Cerpen : Diari Coklat

27 September 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: Ika 4Mei

DIARI berkulit coklat itu didakap kemas ke dada. Segaja dia mengimbau kembali nostalgia dan kenangan manis mereka semata-mata mahu menyejukkan hatinya yang sedang membara tika ini. Suaminya itu tidak habis dengan kerjanya, langsung tidak punya masa untuk keluar dating seperti waktu mereka bermadu kasih dahulu.

“Abang sibuk sayang, please jangan merajuk macam ni.” Tubuh isterinya dirangkul dari belakang. Esakan Elina yang kedengaran hiba benar-benar meruntun jiwanya.Isterinya tidak memberi sebarang respon, hanya mengeraskan tubuhnya sambil sesekali menghembus hingus yang hampir meleleh. Inspektor Hizqil mengeluh. Dia tahu sudah banyak kali dia melukakan hati Elina, namun hanya Tuhan sahaja yang tahu bahawa dia tidak pernah berniat untuk menyakiti isterinya. Langsung tiada walau sebesar zarah! Lama mereka berkeadaan begitu sebelum Elina mula mengalah dan melentokkan kepalanya ke dada Hizqil.

“Lin sayang abang. Sampai bila-bila.” Ucap Elina sebelum meninggalkan suaminya bersendirian di ruang tamu sederhana besar itu. Tempat yang ditujunya hanyalah bilik tidur. Dia mahu membaca diarinya supaya dia mampu bertenang. Peristiwa siang tadi terus lenyap sebaik sahaja pintu biliknya diketuk. Terjegul kepala Hizqil di celah pintu bilik bersama sengihan serba salah. Dia tidak berniat mahu menegur suaminya, biarlah lelaki itu tahu yang dia masih dalam situasi merajuk.

“Sayang, jom makan. Abang dah siap masak.” Sapa Hizqil dengan berhati-hati, tidak mahu mengguriskan hati isterinya. Dia kemudiannya melabuhkan duduk di sebelah Elina. Pipi isterinya dicium lembut seraya tangannya mencapai diari di dalam pelukan Elina.

“Sayang baca yang mana hari ni? Boleh abang tahu?” Diari yang agak tebal itu diselak. Setiap memori indah mereka tercatat di dalam diari itu oleh Elina sendiri.

“Yang ni, part yang ada mamat poyo langgar gadis comel putih gebu.” Jawab Elina sambil tangannya menyelak diari tersebut. Keningnya terjongket memerhatikan reaksi suaminya yang sudah tergelak. Serta merta hatinya mencair melihat lekuk pada wajah suaminya. Lesung pipit suaminya nampak menawan setiap kali lelaki itu tertawa. Dan dia pula tidak ‘pandai’ merajuk lama-lama.

“Perasannya dia.” Hidung Elina yang sedang-sedang mancung itu dicuit penuh kasih sayang. Syukurlah isterinya sudah tidak merajuk.Masih segar dalam ingatan mereka saat pertama kali mereka berjumpa. Siapa sangka pertemuan yang mencetuskan perbalahan itu akhirnya mencetuskan bibit-bibit cinta dan mereka kemudiannya ke jinjang pelamin bersama-sama setelah mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam bercinta.

INSPEKTOR Hizqil melangkah keluar dari balai polis sambil tangannya sibuk menekan skrin telefon. Langkahnya dihayun laju tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Perutnya sudah berlagu pilu minta diisi. Tadi sewaktu koperal Mujahid beria-ia mengajak dia makan, dia dengan yakin menolak perlawaan budak muda itu. Sekarang terpaksalah dia makan sorang-sorang. Sudahlah telefonnya asyik on-off sahaja. Nampaknya melayang lagilah duit gaji dia kalau telefonnya berdegil tak mahu berfungsi.

Baru sahaja dia berjalan menjauhi balai polis sejauh 10 meter, tiba-tiba sahaja dia dilanggar dari hadapan. Pelanggaran tidak diduga itu secara tidak sengaja mencetuskan drama cerekarama apabila tubuh gadis yang melanggar Inspektor Hizqil melayang mahu mencium lantai namun sempat disambutnya. telefonnya pula melayang entah ke mana.Baru sahaja mata mereka bertembung, gadis kecil molek itu segera membetulkan posisi tubuh sebelum mulut becoknya mula membebel.

