Novel : Biar aku jadi penunggu 21

17 September 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

“Kamu kata, kamu balik petang. Ni tengah hari dah balik. Siapa nak makan laksa ni?” Tanya Puan Hasmidah saat membelek barang-barang basah yang Iffat letakkan di atas meja.

“Ni nak masakkan Afeef laksa. Semalam dia kata teringin nak makan laksa. Tu yang balik awal. Hamani ambik cuti separuh hari ni mak.” Jelas Iffat seraya mengeluarkan barang-barang basah yang dibeli tadi.

‘Alhamdulillah.. perkembangan yang baik ni.’ Desis hati Puan Hasmidah apabila melihat kesungguhan Iffat memasak laksa untuk Afeef. Dia tahu yang anaknya itu tidak menggemari laksa. “oh..” balas Puan Hasmidah pendek dalam senyum.

“Mak, mana Afeef dengan Aqil. Tak nampak pun?” tanya Iffat pula sambil memanjangkan kepala di tingkap dapur apabila masuk ke rumah tadi, langsung tidak nampak kelibat dua beranak itu.

“Ada kat belakang tu dengan abah kamu. Tadi abah kamu kata nak tebang pokok pisang. Ada la tu sekali agaknya.” Jawab Puan Hasmidah yang mula menyiang ikan kembung di tepi sinki. Iffat pula sedang menyediakan bahan-bahan untuk dikisar.

“Mmeee…” jerit Aqil datang menerpa Iffat yang duduk bersila mengupas bawang di lantai dapur. Dirangkul erat leher Iffat.

“Eh..anak mummy pergi mana ni peluh-peluh ni.” Tanya Iffat seraya meletakkan pisau dan membasuh tangannya. Kedua pipi si kecil itu dicium lembut. Aqil juga memberi ciuman di kedua pipi Iffat apabila Iffat menyuakan pipinya.

“Eh..papa tak love pun..” sampuk Afeef pula yang baru masuk dari pintu dapur itu bersama Encik Abdul Rahim. Iffat hanya diam dan memandang sekilas ke wajah Afeef yang terus duduk di sebelahnya. Aqil pula sudah duduk di pangkuan Afeef.

‘Hmm..pakai tudung lagi..’ omel hati Afeef apabila melihat Iffat masih kemas bertudung. “Err..nak masak apa ni?” tanya Afeef mesra sambil tangannya memegang sebiji bawang yang telah dikupas oleh Iffat. Iffat hanya diam dan tunduk menyudahkan kerja-kerja yang tergendala sebentar tadi.

“Hamani nak masak laksa. Dia kata kamu teringin nak makan ya Feef?” tanya Puan Hasmidah pula yang baru siap menyiangkan ikan di tepi sinki.

“Err,.ha’ah..” jawab Afeef sambil matanya masih tepat memandang Iffat yang diam menunduk. “Err..susah-susah aja..” kata Afeef lagi.

“Apa yang susahnya Feef. Kamukan laki dia. Dah tentulah apa yang suami nak makan isteri yang kena masak. Takkanlah kamu nak suruh orang lain pulak masak.” Balas Puan Hasmidah yang mula memandang tajam Iffat yang berdiam diri dari tadi. Habis soalan Afeef, dia yang jawab.

“Err..Iffat you tak kerja ke hari ni?” tegur Afeef lembut untuk mengajak wanita itu berbual. ‘Ada emas ke dalam mulut kau tu Fat. Susah sangat nak cakap dengan aku.’

“Hmm..dia cuti setengah hari, harini.” Jawab Puan Hasmidah lagi apabila melihat Iffat hanya diam membatu. “Hamani, kamu dah takda mulut ye. Tu kan Afeef tanya kamu tu.” Tegur Puan Hasmidah lembut.

Iffat menegakkan kepalanya memandang Puan Hasmidah. Dia hanya membalas dengan senyuman yang dibuat-buat kerana dia tahu memang salahnya kerana tidak menjawab pertanyaan Afeef.

“Hmm..takpalah mak. Orang dah tak sudi nak cakap dengan kita, jangan dipaksa.” Suara Afeef berbaur rajuk. Dia sedikit terasa hati apabila semua pertanyaannya tidak dijawab Iffat. ‘Sekali sekala merajuk, apa salahnya.’ Afeef sengaja ingin menguji Iffat. Sengaja dia buat-buat gaya merajuk depan ibubapa mertuanya untuk melihat reaksi Iffat.

