Cerpen : Payung Merah Dia

23 June 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

COVEROleh: SILENCER

PAYUNG MERAH DIA

DALAM dunia ni, memang banyak ragamnya. Bak kata orang tua lah, banyak orang banyak ragamnya. Jadi, tak hairanlah kalau wujud manusia pelik. Dengan budak hipster, budak raver bagai lah.. Haihlah.. Apa nak jadi? Tapi, aku tak kisah sangat.

Dah sebab, mereka tak kacau aku.. Aku pun tak kacau depa. Jadi, apa adahal?
Tapi, di suatu hari…

“Aduh..” rasa pijar muka aku. Rasa macam muka aku berbirat. Allah! Aku langgar apa ni? Dengan satu mata tertutup, aku pusing belakang.

“Hoi!!” sumpah, bengang. Dah langgar, tak reti nak mintak maaf ke? Comel betul budi bahasa orang zaman sekarang.

Lahhh…apa benda ni?
Aku dongak pandang ke atas. Kaki lima yang aku lalu sekarang ni, siap berbumbung kutt.. Ni apa kes sampai berpayung bagai? Sah…ini manusia pelik!

Tapi..disebabkan aku ni anak bertauliah. Mak ayah, siang malam duk ajar, jangan pandang buruk kat orang at the first sight, aku masih fikir positif. Dia malas kutt.. Malas nak bukak tutup, bukak tutup payung dia. Sebab itulah..

Okey.. alasan diterima!
Si dia pusing belakang.
Aku kelu.

Lama jugak, aku diam. Aku pandang dia. Dia pun pandang aku. Mujur aje ini bukan drama. Kalau tidak, dah ada music latar dah sekarang ni.. Ah, mengarut semua ni!
“Apa dia?”

Lagi, aku jeling dia. Tapi, dia buat selamba saja dengan aku, macam aku pulak manusia yang pelik di sini.

Dalam 10 saat aku diam berdiri macam tiang, dia mula angkat kening. Aku pula terkebil-kebil pandang dia. Dia dah kerut dahi. Kelip-kelip mata aku pandang dia. Dia tenung aku juga.
Satu..dua..tiga..
Dia blah!

Aku tak habis kat situ aje. Setiap langkah dia, aku ekori dengan hujung mata. Dari dia berjalan di kaki lima ini sampai ke dataran di tengah sana.
Baju pink..

Payung merah..
Lelaki…
Wowww!!

Dunia ni dah terbalik ke?
“Kebetulan aje kut..”

“Mana ada kebetulan yang saja-saja. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya..”
“Hotak kau..” aku larikan muka. Gila si Latip ni. Minum kalau tak gigit ais tu tak senang. Itu tak apa lagi.. Ini kalau gigit lepas tu tersembur ais tu sampai ke meja lagi.. Aish!
“Apa yang hotak, gila?”

“Kau dengar sini.. Apa yang pelik? Dia pakai baju pink? Itu normal. Apa perempuan aje ke yang boleh pakai baju pink? Ada dalam Al-Quran kata orang lelaki tak boleh pakai baju pink?” aku geleng.

“Haa.. Satu point kau salah. Pasal payung dia warna merah tu..mungkin dia ada payung itu aje kutt..” mungkin! Ada kemungkinan setiap apa yang si Latip ni cakap ada benarnya.

“Tapi..apa kes? Jarang kutt..aku nampak lelaki bawak payung. Panas lah macam mana pun, semua lelaki aku nampak main redah aje. Even sekarang, mana ada kau nampak lelaki bawak payung? Kau..ada bawak?” Latip sibuk pandang kanan, kiri. Dari situ, diriba beg sandangnya.
Dia bawak payung ke?

Beg sederhana besar itu diselongkarnya. Sibuk sangat selongkar sampai dengan aku-aku sekali main intai. Betul ke si Latip ni bawak payung? Haih..musykil! Musykil sungguh..
“Kau pakai payung?”

“Jap..” aku tunggu. Sabar sungguh aku menanti. Cooihh.. Payung aje punnn..
“Mana?” desak aku.

Tunggu punya tunggu…
“Ini dia..” yang keluar, dua tangan si Latip membentuk rama-rama yang terbang dari begnya. Aku dah pandang semacam pada lelaki berkulit hitam manis ini.

Latip pula mengekek ketawa tak berhenti. Siap hentak meja sekali. Lawak sangat agaknya? Muka aku makin masam jadinya..

“Okey-okey..gurau-gurau.” Dada sempit sungguh. Nak meletup aje rasanya.
“Marah ke?” soalnya separuh berbisik. Aku senyap saja. Malas nak melayan tau.. Letih!
“Trishh..”
“Oooo.. Trish?” kepalanya dibuat-buat senget sambil pandang aku. Ingat comel sangat ke? Oh, tolonglah!

“Trisshhh?” tangannya melambai-lambai ke depanku. Buat buta Trishh..
“Trisha Adira Binti Munir!”

Aku pandang ke arah lain. Malas mahu layan kerenah si Latip yang kejap betul kejap tidak fius otaknya. Tapi, Latip bukannya mengerti, aku dalam keadaan marah ke apa. Makin mood aku tak menentu, makin galak dia mahu mengusik. Macam aku tak sedar, ke mana saja mata aku bergerak, dia juga turut sama bergerak. Dalam erti kata lain, matanya sibuk pandang muka aku tak berhenti.
Memang nak kena hempuk sebijik kat kepala mamat tiga suku ni. Haih..
“Trishh..”

“Malas nak layan.” Rajukku. Ceh! Bukan merajuk sangat pun. Tengah marah lagi tau! Tak ada maknanya aku nak merajuk segala dengan mamat macam ni.

“Trishh.. Trishh..” bahu aku dia langgar. Duk siku tak berhenti.
“Apa dia?” dalam malas aku melayan jugak. Latip duk sibuk memuncung ke arah kananku.
Sekali pandang…

“Kan, aku dah cakap..” Latip pandang aku.
“Apa dia?”

