Cerpen : Perjuangan Seorang Muslimah

27 September 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: Huirin

Pemergian Umairah ke Petaling Jaya ternyata menjadi berita gembira buat saudaranya di kampung. Pada peringkat permulaannya Umairah cukup kaget apabila menerima surat tawaran daripada pihak universiti. Siapa sangka dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara. Lebih-lebih lagi Umairah ditawarkan dalam bidang Teknologi Makmal Perubatan. Alhamdulilah berkat daripada doa kedua ibu dan bapanya, Umairah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut. Nasihat daripada saudara mara dikampung turut menaikkan semangat Umairah untuk membuktikan bahawa dia mampu untuk menaikkan prestasinya di sini dan membuktikan pada generasi bawah agar mereka turut sama menjejak langkah ke menara gading.

Setibanya di Kuala Lumpur, Umairah dan ibunya dijemput oleh Kak Lisa. Kak Lisa adalah anak kepada kakak sulung ibu Umairah. Dia baru saja menyelesaikan sarjana muda kepujiannya. Melihat kak Lisa, Umairah turut membayangkan masa depannya. Gadis didepannya ini bakal menjadi pensyarah muda di salah satu institusi pengajian di Selangor. Sepanjang perjalanan, Puan Amirah dan Kak Lisa berbual. Sementara itu, Umairah menyaksikan Kuala Lumpur. Ya Bandar ini terlalu cantik. Indah sungguh ciptaan Tuhan. Kuala Lumpur! Benar aku telah menjejaki kaki di Kuala Lumpur. Aku sudah berada di Ibu Kota! Umairah tersenyum bahagia. Fikirannya mula menerawang, Umairah sudah mula membayangkan kehidupan yang bakal dia lalui di Institusi Pengajian tinggi.

Kak Lisa terus membawa mereka ke kampus cawangan UiTM di jalan Othman. Disitu Umairah melihat para pelajar mula mendaftar. Umairah turut sama mendaftar, sejurus itu juga Umairah dimaklumkan tentang sesi orientasi yang bakal dia lalui. Saat perpisahan bersama ibu semakin hampir. Puan Amirah mencium dahi .

“Belajar rajin-rajin along…umi nak tengok along berjaya..solat jangan tinggal nak” ujar Puan Amirah lembut. Air mata Umairah mula menitis.

Buat pertama kalinya Umairah berpisah dengan Puan Amirah. Hati Umairah pedih, namun dia hanya mampu melihat kenderaan kak lisa meninggalkan dirinya dari belakang. Bahu Umairah ditepuk dari belakang.

“ Hai saya Rebecca , dari Serian Sarawak” gadis itu menghulurkan tangan kepada Umairah. Umairah menyambutnya dengan senyuman. Selepas beberapa hari tinggal di Kuala lumpur, Umairah menyaksikan gejala sosial yang begitu besar sekali. Rumah-rumah mewah seperti istana yang tak pernah dia lihat di Kedah, banyak sekali dia temui disini. Semuanya tersengam indah. Masya Allah! selama ini aku hanya mampu melihat pemandangan ini di kaca television. Rakan-rakan baru yang dikenali semuanya kebanyakan berasal dari Kuala Lumpur sendiri. Hanya Rebecca berasal dari Sarawak.

Kebanyakan dari mereka dari golongan berada. Bermulanya Umairah menjejaki kaki di hostel dan berkenalan dengan rakan sebiliknya. Umairah sudah mula menyedari dia harus belajar untuk menerima budaya rakan sebiliknya. Dia banyak mendiamkan diri. Hidup bersama rakan seperjuangan yang baru tidak semudah yang Umairah bayangkan. Sehinggalah gadis itu mula mengalami tekanan. Bukan kerana dia tidak mempunyai teman. Mereka baik kepada Umairah, tapi cara kehidupan mereka berlainan dengan Umairah. Membuatkan Umairah menarik diri dari mereka. Setiap kali selesai dari kelas, dia bergegas keluar kelas untuk pulang ke asrama. Umairah tidak seperti mereka yang akan keluar ke tengah Bandar untuk bergembira sejurus kuliah tamat. Umairah bukan tidak mahu ikut sama tapi dia takut sekiranya rakan-rakan barunya ke tempat yang tidak sepatutnya mereka jejaki.

