Cerpen : Laili Si Tukang Cuci

10 April 2011  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

PUAN NANI memerhatikan para pekerjanya yang elok berbaris di hadapan. Beginilah rutin harian yang dilakukan mereka sebelum memulakan tugas. Seketika, pandangan mata Puan Nani jatuh ke wajah Laili.

“Laili, hari ini Syafiq cuti kecemasan. Nanti awak tolong bersihkan tempat dia sekali ya!” arah Puan Nani, penyelia bagi kumpulan kerja yang disertai oleh Laili.

Laili yang baru seminggu berkerja di situ pantas mengangguk laju. “Baik, Puan! Saya akan berkerja sebaik mungkin,” sahutnya dengan penuh semangat palsu. Penyapu jerami di tangannya digenggam sekuat hati. Jiwanya mahu memberontak, namun cuba ditahan perasaannya itu.

Pandangan Puan Nani menangkap tangan Laili dan penyapu jerami itu. Kemudian dia tersenyum.

“Bagus! Saya suka semangat awak. Pekerja-pekerja lain harus mencontohi semangat yang ada pada Laili,” puji Puan Nani sambil memandang anak-anak buahnya yang lain.

Oh… tidak! Puan Nani sudah tersalah sangka. Hati Laili terus menjerit. Genggaman eratnya pada penyapu jerami itu bukanlah membawa maksud yang positif. Sebaliknya penyapu jerami itu hanya menjadi mangsanya untuk melepaskan perasaan tidak senang. Dia tidak suka dengan pekerjaannya sekarang. Syafiq pun satu, waktu-waktu macam inilah mahu bercuti. Entah-entah cuti kecemasan tipu. Bukan dia tidak tahu, sahabatnya yang bernama Syafiq itu memang kerap bangun lambat. Nak-nak pula malam tadi ada perlawanan bola sepak. Sibuk berjaga sampai pagilah itu. Hai.. Syafiq… Syafiq….! Kalau aku jumpa kau nanti, siaplah aku ‘cuci’ kau cukup-cukup.

“Baiklah, jika tiada apa-apa masalah, kamu semua boleh mula berkerja. Ingat ya, jika bangunan kolej ini bersih, bersihlah imej kamu. Sebaliknya kalau kotor, kotorlah imej kamu. Selamat bertugas!” jelas ucapan Puan Nani itu pada telinga setiap orang yang mendengar. Lontaran vokal Puan Nani memang lantang. Pekaklah jika terdapat sesiapa yang tidak mendengarnya.

“Baik, Puan Nani!” balas pasukan kerja pencuci bangunan itu hampir serentak.

“Bagus. Terima kasih!” setelah mengakhiri ucapannya, Puan Nani melangkah meninggalkan anak-anak buahnya.

Laili menarik nafas lega sebaik kelibat Puan Nani hilang daripada pandangan. Sebenarnya dia sudah mula bosan mendengar ucapan merangkap amanat daripada Puan Nani yang hampir sama sahaja setiap pagi. Bagaimanalah mereka yang sudah bertahun-tahun kerja di situ mampu bertahan mendengar suara Puan Nani itu? Dilihatnya rakan-rakan sejawat yang lain sudah mula bergerak mahu ke kawasan kerja masing-masing. Tanpa menunggu lebih lama, Laili juga terus berlalu mahu melaksanakan tugasnya. Tugas apa? Tugas apa lagi…. tugas cuci mencuci dan gosok menggosoklah.

Gosok… jangan tak gosok…

Gosok sampai berkilat…

Gosok sampai kau nampak wajahmu…

Ah…. Laili benci tatkala teringatkan lagu dendangan kumpulan Spider yang dia tidak ingat tajuknya itu. Sejak dia bergelar tukang cuci, lagu itu selalu diperdengarkan oleh adik beradiknya yang nakal sewaktu di rumah. Bukannya dia tidak cuba mencari pekerjaan lain yang lebih baik. Tetapi sudah puas dia mencari. Namun sukar untuk dia mendapatkannya. Zaman sekarang ini, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan pendidikan adalah terlalu sengit. Pencari kerja sepertinya harus berusaha kuat.

Ada sejarahnya yang tersendiri bagaimana Laili boleh tercampak di situ sebagai tukang cuci. Semuanya gara-gara Syafiq. Sewaktu mereka sedang berbincang mengenai pekerjaan sambil menunggu pesanan makanan di sebuah restoran, Laili telah memarahi seorang pencuci wanita yang bertugas di situ.

Begini ceritanya…….. mari kita imbas kembali apa yang telah berlaku…

**********

“LAILI, apa perancangan kau lepas ni? Kau nak minta kerja kat mana pula?” soal Syafiq dengan rasa penuh ingin tahu.

“Entahlah Syafiq….. aku tak tahu nak cari kerja kat mana lagi. Semua syarikat tak nak ambil aku. Nak kata aku tak ada kelayakan pendidikan…. ada. Ijazah sarjana muda yang ada dalam genggaman aku ini, tak cukup ke bagi dia orang? Dan lagi satu, nak kata aku ini tak cantik…. cantik. Apa lagi yang dia orang nak?” jawapan yang keluar dari mulut Laili itu sudah kedengaran seperti satu bebelan.

Dahi Syafiq berkerut seribu mendengarkan bahagian hujung kata-kata Laili sebentar tadi.

“Eh, apa kena mengena pula cantik atau tak cantik dengan kerja? Kau kata apa tadi….? kau cantik?” sebaik menghabiskan kata-katanya itu, Syafiq terus ketawa berdekah-dekah.

“Lainlah kalau kau nak jadi peragawati ke…. artis ke… pramugari ke… barulah kecantikan itu akan diambil kira. Aku tak sangkalah pula kalau-kalau kau ada impian untuk menjawat kerja-kerja macam yang aku cakapkan itu. Hahaha!” Syafiq menyambung kata-katanya dalam tawa yang semakin galak.

Berubah terus riak wajah Laili. Keningnya sudah berkerut dan hampir bercantum. Giginya diketap penuh kemarahan. Kurang asam punya kawan. Berani kau memperlekehkan kecantikan aku ya? Gumam hati Laili dengan perasaan yang panas membara.

Laili sudah mengangkat tinggi tangannya, mahu menepuk meja bagi menghentikan ketawa Syafiq yang sudah kedengaran seperti orang gila terlepas dari Tanjung Rambutan. Buruk sungguh bunyinya. Namun belum sempat tapak tangan Laili menyentuh meja, gelas air tembikai di hadapannya itu terlebih dahulu menjadi sasaran tangannya…. tanpa sengaja. Lalu berhamburanlah air berwarna merah di atas meja dan lantai. Bunyi gelas yang jatuh melantun berdentingan menarik perhatian sekalian yang ada di dalam restoran itu.

Seorang pencuci dengan peralatan membersihnya tergesa-gesa merapati meja yang diduduki oleh Laili dan Syafiq. Laili sudah menekup mulutnya sendiri mengenangkan apa yang telah dilakukannya. Manakala mulut Syafiq terlopong melihat sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Laili sepanjang dia mengenali gadis itu. Seketika kemudian mereka berpura-pura tidak mengendahkan pandangan sinis daripada pengunjung lain di restoran tersebut. Maluuu!

Laili dan Syafiq hanya duduk mematungkan diri sambil memerhatikan si tukang cuci itu melakukan kerja-kerja membersih. Setelah selesai melakukan tugasnya, tukang cuci wanita itu mahu melayangkan kain lap yang baru digunakannya ke atas bahu. Namun entah bagaimana silapnya, kain lap itu boleh terlayang pula ke muka Laili. Silap sasaran, terlebih tenaga sewaktu melayangkan kain lap tersebut.

Arghh! Wajah Laili sudah merah padam menahan perasaan malu bercampur marah. Sekali lagi hati Syafiq dijentik kegelian. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia ketawa sepuas-puasnya. Namun terpaksa ditahannya tatkala melihat sudah ramai pengunjung lain yang ketawa geli hati sambil menyaksikan aksi Laili dan si tukang cuci itu.

“Maaf. Saya tak sengaja!” ucap tukang cuci wanita yang tidaklah terlalu tua itu. Barangkali umurnya dalam lingkungan 30-an. Tanpa membuang masa, tukang cuci wanita itu mengangkat kain lapnya dari wajah Laili.

“Kau ini macam mana buat kerja? Kau ada masalah rabun ke sampai tak dapat membezakan antara penyidai kain dengan muka aku? Kain kau itu kotor tahu tak? Hisy! Rosakkan solekan aku aje!” marah Laili sebelum tukang cuci itu sempat menggerakkan kakinya untuk berlalu dari situ. Tangan Laili sibuk menggosok-gosok pipinya sendiri.

Terkedu seketika tukang cuci wanita itu mendengarkan kata-kata kurang sopan yang begitu lancar keluar dari mulut Laili. Maruahnya seperti sedang dicarik-carik dan dipijak-pijak oleh mulut Laili yang memang ternyata tidak berinsuran itu. Wajah Laili di hadapannya itu dipandang penuh ketajaman. Baginya, manusia tidak bersantun seperti Laili itu tidak harus wujud di muka bumi Allah ini.

Riak wajah Syafiq juga terus berubah. Tiada lagi rasa ingin ketawa. Sungguh dia tidak menyangka yang Laili tergamak untuk berkata sekasar itu. Lebih dia tidak percaya apabila Laili tergamak untuk menghina peralatan kerja tukang cuci itu. Ternyata rakan sepermainannya sewaktu kecil dahulu sudah berubah. Perpisahan selama lima tahun untuk menyambung pelajaran masing-masing telah mengubah sikap Laili. Belum pun lama mereka bertemu kembali, menyambung tali persahabatan, Laili sudah menunjukkan sikap yang tidak pernah dilihat oleh Syafiq sebelum ini.

“Cik… belajarlah mengenal kehidupan,” dalam maksud kata-kata yang baru diucapkan oleh si tukang cuci itu. Tanpa menunggu balasan dari mulut Laili, tukang cuci itu terus berlalu menyambung kerja-kerjanya yang lain di Restoran Indah Maya itu.

Sedikit pun tukang cuci itu tidak melenting. Jauh sekali mahu membalas setiap perkataan yang menghiris hatinya dengan ayat yang tidak sopan. Tipulah jika dia mengatakan bahawa hatinya tidak tersentap tatkala gegendang telinganya menyerap setiap lantunan butir bicara Laili sebentar tadi. Jauh di sudut hati, ada tangisan yang sedang mengalir. Namun tidak akan sesekali dia menunjukkan kesedihan atau kelemahan dirinya di hadapan orang lain.

Dia mahu menjadi orang yang terhormat. Ya…. tukang cuci terhormat. Tukang cuci juga punya maruah dan kehormatannya yang tersendiri. Pekerjaan sebagai tukang cuci adalah pekerjaan yang mulia walaupun ramai yang memperlekehkannya, dan tidak kurang juga ada yang beranggapan negatif terhadapnya.

