Novel : Indahnya Cinta, Manisnya Rindu 8

5 September 2013  
Kategori: Novel

3,158 bacaan 5 ulasan

Oleh : Aymie Ayuni

BAB 8

Aliesya termenung sendirian selepas pulang dari kenduri doa selamat yang diadakan oleh jiran barunya iaitu Zarul Effendi dan Nureen Alia itu. Dia mengenangkan tentang perbualannya dengan Nureen Alia pada malam itu sebelum dia pulang ke rumah.

“Aliesya, nak tahu tak, kek batik awak tu dah ada peminat.” Nureen Alia berbisik-bisik kepada Aliesya.

“Siapa pula nak minat kek batik saya tu akak? Akak ni ada-ada aje kan.” Balas Aliesya sambil menepuk lembut bahu Nureen Alia.

“Betul, akak tak tipu. Peminat tu hensem sangat tahu tak.” Nureen Alia masih berteka-teki mengenai siapakah gerangan yang meminati kek batik buatannya itu.

“Akak ni, cakap ajelah siapa yang minat kek batik Aliesya tu? Abang Zarul ker?” Aliesya tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih bersih itu.

“Apa pulak abang Zarul? Adik abang Zarul la. Zairi Izkandar!”

“Hahh, mamat tu tahu tak kek batik tu Aliesya yang buatkan?” Aliesya terkejut mendengar apa yang telah diberitahu
oleh Nureen Alia. Tetapi dia tahu bahawa Nureen Alia tidak menipu melihat wajahnya yang begitu bersungguh-sungguh
meyakinkan Aliesya.

“Tahu. Akak yang beritahu.” Balas Nureen Alia selamba. Dia melihat wajah Aliesya yang putih bersih itu bertukar kemerah-merahan . Malu la tu!

“Nak tak kalau akak kenen-kenenkan korang berdua? Iz tu pun single sekarang. Aliesya dah berpunya ker?” Nureen Alia mengusik Aliesya lagi.

“Taknak lah Aliesya. Akak ni mengarutlah. Aliesya balik dulu ye akak. Terima kasih sebab jemput Aliesya makan di sini.” Jawab Aliesya sambil tergesa-gesa berjalan meninggalkan perkarangan rumah jirannya itu. Dia malu apabila diusik sebegitu oleh Nureen Alia.

Sedang enak mengelamun, tiba-tiba dia dikejutkan dengan deringan telefon menandakan SMS yang diterima.

‘1 new message from Aril Fahmey’

Dia menggagahkan diri untuk membaca sms yang dihantar oleh Aril Fahmey. Apa pula yang lelaki ni nak?

Salam, Aliesya. You apa khabar? I harap you sudi reply sms I kali ini. I don’t know what happened to our
friendship since you leave and ignore me like this. What’s wrong with me Iesya? If I do mistakes, please forgive
me. I miss you!

“Hmm..” Sempat lagi ber’I miss u Aril Fahmey ni. Aliesya mengambil keputusan untuk tidak membalas sms tersebut.

Dia mahu Aril Fahmey melupakan dirinya sekaligus tidak mengganggu dirinya lagi.

Butang ‘delete’ ditekan kemudian telefon bimbitnya diletakkan kembai di atas meja.

Selepas menunaikan solat isya’, Aliesya tidur. Dia tidak mahu lagi memikirkan perihal Aril Fahmey yang masih lagi cuba untuk menghubunginya. Sedikit sebanyak timbul rasa serba salah kerana menjauhkan diri dari lelaki itu tanpa alasan yang kukuh. Alasan tidak kukuh? Hmm, takkanlah hendak diberitahu kepada Aril Fahmey bahawa dia diugut oleh ibu lelaki itu supaya menjauhkan diri dari anaknya. Malahan, keluarganya juga turut dihina. Biarlah orang mengutuk dirinya asalkan keluarganya tidak dibabitkan sama.

***

Hari ini hari Ahad, suasana di jalan raya agak sesak berikutan ramai orang ingin mengambil kesempatan membawa keluarga berjalan-jalan mahupun membeli belah di shopping complex. Aliesya juga turut tidak ketinggalan.

Dia memandu berseorangan ke Putrajaya untuk membeli sedikit barang keperluan rumah dan pakaian di Alamanda. Dia lebih suka keluar seorang diri jika mahu membeli barang berbanding dengan rakan-rakan. Dia berpendapat jika keluar
seorang lebih bebas untuk bergerak ke sana ke mari tanpa terikat oleh sesiapa pun.

