Novel : Anak Panah Cinta 3

2 August 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

BUNYI ketukan pintu yang berselang seli dengan bunyi siren pembesar suara kini bergema di seluruh kolej kediaman. Serta-merta tidur Afira yang amat lena itu terganggu. Seperti terkena kejutan elektrik, Afira pantas bangkit daripada katil. Mata yang tadinya terpejam rapat kini sudah terbuka luas tidak berkelip. Begitu juga dengan Hani dan Iza, rakan sebiliknya. Seketika kemudian, mereka bertiga cepat-cepat mencapai baldi kecil masing-masing. Persis lipas kudung mereka berlari ke bilik air. Sepantas mungkin juga mereka cuba mempersiapkan diri untuk turun ke gelanggang perhimpunan minggu haluansiswa.

Takut-takut Afira, Hani dan Iza bergerak mendekati gelanggang. Kelihatan pelajar baru yang lain sudah bersiap sedia beratur mengikut kumpulan masing-masing. Terdapat juga tiga orang pelajar berdiri di hadapan gelanggang. Sudah pasti Afira dan rakan-rakan sebiliknya itu akan menyertai mereka yang berada di hadapan gelanggang itu.

“Dipersilakan tuan puteri dan dayang-dayang sekalian. Sudilah kiranya tuan puteri mengepalai perhimpunan ini,” ucap Irfan sambil berjalan mengiringi langkah Afira, Hani dan Iza.

Sengaja Irfan memanggil mereka dengan gelaran itu, sebab selalunya tetamu-tetamu terhormat sahaja yang diberi keistimewaan untuk menjadi orang terakhir yang tiba di dalam satu-satu majlis. Spontan riak wajah Afira berubah dengan tindakan Irfan. Apa pula yang Irfan mahu lakukan pada kali ini? Soalan itu mula berlegar di dalam fikiran Afira.

Terkulat-kulat Afira bergerak menghampiri pentas kecil yang sudah sedia ada di hadapan gelanggang. Langkah kakinya agak kurang stabil kerana masih terasa kesan bangun mengejut ketika sedang enak dibuai mimpi. Kepalanya pening. Malang apakah yang akan menimpa aku kali ni?? Dalam diam Afira meratapi nasib diri semenjak dia memasuki universiti penuh kebanggaan ini.

Tiba-tiba sahaja pandangan mata Afira berubah. Pembantu-pembantu mahasiswa yang elok berbaris berdekatan dengan pentas gelanggang perhimpunan itu sudah berubah wajah menjadi seperti hakim di dalam mahkamah. Pelajar-pelajar baru yang kemas berbaris mengikut kumpulan masing-masing itu pula sudah berubah karakter menjadi penonton di dalam mahkamah. Mereka seperti khusyuk menyaksikan Afira yang sedang berjalan menuju ke kandang pesalah.

Arghh!! Kenapa dengan penglihatan mata aku ini? Aku di mana sekarang? Afira seakan-akan berada di dalam dunianya sendiri. Pandangan mata Afira semakin berbalam sehingga akhirnya dia bertukar tempat lagi ke dalam dunia yang gelap gelita……. pengsan?!

**********

“NUR Afira Nadia, kamu dijatuhkan hukuman penjara dua ratus tahun!” Bergema suara itu di dalam mahkamah, terngiang-ngiang di telinga Afira. Bagai mahu pecah rasanya gegendang Afira sewaktu mendengar hukuman itu.

“Tolong… tolong! Aku tak bersalah, aku dianiaya!!” Afira tidak peduli, dia menjerit sekuat hati. Bagai mahu terkeluar anak tekaknya pada saat ini.

Hukuman apakah itu? Penjara dua ratus tahun? Teruknya! Logikkah manusia akan menginjak usia sehingga dua ratus tahun? Tidak logik, tidaaakk! Jantung Afira sudah berdebar-debar tidak keruan. Empangan air matanya mula pecah dan merembes deras. Bibirnya pula tercebik menahan perasaan sambil memerhatikan manusia-manusia di dalam mahkamah yang sungguh pelik itu. Keluarga Afira pula dilihat saling berpelukan erat seperti sedang melampiaskan rasa kesedihan yang melampau.

“Tolong Fira, ibu, ayah! Fira tak bersalah,” rengek Afira di dalam kebingitan suasana di situ. Tenggelam timbul suaranya, entah-entah hanya dia seorang sahaja yang mampu mendengar rengekannya itu.

Di satu sudut mahkamah tersebut, Afira melihat pula sekumpulan manusia yang sedang sakan bergelak ketawa. Ada yang mempamerkan isyarat ‘padan muka’ kepadanya, dan ada juga yang sedang tersenyum mengejek. Eh… eh… apa hal? Air mata Afira terus terhenti dan berubah terus riak wajahnya. Mengapa mereka terlalu gembira? Adakah hukuman yang aku terima ini merupakan angkara mereka? Jika benar, tunggulah kalian akan pembalasan yang aku akan lakukan. Aku akan membuat perhitungan selepas aku keluar dari penjara nanti! Tunggulah!

“Aku akan balas dendam!!” Jerit Afira sesungguh hati. Tekadnya sudah bulat.

“Aku akan balas dendam! Kau orang tunggulah!!” Laungnya lagi buat kali kedua, kali ini suaranya lebih kuat hinggakan tiba-tiba sahaja semua orang terkaku.

