Novel : Anak Panah Cinta 4

10 August 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

“HAHAHA…. aku tak tahan betullah dengan Afira tu. Kau tau tak, dia terjerit-jerit macam ini, tolong… tolong… aku tak bersalah, aku dianiaya! Ha..ha..ha…!” Tidak sudah-sudah lagi Irfan mentertawakan kelakuan Afira semasa di bilik sakit pada pagi tadi.

Sudah setengah jam Irfan bercerita mengenai Afira. Ikram yang merupakan sahabat karib merangkap rakan sebilik Irfan juga ketawa terkekeh-kekeh. Irfan kelihatan serius di hadapan semua orang, terutama apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar baru. Keseriusannya itu sudah termaktub dalam senarai tugasnya sebagai seorang pembantu mahasiswa. Tetapi hakikatnya Irfan adalah seorang yang gila-gila. Tahun ini merupakan tahun kedua pengajiannya di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

“Eh, macam mana kau boleh masuk dalam bilik sakit itu? Bukan ke lelaki tak boleh masuk bilik sakit perempuan?” Ikram bertanya hairan.

“Yang kau sibuk nak tahu kenapa? Rahsialah!” jawab Irfan sambil tersenyum meleret.

“Heā€™eleh… dengan aku pun nak rahsia-rahsia ke?” balas Ikram tidak puas hati.

“Mestilah!” Irfan bertegas.

“Suatu hari nanti aku mesti tahu punya.” Ikram masih tidak mahu mengalah.

“Ha… kalau macam tu kau tunggulah suatu hari kau tu,” ujar Irfan tanpa perasaan.

“Kurang asam kau. Okey… aku tunggu!” Ikram berazam.

Irfan masih terus tersenyum-senyum mengingati Afira. Dia kini sudah hanyut di dalam lamunan. Kata-kata Ikram sudah tidak singgah lagi ke telinganya. Biarlah Ikram membebel sendiri. Kasihan Ikram…. Irfan sebenarnya tidak sabar menunggu hari esok. Dia suka melihat wajah Afira yang comel terutamanya apabila gadis itu berada dalam keadaan kalut. Afira… Afira…. nama itu seperti sudah sebati di dalam jiwanya.

*****
KEESOKAN harinya…….

“Semua dah ada? Tengok kawan-kawan di sekeliling kamu. Kalau tak ada beritahu saya sekarang. Kita dah nak gerak ni. Jangan pula bila dah sampai kat fakulti nanti, ada pelajar yang tak ada.” Kedengaran suara lantang Ikram mengingatkan pelajar baru di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran yang menghuni di kolej kediaman tersebut. Ikram akan menguruskan segala urusan pendaftaran kursus untuk semester pertama bagi pelajar baru di fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

Afira tidak melihat kehadiran Irfan. Jika Irfan tiada di sini, bermakna Irfan bukanlah pelajar Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran. Yahooo!!!! Afira mula menjerit suka di dalam hati. Dia berasa bebas daripada segala pembulian Irfan untuk urusan yang berkaitan fakulti.

Dengan penuh semangat Afira memastikan keberadaan rakan-rakan sefakulti di sekelilingnya seperti yang diarahkan. Semua orang ada. Beres.

“Pastikan juga kamu membawa dokumen-dokumen yang perlu untuk proses pendaftaran kursus. Periksa senarai dokumen yang telah diberi. Jangan lupa bawa bersama buku panduan kursus fakulti. Pastikan nanti kamu mendaftar kursus yang betul seperti yang tertera di dalam buku panduan itu. Sesiapa yang tertinggal dokumen di dalam bilik, cepat pergi ambil sekarang. Segera!” Ikram bersuara lagi mengingatkan mereka yang kebanyakannya masih kebingungan.

Mereka berdebar-debar. Bimbang terpisah daripada rakan-rakan, nanti susah pula mahu ke fakulti yang mereka sendiri masih belum tahu di mana kedudukannya. Mereka juga risau jika tersalah mendaftar kursus. Kelihatan wajah masing-masing sudah beriak cuak.

