Cerpen : Peti Surat Ramadhan

27 September 2013  
Kategori: Cerpen

14,298 bacaan 37 ulasan

Oleh : Haji HM

Hami membetulkan tudungnya yang sedikit senget itu, lalu melangkah keluar rumah menuju ke peti surat yang terletak di sebelah pagar banglonya. Dia mendengus tatkala meneliti surat-surat yang terdapat di dalam peti surat tersebut.

Surat dia lagi, hatinya berdesus.

Semenjak Hami berpindah ke banglo itu pada bulan Syawal tahun lepas, dia selalu menerima surat-surat yang bukan ditujukan untuknya, malah untuk jiran sebelah. Tapi Hami tidak menyalahkan posmen. Yang perlu bertanggungjawab adalah jirannya itu sendiri, kerana jejaka tersebut tidak mempunyai peti surat. Tidak hairanlah para posmen selalu tersilap hantar.

Nasib baik hari ni hari pertama Ramadhan. Kalau tak, memang aku dah baling surat-surat ni ke pasu bunga mamat sebelah tu, hati Hami berkata-kata lagi. Namun segera dia beristighfar dan memulakan perjalanannya menuju ke rumah jirannya.

Punat loceng jirannya ditekan oleh Hami tiga kali. Setelah beberapa saat tiada jawapan, dia mengetuk pula pintu jirannya itu sekuat hati. “Assalamu’alaikum!” Gadis berusia pertengahan dua puluhan itu hampir menjerit.

“Wa’alaikumussalam,” akhirnya pintu itu pun perlahan dibuka oleh pemilik rumah tersebut. “Ya saya dengarlah, tak perlulah nak ketuk kuat sangat, saya bukannya pekak pun,” Selamba saja lelaki itu menjawab.

Hami menarik nafas dalam-dalam. “Encik Rizal, buat ke seribu kalinya, boleh tak awak tolong bina peti surat awak sendiri? Selama 6 bulan saya tinggal sini, dah balik-balik saya terima surat-surat awak yang selalu kena hantar kat mailbox saya tu. Dah bejuta kali saya pergi ke rumah awak untuk berikan semua surat ini untuk awak. Memang sah awak pun dah bosan tengok muka saya. Tolonglah ya,” gadis berhijab labuh itu menghulurkan beberapa pucuk surat kepada Rizal.

Rizal mengambil surat-surat tersebut. “Terima kasih. Assalamu’alaikum,” ujarnya lalu ingin menutup kembali pintu rumahnya, namun tombol pintu itu ditahan oleh Hami.

“That’s it? Itu saja respon awak?” Hami bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Terasa jengkel juga dia terhadap jejaka tinggi yang berperangai chill itu.

Rizal mengerutkan dahinya. “Habis, takkanlah awak expect saya nak jemput awak masuk rumah saya pula? Kan haram kalau dua orang yang bukan muhrim berdua-duaan. Tak belajar hukum ke?”

Berderau darah Hami mendengar jawapan Rizal. “Bukan itulah! Maksud saya, sekurang-kurangnya awak beritahulah saya yang awak nak buat peti surat baru ke, apa ke…. Ini terima kasih je?”

“Laa… kan saya pernah bagitahu awak, kalau ada surat-surat saya, biarkanlah saja dalam peti surat awak tu. Nanti saya ambil sendiri. Saya tak pernah pun minta awak hantarkan kat saya. Setakat peti surat pun tak payahlah kedekut sangat nak kongsi.”

Hami mengurut dadanya. Ya Allah… sabar, sabar….

Sebenarnya memang betul, Rizal pernah berpesan kepadanya bahawa Hami tidak perlu lagi menghantar surat-surat tersebut ke rumahnya. Sudah tentu gadis itu telah melakukan perkara sedemikian. Tapi setelah menuruti pesanan lelaki itu, semakin semak pula peti suratnya, kerana Rizal hanya membiarkan saja surat-surat itu di sana. Memanglah Hami tak senang hati. Selagi tidak dihantar surat-surat tersebut ke depan pintunya, selagi itulah jejaka itu akan membiarkannya di sana.

Ambil sendiri konon, wajah Hami mencuka.

Hami melirik jam tangannya. Sudah hendak masuk waktu Asar. Dianugerahkan suara yang luar biasa merdunya, dia telah pun dijemput oleh MyIslam FM untuk membaca Al-Quran di salah satu rancangan khas yang diterbitkan oleh radio tersebut. Rancangan itu akan bermula pada hari ini dan akan dilanjutkan sehingga penghujung bulan Ramadhan.

“Dah, lantak awaklah. Buatlah apa saja yang awak suka. Saya pergi dulu, tak elok pula kalau orang tengok kita lama-lama kat sini. Assalamu’alaikum,” ujar gadis itu lalu segera meninggalkan Rizal di muka pintu.

“Wa’alaikumussalam,” jawab Rizal perlahan. Tadi aku bagi salam, tak pula dia jawab. Entah apa kena dengan perempuan ni, desis hatinya kemudian melangkah masuk ke dalam rumahnya yang unggul dan menarik itu.

“Terima kasih Hami. Mantap sungguh bacaan awak tadi. Esok lagi kita jumpa ya In Shaa Allah,” kata pengacara rancangan itu sambil tersenyum kepada Hami. Gadis itu hanya membalas kembali senyumannya lalu meminta diri untuk pulang.

