Novel : Isteri Gantian 4

17 September 2013  
Kategori: Novel

8,322 bacaan 6 ulasan

Oleh : MAWAR KAMILA

BAB 4

Impak lif terhempas menyebabkan tubuh Wani melambung dan jatuh menghempap Rasyaf. Jeritan kesakitan kedua-duanya begitu nyaring sekali.

“Argh! Pergi sana la!” marah Rasyaf seraya cuba menolak tubuh Wani yang menindih tubuhnya. Sekali lagi Rasyaf mengerang kesakitan tatkala cuba menggerakkan tangan kanannya.

“Tepi la!” tempik Rasyaf. Rasa sakit pada tangan kanan yang turut ditindih Wani menyebabkan Rasyaf hilang pertimbangan. Geram, bengang dan marah pada gadis itu.

Wani pening. Kepalanya berdenyut-denyut kerana semasa terlambung tadi kepalanya terhantuk kuat pada dinding lif. Mujur jatuh menghempap Rasyaf. Jika tidak, mungkin wajahnya sudah pecah mencium lantai lif.

Terkial-kial Wani cuba bangun. Dunianya berpinar. Wani yang cuba bangkit terjatuh lagi. Terus menghempap Rasyaf untuk kali kedua.

“Argh!!!” Rasyaf meraung kesakitan apabila Wani rebah sekali lagi atas tubuhnya. Dan tubuh berat Wani menindih tangan kanan Rasyaf yang terseliuh.

Tangan kiri Rasyaf berusaha menolak tubuh Wani. Mata lelaki itu sudah berair menahan rasa sakit. Sudah la panik dek terkandas dalam lif makin menebal, kini tangan kanan terseliuh.

Rasyaf goncang bahu Wani tetapi tiada sebarang reaksi. Lelaki itu memanggil-manggil Wani beberapa kali namun tetap sepi. Wani kaku seakan tubuh itu tiada bernyawa. Rasyaf bertambah panik. Rasyaf periksa pernafasan Wani. Masih ada udara dihembus keluar daripada rongga hidung. Lelaki itu hela nafas lega. Hidup lagi! Alhamdulillah…

Rasyaf buntu. Tak tahu nak berbuat apa lagi. Takkan nak buat CPR kot. Ish! Tak boleh. Aku tak ada kemahiran nak buat tu. Tangan pula terseliuh macam ni. Aduh! Rasyaf semakin lelah berdepan situasi cemas ini.

Rasyaf pandang sepi sekujur tubuh Wani yang terbaring kaku di tengah ruang lif. Bibir diketap menahan gelojak perasaan yang bercampur baur pelbagai rasa. Lelaki itu kebingungan. Kenapa waktu begini perempuan ni nak pengsan hah? Rasyaf lelah untuk mengeluh.

Segala sisa kudrat yang ada digunakan Rasyaf untuk mengesot menghampiri dinding dan menyandar lesu di penjuru lif. Lelaki itu semakin lemah mental dan fizikal. Kehangatan dirasakan seperti menjerut diri. Udara disedut terasa sesak di rongga pernafasan. Bau hangit terbakar menusuk hidung.

Sekujur tubuh Wani terus dipandang lesu. Tiada dia berkudrat untuk membantu Wani yang terbaring kaku. Hela nafas Wani yang tampak halus itu memberi isyarat bahawa gadis itu masih bernyawa. Rasyaf tidak pula mahu menghampiri Wani. Entah mengapa perasaan geram merangkul dirinya. Geram pada Wani yang dianggap menjadi punca kepada kerosakan lif dan gadis itu berlepas diri pula dengan pengsan.

Argh! Walau semua itu bukan kehendak Wani, Rasyaf tetap beranggapan begitu!

*********************

Perlahan-lahan Wani membuka kelopak mata. Ruang pandangan kelihatan samar-samar sebelum menjadi jelas. Dalam keadaan diri yang terasa lemah, Wani cuba bangkit untuk duduk namun percubaannya gagal. Gadis itu masih tertiarap atas lantai di ruang tengah lif.

Mata Wani mencari kelibat Rasyaf. Dilihatnya Rasyaf sedang duduk menyandar lesu di satu sudut bertentangan dengan pintu. Lelaki itu sudah bermandi peluh. Tali leher pula berada di lantai dengan dua butang baju bahagian atas sudah dibuka dek rasa panas dan sesak nafas.

