Novel : Antara mahligai ego dan cinta 4

19 July 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Dilza Adina

Hakimi masuk ke dalam dapur sambil duduk di kerusi berhampiran dengan Adlea dan Mak Munah. Ketika dia masuk ke ruang itu tadi, kelihatan gadis itu sedang leka berbual-bual dengan Mak Munah.

“erm, Tuan Hakimi, masakan belum siap lagi” ujar Mak Munah. Bimbang dia sekiranya tujuan lelaki itu ke dapur adalah untuk makan.

Hakimi tersenyum memandang Mak Munah. Adlea pula dilihatnya tidak memandangnya. Sedang asyik memotong sayur di hadapannya.

“Tak adalah Mak Munah. Saya datang dapur bukan sebab saya nak makan, tapi saja nak bual-bual dengan Mak Munah dan….. Lea” ujarnya sambil memerhati ke arah Adlea. Kini dilihatnya gadis itu mengangkat wajahnya dan turut memandangnya. Satu senyuman di hadiahkan padanya membuatkan hati lelakinya berkocak kencang. Aura gadis itu sememangnya mampu membuatkan hati lelakinya jadi tidak tentu arah.

“Tuan Zaf dengan Puan Zahnita mana?” soal Mak Munah lagi. Hakimi mengangkat tangan kanannya sebelum memerhati jam di tangannya.

“Hurm, pukul 10.37 pagi. Biasa kalau macam ni, mummy keluar dah pegi butik dia. And Zaf maybe tidur lagi. Pagi tadi sarapan pun dia tak turun kan” ujarnya. Mak Munah mengangguk.

“Tuan Hakimi tak kerja hari ni?” soal Larra lembut. Hakimi menoleh ke arah gadis itu. Nah! Memang ni yang aku tunggu-tunggu. Nak berbual-bual dengan kau. Aku turun ke dapur ni pun sebab kau.

“err. Ahad Lea. Hari ni saya cuti. Tak masuk kerja” ujarnya sambil matanya tak lepas memandang wajah milik gadis itu. Dilihatnya gadis itu mengangguk-angguk.

Oh Larra Adlea! Soalan apa aku tanya ni. Dah tentu-tentu hari ni Ahad. Mestilah dia tak kerja. Ah! Terselah pula kebodohan aku, marah Larra di dalam hati.

Hakimi memandang Adlea di hadapannya. Rasa hairan sedikit melihat gadis itu. Bagaimana gadis secantik itu boleh menjadi pembantu rumah sahaja.

“Adlea, tak sambung study ke?” soalnya membuatkan mata gadis itu bulat memandangnya. Dia merenung kembali gadis itu menunggu jawapan.

“sa.. Saya dah lama habis study dah. Kenapa ya Tuan Hakimi?” ujar Larra tergagap-gagap. Dah kenapa dia ni tanya background study aku. Saja la tu nak korek rahsia. Entah-entah dia tahu tak yang aku ni menyamar je dekat sini.

“eh tak ada apa-apa. Saya saja je tanya. Jangan awak fikir lain pula. Sebab saya tengok awak ni muda lagi kot. Tapi kenapa pilih kerja pembantu rumah since awak ada banyak lagi choice dekat luar sana. Kerja butik ke, kerja kedai makan ke, kerja apa-apalah” soal Hakimi.

Larra mula serba salah. Memang la aku muda lagi tapi dah nak buat macam mana. Sebab dah pandai sangat, Ijazah and segala sijil aku, aku pergi tinggalkan dekat rumah. Ingat senang nak minta kerja. Dahla aku pun baru je balik sini, nak pergi mana pun aku tak tahu. Selalu ada Pak Man yang teman aku. Lagipun, kalau aku nak pergi kerja dekat tempat-tempat macam tu, dibuatnya orang-orang papa berjaya jumpa aku. Tak ke sia-sia usaha aku lari dari rumah. Dia bermonolog di dalam hati.

Pandangannya kini di alihkan pada Mak Munah di sisinya. Mak cik, tolonglah Lea ni, rayunya dalam hati. Macam dia boleh dengar suara kau pula Larra Adlea.

“Lea? Jawablah. Kan Tuan Hakimi tanya tu?” ujar Mak Munah. Eh mak cik ni, bukan nak back up aku.

“se.. Sebenarnyeeeeee… Yang sebenarnyeeee” Larra terdiam sejenak. Otaknya ligat mencari alasan logik.

‘sebenarnya apa?” soal lelaki itu lagi tidak sabar.

“sebenarnya saya memang minat dengan kerja-kerja jadi pembantu rumah ni Tuan Hakimi. Hee, Cita-cita saya” lancar sahaja dia menjawab.

Ah sudah! Apa ke bodohnya aku pergi cakap macam ni. Cita-cita? Ada ke orang cita-cita nak jadi pembantu rumah. Ugh! Tak logik betullah jawapan yang kau bagi ni Larra! Dia sedikit kesal dengan jawapan yang diberikan.

Tergelak besar Hakimi mendengar jawapan gadis itu. Terasa lucu dengan jawapan yang diberikan.

“maksud awak? Cita-cita awak memang nak jadi menjadi pembantu rumah?” soalnya lagi. Terkebil-kebil mata Adlea memandangnya sebelum sekadar mengangguk sebagai tanda jawapannya ‘ya’.

“oh ya, Tuan Hakimi umur 25 kan?” soal Mak Munah tiba-tiba. Larra menjeling ke arah wanita itu. Mujur wanita itu bijak menukar topik perbualan. Tidak sanggup lagi dia ingin menjawab soalan yang di ajukan oleh lelaki itu. Tidak senang duduk dibuatnya. Ingin sahaja dia lari dari terus diasak dengan perasan takutnya kini. Kalau kantoi, habis aku.

“A’ah. Saya 25. Kenapa Mak Munah?”soal Hakimi kembali. Larra sedikit lega kerana perhatian lelaki ini telah bertumpu Mak Munah pula.

Mak Munah menggelengkan sedikit kepalanya sambil tergelak memandang Adlea yang kelihatan pucat di sisinya.

“tak adalah. Sebab Adlea ni pun baru 25 tahun. Kira kamu berdua ni, sebaya lah rupanya” ujar Mak Munah. Hakimi sedikit terkejut mendengar kenyataan yang diberikan oleh Mak Munah.

“Adlea pun 25?” soalnya kepada Adlea. Gadis itu mengangguk.

“Eh iyeke! Sebaya rupanya.” Hakimi jelas terkejut. Pandangannya kini dialihkan pula memandang Larra. Ha, dia dah tengok aku tu, nak tanya aku soalan la tu., Larra menelan air liurnya yang terasa pahit.

