Cerpen : Surat Untuk Bakal Isteriku

10 May 2013  
Kategori: Cerpen

55,292 bacaan 192 ulasan

Oleh : Hanan Az-Zahra

“Qaisara, betul awak tak nak ikut kami pergi makan?” Tanya Kak Maria padaku. Dia sedang ralit di depan cermin, mempersiapkan diri untuk keluar makan malam bersama roommate ku yang lain. Aku menggelengkan kepala.

“Qaisara tempah je. Lagi pun kejap lagi senior Qaisara datang nak temu bual Qaisara” Kali ini aku berterus terang kenapa aku tidak ikut mereka bersama. Aku segan untuk memberitahu mereka, yang aku akan di temu ramah.

“Temu ramah pasal apa Qaisara?” Tanya Haneesah. Aku merasa amat malu ketika itu untuk memberitahu hal sebenar.

Kak Maria duduk di penjuru katil bujangku. “Ni kenapa muka berubah jadi pink ni?” Soal kak Maria. Aku meraba mukaku. Pink?

“Haaa. Ni mesti ada apa-apa ni? Kau mengandung ea?” Haneesah menduga. Aku menggeleng laju, lantas membalingkan bantal ke arah Haneesah. Saja je nak buat aku malu!

“Neesa. Mana ada orang temu bual pasal orang mengandung. Agak-agaklah. Qaisara bukannya artis. Kecuali” Kali ini Kak Isro’ pula bersuara.

Aku mengangkat muka ku apabila mendengar perkataan kecuali?? Sah! Maknanya kak Isro’ yang memberikan number telefonku kepada senior tersebut. Eeee.

“Kecuali apa?” Tanya Kak Maria dan Haneesah serentak. Teruja sekali mereka ingin mengetahui sebab aku di temu bual.

“Kecuali, ada orang nak temu bual Qaisara tentang kenapa dia memilih berkahwin muda. Betul tak?” Kak Maria bersuara. Aku membulatkan mata. Kak Maria sudah tahu, tapi masih bertanya. Mereka menggelakkanku. Kurang asam! Mereka mengenakanku.

“Apa nak malunya Qaisara. Berterus terang jelah dengan kami” Haneesah datang mendekati aku. Sumpah aku malu!

“Entah. Malu sangat nak bagi tahu sebab senior Qaisara datang nak temu ramah” Kata Kak Isro’.

Aku cuba mengamati setiap seorang. Siapa antara bertiga ini memecahkan tembelangku kepada seniorku? “Siapa yang bagi number Qaisara pada Kak Daria?” Soalku.

Semua mendiamkan diri. Sepertinya tidak mendengar soalan yang aku ajukan. Aku mendengus geram.

“Qaisara, kami pergi dulu. Apa-apa penambahan order, mesej je akak, or siapa-siapalah yang Qaisara nak mesej antara kami ni. Hehehe.” Kak Maria mengenyitkan matanya. Huh!

Aku memandang jam. Sudah pukul 9.30 malam. “Akak ni jumpa tak bilik aku ni?” Aku membebel sendiri. Aku menarik telefon bimbitku yang terletak di bawah bantal. Tanganku laju menaip mesej.

#Kak Daria jadi datang tak?

Aku menekan butang send. Tok, tok, tok. Pintu bilikku di ketuk. Aku mengeluh. Mesti Kak Daria. Menghabiskan kredit aku je. Dah lah dia pakai Maxis. Aku merungut.

Aku menapak ke arah pintu. Apabila aku membuka pintu, kelihatan kak Daria sedang membaca mesej. Dia tersenyum. Dia mengangkat tangannya yang memegang telefon bimbit tersebut.

“Sorry Qaisara, akak baru baca mesej” Aku tersenyum sendiri. Dia tak tengok agaknya waktu bila aku hantar mesej tu.

“Jemput masuk kak” Aku mengajak Kak Daria masuk. Dia seniorku di sini. Aku baru semester 3 dan dia pula sudah semester 6.

“Maaf ganggu Qaisara. Boleh ke akak nak temu bual ni?” Soal Kak Daria. Aku tersengih. Dah ada depan mata dah pun, takkan aku nak halau balik pulak!

“InsyaAllah, boleh kak?” Aku tersenyum. Dia mengangguk. Dia mengeluarkan perakam suara dan juga buku nota berserta pen.

“Okay, mula-mula akak nak nama penuh Qaisara, course apa dan semester berapa” Pen sudah terletak elok dalam genggamannya.

“Nama penuh Qaisara, Nur Qaisara Irdina Binti Muhammad Hossein. Qaisara ambil course Undang-undang, dan sekarang semester tiga.

“Kalau boleh akak tahu, Qaisara ni kacukan Arab – Melayukan?” Aku sekadar mengangguk pertanyan yang tidak berapa penting bagiku.

“Patutlah cantik” Aku tertunduk malu. Aduh! Puji aku pula. Mesti muka aku dah berubah pink. Hehe.

“Eh. Malu pulak dia.” Tegur kak Daria. Aku hanya tersenyum.

“Okay. Sekarang akak akan bertanya soalan yang sebenar.” Dia memberitahuku.

“Actually, akak kena buat research berapa banyak student kat kampus kita ni sudah berkahwin. Dan akak nak tahu, sebab kenapa memilih untuk berkahwin walaupun masih muda dan masih belajar.” Aku sekadar menadah telinga apabila kak Daria menerangkan maksud kedatangannya.

“Itu basic question jelah. Ada soalan lain yang akan menyusul” Kak Daria tergelak kecil.

“Okay. Boleh Qaisara ceritakan sedikit, bagaimana perkenalan Qaisara dengan suami?”

*****

Aku memasuki kelas pagi itu seperti biasa. Membuka lampu, dan meletakkan beg sekolahku di atas bangku, dan meletakkan beberapa buah buku di atas meja.

Perkara pertama yang aku perlu buat pagi ini ada mengemas kelas. Hari ini aku bertugas!

Aku mengambil penyapu dan menyapu setiap sudut kelas. Aku menggelengkan kepala. Sampah tak banyak. Tapi pasir yang banyak. Dah macam pasir tepi pantai! Hehe.

Kali ini tiba di barisan mejaku. Aku mendongakkan sedikit meja agar mudah untuk menyapu.

Ketika ingin menurunkan meja, tanganku terlepas memagang meja tersebut dengan kemas. Bukuku berterabur dan meja pun tumbang.

Aku mengeluh kecil sambil menggelengkan kepala. Aku mengangkat semula meja untuk diletakkan di tempatnya semula.

Mataku menangkap sampul surat yang berada di dalam meja tersebut. Aku mengerutkan dahi.

“Surat lagi? Eee.. Tak penat ke peminat-peminat fanatic aku ni bagi surat” Aku membebel ketika menarik surat tersebut keluar dari dalam meja. Bukan 1 tapi 4!

Aku ini gadis biasa sahaja. Tidaklah pelajar pandai, bukan juga pelajar yang baik dan sopan. Ada ganasnya. Cantik? Bolehlah. Mungkin sebab aku kacukan Melayu – Arab, membuatkan wajahku sungguh jelita. Uwekkk. Sorry. Terpuji diri sendiri pula.

Aku melangkah ke tong sampah dan ingin membuang surat-surat yang menyemak di bawah mejaku. Aku mencampakkan surat tersebut dari jarak yang dekat. Satu surat tidak masuk.

