Cerpen : Ulang Tahun Cinta Sepanjang Usia

23 June 2016  
Kategori: Cerpen

Penulisan2u

Oleh: YAT DAN

ADIBAH duduk tegak di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya. Di cermin itulah tempat dia selalu membilang butir-butir jerawat di pipinya. Dan seiring dengan putaran masa, kini dia membilang pula garis-garis halus yang mula singgah di mukanya. Dan kalau dulu dia tidak mengambil masa yang lama untuk berada di situ. Kini, dia mampu menghadap cermin sehingga berpuluh-puluh minit lamanya. Mengharap akan ada perubahan pada wajahnya setelah dia berusaha kuat untuk menjadi cantik semula. Namun, segala usahanya hanya sia-sia.

Perlahan-lahan, wanita berusia 55 tahun itu meletakkan semula gincu bibir yang dipegangnya tadi ke atas meja solek. Niat asalnya hendak mewarnakan bibir tuanya dengan warna merah jampu terbantut, apabila wajah seorang gadis cantik tiba-tiba bergayutan di tubir matanya. Wajah gadis muda bertaraf jelitawan itu yang telah merubah kehidupannya yang dulu bahagia kini sengsara.
Berkali-kali airmatanya jatuh semenjak dia tahu siapa gadis itu di dalam hati Lukman, suaminya.

Ah, Adibah! Dia memang dah tak cintakan kau lagi. Bukan saja kerana kau sudah tidak secantik dulu. Tetapi kerana kau sudah tua. Ya, kau wanita yang meningkat usia hari demi hari.
Sedangkan dia pula, semakin bertambah usianya, semakin muda rasa dan nafsunya. Mampukah kau yang sudah tua kerepot dan berkedut ini hendak menjadi muda semula dan memberi layanan padanya sama seperti dulu?

Sebenarnya, kalau dilihat dari pandangan mata kasar, Adibah sebenarnya tidaklah setua mana. Badannya tidak seperti kebanyakan perempuan yang sudah berumur lima puluhan kerana dia memang pandai menjaga bentuk tubuhnya sejak dulu. Cuma, kalau diamati wajahnya betul-betul, memang akan kelihatan garis-garis penuaan pada wajahnya yang berkulit sederhana cerah itu. Garis-garis halus itu tidak mampu dilindungi atau dinyah sama sekali. Kerana setiap manusia yang meniti usia sepertinya pasti akan mengalami keadaan yang sama seperti itu. Belilah produk kecantikan berjenama apa sekali pun. Ia takkan mampu membuat kulit yang sudah berkedut itu tegang dan licin semula. Ya, tidak akan!

Adibah memejamkan matanya sesaat dua. Kolam mata yang mula sebak dengan airmata itu perlahan-lahan mula mencurahkan manik-manik jernih di pipinya yang polos. Kalau dulu, kepolosan itulah yang digilai sang suami atas alasan si suami tidak gemar kepada perempuan yang bersolekan tebal. Tetapi kini pipi polos itu mungkin sudah mula jemu dipandang. Sang suami mula mendambakan gadis berkulit tegang, berbibir mungil dan berkening halus terbentuk. Sang suami mula kemaruk pada gadis muda berbadan ramping, berleher jinjang dan berpipi pauh dilayang.

Dan itulah perkara yang tidak mampu dimiliki semula oleh Adibah. Walaupun pernah suatu ketika dia memiliki semua itu. Namun, kini semuanya sudah hilang dimamah usia. Zaman kegemilangannya sudah berakhir. Dia kini tidak lagi menggiurkan di mata Lukman.

“ Ibu… Ika tengok ibu lain macam je sekarang. Kenapa, ya? Ibu tak sihat, ke?” tanya Zulaikha, anak bongsu Adibah pada suatu malam ketika hanya mereka berdua berada di rumah. Sementara Lukman seperti biasa masih belum pulang selagi jam tidak menghala ke angka sepuluh malam.

Banyak kerja. Itulah alasan yang sering diberikan Lukman setiap hari. Walhal Adibah sudah tahu apakah perkara yang disibukkan sangat oleh suaminya itu akhir-akhir ini. Lukman sibuk mengulit gadis muda dan mula lupa tentang dosa dan pahala.

Adibah merenung wajah lembut Zulaikha sekilas. Teringatkan Melissa, gadis muda yang sedang digilai oleh suaminya sekarang. Tentu usia Melissa dengan Zulaikha tidak jauh beza atau mungkin juga sebaya. Bagaimana Lukman boleh jatuh cinta dengan gadis yang boleh dianggap seperti anak sendiri itu? Apakah ia benar-benar berasaskan cinta atau hanya nafsu semata-mata?

Dan, apakah benar gadis itu memang benar-benar ikhlas mencintai suaminya. Atau hanya harta benda yang dikejarkannya? Tidakkah masih ramai lelaki muda di luar sana yang berharta. Mengapa masih suaminya yang sudah beruban itu juga yang dihajati dan digila-gila?

Ah, bodohnya gadis secantik Melissa itu kerana memilih suami orang. Sedangkan lelaki lain yang masih bujang dan berharta tentu saja ada yang sedang menanti di luar sana. Kadang-kadang, Adibah sendiri tidak faham apa yang dikejarkan oleh gadis zaman sekarang. Entah apa yang mereka cari dalam hidup mereka sebenarnya sehingga mereka tergamak menikahi suami orang dan rela menyandang gelaran isteri kedua, ketiga atau keempat.

“ Ibu tak ada apa-apa, Ika. Ibu sihat saja…” jawab Adibah perlahan sambil memaksakan sebuah senyuman kepada Zulaikha yang masih merenungnya. Adibah pura-pura sibuk membelek majalah sambil sesekali matanya mencuri pandang ke arah filem Inggeris yang sedang ditonton oleh Zulaikha di kaca TV.

Sebenarnya, hubungan Adibah dan Zulaikha memang rapat sejak dulu memandangkan hanya Zulaikha sahaja anaknya yang masih tinggal dengannya dan merupakan satu-satu anak perempuan yang dia ada. Dua lagi anaknya, Zulhilmi dan Zairil masing-masing sudah berkahwin dan tinggal bersama keluarga masing-masing.

Namun, akhir-akhir ini Zulaikha sudah jarang-jarang meluangkan waktu berbual-bual dengannya. Zulaikha sering sibuk dengan urusan kerjanya yang tidak pernah surut. Tiada kesempatan untuk si gadis itu bertanyakan masalah si ibu, meskipun sudah berminggu-minggu dia perasan akan perubahan pada ibunya itu. Perubahan yang semakin hari semakin ketara itu menjentik rasa bimbang di hati kecil Zulaikha, menyebabkan gadis berusia pertengahan dua puluhan itu nekad untuk bertanya sendiri dengan si ibu malam ini.

“ Betul ibu tak ada apa-apa ni? Kalau ibu tak sihat, Ika boleh ambil cuti esok. Ika hantar ibu pergi klinik, ya?” ujar Zulaikha lembut dan perlahan. Dia risau andai ibunya itu menyembunyikan sesuatu darinya. Bukan dia tidak sedar sejak akhir-akhir ini Adibah lebih banyak diam dari bercakap. Kadang-kadang dia terfikir, mungkin Adibah berkecil hati dengannya kerana dia terlalu sibuk berkerja dari pagi sampai ke malam. Tambahan papanya sendiri sudah semakin jarang berada di rumah dan sering berkerja outstation. Kasihan ibunya kerana selalu ditinggalkan sendirian di rumah. Pasti ibunya bosan.

