Novel : Apabila Miss Heartless Jatuh Cinta 2

4 June 2013  
Kategori: Novel

873 bacaan 3 ulasan

Oleh : Syasha Alwanniey

(PART 2)

Hani masuk ke dalam rumah dengan wajah yang cemberut. Terus dia duduk di atas sofa.

Salwa, Ain dan Wahida yang pada mulanya sedang asyik menonton televisyen memandangnya pelik. Apahal pula si Hani ni? Tak pernah buat perangai, hari ni tiba-tiba angin satu badan!

“Kenapa Hani?” soal Salwa prihatin. Dia menghampiri Hani dan duduk di sebelahnya.

“Eddri!”

“Kenapa dengan Eddri? Dia buat apa sampai kau jadi macam ni? Kau cakap dengan aku, biar aku belasah mamat tu
cukup-cukup!” Salwa memang pantang kalau ada kawan-kawannya yang disakiti. Pasti dikerjakan orang itu cukup-cukup.

“Eddri tolak lamaran aku.”

“Hah???” Satu rumah bergegar dek teriakan tiga orang anak dara itu. Mereka bertiga terlopong mendengar pengakuan
Hani sebentar tadi.

“Kau… Kau melamar Eddri? Biar betul?” soal Ain was-was.

“Iyalah, aku melamar dia, tapi dia tolak. Dia cakap, aku dengan dia tak boleh kahwin. Tak boleh, dah jangan tanya
lagi.”

“Sejak bila kau ada perasaan dekat Eddri ni? Kau tak pernah cakap pun!”

“Hisy, kau ni!” Hani menjeling Wahida. “Aku bukan ada perasaan dekat dialah. Aku cuma rimas, mak aku tu sibuk suruh aku kahwin. Aku ni mana ada kawan lelaki, Eddri tu sajalah kawan aku. Sebab tu aku ajak dia kahwin.”

Mereka bertiga menepuk dahi. “Kau ni, mati-mati kami ingat kau betul-betul suka dekat Eddri tu. Kalau macam tu
lah, aku tak pelik kenapa Eddri tak nak kahwin dengan kau.”

“Teruk sangat ke aku ni sampai Eddri pun tak nak dekat aku?”
Salwa menggosok-gosok dagu, seolah-olah sedang berfikir. “Teruklah juga. Kau kena belajar untuk ada perasaan, baru
ada orang nak dekat kau.”

Hani memuncung. “Kalau begini caranya, aku tak nak kahwin sampai bila-bila!” Terus Hani berlalu masuk ke dalam bilik.

Salwa, Ain dan Wahida menggelengkan kepala.

Dalam kekalutan yang belum reda itu, Salwa tiba-tiba bersuara, “aku tak dapat bayangkan bagaimana agaknya kalau Hani bercinta….”

“Sayang, you sayang I tak?”
Hani memandang pelik lelaki di sebelahnya. “Soalan jenis apa tu?”

“Alah, jawab ajalah.”

“Alah, sendiri fahamlah. Takkan tu pun nak kena cakap?”

“Kalau you sayang I, kiss sikit,” Amir menadahkan pipinya sambil tersenyum manis.

Hani tersenyum sinis. Oh, sayang eh? “Sayang sangat!” Dan…

Dush! Sebiji penumbuk singgah di pipi Amir.

“Aduh, you ni, ganas betullah! Cubalah manja sikit dengan I!”

“Apa manja-manja! Baru jadi boyfriend, dah sibuk nak bermanja. Kalau nak bermanja, tunggu kahwin dululah!”

‘Kahwin? Aku cakap kahwin ke? Oh no, aku rasa macam tak betul je. Tukar dialog lah!’

“Apa manja-manja! Jangan ingat you boyfriend I, you boleh buat sesuka hati je eh! I backhand you nanti!” Hah, baru betul!

“Alah, you ni, I gurau-gurau je lah. Sayang, jom kita kahwin. Kali ni I serius! I nak kahwin dengan you.”

Dan tanpa disangka, gedebuk!

Amir telah terbaring lesu diatas tanah.

“Aku tak hingin nak kahwin dengan lelaki playboy macam kau ni lah!!!”

Salwa, Ain dan Wahida menutup mulut yang ternganga. Dahsyat sungguh!

“Kau ni Wawa, overlah! Mana ada orang yang propose boleh kena belasah sampai macam tu sekali!”
Wawa turut tergelak. “Alah, aku bayangkan aja. Iyalah, Hani tu kan miss heartless. Tambah lagi dengan sikap garang dia tu! Kau faham-faham ajalah!”