Tiba di parkir kereta, Aliesya keluar lalu membuka pintu belakang keretanya untuk mengambil beg tangan yang sengaja diletakkan di bawah kerusi untuk ciri-ciri keselamatan. Abahnya juga selalu berpesan agar tidak meletakkan beg tangan di atas kerusi sebelah tempat duduk pemandu kerana ia mudah dilihat oleh orang yang berniat tidak baik contohnya peragut dan sebagainya.

Tiba-tiba dia terdengar seorang wanita menjerit dan meminta pertolongan. Aliesya menjenguk sedikit ke arah suara jeritan itu. Kemudian dia ternampak seorang wanita dalam lingkungan 50-an sedang bergelut dengan seorang lelaki yang seperti hendak meragut beg tangan wanita itu.

Aliesya terlihat lelaki tersebut mengeluarkan pisau lipat dan diacukan ke arah wanita tersebut. Terdorong rasa ingin membantu, Aliesya memberanikan diri berlari menuju kearah wanita itu dan peragut yang berusaha untuk menarik beg tangan wanita itu. Dilihat wanita itu menggunakan kudratnya sekuat mungkin untuk mempertahankan beg tangannya daripada diragut oleh peragut tersebut.

Aliesya menghayunkan beg tangannya ke atas kepala lelaki tersebut dan lelaki itu terdorong ke belakang. Beg tangan yang cuba dirampas daripada wanita 50-an tersebut terlepas dari pegangan lelaki itu. Aliesya telah membuka kuda-kudanya bersedia untuk berlawan dengan lelaki tersebut. Namun Aliesya sedar, kudratnya tidak mampu melawan tenaga lelaki tersebut yang sudah berpaling kearahnya. Aliesya memandang sekeliling mengharapkan ada insan lain yang lalu lalang disitu sekaligus dapat membantunya. Namun tiada sesiapa yang berada disitu. Aliesya hanya berdoa di dalam hati mengharapkan pertolongan Allah. Dek kerana geram akibat rancangannya tidak berjaya, lelaki itu menolak Aliesya dengan kuat sehingga gadis itu terjatuh lalu kepalanya terhantuk pada tiang yang berada di sebelahnya. Tidak cukup dengan itu, badan Aliesya ditendang berkali-kali oleh lelaki yang tidak mempunyai hati perut itu.

Puan Sri Zahida sudah menjerit meminta pertolongan. Dia sangat takut patah lagi melihat keadaan Aliesya yang sudah terbaring kaku itu. Andainya peragut itu datang kembali kepadanya dan ingin membawa beg tangannya pergi, dia akan memberinya asalkan dirinya tidak diapa-apakan seperti gadis itu.

Darah mengalir dengan banyak dari dahi gadis tersebut. Aliesya sudah tidak sedarkan diri disitu juga. Tiba-tiba sekumpulan pengawal keselamatan datang kearah mereka. Peragut itu cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya apabila dia sudah dikepung oleh pengawal keselamatan tersebut. Dia mengetap bibir. Rancangannya kali ini tidak berjaya malah dia ditangkap pula oleh pengawal keselamatan yang bertugas disitu lalu dia dibawa ke balai polis berdekatan.

Puas dia mengintip pergerakan Puan Sri Zahida sejak beberapa hari yang lepas dan baru kali ini dia berkesempatan untuk menjalankan rancangannya itu berikutan Puan Sri Zahida dilihat berseorangan untuk masuk ke dalam kereta. Tapi, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Sementara itu, Aliesya dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut kerana dia masih tidak menyedarkan diri. Puan Sri Zahida yang masih lagi trauma dibawa ke balai polis untuk membuat laporan ditemani oleh Farha yang juga turut mengikutinya ke Alamanda namun ketika kejadian, Farha berada di tandas. Jadi, dia menyuruh Puan Sri
Zahida untuk masuk ke dalam kereta dahulu. Dia juga tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku sebegitu pantas.

Apabila tiba berdekatan dengan tempat ibu saudaranya itu memarkir kereta, dia melihat seorang gadis sedang berbaring tidak sedarkan diri dengan darah yang mengalir dari dahinya. Dia juga melihat seorang lelaki yang
diberkas oleh sekumpulan pengawal keselamatan yang bertugas di situ.

