Novel : Antara mahligai ego dan cinta 3

11 July 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Dilza Adina

Larra berjalan keluar dari Pandan Indah Hotel itu. Sudah dua malam dia menetap di situ. Pagi-pagi lagi dia mendaftar keluar. Pasti kini mama dan papanya sudah menyedari akan kehilangannya. Aku tak boleh lama-lama tinggal dekat hotel ni.

Langkahnya terhenti. Tapi aku nak tinggal dekat mana lagi? Dengusnya perlahan. Dia mendongak memandang kepulan-kepulan awan di langit. Cuaca yang terik membuatkan dia terasa bahangnya. Pening kepalanya memikirkan tentang masalah yang melanda kini. Dia berdiri di hadapan ATM sambil memandang orang-orang yang beratur di situ. Kini sampailah gilirannya. Kad bank dimasukkan.

“Apsal kad bank aku ni ek?” soalnya sendiri sambil sekali lagi mencuba untuk mengeluarkan duit, namun hasilnya masih sama. Sejenak dia teringat kembali kata papanya ketika mereka bertengkar tempohari.

“Stop Larra! Papa belum habis cakap lagi. Semua visa, pasport dan segala aset Larra dalam bank dah dibekukan. Kamu tak boleh ke luar negara lagi” kata papanya tempohari kini bermain semula di otaknya. Dia menarik nafas panjang. Matanya dipejam erat

“jadi papa betul-betul bekukan aset aku. Ya allah, aku nak ke mana ni? Duit aku pun tinggal berapa je dekat wallet” keluhnya sambil memikir. Duit yang dimilikinya hanya tinggal beberapa ratus sahaja.

Dia kembali berjalan sambil berjalan tanpa arah tujuan. Kemana kakinya melangkah, di situlah badannya dibawa. Dia tiba di perhentian bas. Rasa haus tekaknya dan lenguh kakinya membuatkan dia mengambil keputusan untuk berehat sebentar di situ.

Lantas punggungnya dilabuhkan ke salah satu bangku di situ. Betul-betul bersebelahan dengan seorang wanita tua. Mungkin lebih tua dari mamanya sendiri. Larra sempat memandang sekilas apabila wanita itu batuk-batuk. Rasa kasihan pula melihat wanita itu.

Dia kembali dalam lamunannya sendiri. Memikirkan apakah nasibnya selepas ini.

“aaa!! Tolong!! Peragut! Tolongg!!” jerit satu suara membuatkan Larra tersedar. Hanya dalam sekelip mata sahaja, dia melihat seorang lelaki berlari di hadapannya dengan menjinjing beg tangan sebelum menaiki motor yang tidak jauh dari situ. Sempat Larra menghafal nombor flat pada kenderaan beroda dua itu.

Suasana di perhentian bas itu gempar. Ada beberapa lelaki warganegara asing yang turut berada situ cuba mengejar namun hampa tidak berjaya. Dia menoleh di sisinya, kelihatan wanita tua itulah yang menjadi mangsa. Dia bangun dan menghampiri wanita itu.

“Mak cik okay?” soalnya lembut membuatkan wanita tua itu menoleh ke arahnya. Mata wanita itu tidak berkelip melihatnya.

“beg tangan mak cik. Semua ic dan duit ada dalam tu” rintih wanita tua itu. Larra mula berasa kasihan melihat nasib wanita itu.

“erm, mak cik. Saya hafal nombor flat kenderaan tadi. Lebih baik, kita pergi buat laporan polis sekarang” ujar Larra memberi cadangan. Beberapa orang di situ turut bersetuju dengan cadangan Larra.

“tapi sekarang pun, mak cik dah tak tahu macam mana mak cik nak pergi ke balai polis nak. Dah tak ada duit nak naik bas ke sana” beritahu wanita itu.

“mak cik tak payahlah risau. Mak cik boleh guna duit saya dulu” ujar Larra. Wanita itu kelihatan serba salah.

“betul tu mak cik. Lebih baik mak cik, pergi ke balai polis cepat. Biar dapat barang mak cik pun cepat. Lagipun cik ni nak bantu. Eloklah terima sahaja” sokong seorang lelaki warga India. Larra mengangguk.

“betul tu mak cik. Saya ikhlas nak bantu. Bas pun dah datang. Mari saya temankan mak cik ke balai polis” ujar Larra.

“terima kasih ya nak. Terima kasih” tak putus-putus wanita itu mengucapkan terima kasih kepada Larra kerana sudi membantunya.

****

Larra memimpin tangan wanita yang hanya dipanggil Mak Munah itu menyeberangi jalan. Laporan telah dibuat, dan dalam masa terdekat sekiranya suspek berjaya ditemui, pihak polis telah berjanji untuk menghubungi Mak Munah.

“terima kasihlah sekali ya nak sebab bantu mak cik. Kalau anak tak ada dekat situ tadi, mak cik tak tahu lah macam mana mak cik” ujar Mak Munah. Larra turut duduk di sisi wanita itu sementara menunggu bas datang bagi menghantar wanita itu pulang.

“tak apa mak cik. Saya tak kisah pun. Mak cik tinggal dekat Cheras kan. Guna la duit saya dulu. Ni duitnya” ujar Larra sambil menghulurkan sekeping not RM10.

“eh, ya allah. Banyaknya mak cik berhutang dengan Cik ni. Tak sedap hati la mak cik, cik Adlea” ujar Mak Munah. Memang sengaja Larra membahasakan dirinya sebagai Adlea. Dia tidak mahu dirinya dikenal sebagai Larra.