“Hei, tak ada mata ke hah? Mata tu letak kat mana ? Kat lutut ?” Marah gadis berbaju kurung bunga-bunga halus merah jambu itu. Tangannya laju mencapai telefon yang tersadai di atas lantai. Malang sungguh nasib dia hari ini, sudahlah dia sesat, kena langgar dengan lelaki tinggi macam tiang lampu pula tu. Telefon kesayangannya itu segera dimasukkan ke dalam beg tangan pasar malam. Risau kalau-kalau lelaki itu orang jahat yang sengaja melanggar dia kerana mahu meragut atau mencuri.

“Ewah ewah cik adik, sedap mulut aje awak mengata ya? Saya ke awak yang letak mata kat lutut? Sudahlah langgar orang tak minta maaf, lepas tu marah-marah pulak.” Balas Inspektor Hizqil seraya menjegilkan mata ala-ala Hulk yang tengah marah.Baru sahaja dia mahu menyambung memarahi gadis itu, tiba-tiba dia teringatkan telefonnya. Terkocoh-kocoh dia mengutip seraya meniup lembut dan mengelap skrin telefonnya. Nasib baik tak pecah skrin telefon aku.

“Amboi-amboi, buat salah tak nak mengaku, siap tuduh kita pula. Memang nak kena mamat ni.” Gadis itu menjengket sedikit cuba menyamakan tingginya dengan Inspektor Hizqil sambil bercekak pinggang.

“Ewah, tak habis lagi rupanya budak sekolah ni membebel. Hei, budak ! Paku dulang paku serpih, mengata orang awak tu yang lebih.” Melihat perlakuan gadis itu, dia turut sama bercekak pinggang. Ikutkan hati dengan perut yang tengah lapar ni, mahu sahaja dia cepuk kepala budak tak cukup inci itu.

“Wei, cakap tu elok sikit. Aku bukan budak sekolahlah. Umur aku dah cukup 24 tahun dah. Siap berpantun lagi ya, boleh tahan laser juga mulut kau ni. Dengar sini baik-baik, aku beli pantun kau tu. Gunung Daik bercabang dua, Pulau Pandan jauh ke tengah, hei orang tua, jalan tu jangan termengah-mengah !” Sembur Elina Masida seraya menjeling lelaki di hadapannya. Mujurlah dia bukan naga jadian, kalau tidak percuma sahaja lelaki itu hangus kena sembur dengan api.Riak wajah Inspektor Hizqil terus berubah. Merah padam wajahnya menahan amarah. Kalau pegawainya melihat dia ketika ini pasti sahaja mereka diam tidak berkutik. Tetapi hakikatnya di hadapannya sekarang bukan pegawainya atau sesiapa sahaja yang dikenalinya, tetapi gadis berbaju kurung yang muncul entah dari mana.

Inspektor Hizqil segera mengucap sambil meraup wajahnya beberapa kali. Dalam situasi ini dia harus mementingkan perutnya yang semakin mengganas dan mula mendendangkan lagu rock berbanding melayan gadis bermulut lancang itu. Jarinya menunding tepat ke arah batang hidung gadis itu sebelum dia mengambil langkah menjauhi gadis itu untuk ke warung di sebelah kiri jalan.

“SAYANG, abang pergi kerja dulu. Jangan lupa kunci pintu.” Jerit Hizqil di muka pintu rumah teres mereka sambil menyarung kasut. Seketika kemudian muncul Elina terkocoh-kocoh bersama Tupperware di tangan dan roti di mulut.

“Nah bekalan untuk alas perut sebelum lunch. Jangan lupa makan. Jangan main mata dengan perempuan lain. Jangan stress dengan kerja.” Pesan elina sambil menghabiskan roti yang masih bersisa. Bekas Tupperware itu dihulur seraya mencapai tangan kanan suaminya lalu menciumnya. Kepala Elina yang tertutup dengan tuala itu diusap lembut sambil tersenyum. Pesanan yang sama setiap hari itu dilekatkan di kepala supaya tidak terlupa. Pinggang Elina dirangkul kemas sebelum dia melepaskannya kembali. Mereka berbalas senyuman.

