Cerpen : Encik Setiausaha

16 August 2013  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Tinta Biru

Hani, seorang gadis berpakej lengkap. Pengurus Pemasaran di syarikat pengiklanan terkemuka di ibu kota. Mempunyai rupa paras yang menarik, ketinggian 5 kaki 6 inci, bentuk tubuh 34, 26, 36, berkulit cerah, bermata bundar, sangat cerewet dan selalu menganggap dirinya sahaja yang betul. Orang lain… jangan haraplah. Semuanya salah di matanya. Ada sahaja yang tidak kena. Pendek kata hanya dia seorang sahajalah yang betul dan benar segalanya.

“Harap-harap pemilihan kali ini dapat bertahan lama,” perli Rizal yang menoleh sekilas pada Hani yang kelihatan sibuk meneliti resume calon terakhir yang akan ditemuduga nanti.

Hani yang duduk di sebelahnya hanya tersenyum hambar. Dia turut berharap setiausahanya kali ini dapat kekal lama. Mana tidaknya, kebanyakan setiausaha yang bekerja dengannya paling lama pun 2 bulan. Lepas itu semuanya cabut sebab tak tahan dengan sikap Hani ni. Dahlah cerewet mengalahkan mak datin, mulut laser pula tu. Cakap main tibai je. Hati orang sikitpun tak reti nak jaga. Nak orang jaga hati dia sahaja.

“Masuk,” arahnya.

Seminit kemudian masuklah seorang gadis jelita, cantik berbaju kebaya. Hani melihat penampilannya atas dan bawah. Pandang tidak lepas, seperti memilih calon menantu pula lagaknya. Boleh tahan, rupa pun ada. Hidung mancung, macam anak mami je. Setelah menyerahkan folder, gadis tersebut terus melabuhkan punggung ke kerusi.

Hani dan Rizal mula bertanyakan beberapa soalan pada gadis itu. Kesemuanya dapat dijawab dengan baik. Gadis itu juga kelihatan begitu yakin sekali. Berkali-kali Rizal mengangguk tanda berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Rizal yakin sudah pasti gadis di hadapannya ini dapat memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh Hani.

“Macam mana? Okey tak girl tadi tu?” soal Rizal setelah gadis tersebut hilang dari pandangan. Hani dipandang dengan senyuman di bibir. Hani gadis yang cantik dan ayu. Dahulu teringin juga dia menjadikan Hani teman wanitanya namun sikap Hani yang terlalu cerewet dan panas baran amat menyesakkan hidupnya. Tak jadi dia mengambil Hani sebagai menantu emaknya.

“Hmmm… bolehlah. Tapi I rasa dia pun mesti takkan kekal lama tu. Nampak macam manja sangat. Kalau kena marah sikit tu sure menangis.”

“Habis tu you nak yang macam mana? Calon semua dah habis ditemuduga. Takkan tak ada seorang pun yang menarik hati kot.”

“Entahlah. Memang tak ada yang menarik hati I langsung. Every time yang datang interview semuanya girls. Tak ada ke yang lelaki. Teringin pula I nak merasa ada setiausaha lelaki ni.”

Rizal menggeleng perlahan. “Macam-macamlah you ni. Habis macam mana sekarang ni?”

Hani mengjungkit bahu tanda tidak tahu. Keluhan kecil dilepaskan. Dia seakan-akan sudah berputus ada. Senarai resume kesemua calon yang telah ditemuduga dibelek lagi. Manalah tahu kalau-kalau ada calon yang melekat di hatinya. Tiba-tiba ketukan di pintu berbunyi. Wafa yang merupakan kerani di situ berlenggang sambil membawa sesuatu di tangan.

“Maaf Cik Hani, Encik Rizal. Ada seorang calon lagi yang ingin ditemuduga,” jelas Wafa sambil menghulurkan resume milik lelaki yang baru saja sampai tadi kepada Rizal. Rizal meneliti sambil tersenyum. Kali ini confirm jadi punya.

“Bukan dah habis ke semua calon?” Hani sedikit hairan. Wafa dipandang meminta penjelasan.

“Sepatutnya memang begitu Cik Hani, tapi calon ni baru saja sampai. Saya pun serba salah sebenarnya, tapi dia merayu-rayu minta ditemuduga.”

“Baru sampai? Hmmm tak punctual langsung. Macam mana nak jadi I punya secretary ni. Never mind lah, I pun dah penat dah. Tak larat dah. Suruh dia balik je lah.” Hani sudah mahu bangun namun ditahan oleh Rizal.

“Eh… nanti dulu. I think calon yang ni mesti you berkenan,” lantas Rizal menghulurkan resume tersebut kepada Hani.

Hani tidak jadi untuk bangun sebaliknya resume yang telah berada di tangan diteliti. Mohd Rayyan Haikal, 25 tahun, asal Perak, mempunyai Diploma dalam bidang Kesetiausahaan dari UITM. Hmmm… nampak menarik. Apa yang penting lelaki pula tu. Jarang lelaki berminat untuk jadi setiausaha ni. Muka memang boleh tahan, hensem bergaya. Dia mengangguk perlahan. Harapan cerah untuk lelaki tersebut menjadi setiausahanya.

***

“So macam mana? First time kerja ni. Ada rasa nervous tak?” Rizal menepuk perlahan bahu Rayyan yang sedang mengemas meja. Dia baru saja sampai ke pejabat dan belum lagi sampai ke tempatnya. Sengaja dia melencong ke tempat Rayyan dahulu. Setiausaha baru Hani.

“Eh… Encik Rizal. Nervous juga ni, tapi saya akan lakukan yang terbaik.” Rayyan tersengih menampakkan barisan putih giginya. Kemeja putih dan seluar slack hitam yang dipakainya menonjolkan ketampanan lelaki tersebut. Ditambah pula dengan tali leher berjalur yang terselit kemas di tengkuk. Cukup yakin dia akan mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang setiausaha. Walaupun bosnya merupakan seorang perempuan. Orang kata dapat bos perempuan ni susah sikit. Kalau bab kerja memang teliti habis. Nak pula dapat jenis yang cerewet. Mahu makan hati saja kerjanya nanti. Ah… tapi dia tak kisah itu semua. Yang penting dia bekerja dengan niat yang ikhlas. Di samping ingin mencari wang untuk perbelanjaan adiknya yang sakit di kampung.

“Morning guys,” sapa Hani sambil tersenyum ke arah kedua-dua lelaki yang sedang berborak tadi.

“Morning Hani.” Rizal tersenyum.

“Selamat pagi Cik Hani,” balas Rayyan. Segaris senyuman terukir di bibir. Manis sangat. Cair sekejap Hani dibuatnya. Ada getaran di dadanya. Ah… dia tidak mahu merenung lama, terus dia berlalu masuk ke bilik.

