Cerpen : Alang-Alang Menyeluk Pekasam

17 July 2011  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

Aku baru sahaja menghabiskan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda di sebuah universiti. Seperti graduan yang lain, aku juga berharap akan mendapat pekerjaan yang baik selepas ini. Tetapi sebelum itu, aku harus bersedia bagi menghadapi cabaran di dalam dunia pekerjaan yang bakal aku tempuhi itu. Antara persediaan yang sudah aku rancangkan ialah pertama, mendapatkan lesen memandu. Kedua ialah mencari maklumat mengenai jawatan kosong yang terdapat di Malaysia ini. Dan ketiga ialah berlatih bercakap di hadapan cermin mengikut panduan menghadapi temuduga yang telah aku perolehi daripada internet.

Hmmm…. rasanya persediaan kedua dan ketiga itu tidaklah menjadi masalah kepadaku. Tetapi, persediaan pertama itu merupakan masalah yang paling besar di dalam hidup aku. Menyentuh stereng kereta pun aku tidak pernah. Ditambah dengan perasan takut yang kuat di dalam diri, mampukah aku belajar memandu? Kebelakangan ini terlalu banyak berita mengenai kemalangan jalan raya yang dipaparkan di dalam surat khabar dan juga di televisyen. Ada yang putus tangan, putus kaki, badan hancur dan macam-macam lagi. Huh, seram aku melihatnya!

Jantung aku ini asyik berdegup dengan laju sahaja apabila teringatkan persediaan pertama itu. Tetapi mahu atau pun tidak, aku harus mendapatkan lesen tersebut kerana aku telah pun mendaftar di sebuah pusat latihan memandu. Dan latihan itu akan bermula pada esok hari. Huwaaa, takutnya!!!

*****

Ponnn!!

Bunyi hon bergema dengan kuatnya di kawasan pusat latihan memandu. Bagaimana hon kereta ini boleh berbunyi sedangkan aku tidak berbuat apa-apa pun? Lagi pula aku baru sahaja melangkah masuk ke dalam kereta ini dan terus duduk di kerusi memandu. Alamak! Bagaimana hendak menghentikan bunyi hon ini? Aku lihat hampir semua orang yang berada di pusat latihan memandu ini sudah memandang ke arah kereta belajar memandu yang sedang aku naiki. Aku mula menjadi tidak tentu arah.

“Alihkan tangan awak tu daripada stereng.” Tiba-tiba telinga aku menangkap suara seseorang memberikan arahan.

Secara automatik aku menoleh ke arah datangnya suara itu, namun tidak pula aku mahu mematuhi arahan tersebut. Salahkah aku menekan bahagian tengah pada stereng itu sebagai cara meredakan perasaan takut dan debar di dalam diri aku ini? Lagi pula aku harus berani menyentuh stereng kereta, barulah aku akan berani memandu kereta ini nanti.

Aku dapati seorang lelaki dalam lingkungan umur tiga puluh hingga tiga puluh lima tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan itu sedang memandang aku dengan kening yang berkerut. Namun bibinya seolah-olah mahu mengukir senyuman, tetapi seperti ditahan-tahan. Huh! Jika kau mahu ketawakan aku, ketawa sahajalah. Tidak perlu ditahan-tahan begitu. Memang aku tidak tahu apa-apa berkenaan hal kereta. Dan aku tidak kisah jika kau mahu ketawa sampai berguling-guling sekalipun. Getusku di dalam hati.

“Saya kata, alihkan tangan awak. Bunyi hon ini berpunca daripada bahagian tengah stereng yang awak tekan tu. Di situlah tempat hon,” jelas lelaki itu. Sekali lagi dia mengarahkan aku melepaskan stereng.

Secepat kilat aku mematuhi arahannya. Hisyy, manalah aku tahu di bahagian tengah stereng itu ialah tempat hon! Sesuka hati pula aku menekannya. Aku tersengih kepada lelaki itu sebagai cara mengawal perasaan malu yang pastinya sudah memerahkan wajahku pada saat ini.

“Nama saya Nazhan. Sayalah yang akan mengajar awak memandu kereta ini.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Ada senyuman yang terbit di bibir lelaki itu pada hujung ucapannya. Ohh… rupa-rupanya dia ini merupakan cikgu memandu aku.

“Nama saya Nur Nayli Liwani. Encik boleh panggil saya dengan nama Nayli sahaja,” balas aku sambil tersenyum.

“Baiklah, Nayli. Sebelum saya memulakan sesi latihan ini, saya mahu bertanyakan awak satu soalan. Apa yang awak tahu tentang kereta?” Tanya Encik Nazhan.

