Cerpen : Bangau Oh Bangau

19 June 2011  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

TOK! TOK! TOK!

Bunyi ketukan pintu bilik Mariana bergema. Hesyy, anak dara seorang ni! Agaknya, mahu tunggu matahari berada tegak di atas kepala baharu dia nak bangun tidur. Di dalam hati, Puan Sally menggumam geram.

“Marianaaa, bangun cepat! Mak dah nak keluar ni!” Panggil Puan Sally, kuat nada suaranya.

Sementara di dalam bilik itu, Mariana masih berselubung selimut sehingga menutupi kepalanya. Mujur sahaja selimut itu berwarna merah jambu. Jika berwarna putih, bukankah sudah kelihatan seperti mayat? Hai… Mariana… Mariana… Dia langsung tidak memberi tindak balas terhadap panggilan Puan Sally. Tidurnya begitu lena. Barangkali, dia sedang mimpikan putera raja datang melamar dirinya.

“Marianaaaaa!!!” Kali ini Puan Sally menyeru dalam nada yang paling kuat. Terasa mahu keluar anak tekaknya.

Mata Mariana terbuka secara spontan. Telinganya dapat menangkap jeritan ibunya yang agak menakutkan. Kenapakah dengan ibunya itu? Tergesa-gesa dia menyelak selimut. Dia terus bangun dan melangkah ke pintu.

“Kenapa, mak? Pagi-pagi lagi dah buat orang terkejut,” terus Mariana menyoal sebaik wajah ibunya terpapar di ruang matanya.

“Pagi-pagi apanya? Dah hampir pukul sepuluh pagi ni. Hei, Mariana! Anak dara tak boleh bangun lewat macam ni tau,” bebel Puan Sally. Mariana sudah membuat gaya mahu menutup telinga.

“Alah, mak…. sekali-sekala aje,” bela Mariana sambil mempamerkan riak kasihan pada wajahnya.

“Banyaklah kamu punya sekali-sekala. Mak nak keluar dengan Mak Cik Midah ni. Kamu tolong jaga adik kamu tu, tau!” Arah Puan Sally sambil matanya melirik ke arah Adriana Iffah yang sedang menonton rancangan kartun di televisyen.

“Tapi mak…” Belum sempat Mariana menghabiskan kata-katanya, terdengar suara seseorang memberi salam. Spontan perhatian mereka terarah ke pintu rumah. Puan Hamidah sudah tercegat di situ bersama anak lelakinya yang baru berumur sepuluh tahun, sebaya dengan Adriana Iffah.

“Waalaikumussalam, Midah. Jemput masuk,” pelawa Puan Sally sambil langkahnya disusun laju ke pintu yang sudah sedia terbuka.

Tanpa membuang masa, Puan Hamidah dan Harraz Rifqi melangkah masuk.

“Ha, ni Mariana… kamu tolong jaga sekali si Rifqi.” Puan Sally menambah arahannya. Mariana dilihat sedang menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Mak dengan Mak Cik Midah ni, nak ke mana? Hari ni, Mariana pun ada hal juga. Mana boleh jaga budak dua orang ni, mak!” Cepat-cepat Mariana memberitahu sebelum rancangannya untuk keluar berjumpa kekasih hati berkubur begitu sahaja.

“Kamu jangan nak mengada-ada. Hal kamu tu tak penting. Kamu nak jumpa Faizal, kan? Tak payah! Hal mak dengan Mak Cik Midah kamu ni lagi penting. Kami perlu menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Limau Manis ni. Kamu nak kampung kita mundur?” Jelas Puan Sally. Sempat dia menyedarkan Mariana tentang masa hadapan Kampung Limau Manis.

“Mak ni… balik-balik masa depan Kampung Limau Manis. Yalah, mak dengan Mak Cik Midah kan orang kuat kampung. Tapi, nanti mak jangan menyesal pula kalau Mariana tak kahwin. Sebabnya, mak selalu halang rancangan anak mak nak keluar dating. Mak jangan lupa, umur Mariana dah dua puluh satu tahun tau. Mak nak ke anak mak ni jadi anak dara tua?” Luah Mariana separuh mengugut.

Terbeliak mata Puan Sally mendengar kata-kata Mariana. Adakah patut Mariana berkata begitu?

“Kamu jangan nak merepek. Kamu tu muda lagi. Lagipun, tak ke mananya si Faizal tu. Kalau dia tak mahu dengan kamu, tahulah apa mak nak buat dengan dia,” balas Puan Sally. Kata-katanya penuh dengan makna tersirat.

“Mak ni, pandai-pandai aje. Jangan nak buat rancangan yang bukan-bukan pula ya, mak!” Mariana memberi amaran kepada ibunya.

“Dah… dah… Rifqi, hari ni Rifqi duduk dengan Iffah, ya? Nanti mak cik balik, mak cik bawa aiskrim Cornetto,” Puan Sally mengalihkan perhatiannya kepada Harraz Rifqi dan Adriana Iffah pula.

Harraz Rifqi hanya mengangguk. Manakala, Adriana Iffah sudah tersenyum sambil memandang Harraz Rifqi.

“Mak keluar dulu ya, Iffah. Jangan nakal-nakal. Dengar cakap Kak Mariana, tau!” Puan Sally mengingatkan Adriana Iffah pula.

“Baik, mak,” ringkas sahaja balasan yang keluar dari mulut Adriana Iffah.

