Cerpen : Kerana Cincin Emas

31 July 2011  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

NURI HAZIQ sedang merenung sebentuk cincin yang berada ditangannya. Cincin itu merupakan cincin emas bertatahkan berlian. Ia bukanlah cincin murah, harganya mencecah ribuan ringgit. Tipulah jika ada yang mengatakan cincin itu tidak cantik. Ya… cincin itu sangat cantik hinggakan teman wanitanya, Mahirah melonjak gembira sewaktu Nuri Haziq menghadiahkan cincin itu. Mereka sudah merancang untuk berumah tangga. Tidak perlu bertunang, mereka mahu terus mengadakan majlis perkahwinan. Namun…. hasrat itu tidak kesampaian… kini cincin itu sudah kembali ke tangan si pemberinya.

Air jernih mula bergenang di kelopak mata Nuri Haziq. Saat ini Nuri Haziq terlalu merindui Mahirah. Kalaulah sekarang ini Mahirah berada di sisi Nuri Haziq, sudah tentu Nuri Haziq tidak akan melepaskan gadis itu pergi. Tetapi Nuri Haziq sedar, dia tidak punya kuasa untuk menahan semua yang berlaku.

Ahh, untuk apa aku mengingati Mahirah lagi? Barangkali sekarang ini dia sedang gembira dan bahagia bersama kekasih barunya, fikir Nuri Haziq. Cincin itu digenggamnya erat sebagai cara melepaskan geram hingga menimbulkan bekas berbentuk bulat di tapak tangannya.

Luka di hati Nuri Haziq bagai dihiris kembali tatkala terbayang peristiwa Mahirah memulangkan cincin itu. Sampai sungguh hati Mahirah memperlakukan Nuri Haziq begitu. Nuri Haziq juga berasa sungguh terkejut. Masakan tidak, tiba-tiba sahaja Mahirah berkata dia sudah berjumpa dengan lelaki lain yang lebih sesuai untuk dijadikan pasangannya. Bila masakah Mahirah menjalin hubungan dengan lelaki itu? Nuri Haziq tidak berjaya mencari jawapannya kerana selama ini dia tidak pernah perasan akan perubahan yang mungkin wujud pada Mahirah. Segala-galanya indah pada pandangan matanya sehinggalah Mahirah berkata begitu. Dunia Nuri Haziq menjadi gelap. Sejujurnya memang Nuri Haziq sukar melupakan Mahirah. Bukannya Nuri Haziq tidak pernah berusaha untuk menyelamat hubungan mereka. Melalui kakak kepada Mahirah yang dihubunginya melalui telefon, Nuri Haziq pernah meminta agar menasihati Mahirah supaya kembali ke pangkuannya. Namun Nuri Haziq pula yang dinasihati oleh kakak kepada Mahirah itu supaya melupakan adiknya. Apakah semua ini? Nuri Haziq benar-benar tidak faham.

Hari ini genap setahun Nuri Haziq membawa cincin itu walau ke mana pun dia pergi, dan ini bermakna sudah genap setahun jugalah dia berpisah dengan Mahirah. Semua kenangan pahit dan manis bersama Mahirah masih terpahat kukuh di dalam ingatan Nuri Haziq, bagaikan baru semalam sahaja mereka berpisah.

Cincin itu…. apakah nasibnya? Cincin itu sudah tidak layak untuk disarungkan di jari Mahirah lagi. Sudah lama Nuri Haziq menyimpannya. Apakah yang Nuri Haziq mahu lakukan dengannya? Hari ini… Nuri Haziq sudah bertekad untuk melepaskan semuanya. Sudah tiba masanya untuk dia mengikhlaskan Mahirah pergi dan dia tidak mahu menyimpan cincin itu lagi. Tetapi Nuri Haziq berasa tidak sanggup pula untuk membuang cincin yang amat bermakna itu. Niat di hatinya mahu melempar cincin itu jauh-jauh ke dasar laut di hadapannya. Namun dia hanya berdiri kaku dan merenung jauh ke arah laut tersebut. Ombak kecil yang sesekali menghempas kakinya tidak dihiraukan. Tangan kanannya masih menggenggam cincin. Mahu dilempar atau tidakkah cincin emas itu? Biarkanlah sahaja ia ditelan laut…. Ah, Nuri Haziq masih tidak sampai hati. Cincin itu merupakan simbolik cintanya kepada Mahirah.