“sekolah mana dulu?” soalnya. Sekali lagi Larra di asak soalan yang betul-betul killer. Kan aku dah cakap. Dia nak tanya aku soalan. Apa pulak aku nak kelentong dia kali ni. Takkanlah aku nak bagi tahu dia yang aku sekolah apa. Kantoi la nanti. Sekolah tu dah tentu untuk anak-anak orang berduit.

“sekolah biasa je. By the way, Tuan Hakimi peguam kan?” soalnya kembali. Yang sebenarnya dia tidak mahu topik perbualan terlalu fokus tentang dirinya sahaja. Sengaja dia menyoal kembali lelaki itu.

“a’ah saya peguam. Kenapa?” soal lelaki itu. Larra tersenyum.

“tak ada apa-apa. Saya ada juga kawan jadi peguam. Dengar dia kata hidup dia jadi peguam macam seronok” ujarnya kembali. Hakimi tersenyum.

“seronok sebenarnya kerja jadi peguam ni. Cuma yang kadang-kadang penat tu bila jumpa kes-kes yang tough. Kawan Lea tu kerja mana?” soalnya kembali. Mak Munah sudah pun bangun dari kerusi itu menuju ke sinki.

“saya tak tanya pula dia kerja mana” ujar Larra dengan senyuman sambil turut bangun mengekori Mak Munah.

“ni nak masak apa ni, Mak Munah?” soalnya Hakimi dari belakang.

“Masak lemak cili api. Kan kegemaran Zaf. Puan Zahnita yang suruh masak” ujar Mak Munah sambil menoleh memandang ke arah Hakimi yang duduk bersendirian kini di meja itu.

“Ni Lea tahu masak tak?” soal Hakimi kembali. Larra menggigit bibirnya. E’eh mamat ni. Belum rasa lagi aku masak. Hari tu memang la aku tak reti tapi sekarang aku power tau memasak.

“Lea lah yang masak hari ni” ujar Mak Munah selamba. Larra tersenyum. Yes Mak Munah! Tell him, i yang memasak!

“Oh baguslah. Perempuan sekarang susah nak cari pandai memasak kan Mak Munah. Esok kalau saya nak cari bini pun, mesti kena pandai memasak. Penting tu” ujar Hakimi bersungguh-sungguh. Sempat matanya memandang Adlea yang sedang tertunduk malu. Ya! Nampaknya kau memenuhi hampir semua kriteria perempuan yang aku cari. Kalau macam ni, susah la aku. Aku dah makin suka dia.

“betul tu Tuan Hakimi. Perempuan sekarang ni jaranglah yang nak turun ke dapur .nak-nak lagi kalau yang biasa hidup senang tu” ujr Mak Munah. Larra berasa sedikit terpukul. Macam aku lah pulak contoh mak cik ni bagi.

“erm, okaylah. Saya naik bilik dulu. Nanti time lunch. Saya turun. Nak rasa juga masakan Adlea” ujarnya. Larra menoleh sambil tersenyum.

*****

Dari tingkat atas, Tengku Dzafril Haidhar memerhati gadis itu yang sedang leka melakukan kerja-kerjanya menyusun buku-buku yang disepahkannya di tingkat bawah. Wajah milik gadis itu direnungnya. Perasaannya masih sama. Walau seribu kali dia cuba memberitahu dirinya bahawa mereka berdua belum pernah bertemu sebelum ini namun hasilnya masih gagal.

Perasaannya kuat mengatakan yang dia pernah melihat wajah gadis itu sebelum ini. Namun malang, kerana otaknya tidak cekap untuk memberi maklumat bila mereka pernah berjumpa.

“agh! Ada sesuatu yang tak kena bila aku tengok perempuan ni.” dia memarahi dirinya sendiri.

Larra menyusun bunga-bunga itu masuk ke dalam pasu bunga sebelum meletakkannya di atas meja. sememangnya Puan Zahnita, majikannya itu sukakan bunga.

“Woi! Kau alihkan pasu bunga tu. Aku tak suka kau letak situ” ujar satu suara dari tingkat atas membuatkan Larra terdongak-dongak mencari arah suara itu. Dilihatnya Zaf sedang berdiri di situ memandangnya.

“Habis tu nak saya letak mana?” soalnya kembali sambil mengerutkan dahinya. Yang sebenarnya dia sememangnya meluat setiap kali perlu berhadapan dengan anak pertama majikannya itu. Ada sahaja yang tak kena di matanya. Sengaja mencipta alasan untuk memarahinya. Dia tu memang jahat. Beza betul dengan Hakimi.

“kau letak tepi rak tu” ujar Tengku Dzafril Haidhar sambil tangannya mengunjukkan ke satu arah. Larra mengerutkan dahinya. Dia suruh aku angkat pasu berat ni ke hujung sana? Biar betul dia ni.

“tercegat apa lagi dekat situ. Angkatlah!” tengking Tengku Dzafril Haidhar membuatkan Larra terkulat-kulat di pendiriannya. Pantas tangannya segera mencapai pasu bunga di atas meja itu sebelum dengan segala kudratnya mengangkat ke arah rak di hujung sudut itu.

Fuh! Berjaya pun aku angkat. Dia berasa sedikit bangga kerana berjaya mengangkat pasu bunga itu sendiri.

Tengku Dzafril Haidhar ketawa besar di dalam hati melihat aksi gadis itu yang kelihatan bersusah payah mengangkat pasu itu ke tempat yang dia maksudkan. Sengaja dia menyusahkan gadis itu. Dia memang tidak sukakan Adlea dari sejak pertama kali mereka berjumpa. Meski semua orang di dalam rumah itu sukakan dia tapi aku tak!

“eh kejap. Macam tak lawa pula letak situ” kedengaran lelaki itu bersuara. Larra membulatkan matanya sebelum menoleh ke arah lelaki itu.

“Apa kau pandang aku macam tu. Kau letak balik pasu tu dekat meja tadi!” arah lelaki itu lagi. Larra menarik nafas panjang. Eeeee!! Geramnya aku dengan dia. Dah penat-penat aku angkat sampai ke sini dia suruh aku angkat balik ke sana pula.

Dalam terpaksa dia mengangkat kembali pasu bunga yang berat itu kembali ke meja yang dimaksudkan. Susah payah dia terpaksa pula untuk mengangkat pasu itu naik ke atas meja.

“Dah” jawabnya dingin sambil menoleh ke arah lelaki itu kini yang tersenyum nakal memandangnya. Serupa tak payah suruh aku angkat tadi. Cari pasal betul.