“ Ibu tak ada apa-apa, Ika. Ibu sihat…” ulang Adibah sekali lagi. Cuba meyakinkan si anak bahawa tiada apa-apa yang berlaku kepadanya. Bagi Adibah, kalau Zulaikha mendapat tahu tentang kecurangan Luqman pun, biarlah dari mulut orang lain dan bukan daripada mulutnya sendiri.

Sebenci-benci dia terhadap perbuatan Lukman itu, dia tidak sampai hati hendak mencanang cerita buruk tentang lelaki itu biarpun kepada anak mereka sendiri. Biarlah anak-anak mereka tidak tahu apa-apa. Biarlah dia pendam sendiri semua kisah sedih itu. Dia sudah tua, sudah malas hendak mengadu domba ke sana ke sini. Cukuplah hanya tuhan yang mengetahui segala-galanya.

Zulaikha yang duduk bersebelahan Adibah tiba-tiba mendakap erat bahu ibunya. Dia terfikir sesuatu yang selama ini jarang-jarang difikirkannya. Bukan kerana dia tidak mahu, tapi kesibukannya berkerja membuatkan dia jarang-jarang mempunyai masa di rumah lagi. Seperti papanya Lokman, dia juga kerap berkerja di luar menemani bosnya, Tuan Idham. Dia dan Tuan Idham seperti tidak boleh dipisahkan lagi. Dia sendiri berasa tidak sanggup untuk berpisah lama dengan lelaki tua itu. Tapi, esok dia nekad hendak mengambil cuti. Dia mahu menemani Adibah dari pagi sampai malam. Dia mahu wanita itu ceria semula seperti sediakala.

“ Bu…” panggil Zulaikha lagi sambil melentokkan kepalanya di bahu Adibah. “ Esok kita pergi shopping, nak? Dah lama kan… kita tak keluar sama-sama,” ujar Zulaikha dengan kuntuman senyum di bibirnya.

Adibah yang rasa tenang dipeluk oleh si anak pantas mengalihkan kepala Zulaikha dan mengangkat muka merenung wajah anaknya. “ Esok?” soal Adibah pelik. “ Tapi, esok kan Ika bekerja?” ujar Adibah.

“ Ya… tapi Ika ingat nak ambil cuti. Dah lama sangat Ika tak cuti. Ika nak temankan ibu esok. Nak bawak ibu jalan-jalan,” ujar Zulaikha manja.

“ Tapi… bos Ika tak kisah, ke? Bos Ika tu bukannya boleh Ika tak ada, kan? Nanti kejap-kejap dia telefon. Kejap-kejap hantar mesej,” tukas Adibah. Sudah faham benar dengan sikap bos anaknya itu.

Kadang-kadang, Adibah sendiri berasa pelik melihat cara Zulaikha berkerja. Sehari suntuk menghadap kerja. Baharu saja menjejakkan kaki ke rumah, bosnya sudah menelefon semula. Apa, banyak sangatkah urusan Zulaikha di pejabat sampaikan waktu malam anaknya pun harus diganggu.

Adibah bukannya apa. Dia kasihan melihat Zulaikha yang nampak terlalu sibuk hinggakan tiada masa hendak bersantai-santai di rumah meskipun pada waktu hujung minggu. Sedangkan gadis lain di usia Zulaikha sudah sibuk memikirkan tentang masa hadapan, tentang calon suami dan sebagainya. Tetapi Zulaikha tidak. Asyik dengan kerja sehingga lupa hendak memikirkan diri sendiri.

“ Hmm… tak apa. Nanti pagi-pagi esok, Ika call bos Ika bagitau yang Ika ambil cuti. Lagipun, esok tak ada apa-apa yang penting,” beritahu Zulaikha kepada Adibah. Bahu ibunya itu dipeluknya semula.

Adibah lantas tersenyum sambil memberikan persetujuannya untuk keluar bersama pada hari esok. Dalam hati dia berfikir, mungkin ini adalah salah satu cara untuk dia melupakan seketika masalah yang sedang berselirat di dalam fikirannya.

Keesokkan hari, Adibah meminta izin Lukman untuk keluar bersama Zulaikha. Seawal jam 9 pagi dia sudah bersiap cantik dengan harapan dapat mencuri sedikit tumpuan Lukman agar suaminya itu mahu menatap wajahnya walaupun seminit dua. Dan fikirnya, dengan berpenampilan seperti itu, sudah tentulah Lukman akan bertanya macam-macam kerana dia sudah lama tidak keluar dan asyik memerap di rumah 24 jam.

Tetapi rupanya dia salah. Kerana sebaik memberitahu Lukman yang dia dan Zulaikha hendak keluar, Lukman hanya mengangguk sambil menjawab acuh tak acuh. Tanpa sedikit pun mempunyai perasaan mahu melihatnya, apatah lagi hendak memuji penampilan cantiknya. Lukman juga langsung tidak bertanya ke mana dia dan Zulaikha hendak pergi, apa yang hendak dibeli, malahan wang belanja juga langsung tidak dihulur sedangkan dia tahu yang Adibah bukannya berkerja.

Walaupun terasa, Adibah tidak meminta. Cukuplah dengan apa yang dia ada. Lagipun dia tidak berhajat hendak membeli apa-apa. Sekadar hendak menemani Zulaikha dan mencari sedikit hiburan untuk dirinya sendiri. Cukuplah.

“ Abang balik lambat lagi ke hari ni?” tanya Adibah lembut sambil memerhati Lukman yang sedang asyik menyisir rambutnya yang sudah semakin jarang itu. Lelaki itu memang begitu sejak kebelakangan ini. Suka berlama-lama menatap wajah di hadapan cermin. Suka berwangi-wangi dengan gaya yang semakin menjadi-jadi. Bahkan juga mungkin sudah terlupa yang dia sudah bergelar haji.
Hanya kerana seorang gadis muda yang cantik dan bertubuh seksi, Lukman tersungkur dan lupa diri.
Dia lupa yang dia masih ada anak isteri yang memerlukan bimbingannya untuk sama-sama menuju redha ilahi.

“ Hmm… macam biasalah,” balas Lukman dengan suara senada. Tiada lagi kemesraan seperti dulu.
“ Okeylah… Dib takut abang balik cepat pula nanti. Sebab Dib pun tak tahu lagi nak balik pukul berapa. Ika cakap nak pergi banyak tempat hari ni,” beritahu Adibah dengan mesra.

Sekalipun Lukman tetap buat endah tak endah, dia tidak pernah membalas. Bagi Adibah, dia tidak akan berkasar selagi lelaki itu juga tidak berkasar dengannya. Bahkan walaupun lelaki itu semakin dingin, kasih sayangnya terhadap Lukman tetap hangat mengalir tanpa henti. Lukman satu-satunya lelaki yang dicintainya dari dulu hingga kini. Dari Lukman tidak punya apa-apa, sehinggalah kini sudah banyak mengumpul harta, atau mungkin nanti akan jatuh miskin semula. Dia tetap akan cinta dan setia kepada lelaki itu.

“ Nanti, Dib call abang bagitau kalau Dib nak balik, ya..” ujar Adibah lagi sambil buat-buat manja menyentuh tali leher suaminya. Dia tahu semua itu tidak penting lagi bagi Lukman. Namun, sebagai seorang isteri, dia tetap akan melayan Lukman dengan penuh kasih sayang. Lelaki itu adalah suaminya. Dan akan tetap menjadi suaminya selagi lafaz`cerai tidak terlafaz dari bibir Lukman.

