Cerpen : Hijrah Habib

28 September 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: Asilah Alsab

SUASANA hening pada petang Jumaat di Ye Olde Smoke House, Tanah Rata, Cameron Highlands itu menambahkan lagi kekeliruan perasaan Arfa Ariana pada Habib. Sudah bertahun lamanya mereka tidak bersua. Pertemuan malam semalam membuka kembali buku lama yang Arfa tidak sangka-sangka.

***

Arfa sudah mengambil wuduk dan mengenakan solekan tipis untuk majlis makan malam nanti. Arfa mengenakan selendang merah jambunya lalu menyarungkan telekung. Tiada jemaah wanita lain yang singgah di masjid itu. Dia segera menunaikan solat kerana dia harus menghadiri majlis makan malam dalam masa kurang dari 40 minit. Mujurlah Cameron Highlands Resort itu tidak jauh dari masjid. Selepas siap menunaikan solat, Arfa berehat seketika sambil menyarungkan stokin. Dalam sunyi suasana, Arfa terdengar sayup-sayup suara lelaki muda sedang berdoa sambil merintih dan mendayu-dayu suaranya.

“Ya Allah, Kau ampunilah segala dosa-dosaku, segala khilafku baik dari segi fikirku, lisanku dan juga amalku.Ya Allah, Kau tetapkanlah hati aku dalam agamaMu. Ya Allah, Kau peliharalah aku di setiap langkahku. Peliharalah dia walau dimana pun dia berada. Kurniakanlah aku kesempatan untuk menunaikan janji-janjiku padanya dulu. Amiin..”Setiap butir kata-kata lelaki tersebut jelas didengar Arfa walau perlahan. Mungkin disangkanya tiada orang lain disitu memandangkan keadaan di masjid itu sunyi melainkan ianya cuti sekolah atau cuti umum yang pasti akan dipenuhi orang. Sebagai seorang wanita, tersentuh hatinya mendengar butir doa lelaki misteri dibalik kain pembahagi masjid. Selang beberapa saat selepas lelaki misteri itu habis berdoa dan berzikir, bacaan ayat suci Al-Qur’an mengalun lembut dibalik tabir kain penghadang masjid. Begitu lancar dan baik bacaannya bersama tarannum. Arfa seperti terpaku menghayati bacaan lelaki misteri itu apabila tiba-tiba, bunyi deringan telefon bimbit menghentikan bacaannya.

“Assalamualaikum. Ya. Aku ada dalam masjid ni. Masuklah.” Ringkas perbualannya. Tidak sampai beberapa saat, terdengar satu lagi suara lelaki lain memecah sunyi masjid.

“Assalamualaikum sahabat..Macam mana, sihat? Berseri-seri nampaknya muka..” Usik teman kepada lelaki misteri itu.

“Waalaikummussalam, Alhamdulillah aku macam ni saja lah. Maintain handsome macam selalu..” Mendengarkan lelaki misteri itu membalas dengan jawapan sebegitu membuatkan Arfa sedikit geli hati.

“Perasan betul,” bentak Arfa dalam hati.

“Ya lah, ikut suka kau lah asalkan kau bahagia. Aku pun seronok tengok kau sekarang. Lain sangat dengan zaman kita belajar dulu. Cepat betul kau berubah..” Arfa segera merapikan dirinya di hadapan cermin dan meninggalkan perbualan dua pemuda itu. Sambil menyarungkan kasutnya, Arfa seperti tertunggu-tunggu gerangan lelaki misteri tadi. Namun tiada kelibat lelaki yang keluar. Selepas beberapa langkah, Arfa yang hanya beberapa tapak dari keretanya terlihat akan sekujur tubuh yang mirip seorang teman lamanya. Lelaki tersebut juga sedang memandang tepat ke arahnya.

“Assalamualaikum, sister!” Laung lelaki itu dari jauh. Nukman, teman lama Arfa di kampusnya dulu mengikuti bidang kursus yang sama sepertinya, Komunikasi. Nukman cepat-cepat menyarungkan kasutnya dan berlari anak ke arah Arfa. Arfa tersenyum lebar kerana dua sebab. Satu, dia gembira kerana dapat bertemu Nukman setelah sekian lama tidak bersua. Kedua, kerana dia merasa lucu dengan dirinya sendiri yang tadinya teragak-agak dengan gerangan lelaki yang menyapanya dari jauh. Sudah hampir tiga tahun lamanya mereka tidak bertemu selepas Nukman tamat belajar setahun awal darinya.

