Cerpen : Sahabat

19 July 2013  
Kategori: Cerpen

12,075 bacaan 9 ulasan

Oleh : Novem

Muhammad Hassan memecut keretanya menuju Hospital Serdang. Dahinya berpeluh walaupun keretanya sejuk dengan penghawa dingin yang dipasang pada tahap maksima. Tangan pemuda berusia 26 tahun menggeletar memegang stering kereta. Meter kelajuannya sudah mencecah 130km/j. Dia tidak peduli. Yang penting dia mahu sampai segera walaupun tindakan dan pemanduannya merbahaya. Serta merta dia teringatkan perbualannya di telefon bersama Ahmad Hussin petang tadi. Sahabat yang setia dan penting dalam hidupnya. Seorang sahabat yang sentiasa ada dalam susah mahupun senang. Antara mereka berdua seperti adik beradik. Perkenalan yang bermula sejak di sekolah rendah bertahan sehingga kini.

“Hassan! Kau ni betul ke nak suruh aku hantar Maisarah balik rumah ni? Kau tak takut ke aku bawa lari tunang kau?” Hussin ketawa. Dia mahu menguji hati Hassan.

“Alah, kau bawa lari pun takpe. Nanti dia tahu cari jalan balik.”

Hassan memulang paku buah keras. Yang sebenarnya dia tidak risau jika Hussin bersama Maisarah. Dia lega sebenarnya kerana Hussin seorang yang boleh di harap dan dipercayai. Walaupun satu ketika dulu dan sehingga hari ini Hussin masih mempunyai perasaan pada Maisarah, tapi dia percaya yang Hussin takkan mengambil kesempatan terhadap tunangnya itu.

Pernah satu ketika dulu, mereka berdua mencintai seorang gadis yang sama. Sewaktu mereka bersama-sama menyambung pelajaran di Universiti Putra Malaysia dalam bidang kejuruteraan. Manakala Maisarah dalam bidang pertanian. Dan masing-masing bersaing sesama sendiri untuk memikat hati gadis pujaan mereka. Pernah juga bergaduh kerana seorang perempuan. Pernah tidak bertegur sapa hanya kerananya. Tapi semua itu tidak dapat memutuskan tali persahabatan mereka.

Hassan menarik nafas dalam-dalam. Dia kembali dari lamunannya. Dia cuba untuk fokus dalam pemanduannya. Hassan menekan pedal minyak hingga mengenai lantai. Kelajuan keretanya mencecah 160km/j apabila memasuki Lebuhraya Utara Selatan melepasi tol Sungai Besi. Enjin Proton Satria Neo itu mengaum meminta belas kasihan tapi tidak dipedulikan Hassan. Ingatannya pada Hussin semakin kuat.

“Ya Allah… ya Rahman… ya Rahim… beri aku kesempatan untuk berjumpa dengan Hussin ya Allah.”

Dia berdoa. Suaranya tergelam timbul.

Dua Tahun Dahulu…

“Tidak! Saya tak boleh terima! Kenapa awak pilih mangkuk jamban ni Mai??? Apa kurangnya saya???” Hussin menyeringa. Mukanya merah menahan marah. Maisarah di hadapannya terkulat-kulat. Hassan pula buat tak tahu. Dalam hatinya mengekeh-ngekeh ketawa.

“Alah Hussin… Tadi Hussin kata akan terima apa saja keputusan Mai. Bila Mai bagitahu, Hussin marah Mai pula.” Maisarah menundukkan wajahnya. Dia rasa bersalah.

“Bukan saya marah pada Mai… Tapi kenapa??? Kenapa??? Apa yang menyebabkan Mai pilih lelaki lembik macam Hassan tu???” Hussin masih tak berpuas hati. Dia mahukan penjelasan dari Maisarah.

Maisarah terdiam seketika. Dia memandang ke arah Hassan.“Err… sebab Hassan gelap sikit kot?” Maisarah mengangkat keningnya. Matanya menjeling tajam kepada Hassan yang buat tak tahu dari tadi.

“Gelap sikit??? Hassan tu keturunan Sri Langka! Saya ni melayu tulen! Takkan sebab tu je???” Hussin separa menjerit. Tiba-tiba kedengaran Hassan ketawa.

“Kau jangan gelak Hassan! Ini antara aku dan Maisarah. Antara aku dan kau kita selesaikan di rumah!” Hussin memandang tepat pada mata Hassan. Dia memberi amaran.

“Sudahlah tu Hussin. Terimalah hakikat aku lebih layak untuk Mai daripada kau.” Ketawa Hassan pecah. Dari tadi dia menahan gelak melihat Hussin menggelabah apabila Mairasah memilihnya.