“Taknaklah letak situ. Kau letak……” belum sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya pintu gerbang utama dibuka dan muncul Puan Zahnita di situ dengan membawa beg-beg plastiknya yang berisi barang dapur.

“Hurm Lea, tolong bawa ni ke dapur” ujar Puan Zahnita. Larra tersenyum. Yes! Kau tak boleh buli aku lagi kalau Puan Zahnita ada. Mujur majikannya itu menyuruhnya menghantar barang-barang ke dapur.

“baik puan” ujar Larra sambil berjalan mengambil beg-beg plastik itu dari Puan Zahnita sambil berjalan semula ke dapur. Sempat dia menjeling ke arah lelaki itu yang sedang membuat muka bengangnya. Satu senyuman sinis dihadiahkan buat lelaki itu.

Bulat mata Tengku Dzafril Haidhar melihat gadis itu tersenyum sinis memandangnya. Oh takpe, kali ni kau boleh terlepas. Tapi tengoklah. Aku tak akan lepaskan kau lain kali. Aku buli kau cukup-cukup. Dasar perempuan kampung!

“Zaf! Buat apa lagi dekat situ. Cepat turun. Makan tengah hari” ajak Puan Zahnita.

*****

“Makanlah Marissa. Jangan asyik termenung je” tegur Dato’ Qamal melihat isterinya yang termenung. Wanita itu tersenyum.

“Kalau Larra ada mesti dia suka kan bang. Lauk kegemaran dia ni, masak lemak cili api” ujar Datin Marissa sambil memandang mangkuk yang berisi lauk kegemaran Larra itu.

“Awak ni time makan pun ingat dekat dia” ujar Dato’ Qamal.

“Nak buat macam mana. Otak saya ni tak boleh berhenti fikir pasal dia. Rasa macam nak keluarkan dari kepala ni pun ada haa” sindir Datin Marissa.

“Eh jangan. Kalau awak keluarkan otak awak tu dari kepala, alamatnya rumah ni nanti tak adalah orang nak bebel-bebel dekat Siah dengan Nafis tu lagi. Awak pun dok senyap je terus nanti” usik Dato’ Qamal.

“amboi. Mulut awak tu tak ada cop sirim ya Dato’ Qamal” tegur Datin Marissa sambil tersenyum. Dato’ Qamal tersenyum juga. Baru kali ini dia melihat isterinya itu tersenyum setelah hampir dua minggu kehilangan Larra.

“Tenang hati saya tengok awak senyum” luahnya.

******

“Berselera betul Hakimi makan hari ni” tegur Puan Zahnita meliha Hakimi yang sudah pun menambah nasinya buat kali kedua.

“Sedap la mummy” ujarnya.

“mummy tak tahu pula ni lauk favourite Hakimi. Mummy ingat Zaf je yang suka lauk ni” ujar Puan Zahnita sambil menjeling ke arah Tengku Dzafril Haidhar yang kelihatan masam di tempatnya.

“Awek dia yang masak mummy. Mestilah dia suka” sampuk lelaki itu tiba-tiba dengan sindirannya membuatkan Larra tersedak-sedak. Pantas dia meneguk air di hadapannya. Dia perasan pandangan Puan Zahnita dan Tengku Dzafril Haidhar bertumpu padanya. Manakala Hakimi pula terhenti dari makan.

“mana ada! kimi dengan Lea kan kawan je” ujar Hakimi kepada Tengku Dzafril Haidhar. Meski benar dia menyimpan perasaan pada gadis itu namun dia masih belum bersedia untuk mengakui perasaanya itu di hadapan keluarganya. Apatah lagi di hadapan gadis itu sendiri. Abangnya itu dilihatnya sekadar tersenyum sinis.

“Lea ke yang masak. Amboi, patutlah sedap” puji Puan Zahnita. Larra tersenyum kelat. Masih terasa malu dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaf sebentar tadi.

“saya belajar pun dari Mak Munah” ujar Larra merendah diri. Serentak dilihatnya Zaf bangun dari tempatnya sebelum berdiri untuk beredar dari ruang itu.

“eh Zaf. Sikitnya makan. Kan lauk favourite kamu ni” tegur Puan Zahnita.

“tak sedap” ujarnya sebelum berlalu dari situ.

Larra sedikit berkecil hati mendengar kata-kata lelaki itu namun dia cepat-cepat buang perasaan kecil hatinya itu. Agh! Aku masak pun bukan sebab kau. Kalau tak sebab Puan Zahnia suruh aku masak, tak adanya aku nak masakkan untuk kau! Jeritnya di dalam hati.

“Lea jangan ambil hati dengan apa yang Zaf cakap tadi. Mungkin mood dia tak baik” pujuk Puan Zahnita. Takut-takut Adlea berkecil hati dengan anaknya. Baginya tidak ada yang kurang dalam masakan budak itu. Cukup je. Sedap pun sedap. Kalau tak, takkanlah sampai Hakimi yang memilih makanan itu pun siap tambah sampai dua kali lagi.

“tak adalah puan. Saya tak ambil hati pun” ujar Larra sambil tersenyum.

****

Larra menatap skrin telefon I-phone nya. Rasa sebak mula menguasai dirinya. Hampir 8 misscall dari mamanya setiap hari namun satu pun tidak dijawabnya. Maafkan Larra, mama. Larra bukan anak yang baik.

Air matanya mengalir. Sungguh dia rindu akan mamanya namun dia belum bersedia untuk pulang ke sisi keluarganya. Sudah hampir 2 minggu dia bekerja di sini.

Meski kehidupanya kini jauh berbeza dari sebelumnya namun dia tekad, dia perlu membuktikan pada papanya bahawa dia masih mampu untuk hidup tanpa wang ringgit papanya.

“tak tidur lagi, Lea?’ soal satu suara. Cepat-cepat Larra menyapu sisa air matanya sebelum menoleh. Dilihatnya Mak Munah berdiri di situ. Sungguh, dia tidak sedar bila wanita tua itu masuk.

Sambil batuk-batuk wanita itu duduk di sisinya.

“Kenapa menangis? Lea ada masalah ke? Ke ada apa-apa yang buat Lea tak suka tinggal dekat sini. Lea cerita lah dengan Mak Munah” pujuk Mak Munah. Meski gadis itu cuba berselindung di sebalik senyumannya manisnya namun dia tahu gadis itu menangis tadi.

“tak ada apa-apalah. Lea okay” ujarnya sambil cuba ketawa. Suaranya kedengaran serak. Telefon i-phonenya cepat-cepat dipadam.

