Cerpen : Mencintaimu Hingga Ke Syurga

15 May 2014  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: Roxalynne

Pengumuman baru sahaja dibuat. Tren laju RapidKL daripada KLIA akan tiba di Putrajaya Sentral dalam masa lima minit lagi. Kelihatan seorang gadis berbaju kurung bercorak belang biru dan ungu beserta selendang pashmina labuh bercorak coral kemas terpakai di kepalanya sedang tergopoh-gapah menuruni anak tangga. Dia kelihatan tergesa-gesa dengan bagasi besar yang dibawa bersamanya.

Riak risau dan kepenatan jelas terpamer di wajah gadis itu. Dalam hatinya sudah penuh dengan rungutan. Kenapalah dia kena bawa bagasi besar itu. Nak menyesal, dah terlambat. Tetapi memang bagasi itu agak berat untuk gadis bertubuh ‘cikeding’ sepertinya.

Nasib gadis itu baik, sebaik sahaja dia melangkah di anak tangga terakhir, tren yang ingin dinaiki pun tiba. Sepantas kilat dia berlari sambil menarik bagasinya masuk ke dalam tren.

Gedebukkkkk!!!
“Aduh!”

“Makkk!!!”

Bunyi benda terjatuh dan orang mengaduh serta suara nyaring gadis itu menjerit. Semuanya kedengaran serentak dalam koc tren. Semua orang memandang kearah gadis itu. Bagasi besar gadis itu sudah bergelimpangan. Nasib baik tak ramai orang di dalam koc itu.

Gadis manis itu sudah terduduk di tengah-tengah koc tren. Yang paling malangnya ialah dia terdudukkan seseorang! Gadis itu memandang kearah orang yang sudah ‘didudukkannya’ itu. Kelihatan seorang jejaka berkulit putih mulus sudah menyeringai kesakitan.

Yelah, mana tak sakit wooo. Gadis itu dukung beg sekali yang dah dipenuhi dengan buku-buku. Beg itu pula dah ‘rasminya’ hinggap di pipi jejaka itu tadi. Penangan maha dahsyat betul! Kalau kena hempap dengan orangya je takpelah jugak kan. Ni dengan beg dia sekali. Tu dia sakitnya…

“Sorry! Maaf, encik! Saya minta maaf sangat-sangat! Saya tak sengaja. Saya betul-betul tak sengaja! I am really sorry! Saya nak cepat tadi.”

Gadis itu segera bangun dan meminta maaf. Laju sahaja kata-kata maaf yang dituturkan. Macam machine gun pula jejaka tu dengar.

Gadis itu benar-benar rasa bersalah melihatkan lelaki itu berkerut menahan sakit tadi. Semua ini salahnya kerana terus masuk ke pintu tren tanpa melihat keadaan sekeliling terlebih dahulu.
“Tak apa. Tak apa. Saya faham awak bukannya sengaja pun kan.”

Jejaka itu sudah bangun dan merapikan sedikit kemeja dan tali lehernya yang kelihatan tidak kemas.
“Sorry again. It’s my fault! Encik okay ke? Kena beg saya ni tadi, mesti sakit. Mulut encik tak apa-apa kan? Tak patah gigi ke apa ke?” Bertalu-talu lagi soalan yang ditanya si gadis. Kalut sungguh. Dia risau. Takut-takut kalau rahang lelaki itu patah ke, terkehel ke. Pipi lelaki itu nampak merah.

‘Mesti lebam satgi ni kalau dah merah cenggini.’ Terlintas kesimpulan itu di hati sang gadis.
“It’s okay. No need to worry. I’m fine. Absolutely fine. Sikit aje ni.” Dia tersenyum ke arah gadis itu. Melihatkan tingkah-laku gadis itu membuatkan sang jejaka berasa lucu. Hilang sudah sakitnya itu.
Manisnya senyuman dia! Ada lesung pipit. Alamak, muka dia. Muka dia macam muka artis Korea, Lee Jong Hyun, gitaris hebat dari kumpulan CNBLUE kesukaan gadis itulah. Gadis itu terkesima.

5, 4, 3, 2, 1… Lima saat gadis itu terdiam bagaikan patung.
“Cik adik, oh cik adik?” Jejaka itu sudah gerak-gerakkan tangannya di hadapan gadis yang tak berkedip memandangnya.

“Ah, ya. Sorry. Encik ni kacak sangatlah. Terpegun saya.”
Laju sahaja pujian itu keluar dari mulutnya tanpa dia sedari. Jejaka itu hanya tersenyum. Dia mencapai begnya kemudian mengambil bagasi gadis tersebut yang sudah bersepah di lantai koc.
“Astaghfirullahal ‘azim.”

Baru gadis itu tersedar. Dahinya ditepuk. Beristighfar panjang dia. Darah panas mulai menyerbu mukanya. Mukanya sudah mulai memerah. Malu. Segan. Semuanya bercampur-baur.
“Nah. Ni beg cik adik. Tu ada seat kosong. Jom duduk situ. Kesian saya tengok awak ni. Muka macam penat je. Tengok tu muka dah merah.”

Gadis itu mencapai huluran yang diberikan. Ucapan terima kasih diucapkan kepada sang jejaka tampan. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah diri sendiri. Tak tahu malu betullah. Segera dia duduk di tempat duduk kosong yang ditunjuk jejaka tadi. Malu tak malu pun, kakinya sudah berasa amat lenguh sekarang ini. Lebih baik dia duduk dulu. Malu tu letak tepi dulu.

Perjalanan tren yang hanya memakan masa selama hampir 20 minit itu dipenuhi dengan perbualan antara mereka berdua. Baru sang jejaka tahu bahawa destinasi yang mereka berdua ingin tuju adalah sama. Kedua-duanya ingin turun di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Cuti semester gadis itu selama sebulan baru sahaja bermula. Gadis itu ialah penuntut Program Dua Tahun di Kolej Matrikulasi Selangor. Manakala jejaka itu pula baru sahaja pulang dari urusan kerja di Hong Kong. Daripada KLIA dia terus ke TBS kerana ingin bercuti di kampung datuk dan neneknya. Dia kepenatan untuk memandu, itu yang dia putuskan untuk menaiki bas sahaja ke sana. Satu lagi kebetulan yang sama. Destinasi terakhir yang ingin mereka tuju ialah Johor. Tetapi tidak pula ditanya dengan lebih lanjut di Johor itu di mana.