Tidak berapa lama kemudian, Puan Sally dan Puan Hamidah sudah keluar rumah. Meninggalkan Adriana Iffah dan Harraz Rifqi di bawah jagaan Mariana.

“Helo, Faizal! Maaf… Saya tak boleh keluar. Mak suruh saya jaga Iffah dengan Rifqi…” Terdengar suara Mariana, separuh merengek di sebalik pintu bilik yang sudah tertutup itu.

**********************************************************************

KINI, tinggal Adriana Iffah dan Harraz Rifqi sahaja di ruang tamu. Mariana yang sudah masuk ke bilik tidak pula keluar-keluar sejak tadi. Entah apalah yang dibuatnya di dalam bilik itu.

Senaskhah majalah di atas meja yang sudah sedia terbuka helaiannya menarik perhatian Harraz Rifqi. Perlahan-lahan dia mendekati majalah tersebut.

TANDA-TANDA KITA JATUH CINTA

Suara Harraz Rifqi yang kuat membaca tajuk di dalam majalah itu telah menarik perhatian Adriana Iffah. Spontan dia menoleh ke arah Harraz Rifqi. Keningnya sedikit berkerut. Seketika, dia sudah duduk di sisi Harraz Rifqi. Nampaknya, dia juga tertarik dengan apa yang sedang dibaca oleh Harraz Rifqi itu.

“Jatuh cinta tu, apa ya?” Tiba-tiba Adriana Iffah menyoal.

“Jatuh cinta tu… jatuh cintalah.” Harraz Rifqi menjawab. Yakin sahaja gayanya, walhal, dia juga tidak pasti.

“Sama tak macam kita jatuh tangga?” Adriana Iffah bertanya lagi.
Dua-dua sebutan ada perkataan jatuh. Bukankah lebih kurang sahaja bunyinya tu? Fikir Adriana Iffah di dalam hati.

“Kena jatuh tangga dulu baharu akan jatuh cinta kut,” kata Harraz Rifqi sambil mengusap-usap dagunya. Gayanya seperti sedang memikirkan masalah negara.

“Hahahaha!!!”

Tiba-tiba perbualan dua orang kanak-kanak itu terganggu dengan bunyi ketawa kuat yang sudah kedengaran seperti orang hilang akal. Rupa-rupanya Mariana yang sedang ketawa sambil menekan perut di hadapan pintu biliknya. Geli hati sungguh dia apabila terdengar teori tidak munasabah yang keluar dari mulut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi.

“Kenapa Kak Mariana ketawa?” Soal Adriana Iffah tidak puas hati.

Mariana menghampiri Adriana Iffah dan Harraz Rifqi dengan tawa yang masih bersisa. Kemudian, dia duduk di atas sofa tanpa berlengah.

“Korang nak dengar sebuah cerita tak? Cerita best punya!” Ajak Mariana dengan penuh semangat.

Luas bukaan mata Adriana Iffah dan Harraz Rifqi. Teruja.

“Nak… Nak… Cerita cinta ke, kak?” Spontan Rifqi bertanya.

Mariana mengecilkan matanya. Haisy, budak ni. Tak padan dengan kecil. Mahu cerita cinta saja. Hmmm…. sebenarnya salah Mariana juga. Siapa suruh dia letak majalah yang ada topik cinta itu di tempat umum a.k.a di ruang tamu. Tidak pasal-pasal sahaja budak kecil yang membacanya.

“Hei, budak kecil tak boleh tahu cerita cintalah. Gatal Rifqi ni, ya!”
Mariana menegur sambil berpura-pura marah. Matanya dijegilkan ke arah Harraz Rifqi yang sedang tersengih. Sementara Adriana Iffah pula terkebil-kebil tidak faham apa-apa.

“Okey la, akak rasa…. akak boleh ceritakan kisah cinta. Tapi, kisah cinta ni ialah kisah cinta sepasang bangau,” ujar Mariana sambil mengambil majalah yang masih berada di atas meja itu. Cepat-cepat dia menyimpannya di dalam laci meja. Majalah itu tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak.

“Bangauu??” Serentak Adriana Iffah dan Harraz Rifqi bersuara. Laju Mariana mengangguk.

“Bangau oh bangau…. kenapa engkau kurus. Macam mana aku tak kurus… ikan tak mahu timbul.” Tiba-tiba Harraz Rifqi menyanyi. Dia dan Adriana Iffah baru sahaja mempelajari lagu ini di sekolah untuk satu persembahan lakonan.

“Iffah pun nak nyanyi juga! Ikan oh ikan… kenapa kau tak mahu timbul. Macam mana aku nak timbul… rumput panjang sangat,” sambung Adriana Iffah pula.

Kemudian, mereka memandang Mariana.

“Akak, sambunglah!” Serentak itu juga mereka berkata.

Adoii, aku kena nyanyi juga ke? Fikir Mariana sambil menggaru-garu kepalanya. Ah… layan sahajalah mereka ni. Putus Mariana kemudian.

“Rumput oh rumput…. kenapa kau panjang sangat. Macam mana aku tak panjang…. kerbau tak makan aku.” Adriana menyanyi.

“Hahahaha….” Mereka ketawa serentak. Seronok sungguh rasanya.

“Kau orang berdua ni, tahu ke apa maksud lagu ni?” Sengaja Mariana bertanya.

“Cikgu kata, jangan suka salahkan orang lain kalau terjadi apa-apa yang buruk,” jawab Adriana Iffah dan disokong Harraz Rifqi.