“Argh!!!! Aku tak percaya! Aku takkan terima! Empat tahun aku berusaha nak pikat Mai dan tiba-tiba je kau potong jalan aku! Argh!!!” Hussin bangkit dari tempat duduknya. Dia berjalan meniggalkan Hassan dan Maisarah.

“Hussin tunggu!”

Hassan memanggil Hussin. Hussin yang dari tadi seperti dirasuk terhenti seketika. Dia memandang Hassan.

“Kami nak bertunang minggu depan tau. Aku nak kau ada sekali!”

“Tidak!!!”

Hussin menjerit sambil berlari meninggalkan mereka berdua. Sengaja Hassan menjirus minyak dalam api yang sedang marak. Dia semakin galak ketawa.

“Hassan! Tak elok buat macam tu. Hussin tu kan kawan Mai jugak.” Maisarah menegur Hassan. Dia risau melihat Hussin seperti terkena histeria dan Hassan pula sengaja menyakatnya lagi.

“Alah tak pe, esok lusa eloklah tu.” Bibirnya tersenyum. ‘Nanti aku pujuk dia kat rumah.’ Gumam hatinya.

“Hussin… Hussin. Dah la tu. Janganlah berkunci dalam bilik tu. Jom teman aku makan. Aku masak sardin goreng hari ni.” Hassan memanggil Hussin dari luar bilik. Sejak balik dari petang tadi Hussin mengurung dirinya dalam bilik. Hassan hendak tergelak melihat telatah Hussin. Seperti budak kecil yang kalah main perang-perang.

Hussin membuka pintu biliknya. Dia terus menuju ke dapur mengambil pinggan lalu mencedok nasi. Lauk ikan sardin yang berada diatas kuali dicampurkan dengan nasinya. Dia berjalan menuju ke ruang tamu rumahnya. Tanpa menunggu Hassan, dia terus menyuapkan nasi ke mulutnya. Dia malas hendak melayan Hassan.

“Dah la tu Hussin. Cari aje la perempuan lain. Dah ditakdirkan yang Mai pilih aku. Nak buat macam mana kan?” Ada senyuman di bibir Hassan. Hussin masih diam. Dia buat-buat tak dengar kata-kata Hassan. Hassan duduk di sebelah Hussin. Cuba untuk memujuk sahabat baiknya itu. Kalah dalam merebut seorang gadis, memang pantang dalam kamus hidup setiap lelaki.

“Aku nak bertunang minggu depan ni. Dah Allah tentukan yang aku bakal sehidup semati dengan Mai. Terima ajelah ye?” Hassan seperti memerli Hussin.

“Kau ni Hassan, kalau tak menyakat aku tak boleh ke? Aku ni dah la tengah putus cinta. Kau pula nak bakar lagi aku.”

Hassan ketawa besar. Tak pernah sepanjang mereka berkawan, Hussin jadi macam ini. “Okey..okey. Jadi, kira kau mengaku kalah la ye?” Hassan masih belum mahu berhenti. Hussin di sebelahnya menjeling tajam.

“Tapi Hassan, aku harap kau jaga hubungan kau dan Mai sebaik-baiknya. Jangan terlibat dengan perkara yang lagha’ dan maksiat. Nanti Allah marah.” Hussin menasihati Hassan. Hatinya sudah mula redha dengan pilihan Maisarah.

“Dan kau kena hargai Mai macam kau hargai diri kau sendiri. Kalau kau main-mainkan dia, aku buat kau jadi macam sambal sardin ni faham?” Sambil Hussin menunjukkan sambal sardin di pinggannya.

“InsyaAllah Hassan. Kalau aku tergelincir, kau tolonglah aku. Kau lebih tahu benda ni dari aku kan?” Giliran Hassan pula meminta dari Hussin.

“Bila kau bertunang?” Hussin menukar tajuk.

“Hari sabtu minggu depan. Kau tak ada program apa-apa kan hari tu?” Hussin berfikir sejenak. Nasi di pinggannya sudah licin.

“Aku ada masa 6 hari lagi untuk buat Mai barubah fikiran. Selagi belum bertunang, aku boleh cuba nasib dengan Mai lagi.” Serentak Hussin meninggalkan Hassan terpinga-pinga keseorangan. Dia menuju ke dapur.

“Hussin, kau jangan main-main!” Hassan sedikit melaung. Hatinya sedikit risau jika Hassan mengotakan kata-katanya.

Allahhuakbar!!!

Hassan tersentak. Dia menekan pedal brek sekuat hati. Bunyi tayar berdecit menjerit di atas jalan. Keretanya dipaksa berhenti secara mengejut. Sebuah kereta Proton Saga BLM betul-betul hampir dihadapannya. Mujur dia sempat brek. Lidahnya mengucap panjang. Tiba-tiba terasa kakinya tak bermaya. Dia segera membelok menukar lorong kiri dan berhenti di lorong kecemasan. Hassan tersandar mencungap. Dihadapannya susur keluar Persimpangan Kajang. Dia terlepas Persimpangan Serdang untuk ke hospital. Hassan membetulkan nafasnya. Matanya terasa gelap. Jam menunjukkan pukul 9 malam. Dia menguatkan semangat dan perlahan-lahan dia meneruskan perjalanan. Dadanya terasa sesak.