Tiba sahaja di TBS, sang jejaka menolong menarik bagasi si gadis daripada stesen tren sehingga tiba di tingkat atas, tempat membeli tiket di TBS. dia kasihan melihatkan sang gadis yang sudah kelihatan terlalu penat itu. Usai membeli tiket, gadis itu meminta diri terlebih dahulu kerana ingin bersolat Maghrib di surau. Jejaka itu turut ingin melaksanakan perintah Yang Maha Esa itu. Baru sahaja mereka melangkah…

“Cik adik, kejap!” Jejaka itu baru teringat sesuatu. Masih ada sesuatu yang belum ditanyakan kepada gadis itu.
“Ya, ada apa, encik?” Gadis itu terpinga-pinga memandang sang jejaka.
“Nama awak siapa? Dari tadi kita duk berbual, tak tahu nama pun.”

“Oh, ingatkan apa tadi. Encik ni buat saya terperanjat jelah. Nama panjang, Nurin Hana Rose. Tapi, nama pendek, panggil Hana je. Kawan-kawan panggil saya Hana je.” Senyuman manis terukir di bibir sang gadis seusai memberitahu namanya. Manis. Cantik.

Sang jejaka pula terpegun tiba-tiba. Hatinya berdegup kencang. Dup dap dup dap. Kenapa ni? Cepat-cepat dia beristighfar dalam hati.

“Sedap nama awak. Nurin Hana Rose. Tapi panggil Hana je?”

“Yup. Hana je.”

“Okey, Hana je. Saya Muhammad Farizzul Aniq Hyun. Panggil saya Aniq. Toksah panggil encik-encik. Penat saya duk dengar dari tadi. Saya bukannya boss awak.”

“Main-main pulak encik ni. Panggil saya Hana. Okey, Encik Muhammad Farizzul Aniq Hyun. Sedap nama encik. Panjang gak ek nama encik ni.”

“Hah, tengok tu berencik-encik lagi. Panggil saya Aniq je, wahai cik Hana Rose.”
“Okey, boss Aniq je.” Seloroh Hana.
“Saya bukan boss awak. Saya Aniq. A N I Q. Aniq.”
Hana sudah geli hati. Lucu juga cara lelaki ini bertegas.

Sebenarnya dia kurang selesa untuk tidak memanggil lelaki itu dengan gelaran encik melihatkan lelaki itu lebih tua daripadanya. Takkan nak panggil abang? Memang taklah kan. Macam geli je dengar. Panggilan ‘abang” itu sudah dia simpan untuk insan yang bergelar suaminya sahaja.

“Okay, okay. Saya faham. Aniq. Tapi boleh tak saya nak tanya sikit?”
“Tanya apa?”

“Aniq ni orang Korea ke?” Hana sudah tidak berencik-encik lagi melihatkan muka seposen lelaki itu bila dipanggil encik tadi.

“Muka macam orang Korea. Nama pun ada Hyun gitu.” Nama ‘Hyun’ ditekankan di hujung ayat. Nak kata Korea, tapi reti pulak dia cakap Melayu.

“Abi saya orang Korea. Ummi saya orang Melayu. Hyun tu nama keluarga kata abi.”

“Hurmmm, mix rupanya. Samalah kita.” Hana mengangguk-anggukkan kepala mendengar penjelasan Aniq.
“Awak mix jugak ke?” Giliran Aniq pula tertanya-tanya ingin tahu.

“Yang mix tu ibu saya je. Dia Melayu-Cina. Saya ni kira dah suku Cina je. Yang lebihnya Melayu-Jawa-Banjar. Mix 4 in 1. Hahaha. Banyak betul campur-campur kan orang sekarang ni.”

“Lebih kuranglah. Campur-campur macam cincau soya gitu. Hehe.” Aniq geli hati teringatkan bagaimana kawan-kawannya memanggilnya ‘cincau soya’ dulu. Dia senang bercerita dengan gadis manis seorang ini.
“Haha. Banyaklah awak punya cincau soya.”

“Eh, Aniq. Dah pukul berapa sekarang ni?” Hana teringat dia perlu bersegera untuk solat. Takut tertinggal bas.
“Pukul tujuh empat puluh lima. Kenapa?” Jam tangannya dikerling seketika. Aniq sudah pelik melihatkan Hana yang sudah tidak senang duduk.

“Alamak, bas Hana 45 minit lagi. Hana nak gi surau solat dulu. Tak Maghrib lagi ni.” Beg dicapai lalu disangkutkan ke bahu. Kalut sungguh Hana ni.

“Awak tak solat ke? Tak baik tau lambat-lambatkan solat.” Selamba sahaja Hana berkata begitu melihatkan Aniq yang masih tenang memerhatikan tingkahnya daripada tadi. Walhal Aniq memerhatikan Hana kerana Hana tertinggal sesuatu.
“Solatlah. Ni beg awak jangan lupa.” Sekali lagi dia menghulurkan bagasi kepada gadis ‘pelupa plus kalut’ yang bernama Nurin Hana Rose ini.

“Ehhh, thank you, boss. Hehehe, terlupa pulak beg ni.”

‘Itulah, buat kerja huru-hara lagi. Habis semua barang kau tinggalkan ya. Kan dah malu depan mamat hensem ni.’ Getus hati Hana. Segan sebenarnya apabila sudah beberapa kali dia kantoi sebagai seorang yang amat kalut di hadapan lelaki kacak yang baru sahaja dikenalinya ini.

Aniq hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat ‘minah kalut’ yang seorang ni. Kalut tapi comel. Stail ada ala-ala Muslimah. Satu tarikan di situ yang membuatkan dia ingin lebih mengenali gadis itu.

“Hana, nah. Ambil name card saya sebelum awak pergi. Kalau ada apa-apa, contact saya okay. Saya harap kita tak lost contact.” Hana menyambutnya dengan senyuman. Aniq turut mempamerkan senyuman. Kemudian masing-masing berlalu pergi.

‘Wah, dapat kad orang hensemlah. Hehehe. Ni yang aku cair ni. Apa nak buat ek? Nurin Hana Rose, grip yourself first!’ Hana sudah bermonolog sendiri.

Usai solat dan membeli beberapa snek sebagai bekalan untuk di dalam bas, Hana pun turun ke balai pelepasan di tingkat bawah TBS.

“Akhirnya…” Hana menghembuskan nafas lega apabila dapat duduk di dalam perut bas ekspres. Dia sudah tidak sabar untuk tiba ke kampung halamannya. Earphones disumbat di telinga. Butang play ditekan. Lantunan lagu Alone nyanyian band muzik CNBLUE kegemarannya mulai kedengaran di corong telinga.