“Tu ha… bos dah sampai. Hati-hati ye. Anyway good luck,” Rizal tersengih dan berlalu.

Rayyan hanya mengangguk. Hati-hati. Apa yang dimaksudkan oleh Encik Rizal tadi? Sedikit gusar dia rasa. Dia malas mahu memikirkan yang bukan-bukan. Bunyi extension di meja mengejutkannya. Pantas dia menjawab. “Baik Cik Hani.” Arahan pertama diterima. Bermulalah tugasnya sebagai encik setiausaha.

***

Cawan kopi yang dilapik piring itu diletakkan betul-betul di atas meja di hadapan Hani. Ingatkan Hani menyuruhnya menaip surat ke, mengatur temu janji ke, alih-alih dia disuruh membancuh kopi. Tak tahulah apa rasanya. Tawar, manis, payau atau pahit. Seumur hidup Rayyan belum pernah dia membancuh kopi. Biarlah… belasah je lah labu. “Kopinya Cik Hani.”

Hani mengangguk. Dia tidak tunggu lama. Tekaknya sedari tadi lagi kering minta dibasahkan. Kopi yang terhidang diambil dan dihirup. Mukanya tiba-tiba berubah kelat. Diiringi batuk-batuk kecil. Serta merta mukanya merah. Tekaknya terasa perit. Rayyan yang berdiri di hadapannya dipandang tajam. Memang ada juga yang nak kena makan dengan kasut tumit tinggi dia ni.

“Kopi apa ni?” soalnya sedikit kasar.

“Kopi kapal api Cik Hani,” selamba Rayyan menjawab.

Hani geram. Nak main loyar buruk pula budak mentah di hadapannya ini.

“Yes… I know kopi kapal api. Tapi you tak rasa dulu ke masa buat kopi ni tadi. Cuba you rasa…” arahnya lagi. Biar Rayyan tahu sedikit rasa kopi yang dibuatnya. Pahit dah mengalahkan hempedu. Entah berapa sudu kopilah yang diletakkannya tadi.

“Maaf Cik Hani, saya tak minum lebihan perempuan.”

Merah padam dah Hani rasa. Tiba-tiba dia rasa macam hendak marah. Pandai pula encik setiausahanya itu menjawab.

“You tak pandai buat kopi ke?”

“Maaf Cik Hani, memang saya tak pandai. Lagipun masa saya belajar dulu tak ada pula diajar cara-cara hendak membancuh kopi ni,” bidas Rayyan. Dia juga tidak mahu kalah.

“Okey fine… You keluar dulu. Ada apa-apa nanti I panggil. Kopi ni jangan lupa bawa sekali.” Malas Hani hendak berbicara lebih lanjut dengan Rayyan. Ada-ada saja jawapannya. Cukuplah kali ini kali yang terakhir, lepas ini dia tak ingin hendak menyuruh Rayyan membuat kopi lagi. Lebih baik dia yang bancuh sendiri.

***

Hani menendang-nendang perlahan bumper Gen 2 miliknya. Dalam keadaan cuaca yang semakin menggelap inilah dia buat perangai pula. Enjin kereta yang berselirat diperhatikan tanpa perasaan.

“Kenapa pulalah kau nak meragam time macam ni. Kalau aku hilang sabar, hujung bulan ni juga aku jual kau,” bebelnya lagi.

Peluh renik sudah mula tumbuh di dahi. Hati terasa panas walaupun cuaca semakin menggelap. Rambut lurus separas bahu yang terlepas dikuak ke telinga berkali-kali. Guruh yang berbunyi membuatkan hatinya semakin risau. Dia melangkah perlahan masuk ke kereta. Beg tangan yang diletakkan di tempat duduk sebelah pemandu diambil. Dia ingin meminta tolong dari Rizal. Untung-untung Rizal masih lagi belum sampai ke rumah.

“Alamak!!! Mana pula ni,” Hani semakin cuak. Sudah puas dia mencari Blueberry yang tersimpan di dalam beg tangannya namun tidak dijumpai.

“Tertinggal ke… Alah… susahlah macam ni. Hari dahlah nak hujan.” Dia semakin cemas. Sudahlah kawasan jalan raya yang dilaluinya agak lengang. Bimbang pula kalau-kalau ada sesuatu yang buruk terjadi.

Sedang dia tidak berputus asa mencari-cari Blueberrynya itu kelihatan kelibat sebuah superbike berhenti betul-betul di hadapan keretanya. Hani menoleh, dalam hati tertanya-tanya siapakah pemilik Kawasaki Ninja ZX-10R hijau yang kelihatan gagah itu. Kagum sungguh dia melihatnya.

Lelaki yang kelihatan tegap berjaket kulit dan memakai full face helmet itu datang menghampiri Hani yang masih lagi duduk di tempat pemandu. Langkahnya cukup teratur dan tenang. Dia tersenyum memandang Hani yang kelihatan agak takut.

‘Eh… siapa pula ni? Aku kenal ke? Nak tolong aku ke? Jangan orang jahat sudah.’ Debaran di dada Hani semakin memuncak apabila lelaki tersebut semakin menghampirinya. Disebabkan perasaan takut yang melampau dia cepat-cepat menarik pintu kereta namun sempat dihalang oleh lelaki tersebut.

Hani semakin berdebar. Perasaan takutnya semakin menjadi-jadi. Lambakan kes perogol bersiri yang mengisi dada akhbar membuatnya terasa sakit jantung. Wajah lelaki yang terlindung di sebalik full face helmet itu tidak dapat dikenal pasti. Dalam keadaan takut-takut itu matanya masih lagi melekat ke arah lelaki itu. Sebaik saja lelaki itu membuka full face helmetnya Hani terlopong. Seakan-akan tidak percaya dengan gerangan jejaka yang berada di hadapannya sekarang ini. Dia sudah mampu menarik nafas lega. Senyuman manis kian terukir di bibir comelnya.

“Maaf sebab takutkan Cik Hani tadi. Terlupa pula saya nak buka helmet ni,” Rayyan mengukir senyum. Helmet yang dibuka tadi dipegang kemas di tangan kanannya. Wajah Hani dipandang lama. Cantik juga bos aku ni. Pujinya dalam hati. Tambahan pula Hani kelihatan cukup anggun dengan berbaju kurung cotton warna pucuk pisang.

“Tak apalah Rayyan. Terkejut juga tadi. Ingatkan siapa?” Hani sudah bangun dan berdiri hampir dengan Rayyan. Lega hatinya kerana Rayyan datang di saat dia memerlukan pertolongan.

