Cerpen : Siapa Diriku

28 September 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: SHIWA

Merenung ke luar jendela dengan pandangan yang amat jauh sekali. Nyamannya tiupan angin lembut menyapa pipi Ain. Rambut terkuak-kuak menyentuh bahunya. Pukulan ombak di persisiran pantai jelas kedengaran. Daun-daunan ru juga meliut-liut ditiup angin. Sungguh mendamaikan. Setahun Ain berkhidmat di Rumah Pengasih Seri Nilam. Pusat pemulihan akhlak remaja di bawah umur. Bukan kerana Ain yang terjebak, tetapi Ain sebagai pembimbing mereka. Ain merenung ke dada langit yang hanya ditemani kerdipan bintang-bintang kecil bertaburan di angkasa. Ain telah bergraduasi setahun yang lalu dari sebuah universiti awam dan berkhidmat di sini setelah tamat latihan industri. Ain, pelajar yang aktif di kolej kediaman dan Pusat Pengajian Pengurusan. Ain bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik semata-mata. Namun begitu kecemerlangan Ain tidaklah sampai menggapai anugerah dekan, namun prestasi ‘second class upper’ milik Ain. Konvokesyen telah berlangsung, hanya Ain yang hadir. Tiba-tiba air mata bergenang. Menuruni pipi gebunya mencurah-curah tanpa henti. Nafasnya tersekat-sekat. Ditahan dan menghempuskan nafas perlahan-lahan.

“Ain, belum tidur lagikah?”Sapa Puan Aminah apabila pintu bilik Ain dibuka. Ain segera mengesat air mata dipipinya. Tersenyum sambil menggeleng-gelangkan kepala.

“Saya masuk, boleh?” Puan Aminah melangkahkan kaki kanannya sambil mata meliar melihat gambar-gambar yang telah disusun elok di atas meja sebelah almari baju Ain.Gambar-gambar yang disusun di dalam bingkai gambar amat menarik sekali. Dari gambar hitam putih hingga yang ada warna.

“Masuk lah, puan.”Ain menyuarakan dan mendapatkan Puan Aminah yang kini leka memandang gambar-gambar di sebelah almari bajunya.

“Keluarga Ain, ye? Cantiknya Ain masa kecil. ‘Chubby’.Comel.”Puan Aminah bersuara sambil ketawa kecil. Ain juga menyambut tawanya. Gambar hitam putih Ain bersama mama diambil oleh Puan Aminah. Ditatap lama dan penuh minat.

“Siapa nama mama?”Puan Aminah bertanya sambil tangannya mengambil bingkai gambar itu.

“Hajah Ummi Kalsom.Tapi, mama sudah tiada.” Pendek Ain menjawab. Sebak. Sedih sangat. Mama yang paling memahami dirinya. Ain dan mama memang rapat sangat. Rasa kehilangan seluruh jiwa raga tidak dapat digambarkan. Mama penguat semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah. Mama yang membentuk Ain menjadi insan pada hari ini. Ain duduk dibirai katil dan Puan Aminah turut membontoti Ain. Puan Aminah mendiamkan diri seketika. Hanya memandang gambar yang dipegangnya. Ain tidak mengendahkan apa yang Puan Aminah ingin tahu atau membelek apa yang ada di dalam biliknya. Ain cuma terkesan dengan pemergian mama pada setahun yang lalu. Mama tidak dapat melihat Ain dalam majlis konvokesyennya. Mama, hatimu sungguh mulia, bisik hati Ain.

“Ain,mama sayang sangat Ain. Maafkan mama.”Bisik Hajah Ummi Kalsom memegang erat tangan Ain semasa terlantar di Hospital kerana mengidap barah usus. Mama Ain seorang yang kuat semangat. Penderitaan yang dihidapi 5 tahun sebelumnya, tiada dikhabarkan kepada sesiapa. Setiap saat dan ketika bersama anak-anak sentiasa ceria dan gembira tanpa sebarang riak wajahnya yang mencurigakan. Sungguh tabah penanggung derita. Mama Ain selalu aktif di rumah, mahupun aktiviti di luar kawasan rumah. Aktiviti sukan dan sukarelawan, mama Ain selalu ikuti. Jawatan sebagai guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Bukit Tinggi, sering melakukan kerja-kerja amal yang amat membanggakan. Beliau bukan sahaja seorang guru pembimbing di sekolah, malah menyumbang dana. Pelajar-pelajar amat menyenangi Hajah Ummi Kalsom atas kemurahan hatinya. Beliau mengajar dengan penuh tulus ikhlas. Kelas tambahan sering dilakukan selepas waktu sekolah secara percuma. Malahan, beliau turut menyediakan makan minumnya. Beliau ingin melihat anak-anak bangsa terus maju dan berjaya. Akmal dan Amin merupakan permata hati Hajah Ummi Kalsom sebelum kematian arwah suaminya akibat kemalangan jalan raya. Mereka menjadi yatim sejak bangku sekolah rendahlagi. Ain hadir tatkala Amin berusia 12 tahun.

