Cerpen : Diabetes

28 September 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: syur iana

Masih terasa saat-saat dirinya disahkan menghidap suatu penyakit yang agak kronik, ketika itu, gadis muda itu atau nama sebenarnya Airiz berseorangan sahaja tanpa ditemani sesiapa, dia duduk di atas kerusi di sebuah klinik menunggukan dirinya dipanggil, agak lama juga sebenarnya .Pada waktu ini, Nombor 1299 masih ditangan, keluh kesah gadis montel yang berkulit putih bak kulit kerang itu menantikan nombor yang dipegangnya dipanggil lelaki di kaunter . Ketika ini tiada apa yang dapat menenangkan fikirannya, mindanya kacau bilau, bercelaru bagaikan memikir masalah negara. Walhal dirinya hanya dipanggil untuk temujanji. Dia sendiri pelik dan berasa agak hairan, mengapa agaknya dia yang dipanggil kali ini, sedangkan sebelum ini dia hanya sekadar menemani ibunya berjumpa doktor di klinik itu.

Setelah hampir satu jam menunggu, nombor giliran ditangan Airiz dipanggil lelaki yang berada di kaunter itu. Dia diminta supaya masuk ke dalam bilik saringan. Jantungnya kini sudah tidak berdegup pada aras normal, jantungnya berdegup laju umpama kereta formula 1 yang memecut laju untuk sampai ke garisan penamat.

“Apa agaknya yang mereka ini mahukan dari aku?” bisik hati kecil gadis itu. Tanpa berlengah lagi gadis itu memasuki kamar yang menempatkan seorang Medical Assistant berusia dalam lingkungan awal 30-an.

“Wah masih muda, kacak pula , persis seperti ciri-ciri lelaki idamanku” hati nakal Airiz bersuara seraya dengan mulutnya teresengih lebar. Dengan lirikan mata yang menggoda daripada lelaki itu, membuatkan Airiz tertunduk malu. Segala kecelaruan yang dihadapinya sebentar tadi sudah hilang dek senyuman menawan Medical Assistant itu tadi. Matanya melilau mencari-cari Tag nama lelaki itu, kemudian dia terpandang di suatu sudut di atas meja yang menampakkan gambar lelaki itu bersama keluarganya mungkin. Pada gambar itu tertulis nama ZAKUAN. Jadi itulah namanya teka Airiz , nama lelaki itu ialah Zakuan.

Tiba-tiba suara serak basah mula didengari, “Erm, Cik Airiz ya? Cik tahu kenapa cik dipanggil kemari?” , Airiz menggeleng-gelengkan kepalanya menandakan dia tidak tahu apa-apa.

“Begini cik tujuan kami memanggil cik datang kesini kerana kami ingin menjalankan beberapa ujian terhadap cik, menurut ibu cik , Puan Aida, cik berisiko untuk menghidapi penyakit Kencing Manis atau nama Saintifiknya Diabetes. Hal ini kerana cik sudah mempunyai symptom symptom awal diabetes.

“Sebentar , apa yang encik cakapkan? Maksud encik saya menghidap penyakit diabetes? Di usia muda seperti ini? Tidak encik saya tak percaya, tolong jelaskan”, Airiz meminta penjelasan Zakuan.

“Sebab itu kami panggil cik ke mari hanya untuk kepastian cik, lagipun cik sendiri sudah mengetahui bahawa ibu cik juga seorang penghidap diabetes ketika beliau mengandungkan cik Airiz, oleh itu kita hanya mahu mengambil langkah berjaga-jaga supaya cik tidak akan merana akibat penyakit ini, diabetes ini akan diwarisi kerana salah satu faktor penyakit ini adalah genetic , adakah cik Airiz mahu menanggung penderitaan sebagaimana ibu cik hadapi?”, jelas Zakuan.

“Sekarang marilah kita membuat ujian terhadap cik Airiz”, sambungnya.

“Baiklah encik!”, kata Airiz, lantas dia berdiri dan membuntuti Zakuan yang sudah bergerak dari tadi menuju ke ruangan ujian. Ketika di bilik ujian , Airiz kembali resah , dia khuatir kalau dirinya itu menghidap penyakit diabetes seperti yang didakwa ibunya.

