Novel : Biar aku jadi penunggu 15

29 July 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

“Hai guys! Boleh I duduk sini?” sapa Rafaal mesra sambil membawa pinggan yan d sudah berisi lauk-pauk itu.

“Err.. duduklah. Kita orang berdua aja pun.” Balas Isha lembut. Iffat hanya melemparkan segaris senyuman apabila melihat Rafaal sudah duduk di sebelahnya.

“Fat, you okey ke tak ni?” tegur Rafaal apabila Iffat hanya menguis sedikit laksam yang dipesan untuk makan tengah hari itu. Sejak balik dari Teluk Batik hari seminggu lalu, baru hari ini dia terserempak dengan Iffat walaupun mereka bekerja di dalam satu bangunan yang sama.

“Hmm..Okey aja..” balas Iffat lemah.

“Kalau okey, makanlah. Yang main-main dengan garfu tu buat apa.” Kata Rafaal lagi bosan dengan Iffat yang hanya mendiamkan diri dari tadi. Jawab pun macam nak taknak aja. Salahnya juga yang tiba-tiba nak duduk semeja dengan Iffat yang kebetulan makan di restoran yang sama. Isha di hadapannya begitu tekun menikmati nasi kerabu yang menjadi pilihan. Kadang-kadang dia sendiri naik pelik dengan wanita yang seorang itu. Badan tetap maintain tapi kalau bab makan, dialah nombor satu.

“Ke you takda selera sebab I duduk sini?” tanya Rafaal lagi sengaja memancing perhatian Iffat. Namun wanita itu hanya menggelengkan kepala sahaja.

“Eh..taklah Raf. We all, okey aja you makan kat sini. Iffat ni aja, apahal entah. Asyik termenung aja lepas balik dari reunion dia hari tu.” Isha menjawab bila dilihat Iffat masih berkeadaan begitu. Disiku sikit lengan Iffat supaya wanita itu bercakap sesuatu.

“Err.. takda apalah. Aku nak makanlah ni.” Kata Iffat yang pura-pura mula menyudu kuah laksam itu ke dalam mulut. Dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Dia terlalu terkilan dengan Afeef yang langsung tidak memberitahunya akan pulang semula ke UK. Salah dia juga sebab tidak menjawab panggilan telefon lelaki itu beberapa hari lepas. Dia tahu pun Luthfi yang beritahu semalam. ‘Kenapalah lelaki itu suka buat aku tunggu dia?’ Iffat mengeluh dalam hati.

“You kalau ada problem, ceritalah dengan kita orang. Mulut you tu cakap aja takda apa-apa. Tapi muka dah macam apa entah.” Perli Rafaal geram dengan Iffat yang selalu saja berdalih dari bercakap benar. Iffat hanya mendiamkan diri tanpa melayan sepatah pun kata Rafaal. Dia tahu Iffat mesti ada masalah dengan Afeef. Lagi pula mereka sudah lama tidak berjumpa.

Tiba telefon bimbit Iffat berbunyi di atas meja sebelum mereka balik semula ke pejabat masing-masing. Isha yang satu pejabat dengan Rafaal, dari tadi hanya memerhati Rafaal yang begitu asyik memandang Iffat. Timbul cemburu di hati melihat Rafaal yang tidak henti meminati Iffat walaupun tahu wanita itu sudah menjadi milik orang. Jika tidak, kenapa lelaki itu masih belum berkahwin lagi. Jika kerana wang, rasanya Rafaal terlebih mampu untuk menanggung seorang wanita yang bergelar isteri.

“Kau orang naik dululah. Aku nak jawab call dulu.” Kata Iffat tiba-tiba lantas menekan butang hijau. Rafaal dan Isha mula berjalan menuju ke bangunan pejabat 15 tingkat itu. Sempat lagi Rafaal menoleh ke arah Iffat yang begitu serius wajahnya menjawab panggilan telefon.

“Waalaikumussalam ma.” Balas Iffat mesra daripada mamanya. “Alhamdulillah. Iffat sihat aja ma.” Jawab Iffat lagi. “InsyaAllah, kalau takda apa-apa hal, malam ni Iffat datang rumah mama, tidur sana.” Balas Iffat sebelum memutuskan panggilan. Selepas pulang dari Teluk Batik, memang Iffat langsung tidak menjenguk keluarga mertuanya itu kerana tahu Afeef ada di sana. Tetapi, tidak pula dia menyangka yang Afeef akan balik semula ke UK. ‘Apa tujuan sebenar kau ni Afeef buat aku macam ni!’ Iffat merintih sedih dalam hatinya apabila Afeef sekali lagi pergi meninggalkannya. Dia tidak tahu berapa lama yang harus ditunggu lagi. Rasa hati yang membuak-buak ingin mempunyai keluarga bahagia, masih belum tercapai. Tetapi, hati itu degil juga ingin mengharapkan kasih sayang daripada Afeef. Bukan dia tidak tahu Rafaal masih menaruh hati kepadanya dan sanggup menolak hasrat umminya untuk menyatukan Rafaal dengan pilihan keluarga. Tetapi, hatinya tetap tidak boleh menerima kehadiran lelaki itu walaupun Rafaal terlalu mengambil berat akan dirinya sepanjang ketiadaan Afeef dulu.