Hami memandu Viosnya menuju ke jalan raya besar, dan selang beberapa minit kemudian, dia telah pun tiba di banglonya. Mindanya ligat memikirkan apa yang patut dimasaknya untuk berbuka puasa hari ini, oleh kerana kedua ibu bapanya sekarang sedang berada di luar negara untuk menguruskan perniagaan butik yang telah ditubuhkan sejak Hami masih kecil lagi manakala abang-abangnya semua sudah pun berkahwin dan telah membawa diri masing-masing, membina keluarga mereka tersendiri. Disebabkan Hami hanya satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga tersebut, dia kurang mahir memasak kerana dia sering meluangkan masa bersama abang-abangnya memancing di sungai. Sungguhpun begitu, Hami adalah seorang yang sangat cerdik dan selalu mendapat tempat teratas sewaktu menuntut di universiti dahulu. Kini dia yang menjalankan bisnes butik cawangan di sini memandangkan hanya dia seorang yang tinggal berdekatan dengan kedainya itu.

Azan pun berkumandang, menandakan waktu berbuka sudah tiba. Hami terkejut kerana dia masih belum menyediakan apa-apa. Akhirnya dia berputus untuk bersungkai hanya dengan beberapa biji kurma dan air suam. Selepas selesai solat Maghrib, sekali lagi dia menaiki Viosnya menuju ke masjid yang berhampiran.

Setelah sampai di masjid tersebut, dengan segera Hami melangkah masuk ke bilik perempuan untuk menunaikan sembahyang jemaah bersama-sama yang lain. Selepas siap menunaikan solat Isya, kini giliran untuk solat Terawih pula.

Rak’aat pertama Terawih dimulakan. Surah Al-Fatihah dibacakan, kali ini oleh imam yang berbeza dari imam solat Isya tadi. Hami tersentak saat dia mendengar suara imam itu yang begitu membuai jiwa, sungguh merdu serta halus selembut angin yang bertiup pada malam itu. Satu perasaan pelik kini timbul dalam diri Hami, perasaan yang tidak pernah dirasakan seumur hidupnya. Hami serta-merta membeliakkan matanya, tersedar bahawa dia tidak khusyuk dalam solat. Lalu dia memulakan lagi sekali sembahyangnya itu dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap Terawih tersebut.

Begitulah rutin yang dilakukannya setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ini.

Sekarang sudah masuk hari ke-lapan Ramadhan. Setelah selama seminggu berturut-turut mendengar suara imam Terawih yang memukau itu, Hami tahu dia tidak boleh berdiam lama. Dia tidak dapat kerap memikirkan tentang lelaki misteri tersebut, nanti takut-takut boleh membawa kepada zina hati. Mungkin ini masanya untuk dia memulakan hidup bersama seseorang, tambahan pula dirinya sudah memasuki usia alam perkahwinan.

Hami menampar kecil pipinya sendiri. Apa pula kahwin-kahwin ni? Astaghfirullah. Aku cuma nak tahu saja siapa imam tu, jiwanya berbisik. Dia sudah bertekad untuk berusaha mendapatkan maklumat tentang imam tersebut, paling-paling nama pun sudah cukup.

Apabila melangkah keluar dari bilik sembahyang perempuan, kebetulan Hami ternampak seorang budak lelaki berkening tebal lalu menghampirinya.

“Assalamu’alaikum dik,” sapa Hami, cuba menahan ketawa tatkala melihat reaksi budak itu yang tampak terperanjat dengan kehadirannya. “Ni nak tanya ya, adik tahu tak siapa yang selalu mengimamkan solat Terawih kat sini?”

Budak lelaki itu meneliti wajah Hami seolah-seolah berasa sangsi dengan soalan yang diajukan oleh gadis tersebut, namun dijawabnya juga. “Wa’alaikumussalam. Tahu. Nama dia Shah.”

Berbunga hati Hami ketika mendengar nama imam idamannya itu, wajahnya sudah tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. “Adik tahu apa-apa lagi tentang dia?”

“Saya cuma tahu yang dia kerja di Kolej Tingkatan Enam Perwira. Kenapa?”

“Taklah, saja tanya. Terima kasih ya dik.”

Bukan main gembira lagi Hami apabila balik ke banglonya. Maklumlah, jawapan yang diinginkan selama ini telah pun diperolehi. Kemudian dia teringat sesuatu yang berkaitan dengan Rizal. Dia berputus untuk berjumpa dengan jirannya itu pada keesokan harinya.

Rizal baru sahaja ingin membelok Lancernya keluar pagar apabila Hami menjerit kepadanya sambil berlari anak menuju ke pagar yang memisahkan kedua rumah itu. Melihat kelakuan gadis itu, Rizal terpaksa memberhentikan keretanya buat seketika lalu menurunkan cermin kereta untuk bercakap dengan Hami.

“Cubalah awak bagi salam dulu, ini tak, terpekik telolong macam orang kena kejar Godzilla,” ujar Rizal tatkala memandang gadis itu tercungap-cungap keletihan. “Apa hal?”

Hami menarik nafasnya sebelum membalas kata-kata Rizal. “Awak kerja sebagai cikgu di Kolej Tingkatan Enam Perwirakan?”

“Betul. Saya cikgu mata pelajaran Biologi kat sana. Ada apa?”

