Novel : Biar aku jadi penunggu 14

22 July 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

“Ayah, mama, err.. satu hal lagi yang Afeef lupa nak bagi tahu.” Afeef teragak-agak mulakan bicara ketika makan malam bersama keluarganya. Afwan dan Afia tidak turut serta kerana sibuk melayan Aqil bermain dari petang tadi. Rupanya ayah, kakak dan adiknya menghilang ketika dia sampai petang tadi, pergi membeli katil untuk Aqil. Semua kelengkapan Aqil habis diborong oleh ayah dan adik-beradiknya itu. Afeef hanya menggelengkan kepala ketika ayahnya sarat membawa barang-barang keperluan Aqil petang tadi. Bila ditegur kenapa membeli barang terlalu banyak, ayahnya hanya tersenyum. Maklumlah, cucu pertama walaupun bukan dari rahim Iffat. Sedih rasa hatinya bila teringat tentang Iffat.

“Hah..ada berita apa lagi Feef yang kamu nak bagi ni..nasib baik ayah dengan mak kamu ni takda sakit jantung..” jawab Haji Ramlee sambil tersenyum melihat anaknya itu tersengeh-sengeh bila disindir. Hajah Zubaidah sudah menjeling tajam ke arah Afeef yang duduk berhadapan dengannya. Nasi yang ingin disuapkan ke mulut tadi terus terbantut apabila Afeef bersuara.

“Err.. sebenarnya macam ni ma, ayah. Afeef dah nak balik sana Rabu ni. Afeef balik ni pun sebenarnya nak mintak tolong jagakan Aqil. Afeef cuti sekejap aja ma. Sebelum habis study hari tu, Afeef terus sambung kontrak kat tempat kerja Afeef tu. Kontrak habis hujung bulan 10 ni. Habis kontrak tu Afeef terus balik sini semula.” Terang Afeef panjang.

“Oh..mama ingat apalah tadi.” Jawab Hajah Zubaidah yang mula menyambung semula suapan tadi. Haji Ramlee sudah tersenyum melihat wajah panik isterinya.

“Hmm.. Kamu dah bincang dengan Iffat pasal semua ni?” tanya Haji Ramlee pula selepas isterinya bercerita tentang Iffat yang singgah sebentar ke rumahnya untuk mengambil semula kereta. Tambahan pula Afia bercerita tentang perihal mereka berdua ketika di Teluk Batik yang asyik bertengkar.

“Err.. belum.. Iffat macam taknak cakap dengan Afeef aja..” jawab Afeef dengan suara mendatar.

“Ya ke? Bukan kamu ajak dia bertekak aja ke?” balas Haji Ramlee semula dengan menaikkan keningnya sebelah. Hajah Zubaidah hanya tersenyum. Dia tahu perangai Iffat dan Afeef kalau bertemu. Pasti ada saja yang hendak digaduhkan. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah lama tidak bertemu.

“Kamu elok-eloklah cakap dengan dia. Bukannya cakap macam orang nak gaduh. Bukan mama tak tahu kamu tu. Ada saja yang nak digaduhkan dengan Iffat kalau berjumpa kan.. Ni, bila kamu nak pergi jumpa family dia ni? Dah bagitahu ke belum kamu balik sini? Tambah Hajah Zubaidah apabila teringatkan ibubapa Iffat.

“Err.. ingat esok Afeef nak pergi sana.” Balas Afeef sambil tersenyum sumbing apabila di sindir Hajah Zubaidah pula.

“Hmm..baguslah tu. Pandailah kamu cakap dengan dia orang nanti kenapa kamu buat anak dia orang macam tu.” Sambung Haji Ramlee pula.

“Hmm..ye la yah.. nanti Afeef cakaplah dengan dia orang..” balas Afeef lemah. Dalam hatinya terasa sedikit berdebar untuk berhadapan dengan keluarga Iffat.