Afira membuka beg sandang untuk memeriksa dokumen yang perlu dibawa. Pada awalnya dia berasa malas mahu memeriksa kerana yakin semua dokumen tersebut telah sedia dimasukkan ke dalam beg. Dia sudah memasukkan semuanya ke dalam satu fail sebelum tidur semalam.

“Eh, mana fail tu??” Afira sudah kecut perut. Alamak!!!

Tanpa membuang masa Afira terus berlari meninggalkan rakan-rakannya untuk ke blok kediamannya. Dari tadi tidak mahu periksa, kan dah lambat. Afira lihat sudah ada yang kembali daripada mengambil dokumen yang tertinggal. Tetapi dia pula baru terhegeh-hegeh mahu bergerak ke bilik.

Masuk ke dalam bilik sahaja, Afira terus menangkap kelibat fail kesayangannya yang terdampar di atas katil. Huh! Macam mana aku boleh lupa nak masukkan ke dalam beg ni? Rasanya macam dah masukkan. Hmm…. lantaklah, yang penting fail sudah berada di tangan, fikir Afira. Tergesa-gesa dia mengunci kembali pintu biliknya.

“Aik! Mana dia orang ni?!” Afira terjerit kuat dengan nafas yang termengah-mengah kerana penat naik turun tangga blok kediamannya sebentar tadi.

Huwaaa!! Afira terasa mahu menangis guling-guling sambil melihat tempat berkumpul yang tadinya penuh kini sudah sepi. Tiada seorang pun yang berada di situ. Macam mana aku hendak ke fakulti ni? Dekat mana letaknya Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran tu?? Tolonggggg!!! Afira merintih di dalam hati.

Di kejauhan Afira dapat melihat segerombolan pelajar sedang berarak. Sudah pasti mereka juga mahu ke fakulti. Dengan pantas Afira membuka langkah seribu mengejar kumpulan pelajar tersebut. Akhirnya dia sampai juga di bahagian belakang kumpulan itu.

“Tumpang tanya, kumpulan ini mahu ke fakulti mana ya?” Tanpa perasaan malu Afira terus menegur seorang pelajar lelaki yang berbaris di belakang sekali.

Afira tidak boleh malu-malu lagi. Kalau malu bertanya nanti sesat jalan, dia juga yang susah. Berdasarkan baju seragam yang dipakai oleh kumpulan pelajar itu, dia tahu mereka berasal dari Kolej Kediaman Keempat. Sebuah kolej yang tersergam megah di hadapan dengan kolej kediamannya.

“Fakulti Perniagaan dan Perakaunan,” jawab lelaki tersebut dengan ringkas, namun riak wajahnya mempamerkan perasaan terkejut. Maklumlah, tiba-tiba sahaja dia ditegur dari belakang. Setahunya dialah orang terakhir yang beratur di situ. Sudah pasti dia tertanya-tanya dari manakah munculnya perempuan yang baru menegurnya itu.

“Oh, terima kasih!” Ucap Afira laju.

Ini tidak boleh jadi. Afira harus mencari kumpulan Kolej Kediaman Ketujuh yang mahu ke Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran kerana dia berasal dari kumpulan itu. Rasanya tidaklah terlalu lama masa yang diambil untuk mengambil fail di dalam bilik. Sudah cukup pantas dia berlari naik turun tangga blok kediamannya itu. Tup… tup… apabila sampai di bawah semula, semua orang sudah menghilang. Macam magik pula.

Afira kembali memecutkan dengan berlari selaju mungkin. Dia memintas kumpulan pelajar yang mahu ke Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu. Kumpulan itu memandang pelik ke arahnya. Kenapa pelajar perempuan ni lari seorang-seorang? Orang lain semuanya bergerak secara berkumpulan. Afira tahu pasti itu yang sedang bermain di fikiran kumpulan pelajar yang dipintasnya itu. Ahh, Afira tidak peduli!