“Hati-hati buat kerja rumah. Assalamualaikum.” Pesan Hizqil ringkas sebelum memboloskan diri ke dalam kereta. Tangannya memulas kunci sebelum mula mengundurkan kereta dan keluar dari garaj kecil rumah teres mereka.Sebaik sahaja kereta suaminya hiang dari pandangan, Elina segera mengunci pintu. Dia harus mengemas rumah terlebih dahulu sebelum keluar menghantar lukisannya ke balai seni Negara. Alamak, terlupa pula dia mahu meminta izin suaminya. Ah, nanti sahajalah dia hantar pesanan kepada Hizqil.Selesai mengemas rumah Elina segera bersiap. Dia mengenakan blouse labuh berwarna biru lembut dipadankan dengan seluar jeans longgar dan selendang berwarna biru laut. Semenjak berkahwin dengan Hizqil dia sudah mula berhijab. Syukur Tuhan masih menyayanginya dan memberinya hidayah untuk menunaikan kewajipan sebagai wanita muslimah.

Kereta Myvi yang dipandu meluncur masuk ke perkarangan balai seni Negara. Niatnya cuma satu, hantar lukisan kepada ketuanya Mr. Lim Kay secepat mungkin. Beberapa minit menunggu di ruang pejabat Mr. Lim akhirnya selesai juga kerjanya. Selesai sahaja urusan menghantar lukisan Elina kembali ke kawasan parkir.Tangannya mula meraba mencari kunci kereta di dalam beg silang. Baru sahaja tangannya menyentuh kunci tiba-tiba mulutnya ditekup dengan kain. Dia cuba meronta namun pantas sahaja bau kloroform menusuk masuk ke dalam rongga hidung. Pandangannya mula berbalam-balam sebelum perlahan-lahan menjadi gelap.

BUNYI derap tapak kaki menyedarkannya dari lena. Perlahan-lahan dia membuka kelopak mata. Gelap. Ya Allah, di mana aku? Gumam Elina di dalam hati.Kepala yang mula berdenyut dipegang. Bunyi derap tapak kaki yang semakin mendekat itu mencemaskan Elina. Sakit di kepala sudah tidak dihiraukan. Dia harus cuba cari jalan untuk keluar dari tempat ini. Dia harus melepaskan diri.Cahaya suram mula kelihatan bersama sesusuk tubuh seorang lelaki yang semakin mendekat. Elina semakin panik. Renik-renik peluh mula membasahi dahinya. Ya Allah, selamatkanlah aku.

“Suami yang buat dosa, isteri pula yang kena tanggung. Kesian kau.” Lelaki itu ketawa kuat. Bergema suara ketawanya di dalam rumah kosong itu yang kini diterangi cahaya pelita yang suram.Elina tersentak. Matanya melirik ke arah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Cahaya yang suram menyukarkannya untuk melihat keseluruhan wajah lelaki itu. Yang jelas wajah lelaki itu berparut akibat kesan melecur. Cukup untuk membuatnya berasa gerun dan takut.

“Siapa kau? Apa yang kau nak dari aku?” soal Elina perlahan. Kepalanya ditunduk ke bawah, tidak berani untuk menatap wajah melecur itu. Entah kenapa dia merasakan yang mereka pernah berjumpa.Sekali lagi suara ketawa lelaki itu bergema. Kali ini lebih keras dan menggerunkan.

“Kau tanya aku kenapa ? Suami kau yang bunuh abang aku. Dan kau yang buat abang aku jadi separuh gila.” Tengking lelaki itu sambil menundingkan jari ke wajah Elina. Rahangnya bergerak menahan amarah yang semakin menguasai akal fikiran. Terketar-ketar tubuh Elina, cuba memberanikan diri untuk menyoal. Kau tak boleh lemah Elina.