Iffat akui yang dia juga terlalu mengagung-agungkan egonya dengan sengaja mengelak untuk berbincang bersama Afeef. Abahnya ada memaklumkan tentang kedatangan Afeef pada Ahad lepas yang ingin berbincang dengannya. Tapi dia pula yang tiada pada waktu itu. Terasa ingin menjerit sekuat hatinya apabila mengingatkan kedegilan diri sendiri. ‘Konon saja nak jual mahal, sekali tak laku. Padan muka kau Fat!’ kutuk Iffat sendiri.

“Isha, kenapa Iffat tu? I tengok dia macam tak suka aja cakap dengan I?” Tanya Rafaal ketika beriringan dengan Isha berjalan menuju ke lif.

“Hish takdaIah. I pun sebenarnya takdalah tahu sangat pasal Iffat. Dia jarang nak cerita problem dia dengan I. Cuma hari tu, dia ada cakaplah yang Afeef dah balik UK semula.” Jelas Isha jujur kepada lelaki yang dicintai dalam diam itu. Dia yang masih menaruh harapan kepada Rafaal itu sanggup membujang hingga ke hari ini. Rakan sekampusnya dahulu pun sudah menamatkan zaman bujang. Nurjannah sudah berkahwin dengan Iman dan menetap di Sabah kerana suaminya bertugas di sana. Natrah pula baru melangsungkan perkahwinan seminggu yang lalu. Antara mereka berempat, hanya dia yang masih tidak mempunyai pasangan hidup.

“Oh..ya ke..Hmm..” itu sahaja yang terkeluar dari mulut Rafaal apabila pintu lif sudah terbuka. ‘Kesian Iffat. Malang sungguh nasib kau Fat kahwin dengan lelaki macam tu. Hmm..’ keluh hatinya sendiri apabila melihat penderitaan Iffat sepanjang bergelar isteri.

………………

“Assalamualaikum ma, maa..” panggil Iffat memberi salam di muka pintu rumah dua tingkat itu. Dia melihat ke ruang tamu yang kosong. Baru sahaja dia ingin melangkah ke sudut lain, tiba-tiba dia ternampak si kecil berlari terkedek-kedek ke arahnya, serta-merta memaut erat kakinya dan menyorok di belakang. Iffat terkejut dengan kehadiran si kecil. Tapi diusap juga kepala si kecil yang sedang menyorok di belakangnya itu. ‘SubhanaAllah, anak siapalah yang comel sangat ni’ Iffat tersenyum sendiri melihat si kecil itu memaut erat kakinya. Ada titis peluh di dahi mulus itu.

“Sayang kenapa ni?” tanya Iffat sambil memusingkan badannya mengadap Aqil. Disapu peluh yang merenik di dahi Aqil dengan tapak tangannya.

“Mummyy..” jerit Aqil tiba-tiba dan terus memeluk kejap kedua belah kaki Iffat yang menyukarkan untuk Iffat bergerak lagi. Iffat terkejut dengan jeritan nyaring yang keluar dari mulut si comel itu. Entah apa yang ditakutkan sampai memanggilnya mummy. ‘Dah bunyi macam mak tiri pun ada’ desis hatinya sambil tersenyum melihat si comel yang memeluknya.

“Kak Hamani..” sapa satu suara. Iffat menoleh dan melihat Afia dengan muka yang berlumur bedak sejuk. Aqil masih belum melepaskan pelukan di kaki Iffat. Afia yang sedikit terkejut dengan kedatangan Iffat beristighfar di dalam hati. ‘KakHamani dah tau ke pasal Aqil ni?’ gumam Afia sendiri apabila melihat Iffat persis seorang ibu yang sedang memujuk si anak yang sedang menangis.

