Cerpen : Anugerah Yang Terindah

27 September 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: Cempaka Sari

Cuaca amat panas petang itu. Soraya terasa tekaknya kering, apabila air liurnya ditelan, terasa sungguh kelatnya. Di dalam kompleks membeli-belah itu yang berhawa dingin pun masih terasa bahangnya. Terus saja dia melangkah masuk ke sebuah kafe yang ada halaman di luar, di mana meja dan kerusinya berteduhkan pohon rindang yang merimbun, menyejukkan suasana untuk para pelanggan yang berkunjung. Sementelah memesan segelas ice cappuccino, dia mula berasa selesa. Dicapainya novel terbaru yang sudah hampir habis dibaca, lantas hilang dalam cerita tentang kehidupan rumit seorang wanita.

Tiba-tiba, terdengar suatu suara menyapanya, “Soraya?”

Dia memandang ke arah tuan empunya suara itu dan dadanya terus berdegup kencang. Soraya kaget. Terkesima melihat Shahir yang telah sekian lama tiada dalam hidupnya, namun tidak pernah lekang dari ingatannya. Shahir masih kelihatan seperti dulu, senyumannya masih manis dan menawan, air mukanya bersih, tampan dan bergaya. Maklumlah, dia dulu merupakan seorang pramugara dan sewajarnya dia berpenampilan menarik. Soraya tersedar mulutnya sedikit ternganga lalu mengangguk malu, mengiakan soalan Shahir. Pertanyaan selanjutnya dari Shahir mengejutkan Soraya sekali lagi.

“Are you married?” Pelik sungguh lelaki ini, selepas 25 tahun tidak bersua, itukah soalan yang diajukan? fikir Soraya. Soraya hanya mampu mengangguk lagi dan Shahir terus tersenyum. Suasana sepi sebentar, seakan babak filem tanpa suara. Soraya menudingkan jari kepada kerusi kosong di depannya, mempelawa Shahir duduk. Dengan lembut pelawaannya ditolak.

“I ada study group dengan rakan-rakan sekuliah, dah lambat sebenarnya. Just wanted to make sure it was you”, tegas Shahir.

“Oh, begitu rupanya”, fikir Soraya lagi. Maklum sajalah, selepas berkahwin dan melahirkan dua orang cahayamata, pinggangnya tidak seramping dulu, wajahnya matang, keibuaan.

“Tapi, kalau boleh, jom tukar nombor handphone, boleh buat temujanji kalau you ada masa”, bersungguh Shahir meminta. Soraya pun akur memberikan nombornya supaya Shahir dapat mendail suatu missed call untuk Soraya simpan sebagai contact. Shahir mengangguk puas, memberikan senyuman yang paling manis, sebelum dia beredar meninggalkan Soraya, yang terus diselubungi perasaan seribu tanda tanya.

25 Tahun Lalu, Kota Kinabalu, (BKI) Sabah

Van MAS itu deras membawa Soraya pulang dari lapangan terbang, setelah separuh hari dia menjalankan tugas sebagai seorang pramugari untuk penerbangan domestik lapan sektor. Seluruh badannya terasa sengal dan tenaganya kurang. Walaupun begitu, dia menarik nafas lega setelah puas menjalankan tugas, kesemua penumpang selamat tiba ke destinasi masing-masing dan Alhamdullilah, cuaca semasa penerbangan pun amat baik. Soraya dan kru seniornya, Judy, tekun dan gembira melayan para penumpang, menyakinkan lagi Soraya inilah kerjaya yang paling seronok, walaupun amat mencabar. Setelah dirinya ditinggalkan di depan pintu pagar rumah sewaan yang dikongsi bersama lima orang batchmatesnya, Soraya menarik troli, membuka pintu depan dan melangkah masuk ke ruang tamu. Dia tercengang seketika apabila melihat beberapa muka baru yang tidak dikenalinya, kecuali Nor, teman sebiliknya.

“Ha, Soraya, how was your flight? Nampaknya ok aje. I nak perkenalkan, ini Hairini dan Shahir, kru yang baru tiba dari KL untuk ganti batch kita nanti. Mereka ni dapat menyewa tiga rumah selang dari rumah kita, so nampaknya kita ni berjiran”. Soraya hanya mampu tersenyum dan mengangguk, sambil tangannya disua untuk bersalaman dengan kedua tamu tadi.