Rayyan berjalan perlahan menuju ke Kawasaki Ninja ZX-10R untuk meletakkan helmet. Sekali sekala guruh berbunyi menandakan hujan akan mencurahi bumi Allah yang indah ini. Rayyan kemudiannya menuju ke hadapan kereta Gen 2 milik Hani. Bahagian enjin diteliti rapi.
“Kenapa dengan kereta ni Cik Hani?” soalnya tanpa menoleh ke arah Hani yang berdiri hampir di sebelahnya.

“Entahlah, I pun tak tahu.” Hani mengeluh perlahan. Kalau dia tahu masalah apa yang menyebabkan keretanya terhenti senanglah, ini dia pun tak tahu. Setakat bawa saja bolehlah.

“Oh patutlah, timing belt dah putus ni. Memang kena bawa ke bengkel ni Cik Hani. Kena towing.”

“Aaa kena towing. Ish… You tak reti baik ke. Susahlah kalau nak kena towing. Nanti macam mana pula I nak balik. Hari dahlah nak runtuh ni,” Hani berwajah cemas. Perasaan cuak semakin dirasai.

“Mana boleh Cik Hani. Dah putus terus ni, memang tak boleh bawa,” terang Rayyan. Dia menoleh ke langit apabila dirasakan ada manik-manik kecil mengenai pipinya. Oh, hujan sudah turun rupanya. Hani dilihat semakin gelisah.

“Biar saya hantar Cik Hani pulang je lah,” pelawa Rayyan.

“What!!! You nak hantar I pulang. Nak naik apa?” Soal Hani sambil mengerling ke arah superbike milik Rayyan. “Takkan nak naik tu kot?” ujarnya lagi dengan menuding jari telunjuk ke arah kenderaan motor berwarna hijau itu.

“Yup… Of Courselah. Habis tu Cik Hani nak naik apa pula? Jomlah Cik Hani saya hantarkan, hujan dah semakin lebat ni.” Rayyan sudah mula menutup bonet kereta Hani. Seterusnya dia menuju ke Kawasaki Ninjanya dan mengenakan helmet.

Hani serba salah. Sudah hilang akal apa dia nak naik motor dengan encik setiausahanya ini. Sudahlah dia cukup ayu berbaju kurung hari ini. Wah… mahu jatuh sahamnya hari ini. Hani terkaku, tidak bergerak langsung. Dia cuma memandang Rayyan dengan debaran kuat yang tiba-tiba saja menjengah diri. Perasaan apakah ini? Sukar untuk digambarkannya.

“Tunggu apa lagi Cik Hani. Cepatlah…” Rayyan sudah menghidupkan enjin superbikenya. Jaket kulit yang dipakainya sudah dibuka.

Hujan yang semakin lebat itu membuatkan Hani tidak dapat berfikir panjang. Cepat-cepat dia mengambil beg tangan dan mengunci keretanya. Dia kemudiannya berlari-lari anak menuju ke arah Rayyan. Macam manalah dia nak naik motor besar tu dengan berbaju kurung ni. Mesti dia akan kelihatan seksi nanti. Aduhai.

“Pakailah.” Rayyan menghulurkan jaket hitam tersebut kepada Hani. Maklumlah hari kan hujan. Bimbang pula hatinya takut Hani terkena selesema nanti.

Dalam keadaan serba salah itu dia mengambil juga jaket kulit milik Rayyan dan disarungkan ke badan. Agak besar sedikit, tapi bolehlah untuk melindungi tubuhnya dari hujan yang semakin mengganas.

“Cepatlah naik Cik Hani,” arah Rayyan yang sedari tadi menunggu. Kemeja putihnya sudah basah menampakkan otot badannya yang sasa. Hani telah liur melihat. Jantungnya yang sedari tadi berdebar semakin bergerak pantas.

“Tak ada helmet ke?” jerit Hani dalam jatuhan hujan yang semakin ganas.

“Tak ada.”

“Nanti kalau kena saman macam mana?”

“Alah… tak adanya kena saman. Darurat ni. Lagipun hari hujan. Tak adanya polis nak buat road block. Cepatlah Cik Hani, nanti demam pula.”

Hani sudah berkira-kira untuk menaiki motor yang kelihatan cukup besar padanya. Macam mana nak naik ni. Tangan kirinya memegang tempat duduk belakang sementara kaki kanannya memijak pemijak kaki. Tinggi gila motor itu, terkial-kial dia melabuhkan bontot di tempat duduk.
“Okey… Dah!!!” jeritnya apabila dia rasa sudah selesa duduk di belakang. Duduk dah mengalahkan makcik-makcik naik motor. Rasa-rasanya makcik-makcik sekarang pun dah tak naik motor macam tu.

Rayyan nak tergelak melihat gelagat Hani namun ditahannya. Ada ke Hani duduk di motor macam duduk di basikal tua saja. Mahu terpelanting dirinya nanti.

“Cik Hani, takkan duduk macam tu. Terbang melayang nanti. Duduklah betul-betul.”

“Eiii… I pakai baju kurung ni. Nanti terangkat pula. Duduk macam ni pun tak apa kan, mana ada salah,” bidas Hani. Memanglah nampak pelik tapi dia tak mahu beralah.

Rayyan terus menghamburkan gelak yang ditahan. Merah padam mukanya. Geli hatinya melihat gelagat bosnya yang cerewet ini. “Cik Hani, saya takut Cik Hani terbang melayang kalau duduk macam tu. Nanti terjatuh. Duduklah elok-elok.”

Hani akhirnya mengalah. Perlahan-lahan dia turun dari motor. Teragak-agak dia memegang bahu Rayyan. Maklumlah motor tersebut terlalu tinggi, jadi begitu sukar untuknya menaiki kalau tidak disokong dengan bahu Rayyan. Rayyan tersentak, serasa macam ada aliran elektrik mengalir dalam diri namun dia bersikap selamba.

“Peluk saya Cik Hani. Nanti terjatuh,” arah Rayyan. Kelihatan pelik pula bila Hani hanya duduk tegak dan kedua-dua tangannya diletakkan di sisi.

“Tak apalah… Tak ada jatuhnya,” jawab Hani malu. Takkan dia nak peluk Rayyan pula. Oh… minta simpang. Nanti sudah pasti Rayyan terdengar getaran jantungnya saat ini.

“Betul ni… Tak menyesal?”

“Never…”

“Okey, here we go,” Rayyan memecut laju.

“Oh mak kau!!!” Hani di belakang tersentak. Nasib baik dia tak terpelanting jatuh. Sekejap itu juga tangannya mula memeluk Rayyan. ‘Kurang asam punya Rayyan. Siaplah kau dekat ofis nanti.’

Rayyan tergelak dalam hati. Itulah… degil lagi. Tak nak dengar cakap orang. Dalam gelakkan Hani, dadanya turut bergetar laju. Seolah-olah jantungnya hendak meloncat keluar dari dada. Kenapakah perasaan seperti itu yang hadir?