“tak perlu mak cik. Saya tak minta bayar balik. Saya tolong ikhlas” ujar Larra.

“baiknya hati cik ni. Macam nilah, cik beri alamat cik. Biar nanti bila mak cik dah dapat duit mak cik balik, mak cik datang pulangkan pada Cik Lea” ujar Mak Munah. Larra terdiam seketika.

“erm, tak payahlah mak cik. Saya tak… Tak perlukannya” ujar Larra.

“kenapa pula. Bagi je lah alamat cik.” pujuk Mak Munah lagi. Larra terdiam seketika.

“rumah saya dekat Ampang. Tapi sa..saya sekarang lari dari rumah” ujar Larra. Mak Munah terkedu mendengar jawapan gadis bernama Adlea itu.

“haa!! lari dari rumh. Sebab apa?’ soal Mak Munah jelas terkejut besar.

“erm, masalah keluarga. Papa saya paksa saya kahwin dengan lelaki pilihan dia. Jadi sebab tu saya pilih untuk lari dari rumah’ jelas Larra.

Mak Munah memandang gadis muda itu. Rasa kasihan melihat nasib Adlea. Bukankah zaman telah moden. Jadi kenapa masih wujud isu kahwin paksa. Namun, dia yakin gadis itu adalah gadis yang baik.

“jadi Lea tinggal di mana sekarang?’ soalnya lagi. Gadis hanya berdiam.

“saya pun tak tahu mak cik. Saya takut, kalau saya tinggal dekat hotel, papa saya akan dapat cari saya. Sedangkan saya belum bersedia lagi nak balik rumah. Tengoklah, mungkin di rumah-rumah tumpangan kot” ujar Larra.

“eh jangan. Bahaya kalau nak tinggal di sana. Macam ni lah. Mak cik percaya anak ni orang baik-baik. Jadi mak cik tak kisah kalau cik nak ikut mak cik. Tinggal je lah dengan mak cik untuk sementara waktu ni ” saran Mak Munah membuatkan Larra terkedu. Dia tidak pasti sama ada ingin ikut atau tidak wanita itu. Dia baru sahaja berkenalan dengan wanita itu. Takkan aku nak ikut dia pula.

“tak perlulah bercik-cik dengan saya mak cik. Panggil saya Lea je. Saya bukan apa, saya takut menyusahkan mak cik” ujar Larra

“menyusahkan apanya. Lea dah tolong mak cik hari ni. Jadi, bagi la peluang mak cik pula nak tolong Lea” balas Mak Munah

****

Mak Munah telah bersetuju untuk menolongnya dan kini dia telah dibawa tinggal bersama Mak Munah yang tinggal di rumah majikannya. Di situ, dia terpaksa menyembunyikan identitinya dan terpaksa berpura-pura menjadi anak saudara Mak Munah.

Teringat kembali pertemuan antara dia dan majikan barunya malam semalam tadi, Puan Zahnita. Orangnya tampak muda dan ayu namun juga seorang yang tegas.

“saya tak tahu pula Mak Munah ada anak saudara.” soal Puan Zahnita apabila Mak Munah memperkenalkan dirinya sebagai anak saudaranya. Sempat wanita itu memandangnya dari atas ke bawah. Jelas dari riak wajahnya dia kurang percaya dengan keterangan yang diberikan. Mungkin kerana rupa mereka yang jauh berbeza dan tidak seiras langsung. Mak Munah pendek dan hitam manis. Sedangkan dia tinggi dan putih. Pastilah ada yang mempersoalkan hubungan antara mereka.

“ni anak saudara saya. Datang dari kampung” Larra masih ingat jawapan yang diberikan oleh Mak Munah dalam batuk-batuknya ketika memperkenalkan dirinya.

“erm puan, kalau saya nak bekerja sekali dekat sini boleh?’ soal Larra membuatkan Puan Zahnita dan Mak Munah.

“eh, Lea kan tetamu” ujar Puan Zahnita.

“tapi puan, saya rasa tak sedap hati kalau nak tinggal sini free. At least, saya boleh la juga belajar apa-apa yang patut. tak bayar gaji pun tak apa” pujuk Larra. Mak Munah sekadar berdiam diri. Tujuannya bukanlah apa. Tapi dia tidak mahu menyusahkan Mak Munah. Sekurang-kurangnya jika dia bekerja sekali di situ, dia bolehlah meringankan beban Mak Munah.

Puan Zahnita akhirnya mengalah. Dia bersetuju membenarkan gadis itu bekerja di situ dan dibayar gaji sama seperti Mak Munah memandangkan, kesihatan Mak Munah yang jelas terganggu.

Larra tersenyum sejenak mengingat kembali detik-detik itu.

“Boleh tolong ambilkan saya air?” soal satu suara membuatkan Larra yang sedang mengelamun jauh, terperanjat mendengar suara itu. Hampir-hampir sahaja pinggan di tangannya terlepas. Hush! Sapa pula ni? Ngomelnye di dalam hati sebelum pantas berpaling. Kelihatan kini seorang lelaki muda sedang berdiri di tepi pintu dapur sambil tepat memandangnya. Wajah lelaki itu sedikit terkejut melihat kehadirannya pertama kali berada di situ.

“Maaf, nak air apa?” soalnya sedikit kalut. Lelaki itu tersenyum sebelum mengambil tempat di salah satu kerusi di tepi kabinet.