“Dia memang pelik!! Weirdo!” cepat-cepat aku tuduh. Bukan tuduh tapi memang betul. Kalau aku perasan, ke mana saja lelaki tu pergi mesti dengan payung dia. Pusing mana pun, payung tak tinggal punya. Ke kelas, lab, padang, library, bank..mana-manalah mesti ada punya payung tu dengan dia. Tak dipayungnya, dia sangkut kat celah ketiak.
Tak ke nampak pelik tu?

Latip pandang balik lelaki berpayung merah itu. Dari belakangnya tanpa sedar, kami berdua begitu ralit memandang.
“Haih..”

“Apasal dengan kau?” aku pandang Latip.
“Susah nak mengaku..”

“Apa?”

“Dia memang pelik..”
Haa.. Tengok!!
****

ORANG kata tak nak percaya. Lelaki itu memang dari awal memang pelik. Haish. Buku bak kamus dewan aku capai. Hajat nak baca novel. Boleh hilang stress dan…dann..dan kalau boleh, biarlah hilang mamat payung tu dari fikiran aku. Bukan apa..kalau aku sedar betul-betul masuk hari ini saja, dah separuh hari aku fikirkan pasal dia.
Aku makan, aku bayangkan dia.

Aku bukak buku, aku macam nampak bayang-bayang dia.
Aku keluar dari dewan kuliah, aku macam bagaikan nampak kelibat payung merah melintas depan aku.
Aku dah gila ke?

Trisha Adira…kau dah kena ‘mandrem’ dengan payung tu ke apa? Haish! Masalah betul lah. Kepala aku, ku gelengkan berkali-kali. Mahu menidakkan tanggapan yang jelasnya tak masuk akal itu. Tak logik!
Huh..So, sekarang fokus.

Mataku membulat pandang dada novel itu. Tapi, itu cuma bertahan sepuluh minit aje. Novel di tangan aku campak.

Apa benda ni? Berserabut sungguh! Belakang kepala aku garu. Sungguh tak senang. Makin aku fikir, makin banyak imaginasi berkenaan lelaki payung merah itu bermain di fikiran. Sah..kena mandrem aku ni..

Aku kena bagitahu mak. Suruh tok ayah tengokkan aku sikit. Bagilah air jampi ke apa..asalkan aku dah tak fikir dah pasal si lelaki payung tu.
Sebut pasal mak..

“Mak!!” memang panjang sungguh umur mak. Pantang sebut sikit, tepat aje dia masuk. Nasib baik jugak..

“Sakit telinga mak lah.. Suara dah habis kuat lah tu?” aku sengih sendiri. Terlebih excited sampai tak sedar suara aku dah separuh menjerit panggil mak.

“Mak..ada apa telefon orang ni?” alasan aku untuk cover line.. Bimbang kena bebel lagi. Kesian telinga aku. Boleh nipis telinga ni kalau hari-hari kena bebel. Haus tak sudah. Heh..
“Mak rasa..telefon mak rosaklah.”

“Ni boleh telefon ni..kira elok lagi lah mak..”
“Nak telefon boleh. Nak terima orang telefon tak boleh.”
“Pulakkk..”

“Yelah.. Kalau tak, kenapa telefon mak tak bunyi-bunyi? Dah lama dah rasanya mak tak dapat call kamu.. Telefon ni rosak ke atau kamu yang rosak?”

Punyalah deep ayat mak aku bagi, sampai aku rasa air mata aku siap bergenang dah di hujung tubir mata… Power betul ayat mak aku bagi. Sumpah sentap! Rasa nak beli tiket terus balik kampung..
“Kenapa mak kata macam tuu? Orang sihat lah.. Baik-baik jaa..”

“Hmmm..” suaranya meleret lembut di hujung sana. Ah, sudah! Merajukkah?
“Mak..”

“Kamu dah ada boyfriend?”
“Huh?”

“Yelah..sampai lupa kat mak. Tak ada sebab lain dah ni. Ni mesti sebab lelaki kan?”
“Hish, mak ni.. Tak adalah. Orang sorang-sorang je lah. Dengan si Latip tu lagi. Tak ada orang lain, ehh..” cepat-cepat aku menidakkan.
“Yelahhh..”

“Mak tak percaya kat orang ke?”
“Mak risau je.. Pelik pun ya jugak. Dah lama mak tak dengar telefon mak tak bunyi..”
“Orang sibuk mak.. Bukan saja-saja tak nak call..” aku beralasan. Banyak kau punya sibuk. Kelas dalam seminggu boleh kira dengan jari.
“Hmm…yelah..”

“Mak jangan bimbang. Lepas ni, hari-hari orang call mak. Tak call, orang whatsapp..”
“Mengarut.. Mak bukan reti duk pakai benda tuu..”
“Nasib baik.. Kalau tak, takut mak pulak duk mesej orang kata whatsapp mak dah habis tarikh luputtt…”

“Kamu memang nak kena!! Kalau kamu ada sebelah mak, memang mak dah piat telinga kamu tau dakk..” mengekek aku ketawa gelakkan mak.

“Orang janji mak.. Lepas ni tak lupakan mak dahh..”

“Bagus.. Nak ada boyfriend mak okey jaa.. Asalkan tak lupa mak sudah..”
“Orang tak dakk boyfriend lah mak…”
Nak kena ulang berapa kali ni??
****
“SIAPA cakap kau tak ada boyfriend? Habis aku ni apa?” aku jeling si Latip. Mata mengecil dan tajam bak helang.

“Memang muka kau macam Zul Arippin pun, sebab tu aku sukakan kau..” kali ni Latip pulak pandang aku. Terasa ke?

“Baru aku perasan.” Dia berhenti berjalan. Pandang aku dengan pandangan yang sukar aku tafsirkan. Jadi seram pulak aku bila berpandangan dengan dia dalam keadaan begini. Ah, sudah? Latip terasa betul-betul ke? Tak pasal-pasal aku cuak sendiri.

“Apa dia?”

“Antara kita bagai langit dan bumi. Aku terlalu sempurna untuk kau.. Maafkan aku..aku tak patut bersama dengan perempuan yang mukanya lebih buruk dari buntut kuali..”

