Novel : Aishiteru…! 1, 2

18 July 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Ayumi Afiqah

Bab 1

“Undi?”

Mata Amisya membulat. Biar betul! Kat sekolah lamanya dulu, mana ada main undi-undi macam ni. Semuanya cikgu yang tentukan. Lama renungannya jatuh pada sekeping kertas putih yang tertampal di papan kenyataan.

“Ha’ah, undi. Kat sini memang tiap-tiap tahun macam ni. Aku dah tahu siapa aku nak undi. Kau nak undi siapa?” tanya Wani tidak sabar. Terkelip-kelip matanya membaca satu-persatu nama yang tertaip kemas di atas kertas putih itu. Nama pelajar yang layak diundi untuk di’tabal’kan sebagai ketua pelajar.

“Kau nak undi siapa?” Amisya membalas kembali soalan itu. Kepalanya masih bingung, tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Baru dua minggu dia bersekolah di sini, dia sudah mendapat kejutan sebegini. Para pelajar diberi hak untuk memilih siapa yang bakal menjadi ketua pelajar. Macam undi pilihan raya aje!

“Aku nak undi…” Wani tersenyum-senyum. “Abang Hafizi!”

“Abang Hafizi?” Amisya berkerut muka. Siapa Abang Hafizi tu? Dan… kenapa mesti dipanggil abang?
“Siapa tu?” tanya Amisya, tidak dapat menahan perasaan ingin tahu.

“Kau tak kenal Abang Hafizi?” tanya Wani seakan tidak percaya. Bukankah satu sekolah mengenali jejaka pujaan ramai itu?

Amsiya mengangkat bahu. “Manalah aku tahu. Aku kan baru lagi kat sini,” balas Amisya sambil matanya mencari-cari nama yang dimaksudkan di kertas putih itu. Mohd Hafizi Bin Idrus. Dibaca perlahan-lahan nama itu di dalam hati.

Wani menepuk dahi. “Ha’ahlah! Macam mana aku boleh lupa ni?” Wani tersengih memandang Amisya. “Tak apa, nanti aku kenalkan kau dengan…” Ayatnya mati di situ saat matanya tiba-tiba hinggap pada wajah lelaki yang amat dipuja itu. Terus dipaut bahu Amisya sebelum menoleh ke sebelah kanan mereka.

Amisya yang terkejut tidak sempat mengelak. “Apa kau ni?” marahnya. Nasib baiklah tidak tertungging di situ juga. Kalau tidak jatuhlah sahamnya!

“Tu!” Wani menuding ke arah seorang pelajar lelaki berpakaian pengawas, kemeja lengan panjang warna hijau, dengan seluar putih sedang berjalan beriringan dengan seorang lelaki berpakaian sebagai pelajar biasa.

“Siapa tu?” Bingung kepala Amisya. Masih belum menangkap apa yang ingin ditunjukkan.

“Itulah… Abang Hafizi!” bisik Wani rapat di telinga Amisya.

“Ohh…” Hanya itu respon Amisya. Fahamlah dia kini kenapa Wani menggelarkan lelaki itu ‘abang’. Form 6 rupanya! Patutlah… detik hatinya.

“Handsome, kan?” tanya Wani lagi sambil tersenyum-senyum. Nampak macam perempuan gatal pun ada.

Amisya memerhati wajah lelaki yang dimaksudkan. “Handsome memang handsome… tapi tak kena dengan taste akulah!” balasnya. Pautan di bahunya dileraikan dan mula melangkah.

Wani yang belum puas merenung wajah Hafizi terkejut. Laju langkahnya mengikut langkah panjang Amisya. “Ish kau ni! Tak ada perasaan langsung!” kutuk Wani geram mendengar jawapan Amisya tadi. Tak sedarkah gadis itu, semua pelajar perempuan di sekolah ini amat menggilai Hafizi? Memang butalah si Amisya ni!

Amisya terus berjalan laju. Malas mempedulikan Wani. Panjang langkahnya memanjat tangga di Blok A. Dia mahu cepat sampai ke kelas. Waktu rehat cuma tinggal lima minit saja lagi. Kalau lewat, percuma saja kena marah dengan Cikgu Zaleha nanti.

Masuk saja ke kelas, telinga Amisya dihidangkan dengan suara teman-temannya yang saling bertingkah sesama sendiri.

“Undilah Abang Hafizi! Ish kau ni!” marah Noni pada Bella.