“Kamu janganlah risau..mama dah call mak mertua kamu. Dia takda nak marah-marah kamu. Abah Iffat pun bukan jenis nak marah-marah tak tentu pasal. Cuma dia orang nak kamu sendiri datang jumpa mereka.” Balas Hajah Zubaidah pula menenangkan Afeef berwajah keruh memikirkan masalah yang dihadapi. “Lagi satu, hal kamu dengan Iffat, mama harap keputusannya nanti bukan meruntuhkan masjid. Mama sayangkan Iffat. Ingat tu.”

Afeef hanya diam mendengar butiran yang keluar dari mulut mamanya. Dalam hatinya mengucap syukur yang tak terhingga mempunyai keluarga yang cukup memahami. Lebih-lebih lagi apabila Aqil diterima baik dalam keluarganya tanpa banyak persoalan dan bantahan. Dia sendiri tak tahu kenapa sepanjang hidup bersama Damia, langsung tidak terfikir akan keluarganya dan Iffat. ‘Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah segala dosa hambaMu yang lemah lagi hina ini Ya Allah’ Afeef merintih sendiri apabila terasa diri gagal menjadi anak yang terbaik kepada kedua orang tuanya, suami yang terbaik kepada Iffat dan menjadi papa yang terbaik buat Aqil Irfan.

“Dah..dah..makan..yang kamu termenung lagi ni kenapa? Makan nasi tu. Penat mama kamu masak lauk kegemaran kamu hari ni.” Kata Haji Ramlee apabila melihat Afeef yang hanya melihat lauk-lauk di hadapannya. Begitu keruh wajah Afeef. Dia juga sebenarnya kesian kepada anak lelakinya itu yang sedang berhadapan dengan masalah. Tambahan pula baru berpisah dengan Damia, menantu yang belum sempat dikenalinya. Dia tahu perihal Damia pun selepas isterinya yang bercerita ketika Afeef membawa wanita itu datang ke rumah 3 tahun lalu untuk dijadikan calon menantu. Ketika itu pula dia tidak ada di rumah.

“Paaappaa..paa..” Afeef yang baru ingin menceduk ikan keli masak cili padi mamanya terbantut apabila melihat Aqil yang berjalan terkedek-kedek datang menghampirinya dan memaut kakinya di bawah meja. Afia dan Afwan pula sudah entah ke mana membiarkan anaknya datang bersendirian ke situ. Dengan air mata yang berjuraian, dalam pelat memanggil papanya dan melekapkan mukanya ke peha Afeef.

“Kenapa ni sayang.” Kata Afeef seraya membasuh tangan dengan air basuh tangan yang telah disediakan oleh mamanya.

“Entah apa yang diusik budak ni. Mana maklong dengan acik?” tegur Haji Ramlee kepada si kecil yang sudah berada dalam pelukan Afeef. Erat si kecil itu memaut leher Afeef seperti takutkan sesuatu.

“Kenapa sayang..” kata mama lembut. Aqil yang masih menangis tersedu-sedu itu menunjuk ke arah Afia dan Afwan yang muncul dengan muka putih melepak.

“Astaghfirullah…” beristighfar Haji Ramlee apabila melihat kedua wanita itu tersenyum sumbing sambil berjalan mendapatkan mereka di meja. Aqil sudah membenamkan wajahnya di bahu Afeef takut melihat wajah kedua makciknya itu. Haji Ramlee mengelengkan kepala melihat perangai kedua anak perempuannya. Macam budak-budak!

“Apa kamu buat ni? Takut budak tu la. Mengingau malam nanti. Pergi cuci muka tu sebelum mama yang cucikan nanti.” Marah Hajah Zubaidah kepada keduanya yang sengaja melumurkan bedak sejuk ke muka. Sengaja ingin menyakat si kecil itu. Afwan dan Afia sudah bergerak ke singki dapur untuk mencuci muka mereka.

