Novel : Tiba-tiba, Dia Ada 1

27 August 2013  
Kategori: Novel

3,129 bacaan 4 ulasan

Oleh : Rehan Makhtar

BAB 1

SIAPA cakap hidup ni mudah? Tak mudah kerana dugaan itu akan hadir pada setiap orang dengan cara, waktu dan juga tempat berlainan. Menduga keimanan dan kematangan insan menyelesaikannya. Macam aku, hidup tenang lagi cool je selama ni tapi rasa tergugat tiba-tiba. Khabar yang aku terima tu, terus buat aku lemah semangat.

Telapak tangan mendarat pada dahi. Ohmai… panas. Tengok, aku dah demam. Aku memang demam. Hidung mula rasa ketat. Tersumbat. Tapi, sakit tu mengurangkan dosa. Cumanya aku rasa demam aku ni bukan demam atas sebab biasa. Sebabnya agak luar biasa.

Dan, macam mana nak pergi kerja esok? Papa bukan boleh kalau aku ponteng. Katanya sebab anak dia. Malah berpangkat pulak tu dalam syarikat milik papa. Nanti orang cakap papa guna kuasa veto masukkan aku dalam syarikat. Biarpun nenek kata, satu hari nanti kami-kami juga yang akan uruskan syarikat tu bila papa bersara. Ye ke? Bukan ke kami ada impian masing-masing?

Nak tak nak, esok kena dapatkan medical certificate bila aku tak henti-henti bersin. Semalam tak hujan pun tapi panasnya, tak terkata. Semalam seharian melepak dekat tapak projek dengan Aryan, satu-satunya adik lelaki yang aku ada. Keluar saja daripada tapak projek, muka dah terbakar. Usah kata muka, hati lagilah terbakar.

Mata dah mula rasa berat. Sikit lagi nak tertutup penangan panadol tadi. Rasa bagai ada kaki yang dok pijak-pijak kelopak mata nak suruh pejam. Aku tarik bantal peluk. Baru saja nak mengiring ke kanan, aku dengar pintu diketuk sekali dan krekk… terus ditolak daripada luar, tanpa izin pulak tu.

Siapa pulak ni? Aku buka mata dan tengok siapa. Ternyata, wajah mama muncul, tersenyum dan mendekati birai katil. Tersengih. Dah kenapa pulak mama ni? Kalau kata nak memujuk sekarang, aku tak sudi nak dipujuk.

“Ma ni kenapa?” Senada aku menyoal.

“Yang Arya ni kenapa pulak? Demam?” Tangan mama dan ringan menyentuh dahi aku.

Tak sempat nak tepis dah singgah dulu. Kening mama terangkat tinggi. Matanya menjeling air mineral yang sudah separuh aku teguk dan juga sarung panadol yang kosong.

“Sikit je.”

“Sikit apa macam ni punya panas? Macam mana nak ikut pa pergi meeting esok?” soal mama.

Aku bulatkan mulut. Konon terkejut padahal papa dah pesan siang tadi pada Aryan. Cakap dekat Kak Arya, esok papa ajak meeting. Pergi dari rumah. Naik kereta papa. Jangan bawa kereta sendiri.

Huh…

“Arya sakit kepala ni, ma… cakap dekat pa ajak Aryan, boleh tak?”

Mama diam, lama. Dia pandang aku dan aku jeling dia. Lama-lama mama senyum dan mengangguk sambil membelai kepala aku.

“Nantilah mama cakap dekat papa. Arya tidurlah. Kalau kata tak tahan nanti, panggil mama. Kita ke klinik,” pesan mama seraya bangkit.

Dia senyum lagi.

Mama aku? Nama dia Anahara. Pelik, kan nama dia tapi pada aku sangat unik. Anahara binti Rahman. Seorang penulis. Cantiknya tak kurang malah semakin bertambah. Sekarang dah berumur tetap lembut dan anggun bergaya. Yang penting, sangat penyabar.

Rasanya Aryan ikut muka mama. Aku lebih pada muka papa. Putih, bujur sirih dan perengus sedikit. Macam papa.

“Arya nak makan bubur tak? Mama masak,” pelawa mama tiba-tiba.

Aku tersentak. Baru rasa nak amati wajah mama betul-betul.

“Tak naklah…” Aku bergolek ke kiri membelakangi mama. “Mama kunci pintu, ya. Arya nak tidur awal sikit…” sambung aku.

“Iyalah…” sahut mama dan aku dengar daun pintu rapat kembali.

Aku bukan apa tak nak pandang mama lama-lama. Tiba-tiba teringat cerita siang tadi. Cerita yang aku dengar daripada mulut Aryan masa dekat tapak projek yang panas membahang. Membuatkan hati aku turut sama terasa kehangatannya.

KEPALA tertoleh ke kiri bila rasa ada tangan memeluk bahu aku kemas di bawah matahari memancar-mancar ni.
Aryan!

“Kakak, papa pesan esok ada meeting.”

“Aryan jelah pergi. Kakak rasa tak sihat la,” balas aku lemah sambil menengadah wajah ke langit.