“Air orange. sejuk” ujar lelaki itu. Larra mengangguk sebelum mula membancuh air. Suasana sunyi seketika. Yang kedengaran adalah bunyi sudu dan cawan yang berlaga-laga.

“baru kerja hari ni ea?” soal lelaki itu mula bersuara memecahkan suasana sunyi antara mereka. Larra menoleh sejenak sebelum tersenyum. Lalu dia mengangguk.

“A’ah. Saya baru start kerja hari ni” ujar Larra kembali. Buat pertama kali, dia terpaksa untuk bersikap terbuka dengan lelaki apabila menyedari hakikatnya kini dia bukanlah lagi cik muda yang dimanjakan dan hidup dalam kemewahan, tapi hanyalah pembantu rumah di sini.

“By the way, saya Hakimi. Tapi orang dalam rumah ni panggil saya baby” ujar Hakimi. Larra menoleh sebentar ke arah lelaki itu dengan kerutan jelas di dahinya. Serentak Hakimi tergelak besar melihat wajah hairan Larra.

“Saya gurau je la. Haha. Jangan la buat muka macam tu. Orang panggil saya Kimi. Awak?” soal lelaki itu memperkenalkan dirinya. Larra turut tergelak sama. Pandai lelaki itu berjenaka.

“Saya La… Erm. Adlea. Panggil saya Lea” ujar Larra. Mengucap dia dalam hati apabila hampir sahaja mulutnya ringan sahaja ingin menyebut nama Larra.

“Ouh. Adlea. Nice name. Macam tuannya” ujar Hakimi. Larra sekadar tersenyum sambil meletakkan air yang dipinta oleh lelaki itu di hadapannya.

“Lea, mee tu masukkan dalam mangkuk. Dah belum Lea?” soal Mak Munah yang baru tiba di dapur. Terkejut Mak Munah melihat Hakimi turut berada di situ sedang meneguk air.

“Eh, Tuan Kimi. Jemputlah ke ruang makan. Mak Munah dah sediakan minuman dekat situ” tegur Mak Munah. Hakimi tersenyum sebelum bangun dan berjalan meletakkan gelas di sinki.

“saya naik atas kejap. Saya saja je duduk lepak dekat dapur ni. Berkenalan dengan pembantu baru” ujar lelaki itu sambil mengerling ke arah Larra yang sedang sibuk menceduk kuah gulai ke dalam mangkuk

Mak Munah sekadar mengangguk sambil memerhatikan tuan mudanya itu berlalu pergi meninggalkan dapur. Lalu Mak Munah datang mendapatkan Adlea yang sedang leka.

“Baik kan Tuan Kimi tu?” ujar Mak Munah. Larra menoleh sejenak sambil tersenyum.

“Dia tanya apa tadi dengan Lea?” soal Mak Munah lagi. Batuknya kedengaran keras.

“Tak ada apa-apa Mak Munah. Dia cuma tanya nama je” balas Larra sedikit endah tak endah. Mak Munah sempat merasa mee sebelum menoleh ke arah Larra.

“Tapi kan Lea, Mak Munah tengok, cara dia tengok tu tadi, macam ada apa-apa je” ujar Mak Munah. Larra tergelak kecil.

“Mak Munah ni. Ada-ada je. Tak ada apa-apa pun” ujar Larra sambil ketawa. Mak Munah turut tergelak sama.

“saya bawa pergi ruang makan dulu lah” ujar Larra sambil membawa mangkuk-mangkuk tersebut menuju ke ruang makan.

Sesampainya dia di ruang itu, lelaki bernama Hakimi itu baru turun dan mengambil tempat duduk di situ menanti hidangan.

“jemput makan, Puan Zahnita, Tuan Kimi” ujarnya. Sekilas dipandangnya Puan Zahnita juga sudah berada di ruang itu.

“Hakimi, ni Adlea. Pembantu rumah baru kita. Dia start kerja hari ni. Dah berkenalan ke?” soal Puan Zahnita sebelum mengambil tempat di kerusi. Larra tersenyum.

“Dah mummy. Tadi balik joging Kimi dah jumpa Lea dah kat dapur. Sedap air dia buat. Haha” ujar Hakimi berseloroh.

“Erm Kimi memang. Mentang-mentang lah Adlea ni budaknya cantik, cepat je kenal” perli Puan Zahnita sambil menjeling ke arah Larra yang masih tegak berdiri di hadapannya.

“mana ada. Mummy ni” balas Hakimi sambil tersengih.

“Nak apa-apa lagi puan?” soal Mak Munah yang baru tiba dari dapur.

“erm, tak kot” ujar Puan Zahnita. Mak Munah sibuk menyusun pinggan-pinggan ke atas meja sambil turut dibantu oleh Larra.

“Abang tak turun ke, mi?” soal Hakimi tiba-tiba. Buat seketika suasana ruang makan tu sunyi seketika. Mak Munah mengerling sekilas ke arah Puan Zahnita. Jelas riak wajahnya berubah apabila disebut tentang anak lelaki pertamanya.

“Abang? Maksud Kimi, Zaf? Zaf ada dekat sini?” soal Puan Zahnita terkejut sambil memandang ke arah Hakimi. Hakimi mengangguk-angguk.

Mak Munah sempat berbisik ke telinga Larra supaya mengambil lagi pinggan dan cawan dari dapur. Pantas Larra berjalan masuk semula ke dapur.

“Lah, mummy tak perasan ke, kereta BMW dia ada dekat depan tu. Malam tadi dia balik sini. Mummy dah tidur” ujar Hakimi selamba sambil meneguk air.