“Saya tak tahu apa-apa tentang kereta. Ini adalah kali pertama saya mahu belajar memandu,” jawab aku dengan jujur.

“Takkanlah awak tak tahu apa-apa? Awak tahu tak benda yang awak tekan tadi itu namanya ialah stereng?” Duga Encik Nazhan.
Aku mula mengerutkan kening. Hisyy, itu budak kecil pun tahu! Encik Nazhan ini sengaja mahu mengenakan akukah?

“Awak kata, awak tak tahu apa-apa. Janganlah marah dengan soalan saya tu,” ujar Encik Nazhan sambil tersengih, dia bijak membaca riak wajahku.

Pantas sahaja aku membuang kerutan di keningku. “Tak adalah, saya tak marah,” balas aku dengan diakhiri senyuman yang sengaja dibuat-buat.

“Okey. Sama ada awak sudah tahu ataupun belum, saya mahu memperkenalkan komponen-komponen asas yang wajib diketahui oleh semua pemandu.” suara Encik Azhan. Aku sekadar mengangguk.

Setelah dia memberitahuku di manakah letaknya kedudukan gear satu hingga gear undur pada kotak gear, mengenal pasti yang mana satukah pedal clutch, pedal break, dan pedal minyak di dalam kereta ini, dia menyuruh aku menghidupkan enjin. Dengan perasaan takut dan gemuruh yang kuat, aku memusingkan kuncinya sedikit demi sedikit. Akhirnya enjin kereta telah berjaya aku hidupkan. Fuhh! Lega! Tersenyum panjang aku dibuatnya.

Encik Nazhan mengajar aku bagaimana pula mahu menyalakan isyarat ke kanan dan ke kiri serta bagaimana hendak menghidupkan pengelap cermin kereta hadapan dan belakang.

“Cuba tekan pedal minyak tu,” arah Encik Nazhan.

Hahh!! Tak mahulah! Aku takut untuk menekan pedal minyak itu. Aku bimbang jika kereta ini akan terus meluncur laju tanpa sempat aku mengawalnya. Mati kataklah jawabnya aku nanti.

“Tekan saja pedal minyak tu. Nak takut apa? Jangan risau, kereta ini takkan melompatlah!” tegas Encik Nazhan, seperti dia faham sahaja dengan kebimbangan dan ketakutan yang sedang aku alami pada saat ini.

Perlahan-lahan aku mula menekan pedal minyak. Vroomm!! Kereta viva manual berwarna putih itu mengaum dengan kuat. Pantas sahaja aku melepaskan kembali pedal minyak tersebut. Mujurlah hanya mengaum. Tetapi… mengapa kereta ini tidak bergerak, ya? Bukankah pedal minyak itu bertujuan untuk menggerakkan kereta?

Aku suarakan persoalan yang menyerbu ke dalam kotak fikiranku ini kepada Encik Nazhan. Encik Nazhan mengatakan bahawa kereta itu kini sedang berada di dalam keadaan gear bebas. Andai aku menekan pedal minyak itu sekuat hati sekalipun, kereta itu hanya akan mengaum dan tidak akan bergerak walaupun seinci. Aku mengangguk-angguk seperti burung belatuk apabila mendengar penerangannya itu.

Pertama kali aku berjaya menggerakkan kereta itu, gembira bukan kepalang rasa hatiku ini. Hari ini, aku diajar memandu hingga ke gear dua. Sesekali kereta itu mengeluarkan bunyi geseran yang kuat dan mengilukan gigi. Keadaan ini berlaku apabila aku gagal memasukkan gear kerana tidak betul menekan pedal clutch. Sudah lebih daripada lima kali aku berpusing di litar pusat latihan memandu itu. Ah, rupa-rupanya bukanlah susah sangat mahu memandu. Puas sungguh aku rasakan apabila kereta itu membelok mengikut arah yang telah aku arahkan pada sterengnya.

*****

Aku berjaya mempelajari cara memandu di bahagian bukit walaupun pada mulanya kereta itu berundur ke belakang. Enjin kereta juga mengaum dengan sangat kuat apabila aku tetap menekan pedal minyak walaupun kereta itu sedang berundur menuruni bukit di dalam litar itu. Begitu juga di bahagian tempat letak kereta, aku telah berjaya meletakkan kenderaan dengan baik walaupun pada awalnya lebih daripada tiga tiang telah aku langgar. Berdenting kuat bunyi tiang itu jatuh ke atas jalan tar hingga menarik perhatian semua orang yang berada di pusat latihan memandu itu. Bukan sahaja orang, kucing yang berada di kedai makan di hujung pusat latihan memandu itu juga turut menoleh ke arahku.

