Novel : Biar aku jadi penunggu 18

20 August 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

“Assalamualaikum mak!” Iffat menegur Puan Hasmidah yang sedang menyapu daun-daun kering di bawah pohon jambu hadapan rumah.

“Waalaikumussalam. Awal Hamani balik hari ni.” Balas Puan Hasmidah tanpa menoleh ke arah Iffat yang beru keluar dari kereta.

“Ha’ah mak. Macam pening kepala sikit la mak.” Jawab Iffat seraya melabuhkan duduk di pangking buruk di bawah pokok itu.

“Laa..dah tu..ni dah pergi klinik belum?” soal Puan Hasmidah sambil meletakkan penyapu lidi yang dipegang tadi di sisi dan duduk di sebelah Iffat. Diusap perlahan belakang badan Iffat.

“Err..tak payahlah mak. Orang pening sikit aja ni. Kejap lagi okey la makan penadol.” Balas Iffat. Dia sebenarnya cukup anti dengan doktor. Tapi kalau orang lain yang sakit, dialah orang yang paling sibuk dan kecoh sekali akan memaksa supaya pergi ke klinik atau hospital.

“Eleh. Ye la kamu tu. Macamlah mak tak tahu. Kamu tu memang taknak makan ubat kan. Tu yang taknak jumpa doktor.” kata Puan Hasmidah seraya menampar perlahan peha Iffat. Iffat hanya tersengeh kerana memang apa yang diperkatakan oleh ibunya itu benar belaka. “Ni dah tadi dah pergi tengok Aqil sekali la ni?” tanya Puan Hasmidah lagi.

“Tak mak. Tengoklah malam nanti Iffat pergi kalau dah okey.” Iffat sudah melentokkan kepalanya di bahu Puan Hasmidah.

“Hmm..Afeef balik Ahad ni kan?” tanya Puan Hasmidah lagi selepas masing-masing mendiamkan diri. Automatik kepala Iffat menegak semula. Dilihat wajah Iffat di sisi sudah berubah. ‘Apa sajalah budak ni fikir sampai berkerut-kerut macam tu’.

Semakin berdenyut-denyut kepala Iffat apabila mendengar nama Afeef disebut ibunya. Lagi dua hari lelaki itu akan balik dan terus menetap di sini. Dia juga tahu waktu untuk berfikir akan keputusan hubungan dia dan Afeef hampir ke penghujung. Keputusan perlu dibuat sebelum berhadapan dengan Afeef. Dia pasti akan petunjuk yang telah Allah beri dan dia yakin keputusannya itu nanti adalah yang terbaik seperti yang dikehendaki olehNya. Percaya yang Allah hanya akan memberi petunjuk yang terbaik demi kebaikan hambaNya.

“Hmm..” pendek Iffat menjawab.

“Hmm..kamu dah sedia nak bincang semua ni dengan Afeef?” Tanya Puan Hasmidah lagi yang sengaja ingin mengetahui keputusan dari pihak Iffat. Dia selalu bersoa agar hati anaknya itu terbuka untuk menerima dan memaafkan Afeef. Kerana dia tahu Afeef tidak akan sesekali melepaskan Iffat walau apa pun yang terjadi. Itu janji Afeef semasa berjumpa dengannya dan suami sebelum dia berangkat ke UK. Jelas dia melihat ketulusan dan kesungguhan Afeef untuk menebus semua kesalahannya terhadap Iffat.

“Hmm..InsyaAllah mak.” Balas Iffat ringkas. Dalam kepalanya sudah memikirkan pertemuan bagaimana yang harus dilakukan untuk berbincang bersama Afeef dengan tenang tanpa ada perbalahan antara mereka. Sudah menjadi tabiat mereka apabila berjumpa, ada saja yang ingin diperdebatkan.