“Mana mummy tahu, Kimi. Mummy tak keluar rumah pun hari ni. Duduk dalam je. Lagipun, since pagi tadi tak nampak langsung pun kelibat dia” balas Puan Zahnita.

“Biasalah abang. Tidur lagi la tu mummy” ujar Hakimi sambil tergelak kecil. Puan zahnita menarik nafas panjang sebelum berpaling memandang Mak Munah.

“Mak Munah, tolong panggilkan dia. Suruh dia turun makan” ujar Puan Zahnita. Mak Munah mengangguk sebelum berjalan pergi dan hilang di sebalik dinding.

“Dia selalu macam tu la. balik sini, buat syarat je. Bukannya nak bagitahu dia balik dekat mummy” keluh Puan Zahnita seakan-akan merajuk. Larra tiba dengan pinggan dan cawan baru sebelum disusun kemas ke atas meja.

“memang pelik habis lah, kalau dia datang sini bagi tahu mummy dulu. Mummy macam tak kenal pula, perangai dia” ujar Hakimi. Puan Zahnita menarik nafas panjang sebelum memandang ke arah Adlea.

“Eh Adlea, jemputlah duduk. Sementara tunggu Zaf ni” ujar Puan Zahnita sambil mengunjukkan kerusi kosong di sebelah Hakimi. Larra terkedu sejenak. Eh? Dekat rumah aku, mana boleh pembantu rumah makan semeja dengan majikan.

“Apa termenung lagi dekat situ. Meh duduk sini” ujar Hakimi sambil menarik sedikit kerusi kosong di sebelahnya. Larra memandang ke arah Hakimi dengan serba salah.

“Tapi tak apa ke puan? Saya kan pembantu rumah je?” balas Larra. Puan Zahnita dilihatnya tersenyum.

“Kalau awak pembantu rumah pun, salah ke makan semeja dengan saya? Dekat rumah ni, semua anggap macam family. Tak ada beza-beza macam tu. Duduk lah” ujar Puan Zahnita membuatkan Larra sedikit lega.

Ternyata layanan di sini sedikit berbeza dari di rumahnya. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah Hakimi. Sempat lelaki itu menoleh ke arahnya sebelum tersenyum. Nak tak nak, dia terpaksa membalas kembali senyuman itu.

“Lambatnya Zaf ni. Takkan susah sangat kot nak bangun” keluh Puan Zahnita.

“Mummy, that towel………” serentak kedengaran satu suara membuatkan Larra segera menoleh. Lelaki itu berhenti berkata sebelum matanya terkaku sejenak memandang Larra yang turut memandangnya. Kelihatan dari riak wajahnya, lelaki itu seakan baru bangun dari tidur dengan rambutnya yang kelihatan tidak terurus.

Namun sesuatu yang tidak dijangka oleh Larra sendiri ialah, wajah lelaki itu seolah-olah pernah dilihat sebelum ini. Namun dia gagal mengingat ketika bila. Kawan sekolah aku ke? Ke kawan-kawan… Eh macam mana ni. Kalau dia kenal aku, habislah rahsia aku terbongkar.

“Apa dia Zaf?” soal Puan Zahnita membuatkan Tengku Dzafril Haidhar tersedar dari terus memandang wajah gadis itu. Pandangannya dialihkan ke arah mamanya sebelum mula berjalan mengambil tempat di meja makan. Mak Munah turut mengambil tempat dan duduk di sisi lelaki itu.

“Tak ada apa-apalah mi” ujarnya sedikit dingin tanpa sedikit pun memandang ke arah mamanya. Puan Zahnita mengeluh.

“erm. Jom makan. Kimi, baca doa” ujar Puan Zahnita. Selesai Hakimi membaca doa makan, mereka makan bersama-sama. Beberapa minit berlalu dengan sunyi.

“Zaf sampai pukul berapa malam tadi?’ soal Puan Zahnita cuba memulakan bicara.

“1 pagi” jawab lelaki pendek. Sempat Larra mengerling sekilas memandang wajah lelaki itu yang sedang leka.

“kenapa tak cakap, Zaf nak balik sini awal-awal?” soal Puan Zahnita lagi cuba menarik perhatian anak pertamanya itu untuk berbual dengannya.

Larra sekali lagi mengerling ke arah lelaki itu namun kali ini, jantungnya seakan berhenti berdegup apabila lelaki itu juga turut mengangkat wajahnya membalas pandanganya. Cepat-cepat Larra tunduk kembali. Aduh! Entah-entah dia perasan tak aku tengok-tengok dia.

“bunyi macam mummy tak suka je Zaf balik sini. Papa yang suruh tinggal dekat sini sepanjang dia pergi Tokyo” balas Tengku Dzafril Haidhar sinis. Larra sekadar menelinga. Dia tidak berani lagi untuk memandang lelaki itu seperti tadi. Takut-takut perkara yang sama bakal berulang, kang tak pasal-pasal dia ingat aku syok dekat dia pulak. Asyik tengok dia je. Tapi muka dia tu. Memang pernah nampak la.

Tengku Dzafril Haidhar menoleh ke arah gadis di sisi Hakimi. Ada sesuatu pada gadis itu yang membuatkan dia kurang selesa. Wajahnya seolah pernah dilihatnya sebelum ini.

