Cerpen : Alamak! Siti Nurhaliza Lagi!

19 December 2010  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

Di hati yang mana
Ku temu cinta terindah
Kau berikan ku jawapan
Tiada lagi persoalan…

Mak aiihh! Kuatnya manusia ni buka lagu Siti Nurhaliza. Lagu bertajuk Destinasi Cinta lagi. Terdetik ayat itu di dalam hati Siti Idora. Matanya melilau menjelajahi setiap inci luaran kereta Myvi SE berwarna hitam berkilat di hadapannya itu. Pelekat kartun Transformers yang besar gedabak terlekat di bahagian belakang kereta. Di sisi kanan dan kiri kereta itu pula terhias corak abstrak bergulung-gulung berwarna perak.

Hmm….. cantik dan menakjubkan! Jatuh cinta pula Siti Idora dengan corak abstrak dan warna yang sebegitu. Gabungan warna hitam dan perak telah membuatkannya tertarik. Tapi tang kartun Transformers itu dia langsung tidak berkenan. Lebih baik aku tukarkan Transformers itu dengan kartun kegemaranku, iaitu Sailormoon kih.. kih.. kih!

Siti Idora sudah ketawa mengekek, membayangkan wajah Sailormoon yang cantik dengan senyuman yang manis. Ha… lebih menarik jika dilekatkan gambar hero Sailormoon di sebelahnya, iaitu Mamoru Chiba. Semakin galak pula Siti Idora ketawa. Hmm… dia tidak sedar agaknya yang kereta ini bukan kereta dia. Mana dia ada kereta? Mahu dilekatkan di manakah muka Sailormoon dan Mamoru Chiba itu? Kereta sorong pun dia tiada. Letak sahajalah di dinding bilik tidur ya wahai Siti Idora.

Puas melihat corak yang terhias itu, Siti Idora mengalih pandang pula ke arah cermin tingkap kereta tersebut. Fuhh! Cermin gelap itu… sudahlah kereta pun berwarna gelap. Setahu aku, adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang memasang cermin gelap pada kereta yang berwarna hitam legam seperti itu. Hati kecil Siti Idora berbisik lagi.

Jika tadi wajah Siti Idora terhias dengan keceriaan, kini wajahnya terhias pula dengan kemuraman. Bibirnya mencebik tidak puas hati. Assalamualaikum…. helo… wahai Siti Idora, sejak bila anda menjadi anggota Jabatan Pengangkutan Jalan tidak bertauliah yang mahu memerhati kenderaan orang lain seteliti itu? Sudah lupakah kau akan tujuan asal kau mendekati kereta itu?

Sementara di dalam kereta Myvi SE yang berjaya menarik perhatian Siti Idora itu, kelihatan riak wajah Ilham Helmi yang sedang berkerut sambil matanya tidak lepas daripada memandang tajam cermin sisi dan cermin pandang belakang keretanya. Dia melihat segala tingkah laku Siti Idora yang pada pengamatannya amat pelik. Sekejap ketawa, sekejap senyum, sekejap muram. Tidak siumankah wanita itu??

Ahh! Usah pedulikan perempuan ‘gila’ itu. Jom kita dengar lagu Destinasi Cinta dendangan penyanyi pujaanku. Pantas Ilham Helmi menguatkan gelombang bunyi radio keretanya. Gangguan wanita ‘pelik’ di luar keretanya itu terus dinyahkan daripada perhatiannya. Sesaat kemudian, dirinya kembali tenggelam dalam keasyikan lirik dan melodi lagu tersebut.

Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan pada cermin tingkap keretanya mengejutkan penghayatan Ilham Helmi terhadap dendangan lagu di dalam keretanya. Pantas diturunkan keseluruhan cermin tingkap itu.

“Boleh perlahankan sikit tak radio tu?” terus sahaja Siti Idora memerintah. Sempat dia menjeling tajam wajah Ilham Helmi sebelum mengalih pandangan ke arah lain.

Ewah… siapa dia nak suruh aku turunkan gelombang bunyi suara Siti Nurhaliza merangkap suara kekasih angkat aku ini? Itu dia…. hanya pada jejaka bernama Ilham Helmi sahaja wujudnya istilah kekasih angkat. Unik bukan?

“Ada masalah ke??” soal Ilham Helmi dengan reaksi wajah seperti orang tidak bersalah langsung.

Siti Idora sudah menunjukkan riak wajah jelmaan singa mengaum. Marah.

“Masalah besar sangat. Kau ni siapa? Apa kau buat dekat sini??” bertalu-talu Siti Idora menyoal Ilham Helmi. Lelaki di dalam kereta Myvi SE itu sudah menjadi jelmaan semut sahaja pada pandangan matanya. Tunggu masa untuk ditenyeh-tenyeh sahaja, biar mampus terus semut itu. Barulah akan puas hatinya.

“Aku oranglah. Ada kau nampak aku ni macam benda lain? Kau ni dah la datang tak bagi salam. Ketuk-ketuk tingkap kereta orang sesedap rasa, suruh orang itu ini, lepas tu sibuk bertanya benda yang bukan-bukan. Aku tengah duduk layan lagulah dalam kereta ni. Kau tak nampak ke? Lain kali pakai cermin mata. Kacau penghayatan betul,” panjang berjela pula bebelan Ilham Helmi. Masih tidak habis-habis dengan penghayatan lagu Siti Nurhalizanya.

Amboi… sepatah yang ditanya, berpatah-patah pula dia menjawab. Dasar pencari pasal betullah.

“Eh…. aku tak kenal kau tau. Kau tau tak yang dekat depan kau ni rumah siapa? Dia yang mangganggu gugat ketenteraman orang lain, sedap pula mengata kita yang kacau dia,” melodi suara Siti Idora meninggi.

Semakin tersirap darah Siti Idora melayan kata-kata lelaki yang masih tidak sedar diri itu. Dia mula mengesat peluh yang semakin merecik. Kepanasan kian terasa kerana berdiri di luar kereta milik Ilham Helmi itu. Manakala Ilham Helmi pula enak duduk di kerusi empuk bertemankan hawa dingin di dalam keretanya.

“Ini rumah kawan baik aku la. Asrizal nama dia,” pantas Ilham Helmi menjawab soalan tidak munasabah Siti Idora itu. Kemudian tangannya mematikan terus radio di dalam keretanya. Letih pula dia mahu terjerit-jerit melawan suara kekasih angkatnya nan seorang itu.
Terbeliak biji mata Siti Idora. Nama siapa pulalah yang didengari telinganya sebentar tadi?

“Sejak bila rumah aku ni jadi rumah kawan baik kau? Banyak cantik muka dia! Aku yang berhempas pulas bayar sewa, dia pula yang dapat nama!” Siti Idora mendengus kasar.

Kali ini biji mata Ilham Helmi pula yang terbeliak. Dia sudah mula menggelabah. Woo… tak mungkin aku salah rumah. Matanya tiba-tiba sahaja menangkap nombor lima di atas pintu rumah di hadapannya. Pantas dahinya ditepuk kuat. Tanpa sempat dia berkata apa-apa, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Spontan dia menekan punat telefon bimbit jenama Sony Ericsson miliknya.

“Helo… wei, mana kau ni tak sampai-sampai?” soalan Asrizal itu terus menyerbu ke gegendang telinga Ilham Helmi. Bingit telinga dia jadinya. Jika benar-benar bengang sekalipun, tidak boleh ke perlahankan sedikit nada suara tu? Hisyy… kalau aku jadi pekak nanti macam mana? Kempunan pula mendengar lagu-lagu Siti Nurhaliza. Itulah dia lelaki bernama Ilham Helmi. Siti situ sana sini….. hanya nama Siti Nurhaliza menguasai otaknya.

“Dah sampai. Dekat rumah jiran kau ni, dia tahan aku,” ujar Ilham Helmi tanpa teragak-agak.

Mencerlung mata Siti Idora mendengar nama dirinya dikaitkan. Tangannya sudah mencekak pinggang sendiri.

“Bila masa aku tahan kau? Dia tu yang tiba-tiba dah tersadai dekat halaman rumah orang!” sampuk Siti Idora dengan garangnya. Dia tidak peduli kalau pemanggil di talian sebelah sana dapat mendengar suaranya. Biar penerima panggilan yang di sebelah sini ini terbongkar menipu. Sedap sungguh mulut Ilham Helmi itu menfitnah Siti Idora.

“Laa…. yang kau pergi rumah jiran aku tu buat apa? Kalau kau tersesat pun, cepat-cepatlah keluar. Kau nak berkampung kat situ ke? Kang mengamuk pemilik rumah tu, bernanah telinga kau nanti,” Asrizal sudah memulakan bebelannya. Terdengar rengusan kasar di hujungnya.

“Bukan setakat bernanah, dah berdarah pun ni. Ok la, aku nak gerak dah ni. Buka pintu cepat,” putus Ilham Helmi, pantas punat merah pada telefon bimbitnya ditekan sepenuh hati. Hai… melepaskan geram ke Encik Ilham Helmi oii. Marahkan orang telefon bimbit pula menjadi mangsa. Nasib malanglah kau wahai telefon bimbit. Sepatutnya diri itu sendiri yang harus disalahkan, kerana menceroboh kawasan orang lain.

Ilham Helmi menghidupkan kembali radionya. Lagu Siti Nurhaliza mula bergema kembali daripada cakera padat yang sedang dimainkan. Kemudian dia terus memasukkan gear untuk mengundurkan kereta Myvi SE kesayangannya itu.

“Matikan lagu tu la wei! Sakit telinga aku!” jerit Siti Idora kuat sebelum Ilham Helmi menggerakkan keretanya. Ilham Helmi selamba sahaja. Jeritan Siti Idora itu seakan tidak sampai ke pendengarannya.

Terkebil-kebil Siti Idora melihat Ilham Helmi terus bergerak meninggalkan halaman rumahnya. Kurang ajar punya orang. Sudahlah datang tak bersalam, pergi pun tak bersalam. Dia ingat aku ni tunggul agaknya dekat sini!