“Apa maksud kau?” Bahunya direntap kasar memaksanya untuk berdiri. Matanya dipejam rapat, tidak mahu memandang wajah lelaki dihadapannya. Pang! Terasa pijar pipinya akibat tamparan yang langsung tidak diduga. Akibatnya dia jatuh tersembam mencium lantai. Tangannya meraba-raba bibir yang terasa pedih. Basah. Pasti bibirnya berdarah. Abang, tolong Lin. Jerit Elina di dalam hati. Air mata mula merembes membasahi pipinya. Baru dia teringat dia terlupa meminta izin Hizqil untuk keluar siang tadi. Mungkin ini adalah balasan untuk isteri yang sentiasa ingkar kata suami sepertinya.

“Kau jangan buat-buat lupa apa yang kau laki bini buat pada abang aku. Abang aku betul-betul cintakan kau. Tapi apa yang kau buat pada dia? Kau tolak lamaran dia, kau jauhkan diri kau dari dia. Kau buat hidup dia bertambah gelap. Dan suami kau..” dia menggelengkan kepala beberapa kali.

“..Suami kau bunuh dia! Dia dah janji dengan aku yang dia akan berhenti jual dadah tapi suami kau tetap bertindak bunuh dia. Dia tak pernah bahagia sejak dia kecil tapi dia bahagia bila berjumpa dengan kau Elina. Kau sepatutnya jadi isteri abang aku bukan inspektor keparat macam Hizqil!” bentak Ridzuan dengan suara meninggi bagai halilintar.Ya, dia sudah tahu siapa lelaki itu. Ridzuan.

“Lin anggap Kyle macam abang kandung Lin sahaja. Tak lebih dari itu. Tergamak Kyle khianati persahabatan kita. Tak apa, Lin hargai perasaan Kyle pada Lin, tapi jangan pernah berharap yang Lin akan ada rasa yang sama pada Kyle. “ itulah balasan dia pada Kyle apabila lelaki itu meluahkan perasaannya pada dia. Dia langsung tidak berniat untuk melukakan hati Kyle. Dia hanya berterus terang tentang perasaannya. Tidak pernah Elina menyangka cinta Kyle padanya akhirnya bertukar menjadi dendam dan dendam itu kemudian diturunkan pula pada adik angkatnya Ridzuan.Bulat mata Elina menekur lantai. Apa yang dia dengar betul-betul mengejutkan. Dia sangka Ridzuan sudah meninggal tapi hari ini dia menyaksikan jasad lelaki itu dengan mata kepalanya sendiri.

“Tak, kau salah. Suami aku tak bunuh abang kau. Dia mati sebab kereta yang kau pandu terbabas dan meletup. Aku tak sangka kau masih hidup, patutlah polis tak jumpa mayat kau.” Balas Elina, berani.Tangannya dikepal menahan perasaan marah yang membuak-buak. Ya, dia marah kerana Ridzuan menyalahkan suaminya ke atas apa yang berlaku pada Syafiq Kyle.

“Kalau tak kerana suami kau ini semua takkan berlaku. Suami kau memang degil. Aku akan pastikan dia merana sebab dia dah rampas kau dari abang aku. Kalau abang aku tak dapat kau, dia pun takkan dapat.”Tangan Elina ditarik kasar. Tali yang disangkut pada bahu dicapai sebelum dia mula mengikat kedua belah tangan Elina.Wajah Ridzuan ditatap tajam. Dia sudah tidak gentar untuk menatap wajah berparut di hadapannya. Hatinya bagai dirobek mendengarkan apa yang dibicarakan bekas polis itu. Tergamak sungguh lelaki ini melakukan semua ini semata-mata untuk membalas dendam. Bilamana dendam dan amarah mula dikuasai nafsu dan hasutan syaitan, akal fikiran bagaikan sudah tidak berfungsi. Elina beristghfar didalam hati.

“Inspektor Hizqil cuma melaksanakan tugasnya sebagai polis. Dia seorang yang amanah bukan pengecut macam kau yang sanggup membutakan mata untuk membela abang sendiri yang terang-terang bersalah. Dan untuk pengetahuan kau suami aku tak pernah rampas aku dari sesiapa. Aku tolak abang kau sebab aku tak cintakan dia.” Balas Elina lebih tenang. Dia pasti suaminya akan datang menyelamatkannya. Dia hanya perlu melengahkan masa buat seketika. Suaminya seorang polis yang amanah. Ya, dia harus percayakan suaminya.