“Aku nak kahwin.”

Hussin tersedak. Terus diletakkannya teh tarik di tangannya. Suasana bising di kedai mamak TTDI Shah Alam tidak mengganggu pendengaran Hussin.

“Kahwin?”

“A’ah.Yelah… buat apa bertunang lama-lama. Lagipun duit pun dah cukup. Umi dan Abah tolong sikit. Bolehlah buat kenduri.” Senyuman Hassan melebar. Hussin orang pertama yang tahu berita ini.

“Ish… tiba-tiba aje kau ni. Kau dah bagitahu orang tua Mai tak?” Hussin kembali menghirup teh tariknya.

“Belum. Esok baru nak jumpa. IsyaAllah.” Hassan mengukir senyuman di bibirnya.

“Tahniah sahabat! Aku gembira dengan hijrah kau ni” Hussin menghulurkan tangannya dan disambut Hassan. Mereka tersenyum. “Nanti aku sponsor kambing panggang masa kenduri kau.” Ketawa mereka pecah di situ.

“Kau bila lagi Hussin?” Keadaan hening seketika. “Takkan ada hati pada Mai lagi kot?” Hassan cuba menduga hati Hussin.

Hussin terdiam. Dia mengalihkan pandangannya pada layar projector.

“Tipulah kalau aku kata aku dah lupakan perasaan aku pada Mai. Tapi aku boleh kawal. Lagipun yang akan kahwin dengan dia adalah sahabat aku jugak. Jadi, kira aku pun tumpang gembira.” Ada redha dalam nadanya.

“Carilah yang lain. Balqis kan ada. Dia tak putus asa lagi nak mengorat kau.”

“Itulah. Aku pun rasa macam dah terpikat pada dia. Tapi takut pulak sebab dia tu anak doktor. Merangkap pengarah hospital pulak tu.” Hussin menambah. Seolah-olah Maisarah sudah keluar dari tajuk perbualan mereka.

“Hah, apa lagi. Ambil aje lah. Kau bukan ramai peminat pun.”

“Tapi aku nak yang ada nama ‘Mai’ jugak.”

Hussin mengenakan Hassan. Sengaja dia ingin buat Hassan bengang.

“Jangan nak mengada. Aku tak jemput pergi kenduri aku baru kau tahu.” Kedai mamak itu gamat dengan ketawa mereka berdua bagaikan sudah tiada esok bagi mereka.

Hassan melangkahkan kakinya menuju wad kecemasan Hospital Serdang. Matanya mula berair. Dia cuba sedaya upayanya menahan sebak. Sebaik tiba di ruang legar, sudah ramai yang ada di sana. Keluarga Maisarah sudah sampai. Umi dan Abahnya juga ada bersama. Hassan meneruskan langkah. Di menghampiri Uminya.

“Macam mana Umi? Dah keluar?” Hassan mengawal nada suaranya walaupun suaranya bergetar.

“Belum lagi Hassan. Kami pun tak tahu lagi keadaan Hussin dan Maisarah.” Uminya memegang bahu Hassan. Cuba menenangkan anak bujangnya yang nampak tenang tapi wajahnya berserabut. Pakcik Omar yang merupakan ayah Maisarah segera memeluk pemuda itu.

“Sabar Hassan. InsyaAllah semuanya selamat.” Hassan membalas pelukan pakcik Omar. Selepas beberapa ketika dia meleraikan pelukan.

“Hassan nak ke surau ayah.” Hassan berlalu pergi. Dia mahu mengadu pada penciptanya. Yang mana kepadanya dia akan kembali.

“Hassan! Kau ni betul ke nak suruh aku hantar Maisarah balik rumah ni? Kau tak takut ke aku bawa lari tunang kau?” Hussin ketawa. Dia mahu menguji hati Hassan.

“Alah, kau bawa lari pun takpe. Nanti dia tahu cari jalan balik.” Hassan memulang paku buah keras. Dia ketawa sendiri.

“Hussin, cepatlah. Nak hantar ke tak ni. Mai nak kena ada kat sana sebelum Maghrib.” Maisarah sudah bising di dalam kereta. Dia kena berada di UKM sebelum maghrib. Ada perkara penting yang memerlukan dia untuk berada di sana ketika ini. Sebagai seorang penyelidik, adakalanya kehadirannya diperlukan tidak mengira waktu.

