Cerpen : Siapa Dia Sebenarnya?

10 May 2013  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : addinfarhani

“Biarlah, apa nak jadi pun jadi lah. Ada aku kisah.,” Farhani

“Dia bercakap dengan siapa tu? Erk!! kucing??.. haha…,” Amir

“Kenapa dengan aku ni? Aku tak kenal pun mamat tu. Kenapa dia buat semua ni dekat aku? Siapa dia?,” Farhani

“Tau la takut dengan saya pun, jangan tak kunyah kuey teow tu. Karang tercekik, saya juga yang susah…” Encik Khairul

*****

Farhani, remaja berumur 20 tahun yang kini bergelar seorang mahasiswa UiTM Shah Alam dan berada di semester 4. Dia tinggal seorang diri di rumah sewa milik keluarganya semenjak semester 3. Kedua ibu bapanya dan juga adik-adiknya; Lina dan Azim pula menetap di Kedah.

Sikapnya yang lurus bendul, kalut, dan terlalu jujur membuatkan kedua orang tuanya sering dilanda kerisauan. Prestasinya dalam pelajaran pula kadangkala membanggakan dan kadangkala menurun. Mereka tidak mampu berkata apa apabila Farhani membuat keputusan untuk tinggal seorang diri di rumah sewa itu. Mereka berpindah ke Kedah apabila Farhani berada di semester pertama. Lina dan Azim pula bersetuju untuk ikut berpindah ke Kedah.

*****

“Okey, sampai di sini sahaja kelas hari ini. Ingat, esok saya nak setiap kumpulan hantar laporan kepada class-rep,” Ujar Cik Intan, pensyarah Management(MGT) sambil mengemas barangnya.

“Baik Cik,” seisi kelas menjawab lemah.

“Hani, tunggu sekejap, nak bincang sikit tentang laporan tu..,” Munirah memanggilnya. Ummi dan Ira hanya mengangguk. Dia lebih dikenali sebagai Hani dalam kalangan rakan-rakannya.

“Okey, jom bincang kat foodcourt. Laparla..,” kata Farhani.

Mereka melangkah menuju ke foodcourt. Tiba-tiba…

“Eh, Hani… jom keluar. Nanti boleh ajak Syam and the geng..,” Sazzy, budak Art Design yang dikenalinya ketika sesi LDK semester 2.

“Tapi aku ada hal sikit… Ada discussion MGT..,” kata Farhani. Tapi boleh ja kalau aku nak ikut mereka pun, laporan tu hanya nak kena taip balik saja, yang lain semua dah siap, Farhani membisik sendiri.

“Alaaa… tak best la kalau kau tak ada..,” Lin mula memujuk. Min ditepinya pula membuat muka sedih.

“Hmm.. tapi best juga kan kalau dapat jalan-jalan hari ini… Okeylah, nak ikut korang la, tapi korang tunggu kat kereta, nanti aku datang,” Farhani bersetuju untuk mengikut mereka.

“Okey.. Jom Lin, Min..,” kata Sazzy.

*****

“Kenapa Hani? Mereka nak apa?” tanya Ummi.

“Err… sorry korang… aku tak boleh nak makan dengan korang hari ini. Aku nak keluar dengan geng Sazzy. Tapi kita bincang dulu tentang laporan tu. Nanti balik rumah, aku taip.” kata Farhani serba salah.

“Ooo.. kalau begitu, kita bahagikan sahaja laporan ni, balik rumah taip, esok aku nak kumpul dan binding, boleh?” Munirah selaku ketua kumpulan memutuskan untuk membahagikan sahaja empat bahagian laporan tersebut.

“Okey, aku setuju. Aku nak bahagian production,” kata Ummi.

“Aku nak bahagian HR,” kata Ira pula.

“Aku nak bahagian Marketing, jadi kau bahagian Financial boleh?” tanya Munirah.

“Ermm.. boleh saja… Aku tak kisah..” ujar Farhani. Financial pun senang ja. Profits, Debit and Credits.

“Esok kelas pukul 10. Dalam pukul 9 kita jumpa di sini, boleh?” Munirah mula mengatur masa.

“Okey” Mereka bersetuju.

*****

“Mana Hani ni.. Kata sekejap, dah setengah jam dah kita tunggu dia,” ujar Lin.

“Itulah, aku call tak angkat. Eloknya tadi jangan diajak budak tu, dahla lurus..” celah Min. Lin mengiakan.

“Ehh.. jangan macam tu, kalau dia tak ada, Syam takkan keluar dengan kita. Kalau tak ada dia, tak merasalah kita nak masuk Secret Recipe nanti. Aku sendiri pun pelik dengan Syam tu, nak pulak dia dekat Hani, si Bell, budak baru kelas Hani pun tak dipandangnya,” kata Sazzy sambil berfikir.

“Kau bukan nak sangat kawan dengan dia, kan? Kau nak keluar dengan Wan. Kau Lin, nak berkepit dengan Fiq. Kan? Kan?” Min membuat muka.

“Kau pun sama Min, nak jumpa Zul.. Sama ja kita ni.. Budak baru tu? Nama dia Bell? Macam mana kau tahu?” tanya Lin.

“Aku tau la, dia tu kawan roommate aku,” terang Sazzy.

“Aku pun pelik. Aku ingat hari tu, Syam nak jumpa Bell, sebab aku tak pernah nampak dia ke foodcourt, kebetulan Bell pun ada di foodcourt. Rupanya dia tegur Hani. Macam lawak la,” kata Min sambil tertawa.

“Haah!! tu pun kawan baik kau Min” kata Lin sambl menepuk bahu Min.

“Sorry lambat… hehe..” Farhani melangkah masuk ke dalam kereta Sazzy.

“Jom, Wan dah call tadi, tanya kita di mana… Mereka tunggu di tempat biasa,” Sazzy mula memandu menuju ke tempat yang dijanjikan.

*****

15 minit kemudian, mereka tiba di tempat yang dijanjikan.

“Hai girls, lama kami tunggu, kenapa lambat?” ujar Wan sambil mengerling jam di tangan.

“Sorry, tadi I ada discussion. Esok kena submit,” Hani jujur menerangkan.

“It’s ok. Jom, cerita dah nak mula,” Syam menarik tangan Farhani sambil melangkah masuk ke pawagam. Macam manalah aku boleh setuju nak ajak minah ni, kata Syam di dalam hati. Sememangnya dia ingin mendekati Bell ketika di foodcourt tempoh hari, entah macam mana dia boleh menegur Farhani. Tapi tak apa, ada gunanya minah ni nanti.

*****

Farhani melangkah masuk ke dalam rumah. Kakinya menapak ke bilik. Beg sandangnya dilempar ke katil. Lilitan tudungnya dibuka perlahan. Dia merebahkan badannya ke atas katil.

Sambil berbaring, dia mengimbau kembali detik bersama Syam tadi. Sesudah menonton, mereka menjamu selera di Secret Recipe. Inilah kali pertama dia melangkah ke situ. Sebelum ini, dia hanya mampu memandangnya dari luar sahaja. Bukan tidak mampu, tetapi dia ingin berjimat sementelah adik-adiknya masih bersekolah.

Setelah mengisi perut, mereka bermain bowling dan berjalan-jalan di tasik. Hampir maghrib baru mereka bersurai. Tetapi kenapa Syam macam tak gembira, macam ada masalah. Penat Farhani memikirkan tentang Syam.

Pada hari Syam menegurnya ibarat hari yang sungguh bertuah bagi dirinya. Tanpa diketahui rakan-rakannya, dia sudah mula meminati Syam dalam diam sejak berada di semester 2, tapi hanya ketika di semester 4, Syam menegurnya. Farhani berasa seronok sangat pada hari itu. Tanpa sedar Farhani tertidur.

*****

“Hahh.. pukul 12 dah!! Habis aku kali ini, laporan tak taip lagi..” Farhani kalut menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Kemudian dia menuju ke dapur, lantas mengeluarkan sepeket Nescafe 3in1 lalu dituang ke dalam mug. Kemudian dituang pula air panas dan mengacau perlahan. Dibawa keluar pula dua keping roti Gardenia dan disapu mentega kacang.

“Roti pun roti laa.. janji kenyang,” ujarnya sambil menuju ke meja belajar. Dihidupkan laptopnya sambil menjamah roti.

Dia mula menyiapkan tugasnya menaip laporan. Oleh sebab dia dan ahli kumpulannya sudah membuat rangka ketika berbincang minggu lepas, tugasnya kini hanya menaip kembali agar lebih tersusun.

“Selesai.. the end.. haha..” katanya sambil menarik keluar kertas dari pencetak. Diaturnya kertas-kertas itu mengikut susunan sebelum memasukkan ke dalam fail.

“Hmm.. baru pukul 2.30..” katanya sambil tersenyum. Seperti biasa, dia akan mengujungi laman Penulisan2u untuk membaca karya-karya yang dipamerkan. Selalunya dia akan menumpu di bahagian koleksi cerpen sahaja. Selesai membaca, dia akan kemaskini blognya. Setiap hari sebelum tidur, itulah aktiviti wajibnya.

