Cerpen : Makkkk!!!! Tak Nak Kahwin

13 February 2011  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Tinta Biru

“Alaaa, bisinglah mak ni. Orang nak tidur pun tak boleh. Kacau mimpi aku jer. Dah lah tengah mimpi dengan Shah Rukh Khan tadi. Kacau betul le” gomel Rina sambil menutup telinga comelnya dengan bantal. Kalau tak ditutup karang mesti keluar semua tahi telinganya sebab tak tahan dengan bedilan suara Makcik Joyah. Tidurnya yang terganggu tadi disambung semula.

“Rina, cepatlah bangun. Dah tinggi hari ini. Apa nak jadi le dengan kamu ni. Matahari dah terpacak kat atas kepala ni, cepatlah bangun” ujar Makcik Joyah sambil mengetuk-ngetuk lagi pintu bilik Rina. Ikutkan hati nak di smack down je pintu bilik Rina ni.

“Heee, apalah nasib aku. Ada anak perempuan pun tak boleh diharap. Harap muka je lawa tapi pemalas. Bangun pagi malas, memasak malas, kerja malas, semuanya malas. Nanti aku kahwinkan juga dia ni baru tau” bebel Makcik Joyah lagi sambil tangannya ligat mengetuk-ngetuk pintu bilik Rina.

“Rina, bangun cepat. Dah pukul berapa dah ni. Kamu jangan buat mak hilang sabar. Karang teruk kamu mak kerjakan” ugut Makcik Joyah. Geram betul dengan perangai anak dara seorang ni. Tak macam anak orang lain.

“Isshhhh, ye la ye la. Orang bangun lah ni” ujar Rina sambil menggeliat malas. Takut pula dia dengan ugutan maknya. Mana taknya hari tu tengah sedap-sedap dia tidur, sekali maknya pergi simbah dengan air sebaldi. Haa apa lagi, memang banjir besarlah bilik dia. Tak fasal-fasal pula kena perli dengan anak jirannya semasa dia menjemur tilam.
“Kak Rina kencing tilam ke. Dah besar-besar pun kencing tilam lagi”. Haii nasib baiklah budak tu baru je umur 4 tahun, kalau tak dah kena siku dengan si Rina yang ada tali pinggang hitam silat gayung ni.
Matanya digesel-gesel dengan tangan beberapa kali. Langkah kaki digerakkan malas menuju ke pintu.

“Haaa dah, tak payah nak buat muka sekupang pulak depan mak” ujar Makcik Joyah apabila melihat Rina yang tersengih-sengih macam kerang busuk di muka pintu.
“Tu, kain baju kat dalam bakul tu pergi basuh. Mak nak pergi rumah kenduri kahwin anak Pakcik Din kamu kat hujung kampung tu. Kamu nak ikut. Kalau nak ikut, boleh mak tunggu. Lagipun tak adalah lenguh kaki mak ni nak mengayuh basikal”.

“Kenduri kahwin. Isshh tak pe la mak. Mak pergi sorang je lah” Rina ni nak disuruh pergi kenduri. Simpang malaikat 44 lah. Kalau pergi kenduri-kendara ni mesti kena pakai baju kurung. Rina ni dah lah alergik dengan baju kurung. Rimas katanya. Issh, issh, issh.

“Kalau macam tu tak pe lah. Mak pergi dulu”.
“Okey.. roger. Eh mak!! mak!!. Makan tengahari mak dah masak ker. Nanti karang kebulur pula anak mak yang comel ni”.
“Banyaklah kamu punya kebulur. Selagi kamu duduk dengan mak, tak ada maknanya kebulur-kebulur tau tak. Heee, kamu ni nak jadi apa Rina, kerja tak nak, memasak tak pandai, buat kerja rumah malas, kalau kamu kahwin nanti macam mana haaa”.

“Alaa, rileks lah mak. Rina kalau nak kahwin, Rina cari orang kaya. Senang, ada orang gaji boleh buat itu ini. Rina duduk goyang kaki jer” balas Rina sambil tersengih macam kambing tak mandi tu.
“Hmmm iye lah. Itupun kalau ada orang kaya nak kan kamu. Kalau tak, jadi andartu lah kamu sampai ke tua”.

“Issh issh mak ni. Tak baik tau cakap camtu. Orang kata, doa ibu bapa ni masin. Doalah yang elok-elok sikit untuk anak mak yang cute ni”.
“Iye lah tu, mak doakan kamu dapat kahwin dengan orang kaya. Cepat-cepat sikit kahwinnya. Senang, tak payah nak menyusahkan mak lagi”.
“Aminnnnnnnnnnn. Semoga termakbullah doa mak tu. Hikhik” balas Rina sambil tergelak kecil.

Hafiz menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pening kepalanya dengan permintaan ibunya. Sejak dari dulu lagi perkara yang sama disuarakan ibunya, namun kali ini dia sudah tidak tahan mendengar bebelan ibunya. Tidak tahan sangat-sangat. Ketenangan perlu dicari bagi menstabilkan semula fikirannya.

“Umur Fiz dah nak masuk 35 tahun tahu tak. Jangan perasan ingat diri tu muda lagi. Tapi kalau Fiz perasan juga yang Fiz tu muda lagi tak apa. Tapi fikirlah ibu yang dah tua ni. Bila lagi nak bagi ibu menantu, nak bagi ibu cucu. Kawan-kawan ibu semua dah bermenantu, bercucu. Tapi Fiz ni, asyik fikir fasal kerja, kerja, kerja. Bisnes Fiz kan dah stabil, sekarang ni Fiz kena cari calon isteri” terngiang-ngiang suara ibunya pagi tadi.

Nak cari calon isteri. Nak cari di mana, sedangkan Hafiz tidak pernah mempunyai teman wanita. Kalau kawan perempuan tu memang ada, tapi itu semuanya atas urusan bisnes. Pening, pening kepalanya memikirkan tentang calon isterinya. Ketukan di pintu mematikan lamunan Hafiz, sekaligus melenyapkan permasalahan yang difikirnya tadi.

“Masuk” jawab Hafiz sepatah.
“Maafkan saya Encik Hafiz. Kalau boleh saya nak minta cuti lebih kurang 3 hari. Nak balik kampung ni, mak saya kemalangan” ujar Fazli kepada bosnya.
Risau dia memikirkan keadaan ibunya yang sudah tua itu. Nak diharapkan adik perempuannya itu, hmmm memang tak boleh diharap langsung.