***

Rayyan kelihatan sibuk memfail beberapa dokumen penting. Hampir dua minggu dia bertugas sebagai setiausaha Hani. Kesemua tugas yang diarahkan dijalankan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Sukar untuk Hani mencari sebarang kesilapan yang dilakukan oleh Rayyan. Semua hasil kerjanya kelihatan teratur dan tersusun sekali. Amat berbeza dengan setiausahanya sebelum ini.

“Sibuk nampak…” sapa Wafa yang telahpun berada di hadapan meja Rayyan. Wajah Rayyan yang bersih dipandang penuh minat. Ketampanannya cukup terserlah dengan bentuk fizikal yang menarik. Tidak hairanlah kalau Rayyan sering menjadi bualan rakan-rakan perempuannya yang lain. Semuanya seakan-akan terpukau dengan ketampanan Rayyan.

“Eh Wafa. Ingatkan siapa tadi…” Rayyan menghadiahkan senyuman manis. Wafa terpukau, mahu saja dia pengsan saat ini.

“Kenapa? Ingatkan makwe yang datang ye?”

“Eh tak adalah. Orang macam saya ni manalah ada makwe. Lainlah kalau orang cantik macam Wafa ni.”

Wafa tersengih menahan malu, kembang setaman dia rasa. Rayyan memujinya cantik. Wah… Suka hati benar dia rasa.

“Tengah hari ni kita lunch sama nak tak?” pancing Wafa. Dapat keluar berdua-duaan dengan Rayyan sudah pasti menimbulkan kebanggaan di hatinya. Bolehlah dia menunjuk kepada rakan sekerjanya yang lain. Tambahan pula mereka turut menyimpan hati terhadap Rayyan.

Rayyan menolak dengan lembut. Makan tengah hari berdua-duaan dengan Wafa. Wah… tak pasal-pasal dia menjadi bahan gosip di ofis nanti. Tak sanggup dia menempah populariti. Lagipun dia bukan tidak tahu kebanyakan gadis di ofis itu selalu melepas pandang ke arahnya. Semuanya dengan pelbagai ragam dan aksi yang tersendiri. Biarlah… lebih baik dia keluar makan tengah hari sendiri. Bukannya dia sombong tapi itu adalah lebih baik.

***

Hani panas hati. Wajah putihnya sudah kelihatan merah. Sakit mata pula dia melihat Rayyan dan Wafa di sebalik cermin kaca biliknya. Bukan main lagi bergelak sakan dari tadi. Entah apalah yang dibualkan di waktu kerja begini. Sudah tidak ada kerja gamaknya sampai hendak makan gaji buta. Hani melihat jam tangannya sekilas. Dia mendengus lagi. Sudah hampir 15 minit lamanya kedua-dua makhluk tersebut bergelak sakan. Hatinya menjadi bertambah-tambah sakit. Memang tak boleh jadi, tak boleh dibiarkan. Dia bergegas menuju ke arah mereka berdua.

“Ada mesyuarat tergempar ke dekat sini? Masing-masing dah tak ada kerja ke?”

Teguran kasar Hani mengejutkan Rayyan dan Wafa. Terhenti terus gelak tawa mereka berdua tadi. Wafa kecut perut. Renungan tajam Hani benar-benar menusuk matanya dan terus memanah ke hatinya. Seram sejuk dia melihat Hani yang seakan-akan menahan marah dengan muka yang merah. Kenapa pula Hani hendak marahnya sebegitu rupa? Sebelum ini bukannya dia tidak pernah bersembang sedemikian rupa.

“Err… Maaf Cik Hani. Kami sekadar berbual kosong saja tadi. Lagipun kerja semua sudah selesai,” Rayyan cuba menenangkan keadaan. Kemarahan Hani sukar untuk dimengertikan. Takkanlah setakat berbual-bual kosong macam tu pun nak kena jerkah bagai nak rak.

“Kalau dah tak ada kerja, pandai-pandailah cari kerja. Company ni bayar gaji untuk bekerja bukannya untuk berborak kosong. Wafa!!! kau pergi balik dekat tempat kau. Lain kali jangan nak menempel dekat sini,” arah Hani lagi. Sakit betul matanya apabila ada orang lain nak menggatal dengan encik setiausahanya ni.

Wafa terkulat-kulat menahan malu. Dia mengangguk perlahan dan terus berlalu. Malu memang tak ingatlah bila semua staff yang ada dari tadi memandang. Kenapa pula Hani nak marah-marah ni. Hish… sakit hatinya.

“Rayyan… nanti aturkan temujanji dengan Syarikat Harmoni, hari ini pukul 3 petang,” mendatar kata-kata Hani.

“Baik Cik Hani.”

Hani terus bergegas menuju ke biliknya. Perasaan marahkan kedua-dua insan tadi semakin mengendur. Apa pula yang tak kena dengan dirinya ini. Kenapa perlu marah sangat? Cemburukah dia… Oh tak mungkin.

***

Hani termenung panjang di dalam bilik. Dari tadi satu kerja pun belum dilakukannya lagi. Selalunya dia tidak pernah membuang masa seperti itu. Baginya setiap minit yang berlalu itu amat berharga. Pasti dia akan menggunakannya dengan begitu berhemat. Entah apa yang tak kena dengan dirinya ini? Mungkin disebabkan malam tadi dia bermimpi dipatuk ular. Orang tua-tua kata, kalau anak dara bermimpi dipatuk ular, maknanya ada orang nak datang meminang. Ah, sudah. Siapa pula yang hendak datang meminangnya. Teman lelaki pun dia tidak ada.

Sedang dia duduk termenung itu tiba-tiba handsetnya yang diletakkan di atas meja bergetar. Tertera nama “Rayyan” di situ. Baru Hani tersedar, sepanjang satu jam dia berada di pejabat hari ini, dia belum bersua muka dengan Rayyan. Lamunannya yang panjang menyebabkan dia terlupa seketika pada lelaki itu. Panggilan dijawab, kedengaran suara macho di hujung talian. Tidak semena-mena jantung Hani bergetar hebat mendengarkan suara lelaki yang telah 3 bulan menjadi setiausahanya.

“Emergency leave? Kenapa? Rayyan sakit ke?” soal Hani dengan penuh pertanyaan. Hairan, kenapa tiba-tiba pula Rayyan meminta cuti kecemasan? Apa yang sudah berlaku?

“Tak. Saya tak sakit. Tapi ada orang lain yang sakit. Nantilah saya cerita pada Cik Hani. Okeylah Cik Hani. Saya kena cepat ni. Baii.”