**********

Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam. Ilham Helmi dilihat sedang duduk termenung. Melayan perasaan barangkali. Ting! Timbul satu idea di dalam otaknya.

“Zal, pinjam radio kau ni kejap ya!” pinta Ilham Helmi. Tangannya sibuk membuka zip beg sandang belakangnya yang dibawa dari rumah. Apa lagi, mahu mendengar lagu alunan kekasih angkatnyalah.

“Tak payahlah minta izin. Buka aje la,” balas Asrizal tanpa memandang sahabat yang baru pertama kali bertandang ke rumahnya itu. Oh… baru pertama kali, patutlah sesat ke rumah anak gadis. Asrizal kembali memberi perhatian dalam menyiapkan kerja-kerja pejabat yang dibawanya hingga ke rumah.

Namun tiba-tiba Asrizal terfikirkan sesuatu. Pantas dikemasnya segala kertas-kertas dan alat tulis yang digunakannya sebentar tadi.

“Eh, nanti dulu, Ilham! Sebelum kau buat apa-apa dekat rumah aku ni, aku nak kau rasmikan dulu kedatangan kau ke sini,” pinta Asrizal secara tiba-tiba.

Terkejut Ilham Helmi mendengar arahan Asrizal itu. Nak rasmikan apanya? Bukannya Ilham Helmi itu Perdana Menteri yang boleh merasmikan apa-apa. Buang tabiatkah? Ilham Helmi memandang pelik terhadap sahabatnya yang sudah melabuhkan punggung di atas sofa berhadapan dengannya.

“Hisyy… tak payahlah nak rasmi-rasmi. Aku bukan orang kenamaan pun. Nanti membazir aje kau beli bunga dengan riben. Lepas aku potong riben, akhirnya semua bunga dan riben tu masuk ke dalam tong sampah. Buat susah-susah aje,” tutur Ilham Helmi dengan lancar.

Asrizal sudah melopong mendengar kata-kata Ilham Helmi. Tiada langsung dia berfikiran seperti itu.

“Apa kena dengan kau ni? Otak kau sihat ke tidak? Aku pun belum gila lagilah nak buat benda-benda macam tu. Silap-silap hari bulan, aku dengan kau sekali kena tangkap masuk ke Tanjung Rambutan. Aku nak, kau rasmikan dengan bercerita akan tujuan kau berkunjung ke rumah buruk aku ni. Faham?” terang Asrizal dalam nada suara yang tertahan-tahan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menengking Ilham Helmi yang loyar buruk tidak tentu pasal itu.

Ilham Helmi tidak memberi sebarang reaksi terhadap penerangan Asrizal.

“Eh, cantiknya bingkai gambar kat dinding tu. Kau beli dekat mana? Kau ambil gambar tu sendiri ke?” bertalu-talu Ilham Helmi bertanya.

Jelas sekali Ilham Helmi sedang cuba mengubah topik perbualan. Matanya tidak lepas-lepas daripada memandang gambar pemandangan air terjun yang sedia tergantung pada dinding rumah Asrizal.

Berkerut kening Asrizal melihat tindak tanduk Ilham Helmi. Jika sudah begitu reaksi yang ditunjukkan, pasti ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh Ilham Helmi daripada pengetahuannya. Ini tidak boleh jadi. Asrizal harus mengorek segala rahsia Ilham Helmi itu sampai ke dasarnya.

“Ehem… untuk pengetahuan kau, dekat rumah aku ni ada satu peraturan. Sesiapa yang mahu berkunjung ke sini, harus jelas tujuan kedatangannya. Jika tidak, kau boleh pergi dari sini. Sebab… rumah aku ni bukan rumah untuk melepak,” tegas nada suara Asrizal. Sengaja dia berkata begitu untuk melihat apakah reaksi Ilham Helmi.

Ilham Helmi memandang tepat ke arah anak mata Asrizal. Duduknya sudah tidak tenang.

“Aku lari dari rumah!” jelas ayat itu meluncur keluar daripada mulut Ilham Helmi.

“Apa??!!” spontan Asrizal menjerit. Hampir juling biji matanya melihat wajah Ilham Helmi.

“Dah berapa tahun kau tak korek telinga?” perli Ilham Helmi.

“Aku dengar. Kau jangan nak perli-perli aku. Aku belum pekak lagilah. Apa ni, anak lelaki lari dari rumah. Malulah! Mengalahkan perempuan pula. Walau apa pun, cuba kau cerita dekat aku, apakah yang sebenarnya dah terjadi?” Asrizal sudah memulakan sesi mengorek rahsia Ilham Helmi.

Asrizal harus tahu akan cerita sebenar. Yalah… manalah tahu kalau-kalau sahabat yang sedang menumpang di rumahnya itu merupakan orang buruan polis? Bukan ke naya nanti. Dia tidak mahu bersubahat kerana menyembunyikan penjenayah. Opps! Tidak rela dia bersahabatkan orang yang sebegitu. Begitu jauh Asrizal berfikir mengenai diri Ilham Helmi.

Ilham Helmi berbaring di atas sofa. Perlahan-lahan kedua-dua belah matanya dipejamkan. Asrizal hanya memerhati. Dia faham, mungkin Ilham Helmi sedang mengatur kata-kata yang sesuai untuk diluahkan kepadanya. Biarlah, dia memberi laluan untuk Ilham Helmi berfikir. Asrizal juga sudah mengubah posisi duduknya di atas sofa itu.

Seminit…. dua minit… lima minit… sepuluh minit… masih tiada suara yang keluar daripada mulut Ilham Helmi. Aik? Apa kena dengan Ilham ni? Takkanlah lama sangat fikir cik abang oii! Asrizal sudah tidak tahan menunggu butir bicara sahabatnya. Benarlah kata orang, penantian itu satu penyiksaan.

“Hei… Ilham!” panggil Asrizal. Kuat nada suaranya.

Tiada sahutan daripada Ilham Helmi. Dia masih tidak bergerak. Kelopak matanya masih tertutup. Hairan Asrizal dibuatnya. Tanpa menunggu lebih lama, Asrizal bangun mendekati Ilham Helmi. Elok sahaja dia mahu menampar bahu Ilham Helmi, gelombang bunyi dengkuran terus muncul mencemari suasana sunyi tika itu.

Bola mata Asrizal membulat secara spontan. Sebelah tangannya digenggam kuat.

“Cis! Aku tengah bercakap dengan kau, kau boleh tidur??!” marah Asrizal seorang diri.

Rungutan Asrizal itu dibalas dengan dengkuran yang makin panjang. Kurang asam punya kawan. Kalau ya pun tak nak jawab soalan, janganlah tidur. Tak apa, tidurlah kau dekat situ sampai esok pagi. Biar kau kesejukan seorang-seorang. Jangan harap aku nak bagi kau selimut. Berani kau tidur masa aku tengah bercakap ya? Sekarang ini, terimalah kau padahnya.

Setelah habis membebel seorang diri, Asrizal kembali menyambung kerja-kerja pejabatnya. Sudah beberapa kali dia menguap. Akhirnya tepat jam 12.30 tengah malam, dia merebahkan diri di atas tilam empuk di dalam biliknya. Hmm… nikmatnya. Esok kerja, dia harus tidur nyenyak malam ini. Ilham Helmi yang masih dilamun mimpi di atas sofa ruang tamu itu tidak diendahkannya. Seketika kemudian, terdengarlah melodi dengkurannya pula.

Tok! Tok! Tok!….. Tok! Tok! Tok!

Tidur Asrizal yang lena itu terganggu dek bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu dari luar. Terpisat-pisat dia membuka matanya. Jam pada telefon bimbit dikerling sekilas. Baru pukul 4.00 pagi. Siapa pula yang ketuk pintu pagi-pagi buta ni? Kacau betullah.

“Zal!Zal! Sejuklah…. aku nak selimut!” terdengar jeritan Ilham Helmi.

Padan muka! Asrizal terus menarik selimutnya hingga menutupi wajahnya. Tidak hilang lagi rupanya perasaan marah Asrizal terhadap Ilham Helmi. Kesejukan makin terasa, Asrizal mengakuinya. Namun apa dia peduli? Seketika kemudian, dia kembali hanyut melayari bahtera mimpi. Hujan yang turun pada waktu itu memang mendamaikan tidur Asrizal. Namun Ilham Helmi yang berada di luar itu menggigil kesejukan. Sengsara.

**********

Huarghh….. bosannya! Keluh Ilham Helmi seorang diri. Kakinya sudah mula melangkah memijak rumput di halaman rumah. Asrizal yang sudah keluar bekerja menyebabkan Ilham Helmi menjadi penunggu di rumah itu. Tidak bekerjakah dia? Hmm… ada juga Asrizal bertanya pada pagi tadi. Namun Ilham Helmi mengatakan bahawa dia sedang bercuti panjang tanpa gaji. Benarkah? Kebenarannya hanya dia seorang tahu.

Sedang asyik Ilham Helmi melihat-lihat persekitaran rumah Asrizal, dia dikejutkan dengan bunyi suara orang memberi salam.

“Assalamualaikum!!” lantang sungguh suara mak cik di luar pagar rumah memberi salam. Bersemangat benar gayanya.

“Waalaikumussalam!!” Ilham Helmi menjawab pantas sambil berjalan menuju ke arah pagar. Lantang juga nada suaranya, seperti mahu melawan kelantangan suara mak cik di luar pagar itu pula.

“Ya mak cik, cari siapa?” sopan Ilham Helmi bertanya.

“Kamu ni siapa?” mak cik itu tidak menjawab soalan. Malah, dia bertanya kembali pula.

