Cerpen : Hanya Ingin Kau Tahu

19 June 2011  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Umi Kalsom

“NAIMAH!” aku yang sedang duduk di dalam bilik tersentak apabila namaku dilaung oleh Kak Salwa, kakak iparku. Segera aku bangkit dari kerusi dan menjengukkan kepala sedikit di balik tirai bilikku. Mataku meliar mencari wajah kak Salwa namun lain pula yang menyapa. Dia!

Serta-merta dadaku melahirkan debaran yang luar biasa. Aku sudah bersandar di balik dinding bilikku. Bibirku sudah mula menguntumkan senyuman manis. Tanganku juga dengan spontan menutup wajahku. Aku menjadi malu sendiri dengan tingkahku setiap kali dia berada dekat denganku.

Dia yang aku maksudkan ialah… Danial! Sepupu kepada kakak iparku. Namun keakraban mereka seperti saudara kandung. Sejak kali pertama mataku menangkap wajahnya sewaktu majlis perkahwinan abang, aku menjadi terpesona. Tanpa aku sedar, telah ku serahkan hati ini padanya. Walaupun… dia tidak pernah mengetahui. Dalam diam, aku membina taman cinta khas buat dirinya.

“Naimah!” laungan kali kedua membuatkan aku tersedar. Lantas tudung di penyangkut aku capai dan sarungkan di kepala. Langkah ku atur ke luar bilik. Wajah kak Salwa yang tersenyum manis menyapa mataku.

“Special tea please…” pintanya yang masih tersenyum memandangku. Dan mataku hanya tepat pada wajah kak Salwa walaupun dalam masa yang sama aku merasakan ada sepasang mata lagi sudah melekat di wajahku. Aku sekadar mengangguk dan berpaling ke dapur. Sungguh aku malu untuk bersuara di depan Danial. Bahkan, kami tidak pernah bertegur sapa walau sekalipun.

Teh yang sudah siap dibancuh, aku bawa ke depan bersama dulang. Aku potong juga beberapa keping kek yang telah aku sediakan semalam. Hatiku tidak henti-henti tersenyum. Walaupun tidak menzahirkan perasaanku di wajah namun dalam hati ini, hanya Allah saja yang mengetahui. Betapa bahagianya aku dapat menyediakan semua ini untuk Danial. Satu-satunya lelaki yang aku tempatkan dalam hati aku secara diam.

Sebaik saja meletakkan dulang di atas meja kopi, aku bingkas berdiri hendak berlalu ke bilik. Segan aku hendak berlama-lama di depannya. Aku tidak biasa walaupun aku suka sangat jika dapat melihatnya.

“Terima kasih…” ucapan itu jelas menyapa telingaku. Bagaikan gesekan biola yang lembut beralun dalam corong telinga. Aku tersenyum tanpa pandang ke arah dia. Dan terus berlalu masuk ke dalam bilik. Bila agaknya dia akan tahu akan rasa hatiku ini?

Teka-teki yang bermain di mindaku tidak bertemu dengan jawapan. Akhirnya, aku pandang saja ke dinding dengan senyuman untuk melampiaskan rasa hati di saat ini.

*****

“DANIAL datang tadi. Dia kirim salam dengan abang.” Maklum kak Salwa pada abangku. Aku yang turut berada di situ, pura-pura khusyuk dengan hidangan di pinggan. Sedangkan telingaku hendak mendengar lagi butir bicara tentang Danial dari mulut kak Salwa.

“Bila dia balik? Bukan pergi Hong Kong empat bulan?”

“Dah balik seminggu dah! Itu yang dia datang sini… dia ingat nak jumpa abang, tapi abang tak ada.”

“Suruhlah dia datang esok… abang pun lama tak jumpa dia. Boleh sembang-sembang.” Aku tersenyum dalam hati mendengar bicara itu.

“Naimah…” suara abang membuatkan aku memanggung kepala. “Makan ke… berangankan buah hati… cik adik oi?” teguran itu membuatkan pipiku terasa panas. Abang aku ni!!!

“Orang makanlah!” balasku geram.

“Makan apanya, macam duk kira nasi saja… sayang, tambah nasi dalam pinggan dia.” Arah abang pada kak Salwa. “Makan banyak sikit. Nanti mak marah abang pulak. Tak reti nak jaga anak dara kesayangan dia.” Usik abang. Aku menjeling. Kakak iparku pula sudah ketawa sambil menyendukkan nasi ke dalam pingganku.

“Abang ni… suka sangat usik Naimah,” balasku dengan muncung. Panjang tangan abang yang telah sampai di hujung hidungku. Ditariknya hidungku dengan kuat.

“Abang!!!” abangku ketawa saja.

“Abang ni… kenapa kacau Naimah?” kak Salwa ikut masuk menjadi kuncu aku. Terus saja aku tersenyum lebar. Sempat aku jelirkan lidah pada abang. Dia pun tidak mahu kalah juga. Dijelirkan balik lidah padaku. Chait! Sudah jadi bapa budak pun masih berperangai macam kanak-kanak saja. Abang akulah tu!

“Oh ya… abang lupa nak bagi tau. Mak tanya… bila cik adik kita ni dengan rasminya tamat belajar?” soal abang setelah reda sesi jelir-jelir lidah. Sudah sebijik macam biawak dah aku tengok, gaya terjelir lidah ni.

“Dua bulan lagi.” Balasku pendek. Fikirkan hendak tamat tempoh pengajianku, hatiku menjadi sayu. Habis saja pengajian, aku akan pulang ke kampung semula. Tinggal dengan emak di Perlis. Pasti saja aku sudah tidak punya peluang untuk bertemu dengan dia.

“Dua bulan lagi? Baguslah tu.” Sahut abang dengan ceria.

“Abang dah tak suka tengok muka Naimah dekat sini?” tiba-tiba aku beremosi.

“Eh… Naimah, apa cakap macam ni! Naimah dah habis belajar pun, boleh tinggal dengan kami jugak.” Kak Salwa sudah memaut bahuku. Abang pula tersenyum.

