Novel : Biar aku jadi penunggu 16

7 August 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

Hampir dua bulan Iffat tidak menjejakkan kaki ke rumah mertuanya. Dihatinya masih ada rasa terkilan akan cerita yang didengar daripada keluarga mertuanya itu. Tetapi ada pula satu perasaan yang begitu menyesakkan dadanya apabila teringat akan si kecil Aqil Irfan. Dua malam di rumah mertuanya sebulan lalu, dua malam itu jugalah Aqil tidak berenggang dengannya. Ke mana sahaja Aqil akan mengekorinya. Sehinggakan ingin mandi pun sekecil itu sanggup menuggunya di hadapan pintu. Nasib baik juga si kecil itu tidak banyak ragam. Dia rindukan si kecil itu. Ada sekali dua dia terdengar suara Aqil Irfan menangis di telefon apabila Hajah Zubaidah dan Afia menghubunginya.

Hajah Zubaidah dan Afia pula sejak akhir-akhir itu kerap menghubungi menyuruhnya datang ke rumah. Iffat risau akan setiap pertanyaan yang ditanya oleh ahli keluarga Afeef tentang keputusan sama ada ingin meneruskan atau perpisahan sahaja yang terbaik bagi rumahtangganya. Afeef pula langsung tidak menghubunginya sepanjang berada di sana. Tetapi dia tahu yang lelaki itu akan pulang pada bulan puasa nanti. Ada masa 3 bulan lagi untuk Iffat memikirkan sebaik-baiknya hala tuju perhubungan mereka.

“Ehemm..Assalamualaikum Kak Iffat..” Suara Rozita rakan sepejabatnya menegur Iffat yang begitu khusyuk mengadap skrin komputer sehingga berkali-kali wanita itu memberi salam sebelum melangkah masuk ke bilik Iffat yang terbuka itu. “Kak..buat apa ni? Naik tembus Ita tengok akak pandang skrin tu..berangan eh..??” usik Rozita apabila melihat Iffat yang sedikit menggelabah dan cuba menutup malunya dengan membetulkan tudung yang dipakai. Rozita sudah tergelak-gelak melihat muka Iffat yang merah.

“Apalah akak ni. Tadi kata banyak kerja. Ni boleh siap nak berangan lagi. Orang bagi salam banyak kali pun sampai tak dengar.” tambah Rozita dengan baki tawanya.

“Mana ada..pandai-pandai aja kau Ita. Kan akak sibuk ni.” Balas Iffat yang mula buat-buat sibuk menggerakkan tetikus ditangannya.

“Whatever lah kak. Tak nak mengaku la tu. Hehe..” jawab Rozita seraya menampar pelahan bahu Iffat.

“Yela yela. Malaslah aku nak layan kau ni..haa.. ni kau datang sini, kau dah takda kerja ke?” balas Iffat selamba sambil menyambung semula kerjanya yang tergendala.

“Eh, banyak lagi belum siap. Ita datang ni nak bagitahu, ada orang nak jumpa akak kat depan sana.” Terang Rozita kepada tujuan asal dia datang berjumpa dengan Iffat.

“Ha? Siapa pulak yang datang dekat habis waktu pejabat ni?” tanya Iffat semula.

“Ala..lupa pulak nak tanya. Tadi Ita lalu depan tu, kebetulan nampak dia masuk. Tak sempat tanya nama, tapi dia kata nak jumpa akak lah. Perempuan tu macam dah sebaya mak akak aja. Nampak macam orang kaya aja kak. Bergaya aja makcik tu Ita tengok. Akak pergilah tengok dulu. Okeylah kak. Ita keluar dulu la.” Terang Rozita panjang tentang kehadiran Hajah Zubaidah ke pejabatnya petang itu sebelum menapak keluar.

“Mama..” tegur Iffat perlahan apabila melihat Hajah Zubaidah yang duduk membelakanginya di ruang menunggu itu.

