Cerpen : Sesalan

28 September 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: Amirul Syafiq

Jam di dinding menunjukkan pukul 8 malam. Hakim masih berdiri kaku di hadapan ayahnya. Dia tak pasti apakah hukuman yang bakal diterima nanti. Matanya tertunduk kaku melihat wajah ayah yang seperti singa lapar mahu membahamnya. Emak di suatu sudut ruang tamu sedang berborak dengan kakaknya yang baru pulang dari Korea. Kakaknya, Azzah baru sahaja menamatkan pengajian sarjana kejuruteraan dari Universiti of Soul, Korea. Abang sulungya, Syamil, pula seorang penyelidik di sebuah ipta penyelidikan dalam negara. Untuk menjadi seperti mereka adalah suatu cabaran yang besar buat jejaka tinggi lampai itu.

“ Sekarang kau bagitahu ayah, kenapa keputusan PMR kau merosot sangat?”, gertak ayah penuh tegas dengan nada suara agak tinggi.

“ Mana Hakim tau ayah..bukannya Hakim tak…”, jawab Hakim. Belum sempat dia meneruskan kata-kata, penampar hinggap di pipinya. Pap! Bunyi penampar kuat dari tangan kanan ayah.

“ Anak jenis apa kau ni! Kau nak jadi apa?! Abang kakak kau semua berjaya!”, jerkah ayah di hadapan muka Hakim. Sememangnya ayah mahu keluarga itu terus disanjung atas pencapaian akademik anak-anak. Tidak kira apa sekalipun, anak-anaknya mesti cemerlang dalam setiap peperiksaan. Itulah perkara yang selalu diterapkan oleh ayah sejak mereka semua kecil.

“ Itu lah bang. Manjakan sangat budak tu. Itulah jadinya”, balas emak seolah ingin menambah api kemarahan ayah.Berdesing telinga ayah mendengar kata-kata perli daripada emak kerana dia pula menjadi mangsa kegagalan anak bongsu mereka.

“ Salah aku ke ? Aku penat berhabis duit hantar dia pergi ke tuisyen. Tapi kau tengok la sendiri sikap dia. Malas belajar “, jawab ayah memandang muka emak dengan wajah merah padam.Ayah yang belum reda perasaan marahnya bingkas menuju ke arah Hakim.

“ Anak tak guna! Mari sini kau!”, jerit ayah ke arah Hakim lalu merentap rambut Hakim dengan kuat. Berderap jatuh tubuh kurus Hakim ke atas lantai seperti nangka busuk. Mulut Hakim terkumat-kamit menahan sakit pedih di badannya. Hakim menahan kesakitan rambutnya direntap. Malah, sesekali tubuhnya diseret dan dicampak seperti seekor kucing lagak gayanya. Terpelanting si anak malang itu di dinding.

“ Ayah jangan ayah! Tolong jangan buat Hakim macam tu”, pinta Azzah penuh linangan air mata. Hatinya dihimpit sayu dan gerun melihat kelakuan baran ayah itu.

Panas juga hati kecil Hakim apabila menerima pukulan-pukulan daripada ayah. Bukannya dia tidak pernah menyumbang kejayaan dalam keluarga “elit” itu. Pencapaian semasa sekolah rendahnya sangat cemerlang dan tidak pernah jatuh daripada kedudukan no.1 dalam kelas. Malah, keputusan 5A dalam UPSRnya menjadi tiket baginya memasuki Sekolah Tunku Abdul Rahman di Ipoh.

“ Semua orang penah jatuh ayah! Sapa je tak penah jatuh ! Abang pernah jatuh. Kak Azah pun pernah juga gagal dulu”, Hakim mula meninggikan suara kerana hilang sabar dengan perlakuan ayah itu.

Tindakan ayah agak melampau kerana membelasahnya sedemikian rupa hanya kerana keputusan 2A sahaja dalam PMR. Tidak seperti keluarga lain yang hanya tersenyum redha dengan apapun keputusan anak-anak. Kali ini ayah benar-benar seperti orang gila yang dirasuk. Leher Hakim dicekak dan kepala Hakim dihentak kuat ke arah dinding berkali-kali.

“ Kau nak mati macam ni kan?”, jerkah ayah ke arah Hakim. Hakim tidak melawan kerana dia tahu padah yang bakal diterima jika melawan. Kepalanya pening berpinar akibat dihentak di dinding berkali-kali. Di satu sudut ruang tamu, emak hanya tersenyum manakala Azzah menangis teresak-esak melihat keadaan adik bongsunya itu didera sedemikian rupa. Dipandang wajah kakaknya dari jauh penuh lemah. Mata yang kian layu dan desah nafas yang tidak teratur pernafasannya. Nafasnya semakin lama semakin cungap

“ AYAH!”, jerit Azzah penuh kuat apabila melihat kepala Hakim sudah mengalir darah. Pap! Pandangan Hakim bertukar hitam. Gelap.