Kedua ibu dan anak itu melangkah riang dari satu bangunan ke satu bangunan. Dari satu butik ke satu butik. Dari satu bahagian ke satu bahagian. Kebiasaannya, bahagian yang paling disukai oleh Zulaikha ialah bahagian beg tangan wanita. Jika tidak membeli pun, cukup baginya jika dapat menyentuh atau membelek satu persatu beg tangan yang berada di situ. Kata orang, cuci mata atau pun window shopping.

Namun, pada hari ini Zulaikha tidak mahu sekadar melihat. Dia hendak membelikan sebuah beg tangan untuk ibunya memandangkan wanita itu juga sudah lama tidak membeli beg tangan baharu.

“ Cantik tak beg ni, ibu?” tanya Zulaikha sambil menayang sebuah beg tangan berwarna merah berkilat kepada Adibah. Belum sempat Adibah hendak menjawab, beg tangan itu sudah tersangkut di atas bahunya.

“ Hmm… cantik. Sesuai dengan Ika,” balas Adibah tanpa mengetahui niat sebenar Zulaikha.
“ Tak. Bukan untuk Ika. Tapi untuk Ibu,” ujar Zulaikha bangga.

“ Untuk ibu?” Adibah terkejut. “ Ish… manalah sesuai ibu yang dah tua-tua ni nak pakai beg macam ni lagi. Untuk Ika, sesuailah,” Adibah mengulangi kata-katanya tadi.

Adibah menghulurkan semula beg tangan tersebut kepada Zulaikha. Untuk wanita yang sudah berusia sepertinya, rasanya tidak layak lagi hendak menggayakan beg tangan berwarna garang seperti itu. Bimbang nanti dia dilabelkan sebagai perempuan tua tak sedar diri pula. Lagi pula beg tangannya yang lama masih dalam keadaan elok. Tidak pernah terniat dia hendak menukarkan dengan yang baharu. Dia sayang beg tangan lamanya kerana beg itu merupakan beg tangan termahal yang pernah dibelikan oleh Lukman untuknya.

“ Ala… beg tangan Ika dah banyak kat rumah tu. Yang belum guna pun ada lagi. Ni… Ika nak belikan untuk ibu.” Zulaikha tetap berdegil mahu Adibah bersetuju dengan pilihannya. “ Ibu ambil, ya…” lembut dia memujuk.

“ Ish, tak payahlah Ika. Jangan buang duit. Ika belum gaji lagi, kan?” Adibah tetap tidak mahu. Dia menolak semula beg tangan itu kepada Zulaikha, namun Zulaikha tetap menggeleng-geleng kepala. Sempat Adibah mengintai tanda harga yang tergantung di tali beg tersebut dan sebaik melihat tanda harga yang terpamer, Adibah pantas menelan air liur dan terus dia meletakkan semula beg itu ke tempat asalnya.

“ Tak payahlah, Ika. Mahal ni.” Adibah menolak lagi.

Zulaikha memuncung bibir, pura-pura ambil hati. Dia tahu Adibah dari dulu tidak gemar bertukar beg tangan atau apa sahaja barang-barang lain seperti jam tangan, kasut dan sebagainya. Bagi Adibah, selagi barang-barang tersebut masih elok dan boleh diguna pakai, tiada alasan untuk dia membeli yang baharu meskipun dia mampu. Adibah akan menggunakan barang-barang itu sehingga ia rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

“ Ala ibu… please… Ika teringin sangat nak belikan ibu beg tangan ni. Ibu terima, ya. Lagipun, bukannya selalu Ika belikan ibu apa-apa,” pujuk Zulaikha lagi sambil mencapai semula beg tangan yang sudah diletakkan ke rak oleh ibunya tadi.

Adibah semakin serba salah. Dipandangnya beg tangan merah berkilat itu sambil mengetap bibir sendiri. Rasa tidak sampai hati hendak menerima pemberian semahal itu daripada Zulaikha. Bukankah lebih baik kalau Zulaikha membeli beg itu untuk diri sendiri. Pasti lebih sesuai berbanding dia yang sudah berusia ini yang menggayakannya.

“ Tapi…”

“ Ah, tak ada tapi-tapi lagi…kita ambil yang ni, okey? Hello miss…” ujar Zulaikha sambil tangannya mula menggamit seorang jurujual berbangsa Cina yang sedang bertugas.
Adibah tidak sempat berkata apa-apa lagi apabila jurujual tersebut mula menghampiri mereka dengan senyuman lebar di bibir.

Selepas menunaikan solat Isyak, Adibah bersandar di kepala katil sambil membelek beg tangan yang dibelikan Zulaikha untuknya siang tadi. Dia mengaku beg tersebut memang cantik, namun dia rasa malu hendak menggunakannya.

Ah, dia sudah tua, masakan mahu bergaya seperti orang muda. Nanti apa pula kata Lukman kalau melihat dia menggalas beg seperti ini.

“ Hah! Kat sini rupanya awak. Saya ingat dah tidur tadi. Buat apa kat dalam bilik ni? Kenapa tak tengok TV kat bawah dengan Ika?”

Adibah tersentak apabila Lukman tiba-tiba terjongol di muka pintu bilik. Cepat pula Lukman balik malam ini. Desis hatinya.

“ Tak ada apa, bang. Dib baru lepas solat Isyak tadi. Berehat sekejap,” balasnya sambil meletakkan beg tangan berwarna merah hati itu ke atas meja kecil di sisi katil. Dia perasan mata Lukman menjeling-jeling ke arah beg tersebut. Dia diam, menunggu Lukman bertanya soalan lanjut. Dia yakin yang Lukman pasti akan bertanya tentang beg itu padanya sekejap lagi.
“ Awak shopping handbag baru, ke?” tanya Lukman yang sudah melabuhkan punggung di katil, membuka stoking di kaki dan menanggalkan tali leher yang membelit lehernya. Stoking dan tali leher tersebut lantas dicampak saja ke atas katil dan seperti biasa Adibahlah yang akan mengutip semuanya.

“ Taklah, bang,” balas Adibah sambil mengutip segala barang-barang yang dilemparkan Lukman. Kemudian, perlahan-lahan dia bangun dari katil dan mencapai tuala lalu dihulurkan kepada Lukman yang hanya menunggu seperti raja.

Begitulah cara Adibah melayan Lukman setiap hari. Lukman didodoi dan ditatang seperti minyak yang penuh. Langsung tidak tertumpah walaupun sedikit. Tetapi akhirnya, balasan yang dia dapat dari lelaki itu adalah kecurangan dan pengkhianatan semata.

“ Habis tu?” soal Lukman masih tidak berpuas hati. Ya, kalau bukan Adibah yang membeli, siapa pula yang hendak memberi? Gumam lelaki itu dalam hati.

“ Ni… Ika yang belikan untuk Dib. Kata dia Dib dah lama tak ganti beg baru,” ujar Adibah lalu ketawa perlahan. Sengaja dia ketawa agar dapat membibitkan suasana mesra di antara dia dan Lukman, walaupun dia tahu semua itu tiada maknanya lagi di sisi lelaki itu.

“ Hmm… nak ganti beg baru buat apa? Awak bukannya nak ke mana-mana pun,” ujar Lukman dingin. “ Lagipun, handbag LV yang saya belikan untuk awak dulu masih elok lagi kan? Kenapa mesti membazir? Perempuan lain kalau setakat duduk di rumah, tak merasa tau nak pakai beg mahal-mahal macam tu!” ujar Lukman keras.