“Awak… awak kenal Ustaz Shah?”

Rizal mengangguk cepat. “Kenal sangat. Dia tu memang famous dengan kemahirannya dalam Sejarah Islam. Dari mana awak dengar nama ustaz tu?”

“Awak tahu macam mana perangai dia? Hobi dia, dia tinggal di mana, tahu tak?” tanpa menghiraukan pertanyaan Rizal, Hami bertanya lagi, anak matanya sudah tampak berkerlipan, jari jemarinya mengenggam kuat pagar besi yang menjadi perantaraan mereka berdua.

“Awak fikir saya ni mak dia ke? Manalah saya tahu. Habis-habis pun kata orang, dia ni seorang yang bagus ilmu agamanya dan baik budi bahasanya. Yang awak soal banyak sangat tentang dia ni kenapa?” Rizal sudah merasa pelik dengan segala soalan yang diajukan kepadanya. Apabila gadis itu kelihatan teragak-agak untuk menjawab, Rizal tersenyum sinis, dia merasakan bahawa dia faham maksud perempuan itu. “Awak minat kat dia eh?”

Hami terus menggelabah. “Apalah awak ni, ke situ pula. T-takkanlah s-saya… saya… hish! Awak ni jangan nak merepek! Apa pula-“

“Tak baik tipu tau. Bulan Ramadhan ni….”

“Huh…. Yalah, yalah!” Akhirnya Hami mengalah. Apabila dibawa bab agama, memang dia tidak dapat menyangkalnya. “Memang betul cakap awak. Macam mana awak tahu?”

“Eleh, dah muka awak tu memerah, sebiji macam bendera Cina,” usik Rizal lagi.

Gadis bermata bulat itu mendengus. “Diamlah. Baik lagi muka saya ni merah, daripada muka awak yang selalu monyok tu macam baru kena tampar beruk. Sekurang-kurangnya saya ada perasaan tau. Awak ni, tentu tak ada perasaan kat mana-mana perempuan pun!”

“Eh, ikut sedap mulut dia je. Saya pun ada crush kat seseoranglah,” Rizal tersenyum kecil saat dia mengungkapkan kata-kata itu. “TL.”

Hami membesarkan matanya. “Eh? TL? Siapa tu? Awak ni diam-diam berisi ya, ada suka someone rupanya…. Ceritalah!”

“Menyibuklah awak ni. Ni hal peribadi saya, jangan nak menyemak pula. Saya pun dah lewat ke sekolah sebab awak. Assalamu’alaikum!”

Gadis itu menjawab salam lelaki tersebut dan melihat kereta Lancernya beredar dari situ. Kemudian giliran dirinya lagi untuk pergi ke butiknya untuk menguruskan keadaan di sana.

Hami melihat kalendar di meja ofis butiknya. Hari ke-enam belas Ramadhan. Esok adalah hari sambutan Nuzul Al-Quran. Malam ini nampaknya kenalah aku hadir Pertandingan Akhir Tilawah Al-Quran.

Segera Hami bersiap untuk pulang ke rumah. Lokasi butiknya itu begitu unik dan strategik, di mana ianya berada di tengah-tengah pusat membeli-belah yang terbesar di bandar itu serta berhampiran dengan restoran-restoran, zoo akuarium dan juga pemandangan sungai yang indah.

Sebaik saja gadis itu menjejakkan kakinya keluar butik, dia terlanggar dengan seseorang. Seseorang yang belum benar-benar dia kenali namun wajahnya kerap dia jumpai. Siapa lagi kalau bukan jirannya, Rizal.

Allah…. Budak ni lagi. Kenapa pula bulan Ramadhan ni kami selalu terserempak? Dulu-dulu batang hidung pun susah nak tengok. Hami mengusap dahinya.

“Eh, Assalamu’alaikum. Asyik-asyik nampak awak lagi. Butik tutup awal hari ni?” tegur Rizal sambil melihat jam tangannya. Baru jam dua petang.

Hami mengangguk. “Wa’alaikumussalam. Ya, saya ada acara nak datang malam nanti. Awak buat apa?” Dia menjenguk ke belakang Rizal dan mendapati bahawa terdapat perbelasan penuntut yang berjalan bersama jejaka itu.

“Saya tengah bawa mereka pergi melawat zoo akuarium tu,” balas Rizal. Kemudian dia berpaling kearah para pelajarnya. “Ni Cikgu kenalkan jiran Cikgu, Hami. Cikgu tabik dia sebab dalam usia semuda macam ni dia dah mampu buka butik sendiri, tinggi pendapatan setiap bulan. Tapi dia ni peminat nombor satu peti surat. Kalau kamu boys nak tackle Kakak Hami kamu ni, kamu kena beli peti surat banyak-banyak, kalau boleh sebesar gunung Everest tu. Gerenti dia tak reject punya.”

Pecah ketawa murid-murid yang ada di sana. Kedengaran para pelajar lelaki bersiul cuba untuk memikat Hami yang memang lawa manis itu. Wajah Hami merah merona. Kini gilirannya pula untuk membalas kata-kata Rizal. “Ha, ni Kakak perkenalkan, Cikgu Rizal. Kakak taklah tahu nama penuh dia, tapi yang Kakak tahu, bapa dia ni seorang Dato’. Kakak tabik dia sebab walaupun dia dari orang berada, dia masih memilih kerjaya mulia sebagai seorang pengajar. Ni Kakak nak bagi satu tip untuk murid perempuan yang minat kat Cikgu Rizal: pada hari jadinya, Kakak nasihatkan kamu belikanlah peti surat untuk dia ni. Kesian Kakak tengok, mungkin dia tak tahu kot macam mana rupa peti surat. Sebab tu rumah dia tak ada peti surat langsung.”