Belum sempat Hani bertanya lebih lanjut, talian telah dimatikan. Sakit pula hatinya mengenangkan sikap Rayyan tadi. Macam itu ke tata susila bercakap dengan bos? Memang nak kena ajar dia ni? Hani mengeluh geram. Fail-fail yang memerlukan semakannya langsung tidak disentuh. Dia kembali termenung seperti tadi. Tetapi kali ini fikirannya lebih terarah pada Rayyan. Lama dia berkeadaan sedemikian hinggalah dia tersedar sendiri. Ah… kenapa pula dia harus memikirkan Rayyan. Hani mula kembali ke alam realiti. Kerja-kerja yang tertangguh mula dibelek satu persatu. Kali ini dia tekun dalam menjalankan tugas.

***

Ketukan kuat di pintu mengejutkan Hani. Dadanya yang tiba-tiba bergerak pantas diurut perlahan. Nasib baiklah dia tidak ada sakit jantung, kalau tidak memang nayalah dia. Hani melihat wajah lelaki yang tersengih di muka pintu. Tersengih dah mengalahkan kerang busuk je.

“Nak apa? Lain kali nak ketuk pintu tu janganlah buat macam I ni orang pekak. Ketuk perlahan pun I dah dengarlah,” perli Hani sambil meneruskan kerjanya.

Rizal kembali menyambung sengihannya. Dia menuju ke arah Hani dan tanpa dipelawa dia duduk di kerusi berhadapan gadis itu.

“Takkan marah kot? Kenapa tiba-tiba naik angin pula? Kalau you tak keberatan, I boleh teka sebab apa you jadi macam ni?”

“Nak teka apa pula? Siapa-siapa pun akan marah kalau tengok cara you ketuk pintu tadi,” bebel Hani sambil mengangkat wajah menatap Rizal. Lelaki itu sengih lagi dan ini membuatkan Hani semakin geram.

“Memanglah semua orang akan marah, tapi tak adalah marah macam you ni. You marah sebab lain ni… Sebab Rayyan kan?”

Hani ketawa sinis. Apa kaitan pula tiba-tiba nama Rayyan disebut? Tak masuk dek akal. “Tak ada kena-mengena langsung,” balas Hani.

“Betul ke ni? Tapi pagi tadi I nampak you termenung dah macam isteri kematian suami je. Mengakulah yang you ada hati pada Rayyan tu. Tengok… bila dia tak datang satu hari je you dah jadi tak menentu. Menggelabah semacam. Seoalah-olah you tak boleh hidup tanpa encik setiausaha you tu. Mengakulah Hani,” tebak Rizal.

“Tak ada masa I nak fikirkan pasal dialah. Tolonglah jangan merepek yang bukan-bukan pula. Ni ada apa hal you cari I ni?” soal Hani lagi. Macam mana pula Rizal boleh terfikir sampai macam tu sekali. Padahal dia hanya menganggap Rayyan itu sebagai setiausahanya sahaja. Tidak lebih dari itu. Urusannya dengan Rayyan adalah berdasarkan urusan kerja semata-mata. Benarkah begitu?

“Tak kisahlah apa pun. I nak ajak you lunch dekat Restoran Nelayan ni. I dah tempah pun. Jomlah,” ajak Rizal. Dia faham sangat dengan minat Hani dengan makanan di restoran tersebut.

“Betul ke ni?” soal Hani sambil membulatkan mata. Rizal sekadar mengangguk.

“Terima kasih ye. Dah lama I tak lunch dekat sana. Kenapa you baik sangat dengan I ni?” soal Hani tiba-tiba.

“Sebab I sukakan you,” jawab Rizal dengan serius.

Wajah Hani tiba-tiba berubah pucat. Biar betul Rizal ni. Selama ini mereka hanya berkawan baik sahaja. Takkan dalam diam Rizal meminatinya pula. Agaknya mimpi dia dipatuk ular malam tadi, memberi petanda rombangan Rizal datang untuk meminangnya. Oh minta simpanglah. Tidak sanggup dia menjadi isteri Rizal yang sudah dianggapnya sebagai teman tapi mesra.

Tiba-tiba Rizal tergelak kuat. Geli hatinya melihat wajah pucat Hani. Baru bergurau sikit takkan dah nak melatah kot. “Kenapa? Takut?”

“You ni. Tolonglah jangan nak bergurau dengan I soal hati dan perasaan ni,” marah Hani sambil tarik muka empat belas.

“Hahaha, I bergurau je. Sejak bila you jadi serius pasal ni. Agak-agak kalau Rayyan yang cakap dia sukakan you macam mana? Mesti lagi teruk reaksi you kan?”

Hani diam. Kalau Rayyan yang cakap macam tu apa yang dia akan lakukan? Mungkin dia akan diam dan tunduk membisu. Mukanya terasa tebal dan merah menahan malu. Maklumlah mendengarkan luahan hati dan perasaan seorang lelaki. Mungkin juga dia akan terkejut besar tidak percaya. Tidak percaya dengan pengakuan ikhlas lelaki itu terhadap dirinya. Sebarang kemungkinan semuanya boleh terjadi. Kalau betullah dia dan Rayyan menjadi pasangan kekasih, macam mana pula gayanya nanti? Seumur hidup Hani dia tidak pernah bercinta.

Rizal memetik jari kuat di hadapan Hani. Lagi sekali Hani mengelamun tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya.

“Aii, takkan melayani perasaan kot,” perli Rizal.

“Mana adalah. Jomlah kita pergi makan. Perut I dah lapar ni,” Hani mula mengemaskan meja yang agak tidak teratur. Kemudian dia mengambil beg tangan dan berjalan beriringan dengan Rizal.

***

Hani makan dengan begitu berselera sekali. Riuh rendah suasana di sekeliling langsung tidak dihiraukan olehnya. Terasa nikmat sungguh dia dapat melegakan tekak dengan hidangan enak di Restoran Nelayan itu. Rizal sahaja yang kelihatan makan dengan begitu bersopan santun. Sesekali Rizal menggeleng melihat gelagat Hani. Macam kanak-kanak tadika pun ada. Pada mulanya dia malas mahu berbicara dengan Hani ketika makan sehinggalah dia terlihat kelibat seseorang yang dikenalinya.

“Kenapa Rayyan tak datang hari ni?”

Hani yang begitu asyik menikmati hidangan serta-merta memandang Rizal. Kenapa pula Rizal bertanya tentang Rayyan ni? Hendak mengusiknya lagi ke?

“Dia kata cuti kecemasan.”