“Waalaikummussalam Nukman. Apa khabar? Sihat? Kau buat apa kat sini?” Bertalu-talu soalan Arfa sambil menghampiri Nukman yang kian segak sejak sudah berkerjaya.

“Alhamdulillah macam ni lah. Aku ada event dekat sini. Ada reunion dengan budak-budak Komunikasi kita dulu, sambil-sambil makan angin. Yang kau pula ada hal apa kat sini?”

“Maksud kau reunion dengan Sir Amri dan classmates kita dulu ke? Aku pun dijemput. Itu yang datang tu. Macam kau jugak, sambil-sambil tu nak makan angin sehari dua kat sini. Esok mak dengan abah aku datang. Eh, kau datang sendiri saja ke ni?”

“Eh, tak lah. Itu..” Nukman berpaling sambil menjuihkan bibirnya. Satu wajah yang sedang memandang tepat ke arah Arfa. Lelaki itu tidak mengalihkan pandangannya walau sedikit pun. Dia hanya kaku seperti boneka dan riak mukanya seakan kosong, melengung jauh. Arfa pula seperti direntap jantungnya hingga tidak berdenyut. Nukman yang seperti keliru apabila Arfa tiba-tiba diam dan membatu, hanya memandang mereka berdua silih berganti.

“Habib! Sini lah. Mengelamun apa lama-lama?” Habib melangkah longlai ke arah Arfa dan Nukman. Habib menyarungkan kasutnya dan melemparkan senyum pada Arfa seperti tiada apa yang terjadi. Arfa yang pada mulanya terkejut cuba berlakon bersahaja namun hanya Tuhan sahaja yang tahu gelora di dadanya.

“Si Habib ni baru saja sampai Maghrib tadi. Dia singgah dulu ke sini. Aku dari tengahari dah ada kat sini. Habib, kau tak jumpa Arfa ke tadi sebelum solat?” soal Nukman. Habib kelihatan tenang dan mukanya kelihatan bersinar-sinar di bawah limpahan cahaya bulan.

“Tak. Tak perasan pun ada orang lain tadi,” jawab Habib ringkas. Arfa teringat akan alunan suara bacaan Al-Qur’an yang didengarnya sebentar tadi. Masjid itu lengang dan kosong, melainkan hanya Arfa dan Habib sahaja yang ada. Arfa pasti dia tidak nampak satu pun kelibat orang muda yang keluar dari masjid. Yang ada hanya Habib dan Nukman. Nukman juga baru sahaja sampai usai solat Maghrib. Bermakna, suara bacaan Al-Qur’an tadi ialah..

***

Dewan makan di Cameron Highlands Resort yang gah dengan silau lampu chandelier tidak dihirau sedikit pun oleh Arfa. Hanya satu sahaja perkara yang berlegar dimindanya sekarang, Habib. Arfa yang kian runsing dan gelisah dengan kehadiran Habib pada majlis makan malam itu cuba untuk menenangkan dirinya sendiri. Ada ruangan luar tidak berbumbung disebelah dewan makan dengan meja-meja yang dihiasi alas meja putih yang kelihatan mewah dan romantis. Bunga-bungaan yang mekar dan berwarna warni menghiasi sekeliling menambahkan lagi seri ruangan luar itu. Arfa keluar untuk mengambil angin sambil menikmati pemandangan tanah tinggi pada waktu malam. Habib yang sedari tadi mencuri pandang Arfa dari jauh didalam dewan makan, perasan akan kelibat Arfa diluar dewan. Dia ragu-ragu sama ada dia mahu keluar dan menyapa Arfa atau tidak. Takut-takut akan dibalas dingin. Semakin lama dia memikirkannya, semakin kuat detak jantungnya berdegup.

“Ah, lantaklah apa pun mahu jadi. Yang penting, aku harus usaha,” monolog Habib sendirian. Dia nekad. Dengan lafaz Bismillah, Habib mengatur langkahnya mendekati Arfa. Bunyi tapak kasut Habib mengejutkan Arfa. Arfa berpaling ke belakang dan mendapati Habib sedang menuju ke arahnya. Arfa hanya melemparkan senyum kelat dan kembali mengalihkan pandangan.