Selagi lagi berderai ketawa para penuntut. Kelihatan murid-murid perempuan yang begitu teruja untuk membelikan hadiah kepada Cikgu Rizal yang mempunyai raut wajah babyface itu. Rizal hanya mencebik tatkala Hami tersenyum puas.

“Kak Hami! Jom join kita orang pergi zoo akuarium!” ujar salah seorang pelajar Rizal. Nampaknya cadangannya itu telah disambut baik oleh rakan-rakannya yang lain.

Hami memandang Rizal. Rizal hanya menjengkot bahu. Akhirnya Hami berputus untuk mengikuti mereka memandangkan masa masih awal.

“Tengok jerung harimau ni. Siapa boleh namakan apa genus dan species mereka?” Rizal mengemukakan soalan kepada penuntut-penuntutnya semasa mereka meneliti ikan jerung yang sedang berenang dengan setenangnya.

“Soalan kacang macam ni pun nak tanya. Galeocerdo cuvier,” Hami berbisik kecil namun dapat didengari dengan jelas oleh Rizal.

“Awak boleh tolong jangan menyampuk?” geram juga hati jejaka itu apabila mendengar jawapan Hami yang seolah-olah mengejeknya.

“Suka hati sayalah nak cakap apa.”

Mereka berdua kemudian memalingkan muka dari sesama sendiri dan meneruskan perjalanan menuju ke pameran seterusnya. Para pelajar yang lain hanya tersengih melihat kelakuan kedua orang dewasa itu yang bagaikan kebudak-budakan. Jarang juga mereka lihat Cikgu Rizal mereka berperangai sebegitu.

“Oh ya, kamu jangan lupa, yang kamu semua telah pun terpilih untuk mewakili sekolah kita bertanding di peringkat akhir dalam Peraduan Nasional Filem Biologi. Seperti yang kamu ketahui, kamu kena buat filem atau dokumentari mengenai apa saja tajuk yang berkenaan dengan subjek Biologi. Rekalah apa saja kamu nak mengikut kreativiti kamu sendiri. Filem itu mesti dihantar pada hari pertama buka sekolah selepas Hari Raya nanti. Jangan main-main, ini peringkat akhir tau. Kita kena harumkan nama sekolah. Faham?” Rizal menoleh kepada para pelajarnya yang mengeluh panjang.

Tiba-tiba Hami teringat sesuatu, lantas dia memandang Rizal. “Awak, saya nak minta tolong. Dah lama saya nak cakapkan benda ni kat awak tapi saya asyik lupa saja.”

Segala perbalahan mereka lenyap dari fikiran Rizal saat itu. “Apa dia?”

“Awak…. Tolong tanyakan Ustaz Shah, dia sudi tak kalau ada wanita yang nak jadi isteri dia?” Hami bersuara perlahan.

Terbatuk-batuk Rizal mendengar permintaan gadis itu. Memang straightforward betul minah ni… nampak gayanya suka sangatlah dia kat Ustaz Shah tu.

“Hei, boleh atau tak?” tanya Hami lagi tatkala melihat ekspresi bengang jirannya. “Tolonglah… awak seorang saja kenalan saya yang memang gerenti dapat tanya soalan tu pada Ustaz Shah. Lagipun, tak ada sesiapa yang tahu yang saya sukakan Ustaz Shah selain awak, saya dan tentulah Allah. Takkanlah saya nak pergi jumpa dia depan-depan dan tanya kat dia pula. Mesti ada perantaraan orang ketiga.”

“Awak ni tak kenal dengan Ustaz Shah, tapi betul-betul suka dengan dia. How is that even possible?”

“Entah… saya pun tak tahu kenapa saya ada perasaan yang kuat macam ni.”

Rizal pada mulanya ragu-ragu, tetapi akhirnya dia bersetuju untuk membantu Hami.

“Sekarang sudah masuk sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Hendaklah kita sama-sama–” Kaca televisyen yang terletak di bilik pejabat guru-guru lelaki Pusat Tingkatan Enam Perwira sedang memainkan rancangan Kalau Dah Jodoh yang dikendalikan oleh penceramah terkenal Ustaz Kazim Elias.

Rizal yang baru selesai mengajar kelasnya terus pergi menemui Ustaz Shah yang sedang leka menonton rancangan tersebut. Dia memberi salam kepada lelaki itu dan melabuhkan punggungnya di sofa bersebelahan dengannya.

“Saya suka tengok Ustaz Kazim ni, memang lawak,” puji Ustaz Shah sambil ketawa kecil.

Rizal hanya tersengih. Dia menggaru kepalanya. Macam mana aku nak tanya ni….

“Err, Ustaz Shah…” Rizal memulakan bicara namun telefon bimbit ustaz itu berdering.

“Kejap ya,” balas Ustaz Shah lalu pergi menjawab panggilan tersebut.