“Hei budak manja… takkan la abang tak suka tengok muka adik abang dekat sini. Orang bergurau sajalah…” pujukannya langsung tidak berkesan di hatiku. Sebabnya aku bukan merajuk dengan kata-kata abang. Aku tahu dia sekadar bergurau. Tetapi hatiku terasa berat teringatkan orang itu…

Bilakah akan tiba waktunya, saat dia mengetahui isi hatiku?

*****

GELAK tawa dari dalam rumah membuatkan aku memperlahankan langkah. Kereta Myvi Hitam yang terparkir di luar rumah sudah memberi jawapan kepadaku, gerangan yang hadir pada ketika itu. Tidak perlu menunggu sesaat dua, hatiku sudah dibanjiri ratusan kuntuman bunga cinta.

Saat kakiku hendak melangkah masuk ke dalam rumah, langkahku terpaku.

“Siapa dia? Cepatlah sebut nama orang tu…” usikan bernada gembira dari bibir kak Salwa sudah cukup membuatkan aku tersentak.

Dan saat bibir Danial menjawab, “Amalina.” Jatuh berguguran bunga-bunga yang berkembang elok dalam hatiku. Aku tidak menyangka yang dia sudah punya pilihan hati. Mujur saja aku tidak pernah diberi kekuatan yang luar biasa untuk berterus-terang tentang rasa hatiku ini.

“Anak mak cik Lina tu?”

“Ha’ah.”

“Kiranya nak langsung serentaklah kenduri Dani dengan Syah?” soalan kak Salwa semakin membuatkan aku terasa luluh di luar ini.

“Eh… ada pulak. Buah hati Dani kan tengah belajar lagi. Tunggulah… bagi Syah dulu kot, kan mak dah mula merisik orang yang dia berkenan tu.”

“Dani pun, jangan tunggu lama sangat… nanti dikebas orang!” kemudian mereka sudah ketawa gembira. Tawa yang semakin menyiat-nyiat hatiku.

Aku sudah tidak mahu melangkah masuk ke dalam. Walaupun sejak semalam lagi aku ingin sekali mencuri pandang ke wajahnya. Wajah yang begitu jelas terukir di ruang hatiku. Baru saja aku hendak melangkah sudah ada yang memanggil.

“Acik Imah!” pantas aku berpaling. Wajah comel Hasif menyapa ruang mata. Dia sudah berlari untuk mendapatkan aku. Sekelip mata saja Hasif sudah bergayut dalam pelukanku.

“Bila Hasif balik sini?” soalku sambil menarik hidungnya.

“Sakitlah acik Imah!”

“Iyalah… sorry sayang!” Aku hadiahkan kucupan di pipinya. Dia terus tersenyum sambil mempamerkan giginya yang agak rongak itu.

“Acik Imah pergi mana? Lama tau Asif tunggu!” ujarnya dengan manja. Tangannya sudah melingkari leherku yang dilitupi dengan tudung.

“Iya ke? Ala kesiannya dia… lama tunggu.” Aku kucup lagi pipi dia. “Nanti acik Imah ajak Asif jalan-jalan ya.”

“Tak nak!”

“Kenapa?” aku jadi pelik. Selalu aku ajak, dia akan setuju dengan pantas. Tapi hari ini, lain pula ceritanya. Kenapa?

“Jalan-jalan dengan acik Imah kena pakai kaki… acik Dani ajak Asif jalan-jalan naik kereta.” Wajahku sudah berubah riak. Hhhmmm… Hasif pun sudah tidak mahukan aku.

“Pergilah jalan-jalan dengan acik Dani. Taulah… Asif dah tak sayangkan acik Imah kan, tak apalah.” Aku pura-pura merajuk dengan Hasif. Tengok apa yang dia nak buat. Pujuk? Atau buat bodoh saja si kecik ni?

Tapi Hasif tetap begitu. Sempat pula si kecil ini menjelirkan lidah padaku. Hai. Anak dengan bapak, perangai serupa saja. Keturunan biawak!

“Tak apa, kita boleh jalan sama-sama.” Dan suara yang menyapa dari belakang terus mengkakukan wajahku. Aku tertunduk ke bawah. Hasif yang berada dalam dukungan juga aku turunkan ke bawah. Terus saja aku berlalu tanpa kata. Langsung tidak menoleh pada wajahnya.

“ACIK Imah…” mulut si Hasif tidak henti-henti memanggil nama aku. Sebab kesian, aku panggil jugalah dia masuk ke dalam bilik. Terus dia menarik sengih dua juta megawatt. Tapi hancur bila nampak gigi!

“Acik Imah… jomlah. Kita jalan-jalan naik kereta acik Dani.” Hasif pujuk aku. Pandai juga budak kecil ini. Aku diam sambil berpeluk tubuh. Kononnya merajuk.

Kucupan dari bibir kecil itu hinggap di pipi aku membuatkan senyumanku terus berbunga. Laju tangan aku menarik Hasif ke riba.

“Asif sayang acik Imah tau.” Ucap si kecil itu. Aku terus saja ketawa. Pasti dia ingat aku betul-betul merajuk. Sedangkan itu semua drama semata.

“Acik Imah pun sayang Asif.”

“Jomlah ikut jalan-jalan!”

“Asif pergilah dengan acik Dani. Acik Imah tak nak ikut… nanti kita pergi berdua okey. Tak nak dengan orang lain.”

“Betul?” eh budak kecil ini. Dia bertanya gaya macam aku lagi kecil dari dia.

“Betullah… nanti Asif dengan acik Imah, kita jalan berdua. Okey?” Laju Hasif mengangguk.

Bila terdengar suara Danial memanggil nama Hasif. Aku tidak punya pilihan lain. Dengan berat hati aku tarik juga lengan Hasif dan membawa dia keluar dari bilik. Pasti saja Danial sudah mahu keluar.