Selepas membuat laporan polis, Puan Sri Zahida dan Farha bergegas ke Hospital putrajaya untuk mengetahui perkembangan tentang Aliesya. Mereka menunggu di luar bilik kecemasan dimana Aliesya masih lagi dirawat. Sementara menunggu bapa saudaranya sampai, Farha cuba menenangkan Puan Sri Zahida yang masih lagi terkejut dengan perkara yang berlaku sebentar tadi.

“Mak usu, sudahlah jangan menangis lagi. Peragut tu dah pun ditangkap.” Farha memeluk bahu Puan Sri Zahida.

“Nasib baik budak perempuan tadi tu ada, Farha. Kalau tak, mak usu tak tahu apa yang akan terjadi pada mak usu. Orang jahat tu dah pun mengacukan pisau ke arah mak usu.” Kata Puan Sri Zahida dengan esakannya yang masih berbaki itu.

“Farha minta maaf mak usu, sebab tinggalkan mak usu untuk ke tandas tadi. Kalau mak usu tak berseorangan, tentu perkara sebegini tidak berlaku.” Farha menyalahkan dirinya pula.

“Mama, Farha! Awak berdua okey ke?” Tan Sri Imran datang dengan anak sulungnya, Zarul Effendi yang kebetulan berada di rumah ibu bapanya pada waktu itu. Zairi Izkandar tidak datang kerana dia berada di Kedah, menghadiri satu seminar yang dianjurkan oleh pihak UiTM Kedah untuk pelajar-pelajar Diploma Perakaunan yang menuntut di universiti tersebut.

“Farha okey pak usu. Mak usu aje, masih lagi trauma.” Farha menceritakan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku sambil dicelah oleh Puan Sri Zahida.

“Syukurlah mama tak apa-apa.” Kata Zarul Effendi yang dari tadi hanya diam mendengar mereka bercerita. Pada mulanya dia ingin menemani mamanya dan Farha ke Putrajaya untuk membeli pakaian Farha yang akan memulakan kerjanya pada hari esok. Namun, ditolak oleh mamanya kerana dia disuruh menemani isterinya di rumah yang sejak belakangan ini sering muntah-muntah. Mungkin alahan orang mengandung.

“Bagaimana dengan keadaan budak perempuan yang menolong mama tadi tu?” tanya Zarul Effendi.

“Entahlah Zarul, dia masih lagi dirawat. Mama harap dia tak apa-apa. Mama terhutang budi sangat dengan dia. Kalau dia tak datang menolong mama tadi, entah apa nasib mama. Mungkin mama yang sedang dirawat disini sekarang ni.”
Puan Sri Zahida menangis lagi. Sedih.

Tiba-tiba pintu bilik kecemasan dibuka dari dalam dan kelihatan seorang doktor perempuan keluar.

“Doktor, macam mana keadaan dia doktor?” Tanya Zarul Effendi kepada doktor muda yang memakai tag nama Elly itu.

“Pesakit masih lagi tidak sedarkan diri namun keadaannya sekarang stabil. Cuma, dia perlukan rehat yang secukupnya. Sekejap lagi encik bolehlah masuk melawatnya di wad. Saya minta diri dulu” Kata doktor muda tersebut kepada Zarul Effendi lalu dia melangkah meninggalkan mereka yang sedang menunggu dia situ.

“Baiklah, terima kasih doktor.” Balas Zarul Effendi sopan.
Kemudian, mereka berempat melangkah masuk ke dalam bilik yang menempatkan gadis tersebut.

“Aliesya??” Kata Zarul Effendi sepatah.

“Zarul kenal dia ker?” Tanya Puan Sri Zahida dan suaminya serentak kepada anak sulung mereka itu.

“Kenal ma, Aliesya ni jiran Zarul. Dia tinggal di sebelah rumah Zarul.” Terang Zarul Effendi kepada kedua orang tuanya.

“Keluarganya tinggal di mana Zarul? Mereka dah tahu ke tentang Aliesya ni?” Tanya Tan Sri Imran pula.

“Kalau tak silap Zarul, keluarganya tinggal di Perak. Mungkin mereka masih tidak mengetahui tentang perkara ini.”
Timbul rasa simpati kepada Aliesya yang terbaring lemah di atas katil itu. Namun disebalik itu, di bersyukur kepada Allah kerana menghantar seseorang untuk membantu mamanya yang ketika itu berada di dalam kesulitan. Jasa Aliesya kepada keluarganya sangat besar.