“Hassan, aku nak gerak dulu ni. Kau punya tunang dah bising tu. Dah sampai UKM aku telefon kau balik.”

“Hati-hati Hussin. Aku nak menikah minggu depan ni.” Hassan mengingatkan Hussin.

“Ye. Aku ingat tu.” Hussin meletakkan telefon. Dia segera berlari menuju ke kereta. Petang itu, Hassan menelefonnya meminta untuk menghantar Maisarah ke UKM. Dia tak dapat menghantar Maisarah kerana dikehendaki mewakili Telekom Malaysia menghadiri mesyuarat dengan pihak kontraktor telekom. Hussin pula dalam perjalanan pulang ke Bandar Baru Bangi. Kerana itu dia berkelapangan menghantar Maisarah.

Hussin memecut keretanya meninggalkan perkarangan Universiti Malaya. Dalam keadaan kesesakan jalanraya, Hussin memandu berhati-hati. Dia sememangnya bukan jenis yang suka bawa laju.

“Hussin, sempat ke kita ni?” Maisarah mula risau. Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 6 petang.

“InsyaAllah sempat. Mai sabar je okey. Bagi saya fokus bawa kereta.”

“Hai, bertahun bawa kereta tapi macam baru dapat lesen je?” Maisarah mula hendak menyakat Hussin.

“Saya ni cermat bawa kereta. Nanti jadi apa-apa, kan payah. Kira okeylah dari orang yang takde lesen kereta kan?” Hassan menjeling kepada Maisarah.

“Oo… pandai perli ye.”

Tiba-tiba deringan telefon Hussin berbunyi. Hussin memasang ear-phone pada telinganya. Dia tidak biasa memandu sambil memegang telefon.

“Assalamualaikum abang Hussin.” Kedengaran suara Balqis dari hujung talian.

“Waalaikummussalam Balqis. Abang tengah memandu ni. Nanti abang telefon balik boleh?” Hussin cuba memendekkan perbualan. Sebenarnya dia kekok memandu sambil bercakap dalam telefon. Fikirannya seperti tidak fokus semasa semandu.

“Abang dengan siapa?” Balqis bertanya. Dirinya curiga.

“Abang dengan kak Mai. Nak hantar dia pergi UKM.” Hassan berkata ringkas. Balqis di talian membisu. “Jangan la risau. Abang tolong hantar je. Okay?”

“Okey, assalamualaikum.” Ganggang diletak tanpa salam dijawab.

“Amboi!”

Hussin mengeluh. Kadang-kala dia terasa penat melayan cemburu Balqis. Tapi dia buat tidak kisah. Lagipun cemburu Balqis selalunya tidak lama. Bukankah winita yang baik itu tinggi cemburunya?

“Balqis ke?”

“A’ah.” Hussin menjawab sepatah.

“Mesti dia fikir bukan-bukan. Itulah, Hussin tak banyak bagi perhatian pada dia.”

Hussin tersenyum. Sesekali dia melihat cermin sisi dan cermin belakang. “Saya ni bukan taknak bagi perhatian. Cuma tak suka bercinta. Maksudnya bercinta tanpa ikatan pernikahan. Macam saya dan Balqis sekarang.”

Maisarah mengerutkan dahinya. “Tapi bukan Hussin bercinta dengan Balqis sekarang?”

“Tak. Saya akan simpan perkataan ‘bercinta’ itu selepas bernikah. Baru seronok! Kemanisannya masih ada.” Hussin tersenyum. Dia benar-benar maksudkannya. Dia lebih suka bercinta selepas nikah kerana mahukan lebih keberkatan. Jika dia bercinta sekarang, perhubungan dia dan Balqis akan hambar selepas mereka bernikah. Jika ada jodohlah.

“Mai…” Hussin bersuara perlahan.

“Ye?”

“Kereta belakang ni ikut dekat sangat la. Risau pula.” Hussin melahirkan kerisauannya. Sedari tadi dia tidak senang hati melihat sebuah kereta Mazda bewarna putih mengekori rapat keretanya.

Hussin memandu secermat yang boleh. Dia mengikut Lebuhraya Utara Selatan melalui tol Sungai Besi. Keadaan agak lengang di lebuhraya ketika ini. Hussin melihat kelajuannya keretanya sambil matanya kadang-kala melihat cermin belakang. Kereta Mazda putih itu masih dibelakangnya. Dia memberikan isyarat ke kiri supaya kereta Mazda itu boleh memotongnya. Namun baru sahaja dia hendak ke kiri, kereta tersebut memotongnya dari sebelah kiri. Hussin hanya membiarkannya sahaja. Dia menjaga jarak keretanya dengan kereta di hadapan.

