Novel : Anak Panah Cinta 1, 2

25 July 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

Bab 1

JANTUNG Afira berdegup pantas. Tidak terungkap perasaan Afira tika ini. Gembira, sedih, blur, dan segala macam lagi perasaan yang berhimpun di dalam hati. Sejak Afira mula menginjakkan kaki di tanah universiti ini, dia berasa amat asing dan kekok. Pelajar baru, ibu bapa, dan pembantu mahasiswa yang bersimpang siur di sekelilingya cukup memeningkan kepala. Tiada seorang pun manusia yang dikenali. Dari tadi Afira hanya berdiri tegak di samping keluarganya. Matanya pula terkebil-kebil memerhatikan pelbagai gelagat manusia di situ.

“Fira, nanti belajar elok-elok. Ingat tujuan utama Fira datang ke sini!” Pesan Puan Marini kepada anak tunggalnya nan seorang itu.

Afira tidak menampakkan sebarang tindak balas dengan apa yang dipesan ibunya. Riak wajahnya sama seperti tadi. Blur. Ibunya kehairanan.

“Fira!” Seru Puan Marini sambil menggoncang kuat bahu Afira.

“Opss, mak kau meletup!!” Jerit Afira sebaik sahaja berjaya kembali ke dunia nyata.

Latahan Afira itu hanya disambut dengan senyuman dan gelengan kepala Puan Marini. Manakala Encik Mazdan pula hanya tersenyum, tidak mahu masuk campur akan hal dua beranak itu.

“Mak siapa pula yang meletup ni? Fira… Fira… dari rumah tadi asyik berangan saja. Nanti dalam kelas, kalau berangan saja susahlah,” leter Puan Marini.

Afira tersengih. Dalam diam Afira mengakui kebenaran kata-kata ibunya itu. Memang dia gemar melayan perasaan. Mudah hanyut ke dalam dunianya sendiri. Mudah meninggalkan realiti dalam khayalannya.

“Ibu janganlah risau. Fira akan cuba yang terbaik. Bukan beranganlah ibu, tapi merancang masa depan. Ibu doakanlah Fira berjaya kat sini ya.” Afira berkata penuh semangat. Pandangan matanya tajam menusuk anak mata Puan Marini. Mengeluarkan aura keazamannya yang kuat.

“Baguslah kalau macam itu. Tapi ibu tetap risaukan Fira tau. Firah kan tak pernah duduk jauh-jauh daripada kami. Duduk asrama lagilah tak pernah. Dahlah tu, ibu tengok Fira ini suka main-main,” Puan Marini meluahkan kerisauan buat kesekian kalinya. Afira mula tarik muka merajuk.

“Ibu ini, dah seratus kali ibu cakap macam itu. Ibu janganlah risau, Fira takkan main-main lagi kat sini. Takkanlah Fira nak sia-siakan peluang yang Fira dapat ini. Betul tak ayah?” Afira memaut lengan Encik Mazdan.

Afira memandang penuh harapan agar ayahnya itu memperkatakan sesuatu untuk membela dirinya. Dia mahukan kata-kata yang boleh menghentikan segala kerisauan Puan Marini. Afira sudah masak sangat dengan sikap ibunya. Jika kerisauan Puan Marini itu tidak dihentikan, alamatnya terpaksalah Afira menadah telinga seluas periuk kenduri untuk mendengar segala nasihat Puan Marini.

“Betul tu, Fira. Anak ayah kan macam ayah dia. Cool je. Tak kisah apa masalah yang datang. Berani menghadapi cabaran. Betul tak?” Ujar Encik Mazdan sambil menoleh isteri kesayangannya. Afira tersenyum gembira sebaik mendengar sokongan ayahnya. Laju sahaja dia mengangguk-angguk. Tidak ubah bagai burung tukang sahaja lagaknya.

“Hmm! Kalau sudah ayah dengan anaknya berpakat, macam inilah jadinya. Ayah dengan anak sama aje otaknya,” keluh Puan Marini. Mulutnya tercebik tanda tidak puas hati.

“Haa Fira, tadi kata nak cari kedai fotostat. Kat kolej kediaman Fira ni takkanlah tak ada. Cepat fotostat peta universiti ni, senang sikit ayah nak keluar waktu balik nanti. Besar juga universiti ni rupanya, boleh sesat,” arah Encik Mazdan.