“Bukan tu maksud mummy Zaf. Kalau Zaf cakap awal-awal Zaf nak balik sini, boleh la mummy prepare sikit. Kemaskan bilik Zaf ke, masakkan makanan kegemaran Zaf ke” ujar Puan Zahnita. Tengku Dzfril Haidhar tersenyum sinis.

“Tak payah la mummy. Its been a years. Selama ni pun, mummy tak pernah pun peduli pasal Zaf. So, i prefer the usual one” balas Tengu Dzafril Haidhar.

“apa abang cakap macam ni dekat mummy. Kan niat mummy baik” tegur Hakimi.

“kau diam boleh tak!” ujar Tengku Dzafril Haidhar.

“Dah lah. Kimi, Zaf. Jangan gaduh. Tak malu ke orang tengok” tegur Puan Zahnita mengingatkan tentanng kehadiran Adlea dan Mak Munah di situ. Tengku Dzafril Haidhar menoleh lagi ke arah gadis di sisi Hakimi.

“Ni sapa mummy? New maid?” soalnya selamba. Larra tahu lelaki itu memaksudkan dirinya namun dia masih lagi tidak berani untuk memandang lelaki itu. Oleh kerana itu dia mengambil keputusan untuk berpura-pura tidak dengar dan konsentrasi pada makanan di pinggannya sahaja.

“Ni Adlea. Anak saudara, Mak Munah. Pembantu baru kita” ujar Puan Zahnita.

“nampaknya maid baru mummy ni concentrate betul kan dengan makanan dalam pinggan dia” tegur lelaki itu sinis. Larra mengetap bibir dan merasa sedikit terpukul dengan kata-kata sinis lelaki. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya dan membalas renungan lelaki itu yang turut memandangnya.

“Tak baik cakap macam tu Zaf” tegur Puan Zahnita lagi. “Adlea” panggil Puan Zahnita membuatkan Larra menoleh ke arah majikannya itu. “kenalkan. Ni anak pertama saya. Teng……” kata-kata Puan Zahnita terhenti apabila lelaki itu pantas memotong kata-katanya.

“Zaf. Just call me Zaf” ujar lelaki itu. Puan Zahnita terkedu memandang anak lelaki itu sebelum kembali tersenyum memandang Adlea. Larra dapat merasakan hubungan kedua-duanya tidak mesra namun dia sekadar tersenyum.

“Papa sihat, Zaf?” soal Puan Zahnita cuba menukar topik perbualan. Lelaki itu mengangguk namun wajahnya tidak diangkat langsung memandangnya dirinya membuatkan Puan Zahnita mati kutu. Pelbagai cara telah di gunakannya untuk menarik perhatian lelaki itu agar berasa lebih dekat dengannya, namun semuanya gagal. Anak lelakinya itu seolah-olah membencinya. Memang silapnya selama ini. Dia kesal.

“dia kirim salam je” ujar Zaf.

“Waalaikumussalam” ujar Puan Zahnita. Dilihatnya anaknya itu sudah meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan tanda berhenti makan.

“Eh, Zaf! Tak nak tambah lagi?” soal Puan Zahnita

“Tak” ujar Tengku Dzafril Haidhar sebelum bangun dari duduknya dan berjalan menuju ke pintu. Langkahnya terhenti sejenak sebelum memandang ke arah Larra. Namun pandangannya tidak lama.

“thanks for the breakfast, Mak Munah” ujar Tengku Dzafril Haidhar sambil berjalan keluar dari ruang makan itu.

Larra mengetap bibir. Ugh! Lelaki egois. Dengan mak sendiri pun biadap. Harap muka kau je lawa tapi perangai hancur. Tapi perangai dia ni macam pernah aku jumpa la. Ade spesies macam dia juga aku jumpa sebelum ni. Tapi siapa ek? Soal Larra sendiri

“Mummy okay?” tegur Hakimi.

“Mummy okay. Don’t worry” ujar Puan Zahnita.

****

Datin Marissa memandang suaminya yang baru masuk ke bilik itu. Songkok yang dipakai diletakkan di atas meja.

“Habis sekarang abang nak buat apa?’ soalnya. Puas dia memikirkan tentang hal itu dari siang tadi.

“nak buat apa? Apa yang awak cakap ni?” soal lelaki itu sambil duduk di sisi wanita itu.

“Yelah, sekarang Larra dah hilang. Apa abang nak cakap dengan Radzi?” soalnya lagi.

“Radzi sekarang dekat Jepun. Dengarnya sebulan dekat sana. Abang ingat, tunggu dia balik sini nantilah baru beritahu dia. Tak elok kita ganggu emosi dia nak buat kerja dekat sana” ujar Dato’ Qamal.

“kalau macam tu, tak apalah. Ni, abang tak ada apa-apa berita lagi ke pasal anak kita tu? Dah dua hari dah tak ada khabar berita” ujarnya bimbang.

“sabarlah Marissa. Anak kita tu bukan bodoh. Dia pun biasa duduk seoarng diri dekat London sana. Saya yakin dia tahu jaga diri” ujar lelaki itu.

“itu dekat London bang. Sekarang ni dekat Malaysia. Dengan duit dia dekat dalam bank tu awak bekukan, awak ingat macam mana dia nak hidup dekat luar tu” ujarnya lagi. Dato’ Qamal meletakkan buku di tangannya.

“dia yang pilih Marissa. Saya dah arahkan pun orang-orang saya cari dia dekat merata tempat. Kalau dalam beberapa minggu lagi tak berjaya juga, kita lapor polis” ujarnya sambil memeluk bahu isterinya itu. Perlahan-lahan Datin Marisssa mengeluh sambil pantas menyeka air matanya.