“Huh, cinta konon!” Ejek Ridzuan dengan wajah jengkel. Dia kemudiannya bangun dan mengatur langkah keluar dari bilik kosong meninggalkan Elina dengan cahaya pelita yang suram.

“BERTENANG Inspektor, kita tak tahu berapa orang yang mengawasi Elina. Sebaiknya kita mengatur strategi terlebih dahulu sementara menunggu pasukan bantuan. Ambil masa sedikit untuk kumpul pegawai kita memandangkan mereka ada misi lain malam ni.” Nasihat Inspektor Hashim sambil menepuk bahu Inspektor Hizqil yang kelihatan cemas.

Dia menyedari Elina hilang ketika cuba menghubungi isterinya waktu makan tengah hari namun panggilannya langsung tidak diangkat. Dia kemudiannya menghubungi beberapa orang kenalan Elina namun semuanya langsung tidak tahu di mana isterinya. Kerana cemas dia pulang ke rumah namun hampa, bayang isterinya langsung tidak kelihatan. Melihat lukisan Elina yang memenuhi ruang tamu, barulah dia terdetik untuk menghubungi Mr. Lim Kay. Kata Mr. Lim, Elina ada menghantar lukisan ke balai seni tetapi dia tidak tahu ke mana hala tuju Elina selepas itu.

Dia kemudian meminta pegawainya untuk memeriksa cctv di kawasan balai seni. Benar telahannya, Elina diculik. Bekerja sebagai pegawai polis sememangnya berisiko untuk mempunyai musuh, namun dia tidak pernah menyangka bahawa isterinya yang bakal menjadi mangsa. Hizqil meraup wajahnya sambil melafazkan istighfar.

“Ini alamat lokasi mangsa berdasarkan GPS yang dipasang pada telefon tuan.” Huluran kertas yang tertulis alamat itu dicapai. Dia mengangguk lesu tanda meminta pegawainya berlalu pergi.

“Berita baik Inspektor, pasukan bantuan dah bersedia.” Ujar Inspektor Hashim sambil melangkah menghampiri kerusi yang diduduki inspektor Hizqil namun susuk tubuh lelaki itu sudah tiada.Bunyi siren polis memecah keheningan malam. Pedal minyak ditekan sekuat hati. Laju sekali keretanya membelah jalan yang sedikit hening berbanding siang tadi. Dalam hatinya dia tidak putus-putus mendoakan agar Elina selamat. 20 minit berada di atas jalan raya dirasakan seperti 20 hari. Terasa sesak nafasnya setiap kali memikirkan keadaan isterinya. Dalam berhati-hati mengatur langkah dia menitipkan doa agar isterinya baik-baik sahaja. Pistol ditangan dikemaskan.Berhati-hati dia melangkah masuk ke dalam rumah kosong yang usang dan dipenuhi tumbuhan liar itu. Bunyi derap kaki yang semakin hampir itu menarik perhatiannya. Cuma seorang. Ya, dia pasti hanya seorang.

Samar-samar dia melihat susuk tubuh seorang lelaki sedang menyimbah dinding dengan sesuatu cecair. Ya Allah, ini bau gasolin. Bulat mata Hizqil sebaik sahaja menyedari cecair yang disimbah itu adalah minyak tanah.
Tanpa berfikir panjang dia segera menerkam lelaki tersebut. Kepala lelaki itu dipukul dengan hulu pistol sehingga tersembam ke lantai. Mereka kemudiannya bergelut sebelum masing-masing melepaskan tumbukan ke batang hidung. Hizqil menendang perut lelaki tersebut sehingga dia terdorong ke belakang. Sengihan yang terpamir di muka berparut itu menyemarakkan lagi amarah Hizqil. Dia ingat senyuman tu, senyuman mengejek milik Ridzuan. Sekarang dia tahu kenapa lelaki itu menculik isterinya, tak lain tak bukan untuk membalas dendam.Ridzuan melompat ke arah Hizqil kemudian melepaskan beberapa das tumbukan. Bersembur darah dari mulutnya. Peritnya tuhan sahaja yang tahu.