Adibah tunduk. Ternyata Lukman tidak menyukai beg yang dihadiahkan oleh Zulaikha kepadanya. Ah, entah Lukman tidak sukakan beg atau tidak suka kepada pembaziran, Adibah sendiri tidak tahu. Satu yang dia tahu, apa saja yang dia gunakan, pakai, atau sarung ke tubuh badannya sekarang memang tidak lagi mempesona di mata Lukman. Lukman sudah muak dengannya. Lukman mahukan sesuatu yang baharu. Yang tiada kena mengena dengan dirinya lagi.
Itu yang dia pasti.

“ Ha’ah… itu yang Dib cakap kat dia tadi. Beg tangan Dib elok lagi. Tapi dia tetap nak belikan juga. Dib nak buat macam mana… terima ajelah.”

Memang beg tangan Louis Vuittonnya masih cantik dan masih elok untuk digunakan. Itulah beg tangan paling mahal yang pernah Lukman belikan untuknya hampir dua tahun yang lalu ketika harijadinya yang kelima puluh tiga. Ketika itu, perniagaan Lukman sedang maju dan berkembang. Rezeki mereka turun mencurah-curah seperti hujan lebat, sama lebat dengan curahan kasih sayang Lukman terhadapnya.

Dan siapa sangka, itulah beg tangan pertama paling mahal yang pernah dimilikinya yang mungkin juga akan menjadi beg tangan terakhir dari Lukman untuknya. Kini, jangankan beg tangan berjenama, hendak membeli gincu sebatang pun belum tentu Lukman sudi.

“ Hmm… awak tu dah berumur, Adibah. Ingatlah sikit. Mana elok nak pakai beg tangan merah menyala macam ni lagi. Dah tak sesuai dah..” bebel Lukman sambil membuka satu persatu butang baju kemejanya. Tuala disidai di atas bahu lalu dia segera melangkah ke bilik air meninggalkan Adibah yang diam terkulat-kulat tanpa kata.

Dalam hati, Adibah sudah mengagak bahawa ini yang akan diterimanya. Bukan soal dia sudah tua. Tapi soalnya Lukman sudah hilang rasa kepadanya. Dan itulah yang sebenar-benarnya.
Sabarlah duhai hati… Adibah memujuk dirinya untuk kesekian kali.

Sebulan kemudian…

Adibah sedang sibuk mengemas dapur ketika telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi nyaring. Sebaik terpandangkan nama Zulaikha yang tertera di skrin telefon, bibirnya menguntum senyum. Dia tahu, walaupun Lukman mungkin sudah lupa pada tarikh istimewa ini, tetapi Zulaikha tidak pernah lupa. Dia tahu anaknya itu akan sentiasa ingat dan akan sentiasa mengucapkannya.

“ Happy anniversary, ibu… !” ucap Zulaikha riang di hujung talian.

“ Terima kasih. Ibu ingat Ika lupa,” balas Adibah. “ Yelah, orang asik berkepit dengan bos…” usik Adibah lagi yang tahu bagaimana tugas Zulaikha sebagai seorang Pembantu Peribadi kepada Tuan Idham.

“ Hmm… Ika tak pernah lupa, ibu. Ika buat-buat lupa je,” Zulaikha tergelak kecil, sengaja mahu menyakat ibunya.

Adibah turut ketawa. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh dengan ucapan itu, walaupun jauh di sudut hati, dia mengimpikan ucapan itu akan terlafaz dari bibir lelaki yang dicintainya. Tapi sayang, Lukman hanya buat tidak peduli. Mungkin lelaki itu memang langsung tidak mengingati tarikh bermakna itu lagi.

“ Malam ni kita keluar nak… kita celebrate, okey?” usul Zulaikha gembira. Sudah tiga hari dia tiada di rumah kerana berkerja outstation dan sejak semalam, benaknya sibuk memikirkan hadiah apakah yang paling sesuai hendak diberikan kepada ibu dan papanya sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke 31 ini.

Dan bukan setakat hadiah, Zulaikha bercadang pada malam ini juga dia hendak berterus terang dengan Adibah dan Lukman tentang hubungannya dengan Tuan Idham. Lelaki itu ikhlas mahu memperisterikannya dan dia yakin dia mampu memujuk Adibah agar menerima pilihan hatinya. Tambahan, persetujuan isteri lelaki itu juga sudah diperolehi. Jadi, orang lain sepatutnya tidak menghalang keputusan yang telah dia tentukan ini.

“ Hmm… tapi abang-abang Ika tak ada. Kita sambut hari lain sajalah,” balas Adibah. Dia mengharapkan agar ketiga-tiga anaknya akan ada bersamanya pada malam ini. Tapi, dia tahu Zulhilmi dan Zairil tidak mungkin dapat balik kerana hari ini bukanlah hari minggu dan kedua-dua anaknya itu tinggal berjauhan.

“ Hmm…” Zulaikha berfikir-fikir sejenak. Benar juga kata ibunya itu. “ Okey, kalau macam tu, kita celebrate kat rumah aje. Lagipun…” kata-katanya tergantung sekejap. “ Ika…”

Adibah diam, menunggu dengan penuh sabar. Dia rasa seperti ada sesuatu yang hendak diluahkan oleh anak gadisnya itu kepadanya. Dia perasan akan perubahan Zulaikha sejak beberapa hari ini. Tetapi sengaja dia tidak mahu bertanya. Namun, bila melihat Zulaikha yang semakin ceria akhir-akhir ini, dia yakin, anak gadisnya itu sedang dilamun cinta. Tapi dengan siapa agaknya?

“ Hmm… tak apalah, nanti malam Ika bagitau, ya. Okeylah… Ika nak call papa pula. Nak suruh papa balik awal malam ni. Okey, ibu… see you tonight… Love you…”
Talian telefon lantas diputuskan.

Makan malam sudah dihidangkan. Walaupun cuma bertiga, namun pelbagai jenis makanan Adibah siapkan.

Bagi Adibah, itu saja yang dia mampu usahakan buat suami tersayang iaitu dengan menghidangkan masakan daripada air tangannya sendiri. Lagipun, Lukman sudah lama tidak makan malam di rumah sekarang. Hampir setiap malam dia makan bersendirian kerana Lukman hanya akan pulang selepas makan malam di luar. Dia sudah lali dan sudah malas hendak mengambil hati. Alang-alang sudah ada peluang begini, dia mahu melakukan sehabis baik. Malam ini, dia akan kenyangkan Lukman dengan air tangannya yang paling istimewa.

“ Ya Allah, sedapnya bau. Dari luar Ika dah boleh bau, bu..”

Gadis itu muncul di muka pintu sambil menatang sebuah kotak merah yang bertulis perkataan Secret Recepe. “ Sorry ibu… Ika dah try nak balik awal tolong ibu… tapi jalan pulak jammed. Ada accident kat highway tadi,” tipu gadis itu. Padahal jenuh dia berpusing satu Kuala Lumpur dengan Tuan Idham demi mencarikan hadiah buat Adibah dan Lukman.

“ Tak apalah… tak payah tolong-tolong, dah siap pun,” ujar Adibah bangga sambil melihat hidangan yang penuh semeja.

Dia melirik ke arah jam dan berharap sekejap lagi Lukman akan pulang. Lagipun permintaan pulang awal itu adalah permintaan Zulaikha dan bukan permintaannya. Jadi, Lukman pasti akan tunaikan permintaan Zulaikha kerana Zulaikha adalah anak kesayangannya. Bergelar satu-satunya anak perempuan membuatkan Zulaikha bergelar anak manja dari dulu sampai sekarang.