“Takda takda sayang. Nanti papa pukul dia yaa..syhh..syhh..dah dah.. takda dah..” sabar Afeef memujuk anak kesayangannya itu. Sungguh dia terlalu menyayangi si kecil yang kurang belaian seorang ibu itu. Dia terlalu berharap agar Iffat juga boleh menerima Aqil sebagaimana keluarganya menerima baik Aqil di rumah itu.

“Alaa.. mana ada. Takda dah. Papa dah pukul dah..” pujuk Afwan pula yang sudah mendapatkan Aqil dalam pelukan Afeef. Aqil yang masih dalam sisa-sisa tangis, mengangkat muka melihat kedua makciknya. Dia menghulurkan tangan kepada Afwan apabila melihat wajah ceria Afwan dan Afia yang tersengih kepadanya. Afeef hanya tersenyum melihat keakraban Aqil dengan adik-beradiknya itu.

…………………….

Teringat akan layanan mesra kedua mertuanya siang tadi. Sayu hatinya tadi apabila melihat mak Iffat memeluknya dan menitiskan air mata apabila sampai di rumah papan itu tadi. Tiada langsung kemarahan yang diterima dari keduanya. Masing-masing menerima dirinya seperti dulu di mana sebelum dia bernikah dengan Iffat lagi. Terasa dirinya berdosa dengan apa yang telah dilakukan terhadap Iffat dan seluruh keluarganya.

“Makanlah Feef apa yang ada. Mak tak tahu Afeef nak datang hari ini. Kalau tak, boleh abah kau cari lauk sedap sikit.” Ramah Puan Hasmidah melayan menantunya itu.

“Ha’ah Feef. Hari tu mama kamu ada telefon kata kamu nak datang. Tapi tak tahu pulak kamu nak datang hari ni. Makanlah apa yang ada Feef.” Kata Encik Abdul Rahman pula melawa.

“Eh, takpa la mak, abah. Dah sedap dah ni. Afeef pun dah lama tak makan macam ni. Duduk sana, mana nak dapat ulam-ulam ni semua.” Balas Afeef mesra seraya tersenyum melihat kemesraan layanan kedua orang tua itu kepadanya walaupun telah menyakiti hati satu-satunya anak perempuan yang mereka ada.

“Yang dah tu, sudahlah Afeef. Cuma lepas ni, abah tak nak kamu berdua bercerai –berai pulak. Cuba selesaikan masalah kamu tu baik-baik. Bawak bincang elok-elok. Iffat tu nampak aja kuat..kasar.. cengeng jugak budak tu.” Pesan Encik Abdul Rahman sebelum Afeef pulang. Afeef hanya tersenyum bila mendengar Encek Abdul Rahim menggelarkan Iffat seorang cengeng atau mudah sangat menangis.

“Bah, yang pasal Aqil tu, rahsiakan dulu ya. Biar Afeef sendiri yang cakap dengan dia. Abang Luth pun dah tau kan.. Nanti abah pesan dengan dia jugak ya bah. Takut kalau Iffat tahu, langsung dia taknak jumpa Afeef lagi. Tolong ya mak.” Rayu Afeef pula kepada kedua orang tua itu agar merahsiakan tentang kewujudan Aqil.

“InsyaAllah.” Jawab kedua orang tua itu hampir serentak. “Feef, mak teringin nak jumpa anak kamu tu Feef.” Tambah Puan Hasmidah lagi yang teruja apabila Hajah Zubaidah menceritakan tentang si comel itu.

“InsyaAllah mak, nanti saya suruh Pia atau Kak Afwan bawak Aqil ke mari.” Balas Afeef mesra. Tenang sedikit hatinya setelah menceritakan perkara yang sebenar kepada kedua orang tua itu. Tinggal masalah dia dan Iffat sahaja yang perlu ditunda lagi kerana tiada lagi masa yang sesuai untuk duduk berbincang dengan wanita itu.