Terkebil-kebil Ilham Helmi dibuatnya. Siapa tuan rumah sekarang ni? Aku ke dia? Aku yang sepatutnya tanya dia? Ewah…. sudah mengaku tuan rumah nampak! Sedarlah ya, ini rumah Asrizal tahu. Opps! Ilham Helmi tersedar tiba-tiba. Maaf sahabatku, sekali sekala mengaku tuan rumah, tidak salah bukan? Bukan orang lain pun, kawan baik kau juga. Hati Ilham Helmi terus berbisik nakal.

“Saya… saya tuan rumah nilah!” Ilham Helmi menjawab dengan penuh keyakinan walaupun pada mulanya kedengaran sedikit gagap.

“Kamu jangan nak tipu mak cik. Ini rumah anak mak cik ni!” tegas nada suara mak cik tersebut.

Berkerut kening Ilham Helmi mendengarkan kata-kata mak cik di hadapannya itu. Tiada pula Asrizal berkata yang ibunya mahu datang ke rumah hari ini. Mungkin ibunya mahu membuat kejutan.

“Oh.. ya ke, mak cik? Minta maaflah mak cik, saya tak tahu. Sekarang ni kita bukannya boleh percaya orang lain sangat. Terutamanya mereka yang tidak kita kenali. Sebab tu tadi saya kata saya tuan rumah ni. Sebagai langkah berjaga-jaga,” ucap Ilham Helmi, mahu menutup kesalahan dan sekali gus menahan perasaan malunya kerana menipu.

Mulut Puan Madiha mencebik.

“Anak mak cik keluar. Kebetulan saya tumpang rumah dia sekarang ni. Jadi, saya tolonglah dia tengok-tengokkan rumah ni sekejap. Masuk.. masuk mak cik, dah lama berdiri dekat luar ni. Makin lama makin panas ni mak cik,” pelawa Ilham Helmi.

Tangan Ilham Helmi ligat membuka pagar. Sempat dia mengerling mangkuk tingkat yang dijinjit oleh Puan Madiha. Sudah pasti di dalamnya terisi dengan makanan. Nyummyyy…. aku dah lapar ni. Rezeki…. Ilham Helmi sudah menelan air liurnya sendiri, membayangkan kelazatan makanan yang dibawa itu. Dia memang tidak tahu malu. Macamlah makanan itu dibawa untuknya.

Pintu pagar sudah terbuka luas. Namun Puan Madiha masih tidak berganjak walaupun selangkah. Hanya matanya yang tajam memandang wajah Ilham Helmi. Aik? Kenapa pula dengan ibu Asrizal ni? Terbit persoalan dan perasaan hairan dalam diri Ilham Helmi. Aku ada buat salah lagikah?

“Kenapa, mak cik?” laju Ilham Helmi bertanya.

“Kamu… kamu kata… kamu tumpang rumah anak aku?” soal Puan Madiha kembali.

Alahai mak cik ni…. elok aku tanya dia, dia suka tanya aku balik.

“Yalah, mak cik,” bersahaja nada jawapan yang keluar daripada mulut Ilham Helmi.

Biji mata Puan Madiha sudah terbeliak. Pelik pula Ilham Helmi melihat reaksi Puan Madiha itu. Salahkah dia menumpang?

“Hei! Berani kamu tumpang rumah anak aku?!” tiba-tiba sahaja Puan Madiha melenting. Nyaring suaranya memarahi Ilham Helmi.
Ilham Helmi bertambah pelik.

“Aku tak peduli, kamu kena kahwin dengan anak aku,” sambung puan Madiha lagi.

Terundur Ilham Helmi beberapa langkah daripada tubuh Puan Madiha. Mulutnya ternganga. Kahwin??! Terkedu Ilham Helmi mendengar arahan Puan Madiha yang langsung tidak masuk akal itu. Dia lelaki, Asrizal pun lelaki. Masakan disuruh kahwin? Dunia mahu kiamatkah?

**********

Sinaran cahaya matahari yang menembusi cermin tingkap menyilaukan pandangan Siti Idora. Pantas diturunkan bidai yang terdapat pada tingkap biliknya itu. Kemudian dia mengerling ke arah jam yang elok tergantung pada dinding. Hah! Sudah pukul 11.00 pagi?! Ya Allah…. aku dah terlupa! Siti Idora terjerit di dalam hati.

Keasyikannya menghadap komputer telah membuatkannya terlupa kepada seorang insan yang amat penting di dalam hidupnya, iaitu ibunya yang mahu bertandang ke rumah. Dia leka menguruskan perniagaan secara dalam talian yang sedang diusahakannya. Pantas Siti Idora berlari keluar menuju ke pintu. Ibunya itu bukan boleh percaya sangat. Sudah banyak kali datang ke sini pun asyik sahaja tersalah rumah. Dia perlu cepat menjemput ibunya itu sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi.

Sayup-sayup Siti Idora terdengar suara orang berbual. Suara lelaki dan suara perempuan. Tapi…. suara perempuan itu seperti dia kenal sahaja. ‘Alamak! Itu suara mak aku!’ sekali lagi Siti Idora terjerit kuat. Kali ini sudah tidak menjerit di dalam hati lagi. Lantas diamatinya dengan penuh hati-hati akan suara perbualan itu. Ya… suara perbualan itu muncul dari arah rumah jiran sebelahnya, rumah Asrizal. Bukan rumah Ilham Helmi si mamat perasan itu tahu.

Tanpa berfikir panjang lagi, Siti Idora terus memanjangkan langkahnya melepasi pagar rumahnya yang memang sentiasa terbuka sejak dua tiga hari kebelakangan ini. Bukan dia tidak mementingkan keselamatan. Tetapi tindakannya ini adalah untuk kemudahan ibunya yang mahu bertandang. Sudah banyak kali Siti Idora berpesan kepada ibunya itu supaya mencari rumah yang pagarnya terbuka. Namun, masih lagi ibunya itu pergi ke rumah orang lain. Almaklum sahajalah, ibunya itu sudah dihinggapi penyakit lupa. Mahu dijemput, ibunya itu tidak mahu pula. Hmm… inilah padahnya.

Siti Idora terus memanggil Puan Madiha sebaik kakinya menghampiri pagar rumah Asrizal.

“Mak! Itu bukan rumah Siti mak!” tanpa salam Siti Idora terus menyeru mahu menyedarkan ibunya nan seorang itu. Hairan juga dia melihat riak wajah ibunya yang seperti mahu menelan orang sahaja.

“Ini kan rumah kamu. Mak ingat lagi. Kamu ingat mak ni dah nyanyuk ke?” Puan Madiha masih ada hati untuk mempertahankan dirinya. Sedangkan sudah jelas dan terang lagi bahawa dia telah tersalah rumah. Apakan daya…. ucapan anaknya sendiri tidak mahu dipercayainya. Malah, dimarahinya pula Siti Idora itu.

“Ya, ampun…. ini ibu awak ke? Bukan ibu Asrizal?” Ilham Helmi bertanya dalam keadaannya yang masih terpinga-pinga.

Siti Idora tidak mempedulikan pertanyaan Ilham Helmi. Aduhai mak aku ni… mahu kata dia sudah nyanyuk, tak tergamaklah pula. Aku ini masih anak mithali tahu. Sempat juga Siti Idora bermain kata-kata di dalam hatinya.

“Mak….. rumah Siti dekat sebelah ni, mak. Ini rumah orang lain. Dah… dah.. jom mak kita balik rumah Siti. Buat apa nak masuk rumah orang lain mak? Nanti lain pula jadinya. Dia ni lelaki tahu? Kalau kena tangkap khalwat nanti macam mana? Siti tak nak ada ayah tiri macam dia ni,” ucapan Siti Idora itu lebih ke arah berleter terhadap ibunya sendiri.

Begitu jauh Siti Idora berfikir, hingga ke tangkap khalwat pula. Tangannya sibuk menutup dan mengunci kembali pagar rumah yang baru dibuka oleh Ilham Helmi. Manakala lelaki itu hanya mematung tidak bergerak-gerak.

Oh Tuhan! Ilham Helmi meraup wajahnya. Sesungguhnya dia terpana mendengar kata-kata Siti Idora yang agak melampau itu. Eh.. aku muda lagi tau! Umur 30 pun tak sampai lagi. Masakan aku akan menjadi ayah tiri kau dan akan menjadi suami kepada…. Oh tidak… Ilham Helmi tidak mampu meneruskan bicara hatinya. Matanya memandang wajah ibu Siti Idora yang pada perkiraannya sudah berusia 50 tahun lebih… mungkin.

Siti Idora melihat Ilham Helmi yang sedang memandang wajah ibunya tanpa berkelip. Berkerut dahi Siti Idora jadinya. Takkanlah mamat ni benar-benar jatuh cinta dengan mak aku kot? Hati Siti Idora sudah berbisik yang bukan-bukan.

“Lain kali, jangan bagi orang yang tidak dikenali masuk ke rumah. Ingat sikit, kau tu menumpang rumah orang lain. Aku buat aduan dekat Asrizal nanti, baru padan dengan muka kau,” Puas berleter kepada ibunya, Siti Idora berleter kepada Ilham Helmi pula. Ilham Helmi hanya membalas leteran Siti Idora itu dengan mata yang terkebil-kebil.

Hmm… tak dapatlah aku merasa makanan dalam mangkuk tingkat itu. Sempat lagi mata Ilham Helmi menjeling ke arah mangkuk tingkat yang masih dipegang oleh Puan Madiha.

“Betul ke mak dah salah rumah ni? Hmm… kalau dah kamu kata begitu, jomlah! Haus dah tekak mak ni,” kata Puan Madiha, mengalah juga akhirnya. Siti Idora lega.

“Jom!” balas Siti Idora, pantas tangan ibunya dipaut.

Melihatkan Siti Idora dan Puan Madiha yang sudah mahu melangkah, Ilham Helmi seakan tersedar sesuatu secara tiba- tiba.

“Eh, mak cik….. tadi kata suruh saya kahwin dengan anak mak cik. Bila?” terencat langkah Siti Idora dan Puan Madiha mendengarkan pertanyaan Ilham Helmi itu. Bila? Amboi Ilham Helmi, sesedap rasa sahaja bertanya begitu. Soalan maut.