Sepi. Hanya bunyi muzik jazz dan suara keramaian dari dalam dewan makan yang kedengaran. Kebisuan itu menambahkan lagi kerisauan Arfa. Kebisuan itu juga dalam masa yang sama menenangkannya. Walau bisu, bingit suara dalam kepala Habib dan Arfa jelas tidak dapat dihentikan. Arfa akhirnya memberanikan diri untuk bersuara.

“Kan aku dah cakap…” Arfa memecah kesunyian malam.

“Apa dia?” berkerut dahi Habib, bingung.

“Tengoklah kau sekarang. Lain, lain sangat.” Arfa sekadar berbasa-basi. Tidak mahu melebih pada pertemuan pertama setelah sekian lama terputus khabar. Habib menyeluk saku seluarnya. Mungkin kerana dingin malam, atau kerana ‘dingin’ suasana kekok mereka. Habib melemparkan sekilas pandangan pada Arfa dan hanya melepaskan senyum tawar, sambil ekor matanya tidak lepas dari mencuri lihat gadis disebalik selendang merah jambu itu. Dipanggungnya kepala dan memandang tepat ke arah Arfa. Lama, dan dalam renungannnya. Satu demi satu kenangan lama datang membanjiri. Sehingga tanpa dia sedar, dia termangu dan terpaku memandang Arfa. Merah padam muka Arfa di dalam dingin malam. Cepat-cepat dialihnya pandangan dari lamunannya yang panjang.

“Apa yang lainnya Arfa? Aku masih lagi macam dulu, tetap Habib yang sama. Masih segak macam dulu kan?” Habib tertawa kecil, cuba menyakat Arfa.

“Ya Habib, kau masih lagi macam dulu. Nakal tak ubah-ubah!” Suara Arfa sedikit meninggi dan diiringi dengan ketawa kecil. Dibalik sisa-sisa ketawanya, Arfa terkenangkan kembali peristiwa dua tahun lepas yang terjadi antara mereka. Benar kata seorang temannya dahulu,

“Setahun boleh mengubah seseorang.”

“Kau masih ingat semua hal yang kita kongsi dulu, semua pesan-pesan aku?” nada Arfa mulai serius.Habib sedikit tersentak. Namun dia tidak terlalu terkejut kerana baginya, itulah Arfa Ariana yang dia kenal. Telus dan hemah orangnya dalam berbicara.

“Mana mungkin aku lupa Arfa. Kaulah perempuan pertama yang tegur aku tentang solat aku, tentang sikap aku…” Suara Habib seakan tenggelam bersama kelam malam, dibawa angin perlahan. Arfa tenggelam dalam fikirnya sendiri.

“Jadi kenapa dia yang kau pilih? Kenapa aku tidak diletakkan dalam senarai pilihan kau dulu? Kenapa aku hanya menjadi jalan selamat kau?” Pelbagai persoalan datang menghujani awan fikiran Arfa, namun dibiar hanya bunyi cengkerik dan sayup-sayup suara keramaian yang menjadi latar.

“Ha! Dekat sini rupanya! Dating eh?” bentak Nukman kuat dari arah belakang, sambil mengangkat kedua keningnya.

“Kalau aku nak dating, dah lama dah aku bawa Arfa ni pergi jauh-jauh. Masalahnya mana lah Arfa ni nak kan aku..” Habib menjeling sipi. Perbualan Arfa dan Habib mati disitu sahaja apabila mereka berdua diseret masuk ke dalam dewan makan tersebut, ke alam realiti.

***

Arfa kembali tersentak dengan bunyi petir kuat. Angin mulai mengganas, menggugurkan dedaun dan bunga-bungaan kering di Ye Olde Smoke House itu.

“Mungkin akan hujan,” fikir Arfa. Dia hanyut dalam lamunannya sendiri, cuba mengingati setiap perincian hal yang berlaku malam semalam, dan dua tahun yang lalu. Arfa melangkah perlahan dari beranda biliknya dan melabuhkan punggungnya keatas sofa kulit yang empuk. Dia membelek telefon pintarnya dan baru tersedar ada beberapa pesanan baru. Arfa membuka satu persatu pesanan ringkas yang diterima, namun matanya terhenti pada satu pesanan yang membuatkan nafasnya seakan terhenti seketika. Pesanan daripada Habib.