Afira harus cepat-cepat mendapatkan kumpulannya kembali kerana dia tidak tahu jalan ke Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran. Jika dia gagal sampai ke fakulti, bagaimana dia mahu mendaftar kursus untuk semester pertamanya? Dia yakin kumpulannya itu belum bergerak jauh.

Itu pun mereka! Afira dapat mengecam baju seragam Kolej Kediaman Ketujuh. Tetapi bagaimana jika mereka mahu ke fakulti lain? Ahh… itu lain kira… yang penting kita kejar mereka dahulu. Kita? Eh… aku seoranglah. Sempat lagi Afira melalut seorang-seorang.

Sepanjang perjalanan dia dapat melihat banyak monyet saling bergayutan di atas pokok yang merimbun di tepi jalan. Sekali sekala monyet-monyet itu mengeluarkan bunyi nyaring yang menakutkan. Risau juga Afira berlari seorang diri di situ. Adakalanya suara monyet itu kedengaran seperti bunyi ketawa mengekek. Agaknya monyet-monyet itu juga sedang mentertawakan Afira yang sedang kalut. Jangan main-main, monyet di universiti itu bijak-bijak.

Mujurlah Afira bekas pelari pecut sekolah. Sudah biasa lari laju-laju macam itu. Kalau orang lain yang tidak biasa berlari, sudah pengsan agaknya. Akhirnya berjaya juga dia sampai di belakang kumpulan yang dikejarnya itu. Mahu ke fakulti manakah mereka agaknya? Afira bukannya ingat sangat wajah yang berada di bahagian belakang kumpulannya tadi.

“Tumpang tanya, kumpulan ni nak ke fakulti mana?” tanya Afira. Sambil itu Afira menepuk bahu perempuan yang ditanya itu dari belakang.

Perempuan itu berasa terkejut hingga terangkat bahunya dek tepukan Afira yang langsung tidak diduga itu. Manakala Afira hanya tersengih seperti kerang busuk apabila perempuan itu sudah memanah pandangan ke arahnya. Dia tahu sudah pasti perempuan itu juga tidak menyangka terdapat orang lain di belakangnya, kerana sudah pasti perempuan itu juga yakin bahawa dialah orang terakhir yang beratur di belakang. Hmm… situasi yang persis seperti tadi.

“Nak ke Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran,” perempuan itu tetap menjawab walaupun terkejut.

“Maaf ya kalau saya dah buat awak terkejut, saya tak sengaja. Tadi saya naik ke bilik nak ambil fail yang tertinggal. Bila saya turun balik, saya tengok awak semua dah berangkat,” Afira bercerita perihal peristiwa yang baru menimpanya.

“Oh….” Hanya perkataan itu yang terluah dari mulut perempuan yang ditegur Afira itu. Mungkin dia masih lagi berada dalam keadaan terkejut.

Legaaaa….. Afira bersyukur. Akhirnya dia bersatu kembali setelah tercicir dari kumpulannya. Semenjak Afira memasuki kawasan universiti ini, dia kelihatan seperti budak nakal yang selalu sahaja membuat hal, padahal dia langsung tidak sengaja. Dia bukanlah seorang yang suka mencari publisiti murahan dengan berkelakuan nakal. Bukan sama sekali! Cuma Irfan sahaja yang suka mencari peluang bagi mengenakannya. Nasib baik Irfan tiada di dalam kumpulan fakulti ini. Fuh, Selamat!!


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Anak Panah Cinta 4”
  1. ice90 says:

    buat lawak la afira ni..nasib baik irfan x de klu x msti kene lg..heheh

  2. i.k.h.l.a.s says:

    klakar citer nie
    tp bestt!!
    cpat2 smbg tau

  3. Noraz Ikha says:

    Pengumuman: e-novel Anak Panah Cinta akan dihentikan dari laman web penulisan2u kerana e-novel ini terlibat dalam satu projek mini novel gabungan rakan penulis. Doakan projek ini berjaya. Terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan menyokong e-novel ini. :-)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.