“Mak awak kemalangan. Ehh, teruk ke. Kemalangan dengan apa?” soal Hafiz untuk penjelasan lanjut.
“Tak de lah teruk sangat Encik Hafiz. Kaki dia bengkak sikit je. Kemalangan dengan lembu” serba salah pula Fazli nak bercerita. Maknya terlanggar lembu yang tiba-tiba melintas di jalan. Nasib baiklah maknya membawa basikal, kalau tidak mesti teruk juga keadaannya.
“Dengan lembu..” Hafiz agak terkejut. Nak tergelak pun ada, tapi tak baiklah Hafiz. Huhu
“A’aa dengan lembu. Lagipun dah lama tak balik kampung Encik Hafiz”.

“Kampung awak dekat mana ye?” soal Hafiz lagi. Serasa dia seperti mendapat idea untuk menenangkan fikirannya.
“Dekat Lambor Kanan, Perak”.
“Kalau saya ikut awak balik kampung boleh. Sambil-sambil tu boleh juga melawat-lawat mak awak” ujar Hafiz lagi. Berharap sangat agar Fazli bersetuju dengan permintaannya. Manalah tahu kot-kot berjumpa dengan calon isteri kampung. Hihihi, sempat lagi tu berangan.
“Boleh Encik Hafiz, apa salahnya” hairan Fazli. Dah buang tabiat ke apa bosnya ni nak ikut dia balik kampung. Tapi takkanlah dia nak menolak pula permintaan bosnya.

Rina memakirkan honda cup kepunyaan arwah ayahnya di bawah rumah. Sambil itu matanya tertancap ke arah Mercedes yang berada di perkarangan rumahnya.
“Orang kaya mana pula datang rumah aku ni. Gila besar keretanya” Rina tertanya-tanya sendiri sambil berlari-lari anak menaiki anak tangga.
“Opocot!!! mak kau tergolek terlentang” latah Rina yang terkejut apabila tiba-tiba sesusuk tubuh muncul di depannya di muka pintu.
Kuss semangat. Nasib baik tak terlanggar. Kalau tidak jadilah adegan yang tidak diingini. Siapa pula ni.

Hafiz yang agak terkejut juga jenuh menahan gelak mendengarkan latah gadis di depannya. Tak padan dengan muda, melatah pula tu. Comel sangat wajahnya. Saat ini hatinya bagaikan terpikat pada gadis di depannya.
“Ini adik Fazli ke?” soal Hafiz. Sebelum ini Fazli ada memberitahunya cuma emak dan adik perempuannya saja yang tinggal di rumah ini.
“A’aa betullah tu. Tak silap lagi. Sayalah adik kesayangan Fazli” ujar Rina sambil tersengih-sengih.

“Haaa dah balik pun. Pergi mana tadi, tinggalkan mak sorang-sorang kat rumah” ujar Fazli yang tiba-tiba muncul.
“Alaa, Rina pergi pekan kejap. Beli ni” jawab Rina ala kadar sambil menunjukkan beg plastik yang berisi polestrin di tangan.
Fazli cuma menggeleng-geleng kepala. Hmmm beli nasi bungkus la tu. Faham sangat dengan perangai adiknya yang tak pandai memasak tu.

Kalau disuruhnya menyiang ikan, pasti hancur ikan tu dikerjakannya. Disuruh mengupas bawang, baru kupas selabu bawang dah berjurai air matanya keluar. Nak disuruh menggoreng ikan, alamatnya memang jadi ikan hanguslah, hitam rentung semuanya cukup. Satu je yang Rina ni boleh buat, masak air. Itupun kena pakai cerek elektrik. Kalau pakai cerek biasa gerenti memang keringlah air kat dalam cerek tu.

“Assalamualaikum, tengah buat apa?” soal Hafiz seraya melabuhkan punggungnya di depan Rina.
“Ek eleh, buta ke apa. Tak nampak ke aku tengah tengok tv ni” gumam Rina di dalam hati sambil memandang sinis ke arah Hafiz, bos abangnya.
“Tengah tidur” Rina menjawab selamba. Geram dia melihat tetamu yang tak diundang ni. Gara-gara kedatangan Hafizlah Rina dipaksa menolong abangnya di dapur. Bukan main bising mulut abangnya mengarah itu dan ini. Sudahlah Rina ni tak betah buat kerja dapur ni, lagi mau dipaksa-paksa. Tengok ni, jari Rina dah terluka kena pisau. Geram, geram. Macam mana tak terlukanya, buat kerja tanpa keikhlasan hati. Huhu.

Erk…, boleh tahan juga loyar buruk minah ni.
“Ooo ye ke. Patutlah, nampak lena sungguh” balas Hafiz lagi sambil tersenyum manis.
“Aaaa, eh dia ni buta ke atau aku yang buta. Ah biarlah” gomel Rina sendirian sambil meneruskan tontonannya.
“Hahahahhaha” tiba-tiba Hafiz tergelak besar. Cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah ni memang gila kelakar dirasakannya. Nak pecah perut dia ketawa sampai terkentut-kentut, sampai mengalirlah juga setitis dua air matanya.

“Hissh, potong stim betullah dia nie” Rina mengangkat punggung dan langkah kaki di hala menuju ke bilik. Sambil itu sebelah tangannya menutup hidung. Tak tertahan dengan aroma yang dibuat oleh Hafiz tadi, dah macam bau telur temelang pun ada. Ni mesti sebab makan gulai telur tadi. Huhu.
Hafiz cuma tersenyum kelat. Alamak aiii, macam mana lah pula boleh terlepas angin ni. Hmmm, biarlah, angin tu bukannya boleh ditahan-tahan.
“Mak aiii, wangi juga perfume aku ni” lantas Hafiz turut menutup hidungnya dan tergelak sendiri. Hahaha.