Tajam mata kedua-dua anak beranak itu memandang wajah Ilham Helmi. Hahaha…. Ilham Helmi ketawa di dalam hati, walaupun tika itu wajahnya beriak serius. Sebenarnya dia berasa geli hati menyaksikan reaksi dua orang manusia di hadapannya yang kelihatan amat terkejut itu.

“Nanti kita bincang lain,” tiba-tiba sahaja Puan Madiha menjawab.

Spontan Siti Idora memandang wajah ibunya. Merepek apa lagi mak aku ni?

“Mak!!” jerit Siti Idora sekuat hati.

“Jalan baik-baik ya, mak cik, Siti. Saya masuk dalam dulu,” ujar Ilham Helmi sopan. Kakinya mula dihayun menuju ke pintu rumah. Bibirnya pula terlukis sebuah senyuman yang makin meleret.

Siti Idora terus menarik tangan ibunya untuk pulang. Ada banyak pertanyaan yang harus dia tanyakan kepada ibunya itu.

Siti…. Siti…. seronok pula Ilham Helmi menyebut nama Siti. Hmm…. macam nama Siti Nurhaliza pula kan? Siti Nurhaliza sudah berkahwin dengan orang lain. Mungkin Allah telah menurunkan Siti lain untuk aku. Dan Siti itu ialah… Siti… eh, siapa nama penuh Siti ya? Jangan-jangan Siti Nurhaliza juga. Betul ke? Ah… tak kisahlah Siti apa, yang penting ada nama Siti. Lampu hijau sudah diperolehi daripada ibu sang puteri. Apa lagi mahu ditunggu? Yahoo… Tapi, bagaimana dengan perasaan cinta? Ah… cinta boleh datang kemudian. Jangan risau wahai Siti, aku tidak akan menjadi ayah tiri kau. Sebaliknya, aku akan menjadi suami kau.

**********

Puan Madiha meletakkan gelas yang sudah kosong di atas meja. Hmm…. lega, nikmatnya sungguh terasa apabila dapat meminum air yang disediakan oleh anaknya itu.

“Mak… cuba mak cerita betul-betul pada Siti yang tak tahu apa-apa ni? Kenapa tiba-tiba boleh timbul soal kahwin dengan lelaki sebelah tu?” Siti Idora terus sahaja bertanya dalam nada kurang sabar.

“Dia kata, dia tumpang di rumah tu. Mestilah mak marah. Kamu tu perempuan, dia lelaki, mana boleh duduk satu rumah. Jadi, mak paksalah dia kahwin dengan kamu. Masa tu, manalah mak tau yang rumah tu bukan rumah kamu. Mulut ni dah terlanjur, nak buat macam mana!” jawab Puan Madiha dengan selambanya.

Satu keluhan keras terluah daripada mulut Siti Idora. “Hisyy… takkanlah Siti nak buat macam tu. Tak tergamak Siti nak tinggal sebumbung dengan orang lelaki. Itu kan cuma salah faham antara mak dengan dia saja. Yang lelaki tu, tiba-tiba nak serius sangat kenapa? Mengada-ngada pula!!” rungut Siti Idora kemudian

“Eh.. tapi kan, mak tengok dia tu baik orangnya. Sopan santun dan peramah pula tu. Siapa nama dia, Siti?” tiba-tiba sahaja Puan Madiha menukar topik perbualan.

“Manalah saya tahu,” jawab Siti Idora acuh tidak acuh.

“Hai.. bukankah kamu berjiran dengan dia? Takkan tak tahu nama dia?” Puan Madiha bertanya hairan.

“Baru semalam dia datang sini, mak. Tak sempat lagi nak berkenal-kenalan,” kata Siti Idora. Malas pula dia mahu bercerita perihal pergaduhannya dengan lelaki itu semalam.

“Tak apa, esok mak tanya dia sendiri,” azam Puan Madiha.

“Tak payahlah, mak. Nak buat apa? Mak nak pikat dia ke? Kan Siti dah kata, Siti tak mahu ada ayah tiri macam dia tu,” Siti Idora cuba menghalang niat ibunya.

“Siapa kata mak nak jadikan dia sebagai ayah tiri kamu? Kamu tu…. mak suruh kamu kenalkan bakal menantu mak, memanjang kata belum ada teman lelaki. Ha… sekarang, kamu kena terima calon menantu pilihan mak, si pemuda tampan sebelah rumah kamu tu,” sudah seperti seorang raja permaisuri pula Puan Madiha itu memberi arahan kepada anaknya. Tidak boleh tidak, arahan itu wajib dipatuhi.

“Eh.. eh.. mak ni, baru beberapa minit kenal dia, dah nak dijadikan calon menantu. Entah-entah dia tu orang jahat,” bidas Siti Idora. Tercebik-cebik mulutnya menahan rasa tidak puas hati yang semakin beraja di dalam jiwanya.

“Mak bukannya nak suruh kamu kahwin dengan dia esok. Kamu kenal-kenallah dulu dengan dia,” saran Puan Madiha, tidak mudah berputus asa memancing minat Siti Idora dalam menjayakan keinginannya.

Siti Idora mengeluh. “Hmm… yalah. Tapi mak kena janji, kalau Siti rasa dia tak sesuai dengan Siti, mak kena cari orang lain,” Siti Idora meletakkan syarat.

“Hai…. kamu ni betul-betul ke tak ada teman lelaki? Kamu tak kisah ke kalau mak yang carikan jodoh untuk kamu?” tanya Puan Madiha sekadar menguji.

Siti Idora sudah membuat riak wajah tiada perasaan.

“Tak ada. Siti malaslah nak cari, mak. Zaman sekarang ni, ramai sangat penipu,” Siti Idora memberi alasan.

“Habis itu, kalau dah ramai penipu, kamu tak payah mencari calon suamilah ya?” tempelak Puan Madiha melihat ketidakseriusan satu-satunya anak perempuan yang dia miliki itu.

Siti Idora terdiam. Sememangnya dia tidak pernah menang apabila berlawan kata dengan ibunya. Bagaimana mahu menang jika apa yang diperkatakan olehnya itu tidak kukuh tapaknya? Mudah sahajalah bagi Puan Madiha untuk mematahkan segala hujah Siti Idora.

**********

“Hai… tak jadi ke nak lari dari rumah ni?” kedengaran sindiran sinis daripada Encik Arif.

Pelik pula Encik Arif dan Puan Sodlina melihat kerenah anak lelaki tunggal mereka. Lain macam pula tingkah anaknya kali ini. Selalunya bila disebut sahaja soal Ilham Helmi yang masih belum berkahwin, Ilham Helmi akan menghilangkan diri sekurang-kurangnya dua minggu. Alasannya mahu mencari calon isteri bernama Siti Nurhaliza. Banyaklah dia punya Siti Nurhaliza. Alasan basi, Encik Arif dan Puan Sodlina sudah masak sangat dengan perangai Ilham Helmi.

“Mana Siti Nurhaliza kamu? Cepat kamu balik…. takkanlah kali ni dalam masa sehari sahaja kamu dah jumpa dia? Selalunya berjanggut kami tunggu kamu balik, itu pun dengan tangan kosong,” kali ini ibu Ilham Helmi pula yang memerli anak bujangnya.

“Ilham dah jumpa Siti, bakal menantu rumah ni,” lancar sahaja kata-kata itu keluar daripada mulut Ilham Helmi

Ternganga luas mulut Puan Sodlina dan Encik Arif. Bulat mata mereka memandang wajah Ilham Helmi yang hanya kelihatan selamba sahaja itu. Benar-benarkah anak mereka itu mencari wanita bernama Siti Nurhaliza? Mereka tertanya-tanya di dalam hati. Selama ini mereka menganggap bahawa Ilham Helmi hanya bergurau. Mereka tahu sememangnya Ilham Helmi amat meminati artis bernama Siti Nurhaliza, tapi takkanlah mahu mencari calon isteri pun yang namanya Siti Nurhaliza juga? Hmm…. Puan Sodlina dan Encik Arif sudah tidak tahu mahu berkata apa.

“Ya ke? Mana dia? Tak nampak pun?” soal Encik Arif bertalu-talu. Terjenguk-jenguk kepalanya melihat ke luar rumah. Berpura-pura teruja sahaja tu. Pandai dia berlakon. Jauh di sudut hati dia kurang mempercayai kata-kata anaknya itu.

“Nantilah, ayah. Ilham bawa dia. Amboi ayah ni…. dah tak sabar-sabar nampak!” sakat Ilham helmi.

Encik Arif berdehem kuat mendengar usikan anaknya. Bertuah punya anak. Encik Arif yang mahu mengenakan Ilham Helmi, tapi dia sendiri pula yang terkena.

“Ha.. baguslah tu. Cepat-cepat bawa dia datang sini. Lepas ni, bolehlah mak kemas-kemaskan bilik kamu tu. Bilik kamu tu dah tak ada rupa bilik,” kata Puan Sodlina dalam nada yang sungguh bersemangat.

“Bilik Ilham mak jangan usik ya. Banyak benda berharga di dalam tu. Lagipun, Ilham baru kenal dengan Siti tu, mak. Belum nak kahwin lagi pun,” Ilham Helmi cepat-cepat menegah, sekali gus menjelaskan kedudukan sebenar.

“Huh! Berharga apanya? Poster-poster penyanyi Siti Nurhaliza yang dah kahwin tu berharga sangat ke? Kamu tahu tak, berdosa tau tampal gambar isteri orang dalam bilik sendiri,” sampuk Encik Arif.

“Ala…. Ilham cuma peminat dia aje. Dia kan artis nombor satu Malaysia,” bela Ilham Helmi.