“Hmm.. mak harap sangat kamu boleh berbaik dengan Afeef macam kamu kawan-kawan dulu. Cuma sekarang ni, Hamani kena fahamlah antara kamu dan dia bukan kawan lagi. Ada satu ikatan yang begitu suci dan tidak sepatutnya kamu cemari. Masing-masing dah ada tanggungjawab. Hamani tahu tu kan?” Iffat hanya diam mendengar kata-kata ibunya. “Belajarlah maafkan dia dan belajar terima dia seadanya Hamani. Tiada yang sempurna dalam dunia ni melainkan Dia, Hamani. Semua orang buat salah. Takda salah rasanya kalau kita maafkan kesalahan seseorang yang dah buat salah. Hamani kena ingat siapa dia dalam hidup Hamani, siapa dia antara kamu dan dia. Kita ni perempuan Hamani. Siapa lagi imam kalau bukan lelaki. Apa pun yang dia buat, dia tetap suami Hamani. Hamani tahu kan apa tanggungjawab seorang isteri di sisi suaminya..” lembut Puan Hasmidah menuturkan sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab memastikan kebahagiaan anak-anak. Dia tahu Iffat bukanlah seorang anak yang tidak mendengar kata. Walaupun Iffat kelihatan sedikit kasar dari segi percakapannya dan payah dipujuk kalau sekali merajuk, tapi anaknya itu kalau betul dengan caranya, segalanya jadi mudah.

Iffat hanya diam menunduk melihat hujung kasutnya bermain dengan tanah. Tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada ibunya. Apa yang dikatakan, tiada satu pun salah dipendengarannya. Malah, sudah lama dia menyedari akan kesalahan-kesalahan yang dilakukan selama menjadi isteri Afeef. Menitis juga air matanya apabila merasakan ibunya mengusap perlahan belakang badan untuk menenangkannya. Dia tahu bukan ibunya sahaja yang meletak harapan tinggi terhadap hubungannya dengan Afeef. Tetapi, keluarga mertuanya juga mengharapkan perkara yang sama.

“Dah la Hamani. Mak tahu, Hamani susah nak terima bila Afeef buat Hamani macam ni. Perempuan mana pun susah menerima kalau dia ditipu oleh suami sendiri orang yang paling dipercayai. Cuma mak harap, Hamani fikirlah mana yang terbaik untuk diri Hamani. Mak dengan abah akan sokong apa juga keputusan Hamani. Mak dengan abah redha andai memang tiada lagi jodoh antara kamu berdua.” Sambung Puan Hasmidah lagi. Pada mulanya, dia sendiri berasa sakit hati apabila mendapat tahu Afeef memperlakukan Iffat sebegitu. Tapi apabila difikirkan semula, tiada apa yang boleh diubah lagi. Semuanya telah berlaku. Dengan memaafkan Afeef sekurang-kurangnya dapat member peluang untuk berubah menjadi yang lebih baik.

Semakin laju air matanya menuruni pipi. Sungguh dia rasa terharu akan sokongan keluarga yang tak pernah memaksanya untuk membuat keputusan. Iffat memeluk ibunya erat tanda terima kasih tidak terhingga. Ibunya itu selalu mengingatkannya andai ada perkara-perkara yang dirasakan salah di matanya. Disebabkan dia anak perempuan tunggal di dalam keluarga, maka apa jua yang dihadapi oleh Iffat pasti ibunya dulu yang dicari menjadikan hubungan keduanya begitu akrab.

……………….

++ salam. Kak, kat mana? Tak singgah rumah ke? Aqil cari akak je ni.

Iffat baru membaca mesej yang dihantar oleh Afia maghrib tadi. Dia terlupa hendak keluarkan telefonnya dari dalam beg tangan. Selepas sahaja berbual dengan ibunya di pangkin petang tadi, terus Iffat masuk ke bilik untuk berehat kerana kepalanya berdenyut-denyut. Salah Iffat juga yang terlupa untuk menghubungi Afia petang tadi memberitahu dirinya tidak dapat datang.

“Kak, ni Kak Pia dengan Kak Afwan datang ni.” Baru sahaja Iffat ingin membalasa mesej Afia, terdengar suara Afham memanggilnya.

“Uih, dekat pukul 10. Biar betul dia orang ni.” Kata Iffat sendirian.

“Pia, Kak Afwan..” tegur Iffat sambil menyalami keduanya. “Laa..kenapa datang malam-malam ni? Ada hal penting ke?” tanya Iffat lagi. Aqil yang tadi duduk bersama Luthfi di hadapan televisyen, sudah berlari mendapatkannya. Comel si kecil itu dengan pakaian tidur yang berjalur biru.