Tiba-tiba mereka didatangi oleh dua orang anggota polis yang ingin melihat keadaan Aliesya.

“Maafkan kami, saya Inspektor Arif dan ini Inspektor Junaidah. Ini keluarga Cik Aliesya Maisara ke?” Tanya anggota polis lelaki itu kepada mereka yang berada di situ.

“Tidak, kami adalah keluarga mangsa yang diragut tadi. Kami tidak tahu sama ada keluarga Aliesya sudah dimaklumkan tentang perkara ini” Jelas Tan Sri Imran sambil bersalaman dengan Inspektor Arif tersebut. Pegawai polis wanita yang juga turut datang berjalan menuju ke arah katil Aliesya. Dia kemudian dilihat berbual-bual dengan Puan Sri Zahida dan Farha.

“Encik jangan bimbang, pihak kami sudah menghubungi keluarga mangsa. Mereka mungkin akan sampai sekejap lagi.” Selepas melihat keadaan Aliesya, anggota polis tersebut meminta diri untuk berjumpa dengan doktor yang merawat Aliesya sebentar tadi bagi mendapatkan laporan perubatan gadis itu.

“Mama baliklah rumah dahulu dengan papa. Biar Zarul tunggu disini sementara menunggu keluarga Aliesya sampai. Farha tunggu dengan abang Zarul okey?”

“Baiklah, petang nanti mama datang balik dengan papa. Apa-apa Zarul call mama yer.” Jawab Puan Sri Zahida kepada anak sulungnya itu.

“Okey mama.” Jawab Zarul Effendi ringkas sambil melihat papanya memimpin mamanya keluar dari bilik tersebut.

“Farha, abang Zarul nak ke kantin sekejap. Farha nak pesan apa-apa tak?”

“Boleh juga. Abang Zarul tolong belikan air mineral untuk Farha yer.” Jawab Farha.

“Takkan air aje? Nasi ke, roti ke, tak nak?” Tanya Zarul lagi.

“Haa’ah.. yang itu je. Tadi Farha dah makan dengan mak usu di Alamanda.” Terang Farha kepada abang sepupunya itu.

“Okeylah, Farha tunggu disini yer. Kalau ada apa-apa, terus call abang Zarul.” Pesan Zarul Effendi sambil menolak
pintu bilik wad tersebut.

Sementara itu, Farha hanya duduk sambil menyandarkan badannya di atas sofa yang disediakan di dalam bilik tersebut
sambil memerhatikan gadis tersebut. Muka gadis itu pucat, namun sedikitpun tidak mengurangkan kecantikan aslinya.

Farha kagum dengan kecantikan wajah Aliesya. Sedikit sebanyak hati perempuannya cemburu dengan kecantikan gadis yang berbaring di atas katil hospital tersebut. Farha Syakila. Seorang gadis tinggi lampai yang berkulit sawo matang. Dia tidaklah secantik Aliesya namun wajahnya manis apatah lagi dia mempunyai lesung pipit yang jelas kelihatan terutamanya ketika dia tersenyum.

Tiba-tiba pintu bilik wad ditolak dari luar. Farha melihat seorang perempuan dan seorang lelaki yang sedang mendukung bayi perempuan dalam lingkungan setahun masuk ke dalam. Farha berdiri lantas bersalaman dengan wanita tersebut.

“Assalamualaikum, cik ni siapa? Kawan Aliesya ke?” Tanya wanita tersebut.

“Waalaikumussalam.. Tak, saya yang ada di tempat kejadian waktu Aliesya diserang.” Dia bersalaman dengan wanita itu dan melihat wanita itu mendekati katil Aliesya lalu mencium pipi gadis itu.

Kemudian wanita itu kembali kepadanya lalu memperkenalkan diri sebagai Anisa iaitu kakak Aliesya. Dia kemudian bertanya tentang perkara yang terjadi kepada Farha.

‘Aduh, bosannya.. Asyik kena cerita benda yang sama aje.’ Getus Farha di dalam hati. Masuk ini, sudah tiga kali
dia menceritakan perkara tentang tersebut. Pertama, sewaktu di balai polis. Kedua, kepada bapa saudara dan yang terakhir sekali kepada kakak Aliesya.