“Tak nak! Aku nak undi Abang Hadi!” balas Bella selamba. Ditulis nama Hadi di atas kertas kecil di tangannya sebelum kertas itu dilipat. Sebelum pulang nanti, dia akan memasukkan kertas itu di dalam kotak undi yang diletakkan di bilik guru.

Noni mencebik. “Suka hati kaulah!” Dia mencapai pen miliknya dan menulis nama Hafizi di atas kertas di tangan. Kemudian dia tersenyum-senyum membaca nama yang ditulis itu.

Amisya yang memandang hanya menggeleng-gelengkan kepala. Dia meneruskan langkah ke tempatnya di sisi kiri kelas.

“Ami! Nak undi tak? Semua orang semangat betul nak undi,” tegur Fatin yang duduk di depan Amisya.

Amisya duduk di kerusinya. Berkerut mukanya memandang Fatin. “Kau nak undi siapa?”

“Abang Hafizilah!” jawab Fatihah bagi pihak Fatin. Tersenyum kedua-duanya.

“Aku dah pujuk dia undi Abang Hafizi. Tapi dia tak nak. Nyampah!” sampuk Wani sambil menarik muka.

Amisya buat-buat tidak dengar. Malaslah dia mahu undi. Bukan dapat apa pun.

“Alah… jomlah kita undi sekali. Biar Abang Hafizi dapat jadi ketua pelajar,” pujuk Fatin. Ditarik-tarik tangan Amisya agar setuju dengan kehendaknya. Fatihah di sisi terangguk-angguk.

“Apasal korang nak sangat Hafizi tu jadi ketua pelajar?” Amisya mengeluarkan soalannya. Adakah kerana lelaki itu punya rupa paras yang tampan seperti yang dikata Wani?

“Sebab dia handsome!” sahut Fatin pantas.

“Lagi?” provok Amisya belum puas hati. Alasan handsome tak logik langsung.

“Sebab…” Fatin menjeling Fatihah di sisi. “… dia bijak! Nama dia selalu kat tangga teratas tiap kali exam. Dia baik, semua cikgu suka dia. Kan, Tihah?” Fatin meminta sokongan Fatihah.

Laju anggukan di kepala Fatihah. Wani juga begitu.

Amisya diam beberapa saat sebelum menjawab, “Kalau macam tu, mesti ramai yang suka dia, kan? Bila ramai orang suka, mesti ramai yang undi. Kalau ramai yang undi, dah tentu-tentu dia yang akan terpilih jadi ketua pelajar. So, tak payahlah aku undi!” Selamba mukanya ketika menuturkan ayat itu.

Fatin, Fatihah dan Wani masih mahu menjawab tetapi mulut mereka terus terkunci sebaik sahaja Cikgu Zaleha melangkah masuk ke kelas. Waktu Sejarah telah tiba. Amisya menghela nafas lega sebaik mendengar suara Sofie meminta semua pelajar berdiri menyambut kedatangan cikgu mereka itu.

*_*_*_*_*_*_*_*_*_*

Turun saja dari kereta, Amisya bergegas masuk ke kawasan sekolah. Dia terlambat bangun hari ini menyebabkan dia lambat sampai ke sekolah. Sudah pukul 7.45 pagi ketika ini. Ketika melintasi pagar sekolah yang hampir tertutup rapat, dia ditahan oleh seseorang. Terus kepala ditoleh ke arah pelajar lelaki yang menahannya tadi.

“Kenapa lambat?” tanya pelajar lelaki yang berpakaian seragam pengawas itu.

Amisya macam pernah tengok saja wajah lelaki di depannya ini. Siapa ek?

“Kenapa lambat?” ulang pelajar lelaki itu lagi dengan suara yang lebih keras.

“Err… saya… saya… tak sengaja…” Amisya menggigit bibir. Aduh! Sungguh dia benci dengan situasi begini. Bukan selalu dia datang lambat. Ini kali pertama sejak bersekolah di sini.

“Awak ingat ni sekolah atuk awak?” Garang pengawas itu bertanya.

Amisya terkedu. Cis! Sesuka hati main nama atuk aku! Gerutu hatinya geram.

“Nama?” tanya lelaki itu. Buku nota kecil sudah siap di tangan bersama sebatang pen.