Kad nama Aniq dipandangnya. Muhammad Farizzul Aniq Hyun. Sedap nama tu. Orangnya pun boleh tahan kacak. Oh, cik abang tadi tu engineer rupanya. Hana tersenyum. Malu. Dia menutup mukanya yang sudah memerah bila teringatkan insiden dia terdudukkan abang engineer tu tadi.

Tiba-tiba datang seorang pemuda meletakkan beg di tempat duduk di sebelahnya. Hana memandang ke sebelah. Ada sesuatu yang mengejutkannya. Biar betul?!

“Aniq!” Lelaki itu sudah pun duduk di sebelahnya. Ternyata Aniq juga terkejut melihat gadis itu berada di sebelahnya. Masing-masing ternganga, tidak menyangka.

“Assalamu’alaikum. Hai, Hana. Awak pun nak pergi Kluang jugak ke?”
“Wa’alaikumsalam. Yup. Saya nak balik Simpang Renggam. Awak?” Aniq menganggukkan kepala. Sekali lagi destinasi mereka sama.

“Rumah atuk dan nenek saya pun kat sana. Kat Kampung Shaari.”
“Oh, dekat sangat dengan kampung Hana. Kampung Hana kat Kampung Haji Hashim.”
Aniq dan Hana, kedua-duanya sudah tersenyum. Nampaknya kisah mereka belum berakhir. Cerita mereka baru sahaja bermula.

***************************************************************************************************
“Sayang, senyumkan apa tu? Duk senyum sorang-sorang. Dah macam orang tak betul je.” Aniq berasa lucu melihatkan isteri yang baru dinikahinya itu duduk tersenyum sendiri di meja batu itu sedari tadi. Tak lain tak bukan, duk berangan lah tu. Sampai dia yang masuk ke taman mini di laman rumah itu pun isterinya tidak sedar. Kuat berangan betul bini aku ni! Ish ish ish…

Mati terus senyuman isterinya dikata begitu. Satu cubitan halus hinggap di lengan sasa Aniq.
“Aduiii, sakitlah! Cubit macam ketam.”

“Padan muka! Abang ni. Tak betul tak betul saya ni pun isteri siapa? Isteri abang jugak kan. Senang-senang je panggil kita tak betul.” Sang isteri mulai menarik muka. Dia berpaling dari suaminya. Pura-pura merajuk.
Dia tersenyum tadi pun bukannya apa. Teringat kisah bagaimana kalutnya pertemuan pertama mereka sebelum disulam cinta selepas nikah. Siapa sangka selepas sahaja dia tamat pengajian di matrikulasi, dirinya terus disunting sang jejaka tampan tambah beriman idaman hati ini. Suaminya dengan ‘gentleman’nya berjumpa orang tuanya untuk merisik jika si gadis sudah berpunya. Kemudian, mereka bertunang hanya beberapa bulan, terus bernikah. Untuk menjalin hubungan kasih sayang dengan cara yang diberkati. Umurnya baru sahaja mencecah 20 tahun tetapi sudah pun bergelar isteri seorang jurutera tampan pujaan. Huhu, Alhamdulillah tak sudah.

“Puan Nurin Hana Rose. Hey, pandang sini sayang.”

“Shireo! (tak nak).” Terkeluar juga bahasa Korea di hadapan suami Korea celupnya ini.

“Dari pandang abang, baik Nurin pandang bulan tu. Lagi cantik.” Nurin Hana mendongak memandang bulan penuh dan bintang-bintang yang memenuhi langit. Aniq hanya tersenyum. Dia mencapai tangan isterinya yang masih dipenuhi inai. Aduhai, baru kahwin dah merajuk bagai pulak. Nasib baik dia ni pakar memujuk. Isteri pakar merajuk, suami pakar memujuk. Baguslah tu.

“Sayang, pandang sini. Berdosa tau tak melawan cakap suami Nurin.” Aniq berkata lembut. Selepas berkahwin, Hana lebih mesra dipanggil Nurin. Dia mahu nama itu satu-satunya nama manja antara dia dan suaminya. Aniq pula dia panggil ‘Abang Fariz’. Kod nama manja itu hanya antara mereka berdua sahaja katanya.

Nurin Hana Rose memandang suaminya. Takut betul dia bila suaminya ugut-ugut pasal dosa ni. Farizzul Aniq sudah tersenyum sumbing. Dia tahu isterinya seorang yang patuh walaupun rajin merajuk dan sentiasa ingin dipujuk. Inilah cara isteri kesayangannya bermanja. Alahai, kahwin dengan budak-budaklah katakan.

Rambut yang sudah menutupi separuh wajah manis isterinya itu dielus manja. Wajah manis itu masih bermonyok. Redup mata Farizzul Aniq memandang isterinya.

“Sayang intan payung zamrud umbrella abang ni. Abang minta maaf, okay. Abang gurau je. Abang bukan sengaja nak panggil sayang macam tu. Isteri abang yang cantik-molek plus bijak pandai ni, takkan lah tak betul pulak kan. You don’t know how much I love you.” Farizzul Aniq memujuk sambil buat muka comelnya. Alahai isteri, kau tau tak betapa aku mencintai kau selama ini. Nurin Hana Rose sudah tersengih melihatkan suaminya yang sudah mulai bersikap kebudak-budakan. Macam dia juga. Cair dia bila suaminya buat muka comel ala kucing ‘Pussy’ mereka tu. Walaupun Abang Fariz tercintanya itu lebih tua hampir lima tahun daripadanya, tetapi mereka sekepala bila bermanja dan gila-gila.

“Tapi panggil orang tak betul. Tak baik tau abang ni.” Dada suaminya pula menjadi mangsa pukulan lembut Nurin Hana Rose.

“Tau tak sebenarnya abang jeles bila sayang tengok bulan tu lebih lama dari sayang pandang abang.”
“Yeke? Macam tu Nurin pandang abang lama-lama lah. Nah, hadiah untuk abang sebab berjaya pujuk Nurin yang tak betul ni.” Satu kucupan nakal hinggap di pipi Muhammad Farizzul Aniq Hyun. Memerah muka pasangan suami isteri itu. Mereka memandang satu sama lain. Panahan mata Farizzul Aniq berjaya membuatkan Nurin Hana Rose tertunduk.
Nurin Hana Rose menyembamkan pula mukanya di dada bidang suaminya. Tergugat iman bila memandang ke dalam anak mata suaminya itu lama-lama. Farizzul Aniq mengusap-usap lembut rambut panjang isterinya. Kuat betul getaran hati masing-masing pada saat ini.