Sejak balik dari kampung Fazli hari itu Hafiz seperti orang yang gila bayang. Sekejap sekejap tersenyum sendiri, kadang-kadang termenung, tiba-tiba tergelak sendiri. Kalau orang lain nampak ni, mesti Hafiz dah dicop gila. Cuma satu yang sentiasa bermain di fikirannya iaitu Rina. Bayang Rina sentiasa berlegar-legar di ruangan matanya, sering mengganggu tidur malamnya. Bila makan dia terbayang Rina, bila kerja dia terbayang Rina, bila mandi dia terbayang Rina, bila masuk tandas pun dia terbayang Rina juga. Uiiissshhh, ini memang kes naya betullah. Kerinduannya kepada Rina begitu memuncak. Inikah yang dinamakan cinta?. Alangkah indahnya hati bila dilamun cinta.

Semuanya fasal Rina. Wajah comel yang keanak-anakan itu. Kalau dilihat dari sikap Rina memang jelas tidak menampakkan kematangannya langsung. Masih lagi berperangai kebudak-budakan. Tapi ntah mengapa Hafiz begitu terpikat dengan Rina. Terasa seperti dia akan memberikan berita gembira kepada ibunya. Terasa seperti dia akan memenuhi permintaan ibunya yang terlalu berharap. Memang Hafiz begitu pasti, nekad dengan keputusannya untuk menyunting Rina, untuk menjadikan Rina suri di taman hatinya.

Hafiz merenung Fazli yang duduk di depannya. Ntah kenapa, mulutnya dirasakan begitu berat untuk meluahkan perkara yang terbuku di hati. Semalam Hafiz telah memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk melamar Rina. Ibunya bukan main suka, maklumlah nak menerima menantu yang sudah lama diidam-idamkan. Disebabkan itu juga ibunya tidak menolak siapa saja calon isteri yang diinginkan Hafiz. Janji Hafiz mesti cepat-cepat mengakhiri zaman bujangnya. Dah kepingin sangat tu nak menimang cucu.

“Hujung minggu ni saya datang ke kampung awak boleh” Hafiz memulakan bicara.
“Nak datang kampung saya. Nak buat apa Encik Hafiz. Lagipun 2 minggu lepas kan Encik Hafiz dah datang ke kampung saya. Mak saya pun dah beransur baik tu”.
“Dulu tu lain. Minggu ni saya datang nak bawa rombongan”.
“Bawa rombongan. Rombongan apa pula tu” hairan Fazli memikirkannya. Setahunya tak adalah pula tempat-tempat menarik di kampungnya untuk dilawati.

“Rombongan meminanglah”.
“Rombongan meminang. Nak pinang siapa?” soal Fazli yang semakin bingung. Takkan nak meminang Rina kot.
“Nak pinang siapa lagi. Takkanlah nak pinang emak kamu pula, sudah tentulah nak pinang Rina, adik kamu” apalah lembap sangat pekerjanya ni.
“Haaaaa” bukan main besar mulut Fazli ni melopong. Silap-silap lalat pun boleh masuk.

“Ehh, biar betul Encik Hafiz. Rina tu budak mentah lagi. Apa kerja pun tak reti nak buat. Inikan pula nak berkahwin” ujar Fazli, dah hilang akal kot orang tua ni.
“Saya tak kisah itu semua. Yang pasti saya nak masuk meminang minggu ni. Awak bagitau la kat mak awak suruh buat persiapan apa yang patut”.

Waras ke tidak ni. Rina yang masih kebudak-budakan tu nak dijadikan isteri. Muka punyalah hensem, takkan tak ada makwe kot. Hmmm, biarlah sekurang-kurangnya dapat juga dia beriparkan orang kaya.
“Baiklah Encik Hafiz, nanti saya bagitau mak saya”.
Hafiz cuma tersenyum dan mengangguk mendengar kata-kata Fazli. Tidak sabar-sabar dia menunggu hari bahagia.

Fazli mendail-dail nombor telefon rumahnya. Lama… namun masih tidak diangkat. Kemanalah perginya mak dengan adik aku ni.
“Hello Assalamualaikum” kedengaran suara Rina di hujung talian.
“Waalaikummussalam. Rina, mak ada tak. Abang nak cakap dengan mak ni”.
“Ada. Nak cakap dengan mak je ke. Dengan adik abang yang cute dan comel ni tak nak cakap ke”.
“Banyaklah kau punya cute. Pergi panggil mak cepat”.
“Mak tak ada” jawab Rina ringkas.
“Aik, baru tadi cakap ada kan. Dah tu pergi mana pula”.
“Iye la, mak tu kan chipsmore. Kejap ada kejap tak ada”.
“Hmmm iye la tu. Oklah kalau macam tu, nanti abang call lagi” Fazli ingin cepat-cepat menamatkan panggilan. Banyak kerja yang perlu dibereskannya.
“Ehhh, kejap-kejap. Nak cakap dengan mak kan. Nanti Rina panggilkan”.
“Haaaa ada pulak” memang mangkuk tingkat 14 betullah si Rina ni. Perangai macam budak-budak. Macam manalah nak kahwin dengan bos aku ni. Fazli mengeleng-geleng perlahan.

“Ehh.. betul ke apa kamu cakap ni. Bos kamu tu sihat ke tak, ntah-ntah tak waras” ujar Makcik Joyah apabila Fazli memberitahunya Hafiz ingin menghantar rombongan meminang.
“Betullah mak, bab pinang-meminang ni mana boleh buat main-main”.
“Dah terdesak sangat ke bos kamu tu”.

Isshh mak aku ni. Agak-agaklah pun. Terdesak dikatanya orang tu. Gumam Fazli sendirian.
“Takkanlah terdesak pula mak. Dia tu orang kaya mak. Setakat nak cari isteri tu rasanya tak ada masalah”.
“Habis tu kenapa dia nak kahwin dengan adik kamu. Kamu pun tau kan adik kamu tu macam mana”.
“Habis tu nak buat macam mana mak. Dah dia berkenan. Agaknya dah memang jodoh diorang kot”.
“Emmm ye la agaknya. Nantilah mak cakap kan dengan si Rina tu. Tak tahulah dia nak ke tidak” ujar Makcik Joyah lagi.
Tak dapat dia bayangkan jika Rina menjadi isteri Hafiz. Mesti huru-hara nanti.

Rina tengah syok menonton kartun kegemarannya Sin Chan sambil mengunyah-ngunyah Twisties. Kadang-kadang dia tergelak kecil melihat gelagat Sin Chan yang comel itu. Gila kelakar dirasakannya. Makcik Joyah yang datang menghampiri hanya menggeleng-geleng melihat perangai Rina. Kartun ditengoknya. Cubalah tengok rancangan yang bermanfaat sikit. Macam manalah nak jadi menantu orang kaya ni. Tak dapat nak dibayangkan.

