Cerpen : Sudikah Kau Terima?

24 July 2011  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

“Leena, aku cintakan kau,” ucap Taufiq di hujung talian.

Ucapan Taufiq itu menerbitkan rasa marah di dalam hati aku. Memang nak kena agakya si Taufiq ni. Janganlah kau main-mainkan hati aku, Taufiq. Kalau aku betul-betul terjatuh cinta dengan kau nanti macam mana?

“Taufiq!!” Aku menyebut namanya sebagai tanda amaran.

“Hahaha…. kau tau aje kalau aku tengah bergurau ya,” balas Taufiq kemudian.

“Macamlah aku tak kenal dengan kau tu. Kita kan dah lama berkawan,” ujarku pantas.

Aku dan Taufiq memang sudah berkawan sejak dari sekolah lagi. Kini kami sama-sama sudah masuk ke alam pekerjaan. Aku masih ingat kepada kata-kata Taufiq suatu ketika dahulu. Katanya, setelah mempunyai pekerjaan nanti, dia mahu serius mencari teman wanita untuk dijadikan isteri. Hah, sekarang ini dia sudah pun mempunyai pekerjaan yang bagus di sebuah syarikat swasta. Dan dia selalu menjadikan aku sebagai tempat untuk berlatih memikat perempuan. Aku pula tiada masalah, sudi sahaja membantunya. Cuma aku akan marah apabila dia buat macam tadi. Tup… tup… kata dia cintakan aku. Kalau nak berlatih pun bagi tahulah awal-awal. Aku stapler mulut tu karang, baru dia tahu.

“Aku sedihlah, Leena. Aku tak berjaya pikat perempuan yang aku suka tu. Kalau macam ni, macam mana aku nak kahwin?” Luah Taufiq.

Adehh… tersiksa pula telinga aku ini mendengar kata-kata Taufiq yang ala-ala kecewa bagai nak rak. Macamlah aku ada jawapan kepada persoalan yang serupa itu? Aku sendiri tak tahu nak bagi jawapan apa. Blur kejap aku jadinya.

“Janganlah putus asa. Cubalah lagi, perempuan tak suka pada lelaki yang cepat menyerah kalah tau. Taufiq, aku ada satu soalan nak ditanyakan kepada kau,” ucapku.

“Jangan tanya siapa perempuan yang aku tengah pikat tu,” balas Taufiq. Aku mengeluh spontan.

“Eh, macam mana kau boleh tahu yang aku nak tanya soalan tu?” Laju aku menyoalnya.

“Jawapan aku sama macam jawapan kau tadi. Sebab aku pun dah lama kenal dengan kau, dan ini bukanlah kali pertama kau nak tanya soalan tu,” jawapan Taufiq itu membuatkan aku tergelak.

Taufiq… Taufiq… suatu hari nanti aku akan tahu juga. Apalah yang istimewa sangat pada perempuan itu sampai Taufiq merahsiakan identitinya?

“Kau ada cadangan lain tak, macam mana aku nak pikat si dia ni?” Permintaan Taufiq itu membuatkan otakku semakin ligat berfikir.

“Haa… kau pernah bagi dia hadiah tak?” Tanyaku.

“Tak pernah!” Jawabnya pantas.

“Hisyy, apalah kau ni. Kata aje nak memikat, tapi tak pernah bagi apa-apa penghargaan. Bukan semua perempuan boleh cair dengan kata-kata tau,” kataku kemudian. Wah, gaya aku bercakap ni sudah macam ada pengalaman sendiri sahaja kan? Sebenarnya tiada pun.

Macam mana aku nak ada pengalaman kalau aku sendiri pun tak pernah jatuh cinta? Ramai kawan-kawan yang beranggapan bahawa aku ini terlalu memilih pasangan. Zaman sekarang ni, budak-budak sekolah pun dah pandai nak bercintan-cintun. Kalau aku, tak beranilah nak main-main dengan cinta monyet ni. Kena pelangkung pula dengan ayah aku nanti. Tapi itu dululah, waktu aku masih bersekolah. Sekarang ini aku memang dah tak layaklah nak bercinta monyet. Almaklumlah, umur aku sudah melepasi had.