Rizal mengeluh. Aku tak dapat buat, aku tak sanggup. Lantas dia menundakan lagi hasratnya untuk berjumpa dengan Ustaz Shah dan beredar meninggalkan bilik pejabat guru-guru lelaki tersebut.

“Hami!” Terdengar suara jejaka memanggil namanya tatkala gadis itu sedang memeriksa peti suratnya. Hami memandang Rizal yang tergesa-gesa menuju kearahnya.

“Assalamu’alaikum,” Hami separuh menyindir, kerana dahulu Rizal pernah memerli dirinya yang terlupa memberi salam. Tetapi dia berasa agak pelik kerana jarang Rizal menjerit sedemikian rupa.

“Wa’alaikumussalam. Saya nak terus-terang dengan awak… saya belum lagi bagitau kat Ustaz Shah tentang soalan awak tu.”

Terbeliak mata Hami. “Hah? Esok dah hari terakhir Ramadhan, awak masih belum cakap apa-apa?”

“Susah saya nak jelaskan….”

Rumah mereka berdua berdepanan dengan jalan raya. Pada waktu sebegini memang jalan itu penuh dengan para pejalan kaki dan penduduk yang berbasikal. Tiba-tiba seorang lelaki tua bersama budak kecil berkening tebal melintas Hami dan Rizal. Hami kenal dengan budak lelaki itu. Dialah yang dijumpainya di masjid beberapa minggu dahulu.

“Haa, Rizal, malam ini kamu masih jadi imam Terawih ya?” soal lelaki tua itu kepada Rizal.

Rizal mengangguk. “In Shaa Allah pakcik…. Mudahanlah ramai Jemaah yang datang nanti.”

“Tentu ramai. Suara kamu kan sedap.”

Rizal hanya ketawa kecil, menampakkan lesung pipitnya yang menarik itu. Kemudian lelaki tua dan budak itu meninggalkan mereka, dan kelihatan budak tersebut mengukir senyuman terhadap Hami.

Hami bingung. Rizal imam Terawih? Apa yang berlaku ni?

“Tunggu tunggu tunggu….. Awak…. Imam Terawih di Masjid Samudra tu?” Kepala Hami sudah pusing.

Jejaka itu memandang Hami dengan pandangan yang sangsi. “Laa, takkan awak tak tahu? Sepanjang bulan Ramadhan ni sayalah yang jadi imam solat Terawih kat sana. Apalah awak ni.”

“Bukan…. Bukan Ustaz Shah?”

“Dah tentulah bukan-“ Lantas Rizal terhenti. Dia seperti dapat mengagak apa yang berlaku. Lalu dia mengajukan soalan terhadap Hami, “Saya nak tahu, darimana awak kenal nama Ustaz Shah?”

“Budak lelaki berkening tebal tu. Saya tanya dia, siapa yang jadi imam kat masjid, dia jawab ‘Shah’ dan dia cakap kat saya yang imam tu bekerja di Pusat Tingkatan Enam Perwira. Saya sebenarnya tertarik dengan suara merdu imam tu, sebab tu saya tanya dia. Saya curious sangat.”

Rizal menepuk kepalanya. Ternyata sangkaannya tepat. “Budak tu memang selalu belajar mengaji di masjid bersama saya. Hanya semua budak-budak yang turut belajar mengaji panggil saya Shah. Abang Shah. Orang lain, termasuk keluarga dan warga sekolah, panggil saya Rizal. Kebetulan pula Ustaz Shah satu pejabat dengan saya.”

Shawl labuh Hami sudah tidak menentu. Semakin lama semakin pening gadis itu. “Tapikan nama awak Rizal… Kenapa pula dia panggil awak Shah?”

“Shahrizal… itu nama penuh saya. Selama ini awak hantarkan surat-surat saya ke pintu rumah saya ni, awak tak perasan langsung?”

Cepat-cepat Hami membuka peti suratnya dan meneliti surat-surat yang ditujukan buat Rizal. “Muhammad S.Rizal bin Dato’ Seri Paduka Haji Amin,” perempuan itu membaca nama yang tertera di situ. S.Rizal bermakna Shahrizal…. Ya Allah…. Selama ini aku tak sedar!

“Saya ada sebab tertentu kenapa saya masih belum bagitahu Ustaz Shah tentang awak,” Rizal cuba memberi penerangan. “Ini kerana Ustaz Shah tu dah berbini, makcik oi! Memanglah saya ragu-ragu nak sampaikan hasrat awak tu kat dia!”

Hampir terkeluar jantung Hami tatkala mendengar kata-kata Rizal. Nasib baik Rizal belum mengkhabarkan permintaannya kepada Ustaz Shah, kalau tidak, nahas! “Kenapa awak tak bagitau saya yang dia dah ada bini?! Walaupun dalam Islam dibenarkan sampai beristeri empat, saya takkan sanggup memporak-perandakan rumah tangga orang!”

“Saya ingat awak betul-betul sukakan dia, taklah sampai hati saya nak cakap kat awak. Rupa-rupanya Ustaz Shah yang awak maksudkan selama ini adalah saya….”

Suasana antara mereka berdua menjadi senyap seketika. Yang memenuhi udara mereka ketika itu hanyalah bunyi loceng basikal serta tapak kaki para penduduk yang melintas di hadapan mereka.