“Iffat..” Hajah Zubaidah terus mendapatkan Iffat dan memeluk tubuh kurus itu.

“Maa, kenapa ni? Mama okey ke?” tanya Iffat cemas seraya meleraikan pelukan.

“Mama okey,..Iffat tu, lama sangat tak datang rumah mama. Iffat marahkan kami ke?” balas Hajah Zubaidah lirih.

“Err..tak la ma..Iffat tak marahkan mama. Yang lain-lain pun tak. Err..Iffat busy sikit ma..” dalih Iffat tidak mahu mengguris hati orang tua itu sekiranya dia menerangkan perkara yang sebenar.

“Takkanlah sampai tak sempat langsung singgah rumah mama..” jawab Hajah Zubaidah yang sudah melabuhkan punggung di kerusi bilik Iffat.

“Err.. bukan macam tu maa..Iffat..” tergagap Iffat mencari perkataan sesuai untuk beralasan. Akhirnya terzahir keluhan daripada bibir comel itu.

“Hmm..takpalah Iffat. Mama tau, anak bertuah mama tu yang buat Iffat jadi macam ni. Tapi.. walaupun Iffat marah Afeef, takkanlah sampai Iffat nak buang kami sekali..” sayu suara Hajah Zubaidah meluah rasa hati. Iffat yang duduk dihadapannya sudah bergerak ke arah Hajah Zubaidah dan memeluk wanita itu. Sungguh hatinya sayu mendengar apa yang keluar dari mulut Hajah Zubaidah yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri.

“Maa..bukan macam tu maa.. Maafkan Iffat maa..Iffat tak terniat pun nak buat mama macam tu.. Cuma, bagilah Iffat masa maa..Iffat..” Menitis juga air matanya menerangkan perkara sebenar. Hajah Zubaidah sudah mula teresak mendengar kata-kata Iffat. Dipeluk erat wanita itu. Sungguh dia sayang wanita itu seperti anaknya sendiri.

“Iffat.. mama datang sini sebenarnya nak suruh Iffat singgah rumah mama. Sekejap pun jadilah. Iffat datang tengok Aqil. Dia dah dekat dua minggu demam tak baik-baik. Puas dah pergi klinik. Mama dah tak tahu nak buat apa. Mungkin dia rindukan Afeef. Tapi apa mama boleh buat Fat. Makan pun dah kurang. Makin susut dah badan dia. Meragam aja dia Fat. ” Terang Hajah Zubaidah selepas keduanya tenang semula.

“Demam? Err..Apa Iffat boleh buat maa?” tanya Iffat semula. Kerisauan sudah mula bercambah dalam hatinya. Bila teringatkan si kecil itu, hatinya selalu tidak tenang. Tipu kalau dia kata, dia tidak teringatkan Aqil. Sungguh dia mula merindui si kecil itu semenjak dua malam tidur bersama. Telatah si kecil itu saban hari bermain di benaknya. Sehinggakan sedang mandi pun dia membayangkan Aqil menunggunya di hadapan pintu. Sampai hari ini dia tidak mengerti kenapa Aqil begitu mudah rapat dengannya dan memanggilnya mummy tanpa ada paksaan daripada sesiapa.

“Iffat datang ajalah tengok dia. Mana tahu dia nak dengan Iffat. Hari tu pun, lepas Iffat balik, bangun aja dari tidur, sibuk dia cari Iffat. Lepas tu, dia asyik demam aja. Elok dua tiga hari, lepas tu demam semula. Kali ni mama risau. Lama sangat pulak demam. Tu yang mama datang jugak cari Iffat.” Pujuk Hajah Zubaidah tidak berputus asa demi kesihatan si kecil. Dia tahu tiada jaminan si kecil itu cepat sembuh andai Iffat datang. Dia sekadar mencuba. Mengharapkan Afeef yang jauh, tiada apa yang boleh dilakukan memandangkan lelaki itu terpaksa menghabiskan kontraknya dulu yang berbaki tiga bulan saja lagi.

