini, jadi dia menumpang tidur di rumah Kak Ngah sebab nak temankan kakaknya itu. Lepas itu, pandai-pandai saja Kak Ngah buat rancangan untuk shopping hari ini. Bukannya Kak Ngah tak tahu yang dia ini sangat anti-shopping! Nasib baik Kak Ngah cuma nak beli barang-barang bayi saja. Kalau tak, jangan harap dia nak ikut!

Dia mengangkat tangan dan melihat jam tangan Polo yang tersarung di pergelangan tangannya. Dah lebih lima minit Kak Ngah pergi tandas. Kenapa lama sangat ni? Tadi Kak Ngah kata selepas ini dia nak pergi survey katil bayi pula. Mana Kak Ngah ni?

Dia akhirnya ambil keputusan untuk tunggu Kak Ngah di kerusi berdekatan dengan kedai buku Popular. Kalau duduk kat situ, senang la Kak Ngah nak nampak dia bila Kak Ngah keluar dari tandas nanti. Dia berjalan melepasi deretan butik T-Zed, kedai peralatan muzik, kedai Memory Lane, dan butik Giordano. Bila dia berjalan di luar butik Giordano itu, automatik matanya akan meninjau-ninjau isi butik itu. Tengok dari luar saja la. Giordano bukan ‘tempat’ dia.

Dan masa itu la matanya menangkap kelibat seseorang. Seseorang itu sedang membelek-belek sehelai t-shirt sambil berbual di telefon.

Affiz?

Cis. Kata nak kena paksa pergi Kedah. Ni apahal tiba-tiba selamat saja ada kat KL ni?

Spontan kakinya bertukar arah, dan melangkah mendekati Affiz. Affiz yang masih sibuk berborak di telefon itu langsung tak perasan akan kehadirannya.

“Oit.” Dia mengetuk bahu Affiz dari belakang dengan majalah Pa&Ma yang Kak Ngah beli tadi.

Affiz ternyata tersentak, dan menoleh ke arah dia. Berkerut dahi Affiz memandang dia di situ.

“Buat apa kat sini? Kau mengelat eh?” Dia menuding gulungan majalah Pa&Ma itu ke depan muka Affiz. Affiz buat muka blur, mungkin terkejut sebab mereka boleh jumpa di sini.

Semalam bukan main beria-ia Affiz ‘mengadu’ pada dia sebab kena hantar adik bongsunya ke Kedah. Najmi, adik bongsu Affiz, baru habis cuti semester dan akan memulakan semester baru minggu depan. Najmi belajar di UUM dan mengambil jurusan Sains Sosial. Dan sebagai abang yang bertanggungjawab la kononnya, Affiz yang akan hantar Najmi ke sana.

Itu yang Affiz ceritakan pada dia semalam. Jadi, apa kes pula hari ini si Affiz ni masih berdiri di tanah KL ini?

“Hah? Err…”

“Oh… kau tipu aku, eh? Konon nak hantar Najmi la, itu la, ini la. Rupanya kat sini kau. Sanggup eh kau tipu aku. Ni la kawan kan?” Berdas-das dia ‘tembak’ Affiz. Heh. Padahal dia bukannya marah betul pun. Sengaja dia nak kenakan Affiz. Sengaja dia bercakap dengan nada merajuk. Biar Affiz rasa bersalah.

“Eh. Bukan. Err…”

Handphone dari dalam sling bag tiba-tiba berbunyi. Dia menarik handphone berwarna merah itu dan membuka flip handphone itu. Gambar Kak Ngah terpapar di skrin.

“Hello? Kak Ngah?” Tanpa sedar, sambil menjawab panggilan Kak Ngah , dia melangkah keluar dari butik Giordano itu.

“Ha. Kau kat mana?”

“Kejap. Kejap. Aku baru nak keluar ni. Kau kat mana tu?”

“Depan kiosk jam tadi tu la.”

“Okey. Okey. Aku datang.”

Flip handphone Sony Ericsson itu ditutup. Terus dia berpatah balik ke kiosk jam tangan tadi. Langsung dia terlupa tentang hal Affiz tadi.

Masa dia dah sampai rumah Kak Ngah, dia dah siap mandi, dan dah siap nak masuk tidur dah, baru dia teringat balik pertemuan antara dia dengan ‘jiran sebelah workstation’ dia di office itu. Terus dia mencapai handphone di atas meja di tepi katil, dan menaip ‘mesej ugutan’ untuk Affiz.

Isnin nanti aku tuntut lunch McD dari kau.

Hahah. Ugutan sangat la kan?

*****************

Pagi Ahad itu, bangun saja dari tidur, dia baru perasan ada satu mesej. Dia membuka flip handphone, dan nama Affiz terpampang di skrin.

Lunch McD apa pulak ni, Sufi?

Dia sempat baca pukul berapa mesej itu dihantar. Pukul 12.07 malam tadi. Dia menaip keypad untuk membalas mesej Affiz itu.

Eleh. Buat-buat tak tahu pulak. Tak menjadi la taktik lapuk kau tu kat aku.

Selepas itu dia bangun dari katil dan kemas katil itu ala kadar. Bantal kepala ditepuk sekali dua dan disusun kemas bersama bantal peluk dan selimut. Semasa dia nak mencapai tuala mandi di tempat penyidai, handphone berbunyi lagi, tanda mesej masuk. Dia menekan butang ‘View’.

Serius.

Serius? Eleh. Kononnya memang tak tahu apa-apa la tu. Okey, tak kisah pun. Tunggu la esok, dia ‘basuh’ si Affiz ni cukup-cukup!

*****************

Sampai saja di workstation dia, Sufi terus meletakkan beg laptop di atas meja. Matanya terpaku pada satu mug kaca yang siap diikat reben putih di pemegangnya. Dia mencapai mug itu, dan membelek-belek kiri kanan atas bawah. Siapa yang rajin sangat nak bagi dia hadiah ni?

Dia membaca tulisan berangkai yang tertulis kemas di mug kaca itu. Langkawi? Siapa yang bercuti ke Langkawi ni?

Sufi menoleh ke kanan apabila dia terdengar bunyi laci dibuka daripada workstation sebelah. Affiz tersengih memandang ke arahnya sambil angkat tangan sebagai tanda ‘hai’. Bukan main bahagia lagi si Affiz ni. Sufi meletakkan semula mug itu ke atas meja, dan mula membuka beg laptop. Dah nak pukul lapan pagi. Dah kena start kerja dah ni.

“Suka dengan mug tu?” Affiz memulakan perbualan.

Sufi menoleh semula ke arah Affiz yang dah siap dengan laptop yang terbuka. “Laa… kau ke yang bagi?”

Affiz pandang pelik pada Sufi. Lepas tu Affiz gelak pulak. “Wah… kau ingat kau ada secret admirer ke kat sini?”

“Mana la tahu…” Sufi buat muka selamba. “Bila kau pergi Langkawi ni?” Dia membelek semula mug kaca itu sementara menunggu Dell kelabunya itu loading. Comel jugak. Latar mug itu berwarna kuning, dan tertulis perkataan Langkawi berwarna merah. Kemudian ada pula gambar-gambar aksoseri yang lain – tapak sulaiman, kulit kerang, dan pasir pantai. Seolah-olah gambar itu hidup sebab semua aksoserinya timbul di permukaan mug itu. Comel, comel.