****

Sudah empat tahun peristiwa hitam itu berlaku. Sesekali tangan Hakim meraba-raba kesan benjol di kepalanya. “ Ahh.. sakit!”, dengus Hakim menahan kesakitan .

“ Siapapun pernah gagal juga. Albert Einstein pun pernah gagal dalam peperiksaan universitinya dulu”, Hakim bermonolog sendirian. Terima kasih pada kegagalan PMRnya masa lalu yang mengajarnya erti bangkit dan usaha keras. Kegagalan itu juga yang menyebabkan dia rajin belajar ketika mengharungi peperiksaan SPM. Hasilnya, dia mendapat straight A’s dalam SPM. Tradisi kerajinan itu diteruskan juga di peringkat persediaan asasi selama setahun itu. Setiap kali habis kuliah, dia akan berbasikal menuju ke perpustakaan untuk menelaah buku-buku di situ. Masa 3jamnya habis “ terbuang” dalam perpustakaan. Hampir kesemua buku di perpustakaan itu habis dibacanya. Kadangkala, fakta-fakta di buku itu sudah boleh dihafalnya tanpa menyelak halaman buku tersebut. Hakim digelar “ Einstein” kerana kepandaiannya menyelesaikan soalan-soalan fizik. Pernah juga dia menyelesaikan soalan Kuantum Fizik yang diajukan oleh para pensyarah kelasnya.

“ Hakim. Boleh tak kamu terangkan pada saya apakah teori jasad hitam ni?”, soal pensyarah kelasnya, Puan Hani yang sedang menyambung pendidikan sarjana Fizik di UKM. Hakim sentiasa menjadi rujukannya atau “ guru keduanya” untuk menjawab soalan-soalan assignment yang diberikan oleh profesor beliau.

“ Jasad hitam ni samalah seperti lohong hitam atau blackhole tu cikgu. Jasad hitam menyerap cahaya sama juga seperti lohong hitam. Apabila cahaya melalui lohong hitam, cahaya akan diserap oleh graviti kuat ”, jawab Hakim panjang lebar sambil memandang ke arah Puan Hani. Sesekali gaya tangannya digerakkan untuk memudahkan pemahaman dalam penerangannya.

“ Hahaha”, Hakim ketawa kecil sambil memandang waktu penerbangan tiket berlepas KLIA-Paris seawal jam 11 pagi esok di dalam dompetnya. Kadangkala dalam hidup ini ada peristiwa yang patut dikenang dan ada peristiwa yang patut ditendang. Malam itu Hakim mengemas barang keperluan dan dokumen penting untuk berdaftar di University of Strausbough nanti.Ayah dan emak sudah lena diulit mimpi selepas seharian menghabiskan masa pergi ke rumah kenduri saudaranya. Ditatapnya surat yang dikarang 4 tahun lalu selepas dia dibelasah teruk oleh ayah. Matanya dipejam rapat-rapat, tidak mahu memikirkan peristiwa pahit itu. Surat itu dilipat kemas disimpan di kiri poket penjuru bagasinya.

Tiba-tiba, Tup! Sebuah keychain kapal terbang Air France jatuh dari dompetnya sekaligus mematikan lamunannya tadi. “ Haishh. Kacau betul la orang nak mengelamun”, Hakim membebel sendirian.Keychain itulah pembakar “ semangat” kepada dirinya untuk pergi ke Perancis semasa belajar dalam asasi dahulu. Kelihatan gambar kapal Air France itu retak terbelah dua. Hakim sedikit kecewa melihat keretakan tersebut tapi dia tidak mempunyai masa untuk membeli keychain baru. Keychain retak itu dimasukkan semula di dalam dompet.

“ Barang pun sudah siap kemas. France wait for me!”, jerit hati Hakim penuh bersemangat. Badannya dilabuhkan ke atas katil. Pandangan matanya dialihkan ke arah siling bilik. Bercampur baur perasaan dalam hatinya : gembira, sedih, suka, duka, semuanya silih berganti sebelum merantau ke negara orang. Angan-anganya, mahu menikmati keindahan menara Eifel di hadapan mata kepalanya sendiri.

“Apa yang istimewa sangat menara “Romeo and Juliet” tu?,” Hakim bermonolog sendirian. Matanya semakin kedup dan terus terlelap. Dibawa sama angan-angan ke kota Paris nanti dalam mimpinya.