Hu… hu… dikaulah kekasih angkatku. Aku tahu bahawa aku tidak mungkin memiliki cintamu. Namun manis wajahmu mampu menyejukkan hatiku. Benarkanlah aku menampal gambarmu di dinding bilikku ya? Hati Ilham Helmi berbisik nakal. Dasyat sungguh peminat fanatik Siti Nurhaliza yang seorang ini. Semoga kehadiran Siti Idora mampu menjejakkan kaki Ilham Helmi ke dunia nyata.

Ilham Helmi bangun dari sofa lantas menghulurkan tangannya kepada Encik Arif. Mahu bersalam. Tercengang Encik Arif dibuatnya. Salam untuk apa pula ni? Kali terakhir anaknya itu bersalam dengannya adalah pada hari raya tahun lepas. Buang tabiatkah anak aku ini? Dalam berfikir itu, Encik Arif menyambut juga huluran tangan Ilham Helmi dengan dahi yang makin berombak.

Setelah itu Ilham Helmi menyalami ibunya pula. Dapat dilihat reaksi Puan Sodlina persis Encik Arif. Namun tiada perkataan yang terluah daripada mulut suami isteri itu melihat keanehan yang berlaku.

Sedikit sebanyak tersentuh hati Puan Sodlina dan Encik Arif tatkala kulit tangan mereka bersentuhan dengan Ilham Helmi. Salah mereka juga kerana tidak membiasakan Ilham Helmi dengan tabiat bersalam sejak kecil. Kini, mereka sendiri yang malu apabila tiba-tiba Ilham Helmi menyalami mereka. Siap cium tangan lagi. Bagusnya Ilham Helmi. Tapi… apakah yang telah membuatkan dia berubah?

“Ilham dah jumpa Siti, bakal isteri Ilham. Jadi, mulai hari ini, Ilham akan menjadi seorang yang lebih baik. Lebih baik budi pekerti, lebih baik tingkah laku, dan lebih baik segala-galanyalah. Kalau tidak, bagaimana Ilham mahu mendidik isteri Ilham nanti, kan mak, ayah?” bersemangat sungguh Ilham Helmi berkata-kata. Usah yakin sangat, Ilham. Ingat, Siti Idora itu masih terlalu jauh daripada gapaianmu. Terkaku ibu dan ayahnya mendengar. Mulut kedua-duanya melopong. Pandai juga anak mereka itu berfikir. Syukur.

Dalam pada itu, terbayang di fikiran Ilham Helmi akan mulut Siti Idora yang lagi petah berkata-kata. Bukan sebarangan kata-kata tahu. Tetapi segala yang dituturkan oleh Siti Idora itu mampu memanaskan telinga dan menyesakkan dada. Tidak mengapa, demimu wahai Siti Nurhaliza… opps… demimu wahai Siti yang diturunkan Tuhan buat pengganti kekasih angkatku Siti Nurhaliza, akan aku terima segala baik dan burukmu.
Selamat tinggal Siti Nurhaliza. Semoga suatu hari nanti, tutur kata Siti ku yang tinggal di sebelah rumah Asrizal itu akan berubah menjadi sesopan Siti Nurhaliza. Hmm…. jauh benar fikiran Ilham Helmi. Tiada orang lain, dengan Siti Nurhaliza juga mahu dibandingkannya.

Maklumlah, peminat fanatik kepada penyanyi pujaan ramai. Persoalannya kini, mahukah Siti Idora dengan Ilham Helmi?

“Ilham pergi dulu mak, ayah,” Ilham Helmi meminta izin. Sebenarnya, salam yang baru dihulurkannya adalah sebagai tanda mengundur diri.
Sekali lagi Puan Sodlina dan Encik Arif terpana.

“Eh… kan kamu baru balik. Nak pergi mana pula ini?” tergesa-gesa Puan Sodlina bertanya. Encik Arif hanya memandang, menanti jawapan daripada Ilham Helmi.

“Ilham nak pergi memikat Sitilah. Jangan risau, buat masa sekarang, Ilham tinggal di rumah Asrizal,” ujar Ilham Helmi. Dia sudah bersedia untuk melangkah apabila tiba-tiba terdengar suara ayahnya.

“Kamu jangan buat pasal, Ilham. Kami bukan tak tahu, kamu itu cakap aje lebih. Tapi buatnya tidak,” begitulah bunyinya teguran Encik Arif. Gatal pula tiba-tiba cuping telinga Ilham Helmi mendengarnya.

“Kali ini betul, ayah. Ayah dan mak tunggu sajalah Ilham bawa Siti nanti ya,” kata Ilham Helmi seolah-olah berjanji.

Hmm… Puan Sodlina dan Encik Arif hanya mampu mengeluh dalam hati masing-masing. Tunggu dan lihat sahajalah. Seketika kemudian, kelihatan Puan Sodlina mengangguk-anggukkan kepalanya. Terdetik satu idea di dalam kotak fikirannya. Akan aku duga kesungguhan dan keazaman anak terunaku itu. Puan Sodlina sudah berkira-kira untuk melakukan sesuatu bagi menguji Ilham Helmi. Tanpa sedar dia sudah tersenyum. Hairan Encik Arif menyaksikan senyuman isterinya yang kelihatan lain macam sahaja. Manakala, Ilham Helmi pula membalas senyuman itu tanpa ada perasaan curiga.

**********

“Mana bakal menantu kesayangan mak itu? Tak sampai-sampai pun? Siti dah kata, perangai dia bukan elok sangat. Cuba tengok sekarang ini, tak menepati janji. Bukannya rumah ini jauh sangat pun. Sengaja nak tunjuk lagaklah itu. Mentang-mentanglah mak yang ajak dia makan tengahari di sini. Sukalah dia dapat makan percuma. Mak ini, buat apa nak baik-baik sangat dengan dia? Ingat tau mak, kita tak kenal dia,” mulut Siti Idora membebel tanpa henti sambil menuruni anak tangga di dalam rumahnya.

Berkerut kening Puan Madiha sebaik mendengar bebelan anak gadisnya. Sedap benar mulut Siti Idora itu berkata-kata. Memang jelas bahawa gadis bernama Siti Idora itu tidak mempedulikan perasaan orang lain apabila bercakap. Terasa mahu dicili-cili sahaja mulut comel anaknya itu.

Kalaulah Ilham Helmi mendengar umpatan mengenai dirinya, masih sudikah dia mengangkat Siti Idora sebagai calon suri hidupnya? Tahankah dia dengan mulut lancang Siti Idora? Ah…. sebenarnya mulut Ilham Helmi pun boleh tahan juga. Lihat sahaja semasa Ilham Helmi dan Siti Idora saling bertekak tempoh hari, sama-sama naik nada suara bukan?

“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Jaga sikit mulut kamu itu, Siti. Eh… kenapa kamu pakai baju yang macam itu? Dah rupa macam bangunan tak siap pula mak tengok. Janganlah pakai seluar dengan baju-T. Kamu ingat kamu itu nak pergi bersukan ke?” kali ini Puan Madiha pula yang membebel.

Patutlah mulut Siti Idora begitu petah berbicara, rupanya ibunya juga begitu. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi? Memang sah bakat membebel yang ada pada Siti Idora itu merupakan warisan turun temurun.

“Tak boleh ke pakai macam ini?” soal Siti Idora dengan riak wajah tidak bersalahnya.

“Dah… dah… pergi tukar. Pakai baju kurung. Tudung tu pinlah betul-betul. Jangan main ikat-ikat macam tu aje! Mak cik nak pergi pasar pun tak pakai macam kamu ni. Pakai kemas-kemas sikit!” Puan Madiha mula menggunakan kuasa vetonya. Tidak boleh tidak, anaknya itu wajib menurut perintahnya.

Terpamer cebikan pada bibir Siti Idora. Adakah patut dibandingkan mak cik yang mahu ke pasar dengan dirinya?

“Mana boleh bandingkan Siti dengan mak cik-mak cik itu. Siti muda lagi, mak cik-mak cik itu dah tua,” sangkal Siti idora. Ada sahaja yang mahu dilawan akan kata-kata ibunya.

“Masalahnya, cara kamu berpakaian tu dah macam orang tua. Kalau tukar seluar kamu tu dengan kain batik, dengan baju-T yang besar, tak ada gaya orang umur 25 tahun tau! Itu ha… orang zaman sekarang dah tak guna cara ikat tudung macam ikat plastik kuih macam yang kamu pakai itu,” tegur Puan Madiha.

Siti Idora mengeluh. Dia tergaru-garu kepalanya sendiri yang tidak gatal. Jika dengan orang lain dia boleh menang berlawan kata. Namun dengan ibunya, dia sukar untuk menang. Maklumlah, protege mana boleh lawan mentor.

“Yalah… yalah… Siti pergi tukar. Tapi Siti malas nak seterika baju. Siti pakai aje baju kurung yang dah berkedut sejuta itu,” akhirnya Siti Idora mengalah.

“Tak kisahlah baju itu nak berkedut sejuta ke… sepuluh juta ke… yang penting, pakai baju kurung. Cepat. Kejap lagi bakal menantu mak sampai,” desak Puan Madiha.

Amboi Puan Madiha… sudah berkenan betul nampaknya dengan lelaki bernama Ilham Helmi itu ya. Bertuahnya badan Ilham Helmi. Namun sengsaralah bagi Siti Idora. Memang sejak awal, penceroboh halaman rumahnya itu tidak disenangi kehadirannya.

Baru sahaja Siti Idora melangkah setapak dari tempat dia berdiri, tiba-tiba terdengar suara orang mengucap salam. Spontan perhatian Siti Idora dan ibunya teralih. Kelibat Ilham Helmi yang berseluar panjang hitam, berkemeja kosong hijau pucuk pisang dengan rambut yang tersisir rapi itu sudah tercegat di muka pintu. Bibirnya mengorak senyuman manis.