Afira mengepal-ngepal penumbuknya ke tapak tangan sendiri. Dia melepaskan dirinya daripada pegangan pengawal keselamatan yang sudah menjadi ala-ala patung itu. Kemudian dia merenung gari yang mencengkam kedua-dua belah tangannya. Tidak semena-mena segaris cahaya laser berwarna biru muncul menerusi sinar matanya dan dengan pantas menyuluh ke arah gari tersebut. Serta-merta gari itu pun terbuka, jatuh dan terus lenyap ditelan lantai. Fuh! Sejak bila aku mempunyai kuasa?

Afira terkebil-kebil melihat keajaiban yang berlaku. Dilihatnya sekumpulan manusia yang tadinya bergelak ketawa dan mengejek dirinya masih lagi kaku. Inilah peluang Afira untuk melepaskan geram. Tanpa membuang masa Afira terus berlari dan satu penumbuk padu dihadiahkan ke arah pipi salah seorang daripadanya. Sekali lagi Afira terpana melihat manusia yang baru ditumbuknya itu melayang tinggi hingga menembusi siling mahkamah, dan manusia itu tidak turun kembali selayaknya tarikan graviti.

“Kuasa apakah ini?” Afira menyoal dirinya sendiri sambil membelek-belek penumbuknya. Selama ini, mahu menolak ayahnya pun dia tidak berdaya. Dia semakin dihantui perasaan pelik.

Ah… aku sudah ada kuasa! Hati Afira berdetik kuat. Mereka semua sudah kaku. Ini juga merupakan peluang untuk dia melarikan diri. Tidak perlulah dia menjalani hukuman gila penjara dua ratus tahun itu. Baru sahaja dia mahu mengangkat kakinya, tiba-tiba semua orang yang berada di dalam mahkamah itu mula bergerak. Belum sempat Afira bertindak, satu tamparan kuat singgah di pipi Afira dan pandangannya berpinar. Bintang dan bulan sudah berlegar-legar di atas kepalanya.

“Aduh!! Sakitnya!!” Afira meraung kesakitan.

Seketika kemudian Afira mula membuka matanya perlahan-lahan. Kelopak matanya semakin terbuka…. terbuka luas… dan wajah bengis lelaki bernama Irfan sudah terpapar di ruang matanya. Irfan? Diakah yang telah menghadiahkan tamparan yang amat kuat itu? Kedua-dua bola mata Irfan terus memandang wajah Afira tanpa berkelip. Manakala bibir Irfan pula serius tidak tersenyum langsung, seperti manusia tidak berperasaan sahaja lagaknya. Sudah bertukar menjadi robotkah dia ini? Sebelum ini ada jugalah dia tersenyum walapun hanya bertahan selama dua saat sahaja, detik Afira di dalam hati.

“Kenapa awak tumbuk muka saya sampai lebam? Padan muka awak, kan dah kena tampar!” Tegur Irfan sambil menggosok-gosok pipinya.

Hah? Aku tumbuk Irfan ke? Tapi… manusia yang aku tumbuk tadi tu tak nampak macam muka Irfan pun? Fikir Afira, biji matanya sudah terkebil-kebil seperti mata cicak.

“Siapa yang aniaya kau? Aku ke?” Soal Irfan lagi walaupun segala soalannya sebentar tadi tidak dijawab oleh gadis di hadapannya itu.

Irfan tersenyum. Dia sudah tidak tahan melihat gelagat Afira yang kelakar sebentar tadi. Sudahlah pengsan di hadapan semua orang, apabila sudah sedar, merapu yang bukan-bukan pula. Lawak betullah perempuan ini. Irfan cepat-cepat mematikan senyumannya apabila tersedar bahawa senyuman yang terukir di bibirnya itu kini sudah semakin meleret.

Tiada sepatah perkataan pun yang keluar daripada mulut Afira. Ternyata dia masih berada dalam keadaan bingung dan biji matanya masih berpinar dek penangan tamparan kuat Irfan itu. Setelah pandangannya jelas, dia memerhatikan keadaan persekitarannya. Kini dia faham, rupanya dia hanya bermimpi ketika pengsan. Jadi yang aku terjerit-jerit di dalam mahkamah tadi tu….. Irfan dengarkah?? Manusia yang aku tumbuk dengan kuasa magik aku tadi itu juga….. Irfankah? Alamak!!

Afira menatap wajah irfan dengan rasa bersalah. Dia ingin meminta maaf tetapi suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Irfan pula sudah terasa seperti hendak ketawa sambil berguling-guling ketika itu, namun cuba ditahannya seboleh mungkin. Dia tidak boleh berbuat begitu di hadapan Afira.Tugasnya dalam sesi orientasi ini tidak membenarkannya berkelakuan mesra. Mimpi apakah Afira tadi? Tiba-tiba sahaja Irfan terasa ingin tahu.

“Awak nak balas dendam kepada saya ke? Kenapa? Awak tak puas hati dengan denda hari tu ke?” Sekali lagi Irfan mengungkit apa yang keluar dari mulut Afira sewaktu pengsan.

Mulut Afira ternganga luas. Sah… memang sah, Irfan telah mendengar semua butir bicaranya sewaktu di dalam mahkamah mimpi tadi. Irfan terus tersenyum di dalam hati. Suka benar dia menyakat Afira. Irfan tahu bahawa Afira tidak akan berani untuk melawannya. Takut kena denda. He.. he.. he..!


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

Satu ulasan untuk “Novel : Anak Panah Cinta 3”
  1. nurr says:

    bez..niceeeeee…
    suke2…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.