Novel : Jangan Pandang Sebelah Mata, Bro! 1

7 October 2013  
Kategori: Novel

6,534 bacaan 3 ulasan

Oleh : Syima Syawal

1

MAHU menangis seakan tidak punya air mata lagi. Mustahil! Ya Mira Maira tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Sudah kering air matanya. Atuk memang kejam! Atuk zalim pada cucu kesayangannya ini. Buat masa ini dia tidak dapat menerima apa yang telah diatur oleh atuknya sendiri.

“Apa yang atuk dah buat pada Mira?” mengogoi dia menangis apabila secara terpaksa dia dinikahkan dengan seorang pemuda yang tidak dikenalinya. Kononnya itulah amanat ayahnya sebelum ayahnya meninggal dunia.

Paling dia benci, kejutan itu dilakukan sebaik sahaja umurnya genap Sembilan belas tahun. Dia akan menduduki peperiksaan STPM pada hujung tahun itu. Mengapa begitu tegar atuknya melaksanakan amanah yang telah membunuh masa depannya?

“Mira sayang… semua ini wasiat arwah. Atuk terpaksa laksanakan. Bukan kemahuan atuk, sayang…” pujuk atuknya.

“Mira masih sekolah lagi, atuk. Lagipun, Mira tak kenal siapa dia. Tolonglah atuk, tolong hentikan semua ini. Tolong suruh dia ceraikan Mira.” Mira merayu. Kalau boleh biarlah dia kejar cita-citanya sendiri. Dan yang paling penting, biarlah dia pilih sendiri bakal suaminya.

Tok Taha menggeleng. Enggan menurut kehendak cucunya itu.

“Mira… sanggup ke Mira jadi janda?”

Persoalan atuknya itu membuatkan Mira Maira terkedu. Sanggupkah dia? Dia masih muda. Masih belasan tahun tetapi sudah bergelar janda?

“Arrgghh!!! Atuk memang kejam!” laungnya. Dia terus berlari masuk ke dalam biliknya.

Dalam bilik dia air matanya mengalir juga. Sangkanya dia tidak mampu menangis lagi… Dunia itu dia rasakan kian gelap. Dia tidak nampak langsung masa depannya. Benci kerana terpaksa menghadapi semua itu.

“MIRA…” tegur Syazana.

Mira Maira yang sedang ralit memandang ke arah padang bola sepak sekolahnya sedikit tersentak. Dia menoleh ke arah Syazana. Keningnya dinaikkan.

“Kenapa sejak daripada tadi aku tengok kau asyik sangat termenung. Kau ada masalah ke? Takkan birthday girl monyok macam ni?” Syazana bersuara ceria. Mahu menuntut belanja daripada sahabat baiknya itu.

Mira Maira menghela nafasnya yang kian sempit di dada. Mahu diluahkan kepada sahabatnya itu, namun dia tidak mampu. Dia khuatir akan dipandang serong. Apatah lagi dia tahu Syazana paling bengang dengan kahwin paksa. Novel-novel yang berkisar kahwin paksa tidak dibacanya. Senang cerita Syazana anti gilalah…

Tidak seperti dirinya, dia sangat-sangat menyukai novel bertemakan kahwin paksa. Ia punya daya tarikan tersendiri. Malah dia siap berangan-angan lagi. Tidak sangka pula kali ini betul-betul terjadi pada dirinya. Ya Allah! Apa sebenarnya rencanaMU? Keluhnya sendiri.

“Weh! Aku macam bercakap dengan tunggul. Kau kenapa?” agak kuat juga suara Syazana. Mira Maira mengurut dadanya.

“Aku okeylah… janganlah kau cakap macam orang menjerit, nanti orang lain cakap apa pulak, ingat kita berdua bergaduh.” tegur Mira Maira. Syazana tergelak sahaja.

“Habis aku bercakap kau buat dek aje. Tension cakap dengan orang yang tak ada perasaan ni. Kau fikir apa sampaikan aku tengok muka kau berkerut-kerut. Takkanlah pasal nak belanja aku makan, sampai nak terbarai otak kau tu, tak ada duit cakap ajelah,” tembak Syazana.

Gadis itu menjilat lolipopnya, itulah kesukaan Syazana, lolipop. Macam budak kecil. Pernah Mira Maira menyaksikan gadis itu bergaduh dengan adik-adiknya pasal lolipop.

“Kau nikan, macam tak ada benda lain yang kau nak makan. Gula-gula budak kecik ni juga yang kau jilat?” tegur Mira Maira. Syazana tersengih lagi.

“Kau macam mak aku, nak membebel aje. Aku sanggup kosongkan perut aku semata-mata nak makan masa kau belanja nanti. Kau jangan buat-buat lupa pulak,” balas Syazana dengan wajah manjanya.