“Aisey! First time tak masuk aku campak. Selama ni sentiasa gol!” Aku merungut. Aku melangkah ke surat tersebut. Sampulnya di buat sendiri. Sungguh unik.

Aku menebalikkan surat tersebut ‘Untuk bakal isteriku, Nur Qaisara Irdina’

Aku membulatkan mataku. Eh? Bakal isteri??? Secara automatic aku membawa surat tersebut bersamaku. Niatku ingin membaca surat tersebut di mejaku.

Baru aku ingin membuka sampul surat tersebut “Qais! Kau buat apa tu ha? Dah sapu kelas belum?” Sahabatku Nurul Izzati baru menapak masuk ke dalam kelas. Aku mematikan niatku, lantas surat tersebut aku masukkan ke dalam poket baju.

“Aaa. Aku tengah sapulah ni. Kau tak nampak ke?” Aku menduga Izzati. Dia meletakkan begnya di atas kerusi.

“Nak aku tolong tak?” Soal Izzati. Dia tidak pernah kedekut untuk memberi sumbangan tenaga dalam membantu. Aku sekadar menggelengkan kepala.

“Tak apa. Sikit je lagi” Balasku pendek. Dia sekadar tersenyum.

Aku menyambung kerjaku yang tergantung. Kotak fikiranku tidak berhenti-henti menayangkan kembali kata-kata pada sampul surat tersebut! Aduh. First time aku jadi penasaran macam ni.

“Kringggg” Loceng sekolah berbunyi, menandakan waktu belajar sesi pertama bermula.

Aku menongkat daguku. Terasa ingin sekali pergi ke tandas untuk membaca surat tersebut. Hehe. Tapi mengenangkan tandas bangunan kelasku terletak di tingkat 1, kakiku berat sekali melangkah.

Confirm mengah aku naik kelas ni semula karang. Kelasku terletak di tingkat tiga. Ah! Biarlah. Nanti-nanti aku baca juga. Aku mengingatkan diriku.

‘Bakal isteri’ ya! Perkataan itu menarik perhatian sebenarnya.

Aku tidak pernah teruja untuk membaca mana-mana surat yang ku terima. Tidak! Kebanyakan surat aku buang, dan ada yang memberikan number, aku memberikan number mereka kepada abang sulungku, untuk dia ‘settle’.

“Hoi!” Satu suara menyergahku. Hish! Aku memandang tajam milik suara yang telah menyergahku. “Wo, wo. Ko marah ke beb? Soal Eisya. Aku menjeling.

“Taklah. Sumpah aku suka!” Aku memerli. Eisya tergelak.

“Sorrylah beb. Aku tengok kau asyik termenung je dari tadi. Kenapa? Siapa telah membuat tuan puteri murka?” Eisya membuat lawak tak berapa bodohnya.

“Aku cepuk juga kau ni karang” Marahku.

“Kau ni kenapa moody ni? Soal Izzati pula. Aku pulak yang moody? Adehh. Sabarkan aja.

Aku membiarkan mereka terus-terusan mengusikku. Tidak kuasa aku ingin melayan.

Aku berlari masuk ke dalam bilik setibanya di rumah. Dari pagi tadi aku bersabar ingin mengetahui kandungan surat tersebut.

Aku membuka sampul surat tersebut, mengeluarkan isi yang ada di dalamnya. Aku membuka lipatan surat tersebut.

“Salam perkenalanku hulurkan buat bakal isteriku Nur Qaisara Irdina. Aku hanya ingin memperkenalkan diriku, yang aku bakal suamimu, dan kau bakal isteriku.

Muhammad Fakhrul Radzi”

Aku mengeluh. Hampeh. Ini sahaja yang dia tulis. Aku punya bagai nak gila baca surat ni tadi kat sekolah.

“Muhammad Fakhrul Radzi” Nama itu meniti di bibirku. Aku tersenyum. Hish. Dah kenapa aku ni. Mainan je tu. Aku mengingati diriku.

*****

“Pengirim surat tu suami Qaisara sekarang ni ke?” Kak Daria menyoal. Aku mengukirkan senyuman di bibirku, lalu aku mengangguk. Pelik. Itu caranya aku mengenali suamiku dahulu.

Ah! Rindunya pada dia yang berada jauh dariku. Aku di sini menghabiskan pengajianku. Habis sahaja belajar nanti, aku akan menemani dia di sana. Di sisinya, di mana di situlah tempat seorang isteri sepatutnya berada.

Peritnya hanya dia dan aku sahaja yang tahu. Tapi kerana tuntutan masa depan yang lebih baik, kami terpaksa merelakan diri, hidup berjauhan biarpun masing-masing menanggung beban rindu yang dasyat.

“Sekarang suami Qaisara buat apa?” Soalnya.

“Dia dekat Mesir sekarang. Awal tahun baru ni dia pergi” Kak Daria mengangguk faham. Bibirku terasa murah dengan senyuman ketika ini.

Mungkin kerana mengingati kenangan-kenangan indah yang pernah tercipta dahulu.

“Suami Qaisara ambil bidang apa?”

“Dia ambil Usuluddin. Dia lepasan STAM” Aku menjawab.

“Seterusnya apa yang terjadi lepas Qaisara membaca surat dia?” Kak Daria menyoalku lagi.

*****

Sudah dua bulan berlalu, tidak ada lagi surat darinya. Aku tercari-cari insan yang bernama Muhammad Fakhrul Radzi. Aku tidak menjumpai siapakah gerangan orangnya.

Pelik. Majoriti pelajar aliran biasa aku kenal. Kecuali??? Mustahil pelajar aliran Thanawi. Tapi tak mustahilkan??

Aku melangkah ke bangunan yang meletakkan pelajar Aliran Thanawi. Kakiku melangkah ke bangunan ini. Setiap mata yang memandang menjadi pelik melihat kehadiranku.

Aku bertudung pendek. Lengan bajuku di singsing hingga siku. Kain ku singkat. Aku sentiasa mengikuti trend pelajar sekolah selalu buat.

Aku merasa malu ketika itu, apabila ada pelajar perempuan yang memandangku sambil berbisik-bisik. Pasti mereka sedang mengutuk aku.

Aku ternampak seorang pelajar lelaki sedang duduk bawah pondok, sedang mengaji. Jantungku. Ah! Tiba-tiba sahaja berdegup kencang. Aku menjadi lelah dengan keadaanku ketika ini.

Dia menutup al-Quran yang berada di tangannya. Dia mengangkat wajahnya tetapi tidak memandang ke arahku. Wajahnya. Subhanallah. Memberi seribu ketenangan apabila memandang.

Aku seperti terpaku di situ. Siapakah dia?

“Assalamualaikum” satu suara menegurku. Aku terjaga dari lamunanku.

Aku memandang wajah yang bersuara itu. Seorang pelajar lelaki. “Waalaikumussalam” Aku menjawab ringkas.

Kemudian mataku dikalihkan semula kepada pelajar lelaki yang duduk di bawah pondok. Dia memandang tajam ke arahku. Aku menelan air liur. Kenapa pandangannya seperti menggigit tangkai hatiku, dan seperti nak makan aku?

“Saudari buat apa di sini?” Soalnya. Aku kembali memberi fokus kepada dia yang bersuara. Aku sekadar diam.

