Cerpen : Ibu!!!

14 November 2013  
Kategori: Cerpen

14,501 bacaan 21 ulasan

Oleh : S. Hana AK

Namaku Nur Jannah. Panggil sahaja saya dengan nama Hana. Saya ditakdirkan untuk menulis kisah ini untuk tatapan kalian semua kerana di waktu itu aku bersama-sama dengannya sedang meningkat dewasa. Saya bukan bermaksud mahu mengaibkan tetapi kerana saya berasa kisahnya dengan ibuku sangat memberi pengajaran kepada kalian semua. Kalian yang tahu memikirkan apa itu nilai dan mesej. Kalian tahu apa itu dendam dan kasih sayang. Kalian tahu apa itu tekanan dan ketenangan. Kalian juga tahu apa itu keburukan dan kebaikan bukan? Jadi di sini, saya hanya mampu memberi sedikit pesanan, selamilah coretan saya di bawah sebaik mungkin. Hayati dan fahamilah. Jadikan ia sebagai satu peringatan kepada kalian semua. Kalian mahu tahu apa kisahnya. Nah, inilah kisah saudaraku dan kehidupannya.

Namaku Daniel. Mohamad Daniel. Aku merupakan anak keenam dari bilangan adik- beradikku. Sebelum aku, ada lima orang lagi kakak dan abangku dan selepas aku ada tujuh lagi adik-adik yang menyusulku kemudian untuk melihat dunia yang indah ini.

Kamu pernah mendengar ayat ini ‘dendam seorang anak?’ Ayat ini selalunya dilafazkan oleh anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang dari keluarganya terutama ibu dan ayahnya. Ya, inilah yang berlaku dalam diriku. Kerana penderitaanku inilah aku berdendam dengan ibuku sendiri. Ibuku sendiri, bukan orang lain. Kamu mahu tahu bagaimana dendam yang sekian lama tumbuh dalam diriku ini kuaplikasikannya dalam kehidupanku? Biar aku ceritakan lagi. Bacalah jika anda mahu membacanya. Kalau bosan dan tidak sanggup untuk meneruskan pembacaan, hentikanlah pembacaan anda itu kerana aku tidak memaksa kalian untuk mendengar ceritaku yang panjang lebar ini.

Ibu melahirkan aku di suatu subuh yang bening. Tiada kicauan beburung. Tiada kilauan cahaya bulan. Juga tiada siulan para cengkerik. Yang ada masa itu adalah bunyi deburan hujan yang silih berganti melebarkan air matanya di atas atap dan halaman rumah kami yang serba menghijau dengan subur. Seorang bidan tua kampungku dipanggil oleh ayah untuk membantu ibu mengeluarkan aku dari rahimnya. Aku tidak tahu bagaimana kisah aku dilahirkan. Yang aku tahu aku selamat dilahirkan dengan izin-Nya. Cuma apa yang ibuku beritahu aku, ibu terpaksa memberikan aku air sejuk sebagai ganti susu ibu yang tidak boleh keluar. setelah aku genap berusia dua minggu. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana ibu menderita menahan kesakitan apabila susu badannya tidak boleh dikeluarkan sebagaimana lazimnya seorang ibu memberikan anaknya menyusu badan.

Adakah ini adalah punca mengapa aku membenci ibuku? Oh tidak! Bukan kerana ini. Bacalah kisahku ini sehingga habis jika mahu mengetahui apa, kenapa, mengapa dan bagaimana. Jika tidak mahu menghabiskannya, tidak mengapa. Hentikan setakat di sini sahaja pembacaan anda semua. Tapi aku tetap akan meneruskan kisahku. Aku tidak nafikan, ketika kecil aku memang nakal. Selalu tidak mendengar nasihat kedua orang tuaku tapi itu tidak bermakna aku anak yang degil dan jahat. Ibu dan ayahku juga perlu disalahkan dalam memberi didikkan kehidupan kepadaku. Ayahku sesungguhnya bersifat pilih kasih dalam memberikan kasih sayangnya terhadap anak-anaknya terutama aku. Sebagai anak tengah aku dikira sebagai anak yang tidak diinginkan untuk hidup di dunia ini. Ibu juga kurasa pilih kasih dalam mencurahkan kasihnya kepadaku dan abang-abang dan kakak-kakaku.