“jangan bohong. Mak Munah tahu Lea menangis tadi. Kenapa?” soal Mak Munah lembut.

Larra mengeluh.

“Saya cuma rindukan mama saya” ujar Larra perlahan. Kini air matanya gagal ditahan lagi. Dia menangis juga di hadapan Mak Munah. “saya rindukan dia, Mak Munah” ujarnya. Jari jemarinya halusnya dicapai oleh jari tua milik Mak Munah. Erat wanita itu menggengamnya.

“Kalau rindu, kenapa tak balik semula jumpa mereka? Jangan sampai mama Lea rasa apa yang Mak Munah rasa” pujuk Mak Munah. Larra mengerutkan keningnya. Tidak faham dengan maksud wanita itu.

“Maksud mak cik?” soal Larra dalam tangisnya.

“Mak cik pun ada anak. Mungkin baya-baya Lea atau mungkin lebih tua sedikit dari Lea. Mak cik besarkan mereka bagai menatanng minyak yang penuh. Tapi semua tu tak berbaloi. Mereka tinggalkan Mak cik. Sampai sekarang, Mak cik tak tahu apa khabar berita mereka. Telefon pun tak pernah.” ujar Mak Munah panjang lebar.

“mak cik ada berapa orang anak?” soal Larra.

“dua orang. Mak cik betul-betul rindukan anak-anak mak cik. Lea. Sebab tu, Mak cik tak nak Lea buat apa yang anak-anak Mak cik buat. Ingat, syurga anak adalah di bawah keredhaan ibu dan bapanya” ujar Mak Munah.

Baru Larra perasan. Selama ini, wanita itu tidak pernah menyebut perihal anaknya dan dia sendiri tidak terfikir langsung untuk menyoal tentang hal itu. Ada benar pada kata-kata Mak Munah. Aku dah banyak buat mama dengan papa malu dengan perangai aku. Apa yang aku dah buat 9 tahun lepas memang cukup teruk, tapi mama dengan papa masih layan aku dengan baik sebagai anak mereka. Mereka dah tolong aku untuk teruskan hidup. Beri aku semangat baru. Ahh! Berdosanya aku.

“Saya tahu. Saya sedar apa yang saya lakukan ni salah Mak Munah. Saya larikan diri dari masalsah, tinggalkan ibu bapa saya. Tapi keadaan saya masa tu yang desak saya buat macam ni” ujar Larra. Mak Munah mengangguk-angguk.

“Mak Munah faham dan yakin, ibu dan bapa Lea pun sekarang mesti risaukan Lea. Lea satu-satunya anak mereka kan?” soal Mak Munah.

Larra mengangguk.

“Mak Munah bukan niat nak halau Lea cuma Mak cik harap, Lea balik lah semula ke pangkuan mereka. Jangan sampai mama dan papa Lea rasa apa yang Mak Munah rasa” ulang Mak Munah lagi.

Larra sekadar memandang Mak munah. Dia hilang kata-kata. Tangannya ditepuk perlahan sambil dilihatnya Mak Munah tersenyum padanya.

****

Tengku Dzafril Haidhar sekadar memerhati suasana hingar bingar kawasan itu. Malam ini dia akan berlumba bagi merebut gelaran juara yang pernah dirampas oleh kumpulan Afiq. Tak kira walau apa pun, aku mesti cuba kalahkan dia. Tekadnya.

“woi Zaf! Dah ready nak kalah!” jerit satu suara membuatkan dia tersentak. Seraya dia menoleh ke arah kumpulan Afiq yang berada tidak jauh dari situ.

“kau boleh tutup tak mulut longkang kau tu. Belum tentu lah wei dia kalah” jerit Joe pula. Cepat-cepat Tengku Dzafril Haidhar menghalang.

“Dahlah Joe. Biar je dia orang nak cakap apa. Kita jangan lawan mulut dengan kumpulan monyet macam tu. Nak lawan, tunggu masa drift nanti” ujar Tengku Dzafril Haidhar. Joe akur terhadap kata ketuanya.

“sistem baru dekat kereta kau tu amacam Zaf? Kau betul nak test?’ soal Aqiem.

“Aku dah check dah petang tadi” ujarnya sambil meneguk air mineral di tangan. Entah mengapa sejak dari tadi, otaknya asyik teringatkan Adlea pembantu baru rumah mamanya itu.

“Oi! Jauh termenung” tegur Aqiem sebelum duduk di sisinya meneguk air mineral juga. Tengku Dzafril Haidhar menoleh ke arah sahabatnya.

“aku nak tanya kau sikit boleh?” soalnya.

“ermm boleh. Kau nak tanya apa, tanya je lah. Sejak bila kau pandai minta izin nak tanya pula ni” ujar sahabatnya itu sambil menumbuk bahu sahabatnya itu perlahan. Tersenyum Tengku Dzafril Haidhar mendengar usikan Aqiem itu.

“Kau pernah tak kalau jumpa orang, even kau dengan dia first time jumpa tapi rasa macam pernah jumpa sebelum tu. Pernah tak kau face situation ni?” soalnya bersungguh-sungguh. Tergelak Aqiem mendengar soalannya.

“ai, lain macam je soalan kau ni Zaf. Ada apa-apa ke?” soalnya kembali. Tengku Dzafril Haidhar meneguk air mineral di tanganya lagi.

“kau. Aku tanya kau, kau tanya aku balik. Memang tak boleh pakai betullah” ujarnya sedikit marah.

“Okay, okay. Aku jawab. Aku tak pernah jumpa tapi ada lah orang pernah juga tanya aku macam kau tanya ni. Kenapa sebenarnya?” soal Aqiem lagi. Satu keluhan berat dilepaskan oleh Tengku Dzafril Haidhar tatkala mendengar jawapan yang diberikan oleh lelaki itu.

‘Maid mak aku. Aku tak tahulah. Bila aku nampak dia, aku rasa macam pernah jumpa dia sebelum ni” ujar Tengku Dzafril Haidhar.

“Perempuan?” soal Aqiem.

“Perempuan la. Takkan lelaki kot jadi pembantu rumah” ujarnya.

“Mana la tahu. Entah-entah kau suka dia tak” ujar Aqiem lagi.

“uish! Mulut kau tu jaga-jaga sikit. Tak ada nye aku nak jatuh cinta dekat perempuan. Maid pulak tu” ujarnya sambil tergelak sinis. Aqiem mengeleng-gelengkan kepaalnya. Sedikit hampa melihat keangkuhan lelaki itu terhadap perasaannya sendiri.