“Rina, mak ada benda nak cakap sikit dengan kamu ni” Makcik Joyah berbasa-basi.
“Cakap je lah, apa halnya” jawab Rina ala kadar. Matanya masih terarah ke skrin televisyen.
“Hujung minggu ni, bos abang kamu nak bawa rombongan datang meminang kamu”.
“Haaaaaaa” tersembur Twisties yang telah lumat di mulut Rina. Terkejut beruk mak yea dirasakannya.
“Isshhh apalah kamu ni” marah Makcik Joyah sambil mengelap-ngelap mukanya yang terkena semburan twisties Rina tadi.

“Nak meminang Rina. Ishh biar betul dia tu. Tak nak lah Rina” sejenak Rina terbayangkan wajah Hafiz, bos abangnya itu. Teringat peristiwa Hafiz yang terkentut semasa menonton dulu. Uweekkk.
“Nak tak nak itu lain cerita. Tapi yang pastinya diorang nak datang hujung minggu ni”.
“Rina ni mana boleh kahwin, tak cukup umur lagilah mak. Baru 19 tahun ni”.

“Memang mak tau yang kamu tu memang tak cukup umur. Perangai pun macam budak-budak. Kalau dah umur 30 pun agaknya perangai kamu macam ni juga. Tapi nak buat macam mana, dah diorang tu nak datang. Takkan nak dihalau pula”.
“Alaa, susahlah macam ni. Mak tahu tak, umur bos abang tu dah 35. Rina ni baru 19. Uiisssshhh jauhnya beza. Taknak lah Rina”.

“Aiiii, hari itu kamu juga yang suruh mak doakan kamu kahwin dengan orang kaya, boleh goyang kaki je. Bos abang kamu tu kaya apa. Lagipun umur je 35, tapi rupa dia kan muda lagi”.
Rina mencebik. Alahai mak aku ni. Aku main-main je lah hari tu.
“Tak pe lah, kita tengok je lah hujung minggu ni nanti” ujar Makcik Joyah lagi sambil berlalu meninggalkan Rina terkebil-kebil keseorangan.
Fikiran Rina melayang-layang. Tak tahu apa yang difikirkannya saat ini. Rancangan Sin Chan yang begitu menarik perhatiannya tadi hanya dipandang kosong. Bagaimana dia harus menghadapi hujung minggu ni. Alahaiii..

“Assalamualaikum” kedengaran beberapa suara memberi salam dari luar.
“Waalaikummussalam” ujar Makcik Joyah.
“Haaa Rina, cepatlah bersiap. Tu baju kurung yang mak pilih tu kamu pakai. Nanti air kopi dekat dapur dengan kuih-muih tu kamu bawa ke depan. Mak nak pergi sambut diorang ni” ujar Makcik Joyah kepada Rina. Segala juadah telahpun disediakan terlebih awal. Air kopi pun telah disiapkannya tadi. Nak mengharapkan si Rina, mau kencing manis tetamunya nanti. Buat air dah macam lori gula tumpah je. Huhuhu.

“Jemputlah masuk” ujar Fazli yang sudah sedia menunggu di muka pintu. Hafiz yang kacak bergaya itu disalaminya, kemudian Datuk Mansor.
“Jemput-jemput. Silakan masuk” pelawa Makcik Joyah pula kepada para tetamu.
Mereka berjalan beriringan menuju ke ruang tamu.

Rina yang berada di dalam bilik tidak senang duduk. Baju kurung di atas katil hanya dipandang sepi. Macam mana nak buat diorang tak jadi nak pinang aku ni. Jenuh lah Rina memerah otak mencari idea. Yessss!!!!. Rina menjerit riang. Tiba-tiba idea datang mencurah-curah. Rancangan ini memang perlu dilaksanakan. Lantas Rina menyelongkar almari pakaiannya sambil tersenyum riang.

“Rina cepatlah, diorang tengah tunggu tu” Fazli mengetuk pintu bilik Rina bertalu-talu.
“Ye la, yela. Rina datanglah ni. Abang pergilah dulu”.
“Cepat sikit tau” Fazli mengingatkan adiknya lagi.
“Iye Rina tau”.
Rina melihat dirinya di cermin sambil tergelak-gelak kecil.
“Mesti diorang tak teringin nak ambil aku jadi menantu diorang, kalau tak memang jatuh standard lah. Hihihi” Rina tergelak kecil. Begitu pasti yang rancangannya akan berjaya.

“Sebenarnya kami datang ni ada hajat besar. Dari jauh kami datang, datang bukan tanpa tujuan, datang kami berhajat besar, ingin memetik bunga di taman” Datuk Mansor memulakan bicara. Hafiz dan Datin Kamariah tersenyum. Tak sangka mereka Datuk Mansor yang serius ni pandai juga berpantun.

Alamak, berpantun-pantun juga diorang ni. Macam manalah aku nak menjawab ni. Makcik Joyah termenung sejenak, memikirkan pantun yang sesuai untuk diucapkan.
“Ada sekuntum bunga di taman, belum dipetik kumbang idaman, namun satu menjadi sebab, bunga di taman tak cukup kembang”. Makcik Joyah tersenyum meleret, tak disangka pantun tadi yang keluar dari mulutnya.
Haa apa lagi, jawab.. jawab..

“Walau begitu bagai dikata, hajat di hati tetaplah sama, nak kata apa hati dah suka, kembang tak kembang terima saja” Datin Kamariah pula berbalas pantun. Bersemangat sungguh dia nak menerima menantu ni.

“Andai benar bagai dihajat, tak dapat tidak hamba menolak, nantikan saja si punya badan, lihatlah dulu sesuai ke tidak” balas Makcik Joyah lagi.
Semua yang ada di situ hanya mengangguk. Memang benar kata Makcik Joyah itu, kena lah lihat rupa Rina ni dulu. Sesuai ke tidak, serasi ke tidak nak dijadikan calon menantu. Tapi Hafiz kan dah pernah melihat Rina, jadi apa susah, kahwinkan sajalah.