Amisya memandang nametag yang dipakai lelaki itu. Mohd Hafizi?! Bukankah lelaki ini yang Wani tunjuk padanya semalam? Oh, jadi inilah dia jejaka pujaan ramai itu? Langsung tak tahu hormat orang! Cemuh hatinya.

“Nama?” Suara lelaki itu makin kuat. Geram dia dengan reaksi selamba gadis di depannya ini. Nasib baik comel, sempat hatinya memuji.

“Aira Amisya Binti Murshid,” jawab Amisya.

“Kelas?”

“5 Science1,” jawab Amisya lagi. Mukanya selamba tanpa perasaan.

Kelihatan Hafizi tersenyum sinis. “Budak kelas bijak pun datang lambat?” Tergeleng-geleng kepalanya sambil menulis maklumat itu pada buku di tangannya.

Melampau! Sakit hati Amisya mendengar suara yang menyindirnya itu. Kalau macam nilah gayanya, mati hidup semula pun dia tidak akan undi lelaki ini jadi ketua pelajar! Sengal!

“Tunggu apa lagi? Pergilah.. Orang dah beratur kat perhimpunan tu!” arah Hafizi dengan suara tegas.

Amisya mencebik. Terus kaki diayun menuju ke tapak perhimpunan. Melilau matanya mencari di mana kawan-kawan sekelasnya beratur. Nampak sahaja wajah Yuni, kembar kepada Wani, dia terus menghampiri.

“Hah! Kenapa lambat?” sergah Yuni.

“Terlambat bangun,” jawab Amisya acuh tidak acuh. Tiada mood. Ini semua kerana Si Hafizi gila tu! marah hatinya. Ketika itulah dia ternampak kelibat Hafizi sedang berjalan ke depan. Membulat matanya merenung wajah lelaki itu yang kacak tersenyum. Kacak? Yuckss!

“Yang berusaha, Puan Hajah Zabedah… bla..bla…”

Amisya malas mendengar suara lelaki itu berucap. Kalau pelajar yang lain semuanya kelihatan bersemangat mendengar ucapan jejaka pujaan ramai itu selaku pengacara majlis, dia pula sudah hampir termuntah. Benci!

*_*_*_*_*_*_*_*_*_*

Tiba waktu rehat, Amisya bergegas ke perpustakaan. Sengaja dia ‘bertapa’ di sini, tidak mahu terus-terusan mendengar pujian-pujian teman-temannya tentang lelaki bernama Hafizi itu. Buat bernanah telinga je! Ruang dalam perpustakaan sunyi tanpa penghuni ketika dia melangkah masuk.

Ketika dia ralit membaca buku rujukan Sejarah, telinganya menangkap suara seorang lelaki sedang bercakap-cakap. Dia pelik. Macam kenala je suara tu…

Lantas dia bangun menjejaki arah datangnya suara itu. Di sebalik sebuah rak buku, kelihatan seorang lelaki sedang berbual-bual di telefon. Telefon? Ya, telefon! Atau orang putih kata cell phone! Ceh! Pengawas pun bawa handphone ke sekolah?

Ketika lelaki itu berpaling, Amisya terkejut. Hafizi! Lelaki itu juga terkejut.

“Ohh… bawak handphone! Aku report kat cikgu karang!” ugut Amisya berani. Dia masih bengang dengan lelaki itu dengan kejadian pagi tadi. Sekarang tiba masanya untuk membalas dendam. Inikah rupanya bakal ketua pelajar? Memang taklah!

Hafizi mematikan talian. Dia melangkah menghampiri Amisya. “Kau ni yang datang lambat pagi tadi, kan?” balasnya selamba, langsung tidak takut dengan ugutan Amisya.

“Ha’ah betullah, aku yang datang lambat pagi tadi. Kenapa?” balas Amisya. “Eh sekarang ni kita bukan cakap pasal siapa datang lambat atau awal. Masalahnya sekarang, kau…” Jari telunjuk menghala ke muka Hafizi. “…pengawas, tapi bawa handphone pergi sekolah! Macam ni ke rupa bakal ketua pelajar?” Amisya tersenyum sinis sambil tergeleng-geleng.

“Habis tu kau nak buat apa? Nak report kat cikgu. Reportlah! Bukan ada cikgu peduli pun. Kau tau tak, aku ni pelajar kesayangan cikgu. Jadi, kalau kau report, kau ingat diorang semua nak percaya ke?” balas Hafizi angkuh.