Hanya mereka yang pernah menjadi tukang cuci sahaja akan memahami betapa pekerjaan itu tidak harus dipandang hina, betapa mereka juga punya hati dan perasaan yang perlu dijaga. Tidak pernah wujud peraturan yang menyatakan bahawa tukang cuci itu boleh dimarah dan dicerca sesuka hati. Bukanlah kata pujian membukit yang mereka harapkan. Namun cukuplah sekadar sekelumit rasa saling menghormati antara insan yang sama-sama menumpang teduh di Bumi kurniaan Allah ini.

“Apa yang perempuan itu cakap tadi, Syafiq? Aku tak faham langsung! Aku tanya dia itu rabun ke? Lain pula yang dijawabnya,” omel Laili seperti manusia tidak berperasaan.

Syafiq tidak membalas pertanyaan Laili. Dia hanya memandang wajah Laili yang memang tidak dinafikan kecantikannya. Tadi dia hanya mahu mengusik Laili dengan mempersoalkan kecantikan gadis itu. Dia memang sengaja. Namun kecantikan yang terpamer di hadapannya kini seakan pudar sedikit demi sedikit ditelan buruk laku si pemilik wajah itu. Sayang sahabat, Syafiq harus melakukan sesuatu.

“Muka aku ini ada terlekat biji tembikai ke? Kenapa kau pandang aku macam nak telan?” tegur Laili dengan kuat.

“Biji tembikai itu tak ada. Tapi, biji mata ada!” balas Syafiq. Terjegil biji mata Laili mendengarnya.

Syafiq hanya tersenyum melihat reaksi Laili yang memang sudah diduganya itu.

“Main-main pula! Orang tengah panas hati ini tahu tak?” marah Laili. Sungguh dia tidak puas hati melihat ketidakseriusan Syafiq.

“Baik! Aku serius. Aku rasa…. kau tak patut marah tukang cuci itu tadi,” Syafiq bersuara penuh hati-hati.

“Kenapa pula? Muka aku ini dah kena selimut dengan kain lap kotor dia itu. Mestilah aku marah!” luah Laili dalam nada suara yang makin meninggi.

Hmm….. sudah Syafiq agak. Laili akan melenting mendengar tegurannya.

“Kan dia tak sengaja. Bukan dia suka-suka nak sidai kain lap itu kat muka kau. Kau sendiri pun nampak yang dia sebenarnya nak sidai kain itu kat bahu dia. Lagi satu, ini aku nak tanya kau sikit. Kain lap itu memang kotor, berbau pula itu. Tapi, kau tahu tak kenapa kain itu kotor?” soal Syafiq. Dia sudah bertindak ala-ala ahli motivasi untuk menyedarkan Laili yang tidak menyedari kesalahannya sendiri.

“Kain itu kotor sebab dia dah lap air tembikailah. Itu pun kau nak tanya lagi ke? Macamlah kau tak tahu,” rungut Laili.

Memang sah, berdasarkan butir bicara Laili, memang tingkah laku dan pertuturan sahabat lamanya itu sudah berpusing hampir 360 darjah. Sangat bertentangan dengan karakter Laili yang terdahulu.

“Betul itu! Sebab apa dia lap air tembikai?” Syafiq terus-terusan menyoal. Penuh perhatian Syafiq menghalakan pandangannya ke arah anak mata Laili yang tampak semakin tidak senang duduknya.

Laili sudah berasa bosan. Satu keluhan kasar keluar daripada mulutnya. Dia tahu Syafiq sedang cuba untuk memerangkap dirinya.

“Sebab air dah tumpahlah. Dia kan tukang cuci. Sudah menjadi tugas pencuci untuk membersihkan semua kekotoran,” Laili masih tetap menjawab segala soalan yang diajukan kepadanya.

“Bagus jawapan kau. Tahniah!” ucap Syafiq dengan lontaran suara yang kedengaran padu. Terpancar semangat dan keikhlasan pada kata-kata Syafiq itu.

Dahi Laili berombak. “Bagus? Ya ke? Kalau bagus…. terima kasihlah. Aku memang bagus dari dulu pun. Kau sahaja yang tak mahu mengaku akan kebagusan aku,” ada riak angkuh pada nada suara Laili.

Syafiq hanya tersenyum penuh makna. Yak! Sebenarnya hampir nak termuntah Syafiq mendengar kata-kata Laili yang sudah layak untuk dikategorikan sebagai masuk bakul angkat sendiri. Sedarlah diri itu sedikit wahai Cik Laili Arifah binti Ahmad Nazim. Dahulu memang kau bagus. Tetapi sekarang tidak lagi.

Syafiq amat bersetuju dengan jawapan Laili yang mengatakan bahawa sudah menjadi tugas pencuci untuk membersihkan semua kekotoran. Bagi Laili, kekotoran itu hanyalah sekadar kekotoran fizikal seperti air tembikai yang telah ditumpahkannya itu. Namun tidak bagi Syafiq.

Pada pandangannya, kekotoran itu bukanlah bersifat fizikal semata-mata. Kekotoran fizikal mudah dicuci, namun kekotoran hati bagaimana pula? Hati yang kotorlah punca kepada segala ‘penyakit’ hati seperti dengki, marah, angkuh dan sebagainya yang lazimnya akan memporak perandakan keharmonian masyarakat.

Syafiq faham akan maksud kata-kata si tukang cuci itu sebentar tadi. Ya… tukang cuci itu menyuruh Laili belajar mengenal kehidupan. Itu bermaksud dia mahu Laili cuba memahami sesuatu mengenai kehidupan. Apakah sesuatu itu?

Syafiq tidak tahu bagaimana pandangan orang lain mengenai ayat si tukang cuci itu. Setiap orang punya citarasa dan pendapat masing-masing. Tetapi bagi dirinya, tukang cuci itu mahu Laili mengenal nilai-nilai kemanusian seperti sabar, berbudi bahasa, ikhlas, berkasih sayang, bertoleransi, menghormati dan sebagainya. Bukan Laili sahaja, malah dirinya dan semua orang juga harus berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaan itu dalam menjalani kehidupan seharian.

Nama pun sudah nilai kemanusiaan. Bagaimana mungkin seseorang itu mampu menakhoda kehidupannya tanpa nilai-nilai kemanusiaan? Hanya dengan nilai-nilai itulah maka kita akan mengenal kehidupan yang bahagia. Jika nilai-nilai itu tiada di dalam diri, masih layakkah seseorang itu digelar manusia? Fahamkah Laili akan maksud tersirat daripada kata-kata tukang cuci yang baru dihinanya itu? Oh ya… hampir Syafiq terlupa bahawa Laili sudah mengatakan yang dia tidak faham langsung akan maksud kata-kata itu. Opps! Maaf, Syafiq sedar bahawa bicara hatinya sudah semakin lancang tatkala semakin rancak membahaskan soal ini.

“Laili, kau belum dapat kerja lagi kan? Apa kata kalau aku tolong kau dapatkan kerja?” usul Syafiq secara tiba-tiba.

Mata Laili bersinar mendengar tawaran Syafiq itu. Senyumannya makin melebar.

“Mestilah nak. Kerja apa yang kau nak tolong aku dapatkan ni?” Laili terus bertanya dengan perasaan yang makin teruja.

Syafiq bersyukur melihat reaksi positif yang ditonjolkan oleh Laili. Dia amat berharap, rancangan yang sudah tersemat kemas di dalam kotak fikirannya akan mampu direalisasikan dengan jayanya. Dia tidak suka Laili yang berada di hadapannya kini. Sebaliknya dia rindukan Laili yang dahulu, seorang wanita yang punya nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Hmm…. buat masa ni, aku tak boleh bagitahu kau. Sampai masanya nanti kau tahulah. Tapi ada satu syarat,” ujar Syafiq. Jari telunjuknya mula mengetuk perlahan meja restoran itu.

Kecil mata Laili melihat wajah Syafiq. Keningnya berkerut memikirkan akan syarat yang mahu dikenakan kepadanya.

“Apa syaratnya?” tidak mahu berteka teki lagi, Laili pantas bertanya.

“Syaratnya ialah kau tidak boleh menolak kerja itu nanti. Setuju?” itulah syarat Syafiq.

Terherot mulut Laili mendengar syarat itu. Hmm….. bagaimana ya? Saat ini otak Laili sibuk berfikir. Mahu ditolak, menolak tuah namanya itu. Mahu diterima, dia tidak tahu apakah kerja yang dimaksudkan oleh Syafiq pula. Susah juga Laili mahu membuat keputusan. Kali ini jari jemari Laili pula yang mula menari di atas meja. Lagak orang sedang memikirkan masalah Negara.

“Macam mana aku nak setuju kalau aku sendiri tak tahu apa kerjanya?” Laili meluahkan rasa ketidakpuasan hati.

“Terpulanglah pada kau. Aku tak paksa,” balas Syafiq tanpa ada tanda-tanda untuk mendedahkan identiti pekerjaan yang mahu ditawarkannya.

Riak kecewa mula terpamer di wajah Laili. Nampaknya memang tiada harapan untuk dia mencungkil akan apa yang tersirat di hati Syafiq. Sekali lagi jari jemarinya menari di atas meja.

“Bukan kerja sebagai tukang cuci macam perempuan tadi kan? Kalau kau tawarkan gaji sejuta pun belum tentu aku nak terima. Tak sesuai tau. Apa kelas jadi tukang cuci?!” Laili masih tidak berputus asa untuk mendapatkan maklumat. Sempat pula dia menghina pekerjaan itu.

Hai… Laili… Laili…. sudah ada orang mahu membantu mendapatkan pekerjaan pun masih lagi banyak ‘bunyi’. Tapi, benar juga apa yang dilakukan oleh Laili itu. Mana boleh kita bersetuju secara hentam keromo sahaja. Dibuatnya pekerjaan sebagai pelayan kelab malam, macam mana? Hmm…. bahaya sungguh itu. Tapi, kalau setakat kerja tukang cuci itu, tak ada la bahaya mana. Malah, pekerjaan itu halal dan suci lagi.

“Hahaha….. terpulanglah pada kau nak fikir apakah jenis pekerjaan yang aku maksudkan. Sekarang ini, yang aku nak tahu, apakah kau bersetuju atau pun tidak? Itu sahaja,” kata-kata Syafiq itu terus mematikan harapan Laili untuk terus melakukan desakan. Mulut Laili terkunci.

“Kau janganlah risau sangat. Aku takkan jual kau punya. Niat aku baik,” bersungguh-sungguh Syafiq cuba meyakinkan Laili.

“Oh ya, lupa aku nak tanya. Dulu kau ambil ijazah apa?” soal Syafiq kemudian.

“Ijazah Sarjana Muda Perakaunan,” pantas Laili menjawab.

“Bagus!” suara Syafiq.

Tiba-tiba senyuman terukir di bibir Laili. Pasti Syafiq akan mendapatkannya pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang disandang. Jawatan Pegawai Eksekutif Akaun…. mungkin? Hatinya mula berbunga riang. Imej wanita berbaju kot sambil memegang fail berwarna hitam sedang bermain-main di ruang fikirannya.

“Erm….. baik! Aku setuju! Aku akan terima apa sahaja pekerjaan yang kau carikan. Aku tak kisah. Terima kasih!” akhirnya Laili membuat keputusan.

