Novel : Biar aku jadi penunggu 24

10 October 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

bab 24

“Hamani, kamu dah siap kemas semua baju kamu?” Sapa Encik Abdul Rahim ketika Iffat sedang asyik menonton filem korea ‘The Relations,face and love’. Walaupun telah berulangkali menonton filem itu, sengaja dia ingin menonton lagi kebetulan baru ditayangkan di tv. Dia suka akan sikap penerimaan yang ada dalam diri watak hero dan heroin filem itu yang mana menerima seadanya pasangan tanpa mempersoalkan baik buruk, cacat cela pasangan itu dan juga kejujuran dalam berhubungan.

“Hmm. Bukan banyak pun bah. Sikit aja nak bawak. Bila-bila balik sini, Hamani boleh bawak lagi. Kereta pun Hamani tinggal dulu, kemudian baru bawak.” Jawab Iffat selamba dengan mata masih tertumpu ke skrin tv.

“Kereta tu tak kisahlah. Luthfi pun boleh hantar nanti. Yang barang-barang tu, kenapa tak bawak banyak sekali. Kan senang nanti.” Kata Encik Abdul Rahim lagi yang sudah duduk di sisinya.

“Ala..takpalah bah. Kemudian boleh bawak. Hamani malaslah nak bawak banyak-banyak. Manalah tahu kalau esok-esok Hamani duduk sekejap aja kat rumah tu. Nanti takdalah susah-susah Hamani nak kemas. Balas Iffat lagi tanpa menyedari wajah Encik Abdul Rahim yang sudah berubah apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya.

“Apa maksud kamu ni?” Tanya Encik Abdul Rahim tidak memahami.

“Ha? Maksud apa pulak?” Iffat menjawab dengan soalan juga.

“Yela..kamu kata duduk sekejap aja kat situ. Kamu nak duduk mana pulak kalau bukan kat rumah tu?” Encik Abdul Rahim mula tidak menyenangi apa yang keluar dari mulut anaknya itu. Iffat menoleh ke wajah Encik Abdul Rahim yang berkerut dahi itu.

“Err..takda apalah abah. Hamani cakap aja..hehe..” Dalih Iffat. Sebenarnya apa yang terluah di bibirnya tadi, langsung tidak dirancang. Meluncur tanpa dipaksa. Iffat mengalihkan semula pandangan matanya ke skrin tv. Takut dia akan ditanya yang lain-lain pula oleh ayahanda tersayang.

“Miss Afeef Adwan!” jerit Luthfi tiba-tiba dari luar rumah yang sedang membasuh keretanya.

“Tu kenapa pulak tu terjerit-jerit macam tarzan tu.” Menggeleng kepala Encik Abdul Rahim dengan sikap anak sulongnya itu pula.

“Haha.. sejak bila pulak abang jadi tarzan.” Kata Iffat dalam tawanya. Iffat menjengah abangnya dari tingkap. “Abang kenapa jerit-jerit ni. Orang belum pekak lagi la bang.” Tanya Iffat dalam sisa tawanya.

“Kau dah takda telefon eh? Ke telefon tu kau dah buat tukun dalam kolam keli abah kat belakang rumah tu?” balas Afeef geram apabila melihat Iffat mentertawakannya kerana digelar tarzan.

“Erk? Apa pulak tukun. Rendah sangat martabat telefon Hamani tu bang. Jadi pameran dalam bilik peringkat daerah sudah. Hehe..” balas Iffat yang sudah menayang barisan giginya.

“Kau kalau tak nak guna handphone kau tu, bagi abang guna. Rugi aja mahal-mahal beli tapi tak guna.” Sindir Luthfi lagi.

“Eh..suka hati abang aja..Abang kenapa jerit-jerit panggil tadi?” tanya Iffat malas melayan bebel Luthfi.

“Afeef call abang. Dia tanya kau dah kemas barang belum. Dia kata kejap lagi nak ambik kau. Dia telefon kau dari pagi tadi, tapi kau tak angkat.” Beritahu Luthfi yang sedang mengelap cermin keretanya.

“Hah? Kejap lagi. Janji petang sikit baru nak ambik. Ni baru pukul berapa. Dia toleh jam dinding di hadapannya. Baru jam 2 setengah petang.” Rungut Iffat. Dia terkejut dengan berita yang dibawa oleh Luthfi. Segera dia melangkah ke bilik untuk mengambil telefon bimbitnya. Memang telefon itu akan sentiasa dalam keadaan senyap apabila pada hari cuti. Iffat tidak mahu cutinya terganggu dengan hal-hal kerja.