“Meh sini. Kita nak bagi upah kat orang yang dah bagi kita hadiah ni.” Tubuh kecil Nurin Hana Rose dikendong oleh Farizzul Aniq. Nurin sudah terpinga-pinga memandang Abang Fariznya itu. Pipi Nurin Hana Rose dikucup lembut oleh sang suami. Dibawanya isteri tercinta masuk ke mahligai bahagia mereka, meninggalkan laman yang terhias indah itu.
“Abang Fariz!!! Nakal eh.”

“Eleh, awak pun nakal jugak. Tiba-tiba je cium kita, sekarang biar abang pulak buat nakal. Love you my sweety girl.”

Malam pun berlalu pergi menyaksikan penyatuan cinta halal dua orang anak Adam.
Muhammad Farizzul Aniq Hyun dan Nurin Hana Rose.

****************************************************************************************************
“Nurin pergi dulu, Abang Fariz.” Tangan Farizzul Aniq dicium. Lama. Air mata sudah berlinangan memenuhi pipi Nurin Hana Rose. Hidungnya merah, menahan sebak.

“Pergilah. Belajar betul-betul. Capai kejayaan. Biar nanti bakal anak-anak kita bangga dapat ummi yang pandai plus kiut-miut ni. Tak mahu sedih-sedih. Jangan nangis, sayang. Nanti dah tak cantik isteri abang ni.” Farizzul Aniq cuba berseloroh. Menceriakan hati isteri tersayang. Nurin Hana Rose tersenyum kelat. Terasa berat sungguh hati ingin meninggalkan suami tercinta. Tapi nak buat macam mana. Ilmu harus dicari dan dituntut.

Suaminya dipeluk erat. Farizzul Aniq membalas pelukan isterinya. Dia turut berasa berat hati untuk melepaskan Nurin tercinta tetapi dia memahami cita-cita isterinya harus diutamakan sekarang ini. Air mata isterinya diseka.
Nurin Hana Rose kini selain bergelar seorang isteri, dia juga bergelar seorang pelajar semester kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan (Perkhidmatan Makanan&Pemakanan) di Universiti Malaysia Terengganu. Setelah mendapat keputusan yang memberangsangkan di matrikulasi, suaminya membenarkan dia menyambung pelajaran. Itu syarat yang Nurin tetapkan sebelum mereka bernikah. Untuk membenarkan dia menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Untung suaminya memahami.

Hanya pihak pengurusan dan rakan sebilik Nurin sahaja yang tahu dia sudah menikah. Status perkahwinannya dirahsiakan daripada pengetahuan ramai. Nurin mahu menyesuaikan dirinya terlebih dahulu di universiti itu kerana kebanyakan pelajar tahun satu di situ belum bernikah. Dia tidak mahu rakan-rakan sepengajiannya terlalu terkejut atau memandang semacam ke dia.

Suaminya juga mengizinkan dia tinggal di hostel memandangkan suaminya sering outstation ke luar negara atas urusan kerja. Mereka memutuskan untuk tinggal bersama di bumi Terengganu itu sebaik sahaja permohonan berpindah suaminya diluluskan. Kemungkinan pada semester ketiga pengajiannya.

“Abang balik dulu, sayang. Belajar rajin-rajin tau. Jangan sedih-sedih. Nanti dah sampai KL, abang call sayang. Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumsalam. Hati-hati, bang. Love you, abang.”

“Love you too, honey.” Ciuman layang diberikan oleh Farizzul Aniq kepada isteri tercinta sebelum dia memandu pergi.

Nurin Hana Rose hanya memerhatikan kereta Toyota Vios milik suaminya itu berlalu pergi. Air mata semakin laju menuruni pipi.

‘Hati-hati drive, Abang Fariz. I love you! Saranghaeyo!’ Pesanan itu dihantar melalui Whatsapp. Farizzul Aniq tersenyum membaca mesej cinta daripada isterinya.

‘I will drive carefully. InsyaALLAH. Doakan abang selamat sampai ya, sayang. Love you 2, 3, 4 and 5! Nado neol saranghae!(Aku juga mencintaimu)’

Sedar tak sedar, sudah hampir sebulan Nurin Hana Rose tidak bertemu suami tercinta. Mereka hanya berhubung melalui aplikasi Skype ataupun LINE apabila rindu sudah menebal. Baru semalam petang dia menyampaikan ‘berita gembira’ kepada suami tercinta.

Beberapa hari yang lalu, ketika sedang tidur di katil asrama, tiba-tiba Nurin terjaga. Perutnya tidak selesa. Tekaknya pula terasa mual. Segera dia berlari ke tandas, memuntahkan segala isi perutnya.

Rakan-rakan sebilik Nurin sudah memandang dirinya pelik. Kasihan melihatkan Nurin Hana yang sudah lemah dan lesu. Tidak berdaya untuk melangkah.

“Hana, kau okey tak? Kenapa ni?” Hadhira, rakan sebilik Nurin Hana Rose yang berasal daripada Kelantan itu sudah cemas memerhatikan Hana yang sudah tidak bermaya.

“Hana Rose, you kenapa?” Mek Nor, gadis kelahiran bumi Terengganu ini pula bertanya.

Belum sempat menjawab pertanyaan Hadhira dan Mek Nor, Nurin Hana Rose melangkah semula ke tandas. Tekaknya mual lagi. Dia muntah-muntah lagi.

Setelah dipapah ke bilik oleh Hadhira dan Amalynna, seorang lagi rakan sebiliknya yang juga berasal dari Kelantan, barulah dia masuk semula ke bilik. Mek Nor memberikan Nurin Hana Rose dua biji pil Panadol. Barulah dia dapat menyambung tidur malam itu. Badannya terasa amat sakit-sakit.

‘Abang Fariz, Nurin rindu sangat kat abang!’ Hatinya meronta kerinduan.

Keesokannya ketika sedang bergegas ke kelas, pandangannya menjadi kelam, berbalam-balam. Baru sahaja ingin meninggalkan perkarangan blok asrama ANN, Nurin Hana Rose sudah rebah. Dia pitam. Semuanya tiba-tiba menjadi gelap. Nasib baik dirinya sempat disambut oleh Amalynna sebelum sempat jatuh menyembah bumi.