Untuk memecahkan keadaan yang teramat janggal itu, Hami meminta diri. “Err, saya pergi dulu ya. Hari ini hari terakhir saya bertaranum-“

“Taranum?” Pantas Rizal memotong percakapan Hami. Matanya membulat, hatinya berdegup laju. “Di mana?”

“Awak ni janganlah buat muka macam beruk tersepit. Takut saya tengok,” Hami mengambil selangkah ke belakang. “Di MyIslam FM. Dari hari pertama Ramadhan dah saya dijemput bertaranum setiap kali selepas solat Asar.”

“Ya Allah Ya Rabbi….” Rizal menekup mukanya, dia terus tersandar di pagar, sambil tertawa perlahan, bagaikan tidak percaya apa yang didengarinya.

Semakin takut Hami memandang kelakuan ganjil Rizal. “Kenapa dengan awak ni?”

“Awak,” Rizal sudah tidak berdaya lagi. Terlalu banyak kejutan diterimanya pada hari ini. “Awaklah Taranum Lady.”

“Taranum Lady? Apa benda-“ Hami kemudian terkenang sesuatu. Mulutnya terus melopong apabila mengimbas kembali ingatan tersebut. “TL! Taranum Lady! Gadis yang awak ada crush tu!”

“Saya memang selalu dengar MyIslam FM. Kebetulan hari pertama Ramadhan, saya dengar seorang gadis bertaranum, sungguh merdu, saya sangat terpegun. Semenjak itu sampai sekarang, saya selalu buka radio untuk dengar taranum tu. Saya asyik tunggu nama pembaca itu disebutkan, tapi tak pernah ada.”

Hami mengetap bibir. “Betul… saya memang suruh pengacara tu rahsiakan saja identiti saya. Saya tak nak orang tahu….”

Mind blown. Itulah perkataan yang paling wajar untuk menggambarkan perasaan Hami dan Rizal di saat itu. Siapa sangka, mereka berdua telah menyukai sesama sendiri pada hari pertama Ramadhan, tanpa disedari? Siapa sangka, dengan alunan suara tanpa mengetahui wajah seseorang, mereka mampu terpukau? Siapa sangka, orang yang mereka suka selama ini adalah…. Teman perkongsian peti surat mereka sendiri?

Hami terus memberi salam dan masuk ke kereta Viosnya lalu beredar pergi. Rizal yang masih terpinga-pinga itu mengorak langkah kembali ke pintu rumahnya.

Takbir raya mula bergema menandakan hari raya pertama sudah tiba. Ayah dan ibu Hami telah pun pulang menjenguk anak mereka pada malam terakhir Ramadhan dan memutuskan untuk beraya bersama anak gadis kesayangan mereka itu.

“Hami, jom pergi beraya ke jiran sebelah. Dato’ Haji Amin panggil kita tu,” ayah Hami bersuara.

Hami menelan air liur. Masih segar ingatannya tentang apa yang berlaku pada hari itu. Sejak itu, dia langsung tidak terserempak lagi dengan Rizal. Dan juga sejak itu, apabila saja nama Rizal disebut, hatinya berdegup pantas sepantas larian Usain Bolt.

“Kalau Hami tak pergi, boleh?” balas Hami perlahan.

Kini giliran ibunya pula untuk berbicara. “Mana boleh macam tu, Hami. Tak eloklah kalau Hami tak pergi, macam tak sudi pula. Lagipun itu kan jiran kita. Mak pun nak tengok juga anak lelaki Dato’ tu, dengar khabar dia memang handsome. Boleh terus buat menantu.”

Dua ayat terakhir yang diungkapkan oleh ibu Hami membuat Hami tersembur teh tarik yang sedang diminumnya. Ibu Hami hanya ketawa berdekah-dekah dan kemudian menyuruh Hami segera bersiap untuk pergi beraya.

“Selamat hari raya…. Jemput masuk,” Dato’ Haji Amin mempelawa tiga beranak masuk ke rumahnya.

Hami sungguh tertarik dengan bentuk rekaan rumah Dato’ yang amat versatil itu. Sedang dia khusyuk meneliti corak yang tertera di siling rumah tersebut, tiba-tiba kedengaran suara seorang yang memanggilnya. “Kak Hami!”

Hami segera menoleh kearah suara itu. Rupa-rupanya ianya milik salah seorang pelajar Rizal yang mengikuti rombongan ke zoo akuarium beberapa hari yang lepas. Bukan dia seorang saja, malah hampir kesemua para penuntut yang hadir di zoo itu juga turut berada di situ bagi sama-sama memeriahkan lagi hari raya Aidilfitri.

“Eh, Hami kenal mereka tu?” tanya ibu Hami. “Tak apalah, Hami pergi duduk dengan mereka sana, mak dan ayah pergi ke dining room untuk berjumpa dengan Dato’ Haji Amin dan isterinya, ya.”

Hami duduk di sofa empuk yang terletak di bilik tamu, dikelilingi oleh perbelasan pelajar. Matanya melirik ke kiri dan kanan. Alhamdulillah… kelibat Rizal agaknya tak kelihatan, desis hatinya.

Sejurus selepas itu, muncullah Rizal dengan membetulkan kain sampingnya. Dia baru sahaja selesai membuang hajat di dalam tandas. Alangkah terkejutnya dia tatkala terpandang Hami. Hami hanya menoleh ke tempat lain, tidak berani untuk bersemuka dengan Rizal.