“Hei, mak cik. Baru beberapa hari dah lupa?”

“Abende?”

“Kan aku hantar Najmi Sabtu lepas?” Affiz menekan suaranya, seolah-olah tak sangka yang Sufi akan terlupa tentang hal itu. Jarang sangat Sufi terlupa tentang apa-apa saja. Lagi-lagi kalau semua yang diceritakan oleh dia – kawan baik Sufi ni.

Sebab itu dia suka dan senang berkawan Sufi. Sufi selalu ingat apa saja hal tentang dia. Dari cerita pasal dia lompat dari tingkat empat sebab takut kena tangkap dengan warden asrama, sampai la cerita tentang dia kena paksa hantar Najmi ke Kedah. Walaupun tempoh perkenalan mereka berdua ini baru mencecah tiga tahun, tapi seolah-olah dia dah kenal Sufi sejak zaman tadika lagi. Dia sangat selesa dengan Sufi.

Yalah. Sufi itu jenis yang sempoi. Bukan jenis yang control ayu. Sufi bukan kaki shopping. Dan bukan juga kaki gosip. Sufi suka tengok kereta-kereta baru, boleh la geng dengan dia yang memang jenis suka kereta ini. Tapi satu saja yang dia suka tapi Sufi tak suka – iaitu bola. Dia sebagai lelaki memang la layan segala jenis musim bola. Tapi Sufi langsung tak suka. Satu hari tu Sufi ada kutuk minatnya yang satu itu –

Macam orang bodoh je tengok bola tu kena tendang sana-sini.

Sufi tu memang. Tak cover mulut langsung!

“Oh… ” Sufi mengangguk-angguk. Tapi tiba-tiba dia menoleh laju pada Affiz. Dan riak wajahnya seolah-olah berniat jahat. Sufi mengecilkan matanya dan memandang tajam pada Affiz. “Hari apa kau hantar Najmi?”

Affiz dah pelik. “Hari Sabtu la.”

“Menipu oh! Yang kita jumpa kat Jusco tu hari apa?” Sufi dah keluar aura nak bergaduh. Tak puas hati sebab Affiz beria-ia buat-buat tak faham dalam mesej semalam.

“Jusco? Bila masa pulak aku pergi Jusco?”

“Eleh. Kau tipu kan? Bukan kau yang hantar Najmi kan? Baik kau mengaku.”

“Mengaku apa?”

“Yang kau tipu aku.”

“Astaghfirullahalazim… buat apa aku nak tipu? Bila masa kau jumpa aku ni?”

Sufi dah terdiam. Berkerut-kerut dahi dia memikir. Kalau Affiz dah beristighfar itu, maksudnya Affiz tak tipu. Tapi betul la dia ada jumpa dengan Affiz hari Sabtu lepas. Siap tegur lagi. Takkan dia silap orang kot?

“Betul kau tak pergi Jusco hari Sabtu tu? Kau jangan nak main-mainkan aku.”

“Betul la. Bila masa aku nak berjoli pergi sana? Pagi-pagi lagi aku dah gerak dari rumah dah. Tak percaya tanya la Najmi sendiri.”

“Tipu.”

“Betul la.”

“Habis siapa yang aku tegur tu?” Sufi dah termenung panjang. Entah anak siapa la yang dia sesuka hati tepuk guna majalah tu. Tapi bila difikir-fikir balik, memang dia tak nampak sangat muka ‘Affiz jelmaan’ itu. Sebab lelaki itu pakai cermin mata hitam! Tapi… kenapa dia yakin betul yang lelaki itu Affiz? Kembar Affiz ke?

“Kau ada kembar?” Tiba-tiba terkeluar soalan ‘tak berapa bijak’ itu dari mulut Sufi.

Affiz nampaknya macam dah malas nak layan Sufi. “Sufi, dah berapa tahun kau kenal aku? Dah berapa kali kau datang raya kat rumah aku? Ada kau nampak muka fotostat aku kat rumah tu? Tak ada kan?”

Sufi dah mencebik main-main. Dia berdecit. “Aah kan. Kau mana ada kembar.” Gumamnya perlahan. Affiz tu anak keempat dari enam beradik. Langsung tak ada sejarah kembar dalam keluarga lelaki itu.

“Ha. Tahu pun.”

“Tapi, siapa yang aku tegur tu?” Sufi masih memikir. “Kau tahu tak Affiz, aku siap hempuk bahu dia tau! Mati aku kalau dia mengadu kat mak dia.”

“Knowing you, that’s the way you give salam to people.” Sindir Affiz.

Sufi mencebik lagi. “Diam la kau.”

“Okey.”

Affiz dah mula masuk mode kerja. Sibuk jari telunjuk menekan mouse. Kadang-kadang jarinya berlari di atas keyboard. Affiz kalau dah masuk bab serius, memang serius la mamat itu! Langsung tak bersuara. Sufi hanya melihat saja tingkah Affiz itu.

“So, Affiz…”

“Hmm.” Dengan mata masih menatap skrin laptop, dan tangan kirinya menongkat dagu, Affiz menjawab.

“No McD for me?” Ala-ala berhati-hati Sufi bertanya.

“No.” Affiz jawab selamba dan serius.

“Even set McValue Lunch tu?”

“Hmm.”

“Sundae ke?”

“No.”

“Kedekut.”

*****************

Sufi menatap skrin handphone Sony itu. Lama. Kemudian dia mencari ikon mesej dan jarinya mula bergerak di atas keypad itu. Ramai yang cadangkan pada dia supaya membeli handphone baru. Zaman sekarang ramai yang pakai handphone jenis touch skrin. Tapi dia memang tak kisah pun. Lain orang, lain citarasa kan? Lagipun handphone dia ni masih elok lagi. Buat apa nak buang-buang duit beli benda-benda yang tak perlu kan? Lebih baik dia simpan duit untuk kahwin.

Kahwin?

Sufi mengeluh. Mesej yang dia taip tadi dibaca sekali lalu.

Assalamualaikum. Awak busy ke?

Dia tarik nafas dalam-dalam. Dengan lafaz bismillah, dia tekan butang ‘Send’. Harap-harap Zaim balas. Sufi dah buat keputusan. Kalau Zaim tak balas jugak dalam masa satu jam, dia akan hantar lagi satu mesej pada Zaim. Dan kalau Zaim tak balas jugak, dia akan call Zaim. Muktamad. Sufi sebenarnya memang jarang call Zaim pun. Dia risau kalau-kalau panggilannya akan mengganggu kerja tunangnya itu. Manalah tahu kalau-kalau Zaim sibuk ke masa itu. Sebab itu dia selalunya akan mesej saja.

Tapi sebenarnya, ini la kali pertama dia mesej Zaim sejak sebulan yang lalu.

Ya. Sebulan.

Tak ada sesiapa pun yang tahu yang dia dengan Zaim dah lama tak berhubung. Dia dan Zaim sebenarnya bergaduh. Dan masing-masing terus mendiamkan diri sampai la ke hari ini. Sebab itu Sufi ambil inisiatif untuk memulakan dulu langkah untuk berdamai ini. Lagipun dia bergaduh dengan Zaim dulu pun atas punca dia juga. Mulut dia cabul sangat masa tu.