Pernah sekali Umairah mengajak mereka untuk ke masjid berdekatan untuk mendengar ceramah.Namun mereka tolak pelawaan Umairah mentah-mentah. Sekiranya Umairah mengejut mereka untuk menunaikan solat subuh pula meraka akan mula mencemuh Umairah. Sehinggalah Umairah tidak lagi mengejut mereka untuk solat subuh bersamanya. Rebecca, salah satu rakan Umairah yang bukan beragama Islam sering kali mempersoalkan mengapa rakan-rakan Islam yang lain tidak solat sepertinya. Satu hari Umairah bergegas pulang. Sampai di dalam bilik, Umairah mula menangis. Susah sekali apabila berada bersama mereka. Umairah seakan tak mengenali dirinya sendiri. Hilang sudah Umairah yang ceria. Umairah kini menjadi pendiam. Selama beberapa minggu ini, Umairah sudah mula tidak berminat dan fokus di dalam kelas.

“Ibu along takut, along sepi, along nak balik. Along tidak biasa menghadapi ujian ini seorang diri. Mereka semua terlalu asing buat along” rintih Umairah perlahan.Umairah mula mengambil wuduk untuk membaca Yasin bagi menenangkan fikiran dan hatinya. Hari ini dia bersendirian lagi, Farah dan Aqila pasti tidak akan pulang. Rakan sebiliknya itu jarang tidur di dalam bilik pada hujung minggu. Mereka kerap menghabiskan malam mereka di kelab-kelab dan pusat hiburan yang berada berdekatan dengan asrama mereka. Sehinggalah pada suatu hari. Umairah mula menyedari bahawa dia tidak bersendirian.Allah S.W.T sentiasa menemani hambanya. Umairah teringgat ayat Al-Quran yang menyebutkan:

“Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dialah juaYang Maha Penyayang daripada para penyayang” (Surah Yusuf [12]: ayat 16) Umairah yakin bahawa Allah disisinya, dia mula tekad untuk berjuang dan cuba untuk berdakwah kepada rakannya. Dia tidak akan membiarkan dirinya terus menangis bersendirian lagi. Umairah sedar dia harus tekad pada tujuan dia berada di kota ini. Lagipun dia sendiri yang bercita-cita untuk menjadi orang yang berjaya. Seperti biasa rutin harian apabila selesai kuliah hariannya, Umairah akan pulang ke asrama. Berlainan dari selalu, hari ini Rebecca menemaninya pulang.

“Can I ask you something?” soal gadis iban itu. Umairah hanya mengukirkan senyuman manis kepada rakan baiknya.

“Kenapa you pakai tudung? I tengok kawan serumah kita semua tak pakai tudung…you je, why?”soalnya.

“Awak kalau ada diamond yang mahal awak tunjuk dekat orang tak?” soal Umairah kembali

“Tak sebab saya takut orang curi” jawab Rebecca pantas dengan penjelasan tanpa diminta.

“Macamtulah, saya tutup aurat sebab ianya diamond saya”,ujar Umairah. Lantaran itu dia teringat ayat Al-Quran dari surah Al-Ahzab.

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmim: Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana mereka itu tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab:59)

“Menarik, criteria macam mana untuk pemakaian wanita islam yang baik ?” soal Rebecca lagi.

“ Em..pakaian tak ketat sehingga nampak bentuk tubuh yang diselindung dan pakaian tak nipis hingga nampak bayang-bayang tubuh dari luar.

Sabda Rasullulah S.A.W :“Sesungguhnya termasuk ahli neraka, iaitu perempuan-perempuan berpakaian tetapi telanjang,yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat…mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya” (Muslim)

“Awak saya nak solat asar kejap dah masuk waktu ni”, Umairah meminta diri untuk ke biliknya untuk menunaikan solat fardu maghrib. Tidur Umairah terganggu, bunyi telefon bimbit Umairah menganggu tidurnya. Dari luar bilik kedengaran bilik Umairah diketuk kuat.

“Mai, Mai! buka pintu ni” teriak satu suara dari luar. Umairah kenal suara tersebut. Itu suara Rebecca. Rakan serumah mereka. Umairah membuka pintu biliknya. Dia mengosok-gosok matanya tanda baru bangun dari tidurnya.