Kawan-kawan aku juga berasa pelik apabila tahu bahawa aku tidak pernah bercinta, sebabnya aku ini bukannya muda lagi. Umur tu biarlah aku rahsiakan. Tapi taklah terlalu tua, jangan salah faham pula ya. Alah…. orang lain yang lebih tua daripada aku pun ada juga yang belum berkahwin. Apalah yang nak dirisaukan sangat? Tapi… sebenarnya risaulah juga hehe… siapalah yang tak mahu berkahwin kan? Macam si Taufiq tulah! Risaunya menggunung, tapi aku selamba sahaja. Aku percaya, Tuhan itu maha adil. Jodoh aku pasti ada, cuma aku tidak tahu siapa, bila, dan di manakah aku akan temui si dia itu. Bukannya aku tidak mahu bercinta, tapi aku ini ialah seorang yang susah nak mempercayai seseorang. Jadi… faham-faham sendirilah ya.

“Leena!! Aku ni tengah bercakap dengan kau ke dengan angin? Senyap aje macam tak ada orang, penat aku tanya,” rungutan Taufiq di hujung talian mengejutkan aku daripada lamunan.

Alamak, sorrylah Taufiq! Aku tak perasan, terlayan jiwanglah tadi. Adehh laa haiii…. itulah orang selalu kata, jangan terlebih melayan perasaan. Bahayaaa….!

“Ada… ada ni, Taufiq. Sorry… aku terlelap kejap tadi. Itulah kau, siapa suruh telefon aku malam-malam buta macam ni. Ngantuklah,” bohongku, tidak mahu mengaku yang aku telah berkhayal. Setelah berkata begitu barulah aku mengerling ke arah jam di sebelah katil. Haa… nasib baik dah pukul dua belas malam. Kalau baru pukul lapan malam, kantoilah pembohongan aku itu. Fuh!!

“Laa… kau dah ngantuk ke? Sorrylah, aku jadi pengacau pula malam ni. Tapi sebelum aku letak telefon ni, aku nak ajak kau keluar esok. Lagipun esok cuti kan? Boleh tak?” ajak Taufiq bersungguh-sungguh.

Hisyy… mimpi apa pula mamat ni tiba-tiba nak ajak aku keluar? Selalunya kitorang berhubung melalui telefon saja.

“Nak keluar ke mana pulak?” Soalku.

“Mana-manalah. Tadi kau juga yang cadangkan supaya aku bagi hadiah kat perempuan tu kan? So, kau kenalah ikut aku beli hadiah tu,” jawapan Taufiq itu menyebabkan mulutku terlopong dan menimbulkan kerutan pada keningku.

“Eh… eh… aku pula yang kena beli. Kaulah beli sendiri,” bidasku.

“Alaa… aku mana tau nak pilih hadiah yang macam mana. Kau tolonglah aku… bolehlah…” rayu Taufiq kepadaku. Spontan aku menggaru kepala yang tidak gatal.

“Yalah… yalah… tapi kalau macam tu kau kenalah belanja aku makan. Boleh ke?” Aku mengalah, aku bukanlah kejam sangat sampai tak mahu menolong Taufiq. Kesian dia… dah lama sangat cuba pikat perempuan yang aku tak tahu siapa tu.

“No problemmm!” Terlebih semangatlah pula nada suara si Taufiq ni. Gembira bukan main. Aku tersengih sendirian.

“Ok, tapi aku makan banyak tau. Kau jangan menyesal pula nanti,” dugaku, sengaja mahu bermain tarik tali.

“Kalau kau nak makan satu kedai tu pun bolehlah. Tak ada hal punya. Esok aku jemput kau, jangan lupa tau,” Taufiq mengingatkan aku.

“Ya…. tak lupa. Ok la, jumpa esok. Assalamualaikum,” balasku. Letih juga melayan mamat seorang ni.
“Waalaikumussalam. Bye, sayang!” jawab Taufiq. Bulat mataku mendengar hujung ucapannya itu.