“Hmm..yela ma. InsyaAllah.” Balas Iffat ringkas. Dalam hatinya sudah menggebu rasa rindu akan si kecil. Ditambah pula dengan berita tentang keadaan si kecil yang tidak sihat, menambahkan lagi rasa sayang kepada Aqil.

“Iffat singgah sebelum balik nanti ya?” Tak pun, malam ni tidur aja rumah mama. Esok pun Iffat tak kerja kan?” Hajah Zubaidah terus-terusan memujuk tanpa jemu.

“Hmm..macam ni la ma. Malam nantilah Iffat datang rumah mama. Tapi Iffat tak janji tidur sana tau. Bolehkan ma?” balas Iffat yang masih juga cuba beralasan daripada bermalam di rumah mertuanya.

“Hmm.. yela. Tak kisah la. Janji Iffat datang tengok Aqil pun dah cukup baik.” Hajah Zubaidah sudah mula tersenyum apabila Iffat sudah bersetuju untuk datang ke rumahnya. Iffat hanya membalas dengan segaris senyuman yang cuba dimaniskan buat wanita di hadapannya itu. Tidak sampai untuk dia menghampkan harapan wanita dihadapannya itu.

“Iffat, ni mama balik dulu ya. Kesian ayah tunggu mama lama dalam kereta. Pia yang tunggu Aqil kat rumah tu.” Sambung Hajah Zubaidah ceria. “Jangan tak datang tau. Mama tunggu. Nanti mama nak masak sedap-sedap untuk Iffat.”

“Ala..mama..tak payahlah susah-susah ma. Iffat makan semua yang mama masak.” Balas Iffat mesra. Dalam hatinya mengucap syukur akan kurniaan Allah kepadanya seorang wanita yang begitu menyayanginya walaupun tiada pertalian darah. Cuma ikatan antara dia dan Afeef yang menyebabkan terjalin suatu ikatan bersama wanita itu. “Iya ma. InsyaAllah Iffat datang nanti.” Hajah Zubaidah sudah tersenyum lebar. Selepas bersalaman dengan Iffat, Hajah Zubaidah meelangkah keluar.

“Jangan lupa datang!” Sempat lagi Hajah Zubaidah mengingatkannya sebelum menutup pintu utama pejabatnya.

…………………….

“Ma, tak nampak pun Aqil dari tadi?” tanya Iffat ketika membantu Hajah Zubaidah memcuci pinggan selepas makan. Haji Ramlee sudah kembali ke biliknya. Waktu makan tadi pun, kelibat Afia tidak kelihatan. Afwan pula masih belum pulang dari kerja. Sibuk sungguh bakal kakak iparnya itu bekerja. Katanya nak kumpul duit buat belanja kahwin. Erk? Bukan pengantin lelaki ke yang kena banyak keluar belanja? Iffat tersenyum sendiri apabila teringatkan hubungan abangnya dan Afwan akhirnya bakal ditamatkan di jinjang pelamin. Tiada pula bantahan dari pihak ibubapanya memandangkan status Afwan yang bukan lagi wanita bujang terang tang-tang sepertinya. Cuma yang berbeza adalah Iffat masih ‘bujang’ walaupun sudah berkahwin.

“Dia tidur kat bilik Pia tadi. Hari ni, asyik menangis aja. Nasib baik jugak hari ni Pia cuti. Kalau tak, tahulah mama nak buat apa.” Jelas Hajah Zubaidah yang risau akan cucunya yang seorang itu.

“Oh ya ke.” Balas Iffat pendek. Dalam hati sudah tidak sabar ingin mendengar suara si kecil itu memanggilnya mummy. Dia ingin sekali merasai betapa indahnya perasaan tatkala kalimat itu disebutkan. Selesai mengelap pinggan dan cawan yang telah dicuci serta diletakkan di rak yang disediakan, Iffat meminta diri untuk menjenguk Aqil di bilik Afia. “Ma, Iffat tengok Aqil dulu ya ma.”