Berdepan dengan Danial dalam keadaan hatiku sedang punah membuatkan wajahku langsung tidak beriak. Mataku langsung tidak menyapa wajahnya. Memang aku tidak pernah berbuat begitu pun setiap kali berdepan dengan dia.

“Naimah… betul tak nak ikut?” Danial bertanya pada aku. Aku menggeleng saja. Suaraku tersekat di kerongkong. Biarlah. Aku tidak mahu mencipta sejarah, perbualan pertama dengan dia. Sebelum ini pun tidak pernah… jadi biarkan sampai bila-bila pun tidak pernah. Tanpa memandang wajah dia, aku terus saja melangkah masuk ke bilik.

Aku sedih. Biarpun perasaan itu hanya terpendam dalam hatiku, tapi kecewa yang aku rasakan seolah dia yang menghancurkannya. Sedang, Danial langsung tidak tahu menahu perihal perasaan hati aku padanya.

*****

HUJUNG minggu pada kebiasaannya, aku akan pulang ke rumah abang di Sungai Tiram. Tapi minggu ini aku pilih untuk habiskan saja masa di asrama. Sengaja hendak melayan perasaan di sini. Masuk minggu ini sudah hampir tiga minggu aku tidak ke rumah abang. Hasif sudah berkali-kali menelefon hendak berbual denganku. Perisik kecil itu sungguh cekap hendak mencungkil rahsia hatiku.

Soalan yang ditanya lagak orang dewasa dari bibir comel itu membuatkan aku terhibur.

“Siapa kacau acik Imah? Cakap dengan Asif… nanti Asif pukul dia dengan rotan!” Tidak padan sungguh ayat dengan orang yang berkata itu. Hasif… Hasif… kepalaku sudah tergeleng-geleng. Kecomelan telatah Hasif membolehkan aku melupakan kekecewaan cinta satu hala dalam diriku. Bertepuk sebelah tangan takkan ke mana wahai Naimah!

Deringan telefon bimbit membuatkan pandanganku beralih pada meja belajar. Malas saja aku mengatur langkah ke meja dan mencapai telefon. Nombor baru yang tertera di skrin membuatkan dahi aku berkerut. Tapi aku tekan juga punat untuk menjawab.

“Acik Imah!!!” sebaik saja telefon melekap di telinga, meletus suara si kecil itu. Aku ketawa.

“Asif… baru acik Imah ingatkan Asif. Rindulah…” ucapku. Dia juga sudah ketawa.

“Acik Imah, turun bawah cepat. Pakai lawa-lawa tau.” Erk! Terkejut aku bila dia cakap turun bawah.

“Asif ada dekat mana ni? Dengan siapa?”

“Ada dekat bawah asrama acik la… cepatlah turun! Asif tunggu ni…” ewah budak ini! Gaya dia panggil aku macam hendak ajak berdating pula. Talian pun sudah dimatikan.

Hasif kata pakai lawa-lawa. Terfikir pula aku hendak ke mana? Abang nak bawa pergi makan ke? Aku bersiap ala kadar saja. Pakai lawa-lawa? Dalam mimpi saja rasanya. Semua pakaian aku yang ada dalam almari, tidak ada satu pun dalam kategori lawa. Semuanya biasa. Cukup kain sudah!

Dengan mengenakan bedak nipis di wajah sebagai sentuhan terakhir. Aku terus melangkah keluar dari bilik asrama Aman Damai.

Sampai saja di bawah, kaki aku melangkah ke kawasan parkir. Mencari-cari kelibat kereta Proton Persona milik abang. Tapi, apa yang singgah di ruang mata hanya membuatkan aku tergamam. Lemah lututku saat senyuman Danial singgah di pandangan mata. Menusuk terus ke dalam hati.

Apa yang dia buat di sini? Kenapa dia datang sini? Kepala aku sudah berserabut rasanya. Susah payah aku sedang menjauhkan diri, tidak sangka kami akan bertemu juga.

“Acik Imah!” suara Hasif membuatkan aku mencari kelibatnya. Aku lihat si kecil itu tersenyum lebar dan berlari ke arahku. Macam biasa, Hasif terus saja melompat ke dalam pelukanku.

“Jomlah… kita jalan-jalan dengan acik Dani.” Ucapnya ceria. Aku diam. Cuba berfikir dengan rasional. Aku merasakan seperti ada yang tidak kena. Rancangan bodoh siapakah ini yang menghantar Hasif dengan Danial untuk bertemu denganku? Sudahlah aku tidak pernah berbual dengan Danial, tiba-tiba hendak suruh buang tabiat pula, keluar berjalan-jalan. Tak pasal!

“Acik Imah ada kerja la Asif…” dalihku. “Tak boleh keluarlah.”

Jawapan rekaan aku itu nyata membuatkan riak wajah Hasif berubah keruh. Yang aku hairannya, wajah Danial pun ikut berubah sekali. Matanya bertemu dengan mataku buat pertama kali. Lama. Aku dapat merasakan debaran kencang jantungku. Debaran yang selalu ada bila Danial berada dekat denganku.

“Kami dah datang jauh-jauh ni… jomlah keluar. Sekejap saja,” ucap Danial. Aku tersenyum sinis.

“Jauhlah sangat kan?!” Dia fikir aku ini budak kecil yang tidak belajar geografi agaknya. Kalau aku tidak belajar geografi sekalipun, aku sudah menghafal peta Pulau Pinang ini. Setakat jarak Sungai Tiram dengan Sungai Dua, tak adalah jauh mana.

“Iyalah tak jauh… tapi kami dah datang nak ajak keluar ni. Jomlah.” Pujuk Danial lagi.

Aku betul-betul rasa pelik. Pelik sebab kenapa dia beria sangat hendak ajak aku keluar. Atau… si kecil ini yang hendak sangat keluar dengan kami berdua. Bukan boleh percaya sangat si Hasif ini.

“Saya tak keluar dengan lelaki melainkan mahram saya.” Jawapan yang ku kira paling jujur aku ucapkan pada ketika itu. Tetapi, aku menjadi pelik. Danial tersenyum.