“Okey! Kalau macam tu, aku akan bagitahu semua kawan aku tentang perangai buruk kau tu! Biar tak ada sorang pun yang nak undi kau,” ugut Amisya dengan mata mencerlang.

Kelihatan Hafizi tersenyum sinis. “Bagitahulah kalau kau nak. Tapi ingat ek… sekali aku kenyit mata, pengsan semua kawan kau tu!'” ujarnya bangga dengan diri sendiri.

Sedangkan Amisya yang mendengar, hampir muntah hijau di situ juga. Perasan gila mamat ni!

“Fizi!”

Panggilan itu menyentakkan kedua-duanya. Amisya dan Hafizi serentak berpaling ke muka pintu perpustakaan. Kelihatan seorang pelajar lelaki sedang melemparkan pandangan pelik ke arah mereka berdua. Amisya kenal lelaki itu. Itulah lelaki yang berjalan beriringan dengan Hafizi semalam. Ya, dia yakin dia tidak silap.

Rakan Hafizi itu memberi isyarat kepada Hafizi supaya beredar dari situ. Lagak bagai ada kerja penting yang perlu dibereskan. Hafizi mengangkat tangan, memberi isyarat ‘sebentar’ pada temannya itu.

“Kalau kau report kat siapa-siapa, siap kau!” ugut Hafizi sebelum berlalu mengikut langkah rakannya keluar dari perpustakaan itu.

Amisya sempat menangkap renungan semacam rakan Hafizi itu. Heh! Ingat aku takut dengan ugutan kau tu? Boleh blah!

*_*_*_*_*_*_*_*_*_*

Bab 2

“Jom pergi kantin!” ajak Ja sambil tersenyum memandang Amisya. Rakan-rakan yang lain sudah beransur-ansur keluar dari kelas.

“Aku tak laparlah. Ingat nak pergi library je,” tolak Amisya. Buku-buku yang penuh di atas meja dikutip lalu dimasukkan ke dalam beg.

“Sure?” Ja meminta kepastian.

Amisya mengangguk. Senyuman menghiasi bibirnya.

“Okey, aku pergi dulu. Fatin! Tunggu aku!” Ja terjerit memanggil Fatin yang sudah jauh ke depan.

Amisya bangun dari kerusi. Dia mematikan suis kipas sebelum melangkah keluar dari kelas. Orang ramai yang memenuhi ruang kantin langsung tidak dipedulikan. Terus diayun langkah menuju ke arah tangga untuk naik ke Blok B. Baru saja kakinya menjejak anak tangga pertama, dia terdengar namanya dipanggil. Terus kepala ditoleh ke belakang.

Teacher Maziah menghampiri Amisya. “Amisya, tolong bagi ni kat Teacher Che Ku Zarina boleh? Saya ada hal,” ujarnya lantas menyerahkan fail di tangan kepada Amisya.

Amisya tercengang. Tidak sempat dia menahan bilamana Teacher Maziah sudah menonong pergi. Amisya menepuk dahi. Aduh! Manalah dia kenal siapa Teacher Che Ku Zarina. Macam mana nak bagi fail ni? Ish!

Amisya mengayun kaki naik ke Blok C, blok yang menempatkan bilik guru. Kakinya terhenti di depan pintu bilik guru. Dia berfikir-fikir, di sini ke tempat Teacher Che Ku Zarina? Argh! Masuk ajelah, hatinya bermonolog. Terus ditolak daun pintu untuk masuk ke dalam bilik berhawa dingin itu.

Melilau mata Amisya mencari teacher yang dimaksudkan. Dia tidak kenal, jadi bagaimana mahu mencari? Lantas dia terus mendekati Ustazah Rosni yang duduk tidak jauh dari tempat dia berdiri.

“Hah! Kenapa?” tegur Ustazah Rosni, cikgu yang mengajar Pendidikan Islam di kelas Amisya.

“Saya nak cari Teacher Che Ku Zarina. Tempat dia kat mana?” tanya Amisya sopan. Masih segan sebenarnya, belum biasa dengan cikgu-cikgu di sekolah ini.

“Che Ku Zarina kat Bilik Ketua Bidang sebelah sana…” jawab Ustazah Rosni sambil menuding ke arah bilik yang dimaksudkan. Faham Amisya belum mahir selok-belok di sekolah ini.