“Pia, kenapa muka macam tu. Takut budak ni.” Balas Iffat sambil cuba melepaskan pelukan kejap Aqil di kakinya. Si comel itu sudah menangis teresak-esak apabila Iffat cuba meleraikan pegangan tangan itu. Melihat si comel yang sudah menangis, Iffat terus mendukung Aqil dalam pelukannya. Aqil pula terus memeluk erat leher Iffat seakan-akan tidak mahu dilepaskan lagi. “Syyhh..dah sayang dah..” kata Iffat seraya menepuk sedikit belakang badan Aqil untuk menenangkannya. Dalam kepalanya tertanya-tanya siapa si comel itu dan kenapa dia boleh berada di rumah mertuanya. Afia hanya memandang apabila melihat Aqil sudah berada dalam pelukan Iffat.

“Pia, pergi basuh muka tu la.. takut budak ni..” suruh Iffat apabila Aqil langsung tidak mahu memandang ke arah Afia. “Dah sayang..dia dah takda dah..” pujuk Iffat lagi.

“Err.. hehe..” Iffat mengukir senyuman yang dibuat-buat untuk membuang rasa terkejutnya tadi dan terus menapak ke dapur untuk mencuci bedak sejuk yang ditampal ke muka.

“Iffat.. bila sampai. Mama tak dengar pun bunyi kereta Iffat.” Tegur Hajah Zubaidah yang baru turun diekori Haji Ramlee dibelakangnya.

“Baru aja ma.” Balas Iffat sambil menyalami kedua orang tua itu.

“Kenapa Aqil ni?” tanya Haji Ramlee pula sambil ingin menarik Aqil daripada dukungan Iffat. Tetapi si kecil itu tetap memaut erat leher Iffat. “Meh sini dekat atuk.” Kata Haji Ramlee sambil menghulurkan tangannya kepada Aqil. Si kecil itu langsung tidak memandang. Haji Ramlee hanya tersenyum senang melihat Aqil di dalam pelukan Iffat. ‘Macam anak dia sendiri dah ni’ desis hati Haji Ramlee.

‘Atuk?’ Tambah kusut kepala Iffat apabila mendengar Haji Ramlee menggelarkan dirinya atuk kepada si kecil itu. Sedikit berubah wajahnya apabila mendengar gelaran ‘atuk’ itu.

“Ni mesti kerja Pia la ni. Tadi dia dengan Pia.” Jawab Hajah Zubaidah sambil mencari kelibat Afia.

“Ala.. Pia pakai bedak sejuk aja, Aqil dah lari..” balas Afia yang baru muncul dari dapur selepas membersihkan mukanya.

“Kamu ni tak habis-habis nak menyakat dia kenapa?” tegas suara Haji Ramlee menegur Afia yang sudah tersengeh itu.

“Ala.. nak main-main aja..” jawab Afia perlahan sambil melabuhkan punggung di sebelah Iffat yang masih memeluk Aqil.

“Banyaklah kamu punya main. Kamu ingat Aqil tu dah besar ke?” tambah Hajah Zubaidah sambil menggelengkan kepala.

Iffat hanya tersenyum tawar mendengar kata-kata kedua orang tua itu menegur Afia. Dalam kepalanya sudah sesak dengan persoalan status si comel itu di sisi keluarga mertuanya. Minggu lalu, selepas menghantar Afeef, tidak pula dia melihat kelibat si comel itu.

“Iffat dah makan? Jom makan sekali. Ayah dengan mama baru nak makan.” Kata Haji Ramlee pula lantas bangun untuk ke meja makan. “Pia, ambik Aqil tu, biar Iffat makan dulu.” Suruh Haji Ramlee apabila melihat Aqil yang mula berhenti menangis melentokkan kepalanya di bahu Iffat.

“Iffat kenyang lagi yah..” balas Iffat mesra sambil mengelus lembut rambut Aqil.

“Jom Iffat. Mama dengan ayah ada hal nak cakap sikit dengan Iffat ni. Kalau Iffat tak nak makan, takpa. Teman aja mama dengan ayah makan.” Kata Hajah Zubaidah lagi sambil mengekori langkah Haji Ramlee. Makanan telah Hajah Zubaidah sediakan sebelum mereka menunaikan sembahyang isya’ tadi.

“Yela ma..” balas Iffat mesra seraya ingin melepaskan tangan Aqil yang memeluk lehernya dan diberi kepada Afia di sebelah. Afia juga cuba menarik Aqil supaya melepaskan Iffat. Tapi anak kecil itu tiba-tiba sekali menjerit kuat memanggilnya mummy.

“Maa, Aqil tak nak la maa..” kata Afia mengadu kepada Hajah Zubaidah apabila si kecil itu menjerit tidak mahu kepadanya.

