Cerpen : Hanya Kerana Ais

25 March 2012  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

AKU hendak buat macam mana ni? Mak sudah mendesak. Siap ugut-ugut lagi. Kata mak, kalau aku tidak mahu kenalkan teman lelaki aku itu kepada mak dalam tempoh minggu ini juga, mak hendak merajuk lama-lama. Bila aku tanya hendak merajuk berapa lama, mak kata setahun. Apa? Oh tidak! Mak…. tolonglah jangan merajuk lama-lama macam tu. Sudahlah dalam rumah ni hanya ada aku dan mak. Nanti tidak pasal-pasal sahaja rumah ini jadi rumah bisu. Yalah, orang merajuk tentulah tidak mahu bercakap. Sebaliknya hanya main jeling-jeling saja.

Mak, kalau betullah mak hendak merajuk, cukuplah sehari sahaja. Huhuu…. masakan mak hendak merajuk sampai setahun? Takkanlah! Tak mungkin.

Aku yakin mak tidak akan tergamak memperlakukan anaknya yang baik sampai pijak semut pun tak mati ini begitu. Kan, mak? Nanti-nantilah anak mak ni kenalkan dia pada mak, ya?

Cik Fiona, macam mana kalau mak betul-betul bersungguh dengan apa yang dia kata? Awak sanggup ke tidak bercakap dengan mak selama setahun? Ah, suara siapa pula yang berani menegur aku ini? Eh, suara hati aku sendiri rupanya. Khayalan dan realiti pun aku sudah tidak dapat beza. Lama-lama biul aku jadinya.

Aku mengerling ke arah jam dinding. Alamak, sudah pukul 12.00 tengah malam. Lebih baik aku tidur sekarang. Kalau tidak, ada juga orang yang akan bangun lambat dan punch card warna merah pada esok hari.

***

TOK! TOK! TOK!

“Fiona! Kau tak kerja ke? Apa pasal tak bangun-bangun lagi ni?”

Hah! Suara mak dan bunyi ketukan yang macam nak merobohkan pintu? Spontan mataku terbuka. Terjaga terus daripada tidurku yang sangat lena.

“Dah pukul 6.30 pagi!” jerit mak lagi dari luar bilik.

“Ya! Ya! Fiona dah bangun ni!” sahutku pantas.

Alaa… baru pukul 6.30 pagi. Aku masuk kerja pukul 8.00 pagi. Ada masa lagi selama satu jam tiga puluh minit. Relakslah! Duduk-duduk goyang kaki dulu ke… berangan dulu ke…

Wahai Cik Fiona, awak tu dahlah memandu kereta macam kura-kura. Mahu satu jam masa diambil untuk sampai ke tempat kerja. Sekarang ini pakaian kerja pun awak tak gosok lagi. Awak ingat awak boleh bersiap dalam masa lima minit ke? Dah… dah… pergi bersiap cepat!

Aiseh… kacau betullah suara hati aku ini. Yalah… yalah…

Seperti lipas kudung aku melaksanakan apa yang patut dan bersiap ala kadar untuk ke tempat kerja.

***

VROOOMM!! Dengarlah betapa powernya bunyi enjin kereta aku ini. Bunyi power yang keluar dari keretaku itu bukanlah menandakan aku memecutnya selaju mungkin. Sebaliknya aku masih memandu seperti kura-kura.

Usia dan keadaan kereta yang sudah lanjut serta uzur itulah menjadi penyebab kepada bunyinya yang power. Ditambah dengan bunyi Krek sana… krek sini… Hmm, macam-macam bunyi ada.

Tak boleh pandu laju-laju. Nanti kalau ada tayar yang tertinggal di belakang, siapa mahu jawab? Aku lihat banyak kenderaan lain yang memotong kereta kancil a.k.a kereta comelku. Nasib la….

Dari jauh aku dapat melihat kenderaan special yang jarang berada di atas jalan raya. Masakan tidak special, itulah satu-satunya kenderaan bergelar kapal yang biasanya terbang di udara tetapi berada di darat. Setiap kali aku memandu di belakangnya, jiwa dan batinku akan tersiksa kerana ia bergerak lebih lambat daripada keretaku. Itulah dia…. kapal korek!

Alamak! Aku dah lewat ni!

***

TERKOCOH-KOCOH aku berjalan ke tempat kad perakam waktu. Gara-gara kapal korek itu, aku lewat sampai pagi ini. Tak tahulah sempat lagi ke tidak aku hendak mendapatkan warna hitam pada kad perakam waktu aku.

“Hai, jalan tu slow la sikit. Masa banyak lagi ni,” tegur Suzyana, penyambut tetamu yang cantik manis orangnya. Senyumannya boleh buat orang yang sedang panas hati menjadi sejuk. Memang sesuai sangatlah dia menjadi penyambut tetamu di tempat ini.

Langkahku yang pantas sebentar tadi kini terhenti di kaunter penyambut tetamu.

“Hai… yana, perli saya ke?” balasku.

Sudah terang-terang aku lewat. Boleh pula dia kata aku masih banyak masa lagi? Tetapi aku tahu bahawa Suzyana memang suka bergurau.

“Hahaha… perli sikit aje. Takkan marah?” suara Suzyana kemudian.

“Disebabkan awak cuma perli sikit saja, saya pun cuma marah sikit saja. Kenapa tak tolong saya punch card tadi?” sengaja aku berbasa-basi.

Kening Suzyana terangkat spontan mendengar kata-kataku.

“Hisyy… tak naklah. Saya ni masih pekerja berhemah, tau. Nanti tak pasal-pasal aje saya kena tangkap dengan unit disiplin sebab mengetik punch card orang lain,” bantah Suzyana.

Hahaha… aku sudah tergelak di dalam hati. Mesti Suzyana ingat aku ini serius dan dia takut lain kali aku akan menelefon dan menyuruhnya mengetik kad perakam waktu aku sekiranya terlewat. Aku tak akan buat macam itu la. Aku pun masih lagi merupakan pekerja berhemah macam dia, tau. Huii…. perasan jugak aku ni.

“Assalamualaikum, Fiona. Lewat sampai hari ni?” tegur satu suara garau dari belakangku.

Sepantas kilat aku menoleh. Alamak! Dia ni…. lemah betullah bila aku nampak dia… time-time inilah dia nak datang ke sini. Tahulah hari ini aku lewat, semua orang pun nak tegur aku sebab ini ke?

“Waalaikumussalam. Err…. jalan sesak!” jawabku jujur.