“Ada apa-apa yang saya boleh tolong” Aku mengetap bibir. Hish! Menyemak betul dia ni. Mataku di kalihkan sekali lagi ke arah pondok tersebut. Hilang!

Ah! Ke mana dia pergi. Bentak hatiku tidak berpuas hati.

“Saudari” Lelaki itu bersuara lagi. Aku mengeluh kecil apabila lelaki tersebut masih di situ.

“Erm.. Saya nak tanya. Kenal Muhammad Fakhrul Radzi?” Aku bertanya terus.

Dia mengerutkan dahinya. Aku tersalah soal ke?

“Kenapa awak tanya dia?” Soalnya kembali.

“Kalau tak kenal tak apalah. Saya pergi dulu.” Aku terus menapak ketika itu.

“Eh. Nanti dulu. Yer-yer. Saya kenal. Dia ketua pelajar bagi aliran Thanawi.” Jawab lelaki tersebut, sambil memuncungkan bibirnya, seperti menunjukkan sesuatu.

Aku memusingkan badanku, di hadapanku ada papan kenyataan yang meletakkan carta organisasi bagi Aliran Thanawi. Mataku menangkap satu nama, dan aku terus memandang gambarnya.

Aku terdiam. “Diakah?” Soalku.

“Apa dia? Maaf. Saudari cakap perlahan sangat.” Lelaki tersebut bersuara.

“Tak ada apa-apa. Terima kasih. Saya pergi dulu.” Aku terus melangkah pergi.

Dalam diam, bibirku mengukir senyuman. Hatiku. Ah. Terasa di hujani dengan bunga-bunga indah yang berada di taman. Inikah cinta?

*****

“Sweetnya” Kak Daria bersuara. Aku hanya tersenyum. Sweet ke? Sweetlah. Kalau tak kenapa sampai sekarang aku tak terasa manisnya. Heee~

Kak Daria seperti menulis sesuatu dalam buku notanya. Aku mengintai sedikit apa yang dia tulis. Dia menutup dan tersenyum kepadaku.

“Tak peting untuk di baca.” Aku tersengih. Adoii. Malu pula.

“Qaisara sekarang pakai purdahkan?” Dia bertanya.

Aku mengangguk. Mesti dia tak percaya. Ialah. Aku pelajar aliran biasa. Bukan pelajar aliran Thanawi. Pula tu waktu sekolah, aku ni perangai boleh tahan juga.

“Qaisara berpurdah lepas kahwin ke?”

Aku menggelengkan kepala. “Waktu bertunang. Two weeks before kami bertunang.” Aku tidak mahu kak Daria salah faham kenapa aku berpurdah.

Aku memakai purdah, atas kesedaran dari dalam diri. Tiada siapa yang memaksa atau menyuruh. Bahkan suamiku tidak menyentuh apa-apa pun pasal pemakaian sewaktu kenal dahulu. Dia begitu bersahaja, tetapi amat menjaga!

Telefon bimbitku tiba-tiba berbunyi. Ringtone Istikharah Cinta yang telah aku khaskan untuk suamiku, membuatkan aku tersenyum sampai ke telinga.

Aku membuka mesej tersebut. Mesejnya manja separuh merengek. Aku tergelak kecil. Apabila menyedari kak Daria memerhatikan aku dengan senyuman nakal, aku terus mematikan senyumanku, lalu aku menundukkan wajah. Malu!

Kak Daria ketawa lepas melihat gelagatku. “Alololo. Terus tukar pink muka dia.” Dia menyakatku. Malunya aku!!

Aku seperti tiada suara ketika itu untuk berkata apa-apa. Sungguh aku malu.

“Okay-okay. Sorry. Akak gurau je. Dia memujukku apabila aku langsung tidak mengangkat muka memandangnya.

“Lepas Qaisara tahu siapa yang hantar surat tu, apa Qaisara buat?” Kak Daria kembali kepada tujuan asalnya.

*****

Aku memandang cermin besar yang berada di hadapanku. Cuba membayangkan layakkah aku bersama insan sepertinya.

Bagaikan langit dan bumi. Tiada keserasian langsung. Aku mengeluh memandang cermin. Apa yang aku nampak seperti pantulan diriku mengejek diriku kembali.

Ku buka laci meja solekku. Ku ambil surat pemberian dia. ‘untuk bakal isteriku’. Perlahan-lahan bibirku mengukirkan senyuman.

“Kenapa kau ingin menjadikan aku bakal isteri?” Aku bertanya kepada surat tersebut, seolah-olah surat tersebut akan menjawab soalanku.

“Kenapa kau pilih aku? Bukan dia, dan dia” Aku cuba mengingati ‘dia’ yang aku maksudkan, beberapa pelajar perempuan aliran Thanawi yang ku jumpai. Cantik, sopan dan insyaAllah mereka seorang yang beragama.

“Kenapa aku yang berperangai gangster dan tak semenggah ni?” Soalku lagi. Aku membaringkan diriku di atas katil. Suratnya berada kemas di dalam genggamanku ku bawa dalam pelukanku.

Walaupun begitu banyak soalan yang terlakar di mindaku, tapi bibirku tetap mengukirkan senyuman. Kerana aku bahagia!

Pintu bilikku di ketuk. Cepat-cepat aku menyorokkan surat di dalam bantal dan di tindih dengan bantal yang lain. Hehe. Aku merenggangkan sedikit daun pintu bilikku. Kelihatan kakak sedang tersenyum.

“kakcik. Ingatkan siapalah.” Aku memberikan keizinan pada kakakku untuk masuk ke dalam kamar tidurku.

“ Adik ni sejak akhir-akhir ni selalu terperap dalam bilik je” Kakakku bersuara.

“Tahu tak, ummi dengan walid, along, angah, ude, kakcik sampai tertanya-tanya, adik wujud ke tak lagi dalam rumah ni” Aku tergelak apabila kakakku merungut melihat kepada perubahanku.

“Adik ada masalah ke?” Soal kakakku. Aku menggelengkan kepala laju. Masalah apanya. Tengah bahagia ni tau!

“Dah tu kenapa?” Aku melangkah ke pintu dan menutupnya serta menguncikannya.

Aku kembali kepada kakakku. Perlahan-lahan aku menarik bantal yang aku letakkan surat dalamnya, dan aku berikan kepada kakak.

“Muhammad Fakhrul Radzi?” Aku mengangguk.

“Dia ni sekelas dengan kakcik dekat sekolah.” Aku membulatkan mataku. Betulkah? Kenapalah aku bersusah payah cari, padahal aku boleh tanya kakakku.

Eh. Ha’ahkan. Baru hari ni aku nak bocorkan rahsia hati. Padanlah baru hari ni aku tahu.

“Amboi-amboi. Mengorat adik aku nampak” Kakak menyambung bebelannya. Aku hanya diam.

“Macam mana dia kenal adik ea?” Aku bertanya pada kakakku. Dia seperti sedang berfikir.

“Haa!” Kakakku bersuara dan aku pula teruja.

“Tak tahu. Hehehe” Ceh! Sempat lagi dia berlawak dengan aku. Hampeh!

“Seriuslah kakcik” Aku membuat suara tidak puas hati pada kakakku.

“Seriuslah. Kakcik tak tahu. Mana tahu dia terserempak dengan adik kat mana-mana ke” Jawab kakak acuh tak acuh.