Dilihat, hampir dua puluh panggilan tidak berjawab dan hampir sepuluh mesej daripada Afeef. Satu persatu dia membaca mesej yang dihantar.

++Miss Afeef Adwan, please pick up the phone!

++Puan Iffat Hamani!!!!!

++Sayangku Iffat Hamani Abdul Rahim..angkat telefon please….

++My dear,..

++Iffat, kalau kau tak nak cakap dengan aku pun, kau balaslah mesej aku ni..

++Kalau kau takut mahal sangat nak bayar kos balas mesej aku, biar aku yang bayar bil telefon kau lepas ni.

++Assalamualaikum. Fat, aku tak kira. Kau setuju atau tak, aku dah buat keputusan. Kejap lagi aku ambik kau.Aku tak sabar nak tinggal sebilik dengan kau. Sekian terima kasih.

++Pesanan khas: sila rajinkan diri mnjawab panggilan. Jika tidak, sila musnahkan sahaja telefon itu.

Iffat tersenyum sendiri apabila membaca setiap mesej yang dihantar oleh Afeef. Yang paling menggetar jiwanya adalah dengan perkataan ‘sayang, mydear dan tinggal sebilik’ yang diucapkan. Terasa meremang bulu roma. Bila teringatkan yang Afeef ingin mengambilnya sebentar lagi, Iffat segera menghubungi Afeef. Berulang-kali Iffat mendail nombor telefon Afeef, tetapi satu pun tidak bersambut. ‘mamat ni nak balas dendam ke apa.’ Omel Iffat sendiri.

“Hamani, Afeef dah sampai ni.” Panggil Puan Hasmidah pula dari ruang tamu.

“Hah! Cepatnya sampai.” Tutur Iffat sendirian sambil menyarung tudung di kepala dan melangkah keluar bilik.

“Hamani, kamu dah siap kemas barang kamu belum ni?” tanya Puan Hasmidah apabila melihat Iffat yang masih tidak bersiap.

“Err..dah mak.” Jawab Iffat ringkas. Dia nampak Afeef merenungnya tajam.

Hampir seminggu dia tidak berjumpa dengan lelaki itu dan selama itu jugalah Iffat tidak menjejakkan kakinya ke rumah keluarga mertuanya semenjak kes kereta Afeef yang rosak itu. Jika dia rindukan Aqil, dia hanya akan menghubungi Hajah Zubaidah untuk mendengar suara si kecil yang masih belum pandai bercakap itu. Terdengar suara si kecil itu terjerit-jerit di telefon apabila mendengar suaranya.

Dengan teragak-agak Iffat mendapatkan Afeef apabila lelaki itu terlebih dahulu menghulur tangan kepadanya. Termalu lagi dia di hadapan kedua orang tuanya apabila Afeef dalam terangan mengingatkannya akan tanggungjawab seorang isteri. Iffat hanya menghadiahkan jelingan apabila Afeef tersenyum mengejek ke arahnya apabila bibirnya singgah di tangan lelaki itu.

“Feef, kamu nak bertolak pukul berapa ni?” tanya Encik Abdul Rahim setelah Iffat berlalu ke dapur untuk menyediakan minuman.

“Ingatnya sekaranglah bah. Kalau ikut rancangan awal, memang esok baru nak masuk. Tapi sebab Isnin ni Afeef dah kena lapor diri kat tempat kerja Afeef tu bah. Nanti takdalah penat sangat sebab ingat nak kemas-kemas sikit nanti.” Jelas Afeef sambil mengerling Iffat yang muncul dengan menatang dulang berisi seteko air dan beberapa cawan.

“Oh ye ke.. tempat kerja Afeef jauh ke dari rumah?” tanya Puan Hasmidah pula. Iffat sudah duduk di kerusi bertentangan dengan Afeef. Sengaja dia tidak mahu duduk di sebelah lelaki itu walaupun dia perasan Afeef berganjak sedikit untuk memberi ruang agar dia duduk di sebelahnya. Tapi dengan selamba Iffat duduk di kerusi yang lain. Dia masih berasa malu untuk berhadapan dengan lelaki itu selepas kes dipermainkan beberapa malam lalu.

“Taklah mak. Tapi ada jugaklah dekat satu jam dari rumah.” Balas Afeef mesra sambil matanya menjeling ke wajah Iffat yang tanpa bersalah menonton tv.