Masih terpahat di ingatanku bagaimana aku tidak diberi makan selama sehari hanya kerana kesalahan kecil. Kala itu aku masih budak-budak yang hanya tahu bermain, makan, minum dan tidur. Itu sahaja. Walaupun aku cuba meminta dikasihani supaya aku dapat makan tetapi sedikitpun ibu dan ayah tidak mengendahkan aku. Aku hanya menangis dalam bilik. Malamnya pula barulah aku dapat menikmati sedikit makanan yang diberikan oleh abangku secara senyap-senyap. Saat itu aku berasa badanku yang lemah dan kurang zat kembali bertenaga. Bukan ini sahaja yang membuatkan aku berdendam dengan ibuku dan ayahku tetapi kerana banyak sebab dan salah satunya aku pernah dirotan sehingga aku hampir mati lemas akbiat kerakusan ayah membelasahku dengan kayu api. Ceritanya aku dituduh mencuri duit kocek ibu bernilai 20 sen di almarinya. Ibu memberitahu ayah tentang itu dan badanku luka teruk dipukul ayah. Lukaku dibiarkan begitu sahaja tanpa diubati. Hampir tiap minit aku merintih kesakitan dan hanya kakakku dan abangku sahaja yang menjadi tempatku mengadu.

Kehidupanku yang tidak pernah aman membuatkan aku meniti usia remajaku dengan hati yang penuh kental, keras, dan dendam yang tidak pernah surut sehingga terkadang aku berdoa agar ibu atau ayahku mati cepat supaya aku dan adik beradikku yang lain akan hidup selamat. Habis sahaja SPM aku terus meninggalkan kampung dan berhijrah ke bandar. Aku masih ingat bagaimana wajah ibu saat aku meninggalkan rumah. Di sebalik selendang yang dipakai ibu, aku lihat setitis dua titis air matanya gugur membasahi pipinya yang berkedut di sana sini.

“ Jangan lupa balik selalu Daen.” Itulah pertama kali aku mendengar ibu mengucapkan kata-kata berupa mengambil berat terhadap anaknya selama ini walaupun berkias tapi aku tahu maksud ibu. Aku hanya tersenyum.

“ Saya pergi dulu mak. Insya Allah, saya akan selalu balik.” Janjiku pada ibu hanya tinggal janji. Aku tidak pernah menepati janji yang kubuat itu.

Suatu hari, hari yang dingin, hari yang sejuk tapi hari yang panas bagiku, ibuku jatuh sakit. Sakit dalaman. Kata doktor kerana ketumbuhan dalam organ dalaman. Ketumbuhan mana aku tidak tahu. Aku memang tidak mahu meminta doktor itu memberitahuku. Ini adalah bibit-bibit protes sekaligus dendamku yang pertama terhadap wanita yang melahirkan aku ini selama sembilan bukan sepuluh hari. Semakin hari keadaan ibu semakin tenat dan ibu hanya terlantar di katil hospital selama berbulan-bulan. Malah penyakitnya juga semakin merebak dan tidak dapat diselamatkan. Namun aku kagum dengan ibuku, ibu masih mampu melawan penyakit yang dihadapinya. Di sebalik kekagumanku itu dendamku terhadapnya masih tidak dapat dihapuskan walaupun hampir setiap hari aku melihat wajah kedut ibu menahan kesakitannya.