Wani hela nafas lega. Sekurang-kurangnya Rasyaf masih berkeadaan lebih baik berbanding dirinya. Wani cuba bangkit sekali lagi. Kini kudratnya lebih ampuh. Wani sudah boleh bergerak dan mula duduk.

Terpandang saja Wani yang sudah sedar, Rasyaf bersuara perlahan namun tegas.

“Baik awak duduk di penjuru sana. Jauh dari saya!” Lelaki itu seakan memberi amaran. Amaran supaya jangan dekat dengannya. Macam trauma saja untuk berdekatan dengan Wani.

Kepala Wani mendongak memandang sekeliling atap lif sambil memicit kepala yang masih pening-pening lalat.

“Apa dah jadi ni?” soal Wani seraya beralih menatap wajah tegang Rasyaf.

“Kau bakal jadi mayat!” balas Rasyaf selamba.

Jawapan Rasyaf tidak dipedulikan Wani. Wani sekadar menarik nafas panjang dan memejamkan mata untuk seketika. Satu-persatu aturan cerita kembali tersusun dalam kotak ingatan. Wani sudah ingat semula. Nafas yang ditarik dan disimpan lama di dada kemudian dihela perlahan-lahan.

“Maaf…” suara Wani seraya menyandar tubuh pada dinding lif setentang dengan Rasyaf. Kaki dilunjurkan ke depan dan bersebelahan dengan unjuran kaki Rasyaf.

Wani sungguh rasa bersalah walau masih tidak dapat menerima logik kekuatan fizikalnya mampu menyebabkan kerosakan lif! Wani yakin dirinya hanya wanita biasa tanpa kekuatan luar biasa seperti yang dimiliki oleh superhero spiderman atau superman.

“Kenapa la syarikat ni boleh ambil cleaner yang clumsy macam awak ni. Menyusahkan!” getus Rasyaf. Sempat lagi mengkritik Wani dalam keadaan diri yang semakin lelah itu.

“Awak jangan pandang rendah pada saya. Memang saya sekadar cleaner tapi saya ada pendidikan tinggi!” balas Wani. Dia tidak mahu kalah pada pandangan mata Rasyaf. Tidak mahu dipandang rendah hanya kerana darjat kerjanya yang dilihat lebih rendah berbanding kerjaya lelaki itu.

“Awak ada diploma atau ijazah?” Dari kerutan muka Rasyaf jelas sekali nada tak percaya.

Wani angguk yakin. “Bachelor of Architectural Design dari The University of Adelaide, Australia!”

Semakin kecil mata Rasyaf menatap wajah Wani. Mencari kesahihan daripada cerita yang didengarnya.

“Kenapa? Tak percaya?” duga Wani.

“Tak. Cuma terkejut je. Your brain is not stupid as your attitude!” ujar Rasyaf bersahaja.

Wani juih bibir. Senget mamat ni. Dah puji lepas tu kutuk pula. Itu la namanya menyindir, Wani.

“Kenapa kerja sini? Kenapa tak cari kerja sesuai dengan lulusan awak?” persoal Rasyaf.

“Saya bukan nak kerja sini sangat pun. Saya sebenarnya mencari seseorang,” terang Wani tanpa berselindung.

“Siapa?” Rasyaf berminat untuk tahu. Apa salah ambil tahu untuk panjangkan perbualan memandangkan entah bila pintu lif dapat dibuka.

Suasana jadi sepi untuk seketika. Wani seperti berkhayal jauh dan Rasyaf diterpa tanda tanya.

“Mak saya… Saya cari mak saya,” jawab Wani bernada sayu. Tiba-tiba rasa sebak melingkari hati.

“Awak cari mak awak dekat sini?” soal Rasyaf semula dengan muka makin tak percaya.

Wani angguk lemah disusuli helaan nafas lemah.

“Mak awak kerja di sini? Awak cari mak awak dekat sini?” soal Rasyaf lagi.

Wani angguk lagi. Wajah yang sugul sejak tadi menunduk lemah tanpa diduga sudah basah dek air mata. Bukan tangisan kerana ketakutan dek terkandas dalam lif yang rosak sebaliknya akibat kocakan emosi perihal masalah peribadi yang sekian lama dipendam.

“Salah ke saya cari mak saya?” tiba-tiba Wani bertempik.

