Novel : Kerana Mahalnya Syurga 1

7 October 2013  
Kategori: Novel

4,780 bacaan 6 ulasan

Oleh : Imi Hafimi

PROLOG

KALAU dilihat dengan mata kasar, boleh dikatakan tidak ada cacat-celanya dalam keluarga Tuan Honghui. Mereka sekeluarga hidup bahagia walaupun keadaan kesihatan Tuan Honghui agak membimbangkan sejak akhir-akhir ini terutama sekali penyakit darah tinggi yang dihidapinya. Namun, mereka berempat tetap bahagia dengan usikan dan gurauan mesra sementelah mereka sendiri banyak menghabiskan masa di rumah meskipun masing-masing sibuk dengan urusan syarikat. Sehinggalah tiang kebahagiaan itu condong sedikit sewaktu satu ‘musibah’ menimpa anak sulung Tuan Honghui, Raymond…

1

MALAM itu, seperti biasa, setelah menghabiskan masa dengan keluarga, bergelak ketawa dan makan malam bersama-sama, Raymond akan meminta diri untuk ke kelab malam terkemuka yang terletak di tengah-tengah kota. Dia sudah terbayang-bayang liuk-lentok tubuh penari-penari di situ. Begitulah cara hidup Raymond. Walaupun keluarga tetap diutamakan dan tetap menjadi kepentingannya, dia masih ingin mencari hiburan di luar. Hiburan yang dapat memuaskan nafsu dan darah mudanya. Itu yang tiada di dalam rumah agam ibu bapanya!

Siapa yang tak kenal dengan sifat buaya darat Raymond yang kerap bertukar-tukar teman wanita. Habis madu sepah dibuang. Bila dah dapat perempuan yang cantik sikit daripada teman wanitanya, begitu sahaja dia akan meninggalkan teman wanitanya itu terkontang-kanting tanpa memberikan kata putus.

Dulu, pernah juga sekali dua dia diberikan amaran. Dan pernah sekali dia bertumbuk sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Tapi nampaknya… dia memang tak pernah serik. Malah, perangai buruknya itu semakin menjadi-jadi. Kali ini lebih teruk lagi. Dia semakin berani melayan teman-teman wanitanya sehinggakan ada di kalangan mereka yang dibawa hingga ke dalam bilik. Apa lagi yang dilakukan kalau bukan membiakkan nafsu serakahnya pada perempuan-perempuan yang boleh dibeli dengan wang ringgit.

Seperti yang Raymond sendiri mahukan, malam ini dia mabuk lagi. Namun, dia masih mampu memandu keretanya pulang sendiri ke rumah. Cuma malam itu, dia sengaja memarkirkan keretanya agak jauh dari banglo kediaman keluarganya. Tidak sanggup rasanya untuk mendengar leteran adiknya Alex yang tentu sekali akan memarahinya seperti malam-malam sebelumnya. Adiknya Alex memang tidak pernah suka dengan cara hidup yang diamalkannya! Alex yang jauh lebih matang dari cara dia berfikir. Alex yang tidak gemarkan kehidupan bersosial, dan Alex yang sentiasa tenang dan sangat sukar untuk dibeli dengan kejelitaan mana-mana perempuan. Itulah Alex..

Tapi… kalaulah awal-awal lagi Raymond tahu ada sekumpulan lelaki sedang mengintipnya, tentu dia jauh lebih sanggup mendengar leteran adiknya daripada dipukul oleh sekumpulan lelaki yang datang bukan sahaja membawa dendam. Dibawa sekali peralatan-peralatan yang berbahaya untuk mencederakannya. Raymond langsung tidak sedar sejak bila mereka mengekorinya. Tahu-tahu sahaja, sebuah kereta berwarna gelap sudah tersadai di satu sudut gelap berhampiran lalang-lalang yang tumbuh tinggi di lereng bukit hadapan banglo Tuan Honghui. Bukit yang menjadi lambang kemegahan banglo mewah yang berdiri tegap dan sasa di atasnya.

Teruk Raymond dibelasah sehinggakan dia tersungkur ke atas tanah. Tak sampai seminit, mukanya sudah berlumuran dengan darah. Badannya lemah, langsung tidak berdaya untuk melindungi dirinya sendiri, apatah lagi untuk melawan. Nak menjerit pun, dia bagaikan tidak terdaya setelah memandangkan rahang yang telah dipijak-pijak dengan kuat dan tanpa belas. Tulang pipinya terasa seperti sudah hancur. Sehinggakan untuk mengerang melepaskan rasa sakit pun, dia terasa azab yang sangat pedih menyucuk-nyucuk ke seluruh muka. Darah yang mengalir terasa seperti simbahan asid yang menghancurkan setiap inci kulitnya.