“Hasif kan ada.” Aku ternganga sedikit. Apakah Hasif boleh dianggap sebagai orang yang layak menemani aku untuk keluar dengan lelaki ajnabi?

“Asif… is only a little boy! Sorry… saya tak nak keluar.” Aku mengucapkan tegas. Wajah Hasif yang memuncung dalam dukungan, ku tatap. “Asif… nanti kita keluar berdua ya. Acik Imah ada kerja. Okey…”

“Tak okey! Nak keluar dengan acik Imah dengan acik Dani, sekarang jugak!” sudah… Hasif dah mula tunjuk perangai hendak minta pelempang dari aku.

“Asif… acik Imah ada banyak kerja tau. Nanti minggu depan acik Imah balik rumah, kita keluar jalan-jalan. Okey sayang?” pujukku. Kalah gaya hendak pujuk kekasih rasanya. Si Hasif ini betul-betul mengasah bakat pujukan aku.

“Janji?”

“Janji! Okey.”

“Dengan saya, awak tak janji pulak?” terkejut aku bila dengar Danial mencelah dengan soalan luar alam itu. Wajahnya yang sedang menagih jawapan itu aku pandang dengan rasa tidak percaya.

“Kenapa saya kena janji dengan awak pulak?” soalku pelik. Sama ada aku sedang bermimpi di saat ini atau Danial yang sedang menggigau. Mungkin dia tersilap ingin aku ini kekasih dia agaknya.

Soalan kekal menjadi soalan apabila dia tersenyum manis ke arahku. Senyuman yang begitu sempurna sehingga aku merasakan seolah kakiku sudah tidak memijak tanah. Kalaulah Danial tahu… senyuman itu sedang mendera hatiku!

*****

MASUK kali ini sudah dua puluh kali telefon bimbitku menyanyikan lagu. Pesanan ringkas yang masuk tidak kubalas. Aku rasa pelik. Aku rasa hairan. Aku yang mereng atau si pengirim mesej ini yang mempunyai masalah jiwa?

Aku hanya ingin kau tahu… cintaku dan cintamu adalah satu.

Dua puluh mesej. Dua puluh ayat yang sama. Daripada siapa? Itu yang aku tidak tahu. Hendak membalas? Jangan buat pasal. Silap haribulan terkena dengan mamat indon ke… tidak ke naya! Jadi aku biarkan saja mesej itu terkubur dalam peti masuk.

Bermula dari pesanan ringkas, nombor yang tidak ku kenali itu sudah berani membuatkan panggilan ‘rindu’. Sekejap saja aku tinggalkan telefon untuk ke tandas, berpuluh panggilan ‘rindu’ yang masuk. Aku sudah tidak larat hendak memandang skrin telefon sebab semuanya penuh dengan nombor yang sama. Orang gila manalah kan!

Gangguan semasa di asrama aku boleh tahan lagi. Tapi bila minggu itu aku pulang ke rumah abang, gangguan itu masih belum luput. Masih setia dan segar mengacau diriku. Sampaikan abang aku perasan dengan gaya aku yang sebijik macam cacing kepanasan.

“Boyfriend Naimah tu tak reti penat ke?” tersedak aku dengar soalan itu. Bukan setakat tersedak kecil, sudah batuk tanpa henti pula. Cepat saja kak Salwa menghulurkan air padaku. Emak yang juga berada di situ sudah memandang aku dengan pandangan yang tajam sekali. Kebetulan pula emak datang bertandang ke rumah abang. Hendak melepaskan rindu katanya.

“Aik… mak tak tahu pulak, anak mak ni diam-diam ubi berisi. Sejak bila ada kawan ni?” soal emak dengan nada yang biasa. Tapi aku rasa macam emak hendak marah aku saja. Tidak tertelan air yang berada dalam mulut ini.

Sungguh aku sangat tidak senang. Tambah pula, dengan kehadiran Danial di celah keluarga kami pada saat ini. Dengan gangguan hantu telefon ini lagi. Aku rasa tertekan pula.

“Ehem!” abang berdehem kuat. Sengajalah tu! “Cik Naimah pun dah pandai bergayut macam tarzan ya?” nada abang jelas hendak mengusikku. Tapi tiba-tiba saja aku rasa api kemarahanku menggelegak.

“Pernah abang nampak Naimah bergayut?” marahku. Suara aku yang meninggi itu membuatkan semua orang tergamam. Tidak pernah aku meninggikan suara seperti ini.

“Abang cakap saja… salah ke?”

“Kalau tak tau, jangan cakap!” lentingku. Syaitan mana yang sudah merasuk tubuhku sehingga aku menaikkan suara dengan abangku. Di depan semua orang pula tu. Tanpa menunggu lama, aku bingkas bangun dan meninggalkan meja makan.

Masuk saja dalam bilik, air mataku sudah jatuh membasahi pipi. Apa yang mengusik jiwaku di saat ini? Usikan abang? Kehadiran Danial? Ataupun… pesanan ringkas yang tidak masuk akal itu.

Aku hanya ingin kau tahu… cintaku dan cintamu satu.

Si gila mana yang sedang mempermainkan perasaan aku di saat ini? Kenapa perasaan aku? Sedangkan aku pun berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil setiap kali terkenangkan Danial.

“Naimah…” panggilan dan pegangan lembut di bahu membuatkan aku mengangkat wajah. Emak memandangku dengan riak terkejut.

“Kenapa ni? Kenapa menangis sampai macam ni?”

Aku tidak menjawab. Hanya membiarkan air mata jatuh membasahi pipi. Tubuhku sudah hanyut dalam pelukan emak.

“Hei… takkan sebab abang bergurau, nak menangis sampai macam ni.” Abang pun sudah berada dalam bilikku. Aku menjadi malu pula. Tidak memasal saja aku buat drama air mata waktu begini.

“Kenapa ni sayang? Siapa yang buat anak emak sampai menangis ni?” Aku diam saja. Sebenarnya, aku pun tidak begitu mengerti tujuan babak tangkap leleh ini.