Kalau macam tu baik kita putus je.

Dan satu ayat itu cukup untuk buat Zaim rasa bengang. Itu la kali pertama Sufi nampak Zaim marah yang teramat sangat. Selepas itu Zaim terus pergi macam itu saja. Dah tak ada sebarang mesej atau panggilan telefon daripada Zaim selepas itu. Sampai la hari ni. Sebab itu dia beranikan diri dia untuk memujuk Zaim.

Tak pernah-pernah dia pujuk lelaki seumur hidup dia. Haih.

Sufi tahu Zaim terasa hati dengan dia. Selama sepuluh bulan mereka bertunang, Zaim yang selalu mengambil inisiatif untuk mengeratkan hubungan mereka berdua. Dia pula langsung tak buat apa-apa. Sekadar ikut saja rentak Zaim. Dan dia dapat agak yang Zaim tahu dia sebenarnya tak dapat menyesuaikan diri dengan hubungan pertunangan ini.

Ya. Sufi bertunang dengan Zaim pun atas cadangan abang. Zaim sebenarnya junior abang masa di UTM dulu. Dan semasa hari raya tahun lepas, abang ada menjemput Zaim untuk beraya di rumah. Selang dua minggu lepas itu, abang ada sampaikan hajat Zaim pada Sufi. Hajat ingin berkenalan dengan lebih rapat. Dan hajat itu terus direalisasikan dengan nama sebuah pertunangan.

Padahal pada masa itu Sufi masih belum pasti dengan isi hatinya sendiri. Teruk kan dia ni? Pentingkan diri sendiri.

*****************

Sufi menarik nafas dalam-dalam. Tadi kawan sepejabat Zaim kata lelaki itu akan sampai office beberapa minit lagi. Zaim ada meeting dengan client di luar. Dan hampir dua puluh minit jugak la Sufi dah menunggu di sofa ini. Ini pun nasib baik dia ‘curi’ lunch break yang selama satu jam setengah itu untuk berjumpa dengan Zaim. Kalau tak, bila lagi nak jumpa Zaim?

Semalam dua mesej yang dihantar kepada Zaim langsung tak berbalas. Bila dia call Zaim pula, lelaki itu tak jawab telefon pun. Sampainya hati Zaim! Sebab itu dia buat keputusan untuk datang sini tanpa beritahu Zaim. Kalau Zaim tahu, mesti Zaim mengelak lagi.

Sufi mula berdiri bila dia nampak Zaim menolak pintu kaca office itu. Zaim tengah bersembang di telefon sambil melangkah masuk ke dalam pejabat itu. Bila Zaim nampak dia di sofa itu, langkah Zaim terus menjadi semakin perlahan. Nyata Zaim terkejut dengan kedatangannya yang tiba-tiba itu. Zaim melangkah ke arah dia.

“Buat apa kat sini?”

Sufi tak tahu macam mana nak tafsirkan nada suara Zaim. Sama ada Zaim tak suka atau pun tak senang dengan kedatangannya itu.

“Err… saya nak ajak awak lunch.”

Zaim dah buat muka pelik. Lelaki itu melihat jam tangannya. “I just got back from my lunch.” Begitu selamba nada suara Zaim. Langsung tak hiraukan perasaan Sufi yang mula berbaur ini. Lagi satu, Zaim dah tak pakai dah jam tangan Polo yang Zaim terima masa pertunangan mereka dulu. Jam tangan itu berpasangan. Sufi pun ada satu, dan ianya masih tersarung elok di pergelangan tangannya ini. Sampainya hati Zaim dah tak pakai lagi…

Semangat Sufi yang tadinya berkobar-kobar, terus jatuh merudum.

“Oh… ye ke? Baru ingat nak lunch sama.” Gumam Sufi perlahan.

Zaim diam saja.

“Err… petang nanti kita hi-tea? Dah lama kita tak lepak kat kafe biasa tu.”

Zaim dah gelisah. Sufi tahu Zaim cuba mengelak daripada dia. Tapi Sufi tetap nak cuba pulihkan hubungan dia dengan Zaim. Bila lagi mereka nak berbaik, kan?

“Saya banyak kerja la. Tak boleh nak janji.”

“Dinner?”

Zaim mengeluh kuat. Dia pandang Sufi. “Saya tak tahu macam mana nak bagitahu awak, tapi saya… saya tak nak. Saya sibuk sangat sekarang ni. Saya tak ada masa nak buat benda-benda tu semua. So, please.”

Sufi tergamam. Betul-betul tergamam. Dia terpaku di situ, dan memandang muka Zaim yang agak serius itu.

“Saya ada banyak kerja ni. So…” Zaim membiarkan ayatnya tergantung. Tapi Sufi tak begitu bodoh sampai tak faham apa maksud Zaim sebenarnya.

“Oh. Okey.” Perlahan Sufi menjawab, cuba mengawal perasaannya. “Sorry sebab kacau awak kerja.”

Sufi terus mencapai beg tangan yang diletakkan di atas sofa tadi. Dia mengeluarkan satu bar besar coklat Cadbury yang baru dia beli tadi. Kononnya sebagai tanda minta maaf la. Sufi tahu caranya ini sangat lapuk, tapi apa lagi yang mampu dia buat. Dia memang bodoh betul kalau bab pujuk-memujuk ini. Sufi terus menghulurkan Cadbury itu kepada Zaim yang berdiri di depannya itu.

“Err… nah. Saya… err nak minta maaf pasal hal hari tu. I’m sorry.”

Dah beberapa saat berlalu, Zaim masih tak sambut bar coklat dari tangan Sufi. Sufi mendongak memandang Zaim, dan lelaki itu hanya memandang kosong pada dia.

“Saya tak makan coklat.” Selepas menuturkan ayat itu, Zaim terus berlalu ke arah lif, dan meninggalkan Sufi di situ.

Tak makan coklat?

Sufi tiba-tiba rasa macam nak ketuk kepalanya sendiri. Zaim memang tak makan makanan manis la, Sufi! Kenapa kau boleh lupa ni? Sufi dah terduduk di sofa. Dia meraup mukanya. Dia rasa macam nak menangis. Rasa macam markah Zaim pada dia dah sampai ke tahap negatif terus!

*****************

Dah dua minggu.

Dah dua minggu berlalu sejak Sufi datang ke office Zaim. Dan dah dua minggu dia tak jumpa Zaim. Selepas kes hari itu, dia dah tak berani nak bertembung mata dengan Zaim. Rasa macam dia ni teruk sangat. Senang sangat lupa tentang sikap Zaim yang tak suka makan makanan manis itu. Sampai sekarang dia masih malu dengan Zaim. Nampak sangat dia tak peduli langsung pada Zaim selama ini.

Dia ada hantar mesej pada Zaim beberapa hari lepas.

Adik Affiz bertunang hari Sabtu ni. Awak busy tak? Kalau awak tak busy, kita pergi jom?