Terpana Siti Idora menyaksikan penampilan Ilham Helmi. Jika tidak kuat iman, boleh tergoda. Tidak dinafikan, memang Ilham Helmi mempunyai aura yang menarik. Cepat-cepat Siti Idora menyedarkan dirinya yang kian tenggelam dalam keasyikan matanya menatap Ilham Helmi. Ya… Siti Idora tertarik dengan Ilham Helmi. Namun tertarik bukan bermakna cinta tau. Sesiapa yang melihat penampilan Ilham Helmi tika itu pasti akan tertarik.

Siti Idora melihat penampilan dirinya pula. Selekeh, dia akui itu. Ah.. aku peduli apa? Tak ada maknanya aku nak pakai cantik-cantik depan lelaki sebelah rumah ni. Sempat hati Siti Idora berbisik. Puan Madiha sudah memandang semacam kepadanya, memberi isyarat agar Siti Idora cepat-cepat menukar penampilannya.

“Sudah terlambatlah, mak. Tak sempat nak tukar baju. Lain kali Siti pakai cantik-cantik ya,” ujar Siti Idora dekat di telinga Puan Madiha. Berbisik. Kelu lidah Puan Madiha mendengarnya.

“Waalaikumussalam encik….” Siti Idora menanti Ilham Helmi menyambung ucapannya.

“Ilham Helmi. Panggil aje Ilham, tak payah berencik-enciklah,” sambung Ilham Helmi memahami kehendak Siti Idora.

“Sila masuk, Ilham,” lembut suara Siti Idora menjemput Ilham Helmi masuk. Sengaja dia berlemah lembut. Jika tidak, bernanahlah nanti telinganya menahan bebelan Puan Madiha.

“Terima kasih. Cantik baju dengan tudung awak. Unik,” tiba-tiba terlontar sebuah pujian daripada mulut Ilham Helmi.

Hah? Berubah riak wajah Siti Idora. Serta merta senyuman yang baru dihadiahkan kepada Ilham Helmi mati. ‘Buta’kah lelaki yang sedang berjalan masuk itu? Cantikkah penampilan begini? Hmm… lurus bendul juga rupanya si Siti Idora ini. Oh… tidak! Dia sedang perli aku?? Mujur sahaja lurus bendul Siti Idora itu tidak lama. Otaknya kembali ligat mentafsir.

“Mari… mari makan. Tunggu lama-lama nanti sejuk pula makanan itu,” ajak Puan Madiha tatkala menyedari yang perang dingin sudah mula mengibarkan benderanya.

Mata Siti Idora dan Ilham Helmi saling bertentang. Tanpa menunggu lama, Puan Madiha terus menarik tangan Siti Idora. Ilham Helmi menuruti langkah mereka. Aku tahu tujuan kau berpakaian begitu, Siti. Walau kau berpakaian seperti pengemis sekalipun, pendirian aku tidak akan berubah. Walau aku dan kau tidak saling cinta, tapi aku sudah memilihmu. Aku akan mencuba memikat hatimu. Namun bukan cinta paksa yang aku harapkan. Akan aku raih cintamu, melalui caraku sendiri. Kaulah wanita pengganti Siti Nurhaliza yang bakal menjadi ratu hatiku.

**********

Akhirnya, atas arahan Puan Madiha, Siti Idora berbaik-baik juga dengan Ilham Helmi. Kini dia dan Ilham Helmi sudah bergelar pasangan kekasih. Demi ibunya yang tersayang, dia rela berkorban. Korban hati. Namun tidak semudah itu dia akan menyerahkan hatinya kepada Ilham Helmi. Bukan dia tidak mahu menerima lelaki itu, tetapi sungguh dia tidak ada hati padanya. Bagaimana mungkin dia boleh menyerahkan hatinya kepada orang yang tidak dia sukai. Dia sering mengingatkan dirinya sendiri bahawa hubungannya dengan Ilham Helmi itu hanyalah kekasih pada nama. Sekadar untuk memenuhi kehendak ibunya.

Apa yang pasti, Siti Idora tidak boleh bertemu dengan Ilham Helmi. Emosinya selalu sahaja tidak stabil tatkala mata bertentang mata. Bukan hanya itu, suara Ilham Helmi itu juga mudah menimbulkan angin kurang baik kepadanya. Pendek kata, semua yang ada pada Ilham Helmi akan membuatkan jiwanya kacau. Kenapa agaknya? Hanya Siti Idora yang mempunyai jawapannya.

Siti Idora hanya dapat memikirkan satu cara untuk melepaskan diri daripada Ilham Helmi, iaitu dia akan cuba membuatkan lelaki itu berasa benci dan putus harapan terhadapnya. Jika Ilham Helmi sudah tidak suka kepadanya, mudahlah baginya untuk memberi alasan kepada Puan Madiha agar tidak terus mendesaknya berpasangan dengan Ilham Helmi. Mulai saat ini, dia harus bekerja keras dalam menjayakan misinya itu. Misi yang boleh dikatakan gila, namun tidak dianggap gila oleh seorang gadis bernama Siti Idora.

Minta maaf Ilham, aku bersalah kepadamu. Aku tidak harus mempermainkan perasaanmu. Sebelum kau benar-benar jatuh cinta kepadaku, aku harus menegah. Bisik hati Siti Idora tanpa menyedari bahawa Ilham Helmi itu juga bukan memilihnya kerana cinta. Tetapi kerana desakan keluarga dan kerana pangkal namanya yang bermula dengan perkataan Siti. Pengganti Siti Nurhaliza kononnya. Namun semua sebab itu adalah di luar pengetahuan Siti Idora.

Sudah beberapa kali Ilham Helmi mengajaknya bertandang ke rumah keluarga Ilham Helmi. Namun tidak pernah sekali pun dia menerima ajakan itu. Sungguh-sungguh dia tidak mahu meletakkan harapan terhadap Ilham Helmi dan keluarganya. Baginya, apabila sesuatu hubungan itu sudah melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak, hubungan itu telah mencapai tahap yang serius. Tidak! Dia tidak boleh membiarkan perkara itu terjadi. Dia tidak boleh serius dengan Ilham Helmi. Tidak boleh! Kerap kali hatinya memberontak sendiri.

Siti Idora berazam bahawa dia akan membuatkan ibunya rela melepaskan Ilham Helmi dari dalam hidupnya. Bukannya dia mahu berlaku kejam terhadap perasaan sesiapa, tetapi dia terpaksa. Dia tahu, hatinya tidak mungkin dapat menerima Ilham Helmi. Dia tidak mampu…! Tanpa disedari, air mata jernih mula membasahi pipinya. Perasaan rindu tiba-tiba menyapa jiwanya. Ya.. dia amat merindui seseorang. Dan hatinya hanya milik orang itu. Tiada yang lain, kerana hanya dialah di hati… dulu, kini dan selamanya. Dia tidak bersedia untuk menerima kehadiran lelaki lain bernama kekasih. Sayang…. tunggu Siti di syurga… Siti hanya milik abang!

**********

Seperti biasa Ilham Helmi memasang lagu-lagu daripada penyanyi Siti Nurhaliza. Sambil menguatkan lagu Percayalah yang kini sedang dimainkan, Ilham Helmi memandang sekilas ke arah wajah Siti Idora di sebelahnya. Dia perasan akan riak mendung pada wajah kekasihnya itu. Dia harus membuat sesuatu bagi menceriakan hati Siti Idora. Semenjak Siti Idora menerima dirinya sebagai kekasih, dia seakan kehilangan sesuatu. Ya… dia kehilangan suara Siti Idora yang begitu petah berbicara. Dia menjadi rindu untuk bergaduh manja dengan Siti Idora. Dia mahukan Siti Idora yang dahulu. Jika Siti Idora terus berkeadaan seperti sekarang, dia sendiri mati akal untuk mengendalikan perhubungan ini.

“Alamak hai… Siti Nurhaliza lagi! Awak ni tak ada lagu daripada penyanyi lain ke? Sejak saya kenal awak, asyik lagu-lagu dia aje yang saya dengar! Awak tak sedar ke yang saya ni tak suka Siti Nurhaliza? Saya bosan tahu tak!” tiba-tiba terdengar suara lentingan daripada Siti Idora. Terkejut Ilham Helmi yang sedang berfikir apakah cara untuk menceriakan kekasih hatinya itu.

Tergamaknya Siti Idora berkata begitu. Jika mahu tegur pun, tegurlah benda lain. Hal-hal yang bersangkut paut dengan Siti Nurhaliza ni, memang pantang jika ada sesiapa yang menegurnya.

“Eh… selama ini awak tak ada masalah pun dengan lagu-lagu Siti Nurhaliza? Semakin hari, saya rasa awak semakin berubah. Awak dah tak ceria macam dulu. Kenapa Siti? Kalau awak ada masalah, awak boleh ceritakan pada saya. Saya sentiasa ada di sisi awak, dan saya akan jaga awak sebaik-baiknya. Tapi dengan satu syarat, iaitu, awak harus tersenyum selalu,” Ilham Helmi cuba mengorek rahsia Siti Idora.

Ilham Helmi akui, semakin hari dia semakin rasa sayang terhadap Siti Idora. Tidak kiralah atas alasan apa, apabila kita sudah membuat keputusan untuk membuka pintu hati kita kepada seseorang, perasaan cinta yang tiada sebelum ini pasti akan datang menjelma dengan sendirinya. Itulah yang sedang dialami oleh Ilham Helmi. Sebaliknya, apabila kita sudah menutup pintu hati kita kepada seseorang, amatlah sukar untuk kita menerima kehadirannya walau seribu kata manis, seribu kata cinta, dan seribu kebaikan telah ditaburkan. Ini pula situasi yang sedang dialami oleh Siti Idora. Jika sudah begini keadaannya, di manakah agaknya destinasi hubungan pasangan kekasih ini?