‘Erk merajuk ke apa mamat ni. Tak macho betul!’ kata hatinya. Iffat perasan yang Afeef mula bangun dari tempat duduknya tapi dia buat selamba sehingga Afeef hilang ke dalam bilik. Aqil dilihat sudah di atas pangkuan abahnya sambil mengunyah biskut tiger yang dihulurkan oleh Puan Hasmidah.

“Hamani.. kamu dah lupa ya apa yang mak cakap dengan kamu. Berdosa kamu tahu buat Afeef macam tu. Kamu tahukan kalau dah salah nak kena buat apa.” Tegur Puan Hasmidah akan perilaku Iffat yang masih dingin dengan Afeef.

“Hmm.. yela yela. Iffat ajalah yang salah. Dia tak pernah buat salah. Nampak aja kalau Iffat ni buat salah. Hal kecik aja pun..Kalau dia,..” jawab Iffat lancar tapi cepat dipotong Encik Abdul Rahim.

“Iffat Hamani.” tegur Encik Abdul Rahim dengan kelancaran mulut Iffat. Walaupun dengan suara yang tenang tapi masih ada nada ketegasan di situ.

Di sebalik pintu bilik Iffat, Afeef memasang telinga untuk mendengar apa yang dikatakan oleh Iffat. Lancar menerjah gegendang telinga kata-kata yang diluah oleh Iffat apabila ditegur oleh Puan Hasmidah. ‘Ya Allah, dia memang marahkan aku. Tapi mulut tu tak pernah nak luah apa yang dia rasa…Fat maafkan aku..’ Desis hati Afeef. Tiba-tiba dia merasakan Iffat sebenarnya tidak boleh menerima kehadirannya lagi. Niatnya tadi masuk ke bilik untuk mengambil tuala dan ingin membersihkan diri kerana baju yang dipakai sudah disimbahi peluh. Dia tidak menyangka ibubapa mertuanya akan menegur kelakuan Iffat yang baginya adalah hal kecil tadi menyebabkan wanita itu meluah rasa tidak puas hati.

“Kalau Afeef dengar macam mana? Kan kecik hati dia. Kamu ingat Hamani, dia tetap suami kamu. Orang yang patut kamu patuh. Kamu faham?” tambah Encik Abdul Rahim lagi menegur akan sikap dingin Iffat kepada Afeef.

“Hmm..Hamani tahu tu bah..tapi Hamani..” Iffat mati kata-kata.

“Dah tu Hamani. Pergi mintak maaf dengan Afeef sana. Mak tak nak anak mak jadi isteri derhaka. Mak dengan abah tak pernah ajar Hamani derhaka. Macam mana Hamani hormatkan kami, macam tu jugaklah mak nak Hamani hormatkan Afeef.” Tutur si ibu pula.

Iffat hanya diam membatu tapi dia bangun juga akhirnya dan melangkah kaki ke biliknya. Dia akui, dia terlalu mengikut rasa hatinya yang marah apabila teringatkan apa yang Afeef pernah lakukan. Memang malam tadi dia sudah boleh menerima kehadiran Afeef dengan separuh hatinya. Tetapi apabila mak dan abahnya cuba menyalahkan apa yang dia lakukan kepada Afeef tadi, serta merta dia teringat apa yang Afeef pernah lakukan dulu. Dia terlalu kecewa dengan apa yang telah berlaku.

Berulangkali Iffat beristighfar untuk menenangkan hati kerana kesal dengan keterlanjurannya berkata dan yang paling penting, dia terasa berdosa dengan Afeef walaupun lelaki itu pernah menyakitinya. Sampai di bilik Iffat melihat Afeef baring di katil membelakanginya. Terasa kelu apabila berhadapan dengan lelaki itu.

“Feef..” panggil Iffat perlahan. Dia tahu, lelaki itu pastinya sudah terdengar kata-katanya di dapur tadi memandangkan biliknya begitu hampir dengan dapur. Afeef diam tak berkutik. “Afeef..” Iffat menaikkan sedikit nada suaranya risau Afeef tidak perasan kehadirannya di situ.