“Hello pakcik, makcik. Apa khabar semua” Rina yang tersengih-sengih datang dari arah dapur membawa sedulang hidangan.
Rasa nak terkeluar biji mata kesemua yang ada situ melihat penampilan Rina. Rina memakai seluar jeans biru yang lusuh dengan koyakan halus di kedua-dua belah lututnya. Mengenakan t-shirt hitam yang terdapat gambar tengkorak. Memakai topi yang ditalakan ke belakang dan memakai mekap yang memang dah mengalahkan opera cina. Gila tebal. Rasa nak pengsan melihat penampilannya.

“Alamak!!!, ini menantu ke anak hantu ni. Ini ke rupanya bakal menantu aku ni. Alahaiii” gumam Datin Kamariah sendiri sambil memandang sinis ke arah Hafiz. Hafiz cuma terkulat-kulat menahan malu. Kenapalah Rina ni pakai macam ni, ni mesti kes tak nak kahwin ni. Tak pe, tak pe, jangan harap boleh terlepas. Aku kejar sampai dapat. Hafiz tersenyum-senyum sendiri.

Makcik Joyah cuma menelan air liurnya yang dirasakan kelat sebaik saja terpandangkan Rina. Memang malu tahap anak cucu cipan dah ni. Aduuiiii Rina, kenapalah buat mak macam ni.

Rina cuma tersenyum riang melihatkan reaksi mereka semua. Haaa, tulah dah terkejut monyet semuanya kan. Sekejap lagi ada satu lagi surprise ye. Hihihi.
“Kenapa semua buat muka macam ni, tak cantik ke Rina ni?” Rina bertanyakan soalan bodoh.
“A’aaa, cantik, cantik” tergagap-gagap semuanya menjawab.
Hahahaha.

“Jemputlah minum pakcik makcik. Air ni Rina buat special untuk pakcik dan makcik tau” ujar Rina lagi sambil menuangkan air kopi ke dalam cawan. Selesai, Rina mengambil tempat di sebelah emaknya. Dilihat muka emaknya dah merah macam kena blusher je. Maafkan Rina ye mak. Huhu.

“Err, jemputlah minum semua” Makcik Joyah mempelawa tetamu.
Selain dari kopi turut terhidang kuih karipap dan kuih lapis yang dibuatnya pagi tadi.

Datin Kamariah yang memang dah kering tekak ni cepat-cepat mengambil air kopi yang terhidang untuk menghilangkan dahaganya. Sebaik saja air kopi tersebut mengenai tekaknya, tersedak-sedak kecil dibuatnya. Perit sungguh tekaknya dirasakan.
“Kenapa ni Mar?” soal Datuk Mansor sambil menepuk perlahan belakang isterinya.
“Tak.. errr, kopi ni sedap sangat. Tu yang sampai tersedak tu” balas Datin Kamariah pula.

Rina cuma menutup mulutnya dengan tangan. Tak tahan sangat, rasa nak pecah perut dia melihat Datin Kamariah minum kopi masin. Hahaha.
Hafiz yang tertanya-tanya terus mengambil air kopi tersebut. Dihirupnya perlahan, mukanya berubah kelat. Rina, Rina. Tak pe, tak pe. Nanti dah jadi bini aku, tahulah aku nak kerjakan. Air kopi di cawannya diminum habis, masin pun masin lah. Aku nak tengok setakat mana helahnya.

“Ehh, kenapa tak minum. Jemputlah minum, kuih-muih ni makanlah” pelawa Makcik Joyah apabila dilihatnya Datin Kamariah tidak menyentuh sebarang hidangan.
“Aaaa, iyelah” Datin kamariah menjawab manis sambil mengambil kuih karipap. Bimbang juga dia kalau-kalau isi karipap yang dimakannya ni manis pula. Huhuhu.

Makcik Joyah mengambil kopi yang terhidang bagi membasahkan tekaknya. Apalagi, air muka Makcik Joyah seta-merta berubah sebaik saja air kopi tersebut diminumnya. Rina ni memang dah melampau betullah. Lantas tangannya mencubit halus pinggang Rina dari belakang.

“Opocot!!! anak monyet mati tercekik biji durian” ala mak aku ni. Kenapa main cubit-cubit ni, kan dah terkeluar ayat versi latah tu.
Semua yang ada di situ tak dapat menahan gelak melihat Rina yang melatah. Memang dah macam mak nenek je. Hahaha. Sekarang muka Rina pula yang dirasakan merah teramat. Malu siot.

Rina dan Hafiz kelihatan begitu cantik sekali dengan pakaian pengantin yang berwarna ungu lembut. Kedua-duanya bagaikan pinang dibelah dua, sama cantik, sama padan. Majlis perkahwinan mereka diadakan dalam suasana yang amat meriah sekali. Kelmarin, dengan hanya sekali lafaz akhirnya Rina sah menjadi isteri Hafiz.

Agaknya memang mereka telah ditakdirkan bersama. Walau macam mana carapun yang dilakukan Rina namun Hafiz tidak berganjak dengan hasratnya untuk menikahi Rina. Begitu juga dengan Datin Kamariah yang pada mulanya begitu keras tidak mahu menerima Rina sebagai menantu. Namun Hafiz mengugut tidak akan berkahwin seumur hidup jika pilihannya ditolak. Nak tak nak Datin Kamariah terpaksalah menerima dengan hati terbuka. Jika tidak kempunanlah dia nak menimang cucu.

Rina membaringkan badannya di katil empuk. Ahhh, nikmatnya. Terasa sungguh lelah dia melayan tetamu siang tadi. Kaum kerabat suaminya memang gila ramai. Naik lenguh bibirnya mempamerkan senyuman yang ala-ala manis tu. Badan pula terasa cukup rimas dengan berpakaian pengantin sepanjang hari. Mata dirasakannya cukup berat minta direhatkan. Akhirnya Rina tertidur dalam kepenatan. Masih tidak sedar yang dirinya itu sudah bergelar isteri orang. Katil yang cukup besar itu dirasakan seperti miliknya seorang. Macam sewaktu di kampung pula lagaknya. Punyalah banyak bantal di atas katil tu semua digunakannya. Tak cukup diletakkannya di kiri kanan, di peluknya lagi, di bahagian kaki pun diletaknya satu. Haii, macam manalah suaminya nak tidur ni.