Nuri Haziq menyimpan cincin itu selama ini bukanlah bermaksud dia mengharap kepulangan Mahirah. Nuri Haziq bukannya bodoh untuk berbuat seperti itu, dan dia bukanlah seorang yang suka merampas bermati-matian terhadap sesuatu yang bukan haknya. Mahira sudah mempunyai pilihan lain. Sebaliknya Nuri Haziq menyimpannya selama ini kerana dia sayangkan cincin itu seumpama dia menyayangi Mahirah. Tetapi hari ini dia harus kuat membuang cincin itu.

Cukuplah Mahirah berada di dalam fikiran aku sahaja kerana kenangan ketika bersamanya tidak mungkin luput melainkan jika aku tiba-tiba kehilangan ingatan. Astaghfirullahal-Azim, Nuri Haziq cepat-cepat mengingati Allah s.w.t. Dia harus bersyukur kerana telah dikurniakan daya ingatan oleh Allah s.w.t. Amat tidak wajarnya rasanya jika dia berkata begitu.

Nuri Haziq berlutut di atas pasir pantai. Kemudian dia menunduk dan dia mula mengorek pasir pantai. Setelah berpuas hati dengan kedalaman lubang yang dikoreknya, dia cepat-cepat memasukkan cincin. Dan sebelum ombak kecil kembali menghempas kawasan itu, dia cepat-cepat menimbus kembali lubang tersebut. Disebabkan Nuri Haziq tidak sampai hati untuk melempar cincin tersebut ke dalam laut, jadi eloklah jika dia menanamnya di pinggir pantai itu. Setelah itu Nuri Haziq cepat-cepat meninggalkan pantai, meninggalkan simbol kenangannya. Dia tidak mahu lagi berlama-lama di situ. Selamat tinggal wahai simbol kenanganku, Nuri Haziq sempat berbisik di dalam hati.

Elok sahaja Nuri Haziq pergi dari pantai tersebut, datang pula seorang gadis dan dengan riang gembiranya gadis itu terus duduk menjulur kaki di atas pasir bersebelahan lubang cincin yang telah ditimbus oleh Nuri Haziq. Gadis itu memejamkan matanya, merasai betapa nikmatnya hembusan angin pantai yang menyapa wajahnya sambil membiarkan ombak kecil menghempas tubuhnya sehingga ke paras pinggang. Percikan ombak yang terkena pada wajahnya juga dibiarkan. Oh… tenangnya perasaan ini, detik gadis itu di dalam hati dengan senyuman yang semakin lebar terukir di bibirnya.

Setelah beberapa ketika, gadis itu kembali membuka mata. Keningnya berkerut apabila tiba-tiba sahaja tangannya yang menongkat pasir pantai itu menyentuh sesuatu yang membonjol. Serta-merta gadis itu mengalihkan pandangan. Mata gadis itu mengecil sebaik sahaja terlihat pasir yang seperti baru dikorek dan baru ditimbus kembali itu. Jika sudah lama pastilah bonjolan itu sudah hilang kerana diratakan oleh ombak yang saban waktu menghempas pantai. Apakah yang ada di sebalik bonjolan pasir ini? Fikir gadis itu. Tiba-tiba timbul keinginan di dalam hati gadis itu untuk mengorek pasir tersebut. Spontan dia terus mula mengoreknya.

Buntang mata gadis itu melihat sesuatu yang bersinar di tangannya, sesuatu yang baru diambilnya dari dalam pasir. Cincin emas?? Milik siapakah? Kelihatan gadis itu menggigit bibir bawahnya dengan kening yang semakin berkerut seperti gaya sedang berfikir. Gadis itu dapat merasakan yang cincin itu memang sengaja ditanam di situ. Tetapi dengan keadaan pasir pantai dan lubang yang tidaklah sedalam mana itu, dia yakin cincin itu tidak akan bertahan lama berada di situ. Ombak akan menariknya ke dasar laut. Ah, sayangnya jika cincin secantik ini dibiarkan tenggelam di dalam laut, bisik hati gadis itu lagi. Dia bangun dan berlalu dari pantai sambil menggenggam kemas cincin tersebut.