“Okey, akak nak cerita ni. Pada zaman dahulu kala, ada seekor bangau jantan dan seekor bangau betina. Kedua-dua bangau ni merupakan sepasang kekasih yang sangat bahagia. Kalau Iffah dan Rifqi nak tahu, tempat tinggal bangau ni tak tetap. Sebab, bangau hidup dengan cara berpindah randah. Sekejap tinggal kat pantai sini, sekejap tinggal kat pantai sana.” Mariana berhenti sebentar untuk mengambil nafas panjang.

“Oh…. kesian bangau tu sebab kena pindah-pindah, kan? Bangau tu tak ada rumah sendiri ke, kak?” Soal Adriana Iffah. Dia kelihatan sungguh berminat dengan cerita yang sedang disampaikan oleh Mariana itu. Begitu juga dengan Harraz Rifqi.

Mariana ketawa mendengar soalan itu. Alahai…. budak kecil ini. Rumah pula yang ditanya.

“Bangau tak ada rumahlah, sayang. Bangau tinggal kat kawasan pantai,” jawab Mariana sambil menggosok kepala Adriana Iffah. Kusut masai jadinya rambut budak kecil itu.

“Ooo…!” Mulut Adriana Iffah sudah membentuk huruf ‘O’.

“Okey, akak sambung ya. Pada suatu hari, tibalah masanya untuk pasangan bangau ini berpindah dan mencari tempat tinggal atau pantai yang baharu. Mereka pun terbang… terbang… dan terus terbang. Tengah asyik terbang ni, mereka tak perasan yang ada seorang pemburu kat bawah tu tengah menghalakan senapangnya ke arah mereka.” Sekali lagi Mariana berhenti bercerita. Dia menghela nafasnya dalam-dalam sambil memejamkan mata, seolah-olah dia pula yang sedang berhadapan dengan risiko muncung senapang itu.

“Lepas tu, apa yang terjadi, kak?” Harraz Rifqi sudah tidak sabar untuk mengetahuinya.

“Bangau tu kena tembak ke??” Adriana Iffah menambah soalan.

“Sabar ya, adik-adikku. Akak nak ceritalah ni. Akhirnya, pemburu tu menembak bangau betina dan bangau jantan pula terselamat.”

Mulut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi melopong. Mariana tersenyum melihat reaksi mereka.

“Tapi, sebenarnya pemburu tu bukanlah seorang yang jahat. Dia membawa bangau betina itu kepada doktor haiwan dan merawat lukanya,” sambung Mariana.

“Wah…. baiknya pemburu tu!” Celah Adriana Iffah.

“Betul tu, Iffah. Okey, akak nak tanya. Korang rasa, apa yang terjadi kepada bangau jantan selepas kekasihnya iaitu bangau betina tinggal dengan pemburu tu? Mereka telah terpisah ni,” soal Mariana.
Adriana Iffah dan Harraz Rifqi berpandangan. Kemudian mereka menggeleng. Tidak mampu teka apa yang terjadilah.

“Ha… bahagian inilah yang akak suka nak cerita. Sebenarnya, bangau ialah seekor burung yang sangat terkenal dengan nilai setia.” Cerita Mariana terhenti lagi kerana dia terdengar soalan daripada Harraz Rifqi.

“Bangau tu burung? Bukan ke burung tu selalunya kecil-kecil? Tapi, bangau tu besar,” sangkal Harraz Rifqi dengan perasaan Pelik. Dia kurang faham.

“Ya, Rifqi. Bangau tu memang sejenis burung walaupun saiznya besar. Okey, burung helang besar tak?” Mariana sedang cuba memberi kefahaman kepada Harraz Rifqi. Terbantut sudah niatnya untuk bercerita mengenai nilai setia yang ada pada bangau.

“Besarrr! Burung helang boleh angkat orang dengan cakarnya. Burung helang kuat!” Begitu bersemangat Harraz Rifqi menjawab.

“Ha… tu, besar kan? Tadi Rifqi kata, kalau burung kecil aje?” Duga Mariana.

“Opsss!!!” Harraz Rifqi menutup mulutnya. Sedar bahawa dia sudah tersilap cakap.

“Tapi, bangau tu tak nampak macam burung, pun?” Celah Adriana Iffah pula.

“Okey, akak faham. Bangau tak nampak macam burung sebab kakinya panjang. Lepas tu, lehernya pun panjang, kan? Tapi, bangau ada paruh. Dia ada kepak. Dan dia juga boleh terbang, sama macam burung-burung yang lain,” terang Mariana. Dia perlu bersabar dalam melayan kerenah dan pertanyaan dua orang kanak-kanak di hadapannya itu.

“Ooo…!” Sekali lagi mulut Adriana Iffah membentuk huruf ‘O’. Harraz Rifqi pula mengangguk tanda faham.

“Okey, kita sambung cerita tadi. Lepas bangau betina itu ditangkap pemburu, bangau jantan berasa sangat sedih. Tapi, dia kena meneruskan perjalanannya. Lalu, dia pun terbang meninggalkan bangau betina itu di bawah jagaan pemburu.”

Mariana berhenti bercerita lagi apabila dilihatnya Harraz Rifqi seperti mahu memperkatakan sesuatu. Lalu Mariana memandang dan memberi isyarat mata agar Harraz Rifqi meluahkan apa yang sedang bermain di fikirannya saat itu.