“Siott kau Latip!!!” keras lelaki itu ketawa sambil kaki terkedek-kedek berlari. Aku pula naik semput nak kejar. Silap pakai dress hari ni ke kelas. Nak buat macam mana? Acah-acah jadi perempuan melayu terakhir kan hari ni? Sekali sekala kena la nampak mengancam jugak walaupun muka aku macam si burung merak pencenn..

Cehh..aku cantik apa? Sekali pandang macam Preity Zinta tauu.. Kau apa ada?

“Sini kau..” akibat tak larat aku nak lari, wedges aku cabut lalu aku campak. Sayangnya, balingan aku tersasar jauh. Latip dah pun di depan sana. Hiraukan aku sudah. Mahu tak hirau bila lelaki mata keranjang itu dah jumpa si dahi licin? Tapi, mengurat aje kerjanya, dapatnya tak.
Hehh.. Kesian.

Sedang aku ralit perhatikan gelagat si Latip, tiba-tiba aku didatangi seseorang. Si dia sedang membawa wedges yang ku baling tadi. Aku perhatikan manusia prihatin itu betul-betul. Dengan cuaca panas begini, semua tampak silau.

Tapi..bila dah sekali aku nampak wajah si dia dengan jelas giliran aku pula yang terkedu.
“Awak punya?” lambat-lambat aku angguk. Dia tersenyum.

“Nah..” serahnya padaku. Terkapai-kapai aku mahu ambil wedges itu kembali dek beberapa buku yang aku sedang kendong ketika ini. Dia sempat tersenyum dengan gelegatku. Malu pulak rasanya..
“Let me do it for you..” tak aku sangka. Dia tunduk lalu wedges itu diletakkan betul-betul di depan aku. Aku tergamam pandang dia. Dia mendongak ke atas. Matanya dan mataku bersatu.
Dia senyum..

Tak tahu kenapa, dalam keadaan begini tiba-tiba hati aku rasa, aku bagaikan seorang Cinderella. Didatangi seorang putera raja bersama satu kasut untuk dipakaikan buat sang puterinya.
How sweet the story is..

Tapi..back to reality!
“Jangan nak berangan sangat. Dia tak hingin dengan kau pun.”
“Yang kau jealous sangat kenapa?”

“Haruslah.. Aku boyfriend kau kott..”

“Aku terfikir…tumit wedges aku boleh muat tak dalam mulut kau? Nak aku test?” lambat-lambat Latip menggeleng. Tahu takutt..

“Kau jangan fikir pelik, Trish.. Dia cuma nak tolong kau.”
Tahu!

“Tapi..inilah masalah perempuan. Inilahhh punca kenapa perempuan selalu salahkan lelaki kalau kes jadi macam ni sedangkan salahnya daripada perempuan yang selalu salah tafsirkan keadaan..”
Paappp..

Lega bila aku kasi hentak kepala itu. Aku konon-kononnya perasan sikit aje, dah dituduhnya aku macam-macam? Memang tak guna sungguh si Latip ni. Menyesal sungguh aku sebab salah pilih kawan.
“Aku tahulah, gilaa.. Tak payah nak jadi mak aku la kat sini.”

“Kenapa dengan mak kau?” aku diam. Dan bila aku diam, memang si Latip ni dah tahulah sebabnya apa. Dah kawan dari kecik lagi haruslah dia faham macam mana perangai mak aku.

“Mak kau cakap apa pulak?” aku diam lagi. Malas lah nak bercerita panjang. Cukup sudah bila aku beritahu Latip tentang mak yang tak habis-habis ragu-ragu dengan aku pasal kes boyfriend tu. Dah puas aku kena bahan dengan Latip hari ni kerana hal itu, terus taubat tak nak cerita apa-apa dah hari ni. Kalau nak cerita pun tunggu lah esok lusa nanti.

Tapi, sumpah lepas hari kena ceramah dengan mak, aku dah taubat. Dengar cakap mak! Aku dah tak cari-cari dah pasal dengan mamat payung tu lagi. Dah tak skodeng dia macam dulu-dulu. Hasilnya..aku dah tak nampak bayang dia lagi. Mujarab betul kuasa mak.
Haihh..

Lega juga la dunia aku. Dah tak ada benda yang kacau fikiran aku selain si Latip dan belajar. Lain-lain hal, apa ada hal dengan aku? Buat lekk aje.. Aku tak kacau dah si mamat payung tu dan dia pun dah tak kacau aku. Maksud aku fikiran aku.

Jangan nak harap dia kacau aku.. Jumpa pun tak pernah.
Ehhh..

Tiba-tiba, aku teringat peristiwa pagi tadi. Takkan aku lupa wajah itu. Mata bundarnya serta senyuman sengetnya. Senyuman bak bidadara yang turun dari syurga. Aku sengih-sengih. Amboiii, Trishh..

Dalam memori aku yang sibuk buat flashback itu, baru aku perasan sesuatu.
Mana payung mamat tu?
***
DALAM keadaan sekarang hanya ada dua kemungkinan. Satu, dia tertinggal payung dia dan dua, payung tu ada dalam beg dia. Haih.. Yang satu tu macam jauh sekali betulnya. Macam tak logik! Hari-hari lelaki tu duk usung payung dia takkan hari ni dia boleh sampai lupa? Yang kedua..ada

kemungkinannya tapi hati aku seakan memberat nak mengiyakan. Yelah, hari-hari lelaki itu rileks aje main kendong payung tu di celah ketiak walaupun tak pakai. Takkan hari ni tak boleh?
Sedang ralit fikiranku memikirkan kepada lelaki itu, mataku membulat tiba-tiba. Haih.. Trisha..

Tak boleh jadi ni. Dah janji dengan mak, tak nak fikir lagi dah kan? Dah! Tokk sah nak fikir sangat. Ada baiknya kalau aku fokus pada belajar aje. Tak boleh fikir sangat-sangat. Nanti melarat pulak.

Buku atas meja aku buka terus. Ketika itu, datang Munirah, si roomateku. Mukanya masam semacam.
“Kau kenapa?” bukunya dihempaskan ke atas katil. Ah, tak kisahlah. Roomate aku yang sorang ni memang tak berapa nak betul sikit emosi dia. Kejap masam, kejap menangis, kejap jadi kanak-kanak ribena. Susah nak ramal walaupun aku pun perempuan.