“Hamani, kamu kenapa tak siap lagi ni? Kan Afeef kata nak gerak awal tu?” sergah Encik Abdul Rahim tiba-tiba apabila melihat anak perempuannya itu masih leka dengan tv. Pantas kepala Iffat menoleh ke wajah abahnya. Dilihat Afeef sudah mentertawakannya kerana ditegur oleh Encik Abdul Rahim.

“Err..nak siaplah ni bah..”balas Iffat malas seraya bangun. Sebelum melangkah masuk ke bilik, sempat juga dia menghadiahkan jelingan kepada Afeef apabila melihat senyuman mengejek tidak lekang di bibir lelaki itu. ‘Bukan main lagi suka kau gelakkan aku ya..’

Dari dalam bilik, sesekali Iffat terdengar suara Afeef rancak berbual, selang-seli dengan suara kedua orang tuanya. Iffat tidak ambil peduli. Iffat yang telah mengenakan seluar slack hitam, blaus coklat dan tudung warna senada siap dikemaskan dikepalanya, sengaja lambat-lambat mengemas sedikit barang-barang asasnya masuk ke dalam beg. Terasa berat hati untuk meninggalkan biliknya itu setelah bertahun tinggal di rumah itu bersama keluarganya.

“Hamani, kamu dah siap belum? Kenapa lama sangat tu?” panggil Puan Hasmidah dari luar bilik.

“Yela.. dah siaplah ni.” Balas Iffat malas. Dengan berat hati juga dia melangkah keluar bilik itu.

“Feef, kalau budak cengeng tu nangis nanti..kau call aja aku. Biar aku datang ambik.” Pesan Luthfi sengaja ingin mengusik adiknya yang berwajah kelat itu. Kata-kata Luthfi itu mengundang tawa kedua orang tuanya apatah lagi Afeef. Pastinya lelaki itu tidak akan lepaskan peluang untuk mentertawakannya.

“InsyaAllah tak. Eleh abang tu. Saja aja kan nak kenakan orang kan. Hamani risau, abang tu je yang nangis nanti sebab dah takda siapa nak lawan abang gaduh.” Balas Iffat tak nak kalah.

“Erk? Ye ke? Haha..baik kita tengok nanti siapa yang menangis.” Giat Luthfi lagi tetap tidak mahu beralah. Iffat sudah menjuihkan bibir comelnye ke arah Luthfi. Afeef sudah tergelak-gelak melihat kedua beradik itu.

“Err..abah, mak, bang.. Afeef ingat, kami gerak dululah. Takut lewat pulak nanti. Tahu-tahu ajalah jalan kalau petang-petang ni.” Ujar Afeef dalam sisa tawanya. Dia sebenarnya, sudah tidak sabar ingin memulakan semua rancangannya untuk memenangi hati wanita yang sudah banyak terluka kerananya.

“Ha.. yela yela..” balas Encik Abdul Rahim. Kedua orang tuanya dan Luthfi mengiringi sehingga ke kereta.

Iffat menyalami dan memeluk erat kedua orang tuanya selepas memasukkan semua barang keperluannya ke dalam bonet kereta. Terasa ingin menitis air matanya apabila selepas ini dia tidak lagi tinggal bersama ahli keluarganya. Dia sudah ada kehidupannya sendiri. Selepas ini, dia terpaksa berdiri di atas diri sendiri apabila berhadapan dengan masalah. Jika sebelum ini semua masalah akan diadu kepada Puan Hasmidah dan Encik Abdul Rahim. Tetapi kini, dia harus menerima hakikat yang dia telah memiliki suami dan segala keperluan, keselamatan dan masalah, adalah bergantung kepada lelaki yang bernama suami itu. Malah tanggungjawab sebagai seorang isteri dalam erti kata yang sebenar akan bermula selepas dia melangkah masuk ke rumah itu nanti.

“Haa..dah nak nangis tu.” Usik Luthfi saat Iffat mengucup tangan abangnya itu. Sempat dia menumbuk perut abangnya itu kerana geram dengan Luthfi yang gemar mengusiknya.

“Ala..bukannya jauh pun rumah kamu. Rumah mertua kamu pun dekat. Kamu hari-hari boleh balik sini. Tapi kena ingatlah. Lepas ni, kamu bukan Hamani yang dulu. Kamu ada suami yang nak kena kamu jaga makan pakainya.” Nasihat Encik Abdul Rahim pula.

Iffat hanya tersenyum tawar mendengar kata-kata abahnya. Itulah hakikat yang dia kena telan dan hadam sekarang ni. Dia sendiri berasa risau memikirkan seandainya tidak dapat melaksanakan semua tangggungjawab itu dengan baik memandangkan hubungannya bersama Afeef tidak seperti pasangan lain yang berkahwin.