Dia mengangguk sedikit sahaja. Macam tak percaya sahaja gayanya. Betul apa, jalan sesak sebab kapal korek yang bergerak terlalu perlahan. Bukan aku sengaja cipta alasan.

“Tak lama lagi ekperimen di makmal dah nak mula, kan? Awak dah siap sediakan bahan dan radas ke?” Dia mengalih topik perbualan.

“Sudah. Semalam petang lagi saya dah siapkan,” jawabku pantas.

Di dalam hati aku tertanya-tanya. Seingat aku bukan dia yang akan mengajar di makmal aku. Sibuk-sibuk pula dia bertanya.

Ceh… sejak bila awak ada makmal sendiri, wahai Cik Fiona? Ada hati nak sebut ‘makmal aku’. Aku terdengar suara hati sendiri. Hisy.. hati aku ini, ada sahaja yang hendak ditegurlah. Yalah, tahu… aku memang tak ada makmal sendiri. Makmal aku itu milik Kolej Nadi Sains Malaysia yang punya. Aku ini hanyalah bertugas sebagai Pembantu Makmal sahaja. Itupun aku hanya menjaga dan membantu perjalanan satu makmal sahaja iaitu Makmal Sains 8, kerana setiap makmal sudah ada Pembantu Makmalnya sendiri.

“Awak dah sarapan? Nanti… kita sarapan sama-sama, boleh?” soalan dia mengejutkan aku. Langsung mematikan khayalan.

Errkkk…….! Aku mula menggaru-garu kepala. Ini yang lemah ni… aku tak mahu. Jarang pensyarah mahu mengajak staf biasa macam aku ni keluar sarapan atau makan tengahari bersama. Tapi dia ini lain sedikit. Sudahlah dia lelaki, kalau timbul gosip nanti macam mana?

Lagipun aku bukannya pensyarah macam dia. Dia ingat aku boleh suka-suka hati keluar makan ke? Nak-nak lagi bila eksperimen sedang dijalankan di makmal. Nanti kalau ada pensyarah cari aku di dalam bilik persediaan makmal dan aku tiada di sana macam mana? Kang heboh satu bangunan makmal mengatakan pembantu makmal tak buat kerja… pembantu makmal makan gaji buta… Habis tu kalaulah kebetulan pembantu makmal pergi ke tandas masa pensyarah datang, tentulah pembantu makmal tiada di dalam bilik. Lagipun ini kolej swasta. Siapalah yang berani nak buat hal. Nanti senang-senang sahaja kena buang kerja. Namun tetap juga isu pekerja meng‘ular’ boleh timbul di sini. Hailaaa… sabar aje la.

“Fiona, awak dah punch card ke?” Teguran Suzyana itu seolah-olah menjadi penyelamat buat aku yang sudah mula menjadi seperti ikan diletakkan di darat. Tak cukup nafas.

“Belum! Saya minta diri dulu Yana, Encik…”

Ya ampunn…. macam mana aku boleh lupa nama pensyarah seorang ni. Wahai otak, tolonglah ingat nama dia cepat. Jangan memalukan diri sendiri. Kalut punya pasal sampai terlupa nama orang.

“Encik Zack, ada tetamu hendak jumpa. Dia sedang menanti di sofa itu,” sampuk Suzyana secara tiba-tiba sambil menunjuk ke arah set sofa di hadapan kaunter.

Suzyana sempat tersenyum kepadaku. Aku mula faham. Suzyana mahu menyelamatkan aku daripada soalan-soalan Encik Zack.

Haa… nama dia Encik Zack. Terbaiklah, Yana! Detik hatiku.

“Oh ya, terima kasih, Yana. Saya keluar ni pun memang nak jumpa dengan dia,” ujar Encik Zack.

Aku lihat Encik Zack mula melihat fail yang ada di tangannya. Mungkin dia mahu membincangkan sesuatu yang penting bersama tetamu tersebut.

Eh, peluang sudah terbuka. Aku segera melarikan diri sebelum Encik Zack mengalihkan perhatian kepadaku semula kerana soalannya tadi masih tergantung. Ah, malas nak jawab!

Fuh! Selamat! Pukul 8.00 pagi… tepat. Tidak lebih dan tidak kurang. Aku tersenyum lega di hadapan kad perakam waktu.

***

AKU cepat-cepat bergerak ke meja kerja yang berada di bilik persediaan. Disebabkan aku sudah terlewat, aku tidak sempat untuk memeriksa larutan dan radas eksperimen yang sudah aku sediakan di meja belakang makmal pada hari sebelumnya. Nampaknya eksperimen sudah dijalankan.

Setelah memantau dan membantu apa yang patut di dalam Makmal Sains 8, aku kembali ke bilik persediaan. Aku menoleh ke arah makmal sebelah iaitu Makmal Sains 9. Nampaknya semua berjalan lancar. Makmal sebelah itu bukan aku yang menjaganya. Jadi tidak perlu aku menyibukkan diri untuk masuk ke sana.

Aku mula mencapai Fail Tugasan Harian yang elok terletak di dalam rak. Di dalam fail itulah tercoretnya semua tugasan akan akan dilakukan pada setiap hari.

Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan pintu mengejutkan aku yang baru sahaja hendak menulis di dalam Fail Tugasan Harian. Aku menoleh. Oh, Kak Maya rupanya. Aku memberi isyarat menyuruhnya masuk.

“Assalamualaikum, Fiona. Akak nak minta tolong sikit ni. Boleh tak?” soal Kak Maya tanpa sempat aku menjawab salamnya.

“Waalaikumussalam. Akak ni nampak macam kelam-kabut je. Nak minta tolong apa?” Aku menyoal kembali.

Kelihatan Kak Maya menarik nafasnya dalam-dalam. Haisy, Kak Maya ni…. reaksinya itu membuat aku tertanya-tanya sahaja.

“Anak Kak Maya jatuh kat taman permainan rumah pengasuh. Akak terpaksa keluar nak tengok anak akak ni. Fiona boleh tak tolong tengok-tengokkan makmal akak tu? Akak dah sediakan semua bahan dan radas yang diperlukan.” pinta Kak Maya bersungguh-sungguh.

Aku terkejut mendengar kata-kata Kak Maya itu. Astaghfirullah al-azim…. macam manalah anak Kak Maya boleh jatuh ni?

“Boleh…. boleh… Kak Maya jangan risau,” balasku pantas.