Berpinau biji mata. Panas sungguh. Lencun rasanya belakang baju. Banjir wajah aku dengan peluh.

“Papa ajak kakak. Kata papa kakak lagi pandai dari Aryan,” ujar Aryan lagi.

Aku kalih pada dia dan mencerunkan pandangan. “Dah tu, kalau kakak dah pandai, papa patut ajak Aryan pergi dengan dia. Belajar apa yang tak reti lagi. Kalau asyik ajak orang yang dah reti, bila masa orang yang tak pandai nak pandai…,” sinis aku.

Geram. Asyik-asyik aku padahal yang belajar bidang kejuruteraan adalah budak Aryan ni. Bukan aku. Aku ni, papa hantar sampai USA pun belajar dalam bidang pengurusan dan perniagaan. Sementelah, aku ada pasang cita-cita nak jadi macam mama. Hidup dalam dunia sendiri dan keluarga tersayang. Menulis untuk kepuasan diri sendiri tapi papa tak bagi.

“Dunia glamour macam tu, pa tak berapa suka. Pa tak nak Arya kena kejar dengan maniac. Lepas tu berebut-rebut orang nak bergambarlah, itulah, inilah…” Itulah kata papa dulu masa aku mula-mula suarakan hasrat di hati.

Huh… macam ada bau-bau hanyir ikan di situ. Tapi, malas nak bantah bila nenek dan atuk pun tak menyokong. Hanya mama macam memberi izin dalam diam.

“Owh…” Bibir Aryan bulat. Dia menggoyangkan jari telunjuknya di depan aku sambil berdecit.

“Kakak tak boleh cakap Aryan tak reti atau tak pandai…”

“Habis tu nak kata apa?” selar aku menahan hati.

Dengan suara kuat melawan bunyi bising kerja-kerja piling yang baru berjalan semalam.

“Kurang pandai atau kurang reti, lebih molek bunyinya.” Aryan dah mula loyar buruk.

“Huh?” Aku mencebik. “Sama jelah tu maksud dia. Pergi tanya mama betul ke tidak.”

Aryan gelak. “Tak pandai macam teruk sangatlah, kak. Kejam tu kata adik tak pandai…”

Muhamad Aryan bin Mohd Mukhlis ni… memang pandai bercakap. Petah macam papa. Kalau mengayat, memang bagi dekat
dia. Tapi, sampai sekarang tak melekat dengan mana-mana perempuan pun dari dulu. Bila aku tanya, dia kata yang dekat dengan dia sebab dia ke kampus bawa Mini Cooper atau kadang-kadang bawa Mitsubishi Evo, Lancer, tak pun Porsche Cayenne papa. Biarpun itu adalah harta keluarga.

“Kalau dah tahu teruk, Aryan kenalah tukar jadi baik… okey?” Kening aku terangkat tinggi mencabar Aryan.

Dia banyak sangat main lepas habis belajar. Konon nak serius lepas sambung master. Huh, bila? Hari tu peluang ada, dia main-main. Kononnya tak apa. Nenek menyokong. Atuk tak kisah. Papa tak larang. Mama je berkerut sedikit. Tak puas hati. Bila anak-anak macam tak pentingkan pelajaran biarpun ada harta yang bakal diwarisi. Kata ma, harta tanpa ilmu boleh hilang. Ilmu tu adalah harta yang sebenarnya.

“Aryan tak sukalah kak, kerja-kerja site ni. Kepala Aryan ni bukan business minded,” ujar Aryan tiba-tiba. Jujur pulak dah.

Dah tu, dia ingat kepala kakak dia ni business minded gamaknya? Dia tak tahu cita-cita aku dah lama terkubur tanpa nesan tu.

“Kita ni dua beradik je, tahu? Kalau tak kita siapa lagi nak bantu pa? Aryan berani cakap macam tu eh depan pa? Bagi tahu papa nanti…. nak?” ugut aku sambil mengerling dia. Dengan senyuman sinis tersungging pada hujung bibir.

Dia jongket kening dan berjalan beberapa tapak ke belakang. Lari sedikit dari kebingitan kerja-kerja piling ini. Aku ikut jejak langkah Aryan. Dia serius tiba-tiba. Jarang Aryan buat air muka keruh kalau dia tak benar-benar maksudkan apa yang dia kata.

“Aryan!” seru aku bila dia terus lagi melangkah.

“Muhamad Aryan!” Dah naik satu oktaf suara.

Dia masih tenang menapak ke arah tempat yang lebih teduh. Bersandar pada dinding Toyota Harrier yang kami bawak ke tapak projek.

“Muhamad Aryan bin Mohd Mukhlis!” tempik aku dan tiba-tiba saja kerja-kerja piling berhenti.

Ohmai… Aku tahan wajah. Ramai yang sedang pandang aku. Pekerja-pekerja kontrak semua dah pandang pelik. Mesti semua tanya, kenapa bos terjerit-jerit? Okey, bos tak pernah jerit tapi sebab adik bos yang seorang ni, bos terpaksa jerit. Aku buat muka tak bersalah dan terus berlari anak mendapatkan Aryan.