“Dia ni macam mana ea orangnya?” Aku bertanya. Sekadar ingin mengetahui sifatnya.

Kakakku menayangkan senyuman nakal kepadaku. Aku hanya mencebik. Fikir lainlah tu! Eh. Apa lainnya. Hehehe.

“Kalau nak jadi adik ipar kakcik, akak bagi 1 juta bintang kat langit tu tau” Aku membulatkan mata ku. Sampai begitu sekalikah bagusnya dia?

Kakakku tersenyum. “Dia ni luar biasa tau. Kesayangan ustaz dan ustazah kat sekolah tu. Kesayangan semua pelajar kat sekolah tu yang beraliran Thanawi. Ibarat mutiara yang berharga” Kakakku menambah.

“Tapi” Ah. Ni yang aku tak suka ni. Ada tapi pulak.

“Tapi apa kakcik?” Soalku separuh mendesak.

“1 juta kat langit tu macam tak layak pulak di berikan pada adik. Hehehehe” Kakakku memerliku. Aku terasa hati. Teruk sangatkah aku? Tak layakkah aku berdampingan dengan dia.

“Alolololo. Adik manja mucuk kakcik ni merajuk” Kakakku mengusik aku. Aku mendiamkan diri. Terasa nak menangis pun ada. Eee. Benci!

“Kakcik gurau jelah. InsyaAllah, kalau adik ada niat nak berubah jadi baik, patuh perintah Allah, ikut ajaran Rasulullah, taat pada walid dengan ummi, adik layak untuk Fakhrul Radzi tu. Kalau lambat sangat, susah-susah kakcik je yang ambil” kakakku mengangkat sebelah keningnya sambil tersenyum nakal. Ada je nak kenakan aku?

*****

“Lawaklah Qaisara” Kak Daria menghabiskan saki baki gelaknya. Lawak ke? Rasa macam tak je.

“Err kak. Semua yang saya cerita ni, akan akak masukkan ke dalam research akak.?” Soalku lurus.

Terburai gelaknya lagi. “Qaisara, lecturer akak memang suruh buat research. Tapi dia nak 5 muka surat je tau. Kalau masukkan cerita Qaisara whole story, akak tak tahu berapa muka suratlah research akak ni.”

“Dah tu macam mana?” Soalku lagi.

“Hish dia ni. Kerja akak, akak tahulah nak buat macam mana. Qaisara jawab je apa yang akak tanya. Macam dah penat je nak bercerita.” Dia menduga.

Ah! Kalau 10 kali aku ulang cerita yang sama, aku takkan rasa penat. Bahkan aku rasa bahagia kerana dapat berkongsi cerita kebahagiaanku bersama dengan orang lain.

“Hah. Sambunglah cerita. Akak tak sabar nak dengar kisah kau orang berdua yang seterusnya” Kak Daria teruja ingin mendengar sambungan ceritaku.

*****

Hari ini hujung minggu. Kakakku ada usrah di sekolahnya bagi aliran Thanawi. Hatiku seperti terpanggil untuk mengikutnya juga pada pagi ini.

“Kakcik…” Aku bersuara. Dia memandangku sambil tangan masih bergerak menggosok tudung labuhnya..

“Yer dik” Jawab kakakku pendek.

Aku serba salah untuk memberitahu yang aku ingin mengikuti program usrahnya. Bolehkah?

“Kakcik..” Aku memanggilnya lagi. Dia berhenti menggosok tudung labuhnya. Dia memandangku pelik.

“Yer dik. Kenapa? Nak apa?” Soalnya. Hurmmm.

“Nak ikut boleh?” Soalku. Dia mengerdipkan matanya berulang kali. Dia meletakkan iron ke tepi. Lalu dia menampar-nampar pipinya.

“Akak tak mimpikan?” Huh. Sempat lagi dia kenakan aku rupanya. Aku menjelirkan lidah. Bengang pun ada. Aku ingin berlalu dari situ.

“Aik. Nak pergi mana? Kata nak ikut kakcik?” Tanya kakakku.

“Yelah. Dah orang tu tak bagi, buat apa kita nak ikut” Aku sedikit berjauh hati ketika itu.

“Hailaaa. Sejak bila pula adik kakcik ni seorang yang sensetif? Sejak jatuh cinta ni, perangai berubah terus” Aku membulatkan mataku. Eee. Saja je kan.

“Dah, dah. Tak payah nak merajuk ke apa. Lepas kakcik siap gosok ni, adik gosoklah apa yang patut untuk adik pakai. Then mandi, siap kita pergi sama-sama. Okay?” Terkoyak senyumanku ketika itu juga.

Aku bersiap-siap. Memakai blouse berwarna biru laut paras lutut, dan jeans hitam. Aku memakai tudung bawal biasa, yang dilabuhkan ke bawah. Aku memandang kakakku, yang berjubah dan bertudung labuh.

Erkkk. Jauh benar bezanya. Segan pula. “Kakcik..” Aku bersuara.

“Haa. Apa lagi?” Soal kakakku acuh tak acuh.

“Tak apa ke adik pakai macam ni?” Kakakku memandang dari atas sehingga bawah.

“Okay je. Tak ada cacat cela. Baju labuh bawah punggung, sampai lutut lagi. Jeans pun longgar. Cuma tudunglah. Singkat sikit. Tapi tak apa. Kita pergi usrah untuk tarbiyah jiwa kita. Mana tahu satu hari nanti terbuka pintu hati adik nak pakai macam kakcik. Perlahan-lahan kita ubah” Aku sekadar mengangguk.

Aku mengikuti kakakku. Dia tidak berenggang dari aku. Aku sudah sampai tempat di mana pertama kali aku berdiri di situ, aku memandangnya. Tiba-tiba perasaanku menjadi indah.

Aku melepaskan genggaman kakakku. Perlahan-lahan aku melangkah ke pondok yang tiada penghuninya di situ. Aku duduk di mana tempat dia duduk dahulu. Aku tersenyum sendiri.

Tiba-tiba jantungku berdebar. Aku rasakan ada mata yang memerhatikanku sambil tersenyum. Aku memandang ke tingkat dua, di mana bangunan tersebut menghadapku.

Dia menyandarkan dirinya di hujung koridor, sambil tersenyum memandangku. Lalu dia memandang ke tempat lain dan berlalu pergi. Jatungku makin lama, makin tidak keruan.

Ummi!! Tolong. Adik malu. Dia nampak apa adik buat tadi.. Tidak!!! Aku menyumpah diriku sendiri keterlanjuran aku duduk di tempat dia pernah duduk sambil tersenyum dan berangan.

Aku terus berdiri dan menempatkan diriku semula di sebalah kakakku.

Bunyi riuh rendah ketika itu, menjadi senyap tiba-tiba. Jantungku kembali berdebar. Kakak menyiku ku sedikit. Aku pandang ke depan. Glurpp! Macam mana dia ada kat sini pula.

“Ana bawa adik ana sekali, tak apa ke?” Kakakku bertanya.

Dia sekadar senyum mengangguk dan berlalu pergi. Fuh. Aura dia.. Dari hiruk pikuk boleh jadi aman damai. Tapi sekarang?? Dah macam kat pasar!

“Jom” kakakku menarikku.