Hafiz membuka pintu bilik perlahan-lahan. Berdebar-debar juga dirasakannya. Maklumlah, malam ini merupakan malam pertama dia bergelar pengantin baru. Sebelum ni, tiap-tiap malam ditemankan bantal peluk. Sekarang sudah ada isteri untuk dipeluk. Hafiz tersengih-sengih sendiri. Langkah kaki dihala menuju ke katil.

“Mak aiiii, lasaknya isteri aku ni tidur ” wajah ayu Rina ditatapnya dengan begitu khusyuk sekali.
“Tak sangka, isteri aku ni cantik orangnya” Hafiz tersenyum bila mengenangkan Rina yang berpakaian pengantin siang tadi. Memang terlalu ayu dan manis pada pandangan matanya. Mekap tipis yang dikenakan ke muka Rina menambahkan lagi kecomelan wajahnya. Bukan seperti waktu merisik dulu. Itu, kalau monyet hutan tengok pun boleh lari tu. Huhuhu.

Punggungnya dilabuhkan di sebelah Rina. Bantal yang terletak di kiri Rina diangkat perlahan. Rina yang sedang nyenyak tidur itu tiba-tiba terjaga.
“Opocot!!! mak kau mati kena tembak” haa kan dah melatah tu. Buat lagi si Rina tu terkejut beruk.
Hafiz tergelak-gelak mendengarkan latah Rina. Terkejut sikit je melatah. Haii, parah juga ni. Nasib baiklah masa majlis siang tadi tak melatah. Kalau tak haru-biru jadinya.

“Awak buat apa kat sini?” soal Rina hairan. Terlupa yang Hafiz tu dah jadi suaminya.
“Buat apa lagi, nak tidur peluk sayang laa” ujar Hafiz lembut. Matanya merenung dalam ke anak mata Rina dengan penuh makna tersirat.
“Ohhhh” ujar Rina perlahan.
“Haaa,, eehhh, awak tak boleh tidur dengan saya laa” ujar Rina lagi separuh menjerit.
“Kenapa pula tak boleh, sayang kan isteri abang”.
“Tapi saya tak cukup umur lagi tau” tak habis-habislah Rina ni dengan kes tak cukup umurnya tu.
Hafiz tergelak-gelak kecil.

“Itu abang peduli apa” ujar Hafiz lagi lantas tangan sasanya membelai lembut pipi Rina.
“Awak jangan” Rina menepis dengan lengannya. Hissh nak dikungfu juga lelaki di depannya ni nanti.
“Kenapa pula?” soal Hafiz bodoh.
“Saya ni alah dengan lelaki tau. Awak tengok ni” lantas Rina menunjukkan lengannya kepada Hafiz.
Hafiz yang melihat cuma tergelak-gelak nakal. Mak aiii dah terpacak 90 darjah bulu roma Rina ni. Dah macam bulu kucing masa bergaduh je. Hahaha, ni memang alahan tahap superman dah ni.
“Kalau macam tu lagi abang suka” ujar Hafiz menyakat. Rambut Rina yang panjang paras bahu itu dibelai lembut.
“Awak jangan.. nanti saya menjerit tau” ujar Rina lagi sambil menepis-nepis tangan Hafiz.
“Nak jerit, jeritlah. Abang peduli apa” Hafiz menjawab selamba sambil tersenyum nakal. Dia nak lihat setakat mana isterinya ni dapat bertahan. Dalam hati memang dah mengekek-ngekek bila melihat reaksi Rina.

“Ishh dia ni. Aku jerit betul-betul karang, baru tau” Rina dah berkira-kira.
“Makkkkkkkkkkk!!!!!!!!!” Rina menjerit kuat apabila sekali lagi Hafiz cuba membelai pipi gebunya.
Apalagi kelam-kabut Hafiz cuba menutup mulut Rina yang menjerit gila kuat tu. Aduiii, berani juga isterinya ni menjerit ye. Kalau didengar oleh ibunya di bilik sebelah ni, uisshhh malu besar dia.
“Ok, ok, ok. Abang takkan paksa sayang. Jangan menjerit-jerit lagi tau”
Haaa, tau pun takut. Tu la, nak cabar sangat.

Hafiz berlalu meninggalkan Rina. Langkah kaki dibawa menuju ke almari yang terdapat di biliknya. Lantas toto yang terdapat di dalam almari itu dikeluarkan.
“Awak nak buat apa tu?” soal Rina hairan.
“Nak buat apa lagi, nak tidur kat lantai la” ujar Hafiz dengan nada merajuk.
Eleh, mengada-ngada. Ingat ni macam kat dalam drama swasta ke, macam kat dalam novel cinta ke nak main-main tidur kat lantai ni.
“Alaa, tidur je la kat atas katil”.
“Betul ni, sayang tak kisah” balas Hafiz yang sudah tersenyum-senyum nakal.
Eleh, pantang dipelawa. Nak saja.
“Tidur je lah. Tapi awak jangan nak pegang-pegang saya tau” Rina memberi amaran
“Iye la abang tau. Alahan kan” balas Hafiz sambil melabuhkan badannya di sebelah Rina.
Mata memang dah mengantuk gila. Kedua-duanya penat sebab majlis siang tadi. Akhirnya kedua-duanya lena dibuai mimpi.

“Sayang, sayang, bangunlah. Subuh dah nak terlepas ni” Hafiz mengejut lembut isterinya.
Haiii, liat betul nak bangun ni.
“Sayang, sayang bangunlah” kejut Hafiz lagi sambil menggoncang lembut bahu isterinya.
“Laaa, apa ni. Bisinglah. Orang mengantuk ni. Mengantuk sangat-sangat” balas Rina.
“Bangunlah, tak baik tau melengah-lengahkan solat ni” Hafiz cuba lagi memujuk isterinya. Niat dihatinya ingin sembahyang berjemaah.

Rina memisat-misat matanya. Matanya dibuka perlahan-lahan. Kelihatan Hafiz yang tersenyum manis ke arahnya dengan lengkap berpakaian baju melayu kuning dan songkok di kepalanya. Kacak sungguh.
“Dah tu, pergi mandi, ambil air sembahyang. Cepat sikit, abang tunggu ye”.
“Alaaa, sejuklah nak mandi. Ambil air sembahyang je boleh kan” Rina menjawab malas.
“Kan ada heater kat bilik air tu. Mandilah, bersih sikit badan tu. Tengok muka tu, air liur basi meleleh-leleh. Pergi mandi cepat” arah Hafiz.