“Hmm..” ringkas Afeef membalas tetapi masih di dalam kedudukan yang sama. Langsung tidak menoleh ke arah Iffat yang duduk di hujung kakinya.

Iffat telan liur. Tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Afeef. “Feef, aku mintak maaf.” Puas difikir, itu yang terzahir di bibirnya.

Dilihat Afeef perlahan bangun dan duduk di birai katil. Lelaki itu masih tidak menoleh ke arahnya. “Hmmm…” terdengar keluhan dari mulut lelaki itu.

“Aku…” baru sahaja Iffat ingin meneruskan kata, Afeef pantas memotong.

“Aku mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki aku Fat sebab tipu kau selama ni..buat kau menderita..buat kau menunggu..buat kau rasa sakit hati dengan aku..buat kau benci kat aku..aku khianati persahabatan kita,..aku langgar janji kita…aku..” ucap Afeef panjang.

Terasa sayu ayat yang keluar dari mulut lelaki itu. Iffat sudah mula rasa sebak di hatinya. Dia tidak tahu kenapa hatinya terasa sayu yang teramat apabila Afeef meminta maaf darinya. Dia juga perasan panggilan yang Afeef gunakan sudah bertukar semula seperti dulu. Iffat hanya mendiamkan diri. ‘Feef..mana panggilan lembut yang aku dengar malam tadi…’ Iffat sedikit terasa dengan pertukaran panggilan itu.

“Aku..aku..gagal jadi suami yang baik pada kau Fat..” tambah Afeef lagi dengan suara yang tertahan. Dia sendiri terasa ingin menitiskan air mata. Dia terlalu berharap wanita itu dapat memaafkan segala kesalahannya.

“Feef.. bagilah aku masa Feef untuk terima semua ni..” balas Iffat lirih. Dia tidak tahu apa yang sewajarnya dikatakan. Terus memaafkan semua kesalahan Afeef? Tidak semudah itu walaupun dalam hati sebenarnya sudah memaafkan. Cuma, dia belum cukup yakin dengan Afeef selagi dia belum mendengar sendiri dari mulut lelaki itu apa yang berlaku dan kenapa dia menjadi pilihan semata-mata ingin bersama Damia.

“Hmm..” terdengar lagi keluhan berat dari mulut Afeef. “Ambillah berapa banyak masa yang kau nak Fat. Aku akan tunggu sampai kau betul-betul sedia nak maafkan aku,. Cuma.. satu aja aku mintak Fat. Kau jangan buang aku dalam hidup kau..Please..” pinta Afeef sayu sambil matanya menyapa wajah Iffat yang menunduk. Dia ingin melihat kejujuran di mata Iffat.

“Feef..aku tak pernah buang kau dari hidup aku Feef. Belum pernah sekali sejak kau pergi.. belum lagi..” balas Iffat dengan suara yang mula serak. Terasa panas dipelupuk matanya apabila mendengar permintaan Afeef yang satu tu.

“Iffat..aku…” panggil Afeef sambil merapatkan duduknya di sebelah Iffat. Ingin dicapai tangan Iffat yang mengenggam erat cadar katil tapi cepat Iffat menarik tangannya. Dia tahu wanita itu menangis. Terasa sakit dadanya melihat wajah keruh Iffat yang menunduk itu. Dia baru tahu wanita itu menaruh hati kepadanya sekian lama daripada Afia. Tiba-tiba dirasakan dirinya begitu bodoh kerana memperlakukan Iffat sedemikian rupa. Terlalu terluka hati wanita itu. Terasa dirinya tidak layak untuk berdampingan dengan Iffat. Wanita yang cukup setia menantinya hingga ke hari ini. ‘Feef, jangan jadi bodoh. Usahalah untuk rebut semula hati dia’ bisik suatu suara yang membakar semangatnya semula untuk memenangi hati Iffat. Biarlah kali ni dia yang banyak berkorban untuk wanita itu.

“Feef.. bagilah aku masa..”kata Iffat lagi dalam nada yang sama. Tika itu dirasakan hatinya terlalu lemah untuk berhadapan dengan Afeef. Iffat menyapu wajahnya yang kebasahan dek air mata, terus bangun meninggalkan Afeef tanpa sekali pun menoleh ke wajah lelaki itu.