Suatu hari, selang seminggu selepas tarikh perkahwinanku dengan isteri tersayangku, aku dan isteri mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan untuk ke bandar, membeli belah. Isteriku selamat tetapi aku pula koma beberapa hari di hospital. Sepanjang perjalanan rohku ke alam lain ibu dan ayah mentua bersama-sama dengan isteriku bergilir-gilir menjagaku siang dan malam kerana akulah menantu mereka yang sulung. Aku menantu kesayangan. Dalam keadaan koma itulah, gemulah ibuku mendatangiku. Wajah kedutnya sama seperti dulu. Ibuku pelahan-lahan berjalan ke arahku kemudian duduk di sebelahku. Kulihat wajahnya suram, sesuram keadaan bilik hospital ini. Tangannya mengenggam kedua tanganku beberapa detik kemudian dengan pelahan-lahan ibu mengusap lembut ubun-ubun kepalaku. Aku dibelai seperti bayi beberapa waktu. Di mata ibu kelihatan sedikit genangan air namun tidak keluar dari kolamnya. Saat itulah aku berasa satu perasaan aneh menghuni hatiku, menghapuskan sekaligus menggantikan segala perasaan dendam kesumatku selama ini terhadap orang tua di sebelahku ini. Serta merta air mataku keluar.

“Ibu?” hanya satu perkataan yang keluar dari bibirku tika itu. Ibu hanya mengangguk sambil tangannya masih membelai lembut kepalaku. Kulihat wajah ibu masih suram, senyuman manis juga tidak menghiasi bibirnya. Yang ada hanyalah genangan air mata disebalik kolam matanya yang bening dan suram. Aku terkedu, tidak mampu berbuat apa-apa. Seketika kemudian ibu pelahan-lahan meninggalkan aku tanpa ada sebarang pesanan atau ungkapan sayang serta dorongan dari seorang ibu terhadap anaknya yang sedang menangung derita. Aku mahu memanggilnya agar jangan meninggalkan aku tetapi suaraku bagaikan tersekat di kerongkong sehinggalah ibu menghilang di sebalik pintu.

Tiba-tiba aku tesedak, aku kembali sedar dari koma. Kulihat isteri, ayah dan ibu mentuaku ada di sisi sambil memerhatikan aku. Aku cuba bersuara tetapi suaraku tidak keluar. Aku berusaha lagi untuk bersuara dengan mereka namun aku tidak mampu bercakap. Ya Allah, saat inilah aku berasa satu perasaan takut menguasaiku. Serta merta wajah ibu terbayang di ruang mataku. Aku terkenangkan segala perbuatanku terhadapnya. Aku menangis namun aku tidak dapat melafazkan tangisanku, yang ada hanyalah air mataku yang tidak berhenti-henti mengalir membasahi pipi. Suara dan tangisanku tidak mampu mereka dengar. Ibu mentuaku hanya melihatku dengan hairan.

“ Daniel?” ucap ibu mentuaku.

“ Abang? Kenapa ni?” isteriku pula menyampuk hairan melihat gelagatku. Serta merta aku memeluk erat ibu mentuaku dan saat inilah tiba-tiba tangisanku pecah memenuhi seluruh ruang bilik hospital. Suara tangisanku kedengaran di segenap bilik sehinggakan pesakit lain mendengar dan memandang ke arah kami. Ibu mentuaku juga turut memelukku sambil mengenangkan aku yang sedang menangis dalam pelukannya. Saat itu aku bagaikan anak kecil yang baru lahir dan mahu disusui. Ketika ini perasaanku saling bercampur baur. Aku berdosa dengan ibuku. Aku berdosa dengan Allah SWT. Sesungguhnya aku telah menderhaka terhadap ibuku tanpa sedar.

“ Ibu, ampunkan Daniel ibu. Daniel berdosa kepada ibu. Ya Allah, berikanlah keampunan kepadaku. Aku menyesal, aku insaf kepada orang tuaku Ya Allah….” Hatiku bertalu-talu meminta keampunan dari gemulah ibuku dan Allah SWT dengan harapan ibu mendengar rintihan keampunan dariku. Aku tahu kenapa aku tidak boleh bersuara sebentar tadi kerana dosaku terhadap ibuku setinggi gunung. Aku terlalu mendendaminya sehingga sanggup melukakan hatinya sehinggalah kedatangan ibu dalam koma membuatkan aku sedar bahawa ibu masih menyayangiku walaupun apa yang aku buat padanya selama ini membuat batinnya menderita. Apakah ibu mengampunkan dosaku. Aku kembali bertanya pada diri sendiri.