“Mai! kenapa tak angkat telefon? Farah dengan Aqila kemalangan.. Dorang kat PPUM sekarang!” Rebecca kelihatan resah. Melalui penampilan gadis dihadapannya itu Umairah tahu Rebecca sudah bersiap untuk ke PPUM. Mujur Fatin salah seorang teman serumah mereka mempunyai kenderaan. Mereka bertiga terus sahaja ke hospital tersebut. Sepanjang perjalanan Umairah berdoa semoga agar kedua sahabatnya selamat. Sampai di perkarangan hospital. Mereka bergegas ke wad yang didiami oleh Farah dan Aqilah dari jauh tubuh mereka kelihatan lesu, wayar melingkari tubuh mereka. Umairah bersalaman dengan kedua ibubapa Fatin dan ibubapa Aqilah. Pegawai dari pihak Universiti Teknologi Mara turut bersama ibubapa kedua pelajar tersebut. Mereka dimaklumkan keadaan Fatin dan Aqilah agak kritikal. Umairah mengambil tempat disebelah Fatin. Tangan Farah dipegangnya erat. Lantaran itu, Umairah membacakan surah Yasin di telinga kawannya. Rebecca menepuk bahunya perlahan, untuk mengajaknya pulang.

“Awak balik dululah, awak ada kelas esok pagi…pagi esok saya tiada kelas.. jangan risau..insyallah nanti saya balik dengan teksi” terang Umairah. Rebecca mengangguk tanda mengerti.Usai membaca ayat suci Al-Quran. Umairah menunaikan solat hajat untuk mendoakan agar kedua orang sahabatnya sedar. Keesokan paginya Umairah dimaklumkan oleh ibu Farah bahawa gadis tersebut telah mula sedarkan diri. Umairah mengambil langkahnya ke kamar Farah. Sebelum tiba ke kamar Farah, dia melalui kamar Aqilah yang masih tidak sedar kan diri. Umairah melihat kemurungan wajah ibu Aqilah. Umairah turut mendengar suara tangisan adik Aqilah yang berada di luar. Setibanya di katil Farah, Umairah melihat ibu Farah mandakap anaknya itu. Melihat ketibaan Umairah, ibu Farah membiarkan mereka berbual. Giliran Farah mendakap tubuhUmairah.

“Umairah, aku nak menjadi anak solehah, aku menyesal…aku tak patut keluar malam tu…ibu aku dah pesan jangan keluar..tapi aku keluar jugak…aku drive waktu tu..aqilah tak sedar diri sebab aku..”, Farah mula menangis. Umairah cuba menenangkan sahabatnya itu.

Sebulan berlalu, Farah banyak mendiamkan diri. Dia tidak lagi keluar malam seperti selalu. Umairah dan Rebecca banyak menemani Farah. Mereka tidak mahu gadis itu bersendiri.Seperti biasa selesai solat maghrib Umairah akan membaca Al-Quran. Selesai dia membaca ayat suci Al-Quran. Farah muncul disisinya. Gadis itu menarik tangannya perlahan. Umairah mengukirkan senyuman cuba untuk mengembirakan hati Farah. Dia tahu fikiran gadis itu masih terganggu.

“Boleh Mai ajar Farah baca ayat suci Al-Quran, setiap malam Mai mengaji ..ayat suci Al-Quran ni yang tenangkan hati Farah” Tatkala itu mata Umairah berkaca-kaca dia tersentuh dengan ucapan tulus dari rakannya.

“Boleh, tapi sebelum tu..” Umairah mengambil sesuatu dari almari bajunya. Bismillah.. umairah menghulurkan tudung kepada rakannya itu.

“ Semoga dengan tudung ini Farah akan menjadi anak solehah, dan doamu di dengari oleh Allah S.W.T untuk member kesembuhan kepada Aqilah sahabat baikmu, Umairah tahu Farah masih dihantui rasa bersalah pada Aqilah… Insyallah banyakkan berdoa sahabatku” ujar Umairah ikhlas. Farah memeluk sahabatnya itu.

“Do I get one” sampuk Rebecca, dari tadi dia mencuri dengar di sebalik pintu.

“Boleh je, kalau awak nak” balas Umairah.