“ Wah, macam-macam ada. Tak sabarnya nak makan. Mana papa ni?” rungut Zulaikha ketika meletakkan kek di atas meja. “ Ibu masak sendiri ke semua ni?” soal Zulaikha sambil memandang ke arah lauk pauk yang begitu menyelerakan tekaknya.

Walaupun sibuk memasak macam-macam. Wajah Adibah langsung tidak nampak penat. Malah ibunya itu nampak sangat cantik malam ini walaupun tanpa secalit mekap dan hanya berbaju biasa.

Ya, Adibah sebenarnya masih cantik walaupun sudah berusia. Wajahnya masih lembut dan ayu dipandang. Cuma, selera Lukman yang sudah tiada. Dia menggilai yang muda. Adibah sudah tua dan tidak lagi menarik di mata lelakinya.

“ Kenapa? Dalam rumah ni ada orang gaji, ke?” Adibah menyindir dengan senyuman.

Pantas Zulaikha ketawa sambil dalam hati merasa bodoh dengan soalan sendiri. Ya, tentulah semua itu dimasak oleh ibunya sendiri. Bukan kerana mereka tidak pernah mengambil orang gaji. Tetapi kerana ibunya memang gemar memasak dan memang pakar dalam hal masak memasak.

Bagi Zulaikha, papanya beruntung kerana memiliki isteri seperti ibunya yang rajin dan pandai memasak ini. Cuma sejak akhir-akhir ini saja dia merasakan yang dia dan Lukman adalah manusia paling rugi kerana sering terlepas peluang untuk merasai air tangan wanita istimewa ini. Manakan tidak, dia dan Lukman sering saja pulang lewat dan biasanya mereka akan makan di luar sahaja sebelum balik ke rumah.

Lantaran itu, malam ini Zulaikha mahu mengakhiri semuanya. Zulaikha fikir, apabila dia dan Tuan Idham sudah berkahwin nanti segala-galanya tidak perlu lagi dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Dia akan berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri. Dengan itu, dia akan punya lebih masa untuk dihabiskan bersama Adibah. Semuanya sudah terancang kemas di minda Zulaikha. Dia mahu Adibah turut sama berkerja di butiknya nanti. Dan ibunya itu takkan merasa kesunyian lagi selepas ini.

Itu janjinya.

Lukman muncul setengah jam kemudian. Walaupun boleh dikatakan terlewat, namun Adibah tetap merasa gembira kerana lelaki itu sudi meraikan detik bermakna ini bersama. Tidak perlu ucapan atau hadiah untuknya. Cukup sekadar lelaki itu berada di sisinya dan mahu merasai air tangannya. Dia sudah cukup gembira.

“ Bestnya kalau hari-hari makan macam ni,” usik Zulaikha sambil mulutnya tidak berhenti mengunyah itu dan ini. Sambil makan, hatinya berdebar-debar hendak memaklumkan tentang hubungannya dengan Tuan Idham. Tetapi, apa pun yang terjadi, dia tetap akan berterus terang malam ini.
Dia sudah bersedia dan yang paling penting, dia sudah tidak mahu menunggu lebih lama lagi. Dia benar-benar sedang mabuk cinta dengan lelaki hampir sebaya usia dengan papanya itu.

“ Ibu… papa… Ika ada perkara nak bagitau,” ujar Zulaikha perlahan. Hadiah yang dibelikan untuk Adibah dan Lukman masih tersimpan kemas di dalam beg tangannya.

Serentak, Lukman dan Adibah menoleh ke arah Zulaikha. Adibah mengerling sekilas ke arah Lukman untuk melihat reaksi lelaki itu. Namun, Lukman hanya mempamerkan wajah selamba. Langsung tidak mahu memandang padanya.

“ Ya, Ika nak bagitau apa, sayang?” soal Lukman lembut kepada anak kesayangannya itu.
Zulaikha menelan air liur dan berdehem beberapa kali untuk membetulkan suaranya yang tiba-tiba menjadi parau. Ya, dia gementar. Tapi dia tidak mahu lagi menyimpan rahsia ini. Biarlah malam ini menjadi penamat kepada semuanya. Dia sudah tidak sabar mahu menjadi isteri yang sah kepada Tuan Idham.

“ Hmm… Ika…” Dia diam kejap. Demi menahan debaran yang kian memuncak di dada, gadis itu bangun dan melangkah ke arah beg tangannya di almari kecil di sofa dan mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya.

“ Ni… untuk ibu dan papa.” Ditolak kotak baldu berukuran segi empat itu ke tengah meja. “ Ika nak ibu dengan papa pakai sama-sama bila keluar berdua nanti,” ujarnya sambil tersenyum.

Adibah mengarahkan pandangannya ke kotak tersebut. Meskipun Zulaikha tidak menyebutnya, dia rasa dia tahu apa isi di dalam kotak itu. Dua barang di dalam satu kotak. Dia seakan dapat mengagaknya walaupun di atas kotak tersebut tidak tertulis apa-apa.

“ Ini je yang Ika nak bagitau?” soal Lukman seperti tidak gembira.

“ Err… tak. Ada lagi.” Kali ini pantas Zulaikha menjawab. Lagi lama lagi berdebar hatinya. Dia sudah tidak sanggup. “ Ika… Ika nak berhenti kerja,” ujar Zulaikha sambil memandang wajah Adibah dan kemudiannya Lukman.

Lukman dan Adibah tersentak serentak. Mereka berdua pantas mengerutkan dahi masing-masing sambil membalas pandangan Zulaikha.

“ Tapi kenapa?” soal Lukman, pelik dengan keputusan Zulaikha yang tiba-tiba itu.
“ Hmm… Ika nak berhenti kerja. Ika nak buat bisnes sendiri. Ika nak bukak butik,” ujar Zulaikha yang masih belum berterus terang tentang hal yang sebenar. Perlahan-lahan dia menarik nafas. “ Tapi, sebelum tu….”

Ika memandang muka Lukman dan Adibah. “ Ika… err Ika nak kahwin!” ujarnya sambil tersenyum selebar mungkin. Berharap agar perkhabaran itu akan menggembirakan hati kedua-dua orang tuanya. Kerana dia tahu, Adibah memang berharap agar dia bertemu jodoh secepat mungkin dan mempunyai keluarga sendiri seperti orang lain.

“ Apa? Ika nak kahwin?” Mata Adibah membulat. Memang itulah berita yang dia tunggu-tunggu selama ini. Pantas dia menjeling ke arah Lukman. Kali ini mata mereka bertemu. “ Dengan siapa?” tanya Adibah teruja.

Ya, hatinya sangat gembira mendengar perkhabaran itu. Buat pertama kalinya dia akan menerima kehadiran menantu lelaki di dalam rumahnya. Dia rasa tidak sabar.

“ Hmm…” Zulaikha tidak terus menjawab. Lama dia mendiamkan diri sambil berusaha mencari kekuatan untuk berterus terang. Dia mengerling wajah Adibah yang sedang tersenyum menunggu jawapannya.

Dan kemudian berpaling pula kepada Lukman yang sedang serius merenungnya. Detak jantung Zulaikha sudah tidak sekata lagi.

“ Err… dengan orang dekat saja, ibu…” luah Zulaikha perlahan.
“ Ya? Siapa?” Adibah bertanya lagi.