Mulut Laili sahaja yang mengatakan dia tidak kisah. Namun hakikatnya, di dalam kotak fikirannya itu hanya ada satu nama jawatan sahaja, iaitu Pegawai Eksekutif Akaun. Entah bagaimana dia boleh terlalu yakin yang Syafiq akan mendapatkan jawatan itu untuknya. Tunggu dan lihat sahajalah ya.

Seminggu kemudian Syafiq mengajaknya kembali ke Restoran Indah Maya.

“Laili, aku nak ucapkan tahniah kat kau. Sebab, hari ini kau dah boleh mula berkerja,” tanpa bertangguh Syafiq terus memberitahu berita yang dibawanya.

Mulut Laili ternganga luas. Terkejut. Adakah kata-kata Syafiq itu menandakan bahawa dia sudah mendapat pekerjaan? Ya…. dia bukan penganggur lagi. Yahooo! Tapi…..

“Eh, tak payah temuduga dulu ke?” Laili bertanya dalam kesangsian.

“Tak payah. Kau anggaplah aku yang temuduga kau masa kita berbual sebelum ini,” jawab Syafiq dengan nada selamba.

“Hahaha…… kiranya kau bos akulah ini?” soal Laili dengan tujuan mengusik Syafiq.

“Ya, aku bos kau. Kau pekerja aku,” ujar Syafiq. Tenang sahaja gayanya.

Amat sukar untuk dipastikan sama ada Syafiq itu sedang bergurau atau sememangnya serius dalam setiap patah perkataan yang diucapkannya.

“Sudahlah itu Syafiq. Mulut aku ini dah tak larat nak ketawa banyak-banyak lagi. Buat lawak aje la kau. Kau bos aku? Oh! No way! Kalau aku kawan kau, itu baru betul. Eh Syafiq, kau tak kerja ke hari ini? Boleh ajak-ajak aku keluar pula. Entah-entah kau pun tak kerja macam aku tak? Kau nak main-mainkan aku ya pasal aku dapat kerja yang kau cakapkan itu?” sambil menyuap nasi goreng pattaya, mulut Laili sibuk bertanya itu dan ini, tanpa sempat Syafiq menjawabnya terlebih dahulu satu demi satu.

Syafiq menghirup air milo ais yang sememangnya menjadi minuman paling digemarinya. Tidak kiralah restoran mana yang dia pergi, pasti air minuman itu yang dipesannya. Hidupnya seakan tidak lengkap tanpa air milo ais. Kemudian Syafiq kembali memberikan perhatiannya terhadap Laili yang masih setia menanti jawapan kepada setiap persoalan yang sedang berlegar-legar di dalam kotak fikirannya.

“Aku kerjalah. Sedapnya mulut kau mengata aku main-mainkan kau ya? Muka aku ni tak cukup ikhlas ke untuk meyakinkan kau?” sempat pula Syafiq mahu menyakat Laili. Dia sengaja menyeksa Laili dengan memutar belitkan jawapan.

Dada Laili terasa sesak. Memang dia terseksa melihat Syafiq yang seperti cuba mengelak daripada menjawab soalannya dengan tepat. Seperti ada sesuatu yang tidak kena sahaja. Mungkinkah Syafiq sedang merancang sesuatu? Otak Laili ligat membuat andaian sendiri.

“Ok! Jom kita pergi kerja!” ajak Syafiq.

Berkerut kening Laili mendengarkan ajakan Syafiq. Jom kita pergi kerja? Bermaksud…. pergi kerja sekarang ke? Perkataan ‘kita’ itu…. bermaksud Laili dengan Syafiq? Sama-sama? Riak wajah Laili semakin blur.

“Tunggu apa lagi? Nak kerja ke tak nak ini?” teguran Syafiq itu membuatkan Laili terperanjat.

“Kejap…. kejap…. maksudnya, aku kerja sama-sama dengan kau ke? Dekat mana?” tidak jemu-jemu Laili melontarkan soalan demi soalan. Tetapi sayang, satu pun dia tidak mendapat jawapannya.

“Betul itu. Kau janganlah risau. Aku tak akan jadi bos kau punya. Kita akan kerja sama-sama. Kawan dan rakan sejawat. Tapi aku peliklah, kenapa kau tak suka kalau aku jadi bos kau? Best apa, nanti kau mesti jadi anak buah aku yang paling aku sayang,” ujar Syafiq dengan sengihan yang makin meleret. Sengihan Syafiq itu memang ada ciri-ciri lelaki buaya darat. Namun syukurlah Syafiq bukan lelaki yang seperti itu.

“Yak! Untuk pengetahuan kau, aku tak rela jadi anak buah kau. Malulah! Kau kan kawan aku, mana boleh jadi bos aku. Tapi kat mana tempat kerja itu?” sempat Laili bertanya soalan yang satu itu sekali lagi di hujung ucapannya. Dia terlalu ingin tahu dengan lebih lanjut perihal pekerjaan yang baru diperolehinya tanpa temuduga itu.

Syafiq tersenyum panjang. Hai… syafiq ini asyik senyum dan sengih sahaja. Apa agaknya yang ada dalam fikiran dia?

“Malu? Kenapa? Kalau kawan tak boleh jadi bos ke?” sengaja Syafiq bertanya. Sambil itu, dia menghabiskan sisa air milo ais di dalam gelas. Dia perlu lekas-lekas membawa Laili ke tempat kerjanya. Tetapi banyak pula soalan Laili yang menangguh-nangguhkan masanya. Syafiq pun silap juga, yang dia pergi melayan kerenah Laili itu siapa suruh? Bukankah itu namanya cari penyakit sendiri?

Laili memejamkan matanya rapat-rapat. Argh…. sakit hati Laili mendengar soalan Syafiq. Geramnya…. sungguh-sungguh dia geram. Sejak bila si Syafiq ini tidak faham Bahasa Melayu? Lain yang Laili tanya, lain pula yang Syafiq jawab. Malah dirinya pula yang disoal kembali. Tekanan perasaan betullah kalau macam ini. Huh!

“Heee…… kau memang sengaja nak main tarik tali dengan aku kan? Arghh! Malaslah macam ini. Aku nak balik. Aku tak nak kerja!” Laili membentak keras.

“Eh…. nanti…. nanti….. ok… ok… aku akan terangkan, aku akan terangkan!” cepat-cepat Syafiq menahan gerakan tangan Laili yang sudah mencapai beg tangannya yang cantik seperti beg tangan datin-datin sahaja. Alah… nampak sahaja mahal. Tapi beli kat pasar malam sahaja itu. Murah sahaja. Beg tangan celup jenama terkenal.

Mendengarkan kata-kata Syafiq itu, Laili terus tersenyum. Dia membetulkan kembali duduknya di atas kerusi restoran itu. Tangannya pula mengemas-ngemas baju blaus berwarna ungu dan seluar panjang hitam yang dipadankan bersamanya. Setelah itu dia meleretkan senyuman dengan kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas riba. Dia mengangguk perlahan sebagai arahan agar Syafiq meneruskan penerangan seperti yang sudah dijanjikan sebentar tadi.

Gulp! Apa aku nak terangkan ini? Telan air liur Syafiq melihat Laili yang serius sudah bersedia untuk mendengar di hadapannya. Mengenangkan Laili yang semakin panas baran itu, dia tahu bahawa dia wajib memberi penerangan.

“Cepatlah terangkan!” Laila mendesak. Bertambah sakit hati pula dia melihat Syafiq yang hanya terkebil-kebil seperti tertelan cicak.

“Ok… ok… relaks! Tempat kerja itu kat Kolej Kristal. Itu aje maklumat yang aku boleh bagitahu. Jom kita pergi. Kita dah lambat dah ini!” jawab Syafiq seraja mengajak Laili sekali lagi.

Biji mata Laili membulat.

“Kolej? Kerja sebagai pensyarah ke?” Laili masih tidak penat untuk meneka.

Syafiq ketawa spontan mendengar tekaan Laili yang seratus peratus salah itu. Kau akan tahu juga nanti Laili. Masa itu kau tak boleh tolak lagi kerja itu. Sebabnya, kau sudah berjanji akan menerima apa sahaja pekerjaan yang aku dapatkan.

“Sudah… sudah… tak payahlah kau nak teka-teka lagi. Buat penat otak kau sahaja. Kalau kau nak kerja, cepat ikut aku,” seusai ayat itu, Syafiq terus bangun.

Melihatkan Syafiq yang sudah semakin jauh berjalan, Laili cepat-cepat bangun dan mengejar lelaki itu. Syafiq yang perasan Laili sudah mula bergerak mengekori langkahnya sempat tersenyum panjang. Yes!!

**********

“OH! Ini ke pekerja baru itu, Syafiq?” soal Puan Nani dengan mimik muka tidak senangnya. Dari hujung kepala sampai ke hujung kaki Laili diperhatikan oleh Puan Nani.

“Ya, Puan. Inilah dia orangnya,” jawab Syafiq. Kelihatan Puan Nani hanya mengangguk.

Beberapa orang pekerja lain yang berada berhampiran mesin perakam waktu pejabat itu kelihatan menjeling-jeling melihat kehadiran Laili yang baru tiba bersama Syafiq.

Di kejauhan, terdapat dua orang pekerja lain sedang berjalan menghampiri pejabat. Mata masing-masing terus terlekat pada wajah Laili yang tidak pernah mereka kenali itu. Siapakah mereka? Merekalah Bunga dan Cempaka. Wow! Klasiknya nama mereka. Cantik namanya semanis orangnya. Tetapi perangainya bagaimana pula? Kita lihat nanti ya!

“Siapa itu?” terdengar soalan Bunga dalam nada bisikan.

“Entah! Aku dengar-dengar, ada pekerja baru nak masuk hari ini. Perempuan itulah agaknya. Tapi pagi tadi tak ada pula,” jawab Cempaka dengan bibir yang tercebik seperti orang tidak puas hati.

“Eh, waktu rehat dah nak tamat ni. Habis kita nanti kalau Puan Nani nampak kita masih berlegar-legar kat sini,” ucap Bunga secara tiba-tiba. Gaya percakapannya ala-ala pekerja cemerlang gitu.

Pantas wajah Bunga ditatap seketika sebelum Cempaka bersuara. “Tak payah nak berlagak baik!”

Cempaka pura-pura tidak mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Suara Puan Nani yang tiba-tiba menerjah ke gegendang telinga mengalihkan perhatian mereka.

“Awak ni….. nak pergi kerja ke atau nak pergi temuduga sebagai pegawai bank?” tanya Puan Nani. Sekali lagi dia memandang perwatakan Laili dari atas ke bawah.

Laili sudah berasa serba tidak kena tatkala diperhatikan sebegitu rupa. Dahinya berkerut seribu. Apa yang tidak kena dengan penampilan aku? Fikir Laili.

“Nak… nak kerja, Puan,” tergagap-gagap Laili menjawab.

“Baiklah. Esok jangan berpakaian macam ni lagi. Tak sesuai. Cempaka! Mari sini!” arah Puan Nani seraya memanggil Cempaka yang dilihatnya masih tercegat berhampiran mesin perakam waktu itu.