“Emak baru ingat nak bagi tahu berita gembira dengan Naimah… tapi Naimah sedih pula…” ucap emak. Aku tertanya, berita gembira apakah itu?

*****

BERITA gembira buat emak. Tapi tidak buat aku. Aku duduk berteleku di atas sejadah usai menunaikan solat Subuh. Aku cuba untuk menenangkan perasaan dengan mengalunkan kalimah suci Al-Quran. Cuba mencari kekuatan dengan memanjatkan doa padaNYA. Cuba untuk membuat keputusan dengan meminta petunjuk dariNYA. Apakah yang terbaik buat diriku, aku tidak tahu.

Selesai saja melipat telekung, aku sudah keluar ke ruang tamu. Aku buka jendela untuk biarkan angin pagi menyapa wajah aku. Terasa nyaman saja dengan suasana di kampung ini. Seakan terlupa sekejap akan pesanan yang dititipkan oleh emak padaku.

“Naimah…” panggilan lembut itu membuatkan dadaku bergetar kembali. Adakah emak sudah mahu menagih jawapan dariku? Janji sudah diberi… maka aku harus tepati. Tempoh sebulan sudah tamat tempohnya. Aku harus berikan kata putus untuk lamaran yang dibawa oleh ibu bapa Danial. Namun lamaran yang dibawa bukanlah untuk Danial si pujaan hatiku tetapi untuk Daim Syahmi, kembar Danial. Peritnya aku rasa sungguh luar biasa.

Siapa Daim Syahmi? Aku seperti tidak pernah menyedari kewujudannya. Yang aku tahu dan aku ingat, hanyalah Danial seorang. Benarkah yang aku pandang selama ini ialah Danial? Bukan Daim?

“Naimah…” emak memanggil aku buat kali keduanya. Aku menarik nafas panjang, cuba mencari kekuatan dengan jawapan yang hendak diberikan sebentar lagi.

“Mak tahu… Naimah takkan kecewakan mak.” Allahuakhbar! Ayat intro dari emak pun sudah menunjukkan bahawa emak mengharapkan aku menerima lamaran ini.

Aku tersenyum kelat. “Naimah tak pernah kenal Daim… macam mana Naimah nak kahwin dengan dia.” Aku suarakan juga rasa hati aku pada emak. Namun, rahsia hati tentang perasaan pada Danial masih tersimpan kemas. Biarlah ia menjadi rahsia aku dan Allah.

“Naimah… kan Daim datang rumah abang hari tu.” Aku terus terlopong. Hari apa?

“Bila?”

“Masa emak datang tengok Naimah dekat rumah abang tu. Itulah Daim Syahmi.”

Ya Allah! Aku meraup muka yang terasa panas. Itu ke Daim? Kenapa aku rasa macam Danial saja. Ataupun aku memang tidak dapat membezakan mereka sebab aku pun tidak pernah menelek wajah Danial lama-lama. Hanya sekali itu saja, di bawah asrama Aman Damai.

“Daim pun ada ajak Hasif nak tengok Naimah dekat hostel sekali tu… ada kan? Emak yang suruh dia pergi jumpa Naimah.” Sekali lagi aku terlopong. Jadi itu… Daim? Tapi, ada sesuatu yang memusykilkan diriku pada ketika ini.

“Kenapa Asif panggil dia acik Dani?”

“Cakap Hasif… Naimah pun tak boleh nak bezakan, apatah lagi Hasif.” Emak memberi jawapan yang aku rasa kurang yakin saja untuk menerimanya.

“Tapi Asif selalu tinggal dekat sana. Takkan dia tak kenal?”

“Naimah… kalau emak jawab semua soalan, Naimah akan setuju untuk terima lamaran tu ke?” soalan emak itu membuatkan aku terkedu. Berat sungguh jawapan yang hendak diputuskan kali ini. Hatiku kecewa dengan Danial dalam keadaan cinta sehala. Tapi sekarang… muncul pula Daim hendak menyemikan cinta antara kami berdua.

Apa yang patut aku berikan sebagai jawapan? Adakah Daim akan tahu bahawa aku tidak pernah merasakan cinta ini buat dirinya walau untuk sesaat pun?

*****

“TERIMA kasih, Naimah.” Air mataku berguguran tanpa dapat ditahan. Menangis menahan kepedihan hati. Menangis menyesali sikap aku sendiri. Kenapa perlu aku bersetuju? Aku pun tidak tahu. Segala yang terjadi bagaikan di luar sedarku. Aku bersetuju untuk menjadi isteri Daim Syahmi sebaik saja tamat pengajianku.

Dan kini, di dalam kamar yang dirias dengan begitu cantik sekali, tinggallah aku dan Daim berdua. Pandangan aku hanya tertumpu pada lantai biliknya. Sejak bersendirian dalam bilik ini, aku tidak sudah-sudah menangis. Seperti Daim mendera aku pula. Sedangkan, dia mencuit pun tidak.

“Nurul Naimah…” dia panggil dengan suara yang begitu lembut sekali. Daguku ditarik perlahan supaya mendongak melihat wajahnya. Namun mataku berdegil. Masih tidak mahu menatap wajahnya. Tangannya dengan ringan menyapu air mata di pipiku.

“Menyesal ke kena kahwin dengan abang?” soalan itu sayu saja meresap ke dalam hatiku. Aku rasa bersalah. Sedangkan siapa pun tidak pernah mendesak aku untuk melangkah masuk ke dalam ikatan ini. Tapi sekarang, reaksi aku seolah aku dipaksa.

“Tak apa… kalau Naimah tak suka, kita boleh ambil masa. Belajar untuk kenal dengan diri masing-masing…” dia berkata lagi. Alunan suaranya seolah hendak menghilangkan kegusaran dan keresahan dalam jiwaku.

“Kenapa awak tak pernah mengaku yang awak ni Daim?” soalku tiba-tiba. Wajahku masih tidak beralih. Masih statik seperti tadi.