“Welcome to BKI, jangan segan minta tolong dari kami kalau ada masalah semasa di sini, ya”, Soraya berkata. Hatinya agak berdebar apabila bertentang mata dengan renungan Shahir. Amat tajam, sehingga menusuk jantung dan kalbunya.

“Apahal la mamat ni tenung aku semacam je. Salah ke aku cakap”? bentak hati Soraya. Lekas-lekas tangannya dilepaskan daripada genggaman Shahir yang masih tersenyum dan merenungnya dalam-dalam.

“Oklah, saya nak naik ke atas, so nanti kita jumpa lagi ya”, pantas Soraya meninggalkan mereka bertiga dan terus menaiki anak tangga ke biliknya di tingkat atas.

Setelah pertemuan pertama mereka, hari-hari yang berlalu dipenuhi dengan jadual penerbangan yang padat dan hubungan mereka sebagai jiran dan teman seperjuangan semakin rapat. Shahir sememangnya seorang yang berwatakan menarik, sesuai dengan budi bicaranya yang sopan. Pandai mengambil hati, sentiasa membantu Soraya dan teman-teman serumah apabila mereka memerlukan pertolongan, terutama sekali ‘kerja lelaki’, seperti membetulkan fius lampu rosak, paip pecah dan sebagainya. Tanpa Soraya sedari, lelaki itu seakan senantiasa sahaja berada di rumah mereka, menolong itu dan ini, hinggakan ketika mereka serumah malas untuk memasak, Shahirlah yang akan ringan tulang menawarkan skil memasaknya bagi menyediakan juadah lazat untuk mereka nikmati bersama. Semasa off day, selalunya mereka akan keluar berkumpulan menaiki bot ke pulau-pulau berdekatan, memancing ikan di laut dalam, beriadah dan berkhelah bersama-sama di tepian pantai Laut China Selatan yang indah itu, airnya hijau kebiruan, dipenuhi batu karang.

Banyak sungguh memori indah, sehingga Soraya terlupa masa begitu cepat berlalu. Kini, hanya tinggal sebulan sahaja lagi sebelum batch Soraya meninggalkan Kota Kinabalu untuk meneruskan penerbangan antarabangsa pula di Kuala Lumpur. Perasaannya menjadi gerun apabila memikirkan cabaran yang bakal dihadapinya semasa bertugas di dalam pesawat Boeing wide body yang berbagai jenis dengan zon-zon penumpang yang berasingan, berbanding dengan pesawat Fokker 50 narrow body yang hanya ada satu zon sahaja. Namun, apakan daya, permintaan kerjaya harus didahulukan. Hatinya tidak melonjak kegembiraan, hanya perasaan gentar, dan anehnya, berat yang amat untuk meninggalkan negeri di bawah bayu ini, terutama sekali seorang yang bernama Shahir. Soraya sudah terbiasa dengan kehadiran Shahir dalam hidupnya. Keduanya saling berjauhan dari keluarga masing-masing di Semenanjung, mencari rezeki yang halal untuk keluarga dan mengejar cita-cita murni sebagai anak kapal, bertugas tinggi di langit biru.

Seminggu sebelum Soraya dan rakan seangkatan meninggalkan Kota Kinabalu, Shahir datang menemuinya di rumah. Muka lelaki itu kemerah-merahan menahan terik mentari petang yang panas tanpa hembusan angin. Bertambah tampan apabila dia mengelap peluh di dahi, kulit kuning langsatnya terserlah. Soraya terus meluaskan pintu hadapan rumah memandangkan hanya mereka berdua sahaja ketika itu, dia tidak bekerja hari itu dan teman-teman serumah semuanya tiada, samada bertugas atau ke bandar. Hatinya tertanya-tanya apakah tujuan Shahir datang menemuinya. Seperti ada sesuatu di dalam beg kertas yang Shahir gendong. Setelah bertanya khabar, Soraya ke dapur menyediakan teh o limau dengan ais untuk membasah tekak mereka berdua. Sesudah menghirup air dingin itu, Shahir pun memulakan bicara.

“Soraya, I nak buat satu perjanjian dengan you, hari ni”, serius sungguh mukanya. “Hah? Perjanjian apa?”, tanya Soraya, hatinya berdegup laju.

“I tak tahu bila batch I akan dipanggil pulang ke KL, dan I tak tahu bila kita dapat berjumpa lagi, so I nak hadiahkan you something”, lalu tangannya mencapai sebuah kotak besar coklat Ferraro Rocher dari dalam beg kertas tadi.