“Rifqi tak puas hatilah! Kenapa bangau jantan tu tak pergi selamatkan bangau betina? Kenapa dia sanggup tinggalkan kekasihnya?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Harraz Rifqi. Sementara itu, Adriana Iffah mengangguk-angguk tanda menyokong pertanyaan rakan sepermainannya itu.

Errkk! Mariana terkedu dengan soalan tersebut. Dia sendiri tidak pernah memikirkannya. Bagaimana budak sekecil Harraz Rifqi boleh terfikir tentang hal itu? Anak kecil zaman sekarang… lain cara berfikirnya. Dia memperoleh kisah bangau ini melalui internet. Namun, tidak pula diceritakan kenapa bangau jantan itu tidak menyelamatkan bangau betina. Buat seketika, Mariana buntu. Apa dia mahu jawab? Akhirnya dia mendapat satu idea.

“Sebabnya, bangau jantan tu sedar bahawa dia tak mampu merawat kecederaan bangau betina yang sangat teruk. Bangau betina tu lumpuh dan dia tak mampu terbang lagi. Mujurlah bangau betina tu tak mati. Bukankah tadi akak kata, hidup bangau ni berpindah-randah. Kalau bangau betina tu dah tak boleh terbang, macam mana dia nak ikut bangau jantan cari tempat tinggal baharu? Lagipun, pemburu itu sudah menyediakan sarang untuk bangau betina itu tinggal,” jawab Mariana penuh yakin.

“Oh…. kesiannya mereka,” serentak Harraz Rifqi dan Adriana Iffah mengeluh. Bagai sehati sejiwa pula mereka itu.

“Okey, akak sambung cerita lagi. Walaupun mereka sudah terpisah, bangau jantan tu tak pernah berhenti daripada mencintai bangau betina. Begitu juga dengan bangau betina. Pendek kata, mereka ialah pasangan kekasih yang sangat setia. Bangau jantan sanggup terima hakikat yang kekasihnya itu sudah cacat. Perasaan cintanya semakin kuat. Bangau jantan itu juga sanggup terbang dari tempat tinggal baharunya yang jauh beribu batu untuk pulang melawat bangau betina yang setia menunggu. Mereka tetap hidup bahagia. Macam itulah cara mereka menjalani hidup selepas kejadian malang itu. Cerita tamat. Hehehe… suka tak?” Mariana menamatkan ceritanya sambil tersenyum.

“Sukaaa!!!” Jerit Adriana Iffah dan Harraz Rifqi.

“Pengajarannya, kita kena setia dan jaga orang yang kita sayang macam pasangan bangau tadi. Kita kena terima walau bagaimana keadaannya. Jangan pula masa dia susah atau sakit, kita tinggalkan dia. Tak berhati perut tu namanya. Tentu korang pun ada orang yang korang sayang, kan? Contohnya, macam kawan-kawan dan keluarga. Ha… korang sayang akak tak ni??” Sengaja Mariana menduga mereka.

“Sayanggg!!” Sahut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi. Senada.

Mariana memeluk mereka. Senang rasa hatinya melihat mereka yang menurut kata. Cuma mulut mereka sahaja yang banyak bertanya. Hmmm…. layankan sahajalah!

“Bagus. Akak pun sayang sangat pada korang. Nanti kalau akak sakit, korang kena jaga akak tau. Rifqi sayang Iffah tak?” Soal Mariana tiba-tiba. Hehehe…. seronok pula dia berbual dengan mereka.

“Mestilah sayang, kak. Akak jangan risau. Nanti kalau Iffah sakit, Rifqi akan jaga dia,” jawab Harraz Rifqi. Terpancar kejujuran dan keikhlasan pada riak wajahnya.

Mariana tersenyum. Bagusnya Harraz Rifqi. Detik Mariana jauh di sudut hatinya.

“Iffah? Sayang Rifqi tak?” Kali ini Mariana bertanya kepada Adriana Iffah pula.

“Sayang,” jawab gadis kecil itu sambil tersipu-sipu.

“Alala… comelnya adik akak ni!” Balas Mariana sambil mencubit pipi Adriana Iffah. Adriana Iffah cuba mengelak sambil tergelak.

“Akak nak ajar cara membuat burung bangau menggunakan kertas. Siapa nak belajar angkat tangan cepat!” Ajak Mariana kemudian.

Kedua-dua kanak-kanak itu mengangkat tangan dengan pantas.

Mariana mengambil kertas A4 berwarna warni dari dalam bilik. Gamat suasana di ruang tamu itu apabila mereka saling membaling bangau masing-masing yang sudah berjaya disiapkan. Konon-kononnya mahu menerbangkan bangau kertas itu. Tidak ada maknanya, semua bangau kertas itu jatuh semula ke lantai.

Ding… Dong!

“Assalamualaikum!”

Tiba-tiba loceng rumah berbunyi diikuti ucapan salam. Itu macam suara mak! Jerit Mariana dalam hati. Cepat-cepat dia membuka pintu.

“Waalaikumussalam, mak,” balas Mariana. Tepat tekaannya. Puan Sally dan Puan Hamidah sudah tercegat di depan pintu.

“Ya-Allah! Apa yang kau orang buat di rumah ni?? Masya-Allah…. bersepah dengan kertas warna warni,” bebel Puan Sally sebaik masuk ke dalam rumah.

Mariana, Harraz Rifqi, dan Adriana Iffah hanya tersengih mendengar bebelan tersebut.