“Terima kasih banyak-banyak ya. Minta maaf la sebab terpaksa susahkan Fiona pulak,” ujar Kak Maya kemudian.

“Tak apa, kak. It’s okay!”

Selepas mencatat sesuatu di dalam Fail Tugasan Harian, aku mengemas radas yang terdapat di dalam bilikku. Sudah bersepah seperti tongkang pecah. Beginilah keadaannya apabila ekperimen dijalankan.

Fuh… penat juga menjaga dua makmal. Terkejar-kejar. Kolej Nadi Sains Malaysia ini merupakan kolej swasta yang popular dan sering menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran. Jadi semua pihak sama ada pelajar, pensyarah, dan staf harus saling bekerjasama bagi meneruskan kecemerlangan serta menaikkan reputasi kolej.

Tok! Tok! Tok!

Siapa pula la yang ketuk pintu tu. Aku segera menoleh. Alamak, pensyarah Makmal Sains 9! Apa yang dia hendak? Tanpa membuang masa aku membuka pintu.

“Mana ais? Kenapa tak letak?” Tanpa salam, pensyarah itu terus menyoal aku.

Aku terkejut. Nampaknya pensyarah wanita sudah marah.

“Maaf, Puan Ros Fazila. Nanti saya ambil dan hantar ke Makmal Sains 9,” jawab aku pantas.

Selepas mendengar kata-kataku, Puan Ros Fazila terus sahaja berlalu. Datang tidak bersalam, pergi pun tidak bersalam. Sungguhlah pensyarah yang seorang itu memang tengah marah. Jangan dia buat aduan pula nanti sudahlah. Mampus aku nanti.

Aku terus bergerak ke peti ais dan mengambil seketul ais besar. Oleh kerana mahu cepat, aku terus membawanya ke Makmal Sains 9. Tadi, Kak Maya kata dia sudah menyediakan semua bahan dan radas yang diperlukan untuk eksperimen. Macam mana pula ais yang memang tersenarai dalam bahan eksperimen boleh tidak ada?

Sewaktu aku sampai di Makmal Sains 9, Puan Ros Fazila sedang sibuk mengajar di hadapan. Tanpa membuang masa aku meletakkan bekas ais besar itu di meja belakang. Aku mencari lesung batu yang memang digunakan dalam eksperimen. Manalah tahu masih ada baki lesung batu yang tidak digunakan. Bolehlah aku gunakan untuk memecahkan ais besar ini. Namun tiada pula.

Kebetulan terdapat seorang pelajar di meja belakang itu.

“Adik, lesung batu belum habis guna lagi ya?” tanyaku.

“Belum, kak. Akak nak pecahkan ais tu ya?” teka pelajar tersebut.

“Ha’a. Nanti kalau adik nak guna ais untuk turunkan suhu dalam eksperimen, boleh tak pecahkan ais ni guna lesung batu tu?” usulku. Entah mengapa otakku tidak dapat memikirkan jalan penyelesaian yang lain.

“Boleh, kak. Nanti kami akan pecahkan sendiri,” jawab pelajar itu lagi.

Aku berasa sedikit lega. Nak cepat sangat hantar ais ni sampai aku lupa nak pecahkan dulu tadi. Belum sempat aku mahu meninggalkan Makmal Sains 9, terdengar suara Puan Ros Fazila menegurku.

“Macam mana pelajar nak guna ais ni kalau awak bagi seketul besar macam ni. Pecahkan ais ni kecil-kecil. Tolonglah, ini kerja awak sebagai pembantu makmal. Takkan awak nak suruh pelajar pecahkan sendiri. Ini bukan kerja dia orang! So please!” marah Puan Ros Fazila.

Astaghfirullah al-azim… aku mengucap di dalam hati seraya menarik nafas panjang-panjang. Cuba menenangkan perasaan.

Malunya akuuu!!! Sampai hati Puan Ros Fazila meninggikan suara dan memarahi aku dihadapan semua pelajarnya yang sudah mula memberi perhatian kepadaku. Ayat yang aku dengar pula memang cukup memedihkan telinga. Sudah tentu Puan Ros Fazila mendengar perbualan aku bersama pelajar tadi. Entah masa bila dia berjalan ke belakang pun aku tidak perasan.

Pada saat ini aku tidak tahu di mana harus aku letakkan muka. Aku terpaku. Terasa maruahku sebagai seorang insan sudah jatuh menyembah bumi. Jika boleh aku mahu meninggalkan Makmal Sains 9 itu secepat yang mungkin. Aku malu. Puan Ros Fazila telah menjadikan aku kelihatan sangat bodoh dalam melakukan kerja.

Manakala pelajar tadi kelihatan serba salah. Mungkin dia juga berasa malu dengan tindakan pensyarahnya kerana sebentar tadi dia sudah pun bersetuju akan memecahkan sendiri ais itu.

“Err… maaf, puan. Saya akan pecahkannya.” Cepat-cepat aku berkata begitu walaupun pedih di hatiku ini sudah tidak tertanggung lagi rasanya.

Bukan aku sengaja mahu lari daripada tugas seperti maksud tersirat yang Puan Ros Fazila katakan. Tetapi…. entahlah. Aku juga tidak sangka akan jadi seperti ini. Langsung tidak terniat untuk lari atau malas melaksanakan tugas.

Masakan hanya kerana ais seketul itu, Puan Ros Fazila mahu melenting sebegitu rupa? Tiada budi bahasa langsung.

“Adik, pinjam lesung batu sekejap,” pintaku dengan wajah yang masih tebal dengan perasaan malu.

Sewaktu aku memecahkan ais itu, Puan Ros Fazila sudah kembali ke hadapan kelas.

Keras pula ais ni, bisik hatiku. Masakan tidak, ais yang baru keluar dari peti ais memanglah keras. Berkerut-kerut muka aku dibuatnya kerana terpaksa mengumpul kekuatan di bahagian tangan dan mengelak serpihan ais daripada terkena wajahku.

Dengan reaksi wajah yang aku pamerkan itu, sudah tentu Puan Ros Fazila menyangka bahawa aku sedang memprotesnya. Ah, lantaklah! Ais ini yang keras. Mana ada orang pecahkan ais dengan tersenyum. Lainlah kalau ais itu lembut dan mudah dipecahkan.

Setelah selesai, aku terus meninggalkan Makmal Sains 9 dan kembali ke Makmal Sains 8. Risau juga jika Makmal Sains 8 memerlukan apa-apa, tetapi aku tiada di sana. Nanti kalau timbul salah faham lagi antara pensyarah dan pembantu makmal, kan susah.