Tangannya mula menyentuh pipiku. Aku mengelak, seolah tidak sudi. Aku tahu, aku hanya sedang menambahkan dosaku dengan menolak hak Daim sebagai suamiku. Tapi kenapa aku rasa dia seorang saja paling layak untuk menerima bahana kemarahan aku di saat ini?

“Sebab selama ni pun abang tak pernah muncul sebagai Daim depan Naimah…” maksudnya? Aku terus saja memandang tepat ke dalam anak matanya.

“Awak tipu saya? Sengaja tipu saya?” syaitan sudah merasukku. Aku dapat rasakan api kemarahan sudah membuak-buak dalam hati. Kenapa perlu tipu? Apa salahnya kalau dia mengaku saja yang dia itu sebenarnya Daim? Ringan saja tangan aku menumbuk dadanya yang bidang itu.

Tangan aku yang begitu bebas menumbuk dadanya dipaut. Genggamannya kemas. Tidak langsung dilepaskan tangan aku. Kucupan di jemari langsung tidak menyejukkan hatiku. Malah semakin panas pula rasanya. Aku menarik tanganku dengan kasar.

“Naimah… I love you.” Dia mengucapkan kalimah itu sambil menarik aku ke dalam pelukannya. Aku menjadi lemas. Ucapan itu tidak memberikan sebarang makna mahupun kesan dalam hatiku.

“Saya benci awak! Let me go!” ucapku kasar sambil menolak badannya kuat. Sudah lelah rasanya aku berada dalam keadaan ini.

Dan pagi itu aku menangis dalam sujudku. Menangis dengan sikap aku yang biadap dengan suami aku sendiri. Kenapa aku berkelakuan begitu? Aku tidak pasti. Tapi apa yang aku pasti pada ketika ini, Daim tahu akan perasaan aku pada Danial. Kalau tidak, apa motif dia muncul sebagai Danial di depanku. Dan entah berapa kali pula aku tertipu dalam keadaan begitu, sungguh aku tidak tahu.

*****

SEDAR tidak sedar, sudah sebulan perkahwinan kami berlalu. Aku masih begitu. Dingin dan beku di hadapan Daim. Tetapi Daim… sentiasa berusaha untuk mendekati hatiku. Sikapnya yang sentiasa nakal di hadapan keluarga, sedikit sebanyak membuatkan hatiku terusik juga. Walaupun tidak banyak, ada ruang yang sudah mula terbuka untuk menilai cintanya.

Hari ini, keluarga mertuaku mengadakan majlis kesyukuran. Buat pertama kali, aku melihat Amalina. Jadi petang itu yang datang ke rumah abangku adalah Danial. Dan benarlah Danial memang sudah punya pilihan hatinya sendiri. Amalina, seorang gadis yang begitu anggun sekali. Cantik dan bergaya. Aku?

Astaghfirullah! Aku sudah beristighfar panjang. Kenapa perlu aku bandingkan diriku dengan kekasih orang. Sedangkan diri aku sudah bergelar isteri orang. Sedarkah aku tentang hakikat itu? Sedarkan aku tentang dosa yang sedang aku tempah? Mengharapkan lelaki lain sedangkan ada suami yang lebih berhak.

Dadaku sudah mula berombak. Laju saja aku mengatur langkah ke dapur. Pura-pura menyibukkan diri dengan kerja-kerja di situ supaya hatiku tidak menjadi keliru.

“Basuh pinggan ke… berangan?” tersentak aku dengan suara yang separuh berbisik di telingaku itu. Pantas aku berpaling. Daim tersenyum manis sekali. Baru aku sedar, senyuman ini yang memukau pandangan aku. Aku memandang pula tepat ke dalam matanya. Mata itu… mata itulah yang melahirkan debaran yang sungguh rancak dalam hatiku.

Daim sudah mengepung tubuhku. Aku pula sudah gelabah. Pandang ke kiri dan kanan tidak sudah-sudah. Takut kalau-kalau ada orang melihat keadaan kami begini.

“Jauhlah sikit… nanti orang nampak,” ucapku perlahan seolah berbisik pun ada.

Tapi tubuhnya masih di situ, tidak berganjak walau seinci. Makin rapat pula tu.

“Abang…” aku hendak menyentuh baju dia, takut basah. Tangan aku penuh dengan biuh sabun.

“Panggil lagi sekali?” pintanya. Dahi aku terus berkerut. Panggil apa?

“Panggil apa pula?” aku tanya soalan. Tapi dia, tersenyum nakal. Apa yang aku panggil tadi? Aku macam tidak ingat saja.

“Abang… sayang panggil abang.” Balasnya dengan nada mengusik. Mukaku terasa panas. Iya ke aku sebut abang? Entah-entah dia tengah kelentongkan aku. Macam mana aku boleh tidak sedar bibirku memanggilnya abang.

“Daim… jauhlah sikit!” aku tidak ada pilihan selain mengotorkan bajunya dengan tanganku. Aku berusaha untuk menolak tubuh sasa itu menjauhi aku. Tapi tidak berjaya. Dia makin mendekat. Jarak wajah kami hanya seinci. Aku jadi gugup tidak terkata. Dan ketika itu juga, aku baru perasan seraut wajah suamiku yang begitu bersih.

Lama aku mengamati wajahnya. Menganalisa setiap yang singgah di ruang mata. Dari keningnya yang lebat. Beralih pada sepasang mata yang tidak jemu-jemu melepaskan pandangan yang menggoda buatku. Hidungnya. Aduh! Mancung sangatlah pula. Dan ada sesuatu yang paling menarik di wajah itu. Janggut sejemput di bawah bibirnya yang merah itu.

Bila aku perasan dia pun sedang berbuat perkara yang sama. Laju saja aku melarikan wajah.

“Sayang…” bagai hendak luruh saja jantung aku dengan intonasi itu. Belum pernah telinga aku berusaha untuk menerima alunan kata yang sangat lembut ini.