Dan sampai la sekarang ni – hari Sabtu – dia langsung tak terima sebarang maklum balas daripada Zaim. Sudahnya dia terpaksa pergi ke majlis pertunangan adik Affiz ni seorang-seorang. Nak ajak Kak Ngah, dia rasa segan pula kalau-kalau dia ganggu hujung minggu Kak Ngah. Kalau dia ajak abang pula, memang dah sah-sah dia tempah maut. Mesti abang akan tanya dia :

Kenapa tak ajak Zaim?

Ha. Dia nak jawab apa? Mati dia kalau abang tahu yang dia dengan Zaim bergaduh lebih dari sebulan. Sudahnya biar la dia seorang saja pergi ke majlis itu. Sekadar memenuhi undangan. Dan selepas makan dan berbual sekejap dengan adik dan mama Affiz, dia terus balik. Tapi dia tak balik rumah terus. Dia singgah di Jusco sekejap sebab dia nak bayar bil broadband dia.

Sementara dia menunggu pekerja di Celcom Centre itu menyelesaikan urusan pembayaran bil broadband, Sufi meliarkan pandangan matanya ke sekeliling ruang aras tiga itu. Ramai juga orang hari Sabtu macam ni. Matanya memerhatikan sebuah keluarga yang sedang makan aiskrim di kiosk Baskin Robbins. Seronoknya… tiba-tiba dia teringat pada arwah ibu dengan abah.

Sedekahkan Al-Fatihah, Sufi. Semoga ibu dengan abah tenang di sana.

Sufi menarik nafas dalam-dalam. Dia berpaling semula kepada pekerja kaunter Celcom itu apabila pekerja itu memanggil namanya. Tapi, semasa dia nak berpaling tu, matanya terpandangkan seseorang di depan restoran Secret Recipe yang bersebelahan dengan Baskin Robbin itu. Dan… seseorang itu memang tengah pandang tepat ke arah Sufi!

Zaim?

Sufi spontan mahu tersenyum dan melambai ke arah Zaim. Tapi senyumannya mati tiba-tiba. Riak mukanya terus berubah. Matanya terpaku pada seorang gadis di sisi Zaim. Dan mata Sufi beralih semula ke wajah Zaim. Zaim masih memandangnya tajam. Satu saat selepas itu, Zaim terus mengalihkan pandangan dan berpura-pura tak nampak Sufi di situ.

Sufi tergamam. Hatinya tiba-tiba terasa pedih.

Selepas mengambil baki daripada pekerja kaunter Celcom itu, Sufi terus beredar dari situ. Dia terus turun ke parking lot, dan terus masuk ke dalam keretanya. Dia nak balik. Dia dah tak boleh fikir apa-apa dah sekarang ini. Sungguh.

*****************

“Hello. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

“Err… Sufi?”

“Aha. Ya, saya. Siapa ni ek?” Sufi sempat melihat senarai nombor yang terpampang di skrin handphone sebelum dia jawab panggilan tadi. Siapa pula yang sibuk nak telefon Sufi ni? Dah la dia tengah banyak kerja sekarang ni!

“Saya Adib. Cousin Affiz. Err… did Affiz told you about… those car things?”

Sufi tiba-tiba tepuk dahinya sendiri. Macam mana dia boleh lupa ni? “Oh… Adib! Err… ada, ada. Affiz ada bagitahu saya pasal hal tu. So, macam mana awak nak ambik kunci kereta tu?” Sufi sempat menjeling jam tangannya. Dah nak pukul 4.30 petang.

Boleh pulak dia lupa pasal hal ini! Itu la, sibuk sangat dengan kerja sampaikan boleh lupa terus pasal kereta Affiz ni. Semalam sebelum Affiz outstation, kawannya itu ada minta tolong pada Sufi. Affiz minta dia tolong serahkan kunci Gen2 Affiz pada sepupu dia, si Adib itu. Katanya Adib nak guna sekejap Gen2 itu sementara Affiz outstation. Dan Affiz cuma sempat kirimkan kunci kereta itu pada Sufi saja sebab Affiz sendiri tak sempat nak berjumpa dengan Adib. Adib baru sampai ke KL pagi ni. Affiz pula dah selamat sampai ke Terengganu nun.

“Actually, saya ada kat bawah ni.”

“Bawah? Bawah mana?”

“Bawah office awak. Right in front of the main entrance. Affiz kata, dia parking kereta dia kat office kan?”

“Oh. Okey. Saya turun sekejap.”

“Okey.”

Kelam kabut Sufi mencari kunci kereta Affiz di dalam beg tangannya. Hari itu sebaik saja Affiz serahkan pada dia, dia terus campak masuk ke dalam beg. Selepas tangannya berjaya mengambil kunci kereta itu dari dalam begnya, dia terus bangun dari kerusi dan berlalu ke pintu office itu. Sempat dia berpesan pada Ng yang dia nak turun sekejap. Takut Ng bising pulak pada dia. Dah la dia ambil cuti separuh hari tadi!

Dan selepas turun lif ke main entrance, dia mencari-cari kelibat Adib. Dan pada masa itu la dia baru tersedar sesuatu. Dia mana pernah jumpa Adib sebelum ini! Jadi macam mana dia nak bagi kunci ini pada Adib? Dah la tak kenal muka ke apa ke. Tak tanya pulak si Adib tu pakai baju apa tadi. Kalau tanya tadi kan senang? Tak payah la dia mencari-cari lelaki itu di sekitar main entrance ni. Haih… Dah bertambah kerja!

“Sufi?” Seseorang menyapa dia dari belakang.

Sufi menoleh. Dan dia terpandangkan seorang lelaki tengah berdiri di belakangnya, segak memakai kemeja dan seluar slack. Lelaki itu sempoi memakai beg silang yang disilangkan ke belakang pinggangnya.

Eh. Sekejap. Siapa dia ni? Adib ke?

“Sufi?” Lelaki itu bertanya lagi, seolah-olah inginkan kepastian.

“Err… saya.”

Lelaki itu mula tersenyum. “Saya Adib, cousin Affiz. Saya yang call awak tadi.”

“Oh. Sorry, saya lupa nak tanya tadi… you know, awak pakai baju apa, colour apa. I’m just a little bit rushing tadi. Sorry sangat.”

“It’s okay. Busy sangat ke sekarang?” tanya Adib, sekadar berbahasa.

“Busy la jugak. Nak kejar deadline, nak kena siapkan itu, siapkan ini, rushing macam orang gila!” Tiba-tiba Sufi rasakan yang diri dia ini jadi terlebih peramah pula. Entah angin apa yang masuk ke dalam badannya, senang saja dia nak ‘membebel’ pada sepupu Affiz ini. Bila dia sedar yang ini Adib, dan bukannya Affiz yang selalu terpaksa dengar bebelannya, dia terus terdiam. Malu! “Eh. Sorry… awak nak kunci kan?”

Sufi menyeluk tangannya ke dalam poket baju kurungnya. Dia malas nak bawak beg tangan sekali tadi. Itu yang dia masukkan saja kunci itu dalam poket bajunya.

“Here.” Dia serahkan kunci tu pada Adib.

“Thank you. Kat mana Affiz parking kereta dia ya?” tanya Adib.

“Kat basement bawah ni je. Awak tahu kan nombor plat dia?”

Adib mengangguk. “And one more thing, does he mentioned you about… a barang?”