“Arfa, aku nak jumpa kau sekejap petang ni boleh? Ada hal yang aku nak cakap sedikit dengan kau.” Ringkas pesanannya, namun cukup terkesan bagi Arfa. Jemarinya sedikit menggeletar, menahan ombak didadanya.

“Tentang apa? Siapa lagi ada?” balas Arfa seperti acuh tak acuh. Arfa seakan dapat merasakan ada sesuatu yang serius Habib mahu bincangkan. Firasatnya selalu betul. Namun,tentang apakah?

“1 MESEJ BARU”

“Hanya kita saja. Tentang kita.” balas Habib pendek. Bertambah lagilah ombak gemuruh Arfa.

“Tentang kita? Tentang apa? Kita bukan ada apa-apa pun.” Arfa perlahan bergumam kosong. Arfa mulai tidak keruan. Berkerut dahinya cuba menganalisa semua perkara. Sekejap. Memori dua tahun lepas kembali menjengah. Sedikit demi sedikit.

“Mungkinkah tentang apa yang aku cakapkan pada pertemuan terakhir dulu?” monolog Arfa seorang.

***

“Malam semalam kau tanya aku, kalau aku masih ingat semua hal yang kita kongsi dulu, semua pesan-pesan kau. Aku dah jawab. Jadi sekarang aku pula nak tanya kau. Kau masih ingat apa yang pernah kau cakap dulu?” Arfa kaku. Sejuk beku kedua tangan dan kakinya dek resah ditambah pula dengan sejuk pendingin hawa di restoren yang ada di Ye Olde Smoke House, bertemakan Inggeris itu. Arfa hanya menunduk, merenung meja-meja kosong sambil menghirup teh panas Boh dan tersekat saat Habib melontarkan pertanyaan yang sebegitu. Tidak dipandang walau sekilas pun Habib yang murung di hadapannya.

“Arfa, aku..minta maaf. Aku tahu aku salah. Aku terlalu terburu-buru dulu. Aku..” Habib bungkam. Tiada perkataan lain yang mampu keluar dari mulutnya ketika itu. Kering tekaknya, seperti ada pepasir kasar yang mengesat anak tekak. Habib mengeluh panjang. Buntu apa yang sepatutnya dia lakukan untuk mengembalikan senyuman di wajah wanita yang dikasihinya.

“Entahlah Habib. Aku tak tahu nak cakap apa. Apa yang kau harapkan dari pertemuan kita ini sebenarnya? Lepas dua tahun kau hilang tanpa khabar berita. Aku cuba untuk terima hakikat yang kau sudah tetap dengan pilihan hidup kau. Kau dah tak perlukan aku. Jangan salah faham, aku tak marahkan kau. Cuma, sedikit terkilan..” Segala rasa yang tersimpan selama dua tahun selepas pemergian Habib dilepaskan sedikit. Arfa tidak memandang sedikitpun wajah Habib, sebaliknya terusan menghalakan pandangannya pada taman luar di belakang Habib.

“Arfa, kau tahu kan aku tersepit antara dua pada masa itu. Aku tak tahu apa yang betul dan apa yang salah! Ya, aku tahu apa yang aku buat pada kau tu salah, tapi cuba lah fahami keadaan aku!” bentak Habib geram.

“Jadi kau mengharapkan aku faham akan keadaan kau tapi aku? Ada kau faham perasaan aku? Mungkin kau tak kisah pun langsung. Ada kau fikir sakit aku? Lepas kau tabur janji manis kau? Lepas semua benda dah elok, kau tinggalkan aku. Aku ni siapa sebenarnya bagi kau? Kau cari aku bila ada masalah. Kau buat aku ni seperti eskapisme kau, tempat kau boleh lari bila susah..” Perlahan Arfa menyusun satu-persatu kata-katanya. Arfa tidak mampu berlakon tenang lagi. Air matanya sudah mula menakung. Dia menantikan pengakhiran bagi mereka. Dia menantikan kata simpul dari Habib.

“Jadi kau ingat aku pergunakan kau?” Mata Habib membulat. Tidak disangka bahawa Arfa berfikiran begitu tentangnya. Habib mengetap bibir. Dadanya turun naik seakan sukar bernafas.

***

2 tahun yang lalu..