“Baik ayah. Ibu dengan ayah tunggu kat sini je tau. Jangan pergi ke mana-mana. Nanti kalau Fira balik sini tengok ibu dengan ayah tak ada, Fira meraung kat mikrofon besar tu,” ujar Afira separuh mengugut.

“Haa, bagus sangatlah itu. Biar semua orang tahu yang Afira ini manja dengan orang tua,” balas Puan Marini dengan selamba. Afira muncung lagi.

“Ala ibu ini, Fira gurau jelah. Mana ada Fira manja. Fira dah besarlah,” bela Afira.

“Sudah… sudah, pergi cepat, Fira. Kau orang berdua ini, kalau melayan loyar buruk masing-masing sampai tahun depan pun tak habis,” Encik Mazdan cuba meleraikan keadaan.

Sambil tersenyum Afira mula mengorak langkah meninggalkan Encik Mazdan dan Puan Marini. Ramainya orang. Afira tidak tahu ke manakah harus dia melangkahkan kakinya. Kedai fotostat…. di manakah kau wahai kedai? Keluh Afira di dalam hati. Matanya melilau. Akhirnya pandangan matanya tertancap kepada sebatang tubuh yang pada kiraannya boleh membantu. Seorang lelaki yang berpakaian seragam kolej kediaman pantas tersenyum apabila Afira menghadiahkan senyuman paling mesra kepadanya. Laju sahaja Afira memanjangkan langkah ke arahnya.

“Abang, tumpang tanya. Kat sini ada kedai fotostat tak? Kat mana ya?” Tanya Afira sopan.

“Ada. Masuk sana, lepas tu pusing kiri,” jawab lelaki tersebut.

“Terima kasih ya, bang!” Balas Afira lalu terus berlalu ke arah yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut.
_____________________________________________________________________

Bab 2

MAHU tidak mahu, Afira terpaksa bersesak-sesak duduk di dalam dewan kolej kediaman itu. Sesi orientasi atau lebih dikenali sebagai minggu haluansiswa telah bermula.

“Peraturan pertama, sepanjang minggu haluansiswa ini, awak semua tidak dibenarkan memanggil pembantu mahasiswa dengan panggilan abang, kakak, adik, mak cik, pak cik atau sebagainya. Sebaliknya awak dikehendaki memanggil mereka dengan panggilan PM. Bukan abang PM atau kakak PM. Hanya PM sahaja. Ingat, awak semua ni belum rasmi lagi jadi pelajar kat universiti ni. So, jangan nak tunjuk pandai, jangan nak berlagak kat sini. Ikut peraturan. Faham!” Seorang lelaki di atas pentas memberi arahan dengan suara yang amat tegas.

Gulp! Afira menelan air liur tatkala mendengar lontaran suara lelaki itu. Dia masih ingat, lelaki itulah yang menjadi sasarannya siang tadi untuk bertanyakan di manakah kedai fotostat. Tiba-tiba Afira teringat akan panggilan yang telah digunakannya kepada lelaki itu. “Abang, tumpang tanya. Kat sini ada kedai fotostat tak? Kat mana ya?” Terngiang-ngiang pertanyaan yang pernah diucapkannya kepada lelaki itu. Afira telah memanggilnya ‘abang’. Nampaknya, siang-siang lagi Afira telah melanggar peraturan. Matanya hampir berair tatkala menyedari lelaki itu sedang memandang tajam ke arahnya. Perkataan ragging mula bermain di dalam fikirannya. Namun Afira berasa lega apabila teringat bahawa ragging di semua universiti telah pun diharamkan.

Dalam ramai-ramai macam ni pun, dapat juga dia cari muka aku! Adehh…! Hati Afira berkeluh kesah. Tidak senang duduk dia jadinya. Adakah Afira akan dihukum kerana keterlanjuran kata-katanya pada siang tadi? Risau sungguh dia. Tapi siang tadi kita orang baru sampai. Tak diterangkan lagi tentang peraturan di sini. Sepatutnya boleh dimaafkan, Afira bermonolog. Sekadar menyedapkan hatinya. Namun Afira terus diburu resah. Seakan ada sesuatu pada pandangan mata lelaki di atas pentas itu. Afira sangat berharap lelaki itu tidak akan mengingati wajahnya.

“Nama saya Alif Irfan. Boleh panggil saya PM Irfan. Sebelum saya memperkenalkan PM-PM yang lain, dengan segala hormatnya saya mempersilakan Nur Afira Nadia untuk naik ke atas pentas ini!”