Memang Adibah yang banyak bertanya itu dan ini sementara Lukman dari tadi hanya mendiamkan diri. Mungkin, lelaki itu masih terkejut kerana anak perempuan kesayangannya ini tidak lama lagi akan berkahwin dan bakal menjadi milik lelaki lain. Adibah faham perasaan Lukman. Dia sebagai ibu juga sedih terpaksa melepaskan Zulaikha, satu-satu anak perempuannya. Tetapi dalam masa yang sama, dia juga gembira kerana melihat Zulaikha gembira. Kebahagiaan Zulaikha bermakna kebahagiaannya juga.
“ Err… Tuan Idham.”

“ Apa?” Telinga Idham rasa berdesing mendengar nama itu. “ Tuan Idham? Ika dah gila ke? Dia kan laki orang!” Lukman membentak kuat.

Jawapan Zulaikha itu bagaikan halilintar yang membelah dada Lukman. Kunyahan Lukman terhenti serta merta. Moodnya langsung mati walaupun masih banyak makanan lazat-lazat yang belum dijamahnya lagi. Dia tidak menyangka, dalam ramai-ramai lelaki, Tuan Idham adalah lelaki yang Zulaikha maksudkan. Dia tidak dapat menerimanya sama sekali. Tidak. Tidak mungkin dia akan bersetuju!
“ Ya… Ika tahu. Tapi, isteri dia dah izinkan kami berkahwin. Lagipun, Tuan Idham mampu.

Tolonglah …ibu.. papa… Tolonglah izinkan Ika kahwin dengan dia. Ika sayangkan abang Idham, papa.”
Kalau tadi bertuan-tuan. Kini, Zulaikha sudah mula memanggil Tuan Idham abang pula. Bulat besar mata Lukman mendengarnya. Marahnya semakin berapi-api. Namun yang aneh, Adibah hanya diam saja dan kelihatan tenang. Redup mata Adibah merenung Zulaikha walaupun dalam hatinya ada gelombang besar yang sedang melanda. Sungguh, bukan ini yang mahu dia dengar dari mulut anak perempuannya ini.
“ Ibu…” Zulaikha merayu. Cuba meraih simpati dari Adibah pula.

“ Ika jangan nak mengada-ada. Papa kata tak setuju, papa tak setuju. Ramai lagi lelaki lain yang bukan suami orang!” bidas Lukman lagi.

Zulaikha sudah mula mengalirkan airmata.
Akhirnya, Adibah bersuara.

“ Biarlah. Kalau sudah itu pilihan dia…” ujar wanita itu perlahan sambil memandang kosong ke arah pinggannya.

“ Biarlah awak cakap? Hei Dibah, awak dah gila ke apa? Ika ni satu-satunya anak perempuan kita. Anak bongsu kita. Awak nak biar dia jadi bini nombor dua? Awak nak ke bermenantukan lelaki tua macam si Idham tu?” Suara Lukman bergema kuat.

Adibah lantas menundukkan muka. Sesungguhnya bukan itu yang ingin dia lafazkan sekejap tadi. Dia sendiri seperti tidak sedar dengan apa yang diucapkannya. Sebenarnya dia kecewa. Sangat-sangat kecewa. Entah ujian apa yang sedang mendatanginya kala ini, dia sendiri keliru. Suaminya gilakan anak dara orang. Anak daranya pula gilakan suami orang.
Ah, apa nak jadi dengan dunia ni!

“ Biarlah… kalau dia mampu apa salahnya…” luah Adibah. Sekali lagi dia tidak memaksudkan dengan apa yang dikatakannya.

“ Apa salahnya awak cakap? Dibah, awak sedar ke tidak apa yang awak cakap ni? Takkan semata-mata sebab jantan tua tu kaya, awak sanggup nak buat dia jadi menantu? Awak perempuan, Dibah.

Sepatutnya awak faham hati perempuan lain? Ini awak pulak yang menggalakkan anak kita jadi peruntuh rumahtangga orang!” bentak Lukman kuat. Berdentum dentam meja makan dihentaknya.
Sepantas itu juga Adibah mengangkat mukanya dan merenung tajam ke arah Lukman.

“ Ya, bang. Dib tau Dib perempuan. Ika juga perempuan. Dib memang faham perasaan perempuan lain. Macam mana terlukanya hati Dib bila Dib tahu suami Dib ada perempuan lain, yang jauh lebih muda dari Dib. Mungkin begitu juga perasaan isteri Tuan Idham, bila dia tahu suaminya bercinta dengan anak kita,” luah Adibah sebak sambil menahan airmata.

“ Kita ni serupa saja bang. Melissa sama dengan Zulaikha. Abang sama dengan Tuan Idham. Dan nasib Dib pula serupa dengan isteri Tuan Idham. Kami sama-sama bernasib malang kerana tidak mampu jadi muda selama-lamanya seperti yang suami kami mahukan!”

Akhirnya.

Ya, akhirnya. Entah sengaja atau pun tidak. Buat pertama kali Adibah melepaskan suaranya dan menyebut nama Melissa di hadapan Lukman dan Zulaikha. Biarlah. Apa pun nak jadi dia tidak kisah lagi. Dia benci dengan sikap pura-pura Lukman. Lukman lelaki hipokrit. Selama ini dia sudah puas bersabar. Cukuplah. Sampai bila dia hendak berdiam dan terus menipu diri sendiri. Dia juga manusia yang ada hati dan perasaan.

Lukman terpempan.

Zulaikha tersentak.

Melissa? Siapa Melissa? Hati Zulaikha berbisik pelik.

“ Ibu… papa…?” Zulaikha memandang Lukman dan Adibah silih berganti. Bercantum kening lebatnya cuba mencerna maksud kata-kata Adibah itu tadi. “ Siapa Melissa?” soal Zulaikha perlahan.

Lukman yang masih terdiam terus terhenyak di kerusi. Sumpah dia tidak tahu bagaimana isterinya itu boleh tahu tentang Melissa. Selama ini dia lihat Adibah diam, dia fikir Adibah tidak tahu apa-apa. Dia fikir Adibah ialah seorang surirumah yang lurus dan bodoh. Rupa-rupanya tidak. Adakah Adibah mengintip gerak-gerinya selama ini?

“ Awak cakap apa ni, Adibah?” Lukman bersuara teragak-agak. Hampir-hampir dia tidak percaya yang Adibah rupa-rupanya tahu apa yang dirahsiakannya selama ini. Sementara Zulaikha pula masih terkulat-kulat tidak mengerti.

Adibah diam dan menunduk muka. Bukan kerana dia gentar mahu bersuara. Tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan semuanya. Rasa menyesal pula kerana dia kurang bersabar sehingga terlepas cakap di hadapan Zulaikha. Dan sekarang dia tidak tahu bagaimana dia hendak berterus-terang dengan anaknya itu. Sedangkan selama ini dia berusaha agar semua ini tidak sampai ke pengetahuan anak-anaknya.

“ Ibu… ada apa-apa yang Ika tak tahu, ke?”

Zulaikha mula menaruh syak wasangka. Wajah Lukman direnungnya lama. Dia seakan-akan mula mengerti mengapa ibunya berubah sikap akhir-akhir ini. Mungkin, inilah penyebabnya. Melissa!

“ Entahlah. Kalau Ika rasa dengan menjadi isteri kedua, Ika akan bahagia. Ibu restu Ika berkahwin dengan Tuan Idham. Dan abang pula, kalau abang rasa Melissa tu mampu bahagiakan hidup abang dan boleh puaskan nafsu abang yang sentiasa muda ni, abang kahwinlah dengan dia. Dib izinkan. Dib akan lamar dia untuk abang nanti.”