“Habib, kau boleh tak tetapkan hati kau pada satu perkara? Boleh tak kau lebih serius? Kau ingat semua hal boleh main-main?” Arfa menjerit kuat. Tidak dipedulikan lagi mata-mata yang memandangnya pada ketika itu. Yang penting, hatinya puas. Arfa tidak boleh merasionalkan lagi segala tindakan Habib padanya selama ini. Padanya, Habib patut sudah cukup matang dalam membuat keputusan dan tindakan. Ini tidak, masih lagi teragak-agak. Habib hanya membisu menadah segala amarah Arfa. Dia tahu dia salah. Dia tidak seharusnya menabur janji untuk menikahi Arfa walaupun dia ketika itu sedang terikat dengan perempuan lain. Cuma, Habib dalam keadaan tertekan. Hubungannya dengan Nabilah seakan retak menanti belah. Nabilah tidak pandai mengambil hatinya seperti Arfa. Nabilah tidak mengendahkan keperluan Habib atau mendengar tiap masalahnya, bahkan menambahkan lagi kerunsingannya. Arfa selalu ada jalan penyelesaian yang terbaik. Segala isi nasihatnya berguna dan mampu ditelan Habib. Tanpa disangka, Arfa rupanya mengambil serius akan hal itu.

“Arfa, kau tahu kan aku bukannya sengaja nak sakitkan hati kau?” Belum sempat Habib mengatur ayat seterusnya, Arfa sudah mencelah.

“Oh begitu? Kalau macam tu kenapa kau buat aku macam sampah? Lepas segala masalah kau dah selesai, kau hilang macam tu je. Kau senyap. Kau ingat aku ni tunggul kayu tak ada perasaan?” Meluap-luap amarah Arfa pada Habib. Matanya memerah menahan tangis dan marah.

“Kau tahu kan aku memang serius tentang apa yang aku cakapkan pada kau? Cuma keadaan tak menyebelahi kita, kau faham tak!” Giliran Habib pula untuk meluahkan amarahnya.

“Jadi keadaan kau yang keluar berduaan dengan budak junior tu kira tak mengizinkan lah? Yang keluar sampai tengah malam dengan classmate kita, Nina kira keadaan tak menyebelahi kita jugak? Kalau keadaan tak menyebelahi kita, mengapa kau berjanji dengan aku? Kalau kau tak pasti dengan perasaan kau, kenapa kau berjanji?” Arfa sekali lagi membentak. Arfa terduduk dan matanya sudah berkaca-kaca. Habib kembali bungkam memberi hujah. Ya, Arfa benar. Dia tidak seharusnya bermain dengan kata-kata manis dan janji. Sedu-sedan Arfa menambahkan lagi rasa bersalah dan kerunsingan Habib.

“Aku selalu percaya dengan kau Habib. Walau apa pun yang orang lain katakan. Kawan- kawan aku semuanya minta aku tinggalkan kau. Tapi aku percaya Habib, kau akan berubah. Sekarang, kau dah khianati kepercayaan aku!”

“Arfa, dengar dulu penjelasan aku. Aku tertekan dengan Nabilah masa itu. Aku cuma betul-betul tersedar apa yang aku cakapkan pada kau selepas itu. Bukan maksud aku nak memungkiri janji atau sakitkan hati kau. Kau tahu kan aku betul-betul maksudkan apa yang aku cakap. Cuma..” Habib terputus hujah. Memang benar dia ada menyimpan perasaan pada Arfa. Namun, dia masih terikat. Kalau ditelan mati emak, diluah mati bapak. Begitulah ibaratnya keadaan Habib sekarang. Namun tanpa dia sedar, walau apa pun yang dia cuba lakukan dan pertahankan, pasti ada juga hati yang dia lukai.

“Dulu aku akan selalu pertahankan kau. Sekarang, aku tak tahu lah kalau kau benar-benar akan berubah. Jika benar pun, pasti bukan hari ini.”Arfa berlalu meninggalkan Habib keseorangan di lorong gelap itu bersama gema tangisnya. Habib pula hanya membatu. Kakinya seakan berakar pada lantai konkrit dan tak mampu digerakkan. Segala kata-kata Arfa menghempap- hempap Habib. Mungkin kerana segalanyabenar. Habib benar-benar buntu dan terkesima.

***

“Arfa, tak pernah sekali pun aku terfikir mahu mempergunakan kau. Aku sangka kau faham kenapa aku menjauh dari kau. Arfa, kau tahu tak aku sayangkan kau?” Habib melunjurkan tangannya di hadapan Arfa. Air muka Arfa berubah. Kali ini empangan air matanya pecah, tidak mampu ditahan lagi.