Rasyaf terpegun. Glup! Juga tertelan air liur. Rasyaf tidak menduga Wani akan menempik begitu. Malah lebih mengejutkan apabila melihat air mata yang membasahi pipi mulus wanita itu. Mata Wani yang berkaca itu sebenarnya yang buatkan Rasyaf terpegun. Dia… dia menangis?

Wani teresak-esak dengan air mata makin deras mengalir di pipi. Emosinya sudah tidak terkawal lagi.

“Kenapa? Awak pun tak bagi saya cari mak saya? Kenapa saya tak boleh cari mak saya? Saya sangat rindukan dia. Kenapa saya tak boleh cari dia?”

Rasyaf terpinga-pinga tatkala Wani menghembur emosinya. Langsung lelaki itu tak tahu hujung pangkal cerita.

“Errr…errr… Siapa… siapa kata tak boleh?” ujar Rasyaf dengan nada tinggi. Walau tidak tahu apa-apa, Rasyaf bersuara juga untuk menenangkan gelora emosi gadis di hadapannya ini.

“Siapa orang tu?” soal Rasyaf cukup serius.

Wani pula yang terkedu dengan tangisan makin reda.

“Siapa orang yang larang awak tu? Beritahu saya biar saya marah dia!” sambung Rasyaf masih bernada serius.

Mata Wani tak berkelip-kelip menatap riak serius pada wajah Rasyaf itu. Tidak diduganya Rasyaf akan menzahirkan reaksi sebegitu.

“Kalau awak rindukan mak, mesti awak perlu jumpa mak awak. Siapa boleh larang? Kalau orang tu degil juga, biar saya belasah dia!” ujar Rasyaf lagi. Kali ni muka lelaki itu tampak bengis. Macam betul-betul saja hendak dihentamnya orang itu.

Tangisan Wani bertukar sedu. Terhenjut-henjut badan Wani dek sedu. Rasyaf ditatap dengan sisa air mata berlenangan di pipi. Sikit demi sedikit bibir Wani mengukir senyum yang akhirnya membuahkan tawa kecil. Rasyaf juga ikut ketawa.

“Minta maaf. Saya terlalu ikut emosi,” suara Wani setelah tawa mereka reda.

Rasyaf senyum nipis. Lelaki itu gembira kerana berjaya meredakan emosi Wani. Pastinya situasi terkandas dalam lif memberi tekanan pada diri. Dengan bahang panas yang mengasapkan lagi emosi.

Suasana jadi sepi lagi. Wani sudah mengesat air mata di pipi bagaimanapun sedu gadis itu masih belum berhenti. Selang beberapa saat, gadis itu akan sedu. Siap ada kesan bunyi lagi. Awalnya Rasyaf tak kisah, tetapi teletah Wani menarik perhatiannya setelah sedu itu kian berlarutan.

Rasyaf memerhati Wani dengan wajah kebimbangan. Risau juga jika Wani mungkin mengalami masalah pernafasan. Pasti ia menjadikan suasana lebih genting memandangkan bantuan entah bila akan tiba.

“Awak… awak ok ke? Awak sesak nafas ke?” soal Rasyaf tanpa beralih dari memerhati Wani yang tunduk memandang lantai.

Wani angkat muka membalas pandangan Rasyaf yang terzahir kebimbangan. Bahu Wani terus terhenjut setiap kali sedu selang beberapa saat.

“Awak tak perlu risau… Saya memang… begini kalau lepas… nangis. Nak nak lagi nangis… beriya macam… tadi,” terang Wani dengan bicara tersekat-sekat. Wani kemudian senyum nipis. Tidak mahu membimbangkan Rasyaf dengan situasi dirinya.

Mendengarkan itu, Rasyaf ketawa kecil. Memang la perempuan ni lucu. Lucu tapi comel.

“Berapa lama lagi awak nak sedu macam ni?”

Wani membuat isyarat tak pasti. “Selalunya saya minum… air untuk hilangkan se…du. Tapi sekarang saya… tak ada air. Saya pun… tak tahu bila…bila nak berhenti.”

“Air?” Rasyaf garu kepala yang tak gatal. Dia juga tidak mempunyai air minuman dalam botol. Di mana pula hendak dia mencari sumber air dalam lif ini. Air peluh ada la. Kalau kumpul memang boleh penuh semangkuk ni.

Wani jadi serba salah apabila melihat kerunsingan Rasyaf.

“Saya ok. Ke…jap lagi ok la… ni,” suara Wani cuba memujuk kebimbangan lelaki itu.