Aku terpegun dengan pengisian yang kakakku berikan. Rupanya dia seorang Naqibah untuk pelajar junior.

“Kakak aku 1000 kali lebih layak dari aku” Aku membandingkan diri. Terasa diri ini terlalu kerdil ketika itu.

Dari segi paras rupa, mungkin kakakku jauh ke belakang. Tapi dari segi agama, akhlak, kesopanan memang aku 1000 tahun mundur dari kakak aku.

“Huh” aku mengeluh kecil.

Bahuku di tepuk lembut. “Kenapa mengeluh ni?” Soal kakakku.

Aku sekadar menggelengkan kepala. Beratnya rasa ketika itu.

Hari itu kakak membincangkan bab tentang aurat. Terasa berdesing telingaku setiap patah yang keluar dari mulut kakakku.

Terasa dosa bertimpa-timpa atas bahuku sampai nak ‘rebeh’. Belum lagi campur dosaku yang kadang-kadang meninggalkan solat. Dosa lawan cakap ummi dan walid.

Sumpah aku rasa, aku penghuni neraka kekal ketika itu.

“Tapi Allah ni Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Banyak mana pun dosa kita, kalau kita bertaubat bersungguh-sungguh, iaitu taubat nasuha, insyaAllah.. Dia akan ampunkan dosa kita.” Aku mengetap bibir.

Terasa peluangku untuk menjadi penghuni syurga masih ada. “Adik-adik, jangan kita perlekehkan orang di luar sana yang tidak tutup aurat. Mengata dia ahli neraka dan kita ahli syurga. Salah sama sekali dik. Ingat. Tidak akan masuk syurga, jika ada dalam diri kita perasaan riyak walaupun sebesar zarah.”

Kakakku memberikan kata-kata nasihat dengan penuh hikmah dan lembut. Bertuahnya ummi dan walid ada anak solehah seperti kakak.

Aku? Dulu ummi dan walid nak aku masuk ke sekolah aliran Thanawi. Aku memberontak dan lari dari rumah. Ummi dan walid menjanjikan ‘bulan dan bintang’ agar aku pulang ke rumah.

Oleh kerana itu, ummi dan walid mengizinkan aku bersekolah di aliran biasa. Adik-adikku yang lain semua bersekolah agama, dan menjadi manusia. Aku tak tahu syaitan mana sesat dalam diri aku, sehingga jadi keras macam ni.

Aku pulang ke rumah dengan azam yang baru. Aku perlu berubah. Bukan kerana dia, tapi kerana Dia. Aku juga ingin menjadi kesayangan makhluk di langit dan di bumi.

Mahu bersama keluargaku di syurga nanti. Aku tidak tersasar jauh lagi untuk berubah. Aku ingin melangkah masuk ke dalam rumah. Tiba-tiba tanganku di tarik. Aku terdorong ke belakang.

“Dik” Kakak bersuara. Dia menghulurkan sesuatu sambil tersenyum. “nah”

Surat. Aku menjadi terpinga-pinga. Kakak meninggalkanku. Aku melangkah masuk ke dalam rumah, lalu terus ke bilik.

‘Untuk bakal isteriku, Nur Qaisara Irdina’ tertulis di sampul surat tersebut. Aku tersenyum. Jantungku berdebar-debar.

“Terima kasih meletakkan diriku di dalam hatimu. Beri aku sedikit masa, dan aku akan hadir sebagai yang halal buatmu

Muhammad Fakhrul Radzi”

Sewaktu itu tiada kata yang aku dapat lafazkan. Mengalir air mataku. Demi Allah, aku terharu dengan kata-katanya.

Kakakku mengetuk pintu dan membuka sedikit daun pintu, dan aku cepat-cepat mengesat air mataku.

“Kakcik” Aku menggosok-gosok mataku.

“Masuklah” aku mengizinkan dia masuk.

“Mata adik ni ha masuk habuk. Hish” Aku menggosokkan mata aku lagi.

Dia mengunci pintu terlebih dahulu sebelum duduk di sebelahku. Telingaku menangkap bunyi ketawa halus. Aku memandang kakakku.

“Nak berlakon tak pandai” Kakakku mengejekku.

Dia mengambil surat tersebut, dan membaca isinya. Selepas itu, dia memulangkan kembali surat tersebut kepadaku. Dia membawaku ke dalam pelukannya.

“Adik kakcik dah pandai menangis dah sekarang. Terharu ea.” Dia menepuk-nepuk belakangku. Aku tergelak kecil, walaupun ketika itu, menderu-deru air mataku keluar.

“Kakcik.. Kenapa dia pilih adik?” Kakakku tersenyum.

“Kakcik pernah tanya dia.” Aku mendongakkan mukaku dan memandang tepat bola mata kakak.

“Tapi dia cakap, dia boleh bagitahu, asalkan kakcik boleh simpan rahsia ni. Dia kata, dia sendiri akan bagitahu adik.” Aku sedikit kecewa.

“Bila dia nak bagitahu adik?” Kakakku tergelak.

“Bila adik dah jadi kekasih halal buat dia” Mataku terkebil-kebil memandang ke arah kakakku.. Lambatnya lagi.

Tahun ni aku SPM. Kakak pula tahun depan STAM. Begitu juga dengan dia. Aku sambung belajar, masuk u lagi. Kerja lagi. Ahh! Lambatnya.

“Dahlah. Pergi mandi. Lepas ni kita masak sama-sama. Ummi dan Walid balik kejap lagi. Aku mengangguk.

*****

Kak Daria masih dengan senyuman di bibirnya. Tiba-tiba aku rasa ada air jatuh ke tanganku. Air mataku mengalir tanpa aku sedari. Aku tersipu-sipu. Boleh menangis pula waktu macam ni.

“Tak apa. Menangis bahagia.” Kak Daria menepuk-nepuk bahuku. Aku tersenyum. Ya! Menangis bahagian.

“Macam mana Qaisara ubah diri Qaisara. Kawan-kawan Qaisara pula macam mana?” Soalan yang bagus aku kira.

“First sekali Qaisara buat, kain tudung sekolah bagi labuh. Taklah labuh macam tudung sekolah pelajar aliran Thanawi. Tapi tutup dada, bahu semualah. Waktu pakai tu, kawan-kawan kelas terperanjat jugalah. Ada yang okay. Macam bestfriend Qaisara, Izzati dan Eisya, diorang boleh terima perubahan Qaisara. Ada sesetengah tu, ada jugalah perli, kutuk. Tapi Qaisara tak kisah dah waktu tu pandangan manusia. Qaisara cuma nak Allah pandang Qaisara. Qaisara nak Allah sentiasa ada di setiap langkah Qaisara. Qaisara taknak dah berjauhan dari Dia.” Jelasku bersungguh-sungguh.

Kak Daria tersenyum mendengar penjelasanku. Aku tidak tahu apa yang dia fikirkan tentang diriku ketika itu.

“Keluarga Qaisara?” Soalnya lagi.

“Ummi dengan Walid lah yang paling gembira, bila Qaisara cuba berjinak-jinak nak pakai tudung bidang besar. Adik-beradik Qaisara semua berikan sokongan. Nak-nak lagi kakcik. Sebab kami dua orang je perempuan.”

“Suami Qaisara pula macam mana?” aku tersipu-sipu malu.