Rina berjalan malas menuju ke bilik air. Mukanya dibelek-belek di depan cermin yang terdapat di bilik air tersebut.
“Eleh, mana ada air liur basi. Saja je nak kenakan aku”.
Seterusnya Rina bersiap-siap untuk membersihkan badannya.
“Alamak… kenapa pula ni. Kenapa time ni pula kau nak datang. Aduhhh, masalah betullah. Ni mesti sebab kes alahan malam tadi ni. Huhu”.

“Dah habis mandi ke. Cepatnya” ujar Hafiz apabila melihat Rina keluar dari bilik air. Tak sampai 5 minit pun. Ni mandi koboi ke mandi lembu ni.
“Takkk, belum mandi lagi” balas Rina ringkas. Tak tahu macam mana dia nak berterus-terang dengan Hafiz.
“Laaa, kenapa tak mandi lagi. Dah dekat pukul 7 dah ni. Cepatlah”.
“Errr.. saya.. saya…”Rina tergagap-gagap.
“Saya apa!!!”.
“Bulan tengah mengambang ni”.
“Mana ada bulan mengambang. Matahari dah nak naik adalah. Kalau bulan mengambang malam-malam, ni kan dah pagi” hairan Hafiz melihat gelagat isteri tersayang.

Alaaa, macam manalah aku nak cakap ni. Takkan tak faham-faham kot. Rina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Kenapa ni sayang?” soal Hafiz lembut. Terasa seperti segunung beban menghempap bahu isterinya.
“Saya uzur” aduhh, malunya nak berterus-terang.
Ooo uzur rupanya, Hafiz tergelak kecil di dalam hati.
“Apa dia, abang tak dengarlah?” soal Hafiz lagi. Saja nak mengusik isterinya.
Eeeee, dah pekak ke. Takkanlah tak dengar. Tu lah, tahi telinga tu tak nak korek.
“Saya uzur” jawab Rina lagi.
“Ok, habis tu nak suruh abang buat apa” soal Hafiz bodoh. Kelakar dia melihat wajah kelat isterinya.
“Tolonglah belikan saya pad” eeee geram-geram. Rina terasa seperti dipermainkan. Takkanlah itupun tak tahu.
“Oooo, ok. Tunggu abang habis sembahyang dulu ye” dalam hati macam nak meletup-letup dia gelakkan Rina. Uzur rupanya. Haiii, nampaknya terpaksalah Hafiz berpuasa selama seminggu. Huhuhu.

“Rina, tengahari ni Rina masak ye. Teringin nak makan masakan Rina” ujar Datin Kamariah kepada menantunya. Bukanlah teringin sangat pun, tapi sekadar nak menduga. Cukuplah dulu dia merasa minum kopi masin yang diberikan Rina. Eeeee, geli-geleman pula rasa tekaknya.

Erk,, alamak aiii. Nak disuruhnya memasak. Macamlah tak tahu yang Rina ni memang fail dalam bab masak-memasak ni. Kalau main masak-masak bolehlah. Huhuhu. Hati Rina semakin berdebar-debar. Runsing dia dengan permintaan ibu mertuanya. Ingatkan dah kahwin dengan orang kaya, bolehlah duduk goyang kaki. Tapi lain pula jadinya. Kalau macam ni, baik tak payah kahwin. Huhuhu, Rina merintih lagi. Yang diorang ni pun, dah kaya-kaya ambillah orang gaji. Ini tidak, low profile konon. Hmmmm.

“Rina, boleh tak ni?” tanya Datin Kamariah lagi apabila tiada jawapan yang keluar dari mulut Rina.
“Takpe lah ibu, biar Fiz je yang masak” ujar Hafiz bagi menyelamatkan keadaan.
Kesian pula melihat keadaan isteri tersayang yang terkulat-kulat seorang diri tu.
“Ibu nak rasa masakan Rina lah. Bukannya Fiz. Boleh kan Rina”.
Rina cuma mengangguk perlahan tanda memberi persetujuan. Padahal dalam hatinya menjerit-jerit mengatakan tidakkkkk.

Hafiz cuma tersenyum manis melihat isteri disebelahnya. Jangan risau sayang, nanti abang tolong sayang ye. Abang ni memang terrer bab masak-memasak ni. Dah mengalahkan chef Wan pun ada. Lantas Hafiz menepuk lembut paha isterinya. Rina yang terkejut apalagi mengeluarkanlah latahnya yang tak boleh nak kontrol tu.
“Opocot.. mak kau lapar tak makan”.
Datuk Mansor dan Datin Kamariah yang sedang menjamah nasi lemak cuma tergelak kecil. Inilah yang merupakan penyeri rumah mereka.
“Apa pula lapar tak makan nya, kan tengah sarapan ni” ujar Datuk Mansor sambil tersenyum.
Rina cuma mengangguk perlahan. Hafiz disebelahnya dipandang sinis. Eeeee, geram betul, tangan tu memang tak reti nak duduk diam ye. Menggatal je.

Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Rina sudah pun siap sedia berada di dapur. Ikan, ayam dan sayur yang telah sedia ada di atas meja itu dipandang sepi. Apa yang nak dimasaknya ni. Memang tak reti langsung lah. Dah hampir sebulan dia tinggal di rumah keluarga Hafiz namun tidak pernah sekalipun dia memasak. Selalunya cuma ibu mertuanya sajalah yang mengambil peranan tersebut. Rina pun tidak pernah membantu Datin Kamariah kerana dia lebih selesa membuat kerja dapur bersendirian.

“Ahh, potong-potong je la apa yang patut” lantas tangan Rina mencapai beberapa labu bawang merah. Kemudian dia mengupas-ngupas dan memotong-motong bawang tersebut. Berair jugalah mata dia akibat kepedihan. Sambil itu otaknya ligat mencari idea tentang menu yang akan dibuatnya nanti.

Hafiz yang memerhati dari arah belakang tersenyum-senyum memandang Rina. Apalah yang isteri aku nak masak ni. Fikirnya lagi. Kaki dilangkah perlahan-lahan menuju ke arah Rina yang sedang khusyuk mengupas bawang. Niat dihatinya ingin memeranjatkan Rina. Hafiz rasa terhibur dengan latah Rina. Apabila telah hampir ke arah Rina, lantas pinggang Rina dicucuknya dengan kedua-dua jari telunjuknya.