Mereka bertiga tergelak. “Tapi kenapa Amir pula yang masuk dalam cerita ni?”

“Alah, kau tahulah Amir, bos si Hani tu macam mana. Dia kan suka sangat menggatal dengan Hani. Aku rasa, nasib je bos Hani tu masih sihat. Kalau orang lain, confirm dah lebam muka.”

“Aku sokong tu, Wawa. Tapi kadang-kadang aku pelik juga, dalam keadaan Hani tu tak ada perasaan, garang dia bukan main kuat lagi! Kalau jumpa lelaki, tak sah kalau tak sembur! Ganas juga kawan korang tu!” Wahida turut menambah.
Mereka tergelak lagi. Giliran Ain pula bersuara, “agak-agak macam mana pula agaknya kalau Hani dah kahwin ye….”

“Sayang, baju abang dah gosok?”

“Gosoklah sendiri! Ada tangan kan, tak cacat kan?”

“Alah, sejak dah kahwin ni, abang macam tiba-tiba tak pandai nak menggosok baju pulak.”

Hani mencebik. “Mengada-ngada!” Namun seterika tetap dicapai. Baju suaminya digosok penuh kasih.

“Oh ya, tadi mama call, dia cakap si Adira tu masih sibuk tanya pasal abang.”

“Adira?” menggelegak darah Hani mendengarnya. “Malam ni abang tidur bawah!”
Gedebuk! Eddri sudah tergolek jatuh ke bawah katil.

“Eh! Chop!”

Terhenti kisah mereka. Masing-masing memandang Wahida. “Apahal?”

Wahida mengeluh. “Hani tu kan heartless, mana ada perasaan cemburu! Hisy, korang ni, salah ceritalah!”
Eh, lupa pula Hani tu heartless. “Okey, tukar cerita.

“Err, abang cakap apa tadi?”

“Adira tu, sibuk nak tanya pasal abang. Takkan tak tahu abang dah kahwin. Sibuk betul dia tu.”

Hani tersenyum manis memandang suaminya. “Abang jangan risau tentang Adira. Esok masalah abang settle.”

“Ayang nak buat apa?”

Hani tersenyum penuh makna. Sudah terbayang-bayang di wajahnya apa yang akan berlaku kepada gadis bernama Adira itu.

Eddri ternganga. Serta-merta dia terbayang wajah Adira yang sudah membengkak akibat dibelasah oleh Hani. Hani
turut memberi amaran kepada wanita itu, “Aku dah cakap, jangan kacau aku dan suami aku. Kalau kau buat lagi, lepas ni kau akan mati dilanggar lori ayam!”

Oh no! isteriku, gengsternya dia!

“Fuyoo!”

Ain tersenyum bangga. Bukan main rancak mereka membuat gambaran tentang kisah Hani.

“Kau ni Ain, si Hani tu cuma heartless saja, bukan gangster. Cerita yang kau buat ni macam terpesong sikit je.”

“Alah, sebarang kemungkinan boleh berlaku, kan? Boleh jadi miss heartless kita tu akan jadi menjadi miss gangster pulak!”

Mereka tergelak lagi. Bukan main riang gembira mereka mengutuk Hani.

Giliran Wahida pula membuka cerita, “tapi sungguhlah aku tak boleh bayangkan macam mana keadaan kalau Hani jatuh cinta…”

Pagi itu, cuaca sangat cerah. Langit membiru. Sang suria memancarkan sinarnya. Burung-burung berkicauan. Ah, indahnya ciptaan Allah ini!

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Rumput-rampai serta lalang berkibaran ditiup angin pagi. Sang arnab saling
berkejar-kejaran. Pagi yang sungguh indah!

Namun, panas yang disangka hingga ke petang tidak berkekalan. Rupa-rupanya mendung di tengah hari. Mendung tersebut terus bertukar menjadi awan hitam yang gelap, guruh berdentum di langit, kilat sambar menyambar…

“Wei, dah tak cukup kerja sangat ke?”

Nyaring suara Hani berteriak. Patutlah cuaca yang elok tadi terus jadi ribut!

“Bukan main gembira hati! Cerita pasal apa?”

“Err, tak ada apalah, cerita kosong saja.”

Hani menjeling . “Dah lah, aku pergi dulu.” Hani terus melangkah ke pintu bersama sebuah beg.

“Eh, kau nak pergi mana?” Soal Wahida kalut.