Mira Maira lihat sahabatnya itu seakan tidak punya masalah. Asyik ketawa dan buat kepala gila-gilanya saja. Tidak pernah lagi dia nampak Syazana termenung atau berwajah masam. Menangis lagilah jarang. Kenapa dia tidak menikmati hidup seperti gadis itu? Mengapa dia sering dilanda masalah yang berat?

“Eh kau dengar tak?’

“Iya.. aku ingat. Petang nanti kita pergi KFC ya.” Dia takkan mengheret Syazana dalam masalahnya. Biarlah dia seorang sahaja yang menghadapi segalanya.

“Mira… kalau aku ajak seseorang boleh tak?” Syazana tersengih lebar. Entah apa yang ada dalam mindanya, Mira Maira tidak tahu. Kening Mira Maira bertaut.

“Kau nak ajak siapa?” dia mula rasa kurang senang. Siapa pula yang dipelawa oleh Syazana? Kawannya itu bukan boleh dipercayai.

“Adalah… boleh eh… bolehlah… pelase… kau baik… kau comel…” Syazana buat memek muka simpatinya.

“Apa-apa ajelah, Ana. Kalau aku tak benarkan pun kau tetap akan bawa juga, kan? Itu memang aku percaya sangat-sangat,” sambil menjeling ke arah Syazana, Mira Maira menjuihkan bibirnya. Syazana ketawa besar.

“Pandai kau…” jawab Syazana selamba.

“Jom loceng dah berbunyi tu,” Mira Maira menarik tangan Syazana, mereka melangkah menuju ke kelas mereka yang terletak di tingkat tiga.

“CEPATLAH makan,” tegur Mira Maira.

Sejak daripada tadi Syazana melihat jam tangannya. Dia pula sudah separuh ayamnya habis. Gadis itu pula asyik tercuit-cuit. Menjamah sedikit sahaja. Kemudian memandang jam di pergelangan tangannya.

“Sekejaplah…” kata Syazana sambil tersnegih-sengih.

Mira Maira tidak peduli, dia membiarkan sahaja Syazana dengan aksi sopan santunnya itu.

Dicelah orang ramai yang sedang menikmati ayam goreng itu, ada sepasang mata sedang memerhatikan mereka. Perlahan dia mengangkat makanannya dan melangkah ke arah dua orang gadis itu. Sejak daripada tadi, dia memang sengaja membiarkan Syazana menanti. Dia mahu gadis di hadapan Syazana itu leka.

“Hai…” tegur Shahir.

Mira Maira yang sedang enak menikmati ayam itu tersedak-sedak sebaik sahaja terpandang wajah lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya. Dia terbatuk-batuk, air yang dihirup juga sudah memasuki hidungnya.

Manakala Syazana tersengih sampai ke telinga.

“Duduklah awak.” Pelawa Syazana.

Amboi pandai-pandai sahaja Syazana mempelawa lelaki itu duduk di situ. Mira Maira menjeling ke arah rakannya itu.

“Lama dah tunggu?” sengaja Shahir memaniskan bahasa.

Uwek! Hendak termuntah Mira Maira mendengar suara lembut lelaki itu. Tetapi dia sedikit terkejut apabila mendengar pertanyaan Shahir. Maknanya, lelaki itulah yang dinanti oleh Syazana.

“Sorry, Mira. Sampai tersedak-sedak awak nampak saya, ya?” sepertinya mahu sahaja Mira Maira buat-buat pengsan di situ. Rasa menyampah pada lelaki itu masih lagi ada.

“Mira… sebenarnya aku memang sengaja ajak Shahir datang. Dia dah lama nak berbaik-baik dengan kau, tapi kau tu…” Syazana bersuara setelah melihat Mira Maira seakan mula rasa kurang senang.

“Mira… saya yang beriya-iya nak jumpa awak. Maafkan saya. Saya tahu saya bersalah pada awak. Saya juga tahu awak memang benci pada saya, tapi saya sendiri tak tau kenapa saya boleh buat awak macam tu,” Shahir memandang wajah Mira Maira.

Mira Maira hanya membisu. Malas hendak membalas. Nanti ada sahaja yang tidak betulnya. Shahir tidak pernah mahu berbuat baik dengannya sejak sejak lelaki itu bersekolah di situ. Dia sendiri tidak faham mengapa. Ada sahaja perbuatannya yang tidak kena di mata pelajar lelaki itu. Malah bila Shahir bercakap dengannya, pasti melengking-lengking. Kemuncaknya, dia betul-betul marah pada Shahir apabila dengan sengaja lelaki itu memfitnah dirinya. Kononnya dia pernah memikat diri Shahir. Sungguh tidak logik langsung. Sejak daripada itulah, Mira Maira bergaduh besar. Dia bertekad mahu mengisytiharkan perang dunia ketiga dengan Shahir.