Tiba-tiba kereta Mazda itu menukar haluan ke kanan masuk ke lorongnya. Hussin menekan brek memperlahankan kenderaannya untuk member laluan kepada Mazda putih itu. Kereta dari belakang melanggar bahagian belakang kereta Hussin. Allah! Sepontan nama pencipta itu di sebutnya. Hussin tergamam. Dia dan Maisarah tersentak ke belakang. Brek di kaki Hussin terlepas. Mazda itu terus masuk ke laluannya. Bahagian belakang Mazda itu bergesel dengan kereta Hussin. Maisarah di sebelah menjerit. Hussin memegang kemas stering keretanya. Dia cuba mengawal keretanya supaya tidak terbabas. Pelanggaran dengan kerata Mazda itu menyebabkan kereta Hussin rapat ke penghadang jalan sebelah kanan. Keretanya semakin hilang kawalan.

Mazda putih itu terbabas ke lorong kanan menyebabkan ia menghimpit kereta Hussin terus ke penghadang jalan. Hussin masih cuba mengawal keretanya. Tiba-tiba dia teringatkan Maiarah yang ada disebelahnya. Serta merta dia teringatkan sahabatnya Hassan. Keretanya menghimpit ke kanan lalu bergesel dengan penghadang besi. Hussin masih cuba sedaya upayanya. Genggaman tangannya di stering tidak di lepaskan. Entah bagaimana, kereta Mazda dihadapannya berpusing dan hampir menghentam bahagian kiri sebelah pintu Maisarah. Tanpa sedar dia melepaskan brek dan memulas stering keretanya ke kiri. Bahagian kanan kereta Hussin menghentam tepat pada kereta Mazda itu.

Dentuman yang kuat kedengaran. Kaca bertaburan di atas jalan. Kereta dari arah belakang segera berhenti untuk memberikan pertolongan. Hussin hampir pengsan di situ. Tangan kanannya terkulai. Dalam antara sedar dan tidak, dia melihat Maisarah disebelahnya. Tudungnya basah dengan darah tapi Maisarah masih bernafas. Pandangan Hussin semakin menghilang. Nafasnya turun naik. Dia pengsan di situ.

“Ada keluarga Nur Maisarah Bt Omar dan Ahmad Hussin Bin Ahmad Hasbullah di sini?” Doktor Badrul bertanya selepas keluar dari bilik kecemasan.

“Saya ayah Maisarah.” Pakcik Omar menghampiri Doktor Badrul.

“Em… keluarga Ahmad Hussin?”

Hassan segara mencelah. “Keluarga Hussin belum sampai. Doktor boleh bagitahu saya.” Hassan segera menghampiri Doktor Badrul. Sebenarnya dia kenal dengan Doktor Badrul. Dia adalah ayah kepada Balqis. Cuma Doktor Badrul yang tak mengenali dia dan Hussin.

“Okey, mari ikut saya.” Doktor Badrul bersuara tegas.

Hassan berteleku di sejadah. Dia kembali ke surau selepas berjumpa dengan doktor di wad kecemasan sebentar tadi. Keadaan Maisarah tidak kritikal. Cuma impak pada kepalanya yang merungsingkan pakar. Tapi kecederaan Hussin parah. Tangannya putus tapi dia masih bernyawa. Doktor sedang mencuba baik mungkin untuk menyelamatkan mereka. Pendarahan dalaman berlaku dengan teruk. Peluang untuk Hussin hidup amat tipis.

Hassan bersujud. Dia mengucapkan rasa syukur kerana keadaan Maisarah tidak begitu serius. Dan dia memohon kepada Allah agar Hussin dapat diselamatkan. Dia kembali duduk. Hassan melekap mukanya dengan tangannya. Dia teringatkan detik-detik perkenalannya bersama Hassan. Air matanya mengalir laju. Dia tidak dapat menahan sebak. Bahunya terangkat-angkat menahan sedu. Dia menyebut nama Allah banyak-banyak. Hatinya tak mampu menahannya lagi. Dia menangis semahunya.

“Hassan…”

Hassan tersentak. Dia mencari suara itu. Serta merta pandangannya tertumpu pada susuk tubuh seorang lelaki yang amat dikenalinya. Hussin menghampiri Hassan yang sedang duduk bersandar di dalam surau itu. Masih kedengaran sendu tangisan dari Hassan. Bau wangi dari Hussin yang berjubah putih meredakan sendunya.

“Hei… sabarlah sikit. Janganlah sedih sangat.” Hussin cuba menaikkan semangat Hassan.

Hassan merenung wajah Hussin. Wajahnya tenang. Nampak putih dari biasa. “Kau okey ke?” Hassan bertanya.

“Aku? Aku okey je. Cuma aku nak mintak maaf sebab tak dapat jaga Maisarah macam yang kau minta.” Raut wajah Hussin masih begitu. Senyumannya terukir.