Riak terkejut jelas kelihatan pada wajah Cempaka dan Bunga. Secepat mungkin Bunga mengekori langkah Cempaka yang panjang menghampiri Puan Nani.

“Ya, Puan?” sapa Cempaka sesopan yang mungkin.

“Ini ada pekerja baru. Err… siapa nama awak?” soal Puan Nani kepada Laili.

“Laili… Laili Arifah binti Ahmad Nazim,” Laili memberitahu nama penuhnya. Puan Nani mengangguk dan pandangannya kembali dihalakan ke arah Cempaka.

“Laili akan masuk team awak. Nanti awak tunjuk ajar dia apa yang patut,” arah Puan Nani kemudian.

Spontan Cempaka dan Bunga memandang wajah Laili. Dahi kedua-dua sahabat baik itu berkerut. Entah apa yang sedang difikirkan oleh mereka. Laili tersenyum. Namun cepat-cepat senyumannya itu mati tatkala tiada balasan. Renungan tajam daripada Bunga dan Cempaka itu menyeramkan dirinya.

“Laili, Cempaka ialah leader team awak. Dan Bunga ialah pembantunya. Setiap team mempunyai lebih kurang lima hingga sepuluh orang. Nanti awak berkenal-kenalanlah dengan mereka. Awak ada apa-apa soalan?” tanya Puan Nani di hujung penerangannya.

“Err…. apa pekerjaan yang saya akan lakukan?” terpacul soalan tersebut dari mulut comel Laili.

Bulat mata Puan Nani, Bunga dan Cempaka mendengarkan soalan Laili itu. Takkanlah Laili tidak tahu?? Fikiran mereka diserbu persoalan yang kurang logik. Seketika, baru mereka teringat akan kehadiran Syafiq. Lelaki itu pasti ada jawapan kepada persoalan yang sedang menghantui mereka. Namun didapati Syafiq sudah tiada. Entah bila masa pula dia menghilang.

“Cleaner!” Puan Nani, Bunga dan Cempaka menjawab serentak.

Bergema jawapan mereka itu di pendengaran Laili. Serta merta mulut Laili terlopong. Matanya pula membulat, lebih bulat daripada mata ketiga-tiga manusia yang terkejut dengan soalannya sebentar tadi. Dia seperti berada di alam mimpi. Tidakkkkk!!! Aku tak percaya! Syafiqqq………! jiwanya menjerit pilu. Apa yang kau dah buat ni Syafiqqq??! Laili memberontak di dalam hati sendiri kerana hakikatnya dia hanya senyap dan berdiri tegak seperti patung.

“Awak tak tahu ke?” pantas Bunga dan Cempaka bertanya. Hampir serentak bunyinya.

Biji mata Laili terkebil-kebil sambil memandang wajah Bunga dan Cempaka.

“Err… tahu.. tahu, cuma… kerja cleaner tu macam mana?” Laili mengutarakan soalan bodoh. Bukannya dia tidak tahu bagaimana pekerjaan tersebut. Cuma soalan itu terbit kerana dia masih tidak dapat menerima hakikat akan pekerjaan tukang cuci yang sedang digenggamnya.

Sekali lagi tiga orang manusia di hadapan Laili itu tercengang.

Sebenarnya Laili hanya tidak mahu kelihatan kalah di hadapan mereka. Mereka tidak boleh tahu perkara yang sebenar. Aku harapkan pegawai, rupanya cleaner yang aku dapat! Memang cari nahaslah kau, Syafiq. Aku cincang-cincang kau lepas ni! Bertanya aku mempunyai ijazah apa konon. Takkanlah pekerjaan cleaner seperti ini memerlukan ijazah dalam bidang akaun? Laili terkenangkan soalan Syafiq yang ternyata langsung tidak relevan.

“Eh, kau ni biar betul tak tahu? Kau ni orang bumi ke orang bulan?” spontan Bunga bertanya.

Cempaka menyenggol siku Bunga. Cempaka memberi amaran dengan ekor mata supaya Bunga tidak terus bertanya yang bukan-bukan. Bunga selamba sahaja. Malah dia tidak menyedari bahawa Puan Nani sedang merenung tajam ke arah dirinya tatkala mendengar soalan kurang sopan yang baru dilontarkan.

“Sudah… sudah, Laili nanti awak ikut Cempaka,” lerai Puan Nani. Setelah itu Puan Nani terus berlalu menuju ke arah mejanya di dalam pejabat itu.

“Jom!” ajak Cempaka tanpa membazir masa lagi.

Bunga mengekori langkah Cempaka dan Laili. Mata Bunga masih tidak lepas daripada memandang pelik ke arah Laili. Aneh sungguh perempuan ini. Fikir Bunga. Makhluk asing ke dia? Aku rasa, budak kecil pun tahu kerja cleaner tu macam mana. Tidak habis-habis lagi Bunga bermain kata-kata di dalam hati.

“Eh, kat mana ni?” soal Laili sebaik mereka tiba di dalam sebuah bilik yang yang dipenuhi barangan seperti sabun, penyapu, pembersih vakum, mop dan bermacam-macam lagilah.

“Ini namanya stor. Bunga, aku rasa aku tengah mengajar budak umur dua tahunlah,” Cempaka bersuara kepada Bunga yang sejak tadi berdiri di belakangnya.

Mengekek Bunga ketawa mendengar kata-kata Cempaka itu. Laili sudah menjeling tajam dengan kening yang dikerutkan.

“Kau tau tak benda alah ni apa namanya?” soal Cempaka sambil memegang sarung tangan berwarna kuning terang.

Kuat Laili menggigit bibir. Namun matanya tetap melihat sarung tangan yang ditayang-tayangkan di hadapan matanya itu.

“Taulah!” tidak ikhlas Laili menjawabnya.

“Ingatkan tak tahu,” balas Cempaka. Sekali lagi bilik stor itu bergema dengan suara tawa Bunga dan Cempaka.

“Ni tau tak?” kali ini Bunga pula yang bertanya.

Hati Laili semakin panas membara. Bulat matanya memandang penyapu jerami yang dipegang oleh Bunga. Laili menarik nafas dalam-dalam. Sabarlah wahai hati…..

“Tak apa-tak apa, aku tau kau tau. Pandai… pandai…” ucap Bunga sambil menahan tawanya daripada meledak sekali lagi. Cempaka sudah menutup mulutnya, juga menahan ledakan tawanya.

“Sekarang, kau ambil sarung tangan, penyapu, sabun, berus tandas, kain lap, plastik sampah dan masukkan semua tu ke dalam troli kuning ni. Lepas tu pergi tandas aras satu, bersihkan tandas tu. Oh ya, jangan lupa ambil papan tanda ni. Letak dekat pintu masuk tandas. Jangan bagi orang masuk. Nanti kang tak pasal-pasal, kena kacau dengan lelaki miang pula,” panjang lebar Cempaka menurunkan amanatnya.

Laili menyambut papan tanda ‘Awas! Kerja-kerja permbersihan sedang dilakukan’ yang dihulurkan oleh Cempaka. Lelaki miang? Ada lelaki miang ke kat sini? Basuh tandas? Oh no!!!

“Sebelum aku lupa, aku sebagai leader nak nasihatkan kau sikit. Esok pakai baju-T saja. Tak payah pakai blaus-blaus dan beg mak datin ni. Kau ingat kau kerja pensyarah ke kat Kolej Kristal ni?” sambung Cempaka.

Seperti biasa Bunga sudah ketawa terkekeh-kekeh. Bunga membuka almari yang terdapat di dalam stor tersebut. Dia mengeluarkan sehelai baju berwarna hijau.

“Nah! Ini baju seragam kita sebagai tukang cuci kat kolej ni. Ambil dan pakai. Baju blaus cantik kau tu tak laku kat sini tau,” ujar Bunga sambil menghulurkan baju seragam ditangannya.

Bunga memang tidak sayangkan mulut. Ucapannya selalu sahaja menyakitkan hati. Lebih kurang sahaja sikapnya dengan Cempaka. Namun mulut Bunga lebih teruk daripada Cempaka.

“Arghh! Gerammmm!” jerit Laili sekuat-kuatnya, namun hanya di dalam hati sendiri.

**********

“WOI… gila ke?” tiba-tiba terdengar suara seorang lelaki memarahi Laili.

Ahh…. rupa-rupanyanya dia berkhayal. Bayangan wajah Bunga dan Cempaka sudah menghilang ditelan suara lantang yang menengkingnya sebentar tadi. Terkebil-kebil Laili memandang wajah lelaki itu.

“Awak kata saya gila?” soal Laili kembali kepada lelaki di hadapannya. Ada sedikit perasaan marah di dalam hatinya.

“Lain kali, kalau nak kerja, buatlah cara nak kerja. Cuba tengok apa yang awak dah buat kat kasut saya?” marah lelaki itu lagi.

Sepantas kilat pandangan Laili dihala ke bawah. Memandang kasut lelaki itu yang sudah penuh dengan sampah sarap dan debu halus, dia panik. Kasut hitam berkilat itu sudah bertukar menjadi warna kelabu dek debu simen. Serpihan plastik gula-gula juga elok tertenggek di atas tali kasutnya. Percikan air sirap daripada sampah plastik minuman turut menjadi perhiasan pada kasut tersebut. Dia tidak sedar, bila masa pula dia menyapu sampah sarap ke arah kasut lelaki itu? Inilah bahana berkhayal sewaktu berkerja. Jika mahu kena marah lagi, lain kali berkhayallah lagi ya Cik Laili.

Sambil menekup mulut sendiri, Laili cuba membersihkan kekotoran yang terpalit pada kasut itu menggunakan penyapu jeraminya.

“Hei… awak ingat kasut saya ni lantai ke? Boleh awak nak sapu kasut yang tengah saya pakai ni dengan penyapu?” sekali lagi Laili disergah oleh lelaki itu.

Sekali lagi Laili terkebil-kebil. Tika ini otaknya tidak dapat berfungsi dengan baik. Tiba-tiba terbit suatu perasaan asing. Dia seperti mahu menangis. Hatinya diterjah perasaan sayu… sedih… sampai hati lelaki itu menengking aku sesuka hati… sampai hati lelaki itu memperlakukan aku seperti tiada harga diri yang terkandung di dalam tubuhku…. sampainya hati dia…. Laili berdiri tegak tidak bergerak. Hanya deruan nafasnya sahaja yang kelihatan melalui dadanya yang beralun.

Entah bagaimana tiba-tiba dia teringat akan tukang cuci wanita yang pernah dihinanya dahulu. Mungkin inilah perasaan yang wanita itu alami. Sedihhh…… maafkan aku!

“Err… minta maaf encik… encik tinggalkan kasut kat sini, nanti saya basuhkan kasut encik,” dalam kekalutan situasi itu, Laili masih cuba berfikir untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Kening lelaki itu berkerut sebaik mendengar usul Laili yang baginya langsung tidak masuk akal itu.

“Apa? Awak nak suruh saya tinggal kasut dekat sini, dan awak mahu saya berjalan kaki ayam? Macam itu ke?” balas lelaki itu kembali.

Ya tak ya juga. Masakan lelaki itu akan berjalan kaki ayam. Laili menggaru-garu kepala sendiri. Fikirannya benar-benar buntu. Macam mana ni?

