Novel : Isteri Gantian 10

17 February 2014  
Kategori: Novel

4,684 bacaan 2 ulasan

Oleh : MAWAR KAMILA

BAB 10

“Rasyaf!” Jeritan manja itu menarik perhatian Rasyaf. Lelaki itu lantas mencari gerangan yang memanggilnya. Tatkala mata menemui gerangan yang dicari, air muka Rasyaf ketara berubah kelat.

“Awak buat apa di sini?” Jelas sekali Rasyaf terperanjat dengan kehadiran wanita kacukan Melayu-Itali ini. Buang tebiat kalau perempuan ni hadir ke majlis berbentuk kebajikan begini.

Pemilik nama sebenar Maria Serafina itu menjuih bibir melihat reaksi dipamerkan Rasyaf. Rasa tersindir.

“Kenapa? Maria tak boleh datang?” Huh, hakikatnya tak hingin pun aku datang kalau bukan sebab ada ‘ikan besar’ yang nak dipancing.

“Tak… cuma pelik bila awak datang,” akui Rasyaf, jujur.
Maria mencebik.

“Rasyaf, awak datang seorang je kan?” Maria terus mengubah topik dengan mata galaknya meliar mencari sesiapa yang mungkin hadir bergandingan dengan lelaki kacak di depannya ini.

“Tak,” jawab Rasyaf ringkas seraya mengatur langkah menuju dewan besar, di mana majlis amal korporat syarikat bapanya berlangsung.

Maria jalan beriringan dengan Rasyaf. Dia belum berpuas hati dengan jawapan lelaki itu. Jika tak datang seorang diri, di mana pasangan lelaki itu?

“Mana girlfriend awak?”

“Dengan parent,” Rasyaf menjawab acuh tak acuh.

“Anak mak!” sindir Maria.

“Jauhkan diri dari saya! Awak mesti tak suka berkepit dengan anak mak kan?” bidas Rasyaf sebelum melangkah masuk ke dalam dewan dan meninggalkan Maria di belakang.

“Rasyaf!” Maria menggumam geram. Lelaki itu selalu jual mahal dengannya malah selepas begitu lama tidak bertemu, Rasyaf masih tidak berubah. Sombong! Tapi ikan besar yang sombong ini hendak dipancingnya. Maria Serafina akan pastikan, kali ini mata kailnya akan mengena!

************************************************************************

Datin Tasnim sudah mula mengembangkan kipas tangan dan mengibas-ngibas batang leher yang terasa panas. Bukan dihangatkan oleh suasana dewan kerana persekitaran sememangnya dingin dek aircond. Sebaliknya kehangatan itu berpunca daripada perasaan tidak sabar menantikan kemunculan Rasyaf bersama calon menantu yang sekian lama menjadi tanda tanya.

“Mana Rasyaf ni bang?” terluah juga persoalan yang bersarang di benaknya sejak tadi. Matanya tertumpu pada pintu masuk dewan. Pelbagai wajah manusia telah dilihat namun wajah yang dinanti-nantikan tidak juga muncul.

“Kejap lagi dia muncul la tu. Cuba bersabar.” Datuk Fathur Rahman membalas luahan isterinya sambil menghadiahkan senyuman manis tatkala renungan matanya bertemu dengan rakan-rakan perniagaan yang duduk di meja berlainan.

“Abang rasa… Rasyaf bawa ke calon menantu saya?” sekali lagi Datin Tasnim meluahkan persoalan di minda. Tak senang duduk rasanya dek diganggu persoalan itu.

“Mana la saya tahu,” acuh tak acuh saja Datuk Fathur Rahman menjawab.

“Abang rasa?” Mata Datin Tasnim masih tertumpu pada muka pintu dewan.

“Saya tak tahu…” Sememangnya Datuk Fathur Rahman tidak sempat untuk melayan perkara yang bermain dalam minda isterinya.

Datin Tasnim menikam wajah suaminya. Geram dek jawapan yang tak bersungguh itu.

“Ish, abang ni!”

“Saya tak reti nak rasa-rasa!” sempat Datuk Fathur Rahman mengerling isterinya yang sudah menarik muncung.

Dalam sibuk berperang suami isteri, Rasyaf muncul menamatkan penantian mereka. Malah kemunculan Rasyaf diiringin Maria Serafina ternyata satu kejutan besar kepada Datin Tasnim dan Datuk Fathur Rahman. Terus berubah roman wajah kedua-duanya. Pasangan suami isteri itu saling berpandangan.

“Hai auntie, hai uncle…” Maria menyapa dengan teletah manjanya yang terlebih mengada-ngada. Batang tubuhnya
melentok-lentok di sisi Rasyaf bagai obor-obor tak bertulang.

Berasap hati Datin Tasnim memerhati tingkah si dara di depan matanya ini. Malah geram juga dengan anak terunanya yang seakan meredhai tingkah tak senonoh begitu. Perempuan inikah yang dipilih Rasyaf sebagai calon isteri? Sejak bila Rasyaf berminat dengan perempuan yang pakaian mereka tak cukup kain?

Datin Tasnim mengurut-ngurut dada. Jika si pengganti sudah begini, dia tak mampu membayangkan gerangan wanita
pertama yang pernah menawan hati anaknya. Tak mustahil lebih teruk! Lebih tebal dengan karat sosial budaya barat! Oh Tuhan! Datin Tasnim sudah berpeluh keting.

“Masih ingat Maria?” Wanita kacukan itu cuba beramah mesra apabila Datin Tasnim dan Datuk Fathur Rahman seakan
terpegun melihatnya.