“Takda apa-apa. Tu..anak Iffat tu bising cari mummy dia kat rumah tadi.” Jawab Afwan sambil menunjuk ke arah Aqil yang sudah tersengeh apabila Iffat mencium pipinya. Semakin berisi si kecil itu selepas baik dari demam hari tu. Berlari ke hulur ke hilir Aqil apabila Afham melayannya bermain. Luthfi pun terlibat sama. Suka sangat menyakat si kecil itu sehingga mengekek gelak.

“Laa.. sebab Aqil aja akak dengan Pia sanggup datang lewat-lewat ni. Kan esok akak dengan Pia kerja. Iffat ingat pagi-pagi esok nak pergi sana. Susah-susah aja datang malam-malam ni.” Balas Iffat tidak puas hati dengan Afwan dan Afia yang datang semata-mata ingin membawa Aqil berjumpa dengannya.

“Susah apanya akak ni. Bukan jauh pun. Kita orang yang kat rumah lagi susah tengok si Aqil ni sibuk ulang-alik cari akak dalam bilik akak tidur tu. Suruh tidur, bukannya dia nak. Kata Afia pula geram dengan si kecil itu. Iffat sudah tergelak kecil bila membayangkan gelagat Aqil mencarinya.

“Oh ya ke..Ala.. Sorry susahkan akak dengan Pia aja. Iffat lupa nak bagitau yang Iffat tak singgah sana tadi. Petang tadi sakit kepala, Iffat balik rumah awal. Ingat maghrib tadi nak pergi sana. Tapi macam tak larat pulak nak drive.” Terang Iffat.

“Laa..ya ke. Tapi tadi Pia ada hantar mesej, tapi akak tak balas pun. Tu yang terus aja datang sini ni.” Balas Afia.

“Ha’ah. Mama pun dah risaukan Iffat dah sebab tak call, tak bagitau langsung Iffat tak datang hari ni.” Tambah Afwan pula.

“Ala..ya ke. Sampaikan salam Iffat nanti kat mama eh. Cakap, Iffat mintak maaf sebab tadi pening kepala sangat. Handphone baru aja Iffat keluarkan dari handbag. Tak perasan Pia hantar mesej.” Jelas Iffat lagi.

“Alaa..takpalah kak. Bukan akak sengaja pun. Ni datang sini pun, Kak Afwan ni yang beriya-iya sangat.” Afia sengaja mengusik kakaknya yang sudah tersengih-sengih. Bukan dia tak tahu perangai kakaknya itu. Kalau sebut aja nak pergi ke rumah Iffat, dialah yang paling bersemangat. Maklumlah kekasih hatinya turut ada bersama di rumah itu. Sambil menyelam minum air katanya. Luthfi sudah tergelak-gelak mendengar kata-kata Afia. Memerah wajah Afwan menahan malu di hadapan Luthfi.

“Sabarlah sayang. Tak lama aja lagi.” Usik Luthfi pula. Bertambah merah wajah Afwan menahan malu.

‘Hampeh punya kekasih. Sama aja nak kenakan aku’ kutuk Afwan dalam hatinya.

Iffat hanya tersenyum melihat pasangan bahagia yang sedang hangat bercinta di hadapannya itu. Nasibnya tidak sebaik Afwan yang bakal berkahwin dengan orang yang dicintai dan yang mencintainya. Dia yang sudah berkahwin pun belum pernah rasa nikmat bercinta. Mengeluh dia di dalam hati. Seumur hidupnya belum pernah bercinta dengan sesiapa pun. Afeeflah orang pertama yang dia sukai sejak di bangku sekolah lagi. Meskipun begitu, dia jugalah yang biasanya akan menjadi kaunselor cinta tak bertauliah kepada rakan-rakannya. Masing-masing kalau bermasalah dengan kekasih hati, Iffatlah yang akan dicari. Disebabkan itu juga dia jadi takut untuk menjalin cinta dengan sesiapa pun. Termasuklah Rafaal yang menyukainya ketika zaman universiti.

“Eh, lupa nak tanya. Mak abah akak mana? Tak nampak pun dari tadi.” Tanya Afia sambil memandang Afham yang sedang menatang dulang kecil menghampiri. Aqil yang mengekori dibelakangnya pula sedang mengunyah keropok yang diberi oleh Afham.