“Sayang…” dia panggil lagi. Dengan rasa gementar aku kalih juga. Tidak semena-mena… sepantas kilat saja, bibir kami bertaut. Wajah aku sudah merah. Wajah Daim, walaupun nampak terkejut tapi aku nampak segarit senyuman di bibirnya. Ah… malunya!!!

Laju aku melarikan wajah ke arah kananku. Lagi sekali, darah menyerbu mukaku dengan laju. Senyuman mengusik di bibir ibu mentuaku membuatkan aku bertambah malu. Tidak sama sekali menyangka yang kami akan ‘tertangkap basah’ di sini. Tidak tahu di mana hendak menyembunyikan muka ini. Lantas aku sembamkan saja wajahku di dada bidang Daim.

“Jangan main-main dekat kawasan dapur ni… ada projek besar dekat dalam tu.” Suara ibu mentuaku begitu jelas menampar cuping telinga. Dan aku tahu, Daim pun pasti dengar juga. Tapi, dia masih begitu. Dengan senyuman nakal di bibir sambil mengenyitkan mata padaku. Sabar sajalah duhai hati.

*****

SEJAK kejadian di dapur dua minggu sudah, jantung aku sudah pandai untuk mendendangkan irama yang meresahkan jiwa. Daim pula, makin nakal saja gayanya. Bila dia tengok aku sudah kurang mengamuk seperti di awal perkahwinan, tindakan juga sudah makin maju setapak ke hadapan. Aku pula yang kena tambah dua langkah ke belakang.

“Sayang… duduklah sini.” Petang itu, Daim pulang saja dari kerja terus dia menarik tangan aku supaya melabuhkan punggung di sebelahnya. Dalam pada hatiku sudah tidak keruan, aku turutkan juga.

“Kenapa?” soalku apabila dia asyik tersenyum tanpa henti.

“I love you.” Kening aku terangkat.

“I love you so much.” Ulangnya lagi. Hatiku berdebar-debar. Dalam masa yang sama, aku terfikir… untuk ini ke dia menarik tangan aku. Untuk perdengarkan ucapan cinta dan kasih buat diriku?

“I love you so much sayang.” Kali ini ucapan itu disertai dengan kucupan hangat di dahiku. Aku menjadi terharu. Kenapa setiap tingkahnya pasti saja mengusik hatiku? Kalaulah dia tahu…

“Sebenarnya… hari ni, hari lahir abang.” Ujarnya. Terkelu lidah aku. Benarkah? Dan aku sebagai seorang isteri, langsung tidak mengingati tarikh lahirnya.

“Abang pun tak ingat… tapi bila tunang Danial call, nak belanja abang dengan Danial makan-makan, baru abang pun teringat.” Aku sudah tersenyum kelat. Malu pula rasanya. Tunang Danial pula yang mengingatkan suami aku. Hatiku mengeluh. Hampa dengan sikapku yang terlalu sambil lewa dengan Daim. Walaupun sejak akhir-akhir ini, aku seakan menyenangi kehadiran dirinya di sisiku.

Kalaulah Daim tahu… sudah ada satu ‘rasa’ yang sedang bercambah buat dirinya dalam hatiku. Ingin aku khabarkan padanya berita itu. Kerana aku hanya ingin dia tahu… apa rasa hatiku.

“Tak ada nak cakap apa-apa ke? Maybe a wish?” soalan dengan riak wajah seolah meminta gula-gula. Aku tersenyum saja melihat aksinya. Melihatkan renungan matanya yang begitu mengharapkan ucapan ikhlas dariku, aku jadi tidak sampai hati.

“Happy birthday… Daim Syahmi. May Allah bless you.”

“Tu saja ke? Hadiah tak ada?” terus aku menjeling. Dia hendak apa lagi? Ini yang orang cakap, bagi betis nak peha.

“Tak ada!” Aku membalas juga dengan suara tanpa nada.

“Tak apalah…” suaranya seolah berjauh hati. Terus saja dia bangun berdiri.

Dan entah bagaimana, refleks impuls yang sampai di otak, tanganku laju memegang lengannya. Aku pula yang tersentak.

“Sayang tak nak bagi tak apa… tapi abang ada hadiah yang nak dibagi.” Spontan dia mengucup bibirku. Lagi-lagi aku yang malu bila mataku bertemu lirikan matanya yang begitu mengasyikkan kalbu.

“Cintamu dan cintaku adalah satu, sayangku…” ucapnya dengan gaya yang romantis sekali. Tetapi minda aku sudah disapa dengan sesuatu. Kenapa ucapan itu seakan dekat dengan diriku? Ada yang pernah mengungkapkan kata-kata itu padaku?

*****

AKU mundar-mandir di laman rumah. Menunggu kepulangan Daim ‘tercinta’. Eeiii… geram pula aku dengan dia ini. Sudahlah mengharu-birukan perasaan aku. Lepas itu, boleh pula dia tidak mahu mengaku.

Cintamu dan cintaku adalah satu… hantu mana lagi yang hantar, kalau bukan si Daim! Aku hanya ingin kau tahu konon! Berangin saja aku dari pagi tadi sejak aku terproses telefon bimbit dia.

Memang perbuatan aku itu pun langsung tidak beretika. Iyalah, menceroboh hak peribadi orang lain. Sungguh tidak beradab. Tapi, siapa suruh dia tertinggal telefon sebelum pergi ke pejabat. Sudah tu, telefonnya tidak berhenti-henti menjerit minta diangkat. Lepas menjawab panggilan itu, tergerak pula hati aku untuk buat kerja jahat dengan telefon bimbit lelaki itu.

Tidak sama sekali aku menyangka. SMS yang ku sangka mamat indon yang hantar, kerja si Daim Syahmi ini rupanya. Sudahlah dia mengacau anak dara orang, lepas itu dengan cerdiknya… Daim save pula mesej yang dia kirimkan pada aku. Mungkin hendak jimatkan masa untuk menaip semula mesej yang sama. Bagus betul. Suami siapalah kan!