“Kau ni Zaf. Ego betullah” ujar Aqiem sambil menepuk perlahan bahu lelaki itu sebelum bangun beredar. Tengku Dzafril Haidhar meraup mukanya beberapa kali sebelum turut bangun.

Afiq menjeling ke arah Tengku Dzafril Haidhar yang kelihatan tenang berbual dengan sahabatnya, Aqiem.

“kau hati-hati Fiq. Budak Zaf tu bukan boleh buat main. Dah banyak dah orang kalah dengan dia” ujar Hafiz.

“Kau jangan risaulah. Bukan ke sebelum ni Afiq pun berjaya kalahkan si Zaf tu” ujar Amirul pula.

“Yelah, tapi jangan lupa. Kita menang pun sebelum ni sebab ada budak bodoh tu dalam gang dia orang. Sekarang ni semua orang-orang kuat dia je yang tinggal. Mana nak sogok lagi” ujar Hafiz.

“dahlah! Kau orang diam lah sebelum aku balun muka seorang-seorang” marah Afiq.

****

Selesai mengemas ruang tamu dan dapur, Larra masuk ke bilik. Dilihatnya Mak Munah batuk-batuk teruk. Dulang berisi bubur dan air kosong itu diletakkan di meja solek berhampiran.

Sudah 3 hari wanita itu demam. Bila di ajak pergi ke klinik, dia tidak mahu. Berkeras meyakinkan semua orang bahawa dia hanya sakit biasa. Degil betul wanita itu. Larra berjalan masuk dan duduk di birai katil sambil tangannya bergerak menuju ke dahi Mak Munah. Panas.

“Mak cik. Rasa macam dah teruk batuk mak cik tu. Kita pergi klinik ya” pujuk Larra lembut. Cepat-cepat Mak Munah menggeleng. Larra mengeluh perlahan. Sedikit hampa. Dia membantu wanita itu untuk duduk. Rambutnya tidak terurus dengan bibir pucat membuatkan Larra tidak sedap hati untuk terus membiarkan wanita itu begitu.

“eh tak payah. Tak payah la pergi klinik. Ni demam dan batuk biasa je ni” ujar Mak Munah lemah. Ya! Sudah berulangkali wanita itu berkata begitu. sudah lali telinganya mendengar alasan yang sama. Kalau biasa, kenapa batuknya tidak pernah reda.

Mak Munah batuk-batuk teruk. Bunyinya kedengaran perit sekali. Setelah sedikit tenang. Larra mencapai mangkuk berisi bubur di atas meja solek, sebelum menyuakan sudu berisi bubur itu ke bibir Mak Munah. Terketar-ketar mulutnya dibuka sebelum menelan bubur masakan Larra.

“Lea masak sendiri ya bubur ni?” soalnya. Larra mengangguk. Sepanjang dua minggu dia di situ, pelbagai masakan telah dipelajarinya. Akibat sering, menolong Mak Munah memasak, minatnya mula tumbuh dalam dunia memasak.

Tidak disangkanya memasak itu merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Mungkin ada hikmahnya aku dipertemukan dengna Mak Munah. Sekurang-kurangnya sekarang aku dah pandai mengemas rumah, sudah pandai memasak. Kalau lah dekat rumah, pasti mama tak bagi.

Selama beberapa hari Mak Munah sakit ini dia jugalah yang terpaksa menggantikan wanita itu melakukan kerja-kerja rumah dan memasak.

“Mak cik rasa umur mak cik dah tak panjang lah Lea” ujar wanita itu serentak batuk-batuk lagi. Namun kali ini batuknya beserta darah.

“mak cik!” jerit Larra jelas terkejut apabila melihat tapak tangan Mak Munah penuh dengan darah. Wanita tua itu batuk lagi sambil menekup mulutnya dengan tangan. Dan kali ini jelas terlihat darah pekat likat di telapak tangannya. Lebih banyak dari tadi.

“tak boleh biar ni mak cik. Kita pergi ke hospital sekarang!” jerit Larra sambil pantas meletakkan mangkuk berisi bubur itu ke dalam dulang. Dia segera berlari keluar dari bilik ingin memanggil Hakimi yang sedang berada di ruang tamu.

“Tuan! Tuan Hakimi!”jerit Larra sebaik sahaja terpandang kelibat Hakimi yang tertidur di situ. Pisat-pisat lelaki itu memandangnya. Rasa serba salah namun dia terpaksa mengejutkan lelaki itu juga. Mak Munah dalam bahaya.

“Mak Munah.. Mak Munah batuk darah” beritahunya.

“Huh!” pantas lelaki itu bangun dan berlari menuju ke bilik Mak Munah. Larra mengekori dari belakang.

Kini sekujur tubuh milik Mak Munah sedang terbaring di lantai. Tidak sedarkan diri.

“Mak cik! Mak cik!” panggil Hakimi. Hakimi tanpa berlengah pantas mengangkat Mak Munah.

“kita bawa dia ke hospital sekarang” arah Larra seolah-olah dia pula majikan. Hakimi mengangguk sebelum pantas mengangkat tubuh Mak Munah.

*****

Perlumbaan sudah pun dimulakan dan kereta lumba milik Afiq terlebih dahulu memecut jauh di hadapan. Tengku Dzafril Haidhar tenang sambil turut memecut di belakang kereta lumba milik Afiq.

“kalah lagilah kau kali” ujar Afiq sambil tersenyum. Matanya memandang kereta milik Tengku Dzafril Haidhar yang masih belum berjaya memotongnya.

Sememangnya kawasan berbukit itu merupakan tempat kegemaran bagi mereka untuk berlumba. Agak jauh dari kawasan Kuala Lumpur jadi agak memudahkan untuk mereka untuk berlumba secara haram di sini. Jauh dari pihak polis.

“jangan ingat senang nak kalahkan aku” ujar Tengku Dzafril Haidhar sambil kakinya serentak menekan minyak dan memandu laju.

Sampai di selekoh itu, dia memutar laju stering keretanya sebelum berjaya menghimpit kereta milik Afiq menyebabkan kali ini lelaki itu pula yang terpaksa menekan brek kecemasan apabila keretanya hampir-hampir terbabas masuk ke dalam gaung. Berdecit-decit bunyi kereta mereka.

Kini, kereta milik Tengku Dzafril Haidhar terus sahaja mengaum laju meninggalkan Afiq bersama kekalahannya jauh ke belakang. Dia tersenyum sinis.

Dia menang besar kali ini. Semua duit pertaruhan akan jadi miliknya. baru kau tahu siapa aku.

*****

Hakimi mengerling gadis di sisinya itu. Sejak dua jam yang lalu, mereka sekadar duduk diam di situ. Satu patah perkataan pun tidak terkeluar dari bibir masing-masing. Mak Munah masih berada di bilik kecemasan.