“Kenapa Daniel? Sudahlah, jangan menangis, Daniel dah sedar. Alhamdullilah…bersyukurlah kepada Allah.” Kata ibu mentuaku dengan lembut sambil isteriku pula mengusap lembut bahuku. Ayah mentuaku pula hanya memerhatikan tingkah laku kami bertiga.

“ Daniel nak balik mak.” Jelasku sebaik sahaja aku melepaskan pelukanku. Ibu mentuaku merenungku seakan tidak percaya apa yang aku katakan.
“ Daniel tak usah balik rumah dulu, bila dah pulih betul-betul kami semua tidak keberatan nak ajak Daen balik ya.” Jawab ibu mentuaku sambil ayah dan isteriku mengangguk.

“ Daniel nak balik kampung Daniel mak.” Keteranganku mengejutkan mereka semua.

“ Kenapa? Kan Daniel baru sahaja balik minggu lalu.” Ujar ibu mentuaku.

“ ya Daen, kenapa cepat sangat nak balik ke sana. Bulan madu pun belum buat lagi…” ayah mentuaku pula menyampuk. Aku padang muka isteriku yang jelita. Isteriku hanya mendiamkan diri. Tidak berkata ‘ya’ mahupun ‘tidak’.

“ Daen mesti balik mak, ayah. Jika Ina tak ikut dia boleh duduk sini. Jaga mak dan ayah.” Aku masih tetap dengan keputusanku. Muktamad.”

“ hmmm, kalau begitu ayah tak boleh buat apa-apa. Daen dah buat keputusan, baliklah, ayah izinkan. Cuma tak tahu bagaimana dengan maknya.” Kata ayah mentuaku sambil menjeling ke arah isterinya.

“ uhhh, mak pun tak halang. Daen baliklah. Kalau boleh bawalah Ina sekali. Biar susah senang sama dirasa.” Izin ibu mentuaku. Aku menerimanya dengan rasa hati yang gembira. Aku memandang isteriku.

“ Ina nak ikut?” tanyaku kepadanya. Sebolehnya aku tidak mahu dia ikut bersama denganku balik ke kampung. Aku tidak mahu mereka tahu masalah yang melandaku selama ini. Biar masalah keluargaku diselesaikan sebaik mungkin tanpa kehadiran orang lain.

“ Ina nak ikut abang ke?” tanyaku lagi. Sekadar menjaga hati mereka bertiga padahal dalam hati ini mengharap agar isteriku itu tidak mahu pergi.

“ Tak apalah bang. Ina nak duduk sini, jaga mak dan ayah. Lagipun abang tak pergi lama sangat kan.” Penjelasan isteriku membuat hatiku gembira bukan kepalang. Aku senyum dalam hati.

“ InsyaAllah, abang tak akan lama di sana. Bila masalah selesai, abang akan balik sini secepat mungkin.” Jelasku dengan nada gembira.

Keluar sahaja dari hospital setelah berhari-hari berkurung di sana, aku terus mengemas pakaian dan balik ke kampung hari itu juga. Isteriku turut membantuku mengemas pakaian dan menemaniku hingga ke luar pagar dan masuk semula ke dalam rumah setelah aku berangkat pergi dengan teksi menuju ke stesen bas. Sementara menunggu bas fikiranku menereweng jauh, mengingati kenangan zaman kanak-kanak. Mengingati setiap perbuatan ibu dan ayah mendisiplinkan aku yang memang nakal kala itu. Seingat aku walau macam manapun kenakalanku namun aku tidaklah terlalu nakal tak bertempat tetapi ibu tetap melakukan suatu tindakan yang keterlaluan terhadapku berbanding dengan adik-beradikku yang lain. Hatiku cuba menimbang-nimbang kenapa ibu melakukan semua itu kepadaku, melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat.

“ Ibu?” desis hati kecilku bersama takungan air dalam kolam mata.