“For my chocoholic friend”, Shahir menghulurkan kotak coklat itu kepada Soraya.

“Ohh, laa, susah-susah aje you ni, terima kasih banyak-banyak. Setiap sebiji I makan, I akan ingat you nanti”, Soraya berseloroh, gembira dengan pemberian Shahir kerana dia sememangnya hantu coklat.

“Tapi, ada benda lain yang I nak beri supaya you tak akan lupakan I”, lalu Shahir mengeluarkan pula sebuah kotak kecil. “Nah, ini memang especially for my favourite girl”. Soraya tersentak seketika.

“Tunggu apa lagi, buka dan tengok lah”, pinta Shahir. Soraya membuka kotak itu perlahan-lahan dan sebiji loket emas berbentuk hati di dalamnya mendebarkan lagi degup jantung Soraya.

“I nak kita berjanji, kalau sekiranya dalam masa lima tahun akan datang kita berdua masih belum berkahwin, I want you to marry me, Soraya”, jelas Shahir. Soraya tergamam.

“Sudah buang tabiat agaknya si Shahir ni”, bentak hatinya, tetapi cukup teruja dan terharu menerima lamaran yang sungguh tidak disangka ini. “Janji?,” Shahir mengajukan soalan itu sekali lagi. Soraya hanya diam, lidahnya kelu. Tidak disangka selama ini rupanya Shahir ada menyimpan perasaan terhadapnya. Lelaki itu memang dia anggap sebagai rakan akrab tetapi Soraya masih tidak pasti perasaannya yang sebenar terhadap Shahir, sebab itu amat berat untuk dia mengotakan janjinya. Dia sendiri tidak pernah jatuh cinta dengan mana-mana lelaki, dan hanya Shahir seorang sahaja yang telah menyuarakan hasrat hatinya. Bagaimana hendak dia alihkan hasrat Shahir dengan sebaik-baik bicara? Shahir masih merenungnya, menunggu jawapan Soraya dengan sabar.

“Baiklah, I janji. Tapi untuk jangkamasa lima tahun yang akan datang ini saja ya, Shahir. Jodoh dan maut hanya Allah yang menentukannya nanti”. Shahir tersenyum, puas dengan jawapan Soraya. Terus saja dia beranggapan perasaan Soraya terhadapnya sama seperti yang dirasainya. Wanita itu cukup sempurna di matanya. Anggun, lemah lembut, penuh sifat keibuan dan pandai membawa diri. Amat bijak apabila berkata-kata, ikhlas menjalankan tugasnya dan disenangi semua yang mengenalinya. Pilihannya tepat, kini hanya jarak dan waktu yang akan menentukan samada hasrat cinta sucinya akan tercapai. Perasaan kasih dan sayangnya tidak mampu diungkap, dia berazam akan melakukan yang terbaik untuk memiliki Soraya.

Kini

Soraya menghempaskan seluruh badannya di atas katil kelamin yang dikongsi bersama suaminya. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya dan dilepaskan menjadi keluhan panjang. Pertemuan yang tidak disangka dengan Shahir tiga bulan yang lalu amat terkesan dalam jiwanya. Perkahwinan selama 19 tahun bersama Arif, menjadi isteri dan ibu kepada dua orang cahayamata mereka telah merubah kehidupannya. Setelah meninggalkan kerjayanya sebagai pramugari, Soraya telah mengorbankan segalanya demi kebahagiaan mereka sekeluarga. Tugas hariannya dari dulu hingga kini menjaga suaminya dan anak-anak mereka cukup sibuk, lantas dia tiada masa untuk memikirkan perkara yang remeh-temeh kerana kehidupan harus diteruskan. Kurang lima tahun selepas Shahir dan dia berpisah membawa haluan masing-masing, jodohnya dengan Arif diterima dengan redha.