“Ahh, apa ibu ni ? mengarut lah bagaimana pula aku yang masih muda ini dikatakan menghidap penyakit ini,”bentak hati Airiz. Kemudian Airiz melihat sebuah bekas plastik yang mengandungi set alat menguji paras gula iaitu glucometer. Alat ini digunakan untuk menguji paras gula dalam darah seseorang itu untuk menandakan mereka ini menghidap penyakit diabetes atau tidak. Airiz kelihatan gelisah kerana dia sungguh tidak percaya kerana kali ini dia sendiri yang akan merasai jarum di glucometer itu mengenai jarinya. Zakuan yang sedari tadi melihat perlakuan Airiz ibarat anak kecil itu tertawa kecil di sudut bilik itu. Tanpa membuang waktu, pemuda itu kemudiannya mengambil strips dan alcohol pad untuk menguji darah Airiz. Jari Airiz digosok lembut dengan alcohol pad supaya dapat mengurangkan rasa sakit, dengan sepantas kilat jari Airiz dicucuk jarum glucometer dan darahnya keluar setitis demi setitis. Zakuan mengambil titisan darah Airiz lalu diletakkan keatas strips.Dalam beberapa saat mesin glucometer menunjukkan hasil paras gula dalam darah Airiz.

Ketika itu debaran dihati Airiz mula terasa, debarannya kali ini tidak sama seperti dia mengambil slip keputusan PT3 nya dulu, barangkali begini lah debaran menantikan keputusan SPM teka Airiz. Zakuan yang melihat nombor di glucometer itu terkejut kerana pada aras 18.0 menunjukkan bahawa Airiz sah menghidap Diabetes, Zakuan tidak terus memberitahu Airiz tentang ini, malah dia bertindak untuk mendiamkan diri dan menyuruh Airiz untuk tunggu di ruangan menunggu tempat dia duduk tadi sementara Zakuan berbincang dengan doktor . Setelah beberapa minit Airiz dipanggil semula untuk berjumpa dengan doktor.

Di dalam bilik doktor, Airiz duduk diatas kerusi berhadapan dengan doktor. Dia tersenyum kerana doktor itu tidaklah asing baginya kerana doktor itu jugalahyang merawat ibunya.

“Eh, Airiz rupanya , saya ingatkan siapa”, kata doktor itu memulakan bicara.

Jawab Airiz pula, “ya doktor Hazwan! , erm doktor bagaimana dengan ujian darah saya? Apakah hasilnya , positif atau negatif? Saya tidak menghidap diabetes kan doktor?”. “Bertenang Airiz, biar saya jelaskan, begini menurut hasil ujian darah yang awak lakukan tadi, menunjukkan yang Airiz sah menghidap diabetes. Airiz menghidap young diabetic iaitu kencing manis di usia yang amat muda, maaf Airiz kami tidak dapat membantu Airiz kerana pada usia ini Airiz sudah menghidap penyakit diabetes yang amat teruk dan berkemungkinan organ-organ Airiz yang lain juga akan rosak apabila Airiz menjangkau usia dewasa nanti. Buah pinggang, jantung, paru-paru Airiz semuanya akan rosak sekiranya Airiz tidak menjaga pemakanan Airiz mulai sekarang,” terang doktor Hazwan.

Ketika ini mata Airiz sudah berkaca , tetapi dia berjaya menahan air matanya daripada berguguran didepan doktor Hazwan. Dia tidak mahu dirinya dilihat lemah. Sambil doktor Hazwan memberinya penerangan, di dalam qalbu nya dia mulai merintih, “Ya Allah besarnya dugaanMu terhadap aku insan yang kerdil ini, bagaimana dapat aku hadapi semua ini, bukan mudah perkara ini untuk akuterima.”

Kemudian Airiz semakin sebak apabila doktor Hazwan memberitahunya bahawa dia sudah berada di tahap yang teruk walaupun masih young diabetical disease. Airiz perlu mengambil suntikan Insulin kerana pancreas Airiz sudah tidak boleh menghasilkan insulin sendiri. Air mata yang ditahan sedari tadi , akhirnya jatuh berguguran di hadapan doktor Hazwan. Dia sudah tidak mampu menahan sebak didada, dia juga sudah tidak memikirkan doktor di hadapannya kerana dia terlalu sedih, tidak tertanggung rasanya dugaan yang diberikan kepada dirinya yang masih muda itu.

Doktor Hazwan yang melihat Airiz seakan-akan sudah tidak lagi mendengar akan suaranya bertindak mendiamkan diri seketika kerana dia melihat Airiz sudah hanyut dilayar lamunan. Airiz menangis teresak-esak kemudian doktor cuba menenangkannya.

“Sudahlah Airiz, saya tahu amat sukar untuk awak hadapi dugaan yang terlalu besar ini , terutama pada usia awak sebegini.” Airiz menganggukkan kepala mengiakan kata-kata doktor seraya itu air matanya makin laju mencurah ke bawah dan dia mengesat air matanya. “Airiz awak perlu tabah , awak pernah dengar tak ? seekor semut yang kecil mampu menumbangkan seekor gajah yang besar kerana semut itu tabah dan bersungguh-sungguh melawan gajah itu, inikan pula Airiz yang kuat dan hebat. Mesti Airiz boleh melakukannya, lagipun semakin besar ujian yang Allah beri semakin sayang Allah kepada kita, dan Allah tidak akan sesekali memberikan ujian yang tidak mampu hambaNya tanggung. Allah tahu Airiz mampu menanggung dugaan ini. Airizbertenang ya?”, sambung doktor Hazwan.