Kemudian dia akan mengunjungi laman Facebook RunningMan untuk mengetahui info-info terbaru tentang aktiviti yang dijalankan oleh admin berkenaan. Tak seorang pun tahu yang sebenarnya dia sering mengikuti aktiviti sedemikian. Setakat ini sudah dua kali dia berpeluang menyertai FamilyDay RunningMan yang dianjurkan admin berkenaan.

Tiba-tiba ada yang menegurnya di Facebook.

-Hai awak…-

“Aikk, tak pernah orang nak tegur aku, ni mamat mana pula?” Amir.. siapa ni?

-Hai..-

-Esok tak ada kelas?-

“Aikkk.. macam mana dia tahu aku student? Dia kenal aku?.. itu laa cepat sangat approved bila orang add.. hmm..” kata Farhani sendirian. Air nescafe diteguknya perlahan.

-Student Uitm jugak?-

-Awak ja tak kenal saya. Hari-hari nampak awak di foodcourt bersarapan-

Sarapan? Jadi maknanya dia juga bersarapan di foodcourt. Hmm, akan ku selidik..

*****

“RM3”

“Terima kasih kak,” Hani membawa pinggan dan gelasnya ke meja.

Hari itu bukan seperti hari-hari yang lain. Pagi itu dia menjamah mee goreng perlahan-lahan sambil matanya memerhati sekeliling.

“HANI!!” seseorang menepuk bahunya kuat.

“Munirahhh!!! Aku tercekik karang…,” Ish.. budak ni la. Selalu terjah.

“Aku tau kau dah telan makanan tuu, sebab tu aku berani buat. Kau cari apa tadi?” Munirah duduk di hadapannya.

“Tak cari apa pun.. Mana Ummi? Ira?” kata Hani sambil menyuap mee goreng.

“Mereka kena jumpa Mentor pukul 9 tadi. Lepas ni kita ke kedai buku, jom…,” Munirah terus menarik tangannya. Farhani yang baru selesai menghabiskan minuman terkocoh-kocoh bangun sambil menarik beg sandangnya. Malang tak berbau, dia terlanggar seseorang.

“Oppss.. maaf bang. Tak sengaja..,” Munirah tertawa melihat Farhani menunduk meminta maaf. Hani.. Hani.. macam orang Jepun aku tengok. Tunduk-tunduk..

“Maaf bang..,” Sebaik sahaja Hani mengangkat kepala, dia terkedu melihat orang yang dilanggarnya. Kenapa dia tengok aku macam tu? Dia marah? Kenapa senyap? Tak boleh jadi ni. Dia terus menarik Fairuz keluar dari foodcourt.

“Kau ni, malu aku tadi tau.. Kalau kau tak tarik aku, mesti aku tak langgar dia. Dah la tengok macam nak makan orang, padahal aku dah mintak maaf pun..,” Farhani terus memarahi Munirah.

“Aku tarik bersebab. Kau tau kan aku anak Sarjan Hamid misai tebal, so kita kena… mematuhi masa! Masa ibarat emas. Masa tak akan tunggu kita. Kita kena kejarnya.. huhu..,” kata Munirah penuh semangat.

“Aduss.. minah sorang ni.. geramnya…,” Farhani mencubit pinggang Muirah tetapi Munirah bijak mengelak.

“Sepit ketam dah keluar la..,” Munirah melarikan dirinya dari Farhani.

***

Farhani melangkah masuk ke dalam rumah. Dilihatnya jam sudah menunjuk ke angka 1 petang. Dia duduk di sofa sambil melepaskan lelah. Panas. Letih. Sedih. Ya, dia sedih kerana hampir dua minggu Syam tak membalas SMS, telefon memang jarang sekali.

Kali terakhir Syam telefon, dua hari selepas keluar menonton wayang bersama Sazzy, Lin, Min dan kawan-kawan Syam. Kali ketiga dia keluar dengan mereka. Tetapi, Syam menelefon kerana bertanyakan tentang Bell, budak baru kelasnya. Tanpa syak, dia terus bercerita tentang Bell, asalkan Syam mahu bercakap dengannya.

“Biarlah, apa nak jadi pun jadi lah. Ada aku kisah.. Zohor pun dah nak masuk nie..,” Farhani melangkah ke bilik air. Ya, kini dia sedar, dia sudah lama meninggalkan suruhan agamanya. Kata-kata ibunya berpesan agar menjaga solat dan menjaga pergaulan, mula terngiang—ngiang di telinganya. Sepanjang 2 minggu, dia lebih banyak menghabiskan masa bersama Munirah. Dan melalui Munirah dia sedar selama ini dia lalai. Lalai dalam melakukan suruhan agamanya.

*****

Farhani berjalan-jalan seorang diri di tasik. Segarnya udara. Tenang fikirannya. Sambil berjalan, dia mendepangkan tangannya. Hari masih awal. Orang pun boleh dibilang dengan jari.

Entah kenapa, dia teringin untuk berjalan-jalan menikmati udara pagi hari minggu itu. Sekejap-sekejap dia berjalan. Sekejap-sekejap dia berjoging. Setelah penat berjalan dan berjoging, dia menuju ke basikalnya, dia ingin mengayuh pula. Sedang dia mengayuh, tiba-tiba..

“Tolong! Tolong!” Suara perempuan meminta tolong menarik perhatiannya.

“Pagi-pagi pun ada peragut?” Farhani yang terkejut dengan jeritan itu lantas menongkat kembali basikalnya.

“Eh! Peragut tu…,” Hani sedia mengambil botol airnya yang tinggal separuh untuk membaling ke arah kaki peragut itu memandangkan peragut itu melarikan diri ke arahnya.

BUK!!! MENGENA!!

Farhani tergamam. Terkedu dia melihat balingannya tepat mengenai sasaran. Tanpa berfikir panjang, dia lantas duduk di atas belakang peragut yang tersembam mencium tanah sambil memulas tangannya. Orang ramai mula membantunya menahan peragut itu lalu dibawa ke balai polis berdekatan. Dia melihat perempuan itu merenung sesuatu di belakangnya.

“Terima kasih dik. Terima kasih.” Perempuan itu mengambil beg tangannya yang dihulur Farhani. Farhani tersenyum. Bangga dia kerana dapat membantu.

“Ambiklah dik. Akak ikhlas.” Perempuan itu menghulurkan not 10 kepada Farhani.

“Eh! Tak usah kak, saya ikhlas tolong tadi. Kebetulan dia lari ke arah ini.” Farhani menolak. Namun, perempuan itu mengambil duit itu lalu dimasukkan ke dalam poket seluar Farhani. Kemudian, terus meninggalkan Farhani disitu sambil tersenyum mengucapkan terima kasih. Farhani menggaru kepala.

Tanpa sedar, rupa-rupanya ada mata memerhati kejadian itu. Setelah Farhani mengayuh basikalnya meninggalkan tasik itu, dia keluar dari tempat persembunyiannya sambil tersenyum.

*****

Hari Sabtu, 13 April 2013. Dia melangkah keluar dari dewan peperiksaan dengan perasaan gembira.

“Yeayy!!!..” Rakan-rakannya melompat gembira. Hari itu hari terakhir peperiksaan untuk pelajar diploma. Muka semuanya berseri-seri memandangkan cuti semester akan bermula.

“Jom keluar petang ni. Jalan-jalan. Makan-makan. Erm.. kita pergi Wangsa Walk. Nak?” ujar Munirah sambil memasukkan bekas pensilnya ke dalam beg.

“Nak.. Aku nak cari novel. Lama aku tak baca novel..” Ummi mengiakan.

“Nak ikut juga. Aku siap buat senarai tau novel yang aku nak beli..” Ira mengeluarkan sehelai kertas yang sentiasa dibawanya.

“La.. aku ingat kertas apa laa yang kau asyik bawa, senarai novel rupanya.. Okey, aku pun setuju. Beku sudah kepala aku..” Farhani mula mengingat kembali tajuk-tajuk novel yang mahu dibelinya.

“Okey, nanti aku pergi rumah, kita naik kereta. Ayah aku bagi pinjam kereta dia. Pukul 2 bersiap, aku ke rumah Farhani dulu, kemudian aku ke rumah Ummi, akhir sekali rumah Ira, okey?”

“Cantik…,”Mereka berjalan beriringan pulang ke rumah masing-masing.

*****

“Eh! Korang gerak dulu, aku nak ke tandas. Pin tercabut laa..,” Farhani melangkah laju ke tandas sambil memegang tudungnya.

“Aku dah kata jangan belit sangat, nanti tercabut. Buat macam aku, tak usah pin pun..,”ujar Munirah sambil memegang tudungnya.

“Kau pakai tudung ‘malas’. Memang sesuailah dengan kau…,” Ira dan Ummi tertawa sambil melangkah masuk ke Popular Bookstore. Munirah di belakang menarik muka masam.