“Dia hadiahkan Qaisara dua helai tudung akel yang bidang 60 tu. Warna hijau untuk warna kesukaan dia, dan warna biru muda, untuk warna kesukaan Qaisara. Dia kirimkan dengan kakcik” Jelasku.

“Perasaan Qaisara waktu tu?” Aku tertunduk malu. Perasaan aku waktu tu. Rasa nak ajak kahwin time tu. Hahaha.

“Gembira sangat-sangat. Dia tidak tunjuk sifat kekerasan untuk mendidik Qaisara. Buktinya, dia just bagi tudung bidang 60. Bukan kain tudung labuh bulat tu.” Kak Daria tersenyum.

“Qaisara tahu, akak cemburu sangat dengan Qaisara dapat suami yang macam tu.” Aku tergelak. Jodoh itu rahsia Allah.

“Macam mana korang boleh pilih untuk berkahwin dengan usia yang masih muda dan masih lagi belajar?” Soal kak Daria.

*****

Aku duduk di bilik bersendirian. Lagi beberapa hari lagi final exam untuk semester satu.

Aku begitu rindukan dia. Sumpah sangat rindu. Aku beristighfar kerana terlalu mengikutkan kata hati ketika itu.

Mungkin dia sedang sibuk sekarang ini. Aku dengar khabar dari kakakku, Fakhrul berkerja sekarang ini sementara menunggu result STAM keluar.

Dengar katanya, siang dia bekerja sebagai kerani di syarikat swasta kawan ayah dia. Malam pula dia kerja dia restoran sampai pukul 12. Aku tak tahu kenapa dia beria-ia sekali berkerja seteruk itu, sedangkan dia mahu sambung belajar selepas ini.

Telefonku bimbitku berbunyi. Aku mencapainya. “Hello, Assalamualaikum” Aku memberi salam setelah menekan butang hijau.

“Waalaikumussalam. Qaisara ke ni?” Suara di hujung talian seperti suara wanita yang sudah separuh abad. Aku teragak-agak untuk menjawab.

“Yer. Saya Qaisara. Kenapa yer? Siapa di sana?” Soal ku bertalu-talu.

“Alhamdulillah. Betul pun. Ni Mak” Aku terpinga-pinga. Ayah aku kahwin dua kah?

“Hahaha. Apalah mak ni. Kenalkan diri tu dulu” Aku mendengar suara lelaki gelak di hujung talian. Jantungku berdebar-debar.

“Maaf Qaisara. Makcik salah sebut. Ini mak Fakhrul.” Aku rasa waktu tu, kepala aku berpusing-pusing. Jantung aku tak payah cakaplah, boleh meletup waktu tu.

“Err. Yer. Makcik.” Aku tergagap-gagap dan otakku blank kita itu.

“Qaisara.. ada lagi tak tu?” Soal mak. Hehehehe.

“Yer mak cik. Saya masih di sini” Aku cuba membetulkan intonasi suara ku yang tadinya seperti tersekat di kerongkong.

“Maaflah, kalau makcik ganggu kamu. Macam ni. Boleh makcik nak datang merisik kamu sabtu ni?” Bedebuk! Telefon bimbitku jatuh. Aku terduduk. Eh. Telefon aku. Aku mengambil telefon bimbitku yang jatuh.

Fuh. Masih berfungsi. “hello.”

“Yer Qaisara. Qaisara okay tak? Apa yang jatuh tadi? Kuat bunyinya.” Aku tergelak sendiri.

“Mak cik ada telefon mak Qaisara semalam. Dia suruh mak cik tanya terus pada Qaisara.” Hish ummi ni. Tak ada ciri-ciri mempertabatkan adat melayu betul.

Patut ummi tanya aku, aku jawab ya, dan ummi beritahu pada mak Fakhrul. Bukan tanya terus aku. Aku nak kata ya??? Ummiiiiiiiiiiiiiiii!!!!! Adik malu……

Aku berdehem-dehem. Apa ayat yang terbaik ketika ini.

“Macam ni lah makcik. Saya nak bincang dengan ummi dan walid saya dulu. Saya nak dengar pendapat mereka.” Jawapan lepas diri. Padahal kalau ummi dah kata macam tu, sah-sah lampu hijau jalan terus.

“Yelah. Kalau boleh bagi jawapan sebelum khamis ni yer.” Aku hanya mengiakan sahaja. Selesai berborak dengan mak, aku menelefon ummi pula.

“Ummi. Kenapa suruh mak Fakhrul call adik. Malu tau” Belum sempat apa-apa, aku membebel kepada ummi.

“Waalaikumussalam.” Zappp!! Hahaha. Kena perli dengan ummi..

“Assalamualaikum ummi.” Aku bersuara lembut.

“Waalaikumussalam.” Lepastu apa lagi. Berdas-das tembakan aku berikan. Haha.

“Yelah. Nanti ummi yang call mak Fakhrul bagitahu Qaisara setuju.” Alhamdulillah. Lega rasa hatiku.

Eh. Mana ummi kenal Fakhrul ea. Kenapa ummi terus setuju bincang dengan mak Fakhrul. Eh. Kenapa baru sekarang aku baru fikir?

“Ummi kenal Fakhrul?” Soalku.

“Lahh. Apa tak kenalnya. Dia rajin datang rumah” Aik. Mana ada dia datang rumah selama ni.

“Bila?” Soalku lagi.

“Time Qaisara tak ada. Selalu time Qaisara pergi kelas Tusyen.” Pelik. Tak ada siapa pernah cerita pada aku.

“Kenapa Qaisara tak pernah tahu pun?” Soalku lagi.

“Sebab Qaisara tak tanya” Heh! Ummi aku ni. Berbelit-belit pula dia dengan aku.

“Tak naklah kawan ummi.” Aku membuat rajukku.

“Kalau tak nak kawan, kira cancellah nak kahwin dengan Fakhrul kan?” Amboi-amboi. Ummi ugut aku pulak sekarang. Ceit!

“Eeee. Bencilah. Semua orang tipu Qaisara” Aku buat ayat provokasi supaya ummi bercakap lebih lanjut.

“Kira Qaisara tak setujulah Fakhrul merisik ni?” Eeee. Ummi ni saja je kan kenakan aku.

“Ha’ah. Qaisara tak setuju. Qaisara tak nak dia! Biar Qaisara tak kahwin” Aku mula bengang.

“Eh, eh. Ummi gurau je. Hehehe.” Eh ummi. Boleh pula bergurau. Tahu takut. Ngee~

“Nanti-nantilah kita cerita. Qaisara fokus final exam Qaisara, kat sini biar ummi dan walid uruskan”

Aku menerima alasan yang ummi berikan. Akhirnya aku beralah, tapi tidak beerti mengalah. Hehehe.

*****

Cuti semester. Ah!! Akhirnya aku lega. Walaupun cuti semester ini hanya sebulan lebih, tapi aku bersyukur kerana final exam sudah lepas. Aku lega! Haha.

Sekarang aku sudah sah menjadi tunangan orang. Eh. Baru tunangan orang. Bukan isteri orang. Kami bertunang simple je. Fakhrul just hantar rombongan meminang untuk sarung cincin, dan kami sekadar buat doa selamat. Tu je.

Segala persoalanku terjawab. Fakhrul selalu bertandang ke rumahku kerana ustaz yang mengajar aliran Thanawi ingin menjodohkan dia dengan kakakku. Fakhrul sekadar bersilaturrahim terlebih dahulu dengan ummi dan walid, sebelum dia menyampaikan hasratnya.