“Siapa ayah Ain?” Sering terpacul soalan sebegitu dari kecil lagi Ain kepada mamanya.

“Ain, ayah Ain sudah meninggal.”Jawab mama sambil memeluk Ain.

“Tapi..Ain ber binti Abdullah. Abang-abang lain..”Lontar Ain. Mama mengusap lembut rambut Ain.

“Mama kan ada.”,Mama meningkah. Hajah Ummi Kalsom memeluk Ain dengan erat. Ain terdiam walaupun persoalan tetap berlegar dimindanya.Adakah mama berkahwin lain? Tiada gambar akad nikah atau majlis perkahwinan pun. Sedangkan gambar bersama papa abang-abangnya ada. Tergantung dalam bingkai besar lagi di ruang tamu. Atau aku anak tong sampah?

Mainan yang terdampar difikiran Ain semasa berusia 7 tahun. Ain kian hebat dihimpit oleh tekanan atas soalan-soalan guru kelas dan juga rakan-rakan. Sukar memberi jawapan yang pasti. Ain mengharungi jua walau dengan usikan dan kenakalan rakan-rakan di sekolah kadang-kadang mencabar keimanan serta kesabarannya. Asal-usul perlu dirungkai. Ya, matapelajaran sejarah. Ain sering menangis kerana abang-abangnya selalu menyisihkan dirinya. Akmal terlalu dingin sekali. Amin ada juga sesekali membantu dalam pelajarannya serta bercakap dengannya. Tiada satu jawapan yang pasti kenapa layanan sebegitu rupa terhadapnya.

“Mama, Akmal tak mahu bersuhabat. Mama perlu jelaskan siapa dia?Akmal tak mahukan adik sepertinya.”Jerit Akmal. Akmal telah berkhidmat sebagai jurutera di pelantar minyak di Kemaman. Nada suaranya tinggi dan serius.

“Uishh..”Mama menutup mulut Akmal. Kedua-dua terdiam. Akmal memaling muka. Wajahnya mencuka. Mama Ain tenang. Mama Ain memegang tangan Akmal. Dia mengarahkan Akmal duduk di sebelahnya.

“Janganlah bercakap kuat. Nanti Ain dengar.”Tingkah Mama Ain perlahan.

“Biarlah dia tahu, mama. Dia sudah cukup besar untuk mengerti hakikat. Mama telah beri pelajaran kepada dia. Dia sudah hampir lulus pengajian di universiti awam pun. Mama, tolong jangan begini.” Akmal lantang menyuarakan pendapat. Amin juga mengangguk tanda setuju. Amin rasa mama tidak terus merahsiakan identiti Ain.

“Mama tidak sanggup.”Mama tersedu. Air mata telah laju menuruni pipinya. Amin menggosok-gosok belakang mama. Akmal memandang tepat ke wajah mama. Akmal turut berasa simpati. Amin dan Akmal saling berpandangan.

“Siapa Ain..mama.”Tiba-tiba Ain muncul. Mama, Akmal dan Amin turut terkejut dengan kemunculan Ain. Suasana menjadi sepi. Hanya sendu mama jelas kedengaran. Ain merapati mama dan memeluknya. Rangkulan Ain kuat. Kehangatan air mata mama tertumpah ke bahu Ain.

“Mama, apa semua ni?Beritahulah Ain”, Ain merayu meleraikan pelukan mama. Ain memandang Aklmal dan Amin. Akmal tidak memandangnya. Amin hanya menundukkan pandangan ke lantai. Ain tahu Akmal memang tidak menyukainya, semenjak dia hadir ke dalam hidup mereka. Ain tidak pernah dapat bermain mahupun bersembang dengan baik dengan Akmal. Akmal cukup menyampah melihat Ain. Ain faham semua itu. Amin melayani Ain, biasa-biasa sahaja. Amin lelaki, mana mungkin boleh merapati dirinya seperti peranan seorang kakak. Ain terasing, memang dirasai semenjak dari dahulu lagi. Ain hanya gembira dan tertawa riang apabila mama ada. Mamalah segala-galanya.