Sudahlah yang bertanggungjawab ke atas Makmal Sains 9 itu sebenarnya bukan aku. Aku hanya membantu Kak Maya. Takkanlah Puan Ros Fazila tidak perasan yang aku ini bukannya Kak Maya? Tak perlulah nak menengking dan marah aku macam aku yang bertanggungjawab sepenuhnya. Benci! Geram!

***

AKU duduk berteleku di atas lantai bersandarkan almari radas di bilik persediaan. Entah bagaimana air jernih mula mengalir dari kedua-dua bola mataku. Aku sedih…. sedih sangat! Belum pernah aku dimalukan sebegini oleh sesiapa.

Aku boleh terima jika Puan Ros Fazila memarahi dan menegurku secara personal, bukannya di hadapan ramai orang. Tambah-tambah di hadapan pelajar-pelajar kolej yang semuanya masih muda remaja. Mungkinkah dia lupa bahawa aku juga seorang insan yang punya hati dan perasaan?

Tok! Tok! Tok!

Sejurus kedengaran pintu diketuk, pintu bilik persediaan terus dibuka dari luar tanpa sempat aku mengesat air mata dan mahu bangun membuka pintu.

Encik Zack? Macam mana dia boleh ada di sini? Aku terkedu.

“Assalamualaikum. Fiona, apa sudah jadi ni?” Pantas Encik Zack bertanya setelah melihat keadaan aku yang sudah berubah seratus peratus. Dia berlutut di hadapanku.

Keceriaan aku pada pagi tadi sudah hilang direnggut Puan Ros Fazila. Aku cepat-cepat mengesat air mata dan mendongak memandang Encik Zack.

“Tak ada apa-apa, Encik Zack,” dalihku.

“Awak jangan cuba tipu saya. Mata saya belum buta lagi. Saya nampak awak menangis. Kenapa?” Sekali lagi Encik Zack bertanya.

Encik Zack…. tolonglah jangan bertanya apa-apa lagi. Tolonglah jangan tunjukkan yang Encik Zack mengambil berat tentang keadaan aku. Perasaan terharu mudah sahaja bertandang ke dalam hatiku. Aku ini nampak sahaja kuat dari luar. Tetapi hati aku sebenarnya rapuh. Rapuh sangat. Dan… tanpa disangka air mataku jatuh lagi di hadapan Encik Zack. Pada saat itu aku sudah tidak mampu menafikan apa yang Encik Zack katakan tadi.

“Anak Kak Maya kemalangan kat rumah pengasuh. Kak Maya kata keadaan anakya teruk. Saya memang rapat dengan anak Kak Maya. Jadi… saya sedih sangat!” Aku mencipta alasan lain.

Hanya alasan itu yang dapat otakku fikirkan. Semoga Encik Zack percaya dan tidak akan bertanya lagi.

“Lepas habis eksperimen ni kita pergi tengok anak Kak Maya,” kata Encik Zack.

Sekali lagi aku terkejut. Tidak sangka alasan yang aku berikan tadi semakin menjerat diri. Tidak mungkin aku akan keluar berdua bersama Encik Zack. Kalau si jantung hati aku nampak nanti, kan susah.

“Tak apa…. tak apa, Encik Zack. Nanti saya boleh pergi sendiri. Sekarang saya cuma mahu bersendirian,” ujarku, cuba mengelak ajakan Encik Zack.

“Betul ni?” Encik Zack masih lagi mahu bertanya. Masih lagi tidak puas hati.

“Betul! Err… macam mana Encik Zack boleh ada di sini? Bukankah Puan Karina yang sedang mengajar di Makmal Sains 8 ni?” Aku cuba mengubah topik perbualan. Lagipun memang dari tadi persoalan itu sudah terbit di dalam fikiran aku.

“Oh, Puan Karina ada hal. Dia call dan minta saya gantikan tadi,” jelas Encik Zack.

“Ooo….” Panjang bunyi O dari mulutku. Sudah tentu mulutku juga kini sedang membentuk huruf O.

Aku lihat Encik Zack tergelak. Apa yang lucu?

“Hmm… tadi saya ajak awak sarapan awak tak mahu. Ni, saya bawakan nasi lemak untuk awak,” kata Encik Zack sambil menghulurkan bungkusan plastik di tangannya kepadaku.

Bagaimana aku boleh tidak perasan akan kehadiran bungkusan plastik itu? Perlahan-lahan aku menyambutnya.

“Terima kasih,” ucapku perlahan.

“Sama-sama. Jangan lupa makan. Jangan biar perut tu kosong. Nanti sakit perut pulak,” nasihat Encik Zack.

Alahai…. kenapalah Encik Zack ini terlalu baik? Segan pula aku jadinya.

***

MALAM ini aku mahu berehat sepuas-puasnya. Mahu melepaskan tekanan yang aku hadapi semasa di tempat kerja siang tadi. Baru sahaja aku mahu melelapkan mata, telefon bimbitku berbunyi. Tertera nama Kak Maya di skrin.

“Hello… Assalamualaikum, Kak Maya,” suaraku.

“Hello… Waalaikumussalam. Fiona, akak nak minta maaf. Akak baru teringat ni yang siang tadi akak terlupa nak letak ais kat makmal akak. Puan Ros Fazila tu mengamuk ke?” luah Kak Maya.

Aku mendengus tatkala mengingati kembali kejadian di Makmal Sains 9.

“Mahunya dia tak mengamuk, kak. Mengamuk sakan. Kalah singa betina,” kataku dengan perasaan geram.

“Alaa…. sorry sangat ya, Fiona. Lepas akak dapat panggilan dari rumah pengasuh tadi, terus akak lupa,” kata Kak Maya lagi.

“Tak apalah, Kak Maya. Benda dah lepas pun. Macam mana dengan keadaan anak Kak Maya?” soalku kemudian. Malas mahu membicarakan soal makmal lagi.

“Alhamdulillah, keadaan dia dah okey. Dia tergelincir masa tengah bermain. Mujurlah tak teruk sangat,” terang Kak Maya.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu,” balasku.

“Okeylah Fiona, akak nak letak telefon dulu. Terima kasih sekali lagi ya sebab tolong akak tadi.”

“It’s okey. Sama-sama, akak. Assalamualaikum,” kataku.

“Waalaikumussalam,” jawab Kak Maya. Talian dimatikan.