“Bagi saya pinjam selipar awak,” tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan cadangan. Matanya melirik selipar jepun yang elok terletak di dalam troli kuning milik Laili.

“Hah?!” Laili terjerit kecil. Mulutnya ternganga.

“Awak nak saya ulang seratus kali ke?” ucap lelaki itu.

Bukan Laili tidak mahu memberikannya, tetapi Laili cuma tidak sampai hati mahu memberikan selipar jepun tersebut kepada lelaki itu. Masakan tidak, selipar itu sudah digunakannya untuk membersihkan tandas. Pastinya air sabun masih melekat pada selipar tersebut.

“Err…. tapi… encik tak kisah ke? Encik dah pakai elok-elok, tapi pakai selipar?” soal Laili masih ragu-ragu.

“Habis tu? Awak ada cadangan lain?” soal lelaki itu kembali

“Hmm….” Laili menggeleng laju.

“So?” lelaki itu merenung mata Laili.

Laili terpana menatap renungan tersebut. Sebelum terjadi adegan renung merenung, lebih baik Laili mengalah.

“Baik.. baik.. saya ambil selipar sekarang,” Laili bersuara lantas berjalan ke arah troli kuningnya.

“Jangan lupa basuh bersih-bersih. Ini kad saya, nanti hantarkan kasut saya ikut alamat dalam kad ni,” setelah menyarungkan selipar jepun dan memberikan kad namanya, lelaki itu terus berlalu meninggalkan Laili.

Muhammad Akasyah Danish

Pensyarah

Jabatan Statistik

Kolej Kristal

Laili membaca kad yang baru diterimanya. Macam tu gaya pensyarah? Pensyarah tak berbudi bahasa. Kutuk Laili.

***********

SUDAH puas Laili bergolek-golek di atas katil. Bosan. Hari ini hari cuti. Berkali-kali dia cuba menghubungi Syafiq. Namun panggilannya tidak berjawab. Kenapa dengan Syafiq ni? Semenjak dia berkerja sebagai tukang cuci, dia sudah jarang bertemu Syafiq. Memang Syafiq berkerja juga sebagai tukang cuci di Kolej Kristal, tetapi Syafiq selalu sahaja cuti. Namun yang peliknya tiada pula Puan Nani marah.

Sejujurnya Laili belum puas membebel kepada Syafiq kerana memberikannya pekerjaan sebagai tukang cuci. Akibat sudah terlanjur berjanji, Laili terpaksa meneruskan pekerjaan itu. Itu pun setelah Syafiq memberitahu bahawa Laili hanya perlu berkerja sebagai tukang cuci selama tiga bulan. Selepas itu, Laili boleh meletakkan jawatan.

Telefon bimbit Laili berbunyi menandakan ada mesej masuk. Syafiq hantar mesej? Cepat-cepat Laili membukanya.

“Aku bercuti tanpa gaji selama dua bulan lebih. Jangan lupa janji kita. Aku akan bom rumah kau kalau kau berhenti kerja” – Syafiq

“Kenapa nak cuti? Kau nak pergi mana?” – Laili

“Jangan tanya. Habis cuti nanti aku mesti beritahu” – Syafiq

“Ala…. beritahulah sekarang!” – Laili

Syafiq tidak membalas mesej Laili yang terakhir itu. Hmm…. Laili mengeluh kasar.

**********

“OPPS! Sorryy…. tak sengaja!” ujar Bunga selepas dia terlanggar bahu Laili.

Beg kertas yang tadinya kemas tergenggam di tangan Laili sudah terhempas ke lantai. Isi beg kertas yang sudah terkeluar itu menarik perhatian Bunga. Pantas Bunga mencapainya untuk melihat..

“Kasut siapa ni?” soalan itu terus meluncur keluar dari mulut Bunga.

Laili terkejut. Apakah yang harus dijawabnya?

“Err…..” Laili tidak mampu meneruskan kata-katanya. Sungguh dia tidak tahu alasan apakah yang patut diberikannya.

“Kasut lelaki ni. Awak jangan buat onar kat sini,” Bunga memberi amaran.

Tersentak Laili mendengar kata-kata berbaur tuduhan daripada Bunga itu. Cepat-cepat dia menggeleng.

“Eh… tak! Saya tak buat apa-apa!” sangkal Laili.

“Betul ke? Habis tu kasut siapa ni?” sekali lagi Bunga bertanya.

“Errr…. kasut ayah saya!” meluncur alasan itu dari mulut Laili.

Kecil mata Bunga mendengarkan alasan Laili itu. “Hah? Buat apa bawa kasut ayah awak pergi kerja?” sudah seperti anggota polis pula Bunga melemparkan soalan demi soalan. Laili semakin mati kutu. Tiba-tiba muncul satu akal dalam fikirannya.

“Ayah saya suruh betulkan tapak kasut tu nanti bila dah habis kerja,” Laili menokok tambah cerita.

Bunga membelek-belek kasut hitam ditangannya itu. Kiri kanan depan belakang.

“Elok aje saya tengok kasut ni. Macam tak ada apa-apa kerosakan pun!” duga Bunga kemudian.

“Dah tampal tapak tu kat rumah tadi… tapi takut tak kuat, tu yang kena bawa pergi jumpa ‘doktor’ kasut juga,” semakin jauh Laili memutar belit ceritanya.

“Ya ke?” kelihatannya Bunga masih tidak mahu percaya.

“Sudahlah. Yang awak sibuk dengan kasut ayah saya tu kenapa? Tak ada kena mengena dengan awak,” ujar Laili sambil merampas kembali kasut tersebut. Sepantas mungkin dia meninggalkan Bunga.

“Tak ada kena mengena dengan awak. Eleh…. gedik,” Bunga mengajuk percakapan Laili sambil menjuihkan bibirnya.

**********

LAILI berhenti dari satu pintu ke satu pintu pada deretan pejabat yang ada di kiri dan kanannya. Akhirnya dia menemui nama Muhammad Akasyah Danish pada salah satu pintu tersebut. Perlahan-lahan diketuknya pintu itu. Tidak berapa lama kemudia terdengar suara dari dalam yang memintanya masuk. Tanpa membuang masa Laili terus memulas tombol pintu dan meloloskan diri ke dalam pejabat tersebut.

“Assalamualaikum, Encik Akasyah Danish,” Laili mengucap salam.

Danish mendongakkan wajah seraya menjawab. “Waalaikumussalam.”

“Maaf, saya terpaksa mengganggu encik,” ucap Laili tatkala melihat Danish yang seperti sedang asyik berkerja.

“Oh… awak, tak apa. Awak bawa kasut saya ke?” soal Danish sambil melirik ke arah beg kertas yang dipegang Laili.

“Ya, Encik Akasyah Danish. Saya minta maaf sekali lagi. Tapi saya dah basuh bersih-bersih tau. Dijamin bersih berkilat dan boleh dibuat cermin muka,” bersemangat Laili menuturkan kata-katanya.

Danish tergelak kecil seraya menyerlahkan lesung pipit di pipi kanannya. Dia tidak menyangka Laili akan mengeluarkan kata-kata seperti itu. Laili pula terkejut melihat reaksi Danish. Encik Akasyah Danish tergelak? Betul ke? Maksudnya…. dia dah tak marahkan aku lagi? Lama dia memandang wajah Danish sehingga Danish menjadi pelik.

“Awak…. awak tak apa-apa?” teguran Danish itu mengejutkan Laili.

“Err.. tak.. saya tak apa-apa. Encik Akasyah Danish maafkan saya?” soal Laili kemudian.

Kelihatan Danish menggeleng kepala. Wajah Laili bertukar muram. Adakah gelengan itu menandakan bahawa Danish tidak memaafkannya?

“Awak ni…. saya dah lama maafkan awak. Perkara kecil aje tu. Saya pun minta maaf juga, saya tak patut marah-marah awak macam tu,” kali ini Danish pula yang meminta maaf.

“Tak apa. Memang salah saya pun,” balas Laili sambil menundukkan wajah.

Laili tidak pernah berharap Danish akan meminta maaf dengannya. Sebaliknya dia yang harus berterima kasih kepada lelaki itu. Kemarahan dan teguran Danish itulah yang telah menyuntik kesedaran dalam dirinya.

Dia sedar bahawa seorang tukang cuci juga punya hati dan perasaan. Berpakaian seragam hijau itu, Laili sentiasa berasa rendah diri takala berjalan di mana-mana. Untuk berbual-bual seperti sekarang ini bersama Danish juga dia berasa tidak layak. Rasanya dia hanya layak untuk mencuci sahaja.

“Ah… saya letak kasut ni kat atas kerusi ya,” kata Laili lantas melaksanakan maksud ucapannya. Kemudian Laili mengeluarkan plastik hitam dari dalam poket baju seragam yang dipakai. Dia memasukkan sampah yang terdapat di dalam bakul sampah milik Danish itu ke dalam plastik tersebut. Semua kelakuan Laili itu diperhatikan oleh Danish.

“Terima kasih!” ucap Danish tiba-tiba.

Laili mengerutkan kening. “Terima kasih untuk apa?” Laili bertanya.

Kelihatan Danish tersenyum. “Terima kasih untuk semuanya,” jawab Danish.

Bertambah berkerut kening Laili. Tidak faham dengan ayat Danish itu.

“Terima kasih sebab menjadi seorang yang bertanggungjawab dan….. terima kasih sebab ambil sampah kat bakul sampah ni,” tambah Danish sambil tangannya ditunjukkan ke arah bakul sampah di tepi mejanya.

Spontan Laili tersenyum. “Sama-sama. Saya keluar dulu,” Laili meminta diri. Namun dia masih tercegat di hadapan meja Danish.

Perasaan gembira menyelinap ke segenap pembuluh darah Laili. Dia seronok tatkala Danish mengucapkan terima kasih kepadanya. Terasa dirinya sungguh dihargai. Terasa hilang segala penat lelahnya berkerja sebagai tukang cuci. Dia puas dengan apa yang dikerjakannya.

Hanya dengan ucapan ‘terima kasih’, Laili memperoleh nikmat yang tidak pernah dirasainya. Selama ini dia hanya buat bodoh tanpa mengucapkan terima kasih apabila terdapat tukang cuci yang membersihkan meja makannya di mana-mana restoran. Kini dia tidak akan menghina apa-apa pekerjaan yang ada di dunia ini lagi. Baginya setiap pekerjaan itu mempunyai kepuasannya yang tersendiri. Dalam diam Laili berazam untuk meminta maaf kepada tukang cuci wanita yang dihinanya dahulu.

“Cik… belajarlah mengenal kehidupan,” tiba-tiba kata-kata tukang cuci wanita yang dimaksudkan oleh Laili bergema di ruang ingatannya.

Dahulu Laili langsung tidak memahami maksud kata-kata itu. Tetapi kini dia semakin memahami. Namun usah disuruh menerangkan akan maksudnya, kerana pemahamannya itu amat sukar untuk diterjemah ke dalam bentuk kata-kata. Dia bukanlah seorang yang pandai menyusun kata. Silap hari bulan, boleh pening orang yang mendengarnya.