Rasyaf senyum kelat. Lelaki itu simpati melihat keadaan Wani begitu. Pasti pernafasan gadis itu tidak lancar malah keadaan yang berbahang panas pasti lebih menyukarkan.

Tiba-tiba Rasyaf teringatkan bungkusan kuaci dalam briefcasenya. Rasyaf segera mencari paket kuaci yang selalunya akan ada kerana dia memang hantu kuaci. Jumpa saja bungkusan kuaci yang masih belum berusik, Rasyaf bangkit mendekati Wani.

“Nah.” Rasyaf hulurkan bungkusan itu pada Wani.

Wani tidak terus menyambut pemberian ikhlas itu.

“Saya pernah dengar orang kata, makan kacang atau kuaci boleh hilangkan sedu. Kononnya kunyah kuaci dapat meransang saraf. Cuba la,” cadang Rasyaf.

Tawaran Rasyaf disambut dengan teragak-agak. Tidak pernah pula Wani tahu yang makan kuaci boleh hilangkan sedu. Selalunya dia hanya minum seteguk air sambil tahan nafas saja.

“Kunyah banyak-banyak tapi perlahan-lahan,” beritahu Rasyaf sambil membantu Wani membuka kulit kuaci.

“Lambatnya awak ni buka kulit kuaci ni,” tegur Rasyaf sambil menjeling kuaci di jari Wani.

“Saya memang tak suka makan kuaci sebab tak pandai kopek kulit dia,” akui Wani.

Mendengar pengakuan jujur itu, Rasyaf bertindak merampas kuaci tersebut. Wani terkejut dek tindakan itu.

“Kalau tak pandai, biar saya yang kopekkan. Kalau tak, entah bila sedu awak tu nak boleh baik,” ujar Rasyaf seraya melabuhkan punggung dan duduk bersila di depan Wani.

Wani akhirnya sekadar menjadi pemerhati kepada kerja-kerja Rasyaf mengopek kulit kuaci ala-ala professional itu.

“Mak tinggalkan saya… dengan ayah ketika umur…saya lima tahun…” ujar Wani bernada sayu.

Entah mengapa hati gadis itu terdetik untuk berkongsi cerita hidupnya dengan lelaki ini. Mungkin juga kerana situasi mereka yang bagaikan tahanan dalam penjara. Lampu lif pula menambah suasana suram ala-ala romantik dengan berkelip-kelip seperti nak rosak segan, nak menyala tak sudi. Eh! Bukan hidup segan mati tak mahu ke?

Kerja mengopek Rasyaf terbantut sekejap. Sejenak dia menatap wajah sayu Wani sebelum kembali meneruskan kerja mengopeknya sambil mendengar kisah Wani.

Kini Rasyaf tahu mengapa Wani berada di SAGA Corporation sebagai tukang cuci. Semua itu dibuat semata-mata kerana mencari emaknya yang pernah bekerja sebagai kerani perakaunan di SAGA Corporation. Tetapi emak Wani telah berhenti kerja setahu lalu. Selama emaknya bekerja di SAGA Corporation, dia hanya rapat dengan seorang tukang cuci bernama Kamisah. Malah maklumat diperolehi memaklumkan bahawa mereka pernah tinggal sebumbung.

Wani pernah mengupah orang untuk mencari emaknya tetapi sikap Kamisah yang pasif. dan perahsia menyukarkan usaha menjejaki emaknya. Akhirnya Wani membuat keputusan untuk turun padang mencungkil sendiri maklumat tentang emaknya. Tanpa pengetahuan ayah dan emak tirinya, Wani masuk ke dalam SAGA Corporation sebagai tukang cuci untuk mendekati wanita bernama Kamisah. Misi Wani gagal apabila dia kemalangan semasa mengemop lantai.

Walau cerita Wani tersangkut-sangkut dek sedu, ia tidak mengganggu untuk jalan cerita itu difahami Rasyaf. Sememangnya cerita Wani tak ubah seperti filem ‘Ibu Mertuaku’. Kisah cinta yang terlerai akibat tiada restu orang tua. Perkahwinan ayah dan emak Wani musnah akibat campur tangan neneknya yang tidak menyukai emak Wani. Perbezaan darjat menjadi pemusnah sebuah mahligai yang dibina atas dasar cinta.