*****

“Macam pernah nampak ja mamat tu? Kenapa tengok aku macam tu? Macam nak bagitahu something jerr..lantaklah…,” Farhani melangkah tanpa mempedulikan lelaki yang merenungnya.

“Oppss.. maaf.. maaf.. Tak sengaja,” Disebabkan ingin cepat, Farhani tak sedar yang dia terlanggar seseorang. Terlanggar. Perempuan. Pegang air sirap.

Bushh!! Tudung dan blousenya dibasahi air.

“Kau ni jalan guna mata ka lutut.. hah!!” Si lelaki mula memarahinya.

Ish.. kenapa nak marah aku pula. Habis, awek dia jalan guna mata? Aku yang kena simbah dengan air jugak yang kena marah..

Hah!! Syam. Bell.

“Kau Hani… Aku dah agak. Pakai spek pun rabun lagi? Atau kau tak puas hati aku keluar dengan Bell?” Bell disebelah menarik tangan Syam supaya berlalu dari situ. “Dah la tuu Syam.. Mintak maaf Hani, aku tak sengaja,” Bell berusaha menarik Syam pergi.

“Nanti dulu. Alang-alang dah jumpa ni, aku nak bagitahu something. Actually.. aku dekat dengan kau dulu bersebab. Aku nak tackle Bell ni. So kau faham kan maksud aku?” sambung Syam sambil menggenggam erat tangan Bell.

Farhani terkedu. Malu. Marah. Orang ramai mula berbisik-bisik. Lalu, dia berlari ke tandas. Dia mengunci dirinya di dalam tandas sambil menangis. Menangis kerana malu. Malu kerana dia bertepuk sebelah tangan. Malu kerana dia sedar dia lurus.

*****

Setelah berasa tenang, dia melangkah keluar. Tetapi niatnya tergendala. Dia terdengar suara yang dikenalinya.

“Macam manalah boleh terserempak dengan minah tu? Dah la langgar Bell, naik angin si Syam. Merosakkan mood betullah minah tuu..,” ujar Lin sambil membasuh tangannya.

“Betul, kita juga yang nak menghadap muka masam Syam tu. Mujur Bell pandai pujuk,” Min disebelahnya menambah.

“Kau tau, rupanya Sazzy pernah terbaca catatan Hani tentang Syam. Dari situ dia tahu Hani ada perasaan dekat Syam. Syam pun apa lagi. Mana dia mahu digosipkan dengan budak lurus tu. Mujur Sazzy tak bagitahu kat semua orang. Dia bagitahu dekat Syam dulu,” Lin membuka cerita.

“Jadi, memang dari awal Syam nak kenakan budak tak sedar diri tu?” Min bertanya.

“Yes.. Dah la. Jom keluar. Nanti kita pula kena sembur dengan Syam..,” Lin menarik tangan Min keluar dari tandas.

Farhani yang berada di dalam tandas menekup mulutnya. Jadi selama ni mereka hanya berpura-pura baik dengannya. Sukar untuk Hani menerima hakikat itu. Turun naik nafasnya menahan marah. Dia meneliti tudung dan blousenya. Masih lembap. Macam mana nak keluar ni. Lantaklah. Tak nampak sangat pun. Elok jer dia ingin keluar, ada seseorang menyapanya.

“Dik, tadi ada orang kirim beg ni kat akak, dia suruh bagi kat adik..” ujar seorang perempuan sambil menghulur beg bewarna coklat gelap. Ain. Berdasarkan tag nama yang dipakai di kemejanya, Farhani mengagak, pasti dia salah seorang pekerja di bangunan ni.

“Hah!! Saya?? Akak salah orang kut,” Farhani menolaknya. Ish.. siapa pula yang kirim barang kat aku ni. Macam-macam.

“Akak nampak kejadian tadi dik. Akak pekerja kedai tudung tu, ada seorang lelaki kirimkan beg ni kat adik. Dia suruh adik tukar blouse dan tudung tuu.. sabarlah dik..,” katanya sambil menunjuk kedai berhadapan dengan tempat berlakunya insiden itu. Butik Kejora, bisik hati Farhani.

“Hah.. tapi.. tapi..” belum sempat dia habiskan ayatnya, Kak Ain meletakkan beg itu di kakinya.

“Lelaki tu pesan kalau adik tak mahu terima beg ni, dia suruh akak letak kat kaki adik,” kata Kak Ain sambil tersenyum lalu berlalu keluar dari tandas.

Farhani mengangkat beg itu. Nak ambik ke tak? Hmm.. eh, ada kad la..

“Maaf Hani, sebenarnya saya cuba nak bagitahu tentang Syam, tapi saya tak berani. Sebab saya tahu awak sukakan Syam. Saya cuba untuk memberitahu Hani tika saya menegur Hani di facebook tetapi Hani terlebih dahulu memutuskan perbualan. Saya harap Hani dapat terima hadiah ini sebagai penebus kesalahan saya. -Amir”

“Hmm.. mamat ni lagi. Penebus kesalahan? Ini bukan salah kau la. Salah kau sebab kacau aku. Tak ada kena mengena dengan Si Syam tuu..” Dia menghentak-hentak beg itu di atas sinki.

“Benda apa yang dia bagi? Hah!! Tudung. Blouse. Jadi dia mesti ada kat sini lagi.” Farhani meletakkan beg itu lantas keluar dari tandas. Dia meninjau-ninjau kalau ada lelaki yang mencurigakan di luar tandas. Tetapi sebaliknya berlaku. Orang ramai mula memerhati dia atas bawah. Alamak tudung aku! Dia lupa yang dia disirami air sirap. Nak tak nak dia terima juga pemberian Amir. Muat-muat pula blouse ni. Tudung pun lawa. Pandai mamat ni pilih, hati Farhani berbisik.

Sesudah mengemas penampilannya, dia keluar dari tandas lantas menuju ke Butik Kejora, tempat Kak Ain bekerja. Ada hal yang perlu diselesaikan.

“Akak.. err.. Kak Ain.. nak tanya sikit boleh?” Farhani menarik Kak Ain ke satu sudut.

“Ada apa dik?” Kak Ain masih tersenyum.

Ni kenapa pula tersenyum-senyum ni. “Err.. err.. Siapa lelaki yang kirim barang tadi?” jujur soalan itu meluncur dari mulut Farhani.

“Maaflah dik, akak pun tak tahu. Dia bagi beg tu terus keluar dari kedai akak.” Lurus budak ni.

“Ouwh.. Kalau macam tu tak apalah Kak ain. Terima kasih Kak Ain. Kalau tak disebabkan beg tu, tak keluar saya dari tandas…,” Farhani menunduk malu. Malu mengenang kembali insiden itu. Dia keluar dari kedai terus menuju ke Popular.

“Hani kau ke mana tadi..?” Munirah bertanya sambil memandang Farhani pelik.

“Eh! Bukan kau pakai blouse lain ke tadi?”sambung Munirah.

“Yalah Hani. Apa dah jadi? Kenapa baju kau ada dalam beg tu?” Ira bertanya.

“Kau buat apa dalam butik tuu?” Ummi mencelah.

Farhani menceritakan apa yang terjadi kepada mereka. Ummi dan Ira yang tak tahu hujung pangkal kisah antara Hani dan Syam turut sama mendengarnya. Hanya Munirah yang tahu semuanya. Terkejut mereka bila Farhani memberitahu Syam hanya mempermainkan perasaannya disebabkan nota pujian yang ditulis Farhani ketika LDK semeter 2.

*****

Malam itu Farhani tak dapat melelapkan mata. Dia berjalan menuju ke dapur. Peti ais dibuka lalu dibawa keluar sebotol mineral. Jam dah menunjukkan pukul 3 pg. Dia duduk termenung di meja sambil meneguk air.

Anehnya, dia tak berasa sedih, sebaliknya berasa marah atas perbuatan Syam. Tak salah kalau Syam memberitahu niatnya yang sebenar ketika mula-mula menegurnya. Dia tahu dia tak setanding dengan Syam, anak Datuk Zainal, ahli korporat yang terkenal. Tak perlulah nak malukan dia hanya kerana Sazzy pernah terbaca catatannya tentang Syam. Kini, dia bertekad untuk mancapai cita-citanya dahulu sebelum memikirkan soal perasaan. Cuma, persoalan yang masih bermain di kepalanya, siapakah lelaki itu.

“Kenapa dengan aku ni? Aku tak kenal pun mamat tu. Kenapa dia buat semua ni dekat aku? Siapa dia?,” Farhani termenung sendirian di meja makan.

Selepas kejadian itu, Farhani seolah-olah bertukar menjadi orang lain. Masih lagi seorang yang lurus tetapi dia kini hanya menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Selalu juga dia menyertai studygroup dengan Munirah, Ummi dan Ira. Dengan cara itu, dia dapat melupakan segala yang telah terjadi.