“Mama, terus-terang sahajalah. Sudah tiba masanya.” Akmal bersuara keras. Akmal menghormati Mama, tetapi Akmal tidak sanggup lagi menyimpan rahsia itu.

“Ain, balik dari kampus tidak beritahu mama.”,Mama mengalih perhatian. Ain memandang mama dengan penuh makna.

“Cuti semester mama. Ain hanya perlu menjalani latihan industri sahaja. Ain dah dapat tempat di Pusat Rumah Pengasih Seri Nilam.”Tutur Ain tanpa fokus. Dia lagi terfikir akan kerahsiaan yang dibicarakan oleh Akmal.

“Mama, siapa Ain?”, Ain menyoal lagi.Mata mama masih berkaca. Ain rasa tidak sanggup mendesak. Tapi kemelut di dalam hatinya tidak tertahan. Dia seakan mahu meraung meluahkan kegelisahan yang menyelimuti dirinya. Siapa diriku?, Ain terasa beban tekanan kian menghimpit amat berat untuk ditanggungnya lagi.

“Ain, mama sangat sayangkan Ain.” Mama selalu memulakan bicara sebegitu. Ain hanya mampu mengangguk. Mama terdiam. Mama mengambil nafas yang dalam dan dilepaskan perlahan-lahan.

“Ain, kau bukan adik aku dan Amin. Kau anak haram!” Akmal yang tidak tertahan melepaskan suaranya. Amin berdiri. Mengatur langkah yang pantas berdiri di sebelah Akmal. Amin menepuk-nepuk bahu Akmal perlahan-lahan.

“Akmal,kenapa biadap ni!” Mama bangkit berdiri. Air mata mama lagi laju menuruni pipinya.

“Panggg.” Mama pantas melempang Akmal. Ain terkejut. Dia meluru ke biliknya. Menguncikan pintu. Butir bicara di luar bilik masih kedengaran dalam keadaan huru-hara. Ain menerkup telinganya. Setiap detik perjalanan selama 23 tahun ini, Ain seakan dapat menduga seperti hakikat hari ini. Namun, bisikan hatinya sentiasa mendoakan agar dirinya tidak seperi Akmal lontarkan sementar tadi. Hancur luluh hati Ain. Seluruh dunia ini kelam dan gelap serta merta. Ain amat sedih dan kecewa. Namun, Ain amat menyayangi Mama. Mama sentiasa mengungkap kasih sayang kepada Ain. Mama tidak ingin Ain bersedih.

“Mama tidak bersalah. Selama ini, mama membela nasibku.”Ain bersuara sendirian. Ain memeluk gambar mama. Ain tidak boleh salahkan mama. Ain perlu cari kebenaran. Siapa ibubapa Ain? Ain anak tong sampah ker? Air mata laju dan laju meruni pipi Ain. Ain tidak boleh menipu kesedihan dirinya. Jawapan yang ditunggu sekian lama, kini sudah terjawab. Walaupun bukan sepenuhnya dari bibir mama. Ketukan di pintu kedengaran. Ain membatu. Bukan Ain berdendam dengan mama. Tidak sesekali. Ain tidak salahkan Akmal atau Amin. Ain sedar layanan mereka bersebab. Layanan mereka sentiasa Ain tafsir seperti jawapan hari ini, namun Mama sentiasa meyakinkan Ain. Telahan Ain itu salah. Ain sedih. Ain kecewa. Ain sengsara. Siapakah aku?

“Ain,bukalah pintu ni.”, Kedengaran sayup-sayup suara mama. Makin perlahan sehingga tidak kedengaran lagi.

“Ya Allah”, suasana bising bergema kembali. Jantung Ain berdebar laju. Ain bingkas dan membuka pintu. Ain menerpa. Mama sudah rebah. Akmal dan Amin bergegas membawa mama menaiki kereta. Ain melihat dari jauh. Keadaan begitu, Ain tidak patut sesekali menyalahkan Mama.

“Ain,maafkan mama.” Mama memandang Ain. Ain tersentak. Ain terlena di sisi katil hospital. Ain menganggukkan kepala. Ain menangis. Air mata tertumpah lagi mengenangkan penderitaan mama yang tersembunyi. Sampai hati, mama.

“Maafkan mama.”, Rambut Ain diusap. Akmal menggosok-gosok bahu Mama. Amin memicit-micit pahan dan betis Mama. Ain masih memegang tangan mama, erat. Nafas Mama turun naik. Akmal membisikkan syahadah di telinga mama. Ain terkesima. Nafas beralun telah perlahan. Mama, Ain sendirian tanpamu.