“Awak tak mengantuk ke?’ soal Hakimi membuatkan gadis itu kini menoleh ke arahnya. Matanya kelihatan bengkak.

“tak, tapi kalau Tuan Hakimi mengantuk, tak apalah kalau Tuan Hakimi nak balik dulu. Biar saya yang tunggu Mak Munah dekat sini. Lagipun esok kan Tuan hakimi kerja” ujar Larra. Kelihatan lelaki itu tersenyum.

“tak adalah. Saya dah biasa dah stay-up. So no hal la. Cuma saya risau, awak tu. Kot-kot mengantuk” ujar Tuan Hakimi.

“tak adalah. Saya lebih risaukan Mak Munah tu je. Tak mengantuk pun” ujarnya.

Hakimi mengangguk-angguk tanda faham. Dia melihat tangan Adlea menggosok-gosok telapak tangannya sebelum kembali menutup lengannya yang terdedah. Baru dia perasan gadis itu hanya memakai T-shirt lengan pendek. Walaupun saiznya kelihatan 2 kali ganda dari saiz tubuh gadis itu, namun dia pasti gadis itu sedang menahan kesejukan.

Mujur dia memakai sweater. Perlahan-lahan dia menarik turun zip sweater Adidasnya sebelum menanggalkannya.

Larra yang sedang khusyuk memerhati pintu bilik kecemasan dibuka, terkejut apabila dia merasakan sesuatu disarungkan ke tubuhnya. Pantas dia menoleh dan kini majikannya, Tuan Hakimi sedang meletakkan sweater miliknya bagi menutup tubuhnya yang terdedah.

“saya tahu awak sejuk. Pakailah dulu” ujar lelaki itu. Larra mengaku, sememangnya sejak tadi dia menahan rasa sejuk namun tidak disangkanya lelaki itu perasan. Lambat-lambat dia senyum. Dia memandang wajah milik lelaki itu. Baru dia perasan lelaki itu sememangnya mempunyai raut wajah yang kacak.

“terima kasih” ujar Larra pendek.

Hakimi memandang wajah Larra. Dia terpaksa mengaku, gadis itu sememangnya mempunya aura yang tinggi untuk menambat hati lelaki. Sejak pertama kali berjumpa dengan gadis itu lagi, hatinya sudah mula tertarik dengan gadis itu. Serentak kedengaran pintu bilik kecemasan dibuka. Segera matanya menoleh. Seorang doktor keluar sambil leka berbicara dengan pembantunya.

Bulat mata Larra melihat doktor yang keluar dari pintu itu. Faris! Lelaki itu merupakan bekas rakan sekolahnya. Dilihatnya Hakimi telah pun mendahuluinya bangun menuju ke arah doktor itu. Lambat-lambat dia bangun dan turut serta namun dia tidak berani untuk menunjukkan wajahnya. Tubuh dan wajahnya dilindung di sebalik tubuh sasa Hakimi.

Ingin sahaja dia menutup wajahnya ketika itu. Jantungnya berdegup kencang. Dalam banyak-banyak doktor dalam hospital ni, kenapalah dengan kau juga aku jumpa. Tak ada doktor lain ke. Kalau kau cam aku, habislah aku. Aku tak bersedia lagi nak jumpa dengan siapa-siapa ni. Dia teringat kembali peristiwa 9 tahun lepas.

Hakimi menoleh di sisinya. Adlea tiada. Baru dia sedar kini gadis itu seolah-olah sedang bersembunyi di belakangnya. Apahal dengan perempuan ni. Nak jumpa doktor pun takut. Pantas tangannya gagah menarik tubuh Adlea menyebabkan gadis itu terdorong dan berdiri di sisinya.

Doktor Faris itu masih sedang asyik menerangkan sesuatu pada pembantunya. Larra menoleh ke arah troli di tepi itu. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dia berlari dan bersembunyi di bawah troli itu.

“kamu erm, saudara Puan Maimunah?” soal doktor itu membuatkan Larra cepat-cepat menundukkan wajahnya. Sebawah yang boleh dia cuba menyembunyikan mukanya.

“saya majikan. Tapi ini anak saudara dia” ujar Hakimi sambil menunjukkan Adlea di sisinya yang sedang menunduk.

Doktor Faris menoleh ke arah gadis di sisi lelaki itu. Apa hal dengan budak ni. Pelik dia melihat gadis itu yang menundukkan wajah. Dia cuba-cuba mebongkokkan wajahnya untuk melihat wajah gadis itu bagi memudahkan proses perbincangan namun gadis itu seolah-olah mengelak.

“Cik. Cik pandang saya kejap boleh. Saya nak bincang tentang Puan Maimunah ni” ujar Doktor Faris.

Larra mengetap bibirnya. Dia memejam matanya erat. Akhirnya dia mengalah. Dia redha dengan apa jua yang bakal berlaku. Perlahan-lahan wajahnya diangkat memandang lelaki bergelar Doktor Faris itu.

Bulat matanya memandang wajah di hadapannya kini. Biar betul apa yang aku nampak ni. Aku ni mimpi ke. Bukan ke dia di luar negara.

“Larra!” jeritnya akibat terlalu terkejut. Bergema sejenak koridor itu dengan suaranya.

Hakimi sekadar memandang hairan doktor di hadapannya bersama Adlea di sisinya. Sungguh dia tidak faham apa yang telah berlaku.

“Siapa Larra?” soal Larra berpura-pura hairan. Yes! Aku kena pandai berlakon ni, jeritnya di dalam hati..

Hakimi mengerling sekilas ke arah Adlea yang kelihatan hairan dengan soalan yang diajukan oleh doktor itu sebelum memandang pula reaksi doktor di hadapannya juga sedang keliru. Apa benda semua ni. Siapa Larra yang disebut oleh doktor ni?

“awak bukan Larra?” soal doktor itu kembali. Larra pantas menggeleng.

“maaf doktor tapi saya rasa doktor salah orang. Ni Adlea pembantu rumah saya” terang Hakimi membuatkan doktor Faris malu sendiri.

“oh, maafkan saya Cik Adlea. Larra tu kawan sekolah saya. Rupa cik buat saya teringat dekat dia. Sekali lagi maafkan saya” pinta doktor itu.

Larra sekadar mengangguk. Senang juga nak tipu kau ni. Lupa la tu nama penuh aku Larra Adlea, gelaknya di dalam hati. Tak sangka lakonannya menjadi. Lepas ni, aku boleh lah kot aku pergi interview jadi pelakon.