“Mak abah akak dah masuk tidur dah. Biasalah orang tua, cepat sangat letihnya.” Jawab Iffat sambil menuangkan air teh ke dalam dua biji cawan. “Jemput minum Pia air buatan tangan lelaki ni. Tak tahu apa rasanya.” kata Iffat sambil tersenyum ke arah Afham yang sudah menjelingnya.

“Thanks Afham. Susah-susah aja.” Ucap Afia sambil mencapai sekeping keropok yang dihidangkan bersama.

“No hal la akak. Bukan susah pun. Pastinya air yang Afham buat lagi sedap dari Kak Hamani buat. Haha..” Balas Afham yang sudah tergelak memandang Iffat membulatkan mata melihatnya. Afwan dan Luthfi pun dah tergelak sama mentertawakan Iffat. Si kecil di atas pangkuan Luthfi pun sama terjebak mentertawakannya. Entah dia faham atau tidak. Tengok orang lain gelak, dia pun ikut gelak sama.

“Iffat, Ahad ni Iffat jemput Afeef ke tak?” tanya Afwan tiba-tiba dalam sisa tawanya.

“Err..tak tahu lagilah kak. Tengoklah macam mana dulu. Hari tu ayah kata, akak dengan Pia yang nak jemput kan. Akak ajalah yang pergi. Sama aja.” Dalih Iffat yang sengaja tidak mahu menjemput Afeef di lapangan terbang.

“Laa..akak kita orang sebenarnya ada hal la Ahad ni. Tak sempat nak ambik abang.” tambah Afia sengaja ingin menyuruh Iffat yang menjemput Afeef. Dia dan ahli keluarganya telah merancang supaya Iffat yang pergi menjemput Afeef. Langkah awal untuk memperbaiki hubungan pasangan itu.

“Err,..tak tahu lagi la Pia. Akak ingat Ahad ni nak pergi tengok adik akak Hadif tu kat asrama.” Jawab Iffat dengan senyuman yang dibuat-buat. Sengaja dia beralasan begitu untuk mengelak dari menjemput Afeef. Tidak tahu kenapa hatinya sentiasa berdebar-debar semenjak mengetahui yang Afeef akan pulang. Semakin dekat hari Afeef balik, semakin tak sekata rentak jantungnya. Sampai di pejabat pun kadang-kadang dia hilang fokus apabila memikirkan tentang Afeef.

“Haa,..baguslah tu. Sekali jalan. Akak pergi tengok Hadif dulu sebab abang maybe sampai petang sikit.” Tambah Afia lagi.

“Ha’ah la Iffat. Boleh la. Kita orang esok nak balik kampung mama kat Johor sebab dah lama tak balik sana jumpa saudara-mara. Sekali nak buat tahlil. Maybe tidur sana semalam, then petang sikit baru balik sini.” Sokong Afwan pula bagi menjayakan rancangan mereka. Memang kebetulan abang sulong mamanya ingin membuat kenduri tahlil di sana nanti. Luthfi di sebelah sudah tersengeh-sengeh kerana dia sudah dimaklumkan terlebih dahulu tentang rancangan itu oleh Afwan.

“Tak pun, kalau Iffat malas nak keluar awal, biar abang aja yang pergi tengok Hadif. Tapi esok Iffat hantar abang dulu pergi bengkel ambik kereta abang. Petang sikit Iffat keluar ambik Afeef.” Kata Luthfi pula sengaja ingin menyedapkan lagi cerita.

“Haa..okey la tu..” jawab Afwan pula menyokong kata-kata Luthfi si kekasih hati. Luthfi di sebelah sudah mengenyitkan matanya sebelah kepada Afwan.

Muka Iffat yang sudah masam mencuka sempat menjeling Aqil yang bukan main galak lagi tergelak-gelak apabila Afham menggeleteknya. Dipandang pula ke wajah Afia yang sudah tersenyum-senyum itu. ‘Lain macam aja kau senyum ni Pia. Ada apa-apa ke ni.’ Desis hatinya.

“Err…” Iffat tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi. Dia tiada alasan lagi untuk menolak. Teringat dia akan pesan ibunya petang tadi yang mengingatkannya tentang tanggungjawab seorang isteri di sisi suami. “Hmm..ye la yela.” Jawab Iffat malas. Dikerling Afia dan Afwan sudah tersenyum lebar. “Habis tu Aqil macam mana? Kau orang bawak balik kampung sekali ke.. macam mana?” tanya Iffat pula perihal si kecil.