“Ain,mama tinggalkan ini.”Mak Long menghulurkan satu sampul surat kepada Ain. Ain membuka untuk melihat isi kandungan di dalamnya. Ya, dirinya sudah terjawab. Sekeping gambar perempuan cantik memakai kebaya. Ain membuka nota yang dilipat.

“Aminah Binti Seman. Ibu kepada Nurul Ain Binti Abdullah”.

“Ain, mama awak cantik sangat. Manis dan baik budi pekertinya. Seorang yang lemah lembut.”, Puan Aminah yang berada disebelah Ain memecahkan keheningan lantas mematikan lamunan Ain. Ain menyeka air mata dari menuruni pipinya lagi.

“Ain, awak jangan pergi dari sini ye. Tinggallah berbakti di sini sampai bila-bila. Berapa gaji awak mahu, saya boleh berikan.”,Puan Aminah menyusun kata. Puan Aminah memang seorang yang baik hati. Sentiasa kemas dan cantik. Walaupun sudah berusia 40-an, namun tiada unsur-unsur memakan usia menjengah ke wajah ayunya.

“Terima kasih, puan. Kata-kata puan tadi seperti mengenali mama saya. Pernah berjumpakah?”, Ain berasa terkeliru dan penuh tanda tanya. Semenjak mama pergi, Ain hidup sendirian.Akmal dan Amin telah membuang dirinya dari hidup mereka. Mereka tidak bertanya khabarlangsung. Mereka telah membina haluan dan kebahagiaan sendiri. Ain sedar dirinya siapa.Puan Aminah memegang tangan Ain. Bahu Ain dipeluknya. Kehangat air mata mula dirasai Ain. Kenapakah begitu aneh perlakuan Puan Aminah? Ain meleraikan pelukan itu. Ain hanya memandang dengan pandangan kosong ke arah Puan Aminah.

“Kenapa, puan?”, Ain bertanya dengan perasaan ingin tahu membuak-buak. Puan Aminah masih menangis sambil tangan mengusap bingkai gambar arwah mama.

“Ain, saya Puan Aminah Binti Seman.” Puan Aminah bersuara tersekat-sekat. Sendu mengiring di hujung tangisan.

Ain terduduk mendengar ungkapan nama itu. Ya, sama dengan gambar wanita berkebaya yang ditinggalkan oleh mama. Ain longlai. Inikah jawapan yang sebenarnya untuk mengenali diri sendiri. Siapakah Ain? Ain menerkup telinga dengan kedua-dua belah tangan. Mata dipejam rapat. Air mata sudah berhenti mengalir. Perasaan bercampur baur. Gembira atau marah dengan kebenaran di depan mata?Puan Aminah memeluk Ain erat. Hanya kemaafan terungkap dibibirnya. Berulang-ulang.Aminah sungguh menyesal dengan perbuatan lampau dan Ain menjadi mangsa keadaan. Ain tidak berdosa. Ain tidak bersalah.

“Maafkan ibu.”, Tutur Aminah perlahan-lahan.

“Di mana ibu selama ini? Ain dicemuh , dicaci, dibenci!” Ain membentak. Ain menangis. Ain menzahirkan kekusutan di jiwanya. Ain meronta-ronta. Ain meraung. Ain menjerit. Aminah hanya mampu melihat. Aminah melihat penderitaan yang memang mencengkam jiwa raga anaknya. Dia tidak patut perlakukan Ain sebegitu.

“Ain, maafkan Akmal. Terimalah ibu Ain.”, Akmal yang garang dan kasar memujuk Ain. Akmal menyesal di atas perbuatannya dahulu. Akmal tahu, Ain menderita kerana sikapnya dan Amin melayannya dengan teruk.

“Akmal tidak mampu hidup tanpa Ain. Dahulu, Akmal ingatkan selepas Ain pergi, Akmal akan rasa bahagia. Akmal silap. Akmal tidak boleh menoleh di mana-mana sudut di rumah mama. Hanya kelihatan kelibat Ain sahaja. Akmal merasa sungguh menyesal. Kita mulakan hidup baru.”, Tutur Akmal. Amin juga begitu. Aminah mengangguk.

“Ain, kita semua satu keluarga. Akmal dan Amin juga dapat ibu. Kita mampu hidup bahagia seperti dahulu. Buang yang keruh, ambil yang jernih”, Akmal sambung bicara.

“Ain, setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Usahlah menyimpan sekelumit dendam jauh disudut hatimu. Abang yakin, sinar bahagia untuk kita terbentang luas jika Ain memberi ruang.”Akmal menambah bicara. Ain membisu seribu bahasa.Namun hatinya ada taman yang sungguh nyaman dan mendamaikan.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.