“Aryan ni, kakak panggil kemain tak menyahut eh,” tegur aku berjauh hati lalu aku ambil tempat duduk di sisi dia.
Bahu Aryan naik. Nampak sedih.

“Dah Aryan ni kenapa? Kakak tak maksudkan apa-apa pun pasal Aryan pandai ke, reti ke. Kakak nasihat je tu.” Aku peluk bahu dia sedikit. Memujuk.

Aryan tak menepis, sebaliknya dia pegang tangan aku kembali. Kemas. Mata kami saling merenung dan dia senyum
serta menggeleng.

“Tahu kakak tak maksudkan tapi Aryan maksudkan tadi… Aryan tak sukalah nak kerja bawah papa. Nak warisi syarikat ni daripada papa. Aryan nak cari harta sendiri. Apa guna Aryan belajar tapi akhirnya Aryan dok bawah papa jugak. Aryan nak merantaulah, kak. Boleh tak?”

Aku jegilkan mata dengan pengakuan Aryan yang aku kira…. berani pitam. Boleh pitam dia nanti bila papa jerit kalau anak-anak nak bawa haluan sendiri. Kata papa rezeki untuk kami dah ada. Kami bertuah dan jangan jadi anak-anak tak bersyukur dengan tuah dan rezeki. Ramai lagi yang susah payah di luar sana.

“Ohmai…” Aku tekap pipi dengan kedua-dua belah telapak tangan.

“Aryan tak boleh macam ni. Nanti papa marah, padan muka. Tak nak kerja sekarang, Aryan pergi belajar lagi. Biar kakak uruskan Muhara dulu. Then, once you’re ready, I’ll give you Muhara’s throne.”

Tapi… Aryan menggeleng. Tak nak jugak.

“Aryan nak buat master dekat luar negara.” Bila Aryan cakap macam tu, aku memang dah dapat agak apa yang bermain dalam benak dia. Sama je fikiran adik aku ni dengan aku.

“Lepas tu ada niat tak nak balik? Nak kerja dekat sana? Macam tu?” tebak aku dan rasa nak demam, bila Aryan mengangguk.

“Ma?”

“Ada pa dan kakak apa,” jawab Aryan pantas.

“Nenek dengan atuk? Tok mak?”

“Ada pa, ma, kakak dan ramai lagi apa?” jawab dia lagi.

Huh, aku rasa nak luku budak ni. Tapi, aku tak mampu sebab aku mengerti perasaan dia. Dia ada minat lain dan aku juga tapi apa kami mampu buat bila papa bertegas tak nak lepaskan kami dengan angan-angan kami? Pa betul, cuma darah muda ni selalu macam ni.

“Aryan sungguh nak ikut impian sendiri?” tanya aku.

Dia jatuhkan kepala. Mengangguk. Pandang aku dan senyum lagi. Nampak yakin dan bersungguh.

“Impian kakak?”

“Dah lama terkubur…”

Aryan sengih keji. Mood dah berubah. “Dan bakal lebih dalam lagi kubur tu digali,” sambung Aryan buatkan kening aku hampir bertaut.

“Meaning?”

Aku memang dah rasa ada bau hanyir ikan di mana-mana. Sungguh ni, tak tipu. Pandangan Aryan dah lain macam.
Daripada hal cita-cita dan keinginan dia, dah beralih pada hal aku sepenuhnya.

“Mama suruh Aryan cakap dekat kakak, yang papa kata, bila nenek sebut-sebut hal ni lepas tu dapat pulak sokongan atuk, diorang nak…”

Huh, berbelit kepala aku. Sikit lagi otak kanan dan kiri nak bertukar kedudukan. Aryan ni dah buat ayat telefon karat yang pernah aku dengar masa sekolah dulu.

“Nak apa?” soal aku tak sabar.

“Nak kakak kahwin.”

Tiga patah ayat yang terakhir dari mulut adik aku tu buat aku nak rebah ke bumi. Serentak itu bunyi bising kerja-
kerja penanaman cerucuk kembali berdengung. Tong… tong… tong….

Tapi, kenapa bunyi yang aku dengar…

Kepak… kepak… kepak… kepom… kepom… kepom… kompang dipalu, pengantin baru. Duduk bersanding tersimpul
malu.

Apa ni? Ohmai…




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

4 ulasan untuk “Novel : Tiba-tiba, Dia Ada 1”
  1. hasanah says:

    best

  2. zur'aein says:

    tajuk tiba-tiba?!… rindu sgt dgn tiba-tiba ayayie… haha..

  3. Dysebelle Swan Hann says:

    tiba-tiba setelah sekian lama…

    tiba-tiba baru je luahkan rasa rindu itu…

    tiba-tiba RM post bgtau dah ada kat penulisan2u…

    tiba-tiba rasa rindu lagi menggunung tinggi dr Everest!!

    huwaaa…. rindu kat #AraYie…. bila nak kuor nih…. hurmmm

  4. akmahussin says:

    Cite ni sgt best. Oh, rindu dgn Arayie la RM. Bila nak kuar novel ni.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"