“Aku akan selalu datang pada kau sebab kaulah satu-satunya orang yang aku percaya selain mama dengan ayah aku. Aku selalu datang pada kau sebab aku tahu kau antara orang yang tak akan pernah menghakimi aku. Kau seorang perempuan yang matang walau kau lebih muda dari aku. Aku tahu apa orang sekeliling bercakap tentang aku dulu. Semua kawan-kawan aku pun tahu. Aku suka main-mainkan hati perempuan. Aku tak fokus dalam pelajaran. Aku ada banyak masalah peribadi. Aku tahu aku siapa, Arfa. Tapi kau, kau selalu percaya dengan aku yang aku akan berubah. Kau tak pernah menjauh dari aku walau apa pun..” Mata Habib berkaca-kaca bagaikan menanti retaknya. Pada Habib, kalaulah Arfa tahu apa yang terbuku di hatinya selama ini. Dia benar-benar mahukan yang terbaik buat Arfa dan mereka berdua. Tidak sempat Arfa membuka mulut, Habib mencelah.

“Aku minta maaf kalau kau rasa seperti aku mempergunakan kau. Bukan aku berniat menjauhkan diri dari kau. Kau tak faham Arfa. Aku..malu sebenarnya dengan kau. Aku malu sebab aku seperti mengharapkan kau. Aku malu untuk mendampingi kau dengan sikap aku yang entah apa-apa dulu. Sampai satu ketika, aku rasa aku perlu hadapi semua masalah aku sendiri. Macam yang kau selalu pesan dulu, aku lelaki. Aku perlu kuat walau macam mana pun. Aku akan memimpin keluarga aku suatu hari nanti. Dan pada masa itu, aku sedar itulah saatnya untuk aku berubah.”

Arfa terkedu sambil menahan esaknya. Dia seperti tidak percaya bahawa dia sedang berbicara dengan seorang lelaki yang pernah menangis seperti anak kecil dihadapannya dulu. Habib menyeluk saku seluarnya dan dikeluarkan dompet. Arfa hanya memandang setiap inci perlakuan Habib. Habib menguis isi dompetnya dan mengeluarkan satu lipatan kertas lama. Dibukanya perlahan lalu dihamparkan di atas meja. Dia tersenyum kelat lalu menolak cebisan kertas itu pada Arfa. Arfa mula meneliti isi kertas itu dan cuba mengecam sesuatu. Berkerut dahinya apabila dia seperti kenal benar akan tulisan tangan yang tercatat di atas kertas itu. Arfa sekali lagi kaget. Tidak disangkanya Habib masih menyimpan segala coretannya. Itu adalah cebisan kertas yang Arfa senaraikan segala pesan-pesan nasihat pada Habib. Kertas itu sudah kekuning- kuningan dan tulisan pen berwarna ungu gelap itu pun sudah luntur. Namun ada tanda pangkah pada hampir setengah senarai itu. Arfa tertawa kecil diiringi linangan air mata.

“Kau masih simpan kertas ini?” Itu sahaja yang mampu Arfa katakan. Ternyata dia silap. Kebisuan Habib selama dua tahun bukanlah kerana dia sudah bahagia dan melupakan Arfa. Habib sedang mencari dirinya sendiri. Habib mencari Tuhan.

“Semua yang aku pangkahkan ni, bermakna aku sudah mampu laksanakan. Aku tahu banyak yang aku perlu perbaiki untuk mendampingi kau. Tengok ni, jangan merokok, jangan tinggal solat 5 waktu, tahajjud, baca Qur’an, jangan menggatal..” Kata-kata spontan Habib membuatkan mereka berdua tertawa kecil. Arfa mengesat air matanya dan membelek-belek kertas tersebut. Arfa kembali memandang Habib. Lama renungan mereka bertaut dan Arfa tersenyum lebar, puas dan lega. Bagai kaset, segala memori dulu kembali berputar.

“Arfa..” Habib membisik perlahan sambil mengeluarkan bekas kecil berbentuk hati dan berwarna merah baldu dari kocek bajunya. Mata Arfa membulat dan nafasnya seakan terhenti, terenggut dengan tindakan Habib. Hanya air mata kegembiraan yang menjadi jawapan, tanda setuju. Arfa menerima Habib kembali dalam hidupnya, untuk selamanya.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.