“Apa ni?” satu flyer yang berterbangan ke kaki aku, aku kutip. Munirah sempat jeling sekilas sebelum tubuhnya jatuh atas katil balik.

“Oh..ada orang letak depan pintu masuk asrama tadi. Apa entah. Payung dia hilang pun nak kecoh. Beli ajelah yang baru daripada membazir nak upah orang..” aku tilik terus bila Munirah membebel begitu.

Payung..

Hanya satu benda saja yang ada dalam fikiran aku.

Payung mamat tu ke? Aku teliti segala isi pengumuman yang dibuatnya atas kepingan flyers itu. Wang RM 100 menanti untuk siapa yang menjumpainya? Di bawah sekali ada terselit gambar payung tersebut.
Sahh…

Ini memang payung mamat tu!
**
SATU kolej kini mulai bercakap tentang kes payung hilang itu. Mulanya, masing-masing bagaikan buat tak endah saja. Tapi, bila kes dah jadi semakin besar macam ni, semua orang kini ambil peduli. Di merata tempat ramai yang duk mencari sekaki payung merah itu.

“RM 1000 kut upah dia.. siapa tak nak?” aku angguk saja. Gila apa sampai nak upah RM 1000? Payung tu diperbuat dari emas ke? Berlian?

Apa yang ada pada payung tu?

“Aku suspek..payung tu mesti payung awek dia..” aku pandang si Latip tiba-tiba. Latip pun pandang aku.

“Betul kan apa aku cakap? Kalau tak..takkan sampai dia bersungguh-sungguh sangat nak dapatkan payung tu? Macam orang gila aku tengok dia letak flyers tu. Merata-rata tempat ada flyers tu. Hilang payung aje tapi macam hilang bini..”

Exactly! Itu juga yang aku fikirkan..

“Ishh.. Tapi tak mustahil itu payung keluarga dia.” Latip menggeleng dengan andaian aku.
“Lelaki tak akan bersungguh-sungguh sangat macam tu kalau setakat payung keluarga dia punya. Paling dia kisah, dia beli payung baru. Habis cerita. Ini mesti kes awek dia yang bagi payung tu punya.. Brader tu bimbang lah tu kalau-kalau awek dia soal macam-macam kalau awek dia tahu payung tu hilang.”

“Alah..apa susah? Beli ajelah yang baru.” Latip menggeleng.

“Lain, Trish.. Awek ni..dia ada deria keenam. Kalau ada aje yang tak kena kat mata dia, dia mesti siasat punya..” aku jeling Latip. Ya ke?

“Kalau kau nak tahu…ada awek ni lebih scary dari jumpa pocong tau.” Siot mamat ni.. Nak di samakan perempuan dengan pocong buat apa?
Tapi..betul ke?

“Habis, mak tu bukan perempuan? Pocong?” masih aku cuba pertahankan dengan hujah aku.
“Ish! Awek dengan mak lain.. Dia tak sama.”

“Apa yang lainnya?”

“Susahlah cakap dengan kau.. Kau aje nak menang..”

“Haruslah.. Mak pun scary apa. Kau tahu apa.. silap hilang Tupperware dia, satu kampung dia siasat.” Latip gelak.. Tapi, betullah. Mahal kut Tupperware sekarang ni. Pulak tu, siapa tak sayang barang rumah? Semua benda nak kena guna duit.. Pulak tu, negara Malaysia kan makin kaya sekarang. Haihh..

“Itu mak kau aje, Trish.” Aku buat muka.

“Tak adanya. Semua mak sama aje. Jadi..mesti kes mak dia macam tu, sebab tu dia cuak sangat.”
“Yang kau tak habis-habis defend sangat dengan payung tu milik keluarga dia apa pasal? Apa salah ke aku cakap kalau payung tu awek dia bagi?”

“Tak salah, cuma..”

“Kau dah tangkap cintan dengan mamat payung tu ke apa?”
Erkkk..
**
24 JAM lelaki itu ada dengan payung dia. Macam mana boleh hilang? Pelik wal bin ajaib sungguh. Lelaki bukan macam perempuan cuainya. Jadi, aku semakin pelik bila semua jadi macam ni. Ada benda yang tak kena ni.

Harus siasat!

“Nak siasat buat apa? Dah.. Tak payah!”
“Kau kenapa nak marahkan aku pulak?”

“Haruslah.. buat apa kau nak masuk sekali dah kes ni? Kau pun terliur jugak ke dengan duit RM 1000 tu?” tak adanya aku terliur sangat dengan duit tu. Cuma..yelah! Aku pelik..
“Kau sukakan dia..”

Aku pandang Latip.

“Kan?” lelaki itu siap angkat kening pada aku.
Aku angkat bahu. Latip mengeluh tiba-tiba..

“Hands off, Trishh..” tiba-tiba Latip bersuara tegas.
“Kau dah kenapa?”

“Tak payah nak sibuk lahh.. Urusan dia..biar dia selesaikan sendiri la..” aku garu belakang kepala. Kenapa dengan si Latip ni? Kalut tiba-tiba.
“Haih.. Tapi, tak salah kan? Untung-untung kalau aku jumpa, boleh aku dapat duit RM 1000 tu..” aku cuba sedapkan hati Latip.

“Dapat RM 1000 aku tak kisah, aku bimbang kalau kau dapat hati dia!!”

Apa kena dengan Latip semalam? Tak pasal-pasal aku jadi pelik. Cuak dan janggal pulak rasanya nak dekat dengan lelaki itu. Awat dia gelabah semacam? Dan..kenapa nak kena cakap soal hati pulak? Aku tahulah aku dah janji dengan mak macam-macam..tak payah nak cuakkan aku.

Haih.. Mungkin Latip nak jaga aku aje agaknya. Yelah, kami sejak dari kecil lagi memang selalu bersama. Dah sedia maklum antara keluarga aku dan keluarga Latip tentang kami berdua. Akrabnya kami berdua macam adik beradik. Tak jugak..kadang-kadang bertengkar tahap tak ingat.
Tapi..Latip la yang selalu mengalah.