“Barang?” Sufi dah buat muka blur. Apahal tiba-tiba ayat Adib ni dah macam nak edar dadah je?

“I don’t know how to explain. But I just got his message this morning.” Adib menghulurkan iPhone hitam miliknya itu pada Sufi, meminta Sufi membaca sendiri mesej yang dihantar oleh Affiz. Teragak-agak Sufi mengambil handphone mahal itu.

Bro, kat tempat duduk belakang ada satu barang ni. Kau tolong bagi kat Sufi nanti. Aku lupa nak bagi dia hari tu. And one more thing, make sure kau jaga kereta aku elok-elok. Kalau tak aku bakar Audi kau.

“Barang apa?”

Adib angkat bahu.

*****************

Sufi memandang saja kotak yang cantik berbungkus dengan pembalut hadiah di tangannya itu. Tadi, sebelum Adib turun ke basement untuk mengambil kereta Affiz, lelaki itu meminta Sufi tunggu dia di depan pintu utama bangunan office Sufi. Sebab Adib nak sampaikan terus ‘barang’ yang dikirim oleh Affiz itu. Dan sebaik saja Adib berhentikan kereta di depannya, Adib terus menghulurkan bungkusan yang macam hadiah itu kepada Sufi.

Sufi sempat membaca kad kecil yang terlekat di bungkusan itu.

Happy 24th Birthday, makcik! J

“Your birthday?” Adib yang masih berdiri di depannya, bertanya.

Sufi tergelak pendek dengan soalan Adib itu. “Birthday saya bulan lepas. Sepupu awak tu memang selalu ketinggalan zaman. Birthday present untuk tahun lepas, saya baru dapat awal tahun ini. Gila kan dia tu?”

Adib juga ikut ketawa mendengar cerita Sufi itu. “So, happy belated birthday.”

Sufi tersengih. “Thanks.”

“So, I got to go. Dah petang sangat dah ni. So, thanks ya? Jumpa lagi.” Adib dah masuk ke dalam Gen2 merah itu. Sufi berundur sikit ke belakang. Dia angkat tangan pada Adib sebagai tanda selamat jalan. Gen2 itu terus bergerak meninggalkan bangunan office empat tingkat itu.

Sufi merenung kotak di tangannya. Hadiah? Heh. Kenapa la si Affiz ni terlebih ‘romantik’ nak hias hadiah ni? Sebelum ni selamba saja dia bagi hadiah kain ela pada Sufi tanpa pembalut hadiah. Siap ada tanda harga lagi! Tak senonoh betul! Tanpa sedar, Sufi tersenyum sendiri mengenangkan sikap Affiz yang satu itu. Affiz… Affiz…

Sufi berpaling semula untuk masuk ke dalam bangunan itu. Bising pulak si Ng tu nanti kalau dia berlama-lama di sini.

Dan semasa dia berpaling itu la, dia ternampak Zaim tengah berdiri di sisi kereta lelaki itu, sambil memandang tepat ke arah Sufi.

Zaim! Rajinnya tunangnya itu datang ke office dia ni! Sufi spontan nak senyum pada Zaim ketika itu. Yalah, akhirnya terbuka juga hati Zaim untuk berjumpa dengan dia. Selama ini susah betul dia nak tengok muka Zaim. Tapi bila melihatkan pandangan Zaim yang agak tajam pada dirinya, Sufi mula merasakan yang dia sekarang dalam masalah besar.

Zaim dah tersalah anggap dengan babak antara dia dengan Adib tadi! Dan yang lebih ‘menambah perasa’, Zaim nampak Adib bagi hadiah ini pada Sufi. Alamak… mesti Zaim betul-betul dah salah faham ni!

Sufi terus melangkah laju ke arah Zaim di seberang jalan itu. Zaim pula dah bersedia untuk masuk semula ke keretanya. Nampak sangat yang Zaim betul-betul marah dengan babak antara dia dengan Adib tadi. Dia kena settlekan hal ini sekarang juga. Kalau tak, sampai bila-bila pun Zaim takkan percaya pada dia lagi. Ini pun kira bertuah la si Zaim ini nak juga datang ke office Sufi. Mungkin Zaim nak perbetulkan keadaan mereka berdua ini.

Sufi sempat menarik lengan Zaim sebelum lelaki membuka pintu kereta. Nasib baik Zaim memang pakai kemeja lengan panjang masa tu. Kalau tak, mati dia kena bebel dengan abang sebab sentuh anak teruna orang!

“Zaim. Tunggu dulu. Awak salah faham ni.”

Zaim pandang Sufi, tajam. “Apa lagi?”

“Zaim, lelaki tadi tu…”

“I don’t need your explanation. So, please don’t explain anything to me!” Tegas Zaim. Riak muka lelaki itu jelas menunjukkan yang Zaim betul-betul tengah marah.

“Zaim…”

“Saya sangat kecewa dengan awak, Sufi. Saya datang sini semata-mata nak jumpa awak, nak berbaik dengan awak, tapi… apa yang saya dapat? Dah lama saya saya tunggu peluang nak jumpa awak, nak settlekan problem kita ni, tapi… tengok? Apa yang jadi? Awak ingat saya suka ke tengok tunang saya keluar dengan orang lain?”

“Saya tak keluar dengan dia.”

“Habis, tadi tu apa?”

“Zaim, dia tu sepupu Affiz. Dia datang sebab nak ambik kereta Affiz je.” Bersungguh-sungguh Sufi menerangkan hal sebenar pada Zaim. Dia tahu susah untuk dia jelaskan keadaan sebenar dalam situasi mereka yang macam ini.

“So what’s that in your hand? Present from your boyfriend? I thought your birthday was last month?” Sinis suara Zaim ketika itu.

Sufi dah tertunduk. Dia dah tak idea macam mana nak terangkan hal ini kepada Zaim. Dia penat. Sangat-sangat penat. Dengan kerja yang masih menimbun di atas sana, dengan hal Zaim ni… dia rasa macam dah putus asa. Sejak sebulan dua kebelakangan ini, dia tahu hubungannya dengan Zaim sangat perlahan. Langsung tak ada sebarang komunikasi antara mereka berdua. Masing-masing buat hal sendiri. Dan bila Zaim nampak dia dengan Adib tadi, dia tahu masalah antara dia dengan Zaim akan bertambah besar. Dan dia tak tahu macam mana selesaikan hal ini.

“Zaim, tolong la percaya cakap saya. Itu je yang saya minta dari awak.”

“Percaya? Macam mana saya nak percaya kalau benda ni jadi kat depan mata saya sendiri?”

“Kalau saya boleh percayakan awak, kenapa awak tak boleh? Even saya nampak awak dengan perempuan lain pun, saya still boleh diam lagi tau!” Sufi dah mula meninggikan suara. Nasib baik di kawasan itu hanya ada dia dengan Zaim saja.

“Bila? Bila saya keluar dengan perempuan lain?” Dengan nada yang sama juga Zaim membalas.

“Jangan buat tak tahu la! Yang hari tu masa kat Jusco tu apa? Awak ingat saya ni buta ke?”