Beberapa minit kemudian telefon bimbit aku berbunyi kembali. Aku kerling nama si pemanggil. Oh… kali ini nama Si Jantung Hati yang sedang terpapar di skrin. Pantas aku menekan punat hijau menandakan aku menerima panggilan tersebut.

“Hello… Assalamualaikum, Fahrin.” Aku memberi salam.

“Waalaikumussalam, sayang. Kenapa suara macam tak bermaya aje ni,” tegur Fahrin di hujung talian.

Siapakah Fahrin? Tentu ada yang menyangka dia adalah teman lelaki aku, bukan? Ya… betullah tu. Fahrin memang teman lelaki aku. Jangan risau, aku bukannya seorang yang suka berdolak-dalih. Bukan juga seorang yang suka bersembunyi di sebalik realiti. Dan Fahrin inilah yang ingin sangat mak aku kenali.

“Penat sikit kerja hari ni. Ada eksperimen,” jawabku ringkas. Malas aku mahu menceritakan apa yang terjadi.

“Kesian awak. Tak apa la… awak rehat la, ya. Hmm… tapi sebelum tu saya nak cakap sikit. Awak… saya dah bersedia nak jumpa mak awak. Bila awak nak saya jumpa dengan mak awak?” Soalan Fahrin itu mengingatkan aku kepada ugutan mak tempoh hari.

“Hujung minggu ni boleh tak?” pintaku.

“Aik, sebelum ni awak suka bertangguh-tangguh. Kali ni, tak pulak ya?” Kedengaran suara Fahrin yang jelas kehairanan.

“Err… nak jumpa ke tak nak jumpa?” soalku kembali.

Macam mengugut pun ya jugak gaya pertanyaan aku itu. Ah, biarlah! Yang penting dia tidak akan bertanya lagi tentang perubahan sikap aku ini. Masakan aku mahu beritahu dia yang mak mengugut untuk merajuk selama setahun jika aku masih tidak mahu memperkenalkan dia kepada mak.

“Nak… nak… hujung minggu ni saya bawa keluarga saya sekali pergi rumah awak. Boleh la mereka berkenal-kenalan,” putus Fahrin.

Aku tahu, Fahrin tentu takut jika aku akan menarik kembali kebenaran untuk dia bertemu dengan keluargaku. Sebab itulah cepat-cepat dia berkata seperti itu. Aku tersenyum sendiri. Fahrin… Fahrin.. kalutlah dia ni. Kalut-kalut pun aku sayang. Senyuman aku makin meleret.

***

HUJUNG minggu pun tiba…..

“Jemputlah masuk semuanya, ya!” Aku terdengar suara mak yang sungguh mesra menjemput tetamu merangkap keluarga Fahrin masuk ke rumah.

“Terima kasih. Boleh tahan rumah ni.” Terdengar suara wanita lain.

Aik… lain macam pula bunyi nada suara yang satu itu. Macam berlagak sahaja. Apa yang boleh tahan? Kalau rumah ini… memanglah boleh tahan sebab ada dinding semua. Takkan runtuh punya. Apa sebelum ini, dia ingat rumah mak aku ini buruk sangat ke? Isy… isy… isy…

“Mana dia… siapa nama dia, Fahrin? Fi… Fina?” Kedengaran suara itu lagi.

Kali ini aku yakin bahawa suara itu adalah milik mak Fahrin. Macam ada yang tak kena sahaja dengan mak Fahrin ini. Hmm…. macam pernah dengar pula suara mak Fahrin. Tapi…. lupa pernah dengar di mana.

“Fiona, mama.” Kali ini aku dengar Fahrin menjawab.

“Haa… Fiona. Sorrylah, Puan. Saya ni busy. Banyak kerja sampai lupa nama kawan Fahrin ni.” kedengaran suara mak Fahrin lagi.

Kawan Fahrin? Aku ini hanya kawan? Hatiku sudah terdetik suatu perasaan yang tidak enak.

“Ada…. Fiona ada kat dapur tu. Tengah buat air. Kejap lagi dia datanglah. Fiona! Tak siap lagi ke buat air tu? Mari cepat ke depan ni ha!” jerit mak kepadaku.

Aku cepat-cepat mengemaskan pakaian yang aku pakai supaya tidak kelihatan selekeh pada pandangan mata keluarga Fahrin nanti. Perlahan-lahan aku mengangkat dulang berisi air dan beberapa jenis kuih muih untuk santapan tetamu.

Setibanya aku di ruang tamu…..

Hah? Dia? Mampuslah aku! Patutlah macam pernah dengar sahaja suara itu tadi.

“Assalamualaikum.” Aku memberi salam selembut yang mungkin walaupun pada waktu itu aku sudah tidak ada mood langsung untuk meneruskan sesi pertemuan keluarga ini.

“Awak… awak Fiona?” soal mak Fahrin pantas.

Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku menjeling mak Fahrin itu. Sudahlah dia tidak menjawab salam aku. Lepas itu buat-buat terkejut pula. Tetapi aku masih tahu adat dan adab. Aku tidak mahu memalukan mak dengan sikapku.

“Ya saya, Puan Ros Fazila,” jawabku setenang yang boleh.

Kecil betul dunia ni. Kenapalah Puan Ros Fazila yang terang-terang tidak suka dengan aku ini yang menjadi mak Fahrin? Huhuhu…. punah harapan!

“Dah, Fahrin, papa. Jom kita balik. Mama kenal perempuan ni. Dia Pembantu Makmal kat kolej mama. Takkanlah Fahrin nak kahwin dengan Pembantu Makmal? Mana setaraf dengan keluarga kita. Dahlah perangai tu tak semenggah. Buat kerja pun entah macam mana….”

“Mama! Kenapa cakap macam tu?” Fahrin menyampuk, menyebabkan kata-kata Puan Ros Fazila yang keluar bagai peluru itu terhenti serta-merta.

Memang sungguhlah Puan Ros Fazila ini tidak mempunyai hati dan perasaan. Air mataku terasa mahu mengalir pada saat itu juga. Namun aku harus cuba menahan perasaanku sekuat yang mungkin. Aku harus kuat demi mak yang sudah kelihatan merah padam wajahnya.

“Kalau puan sekeluarga nak balik sekarang. Silakan, terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah saya buruk ni.” Aku mencelah sebelum sempat Puan Ros Fazila menjawab soalan anaknya.