“Apa??!” Marahku.

“Sorry.. aku berlatih ajelah, nanti senang aku nak cakap betul-betul kat perempuan tu,” Taufiq cuba membela diri.

“Tu ucapan keramat tau. Boleh pula kau buat main-main. Kau ingat aku ni patung tak bernyawa ke? Lain kali kalau nak berlatih, cakaplah awal-awal. Bolehlah berlakon sekali,” bebelku.

“Yalah… yalah… aku janji tak buat lagi,” ujar Taufiq.

“Kalau kau buat lagi, aku sumbat mulut kau dengan lesung batu,” luah aku dengan perasaan yang masih geram.

“Sumbatlah dengan makanan, boleh juga aku makan. Haha… ok.. ok…. janganlah marah. Tadi kata dah ngantuk kan? Dah.. dah… kau tidurlah dulu. Kesian kat mata tu. Bye, assalamualaikum lagi sekali,” balas Taufiq, sempat pula dia meloyar buruk.

“Waalaikumussalam!” Aku terus mematikan talian. Bukan boleh dilayan sangat si Taufiq ni. Nanti sampai esok pagi tak habis bercakap.

*****

SEPERTI yang sudah dijanjikan, pada keesokan harinya aku bertemu dengan Taufiq. Sebenarnya sudah beberapa bulan aku tidak berjumpa dengannya. Dan kini aku terkejut dengan wajah serta penampilannya. Dahulu tak macam ini pun. Kacak pula aku lihat wajahnya, kenapa sebelum ini aku tak pernah perasan? Pakaiannya pula… fuhh, macam orang nak pergi dating. Tak perlulah aku ceritakan secara terperinci pakaian apakah yang dia pakai, ya. Bayangkan sahajalah bagaimana cara seorang lelaki berpakaian untuk menemui kekasih hatinya. Sudah tentulah smart kan? Satu lagi ni, minyak wanginya bau menusuk-nusuk ke lubang hidungku. Nasib baiklah wangi. Hmmm…. entah sejak bila dia menukar imej.

“Dasyat betul penampilan kau, Taufiq. Boleh cair perempuan tengok kau,” tegur aku sejujur hati.

“Nak berlatih jumpa si dialah. Kau cair tak? Kau kan perempuan juga,” tanyanya.

Wahh… soalan maut nampaknya tu. Tak mampu aku nak memikirkan jawapannya.

“Kau jangan cuba nak pusing-pusingkan watak. Aku tetap aku, dan perempuan tu tetap perempuan tu. Mana boleh kau samakan aku dengan dia. Kalau aku cair sekalipun, belum tentu dia akan cair. Dan kalau aku tak cair sekalipun, mungkin dia akan cair. Siapa tahu kan?” Aku rasa itulah jawapan yang paling tepat untuk berikan kepada Taufiq.

“Ok, satu jawapan yang boleh diterima,” balas Taufiq sambil terangguk-angguk.

“Kau nak beli hadiah apa ni?” Soalku kemudian, malas mahu bercakap tentang siapa cair dan siapa tak cair lagi.

“Cincin sesuai tak?” Taufiq bertanya kembali. Spontan keningku berkerut.

“Mana sesuai, cincin tu dah gaya macam orang nak pergi melamar. Kau baru nak pikat dia kan? Kalau kau bagi dia cincin, mahunya dia pengsan tak bangun-bangun sebab terkejut,” ucapku lengkap dengan gaya seperti orang mahu pengsan.

“Eh.. eh!” Taufiq panik melihat aku yang seperti mahu rebah. Aku cepat-cepat menegakkan badan kembali sebelum tangannya sempat menyentuh pinggangku. Bahayaaa!

“Aku berlakon ajelah. Kau ingat kau aje ke yang boleh berlakon?” Aku bersuara pantas. Terkekeh-kekeh aku melihat reaksinya.