Saat ini, Raymond hanya membayangkan kematian yang bakal meragut nyawanya, mungkin dalam beberapa minit sahaja lagi. Mana tidaknya, daripada lebih kurang sepuluh lelaki yang datang menyerangnya, tidak ada satu pun yang ingin melepaskan peluang daripada berterusan membelasahnya tanpa belas kasihan.

Itu bagi dirinya. Namun bagi TUHAN yang masih ingin memanjangkan usianya dan masih ingin memberi peluang padanya supaya bertaubat, dia akhirnya telah diselamatkan. Dia sendiri tidak menduga yang dia masih diberikan peluang untuk hidup sedangkan dari tadi hatinya meronta-ronta meminta agar tuhan mengampunkannya.

Raymond tercengang dan terpegun buat seketika. Dia bersa sangat pelik melihatkan sekumpulan lelaki yang membelasahnya tadi kelam-kabut melarikan diri. Bahkan ada di antara mereka yang meraung ketakutan seperti terkena histeria.

Raymond cuba mengangkatkan sedikit dadanya walaupun terasa berat supaya dia dapat melihat gerangan yang terlalu digeruni oleh sekumpulan lelaki gangster yang bertubuh besar tadi. Anehnya, dia langsung tidak dapat melihat sesiapa di sekelilingnya melainkan seorang perempuan yang berjubah dan bertudung labuh, yang sedang menghadiahkan satu senyuman kepadanya.

‘Takkanlah perempuan itu yang mereka takutkan sangat? Wajahnya bercahaya, redup dan begitu menenangkan sekali. Cuma ada sebuah buku tebal di tangan perempuan itu. Mungkin sebuah kitab suci. Tapi, siapa gerangan perempuan tu? Apa kuasa yang ada padanya sehinggakan mereka semua berlari ketakutan meninggalkan tempat ini?’

SUDAH seminggu kejadian itu berlaku dan sudah seminggu juga Raymond menghalang dirinya sendiri daripada berkunjung ke kelab-kelab malam. Sepanjang masa Raymond lebih banyak terperuk di dalam bilik, menghabiskan setiap waktu yang berlalu dengan berkhayal dan bermenung. Walaupun seisi keluarga pelik dengan perubahannya, namun masing-masing kelihatan gembira dan bersyukur sekali. Memang sepanjang minggu ini, Raymond memang langsung tak pernah keluar dari rumah. Jangankan ke kelab malam, ke kedai kopi yang menjadi port kegemarannya pun dia sudah tidak sudi singgah. Di dalam bilik saja lah dia sepanjang masa. Apalagi yang difikirkan kalau bukan perempuan misteri yang telah membantunya malam tempoh hari. Lebih aneh lagi bila memikirkan sepuluh lelaki bertubuh sasa yang membelasahnya malam tersebut telah datang menemuinya semata-mata untuk meminta maaf. Bahkan ada di antara mereka sampai sanggup sujud di hadapan kakinya.. Pelik!

Bila ditanya pada salah seorang pada meraka, tidak ada seorang pun yang sanggup menjawab. Masing-masing kelihatan takut untuk mengenang kembali apa yang ternampak pada mata mereka pada malam itu.

Setelah didesak, barulah salah seorang daripada mereka membongkarkannya.

“Perempuan bertudung labuh tu…” Berpeluh-peluh dahi lelaki bertatoo di bahu itu sewaktu mula ingin bercerita.

“Kenapa dengan perempuan bertudung labuh tu?” Raymond mengerutkan dahinya. Suaranya mendesak.

“Kami semua nampak, ada beratus-ratus ekor singa kat belakang perempuan tu. Semuanya bersedia untuk mambaham kami!” beritahu salah seorang daripada mereka yang bertubuh tegap dan lebar itu. Sementara yang lain mengangguk-anggukkan kepalanya, masih dengan ketakutan yang sama. Ketakutan yang tidak pudar walau sedikit pun.