*****

SI GADIS sedang makan malam di hotel yang terletak berhadapan dengan laut. Dia sengaja memakai cincin emas yang dijumpainya pada siang hari. Kebetulan pula cincin itu memang sesuai dengan saiz jari manisnya.

Cincin itu menarik perhatian Maihani, kakak kepada gadis itu yang turut makan malam bersama. Lalu tanpa membuang masa, Maihani terus bertanya bagaimana adiknya itu boleh memakai cincin tersebut. Pada mulanya gadis itu memberitahu bahawa dia telah membeli cincin itu tanpa pengetahuan Maihani. Namun Maihani tidak mahu mempercayai, dia terus mendesak gadis itu supaya berterus terang. Gadis itu yang berasa hairan apabila melihat reaksi kakaknya itu kemudian menceritakan hal yang sebenar.

Air mata Maihani bergenang. Gadis itu bertambah pelik. Apa sebenarnya cerita di sebalik cincin emas ini? Mengapa Kak Maihani menangis? Fikir gadis itu. Maihani memberitahu adiknya bahawa mereka harus mencari pemilik cincin itu kembali. Gadis itu tidak kisah jika mahu mencari pemiliknya, tetapi bagaimana? Masakan dia mahu bertanya kepada pasir tentang siapakah yang menanam cincin itu di situ? Memang tidak masuk akal. Dan malam itu berakhir dengan kebuntuan.

*****

PADA keesokan harinya, kelihatan Nuri Haziq sedang mencapai biskut Chipsmore di sebuah kedai yang memang ada di sebelah hotel. Namun tanpa diduga terdapat tangan lain yang turut mahu mengambilnya. Nuri Haziq terkejut tatkala terpandang cincin yang berada di jari tangan tersebut. Cincin emas itu? Tidak mungkin! Pantas sahaja Nuri Haziq melepaskan biskut itu dan dia terus menoleh ke arah pemilik tangan tersebut.

Nuri Haziq terpana melihat gadis yang kini berada di hadapan matanya. Namun belum sempat dia berkata apa-apa, muncul pula satu suara yang menegur gadis itu. Sekali lagi Nuri Haziq terpana melihat pemilik suara yang baru muncul itu. Pantas sahaja Nuri Haziq memandang pemilik suara itu silih berganti dengan gadis di hadapannya.

Maihani terkejut tatkala menyedari lelaki yang berada di sebelah adiknya itu ialah Nuri Haziq. Maihani amat mengenali lelaki itu, cuma mungkin Nuri Haziq sahaja yang tidak pernah mengenali Maihani. Dan dia faham kenapa Nuri Haziq memandang dia dan adiknya sebegitu rupa. Masakan tidak, wajah Maihani dan wajah adiknya itu saling tidak tumpah. Persis kembar walaupun hakikatnya mereka bukanlah pasangan kembar.

Maihani bersyukur kerana dia tahu bahawa Nuri Haziq itu adalah pemilik kepada cincin tersebut. Tanpa membuang masa dia terus mengajak Nuri Haziq dan adiknya ke pantai.

Kini mereka bertiga sudah duduk di pondok kecil yang berhadapan laut. Maihani tahu, pasti Nuri Haziq dan adiknya itu sedang hairan melihat tingkah lakunya. Tidak mahu membuatkan mereka terus tertanya-tanya, Maihani terus memberitahu kepada Nuri Haziq bahawa adiknya itu ialah Mahirah. Sebab itulah Nuri Haziq amat terkejut semasa melihat wajah adiknya tadi. Mahirah pula tidak memberi sebarang reaksi. Memanglah nama dia Mahirah, sudah tertera di dalam kad pengenalannya. Apa yang perlu dia hairankan? Dia hanya menganggap kakaknya itu sekadar mahu memperkenalkannya kepada lelaki yang baru dijumpainya itu.