“dekat mana lah dia sekarang kan bang”

“awak jangan terlalu kusutkan otak pasal hal ni. Jaga kesihatan awak tu. Pasal Larra tu, saya cuba ikhtiarkan cari juga” ujarnya

****

Larra memandang Mak Munah yang masuk ke bilik itu melalui cermin di biliknya itu. Kedengaran bunyi batukan kuat Mak Munah.

“mak cik, mak cik makanlah ubat. Batuk mak cik nanti makin teruk” pujuk Larra.

“Takpe lah Lea. Mak cik tak biasalah ambik-ambik ubat ni” ujar Mak Munah lagi.

“Mak cik tak try cek? Muka mak cik pun pucat ni.” soal Larra lagi. Mak Munah tersenyum sambil memandang wajah gadis itu.

“Mak cik dah tua pun. Dah dekat berbulan-bulan pun mak cik batuk ni. Memang tak hilang. Kalau mak cik pergi cek pun tak guna, Lea. Ajal dah dekat bak kata orang” ujar Mak Munah lagi.

“ish mak cik ni. Janganlah cakap macam tu. Ajal dan maut tu kan kuasa tuhan.” ujar Larra pantas membalas. jelas tidak senang mendengar kata-kata Mak Munah sebentar tadi. Wanita itu sekadar tersenyum.

“Tadi Tuan Hakimi tanya Lea” ujar Mak Munah.

“Tanya apa?” soal Larra.

“Tak adalah, dia tanya mana Lea? Mak Munah bukan apa, cuma dapat rasa yang dia tu ada hati pada Lea. Lagipun dia tu baik orangnya” ujar Mak munah sambil gelak. Pantas Larra menepuk lembut paha Mak Munah.

“Ish mak cik ni. Ke situ pulak. Tak ada lah mak cik. Lea dengan dia tak ada apa-apa. Cuma pekerja dengan majikan je. Tapi saya setuju dengan kata-kata mak cik tadi. Tuan Hakimi tu memang baik. Beza betul dengan abang dia” luah Larra. Dilihatnya Mak Munah tersenyum tawar.

“memang macam tu sejak mereka kecil lagi. Berbeza sifat budak-budak tu. Zaf tu memang sejak kecil dia nakal sikit. Kalau Hakimi tu pula, memang menurut kata. Sebab tu lah Puan Zahnita lagi sayangkan dia” ujar Mak Munah. Larra teringat kembali peristiwa di meja makan siang tadi.

“erm, mak cik, kalau Lea nak tanya sikit boleh” Larra teragak-agak. Dia ingin tahu apa sebab hubungan kedua ibu dan anak tu begitu dingin. Namun dia khuatir dia dilabel menyibuk pula. Mak Munah menoleh.

“nak tanya apa. Lea tanya jelah” Mak Muna seolah-olah memberi lampu hijau untuk dia terus bertanya.

“Lea bukan menyibuk, cuma Lea peliklah. Kenapa Zaf layan Puan Zahnita macam tu ya mak cik. Padahal, tu kan mak dia. Lea cuma rasa tak patut dia buat macam tu. Kesian dekat Puan Zahnita” ujar Larra meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Lama Mak Munah terdiam dan Larra menganggap wanita itu tidak bersedia untuk menceritakan apa-apa padanya. Rasa serba salah mula menguasai dirinya.

“erm mak cik. Kalau tak boleh tak apalah. Lea tak paksa pun” ujar Larra sambil tersenyum.

“mak cik boleh bercerita dengan Lea, tapi tolong rahsiakan hal ni ya. Sebab ni pun masalah family majikan mak cik”

Larra mengangguk-angguk. Tidak sabar dia ingin mendengar Mak Munah bercerita. Wah! Larra Adlea, sejak bila kau jadi minah kaki gosip ni.

“Lea janji, mak cik. Lea tak akan cerita dekat sesiapapun”

“yang sebenarnya, Zaf dan Hakimi tu adik beradik tiri je. Zaf adalah anak Puan Zahnita dengan suami pertama dia. Dan Hakimi adalah hasil perkahwinan kedua dia dengan Tuan Darius”

“maksud makcik, mereka tu adik beradik sama ibu tapi lain-lain bapa ya?” soal Larra cuba membuat kesimpulan. Mak Munah mengangguk-angguk dalam batuknya. Larra segera menggosok-gosok belakang badan Mak Munah.

“Selepas lahirkan Zaf, mereka bercerai dan Puan Zahnita kahwin lain. Sebab tu hak penjagaan Zaf jatuh pada suami pertama dia. Zaf hanya tinggal di sini sampai umurnya setahun je sebab lepas tu Puan Zahnita lahirkan Hakimi pula” beritahu Mak Munah seolah-olah pakar gosip. Larra mengerutkan dahinya. Semakin berminat untuk mendengar.

“kenapa mereka bercerai ya mak cik?” soal Larra.

“sebab memang itu dalam perjanjian mereka. Dengar-dengar cerita, Puan Zahnita dan bekas suami pertamanya hanya berkahwin untuk dapatkan pewaris untuk empayar perniagaan suami dia yang kaya raya tu je, iaitu Zaf. Sebab tu lepas Zaf dilahirkan mereka bercerai” cerita Mak Munah panjang lebar.

“ouh patutlah” ujar Larra sambil menganguk-angguk.