Kebetulan pada hari itu, kedua adik Iffat keluar bersama Luthfi ke pekan. Iffat pula katanya pergi ke majlis perkahwinan rakan sekuliahnya dahulu. Mudah baginya untuk bercerita semuanya kepada kedua orang tua itu. Niatnya tadi ingin memulangkan semula selendang kepunyaan Iffat yang diberi pinjam semalam dan duduk berbincang. Tetapi, seakan-akan tiada ruang untuk dia dan Iffat bersua dan duduk berbincang. Wanita itu pula seperti ingin melarikan diri darinya. Telefon jangan cakaplah. Jangan harap wanita itu hendak menjawab panggilannya.

‘Hish! Menyesal aku aku bagi dia lesen keluar tanpa izin.’ Marah Afeef kepada dirinya sendiri. Dia sendiri yang membenarkan Iffat keluar ke mana sahaja wanita itu hendak pergi dahulu. Sekarang timbul rasa kesal di hati. Lebih-lebih lagi apabila terlalu sukar untuk bersua dengan wanita itu. Lusa dia sudah ingin bertolak ke UK semula. Lagi lima bulan baru berjumpa semula. Wanita itu selepas ini pasti sibuk dengan kerjanya pula.

“Bang, apa yang termenung tu. Sampai kita orang balik pun tak perasan.” Tegur Afia yang baru sahaja keluar dari kereta bersama Afwan dan anaknya. Afeef hanya tersenyum melihat Aqil yang terkedek-kedek berjalan mendapatkannya. ‘Ke mana sahajalah dibawak anak aku ni berjalan.’ Nasib baik juga si kecil itu tidak banyak ragam. Mudah sahaja menerima orang yang baru dikenalinya. Masakan tidak, masa di UK dulu sudah biasa si kecil itu ditinggalkan di rumah jiran. Kebetulan pula jirannya itu tidak mempunyai anak kecil, dan mereka sudi membantu Afeef untuk menjaga si kecil itu jika Damia ke kuliah dan dia ke tempat kerja. Teringat betapa sedihnya keluarga itu apabila mendapat tahu Afeef dan Aqil akan pulang ke Malaysia. Takkan dilupakan jasa keluarga itu yang banyak membantu untuk menjaga Aqil.

“Mana ada termenung.. abang tunggu kau orang baliklah. Dah malam-malam macam ni baru nak balik.” Jawab Afeef sengaja tukar topik lantas mencium wajah anak kesayangannya. “Anak papa pergi mana hari ni?” tanya Afeef pula kepada Aqil yang masih pelat bercakap itu.

“Ni paa..” tujuk Aqil pada alat permainan yang dibeli oleh Afia.

“Permainan lagi.. banyak sangat duit kau dik beli mainan untuk Aqil. Kat dalam tu kan dah banyak. Beli lagi buat apa. Kak Afwan pun sama.” Kata Afeef menegur Afia dan Afwan yang terlalu manjakan anaknya itu dengan alat permainan. Bukan Afia dan Afwan saja, Haji Ramlee juga turut terjebak sama. Afwan yang sedang mengeluarkan barang yang dibeli tadi dari dalam bonet kereta hanya menjelirkan lidah mengejek apabila mendengar kata-kata Afeef. Sejak kecil lagi memang Afeef tidak membiasakan anaknya dengan alat permainan. Dia tidak mahu anaknya itu terlalu leka dan terlebih manja nanti.

“Alaa..abang ni.. bukan selalu pun..” balas Afia sambil mengambil Aqil dalam pelukan papanya untuk dibawa masuk dan mandi. Satu hari suntuk si kecil itu keluar bersama dia dan Afwan. “Come sayang.. banyak cakaplah papa Aqil ni..” omel Afia kepada si kecil yang tidak faham akan apa yang dicakapkan oleh orang dewasa di hadapannya.