Manakala Nuri Haziq pula sudah menggaru kepala yang tidak gatal. Benarkah gadis ini ialah Mahirah? Tapi… kenapa dia seperti tidak mengenali aku langsung? Fikiran Nuri Haziq terus diserbu persoalan. Memahami apa yang sedang tersirat di dalam fikiran Nuri Haziq, Maihani mula menceritakan peristiwa pada setahun yang lalu.

*****

Imbas kembali…..

Malam itu hujan begitu lebat sambil diiringi dengan bunyi guruh yang kuat. Pada masa itu Maihani sedang duduk di ruang tamu, menuggu kepulangan si adik daripada kedai makan. Adiknya itu sendiri yang menawarkan diri untuk keluar membeli makanan, tidak perlulah mereka memasak. Namun lima belas minit selepas Mahirah keluar, hujan mula turun dengan lebat. Sudahlah Mahirah hanya berjalan kaki sahaja, tidak pula dia membawa payung. Yalah, manalah dia tahu yang hujan mahu turun. Langit malam yang sememangnya gelap itu telah mengaburi mata Mahirah daripada melihat awan kelabu yang seakan-akan sama warnanya dengan langit.

Rumah yang letaknya di bandar itu dihuni oleh Maihani dan Mahirah sahaja, manakala ibu dan bapa mereka tinggal di kampung. Memang sudah menjadi trend, akan ada di kalangan anak muda kampung yang berhijrah ke tempat lain demi mencari sesuap nasi. Dan itulah yang dilakukan oleh Maihani dan Mahirah.

Dalam keresahan menunggu itu, Maihani menerima panggilan telefon yang membawa berita malang kepadanya dan keluarga. Beg tangan Mahirah telah diragut dan Mahirah tidak sedarkan diri kerana kepalanya terhantuk dengan kuat di bahu jalan kerana ditolak oleh peragut yang tidak berperi kemanusiaan itu. Serta-merta Maihani menghubungi ibu dan bapanya untuk menyampaikan berita tersebut, dan dia terus berkejar ke hospital. Lamalah Maihani dan keluarganya berkampung di hospital itu kerana Mahirah tidak juga sedarkan diri. Namun berkat doa dan kuasa Allah s.w.t…. akhirnya Mahirah sedar. Tetapi malang terus menyusul apabila mereka mendapati Mahirah tidak dapat mengingati siapa diri dan orang-orang di sekelilingnya. Peragut itu pula langsung tidak dapat dikesan. Penjahat zaman sekarang memang licik dan bijak belaka.

Sejak peristiwa itu, Maihanilah yang sebenarnya membalas pesanan-pesanan ringkas daripada Nuri Haziq yang dihantar kepada telefon bimbit Mahirah. Ramai anak muda zaman sekarang yang mempunyai lebih daripada sebuah telefon bimbit, begitu jugalah dengan Mahirah. Mujurlah pada malam kejadian itu, Mahirah meninggalkan telefon bimbit yang selalu digunakannya untuk berhubung dengan Nuri Haziq itu di rumah.

Bukanlah niat Maihani untuk mengambil alih kedudukan Mahirah sebagai teman wanita Nuri Haziq. Tetapi dia tidak sampai hati untuk memberitahu Nuri Haziq akan keadaan kesihatan adiknya itu. Sebab itulah dia menyamar menjadi Mahirah sambil memikirkan jalan penyelesaiannya.

Entah bilalah ingatan Mahirah akan kembali. Setelah berbincang dengan keluarga, mereka membuat keputusan untuk memutuskan hubungan Nuri Haziq dan Mahirah. Kali ini, buat kali pertama Maihani meniru penampilan Mahirah dan berjumpa dengan Nuri Haziq untuk memutuskan pertalian itu. Cincin emas yang ditanggalkan sewaktu Mahirah tidak sedarkan diri itu dipulangkan kepada Nuri Haziq. Mujurlah Nuri Haziq hanya tahu bahawa Mahirah mempunyai seorang kakak, tetapi tidak pernah bersemuka dengannya. Jadi mudahlah Maihani mahu menyamar.