****

Pagi Sabtu seperti biasa, Mak Munah dan Puan Zahnita telah bertolak pergi ke pasar. Tuan Hakimi pula telah keluar. Di rumah itu hanya tinggal dia dan…… anak lelaki Puan Zahnita sahaja.

Larra tersenyum memerhati ruang istirehat itu yang telah dibersihkan. Habuk-habuk dia atas meja telah dilapnya sehingga berkilat. Moodnya pagi itu sememangnya baik. Mak Munah telah mengamanahkan dia untuk mengemaskan seluruh rumah.

“Apasal sunyi sangat rumah ni? Mana semua orang pergi?” tegur satu suara membuatkan Larra yang sedang berdiri di ruang istirehat itu pantas menoleh. Dilihatnya lelaki bernama Zaf itu turun dengan hanya memakai T-shirt dan seluar pendek.

“erm.. Puan Zahnita dengan Mak Munah pergi pasar. Tuan Hakimi keluar” jawabnya sambil segera ingin cepat-cepat beredar dari ruang itu. Rasa kurang selesa berada berhampiran dengan lelaki itu.

“Wait! Kita pernah jumpa ke?’ soal lelaki itu tiba-tiba membuatkan denyutan nadi Larra berdegup lebih kencang. Ah sudah! Dia pun rasa yang kita orang pernah jumpa. Entah-entah dia memang kenal aku kot.

“aku tanya kau ni. Apasal diam?” soal lelaki itu lagi. Suaranya kasar menampar telinga Larra.

“entah. Saya rasa tak pernah” jawabnya perlahan. Bersabar Larra. Kau maid dekat sini.

“iyeke tak pernah?” soal lelaki itu lagi. Kali ini suaranya kedengaran dekat. Larra menoleh dan jangkaannya tepat. Lelaki itu sudahpun berdiri di sisinya. Matanya dipandang tepat memandangnya membuatkan Larra semakin tidak selesa. Apatah lagi di rumah itu tiada sesiapa selain mereka berdua.

Perlahan-lahan dia mengangguk.

“aku nak kau kemas bilik aku dan basuh semua baju-baju kotor dalam tu. Aku nak keluar’ arah lelaki itu. Larra ternganga. Dia tidak sempat untuk bercakap apa-apa.

“and yes. Masa aku balik nanti, make sure semuanya siap kemas dan baju-baju bersih tu siap dilipat” ujarnya sebelum melangkah menuju ke pintu utama. Larra mengetap bibir.

Eh, boleh pergi mam… La! Nak minta tolong orang rude giler.

“kau jangan lupa, kau tu maid dia” kedengaran satu suara. Larra terdiam sejenak. Dah memang nasib aku agaknya dapat majikan macam kau ni. Hakimi tu tak pernah pun arah-arah aku and cakap kasar dengan aku. Kakinya diatur melangkah menuju ke bilik lelaki itu.

****

Datin Marissa termenung jauh di jendela. Fikirannya masih memikirkan tentang anak gadisnya yang hilang itu. Baru seminggu anaknya itu balik dan kini sekali lagi mereka berpisah. Tanpa sedar air matanya mengalir. Rindu terhadap Larra.

“Datin, ini airnya” ujar Mak Cik Siah. Datin Marissa menoleh. Tangannya mencapai mug yang dihulurkan oleh Mak Cik Siah.

“terima kasih, Kak Siah” ujar Datin Marissa.

“ada berita tentang Cik Larra?’ soal Mak Cik Siah. Terdiam lama Datin Marissa mendengar soalan itu.

“macam tu juga lah. Lepas keluar dari Pandan Indan tak tahu ke mana dia pergi” ujar Datin Marissa apabila mengimbas kembali beberapa hari yang lalu, mereka berjaya mengesan Larra pernah menginap di Pandan Indah Hotel.

“entah ke mana agaknya cik muda sekarang” keluh Mak Cik Siah turut serta bimbang akan kehilangan Larra.

“tak tahulah Kak. Saya doa je sekarang semoga dia selamat dekat mana dia berada. Doa saya untuk dia tak pernah putus” ujar Datin Marissa serentak air matanya turut mengalir menahan rasa sebak.

“Sabarlah Datin. Mungkin dia hanya ikutkan darah mudanya sahaja sekarang. Bila dia dah sedar kesalahan dia nanti, saya yakin dia akan balik semula ke rumah ni” pujuk Mak Cik Siah. Datin Marissa sekadar mengangguk-angguk.

****

“Lea, tolong kupas bawang ni” ujar Mak Munah. Larra berjalan dan menghampiri Mak Munah yang sedang leka menyiang ikan.

“kita nak masak apa ni mak cik?’ soal Larra. Mak Munah menoleh sambil tersenyum memandang gadis itu.

“Asam pedas ikan tenggiri. Lea pandai masak tak?” soal Mak Munah. Larra mencapai bawang yang dimaksudkans sebelum perlahan-lahan mengopek kulitnya. Dia menggeleng lemah.

“saya tak pernah memasak Mak Munah” jawabnya perlahan. Mak Munah sekali lagi menoleh. Meang begitulah anak-anak gadis zaman kini. Kebanyakannya memang tak mahu memasak. Kalau ditanya mengapa tak hendak memasak, semua memberi alasan sibuk belajar atau bekerja sehingga tiada masa untuk belajar masak.

“ermm. Lea tak kan la tak tahu langsung. Kalau mak Lea memasak selalu tolong tak?’ soalnya lagi. Larra kelihatan serba salah.