“Yela.. manjakan la sangat budak tu.. esok-esok abang takda, jangan nak manjakan sangat.” Tegas suara Afeef memberi amaran kepada dua wanita itu. Afia sudah menayang muncungnya. Dia mahu anaknya itu dari kecil diajar supaya berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain. Biar kuat berusaha sendiri untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

“yela yela.. Baik… Encik Muhammad Afeef Adwan.” Balas Afwan pula sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Malas melayan Afeef apabila adiknya itu yang mula membebel. Peguam memang banyak cakap!

“yela yela.. bukan boleh percaya kau orang berdua ni.” Balas Afeef melihat Afwan yang sudah buat muka kelatnya.

“Kak! Sekejap.” Panggil Afeef pula kakaknya yang sudah separuh badan di dalam rumah. Keluar semula Afwan mendapatkan Afeef.

“Encik Afeef Adwan ada nak tambah hujah lain lagi ke.” Balas Afwan sengaja mengusik Afeef yang tersenyum apabila Afwan menyebut nama penuhnya.

“Apalah akak ni. Ni..boy nak cakap pasal Aqil..” kata Afeef yang masih tersenyum.

“Laa.. apa lagi ni..” Afwan sudah angkat kening ala Ziana Zain dengan Afeef yang tak habis-habis lagi tentang si kecil itu.

“Apa la akak ni.. dengarlah dulu.. Boy tak habis cakap lagi la..” balas Afeef yang mula ketawa dengan muka kelat kakaknya itu.

“Apa dia?” jawab Afwan malas.

“Akak, nanti kalau ada masa, akak bawak Aqil jumpa mak abah Iffat boleh tak?” terang Afeef sambil berdiri dan mengambil separuh barang-barang yang dibawa oleh Afwan.

“Aik! Iffat dah tau ke pasal Aqil?” soalan Afeef dibalas dengan soalan juga.

“Belum.. Susah betul nak jumpa dia kak. Tadi boy datang rumah dia pun, bukannya dia ada.” Rungut Afeef sambil beriringan dengan Afwan masuk ke rumah.

“Hmm..habis tu bila kau nak cakap dengan dia? Nanti kalau dia nampak akak bawak Aqil datang rumah dia tiba-tiba macam mana? Akak nak jawab anak siapa?” balas Afwan yang kesian dengan masalah rumahtangga adiknya itu.

“Hmm.. tu la pasal kak.. Boy tak tahulah dapat jumpa dia ke tak masa terdekat ni. Rasanya macam tak sempat aja. Boy ingat, tunggu Boy balik terus sinilah baru bincang dengan dia elok-elok.” Terang Afeef pula bila merasakan memang tiada ruang untuknya berjumpa dengan Iffat buat masa ni. “Mak abah Iffat nak sangat jumpa Aqil..nanti akak try la mintak tolong Abang Luthfi kekasih hati akak tu..” kata Afeef lagi sambil tersenyum mengusik Afwan. Dia tahu hubungan cinta pasangan itu dari mulut Afia yang terlebih mesra tu.

“Yela yela..yang kau tersengeh macam kerang busuk tu kenapa?” marah Afwan geram apabila Afeef yang sengaja menekan sedikit perkataan ‘kekasih hati’ kepadanya. Membahang mukanya tiba-tiba.

“Eleh..tu pun nak malu. Bakal abang ipar boy juga..” balas Afeef yang sudah berjalan laju meninggalkan Afwan di ruang tamu. Dia tahu Afwan kalau marah, tangannya juga cekap berjalan. Cepat sahaja tangannya mencubit orang.

“Tak padan dah jadi bapak budak!” laung Afwan kepada Afeef yang sudah memanjat tangga untuk naik ke bilik. Terdengar Afeef tergelak-gelak mentertawakannya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 14”
  1. impirika_08 says:

    best la..
    cpt smbg..
    macam mana iffat nnt..
    huhu

  2. kaira says:

    best2….
    cepat sambung…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.