Minta maaf kak…. ucap Laili di dalam hati kerana hakikatnya kini bukan tukang cuci wanita itu yang berada di hadapannya. Air mata Laili jatuh setitis demi setitis.

“Awak menangis?” tegur Danish melihat perubahan mendadak pada riak wajah Laili.

Laili tersentak. Bagaimana dia boleh tidak sedar bahawa dia masih berada di dalam pejabat Danish?

“Eh.. tak ada la… masuk habuk aje. Saya keluar dulu,” Laili meminta diri buat kali kedua. Kali ini dia terus meluru keluar tanpa menoleh ke arah Danish lagi.

Tanpa Laili sedari, kehadirannya ke dalam pejabat Danish sebentar tadi telah disaksikan oleh sepasang mata milik Bunga.

**********

DARI hari ke hari, Laili semakin seronok berkerja. Dia sudah tidak terpaksa lagi melakukan tugasnya. Apa yang penting, dia enjoy. Apabila dia tertekan dengan sesuatu perkara, dia akan mencuci sepuas hatinya. Terasa hilang segala tekanan yang dirasainya tatkala melihat apa yang dicucinya menjadi bersih berkilat. Ya… mencuci dan mengemas memang dapat mengurangkan tekanan jika dilakukan seikhlas hati.

Dengan menggunakan pembersih vakum, Laili kelihatan sungguh asyik menyedut segala kekotoran yang melekat pada karpet di hadapan pintu keluar pejabat. Dahulu dia sungguh malu untuk membersihkan karpet yang berada di situ, kerana kedudukannya yang mudah dilihat oleh semua orang. Tetapi kini dia sudah tidak malu-malu lagi.

Entah apa yang silap, pembersih vakum yang digunakan Laili itu mati secara tiba-tiba. Laili mengerutkan kening. Puas dia menekan-nekan butang ‘On’ pada pembersih vakumnya yang berwarna merah jambu itu. Namun tidak ada sebarang perubahan yang berlaku. Kenapa ni? Dalam pada dia berfikir-fikir itu, telinganya dapat menangkap suara tawa seseorang dari arah belakang. Pantas dia menoleh.

“Awak? Kenapa matikan suis elektrik tu?” marah Laili kepada Danish. Kini mereka sudah berkawan baik. Laili juga sudah tidak memanggil Danish dengan panggilan Encik.

“Sengaja,” mudah sahaja jawapan Danish. Laili sudah menjegilkan biji matanya.

“Hidupkan balik!” arah Laili.

“Tak mahu,” balas Danish dengan selambanya.

“Hidupkan!” Laili menekan suaranya.

“Awak janganlah marah-marah. Cuba awak jadi macam pembersih vakum awak tu. Senyum aje. Pembersih vakum awak tu memang tak pandai nak marah ke?” soal Danish.

Pembersih vakum aku senyum? Biar betul Danish ni. Serta merta Laili memandang pembersih vakum kesayangannya. Yalah…. terdapat lukisan mata, hidung dan mulut yang sedang tersenyum pada pembersih vakum tersebut. Comelnya! Bagaimana selama ini dia boleh tidak perasan? Laili tersenyum meleret.

“Jom keluar makan,” ajak Danish.

Seperti dengar tidak dengar sahaja Laili menangkap butir bicara Danish itu. Buang tabiat agaknya Danish ini. Tidak pernah-pernah Danish ajak dia keluar makan. Waktu kerja pula tu. Memanglah sebentar lagi waktu rehatnya akan tiba, tetapi takkanlah dia mahu keluar makan dengan Danish. Dengan berbaju seragam tukang cuci ini, tidak malukah Danish nanti?

“Laili!” terdengar suara seseorang memanggil nama Laili. Laili pantas menoleh ke arah suara tersebut. Senyumannya terus melebar dan matanya membulat.

“Syafiq!!” Laili menjerit sebaik melihat kelibat Syafiq bersama seorang perempuan.

“Kau sihat? Macam mana kerja?” soal Syafiq kemudiannya.

“Aku sihat-sihat aje. Terima kasih sebab bertanya. Kau sihat?” giliran Laili pula bertanya Syafiq yang sudah tidak ditemuinya selama dua bulan lebih itu.

“Sihat. Terima kasih juga sebab bertanya,” Syafiq memulangkan kembali ucapan Laili.

Jauh di sudut hati, Syafiq bersyukur. Nampaknya Laili Arifah yang dahulu sudah kembali. Selamat tinggal Laili Arifah yang angkuh. Syafiq merasakan bahawa sudah tiba masa yang tepat untuk dia menyempurnakan rancangannya sebelum ini.

“Aku tak sangka kau mampu bertahan sampai hari ini. Hmm.. bertahan sebagai tukang cuci. Laili si tukang cuci,” ujar Syafiq sambil tersenyum.

Laili turut tersenyum. Dia tidak marah Syafiq menggelarkannya sebagai ‘Laili si tukang cuci’.

“Aku patut berterima kasih pada kau, Syafiq. Kalau bukan sebab kau yang paksa aku kerja tukang cuci ni, mesti aku tak jadi macam sekarang. Banyak sangat yang aku belajar. Aku menjadi faham dengan sesuatu yang aku tak faham sebelum ni,” luah Laili. Sedaya upaya dia cuba menyusun ayat dengan perkataan yang sesuai supaya apa yang mahu diperkatakannya dapat difahami oleh telinga yang mendengar.

“Baguslah. Aku tumpang gembira. Ini barulah kawan aku yang dulu,” kata Syafiq.

“Ini…. siapa?” soal Laili sambil matanya memandang seorang perempuan yang sejak tadi hanya berdiri di sisi Syafiq.

“Oh.. maaf.. aku lupa nak kenalkan. Ini staf kat ibu pejabat. Aku sengaja bawa dia tengok-tengok cawangan kita kat sini,” Syafiq menjawab tanpa ragu-ragu.

“Staf kat ibu pejabat? Cawangan?” Laili bertanya kembali. Dia tidak faham.

“Alamak!” tiba-tiba Syafiq terjerit sambil menekup mulutnya sendiri.

“Encik Syafiq ni memang tak pandai simpan rahsia,” perempuan itu bersuara setelah lama membisu.

“Kau ni siapa sebenarnya, Syafiq?” soal Laili lagi.

“Aku… aku….” kata-kata Syafiq tergantung.

“Encik Syafiq ni merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat pembersihan kita ni,” perempuan itu membongkar rahsia yang selama ini tersimpan.

“Syafiq? Kenapa tak pernah bagitahu aku?” Laili bertanya lagi.

“Aku minta maaf. Aku tak boleh bagitahu kau sebab…. ha.. kau kan tak suka aku jadi bos kau. Ingat lagi tak kau pernah cakap macam itu dulu?” tiba-tiba Syafiq mendapat idea.

“Haii… kau ni… takkan kau ambil serius kata-kata aku tu? Aku main-main aje la,” keluh Laili.

“Aku harap kau rahsiakan identiti aku. Semua pekerja kat sini tak tahu siapa aku yang sebenarnya, kecuali Puan Nani dan Bunga,” beritahu Syafiq.

“Patutlah Puan Nani tak pernah marah kau. Ponteng berhari-hari pun dia buat selamba aje. Rupa-rupanya kau ni tukang cuci yang menyamar. Tapi…. macam mana Bunga boleh tahu?” banyak benar persoalan yang keluar dari mulut Laili.

“Sayalah Bunga. Awak tak perasan ke? Nama saya yang sebenar ialah Irma,” bongkar Irma a.k.a Bunga.

Spontan Laili meneliti wajah Irma yang mengaku sebagai Bunga. Betullah… wajah Irma memang seiras dengan Bunga. Dia hampir tidak mengenali Bunga kerana selama ini dia hanya mengenali Bunga yang berbaju seragam hijau.

“Saya minta maaf kalau selama ni saya dah menyinggung perasaan awak, Laili. Itu semua lakonan sahaja. Saya ni sebenarnya baik orangnya,” sempat pula Irma memuji diri sendiri.

“Tak apa. Saya tak ambil hati pun. Tapi…. kenapa semuanya nak menyamar?” Laili mengutarakan soalan seterusnya. Otak Laili memang tidak berhenti daripada berfikir.

“Sebenarnya ini merupakan prosedur biasa. Setiap tahun memang kami akan melakukan penyamaran untuk menyelidik keadaan sebenar di setiap cawangan,” Syafiq memberikan penerangannya.

“Oh, macam itu,” ujar Laili mulai faham.

“Jadi…. kau benar-benar bercuti tanpa gaji atau….” Laili tidak sempat menghabiskan kata-katanya kerana dipotong Syafiq.

“Aku buat lawatan ke cawangan syarikat kat tempat lain. Peace!” ucap Syafiq sambil menaikkan dua jarinya sebagai isyarat ‘aman’. Dia tidak mahu Laili marah-marah.

“Ceh! Kau tipu aku?” Laili melenting juga. Namun kedengaran seperti lentingan manja.

Laili teringat Danish secara tiba-tiba. Alamak! Bukan sengaja dia mahu melupakan Danish. Laili menoleh ke arah tempat Danish berdiri sebelum ini. Namun kelibat lelaki itu sudah tiada. Di manakah dia? Mungkinkah dia berkecil hati kerana aku tidak menghiraukan dia setelah bertemu dengan Syafiq? Danish…. minta maaf banyak-banyak, bukan itu maksudku. Aku janji, aku akan kenalkan kau kepada Syafiq.

**********

DI BILIK mesyuarat…….

“So… apa pendapat kau mengenai Laili?” soal Syafiq kepada sahabatnya, Danish.

“Hmmm… aku rasa… dia okey. Dia… seorang yang bertanggungjawab, berani mengakui kesalahan diri, jujur, rajin, ceria, cantik…” semakin meleret pula jawapan yang diutarakan oleh Danish.

“Stop.. stop…. lain macam aje bunyi hujung jawapan kau tu, Danish,” potong Syafiq sambil tersengih.

Danish ikut tersengih.

“Irma? Awak rasa macam mana?” Syafiq bertanya kepada Irma pula.

“Bagi saya, Laili itu ialah seorang yang tidak mudah mengalah dan sanggup menerima cabaran. Buktinya dia tetap meneruskan kerjayanya sebagai tukang cuci sehingga ke hari ini. Sedangkan dia sebenarnya boleh berhenti bila-bila masa yang dia suka bukan? Dan lagi…. bukan mudah untuk orang yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perakaunan seperti Laili itu sanggup menjawat jawatan sebagai tukang cuci. Mula-mula dulu memang saya nampak dia macam tak suka. Tapi saya tak tahu apa yang telah merubah dia, dan sekarang dia kelihatan gembira dengan tugasnya. Kalau saya jadi Encik Syafiq, saya akan terima dia,” Irma menamatkan pendapatnya yang panjang lebar itu.

“Kalau aku jadi kau pun, aku akan terima Laili tu,” sampuk Danish pula.

“Kau orang nak tahu kenapa Laili tak berhenti kerja? Sebab saya pernah ugut dia yang saya akan bom rumah dia kalau dia berhenti kerja,” selamba Syafiq berkata.