………………

“Feef nak ke mana dengan semua beg tu? Mari makan dulu. Hamani dah siap masak laksa tadi.” Sapa Puan Hasmidah mesra yang sedang menghidangkan makanan di atas meja apabila melihat Afeef membawa bagasinya keluar dari bilik.

Afeef menoleh saat terdengar namanya dipanggil. Dia nampak Iffat sedang membancuh air membelakangkannya. Puan Hasmidah pula sibuk menghidangkan makanan di atas meja. “Err..mak, tak sempatlah. Tadi Afeef dah call Pia, dia dah dekat sampai.” Jawab Afeef lembut menyahut kata ibu mertuanya. Iffat masih tidak menoleh kepadanya. ‘benci sangat agaknya Iffat nak tengok muka aku ni’ lirih hatinya.

Afeef hanya terperap dalam bilik sahaja dari tadi selepas perbincangan pendek bersama Iffat. Dia akan turuti segala permintaan Iffat yang inginkan masa untuk berfikir. Ada baik rasanya dia menjauhkan diri dari Iffat buat sementara waktu jika itu yang akan memberi ketenangan kepada Iffat. Dia sanggup berkorban kali ini andai terpaksa menjadi penunggu setia sehingga wanita itu dapat menerimanya semula. Itu tekadnya.

“Hah! Kan Iffat yang nak hantar kamu petang nanti.” Balas Puan Hasmidah tidak puas hati apabila melihat Afeef yang mula menarik keluar semua beg yang dibawanya semalam dan di letakkan di tepi pintu.

“Err..takpalah mak. Pia kebetulan cuti hari ni. Tak payahlah susahkan Iffat.” Jawab Afeef lagi. Dia masih melihat Iffat yang masih berdiri membelakanginya.

‘Afeef..’ seru Iffat dalam hatinya. Sekali lagi terasa ingin mengalirkan air mata apabila Afeef seakan-akan ingin pergi jauh darinya. Tambahan pula dia menolak dari menjamah laksa yang telah dimasak dan tidak mahu Iffat yang menghantarnya pulang. Tak sabar-sabar nampaknya. Iffat mengeluh sendiri.

“Hmm..mama kamu dah sampai rumahlah ye?” tanya Puan Hasmidah lagi.

“Ha’ah. Baru aja sampai. Pia ada hal kat area sini, tu yang suruh ambik Afeef sekali.” Jawab Afeef sambil memasukkan barang mainan Aqil ke dalam beg. Si kecil itu sedang lena di kerusi panjang ruang tamu.

“Hmm..yela. Takda rezeki kamu nak makan kat sini. Lain kalilah Feef. Takpalah, nanti mak suruh Hamani bungkuskan. Banyak dia masak. Kat rumah ni bukan ramai sangat yang makan.” Balas Puan Hasmidah seraya terus melangkah ke dapur.

Tidak sempat Afeef melarang, Puan Hasmidah sudah hilang dari pandangan. Tidak sampai lima minit, terdengar bunyi kereta masuk ke halaman rumah. Afeef terus menjengah ke tingkap untuk melihat. Dia nampak kereta Afia berhenti elok di tepi rumah. Afia keluar dan membuka bonet kereta sebelum memberi salam.

Afeef sudah membawa turun semua bagasi yang dibawa semalam ke kereta Afia.

“Pia, tak naik dulu ke?” tegur Puan Hasmidah melihat Afia yang membantu Afeef memasukkan beg ke dalam bonet kereta.

“Takpalah makcik, Pia ada hal lagi lepas ni. Tak sempat nak borak panjang. Lain kali ajalah makcik. Hmm.. Kak Hamani mana makcik?” tanya Afia pula yang sudah berdiri di tepi tangga rumah.

“Oh..ada tu. Tunggu sekejap. Dia tengah bungkuskan laksa yang Afeef nak makan tu. Tak sempat nak makan lagi. Katanya kamu dah dekat sampai tadi.” Balas Puan Hasmidah mesra. Dia sebenarnya sudah mengesyaki ada yang tidak kena dengan Iffat dan Afeef apabila melihat keduanya tidak bertegur sapa. Selepas Iffat keluar dari bilik tadi pun, wanita itu banyak mendiamkan diri.