Doktor Faris sempat memerhati sekali imbas penampilan gadis yang disangkanya Larra itu. Penampilannya biasa sahaja. Rambutnya yang panjang di ikat satu, seluarnya kelihatan lusuh serta. Selipar buruk. Kini dia yakin, tidak mungkin gadis itu adalah Larra, diva di sekolahnya. Berbeza dari segi berpakaian antara mereka berdua. Pakaian Larra sentiasa berjenama dan mengikut perkembangan fesyen semasa sedangkan gadis itu tidak sama sekali.

“jadi macam mana dengan hasil pemeriksaan Mak Munah?” soal Hakimi lagi membuatkan Doktor Faris baru tersedar tujuan asal mereka bertemu dengannya. Untuk membincangkan tentang Puan Maimunah.

“oh ya. Pasal Mak Munah. Laporan mengatakan dia menghidap kanser paru-paru peringkat akhir” ujarnya. Sempat dia mengerling ke arah gadis itu.

“apa? Barah paru-paru. Jadi macam mana doktor? Boleh sembuh” soal Larra cemas.

“kebiasaannya. Pesakit-pesakit yang menghidap barah peringkat akhir memang tak ada harapan sembut” serba salah dia ingin memberitahu kenyataan itu.

“Tapi buat sementara waktu, saya rasa lebih elok kalau ibu saudara cik tinggal dulu dekat sini. Kita ada, pakar yang akan pantau Puan Maimunah. Macam mana?” sarannya.

“Kalau macam tu, saya pun rasa lebih elok kalau Mak Munah tinggal di sini. Macam mana Lea?” soal Hakimi pula. Perlahan-lahan Larra mengangguk. Riak wajahnya jelas masih terkejut dengan kenyataan yang diberikan.

“saya ikut je. Yang terbaik buat Mak Munah” ujar Larra perlahan menahan rasa sebaknya.

“bawak bersabar ya cik. baiklah, kalau macam tu, izinkan saya” ujar lelaki itu meminta laluan untuk berlalu. Hakimi sekadar menganguk. Larra di sisinya sudah menangis. Rasa kasihan melihat gadis itu.

Perlahan-lahan tubuh milik gadis itu ditariknya lembut sebelum membiarkan gadis itu menangis semahunya di dalam dakapannya. Ternyata gadis itu tidak menolak. Tangannya memeluk erat tubuh gadis itu berharap dapat mengurangkan derita rasa hatinya.

****

Bagi meraikan kejayaan yang diperoleh, mereka berkumpul di Zeen Club. Dua rakannya masih dalam perjalanan. Lissa di sisinya dipandang sekali imbas.

“Kenapa you pandang i macam tu?” tegur Lissa apabila sedar dirinya diperhatikan.

“Tak ada apa-apalah” ujarnya sambil tersenyum sendiri.

“Alah Lissa, you macam tak faham-faham pulak dengan Zaf ni. Eh, korang berdua kan. Bila nak kawen?” soal Faim tiba-tiba membuatkan Zaf tersedak

“Kau ni agak-agaklah Faim. Tanya dia pasal kawen memang cari nahaslah. Dia kan dah ada tunang” ujar Ayie sambil ketawa besar. Dipandangnya sekilas wajah Dzafril yang sedang serius memandangnya.

“Alamak aku lupa pulak, dia dah ada tu….” belum sempat Faim menghabiskan ayatnya, Lissa lebih dahulu pantas berkata.

“What?! You dah ada tunang?” soal Lissa jelas terkejut besar mendengar kenyataan itu. Tengku Dzafril Haidhar mengerling sekilas ke arah gadis itu tanpa bicara.

Ayie dan Faim saling pandang silih berganti sebelum kedua-duanya kembali memandang Lissa dan Zaf yang sekadar membisu.

“Zaf! You jawablah. Betul ke you dah ada tunang!” soal Lissa. Kali ini nada suaranya sudah meninggi. Airr matanya juga mula bergenang. Lengan lelaki dipegangnya erat meminta kepastian. Perlahan-lahan Tengku Dzafril Haidhar mengangguk.

“Sampai hati you buat i macam ni” ujar Lissa serentak bangun meninggalkan Tengku Dzafril Haidhar. Faim dan Ayie sekadar memandang dengan mulut yang separuh ternganga. Perlahan-lahan Tengku Dzafril Haidhar meraup wajahnya. Satu keluhan berat dilepaskan.

“Weh alamak, dia nangis ar” ujar Faim yang kelihatan cemas melihat Lissa yang yang menangis.

“camne ni weh. Aku ingat dia tahu pasal kau dah ada tunang” ujar Ayie pula.

“Biar je lah. Aku tak ada masa nak pujuk perempuan merajuk pasal hal remeh temeh ni lah” ujar Tengku Dzafril Haidhar selamba sebelum meneguk minuman keras di gelasnya.

“Hal remeh temeh kau cakap?” Ayie mengeluh sebelum bersandar. “kau sedar tak, yang kau dah mainkan perasaan dia, Zaf?” ujar Ayie. Tengku Dzafril Haidhar mengerling sekilas sebelum mula bersuara.

“bukan salah aku. Dia yang syok sendiri. Aku layan dia biasa je” ujar Tengku Dzafril Haidhar.

“Kau ni Zaf. Tak hairanlah kalau kau dapat gelaran kasanova. Aku yang tengok si Lissa tu nangis tu pun tak sampai hati kau tahu. Tapi kau boleh tak rasa apa-apa. Aku tak tahulah lagi dengan kau ni Zaf” tegur Faim pula.

“so sekarang kau nak backup perempuan tu la?’ soal Tengku Dzafril Haidhar kembali.

“bukan tu maksud kita orang. Hari tu Erin, hari ni Lissa. Kau memang sikit pun tak ada ke rasa kesian tengok perempuan menangis? ” ujarAyie.

“Entahlah. Air mata dia orang tu terlampau murah. Senang sangat nak mengalir. Aku dah banyak kali la tengok perempuan menangis. So bagi aku perempuan ni semua sama je” ujar Dzafril meluahkan isi hatinya.

“Tapi Zaf….”

“Yo! Sorry lambat” sergah satu suara di pintu. Pandangan mereka beralih ke arah pemilik suara itu. Kini, kelihatan Aqiem dan Joe muncul di kabin itu.

“Apahal ni? Muka macam ada masalah je. Commonlah! Kita kan baru menang! Menang besar tu ketua kita. Happy la!” ujar Aqiem sebelum mengambil tempat di sebelah Tengku Dzafril Haidhar.