**********************************************************************

KETIKA ini, Mariana, Adriana Iffah, Puan Sally dan suaminya iaitu Encik Hussein sudah berada di meja makan rumah Puan Hamidah kerana menerima jemputan makan malam. Ada berita yang mahu disampaikan katanya. Berita apa itu tidak pula Puan Sally sekeluarga tahu. Hati mereka tertanya-tanya juga. Seperti ada berita gempar pula.

“Ada berita apa ni, Midah?” Puan Sally bertanya dalam nada kurang sabar. Suaminya hanya memerhati.

“Rasanya, eloklah kalau Lan yang jelaskan. Silakan, bang!” Puan Hamidah mempersilakan suaminya.

“Sebenarnya, saya dinaikkan pangkat daripada jawatan penolong pengurus kepada pengurus cawangan. Syarikat menghantar saya untuk menguruskan cawangan syarikat yang baharu. Tempatnya jauh pula dari kampung ni. Tak laratlah saya nak berulang-alik setiap hari. Jadi, terpaksalah kami sekeluarga pindah dari sini,” terang Encik Mazlan.

“Ya ke?” Hanya perkataan itu yang mampu Puan Sally katakan. Mulutnya sudah melopong. Dia benar-benar terkejut.

Nampaknya, Puan Sally bakal kehilangan sahabat baik merangkap penyokong setianya dalam mesyuarat ahli jawatankuasa kampung. Adriana Iffah juga bakal kehilangan rakan sepermainannya iaitu Harraz Rifqi.

“Sally, aku sebenarnya sayang sangat nak tinggalkan kampung ni. Lepas ni, aku mesti rindu nak berpersatuan dengan kau,” luah Puan Hamidah. Suaranya kedengaran sangat sebak.

Tanpa menunggu lama, Puan Hamidah bangun dan dia terus memeluk Puan Sally. Air matanya sudah bercucuran. Puan Sally pula masih kaku kerana terkejut. Sunyilah dia nanti tanpa Puan Hamidah di sisi.

“Bila pindahnya, Lan?” Encik Hussein yang senyap dari tadi mula bersuara.

“Esok, Sein,” jawab Encik Mazlan dengan berat hati.

“Cepatnya!” Serentak Encik Hussein dan Puan Sally bersuara.

Semakin lemah semangat Puan Sally mendengar jawapan Encik Mazlan itu. Puan Hamidah mengeratkan pelukannya. Sebenarnya, Puan Hamidah sudah mengetahui hal perpindahan ini sejak sebulan lalu. Tetapi, dia tidak sampai hati untuk memberitahu Puan Sally dan keluarganya.

Sementara itu, terdapat seseorang yang lain sedang kuat menahan perasaan di meja makan itu. Jiwanya seperti mahu memberontak. Dia tidak bersetuju dengan perpindahan yang bakal berlaku pada esok hari. Dia tidak suka!!!!

“Rifqi tak mahu pindahhh!!” Bentak Rifqi secara tiba-tiba. Tinggi sungguh nada suaranya.

Semua orang terperanjat dengan bentakan itu. kini, semua mata sudah menghala ke wajah Harraz Rifqi.

“Rifqi?” Tegur Puan Hamidah sambil menghampiri anak lelakinya itu.

Namun, belum sempat bahu Harraz Rifqi disentuh, Harraz Rifqi bingkas bangun dan berlari keluar dari ruang makan keluarganya itu. Tindakan Harraz Rifqi itu disusuli Adriana Iffah pula. Sekali lagi semua yang berada di situ tergamam. Ke mana mereka mahu pergi?

**********************************************************************

HARRAZ RIFQI mencabut-cabut rumput yang ada di tempat duduknya. Geram! Sudah banyak kali dia memberitahu ayah dan ibunya yang dia tidak mahu berpindah. Tapi, langsung mereka tidak mahu mendengar.

“Rifqi.” Terdengar suara seseorang menegur.

Harraz Rifqi menoleh. Adriana Iffah sudah tercegat di sebelahnya.

“Iffah,” pendek sahaja balasan Harraz Rifqi. Sekadar mencukupkan syarat untuk bersuara.

Adriana Iffah turut duduk di samping Harraz Rifqi, di taman permainan Kampung Limau Manis.

“Saya tak nak pindah dari sini, Iffah.” Harraz Rifqi meluahkan rasa hatinya yang semakin membuatkan dia tertekan.

“Saya pun tak nak awak pindah dari sini. Nanti saya tak ada kawan nak main. Tak seronoklah kalau awak tak ada,” luah Adriana Iffah. Dia juga turut bersedih.

“Saya takkan pergi dari sini. Awak jangan risau, saya takkan tinggalkan awak. Kita akan terus main sama-sama,” azam Harraz Rifqi.

“Betul??”

“Saya janji!”

**********************************************************************

KEESOKAN harinya………

“Assalamualaikum!!” Kuat Adriana Iffah mengucap salam.

Dia berasa sangat pelik. Sudah berkali-kali dia memberi salam. Tapi, pintu rumah Harraz Rifqi masih juga bertutup. Ke mana perginya Harraz Rifqi?

“Iffah…”

Adriana Iffah terkejut dengan sapaan itu. Pantas dia berpaling.

“Rifqi dah pindah, Iffah,” beritahu Mariana sambil memeluk bahu adik perempuan kesayangannya itu.