“Cikgu Rizal! Mari sini!” jerit seorang pelajar lelaki. “Kami nak minta tolong kat Cikgu.”

Rizal mengerutkan kening. “Apa yang kamu nak ni? Tak cukupkah kambing salai yang Cikgu sediakan di bilik makan tu?”

“Bukan itulah Cikgu! Ni… kami nak minta Cikgu berlakon untuk filem Biologi untuk pertandingan tu. Memandangkan ini peringkat terakhir, kami nak Cikgu pun turut serta, lagi gempak,” ujar penuntut tersebut sambil tersengih.

Jejaka itu hanya mampu mengurut dahinya. “Ha, lantaklah. Apa yang kamu nak Cikgu buat?”

“Kami…. Nak Cikgu berlakon yang Cikgu tengah propose Kak Hami, boleh?”

Berderau darah Rizal apabila mendengar permintaan itu. Wajahnya sudah merah bagai tomato. “Hei, kamu jangan melampau ya…. Biar betul kamu nak suruh Cikgu buat macam tu! Langsung tak ada kena mengena dengan Biologi! Kalau kamu tanya Kak Hami tu pun, gerenti dia tak mahu, kan Hami?”

Hami mengangguk bertubi-tubi, menandakan dia sangatlah tidak ingin terlibat dalam pembikinan filen tersebut.

“Alaa… kan Cikgu yang cakap, buat ikut kreativiti kami. Apa ni Cikgu! Cikgu tak nak kami menang ke?” kedengaran lagi beberapa pelajar yang memberontak dan beria-ria hendak meneruskan idea mereka itu.

“Apa salahnya Rizal, kamu ikut sajalah cakap mereka tu, lagipun bukannya betul-betul, kan cuma berlakon saja,” tiba-tiba Ustaz Shah menyampuk sambil tersenyum simpul.

“Eh, Ustaz Shah! Tak sedar pun Ustaz dah sampai….” Balas Rizal. Dia kemudian melirik kearah Hami, seolah-olah memberi alamat bahawa inilah lelaki yang disangkakan oleh Hami sebagai imam di Masjid Samudra.

Ternganga mulut Hami saat melihat Ustaz Shah. Lelaki itu rupanya sudah tua, setua ayahnya! Hami berulangkali mengucapkan rasa syukur terhadap Ilahi kerana hasratnya terhadap Ustaz Shah tidak sempat disampaikan oleh Rizal.

Setelah berpuluh kali para pelajar memujuk, beserta dengan sokongan Ustaz Shah, akhirnya Rizal bersetuju. Wajah Hami yang cantik halus itu terus berkerut, ekspresinya menunjukkan bahawa dia memang tidak percaya yang Rizal betul-betul akan menuruti permintaan penuntut-penuntutnya.

“Ingat, ini berlakon saja tau!” Rizal, sungguh wajah babyfacenya semakin memerah, cuba untuk menegaskan tujuannya tidak lain tidak bukan hanya untuk membantu mereka. “Dan awak, Hami, tak payah nak buat muka bekerut macam nenek kebayan. Kita buat semua demi murid-murid ni saja. OK?”

Susah bagi Hami untuk memberikan apa-apa respon terhadap situasi ini, melainkan hanya menyandarkan dirinya ke sofa sebagai tanda menyerah diri.

Belum sempat Rizal hendak memikirkan skrip apa yang perlu diungkapkan, secepat kilat salah seorang penuntut bersuara, “Baiklah, kita ada satu shot saja tinggal. Cikgu kena buat betul-betul ya. 3, 2, 1….. Action!”

Allah budak ini…. Cubalah bagi aku peluang untuk berfikir dialog dulu…. Ah lantaklah. “Uhmm,” Rizal berdehem, terasa sekelilingnya sunyi sepi, sendi uratnya tegang. “A-Awak…. Err…. Awak…. Uh….”

Hami sudah merasakan mukanya panas. Tidak sanggup melihat Rizal, gadis itu hanya memandang siling, berpura-pura mengamati chandelier yang tampak berkilauan.

“Aah….” Rizal mengumpul kekuatan. Alah, kau nak takut apa. Bukannya betul pun. Setakat acting saja, taklah susah sangat.Dengan desis hatinya itulah Rizal mula berani mengungkapkan kata-kata seterusnya: “S-sudi tak…. Kalau….. saya menjadi imam awak sehingga jannah (syurga)?”

Hampir kesemua pelajar perempuan menekup mulut mereka, mereka merasakan bahawa ayat yang diluahkan oleh cikgu kegemaran mereka itu sungguh romantis dalam cara Islamik – sungguh sweet. Lain halnya pula dengan murid lelaki, mereka menoleh sesama sendiri sambil tersenyum lebar. Pelajar yang menjadi jurukamera pula kelihatan begitu berpuas hati dengan menunjukkan ibu jarinya kepada Cikgu Rizal sebagai tanda lakonan yang bagus. Ustaz Shah juga tampak agak terkejut – tidak menyangka bahawa Rizal ada potensi untuk menjadi aktor yang bernas.

Rizal, hatinya kini berombak, mula berasa dirinya agak bodoh. Yang aku jiwang sangat ni apa hal? Aku sendiri geli dengar. Aduh, tololnya aku!