“Err..biarlah Pia, takpa takpa. Biar ajalah..akak bukan nak makan pun..” balas Iffat pula sambil mengusap Aqil yang mula hendak menangis itu. Iffat melangkah ke meja makan dan Aqil erat dalam pelukannya.

“Kamu tu suka sangat sakat dia.” Kata Haji Ramlee pula. Hajah Zubaidah sudah menyendukkan nasi ke dalam pinggan di hadapan Iffat. Afia sudah menayang giginya yang tersusun cantik sambil memanjat tangga untuk masuk ke bilik.

“Takpa ma, takpa. Iffat kenyang lagi.” Tolak Iffat lembut.

“Ala.. makanlah sikit. Mama tengok badan kamu tu dah makin kurus sekarang.” Balas Hajah Zubaidah mesra menyuruh Iffat makan. Dia risau melihat keadaan Iffat yang semakin kurus itu.

“Bagi sini Aqil tu biar pegang. Iffat makan dulu.” Tambah Hajah Zubaidah lagi dan menarik sedikit tangan Aqil dari pelukan Iffat. Sekali lagi si kecil itu menjerit memanggilnya mummy. Iffat hanya tersenyum apabila mendengar mulut si kecil memanggilnya mummy buat kali yang ketiga pada malam itu. Barangkali dia merindui ibunya. Desis hati Iffat.

“Biarlah maa..kalau dia tak nak. Menangis lagi pulak nanti. Takpa, Iffat boleh pegang.” Balas Iffat sambil memangku Aqil yang mula melentokkan kepalanya di dada Iffat. Haji Ramlee dan Hajah Zubaidah sudah berpandangan antara satu sama lain.

“Haa.. yela.. makanlah dulu Fat. Lepas makan nantilah mama dengan ayah cerita.” Kata Hajah Zubaidah seraya menyendukkan pula lauk ke pinggan Iffat.

“Yela maa..” jawab Iffat pendek. Dalam hatinya sudah tertanya-tanya apakah yang ingin disampaikan oleh kedua orang tua itu sampai beriya-iya mengajaknya bermalam di situ. Persoalan tentang si kecil itu masih belum terjawab, ditambah pula dengan soal lain yang masih menjadi tanda tanya di benaknya. Si kecil dalam pangkuannya itu pula telah menimbulkan rasa indah di hatinya. Seakan-akan Aqil itu anaknya sendiri. Lebih-lebih lagi apabila Aqil memanggilnya mummy tadi. Menggebu rasa keibuan dalam hatinya. Sungguh dia terlalu inginkan zuriat yang lahir daripada rahimnya sendiri.

Makan malam mereka sunyi tanpa kata dari kedua mertuanya itu. Hanya terdengar suara Iffat yang bergurau dengan Aqil sehingga mengekek si kecil itu ketawa.

………………….

Hatinya sedikit tenang selepas melakukan solat tahajud sebentar tadi. Dia tidak tahu untuk bereaksi apa di hadapan kedua mertuanya tadi apabila mendengar semua perihal Afeef. Cuma hatinya bergetar hebat tatkala mendengar nama Damia dan status Aqil di dalam rumah itu. Apa maknanya semua ini? Apa tujuan sebenar Afeef mengahwini dirinya dulu? Satu persatu persoalan bermain di benaknya. Tiba-tiba dirasakan ada air panas menuruni pipinya. Serta merta dirasakan dirinya sangat lemah apabila memikirkan masa yang terluang selama ketiadaan Afeef, berlalu dengan sia-sia. Tetapi lelaki itu pula hidup bahagia di sana bersama Damia. Terasa persahabatan dan kepercayaan yang diberi selama ini diinjak lumat oleh Afeef.

Dia teringat pada suatu pertemuan yang tidak disengajakan sewaktu menghantar Afeef dahulu. Dia terjumpa sahabat baik Damia di airport itu. Teringat kata-kata wanita itu yang menghantar Damia yang ingin melanjutkan pelajaran. Tidak disangka pula Damia dan Afeef satu destinasi. Menitis lagi air matanya apabila merasakan semudah itu dia diperbodohkan oleh Afeef. Mulut lelaki itu pernah mengaku tentang hubungannya dengan Damia sudah berakhir. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Dia juga tidak menyangka pertemuan yang tidak disengajakan dulu merupakan satu petanda yang Allah beri kepadanya. Tapi apakan daya, hatinya waktu itu buta dengan segala janji yang ditabur oleh Afeef kepadanya.