“Jusco?” Zaim dah terdiam. Dia pandang tepat mata Sufi, seolah-olah tengah mencari jawapan bagi soalan Sufi itu. “Saya tak tahu pulak yang awak dah tak kenal dengan Liya, Sufi.” Tajam kata-kata itu keluar dari mulut Zaim.

Sufi tiba-tiba terkelu.

Liya? Liya adik Zaim tu? Maknanya Liya sekarang ni dah bertudung? Dan gadis yang dia nampak bersama Zaim hari itu… Liya?

“Kenapa? Dah tak kenal dengan ‘girlfriend’ saya tu?” Zaim menekan perkataan ‘girlfriend’ itu.

Sufi diam. Dia dah betul-betul terkedu!

“Talking about Jusco, lelaki tu la kan yang awak jumpa dulu?”

Sufi pandang Zaim, dan berkerut dahi. Tak faham.

“Dah la, Sufi. Saya dah bosan la dengan semua ni. Saya dah penat.” Zaim terus membuka pintu keretanya. Sufi dah tak mampu nak halang Zaim. Semangatnya hilang terus bila dia mula sedar kesilapan dia.

Sebelum Zaim masuk ke dalam kereta, lelaki itu sempat menoleh ke arah Sufi dan bertanyakan sesuatu. “I bet you even not remember what day is today, isn’t it?”

Sufi hanya diam, matanya terus memandang Zaim.

“It’s our first anniversary.” Zaim bercakap sepatah-sepatah. “So, happy anniversary, Nurul Sufiana.”

Selepas itu Zaim terus masuk ke dalam kereta dan mula menghidupkan enjin kereta. Tak lama selepas itu kereta Zaim terus meluncur laju meninggalkan Sufi yang masih berdiri tegak di situ.

*****************

Sufi sembamkan mukanya ke bantal. Dia rasa semangatnya hari ini betul-betul jatuh merudum!

Pertama sebab hal dengan Zaim tadi. Kedua sebab dia kena tengking dengan Ng sebab dia tak sempatkan siapkan skop kerja yang diminta oleh bosnya itu. Ketiga sebab dia terpaksa stay back sampai pukul 10.00 malam semata-mata nak siapkan kerja yang diminta oleh Ng. Keempat sebab dia dah terlanggar divider dalam perjalanan pulang tadi. Dan yang kelima sebab dia dimarahi oleh abang dek kerana cuai memandu kereta sampaikan terlanggar divider.

Dan sekarang ni dia nak tidur. Dia tak nak fikir apa-apa lagi yang boleh buat dia sedih!

*****************

“Uit, Achik!” Nana mencuit lengan abangnya yang tengah bersandar di sofa.

“Jangan kacau Achik la, adik. Pergi main jauh-jauh.” Dengan mata yang masih terpejam, Zaim ‘menghalau’ adik bongsunya itu.

Nana mencebik. “Orang nak bagi hadiah, dia tak nak.”

“Hadiah apa bendanya?” Zaim bersuara malas.

“Bukak la mata tu. Tengok dulu hadiah ni.”

Malas-malas Zaim membuka mata. Terpaksa melayan karenah si adik seorang ini. Kalau tak dilayan, makin bising nanti si Nana ni. Nana ni memang manja sikit dengan dia. Tapi kalau dengan Liya, lagi la si Nana ni manja. Mungkin sebab perbezaan umur mereka yang tak jauh.

“Taaraaa!!!” Nana menghulurkan satu kotak kecil kek di depannya.

“Kek? Adik, adik tahu kan Achik tak ma…”

“Ya. Adik tahu Achik tak makan benda-benda manis. Tapi try la bukak dulu kotak ni.” Nana dah potong kata-kata abangnya.

Zaim mengeluh. Dia mengambil kotak kek itu dari tangan Nana. Dan dibukanya penutup kotak itu. Sebiji kek kecil terletak elok di dalam kotak itu. Mata Zaim membaca tulisan yang terukir kemas di atas kek itu.

Happy 1st Anniversary, My Fiancee J

Nafas Zaim terasa sesak. Dia membaca pula post-it-note berwarna hijau terang yang terlekat di sebelah dalam kotak itu.

Kek ni tak manis pun. Saya dah kurangkan gula. J

- Sufi -

“Comelnya kek ni! Achik, makan la cepat. Adik pun nak rasa kek ni.” Nana dah mula ‘bising’ di sebelahnya.

“Mana adik dapat kek ni?”

“Kak Sufi la hantar tadi.”

“Bila dia hantar?”

“Masa adik baru balik dari sekolah. Nasib baik adik balik awal tadi. Kalau tak kesian la dia kena tunggu kat tengah-tengah panas.”

Zaim diam sekejap. Tengah hari? Maknanya Sufi datang sini masa lunch break?

“Adik borak apa lagi dengan dia?”

Nana meninjau-ninjau lagi kek di dalam kotak itu. “Tak borak apa-apa pun. Kak Sufi tanya okey ke tak orang belajar. Lepas tu cakap-cakap sikit pasal kerja dia. Kak Sufi kerja setengah hari tadi. Nak buat kek ni la tu agaknya. Bertuahnya Achik!”

Bertuah ke aku?

“Ha. Achik rugi tau! Tadi sebenarnya Kak Sufi nak ajak Achik pergi dinner. Tapi, Achik busy eh?”

Zaim berkerut dahi.

“Kak Sufi kata Achik busy je sejak dua menjak ni. Dia takut kalau Achik kelam kabut nanti.”

Zaim mula termenung panjang.

Maknanya… Sufi tak lupa yang hari ini ulang tahun pertama pertunangan mereka? Maknanya… masa dia bergaduh dengan Sufi petang tadi, tunangnya itu dah hantar dah pun kek ini ke sini? Dan maknanya… Sufi betul-betul hargai pertunangan mereka ini sampaikan Sufi ada niat nak ajak dia dinner bersama-sama? Tapi kenapa gadis itu hanya diam saja bila Zaim bertanya tadi? Langsung tak menjawab. Dan siapa sebenarnya lelaki tadi tu? Betul ke itu sepupu Affiz? Tapi… hadiah tu?

Dia sepatutnya tanya betul-betul pada Sufi tadi!

“Adik, tolong Achik kejap.”

“Tolong apa?”

“Ambikkan phone Achik kat kabinet TV tu.”

“Laa… ingatkan nak suruh adik ambik pinggan dengan garfu tadi.”

Zaim tersengih. Nampak sangat Nana betul-betul nak makan kek ini. “Ha. Ambik tu sekali. Tapi ambikkan phone Achik dulu.”

Dia kena tanya betul-betul pada Sufi.

*****************

“Fiz.”

“Abende?”

“Aku rasa aku kenal la Sufi tu.”

Affiz angkat kepala dan memandang Adib di depannya. Sup daging yang masih berasap nipis di depan Adib, masih tak bersentuh. “What’s the point?”

“Tak ada la… tapi aku rasa macam aku pernah jumpa dia dulu. Dia ada mention nama kau masa dia tegur aku dulu. Aku rasa dia misunderstanding yang aku ni kau.”

“Ye ke? Bila?”

“Tak ingat la. Dah lama dah. Dalam bulan lepas rasanya.”