Setelah selesai, Airiz meminta diri untuk pulang. Sudah tidak tertahan olehnya sebak di dada walaupun sudah ditenangkan oleh doktor Hazwan. Doktor Hazwan berpesan kepadanya supaya datang pada tarikh yang telah ditetapkan di buku hijau miliknya yang telah disediakan khusus untuk penghidap diabetes. Perasaan Airiz saat ini, hendak saja dia melemparkan buku itu ditengah jalan nanti, namun Airiz bertindak menenangkan dirinya sendiri apabila mengenangkan ibunya yang juga sakit sepertinya. Sekali lagi, air mata Airiz jatuh berguguran dan di dalam hatinya terdetik beribu persoalan. Pada siapa lagi harus dia mencari jawapan , dia tidak yakin bahawa sahabat serta keluarganya mampu memperjelaskan persoalan yang timbul di benak fikirannya. Dia masih tidak siap untuk memberitahu perihal ini kepada orang lain.

“Pada siapa harus aku mengadu Ya Allah ? mana mungkin aku mengkhabarkan hal ini kepada ibu, dia juga sakit , dia pasti sedih jika dia tahu,” bicara Airiz sendiri sambil mengesat air matanya yang kian jatuh. Airiz hanya mendiamkan diri , dia tidak langsung memberitahu ibunya bahkan seluruh ahli keluarganya, sehinggalah pada suatu hari , sewaktu ibunya sedang mengemas di dapur, ibunya melihat dia sudah kaku dan terjelopok diatas lantai, ibunya Puan Aida cemas melihat anak dara bongsunya itu pengsan. Puan Aida kemudiannya, meminta pertolongan daripada abang-abang Airiz.

Mereka membawa Airiz masuk ke dalam kereta dan Airiz dikejarkan ke Klinik. Sewaktu Airiz masih tidak sedarkan diri ibunya bertanyakan keadaan Airiz kepada doktor. Doktor memberitahu bahawa Airiz mengalami Hipoglychemia atau gula yang terlalu rendah dalam badan Airiz. Hal ini disebabkan oleh pengambilan makanan yang terlalu lambat selepas mengambil suntikan insulin ataupun dia tidak langsung makan dan tidak mengambil insulin sehingga menyebabkan dia pengsan.

“Sebentar doktor, apa kaitannya dengan insulin dan anak saya?”,tanya Puan Aida.

“Airiz tidak memberitahu puan yang dia menghidap diabetes,kami telah menjalankan ujian terhadapnya bulan lepas , untuk pengetahuan puan, dia sudahpun berada di tahap yang berbahaya , tiada cara lain untuk merawat Airiz melainkan mengambil suntikan insulin dua kali sehari 30 minit sebelum makan. Insulin yang kami berikan kepada Airiz buat masa ini adalah insulin jenis Mixtard. Insulin ini hanya untuk peringkat awal jika insulin ini tidak berkesan buat Airiz kami akan memberinya ubat sampingan iaitu Metformin untuk megawal gulanya daripada naik. Sekiranya cara ini masih juga tidak berkesan kita akan menukar jenis insulin. Daripada insulin Mixtard ke insulin Actrapid dan Insulatard. Saya khuatir jika terlalu banyak insulin hal ini akan memberi kesan sampingan kepada diri Airiz. Oleh itu, puan harus memberi sokongan kepada Airiz dan memantau pemakanan Airiz kerana dia terlalu mentah soal ini,” doktor memberitahu puan Aida. Lantas puan Aida menjawab

“Jadi benarlah apa yang saya rasakan selama ini, dia berisiko untuk mewarisi penyakit saya. Ya Allah ! tapi kenapa doktor? Kenapa pada usianya yang masih muda ini? Sudah begitu kritis penyakitnya. Sungguh tidak akan mampu untuk dia melalui semua ini doktor”.

Tika dan saat ini air mata puan Aida sudahpun berlinangan di pipi. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya sengsara sendiri, sungguh tega Airiz merahsiakan hal ini daripada pengetahuannya. Benarlah sangkaanya selama ini bahawa Airiz akan mewarisi penyakitnya. Dia sudah lama memerhati tindak tanduk Airiz yang kerap membuang air kecil terutama pada waktu malam, Airiz juga sering kehausan dan badan Airiz juga semakin susut dari hari ke hari. Beberapa jam kemudian Airiz sedar setelah diberikan larutan glucose oleh doktor. Kemudian Puan Aida menghampiri Airiz dengan mata yang basah.