“Kau ni, buat jantung aku macam nak gugur aje,” luah Taufiq dengan wajah yang masih kelihatan tegang.

“Sorryy,” ucapku dengan perasaan yang sedikit berasa bersalah.

“Ok. Kalau macam tu, cincin tak sesuailah, ya? Hmm… apa kata… kalau bagi kek sebagai tanda perkenalan. Ok tak?” Cadang Taufiq lagi.

“Ok jugak tu. Tapi… macam mana kalau dia tak terima? Lepas tu dia tekap kek tu kat muka kau hahaha!” Tak tahan aku mahu menahan ketawa apabila terbayangkan Taufiq yang sudah kacak bergaya itu ditekap dengan sebiji kek pada wajahnya. Malu… malu….!

“Betul juga tu. Tak boleh… tak boleh… habis tu nak bagi hadiah apa ni, Leena?” Taufiq meminta cadanganku pula.

“Aku rasa elok kalau kau bagi dia… hmmm… apa ya? Haa…. kau bagi dia bunga yang ada teddy bear melekat tu , coklat, dan kad ucapan,” usulku dengan senyum yang makin melebar.

“Teddy bear? Macam budak-budak aje,” bidas Taufiq.

“Eh, perempuan suka tau benda comel-comel macam tu. Sebab aku pun suka hehe nanti beli lebih ya, bagi aku satu hahaha!” Sengaja aku menyakat Taufiq.

“Ah, tak ada! Aku beli satu aje, khas untuk si dia,” tegas Taufiq.

“Eleh… orang tak hairan punlah. Orang boleh beli sendiri,” balasku, tiba-tiba sahaja aku membahasakan diri dengan nama ‘orang’.

Itu sebenarnya satu kelemahan yang mungkin tidak disedari oleh orang lain. Apabila aku dilanda perasaan malu, secara automatiknya aku akan membahasakan diri aku ‘orang’. Tapi takkanlah aku berasa malu apabila permintaan main-main aku itu tidak mahu dipenuhi oleh Taufiq? Bukannya aku serius meminta teddy bear pun. Tapii…. ah, malaslah nak fikir! Buat sakit otak aku saja.

“Haii… merajuk ke??” Duga Taufiq. Pantas sahaja aku menggeleng.

“Eh, tak adalah! Aku main-main aje tadi,” nafiku. Semoga sahaja Taufiq tidak berfikir yang aku betul-betul mahukan teddy bear itu. Sumpah, aku memang cuma main-main sahaja!

“Betul?” Tidak habis-habis lagi Taufiq cuba menduga aku.

“Betullah! Dah… dah… jom kita beli bunga yang ada teddy bear kat kedai depan tu,” putusku lalu terus berjalan mendahului Taufiq.

*****

LAGU bertajuk ‘Hey Ladies’ dendangan Rossa berkumandang pada telefon bimbit kesayanganku. Pantas sahaja aku mencapainya. Oh, Taufiq rupanya yang menelefon. Aku terus menekan punat hijau tanda aku menerima panggilan tersebut.

“Assalamualaikum. Helo, kawan,” ucapku sebagai tanda permulaan dalam perbualan kami.

“Waalaikumussalam. Helo, sayang,” kedengaran suara Taufiq menjawab salam, tetapi hujung ucapan dia itu membuatkan aku rasa tidak senang.

“Apa sayang-sayang? Aku lempang kang terus melayang-layang,” balas aku dengan sengaja.

“Sampai hati kau nak lempang aku, kan?” Sedih sahaja suaranya itu. Ini mesti ada apa-apa yang tidak kena.

“Kau ni… aku main-main pun kau nak touching. Tak rocklah! Macam mana dengan usaha mengurat wanita idaman kau tu? Berjaya tak idea aku tu?” Tanyaku dengan perasaan kurang sabar.

“Tak berjaya lagilah, Leena. Mungkin dia tak nampak kesungguhan aku,” sekali lagi Taufiq berkata dalam nada yang sayu. Alahaiii…. dengan aku-aku sekali sayu dan layu dengar suara dia yang macam itu.