Walid menerima hasratnya dengan senang hati, tetapi kakakku tidak mempersetujuinya. Dalam diam, kakakku sudah menunggu seseorang dan amat mencintainya.

Walau bagaimana pun, Fakhrul tidak berhenti bersilaturrahim dengan ummi dan walid apabila kakak menolaknya.

Ya. Aku tahu ada seorang lelaki, kerap kali hadir ke rumah setiap minggu. Tapi aku selalu memerap dalam bilik, setiap kali lelaki itu ada.

Aku pula tidak pula bertanya apa-apa kepada ummi dan walid hal berkaitan lelaki tersebut.

Satu hari ketika aku baru balik dari lepak dengan kawan, dia menumpang solat di rumahku. Mungkin aku tidak perasan akan dirinya. Dari situ dia mula mengetahui, ummi dan walid mempunyai anak perempuan yang lain.

Dia mula merisik-risik khabar tentangku, dari guru-guruku di sekolah. Ya Allah. Malunya! Sumpah aku tak tahu apa-apa.

Oleh kerana aku yang sentiasa tidak perasan akan kewujudan dirinya, sengaja dia mencuba nasib, seperti pelajar-pelajar lelaki yang lain buat padaku, iaitu mengirimkan surat. Aku tergelak sendiri apabila mengetahuinya.

Nasib baik surat tu tak ‘gol’ terus dalam tong sampah.

Dia tidak mahu tergopoh-gopoh, kerana itu dia sentiasa memberi aku ruang, dan mendidik aku dari jauh.

Owh. Aku tahu maksud jelingan tajamnya ketika aku bercakap dengan seorang pelajar lelaki, sewaktu pertama kali berjumpa dengannya. Dia cemburu. Dia sendiri mengakui perkara itu depan walid.

Dia berkerja siang malam, untuk membuktikan bahawa dirinya seorang lelaki bertanggungjawab.

Dia mahu segala keperluan perkahwinan aku dan dia, melalui hasil titik peluhnya. Sungguh aku terharu.

Kerana itu, tiada lagi keraguan untuk aku berkahwin dengannya, walaupun usia ku baru mencecah 19 tahun. Mudakan? Hee~

Tapi sampai sekarang aku tak pernah bertegur sapa dengan dia. Serius. Tak pernah! Aku tertanya-tanya, betulkah dia suka sama aku?

Hanya surat sebagai pengantaraan kami. Itu pun dua kali sahaja dia kirimkan surat. Selepas itu tiada langsung.

Eh ada. Dia hadiahkan aku tudung, dikirimkan pada kakak aku. Haha. Tapi aku ingin juga bertegur sapa dengan dia. Tak lah aku canggung malam pertama nanti. Erkk. Apasal awal sangat masuk bab ni?

Tok, tok, tok.. Pintu bilikku diketuk. “Masuk” aku sekadar menjawab dari atas katil. Malas aku nak pergi sambut. Sudah pastinya kakak aku yang mengetuk.

“Qaisara. Pakai elok sikit. Fakhrul nak jumpa” haa! Ambik kau. Nak sangat bercakapkan. Tu, Fakhrul ajak jumpa.

Aku gelabah biawak dalam bilik. Blur otak aku kejap. Aku nak pakai apa ni. Takkan aku nak bersolek semua. Nak jumpa kat ruang tamu tu je. Adoii.

Aku keluar dari bilik. Aku menyarung jubah dan tudung labuh sahaja. Memandangkan aku di dalam rumah, aku tidak memakai purdah ketika itu.

Di temani abang aku yang sulung, aku duduk berhadapanan dia. Aku tertunduk malu. Dia pun begitu. Abang sulung aku, kononnya sedang tengok tv. Bukan boleh aci, mata je fokus tv. Telinga fokus sini. Heh!

“Maaf ganggu Qaisara.” Dia memulakan bicara.

“Tak apa. Ada hal penting ke?” Aku memberanikan diri untuk bertanya.

“Tidak. Cuma abang datang sini nak tanya terus pada Qaisara, betul Qaisara terima abang, redha dengan pilihan ini, tanpa paksaan sesiapa.”

Okay. Aku gugup. Pertama sebab dia bahasakan diri dia abang. Ummii!! Adik nak panggil dia apa?? Malu!!!

Kedua dia tanya soal yang berkaitan hati dan perasaan. Kenapa mesti tanya depan-depan. SMS, email, ym? Kan banyak lagi saluran yang tidak perlu membuatkan aku berhadapan dengan dia.

“Maaf kalau abang tanya secara berhadapanan, sebab abang perlukan keyakinan melalui jawapan Qaisara sendiri di depan mata abang” Ish dia ni. Macam tahu je apa yang aku tengah fikir.

“Abang dah tahu jawapannya ketika Qaisara duduk di bawah pondok tempat abang mengaji dahulu” Oleh kerana aku tak tahan rasa malu, aku tergesa-gesa bangun masuk ke dalam bilik.

Sumpah aku malu! Malu! Malu!!!! Tok, tok, tok. Pintu bilikku di ketuk. Hish. Siapalah kacau aku ni. Jangan suruh aku keluar, aku sepak siapa yang suruh.

“Nah. Fakhrul bagi. Dia dah balik.” Kakakku memberikan surat. Aku berdebar-debar. ‘Untuk bidadariku di dunia dan di akhirat, Nur Qaisara Irdini’ Aku tersenyum membaca tiap-tiap patah ayat di sampul surat itu. Bahagia!

“Maaf meragui perasaan Qaisara. Abang bimbang Qaisara bertemu insan lain di universiti. Abang hanya sekadar inginkan kepastian. Alhamdulillah. Terima kasih mengizinkan abang masih berada di dalam hati Qaisara.

Muhammad Fakhrul Radzi”

Paling tidak aku sudah bertegur sapa dengannya. Cuti semester yang akan datang, aku akan di ijab kabulkan dengannya.

*****

Aku solat subuh secara berjemaah pagi tu. Muka aku sepagian pink sahaja. Malu berbakul-bakul dengan suamiku dengan kejadian malam tadi. Dia pula tak habis mengusikku.

Dan apa yang memeranjatkan aku. Dia sangat sweet dan romantik sebenarnya. Dan juga manja. Hehehe.

“Sementara ada masa yang terluang ni, abang nak kita sentiasa banyak melakukan aktiviti bersama. Jangan fikir lain pulak tau” Huaaa. Dia kenakan aku lagi. Muka aku dah tak tahu nak sorok mana.

“Maksud abang, solat Jemaah bersama, mengaji bersama, makan bersama, semualah bersama. Yelah. Masa kita tak banyak. Abang dah nak ke Mesir dah hujung bulan depan. Sayang pun dah start sem baru nanti” Aku sekadar mengangguk.

“Kenapalah susah sangat nak dengar suara bidadari abang ni. Bukan sayang suka bercerita ke? Ni diam je.” Aku malu sebenarnya. Serius malu.

Dia menarikku ke dalam pelukannya. “Sayang tak bahagia ke?” Aku menggeleng laju.

Mahu kau tak bahagia. Hati aku berbunga-bunga. Kalau dekat taman, dah nampak jalan, bunga je penuh.

“Dah tu kenapa?” Dia menyoalku.