“Akak ingat nak tinggalkan Aqil dengan Iffat aja. Esok boleh bawak sekali jumpa papanya. Baju pun akak dah siap-siap bawak tadi. Ada dalam kereta tu. Lagipun ingat esok nak bertolak pagi sikit. Nak hantar Aqil pagi esok, kesian pulak nak kejutkan dia bangun pagi-pagi.” Jawab Afwan sambil mencapai sekeping keropok yang dihulurkan Luthfi.

“Oh..ya ke.. Tak kisahlah. Iffat okey aja.” Balas Iffat pendek. Dia lebih suka sekiranya Aqil ada bersamanya. Tidaklah esok dia kekok bila berdua sahaja dengan Afeef. “Erm..lagi satu.. dia tahu ke Iffat yang ambik dia esok?”

“Pia dah email dia semalam cakap akak yang ambik. Nanti dah touch down, dia call akak.” Jelas Afia.

“Amboi! Pandai-pandai aja buat rancangan ya?” Iffat menghadiahkan jelingan kepada Afia yang sedang membuat iklan gigi itu. Afwan dan Luthfi pula dah ketawa kecil.

“Erm..Kak Afwan, jomlah kita balik. Dah lewat sangat ni. Nanti mama bising pulak. Esok dah nak kena gerak awal.” Kata Afia pula apabila dia memandang sekilas ke arah tangannya hampir 12 malam.

“Datang lewat sangat tadi. Ni dah dekat pukul 12 ni, takpa ke nak drive balik ni? Kalau tak, biar abang ajalah yang hantar.” kata Luthfi pula risau akan keselamatan dua wanita itu. Afia dan Afwan sudah bangun dan berjalan menghala ke pintu.

“Eh, takpalah. Bukannya sorang. Takda apa-apalah. Dekat aja pun. Tak sampai satu jam pun.” Balas Afwan yang sedar Luthfi mula risau akan keselamatannya dan Afia.

“Hati-hati jalan.” Pesan Iffat seraya menyambut huluran beg baju Aqil daripada Afia.

“Dah sampai nanti call. Drive carefully sayang.” Pesan Luthfi pula kepada bakal isterinya yang memandu.

“Iya. InsyaAllah. Assalamualaikum.” Balas Afwan sebelum menghidupkan enjin kereta.

“Waalaikumussalam.” Jawab Iffat dan Luthfi hampir serentak. Aqil yang dalam dukungan Luthfi sudah membalas lambaian tangan Afia dari dalam kereta.

…………………………..

“Manalah papa Aqil ni. Kata nak call, tak call pun. Lama dah tunggu ni.” Rungut Iffat sambil memanjangkan lehernya melihat orang yang keluar daripada balai ketibaan untuk mencari kelibat Afeef. Aqil di sisinya sudah leka dengan kereta mainan yang dibawanya tadi.

Tempat yang sedikit sesak itu menyukarkan Iffat mencari kelibat Afeef memandangkan dia hanya duduk kerana sudah penat berdiri lama sambil mendukung Aqil sebelum dia mendapat kerusi kosong yang disediakan di situ. Aqil pula tidak dibenarkan berjalan sendiri kerana anak kecil itu ligat berjalan ke sana ke mari. Susah pula jika hilang dalam orang ramai itu nanti. Sesekali dia akan membiarkan Aqil bebas berjalan. Itupun dengan tidak melepaskan pandang kepada Aqil. Yang merisaukannya lagi sebab Aqil tidak tahu takut dengan orang yang baru dijumpainya. Mudah sahaja mulut comel itu menegur dalam bahasa yang hanya dia sendiri fahami.

Disebabkan dia sibuk memerhatikan setiap orang yang keluar dari pintu balai ketibaan itu, sehinggakan Iffat tidak perasan tempat duduk di sebelahnya sudah bersilih-ganti orang yang duduk. Tapi, dia dan Aqil masih setia menunggu Afeef di situ. Nasib baik juga Aqil tidak meragam dengan suasana tempat yang sedikit sesak itu sebab sesetengah kanak-kanak sebayanya sudah merengek kerana rimas orang ramai di situ.