“Sabarlah Taufiq, ni semua dugaan. Selalunya kita akan lebih menghargai sesuatu yang susah untuk kita dapat. Aku berdoa supaya dia akan nampak kesungguhan dan keikhlasan kau. Sebelum aku terlupa… aku nak tanya, dia terima ke tak pakej bunga, teddy bear, coklat dan kad ucapan tu?” Itulah soalan yang sebenarnya mahu aku tanyakan sewaktu mula-mula menjawab panggilan Taufiq.

“Aku tak beranilah nak bagi kat dia, Leena. Aku takut kalau dia tolak.” Jawabnya.

“Adeh laaa haiii!” Aku mengeluh sebaik sahaja mendengar jawapan Taufiq itu.

“Penat-penat aku fikir idea tu, tapi kau boleh tak bagi kat dia pula. Apalah…” Aku membebel kepadanya.

“Aku rasa macam nak bagi dia baju pulalah,” suara Taufiq, menyebabkan mataku membulat.

“Heh, kau jangan nak buat lawak. Bunga dengan teddy bear tu pun kau tak berani nak bagi, macam mana kau nak bagi baju pulak? Kau nak pos hadiah tu ke? Haha!” Sakatku.

Macam-macamlah si Taufiq ni.

“Leena, kali ni aku betul-betul serius. Aku nak bagi dia baju, lepas tu aku nak suruh dia pakai baju tu masa makan malam. Masa tu nanti aku akan buat surprise untuk dia. Dan aku harap dia akan nampak kesungguhan dan keikhlasan aku,” rancang Taufiq penuh semangat.

“Wah, bestnya. Surprise macam mana tu? Boleh aku tau?” Boleh tahan juga rancangan Taufiq ni. Aku pula yang teruja nak tahu lebih-lebih.

“Haaa… yang tu adalah rahsia antara aku dan si dia hehe,” ujar Taufiq. Aku mencebik walaupun dia tidak dapat melihat reaksi aku itu.

“Rahsia konon. Yalah… aku ni bukannya siapa-siapa, kan? Aku cuma pembantu tak bertauliah aje. Nanti bila kau dah dapat dia, mesti kau akan lupakan aku. Orang dah ada girlfriend, buat apa nak kawan dengan orang macam aku lagi,” kataku jujur.

Ya… memang itu yang aku rasakan pada saat ini. Aku bakal kehilangannya. Jika dia tidak mahu meninggalkan aku sekalipun, aku tetap akan menjauhinya kerana tidak mungkin aku akan berkawan rapat dengan seorang lelaki yang sudah berpunya. Hampir setiap malam Taufiq menelefon aku. Jika akulah yang menjadi teman wanitanya, sudah tentu aku akan cemburu. Sebab itulah aku tidak mahu Taufiq terus menghubungi aku andainya dia berjaya menawan hati wanita idamannya itu.

“Tak mungkin aku akan lupakan kau, Leena. Kau dah jadi sebahagian daripada hidup aku,” tegas Taufiq, bersungguh-sungguh bunyinya.

“Kau kena lupakan aku, Taufiq. Aku tak mahu ada orang lain yang cemburu bila tahu kita rapat. Entah-entah dia dah tau yang kita ni rapat, sebab tu dia tak mahu terima bila kau cuba pikat dia,” tekaku. Tiba-tiba sahaja perkara itu terlintas di dalam fikiran aku.

Ya, mungkin aku yang telah menjadi penghalang. Dan mungkin sahaja perempuan itu telah terlihat kemesraan aku ketika keluar bersama Taufiq tempoh hari.

“Kau jangan merepeklah, Leena. Kau bukan penyebab kenapa dia tak mahu terima cinta aku. Aku yakin seratus peratus.” Taufiq cuba menafikan kata-kataku.

“Taufiq, aku dah ngantuk ni. Aku tidur dululah, ya. Assalamualaikum,” ucapku pantas.