Setiap kali aku melakukan kesalahan, Encik Nazhan akan menegur aku. Perasaan malu memang tidak mampu aku nafikan lagi. Namun demi sekeping lesen, aku tetap wajib meneruskan latihan memandu ini. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang aku belajar memandu, biarlah aku belajar sehingga lulus dan mendapat lesen. Alang-alang belajar A, biarlah belajar sampai Z. Walaupun aku belum mempunyai kereta sendiri, aku harus mempunyai lesen kereta sebagai persediaan masa hadapan. Aku tidak mahu berada di dalam keadaan sudah hujan barulah sibuk mencari payung. Tiada gunalah lagi payung itu andai diri sudah kuyup.

“Jom kita ke jalan raya,” kata-kata Encik Nazhan itu mengejutkan aku yang sedang berkhayal.

Alamak! Perasaan takut kembali kembali menyerang diriku. Sudahlah di jalan raya itu banyak kenderaan yang laju-laju, haii… bolehkah aku boleh memandu di sana? Aku masih mahu berlatih di dalam litar pusat latihan memandu ini sahaja.

“Encik Nazhan, saya takutlah hendak memandu di jalan raya. Boleh tak kalau saya minta tangguh,” pintaku dengan suara yang hampir menggeletar.

Encik Nazhan memandang sinis ke arah wajahku yang sudah pucat seperti tiada darah.

“Awak nak tangguh sampai bila? Sampai tahun hadapan ke?” Soal Encik Nazhan kembali. Kedengarannya dia dia sedang memerli permintaan aku sebentar tadi. Boleh tahan pedas juga ayat yang keluar dari mulutnya itu.

“Eh, tak ada lah sampai tahun hadapan, Encik Nazhan. Tapi tangguhkan sekejap sahaja, dalam dua tiga hari,” balas aku separuh membela diri.

“Hanya kerana awak takut, awak hendak tangguhkan? Memang di dalam memandu kenderaan, kita tidak boleh ada perasaan takut yang cuma akan membuatkan kita menjadi panik. Tetapi cuba awak fikir, apabila kita melayan perasaan takut itu, kita akan menjadi lebih takut lagi. Saya tidak rasa sikap bertangguh itu akan mampu membuang perasaan takut. Sebaliknya sikap bertangguh itu hanya akan membuatkan kita menjadi malas. Inilah punca kepada kebanyakan perancangan yang terhenti di pertengahan jalan. Awak mahu ke usaha mendapatkan lesen awak ini terhenti? Hanya dengan tidak bertangguh sahajalah awak akan mampu melawan perasan takut itu,” luah Encik Nazhan.

Hmmm… panjang sungguh kata-kata Encik Nazhan itu. Aku sudah terasa seperti sedang mendengar ceramah motivasi pula. Siapa suruh aku meminta tangguh? Jika tidak, sudah pasti Encik Nazhan tidak akan berkata sepanjang itu. Tetapi, benar juga apa yang telah Encik Nazhan katakan. Sampai bila aku mahu bertangguh? Belum tentu perasaan takut aku ini akan hilang selepas dua atau tiga hari. Entah-entah makin kuat pula perasaan itu nanti. Hisyy, tidak boleh jadi!

“Baiklah, Encik Nazhan. Saya tidak jadi menangguhkannya,” ucapku diiringi semangat yang penuh di dada.

“Macam itulah kalau mahu jadi orang. Buat sesuatu itu biarlah sampai berjaya. Lepas itu kalau mahu berhenti, berhentilah. Tetapi biasanya, apabila kita sudah berjaya, kita akan berasa sayang untuk berhenti. Kita akan terus memperbaikinya, teruskan… dan teruskan lagi sehingga kita berasa puas dan akhirnya kita berasa bosan. Kemudian kita akan mula mencari sesuatu yang baru,” balas Encik Nazhan.

Siapakah Encik Nazhan ini? Mengapa tutur biacaranya terlalu sarat dengan maksud yang tersirat? Ayatnya juga adakalanya kedengaran sinis dan seperti terkena pada batang hidung aku sendiri.Ssebenarnya persoalan itu tidak perlu aku fikirkan, kerana jawapannya sdah terpapar di hadapan mata. Encik Nazhan itu ialah pengajar di pusat latihan memandu. Dan kemahiran berkata-kata itu ada pada setiap orang yang mahu berfikir dengan aktif dan kreatif.