“Aku kat mana ni?” Nurin Hana Rose sudah pelik. Seingatnya tadi dia sedang bersiap-siap untuk ke kelas Kimia Analisis Asas. Kenapa sekarang dia ada kat sini pulak?

“Mu kek PKP lah Mek Hana.” Amalynna menjelaskan. Risau betul dia melihatkan Nurin Hana Rose yang tiba-tiba pengsan. Sudahlah malam tadi muntah-muntah, hari ni pengsan pula. Takut betul dia tadi. Segera dia meminta bantuan felo untuk dibawa Nurin Hana ke Pusat Kesihatan Pelajar.

Melihatkan keadaan Nurin Hana Rose yang sudah sedar sepenuhnya, doktor datang menemui Hana. Kepala Nurin Hana Rose masih sedikit pening.

“Adik ni baru 20 tahun ya? Student first year kan?”

“Ya, doktor. I’m a first year student. And I’m almost 21 years old.” Nurin sudah sedikit bengang apabila doktor muda itu seperti memandangnya agak sinis. Dahlah kepalanya masih pening-pening lagi.

“Dah berkahwin?” Serius sahaja nada pertanyaan doktor muda itu. Nurin Hana Rose memandang Amalynna. Amalynna hanya menganggukkan kepala tanda menyuruh Nurin Hana menjawab pertanyaan doktor itu dengan jujur.

“Dah, doktor. Sebelum masuk U lagi saya dah kahwin.”
“Macam ni, kami rasa baik awak buat urine test dulu.”

Nurin Hana Rose hanya menurut. Selesai sahaja memberikan sampel urine, dia kembali menemui doktor tersebut. Setelah menunggu beberapa minit, hasil ujian pun diberitahu.

“Hasil test ini menunjukkan…” Doktor itu berkata perlahan-lahan. Bikin saspens je.

“Tahniah, awak mengandung.” Senyuman tersimpul di bibir doktor itu.

“What? Is it real? I’m pregnant?” Nurin Hana Rose turut menguntum senyuman. Air mata terharu akhirnya turun jua dari pelupuk matanya. Bagaikan tidak percaya mendengarkan perkhabaran itu.

“Yes, you are. From now on, please take good care of your health and your baby. I think you should tell your husband. He must be happy too.”

“I will. Thanks a lot, doc!”
Nurin Hana Rose mengingatkan Amalynna supaya mengunci mulut dulu khabar gembira ini daripada pengetahuan sesiapa. Dia ingin suaminya yang tahu terlebih dahulu.

Tiba sahaja di bilik, Nurin Hana Rose mencapai telefon pintar Samsung Galaxy S4 warna pink hadiah daripada suaminya yang disertakan dalam hantaran perkahwinan daripada pihak lelaki dulu. Gambar perkahwinan mereka yang tersimpan dalam galeri telefon itu ditatapnya. Dipandang gambar wajah suaminya itu lama.

“Abang Fariz, you’ll become a daddy soon. Are you happy, darling?” Hanya kata-kata itu yang keluar tika ini. Perutnya diusap-usap seketika.

Mesej ringkas ditaip segera untuk dihantar kepada suaminya itu.
‘Abang, tengah sibuk ke?’

‘Tak, sayang. Abang tengah packing baju ni. Lusa abang kena outstation kat Jepun tiga hari. Kenapa? Rindu ae?’
‘Kalau tak busy, jom video call. Abang call Nurin eh.’

Tidak sampai seminit, panggilan video masuk daripada suaminya melalui aplikasi LINE. Segera ditekan butang terima. Rindunya dia melihat wajah tampan suaminya itu. senyuman berseri-seri dihadiahkan untuk suami tercinta.
“Assalamu’alaikum, sayang. Cinta hati abang.”

“Wa’alaikumsalam, yeobo(sayang). Uri nampyeon(Suamiku). How are you there? Dah makan?”

“Abang sihat je. Makan pun dah. Sedap ummi masakkan abang tomyam tadi. Awak tu apa khabar? Kenapa suara macam lemah je abang dengar. Tak sihat ke, sayang?”

Riak kerisauan jelas kelihatan dari wajah Muhammad Farizzul Aniq Hyun. Sungguh dia risaukan isterinya itu. Sudahlah jauh daripada dia. Muka pula macam tak sihat je.

“I’m okaylah, abang. Don’t worry. Sakit-sakit ni pun sebab ada isi.” Nurin Hana sudah tersenyum simpul.
“What? Ada isi? What did you mean by that?” Farizzul Aniq cuba mencerna kata-kata yang disampaikan oleh isterinya itu. Dia ternganga. Nurin Hana pula sudah ketawa terkekek-kekek melihat suaminya itu. Nama je engineer. Tapi bila berbasa-basi sikit je pun dah tak faham.

“Muhammad Farizzul Aniq Hyun, hear me, okay. I won’t repeat it again. Saya, Nurin Hana Rose isteri tercinta awak ni telah disahkan hamil tadi.” Farizzul Aniq hanya mengangguk-anggukkan kepala.

“Hahhh? Apa? You said you are pregnant?” Melopong mulut Farizzul Aniq bila sudah ‘dicerna’ kata-kata isterinya itu. Tergamam seketika. Nurin Hana pula hanya menganggukkan kepala mengiakan.

“Yes, I’m pregnant. There’s your baby inside my tummy. I’m your preggy girl right now.”
“Really? Abang tak mimpi kan?”

“No, you are not, honey.”

“Alhamdulillah!!! Yeayyy!!! I’m going to be an abi! You’re going to be an ummi! Thanks, my sweety girl!” Farizzul Aniq sudah melompat kegirangan, mengalahkan budak-budak gayanya.

Semakin geli hati Nurin Hana Rose. Hilang sudah segala mualnya melihatkan suami tercinta gembira dengan perkhabaran yang disampaikan.

“Hana, Hana, bangun!” Terkebil-kebil Nurin Hana Rose bila dikejutkan oleh Hadhira dan Amalynna. Dia baru sahaja tertidur usai solat Subuh tadi. Peningnya datang lagi tadi. Jam di tangan dikerling. Baru pukul 9.15 pagi. Nasib baik dia tiada kelas hari ini. Itu yang dipulunnya tidur. Badannya masih terasa lemah kerana mabuk teruknya datang lagi malam tadi.

“Kenapa korang ni?” Nurin Hana Rose sudah pelik bila Hadhira menunjuk-nunjuk ke arah jendela bilik asrama mereka. Terpisat-pisat Nurin Hana bangun dan memandang ke arah luar jendela. Digosok-gosok matanya bagai tidak percaya apa yang sedang dilihatnya.