“Malu” Jawab ku pendek menggunakan suara halusku.

Dia tergelak. “Tak habis dengan malu dia tu. Dari awal dulu malunya. Habis tu abang nak berbual dengan siapa kalau sayang malu?”

Aku diam. Tapi aku mengeratkan pelukanku. Sejujurnya ada satu soalan yang bermain di fikiranku sejak kami di ijab kabulkan. Kenapa dia memilih aku.

Walaupun terang-terang kakcik menolaknya, dia tidak perlu memilih aku. Aku berdehem-dehem sebelum memulakan bicara. Aku merenggangkan pelukanku dan mendongak memandang tepat ke bola matanya.

Eee. Tengok mata pun aku dah angau. Teruk penyakit aku ni. “Abang..” Aku bersuara.

“Hurmm.” Dia menjawab pendek.

“Qaisara nak tanya sesuatu boleh?” Aku meminta izin darinya terlebih dahulu.

“Hurmm.” Dia menjawab pendek. Aku rasa dia sengaja memberi ruang untuk aku banyakkan bersuara.

“Kenapa Qaisara?” dia yang ralet membelai rambutku, memberhentikan terus perbuatannya.

“Maksud sayang?” Dia meminta soalan yang lebih jelas daripadaku.

“Kenapa pilih Qaisara?” aku berterus terang. Dia tersenyum. Manis sekali. Semua menjadi milikku. Matanya yang redup. Senyumannya yang menghangatkan jiwaku. Wajahnya yang jernih. Kasih sayangnya. Aku bahagia.

“Sebab walaupun Qaisara tahu, Qaisara sangat cantik, tapi Qaisara tak pernah layan lelaki. Qaisara tahu jaga maruah diri. Walaupun adalah sikit nakalnya.” Dia mencuit hidungku.

“Korek dari alonglah tu.” Tebakku. Dia tergelak.

“Ialah. Korek dari alonglah. Nak korek dari siapa lagi. Banyak ea koleksi number telefon yang admirer sayang.” Kali ini aku pula tergelak. Pasti along menunjukkan koleksi number telefon yang aku berikan pada dia.

“Takkan tu je” Soalku lagi.

“Sebab yang utama abang pilih sayang, adalah kerana Allah. Sebab abang nak bimbing sayang. Abang terlanjur sayangkan ummi dan walid, dan abang harap ada sesuatu yang dapat mengeratkan hubungan kami.” Dia diam tiba-tiba.

“Dan bila abang nampak sayang, dengan style apa entah, abang rasa terpanggil untuk mendekati sayang dan mengubah sayang. Tapi dengan cara yang betul. Tak sangka sedikit sebanyak sayang dah berubah terlebih dahulu. Abang bersyukur sangat.” Dia bangun, lantas menghulurkan tangannya, agar aku turut bangun bersama.

Dia memimpinku dan membawa ke satu bilik. Bilik bacaan personalnya. Aku kini di rumahnya. Bukan rumahku. Dia membuka satu bekas yang sederhana besar. Pelbagai jenis sampul surat ada.

“apa ni?” Soalku.

“Kalau rindu sayang, abang teringin sekali ingin bertanya khabar melalui mesej atau pun call seperti orang lain. Tapi abang sabarkan diri abang, supaya jangan pilih jalan yang di murkai Allah.

“Jadi?” Soalku lagi.

“Abang menulis surat cinta untuk sayang, dan abang masukkan dalam bekas ni.” Jawabnya. Aku terdiam.

“Sayang bacalah mana-mana yang sayang nak baca. Macam-macam abang cerita dalam ni” Ceritanya.

Aku mendekati diriku kepadanya nak memeluknya. Aku tidak pernah meragui kenapa dia yang aku pilih walaupun usiaku terlalu muda “Abang. Qaisara cintakan abang” Huh. Terluah juga rasa yang aku tahan dari terluah ini kerana malu.

Dia membalas pelukan. Dan dia ketawa halus mendengar pengakuanku. “Abang cintakan sayang kerana Allah” Dia membalas.

*****

“Bahagia?” Soal kak Daria.

“Syurga di dunia yang berharap kekal hingga akhirat” Aku menjawab.

Kak Daria tersenyum. “Dengar cerita Qaisara, akak rasa macam nak kahwin sekarang juga” Dia tergelak.

“Sara diri Qaisara di sini siapa tanggung?” Soal Kak Daria.

“Suami. Dia buat kerja sambilan kat sana. Walid dengan ummi still tanggung Qaisara. Walid cakap, dia faham keadaan Fakhrul kat sana” Aku bercerita tanpa berselindung.

“Pelajaran macam mana?”

“Alhamdulillah. Rasa mudah belajar. Mungkin kalau dulu, kita rindu pada yang tak halal. Kalau ingat lebih-lebih dapat dosa. Kalau sekarang, buat apa pun dapat pahala.” Aku tergelak kecil menjawab soalan itu.

“Tak menyesal kahwin muda?” Kak Daria menduga ku.

“Sikit pun tak kak. Alhamdulillah. Bersyukur sangat.”

“Hubungan Qaisara dengan suami macam mana?” Ah. Soalan maut. Hehe.

“Kami seperti baru mula bercinta kak. Baru belajar nak kenal diri masing-masing. Alhamdulillah, setakat ni hubungan kami berjalan lancar.”

“Qaisara tak cemburu ke orang pertama yang dia nak adalah kakak Qaisara.” Aku tergelak mendengar soalan cepu emas ini. Aku menggelengkan kepala.

“Dia cakap, waktu dia bersilaturrahim dengan ummi dan walid, memang niat dia nak berkenalan dengan keluarga kakcik dengan lebih lanjut kerana ingin memperisterikan kakcik. Tapi apabila dia rapat dengan walid, dia tidak jumpa titik penyatuan dua buah keluarga tu pada kakcik. Bila kakak tolak dia, dia sudah, terlanjur sayang pada ummi dan walid, tu yang dia masih bersilaturrahim di rumah Qaisara. Kemudian, bila dia jumpa Qaisara dia terasa dekat dengan hatinya.” Aku bercerita panjang lebar.

Aku menyambung lagi “Dia juga cakap, dia tidak pernah tenang apabila kakak menjadi tujuan ketika dia bersilaturrahim dengan ummi dan walid. Tapi bila dia sudah pilih Qaisara menjadi tujuan, hati dia lapang.”

“Kiranya dia tak sempat mencintai kakak Qaisara lah?” Aku tersenyum.

“Wallahu’alam. Hati dia kak. Saya pun tak nak ambil tahu, kalau perkara tu hanya memburukkan hubungan kami” Aku semahunya cuba bersangka baik dengan suami.

Surat-surat cintanya dahulu, masih tidak kuhabisi membacanya. Ku kira, hampir setiap hari dia menulis untukku dalam tempoh dua tahun. Suratnya bukan surat biasa. Suratnya penuh dengan godaan cinta kepada Ilahi.

Aku terlalu bahagia kerana adanya dia di sisiku.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

192 ulasan untuk “Cerpen : Surat Untuk Bakal Isteriku”
  1. aurora_asyiqin says:

    aaaaahhh bestnya cerpen nie… speechless .. x tau nk ckp ape.. gudjob writer…???????????

  2. Fahmi faszil says:

    Saya suka cerpen ni.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"