Hah!! Bukan main terkejut lagi Afira mendengar namanya dipanggil. Betul ke nama aku yang abang tu panggil? Eh, silap. PM, bukan abang. Nama orang lain kut! Afira membiarkan sahaja arahan Irfan itu berlalu bagai angin, dengan harapan akan ada orang lain yang akan tampil ke hadapan. Kalau benar-benar bukan dia, bukankah buat malu sahaja jika dia keluar? Afira tersenyum sendiri mengenangkan apa yang sedang bermain di fikirannya tika ini.

Setelah beberapa ketika, tiada seorang pun yang tampil ke atas pentas. Mata Irfan terus tertancap ke arah wajah Afira. Aduhai… kenapa pula kau pandang aku? Bukan aku kan yang kau panggil? Pandanglah tempat lain! Alahaiii…. Afira buat-buat tidak tahu dan pura-pura memandang ke tempat lain. Resah gelisah Afira kini hanya Tuhan yang tahu.

“Siapa kat sini yang bernama Nur Afira Nadia? Hai… takkan tak nak mengaku nama sendiri? Penat mak dan ayah bagi nama cantik-cantik. Pelajar baru bernama Nur Afira Nadia, saya nampak awak kat situ! Keluar sekarang!” Arah Irfan sekali lagi.

Memang sah memang nama Afiralah yang dipanggil. Bertambah laju degupan jantung Afira. Ibu… ayah… saat ini Afira hanya teringatkan kedua-dua orang tuanya. Tanpa membuang masa, Afira mula mengatur gerak perlahan-lahan dari tempat duduknya.

“Cepat sikit!” Sergah Irfan.

Dengan riak muka kelat, Afira tergesa-gesa mempercepatkan langkahannya. Sabarlah! Sempat Afira merungut di dalam hati kecilnya. Selama ini, belum ada seorang pun di dalam dunia ini yang pernah berbicara kasar begitu terhadapnya. Macam mana orang nak hormat dia kalau dia sendiri tak mahu hormat orang lain?! Afira terus mengomel di dalam hati. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh lelaki itu.

Afira lihat, pelajar-pelajar baru yang lain sedang memandangnya dengan riak wajah yang sungguh pelik. Mungkin juga mereka tertanya-tanya mengapa Afira dipanggil. Sedangkan Afira juga pelajar seperti mereka yang baru tiba di universiti ini. Namun Afira tidak hairan. Dia tahu bahawa dia telah melakukan kesalahan tanpa sengaja.

Dikerlingnya pula ke arah manusia-manusia yang berdiri di tepi dewan. Kesemua mereka berpakaian seragam, sama seperti Irfan. Mungkin mereka juga pembantu mahasiswa. Namun wajah mereka amat serius. Tiada seorang pun yang sudi memaniskan wajah kepadanya. Malang sungguh nasib yang Afira rasakan pada saat ini. Belum apa-apa lagi sudah menjadi perhatian kerana melanggar peraturan. Afira tidak berani memandang tepat ke arah wajah Irfan yang kini sudah berada betul-betul di hadapannya.

“Awak tahu tak kenapa saya panggil?” Soal Irfan. Tidak ubah bagai seorang anggota polis.
“Err… tak tahu!” Jawab Afira teragak-agak. Dia sengaja menjawab tidak tahu. Afira membayangkan wajahnya yang buruk dalam keadaan begini. Di hadapan ramai orang pula tu.

“Betul awak tak tau? Saya bagi peluang kedua. Saya tanya lagi sekali, awak tahu kenapa saya panggil?” Irfan mengulangi soalannya.

Terkebil-kebil bola mata Afira diperlakukan begitu. Terasa sungguh dirinya kini sedang berada di dalam kandang bersalah mahkamah. Afira memberanikan diri untuk memandang tepat ke wajah Irfan. Tiba-tiba sahaja hati Afira terasa panas. Afira merasakan dia sedang dibuli oleh lelaki bernama Irfan itu. Takkanlah hanya kerana kesalahan kecil yang tidak disengajakan itu, dia terpaksa menanggung malu seisi dewan besar? Dia mengetap bibir. Demi terlihat sahaja wajah Irfan yang amat serius tanpa secalit kemesraan itu, Afira terpaksa akur dengan keadaan dirinya. Kini bukan masanya untuk Afira memberontak. Dia tiada pilihan lain, dia terpaksa mengikut rentak Irfan.