Nampak saja kelibat kereta Daim yang sudah terparkir di luar rumah, aku terus melangkah dan terpacak dekat depan pintu pagar. Daim sudah menarik senyuman mahalnya buat diriku. Ah, sudah! Aku seakan sudah terlupa… senyuman mahalnya itu mampu menggoyahkan hati perempuan aku. Segala ayat yang tersusun di dalam kepala sejak tadi sudah terbang dibawa angin saat bibirnya selamba saja melekat di pipi aku. Argh!!!

Daim Syahmi!!! Jeritku dalam hati.

*****

“DARI tadi asyik tenung abang macam nak makan saja… kenapa?” soal Daim bila aku asyik sangat tengok muka dia sampai tidak sedar yang dia sudah pun berada di depan mataku.

“Aku hanya ingin kau tahu… cintaku dan cintamu satu.” Tanpa sedar, aku mengucapkan bait-bait kata itu. Riak wajahnya terus berubah bila aku membacakan ayat penuh yang seringkali dikirimkan pada aku sebelum kami sah bergelar suami isteri.

“Naimah kena tipu juga kan?” tiba-tiba aku bagaikan satu keberanian yang tidak dijangka untuk menyoal hal itu padanya.

“Kenapa Naimah asyik kena tipu saja? Kenapa abang langsung tak pernah cakap tentang hal tu dengan Naimah? Kenapa bang?” tangan aku sudah mencengkam baju Daim. Erat sekali cengkaman aku.

Perlahan, Daim mengelus wajah aku hanya dengan pandangannya yang sarat dengan rasa cinta. Aku tidak mampu menafikan lagi perkara itu. Daim memang cintakan aku…

“Sebab sayang tak pernah nampak abang melainkan Danial.” Aku terkedu dengan jawapannya. Salah! Jawapan itu salah sama sekali!

“Naimah tak pernah tahu pasal Daim kalau mak tak ceritakan pasal lamaran tu. Naimah tak pernah kenal langsung…” aku membela diri.

“Macam mana Naimah boleh kenal Dainal?” aku terdiam mendengar soalannya.

“Sebab Naimah sukakan Danial… sampaikan Naimah tak sedar, abang yang Naimah pandang sejak dari mula lagi.” Sambung Daim lagi.

Maksudnya? Aku menjadi keliru. Apa yang cuba Daim sampai pada aku ini? Tak boleh ke dia jelaskan dengan ayat yang mudah?

“Masa kenduri abang Naimah, Danial tak ada dekat sini… abang yang mula-mula tengok Naimah. Ingat tak masa abang minta bakul bentuk hati dekat Naimah masa tu…” mataku memandangnya tanpa berkelip. Dia ke? Daim Syahmi?

“Masa tu… sayang dah bagi hati sayang sekali dekat abang, abang tahu tu…” Daim mengucup tanganku tanpa isyarat.

“Tapi abang sedih… bila abang datang rumah kak Salwa, sayang panggil abang Danial.” Aku diam saja mendengar bicaranya. Bila masa pula aku panggil dia Danial? Setahu aku kami tidak pernah berbicara walaupun sepatah.

“Takkan tak ingat?” soalnya. Aku menggeleng. Betul aku tidak ingat. “Jemput minum abang Danial.” Ucapnya.

Aku mengerutkan dahi. Sedaya upaya cuba mengingati, bila aku cakap macam itu? Dan… Ya Allah! Aku baru teringat. Masa itu kak Salwa dan abang keluar. Aku tidak jemput Daim masuk ke dalam rumah pun. Aku sekadar menghulurkan segelas air padanya. Dan waktu itu dalam kepala aku sudah terpahat namanya sebagai Danial. Tapi itu bukan salah aku. Kak Salwa yang silap bagi informasi. Kakak sepupu dia yang cakap, dalam gambar kenduri itu Danial. Jadi… kesemua salah faham ini adalah kerana silap informasi dari kak Salwa. Daim patut dengar ini.

“Abang…” tiba-tiba aku jadi malu untuk bersuara. Tapi aku gagahkan juga. Kalau aku tidak bercerita, suami aku tidak akan tahu. Sedangkan… aku hanya ingin dia tahu akan rasa hatiku padanya di kala ini.

“Betul?” soalnya seolah tidak percaya dengan ceritaku.

“Betullah!” aku menekan laju.

“Tak tipu?”

“Tak!!!” tekanku lagi.

“Sayang tak cakap pun…”

“Cakap apa?” aku pelik sungguh dengan Daim ini. Rasanya, hampir kesemua cerita aku sudah cakap. Apa lagi yang tertinggal.

“Cakap yang itulah,” ucapnya lagi seakan hendak bermain tarik tali dengan aku. Senyuman nakal awal-awal lagi sudah menghiasi bibir Daim. Lama aku mengamati wajahnya. Seakan sudah faham, apa yang diisyaratkan oleh matanya. Aku tersenyum sendiri.

Buat pertama kali, aku sendiri mendekatkan diriku dengannya. Tangan aku sudah memaut pinggang Daim dan kepalaku disandarkan pada bahunya.

“Aku hanya ingin kau tahu… aku juga mencintaimu seperti mana kau mencintaiku.” Bisiknya di telingaku. Aku tersenyum lagi sambil mengeratkan pelukan antara kami.

Aku sentiasa ingin dia tahu, tiada yang lain di hatiku melainkan Daim Syahmi seorang. Sahut hatiku yang sudah mula bermusim bunga cinta. Harapnya ia akan kekal begitu selamanya. Hingga ke akhir hayat hendaknya.

-Sekian- :)


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

86 ulasan untuk “Cerpen : Hanya Ingin Kau Tahu”
  1. MEA says:

    sweeeetttttt nyeee !! good job writer !

  2. budaxcumel98 says:

    bez….romantik gitu..

  3. capriegirlz says:

    Alahai romantiknya Daim Syahmi…memang best citer ni.

  4. Nur Faiza says:

    bestttt sangat!

  5. aque says:

    best sgt2…

  6. khairiah khaizu says:

    best2

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.