“Mira…” Shahir cuba meraih simpati.

“Senang aje kau nak minta maaf. Sampai sekarang aku nak sangat tahu kenapa kau sanggup fitnah aku. Kenapa kau asyik nak cari gaduh aje dengan aku? Teringin sangat aku nak dengar alasan kau, kenapa ya?” Mira Maira melontar pandangannya pada luar permis itu, enggan mahu memandang wajah lelaki yang duduk di hadapannya itu.

“Mungkin…” Shahir terdiam.

“Cakap ajelah terus terang, Shah. Yang kau nak simpan-simpan lagi nak buat apa? Nak buat pekasam ke?” celah Syazana pula.

Oh baru Mira Maira tahu, sahabatnya itu mula menjadi ‘ikan tongkal’ kepada lelaki itu. Sejak bila pula mereka berdua rapat? Mira Maira menoleh ke wajah Syazana sekejap kemudian dia memandang ke luar semula.

“Ehem…” Shahir mula jadi gugup.

“Aku rasa, aku dah tak boleh nak tunggu lama-lama kat sini. Masa aku amat berharga, aku bukan anak orang kaya yang mampu pergi tuisyen. Kalau aku nak maju dan berjaya, aku kena usaha sendiri. Jadi… tolong jangan bazirkan masa aku,” luah Mira Maira. Dia tidak suka bazirkan masa begitu sahaja.

“Mira… I love you…” itu yang keluar daripada mulut Shahir.

Pantas Mira Maira memandang ke arah Shahir. Biar betul? Hampir sahaja rahangnya renggang dek kerana terkejut. Takkanlah?

“Mira, saya tak tipu. Saya suka awak dah lama. Saya cuba nak menghakis perasaan suka tu sebab kononnya saya nak fokus pada pelajaran, rupanya saya menipu diri sendiri. Saya memang sayangkan awak. Saya tak boleh nak halang perasaan ini lagi,” kali ini wajah Shahir benar-benar serius.

“Kau memang dah gila. Maaf, aku tak nak bazirkan masa aku pasal ni. Aku balik dulu,” Mira Maira segera bangun. Dia terus berlalu.

“Mira!” panggil Syazana dan Shahir serentak.

PULANGNYA dengan wajah yang monyok. Dia masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam. Menonong sahaja dia terus ke dalam biliknya. Bilik yang kelihatannya sangat berbeza daripada sebelum ini. Bilik itu telah dihias cantik, katil juga telah ditukar menjadikan ia benar-benar indah. Impiannya selama ini sudah tercapai, bezanya dengan cara yang dia tidak suka.

Tanpa membuka baju sekolah, dia terus berbaring. Keletihan. Saat itu wajah Shahir yang memenuhi ruang otaknya. Bukan dia tidak suka pelajar lelaki itu, tetapi mulut Shahir sama sahaja seperti mulut ayahnya yang sangat lancang mengutuk dan mengeji diri orang.

Dia tahu, dan sedar semuanya berpunca daripada perangai arwah ayahnya sendiri. Arwah ibu makan hati sehinggalah ke hujung nyawanya. Ayah tidak pernah berubah. Mira Maira sendiri tidak faham apa yang ayahnya mahukan. Adakah mahu menikmati kekayaan dengan cara begitu? Tidak juga mereka kaya sehinggalah arwah ayahnya tertangkap pada suatu hari. Ketika itu usianya masih mentah lagi. Dia baru berusia enam tahun.

Seingatnya, beberapa orang anggota polis telah mengepung rumah mereka. Keadaan ketika itu sangat kelam kabut. Ayahnya cuba melarikan diri melalui pintu belakang malangnya anggota polis sudah bersedia menunggu segala kemungkinan yang akan berlaku di belakang rumah mereka.

Sudahnya, ayah merengkok dalam penjara bertahun-tahun lamanya. Bebanan hutang ibu yang kena tanggung. Bukan sahaja hutang kedai runcit malah hutang daripada lintah darat juga melambak-lambak dibuat oleh ayahnya.

Kerana tidak tahan dengan gangguan ceti-ceti haram, ibunya pulang ke rumah atuk yang terletak tidak berapa jauh daripada rumah mereka. Sejak itu juga ibu terus jatuh sakit lalu meninggal dunia. Kepada atuk dan Makdek yang ketika itu masih anak dara tempat Mira Maira menumpang kasih. Tidak lupa pak long dan pak uda yang tidak pernah kurang kasih sayang mereka.