Kelihatan Puan Ros Fazila terus menarik tangan Fahrin dan terus keluar dari rumah. Terkial-kial Fahrin cuba melepaskan tangannya dari pegangan maknya. Namun tidak berjaya.

“Maafkan kami, Fiona, puan. Perangai mama Fahrin memang begitu. Jangan ambil hati, ya. Assalamualaikum,” ucap ayah Fahrin ketika melintasi aku dan mak.

Aku dan mak hanya membatu. Tidak memberi sebarang reaksi. Aku terus kaku bersama dulang yang masih belum sempat diletakkan di atas meja untuk dihidang kepada tetamu.

***

SEMINGGU kemudian….

“Assalamualaikum!” Terdengar suara lelaki memberi salam.

Pantas aku melangkah ke pintu. Dan sebaik pintu dibuka….

“Err… wa… waalaikumussalam,” tergagap-gagap aku menjawab salam.

“Siapa yang datang tu, Fiona?” tegur mak dari belakang seraya menjenguk ke pintu.

Aku terdiam.

“Err… si.. siapa ni? Macam muka orang putih aje,” soal mak kemudian tatkala terpandang wajah Encik Zack yang memang putih melepak. Namun dia merupakan lelaki Melayu tulen tahu.

Alamak! Apa aku hendak jawab ni? Kenapa dia datang ke sini? Kalau hal di kolej tu, biarlah di kolej sahaja. Buat apa mahu dibawa sampai ke rumah? Susah betullah. Tapi… rasanya tak ada hal yang berlaku antara aku dan dia di kolej itu. Hmmm… pelik ni!

“Nama saya Zackri, makcik.” Encik Zack memperkenalkan diri.

Mak mengangguk-angguk dan kemudian dia memandang aku. Mak seperti ingin aku memperkatakan sesuatu.

“Encik Zack, pensyarah kat kolej Fiona, mak,” jelas aku.

“Ooo…. jemput… jemput masuk!” pelawa mak. Ramah seperti biasa.

Aku dan mak kini sedang duduk berhadapan dengan Encik Zack sambil memerhatikan lelaki itu menghirup kopi panas yang aku sediakan.

“Err… ada apa Encik Zack datang ke sini?” soal aku tidak mahu berlengah lagi setelah melihat Encik Zack meletakkan cawan di atas meja.

“Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kalau kedatangan saya ni tak diundang. Tapi, saya datang ni dengan hajat yang besar,” jawab Encik Zack tenang.

Sudah… hajat besar apa pulak si Encik Zack ni? Detik hati aku.

“Hajat apa?” Kali ini mak pula yang menyoal.

“Saya mahu meminang Fiona, mak cik,” suara Encik Zack, masih lagi dengan nada yang tenang. Macam sudah berlatih di rumah sahaja gayanya.

“Hah?!” Serentak itu aku dan mak terjerit kerana terkejut. Mulut masing-masing sudah terlopong. Mahu tak terkejut, tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba datang meminang.

“Mana keluarga Encik Zack? Err… mak cik bukannya apa. Selalunya kan… kalau meminang tu, bukan ke… err… datang dengan keluarga?” tanya mak lagi.

Kedengaran mak cuba menyusun ayatnya seelok mungkin. Tidak mahu mengguris hati Encik Zack barangkali.

“Saya anak yatim piatu. Tapi mak cik dengan Fiona jangan risau. Ini kira meminang tak rasmilah. Nanti kalau mak cik dan Fiona setuju, saya akan bawa rombongan meminang secara rasmi,” jelas Encik Zack.

Sekali lagi mulut aku dan mak terlopong. Boleh masuk dua biji mikrofon. Satu ke mulut mak, dan satu lagi ke mulut aku.

Meminang pun ada secara rasmi dengan secara tak rasmi jugak ke? Fikir aku.

Encik Zack pula sekadar tersenyum.

Eh… eh.. lelaki ni, boleh pula dia tersenyum dalam keadaan yang macam ini.

“Nantilah, kami fikirkan dulu, ya,” ucap mak mewakili aku.

“Baiklah. Kalau begitu, saya minta diri dululah. Terima kasih. Assalamualaikum,” ucap Encik Zack kemudian.

“Waalaikumussalam..” jawab aku dan mak hampir serentak.

Kami hanya mengekori Encik Zack yang sedang melangkah keluar rumah dengan pandangan mata. Buat kali kedua kaki kami seperti dipaku di atas lantai. Tidak mampu bergerak. Sama seperti apa yang berlaku semasa kedatangan keluarga Fahrin pada minggu lepas. Namun kali ini dengan situasi yang berbeza walaupun di tempat sama.

***

DI dalam bilik aku….

Mak memandang ke arah aku yang sedang berbaring di atas katil. Semacam sahaja pandangan mak itu. Naik seram bulu tengkuk.

“Kenapa mak pandang Fiona macam tu? Fiona tak ada buat salah apa-apa, tahu!” tegur aku.

“Siapa kata Fiona buat salah?” soal mak kembali.

“Habis tu… pandang Fiona macam nak telan. Kenapa?” tanya aku lagi. Masih tak puas hati.

“Fiona dah fikirkan apa yang mak kata semalam?” Mak bertanya lagi.

Adeh… banyaknya soalan mak malam ini.

“Err…. dah!” jawabku ringkas.

“Setuju terima pinangan Encik Zack?” Mak meneruskan soalannya.

“Tak setuju!” jawabku pantas.

Kedengaran mak mengeluh.

“Mak tak setuju kalau Fiona tetap pilih si Fahrin tu? Walaupun budak tu baik dan mukanya handsome macam Fahrin Ahmad, mak tetap tak setuju sebab perangai maknya yang tak semenggah tu. Perangai mak dia yang tak semenggah, boleh pula kata perangai Fiona yang macam tu,” bebel mak.

Aku tersenyum. Sudah lama aku tidak mendengar mak membebel panjang. Sejak aku bertukar jadi budak baik, mak sudah jarang membebel. Bukanlah dulu aku jahat, cuma nakal sedikit sahaja.

“Senyum-senyum pulak budak ni. Mak Fahrin tak akan setuju punya. Mak pun, kalau boleh tak naklah berbesankan perempuan macam tu. Cakap ikut sedap mulut saja. Tak fikir langsung perasaan orang lain. Lagipun… tak salah kan kalau Fiona terima Encik Zack? Mak tengok dia pun baik sangat orangnya,” bebel mak lagi separuh memujuk.

Pantas aku mematikan senyuman.

“Memanglah Encik Zack tu baik. Baik sangat… tapi mak, Fiona cintakan Fahrin,” suaraku.