Adriana Iffah menggeleng-geleng. Dia tidak percaya.

“Akak, Rifqi dah janji yang dia takkan tinggalkan Iffah. Dia takkan pindah dari sini!” Adriana Iffah menafikan hakikat yang sudah jelas terbentang di hadapan matanya.

“Rifqi dah pindah, sayang. Takkanlah keluarganya nak tinggalkan dia seorang kat sini.” Mariana cuba menerangkan perkara sebenar.

“Rifqi kata, dia sayangkan Iffah. Iffah pun sayangkan dia. Kalau dia dah pergi, maknanya dia tak sayang pada Iffah lagi. Iffah benci dia!” Bentak Adriana Iffah.

Air matanya mula tumpah ke pipi. Manakala sendunya mula kedengaran. Mariana menggeleng. Kasihannya Iffah. Detik hati Mariana

**********************************************************************

Imbas kembali…..

“Macam mana dengan Rifqi, bang? Dia tak nak pindah.” Puan Hamidah meluahkan kerisauannya. Dia sudah duduk berhadapan dengan suaminya di meja makan.

“Mana dia sekarang?” Encik Mazlan bertanya kembali.

“Ada kat dalam bilik. Dari tadi saya panggil dia sarapan. Tapi dia tak nak keluar. Kunci pintu pula tu,” adu Puan Hamidah.

“Walau bagaimanapun, kita kena bawa Rifqi sekali. Takkan kita nak tinggalkan dia kat sini pula,” tegas Encik Mazlan.

Encik Mazlan bangun dan membuka kabinet dapur. Dia mengeluarkan ubat tidur, lalu dicampurkan ke dalam segelas air. Terbuntang mata Puan Hamidah melihat apa yang sedang dilakukan suaminya.

“Abang nak buat apa dengan ubat tidur tu? Kejap lagi abang nak memandu, kan?” Tegur Puan Hamidah sepantas mungkin.

“Abang nak bagi anak kita tu minum. Nanti masa dia tertidur lepas minum air ni, kita angkat dia masuk kereta,” terang Encik Mazlan.

Sekali lagi mata Puan Hamidah terbuntang.

“Abang, anak kita tu baru aje bangun tidur. Abang nak suruh dia tidur lagi?”

“Dah tak ada cara lain lagi. Dia mati-mati tak nak pindah.”

Puan Hamidah terdiam.

Di dalam bilik, Harraz Rifqi sedang duduk berteleku di atas katil. Dia mendengar panggilan ibunya. Namun, dia tidak peduli. Dia masih mahu menunjukkan bantahan kepada isu perpindahan mereka.

“Rifqi, ayah ni. Tolong buka pintu ni, sayang!”

Kali ini Harraz Rifqi terdengar suara ayahnya pula. Ahhh, dia tidak peduli! Biarkan mereka. Dia terus berbaring dan memejamkan mata. Pura-pura tidur.

“Rifqi, ayah tahu Rifqi tak nak pindah. Ayah ikut kemahuan Rifqi. Kita tak jadi pindah. Tapi, Rifqi tolong buka pintu ni dulu, ya!” Encik Mazlan cuba menarik perhatian Harraz Rifqi.

Mendengarkan itu, mata Harraz Rifqi terbuka dengan luas. Laju dia bangun dan terus membuka pintu. Encik Mazlan tersenyum sambil memasuki bilik itu. Dia duduk di atas katil. Begitu juga dengan Harraz Rifqi.

“Betul ke kita tak jadi pindah?” Soal Harraz Rifqi. Dia mahukan kepastian. Kalaulah benar, alangkah seronoknya!

“Rifqi tentu haus. Daripada bangun tidur lagi Rifqi tak minum apa-apa, kan? Minum air ni dulu, Rifqi,” pelawa Encik Mazlan tanpa menjawab soalan Harraz Rifqi.

Gelas di tangan Encik Mazlan itu diunjukkan kepada Harraz Rifqi. Tanpa ragu-ragu, Harraz Rifqi terus mencapai gelas tersebut dan meminum airnya sehingga habis.

“Betul ke kita tak jadi pindah ni, ayah?” Sekali lagi Harraz Rifqi menyoal.

“Betul.” Encik Mazlan terpaksa menjawab begitu.

“Kenapa tak jadi?” Harraz Rifqi terus bertanya.

“Rifqi tak payahlah fikir pasal perkara ni lagi. Ayah nak keluar dulu. Rifqi berehat, ya. Nanti, ayah bawakan sarapan,” jawab Encik Mazlan.

Beberapa minit selepas Encik Mazlan keluar, Harraz Rifqi mula berasa mengantuk. Dia pun berbaring dan terus tertidur.

**********************************************************************

TIDUR Harraz Rifqi yang nyenyak itu terganggu dek hentakan yang menggegarkan tubuhnya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Kepalanya terasa sedikit sakit dan pening. Mungkin kerana hentakan itu atau kerana dia terlebih tidur.

Eh, kat mana ni? Hati Harraz Rifqi berdetik. Hairan. Dalam kereta? Dia menoleh ke arah ayahnya yang sedang memandu.

“Ayah! Ayah kata kita tak jadi pindah!” Harraz Rifqi melenting.

“Maaf, Rifqi. Kita kena pindah.” Hanya itu yang mampu Encik Mazlan ucapkan.

“Ayah tipu!!!”