“Ohh…” Amisya tersenyum lega. Setelah mengucapkan terima kasih, dia segera bergerak ke arah Bilik Ketua Bidang yang terletak bersebelahan bilik guru. Lama dia termenung di depan pintu yang berwarna coklat itu. Boleh ke main masuk aje? Sedang dia berfikir-fikir, matanya menangkap kelibat seorang pelajar lelaki sedang berjalan menghala ke arahnya. Dia kenal lelaki itu. Itulah rakan Hafizi. Ya, dia yakin lelaki itu memang rakan Hafizi. Amisya memandang sekeliling. Tiada sesiapa melainkan lelaki itu. Nampaknya, terpaksalah dia menebalkan muka meminta bantuan lelaki itu.

“Awak!” panggil Amisya.

Fakhry berhenti melangkah. Serius mukanya menoleh pada Amisya.

“Err… minta tolong boleh tak? Awak kenal tak Teacher Che Ku Zarina? Yang mana satu ek?” Teragak-agak Amisya bertanya. Uish! Seram betul tengok muka lelaki ni. Macam nak makan orang pun ada!

Fakhry menghampiri pintu Bilik Ketua Bidang. Di sebalik pintu yang sedikit terkuak, dia melihat dengan jelas Teacher Che Ku Zarina atau lebih dikenali sebagai Teacher CKZ sedang duduk di depan komputer sambil menaip sesuatu. Dia berpaling semula pada Amisya. “Yang pakai baju biru tu…” beritahunya lalu terus menyambung langkahnya yang terbantut tadi.

Amisya tercengang sendiri. Macam tu aje? Agaknya memang dah ‘spesies’ Hafizi kot… sombong! Totally poker face!

Eh, tak adalah sombong sangat. Nak juga dia tolong aku. Hati Amisya terus bermonolog.

*_*_*_*_*_*_*_*_*_*

Keluar dari Bilik Ketua Bidang, telinga Amisya menangkap satu suara dari corong pembesar suara. Ada pengumuman sedang dibuat. Amisya mendengar dengan penuh teliti.

“Kepada semua pelajar, anda dikehendaki berkumpul di rumah sukan masing-masing selepas waktu rehat. Rumah Redang di Makmal KBSM 1, Rumah Bidong di Makmal KBSM 2, Rumah Tenggol di Makmal Biologi dan Rumah Kapas di Makmal Fizik. Harap maklum…”

Redang? Bidong? Tenggol? Kapas?

“Apa tu?” Amisya tertanya-tanya sendiri. Macam nama pulau aje! Malas memikirkannya lagi, dia terus kembali ke kelas. Padam sudah niat mahu ke perpustakaan tadi. Sampai di kelas, suasana kecoh sekali. Amisya terasa tangannya ditarik.

“Ami! Kau rumah apa masa kat sekolah lama?” tanya Yuni bagi pihak yang lain.

“Rumah?” Amisya bingung.

“Maksud aku, rumah sukan?” jelas Yuni.

“Ohh… emm… Rumah Biru!” jawab Amisya pantas.

“Biru?” Fatihah kelihatan teruja. “So lepas ni, kau ikut aku pergi Makmal KBSM 1!” ujarnya sambil tersenyum senang hati. Akhirnya, dia ada kawan untuk menghadiri perjumpaan rumah sukan itu nanti.

“Kenapa pulak?” Amisya bingung lagi.

“Rumah Biru bermaksud Rumah Redang! So nanti kau ikut aku. Aku pun Redang jugak!” jawab Fatihah, terus meleraikan kekusutan di benak Amisya.

Loceng berbunyi, menandakan waktu rehat telah pun tamat.

“Jom!” Fatihah terus menarik tangan Amisya menuju ke Makmal KBSM 1 yang terletak di Blok B.

*_*_*_*_*_*_*_*_*_*

“Sesaknya!” keluh Amisya. Penuh satu makmal itu dengan semua pelajar dari Rumah Redang. Dia berpeluk tubuh sambil menyandar di dinding makmal.

“Biasalah ni…” balas Fatihah. Matanya melilau-lilau ke sekeliling. Ketika itulah matanya hinggap pada satu wajah. Hafizi! Spontan bibirnya mengukir senyuman gembira.

“Apasal?” Amisya yang pelik melihat senyuman tiba-tiba Fatihah terus bertanya.

“Abang Hafizi!” Fatihah menudingkan jari ke arah Hafizi yang sedang duduk di hujung sudut makmal. Memang dia sudah maklum, Hafizi juga ahli Rumah Redang. Kerana itulah dia cukup teruja mahu datang ke sini tadi.