Dan itulah yang Raymond fikirkan hingga ke saat ini. Kenyataan mereka nampaknya masih tidak mampu meleraikan kerungsingan yang bersarang di fikirannya. Bahkan, Raymond menjadi semakin rungsing. Nak tergelak pun ada dengan kenyataan mereka. Dari mana pula datangnya singa-singa tu? Tapi, kalau fikir logik akal, takkanlah semudah itu sekumpulan lelaki tadi melepaskannya daripada dibelasah sedangkan dia sudah terlanjur ‘membuntingkan’ adik perempuan kepada salah seorang daripada mereka?

Raymond tahu… Dia perlu mencari jawapannya secepat mungkin!

LALU, bermulalah ‘penyiasatan’ Raymond dalam mengintip pergerakan perempuan misteri bertudung labuh itu. Sehingga ke hari ini, agak banyak juga maklumat berkenaan perempuan misteri itu yang telah dikumpulnya. Nama perempuan tersebut, Umi Zafwa binti Haji Dahrim. Seorang ustazah muda yang tugasnya mengajar di sekolah rendah dan di sebelah malamnya pula, Umi Zafwa akan mengajar kanak-kanak mengaji di dalam dewan yang terletak di pinggir kampung. Sebuah kampung yang jauh dari arus kemodenan. Sekadar hanya mampu menyediakan dewan kecil yang lantai dan dindingnya adalah papan-papan kayu, lebih kurang sama sahaja besarnya dengan rumah Tok Penghulu.

Sejak itu, Raymond banyak mengikuti kelas mengaji yang dianjurkan oleh Umi Zafwa. Seperti biasa, dia akan mengintai dari celah-celah pintu dan dengan telinga yang terpasang, dia akan terus mendengar suara lunak Umi Zafwa dalam mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Dia benar-benar terpukau! Sejak itu, Raymond dah mula rasa lain macam.

Kepalanya terasa seperti diusap-usap. Dingin. Ubun-ubun kepalanya terasa sejuk dan segarnya dapat dirasakan meresap hingga ke dalam kepala. Ke dalam hatinya juga…

Bagaikan ada suatu kuasa ajaib yang telah mengheret kaki Raymond untuk tidak ketinggalan menyertai kanak-kanak yang lain untuk mendengar suara lunak Umi Zafwa seperti biasa. Namun, malam itu Umi Zafwa tidak pula mengaji seperti selalu. Sakit tekakkah dia? Atau dia dah perasan yang aku selalu intai dia?

Malam-malam berikutnya pun, Umi Zafwa tidak mengaji seperti selalu. Selalunya, di awal-awal kelas, Umi Zafwa akan mengaji ‘bahagiannya’ terlebih dahulu sebelum dia menumpukan perhatian pada anak-anak didiknya seramai lebih kurang 17 orang itu. Tapi sejak beberapa hari kebelangan ini, Umi Zafwa sudah tidak mengaji lagi. Sebaliknya, Umi Zafwa berceramah tentang agama yang menjadi pegangannya.

Raymond mula bosan dengan ceramah yang dianjurkan oleh Umi Zafwa. Namun, bagaikan ada satu seruan yang mengajaknya untuk terus mengikuti dan mendengar ‘kuliah’ yang Umi Zafwa anjurkan sehinggalah ‘seruan’ itu mengubah segala-galanya. Termasuklah mengubah fahaman dan pegangannya selama ini. Raymond kini telah pun menukar agamanya. Dia kini sudahpun memeluk Islam setelah hatinya tidak mampu lagi untuk menafikan kebesaran ALLAH melalui ayat suci al-QURAN yang telah diturunkanNYA.

Seperti biasa, sebelum mengajar anak-anak mengaji, Umi Zafwa sentiasa menyelitkan kisah-kisah Nabi yang pernah dibacanya.

“Pada zaman dahulu ada seorang dari Bani Israil yang merupakan umat nabi Musa bertanya, “Wahai Musa, apakah Tuhanmu tidur?” Senyuman Umi Zafwa sentiasa menghiasi bibirnya sewaktu melihat keterujaan kanak-kanak di hadapan melihat dan mendengar dia bercerita.

“Takutlah kalian semua kepada Allah SWT.” Itu sahaja yang mampu dijawab oleh Nabi Musa.

Oleh kerana yang bertanya itu tadi tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, maka dia pun mendesak Nabi Musa supaya membuktikannya.

Tidak lama kemudian Nabi Musa diturunkan sebuah wahyu, “Wahai Musa, mereka telah bertanya kepadamu apakah Tuhanmu tidur? Maka ambillah dua botol kaca, lalu peganglah dua botol kaca itu pada waktu malam hari.”