“Abang Fariz???”

“Tadi laki kau tepon kau tak dapat, tu dia tepon aku. Tanya kenapa kau tak jawab call.” Hadhira cuba menjelaskan.
Nurin Hana Rose melihat skrin Samsung Galaxy S4 nya. Lebih 10 panggilan tak berjawab. Semuanya daripada Abang Fariz.

Segera dicapai tudung sarung dan cardigan di kerusi studinya dan terus dipakai. Dibasuh mukanya terlebih dahulu yang kusut-masai di tandas sebelum turun menemui insan tercinta. Wajahnya masih pucat. Kesan dia muntah-muntah lagi malam tadi. Aduiii, nampak dek laki aku ni mau dia membebel.

“Abang?” Farizzul Aniq menoleh ke arah isterinya. Dia cuba tersenyum walaupun dalam hati cukup risau melihatkan wajah isterinya yang pucat itu.

“Nurin. Pucatnya muka sayang.” Tangan suaminya segera dicapai dan disalam serta dicium lembut.
“Abang datang sini kenapa tak bagitahu? Terperanjat Nurin tau.”

“Abang dah try call Nurin, tapi tak berjawab. Sayang kenapa? Mabuk-mabuk lagi ke?” Nurin hanya mengangguk lemah.
“Sayang, pack baju sikit. Abang nak bawa Nurin keluar.”

“Nak pergi mana?”

“Adalah, sayang. Surprise. Sayang gi pack baju dulu, nanti abang bagitau.”

“Okay. Nurin naik atas dulu kejap.”
“Cepat tau, abang tunggu sini.”

“Tunggu tau. Jangan tinggalkan Nurin.”

“Ya, sayang.” Bergegas Nurin naik ke atas biliknya semula dan mengemas serba sedikit barang keperluan yang penting.

“Mek Hana, nak gi mana?” Hadhira dan Amalynna bertanya. Mek Nor hanya memandang.

“Tak tau. Abang Fariz tak nak bagitau. Okay, korang, aku gi dulu eh. Laki aku dah tunggu kat bawah tu. Take care.”
“Untunglah ada abe sayang. Kau tu jaga diri. Jaga baby sekali. Kirim salam kat laki kau yang hensem meletop tu.” Hadhira dan Amalynna sudah tersengih menghantar Nurin Hana di muka pintu.

Rup-rupanya Farizzul Aniq mahu membawa isterinya pergi scanning di klinik swasta di Kuala Terengganu. Isterinya itu ada memberitahu bahawa di PKP tiada sistem imbasan yang disediakan untuk mengimbas kandungan.

“Congratulations. Kandungan dah masuk 10 minggu. Bayi sihat. Jangan bagi isteri awak buat kerja berat. Beri dia cukup rehat.”

Farizzul Aniq hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata doktor itu. Tangan isterinya digenggam erat sambil matanya memandang ke arah skrin yang menunjukkan kandungan isterinya itu.

“Suka sangat tengok gambar baby tu nampak. Sampai bini kat sebelah pun abang tak pandang.” Nurin Hana Rose tersenyum melihat suaminya yang dari tadi tak lepas memandang gambar yang menunjukkan janin yang sedang dikandungnya.
Dia berasa lega apabila suaminya membawa dia ke pantai Cherating untuk menenangkan fikiran dan berehat. Atau lebih tepat sebagai medium untuk masing-masing melepaskan rindu dan berbulan madu kali kedua. Dulu kali pertama mereka berbulan madu di Korea, melawat saudara-mara sebelah abi suaminya sambil menyulam cinta. Pasir pantai dikuis menggunakan kaki. Pemandangan di tepi pantai dan suami tercinta di sisi benar-benar melapangkan fikirannya.

“Sayang.” Farizzul Aniq mulai bersuara. Redup matanya memandang Nurin Hana.

“Ya, abang Farizku sayang. Kenapa, bang?”

“Abang nak dengar baby kejap boleh. Hehe.” Segera telinganya dilekapkan di perut isterinya. Nurin Hana Rose sudah tergelak. Ingatkan apalah tadi.

Terkekek-kekek Nurin Hana ketawa apabila kumis halus Farizzul Aniq menyentuh perutnya. Geli. Tulus Farizzul Aniq mencium kandungan isterinya. Di dalam itu zuriatnya. Zuriat dia dan juga isteri tercinta. Inilah hadiah terindah yang dinanti-nantikannya.

“Baby, baby dalam tu. Abi here. Can you answer me?”

“Abang, baby cakap dia rasa macam nak makan goreng-goreng kat sana tulah.” Jari Nurin menunjukkan gerai makanan tidak jauh daripada tempat mereka duduk itu.

“Ni baby ke ummi baby yang nak makan ni?” Farizzul Aniq bertanya.

“Dua-dua. Jomlah bang, nanti kempunan pulak anak abang ni.”

“Okay, jom. Hamba menurut perintah tuan puteri.” Tangan isterinya dipimpin. Mereka berjalan seiringan. Usai makan bersama, Farizzul Aniq membawa Nurin Hana berehat di chalet. Kaki isterinya yang lenguh-lenguh diurutnya. Kemudian tidak sudah dia ‘berbual’ dengan si anak di dalam kandungan. Nurin Hana hanya menggeleng-gelengkan kepala dan tergelak melihatkan telatah suaminya.

Senja pun berlalu menyaksikan sepasang suami isteri yang sedang diulit bahagia dengan kehadiran insan baru. Sejurus itu mereka pun menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah. Terasa kedamaian di situ.
*************************************************************************************************
“Hello. Assalamualaikum, Rose. Ni ummi.”

“Wa’alaikumsalam, ya ummi. Ada apa ummi?” Nurin Hana Rose sudah pelik tiba-tiba sahaja ibu mertuanya itu menelefon pada jam sebegini. Ada sendu di hujung suara umminya.

“Rose, Rose kat mana sekarang ni?”

“Rose baru habis kelas ni ummi. Baru je nak pergi nak makan dengan kawan. Ummi, kenapa ni? Kenapa suara ummi sedih je?”

“Rose, balik KL dulu ya sayang. Balik rumah ummi dulu, nanti ummi cerita. Ummi dah suruh Fariq ambil kamu. Nanti petang, insyaALLAH dalam pukul tiga dia sampai Terengganu naik flight.” Nurin Hana Rose hanya menurut kata ibu mertuanya itu.