“Ha..ye la.” Balas Hajah Zubaidah dengan senyuman. Terlalu dia menyayangi Iffat dan selagi boleh dia akan membantu agar menantunya itu kekal sebagai satu-satunya menantu wanita dalam rumah itu.

Belum pun sempat Iffat memanjat tangga, Afia dah sudah terkocoh-kocoh turun dengan mendukung Aqil.

“Kak Hamani, badan Aqil panas la kak. Jom kita bawak pergi klinik.” Kata Afia cemas yang sudah siap bertudung itu.

“Hah?” spontan Iffat merasa tubuh si kecil yang sedang merengek itu. Tidak berasa selesa agaknya yang menyebabkan anak kecil sentiasa meragam.

“Panas sangat ni. Kenapa dari tadi Pia tak bawak turun.” Tegur Iffat yang sudah mengambil Aqil dalam dukungan Afia.

“Tadi tak panas kak. Tiba-tiba aja..” balas Afia perlahan. Sedikit terasa dengan teguran Iffat yang sedikit tegas.

“La..kenapa bising-bising mama dengar ni?” sampuk Hajah Zubaidah yang muncul dari dapur.

“Ni badan Aqil panas ma. Nak bawak dia terus ke hospitallah ma.” Jawab Iffat sambil mengusap-usap kepala Aqil yang melentok di bahunya.

“Ya ke?..Panas sangat ni. Dah..dah.. cepat bawaklah.” Kata Hajah Zubaidah pula selepas meletakkan tangannya di dahi Aqil. “Nanti mama panggil ayah sekejap.” Kata Hajah Zubaidah seraya mula memanjat tangga.

“Ma, tak payah la panggil ayah. Iffat bawak dengan kereta Iffat ajalah. Jom Pia.” Ajak Iffat cepat seraya menyuruh Afia mengambil beg tangannya di solfa. Nasib baik juga dia belum membuka tudung kepalanya sejak sampai tadi. Jika tidak, terpaksa pula menunggu dia bersiap.

“Ha.. ye la. Pia, bawak elok-elok.” Pesan Hajah Zubaidah yang berhenti di tengah tangga. “Nanti mama datang dengan ayah.”

“Ma, mama tak payahlah datang. Nanti apa-apa hal Pia call aja.” Jawab Afia pula sebelum melangkah keluar.

“Ha’ah ma. Dah lewat pun ni ma. Takpalah biar Iffat dengan Pai aja yang pergi dulu. Apa-apa hal nanti, Iffat call.” Tambah Iffat sebelum masuk ke dalam kereta.

“Ha.. yela.. jangan lupa call mama nanti.” Pesan Hajah Zubaidah lagi yang sudah berdiri di muka pintu melihat kedua wanita itu masuk ke dalam kereta.

………………….

Hampir seminggu Iffat bercuti semata-mata ingin menjaga Aqil dan seminggu itu jugalah dia tidur makan di rumah mertuanya. Dua malam dia tidur di hospital apabila Aqil ditahan di wad kerana suhu badannya terlalu tinggi dan boleh membahayakan kesihatan Aqil terutamanya di bahagian otak yang boleh menyebabkan si kecil itu mengalami gangguan dalam tumbesarannya serta akan memberi kesan kepada perkembangannya kelak. Iffat pula dengan rela hati menawarkan diri untuk menjaga Aqil di hospital. Terlalu dia menyayangi Aqil walaupun si kecil itu bukan dari rahimnya. Sudah tidak dipedulikan lagi itu semua. Baginya, dia ingin melihat anak kecil itu membesar dengan sihat.