Tiada komunikasi langsung daripada Shahir, tidak pernah pun mereka bersua semasa Soraya masih bertugas, Soraya pula tidak pernah mencari atau bertanyakan akan diri Shahir dengan rakan-rakan sekerja. Zaman mereka dahulu bukan zaman media sosial, tiada Instagram atau Facebook atau Whatsapp, perhubungan mudah saja terputus dan sukar dijalin jikalau tidak rajin mencari seseorang. Soraya mengeluh lagi dan soalan yang sama masih tiada jawapannya. Mengapa setelah sekian lama mereka dipertemukan semula? Shahir rajin menghubunginya setiap hari semenjak tiga bulan yang lalu, bertanyakan itu dan ini, siapa suaminya, berapa umur anak-anaknya, apa yang dilakukannya sekarang dan macam-macam lagi. Soraya menjawab seadanya, berhati-hati menaip kata-kata kerana hatinya bercampur-baur. Marah ada, meluat pun ada. Tetapi apabila tiada mesej dari Shahir, entah berapa kali dia cuba untuk membuang perasaan rindu di hati.Hebat dilanda rindu yang sebelum ini dikuburkan dalam hatinya kerana dia tahu tiada gunanya lagi merindu pada yang tiada.

Kini, lelaki itu muncul semula, dalam keadaan perkahwinannya yang sedang bergelora. Mengapa sekarang, apabila perasannya terhadap perkahwinannya itu semakin rapuh? Arif sudah tidak mengendahkannya lagi, selalu sahaja sibuk dengan tugasnya, sering ke luar negara atas urusan kerja, jikalau di rumah pun mereka jarang bercakap, hanya menyuarakan yang perlu sahaja, kemudian masing-masing membawa diri dengan aktiviti harian. Anak-anak sahaja yang masih menjadi pengikat perkahwinan mereka berdua. Setelah bertemu semula dengan Shahir, hari-harinya dipenuhi dengan mesej-mesej yang menghiburkan hati. Hanya Shahir yang bertanyakan keadaannya, hanya Shahir yang prihatin dengan kisah hariannya. Diri Soraya kemelut, perasaannya kecamuk.

Shahir yang kini masih terbang lantaran sibuk meneruskan kerjayanya sebagai seorang ketua pramugara, sering melalui jadual penerbangan yang padat, selang beberapa hari dia akan berlepas ke destinasi-destinasi yang Soraya sendiri tidak pernah lawati. Lelaki itu nekad menyambung pengajiannya semula untuk dijadikan sandaran memulakan karier baru selepas meninggalkan syarikat penerbangan itu di masa hadapan. Perhubungan mereka terjalin semula walaupun Shahir amat faham dan sedar status Soraya sebagai isteri orang dan perasaan cinta yang telah sekian lama dipendam, disimpan rapi di hujung benaknya.

Selama itu pun dia sudah lama menaruh harapan. Pernah sekali dia berseloroh, mengatakan Soraya mungkir pada perjanjian mereka dahulu, tetapi seperti kata Soraya, jodoh dan maut, semuanya di atas kehendak Yang Maha Esa. Shahir tidak sedikit pun berasa terkilan kerana dia juga harus dipersalahkan di dalam hal ini kerana tidak bersungguh mencari Soraya di kala wanita itu masih bertugas. Hanya sesalan dan keluhan di hati masing-masing sahaja yang menemani perasaan keduanya. Pada masa yang sama, anggapan Soraya terhadap Shahir sebagai seorang rakan akrab suatu ketika dulu berubah menjadi perasaan kasih, tanpa disedari. Soraya akui perasaan yang selama ini dalam hatinya, cinta yang selama ini cuba dia nafikan, sememangnya untuk Shahir seorang sahaja.

Petang kelmarin Arif pulang dengan air muka yang sugul. Usai makan malam mereka sekeluarga, dia meminta Soraya menemaninya keluar seketika. Ada sesuatu yang aneh tentang suaminya hari itu, Soraya dapat rasakan tindakan suaminya itu seperti membuang tabiat kerana memang cukup lama mereka tidak keluar ke mana-mana bersama. Setibanya di taman berhampiran kawasan perumahan mereka, Arif memberhentikan kereta dan merenungnya. Serius. Malam itu angin bertiup dingin selepas hujan seketika petang tadi.

“Sebenarnya I tahu tentang hubungan you dengan Shahir,” Arif bersuara, tegas. Soraya seakan mahu sahaja bangun dari mimpi ngeri ini kerana selepas pertemuan mereka yang tidak diduga, mereka tidak pernah sekali pun bertemu atau mengadakan sebarang hubungan, melainkan berkomunikasi melalui mesej secara text watsapp di telefon bimbitnya. Dia bingkas mengalihkan badannya untuk bersetentang dengan Arif, tetapi belum sempat dia membuka hujah, Arif menangkis, memandang isterinya dengan matanya yang berkaca-kaca.