Sejak itu juga, hidupnya kian aman. Tiada lagi gangguan daripada lintah darat. Tiada lagi gangguan daripada tauke-tauke kedai runcit termasuklah ayah Shahir. Yang tinggal hanyalah serpihan-serpihan penghinaan sahaja. Ayah Shahir tidak akan lepaskan peluang memerli dan menyindirnya. Macam-macam kata-kata kesat dilempar kepadanya.

“Hah! Kalau bapak beri makan dengan hasil yang haram, mesti anaknya jadi bohsia suatu hari nanti. Percayalah. Kau Malik, kalau rasa nak cari isteri jangan daripada keturunan perompak tu. Malang nasib kau nanti.”

Begitulah kata-kata nista yang dilemparkan kepadanya. Sungguh! Kala itu dia hanya mahu menyembunyikan dirinya dalam rumah sahaja. Sekampung sudah tahu, malah kampung-kampung bersebelahan juga tidak kurang hebat cerita ayahnya itu.

Sejak dia remaja, dia mula jadi pendiam. Jarang bergaul dengan rakan-rakan yang lain kecuali Syazana. Seboleh mungkin dia tidak mahu menimbulkan masalah. Iyalah, bila sudah terpalit dosa-dosa ayah, sampai bila-bila orang akan membenci, itu yang dia rasakan.

Tapi dia rasa pelik juga, kenapa Shahir mahu berbaik-baik dengannya? Sedangkan selama ini lelaki itu yang sering menyiat perasaannya. Apa tujuannya? Tidak risaukah dia dengan penerimaan ayahnya sekiranya ayahnya tahu dia mahu berbaik-baik dengannya?

“Huh! Mesti ada udang di sebalik mihun…” teka Mira Maira.

“Aku takkan biarkan… cukuplah selama berbelas tahun aku menahan rasa, menahan perasaan. Aku takkan biarkan orang senang lenang mengeji diri aku, apatah lagi dalam soal cinta.” Itulah tekadnya. Mira Maira melepaskan keluhannya.

PUAS dia melayan perasaan, akhirnya dia terlelap juga. Sedar-sedar bila dia terdengar sayup-sayup orang mengetuk pintu biliknya. Berkali-kali dia cuba membuka mata, namun rasa kantuknya itu tidak dapat dilawan.

“Mira… Mira…” berkali-kali namanya diseru. Suara tua itu sesekali batuk.

Dengan malas, Mira bangkit juga. Wajah tua atuknya dipandang sebaik sahaja pintu terkuak. Matanya kuyu sahaja.

“Lamanya Mira tidur. Dah makan?” soal atuknya lembut. Mira Maira mengangguk.

“Bila masa Mira makan? Atuk tengok nasi dan lauk tidak luakpun.”

“Tadi balik daripada sekolah Mira makan dengan Syazana kat KFC. Maaf atuk tak bagitau atuk. Penat sangat.” Sebolehnya dia tidak mahu menyakiti hati atuknya itu.

“Tak mengapalah. Pergilah mandi dulu. Jangan lupa solat dan mengaji,” pesan atuknya.

Mira Maira mengangguk sahaja walaupun ketika itu dia mendapat pelepasan cuti untuk melakukan rukun Islam yang kedua itu. Biarpun tengah datang bulan, amalan dan zikir tidak pernah dilupakan.

Sepertimana yang telah diterangkan oleh ustazahnya, “ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas, seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran.

Antara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifasadalah berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran,. beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Berselawat kepada Nabi. Mendengar bacaan al-Quran. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid). Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik). Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis dan Bersedekah.

Mira Maira menutup pintu sebaik sahaja atuknya berlalu pergi. Dicapainya tuala yang tersangkut di belakang pintu. Biasalah rumah kampung, buat ampaian tali lebih menjimatkan ruang.

Setelah itu, dia melangkah ke ruangan dapur. Segera dia melangkah ke bilik air. Air yang datangnya dari kolah besar di luar bilik air membuatkan kadangkala dia rasa tidak sanggup hendak menyentuh air. Sumber air pula atuknya sanggup menadah air hujan. Jaring dipasang di atas kolah besar itu. Paip digunakan hanya untuk memasak.

Menurut kata atuknya, air asli sejuk dan menyihatkan badan. Memang benar, apabila mandi di waktu dinihari terasa sejuk sehingga ke tulang hitam. Apatah lagi ketika hari hujan.

Entah bagaimanalah penerimaan suaminya nanti. Hah! Suami? Baru dia teringat dia kini sudah pun bersuami…




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Jangan Pandang Sebelah Mata, Bro! 1”
  1. Assalamualaikum semua…

    Jom dapatkan novel ni di pasaran….

  2. kak ana says:

    ada karya baru… akak mmg suka cerita mcm ni….hehe

  3. iyn says:

    salam…how i can get this novel through online……really want get it..thanks…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"