“Saya tahu. Saya bersalah. Saya minta maaf,” mendatar sahaja suara Afira mengakui kesalahannya. Barulah dilihatnya Irfan tersenyum sedikit. Namun cepat-cepat pula Irfan mematikan senyumannya. Afira tidak tahu kenapa Irfan berubah serius kembali secara tiba-tiba.

“Bagus! Macam nilah ciri-ciri orang yang berani mengakui kesalahan sendiri. Bagi tahu saya, apakah kesalahan yang telah awak buat?” Soal Irfan dihujung ucapannya.

Sekali lagi hati Afira mendidih. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Sengaja aje, nak kenakan akulah ni! Memang sah aku kena buli! Hati Afira terus mengomel. Namun tiada seorang pun yang dapat mendengar omelan hatinya itu.

“Saya panggil awak… err… saya panggil PM Irfan dengan panggilan abang,” jelas Afira dengan tergagap-gagap.

Afira perasan akan jegilan mata Irfan apabila dia terlanjur mengucapkan perkataan ‘awak’ sebentar tadi. Pelajar-pelajar lain yang duduk bersila di dalam dewan itu mula mengeluarkan bunyi seperti lebah. Berbisik-bisik sesama sendiri.

“Heii… siapa suruh awak semua bising ni? Ada saya suruh awak semua bisik-bisik? Kalau teringin sangat nak bercakap, naiklah atas pentas ni. Saya boleh bagi mikrofon kat awak. Macam tu barulah berani. Cakap-cakap orang berbisik ni cara orang pengecut saja. Dah masuk universiti mestilah kena berani! Peraturan kedua, dilarang bercakap kecuali ditanya. Faham?!” Jerit Irfan. Lantang sungguh nada suaranya. Sudah kedengaran seperti suara komander askar.

Kecut perut Afira menahan telinga di sebelah Irfan. Afira memang cukup benci melihat manusia yang suka terjerit-jerit. Macam orang lain pekak sahaja lagaknya. Dalam sekelip mata sahaja suasana di dalam dewan besar itu sudah menjadi senyap sunyi, bagai tiada orang langsung. Wajah masing-masing sudah seperti udang kena bakar. Tidak kurang juga ada yang beriak wajah blur. Mungkin terkejut dengan suasana dan persekitaran baru di universiti itu. Sejujurnya Afira juga berasa terkejut.

“Kalau saya tanya faham ke tidak tu, jawablah faham! Jangan diam saja! Tadi saya tak tanya boleh pula awak semua bising-bising. Satu dewan ni bergema dengan suara-suara awak. Peraturan kedua, dilarang bercakap kecuali ditanya, faham?” Ulang Irfan. Sempat juga dia membebel.

“Faham,” jawab pelajar-pelajar baru tersebut.

“Kuatlah sikit, tak bersemangat langsung!” Irfan tidak berpuas hati.

“Faham!!” Kali ini bergema suluruh isi dewan. Irfan mengangguk-anggukkan kepalanya.

Afira di sebelah Irfan sudah lenguh kakinya. Dibuatnya aku macam tunggul kat sini! Desis hati Afira berbaur perasaan bengang. Irfan menoleh kepadanya. Seakan tersedar bahawa gadis di sebelahnya itu sedang menyumpah seranah dirinya.

“Oleh kerana ini kesalahan pertama, saya hanya akan mengenakan hukuman ringan,” ujar Irfan kemudian. Wajahnya tetap serius. Bulat mata Afira mendengarnya. Bibirnya bergerak-gerak seperti mahu memperkatakan sesuatu.

“Tapi peraturan itu baru dijelaskan tadi. Sepatutnya kesalahan yang dilakukan sebelum peraturan dijelaskan, boleh dimaafkan,” Afira cuba membela diri. Dia mengutarakan alasan kukuh. Dilihatnya Irfan sedang mengerutkan kening. Afira tidak tahu apakah yang sedang bermain di benak Irfan.

“Oh, belum apa-apa lagi dah pandai melawan, ya?” Gertak Irfan tanpa diduga.

Afira hanya mampu menelan air liur. Bencinya!! Afira berasa sangat geram. Dia mendiamkan diri seribu bahasa, tidak berani lagi membalas kata-kata yang keluar dari mulut Irfan. Hanya mata Afira sahaja yang berani merenung tajam ke arah wajah Irfan. Bagai ada makna pula pada renungan Afira itu. Hmmm… sudah semestinya pandangan itu membawa maksud perasaan geram yang teramat.