“I tahu tiada apa yang berlaku, selain daripada hubungan mesej antara dua orang sahabat. Dua hari lepas, handphone you tinggalkan di atas dresser, hati I terpanggil hendak tahu siapa yang menghantar mesej ke nombor you selepas pukul 12 pagi. Masa tu you di ruang tamu bawah, menonton TV. Selepas membaca mesej Shahir, jari I terus ke load earlier messages dan dari situ I dapat imbas betapa pentingnya persahabatan kalian berdua. Dan betapa jahil dan angkuhnya I sebagai seorang suami yang sudah tidak tahu lagi untuk menghargai segala pengorbanan you selama ini, Soraya”, Arif berkata.

“I minta maaf dan sejujurnya, I rasa terancam dengan Shahir yang muncul semula dalam hidup you, walaupun you tak pernah bercerita tentang kisah lama you di Sabah dulu, naluri I berkata perasaan kasih you terhadap Shahir lebih daripada segala-galanya”, sambung Arif. Air mata Soraya menitis, perlahan tetapi mula deras apabila melihat Arif sebak, menahan air matanya sendiri dari mengalir.

Mana mungkin Soraya menyayangi Shahir dari segala-galanya? Arif tewas apabila air matanya sendiri menitis, dengan suara yang tersekat-sekat dia berkata, “I tahu you cintakan Shahir, tapi I masih suami you dan I cintakan you, walau pun I dah lama tak beri kepentingan pada perkahwinan kita, I nekad nak pergi kaunseling dengan you, I nak perkahwinan kita ini kekal, 19 tahun memang terlalu berharga untuk kita buang begitu sahaja, sayang”, bersungguh Arif memberikan penjelasan. Ikhlas. Tulus. Suaminya itulah jodohnya, dan bapa kepada anak-anaknya. Ya, benar, 19 tahun bukan sekejap masa mereka bersama, sanggup kah Soraya membuang jauh segala-galanya dan berlari ke pangkuan Shahir?

Selepas pasangan suami isteri itu meluahkan semua yang terbuku di hati masing-masing pada malam itu, Soraya mengambil masa tiga hari untuk membuat keputusan. Keputusan yang bakal menentukan samada untuk mengekalkan perkahwinannya dengan Arif atau memulakan fasa hidup baru dengan Shahir. Apabila difikirkan kembali, seseorang yang muncul dalam hidup ini boleh dianggap sebagai suatu anugerah atau pengajaran. Perkahwinan yang dibina sebagai ikatan suci penerus zuriat jelas melebihi sebuah kasih yang lama terkubur tetapi termeterai semula. Perkahwinan itu jugalah yang telah menjadi pengajaran buat Soraya untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Kasih dan sayangnya terhadap keluarga, terutama sekali untuk anak-anaknya, memang akan terus dibawanya ke jannah, Insya Allah. Arif telah mengajarnya erti kesabaran dan bagaimana mereka harus kembali ke jalan yang lurus, dan yang nyata, Ariflah pengajaran buat Soraya dan dia akur dalam meniti kehidupan bersama Arif yang masih cintakannya, walaupun Soraya tersesat seketika di lorong yang gelap.

Selama tiga hari juga Soraya tidak mengendahkan mesej mahu pun panggilan Shahir yang bertalu-talu masuk ke telefon bimbitnya. Shahir sudah mula menzahirkan perasaan risau dan rindu yang amat di pojok hatinya melalui mesej-mesejnya untuk Soraya, manakan tidak? Soraya yang selama ini hilang, ditemui kembali dan kali ini Shahir tidak mahu berganjak. Dia tidak sanggup kehilangan anugerah yang terindah ini. Hanya Soraya yang memahaminya dari dulu, hanya Soraya yang menjadi racun dan penawar hatinya. Dia seakan gila mengadap telefon bimbitnya, menantikan sebarang mesej yang masuk, tetapi semuanya bukan daripada Soraya. Esok dia harus terbang ke Istanbul dan dia mahu lihat mesej Soraya mendoakan pemergiannya, supaya selamat di dalam penerbangan, seperti selalu. Fikirannya bercelaru, makan dan minumnya sudah tidak menentu. Wanita itu masih berahsia tentang lokasi kediamannya, jika tidak sudah tentu Shahir memandu terus ke rumahnya untuk bertanyakan keadaan, walaupun dengan suami Soraya sendiri. Biar saja drama yang akan tersiar ke udara, Shahir tidak gentar. Sedang dia berperang dengan perasaannya, tiba-tiba terdengar bunyi mesej masuk. Tergegas-gegas Shahir berlari mencapai telefon bimbitnya. Mesej daripada Soraya. Ya Allah, Syukur Alhamdullilah, Shahir seperti mahu menjerit. Apabila dibaca, mesej wanita kesayangannya itu cukup ringkas. Memintanya bertemu di kafe tempat mereka bertembung dahulu pada jam empat petang nanti, dan selebihnya akan Soraya beritahu kelak.