Dia juga difahamkan bahawa kedua ibu bapa Aliesya akan sampai pada petang itu kerana mereka bertolak dari Perak. Jadi, Anisa yang tinggal di Kuala Lumpur itu disuruh datang ke hospital dahulu untuk menjaga adiknya.

‘Harap-harap tak kena cerita lagi lepas ni.’ Kata Farha lagi di dalam hati.

Sementara itu, suami Anisa iaitu Farid dilihat sedang berbual-bual dengan Zarul Effendi yang kebetulan baru sahaja balik dari kantin. Mungkin Zarul Effendi menceritakan Farid pula tentang kejadian itu.

Zarul Effendi dan Farha meminta diri untuk pulang ke rumah memandangkan kakak Aliesya sudah datang untuk menemani adiknya itu. Dia juga meminta maaf bagi pihak keluarganya kerana Aliesya cedera disebabkan ingin membantu ibunya daripada menjadi mangsa ragut lelaki yang tidak bertanggungjawab itu.

“Kesian Aliesya bang, tak pasal-pasal dia pula yang jadi mangsa.” Bergenang air mata Anisa melihat adik kesayangannya yang terbaring tidak sedarkan diri dengan kepala berbalut dan tangan kirinya disimen. Aliesya juga dibantu dengan alat bantuan pernafasan yang dipasang pada mulut dan hidungnya.

Doktor masuk dan bertanya tentang waris Aliesya.

“Saya kakaknya, Anisa.” Jawab Anisa sambil memperkenalkan dirinya.

“Boleh Puan Anisa ikut saya ke bilik sekejap? Ada hal yang ingin saya bincangkan.” Kata doktor tersebut.

Anisa mengikuti doktor tersebut ke biliknya.

“Silakan duduk Puan Anisa.” Doktor Elly menjemput Anisa duduk di kerusi yang disediakan di hadapan meja kerjanya.

“Maaf ya puan, disini ada laporan perubatan Cik Aliesya Maisara.” Doktor Elly menyerahkan sebuah fail kepada Anisa. Anisa menyelak helaian demi helaian namun dia tidak memahami bahasa perubatan yang digunakan. Dia
meletakkan kembali fail tersebut di hadapan Doktor Elly.

“Berdasarkan laporan yang telah kami siapkan, Cik Aliesya mengalami keretakan di bahagian tangan kirinya dan terdapat sedikit luka dimana tisu di dahinya terkoyak. So, kami terpaksa memberi empat jahitan di bahagian atas
dahi Cik Aliesya.”

Anisa hanya mengangguk-nganggukkan kepalanya tanda memahami apa yang diterangkan oleh doktor terbabit.

“Ada apa-apa kecederaan yang serius ke doktor?” Anisa pula bertanya kepada doktor Elly. Dia berharap agar adiknya hanya cedera ringan dan dapat sembuh dengan segera.

“Kami ada melakukan imbasan terhadap tubuh badan Cik Aliesya. Terdapat sedikit ketulan darah beku di bahagian hadapan kepalanya, dan kalau keadaan darah beku tersebut serius, pembedahan akan dilakukan.”

“Ya Allah.. doktor, bahayakah keadaan adik saya itu doktor? Tapi kenapa dia tidak sedarkan diri?” Seitis air matanya gugur. Anisa bimbang kenapa adiknya itu masih lagi tidak sedar-sedar sedang sudah lima jam dia pengsan. Apabila mendengar sahaja perkataan pembedahan, dia menjadi semakin risau.

“Keadaan Cik Aliesya tidak begitu membimbangkan kerana darah beku tersebut bukan berada di bahagian otak dan buat masa ini, tidak memerlukan sebarang rawatan lanjut seperti pembedahan yang saya katakan tadi. InsyaAllah, kita doakan ya. Kami telah memberi ubat bius kepada pesakit untuk dia mendapatkan rehat yang secukupnya. Mungkin dalam satu jam lagi dia akan sedar.” Terang Doktor Elly lagi. Dia faham situasi Anisa yang masih lagi risau tentang keadaan adiknya itu. Selama lima tahun berkecimpung dalam bidang perubatan ini. Acap kali dia disajikan dengan pelbagai gelagat keluarga pesakit yang risaukan ahli keluarga mereka tidak kurang juga yang sanggup merayu-rayu kepadanya supaya berbuat sesuatu untuk menyelamatkan ahli keluarga mereka. Namun, siapalah dia untuk memberi kesembuhan kepada manusia. Dia hanya berusaha sebaik mungkin untuk merawat pesakit dan selebihnya dia hanya bertawakal dan berdoa kepada Allah supaya menyembuhkan pesakit yang dirawatnya itu.