Sehinggalah malam menjelma, Nabi Musa pun kemudiannya mengambil dua botol kaca dan memegang dengan kedua belah tangannya. Dalam beberapa saat, Nabi Musa masih mampu memegang botol-botol tersebut. Sehinggalah Nabi Musa berasa mengantuk, kedua botol yang dipegangnya hampir saja jatuh menimpa kedua belah kakinya.

“Namun begitu, Nabi Musa tetap menahan rasa mengantuk itu dan masih berjaya menyelamatkan kedua-dua botol tadi agar tidak jatuh terhempas. Kemudian nabi Musa memegangnya kembali sehinggalah menjelangnya pagi. Tapi kali ini, Nabi Musa gagal menahan rasa mengantuk dan akhirnya Nabi Musa pun tertidur lalu secara automatiknya, kedua botol yang dipegangnya pun pecah berderaian setelah jatuh terhempas ke atas lantai. Untuk itu, Allah pun berfirman kepada Nabi Musa, “Wahai Musa, seandainya aku tidur, nescaya langit akan jatuh menimpa bumi dan akan terjadi kehancuran seperti hancurnya kedua botol itu.”

Itulah antara kenyataan logik akal yang tidak dapat disangkalkan lagi, yang membuatkan Raymond semakin berminat untuk mendalami agama Islam. Ya, Allah itu tidak pernah tidur dan sentiasa ada untuk menjaga seluruh isi dunia serta penghuni di dalamnya. Dia percaya dan yakin tentang itu.

Hasilnya, kini Raymond sudah pun memeluk agama suci itu dengan galakan dan sokongan yang diberikan oleh Umi Zafwa sendiri, yang juga sudah bergelar sahabatnya…

SEGALA urusan pertukaran agama Raymond, Umi Zafwa sendiri yang uruskan. Di hadapan seorang imam di Jabatan Agama Islam tadi, Raymond mengucap dua kalimah syahadah meskipun kedengaran ‘pelat’ dan tersekat-sekat. Imam yang menguruskannya pun tidak dapat menahan gelak namun tetap memberikan semangat dan kata-kata nasihat buat Raymond.

Imam tersebut juga telah mencadangkan Raymond untuk pergi ke Institut Dakwah Islamiah PERKIM kerana di situ Raymond tentu akan dapat mendalami ajaran Islam dengan lebih dekat dan lebih baik lagi. Raymond yang kelihatan teruja terus mengangguk setuju tanpa banyak soal.

“Tak lama lagi awak akan berangkat ke Pengkalan Chepa. Awak dah bersedia untuk berterus terang dengan ibu bapa awak?” Umi Zafwa tersenyum sewaktu mengajukan soalan itu. Dia sendiri sebenarnya tidak sabar untuk mengetahui reaksi kedua ibu bapa Raymond. Tentu mereka gembira melihat perubahan anaknya.

“Entahlah… Saya masih tidak cukup kuat untuk melakukan semua tu.” Raymond bercakap dalam Bahasa Melayu yang formal memandangkan dia tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

Ada keluhan lemah yang terbit lewat bibirnya. Selemah matahari yang redup cahaya petang yang mendamaikan itu. Tidak begitu terik walaupun di tengah-tengah rembang begini. Patutlah ramai anak-anak kampung yang bermandi-manda di laut yang terbentang di hadapan mereka ketika ini.

“Awak tak perlu takut, Raymond. Percayalah cakap saya, ibu bapa awak tentu akan bangga dengan awak. Islam dan hidayah Allah telah mengubah awak menjadi manusia yang lebih baik. Jadi, saya yakin, walaupun kemungkinan besar ibu bapa awak terkilan dengan keputusan awak, tapi mereka tetap dapat menerimanya dengan baik. Ibu bapa mana yang tak gembira melihat anak mereka berubah ke arah kebaikan. Sekurang-kurangnya awak dah berubah menjadi manusia yang berguna, yang masih berpeluang untuk membanggakan mereka!” yakini Umi Zafwa dengan bersungguh-sungguh sekali. Sambil itu dia melabuhkan duduknya di atas tunggul kayu yang sudah mereput entah sudah berapa lama tertenggek di tepi pantai kampung itu. Sengaja dia meletakkan batas di tengah-tengah tunggul dan duduk dalam jarak yang jauh supaya tidak menimbulkan fitnah daripada orang-orang kampung.