*****

6 tahun kemudian…

“What? Buat semula?” terkejut beruk dia. Kena buat semula..? Gila ke apa? Aku ambik masa dua hari nak selesaikan draft tu, dia suruh buat semula?

“Yes Miss Farhani. Buat. Semula. Titik. And must be submitted today.” Kata lelaki itu sambil menyerahkan kembali fail kepada Farhani.

Farhani melangkah keluar dengan muka tak puas hati. Huh!! Seksanya kerja kat sini. Nak berhenti. Tapi kalau berhenti nak kerja apa. Farhani mengeluh perlahan sambil menuju ke mejanya.

Farhani kini merupakan salah seorang staff di Syarikat Quality Holdings di bahagian Corporate Communication. Dari hari pertama dia bekerja hingga ke saat ini, ada ja tak kena di mata bos dia.

“Kenapa Far? Kena tolak lagi?” tanya Zain, rakan sekerjanya.

“Yess.. and he said, Do. It. Again. Kau percaya tak?” kata Farhani geram.

“Percaya.. percaya..” Zain mengangguk-angguk. Bos.. Bos..

“Haha.. Itulah. Saya sudah cakap sama kamu. Kamu kena ubah kamu punya idea. Idea sudah bagus… Cuma kena ubah sikittt saja..,” Sun Ah mencelah. Wanita berkebaya itu cukup faham dengan kerenah bos mereka memandangkan dia orang lama di jabatan itu.

“Itulah, betul jugak kata kamu, tapi bagilah tempoh lama sikit. Dia nak hari ini juga. Dia kata ‘And must be submitted today’.. huh!! Panas.. panas..” ujar Farhani sambil mencekak pinggang.

Dalam pada masa yang sama, Sun Ah menyuruhnya diam. Zain pun begitu. Kenapa?

“Yes.. Farhani. And saya rasa lebih baik kamu mulakan sekarang. Ingat ‘must be submitted today”, jadi saya tak benarkan kamu balik sebelum menyiapkannya.. Faham?” ujar Encik Khairul, bos Farhani sambil berlalu pergi. Sun Ah dan Zain menekup mulut menahan ketawa.

“Itulah Far.. Pepatah melayu ada mengatakan cakap siang pandang-pandang cakap malam..” tak sempat Zain menyambung peribahasanya, pemadam Farhani tepat mengenai dahi Zain.

“Adoiii..” Zain mengusap dahinya.

“Hmm.. tepat mengenai sasarannya..” bisik Encik Khairul sambil ketawa di dalam biliknya.

*****

“Alhamdulillah.. siap juga.. dah jam 9, letak je la atas meja dia..” Farhani melangkah ke bilik Encik Khairul. Sedang dia ingin memegang tombol pintu, alangkah terkejutnya dia apabila Encik Khairul membuka pintu bilik.

“Warghhh!!” Farhani terduduk. Bila masa pula Encik Khairul ada dalam bilik? Hmm.. lagi senang, boleh bagi terus. Farhani terus bangun.

“Eh!! Far, awak tak apa-apa?” Encik Khairul juga turut mengurut dadanya. Terkejut mungkin.

“I’m ok. Saya nak bagi encik fail ni. Saya dah ubah apa yang patut.” sebaik sahaja Encik Khairul menyambut huluran fail, Farhani terus melangkah ke meja. Dia mengemas mejanya dan terus bergerak untuk pulang.

Laju Farhani melangkah keluar menuju ke skuternya. Sangkanya hanya dia sahaja yang ada di pejabat. Takut juga dia berada lama-lama di pejabatnya. Berdua-duaan dengan bosnya itu. Topi keledar dipakai lalu dipecut laju skuternya membelah malam.

Encik Khairul yang selesai mengemas barangnya, menjenguk keluar kepalanya melihat Farhani. Di tangannya tergenggam sesuatu yang sekian lama disimpan untuk diberikan kepada perempuan itu. Hampir 8 tahun lamanya dia menanti saat ini. Ya, sudah lama dia mengenali Farhani. Sejak Semester satu di UiTM Shah Alam.

Teringat dia kali pertama bertentang mata dengan gadis itu, ketika Minggu Destini Siswa. Dia merupakan salah seorang senior yang menjadi fasilitator yang menguruskan kemasukan pelajar-pelajar baru.

Ketika itu, para pelajar diberi waktu rehat sementara menunggu masuknya waktu zohor. Ketika dia sedang memastikan semua pelajar hadir ke Pusat Islam, tiba-tiba dia terdengar seseorang sedang bergayut.

“Mama, kakak ingat la pesan mama tu. Yes, jangan tinggal solat, jaga tingkahlaku, jaga nama baik family and bangun awal. Hah!! Ada satu lagi. Erm.. erm.. hehe.. dapat result gempak, kan?” seorang pelajar perempuan bertudung sedang bergayut telefon di sebalik dinding Pusat Islam.

Tertawa dia sendirian mendengar perbualan pelajar berkenaan. Semangat. Cakap dengan mak rupanya.

“Oklah mama, tak boleh telefon lama-lama, nak masuk waktu dah, nak kena sedia untuk solat… Yes.. solat berjemaah… okey, nanti kakak balik,” Pelajar itu menamatkan perbualan dengan ibunya. Sebaik sahaja berpaling, terkejut dia melihat abang fasilitator sedang merenungnya sambil bersandar di dinding. Itulah kali pertama dia bertemu dengan Farhani.

“Ish, tak kan nak kena denda.. Habislah.. tapi sekarang waktu rehat, boleh buat apa sahaja…” Farhani tertunduk-tunduk sambil berjalan melintasi abang fasilitator tersebut.

“Tunggu dulu. Nak kena denda ni…” kata Khairul.

“Hah!! denda.. saya tak buat salah pun, lagipun sekarang waktu rehat, saya telefon mama saya saja, ni kali pertama saya berjauhan dengannya.. Family saya baru berpindah ke Kedah..” Satu nafas Farhani menuturnya.

“Saya tak kata kamu kena denda sebab menelefon. Kamu didenda sebab kamu tak buat something yang perlu dilakukan oleh pelajar baru bila berjumpa dengan senior mereka. Agak-agak kamu benda apa tu ya…?” Khairul merenungnya tajam. Sengaja menakutkan pelajar di depannya.

“Erk!! Tak kan nak kena buat sekarang… sekarang? Di Pusat Islam?” teragak-agak Farhani mengangkat tangan ke udara.

“Err.. err.. Aja-aja fighting!!” sepantas kilat Farhani membuat ‘trademark junior’ lalu berjalan laju menuju ke bahagian muslimah. Merah mukanya menahan malu. Gerun melihat muka seniornya itu.

Terkekeh-kekeh Khairul ketawa di situ. Jujur. Comel. Tiba-tiba dia terpandang sesuatu berbentuk hati di tempat pelajar itu berdiri. “Far..ha..ni..”. Hmm.. ni mesti budak tu punya. Macam-macam. Dia mengutipnya lalu memasukkan ke dalam poket seluarnya.

Teringat kembali kali pertama dia menegur Farhani. Dari saat itu, dia tertarik untuk mengenali gadis itu. Bukan disebabkan dia sering keseorangan ke mana sahaja. Bukan disebabkan rasa kasihan akan Farhani yang terlalu jujur dan lurus. Dia akui paras Farhani bukan seperti pelajar lain. Hanya berpakaian ringkas, bertudung, beg sandang, kasut flat bertutup dan botol air. Itulah yang menarik perhatiannya untuk lebih mengenali gadis chubby itu.

Ada satu perkara lagi yang membuatnya tertarik dengan gadis itu. Keychain berbentuk hati di tangan direnungnya. Ya, inilah sebabnya. Di belakang keychain itu tertulis “Farhani sayang keluarga Farhani” dengan liquid paper. Hmm.. anak mak.

“Ish.. kenapa lama sangat budak ni ke tandas..” Dia menuju ke meja Farhani. “Laaa.. dah balik rupanya.. Hani..Hani..” Encik Khairul mengeluh. Dia langkah menuju ke keretanya. Sudah beberapa kali dia merancang untuk mengembalikan keychain berbentuk hati itu, tetapi semuanya tak menjadi.

*****

-Hai awak.. Dah sampai rumah?-

Huhh?? Mamat ni lagi. Macam mana dia tahu aku baru balik. Misteri sungguh lelaki itu. Walaupun bukan setiap malam lelaki itu menegurnya, tetapi risau juga dirinya apabila lelaki itu tahu pergerakannya. Terus dia signout dari laman facebook itu dan menapak ke pintu rumah. Ditariknya tudung segera di sofa lalu keluar untuk memeriksa kalau-kalau ada orang memerhatinya.

“Tak adalah pulak… Hmm.. Saud, tolong tengokkan rumah akak ya, kalau ada orang masuk, kencing kat kaki dia… eh! jangan.. nanti bau kencing pula. Hahh!! Gigit kaki dia kuat-kuat. Faham Saud?” Farhani bercakap dengan kucing peliharaannya, Saud. Si Saud hanya mengiau seolah-olah faham akan kata tuannya.