“Senang-senang kamu baliklah sini.” tambah Puan Hasmidah pula. Dia juga turut berasa sebak apabila terpaksa melepaskan Iffat pergi mengikut suaminya. Kerana Iffat adalah satu-satunya anak perempuan yang dia miliki.

“InsyaAllah mak. Bukan jauh sangat pun mak.” Balas Afeef lembut seraya tersenyum. Dia perasan wajah Iffat yang sedikit keruh.

“Ha..yela..kamu elok-elok bawak kereta.” Pesan Puan Hasmidah kepada menantunya itu.

“Hamani..kamu dengar apa yang abah pesan tadi.” Tanya Encik Abdul Rahim sebelum Iffat meloloskan diri ke dalam kereta. Afeef sudah mengambil tempat di tempat duduk pemandu. Iffat duduk di sisinya.

“Dengar bah. InsyaAllah. Hamani cuba buat yang termampu.” Jawab Iffat lembut. Dia berjanji kepada dirinya sendiri akan cuba menjadi isteri yang solehah walaupun hubungannya masih belum pulih sepenuhnya. Tetapi, tidak salah untuk dia mencuba.

“Kami jalan dululah ye mak, abah. Kalau pasal kenduri doa selamat tu nanti, Afeef beritahu abah kemudian.. Assalamualaikum semua..” Ucap Afeef sebelum mula menggerakkan keretanya keluar dari halaman rumah.

Iffat hanya membalas lambaian kedua orang tuannya sehingga hilang dari pandangan. Tika itu dirasakan ingin menitis air matanya walaupun dia tahu jarak rumah yang bakal diduduki bersama Afeef itu sebenarnya tidaklah jauh mana. Sebelum ini, walaupun bergelar isteri Afeef, dia masih tinggal bersama keluarga. Sebelum Afeef menyambung pelajarannya dulu pun, hanya seminggu tinggal bersama lelaki itu. Itu pun bersama ahli keluarganya yang lain. Tetapi kali ini, dia harus berdiri sendiri dan mengurus semua hal rumahtangga dengan erti kata yang sebenar.

Hampir setengah jam perjalanan, keduanya masih mendiamkan diri. Jalan raya pada ketika itu mula sesak dengan kereta memandangkan hari cuti. Afeef kerap kali menoleh ke sisi melihat Iffat yang bungkam. Entah apa yang difikirkan oleh wanita itu sehingga mengerutkan dahinya.

“Fat, kau tak suka ke nak duduk kat rumah kita.” Tegur Afeef setelah memberhentikan keretanya di satu lampu isyarat.

Iffat hanya diam. Dia memalingkan mukanya ke luar tingkap. ‘Erk..sekarang baru nak tanya ke aku suka ke tak. Apa jenis soalanlah dia ni.’ Omel Iffat sendirian.

“Aku pusing baliklah. Kita tak payah duduk kat Shah Alam tu. Kita buat hal masing-masing.” Tambah Afeef lagi sengaja menguji.

“Err..tak..tak..tak payah..Err..aku suka..” cepat Iffat membalas.

Afeef sudah tersenyum lebar apabila mendengar bibir comel itu mula bersuara. Dalam hatinya sudah tergelak-gelak gembira.

“Ye ke suka..muka kau tu macam tak suka aja..” uji Afeef lagi.

“Err..taklah..” balas Iffat pendek.

“Hmm..Fat..maafkan aku..” ucap Afeef perlahan sebelum menggerakkan semula kereta selepas lampu isyarat bertukar hijau.

“Apa yang aku nak maafkan..” balas Iffat tanpa menoleh ke arah Afeef.

“Pasal malam tu..” jawab Afeef yang tersengeh.

“Aku dah lupa dah..” balas Iffat selamba. Dia malam memikirkan lagi peristiwa yang memalukan dirinya sendiri itu.

“Ye ke lupa..macam tak je..” provok Afeef lagi sengaja ingin mengajak Iffat berbual dengannya.

“Ye la.. tak percaya sudah..” Iffat menjeling sekilas ke arah Afeef.

“Ye la ye la.. aku percaya. Hmm.. Fat, kita singgah pasaraya dulu eh. Beli barang-barang dapur dulu.” Kata Afeef sambil memberi lampu isyarat sisi untuk membelok apabila menghampiri pusat membeli belah Jusco.

“Aik, bukan kau kata rumah tu dah fully furnish ke?” tanya Iffat pula.