Hatinya berasa tidak sedap. Seperti ada sesuatu yang sedang berlaku. Tadi pun sebelum ke kelas, tiba-tiba dia terlanggar potret gambar dia dan suaminya hingga pecah berderai kaca cermin potret itu.

Dia cuba menghubungi Farizzul Aniq tapi tidak berjawab. Ditunggu-tunggu panggilan semula daripada suaminya tapi tiada pula balasan. Sungguh dia berasa risau. Tidak pernah suaminya bertindak begini.

Sekitar jam tiga petang, Muhammad Fariqiuddin Azni Hyun, adik kembar seiras suaminya itu tiba di perkarangan luar asramanya menaiki teksi. Nurin Hana Rose menggesa Fariq memberitahunya apa yang sedang terjadi tetapi Fariq cuba mengelak daripada menjawab soalan kakak iparnya itu. Wajah Fariq tegang. Tidak seperti selalu bila mereka berjumpa, pasti adik iparnya itu ramah berbual dengannya.

“Kita balik rumah dulu ya, kak Rose. Nanti ummi bagitau akak. Ummi tak bagi saya cerita kat akak selagi tak sampai rumah.” Nurin Hana Rose hanya mampu berdoa tiada apa-apa yang berlaku kepada suaminya.

Dua jam kemudian, Nurin Hana Rose dan Fariq pun tiba di perkarangan banglo mertuanya itu selepas menaiki penerbangan daripada Terengganu-KL. Ummi memeluk Nurin Hana Rose. Disuruh menantunya itu duduk dahulu di sofa. Dia tidak mahu menantunya yang sedang mengandungkan cucu pertama mereka itu begitu terkejut dengan khabar yang akan diberitahu sebentar lagi. Abi pula hanya memandang sepi.

“Rose, abi harap Rose kuat dengan apa yang ummi dan abi hendak bagitau. Rose kena kuat demi anak Rose dengan Aniq.” Abi mulakan bicara.

“InsyaALLAH abi, Rose kuat. Cuba abi beritahu Rose apa sebenarnya dah terjadi sekarang ni? Kenapa Rose call abang Fariz tapi tak dapat? Mana Abang Fariz, abi?” Suara Nurin Hana Rose mulai bergetar.

“Rose, ada tak Rose dengar atau tengok berita hari ni? Pasal flight MH370 yang hilang tu?” Ummi pula bertanya.
“Ada, ummi. Kawan-kawan Rose semua kecoh pasal tu tadi. Kenapa ummi?” Nurin Hana Rose semakin terpinga-pinga. Hatinya diburu gelisah. Apa pula kaitan ummi menyebut tentang flight MAS Boeing-777 yang hilang semasa menuju ke Beijing itu dengan suaminya. Sungguh dia tidak mengerti.

“Farizzul Aniq ada dalam flight tu, Rose. Dia sepatutnya outstation ke Beijing malam tadi. Tapi sekarang dia hilang.” Abi menyambung bicara.

“Apa??? Ummi dan abi tipu kan? Takkan Abang Fariz hilang, abi, ummi? Dia tak bagitau Rose pun dia nak pergi sana.” Sukar bagi Nurin Hana Rose menerima apa yang disampaikan oleh mertuanya.

Nurin Hana Rose memandang kedua-dua orang mertuanya. Lututnya terasa begitu lemah. Ternyata Nurin Hana Rose tidak kuat untuk menghadapi kenyataan itu. Dunianya gelap tiba-tiba.

“Rose, Rose, bangun Rose. Ya ALLAH, apa kita nak buat ni abang.” Ummi sudah cemas melihatkan Nurin Hana Rose yang sudah pengsan.
****************************************************************************************************
“Abang, abang kat mana bang? Abang tak rindu ke kat Nurin dan baby? Kami rindukan abang.”

Hadhira, Amalynna dan Mek Nor hanya mampu memandang Nurin Hana Rose yang sedang menatap gambar Farizzul Aniq di meja studinya sambil mengusap-usap perutnya. Air mata sudah berjujuran membasahi pipi.

Nurin cuba bertindak kuat. Dia masih teringat pesanan suaminya supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi ummi kebanggaan anaknya. Disebabkan itu, dia masih cuba menyibukkan diri dengan pelbagai tugasan dan aktiviti di universiti. Tetapi di setiap doanya, tidak pernah putus agar suaminya pulang ke sisi mereka. Hampir setiap malam dia mengigau menyebut nama suaminya di dalam tidurnya.

“Abang, abang tahu tak tadi Nurin nak pergi makan kat kafe, diorang ada buat bacaan puisi khas untuk penumpang-penumpang MH370. Flight yang abang naik tu. Nurin cuba dengar sebab Nurin rindu sangat kat abang. Tapi tak sampai seminit, Nurin rasa sedih sangat. Terus Nurin pergi dari situ bang. Kawan-kawan Nurin semua pelik kenapa Nurin macam ni. Nurin tak sanggup nak bagitahu diorang bang, yang suami Nurin ada dalam flight tu. Nurin buat alasan yang Nurin nak pergi makan ayam goreng Uncle Bob yang dulu abang selalu belanja Nurin tiap kali abang datang tengok Nurin kat sini. Kat karnival sebelah majlis tu pun Nurin masih teringatkan abang. Nurin cuba berlakon untuk senyum, tapi Nurin tak boleh bang. Abang kat mana bang? Baliklah, abang Fariz. Nurin rindu sangat kat abang.”
Nurin berbicara sambil memandang gambar-gambar semasa mereka berbulan madu di Pulau Nami, Korea dulu. Seolah-olah suaminya itu ada di sebelahnya mendengar luahan hatinya. Suara Nurin Hana Rose semakin hilang ditelan sendu tangisannya.

Sungguh hatinya tidak kuat. Jika benar suaminya itu sudah tiada, di mana kuburnya? Kali terakhir dia dimaklumkan bahawa pesawat yang dinaiki suaminya itu berakhir di Lautan Hindi. Sekali lagi sukar untuk dia menelan kenyataan pahit itu.

Tetapi dia masih bersyukur, suaminya tidak pergi begitu sahaja. Farizzul Aniq sudah meninggalkan permata yang amat berharga untuk dirinya. Dia jadi kuat demi anak yang dikandungnya sekarang. Dia tidak boleh lemah! Itu yang menjadi penguat semangatnya setiap kali dia berasa putus asa.

**************************************************************************************************
“Ummi, ummi, Iqash nak ayam goyeng ni. Nak yang peya(peha) tu.”