“Terima kasih. Nasihat dan kata-kata Encik Nazhan itu memang sangat berguna. Tetapi saya kena memikirkannya kembali sebab seperti ada maksud yang tersirat. Encik Nazhan ini pandai berkata-kata. Seharusnya Encik Nazhan menjadi seorang guru,” kataku spontan. Encik Nazhan hanya tersenyum.

Seketika kemudian, aku mula memandu kereta masuk ke jalan raya. Baharulah aku berpeluang untuk memandu hingga ke gear empat. Jika di dalam litar, Encik Nazhan hanya membenarkan aku memandu setakat gear dua sahaja. Katanya, di dalam litar itu memang seharusnya perlu memandu dengan perlahan, demi keselamatan.

Selepas melepasi satu lampu isyarat, aku meneruskan pemanduan seperti biasa. Tetapi semasa aku mahu memasukkan gear dua, tiba-tiba sahaja Encik Nazhan memarahi aku.

“Eh, awak alih gear satu terus ke gear empat? Awak sudah gila ke?? Tekan pedal clutch dan break cepat!” Arah Encik Nazhan separuh marah.

Pantas sahaja aku menurut kata-kata Encik Nazhan. Dia terus menukarkan kedudukan gear ke gear yang sepatutnya, iaitu gear dua. Benarkan aku tersalah masukkan gear? Mengapa aku tidak perasan? Bunyi hon daripada kenderaan lain sudah mula kedengaran. Tetapi aku buat tidak dengar sahaja.

“Maaf, Encik Nazhan. Saya tak sengaja,” ucapku bersungguh-sungguh.

“Tak apa. Saya minta maaf juga sebab termarahkan awak tadi. Tapi lain
kali awak kena fokus,” tegas Encik Nazhan.

“Baik,” balasku sepatah.

*****

Waktu pembelajaranku di pusat latihan memandu ini semakin hampir ke penghujungnya. Hari ini aku akan menghadapi ujian memandu bersama pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan. Debar di dadaku ini terasa semakin kuat. Saat namaku dipanggil untuk menjalani ujian memandu pada peringkat jalan raya, perasaan takut dan gemuruh semakin kuat melanda diri. Aku sempat melihat isyarat bagus yang ditunjukkan oleh Encik Nazhan sebagai cara menaikkan semangat dan menenangkan perasaannku. Aku hanya membalas isyarat itu dengan senyuman yang hambar. Syukur, akhirnya aku lulus dalam ujian peringkat jalan raya itu.

Kini aku sedang bersedia untuk menjalani ujian mendaki bukit pula. Dengan penuh keyakinan, aku menekan pedal minyak dan berhenti tepat di tengah-tengah bukit. Aku sudah pandai di bahagian ini. Sewaktu latihan juga aku jarang membuat kesilapan. Namun nasibku kurang baik pada sesi ujian peringkat bukit ini. Kereta yang aku pandu telah menggelongsor ke belakang sewaktu aku mahu menggerakkannya ke hadapan. Gagal! Aku telah gagal!! Semangat aku terus jatuh merudum.

Lama aku tidak mengambil semula ujian memandu peringkat bukit itu. Aku sudah pernah mengambilnya untuk kali kedua, namun masih gagal. Entah di mana silapnya, sewaktu latihan, lancar sahaja pemanduanku. Puas Encik Nazhan menasihatkan aku agar mengambilnya sekali lagi. Tetapi aku tidak mahu. Aku sudah berputus asa. Aku tidak mahu berhadapan dengan kegagalan buat kali ketiga.

Pada saat ini, tiba-tiba sahaja aku teringatkan prinsipku dahulu iaitu alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang aku belajar memandu, biarlah aku belajar sehingga lulus dan mendapat lesen. Alang-alang belajar A, biarlah belajar sampai Z. Ya… dahulu aku pernah berfikir seperti itu. Kini aku sedar, aku harus menyelesaikan apa yang telah aku mulakan. Aku tidak boleh membiarkan sesi ujian memanduku terus tergantung tanpa lesen.

Dengan semangat yang baru, aku menghubungi Encik Nazhan. Aku katakan padanya bahawa aku mahu mengambil ujian memandu itu sekali lagi. Dan akhirnya berkat doa, kesedaran dan semangat yang tinggi untuk mendapatkan lesen, aku telah lulus. Aku bersyukur kepada Allah yang maha esa kerana memberikan aku peluang dan kesedaran di dalam diri untuk meneruskan perjuangan. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan! Ingatlah peribahasa ini dalam apa jua cita-cita yang ingin dicapai.