“Sudahlah, itu dah takdir. Kita kena redha dengan apa yang terjadi. Kau yang ajar aku dulu kan?” Hassan mengalihkan pandangannya.

“Dah tu, kenapa kau tak redha?” Hussin duduk bersila di hadapan Hassan. Lutut mereka bertemu.

“Aku redha! Cuma aku masih tak bersedia! Untuk kehilangan seorang sahabat!” Hassan meninggikan suaranya.

Hussin tersenyum manis. “Mana kau tahu yang kau kehilangannya?”

Hassan terdiam.

“Hassan, kita kena terima apa yang Allah bagi pada kita. Bila kita redha, Allah akan dekat dengan kita.”

Hassan kembali menangis. Dia tidak dapat menahan sebak.

“Sabar sahabatku. Allah takkan menguji sesuatu lebih dari upaya hambanya. Kau kena kuat untuk keluarga kau, keluarga Maisarah dan Balqis. Dan semestinya untuk Allah.”

“Aku bersyukur dapat bersahabat dengan kau. Aku anggap kau seperti abang aku sendiri. Kalau kau tak kuat, macam mana aku nk ‘pergi’?”

Hassan memandang Hussin. Dia menyeka air matanya yang tumpah. Dia terus membisu.

“Jangan risau Hassan. Aku takkan tinggalkan kau. Aku akan hidup dalam diri setiap orang yang mengenali aku. Satu hari nanti kita pasti akan bertemu semula. Samaada lambat atau cepat sahaja. Dan kau tak boleh berputus asa hanya kerana kejadian ini.”

“Habis tu, apa yang aku perlu buat?” Hassan mula bersuara.

“Kudrat kita terbatas. Jangan berhenti berdoa. Usaha sebaik mungkin dan bertawakkal pada Allah. Mungkin dengan doa dan usaha kita, kau akan melihat hikmah di sebalik kejadian ini.”

Hassan tergamam. Perkataan ‘hikmah’ menyedarkannya. Rupa-rupanya semuanya masih ada harapan. Selagi dia tak berputus asa dengan Allah, selagi itu Allah akan menolongnya. Tiba-tiba dia mendapat kekuatan baru. Hassan memandang Hussin. Air matanya sudah kering. Tubuh Hussin dihadapannya semakin menghilang. Bagaikan kabus yang hilang dek panahan matahari.

“Kau nak kemana?”

Hussin membisu seketika.“ Allah akan menentukan untuk aku.” Tubuh Hussin semakin menghilang tapi bibirnya masih mengukir senyuma.

“Kita akan bertemu lagi?” Suara Hassan tegas.

“InsyaAllah. Kitakan sahabat dunia dan akhirat. Jumpa lagi sahabat. Jangan putus asa untuk berdoa. Jaga dirimu baik-baik. Bimbing orang disekeliling kau sebaiknya.” Bayangan Hussin menghilang. Air mata Hussin mengalir jua di pipinya. Hassan hanya membiarkan sahabatnya pergi. Kerana dia pasti, mereka akan bertemu lagi!

Hassan tersentak dari lenanya. Dia memandang disekelilingnya. Suram. Tiada siapa yang berada di surau Hospital Serdang itu. Hanya dia seorang. Rupanya dia tertidur dalam keadaan duduk di atas tikar sembahyang. Hassan menyapu kedua tapak tangannya ke muka. Subhanallah… aku tertidur. Dia melihat jam tangan di pergelangan tangannya. Sudah menunjukkan 11 malam. Agak lama dia tertidur sejak dari Isya’ tadi. Hassan segera bangkit. Dia menuju ke wad kecemasan. Mimpinya tadi sebenarnya sedikit melegakan dirinya. Entah mengapa, dia terasa seperti mendapat semangat dan harapan baru.

Setibanya dia wad kecemasan, dia terlihat Balqis dan keluarga Hussin sudah ada di situ. Hanya Ustaz Hasbullah sahaja yang datang. Ibu Hussin sudah lama meninggal dunia dan Hussin merupakan anak tunggal bagi Ustaz Hasbullah. Balqis hanya duduk sugul dalam pelukan Uminya. Matanya merah kerana menangis. Dia segera bersalaman dengan Ustaz Hasbullah. Ayah kepada Hussin. Hassan mengenali rapat dengan Ustaz Hasbullah. Selalu sahaja mereka berjumpa apabila dia ke rumah Hussin. Hassan memerhati wajah tua separuh abad itu. Wajahnya nampak tenang. Seperti tiada apa yang dirisaukannya.

“Apa perkembangan terbaru Ustaz?” Hassan cuba mengawal emosinya.

Ustaz Hasbullah senyap seketika lalu dia tersenyum memandang Hassan. “InsyaAllah Hassan. Kita cuba mana yang kita mampu.” Kata-kata Ustaz Hasbullah meredakan hati Hassan. Tiba-tiba kelibat Doktor Badrul muncul dari sebalik bilik di situ.