Airiz yang masih kebingungan lantas bertanya, “Airiz dimana ni ibu? Kenapa mata ibu merah ? ibu menangis ya?”.

“Kamu di klinik sayang , tadi kamu pengsan di dapur, sewaktu ibu masuk kedapur Airiz sudah terbaring kaku di lantai,”jawab Puan Aida.

“Ibu, maafkan Airiz, sebenarnya..” belum sempat Airiz menghabiskan ayatnya Puan Aida sudah terlebih dahulu memotong percakapannya ,“sudahlah Airiz ibu sudah tahu, tapi kenapa Airiz? Tega sekali kamu mendiamkan diri dan langsung tidak memberitahu kami semua soal ini? Apa kamu fikir dengan bertindak begini masalah kamu akan selesai? Semestinya tidak Airiz, malah kamu hanya merumitkan keadaan, kamu tidak sepantasnya melakukan hal ini, oh Airiz bukan begini…” bicaranya terhenti disitu kerana air mata makin laju mencurah, dadanya semakin sebak sampaikan tidak mampu bersuara lagi.

Tiba-tiba abang Airiz mencelah, “Cukuplah ibu, jangan fikirkan sangat hal ini, ibu pun bukannya sihat sangat , nanti tidak pasal-pasal ibu pula yang pengsan”.

“Betul kata Syah tu puan , baiklah kiranya kalau puan bertenang dahulu,”sampuk Doktor Hazwan.

“Kenapa Airiz perlu merahsiakan hal ini daripada kami, adakah kerana Airiz malu atau takut sebab abang dan kak Airin menyisihkan Airiz? Ya abang mengaku memang kami sisihkan Airiz itu pun sebab kami cemburu dengan Airiz. Airiz selalu diberi perhatian yang lebih oleh ibu, ibu selalu melebihkan Airiz daripada kami, tapi sekarang abang sedar sememangnya Airiz memerlukan perhatian yang lebih daripada ibu. Maafkan abang”, kata Syah kepada Airiz.

Airiz terus menjawab, “bukan begitu abang , Airiz tidak pernah ambil hati soal itu, cuma Airiz tidak mahu ibu terus menderita , cukuplah dia berpenat lelah membesarkan Airiz selama ini dengan keadaanya yang sakit, Airiz tak mahu menambah lagi beban ibu jika dia tahu Airiz menghidap penyakit ini. Jadi Airiz fikir dengan mendiamkan diri ibu tidak perlulah memikirkan masalah Airiz, sebab hal ini akan menambahkan lagi bebanannya, biarlah Airiz sahaja yang menanggung semua ini abang.”

Puan Aida yang sedari tadi menangis mengenangkan nasib anaknya mulai bersuara, “ Airiz , jika kamu kata kamu ini bebanan, baik ibu bunuh kamu dari kecil lagi supaya tidak menyusahkan ibu, tapi Airiz seorang anak bukanlah beban malah anak itu anugerah sebab itu ibu bersedia menghadapi apa sahaja yang akan berlaku terhadap anak-anak ibu. Kamu harus ingat walau apa pun yang terjadi ibu tetap sayang Airiz. Buat masa ini usah kamu fikirkan perihal ini kerana jalan hidup kamu masih panjang, masih banyak yang kamu perlu tempuhi, fokuskan terhadap masa depan kamu, jangan disebabkan penyakit ini masa depan kamu terabai. Anggaplah penyakit ini hanya ujian untuk menguji keimanan kamu dan menjadikan kamu seorang insan, biarlah tidak sempurna di mata manusia namun bernilai di sisi Allah SWT.” Kata-kata inilah yang menjadi pedoman buat Airiz untuk dia menempuhi kehidupannya seharian. Airiz juga mampu bertahan kerana mendapat dukungan daripada ibu dan adik-beradiknya. Di sebalik penyakit yang dihidapi ,dia telah mendapat rahmat yang mengeratkan lagi hubungan diantara dia dan adik beradiknya terutama Syah dan Airin.

Benarlah kata orang selepas hujan Allah hadirkan pelangi untuk kita, begitulahdengan hidup ini selepas kesusahan Allah berikan kita kebahagiaan yang tidak ternilai. Bagi Airiz penyakitnya itu, hanyalah luka yang kecil untuk dirinya berwaspada agar tidak terluka dengan luka yang lebih besar. Dia selalu ingat akan pesanan arwah ayahnya bahawa sakit itu adalah penghapus dosa , makin kita sakit makin banyak dosa kita terhapus. Dua tahun sudah berlalu, kini Airiz sudah redha dengan ketentuan Ilahi terhadap dirinya itu. Insulin akan disuntik ke dalamperut Airiz sebanyak dua kali sehari, 30 minit sebelum mengambil apa-apa makanan. Begitulah dia menjalani kehidupan sehariannya sebagai seorangpenghidap Diabetes.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.