Adibah lantas bangun dan beredar meninggalkan meja makan. Keliru dengan kata-katanya sendiri, dia terus membawa langkahnya ke dalam bilik dan mengunci diri. Lukman dan Zulaikha masih termenung di meja makan.

Dua hari berlalu, rumah yang sepi itu semakin sepi. Masing-masing seperti membawa haluan sendiri. Sesekali Zulaikha cuba memujuk Adibah dan meminta maaf dengan apa yang berlaku. Namun, Adibah masih begitu. Menjadi semakin pendiam dan banyak termenung.

“ Abang minta maaf dari awak, Dibah. Abang tahu… abang salah. Tapi…”

“ Tak apalah. Abang mampu berkahwin sampai empat sekali pun. Kahwinlah. Kalau itu yang abang mahu. Dib pun dah tua. Dah tak mampu nak melayan abang macam muda-muda dulu.”

Itulah perbualan Lukman dan Adibah dua hari lepas. Selepas beberapa jam dia memberikan Adibah ruang untuk bersendiri, akhirnya, dia terpaksa juga mendekati isterinya itu untuk mengetahui dan menerangkan hal yang sebenar. Terkejut dia apabila isterinya yang pendiam itu rupa-rupanya sudah tahu rahsia hubungan sulitnya dengan Melissa selama ini. Lebih terkejut apabila Adibah sebenarnya sudah lama mengetahuinya, namun isterinya itu hanya mendiamkan diri sahaja. Kuatnya Adibah menahan sabar!

Namun, sampai ke hari ini dia tidak tahu bagaimana Adibah boleh tahu tentang hal kecurangannya itu. Mungkin isterinya melihat dengan mata kepala sendiri. Atau ada antara mesej-mesej berbaur cinta yang lupa dipadam dari telefonnya dan dibaca oleh Adibah secara sembunyi-sembunyi. Dia sendiri kurang pasti.

Atau, mungkin ada sesiapa di pejabatnya yang dapat menghidu hubungannya dengan setiausahanya itu lalu mengadu kepada isterinya. Boleh jadi juga. Apa yang penting sekarang, dia tahu Adibah isterinya ini tidak sebodoh yang disangka. Adibah bijak dalam diam.

Namun, Adibah tetap tidak mahu bercerita. Nyata isterinya itu sangat kuat menyimpan rahsia.
Ah, entahlah. Dia bingung sekarang. Bingung dengan masalah sendiri dan kini dibebankan dengan masalah hubungannya dengan Zulaikha pula. Semenjak kejadian dua hari lalu, Zulaikha langsung tidak mahu memberi dia peluang untuk menerangkan hal yang sebenar-benarnya. Memandang wajahnya pun Zulaikha tidak mahu. Apatah lagi hendak berbual-bual. Hubungannya dengan Zulaikha tiba-tiba jadi porak peranda.

Ah, dia rindu pada kemesraan Zulaikha. Zulaikha itu anak bongsu dan anak perempuan tunggalnya. Meskipun sudah berusia dua puluh empat tahun, sampai sekarang Lukman masih menganggap Zulaikha itu seperti anak kecilnya. Dia hanya mahu melihat Zulaikha bahagia. Itu saja.

Cuma, dia tidak yakin yang Zulaikha akan bahagia jika menjadi isteri kedua.

Entahlah, kenapa tidak? Sedangkan dia sendiri selalu meyakinkan Melissa yang gadis itu akan bahagia hidup dengannya walaupun akan menjadi madu kepada Adibah nanti. Ah, tiba-tiba Lukman keliru.
Dan pada suatu malam, Zulaikha mengetuk perlahan pintu kamar tidur Adibah, ketika Lukman masih belum pulang. Dia mahu mengambil peluang itu untuk bersemuka dengan Adibah. Adibah yang masih berteleku di sejadah dihampiri, didakap dan dikucupnya. Di riba wanita yang melahirkannya itu, Zulaikha menangis teresak-esak.

“ Ibu… maafkan Ika, ibu… maafkan Ika. Ika tak berniat nak melukakan hati ibu. Ika minta maaf. Ika sayang ibu…”

Adibah tersentak dengan perlakuan Zulaikha. Tidak pernah-pernah anak gadisnya itu jadi sebegitu sekali. Menangis di ribanya seperti anak kecil. Malahan Zulaikha sudah lama tidak bermanja-manja di ribanya. Kelakuan Zulaikha itu tiba-tiba menjentik rasa aneh di hati Adibah. Cepat sungguh anaknya itu membesar. Dia rindu Zulaikha yang dahulu.

“ Sudahlah Ika… tak ada apa-apa yang ibu nak maafkan. Ibu redha. Kalau itu pilihan Ika… ibu doakan Ika bahagia,” balas Adibah sambil menahan sebak. Dia tidak mahu airmatanya gugur di hadapan Zulaikha ketika ini.

“ Tak ibu… tak…” Zulaikha bangun dari pembaringan. Tubuh Adibah yang masih dibaluti telekung didakapnya kuat.

“ Tak… Ika dah buat keputusan. Ika takkan kahwin dengan Tuan Idham…” Zulaikha terus memeluk Adibah. Bahu wanita itu basah dengan tangisan.

“ Kenapa pula?” soal Adibah lembut.

“ Tak… Ika takkan rampas kebahagiaan perempuan lain. Dan ika juga takkan izinkan mana-mana perempuan rampas kebahagiaan ibu. Tidak…” Zulaikha memandang wajah ibunya sambil menggeleng-geleng kepala. Kata-katanya kali ini berbaur tegas.

Adibah terdiam. Dia hilang kata-kata kerana dia faham apa yang dimaksudkan oleh anaknya itu.
“ Ika takkan izinkan mana-mana perempuan rampas papa daripada ibu. Papa hanya untuk ibu. Hanya ibu yang layak untuk papa…”

Adibah masih terdiam. Bermaknanya kata-kata Zulaikha itu menikam tepat ke sanubarinya. Dia tidak tahu apa yang harus diperkatakannya lagi. Hanya Zulaikha sahaja yang beranggapan begitu sedangkan Lukman sudah lama menganggap yang dia sudah tiada erti dalam hidup ini. Jadi, apa juga tanggapan Zulaikha takkan bermakna apa-apa kerana dia tetap akan kehilangan Lukman. Dan dia redha.

“ Tak apalah, Ika…. Ibu dah redha. Ika juga kena redha… ibu lebih rela dimadukan daripada ditinggalkan terus. Ibu sayang papa Ika… ibu tak nak hilang dia…”

Tangisan yang ditahan-tahan tadi akhirnya terlepas juga. Sekejapan, pipi Adibah mula basah dengan airmata. Demi tuhan, dia hanya wanita biasa yang tidak rela berkongsi kasih dengan wanita lain. Namun pilihan apa lagi yang dia ada? Sekiranya dia mahu terus memiliki lelaki itu, dia harus melepaskan lelaki itu jua.

Ya, melepaskan lelaki itu kepada perempuan lain. Mungkin itulah yang terbaik. Mungkin juga itu sahaja caranya untuk dia memiliki kasih sayang Lukman semula.

“ Tak, ibu. Ika takkan izinkan. Kalau papa nekad nak kahwin jugak, Ika akan lari. Semua orang takkan jumpa Ika, lagi.”

“ Ya Allah, Ika…” Adibah mengusap-usap rambut hitam Zulaikha. “ Apa yang Ika cakap ni, nak? Tak baik cakap macam ni? Ika nak ke kalau papa yang lari tinggalkan ibu nanti? Ika nak ke tengok ibu jadi janda? Ibu dah tua, Ika… ibu tak nak bercerai berai dalam usia macam ni… kalau ibu boleh pilih… biar ibu yang mati dulu… dan ibu nak mati di samping suami, ibu…”
“ Ibu…!!!”