“Aku nak balik kampung!” Kunci kereta dicapai, terus dia menuju ke keretanya.
Berkejaran Salwa, Ain dan Wahida mendapatkan Hani. Hani merajuk? Sungguh, mereka tak percaya! Hani merajuk sampai bawa diri ke kampung? Wah, pecah sejarah Maizatul Hani!

“Hani, janganlah macam ni! Kalau iya pun kau sedih sebab Eddri tak terima kau, janganlah merajuk sampai macam ni sekali,” Salwa merayu. Lengan Hani diusap-usap.

“Betul tu! Kau jangan risau pasal si Eddri tu! Tahulah kami nak buat macam mana nanti. Kau anggap saja masalah kau
dah settle!” Ain pula menambah.

Hani menepis tangan Salwa yang memegangnya. “Ei, apa ni? Lepaslah! Aku nak gerak dah ni, kalau lambat gerak nanti sampai sana malam pulak!”

“Please Hani, jangan macam ni! Kami ni kawan kau, kawan suka dan duka! Kita selesaikan masalah ni sama-sama,
okey?”

Hani mengeluh. “Apa korang merepek ni? Aku nak balik kampung sebab mak aku tu dah bising-bising, dua bulan lebih
aku tak balik. Dia cakap aku ni anak tak sedar diri, tak ingat emak dah. Aku malas nak dengar dia bising lagi, sebab tu aku nak balik. Yang korang kalut sangat ni kenapa?”

Terus lengan Hani dilepaskan. “Lah, bukan kau nak balik kampung pasal kau kecewa sebab Eddri tolak lamaran kau?”

“Isy, tak ada masa aku nak kecewa bagai. Dah dia tak nak, aku nak buat macam mana? Lantak dia lah, aku tak kisah pun. Dah lah, aku nak balik!”

Ek eleh, punyalah orang risaukan dia! Rupanya nak balik kampung sebab dah tak tahan bebelan ibu tercinta. Bikin gempak aje!

“Ni hah, daripada korang tak ada kerja dok mengumpat orang tu, baik korang tolong kemas stor tu. Dah macam pusat penternakan tikus belanda aku tengok. Aku tahu, aku balik sini nanti, stor tu dah clear. Faham tak ni?”

Sempat pula Hani meberikan tugas buat rakan-rakannya. Seperti biasa, ketiga-tiga mereka buat muka paling bosan.
“Iyalah, esok-esoklah kami bersihkan. Kau duduklah kampung tu lama-lama sikit.” Selamba Wahida menjawab.

“Tak ada maknanya nak duduk lama-lama. Buat panas telinga aja dengar mak aku membebel. Ingat tau pesan aku tu! Aku gerak dulu, bye!” Terus enjin dihidupkan, dan Proton Persona merah itu meluncur laju di atas jalan raya.

Salwa, Ain dan Wahida kembali ke dalam rumah. Punggung dihenyakkan di hadapan televisyen.

“Hani ni, buat terkejut orang saja. Nasib baik tak kantoi terang-terangan dek minah tu.”

“Kau ni Ida, kau punya cerita tu, mukadimah dah panjang sejengkal. Siap nak awan lah, burunglah. Dah tak sempat
habis. Lain kali straight to the point ajalah.” Salwa mendengus.

“Alah, manalah aku nak tahu si Hani tu boleh potong line. Aku baru nak buat cerita kasi berbunga-bunga. Tiba-tiba Hani datang, terus keluar guruh kilat!”

“Ida, sambunglah balik! Aku teringin sangat nak tahu, apa agaknya akan terjadi kalau Hani tu jatuh cinta.” Ain memujuk.

“Aku sambung ye,” Ida berdehem seketika. “Dan kemudian hilanglah segala awan, bersama hilangnya segala angan. Dah, kemas stor sekarang!”

Salwa dan Ain mendengus. Baru nak layan-layan sikit, terus rosak mood.

“Dah, geraklah sekarang! Nak tunggu Hani berkokok lagi ke? Tentang tadi tu, korang buatlah bayangan sendiri.”

Lantas mereka bertiga mula membawa arah masing-masing. Namun di dalam otak masih terfikir, bagaimana agaknya ya kalau miss heartless jatuh cinta?

Asyraf termenung menghadap siling. Argh! Bosannya! Baru kini dia mengerti kebosanan yang melanda para pesakitnya.

Patutlah kebanyakan pesakit merengek mahu pulang awal, malah lebih teruk ada yang lari dari hospital! Haisy, macam-macam perangai!