Rizal mengerutkan dahi. Cuti kecemasan apanya kalau dia lihat tidak ada apa-apa yang mencemaskan Rayyan pun saat ini. Hani memandang Rizal dengan reaksi pelik. Kenapa dahi Rizal berkerut semacam? Hani mula menoleh ke belakang, turut membuang pandang ke arah yang dilihat Rizal dari tadi. Terkejut dia melihat apa yang berada di ruangan matanya sekarang ini. Tiba-tiba mukanya bertukar merah. Matanya membulat besar. Dalam hati pula penuh dengan sumpah seranah. Perasaan cemburu juga turut mengambil tempat.

***

Rayyan menyandarkan badannya ke kerusi. Dia mahu merehatkan badannya seketika. Nafasnya dihembus perlahan. Di atas meja kerjanya kelihatan banyak fail yang berselerakan. Hani menyuruhnya format semula tajuk fail mengikut standart yang ditetapkannya. Daripada jenis tulisan, saiz tulisan hinggalah border yang terdapat di sekeliling tajuk, semuanya mahu mengikut kehendaknya.

Sejak akhir-akhir ini sikap Hani semakin menjadi-jadi. Ada saja yang tidak kena di mata perempuan yang bergelar bosnya itu. Kelihatan sentiasa saja mencari kesalahannya. Kadang-kadang kesalahan kecil pun diperbesarkan oleh Hani. Hari itu dia tersilap menaip satu patah perkataan. Bisingnya Hani memang tak tahu nak cakaplah. Seolah-olah kesilapan yang dilakukan itu terlalu besar salahnya. Padahal sebelum ini semua kerja yang dilakukan oleh Rayyan adalah bagus belaka. Kalau nak dikatakan sikap Hani itu disebabkan simptom datang bulan, takkanlah lama sangat. Rayyan menggaru kepala berkali-kali. Pening dia melihat sikap Hani yang berubah tiba-tiba. Tiba-tiba extensionnya berbunyi. Dengan pantas Rayyan menjawab.

“Baik Cik Hani,” balas Rayyan ringkas. Dia menarik nafas panjang dan menguatkan semangat. Langkah kaki diatur perlahan menuju ke bilik Hani.

Entah apalah yang ingin dibicarakan oleh gadis itu. Namun walau apa pun arahan, walau apa pun makian dari Hani terpaksa diterima dengan hati yang terbuka. Maklumlah dia hanya setiausaha sahaja. Bekerja di bawah seorang perempuan yang semakin ketara cerewetnya.

“Ada apa Cik Hani?” soal Rayyan dengan begitu berhati-hati sekali. Melihatkan keadaan meja kerja Hani yang berselerak menggambarkan kekusutan yang dialami oleh pemiliknya. Memandang muka Hani yang sudah mengalahkan ibu singa itu, sedikit sebanyak membuatkan Rayyan gerun.

“Ni… Apa yang you dah buat ni. Suruh buat kerja sikit pun tak boleh. Asyik silap sana sini. Kalau nak jadi I punya setiausaha, kena buat kerja dengan bersungguh-sungguh. Time kerja kena buat kerja betul-betul. Bukannya nak berkhayal macam orang bercinta,” sergah Hani sambil melemparkan beberapa keping kertas ke muka Rayyan.

Rayyan terkejut besar dengan tindakan Hani. Dia terasa seolah-olah maruahnya dipijak-pijak oleh wanita di hadapannya kini. Mukanya memerah menahan marah. Kesalahan apakah yang terlalu besar yang telah dilakukannya kali ini? Dengan perlahan Rayyan mengutip kepingan kertas yang telah bertaburan di atas lantai. Dia meneliti satu persatu, mencari kesalahan yang telah membuatkan Hani naik angin bagaikan orang gila.

Hani memandang Rayyan tanpa melepaskan pandangan. Terdetik penyesalan yang besar di lubuk hatinya. Kenapa pula dia berperangai sedemikian? Hatinya tertanya-tanya. Kenapa sampai sanggup memperlakukan sebegitu pada Rayyan? Pada lelaki yang dia sudah mula menaruh perasaan. Menaruh perasaan? Ah, tidak mungkin itu semua berlaku. Namun dia sendiri tidak menduga akan perlakuannya sebentar tadi. Semuanya berlaku dengan pantas.

“Baiklah Cik Hani. Saya dah nampak kesalahannya. Saya akan betulkan sebentar lagi. Saya minta maaf sebab dah lakukan kesalahan tersebut,” kata Rayyan dengan berhemah. Kesilapan kecil yang ditandakan bulat oleh Hani telah dapat dilihatnya. Hanya tersilap menulis huruf kecil pada permulaan ayat telah menjadi satu kesalahan besar pada Hani. Mana ada orang yang sempurna dalam dunia ini tanpa melakukan sebarang kesilapan.

“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu Cik Hani,” sapa Rayyan lagi apabila dia melihat Hani kelu tanpa sebarang jawapan. Masih belum puas untuk memarahi dirinya lagi atau apa? Entahlah, Rayyan tidak dapat menebak.

Namun hatinya amat sakit diperlakukan oleh Hani tadi. Salahkah kalau Hani menegur kesalahannya secara berhemah? Sia-sia dia terbayangkan wajah Hani setiap malam selama ini. Sia-sia dia berangankan yang indah-indah tentang Hani. Membayangkan kehidupan yang bahagia sebagai pasangan suami isteri. Ya, memang itulah yang Rayyan rasa sejak beberapa bulan ini. Dia tidak nafikan yang dia sudah jatuh sayang pada majikannya. Dia sudah jatuh cinta pada bosnya sendiri. Namun dia sedar, siapa dirinya. Dia sedar dia tidak setaraf dengan Hani. Lagipun Hani hanya memandangnya sebelah mata. Mustahil apa yang diangannya akan menjadi kenyataan. Biarlah cintanya hanya di dalam diam sahaja. Namun Rayyan nekad dengan keputusan yang satu ini. Keputusan yang bakal diambil yang akan menyebabkan dirinya turut terluka.

***

Dari cermin kaca bilik, Rizal dapat melihat kemurungan wajah Hani. Perempuan itu seolah-olah sedang menghadapi masalah yang amat besar. Dari tadi dia lihat Hani hanya termenung sambil membelek sekeping kertas. Kertas apa yang dibeleknya tidak pula Rizal tahu. Namun apa yang pasti, kertas tersebutlah yang menyebabkan keadaan Hani berubah seperti itu. Kelibat Rayyan pula langsung tidak kelihatan sejak pagi tadi. Risau melihatkan keadaan Hani sebegitu rupa, Rizal terus mengatur langkah menuju ke bilik Hani.

Tanpa mengetuk pintu Rizal terus meluru ke dalam. Dia lihat wajah Hani keruh semacam. Ada air mata yang bergenang di tubir matanya. Rizal memang terkejut melihat keadaan tersebut. Sebelum ini dia melihat Hani seorang yang cekal dan tabah. Hani seorang wanita besi, dia tidak pernah langsung melihat Hani menangis sehinggalah saat ini. Apa masalah besar yang telah menimpa Hani?