Dah nama jantan. Kenalah selalu gentlemen. Hehh.. Tapi, itu tak bermakna aku tak kenal erti untuk mengalah.

Tapi..kenapa Latip jadi macam tu? Haih.. Musykil aku.
Aku yang baru habis kuliah berhenti berjalan bila aku terlihat kelibat lelaki itu di hujung koridor sana. Latip tunggu siapa? Dari situ, bibir aku menyinis tiba-tiba. Tak ada kerja lain lah tu. Mesti tungguh perempuan. Sehari tak menggatal tak sah mamat tu. Haih..

Serta merta di dada aku rasa hangat. Haruslah! Hal aku dia nak sibuk. Siap cakap soal hati limpa bagai semalam, tapi hal dia? Ini memang tak adil. Lantas, aku segera bergerak ke arah lelaki itu.
Dari jarak 50 meter lagi aku mahu sampai kepadanya, langkahku semua terbantut. Aku berhenti serta merta. Dahiku berkerut seribu..

Di tangan Latip..ada sekaki payung merah. Dan tidak jauh dari Latip berada, si lelaki payung merah itu datang mendekat. Tiba-tiba dada aku cuak.

Apa kaitan si Latip dengan si mamat payung tu?
**
AKU dengar-dengar lelaki payung merah itu anak orang kaya. Anak dato katanya. Jadi apa kaitannya?
Kaitannya..adalah dengan si Latip. Macam mana payung itu boleh ada di tangan dia? Aku tak berapa nak cam sangat payung tu macam mana tapi sekali imbas kalau tengok memang nampak macam payung merah si lelaki tu selalu pakai. Bermakna?

Latip..dah jumpa?
Latip? Haih.. Mengarut celah ketiak mana ni? Latip mana lah nak ambik port sangat benda-benda macam ni..

Jadi..Latip curi?
Aku gigit bibir. Apa benda kau melalut ni Trish? Sampai ke situ pulakkk..
Tapi..

Latip kan selalu sesak. Makan pulak tak beringat. Melantak aje kerjanya. Tapi badan maintain kurus. Haih. Tapi, mencuri? Teruk sangat tuduhan tu, Trish oii.. Lagipun, aku tuduh ni macam baru semalam aku kenal si Latip.
Aku geleng kepala.

Mustahil! Mustahil Latip buat benda tu semua.
Jadi..nak mudahkan semua perkara, aku jumpa lelaki payung merah itu. Mahu mencari kebenaran. Dah rasa sesak sangat kepala aku asyik fikir perkara ni. Sebelah kepala mahu menidakkan apa yang aku fikir dan sebelah lagi rasa ragu-ragu.

Maafkan aku Latip.. Tapi, aku sendiri pun tak faham kenapa hati aku nak sangat ambil tahu kisah ni. Apa kena mengena dengan aku? Aku sendiri kurang pasti.

Suasana malam itu, sungguh sejuk. Rasa nak dekat sejam dah aku duduk di sini. Mana mamat payung tu? Biasanya dia selalu lalu ikut sini. Kalau dulu-dulu time aku stalk dia..dalam 9.30 malam dia mesti lalu ikut sini. Tapi, ni dah 10 malam dah. Batang hidung pun tak nampak lagi.
Kau kat mana? – Latip

Aku garu kepala. Aduh, si Latip ni. Tepat pulak dia masuk. Aku gigit bibir. Nak jawab apa? Kalau aku kata aku nak jumpa mamat payung tu apa kata dia? Confirmm dia tak bagii.. Aduh..
Nak jawab apa?

Baru nak tidur. Apahal? – Aku
“Sejak bila kau jadi gelandangan tidur dekat luar?”
“Argh!” aku pusing belakang. Latip!

Allah. Naik semput jantung aku.. Mata aku pandang sekeliling. Celah mana dia boleh ada kat sini? Guna kuasa doraemon ke apa?

“Kenapa kau tipu aku?” aku diam dulu. Nak jawab apa?

“Dah seminit kau tak jawab. Kenapa? Apa yang rahsia sangat sampai tak nak bagitahu aku?” dia seluk tangan dalam poket jaket sejuk dia sambil pandang aku yang terkulat-kulat sendiri.
“Kau tak pandai nak tipu, Trish..” lagi dia provok aku.

“Kau nak jumpa dia, kan?” terus aku pandang Latip. Hajat nak mengelak. Tapi, Latip seakan boleh baca isi hati aku. Inilah padahnya kalau berkawan sejak kecik. Langsung tak ada apa untuk disorok. Lagi-lagi dengan Latip.

“Betullah jadinya..”

“Petang tadi..kau kenapa jumpa dia?” aku cuba berterus terang.
“Kenapa kau nak tahu?”

“Sebab aku nak tahu.”

“What makes you so eager to know about it? Benda tak penting pun..” aku ketap gigi. Kenapa Latip jadi lain sangat malam ni? Kenapa aku rasa dia macam nak marahkan aku? Apa salah aku?
“Kau tak jawab soalan aku.”

“What should I?” Latip ni kann!!
Sekejap mata aku terlihat kelibat lelaki payung merah itu. Terus aku angkat kaki ingin mendapatkannya..
“Aku nak pulangkan payung dia.” Latip bersuara sekaligus buat aku terhalang dari melangkah.
“Kau cari payung dia?” Latip diam.

Jadi..curi? Aku nak tanya tentang pilihan yang kedua itu tapi aku tak sampai hati.
“Kau ingat aku curi payung dia ke? Kau fikir aku curi kan?” aku tunduk sekejap.
“Trish..aku tahu aku budak nakal dulu. Tapi, aku dah berubah lah.. Kau ingat aku kemaruk sangat dengan duit RM 1000 dia tu?” ya, disebabkan sejarah hitam dulu.

Latip pernah mencuri. Lepas perbuatan dia kena tangkap, teruk Latip dikerjakan oleh Pak Harun, ayah dia. Siap kena ikat di pokok rambutan yang banyak dengan kerengga itu lagi sebagai hukuman. Tak boleh makan dan tak boleh menangis kalau tak kena pukul lagi. Keesokannya, baru Latip dilepaskan ikatan. Aku ingat lagi, habis satu tubuh lelaki itu merah-merah. Kesian..