“Ya… saya ada masalah. Cuba awak tengok di dashboard kereta awak ni, penuh dengan bingkai gambar Siti Nurhaliza. Tak ada satu pun gambar saya. Dan saya rasa awak juga lebih banyak mendengar suara Siti Nurhaliza berbanding suara saya. Saya cemburu tahu tak? Lebih baik saya tak payah bercakap dengan awak. Tak perlu awak mendengar suara saya lagi. Dan saya juga rasa yang awak lebih suka memandang wajah Siti Nurhaliza berbanding wajah Siti Idora. Jadi, lebih baik saya hilang daripada kehidupan awak. Lepaskan saya pergi, Ilham. Mulai hari ini, kita putus!” begitu lancar kata-kata yang dihamburkan oleh Siti Idora itu. Panjang berjela. Entah sejak bila dia menahan kata-kata itu di dalam hatinya. Sebaik menghabiskan ayat terakhirnya, Siti Idora terus menolak pintu kereta, keluar dan langsung memasuki rumahnya.

Maafkan aku, Ilham. Siti Nurhaliza itu hanya alasan aku sahaja. Siti Nurhaliza tidak bersalah. Sebaliknya aku yang telah mengambil kesempatan ke atas namanya demi melepaskan diriku daripadamu.

Lidah Ilham Helmi terasa kelu. Tidak pernah terlintas di fikiran yang minatnya terhadap Siti Nurhaliza itu telah menjadi punca keretakan hubungannya dengan Siti Idora. Beberapa kali dia menggeleng, dia tidak percaya. Namun itulah hakikatnya. Dia sendiri mendengar alasan itu daripada mulut Siti Idora. Lama dia terkaku di dalam kereta di hadapan rumah bekas kekasihnya. Bekas kekasih? Alangkah peritnya menyebut perkataan itu. Bersama seribu kelukaan di hatinya, dia memasukkan gear satu dan mula menekan minyak keretanya.

Setelah memasukkan barang-barang keperluannya ke dalam beg sandang, dia terus menemui Asrizal seraya mengucapkan terima kasih kerana sudi menumpangkan dia di rumah itu. Tanpa berselindung, dia menyatakan hasratnya untuk meninggalkan rumah itu pada saat itu juga.

Terpinga-pinga Asrizal berhadapan dengan tindakan drastik Ilham Helmi. Tangannya terhenti seketika daripada memasukkan pakaian kotornya ke dalam mesin basuh. Tidak sempat dia bertanya lebih lanjut, sahabatnya itu sudah keluar dari rumah. Kepalanya tergeleng-geleng mengenangkan kedatangan Ilham Helmi yang seperti ribut dahulu. Kini Ilham Helmi pergi juga seperti ribut. Entah angin apa yang melanda.

**********

Sayup-sayup kedengaran suara tangisan Siti Idora di dalam bilik. Kini dia berada di kampung. Perlahan-lahan Puan Madiha melekapkan telinganya pada pintu bilik Siti Idora. Sudah seminggu anaknya itu pulang. Namun Puan Madiha masih belum mengetahui apa yang terjadi. Anaknya itu hanya mendiamkan diri, menangis dan memencilkan diri di dalam bilik sahaja. Putus cintakah dia? Teka Puan Madiha sendiri. Tangannya mula memutar tombol pintu. Dia harus bertindak. Dia tidak boleh membiarkan anaknya terus berkeadaan seperti itu. Dia harus tahu sebabnya.

“Siti…. kenapa kamu menangis?” Puan Madiha memberanikan diri untuk bertanya.

Sedang Puan Madiha menanti jawapan, dirinya tiba-tiba dipeluk erat. Siti Idora terus menangis semahu-mahunya di bahu ibu tersayang. Belakang badan Siti Idora ditepuk perlahan oleh Puan Madiha. Dia berusaha menenangkan Siti Idora.

“Siti… Siti rindu sangat kat dia, mak!” rengek Siti Idora setelah tangisannya reda.

“Siti ada masalah dengan Ilham ya?” Puan Madiha cuba meneka.

Soalan Puan Madiha itu dijawab dengan anggukan oleh Siti Idora.

“Ini balik kampung sebab merajuk dengan Ilhamlah ya?” tanya Puan Madiha lagi.

Siti Idora tidak memberi sebarang jawapan.

“Jadi, sekarang ini Siti rindukan Ilham?” tidak-tidak puas Puan Madiha meneka.

Kali ini soalan Puan Madiha itu dijawab dengan gelengan pula. Berkerut dahi Puan Madiha.

“Siti… Siti rindukan… Hafiz..” luah Siti Idora dalam nada sebak.

“Masya-Allah…. Siti masih cintakan dia ke?” berhati-hati Puan Madiha bertanyakan hal sensitif itu.

“Cinta sangat, mak! Siti tak boleh lupakan dia. Dia cinta pertama Siti,” kata Siti Idora. Air matanya seperti mahu mengalir kembali.

“Siti, tak baik buat macam ni. Dah hampir dua tahun dia tinggalkan kita. Dia pergi takkan kembali lagi. Kita hanya mampu mendoakan kesejateraan dia di alam sana. Kita yang masih hidup ni, kena teruskan hidup macam biasa. Sampai bila Siti nak bersedih macam ni? Kalau dia nampak Siti begini, mesti dia pun rasa sedih juga,” nasihat Puan Madiha.

Rambut anaknya itu diusap penuh kasih. Imbasan wajah arwah Hafiz yang telah meninggal dunia kerana penyakit barah terlayar di fikirannya. Dia tidak menyangka, sudah lama masa berlalu. Namun cinta anaknya itu masih kuat untuk arwah Hafiz. Kini dia sedar bahawa dia telah menyiksa Siti Idora tatkala menyuruh anaknya itu berbaik-baik dengan Ilham Helmi selaku calon menantunya.

“Siti tak boleh, mak. Siti tak boleh lupakan dia. Dan Siti juga tak boleh terima lelaki lain dalam hidup Siti,” kuat suara Siti Idora menuturkan kata-kata itu. Melihatkan keadaan Siti Idora yang amat memerlukan sokongannya itu, dia pantas mengangguk tanda dia menerima kata-kata baru dituturkan anaknya.

“Mak minta maaf, nak. Maklah punca Siti jadi macam ini. Kalau mak tak suruh Siti kawan dengan Ilham, mesti Siti tak teringatkan arwah Hafiz kan? Mak sangat sayangkan Siti. Mak cuma mahu Siti beroleh kebahagiaan. Maafkan mak ya, nak…. maafkan mak…” sayu sungguh suara Puan Madiha tika itu.

Tubuh Puan Madiha pantas dipeluk sekali lagi oleh Siti Idora.

“Siti tak pernah salahkan mak. Sebab…. Siti pun sangat sayang pada mak!” balas Siti Idora.

Lama Puan Madiha dan Siti Idora berpelukan.

**********

Kepulangan Ilham Helmi mengejutkan Puan Sodlina dan Encik Arif. Bukan apa, mereka hanya tidak menyangka yang Ilham Helmi akan pulang pada hari itu. Setelah memberitahu bahawa dia telah menemui Siti Nurhalizanya, dia terus pergi tidak pulang-pulang. Apabila disuruh pulang oleh Puan Sodlina dan Encik Arif, dia hanya meminta mereka menanti. Katanya dia tidak akan pulang seorang diri. Siti Idora akan pulang bersamanya. Namun kini…. di hadapan Puan Sodlina dan Encik Arif itu, Ilham Helmi sedang berdiri seorang diri. Di manakah Siti Idora yang selalu disebut-sebut namanya?

Puan Sodlina dan Encik Arif memandang penuh makna ke arah wajah muram Ilham Helmi.

“Ilham nak masuk bilik dulu mak, ayah,” kata Ilham Helmi tanpa nada. Mendatar. Lantas dia mengorak langkah dengan laju. Terkunci mulut kedua-dua orang tuanya. Tidak berani pula mereka menegur tingkah laku dan reaksi Ilham Helmi yang kelihatan pelik itu. Sewaktu Puan Sodlina membukakan pintu rumah tadi, tidak pula Ilham Helmi bersalam dengannya. Apa sudah jadi dengan dia? Bukankah dia sudah mengatakan yang dia akan mengubah sikap dan tingkah lakunya ke arah yang lebih baik?

Puan Sodlina kembali duduk di samping suaminya di atas sofa. Hujung-hujung minggu begini memang asyik berehat-rehat di rumah. Meluangkan masa bersama suaminya yang asyik sibuk bekerja itu. Tiada hari lain yang boleh diharapkan. Memang dia amat menanti-nantikan hari hujung minggu.

Seketika kemudian, terdengar jeritan daripada bilik Ilham Helmi. Kemudian kelihatan Ilham Helmi terkocoh-kocoh berjalan menghampiri ruang tamu.

“Mak! Mana poster-poster Siti Nurhaliza dalam bilik Ilham?” laju Ilham Helmi bertanya Puan Sodlina.

“Mak dah buang. Bukan ke kamu dah berubah? Kononnya mahu menjadi lelaki yang lebih baik untuk mendidik bakal isteri kamu. Kenalah matang sikit perangai tu. Poster-poster tu takkan buat kamu jadi matang pun,” suara Puan Sodlina mengutarakan pendapatnya, sekali gus membela tindakannya.

“Mak buang di mana? Ilham nak pergi ambil balik. Ilham tak peduli, Ilham nak tampal balik. Ilham dah malas nak cari Siti Nurhaliza Ilham lagi. Biarlah Ilham macam ni saja. Hidup dengan poster-poster dan lagu-lagu Siti Nurhaliza,” lain macam sahaja ucapan Ilham itu.

Berkerut kening Puan Sodlina dan Encik Arif yang mendengar setiap butir bicara Ilham Helmi. Apa sudah jadi?

“Mak dah bakar,” perlahan suara Puan Sodlina memberitahu.

Terbeliak biji mata Ilham Helmi. Sampainya hati mak buang dan bakar barang-barang kesayangan Ilham. Rungut hati Ilham Helmi. Mujurlah koleksi album Siti Nurhaliza tidak dibakar sama. Jika tidak…. menangis tidak berlagulah Ilham Helmi jawabnya. Bukan murah tahu semua album itu. Original, pastilah mahal.