“Dia bercakap dengan siapa tu? Erk!! kucing??.. haha…” sakit perut Amir kerana ketawa. Hani… Hani.. dengan kucing pun kau boleh bersembang. Amir memandu keretanya keluar dari taman itu.

*****

Pagi itu jabatannya dilawati seseorang. Seseorang yang membuatkan Farhani terkedu. Kejutan apakah ini? Ni syarikat keluarga dia rupanya. Bagaimana dia boleh terlupa akan nama keramat itu. Quality Holdings merupakan syarikat milik keluarga Datuk Zainal. Setelah beberapa tahun, dia kembali menemui lelaki itu. Syam.

“Ini saya kenalkan kepada semua, Encik Syamsul Datuk Zainal. Mulai hari ini, dia akan turut serta bergading bahu di jabatan ini..” Encik Khairul mempersilakan Encik Syamsul memberi sepatah dua kata.

“Assalamualaikum, kamu semua boleh memanggil saya Encik Syam. Saya juga seperti kamu semua, pekerja di syarikat ini. Harap kamu semua dapat memberi kerjasama dan tunjuk ajar kepada saya;” ujar Syam ringkas. Walaupun dia pewaris syarikat kendalian bapanya itu, tetapi dia sendiri yang meminta bapanya meletakkan di bahagian bawahan dahulu agar dia dapat mengumpul sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman untuk digunakan ketika menguruskan syarikat itu kelak.

“Kalau begitu, kamu semua boleh bersurai. Syam, mari saya tunjukkan meja kamu.” Encik Khairul membawa Syam ke mejanya. Penampilan Syam kini berbeza, lebih kemas, rambutnya juga sudah pendek, tak ada rantai, tak ada cincin, hanya terdapat seutas jam tangan di pergelangan tangan kirinya.

“Sudah berubahkah dia? Sopan la pula… ish, meremang bulu roma aku…,” Farhani berjalan ke arah mejanya. Erk? Kenapa dia duduk di situ. Encik Khairul ni pun satu, banyak-banyak tempat, situ juga kau letak si Syam. Syam duduk di meja bertentang dengannya. Syam tersenyum ke arahnya.

*****

“Hai Hani.. lama tak jumpa awak… Sihat?” Farhani yang sedang membuat minuman di pantri terkejut.

“Alhamdulillah, sihat. Syam?” Farhani menjawab pertanyaan Syam ikhlas. Apa gunanya dia mengenang kisah lama. Dia bukan seorang pendendam.

“Sihat. Hani, sebenarnya saya ada hal nak cakap dengan Hani. Saya tak sempat nak mintak maaf tentang peristiwa di Wangsa Walk dulu. Maafkan saya, Hani. Saya sedar salah saya.” kata Syam penuh mengharap.

Muka Farhani kemerahan. “Dah lama saya tak dengar orang panggil saya dengan nama Hani. It’s ok lah. Benda dah jadi. 6 tahun dah berlalu. Saya maafkan awak. Lagipun masa itu, saya budak-budak lagi.” ujar Farhani yang seboleh-bolehnya tak mahu memanjangkan isu itu.

Syam terkejut. Senangnya Hani memafkannya. Dia tahu selepas kejadian itu, Hani melarikan diri daripadanya. Bukan dari dia sahaja, tetapi dari semua kenalannya, termasuk Fiq, Zul,Wan, Lin, Min dan Sazzy. Masuk sahaja semester baru, Hani menjadi orang baru. Dia tak lagi keluar merayau-rayau berseronok. Kalau keluar pun, pasti ditemani Munirah, Ummi dan Ira.

“Are you serious? Senangnya?” Ujar Syam tak percaya. Dipandangnya Farhani atas bawah. Baru dia sedar, penampilan Farhani dah berubah. Nampak professional.

Eh.. mamat nie, cukup baiklah aku maafkan kau. Hati Farhani kembali panas, kerana kemaafan yang diberikan dipertikai. “Kenapa? Awak nak saya tampar awak? Menjerit? Hmm.. saya dah lupa pun insiden tu. It’s ok. Kita muda lagi masa tu. Biasalah.Kita masih kawan kan??” Tanpa menunggu jawapan dari Syam, Farhani berlalu ke mejanya sambil membawa mug berisi Nescafe 3in1 kegemarannya.

“Err.. err.. yes, kita masih kawan..” kata Syam teragak-agak.

“Hai Syam… Kamu nak abang tolong tamparkan..?” Encik Khairul yang sedari tadi bersembunyi di sebalik dinding pantri tersenyum ke arahnya.

“Eh!! Abang Amir. Bila abang ada di situ?” merah mukanya. Pasti abang seniornya merangkap sepupunya mendengar perbualan tadi.

“Dah lama dah aku kat situ. Kamu berdua ja tak tahu aku kat situ. Kau jangan risaulah Syam. Dia tak seperti yang kau sangkakan. Selepas insiden itu, aku tengok dia mula berubah. Dah kurang dah lurus dia. Kalut tu memang tak hilang lagilah. Haha.. Hani.. Hani..” Encik Khairul menepuk-nepuk bahu Syam.

“Eh! Macam mana dia tahu Hani tak apa-apa. Jangan-jangan..” Terdetik sesuatu dihatinya ketika itu.

“Satu lagi, kat opis nie, orang panggil aku Khairul. Kau panggil aku Khai pun tak apa. Jangan panggil aku, Amir. Ingat!” Encik Khairul keluar dari pantri itu.

*****

Hanya Tuhan yang tahu bertapa gembiranya dia apabila Farhani sudi menerima beg yang dikirimkan melalui Kak Ain, kakaknya yang juga pemilik Butik Kejora.

“Akak, tolonglah Mir, kesian budak tu kena simbah dengan air sirap. Siaplah kau Syam, awek dia jalan guna lutut tak pula dimarahinya. Nasib baik awek dia mintak maaf. Kak Ainnnn…”Khairul mula memaksa kakaknya mengambil beg berwarna coklat gelap.

“Sebelum ni ramai ja orang jatuh terduduk, tersembam kat depan kedai akak nie, tak pula kau tolong mereka. Kau tolong gelak adalah. Ni alih-alih bila budak tuu kena simbah, kau siap bagi blouse ni lagi. Siap dengan tudung pula tuu.. Ada something yang akak tak tahu ke ni?” Kak Ain mula tersengih sambil menyambut huluran beg itu.

“Aduss.. kak ni. Mir nak buat amal jariah la… lagipun Mir bukan ambik percuma pun blouse dengan tudung tuu. Nanti Mir bayar. Satu lagi kak, tudung tuu padan tak dengan blouse tuu? Macam masuk ja.. Ke nak ambik color nie?” Khairul mula membelek-belek tudung di kedai kakaknya.

“Mari sini akak pilihkan. Kalau kau yang pilih, bertambah malu budak tuu nak pakai. Betul kau nak bayar? Akak baru ja nak bagi free tadi…” Kak Ain menukar tudung yang dipilih oleh Khairul tadi.

“Akak memang sengaja kan, Mir bayar la… Kak, kalau budak tu tak mau ambik, kak letak ja kat kaki dia. Mesti dia ambik. Hehe..” kata Khairul bersungguh-sungguh sambil memasukkan sekeping kad ke dalam beg itu.

*****

Hari itu, sekali lagi Farhani terpaksa balik lewat. Ini semua gara-gara dia terlupa menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Encik Khairul. Kerana terlalu asyik fokus menyiapkan aturcara Program Bersama Anak Staff, dia hampir terlupa dengan program Larian Sihat yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Tetapi bukan dirinya sahaja yang berada di pejabat itu, Zain, Sun Ah, Syam dan Encik Khairul masih fokus menyiapkan kerja mereka. Jam dah menganjak ke angka 10.

“Far, aku balik dulu. Jumpa esok.” Sun Ah mula melangkah keluar sambil mengurut leher. Letih. Farhani mengangguk. Zain pun sudah mula berkemas. Ini bermakna tinggal dirinya, Syam dan Encik Khairul sahaja. Farhani lantas mengemas kerjanya. Sikit saja lagi, aku sambung di rumahlah.

Melihat Farhani berkemas, Syam turut berkemas. Dia ingin mengajak Farhani makan bersamanya memandangkan hari dah lewat. Dia yakin Farhani tak akan menolak memandangkan sebelum ini Farhani tak membantah bila diajak keluar bersama.

“Hani.. Hani..” Syam memanggilnya.

Alamak.. kenapa dia panggil aku lagi.. Pagi petang siang malam asyik Hani ja, mcm bunyi honey la pulak.. Aku tak mau ada apa-apa dengan dia. Tiba-tiba dia terpandangkan Encik Khairul yang baru berkemas. Hishh.. depan bos pula tu dia panggil aku. Nasib kau lah Encik Khairul. Maaf encik, ini sahaja caranya supaya Syam berhenti mengganggunya.