“Oh..mesti sedap kalau Kak Hamani yang masak. Pia pun dah lama tak makan laksa.” Balas Afia yang sudah tersenyum memandang Afeef yang sedang mengangkat pula beg baju Aqil dimasukkan ke tempat duduk belakang.

“Pia, nah ni laksa. Makanlah nanti. Akak banyak masak tadi tapi takda siapa pulak nak makan. Tak tahulah sedap ke tak Pia.” Muncul Iffat di muka pintu menghulurkan bungkusan yang telah disiapkan. Dia nampak Afeef merenung tajam ke arahnya. ‘Tak payahlah kau nak tenung aku macam tu Feef. Aku tahulah kau tak sudi nak makan laksa aku ni.’ Omel hatinya sakit dengan penolakan Afeef tadi. Dia tidak faham kenapa Afeef tiba-tiba ingin pulang awal ke rumah. Mungkin salahnya juga tadi yang meminta diberi masa. Barangkali itu yang menyebabkan Afeef berjauh hati dengannya. ‘hmm..’ keluh hatinya lagi.

“Thanks kak. Err..Abang, dah siap ke semua? Aqil mana?” tanya Afia kepada Afeef yang leka merenung Iffat di hadapannya. ‘Apahal pulak abang dengan Kak Hamani ni. Tak baik lagi ke?’ monolognya di dalam hati.

“Err..barang dah siap semua. Aqil tengah tidur. Biar abang angkat dia sekejap.” Balas Afeef yang baru tersedar selepas Afia memanggilnya. Dia tadi begitu leka melihat wajah Iffat yang sedikit pucat tidak bermaya. ‘Janganlah kau seksa diri kau lagi Fat sebab aku..’ luahnya di dalam hati. Dia tidak sanggup lagi melihat wajah Iffat yang sudah hilang seri itu. Sedih hatinya.

“Err..tak payahlah. Biar aku aja yang hantar nanti. Kesian dia baru tidur tu.” Balas Iffat teragak-agak menawar diri untuk menghantar Aqil ke rumah nanti. Dia tahu Aqil bukan darah dagingnya dan sewajarnya Aqil tinggal dengan Afeef kerana dia tiada hak ke atas anak kecil itu. ‘Sayang mummy nak kena balik hari ini.’ Desis hatinya.

“Err..okey.. thanks.” Balas Afeef ringkas seraya menyalami tangan ibu mertuanya meminta izin untuk pulang. Afia berbuat yang sama.

“Hamani, kan Afeef nak balik tu..” tegur Puan Hasmidah perlahan apabila melihat Iffat terpinga-pinga memandang Afeef yang mula berjalan ke arah pintu kereta. Dengan teragak-agak juga Iffat berjalan mendapatkan Afeef berdiri di tepi kereta.

“Afeef..” panggil Iffat perlahan hampir tidak terdengar suaranya. Tetapi masih jelas di pendengaran Afeef. Bibir lelaki menghadiahkan segaris senyuman kepadanya. Tiada kemanisan dirasakan senyuman itu. Iffat menghulurkan tangannya kepada Afeef. Afeef menyambut huluran tangan itu mesra. Erat dirasakan genggaman Afeef di tangannya. Terasa hangatnya tangan itu bersatu dengan tangannya. Saat itu jugalah debar di dadanya datang mengetuk. Tak seirama detak jantungnya. Genggaman Afeef seakan tidak mahu dilepaskan. Iffat cuba menarik tangannya namun gagal. ‘Apa sebenarnya mahu si Afeef ni.’ Gerutu hatinya geram dengan perlakuan pelik Afeef. Berkali-kali juga Afeef memberi isyarat mata kepadanya. Baru dia faham yang Afeef menyuruhnya mencium tangan lelaki itu. Dalam nak tak nak Iffat melakukannya juga. Dia nampak lelaki itu tersenyum manis selepas melepaskan tangannya. Sungguh dia tidak memahami perangai Afeef. Tadi macam merajuk, ni dah macam ceria sangatlah pulak. Iffat hanya buat selamba apabila melihat senyuman Afeef masih tidak lekang di bibir sehingga masuk ke dalam kereta. ‘Entah apalah yang syok sangat sampai tersenyum macam tu.’


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 21”
  1. Addeen says:

    nice…
    cepat sambung…
    best la…

  2. rieda says:

    best…cpt2 sambung!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.