Diberi peha ayam goreng yang dikehendaki anak bujangnya itu. Meleret senyuman Nurin Hana Rose melihatkan anak lelakinya itu yang masih pelat bicaranya walaupun sudah berumur tiga tahun setengah. Tidak seperti adik kembarnya yang sudah petah berbicara. Kadangkala umminya pun kalah bila berlawan kata dengan si gadis kecil itu.

“Muhammad Fiqrash Rafqie Hyun, baca apa sebelum makan?” Wajah anak lelakinya itu persis suaminya. Sedikit sebanyak terubat juga rindu Nurin Hana Rose terhadap suaminya apabila memandang wajah anak bujangnya. Si adik pula banyak mewarisi wajah Nurin.

“Baca doa makan, ummi.” Nuriz Hanani Fiqrah Hyun yang menjawab. Pandai sungguh anak gadis ciliknya ini menjawab. Selepas itu, serentak kedua-duanya menadah tangan dan membaca doa makan walaupun sebutan si abang masih agak pelat.

“Pandai anak-anak ummi ni.” Dicium kedua-dua belah pipi si kembar itu. Galak ketawa mereka berdua. Suka benar jika dicium ummi.

Usai makan, diajak anak-anaknya melihat foto abi mereka kerana mereka bertanya yang mana satu abi mereka. Mereka rindukan abi mereka. Nurin Hana Rose berasa sebak. Pilu mulai menikam jiwa.
“Iqash, Nani, ni abi Iqash dan Nani.”

Ditunjukkan foto Muhammad Farizzul Aniq Hyun yang segak bergaya memakai baju Melayu bewarna krim semasa majlis pernikahan mereka.

“Abi encem kan, Nani?” Fiqrash berbicara.

“A’ahlah, abang Iqash. Abi hensem! Macam abang.” Kedua-dua kembar itu tersenyum riang. Walaupun mereka tidak pernah merasakan kasih sayang seorang insan bergelar ayah, Nurin tidak pernah membiarkan mereka tidak mengenali siapa itu Muhammad Farizzul Aniq Hyun dalam hidup anak-anaknya.

Dia tidak mahu kepiluan kehilangan Abang Fariznya menjadi sebab anak-anak tidak mengenali ayah mereka. Walaupun kasih sayang seorang ayah itu terpaksa ‘dipinjam’ anak-anaknya daripada Paman Fariq mereka.

Nurin bersyukur ahli keluarga dan rakan-rakannya tidak putus memberikan sokongan dan semangat hingga dia melahirkan anak kembarnya. Hingga dia tamat pengajian. Dan sehingga sekarang ini.

Keluarganya dan keluarga mertuanya juga tidak pernah lupa untuk memberikan kasih sayang yang tak berbelah bahagi kepada anak-anaknya. Itu yang amat dia syukuri. Permata hati dia dan suaminya masih dipenuhi kasih sayang daripada ahli keluarga yang lain.

“Iqash, Nani, sebelum tidur, baca apa?”

“Baca doa tidur.” Jawab Nani.

“Baca untuk abi sekali kan, ummi?” Tidak lupa si abang mengingatkan.

“Good, my babies. Hurmmm, ni yang ummi nak sayang dua-dua ni.”

Selesai mengurup tangan ke muka usai bacaan doa, Nurin Hana Rose menarik selimut menutupi kedua-duanya dan mencium dahi mereka penuh kasih sayang. Permata hati ummi dan abi.

Nurin Hana Rose masih ingat kata-kata terakhir Muhammad Farizzul Aniq Hyun kepadanya. Amanat terakhir untuk dia demi anak-anak kesayangan mereka sebelum suaminya hilang tanpa kesan bersama-sama pesawat MH370. Disimpan rapi kata-kata suaminya itu di dalam lipatan memori.

“Nurin, jaga baby ni baik-baik tau. Andai kata, kalau abang tak sempat nak tengok mereka, Nurin didiklah mereka dengan ilmu agama yang secukupnya. Jaga dan didik mereka dengan penuh kasih sayang yang tak dapat abang berikan.” Dicium lagi perut isterinya. Sayang benar suami terhadap anak yang ada dalam kandungannya.

“Ishhh, apa abang cakap ni. Abang nak tinggalkan kitorang ke? Cakap macam nak tinggalkan kitorang je. Tak baiklah cakap macam tu. Nurin tak suka dengar.” Nurin Hana Rose mengeratkan pelukan. Takut sungguh dia bila suaminya berkata begitu.

“Nasib kita, kita tak tau, Nurin. Abang hanya cakap andai kata je. Tapi kalau betul abang pergi dulu dari hidup Nurin dan anak-anak. Nurin cubalah redhakan pemergian abang. One more thing, I wanna tell you that I’ll love you forever, my sweetheart Nurin Hana Rose. Till jannah, insyaALLAH.”

“Kalau kita tak dapat bersama di dunia ini. Abang berharap dan sentiasa berdoa Nurin Hana Rose akan menjadi bidadari abang di syurga nanti, sayang.”

Muhammad Farizzul Aniq Hyun melemparkan senyuman paling manis kepada isterinya sebelum dahi isteri tercinta dikucup lama. Ada air jernih yang mengalir di pipinya. Dia tidak tahu kenapa hatinya begitu sayu. Pelukan semakin erat. Seolah-olah ada perpisahan yang akan berlaku di antara mereka tidak lama lagi.

“I love you too, Muhammad Farizzul Aniq Hyun. Till jannah. InsyaALLAH.”

Muhammad Farizzul Aniq Hyun. Tunggu Nurin Hana Rose di sana ya.

TAMAT.

12:40am, 10 April 2014.
P/S; Cerita ini adalah tribute untuk MH370. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga penumpang dan krew yang hilang bersama-sama MH370. Saya tahu kepiluan itu tidak akan pernah hilang bila insan tersayang hilang tanpa kesan. Tapi cerita ini saya garap untuk menunjukkan kadangakala satu pemergian haru diredhakan atas tiket keimanan. Dia yang tersayang, tidak mungkin dilupakan…
#PrayForMH370
Al-Fatihah.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

22 ulasan untuk “Cerpen : Mencintaimu Hingga Ke Syurga”
  1. Roxalynne says:

    Huu.. Kalau nak terbayangkan CNBLUE Jonghyun lagi… Nantikan yg terbaru… Saya masukkan dia sebagai watak baru untuk novel pula. Hehe

  2. sha nur says:

    Penulis pemuda kalau tak masukkan pasal kpop tak boleh ke. Tak semua org suka kpop.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.