“Ustaz Hasbullah. Kalau Ustaz dah setuju, turunkan tandatangan di sini. Kami akan cuba sebaik mungkin. Yang selebihnya kita serahkan pada Allah.”

Hassan yang mendengar kata-kata Doktor Badrul terkejut. Dia kebingungngan.

“Kenapa Ustaz? Ada masalah ke?” Hassan bertanya bertalu-talu.

“Hussin perlu dibedah Hassan. Itu sahaja jalannya nak menyelamatkannya.” Ustaz Hasbullah menerangkan. Hassan kebingungan. Tangisan Balqis semakin meninggi.

“Kami akan lakukan pembedahan pada Hussin dan Maisarah. Walaupun peluang untuk Hussin sangat tipis, tapi kita akan cuba sedaya upaya. Dan untuk Maisarah, kita harap keadaannya semakin baik. Selebihnya kita serahkan pada Allah. Kalian jangan berhenti berdoa. Pada Dia sahaja harapan kita sekarang.”

Doktor Badrul menerangkan panjang lebar sebelum berlalu. Hassan tidak dapat berfikir apa-apa. Yang hanya melalui anak telinganya hanyalah tangisan Balqis. Ustaz Hasbullah mengurut-ngurut belakang badan Hassan. Pandangan Hassan terasa kelam. Kakinya terasa lemah. Dia pengsan di situ.

Hassan tersedar dari lamunannya apabila Ustaz Hasbullah masuk ke wad tempat dia berbaring. Sudah setengah jam dia sedar dari pengsannya. Sejak sedar, dia hanya berbaring di situ. Dia terasa keseorangan barangkali. Fikirannya melayang mengimbau kenangan antara dia dan Hussin. Hassan segera duduk apabila Ustaz Hasbullah menghampirinya dan duduk di pinggir katilnya. Dia memegang kaki anak muda itu.

“Hassan, mari kita uruskannya.” Perlahan sahaja suara Ustaz Hasbullah. Hassan tenang mendengar kata-kata Ustaz Hasbullah. Hatinya kosong.

“Maisarah dah pindah ke ICU. InsyaAllah, dia akan Allah selamatkan.” Ustaz Hasbullah melihat mata Hassan semakin bergenang. Dia sendiri sedang menahan tangisannya.

“Mari Hassan tolong pakcik. Ayah Hassan pun dah menunggu di luar tu.”

Hassan hanya mengikut apabila Ustaz Hasbullah memimpin tangannya. Air matanya yang mengalir di pipi segera dikesatnya. Dia perlu kuat untuk menghadapi situasi begini. Langkahnya longlai namun digagahkannya juga. Masih ada perkara yang dia perlu lakukan sebagai seorang sahabat. Perkara terakhir yang dia boleh lakukan untuk seorang sahabat bernama Ahmad Hussin Bin Ahmad Hasbullah.

Hassan dan Maisarah menyusuri tanah perkuburan Bandar Baru Bangi. Mereka melangkah berhati-hati sambil Maisarah memeluk lengan Hassan yang berbaju melayu. Sudah 2 tahun berlalu sejak peristiwa kemalangan tragis Hussin dan Maisarah. Maisarah kini sudah sembuh dari trauma dan kecederaan dari kemalangan tersebut. Cuma setiap bulan Maisarah perlu melakukan rawatan susulan di Hospital Serdang. Syukur kepada Allah keadaan Maisarah tidak serius. Cuma hentakan kuat pada kepalanya membuatkan sebahagian dari memorinya hilang. Dan mata kirinya terpaksa dibuang kerana tertusuk serpihan kaca. Namun, Maisarah tetap kuat. Dia menerima keadaan yang berlaku seadanya. Tidak lama selepas kemalangan itu, dia dan Hassan di ijabkabulkan walaupun ingatannya pada Hassan masih samar-samar.

Hassan tersenyum melihat Maisarah yang kini menjadi isterinya. Maisarah cuba mengimbangi dirinya untuk berjalan di atas tanah perkuburan yang tidak rata itu. Dia memaut lengan Hassan. Kadang-kala dia hampir terjatuh.

“Mai, kita dah sampai. Inilah kubur Hussin.” Hassan melutut sambil membersihkan pusara Hussin. Daun-daun kering dibuang dan dibersihkan.

“Kita sedekahkan Al-Fatihah.”

Suasana sunyi seketika. Hassan berdoa dalam hatinya agar Hussin ditempatkan dikalangan orang-orang yang syahid di jalan Allah. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukannya untuk mereka yang sudah pergi meninggalkannya.