“Baiklah kalau begitu. Saya minta diri dulu, terima kasih doktor.” Anisa berjalan longlai keluar dari bilik doktor Elly sambil mendoakan agar adiknya cepat sembuh. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan situasi adiknya itu kepada kedua ibu dan abahnya. Sejenak kemudian, Anisa mengambil keputusan untuk mendiamkan diri tanpa memberitahu sesiapa pun tentang perkara tersebut dengan harapa dan doa agar keadaan adiknya tidak begitu serius.

***

Sementara itu, di banglo Tan Sri Imran..

“Papa, mama rasa bersalah sangat dengan budak Aliesya tu. Tak tahu bagaimana hendak membalas jasanya kepada mama.” Puan Sri Zahida masih lagi memikirkan tentang perkara tersebut. Dia mengipas-ngipas badannya yang terasa hangat. Kemudian, dia mengambil remote untuk menurunkan suhu penghawa dingin biliknya itu.

“Petang nanti kita ke hospital lagi yer papa, mama nak jumpa keluarga Aliesya. Hati mama ni rasa tak tenang selagi tidak meminta maaf kepada mereka.” Sambung Puan Sri Zahida lagi. Kali ini dia berbaring pula di atas katil sambil memerhatikan suaminya yang duduk di atas sofa berdekatan dengan katil itu.

“Mama, sudahlah.. jangan difikirkan sangat tentang perkara itu. Mama dah pun selamat, segala perbelanjaan hospital Aliesya akan kita tanggung sepenuhnya sebagai membalas kembali budi baiknya itu.” Kata Tan Sri Imran, dia mengambil telefon bimbitnya yang terletak di atas meja berdekatan sofa sambil menaip mesej kepada anaknya iaitu Zairi Izkandar untuk memaklumkan keadaan isterinya itu kepada anaknya. Tadi, semasa dalam perjalanan ke hospital, dia ada menelefon Zairi Izkandar untuk memberitahu tentang kejadian yang menimpa isterinya namun apabila ditanya tentang keadaan isterinya, Tan Sri Imran tidak boleh memberikan jawapan kepada anaknya itu selagi dia tidak bertemu dengan isterinya dan melihat sendiri keadaan Puan Sri Zahida.

“Mama tidurlah sekejap, petang nanti kita ke hospital. Harap-harap dia dah sedar.” Tan Sri Imran menyuruh isterinya tidur untuk menenangkan fikiran yang masih lagi dihantui kejadian tadi. Bimbang pula jika darah tinggi isterinya akan naik jika wanita itu dalam keadaan tertekan.

“Yelah, mama nak rehat sekejap.” Puan Sri Zahida memusingkan badannya ke kiri dan setelah itu, akhirnya dia
terlelap juga.

Satu jam telah berlalu, Tan Sri Imran yang sedang membaca majalah Bisnes dikejutkan dengan isterinya yang bangun secara tiba-tiba dengan peluh yang merenik di dahi.

“Papa, mama bernazar jika Aliesya sembuh nanti, mama akan pinangkan dia untuk Iz. Dan jika keluarganya bersetuju, mama nak nikahkan mereka berdua” Kata Puan Sri Zahida secara tiba-tiba.

“Ya Allah, apa yang mama merepek ni, bawa mengucap ma. Ingat Tuhan! Jangan cakap ikut sedap mulut aje. Perkara macam ni bukan boleh dibuat main.” Marah Tan Sri Imran kepada isterinya. Sangkanya Puan Sri Zahida mengigau.

“Mama tak merepek, papa. Jika Aliesya masih lagi single, memang mama nak jadikan dia sebagai menantu mama. Itu pun terserahlah kepada Aliesya dengan keluarganya jika mereka terima pinangan mama nanti.” Puan Sri Zahida meyakinkan suaminya.

Tan Sri Imran bangun lalu duduk di birai katil. Dia memandang ke arah isterinya dengan wajah yang tidak puas hati.

“Mama jangan pandai-pandai nak buat keputusan tanpa bertanya kepada tuan punya badan dahulu! Iz tu, mahukah dia?” Tan Sri Imran masih lagi tidak percaya dengan keputusan mendadak yang diambil oleh isterinya itu. Masakan isterinya itu mahu menjodohkan anak keduanya dengan seorang gadis yang baru sahaja dikenali pada hari ini. Sungguh tidak logik!