-TAMAT-


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

29 ulasan untuk “Cerpen : Alang-Alang Menyeluk Pekasam”
  1. Noraz Ikha says:

    Ifah: Semoga berjaya dapatkan lesen :-)
    ekin: Terima kasih banyak-banyak. <3
    iela: cerpen saya kali ni cuma fokus kpd semangat diri. sesekali ubah selera hehe
    esya: betul tu, sy juga dapat tambahkan pengetahuan peribahasa. 😀

  2. Siti Soleha Yahaya says:

    Noraz….pengalaman yg berharga tuh…bila dikenang semula mmg kelakar..hehe

  3. pooh comel says:

    teringat juga mse belajar memandu dlu..hehehe..
    good..:)

  4. ian moone says:

    hmm.. cter tu ok.. tp kn.. bru blaja keta trus g jln raya.. lesen L pon xdpt lg.. pstu yg gear 1 ke gear 4.. yg juru ajr g marah wat pa.. just suh tenkn clutch,then tuka gi gear 2.. sy pon prnh kne juga.. n lg satu.. test dgn jpj.. kna wat bhgian 2 (bukit, side parking, 3 pointr) dlu, bru bhgian 3(jln raya)…..
    lg 1, dlm litar cume guna gaer 1 ja.. sbb kna byak berhenti.. jln raya… guna 1-4.. berurutan..
    maaf la byk komen.. sy bru ja dpt lesn P.. so, still fresh lg.. ttg cra2 dia… n lg satu, institut memandu guna kereta kancil, bkn viva… kacil easy to handle..

  5. Noraz Ikha says:

    ian: terima kasih kerana sudi membaca dan memberi komen di sini.

    berhubung komen saudara/saudari:
    1) lesen L tidak diceritakan di dalam cerpen di atas, maaf jika saya terus melompat.
    2) sewaktu nayli tersilap masukkan gear, tindakan spontan, pengajar termarah. tetapi kemudian dia meminta maaf.
    3) pengalaman saya, saya kena buat test jalan raya dahulu.
    4) dalam litar, juga pengalaman saya, saya diajar hingga gear dua.
    5) sekarang ini sudah ada institut latihan memandu yg menggunakan kereta viva selain daripada kancil, dan ia sudah dibenarkan kerajaan.

    kesimpulan: setiap orang mungkin punya pengalaman yang berbeza dalam usaha mengambil lesen kereta ini. 😀

  6. ian moone: saya rasa tu silibus baru…start batch saya memang buat bukit dulu…dan saya rasa…saya juga diajar gunakan gear dua di dalam litar…pastu, masa saya amek lesen dulu, saya pun terus ke jalan raya…sebab kami dibahagikan kepada 2 kumpulan…kumpulan 1 gunakan litar dahulu, kumpulan 2 pergi ke jalan raya… :)…

    to Kak Ikha: yu remind me pada pengalaman berharga ni…wink2…

  7. pemerhati says:

    kihkihkih… cik ian nak bagitau kita yg cik ian dah ada lesen eh? dan masih fresh lagi gitu? hehehe….

    masa cik ian test tu berapa ramai calonnya? satu sahajakah atau ada berpuluh ataupun beratus?

    masa saya test, ada beratus calon. kami dibahagikan kepada dua kumpulan. kalau semua dalam satu kumpulan, sampai 3 hari 2 malam la tak abis testnya. saya termasuk dalam kumpulan 2, di mana kumpulan 1 test di jalan raya dan kumpulan 2 test bukit dan parking.

    tentang pengajaran gear, instructor saya dulu tak cakap pun gear beapa yang boleh dalam litar, asalkan kereta tak gegar, kira ok la. cuma dipentingkan guna cermin supaya apabila berhenti, buka pintu tak ada calon bermotor yang melanggar pintu kereta kita.

    haaaa…. pasal kancil dan viva. sekarang zaman dah berubah. viva dah digunakan. dan satu lagi nak share info daripada instructor. depa kena sediakan kereta sendiri kalau nak dilantik jadi instructor di mana-mana sekolah memandu (yg tempat saya ambil ni la, tempat lain saya tak pasti), kebanyakannya guna kancil sbb segalanya murah. mana-mana yang guna viva tu, maknanya duit depa ada lebih la tu. hehehe… ala… asalkan manual gear sudah la, apa nak pertikai kancil ke viva.

    psssttt… nak bagitau, saya test dulu sekali aje terus lulus. kihkihkih

  8. nabilah azima says:

    kreatif 😀

  9. ain athirah\tyrarain says:

    alang-alang dah tls cerpen, biar jad novel

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.