Apalagi Hami, tangannya sudah mulai berpeluh. Ya Allah…. Hentam sajalah. “Err…. Ya….” Hami sambung lagi, “I-itupun kalau…. A-awak… sudi saya bertaranum setiap hari untuk awak.”

Semakin kedengaran desas desus kegembiraan antara para pelajar. Hami berasa malu tahap maksima. Dialog aku lagi memalukan dari si Rizal punya! Sungguh dia berharap ketika itu bahawa tanah akan menelannya hidup-hidup oleh kerana tidak sanggup menahan malu. Bila sudah gementar, kata-kata yang merepek pun tidak mustahil akan terucap.

“Ha, dah kira settlelah tu. Bila nak nikah?” sampuk ibu Hami. Rupa-rupanya tanpa disedari kedua ibu bapa Hami dan Rizal sudah dari tadi memerhatikan gelagat mereka berdua.

Keadaan menjadi riuh rendah. Para pelajar Rizal bersorak, Ustaz Shah hanya tersenyum simpul, manakala Hami dan Rizal terus berdiri dari sofa masing-masing, cuba mempertahankan bahawa itu hanyalah lakonan semata-mata. Jurukamera melihat video rakamannya tadi dengan puas. “Dah sah kita tentu menang pertandingan ni,” ujarnya dengan gembira.

Disebabkan rasa malu dan marah terhadap Rizal, Hami melempar bantal kecil yang berada di sofa kearah Rizal. Alangkah terkejutnya jejaka itu. “Ini semua awak punya pasallah! Buat malu saja!” Tempik Hami.

Rizal membalas sinis, “Hei, tolonglah ya, kalau awak tak datang beraya kesini, confirm perkara ni takkan berlaku. Awaklah punya pasal!”

“Dah ayah awak jemput kami, takkan tak datang pula. Awak tak belajar adab ke?”

“Jaga sikit mulut laser awak tu. Saya staple nanti baru tahu.”

Dan mereka berterusan bertengkar. Para hadirin hanya menggeleng kepala sambil tertawa geli hati memandang kerenah kedua anak muda itu. Walaupun mereka selalu bertekak, namun bagi kebanyakan para hadirin, mereka sungguh sepadan, bagaikan pinang dibelah dua. Lawa manis sama handsome babyface. Biasalah, mula-mula berkelahi, lama-lama sukalah tu. Sebiji macam drama Korea.

Sungguhpun begitu, tetapi di sudut kedua hati Hami dan Rizal, di sebalik segala pertengkaran, perasaan istimewa terhadap sesama sendiri mula berkembang, dan kedua-duanya sudah mula dapat menerima kehadiran satu sama lain.

Dan juga, In Shaa Allah, suatu hari nanti Rizal dan Hami akan berkongsi peti surat sepanjang hayat mereka.

TAMAT

Assalamu’alaikum. Ini kali pertama saya menulis cerpen, maka saya kurang pasti sama ada ianya terlalu panjang ataupun pendek. Andaikata terdapat kandungan yang menyinggung hati para pembaca atau jalan cerita kurang menarik, atau ada tersilap ejaan dan tulisan, saya memohon maaf. Terima kasih juga kerana sudi membaca sehingga akhir. Teguran dan komen membina amatlah dialu-alukan. Tidak lupa juga saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua, semoga kita semua dirahmati oleh Allah SWT, Amiin. J




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

37 ulasan untuk “Cerpen : Peti Surat Ramadhan”
  1. SHAM_ERA(MENARA CONDONG) says:

    saya tabik sama awak…..terbaik dunia akhirat….alhamdullillah…penulis macam ni lah yang kita cari lain daripada yang lain….

  2. pencinta novel says:

    tahniah..cerpen yg sgt2 cute…
    love it so much..
    spnjg bc tu sy bharap jln bertemu jodoh sy sama mcm cerita awk..
    amin…
    apa pon terima kasih utk cerpen comel awk ni ya penulis..
    do the best.. <3

  3. hujjatul islam says:

    masyaallah,,tersentap sy bace kisah nie,,garapan terbaek

  4. wawa kardir says:

    as salam. saya ingin meminta kebenaran penulis cerpen ini untuk mengguna pakai karya ini bagi membuat analisis ragam sintaksis(ayat) yang digunakan dalam penulisan beliau. Mohon emelkan kepada saya sekiranya penulis membenarkan.
    jazakallah.

  5. pembaca amateur says:

    Salam, karya yg baik dan menghiburkan. Cume lebih bagus klu berlandaskan keadaan logik contohnya,alamat rumah yg hampir sama atau sebagainya. Kebanyakkan novel terlalu berimaginasi sehingga keluar dr logik akal seterusnya membuatkan pembaca meluat dan x dpt relate keadaan dgn diri mereka. Perwatakan wanita bertudung labuh yg beramal soleh juga x mungkin terlalu berani berdepan lelaki secara terbuka. Bujang dan berseorangan plak tu. Selain dari tu ok, bravo. Keep it up..

  6. Hamba Allah Yang Hina says:

    Masyallah , seronok sangat . =)

  7. Khai says:

    Salam,
    Saya berminat untuk jadikan cerpen ini sebagai sebuah drama berepisod.
    Inginkan kebenaran dan juga maklumat terperinci mengenai penulis.
    Boleh memberi respon atau maklumat selanjutnya ke email saya.

    Terima kasih.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"