Bunyi raungan Harraz Rifqi itu bergema di dalam kereta. Hampir sahaja Encik Mazlan dan Puan Hamidah menyumbat kapas ke dalam telinga. Bingit. Maafkan kami, sayang.

**********************************************************************

Dua minggu kemudian……

“Iffah, bangun. Tak nak pergi sekolah ke?” Puan Sally mengejutkan Adriana Iffah.

Adriana Iffah tidak memberi tindak balas. Matanya terus terpejam. Puan Sally berasa hairan. Pantas dia menyentuh dahi anaknya itu. Ya-Allah, panasnya! Demam ini!

“Rifqi… Rifqi….”

Terdengar Adriana Iffah meracau dalam lenanya. Puan Sally kaget. Dia mula mengetap bibir sambil menahan sebak di dadanya.

“Iffah benar-benar rindukan Rifqi. Semoga suatu hari nanti, Iffah akan bertemu kembali dengan dia. Sabar ya, sayang,” bisik Puan Sally sambil mengusap lembut kepala Adriana Iffah. Kemudian, dia mengucup dahi anaknya itu dengan penuh rasa kasih.

**********************************************************************

Sepuluh tahun kemudian……

Masa yang berlalu telah mengubah keadaan. Adriana Iffah dan Harraz Rifqi yang dahulunya kanak-kanak, kini sudah meningkat dewasa. Sudah dua puluh tahun umur mereka. Mereka sedang menuntut di universiti yang sama. Namun, masing-masing tidak mengenali. Manakala, Mariana sudah berkahwin dengan cinta hatinya iaitu Faizal.

“Iffah, kau ni macam budak kecillah. Setiap hari kau buat bangau guna kertas. Bilik ni dah jadi macam taman permainan kanak-kanak aje aku tengok. Kau buat apa dengan bangau kertas banyak-banyak macam ni?” Tegur Suhaila iaitu rakan sebilik Adriana Iffah di universiti.
Suhaila membuka sebuah kotak lutsinar besar yang dipenuhi dengan bangau-bangau kertas hasil tangan kreatif Adriana Iffah. Berwarna-warni lagi.

“Suka hati akulah kalau aku nak jadi budak kecil pun. Ada kau kisah?” Balas Adriana Iffah dengan selamba. Dia sibuk membuat bangau kertas yang baharu.

Suhaila ternampak sehelai kertas panjang terselit di antara bangau-bangau kertas yang berselerak di dalam kotak tersebut. Tanpa membuang masa, dia terus mengambil dan membaca tulisan pada kertas itu.

“Kau ni memang betul-betul buat lawaklah. Lagu Bangau Oh Bangau pun ada dalam kotak ni. Dah sah-sahlah kau teringin nak balik ke zaman kanak-kanak, kan?” Duga Suhaila.

“Zaman kanak-kanak ialah zaman yang paling seronok dalam hidup aku. Aku tak akan berhenti daripada merindui semua yang ada pada zaman itu,” luah Adriana Iffah sejujur hati.

“Wahh, mesti kau ada pengalaman yang best, kan? Ceritalah kat aku pasal zaman kanak-kanak kau!” Pinta Suhaila bersungguh-sungguh. Dia menggoyang-goyangkan tangan Adriana Iffah.

“Mana boleh cerita. Rahsia!” Balas Adriana Iffah dengan sengihan yang meleret.

“Okey…. Kalau kau tak nak cerita, esok aku buang kotak bangau kau ni,” ugut Suhaila.

“Kalau kau berani, buanglah!” Adriana Iffah tidak mahu mengaku kalah.

“Oohh… Kau ingat, aku tak berani buang, ya? Tak apa, kau tengoklah esok pagi. Jangan menyesal.” Suhaila memberi ingatan.

Adriana Iffah hanya mencebik. Apa-apa ajelah si Suhaila ni. Bisik Adriana Iffah di dalam hati.

**********************************************************************

Keesokan harinya…….

“Suhaila! Bangun cepat! Mana kau buang kotak bangau aku tu??” Jerit Adriana Iffah sambil menggoyang-goyangkan badan Suhaila.

Suhaila pura-pura tidur. Dia ketawa terbahak-bahak di dalam hati. Padan muka dia! Dia ingat aku cakap main-main agaknya semalam, ya? Rasakannn. Hati Suhaila berkata-kata.

“Aku tau kau tak tidur. Janganlah buat aku macam ni. Kesianlah sikit kat aku. Suhailaaa….” Rengek Adriana Iffah.

Apa hal aku nak kesian kat kau? Itulah, cakap orang tak nak dengar! Suhaila terus membebel di dalam hati. Dia terus membatu.

“Yalah…. Aku cerita kisah zaman kanak-kanak aku nanti. Tapi, kau pulangkanlah dulu kotak bangau aku,” pancing Adriana Iffah.

Spontan mata Suhaila terbuka.

“Serius?” Tanya Suhaila sambil bangun.

“Serius!!” Balas Adriana Iffah.

“Hmmm…. Tapi…. Aku dah buang kat tempat sampah belakang asrama kitalah,” lambat-lambat Suhaila memberitahu.

“Apa??!” Spontan Adriana Iffah menjerit.

Tanpa membuang masa, dia terus berlari keluar untuk mendapatkan kembali kotak bangau kesayangannya. Penat-penat aku buat bangau tu, senang-senang pula kau nak buang, ya! Bebelnya di dalam hati.