“Ini ke Hussin kawan abang yang kemalangan dengan Mai?” Maisarah duduk di sebelah Hassan.

“Ye sayang… dan Hussin bukan hanya kawan abang. Tapi kawan Mai juga. Mungkin satu hari nanti Mai akan ingat semula Hussin.” Hassan tersenyum melihat Maisarah cuba mengingati Hussin. Dia perlu bantu Maisarah untuk ingat kembali. Perlahan-lahan tapi pasti.

Maisarah memeluk pinggang suaminya itu. Dia cuba untuk mententeramkan perasaan suaminya itu.

“Arwah Hussin sentiasa hidup dalam ingatan kita walaupun dia dah tak ada bersama dengan kita. Dan Mai kena bersyukur sebab arwah Hussin hadiahkan Mai matanya. Sebab tu mata kiri Mai warna coklat sekarang.” Hussin tersenyum. Dia mencuit hidung Maisarah.

“Ye ke bang? Em… Mai mintak maaf sebab tak dapat ingat.” Suara Maisarah tersekat di kerongkong. Dia memegang lembut jari Hassan yang mencuit hidungnya.

“Tak mengapa Mai, InsyaAllah Mai akan dapat balik ingatan Mai. Cuma kita perlu sabar ye? Perlahan-lahan seperti Mai kembali ingat pada Ibu dan Ayah, dan pada abang.” Senyuman Hassan melegakan hati Maisarah. Bibirnya mengukir senyuman.

Hassan mencium batu nisan di atas pusara Hussin. Ingatannya kembali menerjah lubuk hati dan fikirannya. Cepat-cepat dia beristiqfar. Dia tak mahu syaitan melemahkan hati dan imannya. Hassan segera bangun. Dia mencapai tangan kecil Maisarah. Digenggamnya tangan itu seolah-olah tidak mahu melepaskannya. ‘Terima kasih sahabatku Ahmad Hussin Bin Ahmad Hasbullah. Semoga kau damai di sana.’

Hassan memimpin tangan Maisarah keluar dari tanah perkuburan itu. Langkahnya perlahan sambil menunggu Maisarah mengikut langkahnya. Hidupnya perlu terus walaupun banyak halangan yang tidak diketahuinya menanti dihadapan. Nama Hussin akan bersemadi di dalam hatinya. Selamat tinggal sahabat. Pasti, aku akan menyusulmu!

Ulasan Penulis :

Terima kasih pada yang sudi membaca dan pastinya ada yang pening kepala sebab cerita ni tak tersusun dan banyak menggunakan corak flashback. Apa persoalan yang cerpen ini agak ringkas dan saya mengetahuinya namun untuk cerpen yang panjang mungkin akan mekuatan jalan cerita itu sendiri. Walaubagaimanapun, ini adalah karya pertama saya menggunakan corak orang ketiga. Masih ada banyak kelamahan tapi InsyaAllah akan diperbaiki. Yang lemah datang dari diri penulis. Semoga terhibur!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

9 ulasan untuk “Cerpen : Sahabat”
  1. Sad ending.. Keep it up.. :-(

  2. Novem says:

    Assalamualaikum… minta maaf sangat-sangat pada para pembaca kerana cerpen ini dah dibuang perenggannya.Ia sepatutnya ada bagi memudahkan pembacaan.Saya pasti pembaca akan pening dan rasa kelang kabut apabila membacanya.Sepatutnya pembahagi perenggan ada dibuat tapi entah macam mana hilang bila diterbitkan.Sekali lagi saya memohon maaf bagi pihak p2u.

  3. iza sania says:

    sad ending but still the best story
    menyentuh hati.
    saya suka

  4. h-zinnirah says:

    Saya suka sgt :’( xpening pun bc. Fhm n memahami. Buat lg ya. Sgt2 suka

  5. ifi says:

    .assalamualaikum
    .maaf ttg kereta madza putih macam mana…?
    .meski sad ending tp good job buat penulis..!
    ;-)

  6. aihaa says:

    hehehe…memang best….:)

  7. Aisy nur says:

    Alahai air mata dah meleleh mcm mentari yang sedang menangis dekat luar rumah tu…cerita ok dah…x serabut pun…cuma endingnya tak menceritakan pasal mazda putih…tu yg jadi tertanya2.good job writer…

  8. Lya Hana says:

    Assalamualaikum.

    Saya editor sebuah syarikat penerbitan. Penulisan anda sangat bagus, jika penulis berminat untuk menghasilkan karya untuk diterbitkan.
    Sila hubungi saya di email … malyanah.shuhaimi@blue-t.com.my.

    Saya akan menerangkan dengan lebih terperinci.

    Terima kasih.

  9. kauthar says:

    ngee…nangis tau tak? haisy,kenapa la ada cerita macam ni.dah la tgh demam,menangis pulak…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"