“Yalah… mak tahulah Fiona cintakan Fahrin. Tapi kalau mak Fahrin dan mak sendiri tak setuju macam mana? Takkanlah Fiona nak kahwin lari? Sampai hati Fiona nak buat mak macam tu…” Kedengaran suara bernada sedih keluar dari mulut mak.

Kekuatan dan kelemahan aku adalah mak. Sungguh tidak sampai aku melihat mak bersedih. Biarlah aku berkorban, asalkan mak bahagia.

“Hmm… baiklah, mak. Fiona setuju dan ikut cakap mak. Tapi… Fahrin macam mana? Mesti dia pun tak mahu lepaskan Fiona,” luahku kemudian.

“Pasal Fahrin biar mak sahaja yang uruskan. Lagipun mak pasti, mak Fahrin tu mesti dah ada calon menantu sendiri. Sebab tu dia mati-mati tak sukakan Fiona,” teka mak sebarangan.

“Hmmm….” Hanya itu yang mampu aku suarakan.

Mak tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi antara aku dan Puan Ros Fazila. Dan sesungguhnya tiada seorang pun yang tahu tentang itu secara terperinci. Biarlah ia menjadi kenangan aku sendiri. Malas mahu menceritakannya kepada sesiapa.

Biarlah sahaja aku menerima pinangan Encik Zack. Pasti nanti mata Puan Ros Fazila akan terbeliak melihat aku berkahwin dengan Encik Zack, seorang pensyarah sama seperti Puan Ros Fazila yang dikatakan tidak setaraf dengan seorang Pembantu Makmal seperti aku.

Bukanlah niat aku mahu menunjuk-nunjuk kepada Puan Ros Fazila. Tetapi sejujurnya, aku juga tidak sanggup mempunyai mak mertua seperti Puan Ros Fazila. Nanti kang asyik ‘perang’ memanjang. Bahaya tu!

***

MATAKU terpaku melihat ke dalam restoran di hadapanku. Kelihatan Fahrin sedang berbual mesra dengan seorang perempuan. Sekali sekala kelihatan Fahrin menyudu makanan di pinggan perempuan itu. Dan perempuan itu juga akan menyudu makanan yang berada di pinggan Fahrin.

Oh… drama apakah ini? Aku baru sahaja bersetuju untuk menerima pinangan Encik Zack. Dan aku belum pun sempat untuk membincangkan hal ini kepada Fahrin. Tetapi Fahrin sudah pun mencari perempuan lain.

Semenjak kejadian di rumah sedikit masa lalu, Fahrin tidak pernah menghubungiku. Pada mulanya aku mengandaikan mungkin Fahrin dihalang oleh Puan Ros Fazila. Tetapi kini….. persepsi aku terhadap Fahrin sudah berubah. Pasti perempuan itu ialah teman wanita baru Fahrin, calon menantu pilihan Puan Ros Fazila. Patutlah sejak kejadian itu Fahrin terus menyepi. Rupa-rupanya….

Kali ini aku bertekad. Aku akan menamatkan semuanya pada hari ini juga! Aku menghampiri meja pasangan dua sejoli itu.

“Assalamualaikum,” tegurku sebaik sahaja sampai di tepi meja tersebut.

Spontan Fahrin dan perempuan itu menoleh ke arahku.

“Fiona?” Ternyata Fahrin amat terkejut dengan kehadiranku.

“Siapa ni?” Perempuan itu bertanya kepada Fahrin.

“Ini…”

“Saya Fiona. Kawan Fahrin. Hmm… alang-alang dah terserempak ni, saya nak jemput kalian berdua ke majlis perkahwinan saya. Bila kad undangan saya siap dicetak nanti, saya akan bagi pada kalian ya. Terima kasih. Saya undur diri dulu. Assalamualaikum!” Aku terus meninggalkan mereka.

Sebenarnya satu persiapan perkahwinan pun aku dan Encik Zack belum laksanakan lagi. Aku sengaja berkata seperti itu demi memuaskan hatiku. Ah! Biarlah…. lambat laun aku akan memberitahu Fahrin juga tentang perkara ini.

Kini mak pasti sedang berbincang dengan Encik Zack tentang persiapan perkahwinan.

“Fiona! Tunggu…” Aku sudah tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Dan aku tidak akan menoleh ke belakang lagi!

Selamat tinggal, Fahrin.

Hanya aku dan Puan Ros Fazila sahaja yang tahu apakah perkara yang sebenarnya terjadi. Hanya kerana ais di Makmal Sains 9, Puan Ros Fazila telah membenci aku. Hanya kerana ais itu juga, aku kehilanganmu, Fahrin. Dan hanya kerana ais itu… aku menerima dia, iaitu Encik Zack.

Ya-Allah, aku menerima ketentuan-Mu dengan setulus hatiku. Mulai saat ini, aku akan membuka pintu hatiku khas buat Encik Zack.

***

SEMINGGU sebelum tarikh perkahwinanku…

Kenapa hari ini aku rasa seperti ada yang tidak kena? Rasa tak sedap hati sahaja sejak bangun pagi tadi. Kini aku sudah berada di Kolej Nadi Sains Malaysia. Melakukan tugas rutin seperti biasa.

“Fiona, jom kita pergi ke rumah arwah Puan Ros Fazila! Semua staf dah berkumpul tu, nak pergi sama-sama,” ajak Kak Maya.

Hah?! Telinga aku ini tersalah dengarkah?

“Apa Kak Maya cakap? Ar… arwah Puan Ros Fazila?” Aku menyoal Kak Maya dengan tergagap-gagap.

“Yalah. Takkan Fiona tak tahu lagi. Satu kolej ni dah heboh tentang kemalangan maut yang menimpa arwah Puan Ros Fazila sekeluarga.

Innalillahiwainnailaihirojiun….

Kemalangan maut? Sekeluarga? Habis tu macam mana dengan… Fahrin?! Macam mana aku boleh tak tahu apa-apa ni?

“Semua ahli keluarga arwah? Termasuk suami dan anak-anak arwah ke?” Bertubi-tubi soalan aku lemparkan kepada Kak Maya.

Sudahlah Kak Maya itu mahu cepat, aku pula sibuk bertanya itu dan ini. Melambat-lambatkan waktu sahaja. Haisy!

“Kalau Fiona nak tahu dengan lebih jelas, nah… ambil surat khabar ni. Baca nanti. Sekarang jom cepat!” gesa Kak Maya.