Amisya hanya memandang wajah lelaki itu dengan perasaan jengkel. Tak habis-habis temannya ini memuji mamat sengkek tu. Ish!

Beberapa orang guru melangkah masuk ke dalam makmal. Sebaik saja salah seorang guru mula berucap, suasana yang tadinya bising mengalahkan pasar malam terus sunyi sepi. Fatihah masing mengerling ke arah Hafizi dari jauh sementara Amisya sudah fokus pada wajah guru di depan.

Amisya memandang jam tangannya. Sudah hampir setengah jam dia berada di dalam makmal ini. Dahlah sesak, panas pula tu! Kipas yang berpusing laju langsung tidak memberikan apa-apa.

“Baiklah, sekarang sesi pemilihan pengerusi. Sesiapa saja boleh mencadangkan nama pelajar yang dia mahu. Dan setiap seorang hanya layak mengundi sebanyak tiga kali saja.” Cikgu Zul memberikan arahan.

Serentak itu ramai pelajar yang mengangkat tangan, mahu mencalonkan nama pelajar pilihan mereka. Dalam ramai-ramai, Cikgu Zul memilih Fatihah. Dengan senyuman Fatihah menyebut nama, “Mohd Hafizi Bin Idrus!”

Serentak itu juga, kecoh suasana dalam makmal itu dengan suara-suara sorakan. Amisya mula tayang muka bosan. Itu tak lain tak bukan, pasti semuanya menyokong pilihan Fatihah. Sempat Amisya menjeling wajah lelaki itu yang hanya tersenyum nipis. Rakannya di sebelah, hanya berwajah tanpa perasaan.

Pencalonan ditutup bila tiada lagi yang mahu mencalonkan nama pelajar lain.

“Siapa mahukan Mohd Hafizi jadi pengerusi, angkat tangan,” arah Cikgu Zul.

Spontan, semua pelajar, majoritinya perempuan terus mengangkat tangan. Hanya Amisya seorang yang tidak mengangkat tangan. Melihatkan situasi itu, Cikgu Zul tahu dia tidak perlu mengira lagi. Sudah cukup bukti bahawa memang Hafizi yang layak menduduki kerusi pengerusi. Amisya mencebik. Menyampah!

Amisya dapat merasakan ada mata yang sedang memerhatikannya. Lantas dia menoleh. Anak matanya beradu dengan anak mata milik Hafizi. Lelaki itu tersenyum padanya. Angkuh sekali kelihatan. Amisya mengutuk di dalam hati. Mata dialihkan ke arah lain. Urgh!

Selesai semua urusan, Amisya bergegas meninggalkan makmal itu tanpa menunggu Fatihah terlebih dahulu.

*_*_*_*_*_*_*_*_*_*

“Hari ni kita buat karangan.”

Dengar saja sebaris ayat itu, semua pelajar kelas 5 Science 1 terus mengeluh. Ada yang terus ‘pengsan’ di atas meja masing-masing. Beginilah selalunya keadaan bila Cikgu Masitah meminta para pelajar menulis karangan.

“Malaslah, cikgu…” Suara Naimah kedengaran. Rakan-rakan yang lain sekadar mengangguk mengiakan. Sudahlah sekarang pukul 12.45 tengah hari. Dengan letihnya… mengantuk lagi… siapa yang mahu tulis karangan?

“Dah tu nak buat apa?” tanya Cikgu Masitah. Dia faham, para pelajar memang susah fokus bila belajar dalam waktu matahari terpacak di atas kepala begini.

“Nak baca Mastika!” jawab Adibah bagi pihak rakan yang lain. Mendengarkan itu, semua pelajar bersuara menyokong.

Cikgu Masitah ketawa mendengar usul itu. “Esoklah cikgu bawak Mastika. Kita baca ramai-ramai,” ujarnya dalam senyuman.

Semua pelajar terus tersenyum lebar sampai ke telinga. Amisya tertawa kecil. Inilah yang bestnya tentang Cikgu Masitah, sangat-sangat sporting! Jauh bezanya jika dibandingkan dengan guru Bahasa Melayu di sekolah lamanya dulu. Tiba-tiba dia terdengar bunyi pintu kelas diketuk. Terus dialih anak mata ke arah pintu. Sesaat kemudian, terdengar soseh-soseh, menandakan rakan-rakan yang lain sedang berbisik sesama sendiri. Siapa lagi yang datang kalau bukan Hafizi! Di sisinya berdiri Fakhry.