“Memanglah fully furnish. Perabot dengan barang elektrik semua dah ada la. Tong gas je yang ada. Barang dapur nak masak, satu apa pun takda. Macam mana nak makan malam ni.” Balas sampil tersenyum lebar. Dia tak sabar untuk makan makanan yang Iffat masak. Laksa yang dimasak oleh Iffat hari tu, dia tak sempat nak merasa sebab merajuk dengan Iffat. Akhirnya, Afia dan Afwan yang habiskan semuanya. Dua wanita itu memang pantang nampak laksa.

“Okey jom.” Ajak Afeef setelah memberhentikan keretanya di tempat letak kereta.

“Wait.. Aqil mana? Kenapa kau tak bawak dia sekali?” belum sempat Afeef keluar kereta, Iffat bertanya perihal Aqil. Baru dia perasan si kecil itu tidak ada bersama Afeef sejak lelaki itu datang ke rumahnya tadi.

“Ohh..Aqil tinggal rumah mama. Nanti kan kita sekali jalan ke rumah mama. Ambik Aqil dulu then baru kita terus balik rumah kita.” Terang Afeef seraya membuka pintu kereta.

Iffat sengaja jalan lambat-lambat di belakang Afeef untuk mengelak dari beriringan dengan lelaki itu. Perasan akan keadaan itu, Afeef memberhentikan langkah dan menunggu Iffat agar jalan seiringan dengannya. Dia perasan wajah Iffat masam mencuka apabila Afeef sengaja berjalan beriringan dengannya dan kadangkala sehingga tangan mereka berlaga kerana Afeef rapat berjalan di sisinya. Kerap-kali itu jugalah Iffat menjarakkan dirinya. Afeef pula dengan selamba mengikut setiap langkah Iffat.

“Eh..kau boleh tak jalan elok-elok. Jalan punya besar yang kau nak jalan rapat-rapat dengan aku ni kenapa?” tanya Iffat perlahan apabila mula rimas dengan tindakan Afeef yang rapat di sisinya sehingga bahunya berlaga dengan lengan Afeef. Nasib baik juga Afeef lebih tinggi darinya. Kalau tidak, mesti bahu bertemu bahu pula.

“Hahaha..” Afeef tergelak besar sehingga orang yang berselisih dengan mereka memandang pelik.

Iffat sudah tayang muka kelatnya bila Afeef sengaja mentertawakannya. Dia sendiri berasa malu apabila menjadi tumpuan orang yang lalu-lalang di situ. Secepat mungkin dia menarik tangan Afeef agar segera berjalan ke destinasi yang ditujui. Sepantas itu juga Afeef terus menggenggam erat jemari Iffat dan mereka jalan beriringan seperti pasangan bahagia.

“Eh..kenapa pulak ni pegang-pegang?” tanya Iffat perlahan rapat ke telinga kiri Afeef apabila lelaki itu menggenggam erat tangan kanannya.

“Kau pegang tangan aku elok aja. Aku pegang tak boleh pulak.” Balas Afeef selamba.

Iffat berusaha melepaskan genggaman tangan Afeef tetapi tidak berjaya apabila Afeef erat memperkemaskan lagi genggaman ditangannya. Tanpa rasa bersalah Afeef memimpin tangannya masuk dari satu kedai ke satu kedai.

“Feef, kata nak cari barang dapur? Ni yang masuk kedai, butik kenapanya?” tanya Iffat bila dia terasa letih mengikut langkah lelaki itu sambil tangannya dipegang erat.

“Yela. Nak cari barang dapur la ni..” balas Afeef selamba sambil sebelah tangannya lagi membelek sebuah kemeja putih berjalur biru halus.

“Barang dapur apanya kat sini…” rungut Iffat seraya membuang pandang ke sekitar butik. “Raff..” panggil Iffat apabila ternampak kelibat Rafaal bersama seorang gadis melalui hadapan butik itu.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 24”
  1. rieda says:

    best sgt2!!tak sabar nak tunggu hati iffat terbuka kat afeef…

  2. nysa says:

    so sweet.cpt sambung

  3. marinashahiza says:

    heeee 😉 iloikeeee 😉 sambungg algi . best laaaa . weetweet . thumbs up :)

  4. as says:

    ku tak sabar menunggu..hehehe

  5. Addeen says:

    jeng3…
    cepat sambung…
    best3…

  6. lewis says:

    2 manusia yg stuck sbg kwn baik. Xmungkin dlm 3years xpernah berubah. Sgt senang menjadi seorang seorang afeet, klu aku jadik afeet aku kawin 4 la. Bini xmarah hehe

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.