“Papa jangan risau, hal dengan Iz biar mama yang uruskan.” Puan Sri Zahida masih lagi dengan keputusannya. Dia bangun lantas ke bilik air untuk mandi seterusnya pergi ke hospital Putrajaya. Dia sangat risau dengan keadaan gadis yang berhati mulia itu tambahan lagi, Zarul Effendi menelefon dan memaklumkan bahawa gadis itu masih tidak sedarkan diri semasa anak sulungnya itu ingin pulang ke rumah kerana kakak Aliesya sudah datang ke hospital untuk menemani adiknya itu.

Tan Sri Imran masih lagi kaku di atas katil. Sekali lagi otaknya mencerna satu per satu kata-kata yang keluar dari mulut isterinya itu. Dia amat pasti, keputusan yang dibuat oleh isterinya adalah keputusan muktamad dan tiada sesiapa pun mampu mengubahnya. Dia kenal sangat dengan sikap isterinya itu yang tegas dalam membuat keputusan itu tetapi keputusan yang dibuat oleh isterinya kali ini amat melampau dan tidak dapat diterima oleh akal.

Dia kemudian berbaring sekejap di atas katil untuk melepaskan penat. Tadi selepas pulang dari hospital dia tidak sempat untuk berehat berikutan ingin menatap majalah Bisnes yang dibeli semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.
Bunyi pintu bilik mandi yang dibuka oleh Puan Sri Zahida mengejutkan Tan Sri Imran yang terlelap di atas katil. Dia bangun lalu menggerak-gerakkan leher untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh.

“Hai, sempat lagi tido? Tadi tak tido ke?”

Tan Sri Imran hanya tersenyum tanpa menjawab pertanyaan isterinya itu.

“Mama solatlah dulu, kemudian bersiap dan kita ke hospital terus. Papa dah call Hussien suruh dia drive ke hospital. Penat pula rasanya hari ini.” Hussien adalah pemandu peribadi Tan Sri Imran yang diberikan cuti setiap hari Ahad. Namun hari ini dipaksa juga Hussien untuk memandu ke Putrajaya kerana badannya terasa agak penat.

***

Sementara itu, di hospital kedua ibu bapa Aliesya sudah sampai ditemani oleh bapa saudaranya yang juga adik bongsu kpada ibunya.

“Kenapa boleh jadi begini Iesya? Risau sungguh ibu bila ada polis telefon ke rumah tadi.” Soalan pertama yang meluncur keluar dari mulut Puan Mariam sebaik sahaja masuk kedalam bilik wad yang menempatkan anaknya itu. Dia memeluk anak gadisnya itu erat. Syukur melihat keadaan Aliesya tidak seteruk yang dibayangkan.

Aliesya yang sudah sedar setengah jam yang lalu hanya diam sambil berada di dalam pelukan ibunya itu. Tangannya kirinya terasa sedikit sengal apabila cuba diangkat untuk membalas pelukan ibunya. Oh, dia terlupa bahawa tangan kirinya itu retak dan dibalut oleh simen. Mungkin terkena tendangan peragut tersebut yang cuba meleaskan amarahnya kepada Aliesya dek kerana cuba berlagak sebagai penyelamat untuk membantu Puan Sri Zahida.

Dia kemudiannya menceritakan satu per satu tentang kejadian di Alamanda Putrajaya itu kepada ahli keluarganya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Indahnya Cinta, Manisnya Rindu 8”
  1. alissa imani says:

    Beznyer, ada blog tak

  2. babymio81 says:

    best ada blog x.

  3. kak yam says:

    Nice storyline tp jgn jodohkn hero n heroin cpt sgt..x sweet…anywy…I really enjoyed reading th nvl..keep up th good work. Cant wait for th nx entree

  4. aymie ayuni says:

    alissa , babymio : blog xda… sorry :D
    kak yam : thanks for reading… ermm.. dont worry, stakat ni hero n heroin x dijodohkan lg.. heheee

  5. alissa imani says:

    Yee… biar gaduh2 dulu…pastu kena kawin… gaduh pas kawin baru best… masing2 x nk beralah… smpai x sedar dlm hati ada cinta… so sweet… cepat smbg tau tak sabar nanti ni.. good job miss writer

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"