“Baiklah,” Shahir memberikan jawapan kepada Soraya.

“You owe me an explanation”, sambungnya lagi.

Air mata Soraya seperti tidak mahu berhenti mengalir. Tangan kirinya basah mengelap kedua matanya disebabkan pandangan yang semakin kabur untuk melihat jalanraya dan kenderaan di hadapannya. Hujan pula turun begitu lebat petang itu. Dipanjatkan doa kepada Yang Esa supaya jiwanya tenang dan hatinya teguh semasa berhadapan dengan Shahir sebentar lagi. Hanya Allah sahaja tahu betapa sukarnya dia hendak melepaskan cintanya terhadap Shahir, buat kesekian kalinya.Dia tahu dia hanya berpaut kepada sebuah memori, pada suatu masa dalam hidupnya yang begitu indah, yang tidak mungkin wujud lagi kerana masa tidak mengizinkan cinta mereka disatukan. Dia tidak dapat bayangkan air muka Shahir yang akan tergamam dengan penjelasannya, mungkin Shahir akan amarah terhadapnya kerana telah mempermainkan perasaannya, memberikan lelaki itu harapan yang palsu kerana mengharapkan dirinya dapat diselamatkan dari belenggu perkahwinannya. Soraya mahu sahaja melutut dan memohon maaf daripada Shahir jika lelaki tu tidak dapat menerima kenyataan darinya.

Shahir adalah anugerah yang terindah buatnya, anugerah cinta yang tidak akan luput di dalam hatinya, walaupun seribu tahun yang datang, cinta yang terpaksa dia korbankan. Dalam sekelip mata, di dalam keadaan hujan yang masih lebat itu, kereta 4WD Honda CRV yang datang dari arah bertentangan dengan laju terus meluru dan melanggar kereta Soraya di bahagian hadapan. Jalan raya yang agak lengang terus dipenuhi kenderaan lain yang berhenti, para pemandunya turun berpayung, sama ada untuk membantu atau sengaja untuk melihat. Kepala Soraya terkulai melepasi cermin retak di hadapan keretanya yang sudah remuk teruk akibat hentaman head on collision yang amat kuat sebentar tadi. Bau asap dari enjin kenderaan dicampur dengan bau asidik darah menusuk hidung orang ramai yang berada di kawasan kemalangan, darah yang mengalir daripada pemandu kedua-dua kenderaan tadi dibasahi hujan, yang terus turun dengan lebatnya.

Shahir tiba di kafe setengah jam sebelum jam empat petang. Dia memilih tempat duduk yang terpencil sedikit di hujung kafe supaya mudah untuk dia mendengar penjelasan Soraya mengenai perhubungan mereka, dan baru kali kedua inilah merupakan pertemuan mereka secara zahir selepas tiga bulan, tidak lagi melalui mesej di watsapp. Tidak sabar rasanya untuk bersua muka dengan Soraya, dia sudah berjanji dengan dirinya sendiri yang dia tidak akan marah atau sedih dengan apa saja yang akan diluahkan nanti oleh cinta hatinya itu. Yang paling penting, mereka berdua harus cuba untuk mendapatkan penyelesaian supaya perhubungan mereka dapat diteruskan. Hanya Soraya yang dapat mengisi kekosongan di hatinya dan Shahir sudah terbayangkan yang indah-indah sahaja, yakin bahawa cinta mereka akan dapat mengatasi segala onak dan duri dalam kehidupan masing-masing. Shahir tersenyum sambil menghirup latte panas yang baru tiba di mejanya, melihat hujan yang semakin renyai, merenung masa depan yang masih tiada kepastian. Walau apa sekali pun, Shahir tetap menanti ketibaan Soraya, dan dia terus menanti.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.