Dan kerana itu aku tak nak benda berulang lagi. Aku cuma nak kepastiannya sahaja. Jadi, aku tinggalkan Latip dan mahu mendapatkan lelaki payung merah itu.

“Aku sukakan kau, Trish..” aku terkejut. Separuh jalan saja, dan aku berhenti. Pusing belakang dan pandang dia kembali. Wajah Latip serius pandang aku. Langsung tiada riak gurauan macam dulu-dulu tatkala dia bertutur kata.

“Aku tak nak kau libatkan diri kau dalam kes ni sebab aku tak nak keadaan jadi bertambah buruk.”
“Maksud kau?”

“Aku tak nak hilang kau..”
Sukar aku nak percaya..

“Awak cari saya?” suara itu mengembalikan aku kepada posisi aku kembali. Mata aku tunak memandang pada lelaki payung merah itu. Dia tersenyum manis kepadaku.
“Err..” lambat-lambat aku angguk kepala.

“Saya nak tahu..awak dah jumpa payung awak?” dia geleng. Aku tercengang.
Habis tu? Tadi..?

“Habis..payung yang..” aku pusing menghadap Latip.
“Itu bukan payung milik saya.” Jawabnya sekaligus menerangkan kisah sebenar. Aku pula makin pening.

Adoi..kepala aku. Rasa nak pengsan pulak. Berbelit-belit jadinya.
“Tapi..macam mana awak boleh hilangkan payung awak? 24 jam awak dengan payung awak, macam mana awak boleh hilangkan?” dia senyum saja. Senyuman yang aku tak tahu nak tafsirkan bagaimana.
Siniskah senyuman itu?

“Macam mana awak tahu saya ada dengan payung saya 24 jam?” erk! Aku kemam bibir. Ayoyoo.. Terkantoi ke apa?

“Errr..” lelaki itu mengeluh panjang tiba-tiba. Aku pandang dia. Dia pun pandang aku. Agak lama kami berpandangan sampai aku rasa kekok dan segan. Terus, kepala aku tertunduk.
Dia tertawa halus dengan keletah aku.

“Macam mana saya nak fokus pada payung saya kalau ada perempuan yang sebegitu cantik macam ni?”
“Huh?”

“Sebab awak..saya hilangkan payung saya.”
“Huh?” dah double huh nii..
“Jumpa awak.. Khusyuk tengok awak. Last-last, saya tak tahu mana letak payung saya.”
“Huh?” Triple huh..

“Awak rasa mana saya letak payung saya?”
Ehhh mamat ni.. Mana aku tahu.

“Awak ingat saya curi payung awak ke?” tak semena-mena dia angguk.
“Apa buktinya?” jadi geram serta merta aku dibuatnya.

“Satu..masa saya langgar awak dulu tak sudah-sudah awak pandang saya. Kedua..awak selalu stalk saya selalu ada di mana-mana kan? So..saya boleh anggap awak sebagai suspek utama yang curi payung saya.”

“What? Nonsense..”
“Memang agak mengarut. Tapi, awak kena faham.. saya anggap payung tu macam nyawa saya. Jadi, bila awak dah curi awak kena pulangkan pada saya balik.”

“Macam mana?” dia diam. Dilonggarkan bahunya lalu dicapai beg yang sedang dikendongnya itu. Beg itu dibuka kasar dan satu objek dibawanya keluar..

Papp..

Bunyi itu bagaikan diulang tayang bersama aksi lelaki itu yang nyata tampak sungguh cool sekali!
Papppp..

Papppppp..

Terngiang-ngiang bunyi itu. Aku pandang ke atas.
Payung!! Ini payung dia!!

Tapi..macam mana dia boleh jumpa pulak? Ke dah ada orang jumpa?
“Ini? Mana awak jumpa?”

“Saya jumpa awak bermakna saya dah jumpa payung saya.” Terkebil-kebil aku pandang dia.
“Trisha Adira…date me please?” mukanya sumpah serius. Langsung tak main-main. Wehh..apa benda semua ni?

Aku pusing belakang.

Masih berdiri lagi Latip di belakang aku. Wajahnya tegang sekali. Tapi, dari mata itu aku nampak dia seperti keras mahukan aku katakan tidak..

“Aku sukakan kau, Trish..”

Masih kuat lagi rasanya luahan hati si Latip pada aku. Aku di tengah-tengah.
Pandang Latip dan pandang lelaki payung merah ini.

Dua-dua juga sedang pandang aku menantikan jawapan manakah yang diterima reaksi postif.
Aku…?
Dilema!
**
KATA orang..cinta itu adalah sesuatu yang kita tak mampu jangkakan. Bagaimana bentuk dah rupanya semuanya di luar kemampuan kita. Termasuk jodoh.

“Haa…yelah mak! Orang tahu la.”

“Tak payah nak berlagak sangat, Trisha oii.. Kita perempuan ni jangan duk junjung ego sangat. Dia dah suka kat kita tu dah kira rahmat tau..” lagi suara mak membebel. Tapi aku cuma iyakan saja.
“Ya. Betul lah apa yang mak kata tu.”

“Kamu nak perli mak kan?”
“Pulakk..”

“Mak tahu la..” aku sengih sendiri.

“Ye.. Karang orang banyak cakap dikata kita jadi anak dara tua pulak nanti. Melawan cakap orang tua.”

“Laa. Siapa cakap macam tu?”
“Mak laa..”

“Kenapa mak pulak?” aku jeling jam tangan. Dah lewat.
“Mak nantilah, eh.. Orang lambat dah nii.. Karang dia tunggu orang lama kat sana, mak membebel lagi kat orang..”

“Hmm..”
“Bye, mak. Assalamualaikum.” Terus aku masukkan kunci kereta, hidupkan enjin dan blahh..
Jam di dashboard kereta aku jadikan panduan. Memandu sambil tengok jam. Eloklah sangat. Jangan apa-apa jadi sudahlah. Sebelum aku ke sini tak habis-habis dah kena pesan dengan si tunang. Disuruhnya aku jangan melalut sangat bawak kereta.