Irfan tetap seperti tadi, serius dan seperti orang tidak berperasaan. Berbeza sungguh perwatakan Irfan tika ini. Afira terpaksa menerima hakikat bahawa Irfan yang ditemuinya siang tadi dengan Irfan yang berada di hadapan matanya kini adalah orang yang sama. Sama tetapi tidak serupa. Perbezaannya bagai langit dengan bumi.

“Sebagai hukuman, awak nampak tak mereka yang berdiri di sekeliling dewan ni?” Tanya Irfan sambil tangannya diarahkan ke sekeliling dewan itu.

“Nampak!” Cepat-cepat Afira menjawab.

Bukan apa, Afira sekadar tidak mahu mendengar bebelan Irfan jika dia tidak mengikut arahan. Irfan tersenyum. Namun seperti tadi, senyuman Irfan itu hanya bertahan dalam masa dua saat. Sungguh pelik Afira melihat sikap Irfan.

“Ok. Mereka semua adalah pembantu-pembantu mahasiswa. PM-PM. Sekarang, awak ikut saya!” Arah Irfan lalu dia terus berlalu.

Seperti anak kecil Afira mengekori langkah Irfan. Dia ingat aku ini siapa? Suka-suka hati aje nak arah-arah! Marah Afira di dalam hati. Namun diturutkan juga kemahuan Irfan itu. Apa lagi agaknya yang Irfan mahu lakukan? Afira tertanya-tanya sendiri. Kejutan demi kejutan melanda dirinya. Tidak pernah dia menghadapi situasi seperti ini di sepanjang hidupnya.

Akhirnya Irfan berhenti mengejut di hadapan salah seorang pembantu Mahasiswa. Hampir sahaja hidung Afira terhenyak pada belakang badan Irfan. Terkial-kial Afira cuba menghentikan langkahnya yang laju sebentar tadi.

Kedengaran suara tawa pelajar-pelajar lain tatkala melihat aksi Afira yang tidak disengajakan itu. Irfan menoleh ke arah pelajar-pelajar baru yang sedang ketawa. Serta merta suara tawa sebentar tadi mati begitu sahaja. Semua orang buat-buat tidak nampak akan aksi lucu Afira. Irfan memandang mereka dengan pandangan yang tajam. Sebenarnya Irfan tidak faham, kenapa tiba-tiba suasana lucu boleh timbul? Dia juga berasa pelik apabila menyedari rakan-rakan pembantu mahasiswa yang lain juga ada yang cuba menahan senyum.

Irfan semakin diburu kehairanan. Namun dibiarkannya sahaja perasaan itu. Mana mungkin Irfan akan dapat menangkap apa yang baru terjadi. Irfan berjalan di hadapan. Tidak mungkin dia akan menoleh ke belakang semata-mata untuk melihat Afira berjalan. Maruahnya perlu dijaga.

“Sekarang, awak tanya nama, fakulti mana, dan asal mana kepada PM ini,” sekali lagi Irfan mengeluarkan arahan. Afira merapatkan diri ke arah pembantu mahasiswa yang dimaksudkan oleh Irfan.

“Nama siapa, abang? Eh.. maaf, siapa nama PM?” Ternyata Afira masih janggal dengan nama panggilan PM. Afira dapat menangkap perubahan wajah Irfan sebaik sahaja dia menyebut perkataan ‘abang’.

“Nanti… nanti.. nanti!” Celah Irfan sebelum soalan Afira itu sempat dijawab oleh pembantu mahasiswa terbabit.

“Kalau baru jumpa orang, takkan nak main sergah aje. Bagilah salam dulu. Macam ini, ehem..ehem.. selamat malam, apa nama PM? Belajar di fakulti mana? Asal PM dari negeri mana? Lembut sikit. Cuba lagi!” Arah Irfan lengkap dengan contoh yang diberikan. Afira terus menggerutu di dalam hati. Di dalam diam dia mengutuk tindakan Irfan terus menerus.

“Selamat malam, apa nama PM? Belajar di fakulti mana? Asal PM dari negeri mana?” Afira mengulangi bulat-bulat contoh soalan yang diberikan oleh Irfan sebentar tadi kepada pembantu mahasiswa di hadapannya.