“Tak ada. Kau tengoklah perangai kawan baik kau tu. Dia buat perempuan macam pampers” adu Faim. Aqiem tergelak sama sambil memandang ke arah Dzafril yang selamba di sisinya.

“bukan lampin ke?” soal Ayie. Faim menoleh ke arah rakannya itu.

“sama lah jugak tu. Cuma pampers ni upgrade sikit dari lampin pakai buang” ujarnya. Serentak mereka semua tergelak mendengar jawapan Faim.

“Sapa pulak mangsa baru?” soal Joe tidak sabar. Aqiem menoleh ke arah Tengku Dzafril Haidhar yang hanya berdiam diri sejak tadi.

“pampers mahal punya” jawab Ayie sambil tersengih.

“Siapa?” soal Joe lagi.

“Cik Lissa kita tu lah. Yang badan macam ni tu” ujar Faim sambil menunjukkan isyarat bentuk badan Lissa yang solid. Serentak mereka semua tergelak mendengar kata-kata Faim.

“Lissa tu cantik kot. Kacuk lagi. Apa kes la kau ni Zaf. Macam tu punya cantik pun kau buang. Sebenarnya kau ni straight ke tak?” seloroh Joe sambil menghisap rokok di tangannya

“kau Joe, kalau aku kasi penumbuk sekali, benjol mulut kau. Aku ada rupa macam gay ke?” soal Tengku Dzafril Haidhar

“Relax la kawan. Aku tanya je. Sebab orang kalau straight, dia suka perempuan tau. Tapi kau, nampak macam anti perempuan je. Tu aku ragu-ragu tu” ujar Aqiem pula.

“betul ke kau bukan gay?” soal Ayie pula. Bulat mata Tengku Dzafril Haidhar memandang rakannya.

“gila la kau. Aku anti perempuan tak bermaksud aku gay” ujar Tengku Dzafril Haidhar sambil mencapai gelas arak di atas meja.

“tak adalah, pelik kot. Awek kau keliling pinggang. Model ade, peramugari even artis pun ada. Tapi satu pun kau tak minat. Sebab tu aku musykil” soal Faim.

“perasaan cinta tu, cuma mainan hormon dalam kepala otak kita hang tau dak? Tak mungkinlah aku nak jatuh cinta” ujar Tengku Dzafril Haidhar.

“Kau jangan angkuh Zaf. Kalau suatu hari nanti dibuatnya kau betul-betul jatuh cinta, kau nak cakap apa?’ soal Aqiem.

“agh merepeklah! Mustahil la Qiem. Mustahil” ujar Tengku Dzafril Haidhar.

“rugi rugi!’ ujar Ayie tiba-tiba. Serentak mereka semua menoleh ke arah Ayie dengn kerutan di dahi yang jelas di wajah masing-masing.

“apa yang rugi?” soal Joe.

“rugilah. Kau Zaf, rupa ada, kaya, senang cerita kau memang pakej lah. Tapi rugi sebab kau tak nampak nikmat bercinta tu. Rugi rugi” ujar Ayie lagi. Serentak mereka semua ketawa.

“betul tu Yie. Aku kan kalau lah kot-kot budak Zaf ni jatuh cinta, aku belanja kau orang makan besar lah. Salute sama perempuan tu boleh kasi kawan kita yang keras hati ni cair” ujar Faim.

“Apa kau orang ni, merepek la” ujar Tengku Dzafril Haidhar yang turut ketawa.

“betul ke weh Faim. Aku, kalau betul budak Zaf ni jatuh cinta. Aku tuntut dengan kau Yie. Kau dah janji” ujar Joe.

“betul. Aku janji. Aku belanja kau orang” ujar Faim lagi.

“baguslah Faim. Eh ni Zaf. Tiba-tiba aku teringat pasal kau dengan tunang kau tu. Apa citer?’ soal Aqiem. Tengku Dzafril Haidhar terdiam lama mendengar kata-kata Aqiem itu. Entah mengapa dia tiba-tiba teringatkan Adlea pembantu rumahnya.

“aku tak tahu” ujarnya pendek.

*****

Dato’ Qamal menolak pintu yang tertera nama “Larra Adlea’ di pintu masuknya itu. Terlihat sekujur tubuh sedang duduk di atas katil termenung sendirian sambil membelek-belek album milik Larra.

“saya dah agak dah awak dekat sini. Asal hilang mesti ke sini” ujar Dato’ Qamal sambil duduk di sisi Datin Marissa. Sejak pemergian Larra. Wanita itu sudah tidak seceria dahulu.

“saya rindu sangatlah dekat dia bang” ujar Datin Marissa.

“abang faham. Larra tu satu-satu anak perempuan yang kita ada. Abang pun rindu dia” luah Dato’ Qamal.

“orang-orang abang masih gagal cari dia ke?” soal Datin Marissa. Dato’ Qamal menoleh.

“dah ke sana sini dah orang-orang abang cari dia. Tapi masih tak jumpa-jumpa. Awak tak ada cuba-cuba call telefon bimbit dia?” soal Dato’ Qamal. Datin Marissa mengeluh.

“hari-hari saya call bang. Satu pun tak berangkat” ujarnya.

“sabar je lah Marissa. Kalau dia ingat kita, dia mesti akan balik semula ke pangkuan kita” ujar Dato’ Qamal.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

10 ulasan untuk “Novel : Antara mahligai ego dan cinta 4”
  1. hanie says:

    nak lagi…
    hahaha…padan muka faris…
    harap jew doktor tp mudah kene tipu.huhuhu

  2. fatim says:

    makin best,,

  3. Fzi says:

    Best.Nk lgi.X de blog ke?

  4. dilza adina says:

    hannie: hahaha tu la pasal. doktor pon ade yang lurus jugak.. mudah caye.

    fatim : tq :)

    fzi: ye. saya ada blog. tapi saya tak tulis karya saya dekat situ. http://mizza-vermilionstory.blogspot.com/

  5. fatin says:

    haha..kelakar la faris..cpt smbung eyh..

  6. ira says:

    Oooo.. best3..

  7. afea says:

    bes2…apakah cite sebalik kejadian yg berlaku waktu persekolahan Larra?..NAK SAMBUNGAN..setiap hari follow cite ni..

  8. dilza adina says:

    fatin: OK :)

    ira : thanks :)

    afea: hahaa. kalau nak tahu siapa Larra ,keep follow eh.. thanks.

  9. shahriezah says:

    citer yg menarik…best sgt…. siapa Larra sebenarnya…dulu jahat sgt ke…

  10. dilza adina says:

    shahriezah : haaaa. dia mmg jahat. haha

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.