Aku sudah memutuskan talian sebelum sempat dia menjawab salam yang aku berikan. Kenapa aku jadi begini? Tiba-tiba sahaja aku berubah sikap. Maafkan aku, Taufiq. Aku tidak tahu apakah perasaan yang sedang aku alami. Aku rasa kosong. Tiada mood untuk berbual-bual.

Telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej masuk. Laju aku membukanya.

“Leena, ahad ni temankan aku beli baju untuk si dia boleh?” – Taufiq.

Si dia? Ahh… mengapa tiba-tiba aku berasan bosan dengan perkataan ‘si dia’ itu? Entah sejak bila Taufiq membahasakan diri wanita idamannya itu dengan panggilan ‘si dia’. Apa yang aku perasan, selama ini Taufiq cuma membahasakan diri wanita itu dengan panggilan ‘perempuan itu’ sahaja. Mungkin aku yang tidak perasan akan panggilan nama ‘si dia’ itu.

“Ok!” – aku.

Hisyy, wahai jari, kenapa kau menggatal taip perkataan ‘Ok’ itu?

*****

“Ok! Mantap! Gaun ni memang sesuai untuk kau,” suara Taufik itu menyebabkan keningku berkerut seribu. Aku memandang gaun panjang berwarna merah jambu yang sudah tersarung elok di badanku.

“Gaun ni sesuai untuk aku? Bukan sesuai untuk si dia ke” Aku bertanya kembali.

“Eh, aku kata gaun ni sesuai untuk si dialah tadi,” balas Taufik kepadaku.

Semakin jelas kerutan pada keningku. Rasanya belum lama aku mengorek telinga aku ini. Takkanlah aku tersalah dengar pula!

“Cik, cik dengar tak apa yang lelaki ni cakapkan tadi?” Aku bertanya kepada salah seorang petugas yang berada paling dekat dengan kami.

“Maaf, cik. Saya tengah susun baju ni tadi. Saya tak perasan apa yang dia katakan,” jawab petugas tersebut. Aku semakin berasa tidak puas hati, namun aku tetap menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya.

“Taufiq, aku dengar sendiri kau kata baju ni sesuai untuk aku tadi. Aku belum pekak lagi tau,” aku bertegas dengan kata-kataku.

“Ya ke?” Soal Taufiq sambil menggaru kepala. Wajahnya kelihatan sedikit cuak.

“Dahlah, aku nak buka gaun ni,” putusku lalu terus melangkah menuju ke bilik persalinan di butik tersebut.

“Eh.. eh.. kejap, Leena!” Arahan Taufiq itu menyebabkan langkahku terhenti dengan serta-merta.

Aku lihat Taufiq melangkah ke kaunter pembayaran dan kemudian dia terus menarik hujung lengan gaun yang aku pakai. Aku sempat menepis tangannya sebelum mengikutnya dari belakang.

“Kita nak ke mana ni, Taufiq? Dah malam, aku nak baliklah,” aku bersuara.

“Ok, dah sampai. Jom masuk!” Ajak Taufiq.

Buntang mataku melihat nama restoran yang terpampang di hadapanku. ‘Restoran Cinta’? Ada juga rupanya orang yang menamakan restoran dengan nama itu. Pasti mereka yang bercinta akan suka berkunjung ke restoran ini. Tapi… kenapa Taufiq juga mengajak aku ke sini? Kami bukannya pasangan bercinta. Aku memandang Taufiq dengan riak wajah yang pelik.

“Kenapa kau ajak aku ke sini?” Aku tidak dapat menahan persoalan itu lagi.

“Aku nak memperkenalkan kau dengan si dia,” jawab Taufiq tanpa ragu-ragu.

“Haisy! Tak payahlah. Aku tak ada kena mengena dengan kau oranglah. Baju yang aku pakai ni, kau kata nak bagi kat dia. Macam mana kau nak bagi kalau aku yang pakai sekarang ni?” Itu satu lagi persoalan yang tiba-tiba menerjah ke dalam kotak fikiranku.

“Sabar ya, Leena. Sekarang ni, kau ikut aku masuk dalam dulu. Dan kau akan tahu semuanya. Aku janji,” ajak Taufiq sekali lagi.