***

“Dah berjaya anak kita sorang tu kan bang”, puji emak sambil menyudukan makanan ke mulutnya. Harapan emak supanya anak “ kebanggaannya” akan menghabiskan pengajian di negara Eropah timur itu nanti. Ayah meneruskan meratah ayam goreng KFC seperti tidak endah dengan kata-kata emak. Mereka mengambil keputusan untuk menikmati hidangan di restoran sekitar kawasan KLIA sementara menanti flight KLIA-Paris akan berlepas nanti. Jam di tangan ayah sudah menunjukkan pukul 10.55 pagi.

“ Jom keluar tengok flight Hakim. Tinggal 5 minit je lagi. Risau tak sempat pula”, ajak ayah ingin segera bergegas ke pintu keluar.

“ Abang. Cuba abang baca surat anak kita kasi tu. Amboi! Belum sampai Paris lagi sudah kirimkan surat”, kata Emak memuncungkan bibir ke arah poket seluar ayah. Ayah membuka perlahan lembaran surat itu. Ditatapnya bait-bait kata dalam surat dan disambut dengan setiap butiran kata di bibirnya. Emak mendengar setiap kata-kata itu dengan penuh teliti.

“ Ke hadapan ayahanda dan bonda tercinta. Hakim sangat berterima kasih pada mak dan ayah sebab menjaga Hakim dari kecik sampai besar termasuk duit mak ayah laburkan untuk menghantar Hakim pergi ke kelas tambahan. Tapi usaha macam mana pun Hakim tetap tak boleh lawan kepandaian abang dan akak. Sebagai anak yang pemalas, Hakim minta maaf sebab Hakim gagal dalam PMR haritu sampai malu mak ayah nak keluar rumah kan? Hihihi . Sorry k? Kesan benjol yang ayah tempeleng tu melekat sampai sekarang. Sebulan Hakim duduk dalam ICU. Sebulan jugalah Hakim duduk dengan nurse comel dalam hospital dan karang surat ni. Mak ayah pun busy sampai takda masa nak lawat Hakim. Tapi takpe, Hakim sikitpun tak berdendam sebab Hakim tahu ayah marah sebab ayah sayangkan Hakim . Setiap kali duduk sorang atas katil hospital, Hakim teringat lagu yang ayah selalu nyanyikan kat Hakim masa kecil. Comel sangat ayah nyanyi . Hahaha. Kalau ayah ingat lagu dia macam ni :-

Kapal terbang, kapal terbang,
Tersangkut, tersangkut,
Masuk dalam lubang, Masuk dalam lubang,
Meletup, Meletup.

BAM! BAM! BAM! Gema letupan kuat bertalu-talu menggegar kawasan pintu pelepasan. Seperti gempa bumi bunyinya. Suasana di dalam ruang bangunan KLIA menjadi hiruk-pikuk dengan suara jeritan orang ramai. Ayah dan emak bergegas ke pintu keluar untuk melihat tragedi tergempar itu. Asap kelabu berkepul-kepul keluar dari badan kapal terbang berwarna biru putih. Ranap. Hancur. Musnah. Badan kapal terbang tersebut hangus dijilat api bersama para penumpang lain. Kebanyakan ahli keluarga dan sahabat handai yang melihat kejadian itu terkedu, terdiam dan tergamam. Tiada kata yang keluar dari mulut mereka. Semua tertanya-tanya keadaan yang sebenarnya berlaku. “ Tuan puan semua ! Perhatian! Tuan puan semua diminta bawa bertenang seketika! Pasukan keselamatan KLIA akan bergerak ke tempat kejadian”, ucap ketua pengawal KLIA kepada orang ramai. Setengah ahli keluarga penumpang sudah menjerit meratap kesedihan. Terdapat juga sekumpulan ahli pasukan keselamatan KLIA bersama pasukan polis imigresen gegas berlari ke kawasan nahas.

“ MasyaAllah!”. Mak mengucap panjang. Ayah panik. Diam seribu bahasa. “ Anak kita…”, ayah bersuara lemah memandang emak. Terkadang menitik air mata seorang ayah dari kelopak matanya. Terbayang wajah ceria dan senyuman Hakim dalam ingatan ayah. Anak bongsu yang selalu rajin menghulur bantuan apabila diperlukan. Anak itu juga yang selalu memberinya ubat semasa dia tidak berdaya untuk berjalan semasa demam. Tidak pernah merungut seperti anaknya yang lain. Tetapi, anak itulah yang selalu menjadi mangsa tempat melepaskan amarahnya. Entah mana silapnya anak itu. Air mata ayah tidak berhenti-henti mengalir deras sambil bibirnya menyebut, “ Hakim…”


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.