“ Ampunkan Daniel Ibu. Daniel terlalu berdendam dengan Ibu padahal mungkin apa yang Ibu lakukan pada Daniel ada sebabnya. Ya Allah, ampunilah dosa ibuku, sayangilah ibuku dan tempatkanlah ibuku dalam kalangan orang yang beriman.” setelah berpuluh tahun inilah kali pertama aku mendoakan kesejahteraan ibuku. Selama ini aku tidak pernah mendoakannya apatah lagi membacakan surah yasin kepadanya setiap kali solat sejak dia meninggal hinggalah saat ini. Hanya kerana satu sebab iaitu kerana dendam. Dendam kesumat telah merajai hatiku.

Ponnnn…ponnnn, bunyi pekikan bas menyedarkan aku ke alam realiti. Aku cepat-cepat beratur di depan pintu bersama beberapa orang lain yang juga mahu masuk ke dalam haiwan besar ini. Aku memilih tempat duduk yang strategi berdekatan dengan tingkap. Setelah berasa selesa, aku kembali menyambung menunganku tadi.

“ Kau keluar dari rumah ini, saya tak nak tengok muka kau.” Kata ibuku suatu hari sekembali aku dari rumah kawan-kawanku.

“ Ibu….” aku mengerutkan dahi, tidak mengerti mengapa ibu tiba-tiba menengkingku.

“ Ohh, hari ni baru balik ye, dah berapa hari tak balik rumah. Bagus tak payah balik langsung, menyusahkan aku saja. Pergi dari sini! Tak payah balik-balik lagi.” marah ibu kepadaku sebelum aku sempat melangkah masuk ke rumah. Masa itu aku melihat ibuku dengan baju T. Shirt dengan kain sarung sedang berdiri di depan pintu dengan wajah yang bengis. Aku memberanikan diri menentang wajah garang ibu. Semua adik-adikku hanya menikus melihat perang mulut antara kami berdua.

“ Ohh, baik, mak nak sangat saya pergi dari rumah ni ya. Ok, dengan senang hati saya akan pergi dari sini. Saya tak akan balik lagi.” ujarku. Serentak dengan itu aku berlari ke dapur dan mengambil beberapa bilah parang panjang hingga habis semua parang dalam rumah. Yang tinggal hanyalah sebuah parang pendek tapi besar. Tanpa membuang masa aku terus menuju keluar. Dalam keberanianku, ada juga perasaan takut lebih-lebih lagi aku mahu melarikan diri ke hutan.

“ Saya nak lari ke hutan Ibu. Biar mak tak dapat cari saya. Cakap dengan ayah, saya dah lari dan jangan cari saya lagi.” jelasku apabila ibu bertanya mengapa aku mengambil semua parang di rumah. Aku pandang wajah adik-adiku yang masih kecil dan tidak mengerti perasaan seorang anak yang sedang meningkat remaja seperti aku. Tanpa sepatah kata aku keluar dari rumah dengan beberapa buah parang dan beberapa helai baju. Saat itu aku tidak lagi pedulikan ibuku. Kebencianku terhadap ibu semakin mengunung.

Di hutan, aku hanya makan ubi kayu dan daun-daun pokok. Jika nampak kebun, pasti perkara pertama yang ada dalam ingatan ialah ubi kayu dan aku akan mengambilnya tanpa meminta keizinan dari pemilik. Perutku sentiasa lapar dan berangin disebabkan tidak makan nasi. Walaupun kadang-kadang aku teringatkan nasi di rumah tetapi ego dan rasa terkilanku terhadap perbuatan ibu masih bertunas dalam hati ini. Setiap kali aku teringatkan rumah, mesti wajah ibu yang bersemadi di fikiranku sehingga aku terlelap. Selama tiga hari aku menderita tinggal di hutan seorang diri, akhirnya aku balik juga ke rumah. Ku rasakan badanku lemah dan sakit-sakit akibat terlampau banyak berjalan dan hanya makan hasil-hasil hutan. Kepulanganku disambut oleh adik-adikku yang seronok dan gembira melihat kepulanganku. Ayahku hanya tersenyum manakala ibu masih tetap seperti biasa.

“ Letak pakaian di sana, biar ibu basuh.” Kata ibu apabila aku cuba membasuh bajuku sendiri petang itu selepas beberapa jam balik ke rumah. Aku mengikut arahannya.