Affiz menyuap kepingan daging merah ke mulut. Bulan lepas? Bila masa pula Sufi terjumpa dengan Adib ni? Sufi ada cerita ke? Ingat balik, Affiz. Ingat balik. “Kat mana kau jumpa dia?”

Adib mula menghirup sup dagingnya. “Kat Jusco rasanya.”

Hah. Affiz mula teringat tentang cerita Sufi tegur orang yang disangkanya Affiz dulu!

“Oh… yang tu! Aku rasa dia ada cerita dulu. Gila-gila dia yakin yang itu aku kot.”

Adib dah tersengih. “Member kau tu brutal, doh. Terkejut aku bila dia hempuk bahu aku. Nasib baik aku tak bukak silat aku kat situ.”

Affiz dah ketawa. “Siapa suruh muka kau iras-iras muka aku? Kan dah kena!”

“Dol, muka kau yang sibuk nak ikut muka aku, okey?”

“No, kita tak salah dalam hal ini. Yang salah ialah…”

“Mama kau dan mama aku!”

Masing-masing dah tergelak besar. Memang ayat itu yang akan keluar dari mulut mereka kalau masing-masing tak nak mengaku siapa yang muka sama dengan siapa. Ibu Affiz dan ibu Adib sebenarnya kembar. Dan gene ‘muka sama’ itu turun pada Affiz dengan Adib. Ramai yang menyangka mereka berdua sebenarnya adik beradik. Tapi, sebenarnya mereka sepupu.

“Sufi tu sebaya kau ke?” tanya Adib lagi, cuba menampakkan yang itu hanya soalan biasa. Tapi Affiz dah boleh agak apa sebenarnya intipati sebenar soalan Adib itu.

“Dia muda setahun.”

“Oh…” Adib angguk. Dia menghirup lagi sup daging di dalam mangkuk sederhana besar itu.

Affiz menjeling Adib yang masih buat-buat selamba itu. Dia kena cegah ‘penyakit’ Adib sebelum menjadi lebih parah ni!

“Dia dah tunang la, bro.” Selepas dia menuturkan ayat itu, dia perasan tangan Adib yang menyuap sup ke mulutnya, terhenti sekejap. Lepas itu, Adib terus menyambung suapannya semula, seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku.

“Did I mention something?” tanya Adib, berlagak tenang.

“Knowing you bro, aku tahu isi dalam kau macam mana.”

Adib angkat bahu. Malas nak komen apa-apa. Dah bertunang, huh?

*****************

Sufi tunduk. Dia diam saja dari tadi. Langsung tak bercakap. Orang di sebelahnya ini pun diam saja. Cuma sesekali terdengar suara lelaki itu berdehem, dan menarik nafas. Seolah-olah cuba memberitahu sesuatu yang sukar untuk diungkapkan.

Sufi mula rasa berdebar. Sejak akhir-akhir ini, dia memang selalu mengelak daripada Zaim. Sejak hari dia bergaduh dengan Zaim di depan bangunan office, Zaim selalu cuba menghubungi dia. Tapi dia sengaja tak mahu menjawab. Bukan sebab dia ak mendera Zaim, tapi sebab dia takut. Dia takut kalau-kalau Zaim nak beritahu yang Zaim mahu putuskan pertunangan mereka berdua.

Sungguh dia tak nak itu semua berlaku! Dia sayangkan Zaim. Dan dia mula sedar yang lelaki itu memang dah bertapak di dalam hatinya. Kebaikan dan kesabaran lelaki itu dalam melayani karenahnya yang pelbagai ini, sangat menarik hatinya untuk terus menyayangi lelaki itu. Tapi… macam mana kalau Zaim tekad nak putuskan pertunangan mereka?

Dia sangat terkejut tadi bila Zaim tiba-tiba muncul di depan rumahnya pagi tadi. Nak tak nak terpaksa la dia bersetuju bila Zaim ajak dia ke tasik ini. Itu pun sebab Zaim tanya di depan abang. Memang la dia tak berani nak tolak. Zaim tahu dia sangat ‘lembut’ dengan abang. Dia tak berani nak cakap ‘tidak’ pada abang.

“Kenapa senyap?” Zaim tanya Sufi.

Sufi telan air liur. Dia tak tahu nak tafsirkan nada suara Zaim itu. Sama ada lelaki itu marah ke, dingin ke, perli ke. Sungguh dia tak tahu.

“Err… tak ada apa nak cakap.”

“Sebab tu selama ni tak jawab phone call saya? Sebab memang dah tak ada benda nak cakap?”

Sufi terdiam.

“Kita banyak benda yang nak kena bincang, Sufi. Banyak sangat.”

Diam lagi.

“Sufi…”

Sufi telan air liur, entah buat kali ke berapa entah.

“Thanks for the cake.”

Sufi cuma angguk, agak teragak-agak.

“Sedap kek tu. Tak manis sangat.” Zaim curi pandang pada Sufi di sebelah. Gadis itu masih diam, dan asyik menunduk saja dari tadi. Sufi masih marah pada dia ke? “Nanti buatkan lagi, boleh?”

Spontan Sufi angkat kepala. Dan spontan juga Sufi menoleh ke arah Zaim. Zaim tengah senyum pada dia la! Maknanya Zaim tak marah dia lagi? Zaim takkan putuskan pertunangan mereka kan? Kan? Lama dia pandang muka Zaim, seolah-olah mahu memastikan kesasihan fikirannya itu. Dan bila dia lihat Zaim masih tersenyum, malah mata Zaim juga turut ‘tersenyum’, Sufi memberanikan diri membalas senyuman Zaim itu.

“Err… awak tak marah saya lagi?” Teragak-agak Sufi bertanya.

Zaim senyum. “Saya tak patut marah awak sebenarnya. Sorry.”

Masing-masing tersenyum. Macam pelik pula sebab tiba-tiba saja mereka boleh berbaik selepas beberapa minggu asyik bergaduh saja.

“Know what? Bila awak tak jawab semua phone call saya tu, saya rasa risau sangat. Saya tahu awak marah kat saya. Tapi bila dah setiap kali saya call awak tak angkat, baru saya rasa balik apa yang saya buat kat awak dulu.”

“Buat apa?”

“I didn’t answered your phone calls. Remember?”

Sufi hanya menunduk. Tak tahu nak bagi reaksi macam mana.

“I’m sorry, Sufi. Really sorry.” Dengan nada bersalah Zaim meminta maaf.

Sufi tarik nafas panjang. “It’s okay la, Zaim.”

“Betul ni?”

“Yup.”

“So… buat kek untuk saya lagi. Please?”

Sufi menoleh. Itu pulak yang diminta oleh Zaim. Memang nak kena ni! “Mana boleh makan kek banyak sangat. Nanti muak.”

“Tak apa. Nanti kalau saya dah bosan, awak tak payah la buat lagi.”

“Tak nak. Saya nak buat kek masa hari-hari special je. Kalau selalu sangat buat nanti hilang seri.”

“Hari-hari special?”

“Hmm. Macam anniversary ke, birthday saya ke, birthday awak ke…”

“Birthday anak-anak kita?” Zaim menyampuk.

“What?”

“Birthday anak-anak kita?” Zaim mengulang dengan muka tak bersalah.

“Err… hmm. Birthday anak-an…”

Zaim dah tersenyum nakal. “Pardon?”