Haihh.. Mak dengan dia tak ada beza. Ngam sungguh!
Tapi..nak buat macam mana? Aku dah suka.. Apa boleh kata?

Setibanya aku di KLIA, terus ruang parkir aku tuju. Alhamdulillah. Sesak-sesak pun, bila time kereta aku masuk terus nampak ruang kosong satu. Jam dah nak dekat jam 10.30 pagi. Lewat setengah jam.

Okey.. Rileks..

Rileks-rileks pun kaki aku berlari juga tanpa sedar. Rasa berdebar plus teruja sebab dah lama tak jumpa. Dia outstation dua bulan kutt.. Sampai saja di ruangan departure, terus aku cari kelibat seseorang. Susuk tubuh yang sedang bercakap di talian itu aku dekati. Bibir menguntum senyuman.
“Rafiqie..” manusia itu berpusing. Si dia tersenyum manis.

Mamat berpayung merah.

“Lambat!” mukanya masam. Aku sengih-sengih saja.

“Sorry.. Jalan jem..” dia pandang aku dengan sebelah keningnya terangkat. Aku pula gelak lagi.

“Okey.. I lambat. Tapi, jangan salahkan I. I memang dah ambik cuti hari ni. Tapi, ada urgent meeting tiba-tiba. Tak boleh postpone dan I terpaksa hadir so..terpaksa datang jugak. And..that’s the reason why I’m late. Enough?” dia berpeluk tubuh dengan pandangan matanya tak henti-henti pandang aku. He’s judging me!

“I’m sorry, dear..” pintaku bersungguh-sungguh.
Rafiqie pula hanya geleng.

“Kenapa?!” tak menjadi ke kalau aku pujuk style macam tu?
“Tak tahu..”

“Kenapa you tak tahu?”
“Dia macam bad mood.”

“What?!”
“Marah lah kutt..

“Huh?” Habislah..

“Yelah.. You janji, nak tunggu dia bagai. Siap bawak kad lah apalah. Tapi, apa ada? Haramm.” Aku mengeluh lemah. Takkanlah..

“Dia kat sana. Pandai-pandai la you settle. I dah lambat. My fiance dah datang.” Aku jeling pemergiannya. Jahat! Tinggal aku sorang-sorang sekarang. Aku pandang belakang Latip.

Tak sempat aku nak bergerak ke arahnya, dia dulu yang perasan akan kedatangan aku. Belum aku sampai kepadanya, dia yang datang pada aku. Tak senyum, tak cakap sepatah apa-apa dia cuma melintasi aku dan berkata..

“Jom..”

Sudah!! Habislah aku..

Dia marah!
**
“AKU jumpa dia bersebab. Aku tak nak kau yang terhegeh-hegeh datang pada dia. Kononnya nak tolong carikan payung, tapi kalau tiba-tiba kau jatuh cinta macam mana? Siapa yang nak tanggung?”
“Aku niat ikhlas laa..”

“Ikhlas boleh jadi lain bila melibatkan hati dan perasaan, Trish. Aku tak nak hilang kau. Cukup sekali dulu aku tahan perasaan aku bila aku tengok kau tak habis-habis nak usha si Malik dulu.”

“Habis kau? Baik sangatlah? Berlagak suci? Tak sedar ke, kau depan belakang aku, selalu nak mengurat perempuan aje. Pantang nampak dahi licinn..”

“Sebab kau tak pernah nak tegur aku.”
“Huh?”

“Aku tunggu, Trish. Bila kau nak tegur apa yang aku buat. Sebab aku rasa bila kau tegur means kau care pasal aku. Tapi, tak ada! Tak sekalipun kau cuba nak tegur aku. Dari situ aku tahu…aku kena buat sesuatu untuk buat kau nampak aku!” aku tergamam. Rasa terharu tiba-tiba. Sampai ke situ lelaki itu titik beratkan. Bukan aku tak mahu tegur, tapi..aku rasa macam penyibuk sangat bila melibatkan perihal perhubungan ini.

Ianya terlalu sensitif! Apatah lagi zaman sekarang banyak kes kerana perhubungan antara lelaki dan perempuan boleh merosakkan persahabatan. Aku tak nak kerana perempuan, aku dan Latip putus sahabat.

“Aku cuak, Trish.. Aku rasa takut.. Sebelum ni, bila kita masuk universiti sama-sama, kau tak pernah tunjukkan minat pada mana-mana lelaki sehinggalah datang dia tu. Aku takut, aku hilang kau lagi.. Jadi, sebab tu, aku beranikan diri untuk cakap dengan kau yang..yang..”
“Aku sukakan kau!”

Detik itu..adalah merupakan detik yang terindah buat aku. Sebagai perempuan, hati mana yang tak tersentuh pabila mendengar luahan perasaan dari seorang lelaki. Lelaki yang selalu dikenali dengan egonya yang tinggi masih mampu bercakap soal hati dan perasaan dengan aku. Dia, si Latip..

Ruzaimi Latif Aziz Bin Harun.

Sekarang, dah lima tahun berlalu. Kami sudahpun bertunang. Aku dan Latip. Rafiqie dengan pilihan barunya. Rasanya baru setahun lepas mereka serius dalam perhubungan. Mujurlah keputusan aku dalam memilih Latip diterima Rafiqie dengan baik malah Rafiqie dan Latip boleh bersahabat lagi. Mungkin dek kerja satu bumbung dan dari satu universiti jadi salah satu punca mereka rapat bersama.

Tapi..sekarang aku kena fikirkan cara..cara nak pujuk tunang aku! Dah la kami dalam perjalanan balik ke kampung terus. Mak pulak dah siap pesan. Jangan ketegaq sangat. Lagi-lagi dengan Latip sebab selama ni Latip dah banyak beralah dengan aku.

Haihh..

Mak ni..makin menambahkan rasa bersalah akulah!
“Latip..”

Dia tak pandang aku. Ralit mata pandang ke depan. Memandu aje fokusnya. Langsung tak jeling aku. Tapi, tak kisah pun.. Aku pun bukan jenis yang menggedik, menggeletis aje kerjanya. Cuma..kut ya takkan tak nak pandang si tunang dia ni?