“ Abang, tahu tak masa abang tiada di rumah selama tiga hari, ibu selalu tanya kami semua bila abang nak balik. Kenapa abang tak nak balik. Hari-hari ibu tengok di luar kalau-kalau abang balik.” Adik perempuan bongsuku memang tidak berahsia denganku.

“ Ya bang, semalam kan, ibu tunggu abang di beranda.” Beritahu adik lelaki bongsuku pula. Aku hanya tersenyum. Tidak berkata apa-apa. Malah kata-kata itu juga tidak sedikit pun meleburkan perasaan dendamku kepada ibu.

“ Jangan lagi lari rumah. Susahkan ibu dan ayah saja risaukan kamu.” Kata ayahku pula dan aku hanya mengiakan.

“ Waaaa…waaaa…waaaa” aku tersentak dari menungan apabila mendengar bunyi kuat bayi menangis di belakang. Aku menoleh. Kelihatan seorang perempuan muda separuh umur berusaha mententeramkan anaknya yang masih kecil. Tangan kanannya mengendong manakala tangan kirinya cuba menyuahkan botol susu ke bibir anaknya. Sambil itu bibirnya tidak berhenti berbunyi cuba mententeramkan anaknya.

“ Suhsssss…suhsssss” aku membayangkan wanita itu adalah ibuku.

“ Shusssss…shusssss” aku membayangkan bayi itu adalah diriku sendiri.

“ Shussss…Shussss.” bayi itu tiba-tiba berhenti menangis.

“ Ohhh, ibu…” aku tiba-tiba berasa sedih. Hatiku merintih menangis. Aku mahu cepat-cepat balik ke rumah. Kalau boleh aku mahu terbang jika itu mempercepatkan perjalananku yang masih jauh.

Selepas maghrib baru aku sampai ke kampung yang dihuni oleh kakakku, anak-anak saudara dan ayahku yang sudah uzur. Kemunculanku petang itu mengejutkan mereka semua.

“Kenapa kau tiba-tiba pulang ni Dean?” tanya kakakku. Hairan dengan kejutan yang kuhadiahkan pada mereka semua. Seperti biasa, aku hanya tersenyum. Tidak menjawab.

Selepas beberapa hari barulah aku menceritakan pada kakakku ketika ayah dan anak-anak saudaraku tiada di rumah. Semuanya ku ceritakan dengan kesedihan dan penyesalan dan kakakku menjadi pendengar setia.

“ Kakak tak sangka kau sanggup buat begini pada mak Dean. Kau sanggup pendamkan rasa dendam kau pada mak selama bertahun-tahun.” Tukas kakakku juga menangis bersama saat aku selesai menghabiskan ceritaku.

“ Saya menyesal kak. Saya tahu saya salah. Bila mak muncul di depan saya masa koma, baru saya sedar sikap saya selama ini memang salah. Mungkin itu balasan yang Allah berikan kepada saya untuk menyedarkan saya supaya tidak berdendam lagi dengan ibu kak.” Ucapku dengan hati yang masih bersisa dengan kesedihan.

“ Kau tidak sepatutnya membenci mak sampai begitu sekali Dean. Walau siapapun dia, syurga itu ada di telapak kaki ibu. Lebih-lebih lagi kau ini anak lelaki. Yang mengutamakan ibu selama-lamanya. Punyalah kami menunggu kau saat ibu mahu dikebumikan tapi rupanya kau sengaja pulang lambat. Sampai hati kau buat begini pada kami dan ibu. ”

“ Saya tahu salah kak, saya insaf. Apa yang boleh saya lakukan supaya ibu ampunkan segala kesalahan saya?”

“ Mintalah keampunan dari Allah, dan sedekahkan al-Fatihah kepada ibu. Jangan lupa juga berdoa untuknya. Mudah-mudah Allah akan tolong kau mengirimkan keampunanmu itu kepada ibu.” Terang kakakku. Aku mengesat air mata.

“ Ya, saya bertaubat. Saya langsung tidak mahu memahami makna antara marah, kasih, dan sayang ibu terhadap saya. Yang hanya ada di fikiran dan hati saya adalah dendam. Padahal marah ibu itu kerana kasih pada saya. Bebelan ibu itu kerana sayangnya ibu pada saya. oh ibu!” air mataku mengalir keluar. Kakakku memandang tepat ke arahku.