Mereka teruja dengan keanggunan aku ke? Well, anak can la aku nak jadi calon menantu mak datin ni. Tak dapat pikat anak, aku pancing mak dengan bapak dia dulu. Baru la dapat sauk si anak mak ni. Otak Maria sudah mula mengatur strategi.

“Maria mana ye?” Datin Tasnim berpura-pura tidak ingat. Padahal dia cukup mengenali susuk diri gadis ini. Siapa tak kenal Maria Serafina yang wajahnya bertempek dalam lambakan majalah fesyen dan iklan kosmetik. Kalau orang
biasa yang tak mengenali namanya, melihat rupa pun mereka sudah kenal.

“Saya Maria Serafina anak Tan Sri Muzaffar dan Datin Sri Caterina. Uncle dan auntie mesti kenal my parent, kan?” Dari keletahnya, Maria seakan menyangka Datuk Fathur Rahman dan Datin Tasnim tidak mengenali dirinya.

“Oh! Anak Tan Sri Muzaffar Muzaffar dan Datin Sri Caterina.” Datuk Fathur Rahman angguk perlahan. Pura-pura baru teringat.

“Maaf la, auntie kurang ingat Maria. Muka tak berapa familiar,” suara Datin Tasnim bernada sinis. Sengaja hendak menafikan populariti wanita itu pada matanya.

Maria menyambut dengan seulas senyum kelat. “Tak pe, auntie kan dah tua. Biasa la tu.”

Gedebuk! Maria Serafina memberi ayat pukulan balas. Giliran Datin Tasnim pula untuk mengukir senyum kelat manakala Datuk Fathur Rahman tertunduk menahan tawa dek ketewasan isterinya berdepan minah obor-obor ini.

“Rasyaf, kita duduk di meja sana kan?” Maria menunjukkan kupon meja yang sama dengan Rasyaf. Seharusnya sama kerana wanita itu sudah merancang strategi ‘memancingnya’ pada malam ini.

Membuntang mata Datin Tasnim melihat tangan Maria begitu selamba merangkul erat lengan kiri anak terunanya. Rasyaf juga bagai terpana. Lelaki itu tak menyangka Maria berani berbuat begitu di depan mama dan papanya.

“Bye uncle, auntie. Jumpa lagi.” Maria pantas menarik Rasyaf agar menurut langkah kakinya.

Dengan air muka yang kelat, Rasyaf terpaksa menurut meskipun menyedari reaksi mamanya yang sudah hendak terkeluar biji mata itu. Rasyaf sudah menduga seribu satu prasangka yang mula terangka dalam kepala Datin Tasnim. Mamanya akan fikir yang bukan-bukan. Mamanya akan salah faham! Semua sebab minah Itali celup ni!

Berlalu saja pasangan itu, tangan Datin Tasnim dihayun laju menampar lengan suaminya. “Bang!”

“Ouch!” Berkerut wajah lelaki korporat itu. Tak dapat tangankan si anak, aku yang kena!

“Takkan perempuan obor-obor tu!” Datin Tasnim tak tunggu lama untuk meluahkan penolakan hati walau sudah terzahir
dari air mukanya sejak tadi.

“Mana la saya tahu.” Datuk Fathur Rahman sendiri digaru gusar. Namun dia harus lebih memfokuskan diri pada majlis makan malam korporat syarikatnya.

“Abang ni, semua tak tahu la!” Datin Tasnim terlalu geram dengan sikap suami apatah lagi dengan anak terunanya.

“Eee… saya tak boleh terima! Muhamad Fakhrul Rasyaf ni dah buang tebiat ke apa!”

Datin Tasnim sudah mula angkat punggung.

“Eh! Awak nak ke mana tu?” Sempat Datuk Fathur Rahman memaut lengan isterinya. Lagak Datin Tasnim sudah seperti singa yang hendak menerkam mangsa. Mangsanya tidak lain lagi adalah meja makan yang selang dua buah meja dari mereka.

“Saya nak pergi pisahkan mereka berdua. Apa dia ingat muka macam Luna Voce tu dah cukup hebat nak jadi menantu saya?”

“Awak jangan buat perangai dekat sini. Malu la orang tengok. Dari tadi lagi mata orang lain menjeling-jeling ke sini. Tak malu ke?” tegur Datuk Fathur Rahman. Kegopohan si isteri amat tidak disenangi sejak awal lagi. Dia tahu isterinya sangat teruja untuk bersua dengan calon menantu mereka dan keterujaan itu sudah lebih oleh kehampaan.

“Duduk… sabar dulu!” tegas Datuk Fathur Rahman apabila isterinya masih mengeras.

“Saya tak nak bermenantukan obor-obor tu!”

“Balik nanti kita boleh bincang dengan Rasyaf. Jangan terburu-buru. Mereka bukan nak pergi menikah malam ni juga!”

“Ye la!” Datin Tasnim akhirnya mengalah dan kembali melabuh punggung atas kerusi. “Tapi ingat ye bang, mati hidup balik pun saya tak redha perempuan obor-obor tu jadi menantu saya!” tegas Datin Tasnim dengan renungan mata yang terus tertancap pada pasangan yang duduk selang dua meja dari mereka itu.

“Ye, bukan awak je. Saya pun tak kempunan!” Datuk Fathur Rahman tergeleng perlahan. Dia sendiri amat kecewa dengan pilihan anak lelaki tunggalnya.

***************************************************************************




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Isteri Gantian 10”
  1. eiyda adib says:

    Macam best jer

  2. aryanie says:

    sambungan tak der ker..sambung ler

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"