Kedua ibu dan anak itu saling beratapan sambil berpelukan, Masing-masing tidak dapat menahan sebak. Dan pada malam itu juga, mereka tinggal dua beranak sahaja kerana Lukman tidak pulang ke rumah.

Sepanjang malam Lukman tidak dapat melelapkan mata. Walaupun menginap di hotel mewah, berbaring di atas tilam yang lembut lagi selesa dengan keadaan bilik yang luas dan berhawa dingin, dia merasa keresahan. Sudah puas dia bergolek ke kiri dan ke kanan. Suara dan esakan Adibah terus terngiang-ngiang di telinganya. Dia dihantui rasa bersalah tiba-tiba.
“ Ibu nak mati di samping suami ibu…”

Kata-kata itu terus bergema di corong telinga Lukman. Mati terus langkahnya untuk masuk ke bilik sebaik telinganya menangkap perbualan Adibah dengan anak gadisnya semalam. Dua perempuan yang sepatutnya menjadi antara manusia terpenting dalam hidupnya. Dan kini kedua-dua perempuan itu menangis kerana perbuatannya. Kejamkah dia!

Khayalan Lukman terganggu saat telefon bimbitnya berdering tiba-tiba. Dipandang kosong saja nama yang tertera di skrin telefon, terus panggilan itu dibiarkannya. Memang sudah beberapa kali Melissa cuba menelefonnya. Namun, panggilan itu langsung tidak diendahkan. Buat kali pertama, Lukman merasakan gadis cantik itu tidak lagi menjadi kepentingan dalam hidupnya.
U kat mana ni? Kenapa x masuk ofis?

Pesanan ringkas daripada Melissa juga dibiarkan sepi. Dia tidak terasa hendak membalas mesej tersebut. Dan apabila telefon bimbit itu terus berdering lagi dan lagi, akhirnya Lukman mematikan sahaja telefon bimbitnya. Ya, kali ini Lukman tidak terus menunggu lebih lama lagi. Dia terus bangun dan menuju ke bilik mandi.

Airmata tidak sempat kering di pipi Adibah. Buat kali pertama, dia berasa dirinya benar-benar lemah apabila Lukman langsung tidak balik ke rumah malam tadi. Sepanjang malam dia menangis. Sepanjang malam juga dia tidak henti berdoa agar lelaki itu kembali ke rumah walaupun kembalinya nanti bersama dengan Melissa. Dia cuma mahu lelaki itu selamat dan tidak meninggalkan dirinya. Itu sahaja.

Adibah yang sedang mengelap meja makan tersentak di saat dia merasa pinggangnya dipeluk dari arah belakang. Terasa ada jari jemari kasar yang sedang menjalar mendakapnya dengan penuh hangat dan seketika itu juga belakang kepalanya dikucup lama oleh seseorang.

Perlahan-lahan, Adibah cuba menenangkan diri. Dia memejamkan mata sambil airmatanya mengalir. Harum wangian yang menerjah hidungnya itu menyuntik rasa tenang yang maha mengasyikkan. Sudah terlalu lama rasanya dia tidak dipeluk dan dibelai dengan penuh rasa kasih seperti itu.
“ Assalammualaikum, sayang. Maafkan abang…” bisik Lukman sebak ke telinga Adibah berserta tangisan.

Adibah pantas memalingkan badannya ke belakang. Dipeluknya lelaki itu kuat-kuat seperti tidak mahu dilepaskannya lagi. Airmatanya semakin laju turun ke pipi. Dan di saat pelukan mereka terlerai, Adibah tidak dapat menahan perasaan apabila dia melihat sejambak bunga ros merah di tangan Lukman.

“ Maafkan abang, Dib. Abang berdosa pada Dib.” Lukman meletakkan jambangan bunga itu di atas meja lalu dia menarik kedua-dua tangan Adibah dan dikucup penuh kasih. Ketika itu juga baharu dia tersedar betapa berertinya Adibah di dalam hidupnya. Seorang wanita yang sentiasa melayannya penuh sabar dan penuh cinta selama ini. Bagaimana dia boleh buta hanya kerana gilakan gadis muda yang belum tentu mampu mencintainya setulus Adibah?

“ Abang….” lirih Adibah. Sayu dia mendengar kata-kata Lukman itu.
“ Dib jangan tinggalkan abang, ya. Jangan Dib cakap Dib nak mati di samping abang sebab abang tak mungkin boleh hidup kalau Dib tak ada. Dib saja yang boleh jaga abang… abang tak nak orang lain selain Dib.”

Lukman mengesat airmata di pipi Adibah. Pipi polos lagi jernih itu memang sudah dimakan usia. Tidak sehalus dan setegang dulu. Tapi, kasih sayang wanita itu untuknya terus subur sepanjang usia. Langsung tidak pernah dibiarkan mati walau apa juga layanan yang diberikannya kepada wanita itu. Hebatnya wanita yang bernama isteri ini. Adibah memang isteri solehah yang takkan dapat ditukar ganti.

“ Abang…” luah Adibah lembut. “ Dib sayangkan abang… sampai mati pun Dib akan sayangkan abang… Dib… Dib…”

Adibah sebak. Dia tidak mampu hendak meneruskan kata-katanya. Dan perasaan terharunya bertambah apabila Lukman tiba-tiba mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya.

“ Selamat ulang tahun perkahwinan sayang. Walaupun terlambat, abang janji yang kita akan menyambutnya bersama sepanjang usia kita. Abang takkan biarkan Dib sendirian lagi…” luah Lukman sambil menyarungkan sebentuk cincin bertatah permata ke jari manis Adibah. Adibah terdiam dan hilang kata-kata melihatnya.

“ Ya Allah, abang… Dib tak mintak semua ni…” ujar Adibah terharu.

Lukman pantas menggeleng-geleng kepala. Diusapnya kedua-dua belah pipi Adibah dan dia berasa sayu dengan kata-kata isterinya itu.“ Ya… Dib tak mintak. Sepanjang perkahwinan kita pun Dib tak pernah minta apa-apa. Sebab Dib bukan jenis isteri yang meminta-minta,” luah Lukman dengan tangisan yang masih tersisa.

“ Dan abang sepatutnya berasa bersyukur dan beruntung kerana memiliki isteri sebaik Dib. Abang tak perlukan isteri lain kerana Dib adalah isteri yang paling sempurna untuk abang sebenarnya.”

Tubuh Adibah terus didakapnya sekali lagi. Waktu itu perasaan kasih dan sayangnya untuk Adibah mengalir sederas-derasnya. Dia bersyukur kerana Allah masih merahmati kasih sayangnya bersama wanita itu walaupun sudah tiga puluh satu tahun mereka hidup bersama. Dan dia berjanji yang dia akan menyayangi Adibah sehingga ke akhir hayatnya. Dia mahu menyambut ulang tahun cintanya bersama Adibah sepanjang usia mereka. Walaupun usia itu mungkin cuma tinggal sisa.

“ Dib isteri abang dunia dan akhirat. Abang berjanji abang akan menyayangi Dib sehingga ke hujung nyawa abang. Hanya Dib seorang,” bisik Lukman seraya mendakap erat semula tubuh Adibah. Didakap dengan penuh kehangatan sehingga tangisan mereka berdua akhirnya menjadi satu.

TAMAT


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.