Ketika Khairul melangkah keluar dari pejabat, tiba-tiba Farhani memaut tangan Encik Khairul sambil berbisik “Maaf encik, saya terpaksa..,”.

“Syam, ni saya kenalkan tunang saya..” Ujar Farhani ringkas.

Encik Khairul tergamam. Syam merenung Abang Amirnya sambil bertanya sendirian “Takkan Abang Amir bertunang tak jemput aku?”

Sebaik sahaja Syam melangkah ke keretanya, Farhani melepaskan pautan tangannya dengan segera.

“Maaf Encik Khairul, dia asyik panggil Hani.. Hani.. saya tak suka, macam bunyi honey ja.. Maaf. Maaf.” ujar Farhani kalut. Aduhhh, habis berterabur ayat penyelamat yang tersimpan kemas di otaknya ketika merancang tadi.

“It’s ok Far. Erm.. jadi boleh tak kalau saya nak hantarkan tunang saya balik rumah malam ni? Hari pun dah lewat.” terjongket-jongket kening Encik Khairul bertanya.

Ni kenapa pula dengan Encik Khairul malam ni. Bulan terang? Aku tengok macam nak hujan ja. “Eh, tak apa encik. Saya balik naik skuter ja. Maaf encik, saya terpaksa tadi. Saya nak marah dia pun tak boleh, dia anak Datuk Zainal. Mungkin dengan encik dia takut sikit. Encik kan bos dia jugak.” terang Farhani menjernihkan kekeliruan. Kalau Zain yang muncul tadi, pasti dia gunakan cara itu jugak. Farhani pantas menuju ke skuternya.

Encik Khairul berlalu ke keretanya. Far.. Far… Dia memecut keretanya sambil tersenyum.

“Waa.. kenapa dengan hari ni… skuter, kau lah satu-satunya kesayangan aku. Kau hiduplah.. Jangan mati lagi.. Hari nak hujan ni..,” rayu Farhani. Tak boleh jadi ni. Nasib baik bus-stop dekat. Lebih baik aku gerak sekarang, nanti terlepas pulak bas dengan teksi. Sampai sahaja di bus-stop, hujan turun mencurah-curah. Habis basah blouse koko yang dipakainya terkena tempias hujan.

15 minit.

30 minit.

45 minit.

“Waaa.. mana bas ni. Teksi pun tak ada. Selalu aku balik, banyak ja bas dan teksi meng’hon’ aku.” Farhani sudah tidak senang duduk. Dah pukul 11 ni. 11?? Eh, betul lah.., paling lewat aku balik pukul 9… “Sabar perut, sabar… nanti kita singgah mana-mana gerai..” Laparlah pula.

“Waa.. nak balik.. ni lah akibatnya menipu tadi.. Maaf Syam.. Aku tipu kau tadi. Aku bukan tunang Encik Khairul. Entah-entah Encik Khairul pun dah kahwin.” Farhani mula merepek seorang diri bagi mengurangkan kebosanan menunggu bas.

“Saya tak kahwin lagi. Tunang pun belum..” seseorang di sebelahnya menyahut.

*****

“Kenapa dia tak online malam ni? Pelik? Selama ni dia pasti akan online walaupun lewat. Hmmm…,” kata Khairul sendirian. “Hmm.. kenapa rasa tak sedap hati ni..” Dek kerana ingin mengenali Farhani, dia telah menggunakan nama keduanya, Amir. Nama Amir hanya digunakan ketika bersama dengan keluarganya.

*****

“Kau siapa?,” Farhani mula ketakutan. Mulutnya mula terkumat-kamit berdoa agar ada yang membantunya. Ni mesti mat pit ni.

“Mari abang temankan.” kata lelaki itu sambil melangkah mendekati Farhani.

Sambil menggenggam seketul batu, dia cuba untuk membaling ke arah mat pit itu, tetapi balingannya tak tepat. Dia ketakutan. Kenapa tak kena pula..!! Apa aku nak buat ni?

Tiba-tiba seseorang menyambar tangannya. Lantas orang itu membawanya masuk ke dalam kereta dan berlalu dari situ. Entah kenapa dia berasa selamat. Walaupun dia tak tahu siapa yang menyelamatkannya, tetapi dia tahu orang itu menolongnya. Lalu dia memalingkan mukanya ke tepi.

Encik Khairul?? Bos??

“Kenapa tak telefon saya kata skuter rosak? Kenapa yang berani sangat nak tunggu seorang diri di bus-stop tu? Dah tak kenal siang malam? Ni nasib baik saya tergerak hati nak datang pejabat, kalau tak…” Encik Khairul tak dapat meneruskan ayatnya.

Ya, nasib baik dia tergerak hati nak ke pejabat semula. Semuanya kerana, Farhani tak online seperti kebiasaannya. Semuanya kerana rumah Farhani gelap-gelita ketika dia pergi memeriksanya.

“Sob.. sob..” Farhani terkejut melihat Encik Khairul memarahinya. Rasa lega, gementar, malu, dan takut semuanya bercampur tika itu. Lega kerana orang itu Encik Khairul. Gementar kerana memikirkan apa yang terjadi seandainya bosnya tidak muncul. Malu kerana air matanya tanpa segan silu mengalir tak henti. Takut kerana kali pertama bos memarahinya sebegitu.

Walaupun dia sudah biasa dimarahi, tetapi malam ini, Encik Khairul memang marah. Mata Encik Khairul seperti pernah dilihatnya suatu ketika dahulu. Mata yang membawa maksud terkejut sangat. Sangat-sangat terkejut.

Encik Khairul meraup muka. Walau bagaimanapun, dia berasa sungguh lega dan bersyukur kerana Farhani selamat. Melihatkan tudung dan blouse yang tersarung di badan gadis di sebelahnya basah, dia membuka sweaternya lalu menghulurkan kepada Farhani. “Pakai.” Farhani mengambil tanpa membantah. Sepanjang perjalanan, dia tetap mendiamkan diri. Kesian pula dia melihat Farhani tersedu-sedan.

“Encik, err.. err.. rumah saya bukan di sini. Tapi tak apa kalau Encik turunkan saya di sini. Terima kasih encik.,” Farhani terus membuka pintu kereta sebaik sahaja kereta Encik Khairul berhenti di tepi gerai makanan di hadapan taman rumahnya. “Aku redah ja hujan ni, renyai-renyai sahaja..,”..

Belum sempat kaki Farhani melangkah keluar, tangannya ditarik. “Kita makan dahulu” tegas suara Encik Khairul memberi arahan. Sambil menghulur payung, Encik Khairul melangkah masuk ke dalam gerai.

“Tak mau makan, tak lapar. Dah kenyang kena marah tadi. Nak balik..” Farhani merengek di dalam hati. Melihat muka Encik Khairul, dia tak berani membantah. Dia membuka sweater lalu diletaknya di belakang.

Dilihatnya Encik Khairul telah memesan sesuatu ketika dia melangkah ke gerai itu. Tak sangka aku Encik Khairul makan di gerai-gerai tepi jalan. Ingatkan orang kaya tak jejak gerai tepi jalan. Perutnya tiba-tiba lapar apabila terhidu sahaja aroma Char kuey teow. Encik Khairul hanya merenungnya sehinggalah makanan dan minuman yang dipesan tiba.

“Makan..” ujarnya sepatah. Farhani mengambil sudu dan garfu lalu menyuap char kuey teow memandangkan dia memang lapar. Kalau muka pak cik depan nie seperti biasa, memang dia akan pesan 2 pinggan, masalahnya muka macam tertelan sebiji limau nipis. Nak habiskan sepinggan pun susah. “Kau telan jer..” Farhani berkata sendirian.

“Tau la takut dengan saya pun, jangan tak kunyah kuey teow tu. Karang tercekik, saya juga yang susah…” kata Encik Khairul tersenyum kecil.

“Kenapa nak susahkan dia pula? Aku bukan tunang or bini dia yang dia nak risaukan… erk.. T.U.N.A.N.G…” macam manalah aku boleh terlupa pula tentang tunang tu. Merah mukanya. Dia makan perlahan-lahan tanpa mengangkat muka.

Kereta Encik Khairul berhenti di hadapan rumahnya. Ish.. malunya kalau jiran tengok. Tak pernah-pernah aku naik kereta. Tapi macam mana dia tau rumah aku, hmm.., dia kan bos, mesti dia tahu. “Terima kasih belanja saya tadi, encik. Maafkan saya sebab susahkan Encik..” ujarnya perlahan sambil membuka pagar. Encik Khairul yang memegang payung hanya tersenyum.

“Esok, pukul 8 saya datang ambil. Jangan lewat.” sebaik sahaja berkata demikian, Encik Khairul memecut keretanya tanpa menunggu jawapan dari Farhani.