Dipandang sekilas wajah Aqil yang lena disisi, semakin laju air matanya turun apabila teringatkan Afeef. Dari tadi anak kecil itu tidak mahu berenggang dengannya. Apabila Afia datang untuk mengambilnya, mula si kecil itu menjerit dan menolak tangan Afia yang ingin mengangkatnya. Begitu juga dengan Afwan yang baru balik dari berkursus. Langsung tidak dipandangnya. Padahal, sebelum itu Aqil begitu rapat dengan mereka semua. Entah apa yang dilihat pada Iffat sehingga sekecil itu tidak mahu berenggang darinya. Akhirnya terpaksa juga dibawa Aqil tidur bersama.

Baru kini dirasakan sesak di dadanya apabila memikirkan apa yang telah dilakukan oleh Afeef selama ini. Terasa dirinya begitu bodoh melayan hatinya yang degil dan masih mengharapkan kasih Afeef saban hari. Dicium wajah mulus yang sedang lena itu lama. Dia tahu anak kecil itu tidak bersalah dan masih tidak memahami apa yang telah berlaku. Tiada sebab untuk dia menolak kehadiran si kecil itu dalam hidupnya. Tapi, timbul pula rasa tidak layak untuk menggantikan tempat Damia itu. Anak itu lebih memerlukan kasih sayang ibu yang melahirkannya dan bukan ibu tiri sepertinya. Rasa kecewa kepada Afeef dirasakan terlalu menggunung kerana penantiannya selama ini hanyalah harapan kosong semata. Betullah pepatah menyatakan bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kalau dulu dia menerima Afeef adalah semata-mata atas tiket sahabat dan kepercayaan yang diberi. Tapi hari ini, semuanya dirasakan musnah sama sekali. Terasa asing Afeef dihatinya. Kalau dulu diletakkan Afeef kukuh di hatinya, tapi hari ini dirasakan bayang Afeef semakin kabur dan seakan-akan hampir hilang.

Teringat harapan yang diletak kepadanya oleh kedua ibubapa Afeef. Mereka mengaharapkan hubungan antara dia dan Iffat tidak akan diakhiri dengan perpisahan. Terlalu besar permintaan yang diletak kepadanya. Dia tidak tahu keputusan apa yang perlu diberikan kepada kedua orang tua itu. Masalah antara dia dan Afeef belum lagi sempat dibincangkan, kini Afeef sendiri yang menambah perisa dalam masalah tersebut menjadikan ianya semakin rumit.

Hatinya kini berbelah-bahagi antara ingin meneruskan sahaja hubungan mereka ini atau penceraian sahaja jalan yang terbaik. Selagi boleh otaknya cuba untuk mencerna semua berita yang menerjah masuk ke gegendang telinganya. Haruskah dia menunggu lagi kepulangan Afeef untuk buat kali kedua. Entah apa pula lagi berita yang bakal dibawanya nanti memandangkan Damia juga masih di sana. Hmm.. keluh Iffat sendirian. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Diusap pelahan kepala si kecil yang lena itu. Nasib si kecil kurang kasih sayang seseorang yang bergelar ibu sejak dilahirkan. Iffat akui yang dia telah jatuh kasih kepada Aqil apabila si kecil itu berlari mendapatkannya ketika dia melangkah masuk rumah itu. Tambahan pula, si kecil itu memanggilnya dengan gelaran mummy. Tidak pernah dirasakan betapa indahnya perasaan apabila mendengar panggilan itu dari mulut Aqil Irfan. Ketenangan dan semangat yang belum pernah dirasai selama ini. Memang dia terlalu mengharapkan kehadiran si kecil dalam hidupnya yang lahir dari rahimnya sendiri. Tetapi, dirasakan harapan itu semakin sukar digapai.

Tidak lagi mahu mengenang akan masalah yang dihadapi, Iffat bingkas untuk mengambil wuduk. Tekad hatinya untuk memohon ketenangan dan petunjuk bagi masa depan rumahtangganya. Dia tidak lagi mahu mengharap sesuatu yang tidak pasti. Dia sudah terlalu letih untuk menghadapinya sekali lagi.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 15”
  1. impirika_08 says:

    huhu..
    bestnya..
    cpt sambung…
    iffat dah tahu segala2nya..
    afeef cpt balik..

  2. iela says:

    harap2 aqil….nangis dan merindui kala iffat tiada….dan itu akan menyatukan iffat dan afeef.
    hehe pandai2 je aku ni…
    sambung g k…
    iela tunggu…

  3. ananashiha says:

    sedihnya…aku terasa macm aku lak yg jadi iffat…teruk sgt dpt laki mcm tu…aku sedih….huwaa..teruskan menulis…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.