“Hani, you okey ke ni?” soal Rizal sambil merenung Hani.

Hani diam tanpa kata. Bukannya dia tidak sedar Rizal memasuki biliknya, tetapi dia malas untuk berbicara. Surat itu ditatapnya berkali-kali. Mungkin disebabkan tindakan kasarnya semalam memaksa Rayyan bertindak sedemikian. Bukan, bukan ini yang dia mahu.

“Hani, kenapa dengan you ni? Apa masalah you ni? Ceritalah. Lain macam dah I tengok ni,” pujuk Rizal.

Hani masih tidak menjawab dan ini menyebabkan Rizal sedikit berang. Dia tidak peduli, dia harus juga mencari punca kenapa Hani berkeadaan sedemikian. Dengan pantas dia merampas surat yang dipegang oleh Hani.

“You ni!!!”

Kemarahan Hani langsung tidak dipedulikannya. Surat rasmi tersebut dibaca dengan riak yang terkejut.

“So… ini rupanya yang menjadi masalah besar you. I dah cakap yang you ada hati dekat Rayyan tapi you tak percaya. Sekarang dia resign. Macam mana boleh jadi macam ni? You gaduh dengan dia ke?” soal Rizal ingin tahu. Surat perletakan jawatan Rayyan diletakkan kembali di atas meja. Wajah murung Hani ditatap untuk meminta penjelasan.

“Tak… I mana ada hati dengan dia. I cuma terkilan sebab dah kehilangan seorang setiausaha. So sekarang kita terpaksa buat interview lagi dan ini semua membuang masa,” Hani menidakkan perasaannya. Dia malu untuk mengaku. Tambah pula, dia ragu-ragu dengan perasaannya. Dia tidak pernah bercinta dan dia tidak tahu macam mana perasaan orang yang bercinta.

“Jangan jadi bodohlah Hani. Melihatkan keadaan you macam ni, I tahu sangat yang you sukakan dia. You jangan risau, I akan tolong you selesaikan masalah ni. Sekarang you jangan banyak fikir, tenangkan fikiran. Cerialah sikit. You percaya dekat I. I akan bawa you jumpa Rayyan. I promise,” janji Rizal.

Hani tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Namun jawapan Rizal mampu membuatkan dia tersenyum. Dia mahu meminta maaf pada Rayyan atas apa yang telah terjadi. Telefon bimbit Rayyan sedari tadi tidak berfungsi membuatkan Hani semakin tidak keruan. Nasib baiklah Rizal mahu menghulurkan pertolongan. Dia akan meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Perasaan cinta yang semakin diyakininya. Biarlah kalau dia dikatakan perigi mencari timba, dia tidak peduli. Biarlah kalau Rayyan tidak mencintainya, dia juga tidak peduli. Apa yang pasti, perasaan yang terpendam ini perlu diluahkan.

***

Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur tadi Hani hanya mendiamkan diri. Dia tidak tahu ke mana Rizal membawanya, mereka sudah berada jauh dari Kuala Lumpur menuju ke Perak. Namun Hani tidak kisah Rizal membawanya ke mana, kerana dia yakin Rizal akan menemukannya dengan Rayyan. Dalam kepala dia merangka ayat yang sesuai untuk diluahkan pada jejaka itu nanti.

“Okey, dah sampai,” balas Rizal sambil membuka pintu kereta untuk keluar.

Hani turut melakukan tindakan yang sama. Sebaik keluar dari perut kereta, Hani memandang sekeliling. Penuh dengan sawah padi yang sedang menghijau. Pemandangan yang cukup mendamaikan hati. Tenang sungguh bila berada di sini. Rumah kayu bertiang dan beratapkan zink itu dipandang tanpa jemu. Rumah tradisional yang cantik sekali. Di bawah rumah tersebut terparkir motor hijau kepunyaan Rayyan. Perasaan Hani berdegup kencang. Perasaan rindunya semakin memuncak.

“Assalamualaikum,” Rizal yang sudah terpacak di kaki tangga memberi salam.

“Waalaikummussalam,” balas satu suara yang halus. Tiba-tiba pintu papan itu dibuka. Terpacul seorang gadis manis berbaju kurung dan bertudung bawal. Dia tersenyum sambil menuruni anak tangga perlahan-lahan.

Melihatkan sahaja gadis tersebut, wajah Hani berubah seratus peratus. Hatinya tiba-tiba jadi panas. Perasaan cemburunya tiba-tiba hadir bertandang. Kenapa gadis ini ada di rumah kampung milik keluarga Rayyan? Apa hubungan dia dengan Rayyan? Gadis inilah yang menjadi punca dia berkelakuan tidak wajar pada Rayyan dahulu. Gadis ini jugalah yang dilihatnya sedang bergelak tawa bersama Rayyan ketika di Restoran Nelayan dahulu.

“Rayyan ada?” soal Rizal.

“Oh abang. Kawan abang ya? Abang ada dekat bendang tu. Masuklah dulu,” pelawa Aisyah kepada tetamu yang hadir.

‘Abang?’ Jantung Hani sudah berlari tanpa rentak. Isteri Rayyan kah ini? Rasa mahu sahaja dia pitam saat ini.

Rizal sudah membuka kasut untuk naik ke atas namun Hani dilihatnya keras seperti patung. Dia faham apa yang Hani rasa. Dia faham apa yang Hani fikir namun dia berharapkan semua itu tidak benar belaka.

“Jomlah naik,” sapa Rizal. Hani tersentak. Perlahan-lahan dia menanggalkan kasut dan menaiki tangga kayu tersebut.

***

Di sawah padi yang menghijau itu Rayyan kelihatan tekun melakukan tugasannya. Pokok-pokok padi sudah banyak menampakkan hasilnya. Buah-buah padi kelihatan menghijau, tidak lama lagi ianya akan menguning menandakan ia sudah masak. Masa ini memang banyak serangga yang akan merosakkan hasil tanaman tersebut. Oleh sebab itulah dia mengepam racun serangga ke semua pokok-pokok tersebut.

“Rayyan.”

Rayyan tersentak. Dia mengamati suara yang didengarinya tadi. Suara yang amat-amat dirinduinya. Dia memandang sekeliling. Tidak ada kelibat seorang manusia pun. Ah, mungkin aku bermimpi di siang hari. Terlalu sangat memikirkan Hani, fikirnya.

“Rayyan.”