“Mummy..cuu..” tegur Aqil dengan pelatnya sambil menarik baju hujung baju kurung yang dipakainya sambil menghulurkan botol susu kosong. Tahulah dia si kecil itu mahukan susu. Iffat yang sedang mencuci sayur bayam untuk dimasak makan tengah hari itu terhenti apabila terasa bajunya ditarik. Sejak keluar dari hospital, Aqil sudah mula menunjukkan perubahan. Sudah mahu mula makan dan bermain seperti biasa.

“Sayang mummy nak susu ya..” jawab Iffat seraya mencium pipi mulus dihadapannya itu. Aqil hanya tersengeh bila Iffat menciumnya. Malah membalas ciuman itu ke pipi Iffat pula apabila Iffat menyuakan pipinya. Apalah yang si kecil itu mengerti. Dia hanya mengikut sahaja apabila disuruh.

Hajah Zubaidah sudah tersenyum lebar melihat kemesraan yang terjalin antara Iffat dan Aqil. Jelas dengan mata tuanya yang Iffat memang amat menyayangi Aqil. Jika tidak, masakan wanita itu sanggup bercuti semata-mata untuk menjaga Aqil. Aqil pula seakan sudah tidak mahu berenggang dengan Iffat. Ke mana sahaja Iffat pergi pasti diekori. Jika bersolat pun Aqil akan turut sama mengikut perbuatan Iffat. Iffat yang sengaja membentangkan sebuah lagi sejadah di sebelah supaya Aqil tidak mengganggunya yang sedang bersolat. Nyata anak kecil itu memang cukup baik apabila tidak langsung mengganggunya. Tidak seperti kanak-kanak yang sebaya umur dengannya.

“Meh sini nenek buatkan?” Hajah Zubaidah datang merapati dan menghulurkan tangannya untuk mengambil botol susu daripada tangan Aqil. Sepantas itu Aqil memeluk Iffat dan terus botol susu ditangannya disorok ke belakang Iffat. Pantas kepalanya menggeleng. “No…mummy..” omel mulut si kecil. Hajah Zubaidah sudah tergelak-gelak melihat Aqil. Dia sengaja mengusik si kecil itu kerana lama rasanya tidak mendengar suara Aqil. Iffat pun sudah tergelak sama melihat Aqil menolak tangan Hajah Zubaidah yang ingin mengambil botol susu dari tangannya.

“Alaa…Aqil sayang mummy dia aja. Dah tak love nenek ya?” Hajah Zubaidah sudah membuat suara ala-ala merajuk. Sengaja ingin menguji si keci. Aqil sudah tersenyum bila Hajah Zubaidah berlakon menangis.

“Haa..kan nenek dah nangis. Love her sayang..” arah Iffat menyuruh Aqil mencium Hajah Zubaidah. Aqil yang tersenyum itu terus mendapatkan Hajah Zubaidah dan mencium kedua belah pipi yang disuakan kepadanya. Aqil seperti sudah memahami apabila menyebut perkataan love, pastinya dia akan menghadiahkan ciuman.

“Good boy mummy ni.” Kata Iffat selepas Aqil kembali memeluknya semula. “Okey, give the bottle.” Hajah Zubaidah sudah tersenyum bahagia melihat kemesraan yang terjalin antara keduanya. Sungguh dia tidak menyangka Iffat dapat menerima baik si kecil itu. Malah sabar melayani segala kerenah Aqil yang semakin manja dengannya. Aqil pula kelihatan begitu serasi dengan Iffat. Jika sebelum ini Aqil tidur bersama dia dan Haji Ramlee, tapi tidak lagi semenjak Iffat bermalam di rumah itu. Keluarga Iffat juga menerima baik kehadiran Aqil apabila pernah sekali dibawa untuk berjumpa dengan Puan Hasmidah dan Encik Abdul Rahman yang teringin berjumpa dengan si kecil itu. Rasa syukur dipanjatkan kepada yang maha Esa apabila melihat kebahagiaan di hadapannya. Cuma satu lagi harapannya yang belum tercapai iaitu ingin melihat kebahagiaan Iffat bersama satu-satunya anak lelaki yang dia ada, Afeef Adwan. Sungguh dia teringin melihat penyatuan antara Afeef dan Iffat dalam erti kata yang sebenar.