“saya tak tinggal dekat sini, Mak Munah. Saya tinggal dekat luar negara selama ni. Lagipun dekat rumah, bukan mak saya yang memasak. Tukang masak saya yang akan masak” jawab Larra jujur.

Mak Munah menarik nafas panjang. Ada tukang masak rupanya. Mesti dia ni tak biasa hidup susah. Tengok cara dia pun aku tau, bingkisnya di dlaam hati.

“Macam mana nak hiris ni Mak Munah?’ soal Larra. Mak Munah berhenti dari mengerjakan ikan dan berjalan menuju di sisinya.

“Macam ni” ujarnya sambil memberi contoh kepada gadis itu.

“tak apalah. Kalau tak reti, boleh belajar. Sepanjang Lea ada dekat sini. Insyaallah Mak Munah ajar apa yang Mak Munah tahu. Lea mahu belajar memasak?’ soalnya. Jelas gadis itu menganggguk-angguk.

“Lea memang teringin pun nak belajar, tapi biasa dekat rumah, mama Lea tak bagi Lea ke dapur” ujarnya.

“biasalah tu. Tapi rugi kalau perempuan tak pandai masak ni Lea. Satu rahsia nak kekal bahagia hidup dengan suami, inilah. Masak dengan air tangan isteri” ujar Mak Munah. Larra tersenyum. Aghh! Kahwin. Aku dah lari dari rumah, nak kahwin apa lagi.

“tumis semua tu dalam periuk” arah Mak Munah. Larra terdiam sejenak.

“Masukkan dalam periuk ya mak cik? Goreng?” soalnya lagi.

“tumis Lea, tapi kira macam goreng jugalah. Sampai naik bau” ujarnya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gadis itu. Ternyata gadis itu memang tidak tahu langsung memasak.

****

“Hujung minggu ni jadi ke?” soal Tengku Dzafril Haidhar sambil memastikan kereta lumba miliknya yang dipenuhi dengan stiker bercorak harimau itu tidak calar.

“jadilah lah Zaf. Dia orang dah ajak. Kau sure ke nak pergi juga” soal Faim.

“kita lawan dengan gang Afieq tau. Dia orang tu paling pandai guna cara kotor” ujar Joe pula dari jauh.

“takpe, biar aku sendiri yang lumba hujung minggu ni. Kalau tak sebab Fikri, tittle juara kita tu mesti kekal sampai sekarang” jawab Tengku Dzafril Haidhar yakin.

“yang lepas tu biar lah Zaf, lagipun budak tu teruk kau kerjakan dulu” ujar Joe.

“aku tak sangka betullah, tak sangka dia boleh ikut cakap Afiq belot kita” ujar Aqiem.

“tu lah yang aku panas tu. Aku punya lah percayakan dia, bagi dia lumba malam tu, tapi tak sangka dia boleh sengaja bagi chance dekat Afiq suuh menang. Bodoh kan” ujar Tengku Dzafril Haidhar tergelak. Tin kosong di tangannya dikemek-kemmekkan sebelum dibaling.

“sabar lah Zaf, aku tahu kau still tak boleh lupa lagi pasal hal tu tapi benda da lepas dah la” ujar Faim cuba menenangkan Tengku Dzafril Haidhar.

Kata-kata rakannya itu sekadar diambil sambil lalu dengannya. Teringat kembali peristiwa beberapa bulan lepas. Salah seorang rakan mereka iaitu Fikri membelot pasukan mereka dengan sengaja mengempiskan tayar miliknya menyebabkan Tengku Dzafril Haidhar yang berlumba ketika itu terpaksa brek secara mengejut bagi mengelakkan dari tercedera.

“sial betullah!” ujarnya.

“tu la. Memang padan la muka dia kene belasah dengan kau malam tu. Merayu-rayu dia nak masuk kumpulan kita balik” ujar Joe.

“aku tak boleh lupa doh, muka mamat tu time tu. Bengkak-bengkak habis. Nasib baik dia tak pergi report polis” ujar Aqiem.

“dia boleh buat apa. Dia report, dia kena lagi teruk dari tu”ujar Tengku Dzafril Haidhar lagi

“tapi hujung minggu ni kau kena hati-hati jugak Zaf. Kau kena alert. Tak boleh kalah” ujar Faim.

“kau orang jangan lupa, member kita ni paling terror bab berlumba. Aku rasa, ade chance lah kau menang Zaf” ujar Joe.

“dah-dah yang penting. Hujung minggu ni kita lumba je macam biasa. Kalau kumpulan dia orang menang jugak……” dia berhenti berkata-kata sambil tangannya diangkat seolah-olah orang yang menyerah diri “kumpulan dia orang memang hebat” ujar Tengku Dzafril Haidhar.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

10 ulasan untuk “Novel : Antara mahligai ego dan cinta 3”
  1. fea says:

    semakin baguslah cerita ni..:) sambungannya yg ke 4 mesti lagi syok..

  2. dilza adina says:

    thanks fea. keep support ok :)

  3. ira says:

    aah.. makin seronok.. sambung lagi ye…

  4. dilza adina says:

    ya.. yang keempat saya dah hantar. just maybe blum kuar lagi.. :)

  5. farhana says:

    nice story…
    keep it up..
    thumbs up!

  6. dilza adina says:

    thanks farhana. :)

  7. yukasmawati says:

    makin bestla cite ye..cpt2 post n3 br k…=)

  8. fatim says:

    makin best,,tk sabar baca seterusnya

  9. dilza adina says:

    thanks ^^

  10. azlien says:

    x sabar nak sambung

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.