Tanpa sepatah kata lagi, Ilham Helmi terus masuk ke bilik. Dia mencapai kunci kereta dan terus keluar dari rumah tanpa sebarang pamitan. Sekali lagi mulut Puan Sodlina dan Encik Arif terkejut. Melopong mulut masing-masing. Kepulangan Ilham Helmi pada kali ini memang penuh dengan kejutan.

“Itulah awak, bukan ke saya dah ingatkan. Jangan usik barang-barang dia. Tengok, dia dah marah,” marah Encik Arif.

“Saya memang sengaja bakar semua poster itu. Saya tak yakinlah dia boleh berubah. Kalau dia masih nak tampal gambar-gambar artis dalam bilik dia, itu tandanya dia tak matang lagi. Lainlah kalau tampal gambar tokoh-tokoh dan pemimpin negara. Barulah nampak wawasan dalam hidup dia,” leter Puan Sodlina.

“Tapi, awak kenalah buang sikit-sikit. Bukannya semua sekali. Kalau sayalah, ada orang buang barang-barang kegemaran saya, saya pun marah tahu,” beritahu Encik Arif.

Wajah Encik Arif direnungnya. “Abang pun…. ada simpan gambar-gambar artis perempuan ke?” terjah Puan Sodlina.

Encik Arif tergelak. “Mana ada. Awak sendiri tahu kan, saya ni suka simpan gambar-gambar pemandangan. Kalau awak buang gambar-gambar pemandangan saya, saya mogok tak nak balik rumah,” usik Encik Arif.

Terbuntang biji mata Puan Sodlina tatkala mendengar hujung ucapan suaminya.

“Abang… gambar pemandangan tak sama macam gambar artis perempuanlah. Anak kita tu lelaki. Saya takut dia jadi tak normal kalau terlalu gilakan artis perempuan macam Siti Nurhaliza tu. Abang ni pun sama perangai macam Ilham. Suka mogok tak nak balik rumah. Tengok sekarang ni, Ilham dah keluar rumah. Ikut perangai abanglah tu,” seperti bertih jagung mulut Puan Sodlina berkata-kata. Mujurlah Encik Arif sudah biasa dengan mulut banyak isterinya.

Bunyi kereta berhenti di hadapan rumah kedengaran. Terbantut perbualan antara Puan Sodlina dan Encik Arif. Siapakah yang datang itu? Pantas Puan Sodlina membuka pintu. Ilham Helmi? Ilham Helmi terus masuk ke dalam rumah sambil memegang poster-poster Siti Nurhaliza yang baru. Terkelip-kelip biji mata Puan Sodlina memandangnya.

Puan Sodlina menoleh ke arah suaminya.

“Tengok…. Ilham tak mogok keluar dari rumah tau. Lain kali jangan bakar lagi barang-barang kegemaran dia. Kita kena ubah dia sedikit demi sedikit. Kita sokong dia cari teman wanita. Saya yakin, setelah dia jatuh cinta dengan seseorang, dia sendiri yang akan buang semua poster-poster tu,” Encik Arif bersuara.

“Hmm…. pandainya abang berkata-kata. Baiklah, saya nak bakar gambar-gambar pemandangan abang pulalah. Tangan ini tiba-tiba saja rasa gatal nak membakar lagi,” kata Puan Sodlina.

“Awak jangan cari pasal,” Encik Arif memberi amaran.

“Ha..ha..ha.. saya gurau sajalah, bang. Abang ni dah tua-tua bangka pun tak matang-matang lagi,” selamba sahaja Puan Sodlina mengata suaminya.

“Ini bukan isu matang atau tak matang. Tapi ini isu minat dan kegemaran masing-masing,” bela Encik Arif.

“Yalah… yalah, abangku sayang,” akhirnya Puan Sodlina mengalah. Malas dia mahu bertekak lagi.

**********

Setahun kemudian…..

Album Siti Nurhaliza terpamer elok di atas rak kedai. Hanya tinggal sebuah. Maklumlah, album artis paling popular pasti terjual dengan cepat seperti pisang goreng panas. Tanpa diduga, terdapat dua tangan yang tiba-tiba memegang album itu. Kedua-dua tangan itu saling menarik album tersebut. Masing-masing tidak mahu melepaskan tangan masing-masing.

“Maaf saudari, saya yang pegang album ni dulu,” terdengar suara lelaki. Album itu terus terus dipegangnya.

Wanita yang juga sedang memegang album Siti Nurhaliza itu terpana. Suara itu? Pantas dia melepaskan tangannya. Dia menoleh ke arah wajah lelaki itu.

“Awak??” wanita itu terjerit spontan.

“Awak??” balas lelaki itu pula.

Tanpa berfikir panjang, wanita itu terus melarikan diri. Lelaki itu berusaha mengejar. Akhirnya larian wanita itu terhenti di hujung koridor. Jalan mati, tiada laluan lagi di hadapannya. Lelaki itu sudah berdiri tepat di belakangnya.

“Siti,” panggil lelaki itu.

“Maafkan saya, Ilham,” Siti bersuara. Ilham Helmi tidak memberi sebarang reaksi.

Siti Idora tahu dia bersalah kerana meninggalkan Ilham Helmi. Sungguh-sungguh pada waktu itu dia tidak mampu menerima kehadiran Ilham yang mahu serius menjalin hubungan dengannya. Kini dia sudah bersedia untuk menerima insan lain bernama kekasih. Namun bukan bermakna dia telah melupakan arwah Hafiz. Ingatan terhadap bekas kekasihnya itu tidak akan luput daripada ingatannya. Namun dia yakin, arwah Hafiz pasti tidak mahu melihat dia terus menolak lelaki lain. Tambahan pula, masa yang berlalu membuatkan dirinya semakin matang. Dia mulai terasa sunyi hidup sendiri.

“Untuk awak,” ucap Ilham Helmi sambil menghulurkan album Siti Nurhaliza yang menjadi rebutan mereka.

“Alamak! Siti Nurhaliza lagi! Saya tak minat dialah,” balas Siti Idora.

Ilham Helmi terkedu. Hairan pula dia mendengar ucapan Siti Idora. Jika tidak meminati Siti Nurhaliza, untuk apa berebut album dengannya? Oh ya… baru dia teringat. Kerana Siti Nurhalizalah Siti Idora memutuskan hubungan dengannya.

“Tak apalah,” Ilham Helmi sudah berkira-kira mahu pergi.
Namun, baru beberapa tapak Ilham Helmi melangkah, namanya dipanggil oleh Siti Idora. Pantas dia menoleh. Dilihatnya Siti Idora sudah bergerak menghampirinya.

“Kalau dahulu saya memutuskan hubungan kerana Siti Nurhaliza, tetapi sekarang saya juga menerima awak kerana Siti Nurhaliza. Sebab, album dia yang telah menemukan kita kembali. Itupun… jika awak masih sudi dengan saya…” kata Siti Idora sambil menadah tangannya. Menanti album Siti Nurhaliza yang masih dipegang oleh Ilham Helmi.

Spontan terlukis senyuman pada wajah Ilham Helmi. Album Siti Nurhaliza di tangannya itu pantas dihulurkan kepada Siti Idora. Dan Siti Idora menyambutnya tanpa ragu-ragu.

“Mulai hari ini, dalam hati saya hanya ada nama Siti Idora. Bukan nama Siti Nurhaliza. Awak jangan putuskan hubungan ini lagi ya?” pinta Ilham Helmi.

Siti Idora tergelak mendengar permintaan itu.

“Awak boleh percayakan saya. Dengan syarat, awak kena buang semua gambar-gambar Siti Nurhaliza di dalam kereta awak tu,” sengaja Siti Idora meletakkan syarat itu. Memang dia tidak mahu Ilham Helmi menyimpan gambar Siti Nurhaliza. Mana ada wanita yang suka melihat kekasihnya menyimpan dan memuja gambar wanita lain. Jika dia yang menyimpannya tak mengapalah.

“Awak jangan risau, lepas ni saya akan buang semua gambar dia termasuk yang berada di dalam bilik saya,” beritahu Ilham Helmi.

“Ha? Dalam bilik??” ternganga mulut Siti Idora.

“Oppss!!” Ilham Helmi sudah menekup mulut sendiri. Terbongkar sudah yang dia itu merupakan peminat fanatik penyanyi Siti Nurhaliza.

Ilham Helmi tersengih. Siti Idora tergelak kemudiannya. Daripada tersengih, Ilham Helmi turut ketawa mengikut Siti Idora. Ya Allah… Semoga semua ini merupakan permulaan yang baik dalam hubungan mereka. Semoga perhubungan itu sampai ke jinjang pelamin. Amin.

TAMAT.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

40 ulasan untuk “Cerpen : Alamak! Siti Nurhaliza Lagi!”
  1. Noraz Ikha says:

    Terima kasih banyak2 Lania….. 😉 😉

  2. missfiza says:

    best! cume ending cm nk cpt abs…tp xpe…still ok..hehe~

  3. Pa'ah Mohd Isdris says:

    Best~
    Keep it up !

  4. Noraz Ikha says:

    Terima kasih kepada missfiza dan Pa’ah Mohd Isdris…. 😉

  5. faty says:

    best2!!hehe

  6. sodlina says:

    walu ending ekpress tp still leh ditrima..

  7. kirana says:

    wee bestnya.. 😛
    tak sia-sia baca…
    good job n i loike cover cerpen tu 😆

  8. mi$$ what3v3r says:

    best lah cerpen tp ending dier cam nk cpt jer…
    klu blh nk cerpen tuh akhir sampai diorg kawen..huhu
    pepon cerpen nih best 😉 :smile: 😛 :mrgreen: 😆 😀

  9. Nur Dara Adalia says:

    :mrgreen: chaiyok..!

  10. Noraz Ikha says:

    Terima kasih Nur Dara Adalia

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.