“Mama..mama..” jerit Afia yang baru turun dari biliknya mendapatkan Iffat dan Hajah Zubaidah di dapur.

“Kamu ni kenapa jerit-jerit ni Pia. Macamlah mama nun jauh berbatu.” Tegur Hajah Zubaidah akan perihal Afia yang gemar sungguh menjerit walaupun hanya cukup untuk didengari seisi rumah itu sahaja.

Afia sudah menayang giginya yang tersusun cantik apabila ditegur Hajah Zubaidah. “Mama..abang kata dia balik hujung bulan ni ma..”

“Ha? Bila masa pulak dia cakap dengan Pia?” tanya Hajah Zubaidah akan berita yang dibawa oleh Afia. Iffat yang sedang menuang air suam masuk ke dalam botol susu, terkejut dengan berita yang dibawa oleh Afia sehingga terlepas botol susu ditangannya. Tertumpah segala isi botol yang baru separuh penuh itu memenuhi ruang kabinet dapur.

“Dia baru hantar email kat Pia tadi.” Jawab Afia sambil membuka peti sejuk dan mencapai sekeping coklat kegemarannya. “Kak, okey ke?” tanya Afia lantas mencapai botol susu yang bergolek hampir jatuh ke lantai sebelum menyerahkannya semula kepada Iffat. Hajah Zubaidah yang sedang membersihkan sotong di sinki menoleh ke arah Iffat. Iffat yang kelihatan sedikit menggelabah itu mencapai kain lap untuk membersihkan air susu yang tertumpah tadi.

“Err..akak okey.. tak perasan tangan akak basah. Sampai terlepas botol susu tu.” jelas Iffat ragu-ragu. Rasa tak logik pun ada juga dia beralasan. Takkan pula tanggannya tidak mampu memegang botol yang bukannya berat berkilo-kilo itu. Padahal, dia terkejut apabila mendengar berita yang Afeef akan pulang. Dikatakan Afeef akan balik hujung bulan ini, maknanya dalam masa dua minggu lagi. Tiba-tiba dirasakan sempit nafasnya apabila memikirkan kepulangan Afeef dalam waktu terdekat itu. Mujur aja air yang dituang tadi suam. Kalau air panas, mahu melecurnya tangannya.

Hajah Zubaidah sudah memandang pelik menantunya itu. Dia tahu Iffat terkejut mendengar kata-kata Afia tadi. Jika tidak, takkan pula wajahnya yang ceria tadi boleh berubah suram dengan tiba-tiba. ‘Ya Allah, tenangkanlah hati menantuku ini menghadapi ujianMu ya Allah’ Bisik Hajah Zubaidah sendiri memohon agar Iffat lebih tabah untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi bersama Afeef. Tidak putus Hajah Zubaidah berdoa agar kebahagiaan sentiasa memenuhi semua ahli keluarganya terutama Afeef dan Iffat.

“Mummy…” Aqil yang setia menunggu duduk di lantai tepi kakinya menarik sedikit bajunya. Dia sudah menunjukkan wajah masam kepada Iffat. Barangkali lama benar dirasakan menunggu mummynya membuat susu.

“Kejap sayang. Mummy buat yang baru. Tadi dah tumpah sayang..” lembut Iffat memujuk si kecil itu yang mula masih memegang hujung bajunya. Secepat mungkin Iffat membancuh semula air susu itu. Siap dibancuh, terus dihulurkan semula botol susu itu kepada Aqil. Dengan cepat sahaja Aqil menyumbat mulutnya. Haus benar lagaknya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

Satu ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 16”
  1. Addeen says:

    best …cepat sambung….
    hope semua okay…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.