“Mestilah saya nak..but I will wear when I be a muslim” ujar Rebecca yakin. Bilik kuliah mula gempar dengan perubahan Farah yang tiba-tiba itu. Mana tidaknya dahulu gadis itu adalah salah seorang daripada gadis tercantik dan termoden. Hari ini gadis itu muncul dengan penampilan barunya. Jubah menjadi pilihan pemakaian Farah. Walaubagaimanapun, mereka nampak senang dengan perubahannya. Setiap daripada mereka mendatangi Farah. Dari jauh Umairah melihat mata Farah berkaca-kaca. Umairah melihat senyuman dan doa tulus yang keluar dari bibir mereka. Namun ada juga segelintir dari mereka yang menyangsikan perubahan Farah. Mereka mengatakan,

“Seminggu lagi dia bukalah tudung tu..aku rasa tak lama”. Banyak juga kata sinis yang mendarat di telinga mereka.

“Ya Allah, Kau kuatkanlah semangat dan iman rakanku ini” doa Umairah di dalam hati. Mereka berdua mulai mengikut ceramah di Masjid. Umairah tidak henti-henti berdoa kepada-Nya untuk sentiasa menuju-Nya. Dimulai dengan tudung, sedikit demi sedikit Farah memahami ayat-ayat Al-Quran. Lebih mengembirakan hati Umairah, Rebecca rakannya itu turut tertarik untuk mempelajari agama Allah. Dia turut menghadiri ceramah di masjid. Rebecca semakin rajin membaca buku dan mengikuti pengajian. Umairah turut juga menjadi begitu semangat untuk terus memperbaikikan dirinya. Saudari-saudari seiman yang tak segan menasihati dan mengingatkan mereka turut banyak membantu. Bermula dari rasa tertekan dan keinsafan, perlahan Umairah ditemukan dengan pertemuan, betapa damai dan indahnya hidup Umairah dalam cahaya Islam.

Tiga tahun berlalu, kini Umairah telah tamat belajar. Alhamdulilah setelah tiga tahunbelajar di negeri orang. Umairah selamat pulang ke kampung halaman dengan segulung ijazah.

“Anak abah dah balik” itulah kata-kata yang terkeluar dari lelaki yang terbaring di atas katil itu. Lelaki tua yang berkain pelekat itu cuba untuk bangun. Namun keadaannya tidak mengizinkan.

“Ya, abah..along dan ibu dah balik”, airmata Umairah mengalir. Dia agak terkilan kerana ayahnya tidak berpeluang melihatnya naik di atas pentas semalam. Kesihatan ayahnya tidak mengizinkan untuk beliau bergerak.

“Baru semalam..abah rasa, abah hantar along dan ibu ke KL”, ujar Encik Omar. Umairah teringgat pesan ayah dahulu sebelum dia bertolak ke Kuala Lumpur bersama ibunya.

“Belajar rajin-rajin along..solat jangan tinggal..ingat sebarkan dakhwah islam dimana pun kita berada..kalau rasa tidak mampu untuk menegur mereka , berdoalah dalam hati agar mereka berubah..” Umairah mendakap tubuh ayahnya. Diploma transkripnya dihulurkan pada En. Omar.

“Hadiah untuk ayah..”ujar Umairah. Umairah bersyukur mempunyai ibubapa seperti Encik Omar dan Puan Amirah yang sentiasa menitik beratkan akhlak dan adab anak-anak meraka. Bagi mereka didikan anak bermula dari umur dua tahun hingga lima tahun, anak –anak perlulah diberikan asas akidah dan adab-adab.Didikan bermula dari taat dan beradap kepada kedua ibubapa juga mengajar adab-adab yang lain untuk menjadikan mereka anak-anak yang soleh dan solehah.

Disini tempat lahir Umairah, di saat itu Umairah terasa sangat bahagia kerana akhirnya dia kembali pulang ke kampung halamannya. Umairah rindukan ibu dan ayahnya. Rindukan keluarganya. Dia kemudian merenung ke jendela melihat anak muda bermain di perkarangan
rumah. Dia mula membayangkan wajah-wajah meraka menjadi para mahasiswa. Umairah berdoa dengan tulus di dalam hatinya.

“Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari dukacita dan kesusahan. Dan kami berlidung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan. Kuatkanlah semangat kami untuk menuntut ilmu dan menyebarkan dakwah islam dimuka bumi ini Ya Allah,” doa Umairah di dalam hati.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.