“Apa?!” hampir serentak jeritan Irma dan Danish.

“Tapi saya gurau aje. Saya dah lama kenal dia. Dia tak akan ambil peduli dengan gurauan-gurauan saya. Tapi kalau mengenai dari tak gembira kepada gembira berkerja tu… saya tak tahulah apa pula sebabnya Irma,” terang Syafiq kemudian.

“Syafiq, kalau kau tak nak terima Laili, aku akan terima dia,” tiba-tiba Danish berkata seperti itu.

“Kau nak terima dia sebagai apa? Sebagai pembantu penyelidikan kau?” soal Syafiq dalam nada hairan.

“Taklah. Aku akan terima dia sebagai isteri aku,” Danish tergelak-gelak selepas menuturkan kata-katanya.

“Ah… itu tak menjejaskan apa-apa. Kalau aku terima dia pun kau tetap boleh pinang dia sebagai isteri,” balas Syafiq laju.

“Betul ni?” tanya Danish.

“Betul!” tegas Syafiq sambil mengangguk-angguk.

“Encik Syafiq dengan Encik Danish ni buat saya macam tak wujud kat sini pula kan?” tegur Irma yang sudah mula rasa terasing daripada perbualan dua orang lelaki itu.

“Sorry Irma! Danish yang mulakan dulu. Baiklah, kembali kepada topik perbincangan. Dengan ini saya memutuskan bahawa Laili Arifah binti Ahmad Nazim akan menjadi Pegawai Eksekutif Akaun di syarikat pembersihan ini. Irma, nanti awak sediakan surat tawaran ya. Terima kasih banyak-banyak, Danish. Sebab kau dah tolong aku. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat,” ucap Syafiq sekali gus membuat keputusan terhadap topik perbincangan mereka.

Sungguh unik cara Syafiq membuat pemilihan untuk mengambil pekerja di syarikat pembersihan milik ayahnya. Kasihan Laili kerana dia tidak sedar bahawa dia sedang dinilai sewaktu berkerja. Syafiq hanya mahu membantu Laili mendapatkan pekerjaan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menawarkan terus jawatan pegawai eksekutif itu kepada Laili. Namun jika difikirkan kembali, mana mungkin seseorang yang membenci pekerjaan tukang cuci seperti Laili boleh berkerja di syarikat pembersihan dengan baik.

Syafiq mahukan pekerja yang menghargai produk dan perkhidmatan syarikat. Justeru dia mengambil Laili sebagai tukang cuci terlebih dahulu agar gadis itu dapat belajar menghargai pekerjaan yang pernah dilekehkan. Syafiq mengutamakan minat dalam segala-galanya. Baginya, berbekal minat yang ada, seseorang itu dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Baik, Encik Syafiq,” sahut Irma.

“Sama-sama. Hmm…. Syafiq, tak apa ke kalau aku pinang Laili? Kau tak marah?” sengaja Danish mahu menduga.

“Nak marah buat apa? Kalau kau pinang Laili, nanti aku pinang Irma. Apa susah?” mudah sahaja jawapan yang keluar dari mulut Syafiq.

Irma sudah malu-malu.

“Tapi Syafiq, kau jangan pula bagitau yang kita pernah berpakat nak selidik dia. Depan Laili, kau buat-buat tak kenal aku. Okey?” pinta Danish.

“Okey! No problem!”

**********

Sedut jangan tak sedut…

Sedut sampai hilang semua debuuu…

Sedut jangan tak sedut..

Sedut sampai….

Eh? Nyanyian lagu daripada kumpulan Spider yang sesuka hati diubah liriknya oleh Laili itu terus lenyap apabila pembersih vakumnya mati secara tiba-tiba. Spontan Laili menyentuh dagunya menggunakan jari telunjuk. Dia tahu kenapa pembersih vakum yang sentiasa tersenyum itu boleh mati. Pasti angkara Danish!

“Danish! Jangan main-main boleh tak?” teriak Laili sambil mengalihkan posisi tubuhnya menghala ke belakang.

“Danish?” tegur Syafiq.

Laili terpana melihat kehadiran Syafiq yang mengenakan kemeja berwarna biru lembut. Sangkanya Danish yang datang, kerana hanya Danish yang suka mematikan suis elektrik yang membekalkan tenaga kepada pembersih vakumnya.

“Sorry, Syafiq! Aku ingatkan…. Danish tadi…” Laili meminta maaf.

“Rindu kat Danish ke?” sengaja Syafiq bertanya.

“Rindu!” laju sahaja mulut Laili mengucapkannya

Biji mata Syafiq terbeliak. Salah dengarkah telinganya ini?

“Betul kau rindukan dia? Aku serius ni,” tegas Syafiq kemudian.

Syafiq memberi isyarat tangan supaya Laili turut duduk bersamanya di atas kerusi yang terdapat berhampiran dengan mereka. Laili menurutinya. Bukan senang bos nak ajak rehat-rehat waktu kerja macam ni. Sekarang peluang dah datang. Apa lagi, kita enjoyyy…. Laili menyandarkan badannya ke belakang kerusi sambil memejamkan mata… hmm… leganyaa… Laili seakan terlupa untuk menjawab soalan Syafiq.

“Danish suka matikan suis macam yang aku buat tadi ke?” Syafiq sudah mengutarakan soalan lain.

Terus sahaja Laili menegakkan badan seraya membuka matanya luas-luas.

“Ha’ah…. banyak kali dah aku kena. Dia tu kelakar kan? Mula-mula kenal dulu garang nak mampus. Tapi rupanya sweet aje perangai dia,” Laili membuat penilaian terhadap karakter Danish. Bibir Laili menguntum senyuman yang panjang.

“Kalau Danish pinang kau, kau terima tak?” Syafiq menjalankan penyiasatan.

Terherot-herot mulut Laili memikirkan soalan Syafiq yang satu itu.

“Kita orang tak bercinta. Macam buang tabiat pula kalau dia pinang aku,” akhirnya Laili menjawab.

“Aku kata kalau…. kalau dia pinang kau?” Syafiq menegaskan soalannya. Jelas dia tidak berpuas hati dengan jawapan Laili.

Sekali lagi Laili mempamerkan aksi berfikir masalah negara. Khusyuk benar caranya. Danish telah menyedarkan diri Laili daripada terus memperlekeh pekerjaan sebagai tukang cuci. Danish yang telah membuatkan Laili menghargai sesuatu.

“Hmm… maybe…” perlahan suara itu keluar dari mulut Laili.

“Maybe kau akan terima dia?” Syafiq inginkan kepastian.

Laili hanya mengangguk. Syafiq tersenyum. Laili memang sudah berubah. Tiada lagi keegoan. Kini masa yang dinanti-nanti sudah tiba. Syafiq membuka fail yang dipegangnya sejak tadi.

“Aku ada berita baik untuk kau. Kau anggaplah ini sebagai hadiah daripada aku,” ucap Syafiq sambil menghulurkan sepucuk surat kepada Laili.

Laili menyambutnya dengan kening yang berkerut. Hairan. Surat apakah? Tanpa membuang masa Laili terus membuka dan membacanya. Dia hampir terloncat kegembiraan tatkala habis membaca isi surat tersebut. Syafiq seperti biasa, hanya tersenyum.

“Surat… tawaran… pekerjaan… sebagai… Pegawai… Eksekutif… Akaun?” lambat-lambat Laili menyebut satu per satu perkataan pada ayat yang mahu diucapkannya.

“Ya!” Syafiq mengiyakan.

“Ya Allah…. aku bersyukur. Terima kasih Syafiq!” ucap Laili dengan perasaan yang semakin berbunga riang.

“Sama-sama. Ini rezeki kau. Kau layak dapat pekerjaan ini,” balas Syafiq.

“Tapii…..” suara Laili tiba-tiba. Wajahnya bertukar muram. Syafiq mengerutkan dahi.

“Kenapa?” tidak sabar Syafiq terus bertanya.

“Tapi kalau aku terima tawaran ni…. bermaksud… aku akan keluar dari kolej ni kan?” teka Laili.

“Ya! Kau akan berpindah ke ibu pejabat,” terang Syafiq.

“Maksudnya… aku akan berpisah dengan Danish kan?” Laili bersuara lagi.

Syafiq terpana mendengar ayat Laili yang satu itu. Danish…. nampaknya Laili sudah benar-benar jatuh cinta kepada Danish.

“Syafiq…. macam mana kau boleh kenal Danish? Hari itu aku tak sempat nak kenalkan dia kat kau,” soal Laili tiba-tiba.

Soalan Laili itu pantas mengingatkan Syafiq kepada janji yang telah dibuatnya bersama Danish. Janji bahawa dia akan berpura-pura tidak mengenali Danish. Kelihatannya dia sudah melanggar janji. Sungguh dia terlupa. Mampuslah aku kali niii…… kulit wajah Syafiq sudah mulai pucat.

Akhirnya Syafiq terpaksa mendedahkan identiti Danish yang merupakan sahabat baiknya. Dan Laili berjanji dia tidak akan bertanya apa-apa mengenai Syafiq kepada Danish. Namun kisah Laili yang dijadikan bahan penyiasatan oleh Danish dan Irma a.k.a Bunga tetap menjadi rahsia mereka bertiga. Kisah itu sudah tamat. Laili tidak perlu tahu jika hanya akan menarik Laili kembali ke ‘belakang’. Biarkanlah Laili terus mengorak langkah ke hadapan, menggapai impiannya.

**********

“LAILI, nanti awak masuk pejabat saya sekejap ya,” suara Danish tiba-tiba. Laili hampir terloncat kerana terkejut dengan kehadiran Danish yang secara tiba-tiba itu. Belum sempat Laili berkata apa-apa, Danish sudah berlalu meninggalkannya. Cepat-cepat Laili menyudahkan tugasnya.

Seperti yang dimahukan, Laili sudah berada di dalam pejabat Danish.

“Laili…. kita kahwin?” ucap Danish tanpa bertangguh.

“Hah?!” mulut Laili sudah terlopong. Adakah Danish sedang melamar aku?

“Saya tahu kita tidak pernah bercinta. Tapi saya sudah memilih awak untuk menjadi permaisuri dalam hati saya,” sambung Danish dengan seribu keyakinan.

Gulp. Laili menelan air liurnya sendiri.

“Awak tak malu ke…. memperisterikan seorang tukang cuci macam saya?” sengaja Laili bertanya.

“Tukang cuci itu kan pekerjaan yang halal. Saya akan malu kalau saya memperisterikan seorang wanita yang mempunyai kerjaya hebat, tetapi dia mengabdikan diri kepada kerjayanya hingga mengabaikan tanggungjawabnya yang lain. Bahagia itu bukan terletak pada paras rupa, bukan juga pada pangkat dan keturunannya. Tetapi bahagia itu terletak pada hati kita, hati yang sentiasa bersyukur akan segala nikmat dan anugerah yang telah diberikan-Nya,” panjang lebar Danish berhujah. Mulut Laili semakin terlopong.