Bunyi pintu terkuak menarik perhatian Asyraf. Bibir mula tersenyum. Pasti Razif datang untuk memeriksanya. Semakin lebar senyumannya tatkala melihat Razif masuk bersama seorang jururawat.

“Macam mana keadaan hari ni, Doktor Asyraf? Masih sakit seperti semalam?” Skema Razif bertanya.

“Dah kaki aku kejang macam ni, siap kena simen, kau boleh tanya macam mana? Sakitlah!”

Razif menggelengkan kepala. “Macam mana boleh jadi macam ni?” soalnya. Semalam, ketika Asyraf dimasukkan ke wad, sepatah pun lelaki itu tidak bersuara. Hanya satu yang dikatakan, “kaki aku patah.” Apa sebenarnya yang terjadi,
Razif pun tidak tahu.

Terkejut Razif semalam apabila seorang jururawat dengan kelam kabut menerjah biliknya. Dengan tercungap-cungap, jururawat itu meminta dia ke Wad Kecemasan. “Doktor Asyraf sakit!” Mendengarkan itu sahaja, laju dia berlari ke Wad Kecemasan. Ketika tiba, dia melihat Asyraf masih terduduk di kerusi roda.

“Aku kena pukul.” Jawab Asyraf.

“Hah? Kena pukul? Siapa pukul kau?”Soal Razif kalut. Sebentar tadi, jururawat yang bersamanya telah diarahkan supaya keluar.

“Samseng jalanan. Teruk juga dia belasah aku.”

“Habis, siapa yang bawa kau ke sini? Aku dengar semalam, ada seorang perempuan yang hantar kau.”

Asyraf hanya mengangguk. Sehingga sekarang, dia masih teringat wajah wanita itu.

“Siapa nama dia?”

Asyraf hanya angkat bahu. Memang dia tidak tahu nama wanita itu, malah tidak berkesempatan untuk mengetahui
namanya.

“Kau tak tanya?”

“Aku dah tanya, tapi dia tak nak beritahu. Aku hormati keputusan dia, dan aku sentiasa berharap agar aku dapat
membalas jasanya.”

“Macam mana dia boleh jumpa kau?”

Asyraf menarik nafas seketika. “Lepas samseng tu pukul kaki aku, aku terbaring, aku tak boleh bangun. Tiba-tiba dia datang, dan belasah seorang demi seorang samseng tu. Tengok gaya, memang dia tu ada ilmu bela diri. Lepas tu, polis datang dan tangkap samseng-samseng tu. Kemudian dia hantar aku pergi hospital.”

“Naik kereta kau?”

Asyraf mengangguk.

“Pecah rekod! Wanita pertama naik kereta kau! Kau tak halang pulak?”

“Kau gila? Takkan aku nak suruh dia papah aku naik teksi datang sini? Nak angkat kaki pun aku tak boleh! Aku tak
nak menyusahkan dia.”

Razif memandang Asyraf pelik. “Tapi kau boleh je call aku, suruh aku datang.”

“Sementara tunggu kau datang, mungkin sebelah lagi kaki aku boleh patah. Kau ni kenapa tak puas hati sangat?
Biarlah dia hantar naik kereta aku, apa masalahnya?”

“Bukan apa, aku cuma pelik, sebelum ni no girl can enter your car. Mama kau sendiri pun tak nak naik kereta kau, sebab kononnya nak beri penghormatan kepada dia punya daughter-in-law-to-be untuk naik kereta kau tu dulu. Doktor
Emily tu, banyak kali buat rancangan gila sebab nak naik kereta kau, tapi tak menjadi juga. Ni, tiba-tiba je, perempuan yang tak dikenali naik kereta kau. Siap drive lagi tu! Wah, impress!”

“Anggap ajalah tu satu penghargaan atas pertolongan dia tu. Dah, jangan tanya apa-apa lagi, sebab aku dah malas nak jawab.”

Razif sekadar mengangkat bahu. Pasti ada sesuatu ni!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Apabila Miss Heartless Jatuh Cinta 2”
  1. lunalina says:

    waa ..best !best !next entry ya ..suka kawan Hani reka cerita

  2. ira says:

    hahahahahaha bestt gelak jer….bila bca

  3. AliahMohdSalleh says:

    Best giler cerita ni,lain dari yang lain.ceriter menarik sangat,mengujakan.Pembaca dah hook dengan ceriter ni.Gaya penceritaan santai dan kelakar.Best.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"