“Dua bulan merantau, tunang sendiri dah tak nak tengok?” aku cuba pancing dia. Tapi, macam tak makan aje. Latip tenang lagi memandu. Aku dah rasa hangat. Sampai hati..
“Okey..fine!” aku berpeluk tubuh.

Bersedia tunggu dia pujuk..sebab aku dah merajuk.
Satu..
Dua..
.
.
.
Dah 10 saat!
Latip tak pujuk-pujuk jugak.
Makk!!
**
LEBIH kurang 3.30 petang kami baru sampai di Ipoh. Kereta aku betul-betul masuk dan parking depan rumah. Dari jauh lagi, aku dah intai-intai kalau-kalau mak ada kat luar. Tapi..tiada.

“Mana mak?” turun aje dari kereta, terus aku cari mak. Dah ada tunang tak mahu layan, cari mak lah aku. Apa salahnya, sebelum aku berlaki ni elok jugak aku jadi anak manja. Bukan senang nak ada masa dengan mak..

Tapi, setapak aku bergerak Latip berdiri di sebelah aku. Mukanya beku tanpa reaksi. Aku dongak ke atas sedikit dek tingginya yang melebihi dariku beberapa puluh meter tingginya. Dan..dia tak pandang aku. Aku tertunduk lesu sedikit. Kecewa..

“Panasnya.” Itu cuma alasan aje! Aku nak masuk dalam rumah. Nak tinggalkan Latip dan berkurung dalam bilik. Biar mamat ni sorang-sorang kat luar. Biarkan dia! Biar dia rasa.. tadi aku ada nak layan dia, dia tak mahu layan. Sekarang kau terima lah azabnya sebab dah abaikan aku. Aku pun boleh buat sombong la..

Huh..

Lagi setapak aku buka langkah kaki, Latip juga membuka sesuatu.
Pappp…

Aku dongak atas tiba-tiba. Panas terik atas kepala tadi kurasakan sejuknya tiba-tiba. Aku kedu seketika tatkala terpandangkan sekaki payung yang berdiri di atas aku.

Latip payungkan aku..

Kringg..

Berdeting-deting bunyi locong bergesel sesama sendiri sekaligus menarik perhatianku. Dua locong bersama kad diikat kemas dengan satu tali berwarna coklat pada besi payung itu. Kad kecil itu terhuyung-hayang posisinya.

Aku pandang Latip. Pinta penjelasan tapi dengan wajah beku itu aku batalkan hasrat. Terus, tanpa mintak izin aku buka jugak kad itu. Nak jugak tahu apa dia. Aku manakan boleh tahan dengan surprise bagai macam ni. Rasa tak tenteram hidup selagi tak tahu apa benda itu. Misteri!!
Kad itu aku buka.
Will you Marry me?

Kedu aku sekejap. Tulisan di sebelah kanan kad itu dan di kirinya..ada sebentuk cincin melekat pada kad dengan salotip itu. Aku pandang Latip. Latip tersenyum-senyum pandang aku.
“Jangan cakap abang tak payungg..”

Aku tak mampu tahan untuk tak senyum. Aku senyum juga akhirnya. Siap tersembul beberapa batang gigi lagi. Suka!!

“Aku rasa aku kena terima kasih dengan Rafiqie. Kerana payung semua persoalan hati antara kita terlerai. Kerana payung kita bertemu titik noktah sebenar dalam hubungan kita. Dan melalui payung ini juga..aku mahu kau tahu..aku ikhlas mahu jadikan kau hak milik kekal seorang Ruzaimi Latif Aziz.” Kembang hati setaman. Semua jenis binatang dalam hati aku duk berterbangan dalam perut.
Hailahh hatii..

“Tadi sombongg..”

“Dengan permata hati..mana boleh sombong, yang..” panas!! Panass!
Hailaa..

Latip ohh Latipp..

“So..kau terima tak?”

“Latip? Lahhh, kamu ni Trish.. Kenapa kamu duk biar menantu mak kat luar tu? Panas.. Meh, masukk.. Lekas..”

Latip tersenyum. “Kejap, mak cik.. Saya tunggu jawapan anak mak cik ni.”
“Jawapan apa?”

“Nak kahwin dengan saya lah..”

“Habis tu, dia jawab apa?” muka mak biasa-biasa aje. Ini mesti dua orang dah bersengkongkol ni. Hai, mak. Lebih maju dari si anak lagi. Nak kena kasi ceramah kat mak sikit.
“Tengah tunggu lagi ni..”

“Pulakk..” mak dah jeling aku semacam. Faham sangat dengan jelingan dia. Dan aku pun jeling Latip balik.

“Trisha..”

“Ya, makk..”

“Masukk..”

“Ya..” Aku akur. Mahu masuk ke dalam. Luar ni panas sangat meskipun dah berpayung.
“Ehhh..”

“Apa dia?”
“Mana jawapan untuk aku?”

“Mak dah jawab. Nak jawab apa lagi?”

“Pulakkk..”

“Mak suruh masuk.. Masuk ajelah. Nanti aku sarung cincin tu.” Latip sedikit melopong bila melihat sebentuk cincin itu di tangan aku. Terkejutlah tu sebab tak sangka bila masa aku angkut cincin tu dari kadnya itu.

“Jadi..terimalah ni?” mata Latip membulat ketika bertanya.

Aku diam. Saja nak mendera perasaan dia.

“Cakap Trish.. Aku lelaki. Bodoh. Lambat nak faham.” Tidak semena-menanya aku gelak.

“Trishhh..” marah Latip.

Melihat wajah kesiannya, aku jadi tak sampai hati. Lambat-lambat aku angguk.
“Alhamdulillahh..” suka Latip. Lebar senyumannya.

Aku? Alhamdulillah juga.

Terima kasih Allah untuk pertemuan jodoh yang manis dan baik ini. Aku bersyukur. Untuk segalanya..
Di atas nikmatmu..

Semoga kita dipertemukan dengan

jodoh yang baik-baik.. Amin. –SILENCER-

-TAMAT-


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

Satu ulasan untuk “Cerpen : Payung Merah Dia”

Trackbacks

Check out what others are saying about this post...
  1. […] Cerpen : Payung Merah Dia […]



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.