Nasib baik kotak bangau itu masih berada di tempat sampah. Kalau tidak, menangis tak berlagulah dia jawabnya. Dia mengusap-usap kotak tersebut sebelum mengangkatnya. Langkahnya terhenti sewaktu dia melintasi kolam ikan yang terdapat di asrama itu. Dua ekor bangau batu yang menjadi hiasan di dalam kolam telah mencuri perhatiannya. Lantas dia duduk di bangku berhadapan kolam yang telah disediakan. Kotak bangaunya diletakkan di sisi.

Kenangan masa kecilnya mula menguasai fikiran Adriana Iffah. Tanpa sedar, dia tersenyum sendiri saat teringatkan kisah bangau yang pernah diceritakan oleh kakaknya. Kisah bangau yang setia kepada pasangan. Senyumannya bertambah mekar tatkala mengimbau kenangan ketika dia menyanyikan lagu Bangau Oh Bangau dan mempelajari cara membuat bangau kertas bersama Harraz Rifqi.

Perlahan-lahan, Adriana Iffah mula menyanyikan kembali lagu Bangau Oh Bangau…..

**********************************************************************

BADAN Harraz Rifqi terasa segar. Dia baharu balik daripada berjogging. Hari-hari cuti macam ni, memang seronok bila dapat jogging lama-lama. Bisik hatinya. Dia mula memasuki kawasan asrama.

Seorang gadis yang sedang duduk di tepi kolam itu mencuri tumpuannya. Perlahan-lahan dia mendekati tanpa gadis itu sedari. Dia dapat mendengar nyanyian gadis itu yang kedengaran mendayu-dayu.

Lagu Bangau Oh Bangau?? Fikir Harraz Rifqi. Kemudian, dia melihat kotak bangau di sebelah gadis itu. Serta-merta dia teringatkan zaman kanak-kanaknya. Sampai bila-bila pun dia tidak akan lupa kenangan itu. Tiba-tiba, perasaan rindunya kepada Adriana Iffah membuak-buak. Bagaimanakah wajah Iffah sekarang?

“Rifqi…. Aku rindukan kau..” Tiba-tiba, Adriana Iffah meluahkan kata-kata itu setelah habis menyanyi.

Harraz Rifqi bagaikan terkena arus elektrik tatkala mendengarkan kata-kata gadis itu. Jadi, gadis ini ialah Adriana Iffah?? Hati Harraz Rifqi berdetik. Dia terus diserbu seribu persoalan.

“Iffah,” panggil Harraz Rifqi. Dia memberanikan diri menyebut nama itu.

Bagai mahu gugur jantung Adriana Iffah apabila tiba-tiba ada suara yang menegur saat dia hanyut dibuai kenangan. Dia menoleh ke arah Harraz Rifqi.

“Ya, saya,” balas Adriana Iffah.

Harraz Rifqi seperti mahu melonjak gembira apabila gadis itu menyahut panggilannya. Ya, memang benar gadis ini ialah Iffah! Jerit hatinya.

“Saya pun, rindukan awak. Sangat rindukan awak!” Luah Harraz Rifqi tanpa ragu-ragu.

Adriana Iffah mengerutkan keningnya. Buang tabiat ke lelaki ni? Sempat Adriana Iffah berfikir begitu.

“Awak ni, siapa?” Tanya Adriana Iffah. Seram juga bila tiba-tiba ada lelaki yang tidak dikenali berkata begitu kepadanya.

“Saya, Rifqi. Harraz Rifqi!”

Adriana Iffah terkesima.

“Rifqi? Benar awak ialah Rifqi??” Sukar untuk Adriana Iffah mempercayai hakikat itu.

Harraz Rifqi menganggukkan kepalanya laju-laju. Kemudian dia membuka kotak bangau kepunyaan Adriana Iffah. Diambilnya seekor bangau kertas berwarna merah.

“Bangau kertas ni, Kak Mariana yang ajar kita dulu, kan?” Ujar Harraz Rifqi bagi meyakinkan Adriana Iffah bahawa dia memang Harraz Rifqi. Bukan orang lain.

“Ya, betul. Ya-Allah! Saya tak sangka boleh jumpa awak balik di sini.” Adriana Iffah memanjatkan rasa syukurnya ke hadrat Illahi.

Beberapa saat kemudian, mereka saling berbalas senyuman. Mungkinkah perasaan rindu itu tanda cinta? Kita fikirlah sendiri. Semoga mereka bertemu bahagia yang dinanti selama ini.

Di sebalik pokok berhampiran kolam itu, terdapat orang lain yang sedang tersenyum. Hatinya turut terharu tatkala menyaksikan pertemuan ala-ala jejak kasih itu. Dia puas hati. Dan dia tidak akan bertanya mengapa mereka berpisah dahulu. Biarlah rasa gembira ini kekal buat selama-lamanya.

Perlahan-lahan, Suhaila melangkah meninggalkan pasangan merpati dua sejoli itu.

-TAMAT-


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

26 ulasan untuk “Cerpen : Bangau Oh Bangau”
  1. Ainiez says:

    best…

  2. Yazmin says:

    cerita yang menarik, senang difahami, tahniah untuk penulis

  3. nabilah azima says:

    best 😀

  4. monster says:

    jalan crte mmg bez..
    kreatif btol..

  5. fira farisya sweet says:

    cerpen yg sngt best…
    moga dpt idea cm nie lgi..

  6. TeeHa BalQis says:

    sweet sgt citer neyh..lain dr yg lain :)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.