Sedu Wani kini ada irama esakan tangis. Sebak menjalar di dada tatkala mengingatkan wajah emak yang kian samar dalam ruang ingatan. Wanita itu tetap emaknya walau sekian lama tidak pernah bertemu. Ya, ketika ulangtahun kelahiran Wani yang kelima, itulah ingatan terakhir Wani tentang emaknya.

Enam bulan lalu, nenek Wani telah meninggal dunia. Barulah Wani punya kekuatan untuk mencari emak kandungnya tanpa pengetahuan ayah dan emak tirinya. Walau emak tiri Wani seorang ibu yang baik, Wani bimbang pencariannya akan mengguris hati wanita kedua dalam hidup ayahnya itu.

“Siapa nama mak awak?” soal Rasyaf sebaik sahaja Wani mengakhiri ceritanya.

Wani menahan sebak yang kian mencengkam tangkai hati. Dia sudah terlalu malu untuk menangis di hadapan lelaki ini. Tetapi anak mana yang tidak sedih jika menyentuh perihal seorang ibu?

“So…So… Sofea Lee binti Lee Abdullah.” Tatkala ini wajah samar pemilik nama itu seakan menari-nari di layar pandangan. Mata Wani berkaca.

Rasyaf menyedari situasi Wani yang kembali dibuai perasaan. Tidak sanggup lagi dia melihat Wani menangis.

“Nah!” Segera Rasyaf hulurkan biji kuaci tanpa kulit kepada Wani.

Seakan kembali berpijak di bumi nyata, Wani kesat air mata yang sudah tumpah di pipi. Bibir dipaksa mengukir senyuman bagi menutup kesedihan yang bukan lagi rahsia.

Wani kemudian menyambut bungkusan kuaci dari Rasyaf. Tak sangka Rasyaf siap mengopek sebungkus kuaci sepanjang perjalanan cerita Wani.

“Ambil banyak sikit dan kunyah perlahan-lahan,” ujar Rasyaf sebelum sempat Wani menyuap kuaci ke dalam mulut.

Bibir Wani masih mengukir senyuman. “Terima kasih…”

Rasyaf menyambut dengan senyuman yang sama manisnya. Lelaki itu senang hati melihat Wani mengunyah biji-biji kuaci. Hakikatnya hati lelaki itu digayut simpati mendengar cerita jejak kasih yang menyentuh hati lelakinya. Baru saja Rasyaf hendak buka mulut, pintu lif telah berjaya dibuka oleh pasukan penyelamat. Niat Rasyaf terbantut.

Rasyaf dan Wani sama-sama menghela nafas lega. Mereka saling berpandangan dan berbalas senyuman. ‘Kita dah selamat!’ seolah-olah itulah ungkapan yang terlafaz melalui pandangan mata mereka.

“Aik, siap bersila makan kuaci lagi. Boleh ber’picnic’ ni, dua-dua mangsa ok je la ye,” seloroh salah seorang dari pasukan penyelamat yang telah membantu membuka pintu lif. Rupa-rupanya pasukan penyelamat sudah lama bertungkus lumus membuka pintu lif sedangkan mereka berdua begitu asyik bercerita dan mengopek kulit kuaci.

Rasyaf dan Wani membalas usikan itu dengan senyum kelat. Rasyaf membantu Wani untuk berdiri. Lenguh sudah kedua-dua pasang kaki kerana duduk terlalu lama. Rasyaf memberi ruang kepada Wani untuk keluar dari lif terlebih dahulu.

Baru selangkah Wani menapak melangkaui pintu lif, tubuh gadis itu hendak tumbang menyembah lantai. Beberapa orang petugas penyelamat sempat menyambut tubuh lemah Wani dan segera diberi bantuan kecemasan. Selang beberapa saat, Rasyaf turut rebah sama!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Isteri Gantian 4”
  1. sebarang pandangan boleh dikongsi untuk memperbaiki mutu karya IG.
    terima kasih kerana membaca IG. ^_^!

  2. elin fazlinie says:

    best.. Menarik.. Xsbr nk bc next chapter..Ader blog x?

  3. nas-d says:

    syoknye jalan cerita novel ni..tak sabar nak tunggu bab seterusnya :)

  4. Dawiesya says:

    best certa ni…
    jalan cerita yang menarik saya tak sabar nak baca bab seterusnya
    teruskan usaha anda
    =selamat maju jaya dalam dunia penulisan
    -wiesyalovenovel-

  5. bbiey23 says:

    cpt sambung ~

  6. autumn x says:

    picnic scene yg comel! sukaaaa!!!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"