“ Apa lagi yang kau buat pada arwah ibu yang kakak tak tahu dik?” soalan itu membuatkan aku terkedu. Serta merta ingatanku kembali kepada suatu peristiwa yang membuatkan aku berasa ragu-ragu mahu menceritakan kepada kakakku atau tidak. Aku pura-pura memandang ke arah lain.

“ Ada yang kau masih sembunyikan pada kami kan?” desak kakakku lagi. Suasana sepi seketika. Aku cuba menggumpul kekuatan untuk menceritakannya kepada kakakku. Memang peristiwa itu sentiasa melekat di hati. Peristiwa yang disirami dengan dendam. Jika dendam penuh di dada, segala yang berlaku pasti akan teguh dan melekat keras di hati. Itulah yang aku rasakan ketika itu. Aku masih ingat saat ibu masih terlantar di hospital aku pernah menjaganya menggantikan kakak-kakak dan abang-abangku yang juga berasa letih dan mahu berehat setelah menjaga ibu yang sekian lama. Kala itulah aku memulakan boikotku pada ibu yang lemah tak terdaya dengan badan yang penuh wayar di kedua belah tangannya. Dendam yang sudah lama mengelegak kuluahkan ketika itu saat aku dan ibu tinggal berdua.

“ Dean, ibu nak makan. Tolong ambilkan makanan untuk ibu.”

Ayat pertama yang keluar dari bibir pucat ibu. Aku menurut permintaannya. Lantas tubuhku kusuakan ke arah jururawat yang sedang mengedarkan makanan kepada pesakit. Aku mengambil makanan dan kembali ke arah ibu. Aku memberikan nasi berlauk sayur itu kepada ibu. Ibu mengambilnya sambil badannya kududukkan. Ibu sangat berselera masa itu. Aku hanya memandang dengan hambar tanpa ada sedikit pun perasaan kasihan. Kasihku kepada ibu sudah hilang. Kasihanku pada ibu sudah musnah. Yang ada cuma rasa hormatku sebagai anaknya. Yang ada Cuma dendam yang semakin lama semakin membengkak dan terpahat kukuh di lubuk hatiku yang paling dalam. Dendam seorang anak kepada orang tuanya. Dendam seorang anak kepada seorang ibu yang melahirkan aku ke dunia ini.

“ Dean, sayur ni tawar. Ibu tak lalu makan. Ambilkan kuih ibu dalam laci tu. Ibu nak makan.” Kata ibu Kepadaku sambil jari telunjukkanya menunjuk ke arah sebuah almari kecil di tepi dinding.

“ Ada-ada saja orang tua ni.” aku merungut dalam hati. Segara ku buka laci lantas mengambil sebungkus kuih bulan yang masih belum diusik. Aku merenung mata kuyu dan wajah pucat ibu. Rambut ibu yang nipis seperti rambut adikku, Suhana melekat di dahi ibu yang berpeluh. Bibirku tersenyum. Aku mendekati ibu.

“ Ibu….” Aku memberikan kuih tersebut kepadanya tetapi cepat-cepat ku tarik tanganku tinggi-tinggi apabila ibu mahu mengambil kuih kegemarannya ini. Semakin ibu berusaha ingin mencapainya semakin tinggi ku angkat kuih tersebut di atas.

“ Daniel, berikan ibu nak.” Ucap ibu lembut. Namun aku semakin galak mempermainkan ibu.

“ Ibu nak kuih ni kan. Ibu ambillah.” Aku mengacah ibu. Ibu berusaha. Aku mengacah lagi. Ibu berusaha dan lagi-lagi aku mengacah ibu hingga akhirnya ibu mengalah kepenatan. Ibu terbaring di atas katil dengan nafas tersekat-sekat. Aku pandang wajah putih bersih ibu. Hatiku puas.

“ Padan muka ibu.” Ejekku dalam hati.