“Tak guna kau.” Jerit Hizqil sebelum melepaskan tumbukan ke perut Ridzuan. Dia melompat dan berpusing 360? sebelum menendang muka Ridzuan.Ridzuan tersungkur jatuh ke lantai dengan wajah berdarah. Bergema rumah kosong itu dengan suara ketawanya. Dia kemudian bingkas bangun dan menghalakan muncung pistol ke arah Hizqil. Ketika bergelut tadi dia sempat menyeluk poket Hizqil tanpa disedarinya. Dan sekarang, nyawa Hizqil di tangannya. Dia ketawa lagi bagaikan orang gila.

“Abang!” Jerit Elina yang muncul secara tiba-tiba. Dia sudah cemas. Air mata yang bercucuran di pipi langsung tidak dihiraukan. Yang penting sekarang adalah suaminya.Menyedari kemunculan Elina, Ridzuan menghalakan pistol ke arahnya.

“Biar aku tembak perempuan ni depan mata kau. Aku nak kau tengok otak dia bersepai” Ucap Ridzuan dengan ketawa yang semakin menggila.

“Jangan nak buat perkara bodoh Ridzuan. Elina tak bersalah, lepaskan dia. Ini urusan antara kita berdua.” Bentak Hizqil sambil mengepalkan tangan. Hizqil yang sedang merenung tajam ke arahnya dijeling sekilas bersama sengihan lebar.

“Siapa cakap dia tak bersalah? Dia pun sama aje macam kau. Kau laki bini dah bunuh jasad dan jiwa abang aku. Dan disebabkan kau yang paling bersalah, aku akan pastikan kau merana melihat isteri yang kau sayang sangat-sangat ni mati depan mata kau.” Tangannya sudah bersedia untuk menarik picu pistol.Belum sempat dia menarik picu, Hizqil terlebih dahulu menerkam ke arahnya. Pistol yang tadinya di dalam genggaman Ridzuan kini jatuh ke lantai. Tanpa berfikir panjang Elina segera mencapai pistol tersebut. Terketar-ketar tangannya mengangkat pistol jenis Glock milik suaminya itu. Dia harus selamatkan suaminya.

“Kyle dah tak ada. Kereta yang mereka pandu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum meletup. Dia dah meninggal awak. Saya tak dapat selamatkan dia.” Kata-kata Hizqil setahun yang lepas kembali terngiang-ngiang di telinganya.Masih dia ingat saat Hizqil terketar-ketar memberitahunya bahawa Kyle sudah meninggal. Berkali-kali dia menyalahkan dirinya kerana tidak dapat membawa Kyle kembali ke penjara dengan selamat. Hizqil sangat terdera kerana tidak mampu menyelamatkan kawan lamanya. Ya, kawan sewaktu mereka berusia 11 tahun dan masing-masing ditempatkan di rumah anak yatim yang sama sebelum Kyle dijadikan anak angkat oleh keluarga Ridzuan. Tergamak Ridzuan menuduh suaminya membunuh Kyle sedangkan lelaki itu sentiasa cuba berbaik dengan Kyle yang bengis dan pemarah.

“Kau sendiri yang bunuh Kyle. Bukan suami aku.”

Bang!

“MACAM mana isteri saya doktor?” soal Hizqil cemas. Wajah perempuan separuh abad itu ditatap.

“Jangan risau, luka pada tangannya hanya calar sahaja. Dia pengsan kerana keletihan. Biasalah perempuan mengandung memang cepat letih.”Balas Doktor Ratna bersama senyuman manis.Hizqil menarik nafas lega sambil memanjat kesyukuran di dalam hati.

“Sekejap, doktor cakap mengandung?”

“Ya, isteri encik mengandung dua bulan.”

“Alhamdulillah.” Ucap Hizqil bersama sengihan lebar. Dia kemudiannya meluru masuk ke dalam bilik. Isterinya yang sedang tidur ditatap dengan penuh kasih sayang. Rambut Elina diusap lembut.Ya Allah, terima kasih untuk anugerah-Mu yang tidak ternilai ini.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.