“Bila masa Abang Amir tunang dengan Farhani? Tak jemput pun..” Khairul tersenyum sendirian mengenangkan mesej yang diterima dari sepupunya Syam. “Dia advance lagi dari aku,. Tunang? Haha.. aku baru merisik.. hehe..”…

*****

Seperti yang dijanjikan, tepat jam 8, Khairul tiba di rumahnya, lalu bergerak ke pejabat. Di dalam kereta, Encik Khairul menegur, “Lain kali kalau nak lawan dengan orang, jangan guna benda ringan. Jangan guna botol air or batu macam yang Far buat semalam. Lagi satu, kalau dah tak tau buat apa, jerit ja.. kalau ada orang yang dengar, mesti dia akan tolong. Macam yang perempuan kat tasik dulu buat… Hah!! jerit macam tu la…”katanya panjang lebar.

“Tasik? Perempuan menjerit? Tolong? Encik Khairul tahu pasal kejadian tu?? Kebetulan may be?” Pening Farhani memikirkannya. Seram dia bila berada berdekatan dengan Encik Khairul.

Khairul sekali lagi terkenang peristiwa itu. Peristiwa di mana dia melihat Farhani cuba membantu perempuan yang diragut di tasik pagi itu. Sebenarnya lontaran Farhani di kaki peragut itu tidak mengena. Sebaliknya, dia yang membaling batu ke arah kaki peragut itu. Tetapi dia juga terkejut apabila Farhani bertindak memulas tangan peragut itu sambil duduk di atas belakangnya.

Perempuan yang diragut itu turut melihat balingan Khairul yang mengenai sasaran, dan bagaimana Farhani memulas tangan peragut itu.. tetapi Khairul meminta agar perempuan itu diamkan sahaja. Sememangnya dia sering berjoging di tasik itu, tetapi itulah kali pertama dia melihat Farhani mengunjungi tasik itu. Dia tersenyum sendirian. Far.. Far.. Boleh dia guna botol air untuk melawan peragut. Hmm…

Farhani di sebelah mula berasa tak selesa. Kenapa tersenyum-senyum pula bos aku ni. Mereka tiba di pejabat. “Eh encik, skuter saya tak ada la.. Dah hilang.. Saya baru sahaja nak call orang baiki, tak kan kena curi kot, saya dah kunci semalam.” kata Farhani kalut.

“Saya dah call orang suruh tengokkan skuter Far, tengah hari nanti dia hantar balik skuter tu.. Comel pula saya tengok awak kalut macam tadi..” Semakin panjang senyuman di bibir Encik Khairul.

“Comel? Encik kata saya comel.. haha.. Encik, Encik sihat tak pagi ni? Maaf kalau sebab saya Encik kena masuk opis hari ini..” Encik Khairul hanya berlalu pergi tanpa menghiraukan pertanyaan Farhani. Masih seperti dulu. Kalut.

“Encik, nanti kalau orang tu hantar skuter saya, bagi tahu saya sekali.. Encik, dengar tak?” Encik Khairul berlalu ke biliknya. Zain dan Sun Ah memandangnya pelik.

Kesibukan Farhani pada hari itu membuatan dia terlupa akan skuternya. Apabila petang, baru dia teringat. Skuternya sudah elok. Sangkanya Encik Khairul belum pulang lagi, oleh itu dia berpatah balik untuk ke bilik encik Khairul, tetapi kosong.

“Macam mana nak bayar balik ni? Kenapa sejak akhir-akhir ni dia baik sangat dengan aku?”bebelnya sambil menyarung topi keledar.

Setibanya di rumah, dia lantas membersihkan diri dan menunaikan solat asar. Kemudian dia memasak. Sesudah maghrib dia menjamah makan malamnya sambil menonton berita. Kemudian, ditutupnya televisyen lalu menunaikan solat Isya’.

Malam itu, dia mengambil keputusan untuk online terlebih dahulu. Dah lama mamat Amir itu tak mengganggunya.

-Hai awak, dah solat?-

Seperti biasa, dia tak akan membalasnya.

-Jaga skuter awak elok-elok yer, saya belanja..-

Hah!! skuter.. Amir? Encik Khairul? Jadi…

Ya baru dia teringat sesuatu, nama penuh Encik Khairul ialah Encik Khairul Amir bin Datuk Wahab. Cup! Cup! Datuk Wahab!! Datuk Wahab kan abang kepada Datuk Zainal!! Jadi Encik Khairul dan Syam adalah sepupu. MALUNYA…

Satu lagi. Perempuan menjerit. Tasik. Maksudnya hari itu, bila perempuan itu merenung ke belakangnya, adakah Encik Khairul turut berada disitu?

“Ketika Encik Khairul memarahi aku di dalam kereta, mata itu, aku tahu dimana aku jumpa mata itu…” ujarnya sambil sambil menahan sebak yang bertamu. Akhirnya dia dapat merungkai persoalan itu..

Mata itu adalah mata orang yang dia langgar ketika di foodcourt. Dan mata itu juga adalah milik abang fasilitator yang menyuruhnya membuat “trademark junior”.

Sakit kepala yang tiba-tiba menyerang memaksa Farhani untuk tidur awal malam itu. Dia sedih. Adakah lelaki itu turut mempermainkan hatinya, turut mengenakannya kerana dia seorang yang lurus? Kerana dia kalut? Dia tak dapat membuang perasaan terharu setiap kali Encik Khairul membantunya. Ya, dia tertarik dengan bos sendiri. Encik Khairul berjaya mencuri satu jajahan di hatinya.

Tunggu sekejappp…!! Jika dia Amir, maksudnya selama ini, bos lah yang selalu mengekorinya. Tiba-tiba perasaan takut menguasai dirinya.

*****

“Sun Ah, Far tak masuk kerja lagi? Jarang dia masuk lewat.” tanya Encik Khairul kepada Sun Ah. Zain dan Syam mula menjongket-jongket kening mereka. Kini mereka ketahui, sebenarnya Encik Khairul menyukai Farhani dalam diam.

Bagi Syam, dia gembira apabila Zain memberitahu perkara itu kepadanya kerana dia sememangnya telah menjangkakan perkara yang sama. Segalanya terbukti apabila Farhani mendakwa yang Abang Amir adalah tunangnya, Abang Amir pula tidak menolak malah membalas pautan tangan Farhani.

“Dia baru sahaja telefon tadi. Dia demam. Dia mahu minta MC.” ujar Sun Ah.

Demam?

“Okey, thanks Sun Ah” katanya lalu masuk ke bilik. Dia menyambung kembali kerjanya.

Usai menunaikan Zohor, diambilnya telefon di atas meja lalu mendail nombor seseorang. Sambil-sambil itu dia membuka laman facebook. Tiba-tiba matanya tertancap pada ayat yang ditaipnya semalam. Jaga skuter awak elok-elok yer, saya belanja. Dia terfikir sesuatu, lantas bergegas keluar sambil membawa kunci kereta.

“Sun Ah kamu ikut saya, cepat!!” arah Encik Khairul tiba-tiba. Zain dan Syam yang baru sahaja pulang dari rehat, berdiri tegak di hadapan pintu bilik bos mereka. Sun Ah pula kelam kabut mengekori bosnya.

*****

Farhani yang baru selesai menunaikan Zohor, membaringkan semula badannya diatas katil.

“Siapa pula yang telefon aku ni? Dah la sakit kepala.. Hah!! Bos..” terketar-ketar tangannya melihat nama pemanggil. Dimatikan telefon itu. Sakit hatinya memikirkan sikap Encik Khairul. Kenapa perlu membantunya kalau berniat untuk mempermainkan perasaan budak lurus ni. “Mama, apa yang kakak nak buat sekarang ni..” Ya Allah… Di mula menangis dan tertidur.

Teringat perbualan dengan mamanya tadi. Tapi mama hanya ketawa apabila dia bercerita tentang perihal Encik Khairul a.k.a Amir tadi. Kenapa mama gelak? Mamanya hanya berpesan untuk makan ubat yang sememangnya tidak disentuh langsung. Tidak pula mamanya berpesan agar berhati-hati dengan bosnya itu. Masih terngiang-ngiang di telinganya, ceramah pendek dari mamanya apabila dia bercerita tentang perangai Syam suatu ketika dahulu.

*****

“Encik, kita mahu pergi mana?” pertanyaan Sun Ah tidak dijawab.

“Maaf.. Far,” tak semena-mena dia menghentak stereng kereta. Dia tak mahu Farhani menjadi orang lain setelah mengetahui dirinya adalah Amir. Seperti 6 tahun dahulu. Dia tahu Farhani melarikan diri daripada Syam dan kawa-kawannya. Dia tidak mahu Farhani mengatakan yang dia hanya memainkan perasaannya. Dia tak mahu dirinya dianggap sama seperti Syam. Dia tak berani menyatakan perasaannya kepada Farhani kerana khuatir dirinya ditolak. Ditolak kerana kehadiran Syam.

Sampai sahaja di rumah Farhani, Khairul dan Sun Ah keluar tergesa-gesa.

“Kamu tolong tengokkan si Far, kenapa dia tak jawab telefon saya.” terpacar raut kerisauan di wajah Encik Khairul.