“Ok,” ucapku sepatah.

Tanpa membuang masa aku terus mengekori Taufiq masuk ke dalam Restoran Cinta. Wahh… cantiknya hiasan dalaman restoran ini. Suasananya pula sungguh romantik. Tiba-tiba aku terasa seperti sedang bercinta pula dengan Taufiq kerana kami sama-sama memasukinya. Ceh, berhentilah daripada berangan wahai hati.

Aku menghentikan langkahku apabila Taufiq berhenti betul-betul di hadapan sebuah meja yang sudah dihias cantik. Bunga, teddy bear, coklat dan kad ucapan yang Taufiq beli bersamaku dahulu juga ada di atas meja itu.

“Selamat datang, cik Leena,” suara itu mengejutkan aku yang sedang leka memerhatikan semua yang ada di atas meja. Barulah aku perasan akan kehadiran seorang wanita yang sudah sedia duduk di situ. Inikah si dia yang dikatakan oleh Taufiq? Hmm… cantik juga, sesuailah dengan Taufiq yang kacak itu.

“Terima kasih,” balas aku sekadar untuk beramah mesra.

Ada satu lagi persoalan, meja di hadapan aku ini hanya ada dua buah kerusi. Sebuah kerusi sudah diduduki oleh si dia, hanya tinggal sebuah sahaja kerusi yang tinggal. Dan sudah pastilah Taufiq yang akan mendudukinya. Habis tu, macam mana dengan aku?? Aku hadir di sini dengan pakaian yang cantik begini, berfungsi sebagai apa? Hanya terpacak sambil melihat Taufik dan si dia itu beramah mesrakah? Oh, no!!! Taufiq memang melampau jika memperlakukan begitu.

Aku lihat si dia mengambil bunga berserta teddy bear di atas meja. Adeh… janganlah kau nak bermesra-mesra dengan si Taufiq ini di hadapan aku pula. Aku tidak mahu menjadi saksi cinta kau orang. Sakit hati aku ni tahu tak? Mengapa aku harus sakit hati? Entahlah, dah malas nak fikir.

“Tahniah,” ucap si dia sambil bangun dan mengunjukkan bunga tersebut kepada Taufiq.

Haa… kan aku dah kata, mesti dia nak bagi pada Taufiq. Ucapan tahniah itu mesti tanda dia menerima cinta Taufiq kepadanya. Tapi… sepatutnya Taufiq yang harus memberikan bunga itu kepada si dia. Kenapa sekarang sudah terbalik? Makin pening aku jadinya. Aku lihat Taufiq menerima bunga itu dengan senyuman yang melebar.

“Cik Shahidatul Aleena binti Sharuddin, sudikah kau menerima cinta aku?” Tiba-tiba Taufiq mengunjukkan bunga tersebut kepadaku sambil diiringi ucapan yang boleh sahaja membuatkan aku pengsan. Namun aku cuba gagahkan diri. Aku tidak bermimpikah??

Lidahku kelu dan mataku sudah terkebil-kebil.

“Kaulah si dia itu sebenarnya, Leena. Memang selama ni aku pengecut. Aku tak berani luahkan perasaan aku. Aku bersungguh-sungguh dan ikhlas dengan kau. Sudikah kau menerima cinta aku?” Soal Taufiq buat kali kedua.

“Dia ni…. bukan si dia?” Aku menyoal kembali tanpa menjawab soalannya. Aku memandang wanita yang aku sangka si dia itu.

“Saya cuma pekerja di restoran ini saja, cik Leena. Maaf sekiranya saya mengganggu. Encik Taufiq, saya sudah menjalankan tugas. Saya undur diri dahulu, ya. Semoga kalian gembira berkunjung di restoran ini. Terima kasih,” ucap wanita itu, dia terus berlalu setelah melihat Taufiq mengangguk.

“Taufiq, apa semua ni? Aku kawan kau, kan?” Aku masih cuba menolak hakikat.