Sesungguhnya Danish memang tidak bertepuk sebelah tangan. Tiada keraguan lagi, Laili terus mengangguk bersama senyuman manis yang terlakar di wajahnya. Maka bolehlah Laili menerima tawaran pekerjaan sebagai Pegawai Eksekutif Akaun dengan senang hati kerana dia tidak akan berpisah dengan lelaki yang semakin mendapat tempat di dalam hatinya.

Yahooo…. Danish bersorak gembira di dalam hati!

“Terima kasih, sayang,” ucap Danish nakal.

Terbeliak biji mata Laili mendengar ucapan sayang itu. Gatal juga Muhammad Akasyah Danish ini. Laili mempamerkan riak wajah marah. Namun amatlah comel riak wajah Laili itu pada pandangan mata Danish.

**********

LAILI dan Danish sudah selamat diijab kabulkan. Kini mereka hidup bahagia. Manakala Syafiq sudah bertunang dengan Irma. Nampaknya Syafiq benar-benar mengkotakan apa yang pernah dikatakannya kepada Danish dahulu. Seandainya Danish meminang Laili, Syafiq akan meminang Irma. Dan itulah yang telah berlaku.

Di seberang jalan, Laili menangkap kelibat seseorang yang seakan dikenalinya. Oh ya, itulah tukang cuci wanita yang pernah dihinanya. Laili memanjatkan rasa kesyukuran kepada Yang Masa Esa. Sudah lama dia mencari wanita itu. Namun tidak pernah bersua memandangkan wanita itu sudah tidak berkerja lagi di restoran Indah Maya. Kali ini Laili akan berpeluang untuk memohon maaf atas segala keterlanjuran perkataannya.

Wanita itu mahu melintas jalan. Namun sebuah kereta berwarna merah yang meluncur laju telah melanggar wanita tersebut. Laili menjerit sekuat hati. Namun kejadian itu berlaku sekelip mata. Wanita itu sudah terlantar tidak bergerak di atas jalan raya. Air mata Laili jatuh berderaian. Dia tidak sempat memohon maaf.

Ya Allah….. Kau ampunkanlah dosaku…. layakkah aku mendapat keampunan-Mu seandainya kemaafan dari orang yang pernah aku sakiti di dunia ini tidak aku perolehi? Sesungguhnya aku lebih hina daripada wanita yang pernah aku hina itu… aku insaf Ya Allah…. aku insaf…. Laili menangis teresak-esak. Badannya sudah terjelepok di pinggir jalan. Sedu sedannya kian tidak terkawal.

“Sayang! Bangun sayang!” Danish menggoncang bahu isterinya yang sedang menangis bagai tidak mahu berhenti itu.

Menangis dalam tidur? Danish pelik. Dilihatnya Laili masih tidak sedarkan diri walaupun sedu sedannya jelas kedengaran pada gegendang telinga Danish.

“Laili!”

Setelah Danish memanggil nama itu, barulah Laili tersedar. Laili terus bangun dan memeluk Danish yang sudah menjadi suaminya. Namun tidak berapa lama kemudian Laili meleraikan pelukannya.

“Aku kat mana ni?” Laili seakan bertanya kepada dirinya sendiri.

“Laili, ini abang sayang. Sayang kat rumah kita,” Danish cuba menyedarkan isterinya.

Laili memandang semua yang ada di persekitarannya. Lama kelamaan barulah dia sedar akan realiti yang berada di hadapannya. Rupa-rupanya dia hanya bermimpi.

“Laili minta maaf, abang. Laili dah mengganggu tidur abang,” ucap Laili perlahan.

“Laili mimpi apa?” soal Danish ingin tahu.

“Laili…. mimpi ngeri. Laili takut,” Laili meluahkan apa yang sedang dirasainya.

Danish terus memeluk tubuh Laili yang sudah menggeletar.

“Jangan takut, sayang. Itu mimpi aje. Mimpi kan mainan tidur. Dah.. dah.. Laili sambung tidur ya,” pujuk Danish kemudian.

Perlahan-lahan Danish membaringkan tubuh Laili. Dengan penuh kasih, Danish mengusap dahi Laili yang sudah berpeluh. Kemudian dia mengesat sisa air mata yang masih membasahi pipi isterinya. Belaian suaminya itu membuatkan Laili kembali terlena.

**********

DING! DONG!

Deringan loceng rumah mengejutkan Laili yang sedang melipat pakaian di ruang tamu. Spontan Laili memandang ke arah Danish yang sedang khusyuk menonton televisyen.

“Siapa datang malam-malam ni, bang?” pantas Laili bertanya.

“Pembantu rumah kita. Dia datang dari jauh, sebab tu sampai sini malam. Dia ni orang susah. Kawan abang yang cadangkan dia,” Danish menjawab dalam nada bersahaja.

Dahi Laili sudah berkerut.

“Abang tak pernah cakap pun nak ambil pembantu rumah?” ujar Laili.

“Abang nak bagi surprise kat sayang. Isteri abang ni kan berkerja. Penat kan? Ni dah jauh malam pun tak habis-habis lagi lipat kain baju. Esok nak kerja balik. Sayang kena tidur awal tau,” balas Danish. Saat ini keprihatinan Danish begitu terserlah.

Laili mengeluh. “Tapi Laili tak abaikan tanggungjawab kan, abang?” Laili bertanya lagi. Dia tidak mahu menjadi isteri yang mengabaikan suami.

“Tak, sayang,” jawab Danish sambil mencubit pipi gebu isterinya.

“Laili ada satu syarat. Pembantu rumah tu nanti boleh buat semua kerja yang ada kat rumah ni. Tapi, bahagian memasak untuk abang, biar Laili yang buat,” Laili menetapkan syaratnya.

“Bagusnya isteri abang. Ok, syarat diterima. Dah, pergi buka pintu tu. Nanti dia mati kesejukan pula kat luar,” arah Danish.

Tanpa membuang masa Laili terus bangkit. Sebaik pintu terbuka, Laili terkejut melihat pembantu rumah yang dimaksudkan oleh Danish. Spontan Laili memeluk wanita yang kini berada di hadapan matanya. Terpana wanita itu sebentar. Jelas mata wanita itu terkebil-kebil kerana belum pun sempat dia mengucapkan salam, Laili sudah memeluk dirinya.

“Saya minta maaf, kak!” ucap Laili sambil menangis.

Dahi wanita itu berkerut seribu. Tidak faham mengapa tiba-tiba Laili meminta maaf kepada dirinya.

“Adik ni siapa?” soal wanita itu bagi meleraikan persoalan yang membelenggu dirinya.

“Kakak tak ingat saya? Dah lama saya cari akak. Tapi tak jumpa. Syukurlah Tuhan telah menghantar kakak ke sini. Saya nak minta maaf. Saya pernah terlanjur menghina kakak semasa kat restoran,” Laili membuka cerita sekali gus memohon keampunan.

Wanita itu memandang wajah Laili dalam-dalam. Akhirnya dia mengangguk.

“Oh, kakak dah ingat. Kakak dah lupakan semuanya, dik. Itu dugaan yang Allah beri pada kakak. Kakak terima dengan hati terbuka. Akak dah lama maafkan adik,” balas wanita tersebut.

“Terima kasih, kak. Barulah lega hati saya,” luah Laili kelegaan. Terasa hilang semua beban perasaan yang ditanggungnya selama ini. Inilah nikmat sebuah kemaafan.

“Kenapa berdiri sahaja kat pintu ni? Masuk.. masuk…” suara Danish yang kedengaran secara tiba-tiba itu menghentikan babak ala-ala jejak kasih yang sedang berlangsung di hadapan pintu rumah itu.

Danish sudah berdiri di sebelah Laili.

“Terima kasih, abang,” ucap Laili tiba-tiba.

“Sama-sama. Tapi pembantu rumah ni bukan nak ajar Laili jadi malas tahu,” Danish memberi amaran.

“Baik, abang! Laili tak akan jadi pemalas! Berita faham!” teriak Laili sambil memberi tabik hormat kepada suaminya.

Danish menggeleng sambil tersengih melihat sikap keanak-anakan isterinya. Setelah membawa masuk beg besar pembantu rumah mereka, Danish menutup pintu rumahnya perlahan-lahan.

**********

LAILI sedang menyisir rambut tatkala terdengar namanya dipanggil oleh Danish. Dia terus berpaling menghadap Danish yang sedang duduk di atas katil.

“Abang ada sesuatu untuk Laili, ambillah,” tawar Danish sambil mengunjukkan sesuatu yang dipegangnya.

Sebuah kotak yang sudah berbalut kemas bersama sekuntum bunga ros di atasnya beralih tangan. Dengan mimik wajah yang pelik Laili memerhatikan kotak ala-ala hadiah itu.

“Hadiah sempena apa ni? Hari ulang tahun kelahiran Laili lama lagilah, sayang. Sayang demam ya?” kata Laili sambil menyentuh dahi Danish. Manalah tahu suaminya itu benar-benar demam sampai tidak sedar tarikh hari ini.

Danish ketawa kecil. Dia mencapai tangan Laili lalu menggenggamnya erat.

“Abang sihat. Ini bukan hadiah hari jadi. Tapi hutang abang kepada Laili,” terang Danish.

“Hutang?” Laili terpinga-pinga. Dia tidak mengerti.

“Kalau Laili nak tahu hutang apa, Laili bukalah bungkusan itu. Mungkin Laili dah lupa. Tapi abang tak pernah lupa tau. Sebab benda dalam bungkusan tu memang milik Laili,” kata-kata Danish itu membuatkan Laili teruja.

Laili membuka bungkusan yang ada di tangannya perlahan-lahan. Hampir tersembul biji mata Laili melihat isi di dalamnya. Mulut Laili terlopong seketika sebelum dia memuntahkan tawanya.

“Abang…. ini selipar jepun Laili masa jadi tukang cuci dulu. Abang simpan lagi?” luah Laili sambil menyentuh selipar jepun yang sudah diubahsuai oleh Danish itu. Terdapat dua simbol ‘love’ terlekat pada setiap selipar.

Laili mengeluarkan selipar itu lalu disarungkan ke kaki. Alangkah comelnya.

“Mestilah abang simpan. Dulu kan abang pinjam aje selipar tu, bukannya minta. Sesuatu yang dipinjam mestilah kena pulangkan. Abang dah basuh selipar tu tau, tak ada bau sabun cuci tandas lagi dah,” Danish masih sempat mengusik pada hujung ucapannya.

“Mana abang tahu selipar ni bau sabun cuci tandas? Abang cium ya?” Laili ketawa terbahak-bahak sebaik menyudahkan ayatnya.

“Oh…. mengata abang ya? Nak kena ni!” ujar Danish. Kemudian dia menggeletek pinggang isterinya.

Laili menjerit kegelian lantas dia bangkit untuk mengelak daripada terus menjadi mangsa jari jemari Danish yang sudah kelihatan seperti kaki labah-labah itu. Maka berkejaranlah merpati dua sejoli itu di dalam bilik.

Semoga mereka terus dilimpahi dengan sejuta kebahagiaan dan keceriaan. Amin.

-TAMAT-


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

41 ulasan untuk “Cerpen : Laili Si Tukang Cuci”
  1. sassin says:

    Cerita yang memberi pengajaran. Good job! Bestt!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.