“ Tak apalah Daniel, Daniel simpan balik kuih tu. Ibu dah kenyang. Ibu letih. Ibu nak tidur.” Hanya itu sahaja yang terkeluar dari bibir lesu ibu. Aku tidak pernah terfikir bahawa kata-kata ibu itu adalah rajuk hati dan kekecewaan seorang ibu.

Ibu meninggal pada suatu subuh yang bening. Kakak dan ayahku ada bersama ibu waktu ibu nazak. Aku pula masih berada di rumah waktu itu. Ketika aku mengemas katil dan barang-barang ibu untuk dibawa balik, aku ternampak kuih bulan ibu masih ada tak terusik di dalam laci.

“ Akak hairan kenapa ibu tak nak makan kuih bulan tu? padahal ibu beria-ia sangat nak makan kuih bulan. Bila kakak beli, tak nak makan pula.” Aku mendiamkan diri apabila kakakku mengadu kepelikan tabiat ibu.

“ Mungkin ini suatu petanda yang ibu nak pergi kan dik.” Kata kakak lagi sambil tersengguk-sengguk menahan tangis.

“ Dean, ada apa-apa yang Dean sembunyikan dari kami semua ke?” sergahan kakakku memutuskan ingatanku terhadap peristiwa lampau. Cepat-cepat kugelengkan kepala. Biarlah ia menjadi rahsiaku.

“ kalau Dean tak nak ceritakan sekarang, akak tak paksa.”
“ Bukan begitu kak. Cuma saya berasa sangat berdosa pada ibu. Ibu pergi dengan hati yang kecewa dan merajuk kak. Semuanya kerana saya.” Aku tidak dapat menahan air mataku keluar.

“ Ceritakan pada akak. Semuanya.”

“ Semuanya?”

“ Ya semuanya. Kenapa ibu merajuk.” Aku pandang wajah kakakku. Kakakku tersenyum. Aku membalasnya.

Dalam berpuluh-puluh tahun aku hidup di dunia ini, inilah kali pertama hatiku tenang. Sangat tenang, setenang air sungai yang mengalir di kampung kami. Sebelum aku balik semula di rumahku, aku sempat menziarahi kubur arwah ibu dan menghadiahkannya surah Yassin. Ziarah yang pertama dan aku berjanji yang ziarahku ini bukan ziarah yang terakhir bagiku. Ketika aku mendongak ke langit biru, setompok awan pekat berada betul-betul di atas kepalaku. Telingaku juga mendengar bunyi siulan burung serindit. Aku memang tidak memahami bahasa alam.

Seminggu kemudian aku mendapat khabar baik dari kakakku yang berada di semenanjung. Dia menyampaikan berita yang sungguh mengajubkan aku seusai aku sembahyang subuh.

“ Dean, semalam kakak bermimpi, ibu datang tempat kakak. Ibu datang dengan adik. Kakak nampak wajah ibu sangat cantik. Ibu senyum dengan akak. Selama ini kakak tak pernah nampak wajah ibu dengan adik tapi semalam akak nampak wajahnya.”Aku menangis mendengar kata-kata kakak.

Ehem…ehem…masihkah anda semua mengingati namaku? Namaku Nur Jannah. Nur Jannah adalah namaku. Aku adalah adik kepada lelaki yang ku ceritakan ini. Aku harap kisah ini dapat dijadikan iktibar kepada kita semua. Ingatlah walau siapapun ibu kita, baik atau buruknya perangai ibu kita, dia tetapi merupakan insan yang paling penting dalam hidup kerana dialah yang menentukan adakah kita akan menggapai Jannah ataupun Jahanam selain ibadah yang kita lakukan. Bagi yang masih mempunyai ibu dan ayah, berkorbanlah untuk mereka seperti mana mereka sanggup berkorban untuk kita.

S. Hana AK
12. 19 am
160411 (Sabtu)
Slim River, Perak




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

21 ulasan untuk “Cerpen : Ibu!!!”
  1. Isq says:

    cerita yg mememberi kesan pd sy… Pada yg masih ade ibu bapa, hargailah mereka… sebab kite hanya ade seorang ibu dan seorang bapa di dunia ni….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"