“Tak, Leena. Kaulah si dia yang aku cintakan itu,” tegas Taufiq bersungguh-sungguh.

“Hissyy… aku bermimpi ni,” kataku seraya mencubit sebelah pipiku. Adehh… sakitt!

“Kau tak bermimpi, sayang,” ucap Taufiq tanpa rasa segan.

“Janganlah main-main, Taufiq. Kau tahu kan yang aku tak suka kau berlatih mengurat tapi tak nak bagi tahu aku awal-awal,” aku cuba memberi amaran kepada Taufiq.

“Kali ni sumpah, aku tak berlatih. Aku dah lama sukakan kau, Leena,” luah Taufiq.

Aku tidak mampu untuk menafikan segala kata-katanya lagi. Sudikah aku menerima cintanya? Aku tahu dia ikhlas, dan aku juga tahu dia memang bersungguh-sungguh. Tapi mana boleh secara tiba-tiba sahaja aku mahu menerima cinta dia.

“Maaf kalau aku macam mendesak kau. Jangan risau, kau tak perlu bagi jawapan tu sekarang kalau kau belum ada jawapannya. Tapi aku nak tambah satu lagi soalan. Dan kau kena bagi jawapannya sekarang juga. Sudikah kau makan malam malam dengan aku?”

Soalannya yang baru itu membuatkan aku tersenyum. Opss!! Senyuman aku itu… tanda apakah? Dengan malu-malu kucing aku duduk di kerusi yang baru ditarik oleh Taufiq. Hati aku berdebar-debar tatkala dia sudah duduk di hadapan aku. Aku cuba memandangnya. Tapi… ah, mengapa tiba-tiba sahaja aku tidak berani memandang tepat ke arah matanya?

*****

DUA minggu sudah berlalu. Aku masih belum memberikan jawapan kepada Taufiq. Sepanjang tempoh ini kami langsung tidak berhubung melalui telefon. Aku yang minta begitu supaya aku boleh berfikir dengan tenang. Tidak dinafikan, pada saat ini aku memang terlalu rindukan suara Taufiq kerana sudah biasa mendengarnya pada setiap malam. Itukah tanda cinta aku padanya? Dan hingga saat ini, aku masih tidak sanggup untuk membayangkan kembali pandangan matanya pada malam di Restoran Cinta itu. Pandangan itu pasti akan mengundang debaran walaupun ia hanya hadir di dalam bayangan fikiran aku sahaja. Hah… kini aku pasti. Aku memang cintakan kau juga, Taufiq.

Aku terus mencapai telefon bimbit.

“Assalamualaikum, Taufiq. Aku sudi menerima cinta kau.” – aku.

Aku malu untuk bercakap di telefon. Jadi eloklah kalau aku menghantar pesanan ringkas sahaja. Beberapa saat kemudian, terdapat mesej baru yang masuk ke dalam telefon bimbit.

“Terima kasih, sayang!” – Taufiq.

Aku tersenyum lebar. Berbunga-bunga hati aku ini tatkala membaca perkataan ‘sayang’ itu.

“Terima kasih, sayang…” Aku membalasnya dengan kata-kata walaupun dia tidak dapat mendengar suaraku. Suatu hari nanti, aku pasti akan mengucapkannya jua di hadapan Taufiq. Pada saat ini, cukuplah dia tahu bahawa aku sudah menerima cintanya.

-TAMAT-


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

37 ulasan untuk “Cerpen : Sudikah Kau Terima?”
  1. Noraz Ikha says:

    Terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan memberi ulasan di sini. Saya sayang kamu semua! 😀

  2. nabilah azima says:

    best 😀

  3. P1 says:

    sweet lah cerita ni.. 😉

  4. ASYURA says:

    best citer ni….
    gud job writter!

  5. Noraz Ikha says:

    Terima kasih nabilah, P1, dan asyura :-)

  6. Aida says:

    Best 😀
    Harap dapat buat cerpen yg lebih menarik slepas ini 😀

  7. Aisyh says:

    Best! Good job writerrxx! hehe

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.