“Opocot!!!! mati aku tak pandai masak” Rina yang terkejut sampai melatah tu tiba-tiba menjerit kesakitan. Tak semena-mena jarinya terhiris pisau.
Hafiz yang pada mulanya ketawa macam nak terburai isi perut tu tiba-tiba panik melihat banyak darah yang mengalir di tangan Rina.
“Awak ni memang lah, suka buat saya macam ni. Awak tau kan yang saya tak boleh terkejut, tapi awak selalu kejutkan saya. Awak jahatlah. Hantar saya balik rumah mak saya” rajuk Rina.
“Sayang, abang minta maaf. Abang tak sengaja” lantas Hafiz memegang jari Rina yang terluka dan menghisapnya.
“Abanggg!!!!” ujar Rina yang terkejut dengan tindakan Hafiz. Oppssss tersasul pula, tak sedar dia sudah membahasakan Hafiz dengan panggilan abang.
Hafiz yang agak risau tadi tersenyum gembira mendengar perkataan yang dilafazkan Rina sebentar tadi.
“Dahlah, tak payah masak. Jom abang plasterkan luka ni” arah Hafiz sambil memimpin tangan isterinya.
“Tapiiii” bantah Rina. Bimbang pula jika ibu mertuanya berkecil hati nanti.
“Tak pe, nanti biar abang yang masak” balas Hafiz lagi sambil tersenyum mesra.

“Kenapa ni, apa dah jadi” soal Datin Kamariah apabila melihat keadaan yang sedikit kecoh di dapur.
“Tak ada apa ibu, tangan Rina ni terhiris pisau” jawab Hafiz ringkas.
Alahai menantu aku ni. Manja betullah, suruh masak sikit je sampai dah terluka. Alamatnya aku jugalah yang kena masak ni. Gumam Datin Kamariah.
“Tak pe lah, pergilah naik, biar ibu yang masak”
“Ibu, minta maaf ye” Rina rasa serba salah.
“Tak pelah Rina. Nak buat macam mana, hari ini tak ada rezeki nak rasa masakan Rina. Maybe next time ye” ujar Datin Kamariah lagi.
Erk.. next time.. Huhuhu.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Begitu pantas masa berlalu. Perkahwinan Hafiz dan Rina sudah mencapai usia setahun.
Hafiz bersyukur dengan perubahan Rina. Daripada bersaya-saya, sudah pandai membahasakan dirinya Rina. Daripada berawak-awak, gelaran abang telah digunakan. Dan daripada alahan tahap superman tu dah jadi alahan tahap cipan je. Semakin manja pula isterinya ini. Semakin bahagia Hafiz rasakan. Rina juga sudah pandai memasak. Ini semua berkat kesabaran ibunya yang mengajar Rina memasak tanpa jemu. Apa yang paling membahagiakan, rumah tangga mereka akan lebih meriah dengan kehadiran orang baru. Kehadiran cucu yang begitu diharap-harapkan oleh Datin Kamariah.

“Abang, Rina takutlah” ujar Rina yang agak gelisah menantikan kelahiran anak pertamanya.
“Jangan takut sayang, abang kan ada” Hafiz menenangkan isterinya sambil mengusap-ngusap lembut perut Rina yang memboyot tu.
“Anak papa tengah buat apa kat dalam tu. Tak sabar-sabar nak keluar dah ye” ujar Hafiz lagi sambil mendekatkan telinganya di perut Rina.
Rina hanya tersenyum memerhati sambil membelai-belai mesra kepala Hafiz. Tak tau nak cakap bagaimana perasaannya saat ini. Bahagia sangat-sangat. Tak sangka begitu indah rupanya alam perkahwinan. Kalau dia tahu dari awal, tak adalah dia bersusah-payah melakukan perkara-perkara yang memalukan diri semata-mata ingin menolak pinangan Hafiz dulu. Kalau dia tahu dari awal sudah pasti dia akan cakap begini kepada emaknya “Makkkk Rina nak kahwin”. Hahaha.

Hafiz memandang Rina dengan mesra. Satu kucupan sayang dihadiahkan di dahi isteri tercinta.
“Rina sayang abang tak” soalnya menguji.
Sepanjang perkahwinannya Rina tidak pernah mengungkapkan perkataan keramat tersebut. Teringin sekali dia mendengarnya dari bibir kecil isterinya.
“Kalau tak sayang, tentu Rina tak jadi macam ni” jawab Rina pula
“Jadi macam ni, jadi macam mana tu. Abang tak fahamlah”
“Yea la, jadi macam ni” Rina menunjukkan perutnya kepada Hafiz.
“Terkena buatan orang” sambung Rina lagi
“Ooooo” Hafiz tergelak kecil.
“Rina sayangkan abang. Selagi hayat dikandung badan selagi itu rasa sayang itu mekar di hati” begitu puitis sekali bunyinya.
Hafiz terasa amat-amat bahagia. Sekali lagi dahi Rina dikucupi ciuman hangat.
Semoga kasih-sayang yang tercipta dari hati yang suci bersih ini berkekalan hingga ke akhir hayat.
Amin.

Tamat.

Untuk santai-santai. Selamat membaca.
—————–
Ingin membaca karya lain dari Penulis Tinta Biru? KLIK DISINI


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

97 ulasan untuk “Cerpen : Makkkk!!!! Tak Nak Kahwin”
  1. ciedee says:

    tersengih sampai nak sumbing mulut ni.. sempoi betul citer ni, terhibur sangat.. tq for such a cute n sweet story

  2. AsuWiNi says:

    yeh i was smilin alone readin tiz story…gud 1

  3. bella estrella says:

    Lawaklah….best crita ni. Blh pla gelak2 sorang dri…plg lucu part merisik tu…rina…rina…lucu giler!

  4. Pearl Shafiza :) says:

    Best giler!!!!!!!!

  5. ina says:

    hihihihihi…mmg lawak tang melatah tu…. dah gelak mengekek nie

  6. erna wati says:

    lawak3…best….

  7. khairiahkhaizu says:

    sempoi……suka baca, lawak…..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.