“Err… anak-anak buah saya!”

“Since when you have anak-anak buah, Sufi?”

“Kak Ngah kan tengah pregnant sekarang?” Nasib baik dia tiba-tiba teringat pada Kak Ngah. Fuh…

Zaim tergelak pendek. Tahu sangat alasan Sufi tu! “Okey. Awak sangat pandai mencari alasan.”

Sufi turut tergelak bila dengar kata-kata Zaim itu. “Terima kasih.”

“Sufi…” Nada suara Zaim dah masuk dalam mode serius. Sufi pula yang rasa berdebar tak menentu.

“Hmm.”

“Buat kek birthday untuk anak-anak kita sekali?” Cukup tenang Zaim menuturkan kata-kata itu.

Sufi rasa dia berada di awang-awangan. Walaupun nada Zaim itu sangat bersahaja, tapi Sufi rasa itu la kata-kata yang paling romantik yang pernah Zaim katakan pada dia! Berbunga-bunga rasanya hati Sufi saat ini. Hahah!

“InsyaAllah…” Sufi menjawab penuh hormat.

Zaim memandang Sufi yang sudah mengukir senyuman manis itu. Tersentuh hati dia melihat keikhlasan Sufi itu. Alhamdulillah dia tak jatuh hati pada orang yang salah. Dia sangat bersyukur dapat bertemu dan bertunang dengan Sufi walaupun hakikatnya tempoh pertunangan mereka banyak dilanda masalah.

Bak kata orang, setiap yang pahit itu pasti akan berbalas dengan yang manis. Tapi bagi Zaim, tiada langsung kenangan pahit sepanjang dia bertunang denganSufi ini. Dia lebih senang mengklasifikasikan ianya sebagai pengalaman. Pengalaman yang membuatkan dirinya menjadi matang.

“Sufi…”

“Hmm?”

“Awak nak kahwin dengan saya?” Zaim cuba bersuara tenang. Nak ajak kahwin pun, rasa cuaknya lain macam. Rasa kering tekak dia asyik menelan air liur saja dari tadi. Cuak punya pasal!

Sufi melempar pandang ke tengah tasik. Rasa berderau darahnya. Zaim… melamar dia? Tak berani rasanya nak pandang Zaim di sebelah. Rasa macam lelaki itu tengah pandang tajam pada dia. Sufi tahu muka dia dah merah dah sekarang ni. Dia tak tahu macam mana nak sorokkan mukanya dari Zaim. Segannya!

“Kenapa tanya soalan tu?”

Zaim dah betul-betul cuak. “Err… awak… tak nak?”

Spontan Sufi menoleh pada Zaim. Kenapa tunang dia ni blur sangat ni? Sufi terus menghempuk lengan Zaim dengan sling bag di ribanya. Hempuk main-main saja la. Nak hempuk betul-betul nanti, takut lebam pula lengan anak teruna orang ni!

“Bila masa saya cakap tak nak? Kan saya dah janji nak buat kek untuk a…” Sufi rasa darahnya terus terserbu ke muka. Rasa panas kulit wajahnya sekarang ni. “… untuk anak-anak kita?” Perlahan saja ayat terakhir itu keluar dari mulutnya. Dia sempat melihat senyuman Zaim semasa dia tuturkan kata-kata itu.

“Thanks…” Zaim senyum lagi. “You know what?”

“Hmm?”

“Saya dah ada nama untuk anak-anak kita.”

Sufi ternganga. “What???”

“Yup, saya dah ada nama untuk anak-anak kita. Kalau anak kita lelaki, saya cadang nak letak nama Zaim Iskandar ke, Zaim Imran ke, Zaim Suffian ke. Kalau anak kita perempuan pulak, kita letak la nama Sufi Liyana ke, Sufi Zahirah ke, Sufi Syuhada ke…”

Zaim berhenti bercakap bila Sufi tiba-tiba ketawa.

“Kenapa nama diorang ada nama kita sekali?”

“Sebab kita kan parents diorang?”

“Oooookaaayyy.” Meleret-leret Sufi menjawab.

“Okey kan nama tu?”

“Hmm. Sounds nice.”

“Thanks… sayang.” Zaim bersuara romantik.

Sufi ketap bibirnya. “No. Jangan panggil saya sayang. Awak jangan nak romantik lebih-lebih dengan saya.”

Zaim ketawa. Dia tahu benar dengan sikap Sufi yang satu itu. Sufi tak suka situasi yang terlalu romantik sangat. Tengok saja la keadaan dia dengan Sufi ini. Kalau orang lain, mesti dah guna ‘sayang-abang’ sebagai kata ganti nama. Tapi dia dengan Sufi pula, selamba saja guna ‘saya-awak’. Simple kan? Tapi Zaim tetap rasa yang ianya sangat manis walaupun masih ber‘saya-awak’ dengan Sufi.

“Okey, sayang.”

“Zaim!”

“Apa, sayang?”

“Zaim. Lagi sekali awak cakap macam tu…” Sufi tuding jeri telunjuknya di depan muka Zaim. Konon nak mengugut Zaim la. Tapi dia tahu Zaim takkan peduli pun dengan ugutannya itu.

Zaim siap angkat kening lagi, tanda dia langsung tak takut dengan ugutan Sufi itu.

“… hisy! Susah betul nak ugut dia ni!” Sufi memprotes. Dia geram tengok muka Zaim yang langsung tak ada rasa bersalah itu. Haih… sabar aje la, Sufi.

Zaim pula terus ketawa. Ketawa bersungguh-sungguh sampaikan orang yang tengah berjoging di tepi tasik itu menoleh ke arah mereka. Dia dah tak peduli semua itu. Asalkan hubungannya dengan Sufi makin pulih. Dan dia berharap hubungan ini akan melangkah ke fasa seterusnya.

Amin.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

28 ulasan untuk “Cerpen : Manis Dalam Pahit”
  1. IFA says:

    I loike!!! U got the magic touch lah sis

  2. ira says:

    Best laaaa . x rugi baca , haha (y)

  3. DXR says:

    interesting…rasenye macam ni la lebih kurang gambaran suka-duka dalam tempoh pertunangan kan ye

  4. DXR says:

    interesting…rasenye macam ni la lebih kurang gambaran suka-duka dalam tempoh pertunangan kan ye x?

  5. cik bunga says:

    simple but nice … very nice !!

  6. amni says:

    what happen to adib? btw i like this story. simple. good job writer. :)

  7. Aekime says:

    DXR : Yes, tempoh waktu bertunang tu la kita kena kuatkan hati dengan semua dugaan. Kalau kita bersabar, InsyaAllah dugaan tu akan bertukar menjadi pengalaman yang manis. :)

    amni : What happen to Adib? Hmm… seems like I have to write another cerpen about that guy. Any idea?

  8. himo says:

    wow!!!!~~~~~~~ so nice! good!! i like it!! sy suka gila!! tpi klu campur dgn alam perkahwinan lgi sweet~~ hehehhe….n yeah! sy suka cara sufi tu still menjaga adab n x bersentuhan pon dgn laki! itu yg sy suka! sbb kebanyaknnya bru bertunang tpi dh sentuh2….noooo~~

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"