Sekali lagi suara itu kedengaran. Kali ini Rayyan menolah ke arah datangnya suara tersebut. Dia yakin suara itu berdekatan dengan batas tersebut. Dia meneliti dengan penuh berhati-hati. Kelihatan pokok-pokok padi yang meninggi itu seakan-akan bergerak. Ada orangkah di situ? Rayyan menapak perlahan-lahan menuju ke arah tersebut. Tiba-tiba…

“Mak!!!” jerit Hani sekuat hati sambil berlari mendapatkan Rayyan. Dalam kepayahan dia menggagahkan diri berjalan dalam bendang yang sedikit berair itu. Rayyan yang terkejut dengan kehadiran Hani turut terkejut dengan jeritan gadis itu. Tanpa sedar Hani telah memaut lengannya sambil memejamkan mata.

“Kenapa Cik Hani? Macam mana Cik Hani boleh ada dekat sini?” soal Rayyan yang seakan-akan bingung.

“Ada benda dekat kaki ni, takutlah, geli,” ujar Hani dengan perasaan geli-geleman. Macam manalah dia boleh terfikir untuk menjejak Rayyan sampai ke sawah padi ini. Langsung dia tidak terfikirkan tentang pacat dan lintah yang bermaharajalela di kawasan bendang ini. Langsung dia tidak terperasankan dengan keadaannya yang anggun bergaya dengan kasut bertumit tinggi Vincci ini. Apa yang pasti dia berasa sangat gembira. Gembira kerana mendapat tahu yang gadis manis bernama Aisyah itu adalah adik Rayyan. Rupanya selama hari ini dia telah tersalah sangka. Aisyah menghidap sakit jantung. Semasa dia ternampak Rayyan dengan Aisyah di Restoran Nelayan dahulu, mereka berdua baru balik dari Institut Jantung Negara.

“Ada pacat kot. Tak pun lintah,” usik Rayyan sambil tersengih.

“Eee… cepatlah buang, gelilah,” rayu Hani.

Rayyan menarik nafas panjang. Bermacam-macam persoalan berlegar-legar di kepalanya namun dibiarkan tanpa jawapan dahulu. Dia melihat kaki Hani yang sedikit terbenam di dalam air sawah. Skirt labuh yang dipakai oleh Hani diangkat sedikit. Memang betullah, ada seekor pacat yang sudah kenyang bertenggek di betisnya.

“Nampaknya Cik Hani ni ada peminat. Tengok tu,” Rayyan menyuruh Hani melihat betisnya yang tergantung seekor pacat. Gemuk sungguh. Mungkin sudah terlalu kenyang menghisap darah Hani.

“Eee tak naklah. Cepatlah buang,” gesa Hani lagi.

“Okey, tapi sebelum tu jom kita naik ke batas dulu.” Hani hanya mengangguk. Namun baru dia hendak melangkah, kakinya seolah-olah kaku, tidak bergerak langsung. Rayyan dilihatnya sudah bergerak beberapa langkah.

“Rayyan… tak boleh gerak,” ujar Hani yang mengerutkan dahi. Apa pula yang menyekat kakinya kali ini.

Rayyan yang kehairanan kembali meraduk sawah yang berair. Kaki Hani cuba diangkat. Laa… patutlah. Rayyan tergelak. Ada ke orang datang ke bendang berkasut tumit tinggi. Memang terbenamlah dekat tanah sawah tersebut. Rayyan tergelak lagi, geli hati sungguh. Wajah Hani memerah melihat Rayyan menggelakkannya. Bahagia sungguh.

***
“Rayyan, saya nak minta maaf banyak-banyak pada awak pasal hari tu. Tak patut saya bercakap kasar dengan awak, tak patut saya bertindak kasar macam tu,” luah Hani dengan perasaan yang berdebar-debar. Berdebar-debar kerana dia sedang bercakap dengan lelaki pujaannya. Saat ini mereka berdua sedang menghirup udara segar di atas pangkin di bawah pokok mempelam di luar rumah.

“Tak apa Cik Hani. Saya dah lupakan pun. Lagipun saya sedar siapa diri saya. Hanya kuli saja di syarikat tersebut,” Rayyan merendah diri. Dia tidak mengerti maksud kedatangan Hani. Adakah untuk melamarnya bekerja semula? Ataupun melamarnya untuk dijadikan suami? Ah, mengarut jauh betul Rayyan ni. Namun dia semakin senang hati dengan sikap Hani sekarang. Hani yang lemah lembut, agak manja dan tidak bengis seperti seekor singa betina. Kalau macam ini, barulah boleh dijadikan isteri.

“Apa maksud kedatangan Cik Hani sebenarnya?” soal Rayyan. Dia mahukan jawapan yang pasti supaya dia tidak lagi tertanya-tanya.

“Tak payahlah panggil saya Cik Hani lagi. Lagipun Rayyan dah tak kerja dengan saya.”

“Oh okey. Hani,” ujar Rayyan dengan lembut. Dia senyum lagi. Sungguh, Hani dibuai keasyikan mendengar Rayyan memanggilnya sebegitu.

“Er… sebenarnya. Hmmm susah saya nak cakap. Ia melibatkan hati dan perasaan dan saya tak pernah rasa semua ni sehingga saya berjumpa awak Rayyan. Saya… dah jatuh hati dengan awak,” rasa tebal 3 inci muka Hani sebaik meluahkan perasaannya. Memang dia malu untuk menyatakannya namun dia telah berazam untuk meluahkan perasaannya. Sekarang dia berasa lega dan hanya menunggu jawapan daripada Rayyan.

Rayyan tersenyum riang. Apa yang disajikan di hadapannya kini seolah-olah sebuah mimpi. Dia seakan-akan tidak percaya dengan luahan hati Hani tadi. Betulkah apa yang didengarinya?

“Maksudnya… Hani sukakan saya?” soal Rayyan sambil memandang wajah Hani yang semakin memerah. Gadis itu hanya mengangguk perlahan. Wajah Rayyan turut dipandang. Senyuman Rayyan memang mahu menggugurkan jantungnya. Manis sungguh.

“Sudi tak awak menjadi suami saya?” tanpa sedar Hani melamar Rayyan.

Rayyan tersentak. Lagilah dia tidak percaya. Dunia sudah terbalik ke? Perempuan melamar lelaki. Namun senyuman Rayyan semakin melebar. Apa yang diangankannya, apa yang diimpikannya akan menjadi kenyataan. Nyata, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Rayyan mengangguk setuju. Hani tersenyum lega. Inilah kisah cinta mereka berdua yang pelik. Pelik tetapi tidak mustahil ianya berlaku. Semoga kedua-duanya berbahagia sehingga ke akhir hayat.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

32 ulasan untuk “Cerpen : Encik Setiausaha”
  1. mira says:

    best

  2. rosnina rahman says:

    Alaaa nape tak sambung sikit lagi tenth lebih meletop best la citer nih

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.