“Mummy penatlah Aqil. Papa Aqil ni lambat sangat. Dah la mummy belum makan apa dari pagi tadi ni.” Rungut Iffat lagi kepada si kecil yang tidak memahami apa-apa itu. Memang satu hari itu perutnya masih belum terisi. Pagi tadi dia hanya bersarapan dengan secawan milo sahaja walaupun abahnya ada membeli roti canai kegemarannya. Entah kenapa seleranya mati pagi itu. Makan tengahari pula tidak sempat dijamah tadi kerana terlewat balik dari menghantar Luthfi ke bengkel untuk mengambil keretanya yang sudah siap dibaiki. Kemudian sampai aja rumah, terus dia bersiap dan menyediakan Aqil untuk manjemput Afeef pula.

“Aqil, jomlah kita balik. Biar papa Aqil tu balik sendiri dengan cab. Penatlah mummy.” Omel Iffat lagi. Hampir dua jam menunggu. Kelibat Afeef masih tidak diketemui. ‘Entah betul ke tidak mamat tu balik hari ni.’ Marah Iffat dalam hati.

“Amboi! Sampai hati you nak suruh I balik sendiri.” Tegur satu suara di belakangnya. Iffat terlebih kenal dengan suara itu. Memang tak syak lagi. Aqil yang dibiar berjalan berhampiran dengan tempat duduknya, sudah mendapatkan Afeef di belakangnya. Iffat masih tidak menoleh ke arah Afeef. Hanya terdengar suaranya berbual dengan si kecil dan suara mengekek Aqil. ‘Mamat ni keluar dari mana? Apsal aku tak nampak langsung muka dia tadi. Punyalah aku tenung setiap muka orang keluar tadi!’

“Sayang papa ni makin cantiklah..” kata Afeef seraya mencium pipi tembam Aqil. Si kecil itu sudah bergelak ketawa bila terasa geli roma kasar Afeef menyapa pipinya.

‘Aik. Ada ke budak lelaki dia panggil cantik? Salah dari segi tatabahasa dah mamat ni.’ Kutuk Iffat sendiri apabila mendengar Afeef memuji anaknya dengan panggilan cantik. Detak jantungnya kian tidak sekata apabila terasa pula kehangatan badan Afeef yang duduk di sisinya. Iffat hanya menunduk dan sengaja membelek telefon bimbitnya mengelak dari memandang Afeef di sebelah. ‘Apa hal kau ni hati. Nak berdebar semacam pulak ni. Relax la. Astgahfirullah..’ Iffat beristighfar untuk mengurangkan debar di hatinya.

‘Haa..mengutuk aku la tu! Minah ni tak nak pandang ke muka aku yang dah hensem ni. Penat aja aku puji kau cantik. Oh, aku puji kau tapi cium Aqil. Mana nak perasan.’ Afeef sudah tersenyum sendiri melihat Iffat yang mendiamkan diri tanpa menoleh sikit pun ke arahnya. Hanya ternampak bibir comel itu terkumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Sudah lama dia memerhatikan Iffat dan Aqil dari sebalik tiang besar berhampiran dengan tempat duduk Iffat. Ke semua bebelan wanita itu dia jelas di pendengaranya.

Melepasi sahaja pintu keluar tadi, dia sudah nampak kelibat Iffat dan dia sedikit terkejut apabila melihat Iffat sedang memimpin mesra tangan Aqil. Dia kurang pasti dengan apa yang dilihat, maka dia mengambil keputusan untuk memerhati tindak-tanduk wanita itu tanpa pengetahuan. Timbul rasa terharu di hatinya apabila melihat Iffat melayan mesra anak kecil itu tanpa ada rasa janggal atau kekok sekali. Erat dirasakan hubungan itu seperti seorang ibu dan anaknya sendiri walaupun dia tahu Aqil bukanlah dari darah daging Iffat. Terasa ingin menitis air matanya melihat kemesraan yang terjalin itu. Rasa syukur dipanjatkan kepada Ilahi kerana memakbulkan doanya yang satu itu. Sekarang ini, hanya tinggal satu sahaja lagi masalah yang harus diselesaikan dan dia terlalu mengharap akan ada sinar kebahagiaan antara dia dan Iffat.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 18”
  1. rieda says:

    best..tak sabar nak tgk iffat baik dgn afeef…

  2. Addeen says:

    cepat sambung…
    harap mereka bahagia slps ni..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.