“Assalamualaikum… Saya nak jumpa Haziq kejap, boleh?” pinta Hafizi penuh sopan. Dia tahu semua mata pelajar perempuan di dalam kelas itu melekat pada wajahnya. Hanya sepasang mata yang tidak melihatnya. Itu dia, Aira Amisya Binti Murshid! Tersenyum dia mengingati gadis itu.

Haziq terus berdiri bila mendengar namanya disebut. Pasti ada urusan penting yang melibatkan tugas sebagai seorang pengawas. Sesudah mendapat kebenaran daripada Cikgu Masitah, Haziq segera melangkah ke muka pintu.

Kelas jadi sunyi tiba-tiba. Amisya tahu, pasti semua rakannya sedang asyik merenung wajah jejaka idaman Malaya itu. Werkk! Menyampah sungguh dia ketika ini. Namun di sebalik rasa menyampah itu, dia perasan seseorang sedang merenungnya. Dia menoleh pada Fakhry, rakan Hafizi. Sebaik saja Amisya menoleh padanya, Fakhry segera mengalih anak mata ke arah lain. Pura-pura tidak mengenali Amisya.

Amisya hairan. Dicuit bahu Wani yang duduk di sisinya. “Yang sorang lagi tu siapa?” tanya dia sambil mata menjeling lelaki itu dengan ekor mata.

“Hmm?” Wani terkejut disoal begitu. Dia yang tadinya asyik merenung wajah Hafizi kini terpaksa memandang lelaki di sebelah Hafizi pula. “Oh… itu kawan Abang Hafizi. Nama dia… Fakhry kalau tak silap,” jawabnya tanpa menoleh pada Amisya. Tumpuannya kini kembali ke wajah Hafizi yang masih rancak bercakap dengan Haziq.

“Fakhry?” Amisya mengangkat sebelah kening. “Apasal tak Abang Fakhry?” Sengaja perkataan ‘abang’ itu ditekan dalam-dalam.

Wani tersengih. “Mamat tu tak sesuai dipanggil abang,” jawabnya perlahan, seakan berbisik.

“Kenapa?” Amisya mengerutkan muka. Adakah kerana Fahkry tidak sekacak Hafizi? Atau… Fahkry tidak sepopular Hafizi? Atau mungkin juga… tidak sebaik Hafizi? Oppss.. baik? Amisya pantas menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sebab aku tak suka dia. Aku cuma suka Abang Hafizi sorang…” Wani tersenyum meleret. Sekali pandang, macam orang gila bayang pun ada.

Amisya mencebik. Menyesal pula tanya. Agaknya, semua pelajar perempuan kat sekolah ni dah kena guna-guna dengan Si Hafizi sengkek tu! Hatinya mula berandaian yang bukan-bukan.

Haziq masuk ke kelas setelah selesai urusannya.

“Terima kasih, cikgu,” ucap Hafizi pada Cikgu Masitah. Sempat dia melemparkan senyuman paling manis pada pelajar perempuan di kelas itu sebelum memaut bahu Fakhry untuk beredar dari situ.

Amisya hanya memandang rakan-rakannya yang sudah macam kena histeria itu dengan gelengan kepala. Ada sesuatu yang bermain di kepalanya. Antara Hafizi dan Fakhry… terlalu ketara perbezaannya. Hafizi terkenal dengan keramahannya, walaupun Amisya tidak tahu ramah itu ikhlas atau tidak… Manakala Fakhry lebih dengan sifat pendiamnya. Emm… macam mana boleh jadi kawan baik? Detik hatinya penuh hairan.

*_*_*_*_*_*_*_*_*_*


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

8 ulasan untuk “Novel : Aishiteru…! 1, 2”
  1. farhana says:

    nice..

  2. kauyangkupuja says:

    best!

  3. atirah says:

    best sangat,tolonglah sambung lagi ye :) :) :) :) :) :) :) :) :)

  4. atirah says:

    Best sangat,tolonglah sambung lagi ye. :)

  5. FadzlynAira says:

    mantop.. hehe..

  6. miss_yuuyaa says:

    nice..mase bace novel nie teringat plak kat kawan2 sekolah.. :)

  7. shila aira says:

    syokkknyer….
    pleez smbung lgi…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.