Raymond mengeluh. Hurmm… Memang mudah kalau jadi manusia yang lurus dan polos macam Umi Zafwa ni.
Umi Zafwa memang begitu. Dia tidak pernah berburuk sangka pada orang lain. Dia juga tidak pernah memikirkan sebarang risiko atas sesuatu tindakan kerana baginya, setiap detik yang dijalani adalah ujian. Nak tak nak, kena lalui!

Baginya, ibu bapa Raymond tentu akan berbangga melihat anak sulungnya itu berubah menjadi manusia yang lebih baik setelah memeluk Islam tetapi dia tidak pernah memikirkan penerimaan ibu bapa Raymond dalam erti kata yang sebenar.

Pada Umi, setiap ibu bapa tentu akan gembira melihat anaknya gembira dan berubah menjadi manusia berguna. Itu saja yang difikirkannya.

‘Umi oh Umi… Dalam ilmu yang penuh kat dalam dada awak tu, kenapalah awak boleh menjadi selurus ini?’

Raymond mengeluh lagi bersama fikirannya yang jauh hanyut. Kemudian, dia membuang pandangannya jauh ke hadapan, ke tengah-tengah laut yang sedang sibuk ‘dikerjakan’ oleh para nelayan. Lama dia termenung, memikirkan bagaimana caranya untuk dia menjelaskan kepada kedua ibu bapanya. Malah, hati adiknya juga perlu dijaga memandangkan Alex terlalu menyayanginya. Tentu Alex akan kecewa bila dapat tahu abangnya ini sudah pun menukar agamanya.

Alex… seorang yang terlalu kuat berpegang pada agamnya. Mampukah Alex menerima penghijrahannya ini?

SETELAH menimbang-nimbang dengan baik, siap sekali dengan strategi, Raymond nampaknya sudah bersedia untuk berterus-terang dengan keluarganya tentang ‘penghijrahan’ agama yang dilakukannya. Dia tak kira! Malam ni, apa nak jadi, jadilah… Dia sudah betul-betul bersedia dan sudah kumpulkan semangat dan kekuatan yang ada. Mudah-mudahan, urusannya dipermudahkan. Insya-ALLAH…

“Hah Raymond… Tadi kamu kata, ada perkara penting yang kamu nak bagitahu…”

Belum apa-apa, tubuh Raymond sudah menggigil kesejukan walhal dia masih belum membuat sebarang pengakuan di hadapan keluarganya. Namun, menyedari setiap pasang mata di ruang makan itu sedang menala ke arahnya, dia jadi serba tidak kena. Semangat dan kekuatan yang telah berminggu dikumpulnya terus lenyap, hilang hanya dalam sekelip mata. Yang tinggal hanya debaran yang gagah menendang-nendang dadanya hingga sesak.

Ayat yang telah disusun pincang dan berterabur entah ke mana. Dia seperti hilang ingatan hingga akhirnya memaksa dia berterus-terang tanpa sebarang mukhadimah di awal bicaranya. Dengan harapan, dia tidak perlu menanggung debaran yang semakin menyakitkan ini.

“Raymond dah tinggalkan agama kita. Raymond dah peluk Islam…”

Pengakuan itulah yang telah merubah segala yang pernah wujud di dalam keluarga Tuan Honghui. Pengakuan yang sekelip mata merenggut kebahagiaan mereka sekeluarga. Pengakuan yang hanya menyeru pada ‘musibah’ dan kebencian yang tak terhitung!




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Kerana Mahalnya Syurga 1”
  1. Rose says:

    umi zafwa yg tabah…
    cerita yg sgt sedih dan sangat menarik….

  2. huarggghhh!! cambest je novel ni… intro dah best dah…
    kne beli ni…
    tp nama alex tu dah common…
    novel perempuan lindungan kaabah pn ade gna nama alex jgk…
    *jika cik/puan writer novel ini terbaca, jgn marah… ini personal view sy je… sy yg tak suka nama alex sbnrnye… no harm done… chill…*

  3. Ratu hatimu says:

    Suka jalan ceritanya walaupun baru bhg.1 .. Rasa nak dapatkan segera buku ni..

  4. yeah! dah beli petang semalam!! *muka excited*
    tp blm ada kesempatan utk bace… *looking forward*
    insya Allah weekends ni boleh start baca :D

  5. nor says:

    waaaaa….apasal alex kejam sgt…ada kelainan sbb penulisnyA lelaki kot…
    apa2 sebuah karya yg menarik…walaupn kejammm….

  6. aimi says:

    apa ending novel ni?
    please….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"