“Tapi encik, pintu berkunci… Far.. Far.. bukak pintu Far…” panggil Sun Ah berulang-kali. Sebab itulah Encik Khairul menyuruh dia mengikutnya, nak ke rumah Far rupanya. Ada apa-apa yang terjadikah?

“Kunci? Far.. Far..” panggil Encik Khairul pula. Ish.. harap-harap dia tak buat kerja bodoh.. Lebih baik aku pecahkan saja pintu ni… Belum sempat Encik Khirul merempuh pintu rumah Farhani, kedengaran pintu rumah dibuka.

Farhani yang sedang membetulkan tudungnya terkejut dengan kehadiran Sun Ah dan bosnya. Tadi disangkanya dia bermimpi. Rupaya mereka betul-betul ada di depan matanya. Farhani menjemput mereka masuk. Sun Ah sengaja menyuruh Farhani duduk sahaja di ruang tamu bersama Encik Khairul, sebaliknya dia membawa diri ke dapur. “Bos.. Bos.. sama saja kalutnya dengan si Far..”

Farhani menjeling tajam Encik Khairul. Encik Khairul pula tertunduk malu.

“Kenapa encik datang…” katanya dipotong lagi.

“Jangan cakap apa-apa.. Far diam ja..” kata Encik Khairul.

“Ta.. Tapi.. Tapi.. Sun Ah..”kata Farhani dipotong lagi.

“Saya akan terangkan semua.. Ya, saya Amir. Amir yang juga abang fasilitator yang tegur Far waktu solat Zohor di Pusat Islam. Saya jugak adalah orang yang awak langgar di foodcourt. Saya juga ada di tasik ketika kejadian ragut dahulu. Saya buat semua ini bersebab. Saya meminta maaf kerana selalu mengekori awak. Mengekori awak sejak awak tingal di rumah ini. Saya minta maaf. Niat saya baik. Err..err.. untuk pengetahuan awak, abah awak tahu saya selalu mengekori awak..”cerita Khairul terhenti di situ apabila Farhani mencelah.

“Abah tahu?”

“Err.. Yes.. haha.. saya terkantoi dengan abah awak bila awak semester 5. Dia nampak saya di pokok jambu depan rumah jiran awak. Dan dia izinkan. Dan saya tahu yang awak mahu mencapai cita-cita awak terlebih dahulu. Sebab itu saya tunggu sehingga awak bekerja tetapi tak sangka awak bekerja di syarikat Pak Cik Zainal. Err.. err.. sebenarnya saya dan Syam sepupu,” Encik Khairul menarik nafas.

“Abah izinkan? Tapi kenapa?” tanya Farhani perlahan. Pelik..

“Sebenarnya mak saya sudah merisik Far ketika Far semester 5. Selepas saya terkantoi dengan abah awak. Sebab itu abah awak izinkan saya memerhati awak…” terang Encik Khairul. “Kalau boleh saya nak selesaikan perkara ini dengan segera. Saya harap awak tak marah..” Encik Khairul memikirkan ayat yang sesuai.

“Farhani, saya mahu bertanya, jika tak ada aral melintang, boleh tak kalau keluarga saya berjumpa dengan keluarga awak minggu depan. Untuk meminang awak.” kata Encik Khairul satu persatu. Dia yakin Farhani turut mempunyai perasaan terhadapnya.

“Waaa… terima… terima…” Sun Ah tiba-tiba bertepuk tangan.

“Hah.. minggu depan? Meminang?” Kepala Farhani yang sememangnya pening bertambah pening apabila input yang baru diterimanya sukar untuk diproses.. Tiba-tiba matanya berpinar-pinar.

“Farrr!!” jerit Encik Khairul dan Sun Ah serentak.

“Sun Ah, kenapa kamu tepuk tadi? Tengok dia sudah pengsan…” tajam mata Encik Khairul menikam Sun Ah.

“Sori bos.. sori…cepatla angkat dia bos.. Ini perempuan memang liat mahu makan ubat, bos tau ka, tengok badan sudah panas…” bebel Sun Ah tak puas hati sambil membuka pintu kereta..

Khairul mencempung Farhani ke kereta lalu dibawanya ke klinik berdekatan. Far.. Far…

*****

Hari yang ditunggu-tunggu tiba. Setelah 4 bulan bergelar tunangan orang, kini aku akan memegang title sebaga isteri orang pula. Farhani gembira kerana kawan-kawannya sudi hadir ke majlisnya walaupun majlisnya dibuat di kampung di Kedah. Munirah tiba-tiba teringat sesuatu.

Munirah mencekak pinggang. “Hani!!… Ooo.. cik abang kau ni la yang kau cari kat foodcourt erk?? Sampai hati tak bagitahu aku..” Munirah mula berdrama.

“Munirah, sori laa.. jangan merajuk,… ni hari gembira, tak best la kalau kau merajuk..” Farhani mula mencucuk-cucuk pinggang Munirah yang tak tahan geli.

“Munirah merajuk?? Kau tau Hani, 2 pinggan dia makan tadi. Tak cukup dengan nasi, bubur, aiskrim, semua dia sapu..” Ummi disebelah mencelah.

Sun Ah dan Ira hanya ketawa melihat Munirah. Sebenarnya, mereka bertiga sedang meneka bila sahabat mereka mula terpaut dengan Amir, senior mereka di UiTM dahulu. Hanya Sun Ah tahu cerita sebenar kerana terdengar perbualan pasangan itu di ruang tamu rumah Far.

Farhani teringat kembali saat keluarga Khairul berjumpa dengan keluarganya. Tak disangka rupanya abah memang sudah mengetahui niat Amir untuk tidak bertunang lama. “Patutlah abah setuju ja, plan baik punya..” katanya seorang diri.

“Apa yang Far bebelkan tuu? Kak Ain pun nak tahu jugak…” Kak Ain melangkah masuk ke biliknya.

Munirah, Ummi, Ira dan Sun Ah berlalu pergi dari bilik pengantin itu memberi ruang kepada kakak ipar Farhani pula.

“Kak Ain? Apa Kak Ain buat di sini? Macam mana Kak Ain kenal Mir?” ada lagi yang aku tak tahu rupanya.

“Maaf lah Far, hari pertunangan tempoh hari akak tak dapat hadirkan diri, akak ada urusan dengan pembekal dari luar. Akak yang suruh Mir rahsiakan tentang akak dari pengetahuan Far. Nak bagi kejutan.. haha.. Jangan marah Mir tau. Dulu di Wangsa Walk, tiba-tiba ja dia minta akak pilihkan tudung agar sepadan dengan blouse yang dia pilih untuk Far. Terkejut akak masa tu, tak pernah-pernah dia datang butik akak..” ceria Kak Ain menceritakan semula peristiwa itu.

“Jadi butik tu butik akak? Pemilik butik? Beg tu yang Mir bagi?” tanya Farhani tak percaya. Kak Ain hanya mengangguk.

Farhani berasa sungguh terharu. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih kerana menghadiahkanku seorang suami yang sangat menyayangiku. Ya, dia juga menyayangi insan bernama Khairul Amir.

*****

“Tahniah Abang Amir, jaga elok-elok kawan Syam tu..” kata Syam sambil menepuk-nepuk bahu sepupunya. Zain yang turut berada di bilik itu membantu bosnya memakai sampin. Amir hanya tersenyum mendengarnya. Lega hatinya apabila Syam menjelaskan bahawa antara dia dan Farhani hanya kawan biasa. Risau juga jika Syam masih punya perasaan terhadap Farhani.

“Bos.. duduk la diam-diam. Penat tau saya buat bunga nie. Dah tiga kali tercabut. Bos ni..” Zain mula merungut.

“”Amboi Zain.. ni bos kamu tau…” Amir mengecilkan matanya.

“Tak ada maknanya bos. Hari ini cuti…” selamba Zain menuturnya.

Amir hanya tergeleng-geleng. Apa yang boleh dia buat. Sejak semalam, Zain dan Syam membantunya. Mujur Zain pandai dalam bab mengandam-andam. Tak perlulah dia dan Syam pening kepala memikirkan bab itu.

*****

Alhamdulillah, Mir juga sependapat denganku untuk tidak bersanding sebaliknya ingin bersalaman dengan orang-orang kampung yang turut sama terlibat membantu menjayakan majlis perkahwinan kami. Usai sahaja sesi makan beradab, aku dan suamiku, Amir melangkah untuk bersalaman dengan orang kampungku.

Ketika melangkah, aku terpandang pada salah satu hantaran dari pihak Amir, keychain berbentuk hati. Amir yang turut menoleh ke arah hantaran itu hanya menjongketkan keningnya. “Ooo.. selama ni keychain tuu ada kat dia rupanya..” Dicubit pinggang suaminya perlahan. “Ada lagi rupanya sepit ketam tuu…” kata Amir sambil mengusap-usap bekas cubitan isterinya. Sakit wooo….


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

31 ulasan untuk “Cerpen : Siapa Dia Sebenarnya?”

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.