***

DI dalam bas milik Kolej Nadi Sains Malaysia, menuju ke rumah arwah Puan Ros Fazila….

Aku mengambil kesempatan itu untuk membaca isi surat khabar yang telah diberikan oleh Kak Maya Tadi.

“…Kemalangan maut itu telah mengorbankan seluruh ahli keluarga mangsa iaitu Ros Fazila, 46, Muhammad Aizudin, 48, Muhammad Fahrin Aizudin, 25, dan Ros Ameera, 20….”

Seperti mahu pengsan aku membaca petikan berita tersebut. Dan gambar wanita muda di di surat khabar itu menarik perhatianku. Ya-Allah! Inilah wajah wanita yang aku sangka teman wanita Fahrin itu. Rupa-rupanya dia ialah adik perempuan Fahrin yang baru pulang dari luar negara! Sejak kecil adiknya itu telah tinggal di sana. Kenapa Fahrin tidak pernah menceritakannya kepada aku? Jika tidak, tentu salah faham ini tidak akan terjadi. Ya-Allah… aku sungguh menyesal!

Fahrin! Maafkan aku… aku belum sempat meminta maaf kepadamu.

Aku sudah menangis teresak-esak. Air mataku mengalir dengan laju seakan tidak mahu berhenti lagi. Kak Maya hairan melihat aku yang sedang menangis bersungguh-sungguh. Pastinya Kak Maya pelik melihat reaksiku. Masakan tidak pelik, tak akanlah aku yang tidak mempunyai apa-apa pertalian saudara dengan keluarga mangsa akan menangis seteruk itu?

Tetapi aku tidak hairan dengan reaksi Kak Maya itu kerana sememangnya tiada seorang pun di kolej ini yang tahu bahawa aku dan anak arwah Puan Ros Fazila pernah menjalinkan hubungan cinta. Biarlah ia tetap menjadi rahsia buat selama-lamanya. Berkubur bersama jasad mereka yang sudah kaku.

Selepas ini aku benar-benar akan memulakan hidup baru bersama Encik Zack. Insan yang sudah pergi, biarkanlah pergi. Aku yang masih hidup ini akan meneruskan kehidupan… seadanya. Aku redha dengan segalanya.

***

AKU menghulurkan sesuatu kepada Kak Maya dan Suzyana yang kebetulan ada bersama di kaunter penyambut tetamu.

“Apa ni?” soal mereka hampir serentak.

“Buka dan bacalah,” jawab aku sambil tersenyum.

Aku melihat reaksi mereka yang terkejut sebaik sahaja membaca isi kad undangan yang aku berikan.

“Awak nak kahwin dengan Encik Zack?” soal Kak Maya kemudian.

Aku hanya menjawab dengan anggukan dan senyuman. Tidak mahu berkata apa-apa. Di dalam kad itu sudah jelas tertera namaku dan nama Encik Zack. Tidak perlu aku jelaskan lagi.

“Bila awak dan Encik Zack bercinta? Tak perasan pun.” Suzyana pula bertanya.

“Kami tak bercinta pun. Kami berkawan,” jawabku jujur.

Kak Maya dan Suzyana terlopong mendengar kata-kataku. Ya… kami akan bercinta selepas berkahwin.

Tiba-tiba aku teringat kepada arwah Fahrin dan arwah adik Fahrin itu arwah Ros Ameera. Suatu ketika dahulu aku pernah berjanji akan memberikan kad undangan perkahwinanku itu kepada mereka. Tetapi kini…. semuanya sudah berubah. Dalam sekelip mata mereka sudah tiada di dalam dunia yang fana ini lagi. Susah mahu percaya. Tetapi aku harus percaya akan takdir-Nya.

***

SEMINGGU selepas hari perkahwinanku….

Aku terkejut melihat dua orang pemuda dan dua orang wanita yang sedang duduk di ruang tamu rumahku. Siapa pula yang berani masuk ke rumah tanpa keizinan? Tidak dengar suara orang memberi salam pun!

Aku mendekati mereka perlahan-lahan. Bimbang juga jika mereka adalah orang-orang yang membahayakan. Namun sebaik sahaja aku dapat melihat wajah mereka….. Ya-Allah!!

Bagaimana keluarga arwah Fahrin boleh berada di sini. Bukankah mereka sudah meninggal dunia? Mereka hanya memandang aku dengan pandangan yang sangat sayu. Lutut aku sudah mengigil. Ketakutan.

“Hantu!!!” jerit aku sekuat hati.

Aku pejamkan mataku rapat-rapat. Tidak mahu dan tidak berani memandang wajah mereka lagi.

“Sayang! Kenapa ni?” Aku terkejut mendengar pertanyaan itu.

Perlahan-lahan aku membuka mata. Bayangan wajah Encik Zack yang kini sudah menjadi suamiku terlayar di ruang mata.

“Astaghfirullah al-azim…. saya bermimpi rupanya!” luahku.

Aku ceritakan tentang mimpi yang baru aku alami itu. Encik Zack juga mengucap panjang. Kemudian kami sama-sama membaca surah Yassin, buat hadiah kepada seluruh keluarga arwah. Semoga mereka aman di sana. Amin!

-TAMAT-

~ 25 Mac 2012, Ahad, 9.25 am~

Noraz Ikha


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

48 ulasan untuk “Cerpen : Hanya Kerana Ais”
  1. Mohd Zamree Bin Sinin says:

    kejam sungguh ibu fahrin…, sampai hati dia berkata macam tu….huhu…

    semoga berjaya dan terimalah kritikan itu sebagai sesuatu yang positif dalam memperbaiki diri…

    apa2 pun teruskan usaha ye Noraz…=))

  2. cerpen says:

    bosan .. bosan .. bosan ..

  3. love says:

    ley tahan … tp blh dimjukn lg…

  4. akulah aku says:

    senang gila buat cite . orang jahat terus mati -.- kembangkan idea lagi next time :)

  5. dzafiira zainal says:

    not bad. tapi macam kalut sangat pun ada. mcm nak cepat2 habis. hehe .. pape pon gud luck ! chayok2 :)

  6. rynie_nas says:

    macam sadis sangat je suh satu family menunggal…ending pun mcm biasa je…Tapi bagus la juga cerpen ni..Sy bace sampai habis dan komen…haha…

  7. Ira Ridha says:

    n0t bad…keep it up

  8. aqHajar says:

    not bad..
    crite dy pon ok jer..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.