Beberapa bulan selepas itu, ingatan Mahirah tidak juga kembali. Maihani dan keluarganya mula sedar, mungkin jika Nuri Haziq berada di samping Mahirah, ingatan Mahirah boleh kembali dengan cepat. Sudah tentu banyak kenangan manis yang boleh digunakan oleh Nuri Haziq untuk memulihkan ingatan Mahirah. Namun nasi sudah menjadi bubur. Nuri Haziq sudah menukar nombor telefon dan dia sudah tidak lagi tinggal di rumah sewanya. Barangkali dia mahu berhijrah membawa hatinya yang lara. Dan Maihani gagal menjejaki Nuri Haziq.

*****

CERITA yang disampaikan oleh Mahirah tamat apabila tiba-tiba sahaja terdengar suara orang mengerang. Mereka terkejut apabila melihat Mahirah sedang mencengkam kuat kepalanya. Kelam kabut mereka cuba menenangkan Mahirah. Setelah keadaan Mahirah stabil, Maihani meminta maaf kepada Nuri Haziq dan Mahirah kerana dia telah bertindak membuat cerita sendiri semasa memutuskan hubungan mereka sebelum ini.

Sukar untuk Mahirah mempercayai cerita yang baru didengarinya itu. Benarkah Nuri Haziq ini ialah teman lelaki aku? Fikir Mahirah. Bersungguh-sungguh Nuri Haziq cuba meyakinkan Mahirah bahawa dia ialah teman lelaki Mahirah. Dan cincin emas itu sememangnya milik Mahirah. Nuri Haziq turut meminta maaf kerana dia sudah bertindak mem‘buang’ cincin itu semalam. Namun jika bukan kerana cincin emas itu, tidak mungkin mereka akan bersatu kembali seperti saat ini.

Pada mulanya, Nuri Haziq berasa marah juga apabila mengetahui Maihani telah berbohong dan menyamar sewaktu berjumpa dengannya dahulu. Namun dia cepat-cepat tersedar bahawa semua yang telah dilakukan itu mempunyai sebab. Dan Maihani telah menceritakan sebabnya tadi. Lagipun perkara itu sudah lama berlalu. Tidak perlulah dipanjang-panjangkan lagi kisahnya. Apa yang penting buat waktu ini ialah, Mahirah. Dia harus membantu memulihkan ingatan Mahirah.

*****

MEREKA tidak tahu bilakah Mahirah akan mampu mengingati semua kisah silamnya. Setakat ini ingatan Mahirah sudah semakin pulih. Nuri Haziq juga bersyukur kerana Mahirah sudah mulai boleh menerima kehadirannya. Biarlah…. andai ditakdirkan ingatan Mahirah terhadapnya tidak banyak, dia akan cuba mencipta memori-memori baru bersama Mahirah. Biarlah mereka memulakan percintaan mereka sekali lagi. Sebenarnya ini juga merupakan peluang untuk mereka memperbetulkan mana-mana kesilapan yang mungkin ada pada masa dahulu.

Sama-samalah kita berdoa agar mereka dilimpahi kebahagiaan dan sampailah mereka ke jinjang pelamin, seterusnya menjalani kehidupan bersama sepanjang hayat. Dan semoga juga perhubungan mereka itu dirahmati Allah s.w.t. dan kekal hingga ke syurga yang abadi. Amin.

-Tamat-

*Cerpen saya pada kali ini tidak mempunyai dialog langsung. Sekadar mencuba menulis dengan cara begini pula. Maafkanlah segala kekurangannya ya, saya akan cuba memperbaikinya pada masa akan datang.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

24 ulasan untuk “Cerpen : Kerana Cincin Emas”
  1. miza says:

    cantik baik hati

  2. nabilah azima says:

    best 😀

  3. P1 says:

    nice writing .

  4. bella says:

    2 jew… hurm ok ar….. best!… 😀

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.