“Ops! Apa ni? Tanyalah satu-satu. Tanya banyak-banyak macam mana dia nak jawab?” Tegur Irfan sekali lagi. Agak mendatar sahaja nada suaranya. Hati Afira semakin membengkak. Ada sahaja yang tidak kena di mata Irfan tentang dirinya.

“Selamat malam. Apa nama PM?” Soal Afira kemudian. Tertahan-tahan lontaran suaranya. Mahu balik rumah pada masa ini juga rasanya.

“Ikram,” jawab Pembantu Mahasiswa itu sepatah.

Afira terlongo seketika. Punyalah Afira sopan bagi salam, hanya itu jawapan yang diperolehi? Tak berbaloi langsung. Fikirnya lagi.

“PM Ikram belajar di fakulti mana?” Tanya Afira lagi.

“Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran,” sepatah juga jawapan yang keluar. Tidak mesra ‘alam’.

“PM Ikram berasal dari negeri mana?” Afira melengkapkan soalannya.

“Kuala Lumpur,” jawab Ikram.

Setelah habis semua pertanyaannya dijawab oleh Ikram, Afira memandang Irfan. Pandangan yang penuh makna tersirat. Dia harap Irfan akan memperkatakan sesuatu.

“Ok… ok. Sekarang, perkenalkan PM Ikram ini kepada rakan-rakan pelajar awak yang lain,” Irfan meneruskan arahannya. Dia ingat aku ini budak sekolah ke apa? Afira berasa semakin geram.

“Kawan-kawan, ini PM Ikram. Dia belajar di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran. Dan dia berasal dari Kuala Lumpur!” Lantang suara Afira menggunakan mikrofon yang diberikan oleh Irfan kepadanya. Afira sudah malas untuk menyusun ayat cantik-cantik. Biarlah kata-katannya itu kedegaran seperti pelajar darjah satu, dia tidak peduli.

Irfan mengukir sebuah senyuman lagi. Namun cepat-cepat senyuman itu dimatikan tatkala menyedari Afira sudah menjadikan wajahnya sebagai sasaran kembali. Afira mengerutkan kening. Masuk kali ini, sudah tiga kali dia melihat Irfan tersenyum sebegitu rupa. Senyuman dua saat. Ada juga orang begitu. Fikir Afira dalam diam.

“Bagus! Semua PM kat sini ada enam puluh orang. Awak tanya satu-satu macam tadi. Lepas itu perkenalkan balik kepada kawan-kawan awak. Sama macam tadi, senang saja kan? Ini merupakan hukuman bagi awak. Mulakan sekarang,” Irfan menyudahkan arahannya.

Semua? Enam puluh orang? Gila ke mamat ini? Ini betul-betul satu pembulian! Protes Afira sepuas hati.

Afira cuba mengukir senyuman. Sungguh kelat senyuman yang terukir. Panasnya di dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sudahlah telefon bimbit telah dirampas. Langsung tiada peluang untuk menghubungi dunia luar. Tidak bolehlah dia mengadu kepada keluarganya. Baru hari pertama, sudah macam-macam yang terjadi. Bagaimana Afira mahu menghabiskan pengajian selama tiga tahun? Aduh.. lemah semangat Afira. Hatinya menjadi bertambah sebal tatkala terpandangkan Irfan. Tetap serius wajah yang dipamerkan oleh lelaki itu. Ibu… ayah…. Fira nak balik! Alahaii… manjanya Afira.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

10 ulasan untuk “Novel : Anak Panah Cinta 1, 2”
  1. lina says:

    best la e-novel…tak sabar tggu sambungan ni…

  2. Noraz Ikha says:

    Terima kasih lina :-)

  3. akmasara says:

    best, cpt truskn, biar pm irfan jd hero :)

  4. Cerita yang comel, teruskan lagi Kak Ikha! :)

  5. surayah bte hashim says:

    hihihihi kesian fira..tak sabar nak tunggu sambungannya

  6. ice90 says:

    hahahah…ksiannye die..ade 60 pm nk kene tye..bleh skit tkak pastu..heheh

  7. Noraz Ikha says:

    terima akmasara, rahmah mokhtar, surayah & ice 😀

  8. Noraz Ikha says:

    *terima kasih

  9. gurl says:

    best sgt!! hehe =)

  10. PartyFreak007 says:

    Haha. I laugh when I read this story. :’)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.